"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agong, Permaisuri setuju kerajaan tak bayar emolumen diraja 6 bulan

Bernama
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar emolumen diraja kepada mereka berdua selama 6 bulan mulai Mac hingga Ogos.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata persetujuan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, serta menyahut keputusan kerajaan memotong 2 bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Perkenan Seri Paduka Baginda Berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata perkara tersebut dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, sempena Hari Doktor semalam, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan penghargaan kepada para doktor dan petugas kesihatan, khususnya barisan hadapan atas khidmat, bakti dan pengorbanan tanpa penat lelah dan mengira masa menjalankan tanggungjawab membendung pandemik itu.

“Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan berkaitan di atas pengiktirafan yang diberikan oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tata cara pengendalian Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama mereka, berdoa memohon ihsan Allah semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmatNya dan pandemik ini diakhiri dengan berkesan dan segera

Tiada ulasan: