"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan hantar pesalah PKP ke Penjara - Jabatan Penjara

Malaysiakini
Jabatan Penjara meminta mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Langkah itu, katanya akan menyebabkan kesesakan di penjara yang mana adalah "mustahil" untuk melaksanakan langkah menjaga jarak antara satu sama lain.

Tambahan pula, jabatan itu berkata tidak diketahui sama ada tahanan baru yang dihantar ke penjara dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Perkara ini dimaklumkan dalam surat oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar yang ditujukan kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilihat oleh Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Jabatan Penjara mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa surat tersebut sahih tetapi sedang menyiasat sumber kebocoran dokumen itu.

Berdasarkan surat tersebut, Zulkifli berkata rekod Jabatan Penjara menunjukkan sehingga 1 April 2020 seramai 378 orang telah dikenakan hukuman penjara atas kesalahan perlanggaran PKP.

Jurucakap itu memberitahu Malaysiakini, langkah pemenjaraan itu menyebabkan penjara bertambah sesak dan "mustahil" untuk melaksanakan penjarakkan sosial.

Katanya, setakat ini sejumlah 73,000 banduan ditempatkan di 50 penjara di seluruh negara, yang sewajarnya hanya untuk 52,000 banduan.

"Dengan keadaan sekarang, tidak mungkin melaksanakan penjarakkan sosial di penjara yang sudah sesak.

"Banduan tidak bercampur dengan orang di luar, maka tiada risiko penularan Covid-19.

"Jika ia mula (menular) di penjara, maka di mana lagi kita nak tempatkan mereka? ia akan jadi masalah bukan saja kepada penjara, tetapi negara," kata pegawai itu.
"Selain menambah kesesakan sedia ada, Jabatan Penjara juga bimbang jika mereka boleh menjadi punca penularan wabak Covid 19 di dalam penjara kerana status kesihatan mereka yang tidak diketahui.

"Jabatan Penjara juga berpendapat bahawa adalah satu masalah besar jika berlaku penularan Wabak Covid 19 di penjara kerana selain penjarakkan sosial (social distancing) yang mustahil dapat dilakukan penjara juga bakal menjadi tempat penularan wabak Covid 19 yang tidak terkawal dan boleh mengancam nyawa banduan mahu pun kakitangan," katanya.

Zulkifli mencadangkan supaya pesalah pesalah pelanggaran PKP ini dikenakan Perintah Kerja Sosial di bawah Akta Kehadiran Wajib 1954 di mana mereka dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.

Tambahnya, perkara ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara sejak tahun 2010.

"Perhatian dan kerjasama YBhg. Tuan dalam perkara ini didahului dengan ucapan ribuan terima kasih," katanya lagi.

Dalam usaha untuk memerangi koronavirus, negara telah melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu.

PKP yang pada awalnya dirancang berakhir 31 Mac kini berlanjutan sehingga 14 April.

Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan yang tidak berkepentingan mesti ditutup sementara orang ramai hanya dibenarkan meninggalkan rumah mereka untuk alasan seperti membeli bekalan makanan.

Walau bagaimanapun, ramai individu yang telah melanggar peraturan di bawah PKP dengan keluar untuk aktiviti selain daripada kegiatan yang dibenarkan peraturan atau mengadakan perhimpunan.

Pada peringkat awal PKP, kerajaan menggunakan pendekatan berlembut dengan memberikan nasihat, kini pihak berkuasa mula mengambil tindakan lebih keras dengan menangkap mereka yang ingkar arahan perintah kawalan pergerakan.

Tiada ulasan: