"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas cadang kecilkan saiz Kabinet, buang menteri yang cetus kontroversi

MALAYSIA DATELINE
Pas mencadangkan agar kerajaan mengecilkan saiz Kabinet dengan cara membuang mana-mana menteri dan timbalan menteri yang memberikan cadangan kontroversi agar perbelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan.

Cadangan ini diberikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas ketika kerajaan berhadapan dengan kejatuhan harga minyak dan ketidakstabilan mata wang Ringgit menyebabkan senario ekonomi negara yang sangat membimbangkan.

“Mengurangkan saiz kabinet agar ia sesuai dengan nisbah negara. Menteri dan timbalan menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi boleh dibuang agar pembelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan,” kata beliau ketika.

Cadangan ini diberikan oleh beliau pada tahun 2015, namun ia sangat sesuai dilaksanakan sekarang ketika sais Kabinet yang terlalu besar tambahan pula dengan perlantikan Duta Khas bertaraf menteri.

Padahal Duta Khas itu tidak boleh lagi menjalankan tugas buat masa ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19.

“Kedudukan terkini bebanan yang dihadapi oleh rakyat sudah di tahap mencekik leher. Laporan pemberhentian pekerja oleh pelbagai sektor dengan jumlah ribuan pekerja, serta kenaikan kos hidup yang kini amat memuramkan suasana sosiopolitik negara,” tulis Tuan Ibrahim ketika itu.

Bagi beliau, ombak kemelesetan ekonomi sudah dirasai meskipun kerajaan yang suka bermain dengan nombor-nombor statistik dengan rakyat enggan mengakui secara terbuka.

“Tindakan segera ini perlu diambil untuk mengelakkan situasi panik di kalangan rakyat bawahan.

“Rakyat perlu dibebaskan daripada menampung kerajaan yang ‘high maintenance’ kerana sikap perbelanjaan pemimpinnya yang boros, membazir dan tidak ekonomi,” kata beliau.

Bagi menghadapi situasi ini, berikut ada beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan segera, termasuk mengecilkan sais Kabinet dengan memecat menteri dan timbalan menteri yang membuat cadangan kontroversi.

Antara menteri yang memberikan cadangan kontroversi ketika negara sedang menghadapi wabak Covid-19 sekarang adalah:

1. Menteri Alam Sekitar dan Air (Mewa). Antaranya beliau mencadangkan agar kementeriannya mengkaji pencemaran virus Covid-19 dalam air kumbahan.

2. Menteri Kesihatan. Menteri ini berkata meminum air suam boleh mencegahkan Covid-19. Di samping itu beliau telah mendedahkan identiti pesakit Covid-19 yang bercanggah dengan Akta Perubatan.

3. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau mencadangkan agar wanita bersolek di rumah seumpama pergi ke tempat kerja serta bersuara Doraemon ketika meleteri suami.

4. Menteri Dalam Negeri. Beliau mempertikaikan Menteri KDN sebelum ini padahal ia adalah Perdana Menteri sendiri.

5. Menteri Pengajian Tinggi. Beliau lambat memberikan arahan yang jelas kepada pelajar selepas kerajaan mengarahkan universiti ditutup akibat dari Covid-19. Akibatnya perhentian bas dan keretapi penuh sesak dengan pelajar yang ingin balik kampung yang menjadi salah satu tempat penyebaran Covid-19.

6. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Beliau telah memakai baju PPE yang sangat bernilai untuk petugas barisan depan untuk berlakon menyembur air sanitizer sambil menulis MENTERI pada dahinya.

7. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau mencadangkan agar Penerbangan Malaysia memastikan pakaian pramugarinya menutup aurat ketika masalah yang dihadapi oleh kakitangan Mas terutama pramugari adalah hilang pekerjaan kerana Covid-19.

8. Perdana Menteri. Ini kerana beliau telah melanggar arahan kerajaan yang membenarkan hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar untuk membeli belah. Sedangkan beliau membawa isterinya pergi membeli belah.

Tiada ulasan: