"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

COVID-19: Jumlah pengebumian mendadak di Jakarta cetus kebimbangan

Malaysiakini

Jumlah pengebumian di Jakarta, Indonesia meningkat secara mendadak sejak Mac lalu, mengundang kebimbangan Gabenor di badan raya itu bahawa kematian akibat wabak Covid-19 berkemungkinan lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Hampir 4,400 pengebumian direkodkan sejak Mac, iaitu 40 peratus lebih tinggi berbanding mana-mana bulan.

Mengikut data statistik Jabatan Taman dan Perkuburan yang diperolehi Reuters, jumlah kedua tertinggi adalah pada Mac 2019, di mana hampir 3,100 orang yang meninggal dunia dikebumikan di Jakarta.

Reuters memperoleh data statistik tersebut bermula dari awal tahun 2018.

Jakarta menjadi pusat jangkitan wabak Covid-19 di Indonesia, yang kini merekodkan sejumlah 971 kes positif dengan 90 kematian.

Mengikut data kerajaan pusat, ia meliputi anggaran separuh daripada kes negara terbabit.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan bersama beberapa pakar perubatan mengesyaki angka sebenar jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di Jakarta tidak dilaporkan memandangkan Indonesia merupakan salah sebuah negara yang menjalankan kadar ujian yang rendah terhadap wabak itu di dunia.

“Ia sangat menganggu,” kata Baswedan seperti dipetik laporan Reuters pada jumaat lalu merujuk kepada data pengebumian.

“Saya berusaha mencari alasan lain selain daripada kematian akibat Covid-19 yang tidak dilaporkan," katanya.

Seorang pegawai kementerian kesihatan tidak memberi respons terhadap panggilan telefon dan mesej bagi meminta penjelasan berhubung statistik pengebumian tersebut.

Jurucakap Presiden Joko Widodo juga tidak memberi maklum balas.

Data dari Jabatan Taman dan Perkuburan tidak menyatakan sebab kematian tersebut, namun tiada wabak baru atau bencana dilaporkan di Jakarta sepanjang tempoh peningkatan jumlah pengebumian tersebut.

Indonesia menggandakan jumlah pemeriksaan kesihatan sepanjang minggu lalu namun hanya terhad kepada 7,621 saringan – meliputi 260 juta rakyatnya.

Pada Jumaat lalu, kementerian kesihatan melaporkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Indonesia adalah 1,981 dengan 181 kematian, jumlah tertinggi di Asia selain China.

Khamis lalu, menerusi satu temubual sebelum Baswedan mengulas isu berkenaan, pegawai kementerian kesihatan, Achmad Yurianto mempertahankan sistem laporan dan ujian yang telah dijalankan.

Katanya, kerajaan pusat menerusi data makmal telah menggunakan teknik Polymerase Chain Reaction (PCR) dengan tepat. Bagaimanapun beliau tidak memberi respons terhadap angka pengebumian tersebut.

Protokol Covid-19.

Kakitangan hospital di Jakarta mengambil langkah khusus dalam pengurusan jenazah 438 rakyat yang disyaki meninggal akibat Covid-19 bermula 6 Mac sehingga 2 Apri, kata pejabat gabenor.

Protokol terbabit bermaksud pihak pengurusan akan melakukan disinfeksi dan membalut jenazah dengan plastik dan bukannya kain kafan seperti mengikut ketetapan agama Islam.

Indonesia merupakan sebuah negara yang mempunyai majoriti umat Islam.

Indonesia kini sedang membendung penularan wabak tersebut dengan memperkenalkan polisi penjarakan sosial, namun Presiden Joko Widodo membantah perintah berkurung yang dilaksanakan di beberapa negara kini, termasuk negara-negara jiran Indonesia.

Widodo berkata, beliau ingin melindungi golongan miskin dari kemerosotan ekonomi dan percaya rakyatnya kurang disiplin untuk menerima langkah kuarantin yang tegas.

Baswedan, pemimpin dari parti politik bertentangan dengan Widodo, melaksanakan arahan tegas di Jakarta, di mana beliau mengisytiharkan darurat dan semua sekolah serta premis perniagaan ditutup.

Bagaimanapun, langkah Baswedan untuk menyekat perjalanan bas dari Jakarta ke daerah lain bagi membendung penularan wabak tersebut ditolak oleh kerajaan pusat.

Susulan kegusaran terhadap rakyat yang tinggal di bandar berkenaan yang ingin pulang ke kampung pada bulan Ramadan, Indonesia mengumumkan pemberian tunai kepada golongan miskin supaya tetap tinggal di Jakarta.

Bagaimanapun, pemerintah menolak seruan untuk mengharamkan mudik atau balik kampung kerana kerajaan tidak mahu dilihat mengenakan langkah drakonian.

Penyebaran wabak Covid-19 kini dilihat telah tersebar di kawasan selain Jakarta.

Ia dikesan di 32 daripada 34 wilayah, dan pada minggu ini kebanyakan kes berlaku di luar Jakarta, menurut data kerajaan pusat.

Tiada ulasan: