"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kluster virus bahasa melampaui batas lupa di mana bumi dipijak

ARIF ATAN

Walaupun nampak remeh, singkatan kementerian daripada bahasa Inggeris bukan ciri seorang negarawan.

Vivy. Nama kementerian MEWA yang kebetulan bermaksud bingung dan bodoh dalam bahasa Melayu. Menteri Sumber Manusia guna tulisan Tamil lengkap Jata Negara.

Sebelum ini, galak mahu paksa Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diiktiraf. Tulisan Cina dalam urusan rasmi dan papan tanda jalan.

Persamaannya: Mereka boleh dianggap kluster virus bahasa yang telah melampaui had nilai hidup bernegara. Mereka tidak mengikut resmi padi makin berisi makin tunduk.

Mereka tidak bersikap di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Khusus bagi orang politik, mereka langsung tidak memiliki nilai seorang negarawan dan wajar sekali ‘digam’ terus daripada undian rakyat nanti.

Jasad mereka sahaja di Malaysia. Timbun harta dan kumpul kuasa di negara ini tetapi jiwa di Amerika Syarikat, Tamil Nadu dan Hong Kong. Lebih menghina, nama keluaran tudung untuk sasaran Muslim yang majoritinya adalah orang Melayu pun guna nama Inggeris.

Padahal, ramai tauke bukan Melayu kaya-raya berniaga barangan makanan di Malaysia hanya guna nama Melayu sahaja untuk produk mereka. Tidak pula jenama makanan mereka ‘The Palace’ atau ‘The Village’ tetapi Cap Istana, Cap Kampung yang ada di rak pasaraya.

Lebih teruk, mereka yang rasa hebat jadi ‘makhluk asing’ ini cuba meng-‘amerika’, ‘tamil nadu’ dan ‘hong kong’ -kan tanah air yang dunia Barat sejak ratusan tahun lampau kenal sebagai ‘Malay Archipelago’.

Mereka buat perangai yang jauh daripada nilai kebudayaan yang disepakati bersama. Kluster atau kelompok virus bahasa ini selamba menonjolkan nilai keterasingan dengan tampil berbahasa yang membenam jati diri sebahagian besar rakyat di tanah air ini.

Itulah sebabnya penting kita semua, sama ada orang dalam bidang hiburan, perniagaan mahupun politikus mengutamakan penggunaan bahasa Melayu apa lagi berhubung di media sosial lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi.

Bahasa Melayu itu pula bukan guna secara selekeh penuh kata nista. Wajib merendah diri, tidak sombong dan bertoleransi kerana sifat-sifat itulah menonjolkan kebijaksanaan. Kalau tidak, jadilah seperti deretan “selebriti Melayu” yang bising tentang bantuan kerajaan khusus kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga dikecam secara berjemaah oleh warga maya.

Ahli perniagaan dan ahli politik mesti tampil merendah diri dengan membudayakan bahasa Melayu yang murni.

Milik semua

Bahasa Melayu bukan hanya milik orang Melayu. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia bahkan dalam konteks dunia serba terbuka ini bahasa Melayu juga adalah milik dunia.

Memencilkan bahasa Melayu dengan menganggap bahasa Inggeris lebih bagus dan nampak pandai lagi lebih ‘class’ seperti lazim dilakukan sejumlah besar menteri sejak dulu lagi lahir daripada minda lemah lagi tertawan jauh sekali sifat sejati seorang negarawan.

Ingat, bahasa Melayu bukan lekeh seperti golongan “I sound stupid when I speak Malay” imankan. Hanya sama ada orang itu termasuk orang Melayu sendiri benar-benar ada percaya diri sama seperti warganegara Perancis dan Jerman yang berbangga dengan bahasa mereka.

Alleycats, Francissca Peter, Louisa Chong, Jaclyn Victor, Elizabeth Tan (nama manjanya Lizzy), Alvin Chong dan Sean LJE adalah contoh rakyat Malaysia sejati yang faham tentang di mana bumi dipijak.

Mereka tidak dikecam orang ramai malah sebaliknya mereka nampak lebih bijak dan diterima baik dalam industri hiburan di Malaysia. Malah, memang ada catatan Inggeris dahulu bahawa, seseorang itu nampak bijak apabila bercakap dalam bahasa Melayu.

Hairannya, mengapa Vivy cakap Melayu lebih pelat daripada Lizzy?

Begitu juga, Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong dan Tan Sri Lee Lam Thye (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka tidak meninggi diri malah bertutur murni dan faham nilai hidup bermasyarakat di negara ini.

Bahasa membawa bersama-samanya nilai budaya. Membudayakan bahasa Melayu secara tidak langsung melenturkan jiwa menjadi lebih merendah diri, bersopan, menghormati orang lain, berdiplomasi dan timbang rasa yang tinggi.

Itu sebab munculnya ungkapan “tak reti bahasa” atau peribahasanya, “Bodoh tidak dapat diajar, cerdik tidak dapat diikut.” Vivy bolehlah #DudukRumah belajar kembali dengan anak-anaknya tentang khazanah kekayaan makna segala perumpamaan dan peribahasa Melayu ini.

Cakap bahasa rojak, cakap Melayu tergeliat lidah kalah orang putih, itu mengada-ngada, mahu tunjuk bagus tetapi hakikatnya bebal kerana tidak mengikut resmi padi.

Ramai orang bijak pandai menguasai pelbagai bahasa dunia bukan sekadar bahasa Inggeris. Molek sahaja mereka bercakap Melayu apabila kena pada tempatnya dengan fasih lagi tertib tanpa banyak dicemari bahasa Inggeris.

Datuk Mahadzir Lokman, contohnya. Allahyarham mampu bertutur bahasa Perancis, Sepanyol, Portugis, Jepun dan Itali, selain Inggeris tentunya.

Pernah kita dengar ketika hayatnya dahulu, lidahnya kejang mahu cakap bahasa Melayu apabila tampil ditemubual di stesen TV?

Elizabeth Tan antara selebriti yang merendah diri dan anggun apabila menyanyikan lagu Melayu.

Perkauman

Guna tulisan Cina dan Tamil pada Jata Negara itu sebenarnya perkauman kerana menonjolkan identiti kaum menenggelamkan identiti nasional yang hanya terletak pada bahasa kebangsaan.

Sama juga apabila sudah menjadi pemimpin kerajaan Malaysia tetapi Facebook rasmi dibanjiri dengan tulisan bukan bahasa rasmi negara ini. Itu hanya mencipta jarak sosial tanpa PKP dilaksanakan pun.

Walhal, kebanyakan rakyat termasuk bukan Melayu tidak faham. Bukan semua orang Cina boleh baca tulisan Tamil. Bukan semua orang India faham bahasa Cina.

Sebaliknya, bahasa Melayu rasmi yang bukannya laras seperti Sasterawan Negara, semua orang faham atau wajib faham. Kalau hanya faham bahasa Inggeris sahaja, sila lepaskan sahaja kewarganegaraan Malaysia anda. Berhijrahlah jadi rakyat Amerika. Mungkin boleh hidup bahagia di sana!

Apa lagi memaksa UEC diiktiraf atau tunduk pada paksaan yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan. Itu sudah terang lagi bersuluh satu pengkhianatan besar kepada negara.

Pihak yang memaksa boleh dianggap lahir daripada sikap angkuh menganggap identiti kaumnya lebih baik berbanding identiti kebangsaan. Pihak yang tunduk pada paksaan itu pula tiada iltizam politik (political will) juga terjemahan daripada minda tertawan dan kerdil jati diri.

Jadilah seperti Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Datuk Seri Siti Nurhaliza atau bagi orang politik boleh mencontohi Tan Sri Dr Rais Yatim atau Datuk Seri Mohamad Hasan yang mesra dipanggil Tok Mat (sekadar contoh).

Mereka secara psikologinya lebih dekat dengan jiwa rakyat. Mereka bertutur mengikut resmi orang Melayu bahkan marhaen bukan Melayu sekali pun. Bicara mereka dekat dan rakyat marhaen tidak rasa terasing walaupun mereka adalah elit politik.

Dalam bidang seni, P.Ramlee bukanlah Melayu yang ‘Islamik’ tetapi disayangi ramai orang. Karyanya diminati tanpa mengira anutan agama dan kaum. Walaupun Siti pada awal kemunculan di pentas hiburan tidak bertudung, penampilannya sopan.

Rais Yatim dan Tok Mat pula walaupun bukan dari ‘parti Islam’ tetapi gaya cakapnya di khalayak ramai tetap mesra di telinga rakyat juga tidak canggung dengan nilai budaya politik Melayu.

Mereka umumnya bersederhana. Kesederhanaan mereka membuatkan mereka dekat dengan jiwa sebahagian besar rakyat negara ini. Tutur kata mereka halus walau ada ketika tegas apabila keadaan memaksa.

Rais Yatim dikenali sebagai pemimpin yang menuturkan bahasa Melayu dengan tersusun lagi murni.

Kalau mahu banding Vivy dengan Ella pun jauh panggang dari api. Ella pun ada sisi mengada atau gediknya. Tapi mengada manja Ella umumnya orang ramai masih boleh terima sebab kata-kata yang diucapkannya tidak pernah nampak meninggi diri.

Walaupun Ella digelar Ratu Rock Malaysia dan penyanyi Malaysia pertama yang berjaya merakamkan album penuh di Amerika Syarikat, ada Ella bercakap buat-buat pelat lidah ‘orang putih’ atau maki hamun orang lain? Ada Ella melampaui batas tunjuk gaya hidup mewahnya?

Mungkin Vivy tidak kenal Ella. Tahap mengada Ella dulu sekadar terlentok kepala ke kiri kanan dengan rambutnya mengurai. ‘Ella rasa…’.

Kalau Vivy layan lagu-lagu Ella, contohnya, “Sepi Sekuntum Mawar Merah” (Penulis: Fauzi Marzuki / Lukhman S) dan “Sembilu” (Saari Amri) yang bermutu bahasa Melayunya, Vivy hari ini tidak perlulah sampai terpaksa buat ‘challenge’ berbahasa Melayu dalam sehari. Memang minta kena kecam sangat. Awak tu Melayu! Alahai!

Walaupun bergelar Ratu Rock Malaysia, Ella tidak menerima kecaman orang ramai sepanjang kariernya kerana tidak meninggi diri.

Tiada ulasan: