"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Jangan mandat dicari rakyat pula makin benci'

Seorang ahli parlimen Amanah berkata Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuka ruang untuk menghadapi musuh baru sebaliknya penting untuk mereka memberikan fokus ke arah sasaran yang sama.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof, berkata satu musuh sudah mencukupi untuk dihadapi PH dalam usaha gabungan berkenaan menjadi kerajaan semula.

Justeru kata Mujahid, mana-mana pihak atau individu yang mahu menyertai usaha PH itu melawan musuh yang sama perlu diterima tanpa mengetepikan sikap berhati-hati.

"Sebab itu perjanjian hitam putih sangat penting. Jangan lepaskan peluang membina kekuatan untuk berhadapan musuh kita yang semakin lemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun tidak memetik sebarang nama atau kejadian secara khusus Mujahid dipercayai mengulas mengenai perkembangan semasa politik negara yang menyaksikan kemelut melanda PH ketika gabungan itu dan beberapa ahli parlimen lain mencari persetujuan calon perdana menteri.

Ketika PKR bertegas mahukan presiden mereka, Anwar Ibrahim, menjadi calon perdana menteri untuk ditawarkan kepada ahli-ahli parlimen lain, DAP dan Amanah pula cenderung untuk bertolak ansur dengan menaikkan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi.

Pencalonan Mahathir diyakini dapat menarik sokongan ahli parlimen lain yang kini menyebelahi Perikatan Nasional (PN) termasuk dari Sarawak dan Sabah.

Jika ada niat mengkhianati

Beberapa ahli parlimen dari Semenanjung Malaysia juga diyakini akan mengalih sokongan mereka daripada PN.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini didakwa mendapat sokongan majoriti tipis saja di Dewan Rakyat dan sebarang perubahan sikap ahli parlimen boleh membawa kepada kejatuhan PN.

Pada masa sama Umno-BN juga dilihat lebih menumpukan gerak kerja mereka kepada Muafakat Nasional yang dibentuk secara rasmi dengan PAS.

Sokongan Amanah dan DAP kepada Mahathir menimbulkan tanda tanya serta keresahan dalam kalangan penyokong mereka kerana ia tidak dipersetujui PKR.

Mujahid berkata untuk mengembalikan mandat yang diberikan rakyat kepada PH, gabungan itu tidak sepatutnya berpecah sekali gus memberikan kekuatan kepada PN.

Asas sebenar yang perlu diberi penekanan, kata naib presiden Amanah itu, ialah mengembalikan mandat rakyat kepada PH.

Pada masa sama, kata Mujahid, apa yang berlaku pada PH sedang diperhatikan orang ramai dan kegagalan menguruskannya dengan baik menyebabkan rakyat menjadi muak.

"Lupakan sengketa, ikat kebimbangan dengan janji, biar jelas keingkarannya nanti jika ada niat untuk khianati.

"Mana janji kita untuk kembali? Jangan nanti mandat yang dicari, rakyat pula dah mula benci!" katanya.

Pemimpin AMANAH pilih pilihan kedua setelah pilihan pertama mendapat sokongan, bukan kerana gilakan kerusi empuk

Kenyataan Pengarah Komunikasi AMANAH adalah pendirian rasmi parti
Dr ZAIDI ZAKARIA


Pengarah Komunikasi AMANAH adalah YB Khalid. Antara tugas Pengarah Komunikasi adalah menyampaikan (komunikasi berkesan) keputusan rasmi parti. Pengarah Komunikasi tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan rasmi parti.

AMANAH mengamalkan Konsep Syura atau persetujuan bersama, atau konsensus dalam menentukan halatuju, perjalanan dan keputusan parti. Dalam ertikata lain, tiada keputusan individu atau ‘one-man show’ dalam AMANAH.

Keputusan pilihan pertama mencalonkan DS Anwar, dan pilihan kedua Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH Plus adalah keputusan rasmi AMANAH.

Dua pilihan dibuat kerana menyedari keputusan dua kali pengundian 222 Ahli Parlimen di Istana Negara calon pilihan pertama PH , DS Anwar tidak mendapat undian atau sokongan 112 Ahli Parlimen. Jika pilihan pertama gagal, kita perlu bersedia dengan pilihan kedua.

Mandat Rakyat dalam PRU14 adalah kepada PH + Warisan. PH pula terdiri dari 4 parti; PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu.

Mereka yang mengkhianati mandat ini adalah Bersatu dan 11 MP dari PKR. Kerana pengkhianatan ini, Kerajaan PH + Warisan ini tersungkur!

Usaha mengembalikan mandat PRU14 ini adalah usaha mengembalikan PH + Warisan ke Putrajaya, iaitu anggota asal yang diberi mandat oleh rakyat dalam PRU14 yang lepas. Terkecuali mereka yang khianat, Bersatu dan 11 MP PKR.

Sebagaimana yang kita sedia maklum (keputusan 2 kali undian di Istana), jika PH bergantung semata-mata kepada jumlah ahli parlimen PH @ PKR, DAP dan AMANAH, PH tetap akan gagal dengan 92 undi, iaitu kurang 20 dari 112.

Maka PH perlu undi atau sokongan dari luar PH. Ini yg “membelenggu” PH, kerana sokongan dari luar PH ini tidak memihak kepada DS Anwar, sebaliknya kepada Tun Mahathir.

Setelah gagal pilihan pertama dipilih @ DS Anwar, AMANAH mengambil kaedah Fiqh dalam mempertimbangkan dua pilihan;

Tun M sebagai PM (PH Plus sebagai Kerajaan), atau

TS Muhyidin sebagai PM (Umno BN + Pas sebagai Kerajaan)

AMANAH percaya, Tun M sebagai PM (PH Plus sebagai Kerajaan) boleh melakukan atau melaksanakan Agenda Reformasi untuk negara dan rakyat walaupun bukan 100%, lebih baik berbanding TS Muhyidin sebagai PM (Umno BN + Pas sebagai Kerajaan). Bahkan AMANAH melihat Kerajaan PN ini lebih buruk dari Kerajaan Kleptokrasi yang lalu.

Itulah pertimbangan AMANAH, bukan kerana gila meroyan jawatan menteri! Tuduhan sebegitu adalah tidak berasas!

Hakikatnya, mereka dari AMANAH ini sangat konsisten setiakawan, terutama terhadap PKR sejak peristiwa 1998 ketika mereka sebagai pemimpin utama Parti Pas. Sejak PRU 1999 hinggalah PRU 2018, mereka ini tetap menobatkan DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Apa jua langkah-langkah politik PKR, disokong tanpa berbelah bagi atas semangat kebersamaan dan setiakawan. Bahkan lahirnya AMANAH adalah kerana mempertahankan prinsip dan setiakawan bersama PKR dan DAP susulan Langkah Kajang.

Hingga ke saat ini, semangat kebersamaan dan setiakawan itu tetap dipegang dengan kuat dan erat. Jangan jadikan sedikit perbezaan pendapat dan pertimbangan ini, AMANAH dikecam sebagai hilang semangat setiakawan dan gila jawatan.

Tiada masalah tidak bersetuju dengan pandangan, pertimbangan dan keputusan Amanah, tetapi jangan mengecam kami dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”

'Anwar jumpa Muhyiddin, Hamzah bawa agenda reformasi'

Ng Xiang Yi

Pimpinan pusat dan anggota parlimen PKR bersetuju untuk memberi ruang dan kebebasan yang secukupnya kepada presiden parti, Anwar Ibrahim untuk berunding dengan sesiapa sahaja dalam usaha mengembalikan kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Ketua Whip PKR, Johari Abdul, keputusan ini dibuat setelah PKR bertekad untuk menolak Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.

“Kita putuskan untuk bagi ruang, bincanglah dengan sesiapapun untuk dia (Anwar) bawa balik kerajaan PH termasuk Mahathir,” katanya apabila dihubungi oleh Malaysiakini.

Johari yang juga ahli parlimen Sungai Petani turut mengesahkan bahawa Anwar sebelum ini telah berjumpa dengan beberapa pemimpin di "blok sebelah”.

Kata Johari, Anwar memaklumkan perkara itu pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR yang dibuat secara dalam talian pagi ini.

Antara nama pemimpin yang disebut termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan pemimpin kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, kata Johari, Anwar tidak mengulas lanjut hasil perbincangan dalam mesyuarat pagi ini.

“Dia jumpa Muhyiddin dan Hamzah. Dia jumpa banyak orang, kecuali (bekas perdana menteri) Najib Razak saja dia tak jumpa.

"Kami masih bawa agenda reformasi, perjumpaan tidak semestinya setuju dengan dia orang. Juga tidak bermaksud mereka setuju dengan kita.

"Tapi kita mesti jual agenda reformasi,” kata pengerusi PKR Kedah itu.

Selain itu, seorang ahli parlimen PKR yang tidak ingin didedahkan namanya turut mengesahkan Anwar memang menyebut beliau pernah berjumpa dengan Muhyiddin dan Hamzah.

Bagaimanapun, sumber PKR tersebut berkata, hasil dan perincian perjumpaan itu tidak diketahui.

“Dia sebut nama-nama ini kerana dia tahu Mahathir ada jumpa dengan pemimpin blok yang lain juga seperti (bekas timbalan presiden PKR) Azmin Ali dan Presiden PAS Hadi Awang.

“Dia ada mengeluh sikit bahawa kenapa perbuatannya dipertikai oleh pihak lain tetapi tiada pulak orang yang pertikai Mahathir,” kata sumber tersebut.

Cari kemungkinan lain

Seorang lagi pemimpin PKR beranggapan bahawa perjumpaan dengan pemimpin yang berbeza adalah satu kebiasaan untuk melobi lebih banyak sokongan ahli parlimen yang lain.

“Sebab kita sudah menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri, maka kita perlu mencari kemungkinan yang lain untuk menambah sokongan.

"Anwar kata, cuma seorang saja dia tak jumpa, iaitu Najib.

“Ini memang perkara biasa. Cuma setahu kami, perjumpaan di Sarawak hari itu macam tidak berhasil,” tambahnya.

Sebelum ini PKR dalam satu kenyataan menyatakan pendirian mereka menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri PH Plus.

PH Plus merujuk gabungan antara PKR, DAP, Amanah, Warisan serta Mahathir dan bekas ahli parlimen Bersatu yang menyokong bekas perdana menteri itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PKR, pemimpin pusat dan anggota parlimen PKR menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri sekali lagi dan kekal dengan pendirian agar presiden mereka menjadi calon perdana menteri.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya”.

Namun, DAP dan Amanah mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia menyebabkan pilihan kedua, iaitu Dr Mahahir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Anwar sebagai PM gagal mendapat sokongan GPS

DAP dan Amanah mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia menyebabkan pilihan kedua, iaitu Dr Mahahir Mohamad sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Dalam kenyataan bersama pemimpin parti itu petang ini, DAP dan Amanah mendedahkan pilihan pertama hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 anggota parlimen.

Jumlah itu melibatkan 91 sokongan anggota parlimen Pakatan Harapan (38 PKR, 42 DAP dan 11 Amanah) dan lima dari Bersatu, termasuk Mahathir.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook, yang juga dua bekas menteri dalam kabinet Mahathir sebelum ini.

Khalid dan Loke juga mendedahkan usaha terakhir Anwar untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya.

Tambah mereka, tempoh masa dipersetujui bagi merungkai kebuntuan itu juga telah tamat dan gagal mendapat sokongan cukup.

“Kami berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui opsyen kedua boleh seterusnya dilakukan sepertimana dipersetujui kerana pentadbiran kerajaan PN jelas mendatangkan kerosakan kepada institusi dan kewangan negara,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini PKR dalam satu kenyataan menyatakan pendirian mereka menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri kesembilan PH Plus.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan parti itu, pemimpin pusat dan anggota parlimen PKR menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri sekali lagi dan kekal dengan pendirian agar presiden mereka menjadi calon perdana menteri.

Perkara itu disuarakan selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR di atas talian pagi tadi.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya”.

Dalam pada itu, menurut Khaid dan Loke, DAP serta Amanah menghormati pendirian PKR yang mahukan Anwar dicalonkan sebagai bakal perdana menteri.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu menegaskan bahawa mesyuarat PH telah bersetuju sekiranya keputusan mencalonkan Anwar memungkin mereka untuk merampas Putrajaya, usaha diteruskan dengan pilihan kedua mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar timbalan.

Oleh itu DAP dan Amanah berharap usaha untuk mendapatkan sokongan melalui pilihan kedua seperti mana dipersetujui dapat dilaksanakan.

"Memandangkan ianya opsyen yang pernah dibincang dan dipersetujui untuk dipertimbangkan bersama, sekiranya opsyen satu gagal mendapat sokongan yang mencukupi, diharapkan PKR kembali kepada keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 30 Mei 2020," katanya lagi.

Letak jawatan selepas 17 hari: Kalau tiada apa-apa, masakan tempua bersarang rendah

MALAYSIA DATELINE
Tindakan Datuk Seri Noh Omar meletakkan jawatan Pengerusi MISC selepas 17 hari dilantik menjadi tanda tanya di kalangan pelbagai pihak bahkan di kalangan pengkaji politik.

“Kalau tidak ada-ada, masakan tempua bersarang rendah,” tulis bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk Kadir A Jasin.

“Kalau tidak apa-apa, takkan baru 17 hari, letak jawatan dah?” kata Kadir melalui tulisan dalam facebook beliau.

Menurut The Star, Noh Omar letak jawatan Pengerusi MISC selepas berbincang dengan Perdana Menteri.

“Ini misteri sebab pada masa para panglima perang Perikatan Nasional berlumba-lumba dapatkan jawatan tinggi dalam GLC, Noh tiba-tiba mengundurkan diri.

“Kenyataan MISC – sebuah syarikat milik Petronas – tidak bagi sebab Noh berhenti,” tulis bekas Ketua Pengarang Media Kumpulan NST itu.

MISC Bhd mengumumkan bahawa Tan Sri Noh Omar yang baru saja dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pada 1 Jun lalu telah meletak jawatan, berkuatkuasa 17 Jun 2020.

“Tan Sri Noh Omar telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan selepas berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noh berharap Lembaga MISC dan pengurusannya akan mencatatkan kejayaan dalam usaha menerajui syarikat itu ke tahap yang lebih tinggi.

Sebaliknya, Lembaga Pengarah MISC turut memberikan harapan yang sama ke atas Noh dalam usaha dan masa depan beliau.

MISC adalah perkhidmatan serta penyelesaian maritim yang berkaitan dengan tenaga antarabangsa terkemuka.

PKR tolak Mahathir sebagai calon PM

Pemimpin-pemimpin pusat dan anggota parlimen PKR menolak Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.

Perkara itu disuarakan dalam kenyataan mereka sebentar tadi, selepas mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR di atas talian pagi ini.

“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” katanya.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya”.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke sebelum ini menggesa PKR menyatakan pendirian berhubung tawaran kombinasi Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri seperti dibincang dalam mesyuarat PH Plus.

PH Plus merupakan nama yang kini digunakan merujuk gabungan PKR, Amanah DAP dan Mahathir dan penyokongnya, serta Warisan.

Dr Mahathir sebelum ini dikatakan mencadangkan agar beliau diberi enam bulan untuk memimpin sebagai perdana menteri sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

Menurut Loke, cadangan itu diterima oleh DAP dan Amanah.
Bagaimanapun, cadangan itu tidak disenangi oleh PKR yang mendakwa bahawa bekas perdana menteri itu sebagai tidak konsisten dalam konsensus sebelum ini, yang menetapkan Mahathir perlu menyerahkan jawatannya kepada Anwar selepas dua tahun ketika kerajaan PH mengambil alih pentadbiran pada 2018.

Kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan, selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar PH, selain bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya yang turut mengambil langkah sama.

Sementara itu, PKR juga memberitahu bahawa parti itu terus komited bersama dalam gabungan PH.

"PKR komited untuk terus mengukuhkan PH, dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya dalam masa terdekat.

"Pada masa yang sama PKR akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa," kata kenyataan itu lagi.

AMANAH tidak lupa jasa Anwar, calon PM mesti mampu raih lebih ramai sokongan MP

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador dianggap sebagai tidak matang apabila menggelar rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) tidak mengenang budi berhubung pendirian mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) kesembilan.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menegaskan, AMANAH sama sekali tidak pernah melupakan jasa Presiden PKR itu.

Malah katanya, ahli Parlimen AMANAH jugalah yang bersama PH mencadangkan Anwar sebagai PM kelapan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 26 Februari lalu.

“Namun, situasi sekarang berbeza dan itulah dinamika politik. Keputusan untuk mengambil semula pentadbiran di Putrajaya adalah penting agar tadbir urus baik dapat dikembalikan.

“Lebih penting, agenda pemulihan ekonomi dapat diteruskan, perjuangan membela rakyat dipertahankan dan prinsip integriti juga keadilan ditegakkan,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, Farhash meluahkan kekecewaannya dan berkata, DAP dan AMANAH harus menyatakan pendirian untuk bersama-sama Anwar yang selama ini teguh bersama mereka.

Katanya, selama ini Anwar berdepan pelbagai cabaran dan tohmahan sehingga dilabel terlalu liberal kerana kesetiaan terhadap hubungan baik dengan DAP.

“Berhentilah bersikap terdesak. Inikah cara kamu bayar harga sebuah setiakawan yang dibina lebih 20 tahun?

“DAP dan AMANAH sepatutnya berdiri teguh di belakang seorang lelaki yang bersama-sama mereka selama ini,” kata Farhash dalam satu kenyataan semalam.

Membuka laluan

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Adun Permatang Pasir itu berkata, bagi membolehkan PH membentuk kerajaan semula, calon PM perlulah mampu mendapat sokongan lebih ramai ahli Parlimen yang bukan daripada gabungan sendiri.

Ini kerana katanya, ahli Parlimen PH hanyalah sekitar 92 orang dan tidak cukup untuk membentuk kerajaan mengikut peruntukan dalam Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, di sini timbul cadangan supaya Tun Mahathir dicalonkan sebagai PM dan Anwar sebagai TPM kerana dikatakan sokongan kepada Tun Mahathir melebihi jumlah 112 jika PH memberikan sokongan sepenuhnya.

“Namun, ini bukanlah bermakna AMANAH tidak mencalonkan Anwar sebagai PM.

“Tempoh menjadi TPM inilah masa paling sesuai untuk Anwar mengumpul lebih banyak sokongan ahli Parlimen dan meraih kembali kepercayaan rakyat kepada PH.

“Tempoh menjadi TPM inilah masa paling sesuai untuk Anwar mengumpul lebih banyak sokongan ahli Parlimen dan meraih kembali kepercayaan rakyat kepada PH.

“Ia akan membuka laluan kepada Anwar diangkat sebagai PM dengan lebih mudah dan licin,” kata Faiz yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.

Pada masa ini, PH Plus (PH+) dikatakan masih buntu untuk mencapai persetujuan mengenai calon PM sama ada Mahathir atau Anwar.

Anggota PKR dikatakan sukar untuk memberi kepercayaan kali kedua kepada Mahathir selepas banyak tindakan yang dianggap sabotaj terhadap parti itu khususnya kepada Anwar sejak PRU-14.

Namun, DAP mendedahkan perbincangan PH Plus menyaksikan Warisan menolak cadangan Anwar sebagai PM manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Warisan ketika ini juga hanya bersetuju memilih Mahathir sebagai PM kerana percaya Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan itu boleh meraih sokongan ahli Parlimen yang lain untuk membentuk majoriti.

Dalam pada itu, Faiz mengingatkan agar PH segera memutuskan calon PM kesembilan agar ahli mengetahui arah tuju blok politik itu dalam usaha mendapatkan kembali kerajaan Persekutuan.

Keputusan tersebut katanya, perlu dibuat secara bersama memandangkan kekuatan yang ada pada PH adalah kemampuan membuat keputusan secara konsensus dan kesepaduan itu perlu diteruskan.

Menurut peguam berkenaan lagi, semakin lama isu peralihan kuasa itu berlarutan maka lebih lama kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus berkuasa.

“Jika benar kita menentang kerajaan pintu belakang yang telah merampas mandat rakyat ini, pimpinan PH perlu segera selesaikan isu ini supaya mandat rakyat dikembalikan,” ujar Faiz lagi.

Sebelum ini, sayap Pemuda AMANAH mahukan agar Mahathir dan Anwar berada dalam satu Kabinet PH Plus memandangkan kelebihan yang dimiliki kedua-dua tokoh tersebut.

Penganalisis politik dan bekas kolumnis akhbar Mingguan Amanah, Ahmad Lutfi Othman pula menyifatkan bukan isu siapa boleh menjadi PM terbaik sebaliknya siapa yang boleh mendapat cukup jumlah sokongan.

Beliau berpendapat tiba giliran dan tanggungjawab Mahathir untuk mendapatkan kembali kerajaan selepas Ahli Parlimen Langkawi itu ‘ditendang’ keluar tanpa perancangan pada Februari lalu.

Calon PM PH Plus: Siapa calon siapa Saifuddin Nasution Ismail

Saya terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan berkenaan usaha Pakatan Harapan (PH) mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa rakan PH telah mengemukakan beberapa persoalan serta memberi sedikit penerangan tentang perbincangan PH dan gabungan yang disebut Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

Pada masa yang sama PKR sentiasa menghormati dan menghargai sokongan dan dokongan parti dan individu dari DAP dan AMANAH sepanjang dua dekad perjuangan.

Bagi maksud menjelaskan garis masa dan konteks perbincangan, di sini saya ingin memberi penjelasan seperti berikut.

30 Mei

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk membentangkan cadangan PH mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-9 kepada Dr Mahathir Mohamad.

1 Jun

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan saya telah menjadi wakil Majlis Presiden PH dalam pertemuan bersama Dr Mahathir. Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir tidak menolak cadangan Anwar sebagai calon Perdana Menteri, dan memaklumkan bahawa beliau perlu berbincang dengan ahli-ahli parlimen Bersatu yang bersama beliau serta Presiden Warisan, Shafie Apdal. Tiada opsyen lain yang dibentang atau dibincangkan pada waktu itu.

3 Jun

Majlis Presiden PH telah bermesyuarat dan memutuskan bahawaAnwar perlu bertemu dengan Shafie untuk berbincang dan memaklumkan keputusan PH mencalonkan nwar sebagai Perdana Menteri dan satu mesyuarat pimpinan utama PH Plus perlu diadakan.

4 Jun

Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Shafie dan memaklumkan keputusan PH.

9 Jun

Mesyuarat PH Plus telah diadakan di Ibu Pejabat PKR. Pada mesyuarat ini, semua wakil parti komponen PH telah mengangkat hujah Anwar sebagai calon Perdana Menteri, manakala Dr Mahathir telah memohon agar diberi masa enam bulan sebagai Perdana Menteri. Beliau juga berkata Anwar tidak boleh diterima sebagai PM kerana beliau memimpin parti berbilang kaum; Anwar menjawab dalam senario ini bila berlaku peralihan, selepas tempoh enam bulan itu Anwar masih presiden sebuah parti berbilang kaum. Mesyuarat memutuskan tempoh seminggu untuk membuat keputusan.

12 Jun

Majlis Presiden PH sekali lagi bermesyuarat dan bersetuju menghantar wakil terdiri Khalid Samad, Shamsul Iskandar dan Anthony Loke untuk berjumpa Shafie dan Dr Mahathir.

13 Jun

Mesyuarat PH Plus telah diadakan, di mana semua wakil parti komponen PH mengangkat hujah Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Kali ini Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau masih mohon dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tetapi enam bulan tidak mencukupi. Beliau berhujah bahawa sekurang-kurangnya 12 bulan diperlukan untuk membetulkan masalah yang dilakukan bukan sahaja oleh Najib Razak, tetapi juga yang kini dilakukan oleh Muhyiddin Yassin.

Shafie Apdal pula menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan enam bulan seharusnya mencukupi. Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan PH kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Selesai mesyuarat PH Plus, perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH telah diadakan dengan persetujuan keputusan dibuat pada Selasa, 16 Jun. Pada hari berkenaan saya telah memaklumkan kepada Mohamad Sabu dan nthony Loke bahawa Anwar membuat kunjungan ke Sarawak dan mesyuarat PH perlu ditangguhkan.

Oleh yang demikian, adalah tidak benar jika ada sumber yang menceritakan bahawa PH mengangkat nama selain Anwar dalam siri perbincangan PH Plus. Sebaliknya nama Dr Mahathir dicadang sendiri oleh beliau dan Shafie memberi sokongan. Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat PH Plus.

Majlis Pimpinan Pusat PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan esok, 19 Jun dan pendirian parti akan dimuktamadkan.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL adalah setiausaha agung PKR dan juga ketua setiausaha PH.

Nak lawan ke nak kawan dengan Tun M, keputusan kena buat cepat

BORHAN AHMAD
Para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) diminta membuat keputusan segera untuk menukar kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau terus kekal sebagai pembangkang.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, keputusan ini perlu dibuat kerana semakin lama mereka berbalah antara satu sama lain untuk menentukan siapa bakal perdana menteri, semakin selesa kedudukan kerajaan yang mereka dakwa dibentuk dari pintu belakang ini.

“Kena buat keputusan segera, nak berkawan (dengan Tun Dr Mahathir) atau nak lawan. Kita kena buat keputusan segera,” kata Khalid dalam temuramah secara langsung dengan tv internet Jom Channel malam tadi.

Ini berikutan kecenderungan dari penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang yang menyerang Dr Mahathir dan bertegas mahukan Anwar sebagai calon PM.

Khalid menegasnya, semua parti dalam PH sepakat bahawa Anwar adalah calon Perdana Menteri mereka, namun jika tidak boleh buat masa sekarang, pilihan kedua adalah Tun Dr Mahathir dengan Anwar sebagai timbalan.

Khalid berkata, pilihan kedua itu adalah untuk membolehkan kerajaan PH dibentuk semula sebagaimana mandat rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.

“Kita cadang Tun Dr Mahathir untuk jadi PM selama enam bulan, selepas itu Anwar akan mengambil alih. Ini pilihan kedua yang kita persetujui dalam mesyuarat bersama,” kata Khalid dalam temubual itu.

Ekoran itu, Khalid mengaku para penyokong Anwar tidak bersetuju dengan pilihan kedua itu dan menyerang Tun Dr Mahathir.

“Saya tidak bersetuju dengan pendekatan ini. Kita hendak berkawan dengan semua, kenapa kita perlu serang orang yang kita nak berkawan,” kata Khalid.

Menurut Khalid, apa yang cuba dibuat adalah untuk mencukupkan bilangan penyokong di kalangan Ahli Parlimen untuk menukar kerajaan yang ada kepada PH kembali.

“Kita ada sekarang 107 sebagaimana dinyatakan Anwar. Kita perlukan sekurang-kurangnya 115, sebagaimana kerajaan PN dibentuk Muhyiddin. Kita harapkan, penyokong Tun Mahathir dalam Bersatu kembali balik sokong beliau jika beliau jadi PM dan cukupkan bilangan itu,” kata Khalid.

Beliau juga menjelas, cadangan Dr Mahathir hanya enam bulan dipersetujui secara sebulat suara dalam mesyuarat PH serta Warisan dan Tun Dr Mahathir sebelum ini.

“Dalam satu mesyuarat ada cadangan supaya Dr Mahathir kekal sebagai PM sehingga habis penggal namun Shafie sendiri bertegas agar persetujuan sebelum ini tidak dirombak balik.

“Sebelum Anwar marah, saya sendiri akan marah Tun, kata Shafie dalam mesyuarat itu,” beritahu Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata, beliau sendiri mencadangkan selepas Anwar mengambil alih sebagai PM, Tun Dr Mahathir perlu kekal dalam Kabinet kerana “Kita hendak berkawan bukan hendak berlawan.”

“Kita tidak boleh layan Tun sebagaimana Pak Lah dan Najib layan Tun dahulu,” kata Khalid.

Berhubung dengan pandangan penyokong Anwar lebih baik kekal sebagai pembangkang berbanding dengan menjadi kerajaan dengan Tun Mahathir sebagai PM, Khalid berkata, semua penyokong PH perlu mengikut sunnah Rasulullah dalam membuat sesuatu keputusan.

“Kita kena pilih yang terbaik dari pilihan yang ada. Ini berlaku dalam perjanjian Hudaibiyah sehingga para Sahabat Nabi membantahnya namun Nabi bersetuju dengan perjanjian itu hatta membuang nama Muhamad Rasulullah dengan nama Muhammad sahaja selepas dibantah oleh musuh Nabi,” kata Khalid.

Bagi Khalid, mengekalkan kerajaan PN yang ada lebih besar mudaratnya kepada PH dan rakyat berbanding dengan menjadi kerajaan dengan Tun Dr Mahathir adalah perdana menteri selama enam bulan sebelum diambil alih oleh Anwar.

Pas pergilah tanya Muhyiddin, PH atau PN yang mentah

SITI NUR ZAWANI MISCON
Tindakan Datuk Seri Hadi Awang yang menyerang Pakatan Harapan dengan menggelar kemenangan PH sebagai mentah, menggambarkan bagaimana sokongan Presiden Pas itu begitu kuat terhadap kepimpinan kleptokrat Najib Razak.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Mahfuz Omar juga menganggap, Ahli Parlimen Marang itu sebenarnya kecewa apabila Najib dan Umno digulingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Beliau berkata, Hadi sepatutnya menyalahkan Perdana Menteri sekarang kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara individu yang menggepalai gerakan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Umno.

“Orang yang dimaksudkan Presiden Pas sebagai orang tak matang, orang yang mempunyai pemikiran begitu mentah sehingga menjatuhkan Najib adalah PM yang ada sekarang ini.

“Saya minta supaya beliau menghalakan kenyataan beliau itu kepada Perdana Menteri sekarang, yang sebenarnya banyak menggerakkan kempen kesedaran rakyat untuk menolak kerajaan Umno,” katanya dalam satu muatnaik video di Facebook rasminya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, sekiranya kemenangan PH tidak matang disebabkan pengaruh fitnah berkaitan isu 1MDB, beliau sekali lagi meminta Hadi untuk memulangkan semula soalan itu kepada Muhyiddin.

Dakwanya, sekiranya benar PH mempengaruhi rakyat dengan melontarkan fitnah terhadap Najib dan BN, maka ia bermaksud yang memfitnah itu adalah Muhyiddin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional.

Jelas Mahfuz, Muhyiddin antara pemimpin yang aktif berkempen mendedahkan isu 1MDB sewaktu pilihanraya yang lalu.

“Saya nak minta Presiden Pas bertanya kepada PM adakah PM mahu tarik balik terhadap apa yang pernah diutarakan oleh beliau bahawa Najib adalah pencuri 1MDB.

“Itu kenyataan yang sering diungkap dan diulang oleh PM. Saya minta Hadi Awang utarakan soalan itu kepadanya,” ujarnya lagi.

TUN M BERUBAH2 FIKIRAN MENYULITKAN LAGI RUNDINGAN CALON PM?

Shahbudin Husin
Dalam isu menentukan calon Perdana Menteri PH Plus yang sehingga kini belum lagi dapat dimuktamadkan, ramai orang cuba menyalahkan Anwar Ibrahim atas kegagalan itu.

Kata mereka, jika Anwar sedia bertolak ansur dan mengalah kepada Tun Mahathir Mohamad, sudah pasti kata putus sudah dapat dimuktamadkan sekarang ini.

Mereka menambah lagi, tiada alasan untuk Anwar tidak setuju beralah kerana kali ini dikatakan Tun Mahathir hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh selama enam bulan saja.

Selepas itu, Tun Mahathir diperkatakan setuju sepenuhnya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar melalui satu surat perjanjian hitam putih yang disertakan sekali tarikh penyerahan kuasa itu akan dilakukan.

Selain itu, sementara menunggu kuasa diserahkan kepadanya, Anwar juga akan diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Oleh itu, tambah mereka, apa lagi yang Anwar perlu bimbangkan?

Menyedapkan lagi cerita, mereka menambah, Tun Mahathir juga semakin tua sekarang ini dan tidak mungkin mampu bertahan lebih lama untuk terus bekerja sebagai Perdana Menteri.

Sekali imbas melihat kepada hujah tersebut dan bagi mereka yang tidak tahu perkara sebenarnya, memanglah ternampak ada logiknya untuk Anwar mengalah saja kepada Tun Mahathir.

Sampai masa atau selewat-lewatnya hujung tahun nanti, tibalah gilirannya pula menjadi Perdana Menteri.

Tetapi, selain Anwar sendiri cukup berhati-hati untuk setuju menerima semula Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kerana tidak mahu terperdaya untuk kesekian kalinya dengan mainan janji-janji bulan madu Pengerusi Bersatu yang telah terpecat itu, apa yang cukup memeranjatkan ialah kecenderungan berubah fikiran itu sudah pun dapat dikesan sejak mesyuarat pertama PH Plus di Pejabat PKR pada 9 Jun lalu lagi.

Difahamkan, dalam mesyuarat pada hari itu memang Tun Mahathir ada menyuarakan hasratnya mahu menjadi Perdana Menteri selama enam bulan saja sebelum melakukan peralihan kuasa kepada Anwar.

Tidak seperti sebelumnya di mana beliau enggan menerima Anwar sebagai timbalannya, kali ini Tun Mahathir turut bersetuju agar Presiden PKR itu diletakkan sebagai orang nombor duanya dalam kerajaan pimpinannya nanti.

Namun, dalam pertemuan pemimpin PH Plus pada 12 Jun kemudiannya, Tun Mahathir sudah berubah fikiran dengan mengatakan tempoh enam bulan tidak mencukupi untuknya menegang jawatan Perdana Menteri buat kali yang ketiga ini.

Sehubungan itu, beliau meminta tempohnya dilanjutkan kepada setahun dan selepas itu barulah penyerahan kuasa kepada Anwar dapat dilakukan.

Dalam waktu yang sama pula, Presiden Warisan, Shafie Apdal sepanjang masa bertegas bahawa Tun Mahathir perlu dikekalkan sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Beliau sama sekali menolak untuk menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan atau setahun.

Dalam hal ini, bukan saja kelakuan Shafie yang menyamai perangai Azmin Ali sebelum ini yang cukup membimbangkan, lebih mengesankan semua orang ialah Tun Mahathir sudah pun menunjukkan sikap tidak konsisten dan mudah berubah fikiran hanya dalam tempoh empat hari saja.

Bayangkan berapa kali lagi fikirannya akan berubah jika setelah mendapat kuasa sebagai Perdana Menteri nanti?

Untuk itu, sebenarnya ketegasan Anwar dan PKR menolak idea menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sekali lagi bukan sesuatu yang tidak berasas, malah siapa pun pasti akan melakukan pendirian yang sama jika kemungkinan janji dimungkiri dapat dikesan hanya dalam tempoh seawal empat hari. (Shahbudindotcom 16/06/2020)

Apa jadi jika cadangan regu Mahathir-Anwar ditolak?

AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya lebih cenderung pembangkang menggembleng setiap potensi dan peluang yang melintas sepanjang tiga bulan selepas mandat rakyat dicuri pada hujung Februari lalu, agar direbut kembali secepat mungkin. Lebih besar risiko bagi pembangkang menghadapi PRU15 secara mengejut ketika Perikatan Nasional (Bersatu Muhyiddin, Umno-BN dan Pas) menerajui kerajaan, apatah lagi siri pendakwaan terpilih akan dimanipulasi bagi menekan oposisi dengan hebat sekali.

Pada hemat saya, pilihan yang lebih praktikal adalah cadangan pakej Dr Mahathir Mohamad perdana menteri dan Anwar Ibrahim TPM-Menteri Kewangan. Usul ini dirasakan lebih munasabah bukan disebabkan Mahathir lebih berkelayakan (kedua-duanya amat layak, namun pertimbangan utama adalah real politik) tetapi bekas PM itu dirasakan boleh membawa “cukup bilang” yang diperlukan buat masa ini, terutama dari blok Sabah-Sarawak.

Anwar dan penyokongnya tentu sukar mempercayai Mahathir lagi, dan hakikat ini amat difahami. Malah, berdasarkan laporan dan respons media sosial, ramai khalayak meluahkan prasangka buruk yang tinggi kepada Mahathir. Bukan sekadar rekod pemerintahan 22 tahun sebagai perdana menteri keempat, tetapi juga prestasi selama 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Mahathir dilihat tidak berpegang kepada janji peralihan kuasa, berdolak-dalek dan kerap menganjak tarikh, serta didakwa turut merancang atau sekurang-kurangnya merestui proses rampasan kuasa oleh Muhyiddin-Azmin.

Malangnya sewaktu rundingan giat dijalankan agar persetujuan terbaik dicapai, kumpulan penyokong Mahathir-Anwar semakin giat melemparkan serangan. Nampaknya kumpulan Anwar nampak lebih agresif mengecam Mahathir, menyindirnya, membangkitkan rekod lama termasuk peristiwa Reformasi 1998 serta kembali memberi gelaran jelek kepada Mahathir. Ia agak janggal jika dilihat dalam konteks kolisi politik atau musim rundingan masih berjalan. Namun fenomena ini juga dapat difahami; penyokong Anwar merasakan pihak mereka sudah menahan sabar sejak dua dasawarsa dan perjanjian peralihan kuasa secara bertulis pada Januari 2018 telah dikhianati. Mahathir bagi mereka adalah sosok yang langsung tidak boleh dipercayai lagi. Kepercayaan — aset cukup penting dalam kerjasama politik — telah hilang.

Namun saya mempunyai tanggapan agak berbeda. Saya masih menaruh kepercayaan dan menghormati Mahathir. Rekod 22 tahun 1981-2003 yang mempunyai banyak sisi gelap-negatif tidak menghalang saya untuk menutup pintu buat Mahathir. Begitu juga dengan prestasi 22 bulan kerajaan pembaharuan PH, bagi saya, mempunyai banyak kebaikan meskipun ada kelemahan dan kecacatan. Ia secara umum masih berjalan di atas landasan yang betul. Lebih daripada itu, saya tetap melihat faktor Mahathir berperanan besar bagi mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat, termasuk orang Melayu dalam PRU14.


Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengunjungi Ahmad Lutfi, pagi Selasa,

Kemenangan calon PH (daripada Bersatu) di kawasan majoriti pengundi Melayu, antaranya di kerusi Parlimen Kubang Pasu (kampung kelahiran saya), Langkawi dan Jerlun, merupakan bukti jelas sentuhan Mahathir masih “berbisa”. Sudah pasti ia tidak dapat menenggelamkan faktor Anwar yang mula mengubah lanskap politik tanahair sejak 1998. Mahathir mungkin hanya mengalih sekitar lima peratus pengundi Melayu daripada kelompok tradisi penyokong Umno tetapi ia sudah cukup untuk meruntuhkan kerajaan Umno-BN yang tertegak teguh sejak 60 tahun.

Proses pembaharuan atau agenda reformasi memang diakui agak lembab, tidak menurut prioriti, atau dalam sesetengah aspek, agak drastik. Sebahagiannya dapat difahami. Hampir semua anggota pentadbiran langsung tiada pengalaman, manakala mereka juga diasak faktor “kerajaan terpendam”. Sementara anggota jemaah menteri perlu bertatih, real politik Malaysia juga dihimpit faktor istana, golongan korporat dan kumpulan pendesak agama-kaum.

Kerajaan baru kita tertegak bukan atas ledakan revolusi (seperti Iran) atau semangat reformasi (seperti Indonesia). Peralihan kerajaan melalui proses pilihan raya aman, yang diketuai bekas perdana menteri yang berkuasa selama 22 tahun. Kekuatan Mahathir diakui datang bersama bagasi sejarahnya. Mahathir juga membawa orang kepercayaannya, Daim Zainuddin, yang berpengaruh menentukan haluan besar negara dan pelantikan jawatan-jawatan kritikal.

Agak tidak adil menyalahkan pemimpin-pemimpin kanan PH terutama daripada tiga “parti reformasi”, PKR-DAP-AMANAH, yang mungkin dilihat tidak dapat “mengawal” Mahathir, memandangkan tempoh dua tahun awal itu lebih tertumpu untuk mendalami potfolio masing-masing. Hanya Lim Guan Eng, Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin berpengalaman dalam kerja-kerja pentadbiran kerajaan. Itu pun, dapat dikesan dan terbukti kemudiannya, Azmin dan Muhyiddin, mempunyai agenda personal mengkhianati kerajaan sendiri. Misalnya, keresahan orang Melayu-Islam terhadap pelbagai isu yang sengaja dicetuskan, tidak ditangani dengan baik dan berkesan oleh Kementerian Dalam Negeri, yang diketuai Muhyiddin sehingga kerajaan PH dilihat meminggirkan kepentingan Melayu-Islam. Banyak laporan polis tidak diambil tindakan.

Saya juga tidak dapat menerima tuduhan bahawa Mahathir sama-sama berkomplot dengan Muhyiddin-Azmin untuk menjatuhkan kerajaan PH akhir Februari lalu. Dapat difahami tindakan nekad Mahathir itu sebagai memikul tanggungjawab moral apabila partinya, Bersatu, keluar PH dan lebih sepuluh ahli Parlimen PKR tidak bersamanya lagi. Cuma kesilapan besar Mahathir tidak merundingi rakan-rakan pemimpin sekutu komponen PH sebelum meletakkan jawatan perdana menteri.

Pengkhianatan lebih 30 wakil rakyat Bersatu dan PKR itu membuatkan Mahathir terpaksa membuat keputusan segera dan sangkaannya untuk meraih sokongan semua parti meleset apabila gagasan kerajaan perpaduannya ditolak Umno, Pas, PH dan gerombolan pengkhianat. Mahathir tidak mahu meninggalkan DAP seperti diminta dan menolak penyertaan Umno secara enbloc kerana bercanggah dengan prinsipnya. Saya tidak pun melihat aksi Mahathir yang ditohmah menjatuhkan kerajaannya sendiri; tuduhan tidak masuk akal. Dia masih boleh jadi perdana menteri jika bersedia kompromi dengan syarat-syarat berkaitan DAP dan Umno itu. Dia tersalah langkah dan silap percaturan. Masakan Mahathir tidak memilih untuk “mendarat” dengan baik pesawat politiknya?

Ketika menulis catatan petang ini, terlintas ingatan menjelang PRU14 lalu. Saya dikunjungi kartunis genius, rakan baik saya, Zunar. Dia cukup rapat dengan Anwar. Semasa Anwar di penjara, terutama di awal zaman Reformasi, Zunar berperanan sebagai penghubung antara kami, pihak akhbar dengan bekas TPM itu. Tulisan Anwar untuk media, termasuk penerbitan saya seperti majalah Detik dan tabloid tidak berkala, diseludup keluar dan disampaikan oleh Zunar.

Menariknya dalam pertemuan di rumah saya, menjelang PRU14 itu, Zunar mengakui peluang untuk Anwar menjadi PM, yang selama ini tertutup selepas kekalahan PRU13 tahun 2013 kembali terbuka. Maknanya, Mahathir yang menolak turun daripada takhta tahun 1998, kini Mahathir juga yang membuka peluang kepada Anwar. Bagi saya, ia satu pengiktirafan terhadap sumbangan Mahathir terhadap kerjaya politik Anwar.

Dalam situasi sekarang, kebuntuan memilih Mahathir atau Anwar, saya kembali teringat Zunar. Memang Mahathir diakui menggalas beban yang cukup berat, iaitu defisit kepercayaan. Setiap langkahnya dicurigai, janjinya dipersoalkan, rekod kerjanya dinilai lebih kepada aspek negatif. Penyokong Anwar meragui tempoh enam bulan yang diminta Mahathir. Anwar akan terus kekal sebagai “bakal PM” di bawah Mahathir. Namun ini dirasakan pilihan terbaik dan potensi paling cerah untuk menghalang penguasaan Perikatan Nasional (PN). Sekali gus memastikan pintu tertutup rapat untuk regim kleptokrasi kembali mencengkam.

Sebaliknya, meskipun begitu, saya turut berhati-hati dengan silat politik Mahathir, pada masa sama saya masih mengharapkan ini adalah penyelesaian terbaik untuk pembangkang kembali kuasa. Mengharap sambil bimbang. Harapnya ada mekanisme tersendiri yang lebih mengikat; mengelak daripada berulangnya persefahaman yang terbatal. Buat penyokong kuat Anwar, ini juga dirasakan alternatif lebih praktikal untuknya mendaki ke Putrajaya.

Saya tidak menolak keyakinan dan kepercayaan pihak yang merasakan Anwar lebih layak menjadi PM dan bertindak memulihkan negara, tetapi isu besarnya adalah kemampuan Anwar membawa “cukup bilang” wakil rakyat. Permainan angka ini dilihat banyak pihak lebih dikuasai Mahathir.

Mungkin penyokong Anwar mempersoal, jika Mahathir ikhlas menyelamatkan negara, mengapa beliau tidak mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Anwar dan meminta ahli Parlimen yang mendukungnya juga bersama Presiden PKR itu. Dengan itu, pastinya Anwar juga “cukup bilang”.

Difahamkan, Mahathir jika mengundurkan diri daripada saingan perdana menteri, memilih untuk tidak aktif lagi dalam politik. Lebih utama daripada itu, saya sendiri tidak yakin Mahathir boleh mempengaruhi penyokongnya yang tidak bersedia memilih Anwar itu, dapat mengubah pendirian mereka. Dalam kes peralihan kuasa dulu, pemimpin Bersatu sendiri yang tidak cenderung untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar tetap berpegang dengan pendirian itu. Mereka turut mempunyai sifir politik tersendiri, juga melihat kepentingan peribadi masing-masing dan survival parti.

Ramai juga bertanya, apa situasi baru politik jika Anwar dan pemimpin PKR bertegas menolak pakej Mahathir-Anwar? Apakah pembangkang akan berpecah dua, yang memungkinkan pertembungan tiga (atau banyak) penjuru? Mungkinkah PKR akan bertanding bersendirian dan membentuk blok ketiga? Ini belum diperincikan lagi unjuran konflik dalaman PN. Saya belum bersedia untuk meramalkan kemungkinan yang buruk itu. Kita sama-sama doakan senario yang lebih baik dahulu.

Adik Zahid beli 2 banglo RM5.9 juta guna cek pemegang amanah Yayasan Akalbudi, kata saksi

Bernama
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu adik Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli 2 banglo di Country Heights, Kajang bernilai RM5.9 juta menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-57, Pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd, Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, 65, berkata cek itu untuk pembayaran penyelesaian jualan 2 banglo setingkat milik syarikatnya, yang dijual kepada Yayasan Al-Falah dengan Nasaee ialah pengerusi lembaga pemegang amanah yayasan itu.

Beliau berkata, tujuan pembelian 2 banglo menerusi sekeping cek bertarikh 4 Jan 2017 berkaitan keagamaan kerana lokasinya berdekatan surau.

“Datuk Eric ada beritahu pihak yang mahu beli ada kaitan dengan keagamaan, tetapi saya tidak pasti kesahihannya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zaidi: Tadi Tan Sri (Lee) beritahu kenal Datuk Zahid (Ahmad Zahid). Adakah Tan Sri tahu Yayasan Al-Falah yang membeli lot-lot banglo ini ada kaitan dengan Datuk Zahid?

Lee: Saya tahu.

Ahmad Zaidi: Tan Sri tahu atau tak lot-lot tersebut akan ditukarkan untuk tujuan keagamaan, tahfiz atau pun sekolah agama Islam?

Lee: Saya tak tahu dia tukar ke apa. Tapi saya memang tahu bila mereka (Yayasan Al-Falah) beli tanah ini kerana banglo-banglo itu dekat dengan surau, dan ada kaitan pembelian tanah ini dengan surau itu.

Lee yang juga pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Berhad turut bersetuju dengan cadangan Zaidi 2 banglo yang asalnya rumah contoh itu dijual di bawah harga pasaran kerana keadaannya tidak terurus disebabkan lama tidak berpenghuni.

“Kedua-dua rumah itu dijual pada 2017 dengan harga RM150 sekaki.

“Saya bersetuju menjual satu lot pada haga RM3,022,500, kemudian dilaraskan menjadi RM3 juta, manakala satu lagi pada harga RM2,885,250, kemudian dilaraskan menjadi RM2.9 juta.”

Ahli perniagaan itu berkata, perjanjian urusan jual beli itu ditandatangani olehnya dan seorang lagi pengarah Bee Garden Holdings, Nik Hassan Nik Mohd Amin bagi pihak penjual, manakala Nasaee sebagai wakil pembeli.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi itu bersetuju dengan cadangan pengurangan harga banglo itu tiada kena-mengena faktor dekat dengan surau seperti yang dibangktikan pembelaan.

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram ke-26, Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian 2 rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co.

Zahid berdepan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, 8 tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Penasihat khas ahli Parlimen Johor ditahan atas tuntutan palsu

Robin Augustin
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan seorang penasihat khas kepada seorang ahli Parlimen di Johor berhubung tuntutan palsu berjumlah RM58,000.

Sumber berkata, lelaki berusia 43 tahun yang mempunyai gelaran “Datuk” itu difahamkan menyerahkan tuntutan palsu itu kepada pusat khidmat ahli Parlimen berkenaan untuk bekalan makanan bagi satu majlis rumah terbuka, walaupun kerja terbabit tidak disempurnakan.

“Tuntutan itu dibuat pada 2019 dan ‘Datuk’ itu baru ditahan di pejabat SPRM hari ini.”

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok untuk permohonan perintah reman.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Lebih penting muktamadkan siapa TPM, menteri pengganti, dasar PH Plus

ARIF ATAN
Bukan jawatan Perdana Menteri yang perlu dibincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan Plus kerana hal itu sepatutnya sudah muktamad sebelum perbincangan bermula, kata aktivis blogger, Edy Noor Reduan.

Sebaliknya, beliau berpendapat hal berkaitan siapa Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet bagi mengisi kelompongan terdahulu lebih bincang dimuktamadkan.

“Lebih penting ialah dasar-dasar kerajaan PH Plus sekiranya berjaya menjadi kerajaan semula,” tegas ahli PKR Negeri Sembilan itu.

Menganggap perbincangan tentang siapa Perdana Menteri sebagai membuang masa, Eddy mengingatkan langkah mengambil semula tampuk pentadbiran kali ini tidak sesekali dengan cara tawar-menawar.

“Tidak wajar jika ada calon PM yang mengaku mendapat sokongan dari sebilangan MP (Ahli Parlimen) sedangkan persetujuan telah dimuktamad dalam perjanjian Januari 2018.

“Perjanjian Januari 2018 tetap laku selagi penggal ke-14 masih berjalan, melainkan jika Parlimen dibubar sekali gus menamatkan penggal ke-14,” jelasnya.

Mengikut konsensus PH pada Januari 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar namun tiada tarikh tertentu ditetapkan.

Perang mulut dalam kalangan penyokong Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku ketika pentadbiran PH termasuk pimpinan sayap tertinggi parti seperti Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan desakan supaya Mahathir meletakkan jawatan sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangkan konsensus PH.

Mengulas lanjut, Edy berpendapat PH membuang masa dalam tempoh seminggu ini untuk menamakan siapa Perdana Menteri.

“Sebenarnya kita tahu siapa lebih layak. Kita wajar cakna siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri Interim untuk satu tempoh sebelum memberi laluan kepada yang hak,” katanya.

Beliau menyifatkan Anwar sebagai lebih layak atas faktor pengalaman, hubungan antarabangsa, keutuhan prestasi dalam soal ekonomi serta dalam soal mengangkat martabat rakyat, dan ketokohan dalam membawa agenda Reformasi.

“Jika benar-benar mahukan perubahan dan memperbaiki kesilapan 22 bulan dalam pentadbiran yang kadang-kala melukakan hati rakyat, masih belum terlambat untuk berbuat demikian,” katanya.

Peluang terakhir

Membandingkan dengan Perikatan Nasional (PN), Edy menyifatkan PH jauh lebih baik kerana mempunyai prinsip dan menunaikan janji.

“Kita bukan seperti mereka (PN), yang maruah politiknya begitu rendah apabila menawarkan jumlah paling ramai menteri demi membeli kuasa, dan melelong kedudukan demi mengekalkan kuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan PH akan mengambil semula mandat rakyat tetapi bukan dengan cara seperti PN.

“Dalam erti kata lain, kita mendambakan peluang untuk sekali lagi mentadbir, maka tawarkanlah kesepakatan dengan memberi peluang kepada ‘pembaharuan’.

“Sebenarnya segala rundingan telah gagal sebelum perbincangan bermula, apabila kita tidak mampu menilai dan tidak mampu mengekalkan setiakawan dalam melaksanakan janji,” tegasnya.

Tambah Edy, peluang mengambil semula kerajaan kali ini mungkin peluang terakhir untuk satu keputusan paling tepat dalam usaha untuk menafikan pengguguran pelbagai dakwaan dalam kes berprofil tinggi dan mengelakkan negara ini daripada terus dijarah.

“Ini juga mungkin peluang terakhir untuk seorang negarawan ulung membuktikan bahawa pengorbanan itu bukanlah milik sebelah pihak semata-mata.

“Dia juga boleh lakukannya demi menebus kesilapan terdahulu,” tegas Edy lagi.

Bukan pengkhianat, beri peluang Mahathir dapatkan kembali kerajaan PH

MALAYSIA DATELINE

Penganalisis politik Ahmad Lutfi Othman berpendapat peluang perlu diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan kembali kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menolak tanggapan bahawa bekas Perdana Menteri itu juga bersikap khianat sehingga tumbangnya kerajaan PH pada 24 Februari lalu walaupun mengakui tindakan Mahathir meletakkan jawatan sebagai satu kesilapan.

“Saya tidak dapat terima dakwaan Mahathir sama-sama khianat. Bagi saya, strategi Mahathir letak jawatan itu silap.

“Tapi beliau pun tertekan apabila hilang sokongan parti sendiri (Bersatu) dan ‘budak’ kepercayaannya, Azmin Ali.

“Buktinya, Mahathir tolak kompromi dengan Umno kleptokrasi dan tertendang keluar. Rekodnya menolak Muhyiddin termasuk tidak mahu berjumpanya dan dipecat Bersatu bukti Tun bukan sebahagian pengkhianatan,” jelasnya kepada Malaysia Dateline.

Dalam realiti politik demokrasi juga, tegas pengamal media itu, isu paling kritikal sekarang adalah jumlah majoriti yang stabil.

“Jika Mahathir boleh sumbangkan ‘cukup bilang’ maka dia lebih sesuai jadi PM. Jadi, keutamaan adalah meraih cukup sokongan di kalangan ahli Parlimen bukannya rakyat bagi segera membentuk kerajaan.

“Bagaimana caranya untuk mendapatkan cukup bilang itu? Ini isu terpenting dan paling kritikal waktu sekarang. Perbincangan lain nanti dulu,” ujar bekas kolumnis akhbar Mingguan Amanah itu.

Untuk rekod, pimpinan tertinggi PH pada 9 Jun lalu akan memuktamadkan keputusan mengenai usaha mengambil alih kerajaan dalam tempoh seminggu.

Menurut kenyataan bersama kelima-lima pemimpin parti komponen PH, perbincangan berkenaan hal tersebut pada ketika itu berjalan lancar dan menampakkan “kemajuan yang amat positif” tanpa sebarang perbezaan pendapat.

Pada 9 Jun lalu, Mahathir hadir ke ibu pejabat PKR di Merchant Square, di Petaling Jaya bagi mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat selama kira-kira tiga jam bermula jam 3 petang itu dihadiri Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kata pemutus

Mengulas lanjut penolakan sebahagian penyokong PH terhadap pemilihan Mahathir untuk mendapatkan kembali kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN), Ahmad Lutfi berpendapat isunya sekarang bukan soal populariti di kalangan pengundi.

“Kata pemutus adalah di kalangan ahli-ahli Parlimen bukan rakyat. Kita kena terima hakikat percaturan ini,” kata penyusun buku ‘Mengapa Mahathir?’ yang terbit menjelang PRU14 itu.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah tersebut juga berpendapat walaupun ahli Parlimen Bersatu tidak ramai tetapi mereka mudah menyokong kerajaan baharu jika Mahathir adalah Perdana Menteri.

“Saya masih berpandangan, kuasa mesti direbut sekarang, bukan tunggu PRU15. PH sebelum ini pun mengaku masih belum cukup bilang untuk ambil alih kuasa.

“Bagi pandangan peribadi saya, berilah pada Tun itu berundur secara teratur dulu. Februari lepas dia ‘ditendang’ keluar tanpa perancangan.

“Sebabnya, sekarang bukan isu siapa boleh jadi Perdana Menteri terbaik, tapi siapa yang boleh dapat nombor yang cukup.

“Tun punca PH jatuh, kini giliran dan tanggungjawabnya dapatkan balik kerajaan,” tambah Ahmad Lutfi lagi.

Bekas CEO PNB dedah hadapi pelbagai gangguan

MALAYSIA DATELINE

Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed mendedahkan bagaimana beliau menghadapi gangguan semasa memegang jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB.

Menurut cucu saudara Tun Dr Mahathir Mohamad itu, keadaan tersebut membuatkannya semakin bimbang tentang keselamatan keluarga.

“Paling keterlaluan bagi saya adalah gangguan yang harus saya alami akibat panggilan dari nombor yang tidak dikenali, akaun e-mel korporat saya dan profil LinkedIn saya digodam.

“Pada akhirnya, saya memutuskan bahawa tidak adil bagi keluarga saya sekiranya masalah ini berterusan.

“Keluarga saya membuat pengorbanan yang besar, juga dari segi kewangan untuk berpindah kembali ke KL dari Singapura kerana saya benar-benar ingin menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya semasa sesi townhall dengan kakitangan PNB bagi menjelaskan peletakan jawatannya hari ini.

Salinan ucapan Jalil, 38, turut dihantar melalui e-mel kepada kakitangan PNB.

Untuk rekod, Jalil dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd pada 1 Oktober tahun lalu.

Pelantikannya mencatat sejarah apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 1978.

Dalam masa sama, Jalil menegaskan tidak ada individu yang mengatasi institusi.

“Saya tidak berniat menyeret PNB dalam (isu) ini. PNB mesti dilindungi dengan segala cara.
“Oleh itu, saya telah memilih jalan yang sukar, sendirian, yang menghancurkan saya dan keluarga,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Sebelum menyertai PNB, Jalil adalah Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

Bekas pegawai MITI sekolahkan Najib

MALAYSIA DATELINE

Hari ni ‘team’ media FB Najib Razak kena kerja lebih masa hendak menjawab posting FDI saya pagi tadi. Maaf la ya, harap dapat elaun lebih hari ini.

Kita hanya sebarkan benda baik hasil laporan akhbar The Star yang dimilik MCA. Ia juga merujuk kepada pengumuman FDI 2019 oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) tiga hari lepas. Bukannya fakta atau graf yang dibuat sendiri.

Seperti biasa, team media Najib Razak jawab posting penuh dengan spin nak bagi rakyat keliru. Ada dua benda utama yang disebut:

(1) Pelaburan Langsung Asing (FDI) zaman PH tinggi sebab jual aset dan disebabkan pemilikan langsung asing dalam syarikat tempatan. Hujahnya PH manipulasikan data.

(2) Pelaburan Langsung Domestik ke luar negara (DIA) itu tak sepatutnya dibangga. Kerana duit kita mengalir keluar negara.

Pohon saya jawab satu persatu.

(1) Pengiraan FDI

(i) Pengiraan FDI ni oleh Jabatan Statistik dan Bank Negara Malaysia sama saja ya tuan/ puan. Baik zaman PH atau PN atau zaman BN. NR sembang kononnya FDI tak termasuk pemilikan ekuiti atau jualan aset. Ia secara tidak langsung menyatakan data yang Jabatan Statistik umumkan tiga hari lepas salah kiraannya.
Tapi mungkin dia terlupa atau buat lupa2, zaman diapun FDI ni dikira turut termasuk jualan aset dan ekuiti.

Ini saya sertakan laporan ekonomi BNM tahun 2016 mengenai FDI. Muka surat 26 menyatakan:

“However, FDI in the services and construction sector increased, reflecting mainly the LARGE ACQUISITION OF DOMESTIC POWER GENERATION ASSETS BY FOREIGN ENTITY… “

https://www.bnm.gov.my/files/publication/ar/en/2016/cp01.pdf

Jelas dalam laporan BNM mengenai FDI tahun 2016, FDI tahun 2016 meningkat kerana pembelian (acquisition)/ divestment aset dalam industri penjana kuasa tempatan.

Untuk pengetahuan tuan puan, tahun 2016 FDI negara adalah antara yang tertinggi sebelum ia menurun tahun 2017.

Jadi ni apa cerita? Kenapa tahun 2016 masuk jualan aset, tahun 2018 dan 2019 tak boleh pula?
Adakah NR dan team medianya hidup dalam bubble ketika jadi Menteri Kewangan tahun 2016. Tak ambil tahu cara yang digunakan oleh BNM dan DOSM untuk kira FDI. Sama saja apa yang dipratikkan sekarang.

Yang pasti tahun 2016 aset 1MDB dan syarikat IPP dilelong kepada pelabur China untuk cover hutang 1MDB. Itu tak nak pulak NR bagi fakta? Ini saya sertakan keratan akhbar antarabangsa mengenainya.

https://www.reuters.com/article/us-malaysia-1mdb/malaysias-1mdb-sells-power-assets-to-china-firm-for-2-3-billion-idUSKBN0TC0PT20151123

https://www.wsj.com/articles/malaysias-1mdb-to-sell-energy-assets-to-china-nuclear-firm-1448280084

Patutlah dia dinobatkan Menteri Kewangan paling teruk di Asia tahun 2016. Belum pernah lagi mana2 PM Malaysia dinobatkan sedemikian.

https://www.financeasia.com/article/najib-razak-asias-worst-finance-minister-2016/405600

Yang saya tak paham, dia tuduh PH manipulasikan data mengenai FDI tahun 2019 ni. Tapi yang umum mengenai FDI 2019 ni ialah Jabatan Statistik tiga hari lepas. Tang mana yang PH boleh manipulasikan data tu? Nak jugak saya tahu.

Kalau salah pengiraan yang dibuat oleh PH terdahulu dan masukkan nilai jualan aset dalam pengiraan FDI, kenapa Kerajaan PN tak betulkan dan NR tak bagi nasihat? Kenapa umumkan juga kenaikan FDI tahun 2019?
Konklusinya senang, kerja NR asyik menidakkan keupayaan kerajaan terdahulu. Walaupun faktanya ke laut. Hanya dialah yang pandai uruskan pelaburan dan ekonomi walaupun media antarabangsa iktiraf dia Menteri Kewangan Asia paling teruk.

(2) Domestic Investment Abroad (DIA)

Ni lagi satu spin team media NR. Katanya DIA meningkat tu tak elok sbb wang kita mengalir keluar. Sekarang baru la kita tahu. Patut la DIA zaman Najib asyik menurun.

DIA ni tuan/ puan menunjukkan keupayaan syarikat Malaysia melabur ke luar negara dan bersaing di peringkat antarabangsa. Takkan la syarikat kita nak jadi jaguh kampung saja. Macam Petronas tu, takkan nak disekat melabur ke luar negara hanya semata2 kerana taknak wang kita mengalir keluar?

Habis tu kalau DIA tu tak elok, kenapa pulak berlumba2 syarikat luar negara membuat pelaburan ke negara luar? Kena ingat, FDI pada kita jadi DIA pada mereka.

Hujah yang kata DIA meningkat tak baik itu juga salah dari segi ekonomi ya. Sebab yang penting kita ada imbang antara FDI dan DDI. Untuk Balance of Payment dalam negara. Mana-mana negara di dunia akan sentiasa tingkatkan FDI dan juga DDI. Bukan hanya fokus untuk naikkan satu segmen saja.

Team media NR mungkin boleh baca rencana BNM mengenai kebaikan DIA ni kepada ekonomi Malaysia. Banyak kebaikan yang boleh kita dapat, bukan cerita pasal wang keluar saja ya.

https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_publication&pg=en_work_papers&ac=64&bb=file

Yang pasti, apa yang saya nampak, hujah DIA team NR ini hanya nak cover kelemahan pentadbiran NR tahun 2015-2017 yang menunjukkan DIA Malaysia menurun dengan banyak. Bila PH berjaya tingkatkan pada tahun 2019 terus dispin katanya tak baik.

Makanya, senang saya cakap. NR bolehlah tukarkan team media dia. Setakat copy paste keratan akhbar tanpa konteks yang tepat, dan spin fakta pun dah banyak kali terkantoi. Lama2 rakyat akan nampak. Rakyat makin bijak. Jangan dia ingat semua Rakyat “kurang cerdik” macam cytro2 yang beliau bayar saban bulan.

Nasihat saya pada semua, berhati2lah menerima fakta daripada seorang bekas Perdana Menteri yang mengaku beliau ditipu oleh Jho Low hidup2. Kalau akaun sendiri pun tak ambil tahu, macam mana la dia jaga ekonomi Malaysia dulu? Mintak simpang kalau ada yang nak dia jadi PM9 gantikan TSMY. Pilihlah orang lain bukan bekas Perdana Menteri yang mudah tertipu.

“MENGANGKAT ANWAR SEBAGAI PM BUKAN BERMAKSUD TAKSUB KEPADANYA”

Azzah Arcta Yusoff

Tak faham saya kepada yang masih berpandangan dan inginkan TM sebagai PM. Kalau dari seorang rakyat biasa seperti saya, rasanya tidaklah menghairankan sangat. Ini ianya datang daripada seorang yang memiliki ijazah doktor falsafah. Pelik bin ajaib.

1. Tidak belajarkah dari sejarah bagaimana seorang yang bernama Mahathir bin Mohamad tidak akan pernah menunaikan janjinya kepada PH dan seorang yang bernama Anwar bin Ibrahim? Di antara usia 92-94 tahun dia enggan menunaikan janji yang dibuatnya sendiri, bermimpi di waktu siang kah kita untuk mengharapkan dia menunaikan janjinya di usia 95 tahun?? Saya rasa ianya adalah seumpama mimpi dalam mimpi. Seolah mengharapkan salji turun di bumi tropika!

2. Perjanjian adalah satu ikatan hati, bukannya ikatan dimeterai di atas kertas semata2. Jika janji itu dibuat seikhlasnya untuk dipatuhi sepanjang hayat, maka ia akan tetap dipatuhi walaupun tidak seketat mana terma yang dibuat namun isinya difahami. Tetapi, sekiranya sekeping hati yang berjanji itu tidak pernah berniat untuk melaksanakan janji yang dibuat, maka seketat manapun syarat perjanjian itu, ia akan tetap dilanggari jua. Pada ketika ingin melanggar perjanjian itu nanti setelah apa yang dihajati telah dicapai iaitu menduduki kerusi PM, maka akan keluarlah kata2 dalihan seperti perjanjian bukanlah kitab suci, tidak cukup sokongan ahli parlimen, serah kepada parlimen memutuskan dan seumpamanya.

3. Manifesto PH yang mana di dalamnya terkandung terma penyerahan kuasa dari TM kepada DSAI telahpun diikat oleh 4 parti dengan 5 orang yang menandatanganinya pada waktu itu; juga dengan begitu mudah dikhianati oleh TM dengan macam2 alasan. Apakah sebab dan alasan untuk mengatakan beliau tidak akan mengulanginya lagi setelah kerusi PM berjaya beliau duduki sekali lagi?

4. Mengangkat TM sekali lagi adalah umpama mencanangkan kepada rakyat dan seantero dunia bahawa Malaysia ini di bawah PH tidak ada orang yang layak menjadi pemimpin selain orang tua berusia hampir 100 tahun. Akal yang waras akan bertanya, apa tidak adakah insan Tuhan yang lain di Malaysia ini yang layak menjadi pemimpin untuk diangkat mengemudi negara? Apa rangka urus tadbir yang boleh difikir oleh seorang yang hampir mencecah usia 100 tahun? Tidak ada pemimpin yang lebih mudakah?

5. Saya ingin bertanya pemimpin Amanah dan Dap yang mendamba Dsai memberi laluan sekali lagi kepada TM sebagai PM, apakah yang telah mereka lakukan sewaktu TM berdolak dalih berkaitan isu penyerahan kuasa sewaktu PH memerintah? Pertelagahan demi pertelagahan berlaku di antara kedua2 penyokong disebabkan keengganan TM menyempurnakan proses transisi dan membenarkan sosok2 jahat seperti Azmin Ali menghimpit dirinya, apa yang mampu dilakukan oleh pemimpin2 Amanah dan Dap tadi?

6. Dan pada kala TM menyalahgunakan kuasa dengan melantik menteri semisal Azmin Ali yang tidak pernah diberi senarai oleh PKR; melantik Lateefa Koya sebagai pengerusi SPRM tanpa perbincangan dan makluman kepada Presiden PKR pun walhal Lateefa adalah ahli PKR dan sekutu rapat Azmin Ali; apa yang mampu dilakukan oleh pemimpin2 Amanah dan Dap tadi untuk menghalang? Tengok dan telan ajelah kan?

7. Mohon untuk menjadi PM sekali lagi selama 6 bulan. Soalannya 6 bulan tu untuk apa? Apa yang boleh dibuat hanya selama 6 bulan? Tidak terfikirkah, 6 bulan itu bermakna di dalam tempoh itu akan mencari alasan untuk memanjangkan lagi sehingga tamat tempoh penggal ini? Kena ingat, Malaysia ini bukan kepunyaan Mahathir; suka2 hati dia nak minta jawatan PM, letak jawtan, pegang lagi sebagai PM sementara, kemudian nak lagi selama 6 bulan. Adoiiii… ada akal pakailah!

8. Ini adalah critical issue. Isu sokongan kepada Dsai daripada Sabah dan Sarawak. Sekiranya pada waktu ini Sabah dan Sarawak tidak menyokong Dsai sebagai PM, apakah jaminannya mereka akan menyokong selepas 6 bulan nanti? Jika akan sokong selepas 6 bulan, kenapa tak boleh sokong sekarang? Sekiranya TM akan melobi sokongan mereka 6 bulan lagi, kenapa tak boleh lobi sekarang? Ataupun pada waktu itu nanti, kerajaan akan bergolak sekali dan bertukar lagi kepada PN?? Gila apakah ini? Inikah corak politik negara yang kita akan wariskan kepada generasi akan datang?

9. Untuk pemimpin2 Amanah dan Dap yang menuntut pengorbanan Dsai; saya ingin bertanya, tidak cukup lagikah pengorbanan Dsai sanggup dipenjarakan berbelas2 tahun demi perjuangan reformasi, berpisah dengan keluarga, dimaki dihina dicaci sehingga ke hari ini dan kerana pengorbanan beliaulah, lanskap politik negara ini berubah. Masih belum cukup? Berapa kerat pemimpin2 lain yang sanggup berkorban sebegitu rupa?

10. Isu mengangkat Dsai sebagai PM bukan bermaksud taksub kepada beliau. Ini adalah inti pati sejak dari awal perjuangan. Kami ingin melihat negara ini berubah ke arah yang lebih baik dan kebetulannya, pada waktu ini tidak ada sosok lain yang mampu memimpin Malaysia ke arah itu melainkan Dsai. Beri peluang kepada beliau memimpin negara agar rakyat dapat merasai perubahannya. Mengangkat beliau adalah demi rakyat dan negara, bukan atas kepentingan tertentu.

11. Adalah besar harapan agar pemimpin2 Amanah dan Dap memaklumkan kepada TM supaya tidak lagi mendamba jawatan PM dan menyokong penuh DSAI bagi memudah cara dan demi negara yang tercinta sekiranya benar beliau sayangkan negara ini dan ingin meninggalkan negara yang lebih baik kepada generasi seterusnya.

12. Ketahuilah, majoriti rakyat sudah tidak inginkan TM diangkat sebagai PM sekali lagi. Malah ada yang berikrar “lantaklah nak jadi apapun pada Malaysia”!sekiranya dia sekali lagi diangkat menjadi PM oleh PH. Bermakna rakyat sudah berputus asa.

Akhirnya, seandai sekali lagi PM yang dipilih oleh PH adalah TM (saya berdoa semoga dijauhkan Allah), maka apa yang boleh saya katakan adalah; itulah suratan takdir. Itulah kehendak dan aturan Tuhan. Walaupun pahit harus ditelan. Jika begini, maka Malaysia ini masih belum layak dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai visi yang jauh seperti Dsai. Rakyatnya masih belum bersedia.

PRU15 dijangka berlangsung lebih awal, kata firma penyelidikan bebas

MALAYSIA DATELINE
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan lebih awal berbanding tempoh masa yang sepatutnya, kata Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk parti, pemimpin politik, bakal calon, wakil rakyat semasa dan sesiapa sahaja yang terlibat untuk mengukur situasi politik dalam konteks masing-masing.

“Paling penting adalah memahami kehendak pengundi, isu-isu yang berlegar dalam kalangan pengundi, serta kecenderungan pengundi terhadap situasi politik mutakhir.

“Info-info ini boleh digunakan oleh parti politik untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, merawat sokongan, memilih calon dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Menurutnya, semua aspek tersebut boleh diukur melalui tinjauan-tinjauan di lapangan sama ada dalam kawasan Dewang Undangan Negeri (DUN), Parlimen atau negeri bahkan peringkat nasional sekalipun.

Untuk rekod, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 8 Mei tahun lalu menjangkakan PRU-15 akan diadakan tahun ini susulan ramalannya ketika itu kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuma bertahan dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

Mengulas jangkaan seorang pemimpin tertinggi Bersatu bahawa PN akan menang sangat selesa dalam PRU15, Yusri berpendapat ramalan itu banyak bergantung kepada sentimen analisis yang dibuat secara kendiri.

“Saya meneliti pandangan beliau dengan terperinci, untuk kenal pasti apakah faktor-faktor utama yang dijadikan sandaran pada peramalan itu.

“Malangnya pemboleh ubah yang dibincangkan untuk menyokong hujah beliau (pemimpin tertinggi Bersatu) itu tidak cukup kukuh, bahkan masih longgar.

“Banyak pemboleh ubah signifikan lain yang berpotensi mempengaruhi keputusan PRU15 nanti langsung tidak disentuh.

“Bahkan pemboleh-pemboleh ubah pengganggu yang berpotensi besar untuk menggagalkan hasrat PN memenangi PRU15 tersebut juga tidak diambil kira,” jelasnya.

Yusri turut menyifatkan unjuran tersebut dibuat tanpa sokongan kajian ilmiah yang menekankan elemen kesahan dan kebolehpercayaan pengukuran yang tinggi.

Saya mungkin MB Johor paling singkat antara yang singkat

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad tidak menolak kemungkinan menjadi menteri besar paling singkat memegang jawatan itu berikutan ketidakstabilan politik yang berterusan di negara ini.

Secara bergurau Hasni berkata beliau juga mungkin akan dikenali sebagai 'menteri besar Covid-19'.

"Saya datang di tengah-tengah penggal pentadbiran. Masih lagi berbaki lebih kurang dua tahun setengah sebelum pilihan raya yang seterusnya. Itu pun, jika pilihan raya tidak diadakan lebih awal.

"Jika itu (pilihan raya awal) berlaku, saya mungkinlah Menteri Besar yang paling singkat antara yang singkat. Mungkin juga digelar Menteri Besar Covid-19. Asyik sibuk berurusan tentang Covid-19 semata-mata," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian, hari ini.

Hasni merupakan menteri besar Johor ketiga sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008.

Beliau memegang jawatan itu pada penghujung Feb lalu selepas Bersatu mengumumkan keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan Perikatan Nasional dengan BN dan PAS.

Hasni menggantikan Sahruddin Jamal dari Bersatu yang berkhidmat selama 10 bulan sebagai menteri besar Johor dari Apr 2019 sehingga Feb 2020.

Sebelum Sahruddin, Osman Sapian memegang jawatan berkenaan selama 11 bulan bermula Mei 2018.

PN Johor menguasai 29 kerusi DUN berbanding PH yang memiliki 27 kerusi.

PH sebelum ini mendakwa mereka akan dapat merampas kembali kerajaan negeri di Johor.

Ini menimbulkan teguran dari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memberi amaran baginda akan membubarkan DUN jika ada perebutan kuasa di negeri itu.

BERBANDING TUN M/ANWAR, GANDINGAN ANWAR/MUKHRIZ LEBIH MENGUJAKAN UNTUK DITERIMA

Shahbudin Husin
Apa yang semua orang fahami sekarang ini, ada dua gandingan calon PM dan TPM untuk ditonjolkan dalam usaha menjadikan PH sebagai kerajaan semula.

Pertama, calon PM ialah Tun Mahathir Mohamad dan TPM adalah Anwar Ibrahim.

Kedua, calon PM adalah Anwar dengan nama TPM yang digandingkan dengannya ialah Mukhriz Mahathir.

Bagi cadangan pertama, oleh kerana Tun Mahathir dikatakan hanya mahu menjadi PM bagi tempoh sementara iaitu antara enam bulan hingga setahun dan Anwar akan mengambil alih jawatan selepas itu, Presiden PKR itu turut diberikan jawatan Menteri Kewangan sebagai pengesahan yang lebih kukuh bahawa janji tidak lagi dipermain-mainkan seperti dulu.

Untuk cadangan yang kedua, ada pula tambahannya iaitu meletakkan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai TPM kedua bagi memperkukuh lagi hubungan Borneo dengan Semenanjung.

Begitu pun, bagi cadangan pertama, jawatan TPM kedua dikatakan tidak diperlukan kerana gandingan tersebut hanyalah sementara dan jawatan TPM kedua itu boleh dipertimbangkan semula setelah Anwar menjadi Perdana Menteri.

Walaupun PH kekal komited dengan Anwar sebagai calon PM, tetapi apabila perbincangan mengenai perkara itu melibatkan sama Bersatu dan Warisan dalam apa yang dikenali sebagai PH Plus, keputusan muktamad belum lagi dapat dicapai.

Ini berikutan Tun Mahathir masih mahu menjadi PM semula dengan janji hanya buat sementara dan akan melakukan peralihan kuasa kepada Anwar dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun selepas itu.

Memandangkan kedua-dua pihak iaitu PH di satu pihak dan Bersatu serta Warisan yang bukan anggota PH di pihak lain akur bahawa tanpa sebarang kerjasama antara mereka, usaha menumbangkan PN adalah sesuatu yang mustahil, maka itulah perbincangan untuk mencapai keputusan muktamad perlu dilakukan.

Setelah beberapa siri mesyuarat dan perbincangan aktif, difahamkan keputusan muktamad akan diumumkan pada Selasa depan.

Sesungguhnya PH dan PH Plus tidak boleh lagi bertangguh dalam soal ini kerana rakyat tidak boleh menunggu lebih lama untuk mengetahuinya.

Setelah calon PM dan TPM diputuskan, usaha bersepadu boleh terus digerakkan untuk mengambil alih kerajaan dengan sesegera yang mungkin.

Harapan rakyat juga amat tinggi terhadap usaha itu, bukan saja kerana PH yang memperolehi mandat sebenar sebagai kerajaan, tetapi juga berikutan terlalu banyak caca marba dan kebobrokan yang menyesakkan nafas dalam kerajaan tebuk atap PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin sekarang ini.

Tetapi, di antara kedua-dua cadangan calon yang masih menjadi perbincangan itu, yang manakah lebih baik, mengujakan serta patut dijadikan pilihan?

Walaupun gandingan Tun Mahathir/Anwar adalah jelmaan era BN 1993-1998 di mana banyak kejayaan dan kecemerlangan dicapai ketika itu, memilih mereka semula lebih menunjukkan PH Plus tidak progresif, malah cuba mengundur ke belakang.

Kejayaan masa lalu gandingan itu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa kejayaan sama pasti akan berulang lantaran zaman dan cabaran yang banyak berbeza antara dahulu dan sekarang.

Lebih-lebih lagi kerana PH begitu menjunjung tinggi semangat reformasi dan Tun Mahathir yang diberi peluang menjadi PM selama 22 bulan bersamanya dilihat begitu perlahan, kalau pun tidak mahu dikata gagal dalam melakukan perubahan yang diharap-harapkan oleh rakyat.

Dengan itu, ramai yang skeptikal jika PH Plus tetap mahu menonjolkan Tun Mahathir sebagai PM lagi buat kali yang ketiga.

Kebimbangan lain ialah mungkin Tun Mahathir berperangai lama semula setelah beroleh kuasa dengan melengah-lengahkan atau mencipta pelbagai helah untuk sekali lagi mengelakkan peralihan kuasa.

Dalam hal ini, ramai yang tidak lupa bagaimana Tun Mahathir bukan saja menolak keras, bahkan mengakui menjadi marah apabila diberitakan Anwar mahu menuntut kerusi TPM ketika proses peralihan kuasa sedang hangat diperdebatkan sebelum itu.

Tidak itu saja, dalam pusingan kedua pemilihan calon PM kepada Yang Dipertuan Agong setelah beliau meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu di mana pada pusingan pertama tiada mana-mana calon memperolehi sokongan majoriti, Tun Mahathir masih tetap menolak Anwar sebagai calon timbalannya.

Setelah Muhyiddin dipilih sebagai PM kemudiannya, dalam interbiu dengan sebuah portal harian, Tun Mahathir yang sudah hilang jawatan sekali lagi menibai Anwar dengan menganggap Presiden PKR itu sebagai liberal serta tidak boleh diterima oleh orang-orang Melayu sebagai pemimpin

Makna kata, sama ada semasa menjadi PM atau setelah hilang jawatan PM, Tun Mahathir seolah-olah ada kebencian yang terpendam terhadap Anwar.

Lantaran itu, ramai yang bimbang jika PH lupa kepada sejarah dan sedia mengalah dengan mencalonkan semula Tun Mahathir sebagai PM dan meskipun Anwar diletakkan sebagai TPM serta Menteri Kewangan untuk memberi gambaran sebagai penggantinya yang sah, sukar untuk menidakkan tragedi lama tidak berulang kembali.

Tun Mahathir – dulu, kini dan selamanya dipercayai oleh majoriti rakyat Makaysia adalah orang yang sama dan tidak pernah berubah dari segi perangai, hati perut dan dendamnya.

Oleh yang demikian, sesuai dengan semangat reformasi yang dijunjung oleh PH, maka PH Plus seharusnya lebih bersedia meletakkan Anwar sebagai calon PM bersama gandingan dua TPM iaitu Mukhriz dan Shafie.

Gandingan ini bukan saja lebih baik dalam menepati perjuangan reformasi, bahkan memperlihatkan PH Plus benar-benar bergerak ke hadapan dalam menonjolkan calon muda untuk mentadbir negara.

Tun Mahathir dalam hal ini boleh memainkan aktif seperti biasa, tidak saja dalam usaha menumbangkan PN dan mengembalikan PH sebagai kerajaan semula, bahkan mungkin boleh dipertimbangkan jawatan lain sebagai Menteri Mentor misalnya dalam kerajaan baru nanti.

Ini bukan saja menjadikan perjuangannya lebih disanjungi dan menampakkan lebih keikhlasannya terhadap Anwar, bahkan suatu pengorbanan untuk memberi laluan kepada anaknya sendiri, Mukhriz melangkah lebih jauh mencipta nama dalam dunia politik.

Yang pasti, mencalonkan Anwar sebagai PM akan membuatkan rakyat lebih teruja menanti dan menerimanya berbanding meletakkan sekali lagi Tun Mahathir ke puncak kuasa buat kali yang ketiga. (Shahbudindotcom 14/06/2020)

Bekas ketua SPRM 'sergah' Mahathir, bela Muhyiddin


Bekas bos Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas Dr Mahathir Mohamad selepas bekas perdana menteri itu melontarkan kritikan kepada Muhyiddin Yassin.

Menurut Dzulkifli Ahmad kenyataan dibuat Mahathir sebelum ini boleh dianggap sebagai menghina mahkamah serta hakim yang mengendalikan kes berkenaan.

“Hanya mahkamah yang boleh membebaskan yangg dituduh.

“Kenyataan mengatakan bahawa PM 'Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak bersalah' adalah kenyataan menghina mahkamah!

“Penghinaan kepada hakim yang menghakimi kes-kes tersebut!” katanya dalam ciapan di Twitter malam tadi.

Bersama ciapan itu, Dzulkilif turut mengepilkan laporan sebuah portal berita yang memetik Mahathir berkata Muhyiddin akan membebaskan Najib Razak yang ketika ini berdepan dengan puluhan tuduhan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Semalam, Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa Muhyiddin akan memastikan enam ahli parlimen Umno yang kini berdepan kes mahkamah atas tuduhan rasuah untuk tidak disabitkan kesalahan.

Mereka ialah Najib sendiri, Presiden Umno merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi; bekas setiausaha agung Umno yang juga ahli parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor; anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin; dan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Kata bekas perdana menteri itu, sekiranya ahli parlimen Umno itu didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat, yang akan menyebabkan kerajaan Muhyiddin tumbang kerana kekurangan majoriti.

Dedah rakaman audio

"Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih dari separuh (daripada 222 kerusi kesemuanya).

"Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang daripada separuh,” kata Mahathir dalam kenyataaan tersebut.

Tindakan mahkamah diambil ke atas pemimpin kanan Umno itu selepas kerajaan BN gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk terus menjadi kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) dua tahun lalu.

Ia adalah antara janji yang diikrarkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk dilaksanakan dalam pentadbiran mereka.

Antara skandal yang disiasat ketika itu ialah 1MDB, Tabung Haji dan Felda.

Untuk rekod Dzulkifli adalah pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM ketika skandal 1MDB meruncing di bawah kerajaan Najib.

Nama beliau juga dikaitkan dalam pendedahan rakaman oleh SPRM mengenai perbualan beberapa individu mengenai maklumat sensitif didakwa melibatkan siasatan 1MDB.

Antara perkara yang didakwa dibocorkan adalah kandungan kertas siasatan itu tidak memihak kepada Najib, sekali gus mencadangkan agar mereka boleh bertemu bagi berbincang lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

Selain nama Dzulkifli dan Najib, isteri bekas perdana menteri itu, Rosmah Mansor, juga dikaitkan dalam pendedahan rakaman berkenaan. Ketika itu SPRM diketuai peguam kanan, Latheefa Koya.

Latheefa bagaimanapun meletakkan jawatan sejurus selepas kerajaan PH ditumbangkang melalui Langkah Sheraton.

Kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan kemudian dikritik kebanyakan pihak kerana ditubuhkan tanpa mendapat mandat daripada rakyat melalui PRU.

Jawatan ketua pesuruhjaya SPRM kini disandang Azam Baki sejak Mac lalu.

Awal tahun lalu, dalam pendedahan klip audio oleh Latheefa, Dzulkifli dikatakan pernah membocorkan maklumat siasatan pihak berkuasa berhubung skandal SRC International Sdn Bhd (SRC) kepada Najib pada 2016, yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Tunjukkan Islam baik ( Jangan mudah me'Neraka'kan musuh politik)

Wan Ji Wan Hussin

Saya kadang kala rasa takut tambah gerun apabila dengar ada sebilangan orang agama tertentu yang bermain politik sehingga sanggup menuduh orang yang tidak sealiran politik dengan mereka sebagai ahli neraka.

Di Malaysia, malah di negara-negara lain juga, amalan sebegini bukan hanya dalam soal perbezaan pandangan politik. Perbezaan aliran mazhab pun agak menakutkan juga.

Bagi mereka yang suka mengambil mudah perkara ini, saya mengajak kita bersama-sama memikirkan perkara berikut:

Pertama, kelayakan menentukan syurga atau neraka terhadap mana-mana individu bukan milik kita, tetapi Tuhan yang empunya syurga dan neraka. Bimbang jika di saat kita menuduh orang lain sebagai ahli neraka, tiba-tiba Allah tidak menentukan kita sebagai ahli syurga – wal ‘iyazubillah.

Kedua, Kita bukan Nabi yang mempunyai darjat maksum. Apabila tidak ada darjat itu, kita sendiri pun tidak pasti apakah kita akan ke syurga. Apa yang kita boleh lakukan adalah sentiasa berharap agar dikurniakan syurga oleh Allah.

Ketiga, amat ramai manusia sangat baik dalam kehidupannya. Namun, saat kematian menjenguk dia tidak terpilih sebagai orang bertakwa. Dalam kitab tafsir, sering diselit kisah Bal’am bin Ba’ura’ - seorang ahli ibadah yang mati dalam keadaan kufur. Kita wajar mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Oleh sebab itu, apabila saya membaca pelbagai takrifan takwa yang dikemukakan oleh ramai ulama, takrifan yang dekat dengan jiwa saya adalah "berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia, seperti ketika berjalan di dalam bilik gelap yang dipenuhi dengan duri".

Apabila kita berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia, kita tidak mudah untuk menuduh orang yang berbeza parti dengan kita sebagai ahli neraka. Kita juga tidak mudah menganggap hanya orang yang semazhab dengan kita layak masuk syurga.

Apabila kita berhati-hati, sudah pasti kita ada kebimbangan untuk menuduh orang lain sebagai ahli neraka, kerana entah-entah dia akan menjadi ahli syurga, dan kita pula ahli neraka. Wal 'Iyazubillah.

Bukan Islam masuk Syurga

Saya pernah membaca tulisan ulama-ulama muktabar zaman silam berkenaan dengan isu orang bukan Islam masuk syurga. Selain al-Imam Ibn al-Qayyim, ulama terkenal bernama al-Imam Al-Ghazali merupakan antara ulama muktabar yang pernah menulis tentang perkara ini - melalui sebuah buku nipis yang bertajuk Faisal al-Tafriqah Bain al-Islam wa al-Zandaqah.

Dalam buku tersebut, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa terdapat juga orang bukan Islam yang masuk syurga. Komentar beliau diulang bahas oleh Rashid Ridha dalam karya tafsir Quran bertajuk al-Manar.

Rashid Ridha menyatakan ada orang bukan Islam yang tidak tahu tentang agama Islam disebabkan tidak ada pendakwah yang menyampaikan kepada mereka. Pada beliau, orang bukan Islam seperti ini diberikan keuzuran dari Tuhan - dia masuk syurga.

Beliau turut membahaskan bahawa ada orang bukan Islam yang tahu tentang Islam dalam wajah yang salah. Beliau juga menyimpulkan orang bukan Islam seperti ini turut diberikan keuzuran dari Allah - masuk syurga.

Islam wajah perkauman

Pernahkah kita fikir bahawa di negara kita ini antara salah faham terhadap wajah Islam ialah anggapan bahawa memeluk agama Islam bermaksud "masuk Melayu".

Kita perlu sedar, Islam adalah agama yang tidak boleh disamakan dengan Yahudi. Jika agama Yahudi bersifat eksklusif - agama yang berkaitan dengan Bani Israel sahaja - Islam pula berbeza; ia agama untuk semua manusia dan tidak dibataskan untuk kaum tertentu. Nabi Muhammad pernah berkata: "Aku diutuskan untuk semua manusia".

Walaupun berbangsa Arab, Nabi Muhammad tidak diutuskan untuk golongan itu sahaja. Semua kaum - tidak kira Melayu, Cina, India, Arab, kadazan, Iban, Yahudi, atau apa sekalipun - adalah umat Nabi Muhammad.

Oleh sebab itu, amat tidak wajar apabila agama Islam diberi kaitan perkauman. Tindakan mengangkat Islam atas wajah Melayu pastinya melahirkan tanggapan tidak baik kepada sudut pandang masyarakat selain Melayu terhadap agama ini.

Dengan amat ramai yang percaya bahawa memeluk agama Islam adalah bermaksud "masuk Melayu", ia secara tidak langsung mengaburkan lagi sudut pandang mereka terhadap Islam.

Masuk syurga dengan rahmat

Dalam sahih al-Bukhari, ada dinyatakan satu hadis - Nabi Muhammad bersabda: seorang itu tidak masuk ke dalam syurga dengan sebab amalannya.

Memandangkan amalan Nabi Muhammad begitu hebat dan banyak, Aisyah bertanya kepada nabi: Apakah perkara yang sama berlaku kepada baginda juga?

Baginda menjawab, bahawa soal masuk syurga bukan dengan sebab amalan itu, termasuk juga dirinya. Menurut penjelasan Nabi, seorang itu masuk syurga dengan rahmat dan keampunan daripada Tuhan. (Hadis 6467)

Kita perlu sedar bahawa rahmat dan keampunan hanya datang daripada Tuhan. Tuhan boleh memberi rahmat dan keampunan kepada siapa yang dimahukan-Nya dan boleh membenci dan tidak mengampunkan dosa siapa saja yang dimahukan-Nya.

Semata-mata memeluk agama Islam tetapi terus terjebak dalam amalan rasuah, pengkhianatan, memburukkan imej agama di hadapan orang bukan Islam, sentiasa mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan permusuhan, melakukan penindasan dan kezaliman; tiada jaminan bahawa seorang Muslim itu mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah.

Apatah lagi, segala kejahatan yang disebutkan di atas amat dibenci oleh Allah.

Tidak dinafikan, memang ramai ulama berkata bahawa Muslim yang melakukan kejahatan diberi ruang untuk bertaubat. Tetapi perlu diingat, soal penerimaan taubat tidak berada di tangan ulama terbabit, tetapi di tangan Tuhan yang Maha Berkuasa.

Persoalannya, apakah Tuhan akan menerima taubat pelaku rasuah dan penzalim yang semasa melakukan dosa itu, dia berkata: “Hari ini kita makan rasuah, esok nak mati nanti kita bertaubatlah”.

Bukankah ini sudah amat jelas seperti mahu menipu Tuhan yang Maha Mengetahui?

Kalau menipu manusia adalah haram, sudah pasti lebih haram apabila mereka menipu Allah yang Maha Mengetahui.

Tidak boleh dinafikan bahawa ada orang bukan Islam yang selalu melakukan kebaikan tetapi kekal tidak Islam kerana mereka tidak mengetahui hakikat sebenar ajarannya, ataupun terkabur daripada ajaran yang sebenar akubat sikap yang ditunjukkan oleh ulama dan orang Islam sendiri.

Pengetahuan Allah jauh lebih hebat berbanding pengetahuan manusia. Apakah mustahil untuk Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada mereka? Rahmat Allah meliputi segala-galanya.

Sentiasa melakukan kebaikan

Negara kita akan jadi baik jika semua warganya melakukan kebaikan. Orang Islam tidak boleh berharap bahawa orang Islam sahaja baik. Kita juga perlu berharap agar orang bukan Islam turut melakukan perkara yang sama. Apabila ada orang bukan Islam melakukan kebaikan, kita perlu akui kebaikan mereka.

Pada masa sama, orang Islam wajar malu kepada orang bukan Islam jika mereka tidak melakukan kebaikan. Orang Islam perlu lebih bencikan rasuah dan khianat berbanding orang bukan Islam.

Penganut agama Islam perlu ingat tanggungjawab untuk melakukan kebaikan dan tidak terjebak dalam rasuah, pengkhianatan dan tindakan zalim. Jika tidak kebaikan, dibimbangi Tuhan membenci dan tidak memberikan rahmat-Nya kepada mereka. Ini pastinya berbahaya untuk kehidupan di akhirat kelak.

Seorang beragama Islam tidak boleh mendabik dada dengan angkuh dengan berkata mereka adalah ahli syurga, dibimbangi keangkuhan sebegitu menjadikan dia dijauhkan daripada rahmat-Nya.

Apa yang perlu dilakukan setiap orang Islam adalah melakukan kebaikan setulus hati agar mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, dan seterusnya dianugerahkan syurga.

Soal orang bukan Islam ke syurga atau tidak ditentukan oleh Allah, itu bukan urusan kita. Serahkan perkara itu kepada Allah yang merupakan pemilik syurga dan neraka.

Tugas kita sebagai orang Islam adalah berusaha membuktikan kebenaran dan kebaikan agama ini kepada mereka, agar mereka datang kepada Islam; atau paling tidak pun, mengatakan islam adalah agama yang baik.

“Kenapa lebih cenderung kepada Mahathir, berbanding Anwar?”

AHMAD LUTFI OTHMAN

Semasa Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri 24 Februari lalu, saya menjangka ia hanya strategi untuk perkukuhkan lagi kedudukannya, selepas kalah moral apabila partinya sendiri, Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

Pada hemat saya, Mahathir sepatutnya tidak membuat keputusan sepenting itu bersendirian. Beliau perlu merujuk dan berunding dengan rakan-rakan parti komponen PH terlebih dahulu. Risiko dan impak tindakan nekad Mahathir itu cukup besar dan membabitkan negara seluruhnya. Di peringkat parti, kesannya meliputi jaringan lebih meluas hingga ke peringkat akar umbi, membabitkan ahli-ahli yang baru menyumbang khidmat dalam struktur pentadbiran negara.

Bagaimanapun, keresahan saya agak terubat apabila mengenangkan rekod Mahathir berdepan krisis politik, yang akhirnya menyebelahi beliau. Mahathir digugat Musa Hitam dan Tengku Razaleigh pada pertengahan 1980-an, namun berjaya melepasinya. Mahathir diancam keputusan rayuan Umno 11 dalam penghakiman pengharaman parti, tetapi aksi beraninya cukup mengejutkan sehingga hakim-hakim dipecat dan Umno (Baru) ditubuhkan. Cabaran Semangat 46 mampu dijinakkan, gerakan Reformasi dan pengaruh Anwar Ibrahim mempersatu pembangkang pada1999 juga tidak mampu menariknya turun daripada takhta.

Sejarah panjang politik Mahathir juga merakamkan beliau berperanan atau kuat mempengaruhi perletakan jawatan dua perdana menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Mahathir sudah pasti diakui umum berjaya menamatkan khidmat Abdullah Ahmad Badawi dan paling akhir, kejayaan tidak terduga mengalahkan Umno-BN Najib Razak dalam pilihan raya aman.

Dr Mahathir bersama pimpinan PH dalam satu sidang media sewaktu PH menerajui pimpinan negara.

Berdasarkan rekod cemerlang tersebut, saya kira Mahathir pasti boleh melepasi rintangan kecil pada akhir Februari 2020 itu. Namun rupanya beliau terperangkap juga; Mahathir di hujung usia kalah kepada anak-anak didiknya sendiri, Muhyuddin Yassin dan Azmin Ali. Mahathir dimalukan (baca dikhianati) oleh pesaing bertaraf “light-weight” selepas beberapa seteru “heavy-weight” berjaya ditumbangkan dengan pukulan KO. Lebih malang apabila Mahathir ditohmah merancang sendiri kegagalannya itu!

Saya lebih cenderung melihat tragedi rampasan kuasa itu difaktorkan oleh strategi silap Mahathir sendiri. Ia juga membayangkan hubungan longgar atau bahasa kasarnya, diselubungi syak wasangka, antara Mahathir dengan pemimpin kanan PH. Atau mungkin lebih tepat, hubungan Mahathir dengan mereka bagaikan ayah dan anak, dibatasi dengan rasa hormat terhadap orang tua, yang ada jurang di antaranya.

Kesilapan besar Mahathir tidak terhenti setakat itu. Apabila Tuanku Agong minta dipersembahkan nama calon perdana menteri, PH (tanpa Bersatu) dan penyokong Mahathir tiada kesepakatan. PKR, DAP dan AMANAH, iaitu sekitar 92 wakil rakyat mencalonkan Anwar menyebabkan Mahathir hanya mendapat 60 sokongan, manakala Umno dan Pas mencadangkan Parlimen dibubar. Memang ada alasan mengapa Mahathir tidak dicalonkan PH tetapi ia juga menyebabkan tiada siapa pun meraih sokongan minimum 112. Justeru, Agong membuka peluang kedua, dan melorong Umno-Pas serta gerombolan pengkhianat “menangkap” peluang terbuka dengan mencalonkan Muhyiddin Yassin.

Umum menyimpulkan keruntuhan kerajaan PH turut disumbangkan oleh kegagalan menguruskan konflik dalaman parti, khususnya PKR dan Bersatu. Isu utama tetap berlegar sekitar polemik tarikh peralihan kuasa perdana menteri. Secara tersirat juga merujuk percaturan Bersatu untuk muncul sebagai parti Melayu paling dominan dalam masa singkat. Hubungan dingin Mahathir-Anwar dijarakkan lagi dengan peranan musuh ketat Anwar yang berada di kiri-kanan Mahathir, iaitu Zahid Mad Arip dan Hamzah Zainuddin.

Ringkas cerita, ada pihak mempersoalkan, apakah gabungan pembangkang hari ini, tidak mengambil iktibar daripada pengalaman singkat yang baru dilaluinya? Ketika melintas potensi dan peluang di depan mata untuk merebut kembali kuasa yang dicuri kumpulan Muhyiddin-Azmin itu, mereka masih gagal mencapai persefahaman. Secara tidak langsung Perikatan Nasional (PN) yang rapuh-longgar itu, masih terus bertahan, dan mungkin semakin kuat atau stabil apabila pertelingkahan dua tokoh besar pembangkang, Mahathir-Anwar, kelihatan tidak menuju titik temu.

Daripada satu sudut, isunya bukan mencari calon PM terbaik; kedua-duanya, Mahathir atau Anwar “terlebih layak” untuk menggantikan Muhyiddin. Kita juga bukan berdepan pilihan raya umum, yang menyerahkan kepada kuasa rakyat untuk membuat pilihan sekali lagi. Persoalan kritikalnya, siapa tokoh yang boleh meraih sokongan minimum 112 undi daripada kalangan ahli Parlimen sementara penyokong setia kedua-dua, Mahathir-Anwar, dianggarkan tidak pun sampai 100 orang.

Melihat perdebatan terbuka media sosial, penyokong masing-masing saling mempertahankan pemimpin kesukaan, di samping cuba memperlekeh saingan. Diungkit segala kisah lama, khususnya kelemahan tertentu. Pastinya Mahathir lebih mudah dijadikan sasaran. Cerita-cerita kegagalan dan “pengkhianatan” Mahathir terhadap Anwar dihidangkan dengan pelbagai versi. Berdasarkan tinjauan rambang, Anwar kelihatan memperolehi lebih banyak sokongan atau sekurang-kurangnya simpati.

Secara peribadi, saya di kelilingi lebih ramai kenalan yang bukan sahaja menyokong penuh Anwar, tetapi secara terbuka “tidak lagi mempercayai” Mahathir. Biasanya mereka akan tinggalkan soalan, “berapa kali kita akan dipatuk ular dari lubang sama?”, atau “belum cukupkah peluang yang mahu diberikan kepada atok 95 tahun?” Saya cuba berhujah secara rasional berdasarkan real politik dan sifir semasa, tapi saya juga dituduh “pengkagum” dan “pemuja” Mahathir! Sedangkan hakikatnya saya cuba membentangkan pilihan terbaik untuk mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14 lalu. Apa pun saya tetap berlapang dada; politik sentiasa berbalut sentimen, emosi dan sangkaan. Setiap pihak ada argumen tersendiri, yang diyakininya benar. Kadang-kadang perbalahan sesama sekutu diakhiri dengan tragis: Biar masing-masing melepas! Atau dalam konteks semasa, biar kita sama-sama bertaraf pembangkang berdepan PRU15 nanti, jika Anwar tidak terpilih sebagai PM.

Menurut khabar yang tidak dapat disahkan tetapi seakan diterima ramai khalayak, Mahathir lebih dipercayai berupaya mendapat sokongan mencukupi, khususnya daripada Sabah dan Sarawak. Daripada perspektif ini, kelebihan nampak tidak memihak Anwar. Lebih buruk apabila dilaporkan wakil-wakil rakyat DAP, AMANAH dan Warisan bersedia untuk tidak mencalonkan Presiden PKR itu. Namun, kata sepakat masih diusahakan penyelesaian terbaik. Sekiranya pembangkang berpecah, yang untungnya penyandang, Muhyiddin-Azmin. Lebih malang apabila ada pihak meramalkan mungkin terbentuk pakatan baru di kalangan pembangkang sekiranya perbalahan perdana menteri ini berterusan.

Tentunya ada penyokong Anwar yang terus mempersoalkan kewajaran Mahathir menjadi PM buat kali ketiga: “Jelas, niat buruk Mahathir hanya mahu gagalkan Anwar sebagai PM. Mahathir tak mampu lagi pulihkan negara, apatah lagi dalam masa 6 bulan yang dipintanya. Ini taktik jahatnya agar Anwar terus kempunan.” Bukan rahsia lagi, kumpulan Mahathir-Anwar sejak lama saling tidak mempercayai dan mencurigai. Mahathir pula kerap menyampaikan mesej yang tidak menyenangkan penyokong Anwar.

Tulisan saya ini mungkin mengundang persepsi tidak menyebelahi Anwar walhal saya berniat untuk mencari titik-temu agar kerajaan pintu belakang ini dapat direbut kembali secepat mungkin. Saya mencari figura yang dilihat lebih mampu meraih cukup sokongan untuk bentuk kerajaan. Memang imiginasi saya lebih tertarik dengan personaliti Anwar dan gagasan reformasinya. Sosok Anwar menyuntik harapan perubahan berbanding Mahathir. Cuma buat masa ini, Anwar dilihat bermasalah untuk memperolehi “cukup bilang” bagi memungkinkan kerajaan bertukar. Dan saya masih percaya, selain memartabatkan kembali mandat rakyat, regim Umno mesti dihalang daripada menjadi pemerintah di waktu Parlimen dibubarkan.

BERSAMBUNG