"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersenam cara pelik, lelaki maut terjatuh dari tingkat 12

FMT Reporters

Orang ramai berusaha menyelamatkan mangsa tetapi gagal sebelum dia terjatuh.

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 12 selepas dia dilihat berkelakuan pelik apabila dikatakan tiba-tiba bersenam dengan berpaut pada tembok di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas blok berkenaan pada 2.08 petang.

“Siasatan awal dilakukan mendapati lelaki berusia 37 tahun berkenaan dilihat berlegar-legar di tingkat 12 blok berkenaan pada 1.50 tengah hari.

“Sebelum kejadian itu, terdapat seorang saksi menegur lelaki terbabit dan dia hanya tersenyum dan tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok.

“Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba memujuk lelaki berkenaan selama beberapa minit sebelum dia jatuh,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Hasil pemeriksaan, lelaki itu maut dengan kecederaan parah di kepala, bahu, tangan dan kakinya.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Najib: Lebih 64,000 murid dijangkiti Covid-19, siapa perlu bertanggungjawab

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan siapa yang patut dipertanggungjawabkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan seramai 64,064 murid bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 sejak 18 Mei lalu.

Najib berkata, kebimbangan mengenai perkara itu sebelum ini sudah disuarakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), namun tidak diendahkan.

“Najib bimbang sebab kerajaan kata pada bulan April bahawa lebih 23,000 murid umur bawah 12 tahun sudah dijangkiti Covid-19 sejak permulaan tahun dan satu persatu kluster pendidikan mula dikesan.

“Lalu, menteri PN suruh ibu bapa jangan risau sebab KPM ada cara untuk tangani kluster pendidikan,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, persoalan bagaimana KPM mahu menangani masalah jika berlaku jangkitan sudah disuarakan.

“Najib tanya bagaimana nak tangani kluster pendidikan sedangkan kanak-kanak biasanya tak tunjuk sebarang gejala (termasuk demam) walaupun positif dan sukar untuk dikesan tapi masih mampu menjangkiti orang tua dalam rumah?

“Najib suruh tutup sekolah serta-merta sebelum bencana berlaku. Menteri PN tak jawab sehingga sekarang apanya cara untuk tangani tapi kata sekolah tetap diteruskan,” katanya.

Katanya, dengan jumlah jangkitan melebihi 60,000 membabitkan murid, tetapi tidak pula dinyatakan berapa ramai ibu bapa dan orang tua sudah dijangkiti oleh murid yang bawa penyakit balik ke rumah.

KKM rayu orang ramai duduk rumah dua minggu

Malaysiakini 

Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan tempoh dua minggu ini bagi melaksanakan beberapa kesiapsiagaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara kesiapsiagaan itu ialah ‘stockpilling’ (penyimpanan stok) peralatan dan ubat-ubatan selain melihat susun atur untuk meningkatkan lagi keperluan wad dan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19.

Justeru, beliau merayu kepada rakyat Malaysia untuk membantu KKM dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri dan keluarga untuk tempoh dua minggu ini agar dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dan hospital dapat menampung lebih banyak pesakit yang kian meningkat.

“Jangkitan yang meningkat sekarang adalah kes yang terdedah kepada aktiviti dalam tempoh dua minggu. Kita belum melihat aktiviti selepas Aidilfitri.

“Sebelum Aidilfitri ada pendedahan terhadap virus itu sama ada melalui aktiviti pergerakan mahupun perhimpunan di kompleks beli-belah dan tempat awam,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkembangan PKP di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata beberapa tindakan telah diambil oleh KKM bagi menangani peningkatan kes Covid-19 mutakhir ini, antaranya mengenal pasti kemudahan sementara untuk menempatkan pesakit-pesakit kritikal.

Pada ketika ini, penggunaan katil ICU di seluruh negara telah mencapai 91 peratus manakala di Lembah Klang sahaja adalah 113 peratus.

Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengenal pasti ruang tertentu seperti wad pemerhatian rawatan harian untuk diubah suai menjadi ICU dan menambah ICU medan di Hospital Kepala Batas kepada 27 katil.

KKM juga telah meminta hospital swasta untuk menambah katil ICU kepada 124 katil berbanding 104 sebelum ini selain turut menggunakan Ordinan Darurat Seksyen 3 iaitu mengambil alih hospital baru yang belum digunakan seperti Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk merawat pesakit Covid-19.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata strategi lain termasuk mewujudkan Pusat Kawalan Bersepadu yang bertanggungjawab untuk melihat kesepaduan penggunaan katil ICU, menangguhkan pembedahan elektif dan merujuk pembedahan bukan kes Covid-19 kepada hospital swasta.

Jelasnya, KKM juga menggunakan kaedah penyumberluaran iaitu merujuk kes bukan Covid-19 kepada hospital swasta dan pengambilalihan kemudahan awam untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menegaskan pertambahan katil dan ICU bukan penyelesaian mutlak untuk menangani penularan wabak itu sebaliknya menegaskan hanya tindakan kesihatan awam mampu melandaikan keluk jangkitan Covid-19.

“Virus tidak bergerak, yang bergerak ialah manusia. Jadi terus duduk di rumah, bantu kami. Virus akan menjangkiti dan akan membiak di dalam paru-paru sehingga ada mutasi jika pembiakan yang banyak,” tegasnya.

- Bernama

Luahan kesal Pengarah Kesihatan Terengganu terhadap warga Besut

MALAYSIA DATELINE

Bermula hari ini sehingga 4 Jun maka bermulalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Besut. Mengambil kira situasi COVID 19 yang sudah tidak terkawal dan jangkitan sudah merebak jauh dalam komuniti maka keputusan itu terpaksa diambik.

Besut juga merekodkan sebanyak 14 kematian setakat ini. Ada satu ketika 3 kematian direkod dalam masa 24 jam. Juga satu petanda jangkitan COVID 19 sudah menular jauh dalam komuniti.

Sehingga semalam seramai 1201 kes positif dikesan di Besut sahaja dalam tempoh April – 21 Mei hasil ujian sebanyak 16 764 dengan kadar positif lebih 7%. Masih tinggi bermaksud masih ramai kes yang ada dalam komuniti yang perlu dikesan.

Peningkatan sebanyak 1900% jika dibanding hanya 60 kes dikesan sepanjang bulan Mac. Macam tak logik kan? Tapi data ini real dan real.

Ini bukan analisis untuk paralisis tapi analisis untuk buka hati dan minda situasi Besut. Situasi COVID-19 di Besut disumbangkan oleh 2 kluster besar iaitu Kluster Tok Has yang bermula di sebuah cafe merebak ke pusat senaman (gym) merebak ke bank ke beberapa buah sekolah dan akhirnya masuk ke komuniti sehingga ke Setiu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Kluster ini menghasilkan 474 kes positif. Ianya masih berkembang pesat.

Sama seperti Kluster D’ Lahar bermula dari pekerja sebuah syarikat akhirnya merebak ke dalam komuniti. Kluster ini menghasilkan 152 kes positif.

Pengeluaran kompaun RM10,000 tidak mencukupi jika dibandingkan dengan impak yang sangat besar akibat kluster ini apalagi jika melibatkan kematian warga tua yang tidak bersalah

Terbaru kluster Tok Dor melibatkan sebuah pondok pengajian. Sehingga kini 32 dikesan positif. Telah pun menular ke Setiu dan Kuala Nerus. Bayangkan penduduk berulang masuk keluar ke pondok tersebut untuk belajar.

Di mana mereka berada sekarang. Sudah pasti mereka berada dalam komuniti juga…Bayangkan…

Terbaru juga Kluster Jalan Tuan Hitam yang melibatkan sebuah pasaraya. Kes indeks dikesan pada 9hb Mei bila dia bergejala. Bayangkan selepas satu minggu baru 44 (45.3%) dari 97 pekerja pasaraya dikesan positif. Antaranya adalah juruwang (cashier).

Bayangkan dalam masa satu minggu ribuan pembeli dari seluruh ceruk Besut telah berkunjung dan berhubung rapat dengan cashier atau pekerja pasaraya tersebut. Ribuan. Itu kalau sekali kunjung. Kalau berkunjung berkali-kali. Bayangkan…

Bayangkan nak cari kat mana ribuan pembeli tersebut. Kena ingat majoriti kes COVID-19 tidak bergelaja. Kami seriau memikirkan impak yang besar ekoran Kluster Pasaraya ini.

Bayangkan pula bila mana PKPD diumumkan rakyat berpusu-pusu keluar untuk mendapatkan keperluan barang sempena PKPD. Besut bukan dalam darurat peperangan. Keperluan makanan masih ada. Kenapa begitu sikap kalian?

Tidakkah kalian terfikir tindakan ini berisiko kepada jangkitan dan akhirnya mencetuskan kluster baru? Kluster PKPD?

Tidakkah kalian terfikir ada diantara yang berpusu pusu itu merupakan kes positif COVID-19 yang belum dikesan? Mungkin kontak rapat Kluster pasaraya atau Kluster Tok Dor?

Tak tahu nak marah ke kesal ke nak menangis bucu katil ke melihat semua itu.

Jika begini keadaannya adakah kita rasa PKPD 2 minggu mencukupi untuk kita putuskan rantaian COVID-19 di Besut?

Warga Besut kena bersungguh-sungguh untuk menang dengan cara berikut;

Kekal duduk rumah keluar bila perlu

Hadkan pergerakan keluar bila perlu

Elak perkumpulan ramai. Tak perlu majlis bagai walaupun dengan warih waroh.

Pematuhan SOP keluar pakai mask. Elak tempat sesak. Bersih tangan

Benda yang sama saya ulang dan ulang kerana ini sahaja mampu memutuskan rantaian jangkitan COVID-9.

Umpama pakai baju. Boleh longgar. SOP tak boleh longgar mesti KETAT.

Longgar ke ketat ke, KITA yang tentukan. Bukan orang lain. Tu namanya KAWALAN KENDIRI.

Dengan segala usaha-usaha itu dengan izin Allah jua Besut akan menang. Kita semua akan menang. InsyaAllah.

Kita tak mahu kematian demi kematian dilaporkan dari Besut. Masih ada 5 warga Besut berada di ICU HSNZ sekarang.

Jada diri untuk jaga orang lain. Ingat orang tersayang.

Pesanan #PKNTrg

Dr Nor Azimi binti Yunus

Pengarah Kesihatan Terengganu

Kes Covid-19: Kita sudah atasi India dan Amerika

MALAYSIA DATELINE

Kes baharu Covid-19 di Malaysia kini sudah mengatasi India dan Amerika Syarikat jika dibandingkan kes baharu bagi setiap sejuta penduduk.

Bahkan, jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga sangat tinggi berbanding ketika darurat diumumkan 11 Jun lalu.

Kemampuan negara ini untuk membina hospital medan juga sangat terhad berbanding dengan kadar kenaikan pesakit di ICU.

Isu ini dibangkit oleh dua ahli parlimen veteran, Lim Kit Siang (Iskandar Puteri) dan juga Datuk Seri Najib Rajak (Pekan) dalam kenyataan terbaru masing-masing.

Bagi Lim Kit Siang, jika soalan ditanya pada awal pandemik 17 bulan lalu, apa akan dibuat kepada kerajaan jika kerajaan yang ada membenarkan setengah juta rakyat negara ini terkena wabak ini dan lebih 2,100 rakyatnya mati kerananya.

“Jawapannya sudah tentu kerajaan yang ada tidak layak untuk kekal berada di puncak kuasa dan mesti digantikan,” kata Lim Kit Siang.

Bagi beliau, orang ramai tidak menyangka kerajaan Perikatan Nasional ini begitu buruk dalam mentadbir negara ini.

“Rakyat Malaysia tidak pernah menyangka bahawa Perikatan Nasional akan menjadi kerajaan yang sangat teruk dan kakistokratik kerana gelombang Covid-19 kedua dan ketiga, yang telah menjadi gelombang Covid-19 terpanjang di dunia, kini telah menjangkiti lebih dari setengah juta orang dan membunuh lebih dari 2,100 orang – dan masih belum ada cahaya di hujung terowong, kerana yang terburuk nampaknya masih menunggu kita,” kata Kit Siang.

Bagi Najib pula, ketika kerajaan PN umum darurat pada 11 Jan lalu, jumlah pesakit Covid kritikal adalah sebanyak 187 orang.

“Semalam pula, 587 pesakit. Hari ini naik 57 ke 643 pesakit dalam ICU.

“Bayangkan, kenaikan 57 orang dalam sehari!” kata beliau.

Angkatan Tentera Malaysia, katanya, perlukan masa hampir 2 minggu untuk membina hospital medan Kepala Batas untuk menambah kapasiti ICU.

Baru selesai dibina hari ini, tapi jumlah katil ICU baru cuma 27 sedangkan pesakit ICU naik 57 orang dalam tempoh 24 jam sahaja, tulis beliau menerusi Facebooknya.

“Mana mungkin kita mampu bertahan sekiranya keperluan katil ICU meningkat dengan kadar jauh lagi laju berbanding kemampuan kita menambah kapasiti ICU?” kata bekas perdana menteri itu.

Mahiaddin tokoh paling popular diikuti Hadi benar-benar lawak jenaka

SHAHBUDIN HUSIN

Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin dinamakan sebagai tokoh paling popular dalam kalangan pemimpin parti politik negara ini, demikian menurut satu tinjauan oleh O2 Malaysia.

O2 Malaysia adalah sebuah pusat penyelidikan dan libat urus sosial yang memfokus kepada sentimen umum merangkumi isu politik serta pilihan raya, sosioekonomi dan penyelidikan dasar awam dengan melihat analisis data.

Dalam ‘Sentimen Umum Pengundi Malaysia Mengenai Isu Politik dan Kepimpinan’ yang dikeluarkan semalam, O2 Malaysia berkata, Mahiaddin memperoleh tahap kepuasan sebanyak 51 peratus daripada sejumlah 1,582 responden berumur 18 tahun dan ke atas yang ditinjau dari seluruh negara secara dalam talian.

Menurut tinjauan itu yang berlangsung dari 26 Mac hingga 9 April lepas, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berada di tempat kedua popular selepas meraih tahap kepuasan sebanyak 34 peratus.

Kahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkah…..

Mahiaddin paling popular dan Hadi Awang di tempat kedua – berita ini benar-benar suatu lawak jenaka, lebih lawak daripada menonton Maharaja Lawak atau lawak jenaka oleh Sepahtu dan Harith Iskandar.

Seluruh negara pasti akan ketawa membaca laporan ini.

Di mana kajian ini dibuat agaknya?

Di Pagoh dan di Marang?

Atau hanya di kalangan kakitangan pejabat serta ahli Bersatu dan Pas sahaja?

Kahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkah…

Dari segi apa Mahiaddin dikatakan paling popular?

Adakah kerana terlalu kerap membuat perutusan khas yang membosankan rakyat mendengarnya?

Begitu juga, dari segi apa Hadi Awang meraih tempat kedua popular?

Adakah kerana jadi Duta Timur Tengah tapi duduk rumah dan makan gaji buta?

Rasanya tiga hari tiga tiga malam pun susah ketawa saya mahu berhenti, termasuk ketika sedang tidur juga dengan dapatan O2 Malaysia ini.

Kahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkahkah…

Tidak sampai 24 jam genjatan senjata, Israel serang jemaah Masjid Al Quds

MALAYSIA DATELINE

Tidak sampai 24 jam genjatan senjata yang dilancarkan, kini tentera Israel telah menyerbu dataran masjid Al Aqsa selepas jemaah selesai menunakan solat Jumaat.

Menurut sumber Mydan al-Quds tentera Israel dilaporkan telah menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah jemaah selepas solat.

Seramai 20 orang telah tercedera kesan serangan tentera Zionis di perkarangan Masjid Al Aqsa.

Pencerobohan Zionis ke dalam Masjid Al Aqsa selepas jemaah menunaikan solat Jumaat

Terdahulu, ribuan rakyat Palestin telah membanjiri masjid Al Aqsa  bagi menunaikan solat jumaat dan meraikan kemenangan pejuang-pejuang Palestin di Gaza.

Dilaporkan pertempuran rakyat Palestin dengan Zionis Israel bermula di pintu masuk utara ke Bethlehem ketika mereka sedang bergembira menyambut berakhirnya serangan di Gaza.

Dalam serangan Israel yang berterusan di Gaza sejak 10 Mei, seramai 232 orang Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita, telah kehilangan nyawa.

Badan lelaki hancur, kereta meletup di panah petir

Hazira Ahmad Zaidi

Keadaan di lokasi kejadian di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu. Foto Ihsan Pembaca

Keadaan di lokasi kejadian di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu. Foto Ihsan Pembaca

Kota Bharu: Lelaki hancur anggota badan selepas kereta dipandunya meletup dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini, petang hari ini.

Kejadian pada 5.38 petang itu menyebabkan kereta Proton Iswara dipandu mangsa rentung dan terputus dua.

Lima kenderaan lain yang berada berhampiran di lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.

Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan.

Keadaan kenderaan dalam kejadian letupan di Jalan Pintu Geng di Kampung Sireh, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Keadaan kenderaan dalam kejadian letupan di Jalan Pintu Geng di Kampung Sireh, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar 

Keadaan kenderaan dalam kejadian letupan di Jalan Pintu Geng di Kampung Sireh, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, seorang mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.

"Ketika kejadian terdapat lima kenderaan di lokasi berhampiran yang turut terbakar.

"Cermin masjid berdekatan juga pecah akibat letupan kenderaan itu," katanya.

Bunuh anak sendiri, suami isteri ke tali gantung

Bernama

Pasangan itu didapati bersalah membunuh anak sulung mereka yang berusia lapan tahun. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki mereka berusia lapan tahun di premis pusat urut tempat mereka bekerja, empat tahun lepas.

Hakim Noorin Badaruddin menjatuhi hukuman itu ke atas Aaron Teoh Eng Wan, 37, dan isterinya, En Sit Mooi, 40, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Terdapat bukti yang banyak bahawa pasangan ini telah melakukan pembunuhan dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah,” kata hakim.

Sebaik hukuman itu diputuskan, pasangan itu kelihatan kelu dan kemudiannya menangis di dalam kandang tertuduh.

Pasangan itu didakwa membunuh Adrian Teoh Wai Kit, iaitu anak sulung daripada dua beradik di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya antara 2 petang dan 3.30 petang pada 26 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Aaron dan En juga dipenjara lapan tahun bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mei 2017 bagi pertuduhan kedua, iaitu melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (5) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Terdahulu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Tan Teck Yew dan Tina Ong menyatakan kepada mahkamah bahawa nenek serta ibu saudara mangsa perlu dipanggil kerana pernah berada di bawah jagaan mereka untuk memberi pandangan bahawa kecederaan mangsa yang terdahulu mungkin diakibatkan oleh orang lain selain ibu bapanya.

Namun, Noorin berkata keputusan makmal patologi telah pun mengesahkan bahawa kecederaan lama iaitu kesan patah tulang rusuk dan kecederaan baharu yang menyebabkan kematian, sudah memadai.

Pendakwaan mengemukakan 28 saksi dan pihak pembelaan mengemukakan dua saksi iaitu pasangan suami isteri itu sendiri yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi, sepanjang perbicaraan yang bermula pada Julai 2019.

Semasa membacakan kenyataan pembukaan bagi perbicaraan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya memberitahu mahkamah bahawa sebelum meninggal dunia, mangsa telah dipukul oleh ibu bapanya menggunakan rotan dan kayu.

Keterangan pakar patologi menunjukkan punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat pendarahan di bawah kulit dan otot yang meluas serta teruk akibat daripada hentakan tumpul berganda.

Keterangan saksi pendakwaan lain seperti ahli kimia juga mengesahkan bahawa terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) milik Aaron serta mangsa pada rotan yang ditemui di tempat kejadian dan berdasarkan video rakaman litar tertutup (CCTV) di premis tersebut, En dilihat beberapa kali mengheret mangsa yang dalam keadaan sangat lemah serta tidak bermaya.

Pasangan suami isteri itu pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 5 Jun 2017.

Sudah 60,000 orang mahu Neelofa dipenjara

Malaysiakini 

Hampir 60,000 tandatangan sudah dikumpulkan dalam petisyen maya untuk mendesak kerajaan mengenakan hukuman penjara ke atas Noor Neelofa Mohd Noor yang melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Jumlah itu naik mendadak hanya dalam tempoh dua hari berbanding angka 2,203 yang dilaporkan Malaysiakini sebelum ini. 

Kempen dalam talian itu dilancarkan bertujuan mendesak pihak berkuasa lebih tegas ke atas pengacara dan usahawan berkenaan yang melakukan kesalahan berulang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Petisyen yang ditujukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga sebagai peringatan kepada pihak berkuasa agar tidak mengamalkan undang-undang yang berbeza di antara orang awam dan individu kenamaan.

“Neelofa merupakan seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.

“Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang double standard dikenakan terhadapnya.

“Berdasarkan kesalahan-kesalahan berulang ini, kami desak kerajaan Malaysia dan PDRM untuk segera memenjarakan Neelofa tanpa kompromi sebagai isyarat jelas kerajaan tidak amalkan undang-undang double standard kepada VVIP dan orang kenamaan,” menurut petisyen tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, yang bertanggungjawab atas hal ehwal PDRM turut dinamakan dalam petisyen dimulakan individu menggunakan gelaran Hentikan Double Standard itu.

Untuk rekod, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban semalam atas kesalahan melanggar SOP PKPB di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Neelofa sebelum itu dikenakan kompaun RM10,000 kerana selaku penganjur, dia gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ketika majlis akad nikahnya dengan Haris Ismail berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Kejadian berlaku pada 23 Mac lalu itu turut menyebabkan 20 lagi anggota keluarga pelakon itu menerima kompaun RM1,500 setiap seorang.

Neelofa dan Haris atau PU Riz kemudian masing-masing dikompaun bagi jumlah RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP PKPN kebenaran merentas negeri kerana ke Langkawi selepas pernikahan mereka.

Untuk dakwaan melanggar SOP PKP sempena hari raya pada 1 Syawal lalu, Neelofa serta sembilan lagi anggota keluarganya sudah memberi keterangan kepada polis Brickfields, Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu.

Polis siasat dakwaan exco Selangor langgar SOP Raya

Malaysiakini 

Polis sedang menyiasat dakwaan seorang Ahli Majlis Mesyuarat (exco) Kerajaan Negeri Selangor melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan ziarah Aidilfitri dengan menganjurkan majlis sambutan hari raya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan gambar berhubung perkara itu tular di media sosial yang memaparkan majlis sambutan yang diadakan di rumah wakil rakyat berkenaan di Kuala Langat.

Turut serta dalam gambar tersebut adalah ayat berbunyi "Satu lagi kes perlanggaran SOP melibatkan kluster kayangan... tarikh dan masa dah terpampang kat gambar-gambar tu... ".

Berikutan itu katanya polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

- Bernama

Bekas juruterbang tentera Israel kutuk rejim Zionis

BAITULMAQDIS - Kerajaan haram Israel dan komander-komandernya adalah merupakan 'penjenayah-penjenayah perang,' kata bekas juruterbang Tentera Udara rejim Zionis, Yonata Shapira.

Dalam satu wawancara dengan agensi berita Anadolu Agency baru- baru ini, Shapira menjelaskan tentang kenapakah beliau menyertai perkhidmatan Tentera Israel sebelum ini.

Bekas juruterbang tersebut turut menceritakan bagaimana beliau boleh menyedari dirinya ketika itu merupakan sebahagian daripada anggota sebuah pertubuhan pengganas kerana menyerang penduduk Palestin.

Menurutnya, beliau menyedari Israel melakukan jenayah perang semasa berlakunya kebangkitan penduduk Palestin atau intifadah kedua bagi menentang penjajahan rejim Zionis yang bermula pada tahun 2000 dan berakhir pada tahun 2005,.

Ujarnya, juruterbang-juruterbang itu menggugurkan misil-misil dan peluru berpandu-peluru berpandu di bandar-bandar Palestin.

Justeru, katanya, beliau kemudian menyedari tindakan tersebut merupakan satu jenayah perang.

Ekoran itu, katanya, beliau membuat keputusan bukan sahaja untuk meninggalkan perkhidmatan tentera Israel tetapi juga meminta beberapa juruterbang lain supaya tidak mengambil bahagian dalam jenayah perang tersebut.

Menurutnya di Israel, seorang kanak-kanak telah diajar tentang pendidikan ketenteraan rejim Zionis.

Katanya, kanak-kanak di Israel tidak mengetahui semua perkara tentang Palestin, peristiwa Nakba pada tahun 1948 atau penyingkiran lebih 700,000 penduduk Palestin dari negara haram Israel dalam perang Palestin dan penindasan-penindasan terhadap penduduk itu.

Katanya, penjajahan Israel ke atas Palestin merupakan satu bentuk jenayah perang dan beliau tidak bersedia mengambil bahagian dalam jenayah itu.

Semasa berkhidmat dengan Tentera Israel, Shapira turut melancarkan satu kempen yang meminta anggota-anggota tentera rejim Zionis untuk tidak mematuhi arahan supaya membedil penduduk Palestin.

Tindakan itu, tambahnya, menyebabkan beliau dan beberapa juruterbang lagi diketepikan daripada tentera rejim tersebut dengan mengambil kira tentang keadaan di Palestin ketika itu.

Dakwanya, beliau bersama 27 juruterbang pesawat telah ditamatkan jawatan daripada Tentera Udara Israel sejak tahun 2003.

Shapira turut dipecat daripada semua jawatannya di syarikat-syarikat swasta yang berjaya diperolehinya selepas penamatan perkhidmatannya iru,

Ini adalah kerana beliau menyertai tunjuk-tunjuk perasaan bagi menyokong hak-hak penduduk Palestin dan memberikan syarahan di kebanyakan negara di dunia tentang kekejaman Israel disebabkan Shapira merupakan anggota Pergerakan Boikot, Sekatan dan Nyahlabur Israel.

Beliau juga menyatakan Israel turut mengamalkan sistem apartied terhadap penduduk Palestin.

Shapira juga berusaha untuk mendapatkan perhatian daripada masyarakat mengenai jenayah perang yang dilakukan oleh Tentera Israel melalui persidangan-persidangan antarabangsa.

Justeru, katanya, beliau terpaksa berpindah ke Norway dan meneruskan kelangsungan hidupnya di negara tersebut. -Agensi

-sinar harian 

Bomoh Indonesia dakwa hantar santau, roket ghaib serang Israel

KOSMO!

JAKARTA – Sekumpulan bomoh di Indonesia dikatakan membantu Palestin melawan Israel dengan menghantar sihir dan roket ghaib kepada Rejim Zionis itu.

Seorang pengguna YouTube, Kang Ujang Busthomi yang juga merupakan seorang pendakwah bebas di negara itu menerusi satu video yang dimuat naik di akaun YouTube miliknya berkata dia yang baru-baru ini sempat berkunjung ke salah satu kawasan di Indonesia sempat melihat ritual bagaimana 30 orang bomoh di situ menghantar sihir kepada Israel.

Dalam video berdurasi selama 22 minit itu, Kang Ujang memberitahu dia menerima undangan daripada sekumpulan bomoh itu untuk melihat ritual mereka bagi membantu Palestin dengan menghantar roket ghaib mereka.

Roket tersebut dikatakan mengambil masa selama dua hari untuk sampai ke Israel.

Tambah kumpulan bomoh itu lagi, mereka turut menyediakan jin untuk menjaga Palestin daripada dibedil oleh roket Israel.

Video tersebut menjadi tular di media sosial dan kebanyakan netizen yang menontonnya meninggalkan komen-komen yang lucu.

“Ambil masa dua hari untuk sampai? Ambil yang ekspres ya?,” tulis seorang netizen.

“Nanti kalau sudah sampai di Israel beritahu saya ya,” tulis seorang lagi netizen.

Video tersebut sudah ditonton hampir 12,000 kali dengan hampir 200 komen.

Hampir 20,000 individu tandatangani petisyen minta Neelofa dipenjara

Metro 

Kuala Lumpur: Hampir 20,000 individu sudah menandatangani satu petisyen bagi menyarankan selebriti sensasi, Neelofa menerima hukuman setimpal atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Menerusi laman web change.org, seorang individu yang menggunakan nama Hentikan Double Standard mendakwa selebriti berusia 32 tahun itu berulang kali melanggar SOP dengan menyenaraikan beberapa kesalahan dan menuntut tindakan wajar dikenakan.

Petisyen bertajuk Langgar SOP: PDRM, Penjarakan Neelofa Segera itu membuatkan netizen bersatu hati apabila sejumlah tandatangan diterima sejak semalam.

"Neelofa adalah seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.

"Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang 'double standard' (pilih kasih) dikenakan terhadap beliau," tulis keterangan pada petisyen berkenaan.

Antara kesalahan yang disenaraikan dalam petisyen itu adalah majlis perkahwinannya di ibu negara; rentas negeri ke Langkawi, Kedah; rentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan dan terbaharu tular video Neelofa dan ahli keluarga melanggar SOP sambutan Aidilfitri lalu.

Hari ini, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz didakwa di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan atas tuduhan pelanggaran SOP selepas merentas negeri bagi membeli karpet di sebuah kedai di Nilai 3.

Untuk rekod, Neelofa sebelum ini dikenakan kompaun RM20,000 kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal ketika majlis perkahwinannya dengan Haris, manakala 20 anggota keluarganya turut dikompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Neelofa dan Haris kemudian dikompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan melanggar kebenaran merentas negeri kerana ke Langkawi selepas majlis pernikahan mereka.

Untuk dakwaan melanggar SOP sambuatan Aidilfitri lalu, Neelofa dan sembilan lagi anggota keluarganya sudah memberi keterangan Ibu Pejabat Polis Brickfields, Kuala Lumpur, kelmarin. 

“96% sokong rambutan, hanya 4% sokong Muhyiddin”

MALAYSIA DATELINE

Laporan berita kononnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi ahli politik paling popular berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh satu firma kajian dipermainkan oleh para netizen.

Ini kerana, Firma O2 Malaysia yang membuat kajian itu tidak pernah dikenali manakala keputusan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu paling tidak popular semacam ada udang di sebalik batu.

Ini kerana, Ahmad Zahid dikira satu-satu pemimpin politik yang menjadi penghalang kepada usaha parti pemerintah iaitu Bersatu dan Pas untuk memastikan Umno bersama Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 nanti.

“Ahmad Zahid adalah penghalang kepada usaha untuk membawa Umno bersama PN kerana hubungannya dengan Anwar.

“Oleh itu, beliau perlu ditukar dan didiamkan,” kata satu sumber kepada Malaysia Dateline.

Seorang aktivis media di Twitter, Sofealey membuat ujian apakah benar laporan yang mengatakan Muhyiddin paling popular itu menerusi undian di Twitter beliau.

“Okey kita tengok,” tulis beliau dan memaparkan satu undian antara “Sokong Muhyiddin” atau “Sokong rambutan” di Twitter beliau.

Hasilnya, selepas lapan jam dan  15, 771 telah membuat undian, 96 peratus mengundi untuk ‘rambutan’ dan hanya 4 peratus sahaja mengundi untuk Muhyiddin.

Media semalam melaporkan, Muhyiddin Yassin kekal sebagai tokoh paling popular dalam kalangan pemimpin parti politik tanah air, demikian menurut satu tinjauan.

Dalam ‘Sentimen Umum Pengundi Malaysia Mengenai Isu Politik dan Kepimpinan’ yang dikeluarkan semalam, O2 Malaysia berkata Muhyiddin memperoleh tahap kepuasan sebanyak 51 peratus daripada sejumlah 1,582 responden berumur 18 tahun dan ke atas yang ditinjau dari seluruh negara secara dalam talian.

Menurut tinjauan yang berlangsung daripada 26 Mac hingga 9 April lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada di tempat kedua selepas meraih tahap kepuasan sebanyak 34 peratus diikuti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (30 peratus) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 26 peratus.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masing-masing memperoleh 22 dan 11 peratus daripada tinjauan berdasarkan kaedah persampelan rawak berstrata yang mewakili kumpulan umur, jantina, kaum serta kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Soal hidup, mati di Kedah: 'Pesakit tiada harapan sembuh tak masuk ICU'

Malaysiakini 

Pesakit di Kedah yang menderita penyakit kronik dan tiada harapan untuk sembuh tidak lagi akan ditempatkan di unit rawatan rapi kerana katil ICU yang semakin berkurangan.

Keadaan ini melibatkan pesakit Covid-19 dan juga bukan pesakit Covid-19, menurut laporan Berita Harian hari ini.

Laporan itu memetik Exco Kesihatan Kedah Dr Mohd Hayati Othman yang berkata walaupun terdapat cukup katil ICU buat masa ini, dia khuatir pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit Covid-19.

Jelasnya, kakitangan perubatan akan terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

"Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga, dalam sesetengah kes doktor terpaksa memilih mana perlu dihantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia ke ICU.

"Ini termasuk pesakit bukan kes Covid-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi sesetengah kes, bagaimanapun kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil," katanya.

Mohd Hayati meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting.

"Kita perlu ingat hospital bukan saja merawat pesakit Covid-19, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain yang perlu rawatan serta pembedahan, selepas dibedah perlu dirawat di ICU terlebih dulu," katanya.

Kedah merekodka kes tertinggi iaitu 445 semalam, selain tahap kapasiti wad ICU di Kedah dilaporkan sudah mencapai 92 peratus.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang dipetik Berita Harian berkata setakat ini 44 pesakit dirawat di ICU dengan 20 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Seramai 11 pesakit dirawat di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala bakinya di ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan ICU Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2).

Daripada keseluruhan 44 individu dirawat di ICU, cuma tiga saja yang berusia bawah 50 tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan hospital swasta untuk menyediakan lebih banyak katil untuk pesakit Covid-19.

Ini termasuk kedua-dua wad biasa dan juga wad ICU, katanya dalam surat pekeliling yang dikeluarkan kepada hospital swasta pada 20 Mei.

Dalam surat itu, Nor Hisham menyentuh sumber-sumber hospital awam yang terbatas sejak lonjakan kes Covid-19, di mana katil ICU untuk Covid-19 hampir penuh manakala kes-kes baru dan jumlah kematian terus meningkat.

Masalah serupa juga dihadapi oleh hospital swasta yang memberikan rawatan untuk pesakit Covid-19.

Presiden MIC nafi arah pukul individu hina dirinya, timbalan

Malaysiakini

Presiden MIC, A Vigneswaran menafikan telah mengarahkan pihak tertentu memukul individu yang telah mengeluarkan kata- kata kesat terhadapnya.

Dalam satu laporan polis yang dibuat bekas speaker Dewan Negara itu mendakwa individu yang mengeluarkan kenyataan kesat terhadapnya itu telah pun memohon maaf kepadanya.

Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Vigneswaran menyatakan terkejut dengan penularan video lelaki itu dipukul sekumpulan lelaki yang turut memetik namanya dan nama Timbalan Presiden MIC S Saravanan.

"Saya ingin mengatakan orang yang kena pukul adalah seorang yang saya kenal dan dia telah memohon maaf kepada saya dan YB Dato Seri Saravanan empat hari yang lalu diatas kata-kata kesat tersebut.

"Namun beliau telah dipukul dalam video ini dengan menggunakan nama saya dan Dato Seri S Saravanan seolah-olah memberi gambaran bahawa dia dipukul atas arahan kami.

"Saya ingin menafikan bahawa pihak kami ataupun parti MIC terlibat dalam sebarang insiden dan meminta pihak PDRM menyiasat insiden ini dengan kadar segera," katanya dalam laporan polis berkenaan.

Laporan terbabit dibuat presiden MIC itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, semalam.

Terdahulu tular satu rakaman video di mana seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan individu kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap presiden dan timbalan presiden MIC itu.

Ajak berbogel sekali sebelum ugut

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Rakam sebelum mengugut menyebarkan gambar atau video bogel. Itu dilakukan sindiket pemerasan yang menjerat mangsa untuk mendapatkan wang mudah.

Majoriti mangsa ialah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang pernah berkongsi gambar atau video bogel kepada suspek selain supek sendiri merakam video menerusi panggilan video yang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sejak Januari sehingga kini sebanyak 21 laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

"Mangsa yang terjerat itu sudah membuat bayaran membabitkan kerugian sebanyak RM38,788 bagi tempoh berkenaan.

"Kebanyakan mangsa yang terjerat mengenali suspek menerusi media sosial selain dilakukan bekas suami dan teman lelaki sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, modus operandi suspek ialah memperdayakan mangsa sama ada lelaki atau wanita di laman sosial seperti Facebook, Whatsapp, Michat dan lain-lain aplikasi.

"Suspek akan membuka pakaian terlebih dulu sebelum mengajak individu terbabit untuk berbogel sama dan merakam perbuatan itu.

"Tujuan rakaman dibuat adalah untuk memeras ugut mangsa dan sekiranya mangsa tidak membayar mereka akan menyebar gambar atau video di media sosial atau kepada ahli keluarga," katanya.

Menurutnya, setakat sebanyak dua kes sudah dituduh di mahkamah manakala 19 kes lagi masih dalam siasatan.

"Polis sudah mengenal pasti 12 mangsa yang terbabit dan membuat bayaran kepada individu yang memeras ugut.

"Polis menasihatkan masyarakat supaya bijak menggunakan media sosial dan perlu diingatkan sebarang aksi langsung di media sosial mudah dirakam oleh pihak kedua," katanya.

Siapa pilihan Mahiaddin, MAHB atau WCT?

A KADIR JASIN

1. Dalam kita memberi perhatian kepada pergolakan di Palestin, jangan lupa atau terlepas pandang perkembangan di dalam negara kita sendiri, khususnya percubaan taikon Desmond Lim Siew Choon meluaskan cengkamannya ke atas Lapang Terbang Sultan Abdul Aziz Shah @ Subang Skypark.

2. Tauke-tauke besar tahu kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN) semakin hari semakin terdesak di segi kewangan dan sanggup menjual harta negara kalau kena harganya dan manis gula-gulanya.

3. Perdana Menteri, Mahiaddin Md. Yasin @ Muhyiddin rasanya tidak peduli lagi apa yang rakyat jelata kata sebab dia sudah tahu yang dia tidak disukai dan tidak dihormati ramai. Jadi apa yang hendak dipedulikan lagi mengenai integriti dan populariti.

4. Apatah lagi dia dikepung dan diasak oleh “warlords” yang nampaknya langsung tidak peduli apa yang rakyat jelata kata seperti Mohamed Azmin Ali, Hamzah Zainuddin dan Abdul Hadi Awang.

5. Demi survival dia akan buat apa saja untuk menang pilihan raya umum akan datang sebab kekalahan bererti dia dan konco-konconya akan disiasat dan mungkin dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.

6. Desmond Lim tahu yang kerajaan tersepit dan dia ada cara untuk mengambil keselamatan seperti yang dia lakukan sejak zamam pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi. Kita kena tahu yang Desmond Lim ini sangat licik sehingga membolehkannya selamat dan maju tidak kira parti mana memerintah dan siapa jadi Perdana Menteri.

7. Subang Skypark adalah antara lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). MAHB ini adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lebih 60 peratus sahamnya dimiliki bersama oleh Khazanah, KWSP, KWAP dan PNB.

8. MAHB telah kemukakan cadangan pembangunan semula Skypark tiga tahun lalu tanpa dilayan oleh kerajaan. WCT Holdings Bhd yang dikuasai oleh Desmond Lim baru saja kemukakan cadangan kepada kerajaan bulan lalu (April). Lagipun pada bulan lalu juga WCE ditawarkan kontrak rundingan terus bernilai RM301 juta bagi membina segmen terakhir Lebuhraya Ekspres Pantai Barat. Apa istimewanya WCT ini?

9. Cerita Desmond Lim ini macam Belanda minta tanah. Konsesi dia sekarang hanya ke atas ruang perniagaan. Dalam cadangan baru, dia minta diperluaskan bagi merangkumi keseluruhan Lapangan Terbang Subang seluas 1,200 ekar untuk selama 71 tahun hingga 2092.

10. Alasan yang tersurat hendak jadikan Subang lapangan terbang bandaraya atau “city airport” tapi yang tersirat adalah tanah seluas 1,200 ekar atau dua setengah kali lebih luas daripada Pangkalan TUDM Sungai Besi yang diswastakan kepada Lim Kang Hoo untuk mendirikan Bandar Malaysia. Desmond Lim ini bukan pakar industri penerbangan tapi pemaju hartanah dan kompleks beli-belah mewah. Kalau ikut kepakaran, MAHB adalah pakarnya.

11. Kita tengok siapa Perdana Menteri kerajaan Melayu-Islam Mahiaddin akan utamakan – billionaire Desmond Lim atau jutaan rakyat jelata yang melabur dalam MAHB melalui KWSP, KWAP dan skim amanah saham PNB?

Orang Umno dalam Jemaah Menteri mungkin jadi buangan parti

Robin Augustin

Pertandingan merebut jawatan tertinggi Umno kini antara Mohamed Hasan, Hishammuddin Hussein dan Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin akar umbi Umno memberi amaran kepada rakan seperjuangan yang berkhidmat di Jemaah Menteri bahawa mereka berisiko dipulaukan parti mereka sendiri kerana Covid-19 mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Semua orang nampak kemarahan itu,” katanya. “Ramai ahli akar umbi bimbang parti itu akan terkesan akibat hubungannya dengan pentadbiran sekarang.

“Selepas perhimpunan agung Umno, sudah ada gesaan untuk menteri kita meninggalkan Jemaah Menteri tetapi mereka tetap bertahan.”

Antara pemimpin tertinggi dalam hierarki Umno itu bercakap kepada FMT dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Beliau berkata menteri perlu “sekurang-kurangnya berusaha untuk memperjuangkan dasar dan langkah yang tepat” jika mereka merasa mereka mempunyai kewajiban untuk tetap berada di Jemaah Menteri kerana keadaan Covid-19.

Katanya mereka membahayakan Umno dengan mengabaikan gesaan pakar “bahkan pemimpin Umno” sendiri untuk melaksanakan sekatan ketat dan singkat serta membuka semula Parlimen dan banyak cadangan lain yang dapat membantu kerajaan menangani wabak itu dengan berkesan.

Pemimpin Umno dalam Jemaah Menteri perlu “bangkit dan mula bersuara” jika mereka mengimpikan jawatan kepimpinan menjelang pemilihan parti, tambahnya.

Tiga nama disebut-sebut bakal bertanding untuk jawatan presiden Umno pada pemilihan parti tahun ini. Mereka adalah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Kata sumber itu: “Dari apa yang saya tahu, menteri Umno tidak berpeluang memenangi jawatan tertinggi dalam parti. Melihat kepada keadaan semasa, mereka mungkin hanya akan jadi orang buangan.”

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, Hishammuddin dan Ismail gagal menggunakan sepenuhnya kedudukan mereka dalam Jemaah Menteri. Mereka belum cukup lantang sebagai “voices of reason” yang berpotensi, tambahnya.

Merujuk kepada Mohamad, timbalan presiden itu “tiada masalah untuk menyuarakan buah fikiran, lantang bila perlu”.

“Inilah sebabnya mengapa ramai ahli Umno dan orang ramai sendiri melihatnya dengan pandangan yang sangat positif,” katanya.

“Saya tidak rasa sudah terlambat untuk Hishammudin dan Ismail membuktikan kemampuan mereka, tetapi mereka perlu bersuara kerana wujud rasa kurang senang dengan cara kerajaan menangani Covid-19 dan ekonomi.”

Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, bagaimanapun, yakin Hishammuddin perlu diberi kesempatan untuk memimpin parti kerana pengalaman luasnya dalam kerajaan dan sebagai pemimpin kanan parti.

“Orang kata dia hilang selepas pilihan raya umum yang lalu kerana dia tidak bertanding dalam pemilihan parti, tetapi saya tidak melihatnya seperti ini.”

Nazri berkata beliau percaya keputusan Hishammuddin untuk tidak bertanding merebut jawatan didorong oleh kemahuan untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

Merujuk kenyataannya yang menuduh ahli Umno yang tidak keluar dari Jemaah Menteri selepas parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu sebagai pengecut, katanya, ia bukan bermaksud Hishammuddin tidak layak untuk memimpin parti itu.

“Kritikan itu bukan gambaran sebenar karakter beliau.”

Wanita serah bukti dakwaan ADUN Gombak Setia jadi ‘pengatur’ 2 kenalan merogolnya

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Seorang wanita hari ini menyerahkan bukti kepada polis untuk menyokong dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham, “mengatur” untuk dua kenalan wakil rakyat itu merogolnya pada Disember tahun lalu.

Peguam wanita itu, Asheeq Ali Sethi Alivi, berkata anak guamnya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selama 1 jam 10 minit mulai 10.30 pagi dan menyerahkan pelbagai bukti bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes itu.

“Kita telah serahkan segala bukti yang kita ada berkenaan pembabitan YB Hilman Idham dalam keseluruhan kejadian rogol menimpa anak guam saya sebelum ini,” katanya.

Asheeq berkata, ini kali ketiga anak guamnya dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes rogol itu, kali pertama pada hari sama laporan dibuat pada 5 Dis 2020 dan kali kedua Mac lalu.

“Kita sudah menyerahkan segala bukti yang anak guam saya ada bagi membantu polis lengkapkan siasatan.

“Jadi, saya harap polis dapat mempercepatkan dan melengkapkan siasatan kerana kami sudah memberikan segala bukti yang ada serta mendakwa individu terbabit dengan kes ini,” katanya ketika ditemui selepas memberikan keterangan.

Asheeq berkata, antara bukti yang diserahkan adalah bersabit dakwaan pembabitan Hilman secara langsung sebagai individu yang “mengatur segala kejadian” atas anak guamnya pada hari berkenaan.

Sementara itu, Asheeq berkata sebelum ini anak guamnya memberi keterangan di IPD Brickfields berhubung dakwaan mangsa menerima ugutan dan gangguan daripada kenalan individu dinamakan dalam laporan polis kes rogol dibuatnya pada 5 Dis 2020.

Bagaimanapun, Asheeq berkata susulan laporan polis dibuat anak guamnya baru-baru ini, tiada lagi gangguan atau ugutan baharu diterimanya.

“Dalam laporan kedua itu anak guam saya memaklumkan kepada polis jika ada apa berlaku ke atasnya maka individu dinamakan dalam laporan polis pertama patut dipertanggungjawabkan”.

Sebelum ini, media melaporkan wanita yang mendakwa dirogol kenalan ADUN Gombak Setia itu memaklumkan dia diugut supaya menarik balik laporan polis terhadap suspek terbabit.

Berikutan itu mangsa ditemani peguamnya, memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD Brickfields pada 11 Mei lalu.

Asheeq juga dipetik berkata, pihaknya menyerahkan bukti berkaitan paksaan dan ugutan diterima wanita itu daripada beberapa individu yang dikatakan mengugut anak guamnya menarik balik laporan polis pertama yang dibuat di IPK Kuala Lumpur pada 5 Dis 2020.

Sokongan terhadap Muhyiddin merosot, menurut kaji selidik bebas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sokongan pengundi terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin merosot kepada 51% pada suku pertama tahun ini berbanding 66% pada suku kedua tahun lalu, menurut satu kaji selidik bebas.

Menurut kaji selidik dijalankan O2 Malaysia, pusat penyelidikan berpusat di Kuala Lumpur, hanya perdana menteri Perikatan Nasional itu menunjukkan kemerosotan sokongan berbanding pemimpin parti politik lain yang mempunyai tahap sokongan konsisten.

Walaupun sokongan terhadap Muhyiddin semakin menurun, beliau masih kekal sebagai pemimpin mendapat sokongan tertinggi diikuti Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dengan sokongan popular sebanyak 34%; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (30%); Presiden PKR, Anwar Ibrahim (26%); Presiden Amanah, Mohamad Sabu (22%) manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menduduki kedudukan tercorot dengan 11%.

Kemerosotan sokongan pengundi terutama golongan belia terhadap kepimpinan Muhyiddin semakin jelas apabila berlaku beberapa protes dan demonstrasi di ibu negara dan Johor sejak akhir-akhir ini antaranya Undi18 dan ‘Kerajaan Gagal’.

FMT baru-baru ini juga melaporkan orang di sekeliling Muhyiddin termasuk beberapa menteri memberi amaran mengenai kemarahan rakyat yang semakin meningkat, dengan harapan kerajaan akan menggunakan strategi komunikasi yang lebih baik untuk meredakan ketegangan.

Dua orang sumber dalam parti Bersatu itu berkata, kerajaan gagal berkomunikasi secara berkesan dengan rakyat, bergantung hanya pada data dan bukan kisah sebenar mengenai rakyat yang menderita Covid-19.

Sementara itu, kajian berkenaan mendedahkan populariti bekas perdana menteri Najib Razak meningkat kepada 27% berbanding 21% pada suku ketiga tahun lalu.

“Sokongan popular Dr Mahathir Mohamad pula terus merosot daripada 40% pada suku kedua tahun lalu kepada 33% suku pertama tahun ini. Sokongan popular kepada dua bekas perdana menteri adalah pada kedudukan median,” menurut kajian berkenaan.

Kaji selidik yang dijalankan antara 26 Mac hingga 9 April itu melibatkan seramai 1,602 responden terdiri daripada 54% pengundi Melayu, 28% Cina, 11% Bumiputera Sabah dan Sarawak manakala kaum India sebanyak 7%.

Kaji selidik itu bertujuan meneliti tahap sokongan dan kecenderungan pengundi terhadap arus perkembangan politik semasa negara.

Pengarah kesihatan kongsi kisah bagaimana Covid-19 menular di T'ganu

Malaysiakini

Dalam tempoh lima hari sepanjang minggu lalu, Terengganu merekodkan kes baru Covid-19 sebanyak tiga angka, selain mencatatkan antara kadar kebolehjangitan tertinggi di Malaysia.

Bagi Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, ia bukanlah perkara yang mengejutkan dan dia berkata negeri itu mungkin mencatatkan kes baru lebih seratus sekali lagi hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook semalam, dia berkongsi lima cerita bagaimana pengabaian prosedur operasi standard (SOP) telah membawa kepada peningkatan penularan di negeri itu.

Kisah pertama, menurut Nor Azimi, berkenaan 18 individu yang "melepak" di sebuah rumah kosong di Setiu.

Ia menyebabkan 17 individu - melibatkan mereka yang berada di rumah itu dan ahli keluarga - disahkan positif dengan 162 orang dikesan sebagai kontak rapat, katanya.

Kisah kedua pula berkenaan seorang yang disahkan positif ketika menjalani saringan masuk kerja di Johor.

"Akhirnya 41 ahli keluarga dan kawan disahkan positif serentak. Seramai 245 kontak rapat dikesan.

"Rupa-rupanya ada beberapa buah rumah dalam pagar sama. Turun naik rumah itu (jadi perkara) biasa," katanya.

Covid-19 tak dipandang serius

Kisah ketiga pula berkenaan penganjuran majlis buka puasa melibatkan 20 orang, yang mencetuskan kluster Bukit Pauh di Dungun dengan 78 kes positif dan 496 orang kontak rapat.

"Merebak pula ke Kuala Terengganu, bila kes (positif) tadi ada diskusi dan moreh di kedai makan. Akhirnya dua kawan dikesan positif.

Kisah keempat, menurut Nor Azimi, melibatkan sekumpulan yang memasak bersama-sama untuk juadah berbuka puasa di sebuah surau di Marang.

Daripada program itu, sebanyak 26 kes positif dan 283 kontak rapat dikesan.

Kisah terakhir berkenaan seorang individu yang pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat tanpa membuat penilaian risiko.

"Masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif, ribuan kontak rapat terpaksa disaring," katanya.

Katanya, ada berpuluh lagi kisah yang boleh dikongsinya bagi menunjukkan pengabaian SOP yang perlu dijadikan iktibar.

"SOP semua kelaut. Sebab apa kelaut? Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekeh pematuhan SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan.

"Kita tak tahu status kawan kita masa majlis sosial ini dibuat. Kita hanya tahu bila mereka disahkan positif. Akhirnya kita jadi kontak rapat, nasib tak baik kita pula disahkan positif," katanya lagi.

Justeru itu, Nor Azimi berkata iktibar yang boleh diambil adalah jangan sesekali mengambil mudah kebolehjangkitan Covid-19.

'Sembahyang dalam gelap' disyaki punca PKPD

Sementara itu, di Kelantan, Harian Metro semalam melaporkan sejumlah penduduk di Kampung Pauh Lima di Bachok mengadakan sembahyang berjemaah dalam gelap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, susulan had empat jemaah saja yang dibenarkan.

Laporan itu memetik seorang penduduk berusia 45 tahun yang enggan dinamakan, yang berkata ia menyebabkan berlaku penularan wabak di kampung tersebut.

"Mereka tetap mengerjakan solat lima waktu seperti biasa. Cuma untuk waktu siang, kehadiran tidak seramai sebagaimana di sebelah malam.

"Ketika solat sunat tarawih, kehadiran memang ramai sehingga mereka sanggup solat dalam keadaan bergelap dan menyembunyikan selipar.

"Memang rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan penduduk berkenaan kerana kesannya habis satu kampung yang terjejas disebabkan kedegilan mereka," katanya seperti dipetik.

Kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kampung itu dan sebuah lagi kampung di Kota Bharu, bagi mengekang peningkatan kes positif di sana.

Seorang lagi penduduk kampung yang hanya ingin dikenali sebagai Yah pula berkata apa yang berlaku mencetuskan kemarahan kepada penduduka lain, terutama yang mematuhi SOP.

"Saya mendapat maklumat memang ada jemaah yang batuk serta demam, namun masih pergi ke surau berkenaan untuk solat tarawih.

"Saya pun tidak faham kenapa penduduk terlalu degil untuk mengikut arahan yang dikeluarkan. Inilah dikatakan mengejar pahala di tempat yang salah.

"Bila pelaksanaan PKPD, semua penduduk yang terjejas, bukannya hanya golongan yang melanggar SOP," katanya yang berusia 50 tahun.

Bagaimanapun, laporan itu turut memetik Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zaini Hussin yang berkata pihaknya masih menyiasat sama ada penularan kes Covid-19 di kampung itu berpunca daripada kegiatan surau atau tidak.

Murahnya kalimah laknat di lidah penceramah Ibnu Jubbah

Ibnu Jubbah 

Sempena termeterainya piagam yang membawa kepada penyatuan ummah di antara Umno dan PAS, aku nak mencoret sedikit kenangan buat para pelayar media dalam talian. Mudah-mudahan ia memberi kebaikan kepada kalian dan aku juga.

Brother Azhar (atau nama rasmi beliau: Azhar Idrus) ketika menjawab satu soalan yang berbunyi: "Apakah pandangan (ustaz) PAS bekerjasama dengan Umno sekarang ini?" menyifatkan kumpulan yang tidak bersetuju dengan kerjasama itu sebagai menentang Islam lalu berdosa.

Memetik jawaban beliau dalam sepotong klip video, Bro Azhar berkata: "(Kena) tengok tujuan. Tujuannya (kerjasama tersebut) supaya Islam kembali selamat daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh kafir laknatullah, maka bekerjasama sekarang hukumnya wajib. Siapa yang menentang adalah berdosa dan dilaknat oleh Allah. Allah sebut dalam Quran (maksudnya) “Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan berpecah belah…”

Adakah kalian rasa kata-kata itu boleh terima?

Aku perjelaskan begini. Pertama Bro Azhar kata tujuan kerjasama di antara PAS dan Umno adalah untuk menyelamatkan Islam. Ini aku tak mahu komen. Mereka berhak dakwa demikian.

Kedua, dia kata ada musuh-musuh Islam daripada kalangan kafir yang dilaknat Allah sedang mengancam Islam. Ini pun aku malas komen. Kita boleh andaikan mereka bersatu untuk lawan Israel atau musuh Islam yang ada di sekeliling mereka.

Ketiga, kerjasama PAS - Umno adalah wajib. Ini juga terserah kepada dia dan mereka. Jika dia rasa ia wajib, tidaklah bermakna semua orang wajib mengikuti pandangan dia dan mesti menyokong dan bekerjasama pula dengan Umno dan PAS.

Seterusnya bahagian keempat. Ini ada isu bagi aku, tapi terpulanglah kepada kalian. Dia kata sesiapa yang menentang kerjasama Umno dan PAS - yang didakwa demi Islam itu - maka berdosa dan dilaknat Allah.

Cuba pejam mata seketika

Mana hujah dia bahawa sesiapa yang menolak kerjasama Umno dan PAS itu berdosa? Bukannya semua dalam Umno itu Muslim, dan bukannya selain Umno dan PAS itu semuanya kafir sehingga dia mendakwa kerjasama berkenaan seperti sebuah agama.

Bagaimana Bro Azhar mahu jelaskan bahawa sesiapa yang menentang kerjasama PAS dan Umno sama macam menentang Islam dan umatnya?

Bukankah Umno dan PAS itu hanya parti politik? Bebas untuk menyertai parti itu dan harus menentangnya jika ada idea mereka yang tidak dipersetujui.

Kita hidup dalam dunia politik demokrasi. Kita berhak dan bebas berpendirian. Apakah politik paksaan ini wajah baru buat PAS dan Umno di Malaysia?

Lebih menonjol kekerasan Bro Azhar apabila dengan berani dan selamba menekankan bahawa mereka yang menentang kerjasama itu akan "dilaknat Allah".

Dia Malaikatkah? Dia Nabikah? Tentulah tidak. Bagaimana dia boleh berhujah sedemikian? Mana dia tahu? Kalian tentu faham, kan, bahawa laknat ini maksudnya seseorang itu sudah jauh daripada rahmat Allah. Dibenci Allah.

Cuba kita pejam mata dan buka semula. Selain Umno, PAS dan penyokong mereka, semuanya manusia dibenci Allah. Berat ni bro, berat. Berat nanang.

Aku pun tak dapat menghadam cara Bro Azhar berfikir dan berhujah. Kalau dilihat cara dia mengajar dan berhukum pun, selalunya lari jauh daripada disiplin usul fiqh dan kaedah fiqh. Tiada nilai akademik.

Jika nak promosi gagasan penyatuan ummah, lakukan sajalah. Tidak ada yang dapat menghalang. Kalau nak mencipta alasan mahupun sebab untuk penyatuan, ikut sajalah. Negara bebas, kan kita ni?

Bukan senang nak menjejakkan kaki ke PWTC memakai baju bulan. Bro Azhar boleh terus menyokong dan boleh juga masuk bertanding nanti. Untung nasib, boleh jadi MB Terengganu. Mana tahu, kan?

Kenapa aku kongsikan hal ini di sini? Sebab aku rasa rakyat Malaysia perlu sedar Bro Azhar tidak memiliki hujah untuk dengan mudah mengatakan orang yang menentang kerjasama PAS dan Umno berdosa dan dilaknat Allah.

Seberat Bukit Uhud

Tapi dia ada pengaruh yang besar. Apabila seorang guru melaknat, maka anak murid boleh sampai mengkafirkan orang. Itu yang aku takut sangat.

Orang Islam di Malaysia mesti menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa pendakwah-pendakwah yang bersyarah ikut sedap lidah masing-masing sehingga khabarnya kadang-kadang ada yang menyediakan soalan untuk diri sendiri lebih awal.

Tujuannya? Antara lain untuk memasarkan diri masing-masing dalam carta penceramah setempat. Khabarnya, ada, tetapi aku tak tahulah siapa.

Islam yang rahmah itu ialah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW, bukan yang dibawa Dr Mujahid Yusof atau Dr Mahathir Mohamad.

Jika mereka alergi sangat dengan pendekatan rahmah, tidaklah perlu melaknat orang di sana sini. Melaknat itu mudah tetapi tanggungjawab pada lidah yang menutur seberat Bukit Uhud.

Itu kiasan aku sendirilah.

Apabila seorang kawan bertanya sama ada aku nak tulis atau tidak isu ni, aku balas yang aku dah muak menulis pasal penunggangan agama. Eh, bila masa pulak aku rajin menulis? Hahaha.

Sebab gerakan ini disulami dengan kalimah jihad dan dipimpin pula oleh ulama yang serbannya besar. Sedangkan aku pakai jeans saja kot. Aku kata, baik laknat balik daripada menulis.

Namun, aku tak tergamak nak melaknat orang yang melaknat aku, maka aku menulis di sini untuk bacaan semua. Terima kasih kepada Malaysiakini yang menyiarkan tulisan aku ini dan aku faham ia tidak semestinya pendirian portal itu.

Dan aku harap editor Malaysiakini kekalkan sahaja ganti nama aku ni. Tidak perlulah tukar kepada "saya" atau "ana".

Membahasakan diri sebagai "aku" dalam menulis lebih mulia daripada menggunakan kalimah laknat kepada seteru politik.

OK, aku nak sambung ‘main salji’ di sini. Tenangkan fikiran di permusafiran ini. Harap orang Malaysia tabah dengan negara dan kehidupan yang sedang dibaham oleh pendakwah-pendakwah yang mendakyah.

'Saya nak dia dipenjarakan' - Azwan Ali

Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengacara dan selebriti kontroversi, Azwan Ali meminta kerajaan bertindak tegas memenjarakan Neelofa atas kesalahan berulang kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk memerangi Covid-19.

  Ia berikutan tular di media sosial video selebriti popular itu meraikan Aidilfitri bersama keluarganya biarpun mereka tinggal berasingan. 

 Azwan berkata, dia lantang mengecam Neelofa atas tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.

  "Ini bukan soal selebriti tegur sesama selebriti. Jangan tanya apa dosa Neelofa kepada saya. Tanya dia, apa yang dia buat Diva AA (Azwan) marahkan dia sangat?

  "Dia antara selebriti yang sering dikecam teruk oleh Diva AA. Tanya pada dia, apa dosanya yang saya dendam sampai mati? Itu persoalan yang perlu, dia jawab.

  "Kecaman yang berlaku sekarang bukan kerana soal selebriti. Ini soal undang-undang, soal negara yang bermaruah," katanya kepada Harian Metro.

  Azwan juga beranggapan kerajaan bertindak pilih kasih dalam menjatuhkan hukuman terhadap rakyatnya.

  "Orang ini boleh dan orang itu tak boleh. Undang-undang apa namanya? Saya antara rakyat yang akan habis-habisan bercakap berkenaan undang-undang.

 "Kalau Diva AA (saya) buat salah, laju sahaja masing-masing menggelupur buat laporan polis, suruh tangkap saya dan masukkan dalam penjara. Esoknya, terus naik turun mahkamah.

  "Kenapa apabila Neelofa, diabaikan begitu saja. Apa hebatnya dia? Apa sumbangan dia pada negara dari segi industri hiburan?," katanya.

 Pengacara berpengelaman ini mempersoalkan apa sumbangan besar Neelofa yang boleh dibanggakan.

  "Setakat jadi pengacara program MeleTop, apalah sangat. Ini saya buat Juara Lagu, hasilkan drama Lontong dan buat macam-macam karya, sekejap saja kena tangkap dan didakwa di mahkamah.

  "Neelofa boleh pula terlepas. Jangan bagi rakyat bertambah marah. Malaysia sekarang diambang kehancuran, kenapa biarkan perkara ini berlaku?," katanya.

  Azwan mendakwa tindakan penguatkuasaan yang lemah membuatkan dia memberontak dalam perkara ini.

  "Saya adalah orang pertama yang nak dia dipenjarakan. Saya tak perlukan sokongan ramai dalam perkara ini. Ia adalah pendirian saya sebagai rakyat marhain.

  "Saya rakyat yang ada hak di sisi perlembagaan persekutuan. Dah ada undang-undang berkenaan akta penyakit berjangkit, kenapa tak dilaksana atau dikuatkuasakan?

  "Menteri sendiri yang kata tiada pilih kasih atau kompromi terhadap mereka yang langgar peraturan. Neelofa juga dah banyak kali buat hal sekali gus dia ego dan keras kepala," katanya.

 Terbaharu, Neelofa dan ahli keluarganya ini menimbulkan suasana bengang di kalangan warganet yang rata-rata sanggup berkorban tidak mengunjungi ibubapa dan sanak saudara serta menziarah kubur bagi mengekang dan memutuskan rantaian Covid-19.

Walau divaksin penuh, Adun Taman Medan positif Covid-19

FMT Reporters

PETALING JAYA: ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus, disahkan positif Covid-19, walaupun selepas beliau lengkap menerima dua dos vaksin.

Katanya, beliau menjalani ujian saringan Covid-19 semalam kerana tidak sihat ketika cuti Aidilfitri dan mengetahui keputusan itu hari ini.

“Semasa Raya, saya demam, batuk, dan selsema. Hari ini saya rasa lebih baik berbanding Raya.

“Isteri saya, ibu mentua, dan dua anak saya juga positif. Kami tinggal di rumah yang sama. Tolong doakan kami sembuh,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Syamsul mengakui kebingungan selepas disahkan positif Covid-19 walaupun beliau antara wakil rakyat yang menerima vaksin semasa fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Difahamkan, beliau menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 10 Mac dan dos kedua pada 31 Mac lalu.

“Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan, mengapa saya masih dijangkiti Covid-19 setelah vaksinasi?” katanya.

Setakat ini, Syamsul menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu arahan lanjut dari Kementerian Kesihatan.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye sebelumnya memberitahu FMT bahawa walaupun vaksin melindungi seseorang daripada penyakit atau kematian yang teruk, ia tidak menghalangnya daripada dijangkiti.

Mereka yang telah divaksin tidak hanya dapat dijangkiti tetapi juga dapat menyebarkan virus.

Kajian sebelumnya menunjukkan bahawa dua dos vaksin Pfizer-BioNTech telah terbukti lebih daripada 95% berkesan terhadap jangkitan.

SELAGI MAHIADDIN TIDAK DITUKAR, NEGARA INI AKAN TERUS HARU-BIRU

Shahbudin Husin

Di ketika kes Covid19 terus menunjukkan angka peningkatan sebelum ini, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin pernah menyebut kerajaan tidak akan melaksanakan PKP 3.0.

Kemudian ketika PKP dikuatkuasakan di enam daerah di Selangor dan beberapa daerah di negeri-negeri lain, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob menyusul dengan memberi jaminan, PKP ini tidak akan diperluaskan ke seluruh negara.

Tetapi, dua hari selepas itu dan hanya beberapa hari menjelang 1 Syawal, Mahiaddin sendiri mengumumkan melalui kenyataan meddia tentang perlaksanaan PKP di seluruh negara.

Mahiaddin Perdana Menteri dan beliau juga yang mempengerusi semua mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, namun semua keputusan terlihat celaru dan haru-biru.

Serentak dengan itu, rakyat jadi bingung dan pening kepala dibuatnya.

Selain itu, pelbagai peraturan dan SOP turut diperkenalkan setiap kali PKP diumumkan.

Malangnya, yang kedapatan lebih dulu melanggar SOP ialah para menteri sendiri, termasuk Mahiaddin sendiri yang gambarnya tidak memakai pelitup muka telah pun tular di media sosial sejak sekian lama.

Malang lagi buat rakyat biasa, hanya mereka yang serta-merta didenda, tetapi tindakan, malah siasatan terhadap golongan kayangan bukan main lembab lagi dijalankan, siput babi merangkak pun lagi laju agaknya.

Azmin Ali yang dihebohkan menyambut hari raya di rumah rasminya bersama anak menantu yang sudah berkahwin, masih lagi dilaporkan dalam siasatan pihak berkuasa dan ternampak tak mustahil akan lepas begitu saja.

Walaupun siasatan awal polis dan pengakuan Azmin sendiri menggambarkan semua anak dan menantunya tinggal serumah di kediaman rasmi itu, persoalan lain ialah apakah anak dan menantunya yang sudah berumahtangga itu selama ini turut menumpang menikmati kemudahan bil api, air dan pembentungan percuma atas nama Azmin sebagai menteri?

Kalau begitu….wowww seronoknya, bukan saja hidup menteri ditanggung dengan duit cukai rakyat, tetapi juga anak, menantu dan cucu-cucu mereka sekali?

Beberapa menteri lain yang dipaparkan telah melanggar SOP juga seperti senyap begitu saja kes mereka.

Kali ini rakyat bukan saja celaru dan keliru, malah jadi marah dibuatnya

Bila mahu undi mereka, macam-macam dijanji, diberi harapan dan kononnya rakyat diutamakan, rupa-rupanya selepas menang, golongan kayangan jauh lebih didaulatkan.

Lantaran itu, kerajaan ini tidak ragu-ragu lagi dianggap sebagai kerajaan yang gagal iaitu gagal mengutamakan rakyat dan hanya mendahulukan puak-puak mereka semata-mata.

Setelah PKP 2.0 yang separuh masak, ditambah dengan darurat dan diikuti pula dengan PKP 3.0 yang banyak kelonggaran dilihat gagal membendung penularan wabak Covid19, kerajaan kini dilaporkan mahu memperkenalkan PKP sepenuhnya seperti PKP 1.0 dahulu di Selangor.

Ini kerana kes Covid19 di Selangor dalam sehari dua ini dilaporkan begitu tinggi dan terus menunjukkan peningkatan.

Melaksanakan PKP sepenuhnya di Selangor, tetapi masih ada kelonggaran di negeri-negeri lain, ia bukan saja suatu penganiayaan yang berpilih-pilih, lebih daripada itu ia juga menunjukkan sekali lagi kegagalan kerajaan dan Mahiaddin dalam membuat keputusan.

Jika PKP 2.0 atau PKP 3.0 dibuat sepenuhnya seperti PKP 1.0, keadaan mungkin tidak seburuk sekarang.

Sekarang, dengan PKP sepenuhnya mungkin dikuatkuasakan di Selangor, tetapi PKP yang longgar di negeri-negeri lain dibiarkan berterusan, tiada jaminan PKP 4.0, PKP 5.0, PKP 6.0 dan seterusnya tidak dilaksanakan.

Maknanya kita akan terus dibelenggu dan diburu oleh PKP demi PKP tanpa menentu.

Sebab apa?

Sebabnya tidak lain ialah kerana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak layak untuk menguruskan negara ini.

Sejak Mahiaddin memimpin negara melalui pengkhianatan, macam-macam kekeliruan, caca marba dan ketidaktentuan dalam keputusan yang dibuat oleh kerajaan dalam hal berkaitan PKP dan hal tersebut berlaku adalah bukti nyata tentang ketidakmampuannya.

Negara akan terus celaru, haru biru dan tidak menentu, manakala rakyat terpasong keletihan selagi Mahiaddin kekal lagi memimpin negara ini.

Apabila orang yang tidak layak dan tidak mampu menjadi ketua, dalam apa organisasi sekali pun, celaru dan haru-birulah jadinya.

Kalau kita ingin negara berubah dalam cara ia diurus dan cekap menangani krisis serta tidak membuatkan rakyat pening kepala, perubahan paling asas ialah Mahiaddin wajib diubah terlebih dahulu. (ShahbudinHusin 18/05/2021)

Malaysia catat 66 kes varian Afrika Selatan, 5 kes varian dari India

FAZLI RADZI

Malaysia sehingga kini mencatatkan 66 kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 dan lima kes dijangkiti varian dari India B.1.617.2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat kes tempatan yang dijangkiti varian Afrika Selatan telah dikesan di Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur.

Sebanyak lapan kluster dikesan mempunyai kes jangkitan varian Afrika Selatan dengan Kluster Jalan Canning Estate dan Kluster Kampung Bunut Sarang Burung mencatatkan bilangan tertinggi masing-masing 10 kes.

Ini diikuti Kluster Kebun Baru (9 kes), Kampung Domis (7), Jalan Lima (4), Teknologi Emas (3) manakala Bangkahulu dan Bayan Cenderawasih masing-masing mempunyai satu kes.

Bagi saringan kontak rapat terdapat 19 kes termasuk tiga kes baharu dijangkiti oleh varian South African B.1.351.

Muncul juga masing-masing satu kes dijangkiti varian tersebut iaitu jangkitan Covid-19 selepas divaksinasi dan saringan bergejala.

Sementara itu, tiga kes baharu Covid-19 melibatkan bukan warganegara yang dijangkiti varian dari India dengan dua daripadanya dikesan melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) manakala satu lagi hasil saringan bergejala.

“Kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke India,” katanya lagi.

Pukul, ludah anggota RELA kerana tak dapat masuk pasar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas memukul dan meludah seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana dipercayai berang tidak dibenarkan masuk ke pasar yang belum dibuka di Sitiawan, Perak, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 52 tahun itu juga mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa yang menjaga laluan pintu masuk di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan dalam kejadian jam 6.45 pagi di di sini Sabtu lalu yang turut tular di media sosial.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menahan suspek daripada masuk ke pasar itu yang hanya akan dibuka pada 7 pagi.

“Suspek tidak menghiraukan arahan dan tetap masuk ke pasar, menyebabkan berlaku pergelutan dan suspek dikatakan memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, mangsa yang berumur 45 tahun membuat laporan polis dan suspek ditangkap pada 8.50 malam semalam bagi membantu siasatan.

Nor Omar berkata semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan direman empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Polis siasat wanita tumbuk, baling pisau ke arah pegawai MBPP

Bernama

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata siasatan mendapati wanita itu sering membuat kecoh setiap kali datang ke pasar berkenaan. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Polis sedang berusaha mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian menumbuk dan membaling pisau ke arah pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti identiti wanita dipercayai berusia 40-an itu.

Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai MBPP pada pukul 1.38 tengah hari semalam, yang memberitahu bahawa kejadian bermula apabila wanita itu ditegur kerana memasuki pasar berkenaan tanpa mengikut laluan masuk yang ditetapkan, di samping tidak memakai pelitup muka.

Katanya wanita yang berang itu kemudiannya bertindak menumbuk perut salah seorang pegawai MBPP itu sebelum masuk ke dalam pasar dan membaling pisau ke arah mereka.

Siasatan mendapati wanita itu sering membuat kecoh setiap kali datang ke pasar berkenaan.

“Polis sedang berusaha mengesan wanita itu, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menyalurkannya kepada kami.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berhimpun ketika raya: Neelofa sekali lagi didakwa langgar SOP

Malaysiakini

Sekali lagi kisah keluarga selebriti Noor Neelofa Mohd Noor mengundang perhatian di media sosial apabila mereka didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melakukan ziarah sempena Aidilfitri.

Melalui klip video dikongsi pengguna Twitter, anggota keluarga berkenaan - termasuk Neelofa dan suami, Haris Ismail - dilihat berpelukan dan bersalam-salaman pada kejadian dipercayai berlaku pada 1 Syawal lalu.

Video itu dikatakan telah dikongsikan sendiri oleh kakaknya, Noor Nabila namun telah dipadam dalam tempoh yang singkat.

“1 Syawal yang penuh mulia,” tulis Nabila pada kapsyen mengiringi video berkenaan.

Selain Neelofa, turut kelihatan dalam video berkenaan adalah Nabila dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin serta anaknya, Engku Aleesya. Ibu Neelofa, Noor Kartini Noor Mohamed dan suaminya, Abdul Halim Khan Lall Khan juga kelihatan.

Ia mengundang pertikaian ramai kerana mencetuskan tanda tanya apakah mereka semua tinggal sebumbung.

SOP sambutan Aidilfitri melarang kunjungan ke rumah.

Polis berkata pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara terbabit dan siasatan kini dijalankan mengikut Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Menurut Utusan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian itu disyaki berlaku di kediaman Neelofa di Hulu Kelang di Ampang, Selangor.

“Kita akan memanggil yang terlibat dalam aktiviti beraya itu untuk diambil keterangan,” katanya seperti dipetik.

Neelofa dan 20 anggota keluarganya sebelum ini dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM60,000 berikutan majlis perkahwinan selebriti itu pada 27 Mac lalu yang didapati tidak mengikut SOP.

Bekas pengacara berusia 32 tahun itu dan Haris atau PU Riz juga masing-masing dikenakan kompaun RM10, 000 kerana melanggar kebenaran untuk merentas negeri.

Pada masa ini, pasangan itu sedang disiasat atas dakwaan membuat pergerakan merentas daerah untuk ke Nilai 3 di Negeri Sembilan.

Terdahulu, beberapa pihak telah mengundang kritikan kerana melanggar SOP pada Hari Raya, termasuk dua orang exco Terengganu yang telah didenda RM2,000.

Walau negara kena PKP, aliran trafik dari Pantai Timur sesak teruk

FAZLI RADZI

Trafik sesak teruk sepanjang 3.3 kilometer sebelum keluar Plaza Tol Gombak menghala ke Kuala Lumpur setakat jam 6 petang tadi.

Situasi laluan dari Pantai Timur itu dilaporkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Twitter berserta foto rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan jalan dari arah bertentangan dilihat agak lengang.

Pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya tersebut pada 5 Syawal hari ini serentak berakhirnya cuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, aliran trafik sesak itu mencetuskan persoalan sejauhmana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan larangan rentas daerah dan negeri bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun dipatuhi orang ramai. 

Sebelum ini, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak dilapor menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 pada hari biasa.

Namun, angka tersebut melonjak sehingga 180,000 kenderaan, sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal sewaktu musim balik kampung semasa perayaan.

Negara sedang berdepan kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing akibat gelombang ketiga Covid-19 dengan kewujudan sejumlah varian baharu yang mencetuskan kadar jangkitan lebih tinggi.

Hari ini terdapat lagi 4,446 kes baharu Covid-19 dengan 43,506 kes aktif dengan jumlah kematian sebanyak 1,947 kes.

Daripada 4,446 kes hari ini, Kelantan mencatatkan 343 kes, diikuti Terengganu (201) dan Pahang 139 kes.

Parah dibelasah suami, wanita hamil anak sulung kini bertarung nyawa di ICU

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita yang hamil anak pertama, parah dan kini terlantar di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas dipercayai dibelasah suami di rumahnya di Larkin, Johor, pada 4 Mei lalu.

Mangsa berusia 43 tahun, yang juga kakitangan awam kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.

Adik mangsa dikenali sebagai Fazariah mendakwa, kakaknya yang berkahwin pada 7 September tahun lalu dimasukkan ke ICU HSA pada 4 Mei lalu selepas dihantar suaminya yang berusia 38 tahun.

“Saya terima panggilan daripada abang ipar sehari kemudian (5 Mei). Dia beritahu kakak dimasukkan ke hospital kerana cedera. Dia beritahu ada tolak sikit sebelum kakak terjatuh dan minta maaf,” katanya menurut laporan Kosmo!. 

Fazariah yang bergegas ke HSA dari Sungai Udang, Melaka, bagaimanapun terkejut apabila mendapati kepala dan badan kakaknya dipenuhi wayar dan sedang bertarung nyawa di ICU dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut wanita itu, tengkorak kepala kakaknya terpaksa dibuang bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk disebabkan berlaku pendarahan pada otak.

“Doktor memaklumkan harapan kakak untuk pulih seperti sedia kala adalah tipis,” katanya sambil memberitahu mangsa baru disahkan mengandung empat minggu.

Adik mangsa mendakwa, dia tidak mengetahui punca pasangan tersebut bergaduh kerana kakaknya jarang mengadu mengenai kisah rumahtangganya.

Berdasarkan maklumat rakan sekerja, mangsa juga kerap dilihat mengalami lebam di muka dan tangan.

“Kami tak sangka abang ipar tergamak bersikap ganas. Saya tidak tahu pekerjaannya, kami sekeluarga ada bertanya tetapi dia mengelak,” dakwanya.

Susulan kejadian itu, Fazariah membuat laporan di Balai Polis Larkin, 6 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain, mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut kes berkenaan sedang dijalankan termasuk usaha mengesan suspek.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Najib: Mana kenyataan polis isu Adun PN didakwa rancang insiden rogol?

Malaysiakini 

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan tindakan polis yang menurutnya tidak serta-merta mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan Adun Perikatan Nasional (PN) "merancang" insiden rogol.

Sedangkan, kata ahli parlimen Pekan itu, polis pantas mengeluarkan kenyataan apabila dia dilapor terlupa mengimbas MySejahtera sebelum masuk restoran.

"Berita Najib lupa scan MySejahtera tular, kenyataan polis terus keluar. Berita Dr Mahathir Mohamad lupa scan, kenyataan, polis serta-merta keluar.

"Sebab itu saya pelik kenapa pihak polis belum sempat keluar apa-apa kenyataan berhubung kes seorang gadis membuat laporan polis untuk dakwa Adun PN rancang insiden rogolnya," katanya di Facebook hari ini.

Najib merujuk dakwaan seorang wanita yang mendakwa dirogol kenalan kepada Adun Gombak Setia, Hilman Idham.

Wanita itu mendakwa ahli politik dari Bersatu berkenaan merancang insiden yang berlaku pada 5 Dis lalu.

Menurut laporan polis pada 8 Mei, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah hotel di Selangor, yang pada masa itu berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

"Mereka nyanyi dalam bilik VIP KTV di hotel sampai awal pagi walaupun KTV tidak dibenar beroperasi semasa PKPB dilaksanakan masa itu.

"Mangsa juga sahkan klip video CCTV menunjukkan mereka masuk bilik hotel yang telah tular adalah sahih.

"Tapi belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak polis sehingga kini," kata Najib.

Untuk rekod, pada 7 Mei, Najib didenda RM3,000 kerana tidak mengimbas suhu dan MySejahtera sebelum menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam di Kuala Lumpur.

Sementara Mahathir dituduh melakukan kesalahan serupa ketika menghadiri majlis di Langkawi pada 8 Mei.

"Ramai tertanya-tanya adakah kes rogol tak sama penting dengan kes lupa scan MySejahtera? Mohon ada update.

"Update juga perkembangan kes suami dan anak-anak seseorang VVIP itu yang didakwa menerima hampir RM700 juta dari Jho Low untuk disimpan di akaun bank negara jiran. Kenyataan polis dikeluarkan pada awal Mac tapi masih tiada update setelah tempoh 2 1/2 bulan berlalu," katanya.

Warganet berang disuruh Nik Abduh ‘jangan cakap banyak’ pasal soal derma sampai ke Palestin atau tak

Nora Mahpar

Tangkap layar catatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, di Facebook yang menyuruh penderma supaya ‘jangan sibukkan diri bertanya hal yang sukar’.

PETALING JAYA: Kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, mahukan orang ramai menyumbang kepada tabung Palestin tanpa “cakap banyak” atau “sibuk bertanya hal yang sukar,” mengundang pelbagai kecaman daripada warganet.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, Allah memelihara bumi Palestin dengan keikhlasan, bukan dengan wang ringgit.

“Derma tak sampai ke Palestin? Apabila wang anda berpindah daripada tangan anda ke tabung Palestin, Allah menerimanya.

“Pada tahap mana ikhlas dan taqwa anda, Allah memeliharanya untuk anda sebagai pahala jihad di akhirat nanti,” katanya.

Justeru, katanya: “Jangan sibukkan diri bertanya hal yang sukar, Palestin itu bumi jihad dan perang. Rukunnya, lakukan dan jangan cakap banyak.”

Pengguna Facebook, Mar Mariani menyifatkan kenyataan Nik Abduh sebagai tersasar dan khuatir ia diguna pakai oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mana mungkin kita tidak boleh persoal ke mana duit kita pergi. Seronok la penipu-penipu yang berselindung di sebalik ‘infaq’ nanti,” katanya.

Seorang lagi warganet, ZulKhairi Zakaria, berkata sekiranya sumbangan itu tidak sampai kepada penerima, ia bermakna proses dan sistem di negara ini masih lemah.

“Adakah sebagai Islam, boleh terus terima kekurangan macam ini tanpa ada usaha nak perbetulkan? Kalau macam itu senang la nak jadi ‘scammer’. Asal suruh orang reda saja,” katanya.

Ahmad Haikal pula berpendapat penderma berhak mengetahui sama ada sumbangan itu sampai atau tidak kepada golongan sasaran.

“Ramai orang ambil kesempatan dan yang memerlukan atau tertindas akan berterusan… kita nak cari penyelesaian bukannya pertolongan kita hilang atas angin,” tegasnya.

Seorang lagi warganet, Md Zul memberi peringatan bahawa lazimnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil untung atas angin dengan mengambil 30% daripada nilai sumbangan diterima.

“Ramai terkena (sebelum) ini dan tak telus dalam pengurusan,” katanya.

Teguran Nik Abduh itu menyusul setelah PAS dan kira-kira 40 NGO melancarkan tabung #Aid4Palestine untuk mendapatkan sumbangan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan rejim Tel Aviv.

Penubuhan tabung itu diumumkan presiden PAS yang juga duta khas ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang.

Puluhan penduduk Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam keganasan terbaru rejim Tel Aviv yang mensasarkan kediaman orang ramai dalam serangan udara sejak beberapa hari lalu.

Netanyahu mahu serang Hamas habis-habisan

MALAYSIA DATELINE

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran operasi ketenteraan Israel terhadap Hamas akan diteruskan ‘dengan kekuatan penuh’.

Beliau berkata, Israel akan bertindak sekarang selama mana mereka perlu bagi memulihkan ketenangan dan mengakui walaupun ianya akan memakan masa.

“Kami bertindak sekarang, selama perlu, untuk memulihkan ketenangan … Ini akan memakan masa,” Mr Netanyahu memberi amaran sepertimana dipetik BBC News.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan PBB mengadakan pertemuan darurat, dengan orang tengah antarabangsa berharap dapat melakukan gencatan senjata.

Setiausaha Jeneral PBB Antonio Guterres membuka pertemuan itu dengan menggambarkan kekerasan itu “sangat mengerikan” dan mengatakan pertempuran harus segera dihentikan.

Serangan udara Israel di Gaza tepat selepas tengah malam pada hari Ahad, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga bangunan runtuh dan puluhan kematian.

Sehingga kini 42 orang, termasuk 16 wanita dan 10 kanak-kanak, mati dalam serangan udara Israel terbaru.

Sepuluh orang, termasuk dua kanak-kanak, telah terbunuh dalam serangan roket ke atas Israel sejak Isnin, kata Israel.

Angka kematian keseluruhan di Gaza kini berjumlah 197 orang, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita, dengan 1.235 cedera, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas. Israel mengatakan puluhan militan adalah antara yang terkorban.