Diceraikan setelah hamil anak rakan sepejabat
Rafizi kembali cetus semangat juang ahli
MUAMMAR GHADAFI MOHD NASIR
‘Comeback’ atau kembalinya Sdr Rafizi Ramli ke pentas politik ternyata menyuntik semangat baharu terutama kepada pendokong parti KEADILAN setelah nasib buruk menimpa parti terbabit dan Pakatan Harapan dalam beberapa siri pilihan raya.
Beliau seolah membawa satu nafas segar dalam politik Keadilan dan Pakatan Harapan apabila mengumumkan untuk kembali merebut jawatan timbalan presiden parti.
Tewas besar dalam PRN Johor, menjadi satu tamparan yang cukup besar kepada Pakatan Harapan, dan Keadilan.
Namun situasi buruk Keadilan dan Pakatan Harapan tersebut telah membentuk timing yang tepat kepada Rafizi untuk kembali.
Ahli ahli Keadilan khususnya dilihat kembali bersemangat, kenyataan dan tulisan Rafizi dikongsi diserata media sosial dan komunikasi yang ada menandakan keterujaan mereka.
Kembalinya Rafizi pasti turut mengujakan rakan parti komponen.
Namun, pada masa yang sama turut wujud kejanggalan dalam hubungan antara pemimpin kedua parti dan Rafizi sebelum ini apabila dikatakan Rafizi kecewa dengan pemimpin AMANAH, dan DAP yang tidak bersuara ketika Mahathir sabotaj parti Keadilan sewaktu menjadi Perdana Menteri dengan melantik kumpulan Pro Azmin sebagai Menteri dan menafikan beberapa sosok penting yang pro Anwar- Rafizi dalam Keadilan sehingga seolah dilihat menyuntik kekuatan kepada musuh Rafizi dalam parti.
Sehingga kini, tiada ucapan dari mana mana pimpinan AMANAH mahupun DAP meraikan kembalinya Rafizi. Tetapi deep down mereka pasti turut teruja dengan idea dibawa pengasas INVOKE itu.
Kritikan Rafizi terhadap idea khemah besar dan ketiadaan respon pemimpin Pakatan Harapan terhadap kritikan ini menunjukkan sisi bahawa mereka sememangnya turut mahu tahu lebih tentang idea Rafizi.
Umumnya pemimpin AMANAH, DAP tidak perlu terkesan dengan kritikan Rafizi, kerana kritikan beliau terhadap ketua beliau sendiri adalah lebih keras dan mendalam. Tiada siapa dalam kalangan pemimpin pembangkang yang secara terbuka menyebut KEADILAN dimainkan hidup hidup oleh Umno;
“KEADILAN boleh dimainkan hidup-hidup oleh helah UMNO konon untuk menyokong calon KEADILAN menjadi Perdana Menteri, seolah-olah KEADILAN tidak kenal siapa Umno”.
Nah, jadi kritikan lain itu jauh lebih ringan bunyinya.
Ramai penggerak politik PH, lesu dengan kekalahan berturut turut, sama keadaannya ketika BN tumbang pada PRU14 lalu, ramai ahlinya hilang semangat, lesu bahkan lari tetapi Najib Razak telah menjadi penyuntik semangat kepada ahli parti Umno dan BN untuk terus kekal berjuang.
Begitulah apabila tumbang kerajaan PH, dengan kegagalan mendapat kembali mandat sehinggalah kekalahan berturut turut dalam beberapa siri PRN, ahli Keadilan dan Pakatan Harapan semakin hilang motivasi, ada yang menyepi hilang, hatta di group whatapps sunyi, ternyata kesan kehadiran Rafizi turut menjadi penyuntik semangat, booster kepada aktivis Keadilan dan Pakatan Harapan.
Hanipa: Tahanan SOSMA diperlaku seperti binatang
‘Tahanan SOSMA diperlaku seperti binatang, kalau tidak boleh faham maqasid syariah, tanya dengan ustaz Pas’
FAZLI RADZI
Tahanan SOSMA diperlaku seperti binatang, tegas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.
Beliau bercakap atas pengalamannya sendiri sebagai peguam yang pernah mengendalikan kes-kes SOSMA termasuk pernah berunding di penjara apabila tahanan SOSMA mogok lapar.
Itu sebabnya Hanipa dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) semasa undian belah bahagian, 23 Mac lalu antara 86 Ahli Parlimen yang menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.
Berikut hujah penuh Hanipa Maidin ketika membahaskan usul berkaitan akta tersebut:
Saya membantah usul ini. Setelah saya mendengar ucapan daripada Yang Berhormat Menteri, saya boleh buat kesimpulan beliau tidak memahami SOSMA sebenarnya tetapi beliau kelihatannya nampak macam faham tetapi sebenarnya tidak faham.
Kalau beliau faham, beliau tentu tahu tidak boleh terima SOSMA ini. Saya beri contoh Tuan Yang di-Pertua, tengok seksyen 30 SOSMA itu yang mana seksyen 30 mengatakan memberikan satu kuasa yang amat besar kepada pendakwa raya hingga mahkamah pun diikat tangan mereka.
Saya beri contoh Tuan Yang di-Pertua, katakan mahkamah membebaskan seseorang, pendakwa raya
hanya boleh bangun di mahkamah mengatakan, “Yang Arif, saya minta supaya orang yang kena tuduh ini walaupun dibebaskan, masih lagi dipenjarakan”.
Mahkamah tidak ada pilihan, terpaksa mendengar cakap Peguam Negara ataupun pendakwa. Pergi rayuan pula, begitu juga dibebaskan, masih boleh lagi ditahan.
Ini Tuan Yang di-Pertua, dalam seksyen 30 SOSMA. Oleh sebab itu, bagi saya, kalau kita bercakap tentang SOSMA ini, Yang Berhormat Menteri mengatakan bahawa ia adalah selaras dengan maqasid syariah. Sekali lagi, saya rasa dia tidak faham apa maqasid syariah itu.
Tuan Yang di-Pertua, seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Shah Alam, apabila dia bercakap soal syariah, tidak boleh lari daripada syariah.
Antara prinsip syariah itu adalah Islam melarang kezaliman. Salah satu petikan daripada hadis Qudsi. [Membaca sepotong hadis] “Wahai hambaku, Allah mengatakan Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku”.
Maknanya, kezaliman ini satu perkara yang tidak boleh langsung kita kompromi. Jadi, sebab itu dalam Islam, ia menyeru kepada absolute justice. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Tengok surah Al-Maidah ayat 28.
Tuan Yang di-Pertua, saya boleh bersyarah bagi lima jam. Lima minit mungkin tidak cukup.
Tuan Yang di-Pertua, SOSMA ini adalah satu undang-undang yang begitu zalim Tuan Yang di-Pertua. Seperti mana kata Yang Berhormat Kulai, ia adalah undang-undang procedural.
Undang-undang ini memang undang-undang yang tidak boleh sepatutnya kita pertahankan. Sepatutnya kita sama-sama menentang.
Masalahnya bukan kita menentang ataupun kita menyokong keganasan dan sebagainya, itu bukan isunya. Isunya adalah walaupun kita hendak menegakkan undang-undang, kita mesti memikirkan soal keadilan.
Keadilan ini bersifat mutlak dan keadilan mesti diberikan kepada semua orang walaupun kepada orang yang kena tuduh, walaupun kita benci kepada dia.
Tuan Yang di-Pertua, saya bercakap ini atas banyak kapasiti. Kapasiti sebagai seorang Ahli Parlimen, sebagai seorang mantan Timbalan Menteri Undang-undang, sebagai seorang peguam yang pernah buat kes-kes SOSMA ini, sebagai seorang yang pernah berunding di penjara apabila tahanan SOSMA mogok lapar.
Mereka menyatakan bagaimana mereka diperlakukan seperti binatang Tuan Yang di-Pertua.
Jadi, saya rasa Tuan Yang di-Pertua, segala yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri sebenarnya bagi saya fake news, minta maaf.
'Tahanan SOSMA diperlaku seperti binatang, kalau tidak boleh faham maqasid syariah, tanya dengan ustaz-ustaz Pas'
Usaha mendapatkan hak dibicara secara adil masih panjang selagi wujud akta drakonian.
Oleh sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, saya mengharapkan supaya kerajaan ini kembali kepada senses supaya kita melihat isu ini dengan lebih menyeluruh bahawa kita bukan menyokong sebarang tindakan-tindakan yang cuba mencederakan orang dan sebagainya.
Itu bagi saya, seperti mana kata Yang Berhormat Ipoh Barat, kita semua sayang Malaysia tetapi kita tidak boleh sama sekali compromise isu kezaliman. Ini perkara yang kita tidak boleh compromise. Walau dalam apa keadaan sekalipun tidak boleh kita compromise kezaliman ini.
Oleh sebab itu, saya menyeru Tuan Yang di-Pertua, kalau hendak bercakap tentang soal maqasid syariah itu, kita kena faham juga satu kaedah dalam Islam dipanggil, [Berucap dalam bahasa Arab]
“Kalau kamu hendak menghukum satu-satu perkara, kamu kena melihat hukuman itu sebahagian daripada tasawur kamu”.
Kalau kamu tidak faham maqasid syariah, macam mana kamu boleh buat satu hukuman – ini adalah disarankan oleh maqasid syariah. Kamu tidak faham maqasid syariah itu apa.
Maqasid syariah ini bukan sekadar kita kata menjaga lima perkara itu, bukan itu sahaja. Ia lebih besar daripada itu. Baca buku Abdul Rahman Taj, seorang ulama hebat.
Baca buku Ibnu Asyur, baca buku ulama terkenal dari Maghribi. Ramai sangat ulama yang menulis tentang maqasid syariah, bukan baca tulisan yang telah diprepare itu. Baca kitab Arab baru boleh faham. Kalau tidak boleh faham, tanya dengan ustaz-ustaz Pas itu tetapi mereka pun dua kali lima juga masalahnya. [Ketawa]
Saya sekali lagi ingin mengatakan bahawa saya menentang ini dan saya punya pendirian secara peribadi, SOSMA ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bercanggah dengan Perkara 149(2) Perlembagaan.
Akan tetapi Tuan Yang diPertua, saya hendak tegaskan. Andai kata Yang Berhormat Pekan ditahan di bawah SOSMA, saya pun menentang sebab kita tidak boleh.
Walaupun saya benci betul dengan Yang Berhormat Pekan ini kerana dia telah merosakkan negara tetapi kalau dia ditahan di bawah SOSMA, sayalah orang pertama yang akan menentang penahanan itu kerana bagi saya Islam ajar, seperti saya katakan tadi dalam surah Al-Maidah ayat 28 very clear. [Membaca sepotong ayat Al-Quran]
Tuan Yang di-Pertua, kalau baca kitab-kitab tafsir, syana’a itu Tuan Yang diPertua, kebencian yang paling teruk sekali pun tidak boleh kita benci, tidak boleh kita berlaku tidak adil.
Itulah sifat Islam absolute justice. Jadi, Tuan Yang di-Pertua saya rasa, tidak sepatutlah kita sama-sama boleh meluluskan undang-undang ini.
Saya harap – saya sendiri akan tentang undang-undang ini dan saya rasa pihak PH kita semua menentang SOSMA bukan bermakna kita menyokong keganasan dan sebagainya. Sekian, terima kasih.
Tak adil tuduh saya tarik diri, saya ada 14 kes dan penjara 5 tahun - Rafizi
Malaysiakini
Rafizi Ramli berdepan pelbagai kritikan susulan keputusannya untuk meninggalkan arena politik pada penghujung 2018, sejurus selepas tewas tipis kepada Azmin Ali dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.
Pengkritik berkata bekas ahli parlimen Pandan itu, yang sebelum ini dilihat sebagai antara penasihat rapat presiden PKR Anwar Ibrahim, mempunyai kecenderungan untuk menarik diri apabila keadaan tidak menjadi seperti yang diharapkannya.
Tetapi Rafizi berkata itu adalah penilaian yang tidak adil terhadap keputusannya untuk bercuti daripada dunia politik ketika itu.
“Itu benar-benar tidak adil kerana saya mempunyai 14 kes. Saya sudah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun. Saya tidak menarik diri,” hujahnya.
Bercakap kepada Malaysiakini dalam temu bual di pejabatnya di Sungai Besi, Kuala Lupur, baru-baru ini, Rafizi menjelaskan keputusannya untuk bercuti adalah kerana merasakan dirinya tidak mendapat tempat dalam Pakatan Harapan (PH) yang begitu menyanjung dan menghormati bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, ketika itu.
Tidak sehaluan
Katanya, selepas pilihan raya umum lalu, dia tidak sehaluan dengan kepimpinan PH yang berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk menerima Mahathir. Ini, katanya di sebalik segala sumbangannya pada pilihan raya umum lalu.
Malah, katanya, pandangan berbezanya ketika itu dilihat sebagai faktor yang akan menyebaban ketidakstabilan PH.
“Saya faham proses pemikiran kepimpinan (PH) pada masa itu... jadi apa pilihan yang kamu rasa saya ada?
“Perkara terbaik ialah menerimanya, mudah-mudahan mereka dapat melaksanakan mandat dan amanah yang diberikan kepada mereka. Nah, saya telah memainkan peranan saya, saya fahami kedudukan saya dan saya bergerak ke hadapan,” katanya.
Menurut Rafizi, dia sebenarnya tidak berniat untuk kembali berpolitik sehingga menyaksikan prestasi buruk PH pada pilihan raya umum Johor.
Pada pilihan raya mengejut itu, PH terjerumus kepada keputusan seperti apa yang dicapainya pada zaman pra-2004 apabila ia hanya berjaya memperoleh kira-kira 10 peratus undi daripada “pengundi atas pagar” - iaitu bukan penyokong tetap mana-mana parti.
Lebih teruk, Rafizi berkata, kini terdapat satu lagi gabungan - Perikatan Nasional (PN) - yang berjaya meraih 25 hingga 30 peratus sokongan pengundi.
Tidak tahan lama
Ini mungkin menyaksikan PKR dan PH terjerumus dan menduduki tangga ketiga dalam sistem pakatan pelbagai parti, katanya.
"Mana-mana saja di dunia, parti ketiga tak akan tahan lama,” kata Rafizi.
Dia berkata, jika PH menjadi kuasa ketiga, semua hasil usaha pembangkang sepanjang dua hingga tiga dekad lalu akan kembali kepada asal.
“Kerana apa yang kita berdepan sekarang adalah senario, jika dua gabungan terbesar di Parlimen adalah parti-parti berpaksikan Melayu dan tanpa perbezaan idea dalam pendekatan mereka terhadap dasar ekonomi, maka pengundi hanya akan bangun sedar lima, enam tahun lagi dan sedar. bahawa kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan,” tambahnya.
Rafizi sebelum ini telah mengumumkan dirinya kembali dalam arena politi dan berkata dia akan menawarkan dirinya sebagai calon timbalan presiden PKR dalam pemilihan kepimpinan nasional parti itu yang akan datang.
Intai kerusi Parlimen
Bekas ahli parlimen itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia juga ingin bertanding semula di kerusi Parlimen, jika diberi peluang oleh PKR.
“Adalah jelas bahawa jika kita ingin menarik sokongan pengundi atas pagar sekali lagi, saya perlu bertanding di kerusi Parlimen sekali lagi.
“Sama ada saya menang (jawatan) timbalan presiden (PKR) atau tidak, itu soal kedua. Terus terang saya kata, fokus menang kerusi adalah lebih utama,” kata Rafizi.
Rakyat mengharapkan ahli parlimen tertentu, supaya lebih aktif, terutamanya berkaitan aktiviti mereka di Parlimen, tambahnya.
"Jadi jika cara saya di Parlimen diperlukan, itu adalah sesuatu yang boleh kita fokuskan juga, bukan sekadar jadi timbalan presiden parti."
Bagaimanapun, bercakap mengenai kerusi yang ingin ditandinginya, dia berkata keputusan itu akan diserahkan kepada parti.
Rafizi tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Tiga bulan sebelum PRU14, dia dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah membocorkan butiran perbankan sulit milik National Feedlot Corporation (NFC) pada Mac 2012.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hilang kelayakan menjadi ahli parlimen jika telah dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000.
Musang King: Rakyat Kelantan berlinangan air mata dihalang cari kekayaan di bumi sendiri
NASUHA RAHMAN
Seorang rakyat Kelantan bernama Rosman dengan berlinangan air mata mengirimkan beberapa keping gambar kepada bekas ADUN Salor Husam Musa kerana dinafikan mencari kekayaan di negeri kelahirannya.
Dalam entri terkini menurut Husam Musa, Rosman mendedahkan beberapa gambar dan rakaman kebunnya di Kampung Sungai Durian telah dimusnahkan.
“Untuk tatapan rakyat Kelantan,”katanya kepada Husam.
Musang King: Rakyat Kelantan berlinangan air mata dihalang cari kekayaan di bumi sendiri
Peluang dan ruang luas kepada ‘anak luar’ tetapi anak Kelantan sendiri tidak dapat.
Menurut Rosman rakyat Kelantan yang sudah puluhan tahun meneroka tanah membuat dusun dan bertanam getah untuk mencari ruang kekayaan di bumi sendiri dihalang kerana bertindih dengan hutan simpan dan lebih malang kebun pula dimusnahkan.
“Hendak mohon pun sukar sekali mendapat kelulusan.
“Untuk ‘Orang Luar’ boleh pula hutan-hutan yang kaya dengan khazanah dibersihkan!
“Saya menghargai rintihan beliau dan menyiarkan foto dan clip yang beliau rakamkan. Ladang Musang King di Sungai Durian Kelantan kita. Sekalipun tentunya rakaman beliau tak setara profesional,” tambah Husam.
Husam juga mempersoalkan tindakan kerajaan Kelantan yang memberi peluang dan ruang luas kepada ‘anak luar’ tetapi anak Kelantan sendiri tidak dapat.
Beliau juga mendedahkan seorang lagi pekebun durian juga anak jati Kelantan Lokman Isa terpaksa membangunkan sendiri kebun Musang King seluas 18 ekar tetapi di Jerantut.
Lokman pernah berjumpa Exco Pertanian Kelantan dan menawarkan khidmat dan pandangan profesional tentang bagaimana Kerajaan Kelantan patut tolong anak Kelantan sendiri bagi membangunkan perniagaan Musang King malangnya, hampa.
“Beliau adalah antara pengasas teknologi sejuk beku durian sejak 1995. Melalui hasil kajian beliau, ramai peniaga sejuk beku durian Musang King mendapat faedah sehingga mereka muncul sebagai pengeksport Musang King terkenal.
“Menangis tak guna. Bumi tergadai jua. Kata orang, wang juga dipandang orang,” kata Husam.
Sebelum ini, bekas jurulatih badminton China, Li Yongbo telah mendapat peluang menanam durian Musang King di Hutan Sg Durian di Kelantan di mana dahulunya ia sebuah hutan yang indah dan berharga.
Bahkan Li Yongbo turut berkata beliau tidak pernah terfikir akhirnya membuka kebun durian di tengah-tengah hutan.
PH sepatutnya sasar hanya 80 kerusi pada PRU15 - Rafizi
Malaysiakini
Penanda aras realistik buat Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang ialah memenangi kira-kira 80 kerusi parlimen, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Rafizi - yang kembali aktif dalam arena politik - berkata PH perlu mula menggandakan usaha merayu kepada pengundi pada kadar segera bagi mengelakkan mereka terkubur pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
Merujuk prestasi buruk PH pada pilihan raya mengejut Johor, dia memberi amaran bahawa pakatan pembangkang berdepan dengan masalah kerana Johor adalah "mikrokosma Malaysia secara keseluruhan".
“Yang terbaik yang saya harapkan secara realistik sekarang ialah memastikan PH kekal utuh sebagai blok pembangkang terbesar di Parlimen selepas pilihan raya umum akan datang.
“Apa yang kita tidak mahu ialah bukan sahaja kita kalah, tetapi kita menjadi blok ketiga atau keempat di Parlimen kerana itu bermakna PH semakin hilang relevan dan itu berbahaya.
“Jadi, secara realistik, kita seharusnya cuba memenangi kira-kira 80 kerusi pada pilihan raya umum akan datang kerana saya fikir 80 kerusi adalah penanda aras yang perlu kita sasarkan untuk kekal sebagai blok terbesar atau kedua terbesar di Parlimen,” kata Rafizi kepada Malaysiakini dalam satu wawancara di pejabatnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Antara isu yang terus menghantui PH adalah perdebatan sama ada Presiden PKR Anwar Ibrahim masih merupakan calon perdana menteri yang sesuai untuk gabungan pembangkang atau sudah tiba masanya mereka mencari pemimpin lain.
Selepas prestasi buruk PH pada pilihan raya negeri Melaka, Sarawak dan Johor, terdapat kritikan yang semakin memuncak mengenai kerelevanan Anwar serta desakan agar dia berundur sebagai ketua pembangkang.
Siapa calon terbaik PM
Namun, Rafizi percaya Anwar masih adalah calon perdana menteri terbaik buat PH ketika ini, tetapi yang lebih penting, katanya, mereka perlu kekal fokus dan bersatu padu dan bukannya mempertikaikan calon perdana menteri.
“Jika Anwar berundur hari ini - dan menjelang pilihan raya umum - kotak Pandora akan terbuka mengenai siapa calon perdana menteri terbaik.
“Kemungkinan besar, pertengkaran tidak akan berakhir. Setiap orang akan mempunyai pendapat masing-masing dan tidak ada seorang pun yang akan mendapat sokongan oleh ketiga-tiga parti.
"Tidak kira apa yang orang katakan tentang Anwar, terutamanya tentang apa yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas, hakikatnya dia masih kekal sebagai calon perdana menteri terbaik untuk memimpin PH dalam pilihan raya umum akan datang," kata Rafizi.
Menurut bekas ahli parlimen Pandan itu, PH tidak sepatutnya bercakap mengenai calon perdana menteri sama sekali, kerana ia bukan perkara yang paling dipedulikan oleh majoriti pengundi.
Konsep ‘kemah besar’
Walaupun mengakui pengundi bandar cenderung mengambil berat tentang calon perdana menteri, Rafizi berkata pengundi muda, pengundi kali pertama dan pengundi ekonomi sebenarnya tidak mengambil berat perkara sedemikian.
"Bagi mereka, semuanya sama. Kita telah tukar tiga perdana menteri, masing-masing masih tidak dapat menyelesaikan masalah kita.
“Jadi mereka mengundi dengan penuh keterujaan bahawa mungkin ada sesuatu yang berfaedah daripada calon-calon ini, mereka mengundi kerana percaya bahawa individu berkenaan ikhlas tentang apa yang mahu dilakukan, mereka mengundi kerana teruja bahawa orang ini cekap dan mereka mampu mengajar saya sesuatu melampaui retorik,” katanya.
Selain itu, bercanggahan dengan pegangan oleh kebanyakan pemimpin PH, Rafizi tidak percaya dengan pendekatan konsep "khemah besar" yang katanya, tidak akan membawa banyak manfaat kepada gabungan itu sekarang.
Tiada nilai tambah
Daripada mencari rakan kongsi baru yang berkemungkinan tidak mampu menawan sokongan pengundi baru kepada PH, dia berkata gabungan itu perlu memberi tumpuan dalaman dan memperbaiki diri mereka sebagai satu produk kepada pengundi terlebih dahulu.
“Setakat ini, kamu tahu saya menentang konsep yang dipanggil 'khemah besar' ini. Bukan kerana apa-apa, cuma data menunjukkan sebaliknya.
"Pendekatan untuk sebuah khemah besar adalah mengambil pandangan yang mudah tentang kecenderungan pengundi," katanya.
“Mereka yang menyokong pendekatan khemah besar ini berpendapat jumlah undi parti tertentu akan membawa kemenangan kepada PH, tetapi tidak semestinya undi berkenaan akan pergi ke PH.
"Pendekatan khemah besar tidak mengambil kira kemungkinan ini. Ia mengandaikan bahawa jika kita kurangkan bilangan parti yang bertanding, undi akan diberikan secara automatik kepada kita. Bukan macam itu,” katanya.
Terdapat juga persoalan jika kerjasama dengan parti-parti baru, mampu membawa sebarang nilai tambah kepada PH.
Parti-parti pembangkang lain seperti Muda, Pejuang dan Warisan kini bebas daripada naungan PH yang merupakan blok pembangkang terbesar di Parlimen sekarang.
Penyokong yang sama
Muda memeterai pakatan pilihan raya dengan PH pada pilihan raya mengejut di Johor Dalam penampilan sulungnya dalam pilihan raya dan berjaya, ia berjaya memenangi satu kerusi - Puteri Wangsa. Jumlah kerusi yang sama dimenangi oleh PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri.
Pejuang dan Warisan pula kalah teruk, dengan semua calon mereka kehilangan wang pertaruhan di kerusi yang mereka tandingi.
Mengenai Muda, Rafizi berkata berdasarkan prestasi mereka pada pilihan raya Johor, tidak ada bukti bahawa mereka berjaya menarik undi baru buat PH kerana masing-masing mendapat sokongan kumpulan pengundi yang sama.
Sementara itu, bekerjasama dengan Pejuang mungkin membawa lebih banyak masalah daripada faedah kerana "sengsara dan keperitan" akibat peranan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kejatuhan kerajaan PH mungkin membantutkan sokongan penyokong teras PH, katanya.
Wow!! Gaji CEO RM200,000 sehari walaupun syarikat rugi berbilion ringgit
MALAYSIA DATELINE
Gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy dilaporkan memperoleh RM200,000 sehari walaupun syarikat ini telah rugi berbilion ringgit.
Beliau dilaporkan memperoleh RM71.92 juta pada tahun kewangan lalu, pada 31 Januari 2018.
Sebahagian daripada gaji besar yang dipegang oleh presiden dan CEO Sapura Energy Bhd Tan Sri Shahril Shamsuddin bergantung pada perjanjian saham yang dimilikinya dengan institusi kewangan, apabila kumpulan minyak dan gas itu membiayai semula pinjaman berjumlah RM14 bilion.
Shahril mengesahkan kewujudan perjanjian ini, dan ia menjadi sebab pakej imbuhannya yang tinggi ketika dihubungi The Edge Financial Daily baru-baru ini.
“Ya, kita telah menjelaskan perkara ini dalam AGM (mesyuarat agung tahunan). Memang benar bahawa sebahagian daripada pakej imbuhan adalah untuk perjanjian saham yang telah mengunci saham saya dalam Sapura Energy.
“Ini bermakna jika saya menjual saham saya (di bawah 10%), pinjaman akan gagal bayar. Jika saya berundur [daripada menjadi Ketua Pegawai Eksekutif], pinjaman itu akan gagal juga,” kata Shahril, dalam AGM kumpulan baru-baru ini berhubung gaji tingginya sebanyak RM71.92 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Jan 2018 (FY18), dan RM84.24 juta pada FY17.
Memetik laporan The Coverage Shahril ialah pemegang saham tunggal terbesar Sapura Energy yang memegang 15.9% kepentingan. Perjanjian saham tidak dinyatakan dalam laporan tahunan.
Gaji CEO Sapura Energy RM200,000 sehari walaupun syarikat rugi berbilion ringgit
Kerugian bersih Sapura Energy Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 sebanyak RM8.9 bilion
Beliau mengulangi bahawa beliau tidak meminta pampasan yang tinggi itu.
“Gaji saya ditentukan oleh lembaga. Lembaga adalah bebas. Saya tidak memintanya (pampasan). Lembaga yang memutuskan perkara ini.
“Apabila ada yang menawarkan saya ini, sudah tentu saya akan terima. Saya hanya seorang pegawai syarikat.
“Namun saya sanggup melakukan ini. Saya boleh menjual saham saya pada RM4 tetapi tidak. Saya tidak menjual satu saham pun, kos peluang adalah jauh lebih tinggi [daripada pampasan],” kata Shahril.
Harga saham Sapura Energy tidak terlepas daripada tekanan jualan di tengah-tengah kemelesetan industri yang berpanjangan yang bermula pada akhir 2014.
Harga sahamnya memuncak pada RM4.84 pada akhir Disember 2013. Saham itu jatuh ke paras terendah 41 sen pada pertengahan Mac . Ia ditutup pada 60 sen 22 Mac 2022.
Shahril menegaskan bahawa jawatankuasa imbuhan kumpulan itu membuat syor kepada lembaga pengarah, dan lembaga pengarah akan memutuskan cadangan itu.
Jawatankuasa imbuhan lembaga Sapura Energy terdiri daripada pengerusinya Datuk Hamzah Bakar, pengarah bebas Mohamed Rashdi Mohamed Ghazalli dan Shahril.
Mengenai perjanjian saham, ia bermula pada FY14, menurut Shahril dengan pembiayaan semula pinjaman, pihaknya berjaya memperoleh kadar yang lebih baik dengan purata kira-kira 5%, berbanding dengan yang lain dalam industri yang membayar 6% hingga 7%.
Laporan tahunan kumpulan itu menunjukkan bahawa gaji Shahril melebihi paras RM80 juta antara FY14 dan FY17.
Pakej imbuhannya, bagaimanapun, menyusut sedikit kepada RM71.92 juta pada TK18 apabila kumpulan itu merosot dengan kerugian bersih RM2.5 bilion, diseret ke bawah oleh peruntukan rosot nilai besar-besaran RM2.13 bilion.
“Mereka (pemegang saham) kata imbuhan saya terlalu tinggi. Sebagai pemegang saham, saya menghormatinya.
“Tetapi satu perkara yang orang tidak nampak ialah usaha yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.
“Syarikat itu harus diukur secara relatif kepada syarikat lain yang telah bangkrup di peringkat tempatan dan global.
Pemegang saham juga harus menilai kami dari segi bukan kewangan, contohnya PSC (kontrak perkongsian pengeluaran) yang kami menangi di Mexico, pekerjaan baharu yang kami perolehi di Brazil yang [menyumbang] lebih banyak kepada pertumbuhan masa depan,” tambah Shahril.
Kerugian bersih Sapura Energy Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 meningkat kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Mohsin Abdullah: Dah mula ke kempen PRU?
Mohsin Abdullah
Beberapa penganalisis baru-baru ini setuju PRU15 berkemungkinan menyaksikan peratusan rendah pengundi jika ia diadakan pada kadar segera atau tergesa-gesa.
Bermakna apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor terutamanya akan atau boleh berulang. Adakah Umno yang sebelum ini mendesak PRU15 diadakan segera tidak tahu akan ramalan atau unjuran ini?
Pasti mereka tahu. Tetapi mereka mendesak juga. Mengapa? Kerana yakin peratusan kecil yang keluar mengundi kebanyakannya penyokong mereka. Pengundi yang akan undi Umno. Begitu. “Low voter turnout” menguntungkan mereka.
Imbau kembali secara ringkas apa yang terjadi di Johor. Menurut kaji selidik yang dijalankan Ilham Centre, jumlah pengundi 2.5 juta. Yang keluar mengundi 1.4 juta (55%). Yang mengundi Umno-BN 600 ribu (42%) daripada yang keluar mengundi atau 23% daripada keseluruhan undi berdaftar.
“Sistem ‘first-past-the-post’ yang kita amalkan membolehkan Umno-BN menguasai 71% kerusi DUN walaupun memperolehi 42% undi popular yang hanya merangkumi 23% daripada keseluruhan pengundi berdaftar,” kata Prof Madya Yusri Ibrahim, Ketua Penyelidikan Ilham Centre.
Ini, kata beliau, “kebijaksanaan” strategi BN memanfaatkan sistem dan situasi semasa dan ini “tiada sebarang isu bagi pihak mereka”. Walaupun Yusri menyifatkan itu kebijakan strategi BN saya berpendapat ia lebih kepada strategi bijak Umno kerana rakannya dalam BN iaitu MCA dan MIC sekadar “tumpang tui”.
Apa pun, dalam bahasa mudah, hanya 23% daripada keseluruhan pengundi berdaftar telah menentukan siapa yang mentadbir negeri.
Bagi Yusri, kadar keluar mengundi yang sangat rendah “kurang bagus” untuk iklim demokrasi kerana “ini memberi perspektif kurang baik apabila sesebuah kerajaan dibentuk dengan undi minoriti apabila ramai memilih tidak keluar mengundi”.
Namun, bak kata beliau sendiri tadi, “ini tiada sebarang isu” bagi Umno/BN. Benar kerana bagi Umno-BN, “a win is a win”.
Kebimbangan (jika ini perkataan yang tepat untuk digunakan) ramai termasuk Yusri (dan juga saya) ialah apa yang berlaku di Johor akan berulang pada PRU15. Bukan kerana kami anti-Umno-BN tetapi bimbang sebilangan kecil pengundi boleh menentukan siapa menang dan jadi kerajaan. Sesuatu yang tidak “molek” untuk demokrasi Malaysia.
Namun ada pemerhati politik beranggapan, golongan yang tidak keluar mengundi boleh diibarat atau dilihat sebagai “penyokong Umno-BN kerana mereka rela dan mengizinkan parti itu menang”.
Apa pun, Umno akan lebih daripada gembira jika apa yang berlaku di Johor berulang pada PRU15 kelak. Mungkin mereka yakin itu lah yang bakal terjadi. Lantas mendesak Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menghadap Agong memohon perkenan baginda bubar Parlimen.
Akan tetapi PRN Johor juga ada “pengajarannya” yang wajar diperhatikan Umno. Berdasarkan data keputusan pilihan raya, walaupun Umno-BN menang besar ia tidak boleh merasa terlalu selesa, menurut Ilham Centre.
Kajian dan data yang diperolehi badan penyelidikan itu menunjukkan Umno gagal “mengkuburkan” Perikatan Nasional terutama Bersatu meskipun itulah matlamatnya.
Walaupun menang hanya tiga kerusi, undi popular yang diraih PN lebih 24%, mengatasi Pakatan Harapan.
Berdasarkan pencapaian itu, menurut Ilham Centre, Bersatu-PN berjaya meletakkan dirinya sebagai alternatif bagi orang Melayu.
Dalam erti kata lain, orang Melayu mula percaya PN boleh menjadi alternatif kepada BN yang selama ini menjadi satu-satunya pilihan mereka.
Ilham Centre berpendapat PN berada di landasan “betul” berdasarkan prestasi di PRN Melaka dan Johor walaupun tidak menang.
Bahasa mudah sekali lagi. Bersatu-PN boleh dan sedang mengancam keselesaan dan keghairahan Umno-BN.
Adakah Umno tahu akan ini semua? Saya rasa ia tahu. Mungkin itu sebabnya Umno yang sememangnya berada di “awang-awangan” atau “cloud 9“ dan bersemangat berkobar-kobar setelah menang di Melaka dan Johor secara “tiba-tiba tarik brek” berhubung desakan supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.
Kita tahu pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno tempoh hari, ramai menjangkakan satu usul mendesak PRU15 diadakan segara akan dibentang dan diluluskan, tetapi tidak terjadi.
Sebaliknya, Presiden Ahmad Zahid Hamidi yang mengepalai desakan PRU disegerakan, memberitahu Umno tidak akan menekan Perdana Menteri kerana “menghormati keputusan Kabinet yang dianggotai pelbagai parti selain BN”. Seolah-olah Umno sebelum ini, ketika lantang mendesak, tidak tahu Kabinet dianggotai pelbagai parti selain BN.
Apa pun seperti kita juga tahu Ismail Sabri Yaakob yang sebelum itu “keberatan” PRU15 diadakan segera memberitahu perwakilan beliau akan berbincang dengan “top five” yakni kepimpinan tertinggi Umno dan jika yakin akan menang, tidak akan tunggu satu saat pun untuk bubar Parlimen dan adakan PRU15.
Ada pihak percaya Ismail berlengah-lengah. Namun pada masa sama, kerajaan Ismail membenarkan pengeluaran khas KWSP RM10,000. Ismail juga mengumumkan gaji minimum RM1,500 akan dilaksanakan mulai Mei ini. Kerajaan turut menyediakan insurans untuk keluarga miskin yang kematian ketua isi rumah.
Walaupun mengalu-alukan semua langkah itu, ada yang menyifatkannya langkah itu bersifat “populis” bertujuan meraih undi pada pilihan raya akan datang. Lain perkataan ‘berkempen’.
Ahli akademik Zaharom Nain menyifatkan cadangan Ismail untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib bagi pelajar asing di universiti tempatan “seolah-olah satu pengumuman “ad hoc” dan berinspirasikan politik.
Ismail sebelum ini mahu Bahasa Melayu digunakan oleh delegasi Malaysia yang berucap pada persidangan antarabangsa demi “memperkasakan Bahasa Kebangsaan”. Kita tahu kedaulatan dan pemerkasaan Bahasa Melayu amat dekat di hati orang Melayu (boleh juga dibaca pengundi Melayu).
Ismail juga meluluskan pembayaran pampasan atau “ex gratia” RM1.5 juta kepada keluarga Muhamad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia semasa insiden di kuil di Seafield Subang Jaya pada 2018. Kolumnis Mariam Mokhtar melihat itu sebagai “eksplotasi politik”.
Persoalan paling penting sekarang ialah bila PRU15 akan diadakan? Menurut peraturan ia mesti diadakan pada atau sebelum 23 Julai 2023.
Pemerhati, penganalis, dan penyelidik politik ramai yang menjangka November ini. Kaji selidik CGS-CIMB menganjur “paling cepat Ogos ini”. Kesimpulannya mereka bersetuju ia akan diadakan tahun ini bukan tahun depan.
Sungguh pun tarikh PRU masih menjadi tanda tanya, kempen untuk memenangi PRU nampak macam sudah bermula.
Tambah kerusi DUN di Selangor: Umno gusar, tohmah PH goyang
FAZLI RADZI
Umno tidak perlu gusar dengan usul pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mereka beranggapan bahawa ada penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) sekaligus rakyat beralih sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Pengarah Komunikasi PH Selangor merangkap Timbalan Pengerusi AMANAH negeri, Azli Yusof menegaskan bahawa Umno yang sebenarnya gusar dengan usul tersebut apabila mendakwa PH mula goyah dan bertindak menambah kerusi DUN.
Hal ini kerana, jelas Ketua AMANAH Shah Alam itu, jika rakyat telah beralih menyokong Umno sekalipun, sama ada kerusi bertambah atau kekal, pastinya rakyat akan menyokong BN.
“Sebenarnya, BN yang merasa bimbang dengan usul itu. Saya yakin bahawa rakyat Selangor semakin bertambah celik dan sedar akan kejayaan PH mentadbir negeri,” katanya.
Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penambahan kerusi DUN berikutan jumlah pengundi di beberapa DUN kini mencecah lebih 100,000 orang akan diusulkan dalam sesi Persidangan DUN Selangor akan datang.
Menurutnya, keseimbangan diharap dapat diwujudkan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar supaya masing-masing akan mendapat perkhidmatan yang seimbang oleh kerajaan.
Menjawab dakwaan ADUN Sungai Tawar BN bahawa PH bakal menambah hanya kerusi kawasan bandar sahaja agar PH boleh kekal menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Azli berkata, sebahagian besar DUN pinggir bandar juga akan melalui proses persempadanan semula.
Sementara itu, bekas Setiausaha Politik Menteri Wilayah itu berkata, rakyat di luar bandar juga sudah mula sedar akan kemampuan dan kelebihan kerajaan PH.
“Malah, rakyat di luar bandar boleh mengakses maklumat, membuat penilaian dan tidak mudah terperdaya dengan dakyah dan propaganda BN yang lapuk.
“Apa yang lebih penting, cadangan penambahan kerusi DUN yang diusahakan itu bertujuan memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat.
“Sebabnya, wujud perbezaan jumlah pengundi yang begitu besar dalam sejumlah DUN tertentu seperti DUN Kinrara berbanding dengan DUN Sungai Tawar,” jelasnya.
Mengulas lanjut kenyataan Menteri Besar, beliau berkata langkah tersebut bagi mewujudkan keseimbangan dalam kalangan jumlah pengundi luar bandar dan bandar supaya masing-masing mendapat perkhidmatan lebih adil dan saksama.
“Umno dinasihatkan agar mempertimbangkan kebaikan dan keutamaan kepada rakyat daripada terus menerus mempolitikkan usaha baik yang akan diusulkan oleh kerajaan PH,” tambah Azli lagi.
Najib goyang dengan kehadiran semula Rafizi
Malaysiakini
'Kamu boleh ambil balik, saya tak mahu jadi Raja Formula Songsang'
Najib Razak secara sinis mendakwa Rafizi Ramli yang membuat kemunculan kembali dalam arena politik sekadar untuk membangkangnya demi kepentingan Pakatan Harapan (PH) dan bukannya rakyat.
Memetik wawancara Naib Presiden PKR itu dengan Malaysiakini, Najib berkata disebabkan itu dia tidak hairan jika serangan Rafizi hanya disasarkan terhadapnya.
"Dia kata PH menjadi lemah sebab saya telah rampas kedudukan dan keupayaan PH untuk berhubung dengan rakyat.
"Dia kata dia mahu ambil semula inisiatif ini dari saya. Ini kira dia nak bangkang saya hanya sebab nak membangkang demi kepentingan politik PH.
"Bukan sebab saya salah. Bukan juga untuk kepentingan rakyat atau negara. Cuma demi kepentingan politik PH," tulis Najib di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Rafizi berkata bekas perdana menteri itu kini secara berkesan menjadi pembangkang “de facto” selepas dia "merampas" keupayaan pembangkang untuk "berhubung dengan rakyat setiap hari" di laman media sosialnya.
Tetapi Rafizi Ramli - yang baru-baru ini mengumumkan kembali aktif dalam arena politik - berkata dia bersedia mengambil semula inisiatif itu daripada Najib untuk memperkasakan rayuan PH kepada pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Saya rasa apa yang telah hilang (daripada PH) dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini ialah keupayaan untuk berhubungan setiap hari dengan rakyat. Lebih padah lagi, keupayaan itu telah dirampas oleh Najib.
“Dia ambil pendekatan populis untuk menyuarakan isu harian yang biasa kita lakukan semasa kita jadi pembangkang. Jadi, secara berkesan, Najib adalah pembangkang de facto kepada kerajaan,” kata Rafizi dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Dalam pada itu Najib turut menyindir Rafizi dengan berkata bahawa dia tidak berminat untuk menjadi "Raja Formula Songsang"
"Saya pun tak mahu inisiatif ini, kamu boleh ambil balik sebab saya tak berhasrat jadi 'Raja Formula Songsang'," katanya.
Arab Saudi mansuh semua sekatan Covid
Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan pemansuhan semua sekatan Covid-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.
Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi Covid-19 dan ujian PCR, sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.
Langkah itu diambil susulan penurunan kes dan kadar pelalian mencapai 99 peratus untuk semua penduduk berumur 12 tahun ke atas.
- Bernama
Tetak leher isteri hingga mati akibat cemburu
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Angkara cemburu, seorang lelaki tergamak menetak leher isterinya sehingga mati di bilik sewa pasangan terbabit di tingkat 3, Jalan Segama, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 23 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah di tilam oleh polis selepas suaminya menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan dia menetak wanita itu pada 11.47 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 10.50 malam selepas suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya.
Katanya, suspek yang berang kemudian ke dapur lalu mengambil pisau sebelum bertindak menyerang mangsa.
"Akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami cedera di leher kanan, muka, tangan dan luka di perut.
"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, susulan itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bertindak menahan suspek yang masih berada di lokasi kejadian.
"Motif kejadian dipercayai cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.
"Suspek yang menghubungi talian kecemasan 999 dan memaklumkan menetak isterinya dengan pisau sehingga mati dan hendak menyerah diri," katanya.
Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian merampas sebilah pisau dan parang pemotong daging dan salah satunya dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
"Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
"Suspek akan direman untuk tindakan lanjut manakala mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi tujuan calitan Covid-19 dan bedah siasat," katanya.
Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menghina majlis: Kalau berani sila usul…
ZULHAZMI SHARIFF
Kalau berani sila usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri dirujuk ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80A Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat kerana menghina Majlis.
Pada 1 MAC 2022 Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau dari UPKO yang merupakan salah seorang penandatangan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) bersama Kerajaan Persekutuan bertanya di Dewan Rakyat, sejauh manakah pencapaian MOU tersebut setakat ini.
Dalam jawapannya menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi menghuraikan pencapaian MOU setakat ini dengan panjang lebar.
Penelitian terhadap jawapan tersebut menunjukkan terdapat beberapa perkara yang boleh dianggap menipu dan/atau mengelirukan Dewan.
Jawapan tersebut boleh dilihat di muka surat 5 dan 6 iaitu berkaitan Akta Anti Lompat Parti dan tempoh had jawatan Perdana Menteri.
Jawapan Menteri di para (g) muka surat 5 menyatakan :
“g. Pindaan perlembagaan bagi peruntukan Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Mac 2022 ini.”
Begitu juga di para (g) muka surat 6 yang menyatakan :
“g. Pindaan perlembagaan bagi peruntukan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri tidak Melebihi 10 tahun akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Mac 2022 ini.”
Kedua-dua jawapan ini menyatakan pindaan Perlembagaan bagi peruntukkan Anti Lompat Parti dan pindaan Perlembagaan bagi pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan Mac 2022.
Seperti yang kita semua maklum, kedua-dua cadangan ini khususnya Anti Lompat Parti masih belum diluluskan oleh Jemaah Menteri berdasarkan kepada kenyataan media rasmi Menteri yang sama.
Malah kita juga maklum sehingga hari ini Rabu 23 Mac 2022 yang merupakan hari kedua terakhir sesi Parlimen Mac 2022, tiada bayangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti atau pindaan Perlembagaan berkaitan perkara tersebut akan dibentangkan.
Kalau berani sila usul...
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi
Jika pada Khamis 24 Mac 2022 yang merupakan hari terakhir sidang masih belum ada usul di dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk pembentangan, maka ini jelas suatu penipuan dan mengelirukan Dewan.
Justeru sewajarnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri dirujuk ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80A Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat kerana menghina Majlis.
Saya cabar mana-mana Ahli Dewan khususnya Ketua Pembangkang mengusulkan perkara ini kepada Majlis.
Tiada alasan untuk membiarkan kamu semua dipermain hidup-hidup oleh Kerajaan di atas MOU kamu.
Sila…
Rafizi: PH perlu rampas naratif berhubungan dengan rakyat dari Najib
Malaysiakini
Bekas perdana menteri Najib Razak kini secara berkesan menjadi pembangkang “de facto” selepas dia "merampas" keupayaan pembangkang untuk "berhubungab dengan rakyat setiap hari" di laman media sosialnya.
Tetapi Rafizi Ramli - yang baru-baru ini mengumumkan kembali aktif dalam arena politik - berkata dia bersedia mengambil semula inisiatif itu daripada Najib untuk memperkasakan rayuan Pakatan Harapan (PH) kepada pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Saya rasa apa yang telah hilang (daripada PH) dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini ialah keupayaan untuk berhubungan setiap hari dengan rakyat. Lebih padah lagi, keupayaan itu telah dirampas oleh Najib.
“Dia ambil pendekatan populis untuk menyuarakan isu harian yang biasa kita lakukan semasa kita jadi pembangkang. Jadi, secara berkesan, Najib adalah pembangkang de facto kepada kerajaan,” kata Rafizi.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini di pejabatnya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Rafizi berkata dia selalu bangkit pada jam 4 pagi untuk bersiap sedia untuk sidang media atau mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari. Ini bagi menjalin hubungan dengan rakyat.
Rafizi, yang akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti PKR nanti, berkata, bahawa tugas sedemikian bukannya mudah dan memerlukan banyak penyelidikan dan tindakan susulan.
Sebagai contoh, katanya, pada tahun 2010, dia mahu mengubah sikap orang Melayu terhadap rasuah dengan membuktikan kepada mereka bahawa rasuah adalah buruk dan akan memberi kesan negatif kepada masyarakat Melayu.
Untuk itu, Rafizi berkata dia memberi tumpuan untuk mengketengahkan isu-isu berkaitan institusi Melayu seperti Tabung Haji, Mara dan Felda untuk membuktikan bahawa institusi-institusi ini telah diruntuhkan oleh pemerintahan Umno sejak 50 tahun lalu.
“Meletakkan naratif dan berhubungan dengan rakyat bukan sekadar menciap di Twitter atau ucapan di Parlimen.
“Kita benar-benar perlu berhubungan dengan mereka dan ia adalah kerja rumit yang memakan masa serta memerlukan konsistensi dan itulah yang Najib lakukan sekarang.
"Inisiatif itu perlu diambil balik daripada Najib," kata Rafizi.
Dia berkata penyokong PH sudah terbiasa dengan maklumat terkini dan pencerahan tentang apa yang berlaku dalam negara ketika itu dan ini adalah sesuatu yang perlu diusahakan semula oleh PH.
“Tidak cukup sekadar mengatakan kami adalah PH dan kami lebih baik daripada Umno.
“Mereka (rakyat) sebenarnya mahu tahu, jika kamu kata harga sepatutnya turun, bagaimana sebenarnya kamu bercadang untuk melakukannya? Apa yang salah dengan proses sekarang? Apabila kamu kata kenaikan disebabkan oleh AP, siapa sebenarnya yang dapat AP?
"Mereka mahu melihat kamu berbuat demikian sehingga membuahkan hasil, berisiko kepada diri sendiri, dan ini memerlukan banyak disiplin, dan saya fikir naratif itu telah hilang," kata bekas ahli parlimen Pandan itu.
Nurul, Nik Nazmi, Rodziah antara nama besar dalam 'cai' Rafizi?
B Nantha Kumar
Menjelang pemilihan PKR pada Mei ini, Rafizi Ramli yang akan bertanding jawatan timbalan presiden sedang membentuk sebuah pasukan merangkumi beberapa nama besar parti.
Menurut beberapa sumber daripada parti, 'cai' Rafizi menampilkan empat calon naib presiden, seorang ketua pemuda (AMK) negeri, ketua Wanita, timbalan AMK dan timbalan Wanita.
"Dua Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dan Chang Lih Kang berada dalam pasukan Rafizi bagi jawatan naib presiden.
“Sementara, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan timbalan ketua penerangan Manivanan Gowin merupakan dua lagi calon untuk empat jawatan naib presiden dipertandingkan semasa pemilihan parti.
"Bagi sayap Wanita, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail diangkat sebagai calon ketua Wanita dan Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek untuk jawatan timbalan ketua Wanita.
"Sementara Ketua AMK Pulau Pinang Fahmi Zainol akan berganding dengan Adun Rawang Chua Wei Kiat masing-masing untuk jawatan ketua pemuda dan timbalan ketua pemuda," katanya kepada Malaysiakini.
Selepas beberapa ketika meninggalkan gelanggang politik, bekas Rafizi yang pernah menjadi ahli parlimen Pandan mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti pada Mei ini.
Rafizi yang memegang jawatan naib presiden PKR sebelum ini berkata dia mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik selepas kegagalan Pakatan Harapan (PH) di empat pilihan raya sebelum ini, dengan yang terbaru di Johor.
Rafizi sebelum ini pernah bertanding bagi jawatan timbalan presiden pada tahun 2018 namun tewas kepada Mohamed Azmin Ali.
Azmin kemudian meninggalkan PKR melalui 'Langkah Sheraton' yang menyebabkan antara punca kerajaan PH tumbang selepas memerintah 22 bulan.
Diramalkan, Rafizi akan dicabar oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution bagi jawatan kedua tertinggi dalam parti.
Sementara itu, sumber memberitahu bahawa Rafizi akan mengumumkan senarai pasukannya dalam masa terdekat.
"Pada pemilihan parti 2018, pasukan ini bertanding bertemakan Reformasi 20 Tahun (R20T).
"Kali ini mereka akan mengumumkan tema baru sebelum turun berkempen," katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas pihak-pihak yang dinamakan dalam 'cai' ini.
Bunuh, bakar wanita di sekolah, pengawal keselamatan dituduh dimahkamah
Bernama
KUALA LUMPUR: Suspek utama kes bunuh dan bakar seorang wanita di sebuah sekolah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok.
Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar yang mengesahkan perkara itu, berkata pertuduhan ke atas pengawal keselamatan lelaki yang berusia 34 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Suspek yang masih bujang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan cabul dan samun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil keterangan 37 individu termasuk pengawal keselamatan itu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Pada 12 Mac lalu, media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai penyelia kedai buku ditemukan rentung disyaki dibunuh dan dibakar dalam bilik bengkel sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak.
Sapura: Rafizi berjanji akan beri maklum balas setiap idea songsang Najib
NASUHA RAHMAN
Rafizi Ramli akan memberi maklum balas setiap idea songsang Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik beliau kembali ke arena politik.
Dalam kenyataan hari ini Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menolak saranan Najib untuk menggunakan wang rakyat bagi menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.
Bahkan beliau akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib Tun Razak.
“Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini,” katanya.
Menurut Rafizi, kemenangan besar Umno BN dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor, suara seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran.
“Rekod pentadbiran Umno BN, terutamanya semasa Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila Umno BN merasakan mereka kuat dan tidak tercabar.
“Sekiranya gesaan Najib Tun Razak ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.
“Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” ujarnya.
Najib Tun Razak pada 20 Mac 2022 yang menggesa Kerajaan Persekutuan (melalui PETRONAS atau Khazanah Nasional) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.
Beliau memberi alasan rakyat (yang memiliki institusi-institusi seperti PETRONAS atau Khazanah Nasional) akan kerugian besar jika Sapura tidak diselamatkan.
Contoh-contoh kerugian yang diberikan termasuklah kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM4 bilion, kerugian kepada Maybank sebanyak RM10 bilion dan kehilangan pekerjaan sebanyak 10,000 orang.
Rafizi turut bersimpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil.
“Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu. Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik),” ujarnya lagi.
Gelar pemimpin PAS ‘Tiga jahanam’: Tuan Ibrahim anggap kenyataan perwakilan Umno Kelantan melampau
FAZLI RADZI
Kenyataan perwakilan Umno Kelantan yang menggelar sekumpulan pemimpin Pas sebagai ‘tiga jahanam’ pada pentas Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU) baru-baru ini bersifat agak melampau.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, dakwaan yang jelas mengaitkan tiga pemimpin termasuk presiden parti itu juga sebagai ‘tak begitu manis’.
Kenyataan perwakilan Umno Kelantan yang menggelar sekumpulan pemimpin Pas sebagai ‘tiga jahanam’ pada pentas Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU) baru-baru ini bersifat agak melampau.
“Saya menolak kenyataan tersebut kerana pada saya agak melampau dan kita (perlu) hormati parti-parti politik.
“Tidak bolehlah label atau letak apa-apa istilah kerana bagi saya itu hak parti Pas dan parti lain tidak boleh campur (urusan),” kata Menteri Alam Sekitar Dan Air itu.
Beliau berkata demikian mengulas kecaman daripada Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman yang menegaskan bahawa Umno tidak boleh bekerjasama dengan Pas selagi ada ‘tiga jahanam’ yang memimpin parti itu.
Tiga pemimpin Pas yang dianggapnya ‘bermulut jahat’ itu ialah Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
“Jadi, Umno Kelantan tidak menolak Pas tapi menolak pemimpin-pemimpin Pas yang ada pada hari ini iaitu orang yang saya sebut ini.
“Kalau Pas menolak pemimpin-pemimpin mereka ini, kita boleh terima untuk bersama Pas.
“Kalau tidak ada Haji Hadi, insya-Allah kita boleh berbincang (untuk bekerjasama) balik, tapi kalau ada dia, biarlah kita dengan kita, dia dengan dia,” tegas Zawawi yang juga Ketua Penerangan Umno Kelantan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kenyataan pemimpin Umno Bahagian itu tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dia mencampuri urusan parti lain.
“Tidak perlulah kita labelkan sebegitu sekali kerana pada saya amat tidak manis dan jelas tidak bertepatan dengan budaya orang Melayu pun,” tambahnya lagi.
Rafizi: Sekembalinya ke politik, setiap idea songsang Najib saya jawab
Malaysiakini
Kira-kira seminggu selepas mengumumkan langkah kembali ke arena politik, naib presiden PKR, Rafizi Ramli mensasarkan bekas perdana menteri, yang juga bekas presiden Umno Najib Razak.
Dalam satu kenyataan, Rafizi menolak gesaan ahli parlimen Pekan itu agar kerajaan melalui Petronas atau Khazanah Nasional menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.
Kata Rafizi, Najib memberi alasan bahawa rakyat akan kerugian besar jika Sapura tidak diselamatkan.
"Sementara saya simpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil.
"Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu.
“Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik)," kata Rafizi.
‘Hanya bela segelintir golongan elit’
Kelmarin, Najib menyarankan kerajaan memberi pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi menyelesaikan masalah aliran tunai seperti dilakukan kerajaan BN untuk menyelamatkan Proton.
Mengambil contoh bagaimana Petronas menyelamatkan syarikat MISC pada 1998, Najib turut mencadangkan kerajaan mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil pemilikan Sapura Energy daripada PNB.
Najib berkata, jika Sapura Energy muflis beberapa kesan buruk akan berlaku antaranya pelabur ASB, PNB, KWSP dan lain-lain tabung simpanan rakyat berdepan kerugian, selain hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata sekiranya gesaan Najib itu diberi perhatian, wang rakyat akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.
"Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” katanya.
Menurut Rafizi, dia akan terus memantau isu itu dan membentangkan angka-angka yang diperlukan untuk mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi Najib.
"Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini.
"Sekembalinya saya ke arena politik, Insha Allah setiap idea songsang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima maklum balas daripada saya," katanya.
RUU 355 Menteri Agama gagal nyatakan janji dan apa keputusan kerajaan
Bila ditanya soal RUU 355 Menteri Agama gagal nyatakan janji dan apa keputusan kerajaan
MOHAMED HANIPA MAIDIN
Bila ditanya soal RUU 355, Menteri Agama dilihat gagal menyatakan janji serta keputusan kerajaan bila rang undang-undang itu akan dibentangkan.
Pada hari Khamis yang lepas, YB Senator Menteri Agama dari parti ehem yang menggulung perbahasan Titah DiRaja di Dewan Rakyat menjawab soalan dari Ahli Parlimen parti ehem mengenai isu bilakah RUU 355 akan dibentangkan di Dewan Rakyat?
Saya ada di dalam dewan pada masa itu dan menekuni jawapan beliau. Jujurnya saya hampir nak tergelak mendengar jawapan beliau tetapi saya kena bertahan kerana menghormati dewan.
Saya agak bersimpati dengan YB tersebut. Sebelum dia menjawab isu RUU 355 itu, agak teruk juga dia diasak mengenai isu kes pengislaman tiga kanak-kanak yang melibatkan isu Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis.
Untuk berlaku adil kepada beliau, isu itu yang melibatkan isu undang-undang dan Perlembagaan mungkin agak sukar bagi beliau.
Bila ditanya soal RUU 355 Menteri Agama gagal nyatakan janji dan apa keputusan kerajaan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad
Saya tidak pasti sama ada beliau sekadar membaca teks jawapan yang disediakan atau beliau ada membuat suntingan (edition) yang perlu.
Apapun, bagi saya, jawapan yang beliau berikan dalam isu itu, dengan hormat, hakikatnya tidak menggambarkan beliau benar-benar menguasai selok belok dan tradisi perundangan negara yang telah lama kukuh di negara ini. Malahan saya berani mengatakan jawapan beliau,mengambil kira doktrin ketinggian Perlembagaan Persekutuan, adalah tidak tepat.
Kembali kepada isu RUU 355. Isu yang dibangkitkan adalah bilakah gomen tebuk atap ingin bentangkannya?.
Ketika YB Menteri menjawab soalan mudah itu beliau kelihatannya gagal menyatakan sebarang janji atau keputusan gomen bila ianya akan dibentangkan.
Sudah tentu saya dan ramai MP masa itu menanti jawapan yang “straight-foward” dari beliau misalnya ” Kerajaan akan bentangkan pada sidang dewan ini atau pada sidang depan atau pada tahun ini” .
Tunggu punya tunggu tak ada masa yang dinyatakan.
Sebaliknya, dia kelihatannya sibuk menyatakan apa yang mereka telah dan akan buat dan akan mengambil pendekatan holistik mengenai usaha untuk mempertingkatkan atau memperkasakan martabat mahkamah syariah..blah blah blah…
Maka saya bangun dan bertanya dia lebih kurang begini :-
” Bila saya dengar jawapan YB tadi, nampaknya kini YB macam tiru pendekatan Parti Amanah Negara yang mana pihak kami melalui mantan YB Kota Raja pernah cuba bentangkan “a private member’s bill” bagi menaikkan lagi imej dan memperkasakan status Mahkamah Syariah tatkala parti YB pula agak agresif cuba nak pinda RUU 355 bagi melaksanakan hukum hudud dan ramai pihak yang dilabel oleh parti YB kerana tidak bersetuju dan tidak sependapat dengan pendekatan parti YB . Setuju tak ?”
Dia jawab dia tidak setuju dengan saya tapi dia tak hurai kenapa dia tak setuju dengan saya?
Bila mendengar jawapan tahap tu dari YB Menteri, saya tak rasa berfaedah untuk saya lanjutkan perdebatan isu itu.
Jujurnya melihat beberapa menteri gomen tebuk atap menjawab soalan di dalam Dewan Rakyat orang putih kata :leave much to be desired !”
Saifuddin Nasution perli Rafizi
Malaysiakini
Ketika PKR dikhianati, ada pemimpin pilih bercuti - Saifuddin
Ketika berlaku pengkhianatan dalam PKR, ada dalam kalangan pemimpin parti itu yang memilih untuk bercuti, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.
"Sukarnya KEADILAN bergerak tatkala sejumlah pimpinan utama khianat. Yang tinggal pula ada yang memilih bercuti.
"Tugas mengukuh parti digalas DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pimpinan lain yang tinggal," katanya menerusi Facebook.
Khianat yang dimaksudkan Saifuddin merujuk tindakan ahli-ahli parlimen PKR - diketuai bekas timbalan presidennya - Azmin Ali yang meninggalkan parti ketika berlaku krisis politik 'Langkah Sheraton' pada Feb 2020.
Krisis politik itu menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, dan Azmin serta kumpulannya menyertai Bersatu bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.
Meskipun tidak menyebut nama pemimpin PKR yang dikatakan memilih untuk bercuti itu, Saifuddin dipercayai merujuk kepada bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli.
Rafizi tidak aktif dalam politik sejak pemilihan PKR pada penghujung 2018, apabila dia tewas tipis kepada Azmin dalam perebutan jawatan timbalan presiden.
Namun pada 15 Mac lalu Rafizi membuat kejutan apabila mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR akan datang.
Nama Saifuddin sendiri disebut-sebut akan mencabar jawatan berkenaan di samping bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Mubarak.
Sebelum ini Rafizi dilihat sebagai pemimpin PKR yang lantang dan pernah beberapa kali mengkritik keputusan yang dibuat parti itu.
‘Jangan beri ultimatum’
Menurut Saifuddin, biropolitik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR (MPP) menjadi platform menyusun segala langkah dan strategi parti.
"DSAI kekal dengan disiplin organisasi yang tinggi. Tekun mendengar pandangan semua. Sabar memberi bimbingan dan tunjuk ajar.
"Sesekali tegas dan keras dalam membuat keputusan. Pesanan beliau mudah. Sebelum parti buat keputusan sila beri pendapat.
"Boleh setuju boleh tidak setuju. Tegur dan kritik tapi jangan sesekali beri “ultimatum”,” katanya.
Tambah Saifuddin, apabila PKR membuat keputusan, pimpinannya perlu patuh dan melaksanakan keputusan berkenaan.
"Begitulah PKR. Setiap keputusan parti dibincang dan diputuskan bersama. Baik buruk sesuatu keputusan parti kita ambil tanggungjawab.
“Jauh sekali berlepas tangan. Ini prinsip pertanggungjawaban yang kita anuti," katanya.
Kelantan: Masalah sosial remaja Kelantan serius - Polis
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Masalah sosial dalam kalangan remaja Kelantan semakin meruncing, dengan 197 orang ditahan polis sepanjang tahun lalu kerana terbabit kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu, 100 remaja ditangkap kerana kes rogol dan sumbang mahram yang jumlahnya meningkat 19 peratus berbanding tahun 2020 (84 orang).
Katanya, seramai 97 remaja pula terbabit penyalahgunaan dadah dan pihaknya merampas pelbagai jenis barang larangan terutama pil yaba dan syabu.
"Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini di mana berlaku peningkatan penglibatan golongan ini khususnya, dalam kes-kes rogol dan sumbang mahram," katanya hari ini
Terdahulu beliau merasmikan Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial Remaja Peringkat Kontinjen Kelantan 2022 di sini.
Shafien berkata, remaja pada usia 10 hingga 18 tahun berada pada fasa perkembangan ke alam dewasa dan peralihan daripada zaman kanak-kanak menimbulkan sikap ingin mencuba, selain alami perubahan lain termasuk fizikal, jasmani, sosial dan emosi.
Disebabkan itu, katanya, remaja perlu dibantu agar tidak hanyut dan gagal mengurus kehidupan dengan baik dan beliau mengesyorkan semua pihak memainkan peranan untuk menangani isu itu.
"Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan tonggak dalam menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.
Beliau berharap ada usaha dan kerjasama dimainkan semua pihak untuk membantu remaja, seperti Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial yang boleh menyuntik semangat keprihatinan.
Jakim mahu Perempuan Itu diambil tindakan
Malaysiakini
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa dua kementerian mengambil tindakan tegas terhadap isu video drama Perempuan Itu yang tular kerana aksi menggairahkan dua pelakon baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan dan menentang keras penyiaran program seumpamanya.
Menurutnya, program itu jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat serta hukum syarak.
“Drama seumpama ini tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadhan.
“Jakim menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera,” katanya.
Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff.
Pelakon Zul Ariffin pada Jumaat lalu memuat naik sedutan babak ‘panas’ lakonannya bersama pelakon baru, Siti Hariesa di akaun Instagram miliknya.
Namun, perkongsian itu mencetus kemarahan orang ramai yang menyifatkan adegan dilakonkan mereka menyerupai babak dalam filem lucah.
Sedutan berkenaan turut mengundang perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang kesal terhadap klip promosi berunsur maksiat itu.
Pada masa sama, Hakimah berkata Jakim menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama itu yang akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat.
“Ia bersalahan dengan budaya norma dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat negara ini.
“Jakim tidak akan berkompromi dengan isu isu-isu seumpama ini dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berulang,” katanya.
Mentafsir bahasa Umno di PAU 2021
Malaysiakini
PULASAN - Mentafsir bahasa Umno di PAU 2021
Al-Abror Mohd Yusuf
Sangat menarik apabila orang besar-besar Umno menunjukkan rasa seronok masing-masing kepada bahasa Melayu semasa mereka berhimpun - dan 'berkhalwat' - di Kuala Lumpur mulai Rabu hingga Sabtu lalu.
Sudah tentu isu bahasa Melayu kadang-kadang meniti di bibir orang besar-besar Umno. Tetapi tidak dapat dipastikan bila kali terakhir perhimpunan agung tahunan parti itu mendengar isu mengukuhkan bahasa Melayu keluar dari mulut seorang perdana menteri.
Sesekali memang adalah isu bahasa diungkapkan, tetapi rasanya bukanlah oleh perdana menteri. Perwakilanlah yang kadang-kadang membahaskannya. Namun pada Sabtu lalu Ismail Sabri Yaakob menegaskan beberapa perkara menarik mengenai bahasa Melayu.
Pun begitu bahasa Melayu bukanlah satu-satunya isi menarik sepanjang persidangan tahunan Umno itu berlangsung selama empat hari. Berikut adalah beberapa isi penting berkaitan bahasa dalam perhimpunan tersebut:
* Bahasa walak
Ia tidaklah menyeluruh atau total. Tetapi tidak juga keterlaluan untuk mengatakan tahap bahasa walak Umno kali ini hampir total. Ia sudah tentu dapat difahamai kerana tidak lama lagi pilihan raya umum akan diadakan.
Dan 'kunci' untuk menjadi calon berada di jari-jemari pemimpin tertinggi parti.
Maka bergemalah di dewan persidangan akan hampir semua suara pemimpin dan perwakilan sederap dan seirama dengan nada presiden.
* Bahasa kipas
Ini adalah bahasa universal dalam semua cabang hidup, apatah lagi dalam politik. Ia juga banyak berkait dengang kelangsungan hayat seseorang dalam langkahnya untuk meningkat dari satu takah ke takah yang lebih tinggi.
Bahawa adat Melayu selalu menghormati orang tua itu memang ada benarnya. Dan jangan dilupa pula menjaga ketua juga tidak kurang pentingnya sama ada dalam politik atau dalam berkerjaya.
Lebih daripada itu jangan dilupakan hakikat bahawa perkataan "tua" itu ada pada "ketua". Justeru kita yang selalu mahu kerja mudah dan mendapat laba banyak akan 'mengipas' ketua setiap kali ada peluang.
Budaya kerja kebanyakan kita ialah: kalau ketua senang, anak buah ada peluang yang sangat besar untuk berasa lenang.
Maka di sana sini pujian dan ampu-ampuan daripada seorang ketua kecil kepada ketua yang lebih besar itu diapungkan selama empat hari persidangan berlangsung. Ia akan lebih ketara jika seseorang 'ketua' itu memiliki jawatan tinggi atau kanan dalam kerajaan.
* Bahasa melawan
Pun begitu untuk berlaku adil, tidaklah semua ahli Umno itu berkomunikasi lancar dengan bahasa kipas dan bahasa walak. Di sana ini ada juga yang mahu menentang arus.
Biasanya individu itu memang diketahui sikapnya yang berterus-terang dan tidak peduli sedikit pun akan kemarahan pemimpin parti. Orang seperti Nazri Aziz adalah salah satu misalannya.
Siapa yang tidak kenal ahli parlimen Padang Rengas itu, kan?
Di sana juga ada beberapa menteri atau ahli parlimen yang berani menyergah pemimpin. Kadang-kadang aksi mereka itu seakan-akan mencari masalah pun ada. Tetapi andainya masalah tidak tercalon lagi untuk PRU akan datang menimpa mereka, dijangkakan ia tidaklah memberikan kesan yang terlalu besar.
Sesetengahnya sudah menjadi ahli parlimen berpuluh-puluh tahun.
* Bahasa tersirat
Di antara bahasa walak dan bahasa melawan, ada pula laras bahasa tersirat. Ini biasanya diguanakan oleh individu yang tidak sehaluan dengan kehendak pemimpin tetapi terlalu takut untuk menongkah arus.
Mereka memilih jalan 'selamat'.
Cuma kaedah ini ada risikonya juga. Sementelah ia adalah bahasa tersirat yang disandarkan kepada kiasan, ia membuka ruang kepada tafsiran yang pelbagai.
Di sana ada sudut untuk tersalah tafsir, atau memang sengaja enggan ditafsir. Maka jadilah kata-kata tersirat itu seperti pamphlet yang diedarkan di tempat tumpuan orang ramai.
Sesetengahnya dibaca, yang lain sekadar dilipat dan disimpan di dalam poket. Entah ada masa untuk dibaca atau tidak. Manakala yang lain berakhir sama ada di longkang atau tong sampah saja.
Satu lagi ruang bahasa tersirat diungkapkan ialah apabila pemimpin atau petugas parti memberi amaran kepada ahli agar berhati-hati apabila ditemu bual. Ia dibuat dengan mengaitkannya dengan tarikh pilihan raya yang semakin hampir tibanya.
* Bahasa curang
Bahasa ini perlu digunakan dengan berhati-hati dek kerana luasnya maksud curang berkenaan. Sesetengahnya cuba disingkirkan oleh presiden Umno sendiri dengan seyakin mungkin.
Misalnya bagaimana Umno mahu disakralkan apabila digambarkan tidak ada kena-mengena dengan pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya ketika negara ini diuar-uarkan beramal dengan demokrasi.
Umno juga sudah dua tahun bersidang dalam keadaan mereka dicurangi. Tentulah terasa sia-sia benar air mata yang mengalir di Dewan Merdeka pada 2019 lalu itu apabila akhirnya dilabel sebagai itik patah kaki.
Umno juga nampaknya sangat terkesan dengan kemunculan Bersatu dan tindakan sesetengah ahlinya melompat ke 'Parti Bunga' tersebut. Malah untuk kali ini kemarahan Umno kepada 'Parti Bunga' itu lebih ketara berbanding rakan muafakat mereka.
Bercakap mengenai amalan demokrasi, kita masih lagi berbangga dengan keunikannya di negara ini apabila tarikh pilihan raya masih menjadi rahsia dua tiga kerat orang sehinggalah ke detik-detik terakhir untuk mengejut dan mengasak lawan semaksimum mungkin.
Dan kita tidak pernah malu sedikit pun dengan perangai sebegitu. Tapi begitulah, malu apa bossku, kan?
* Bahasa badan
Ada beberapa kejadian bahasa badan ini dapat dikesan kalau diperhatikan betul-betul. Bahasa badan ialah bahasa yang sukar dikawal kerana selalunya ia berlaku secara bawah sedar.
Biasalah, kadang-kadang ketika orang lain ketawa berdekah-dekah, ada juga yang sekadar tersenyum kelat diam-diam dan jauh-jauh di belakang.
Pada masa sama, bahasa badan itu juga diuruskan dengan sedikit perasaan tidak tahu malu. Menyelit di sana sini konon-konon menjadi orang penting, misalnya. Atau perdana menteri diposisikan di tepian saja ketimbang sesetengah orang lain.
Cuma dalam konteks ini, selain boleh dikategorikan sebagai bahasa badan, ia juga boleh dianggap sebagai "nasib badan."
Demikian serba sedikit pengamatan yang dapat dilihat sepanjang empat hari Umno berkampung di tengah Kuala Lumpur pada minggu lalu. Sudah tentu agenda memperkasa bahasa Melayu itu wajar dialu-alukan.
Namun kalau Umno bijak, ia akan berusaha mendapatkan pandangan yang jernih daripada semua pihak. Mencerap puji-pujian daripada Dewan Bahasa dan Pustaka atau persatuan penulis saja, misalnya, akan menjadikan kempen membela bahasa Melayu menjadi langkah mengkal dan mandom.
Ia hanya akan menguntungkan sesetengah pihak berkepentingan, sama seperti sebelum-sebelum ini. Sesetengah pejuang bahasa pun mahir juga dalam bab laras bahasa mengipas itu.
Untuk permulaan, mungkin Umno boleh mula mendidik ahli parti - dan kemudian masyarakat secara keseluruhan - untuk mengeja secara betul. Memastikan pihak berkuasa tempatan menulis bandar raya, bukannya bandaraya; dan menyembunyikan sedikit rasa berahi melampau kepada DAP dengan menulis biadab berbanding biadap.
Adegan ‘panas’ drama Perempuan Itu tidak patut ada dalam budaya tempatan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berpandangan adegan panas ‘teaser’ drama Perempuan Itu tidak sesuai dengan budaya tempatan.
Beliau berkata, keputusan sama ada drama itu ditayangkan atau tidak dibawah kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
“Kita serah kepada K-KOMM untuk mengambil sebarang tindakan. Dari sudut panduan agama, budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa ke dalam negara kita,” katanya menurut laporan Bernama.
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak hanya akan berdiam diri, sebaliknya satu sesi perbincangan akan diadakan bersama K-KOMM bagi mencari satu ketetapan, garis panduan dan solusi agar isu seperti tidak berulang.
Terdahulu, K-KOMM telah memberi amaran keras kepada semua pengendali syarikat televisyen, supaya tidak memaparkan sebarang adegan menyentuh sensitiviti agama dan rakyat di negara ini.
Menterinya, Annuar Musa berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, sekiranya terdapat stesen televisyen yang melanggar garis panduan ditetapkan.
Presiden PAS positif Covid-19
Malaysiakini
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijangkiti Covid-19.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata bapanya yang berusia 74 tahun mengalami gejala ringan.
"Mohon doa kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera.
"Beliau telah disahkan positif Covid-19 dan hanya mengalami gejala ringan.
"Kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan dalam keadaan baik," katanya di Facebook.
Tahun lalu, Hadi pernah masuk Institut Jantung Negara kerana masalah kesihatan.
Dia dimasukkan ke wad pada Februari selepas mengalami kesukaran bernafas dan sekali lagi menerima rawatan pada Jun lalu.
Semasa PRN Johor, Hadi juga dilihat mengehadkan pergerakannya semasa kempen, sering muncul dengan bilangan hadirin yang terhad.
Dalam acara lain, dia juga pernah diwakili oleh timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Negara ini menyaksikan gelombang jangkitan baru disebabkan oleh varian Omicron.
Semalam, terdapat 283,276 kes aktif Covid-19.
Bagaimanapun, jumlah kes harian kelihatan stabil selepas lonjakan bermula bulan lepas.
Apakah Umno terdedah untuk diharamkan?
Usul tangguh lagi pemilihan tiada dalam perlembagaan, apakah Umno terdedah untuk diharamkan?
SHAHBUDIN HUSIN
Perhimpunan Agung Umno atau PAU2021 yang berakhir petang semalam sebulat suara meluluskan usul menangguhkan pemilihan parti selama enam bulan selepas PRU15 diadakan.
Bermakna, ini adalah penangguhan kali kedua yang mahu dinikmati Umno setelah pemilihan parti semasa sudah pun ditangguhkan selama 18 bulan yang tempohnya berakhir pada 29 Disember tahun ini.
Tetapi, berbanding menangguhkan pemilihan selama 18 bulan sebelum ini adalah perkara yang memang tertulis dalam perlembagaan Umno, menangguhkan lagi selama enam bulan ini perlu membuat permohonan khusus kepada Pendaftar Pertubuhan atau RoS untuk kelulusan.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam ucapan penggulungannya berkata, sehubungan itu UMNO akan membuat permohonan segera kepada RoS berkaitan perkara tersebut.
Beliau juga meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar campurtangan bagi memastikan permohonan itu tidak berdepan masalah.
Nampaknya, belum apa-lagi Mohamad Hasan atau Tok Mat sudah pun menunjukkan kecenderungan untuk Umno campur tangan dalam hal ehwal kerajaan.
Adakah Umno akan lebih mengasak Ismail Sabri hingga ke dinding agar bubarkan Parlimen secepat mungkin?
Dalam masa yang sama, dengan penuh yakin beliau menegaskan, bersama lulusnya usul tersebut, bererti jika PRU15 diadakan pada tahun 2030 sekali pun, pemilihan Umno hanya akan diadakan enam bulan selepas itu.
Kenyataan tersebut dengan sendirinya menggambarkan betapa begitu ghairah dan terdesaknya kepimpinan Umno sedia ada mahu PRU15 tetap didahulukan berbanding pemilihan parti tanpa memperdulikan perlembagaan sendiri.
Soalnya, mampukah hasrat Umno itu menjadi kenyataan kerana usul PAU bukanlah suatu perkara yang boleh mengubah atau mengatasi perlembagaan parti.
Perlembagaan Umno hanya memberi kebenaran pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan dan tiada lagi penanggunan tambahan buat kali kedua dibenarkan selepas itu.
Akhirnya perkara ini adalah terserah kepada budi bicara RoS dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu sama ada mahu meluluskan atau sebaliknya.
Bagaimana jika permohonan Umno itu tidak diluluskan?
Apakah Umno sedia mengadakan pemilihannya sebelum 29 Disember tahun ini walaupun kiranya Parlimen belum lagi dibubarkan?
Atau jika permohonan itu ditolak oleh RoS, ia akan membuatkan Umno lebih mengasak Ismail Sabri Yaakob hingga ke dinding agar segera membubarkan Parlimen secepat mungkin?
Inikah erti dan bentuk kestabilan bagi Zahid Hamidi yang kini menerajui Umno?
Yang nyata, seperti ikan yang busuknya bermula daripada kepala, selagi Umno dipimpin oleh pemimpin yang bermasalah, selagi itulah kecelaruan akan terus berlaku tanpa ada titik noktah.
Persoalan lain, tidak mungkinkah tindakan meluluskan usul menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas PRU15 itu suatu tindakan yang boleh menyebabkan Umno diharamkan kerana melanggar perlembagaannya sendiri?
Annuar Musa: 'Kita ini bukan Hollywood'
N Faizal Ghazali
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa memberi penegasan dan amaran kepada stesen-stesen televisyen dan penggiat drama agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam penyiaran karya seni.
Mengulas mengenai isu kandungan drama yang dikatakan memaparkan adegan melampau katanya, pemain industri terbabit perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam.
"Kita ini bukan Hollywood. Kita juga bukan Eropah, kita ini (negara) timur. Kita ini Malaysia sebuah negara agama rasminya Islam.
"Jadi benda macam itu tak perlu dah kementerian memperingatkan, saya anggap kalau dia langgar juga itu sengaja cuailah," katanya pada sidang media selepas progam kembali ke sekolah peringkat parlimen Ketereh di Kota Bharu, hari ini.
Annuar berkata demikian ketika ditanya berhubung paparan kandungan drama adegan panas yang tular di media sejak semalam.
Ia selepas pelakon, Zul Ariffin dipercayai memuat naik klip video ‘teaser’ drama bertajuk Perempuan Itu.
Drama arahan Erma Fatima berjudul Perempuan Itu dibintangi oleh Zul Ariffin dan Mimi Lana itu akan menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadan ini.
Sementara itu Annuar berkata, sebaik mendapat maklumat mengenai perkara itu dia terus menyemak perkara sebenar.
Jelasnya, di bawah peraturan sekarang kerajaan memperturunkan kuasa penapisan bagi kandungan drama di peringkat stesen-stesen televisyen dan mereka dikehendaki membuat pengawalan sendiri.
"Tapi saya juga telah keluarkan kenyataan kalau saya mendapati stesen televisyen abai dalam tanggungjawab menjaga garis panduan tertentu terutama menyentuh hal agama budaya dan adab resam dan sebagainya, maka saya akan menyemak semula kemudahan itu dan kita akan menarik balik.
"Kita memberikan kemudahan atas kepercayaan semua stesen televisyen yang bekerjasama dengan swasta membuat drama itu digalakkan tapi mereka mesti wajib mematuhi garis panduan yang ditetapkan," katanya.
Justeru tambahnya, adegan-adegan yang tidak Melayu tidak Islam sifatnya serta menyinggung perasaan orang Melayu-Islam dan sebagainya sepatutnya tidak perlu menunggu teguran kementerian.
"Kena faham sendirilah batas-batas. Kalau adegan itu sehingga rakyat biasa terperanjat melihatnya kerana sangat tidak bersesuaian, takkan kita semua di stesen televisyen dah hilang pedoman.
"Saya ingin memberi amaran keras kepada semua stesen televisyen yang dilesenkan oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sekiranya mereka berterusan melanggar garis panduan yang ditetapkan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," kata Annuar.
Isyarat buruk buat Shahidan, Annuar dan Tajuddin?
70 peratus calon PRU-15 muka baru, isyarat buruk buat Shahidan, Annuar dan Tajuddin?
SHAHBUDIN HUSIN
Antara perkara yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan PAU2021 petang semalam ialah 70 peratus calon PRU-15 adalah muka baru yang berusia bawah 50 tahun.
Beliau berkata, usaha itu untuk menarik lebih sokongan rakyat seperti yang dilakukan dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini yang terbukti telah membawa kemenangan besar BN.
“Jangan risau Ketua UMNO Bahagian yang berusia bawah 50 tahun termasuk dalam konsep ‘wali’- boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), calon boleh menang, Insya-Allah boleh (bertanding PRU15).
“Pemuda, Wanita dan Puteri saya akan pastikan ketiga-tiga sayap ini akan dapat tempat,” ujar beliau lagi.
Apakah mesej di sebalik ucapan Zahid Hamidi itu? Munasabahkah angka 70 peratus itu?
Pelbagai pihak dalam UMNO yang ditanya respon mereka mengenainya berkata, bukan perkara mudah untuk menukar calon-calon pilihan raya sehingga ke tahap 70 peratus.
Ini kerana kata mereka, wakil-wakil rakyat sedia ada adalah terdiri daripada Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian Naib Ketua Bahagian yang merupakan warlord utama sudah pun menguasai UMNO sejak sekian lama.
Meskipun majoriti mereka berusia lebih 50 tahun dan sudah beberapa penggal memegang jawatan wakil rakyat, menukar mereka tidak semudah menyebutnya dalam ucapan berikutan pengaruh dan kuasa wang yang mereka dimiliki.
Sebab itu, dalam mana-mana era kepimpinan UMNO sebelum ini, usaha meletakkan muka baru pada setiap kali pilihan raya adalah masalah utama dan hanya berjaya dilakukan dalam lingkungan sekitar 30 peratus hingga 40 peratus saja.
Malah, itu pun sudah dikira peratusan yang tinggi.
70 peratus calon PRU-15 muka baru, isyarat buruk buat Shahidan, Annuar dan Tajuddin?
Shahidan Kassim
Jadi, adakah Zahid Hamidi hanya bercakap kosong dan membuai hati perwakilan UMNO saja, khususnya generasi muda apabila menyebut angka 70 peratus itu?
Tidak, sebenarnya ia adalah mesej Zahid Hamidi untuk pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO yang kebetulan sudah berusia dan lama menjadi wakil rakyat serta sering bertelagah dan mengecamnya secara terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara mereka ialah Annuar Musa, Shahidan Kassim, Tajuddin Abdul Rahman, Nazri Aziz dan beberapa yang lain lagi.
Kecuali Nazri yang sudah mengumumkan tidak mahu bertanding lagi, yang lain-lain itu tidak pernah lagi membuat pengumuman terbuka mengenainya.
Bermakna, mereka itu belum mahu bersara dan ingin terus bertanding lagi dalam PRU15 akan datang ini.
Begitu pun, berdasarkan ucapan Zahid Hamidi mengenai angka 70 peratus muka baru itu, ia seperti menampakkan harapan tipis untuk Annuar, Shahidan dan Tajuddin terus dipilih bertanding lagi.
Tambahan lagi, Zahid Hamidi juga turut menyindir Shahidan dan Annuar dalam ucapan penutupnya semalam.
Dan inilah antara sebab mengapa Zahid Hamidi berkeras mahu PRU15 diadakan lebih dulu sebelum pemilihan UMNO supaya dengan jawatan Presiden UMNO yang masih dipegangnya, musuh-musuh politknya dapat diketepikan terlebih dahulu.
Berjayakah beliau melakukannya nanti?
Zahid bayangkan tiada PRU sebelum 31 Julai
Malaysiakini
Selepas hebat mendesak supaya pilihan raya umum (PRU) diadakansegera, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini memberi bayangan bahawa parti itu tidak terlalu tergesa-gesa.
Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan membayangkan Umno perlu menunggu memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) - yang menetapkan parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum 21 Julai - berakhir.
Bercakap pada sidang media selepas tamat perhimpunan agung Umno (PAU) 2021 hari ini, Zahid berkata, terdapat tempoh masa sebelum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu mengumumkan pilihan raya.
Ini kerana katanya, perkara itu masih belum dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi parti.
"Kekerapan untuk kami berlima bertemu adalah tidak kurang daripada sebulan setengah bagi setiap pertemuan namun jika ada isu yang melibatkan parti dan juga isu rakyat kami akan berjumpa lebih kerap daripada itu," katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah timbalannya, Mohamad.
Zahid berkata terpulang kepada "kebijaksanaan" perdana menteri berhubung MOU itu, dan pihaknya menghormati keputusan yang dibuat Kabinet.
“Soal garis masa (PRU15) kita merasakan MOU yang telah ditandatangani antara kerajaan dan parti pembangkang telah ditetapkan pada Julai maka PRU sama ada mahu diadakan sebelum atau selepas itu.
“Maka MOU itu dihormati dan beberapa pertimbangan politik akan dijanjikan asas perdana menteri untuk gunakan budi bicara untuk menentukan,” katanya lagi.
Tambah presiden Umno itu bukan pihaknya yang mahukan pilihan raya umum diadakan, tetapi rakyat.
"Umno hanya mendesaknya berdasarkan pelbagai faktor," katanya ringkas.
BN sebelum ini mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun BN gagal memenangi undi popular di kedua-dua negeri, dengan memperoleh kurang daripada 50 peratus jumlah undi.
Sementara itu, ditanya sasaran kerusi untuk dimenangi pada PRU15, Zahid berkata dia tidak boleh mendedahkan strategi Umno kepada pihak media.
Zahid juga tidak menjawab apabila ditanya mengenai calon perdana menteri, namun mengaitkannya dengan insiden pelantikan menteri besar Johor.
“Kami ada calon, di Johor 'poster boy' kami ialah Hasni (Mohammad), tetapi anda tahu...
“Tetapi saya tidak fikir 'poster boy' itu bahan untuk kita promosikan sekarang.. atau nanti... kerana terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.
"Tetapi perkara itu pasti akan dibincangkan sesama kita," katanya.
Terdahulu, semasa sesi penggulungan perhimpunan agung, Zahid mengusik Mohamad dengan mengatakan kemungkinan timbalannya itu akan menjadi perdana menteri seterusnya.
Kata Zahid, jika ada rezeki Mohamad, timbalannya itu mungkin boleh menjadi perdana menteri pada PRU ke-16.
“Tok Mat, kalau nak jadi perdana menteri kena tunggu,” katanya.
Zahid berkata Umno hanya mencalonkan satu nama iaitu Ismail Sabri Yaakob bagi jawatan perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Bagaimanapun, Zahid berkata dia tidak cemburu dengan Ismail yang merupakan pimpinan bawahannya dalam Umno - menjadi perdana menteri.
"Saya tidak pernah cemburu," katanya.