"Ombak Melayu pada pilihan raya kali ini bermula dari Johor. Bangsa Johor akan memulakannya!
"Pilihan raya lepas walaupun kemaraan parti pembangkang menghimpit Umno hingga ke Tambak Johor, Pakatan Rakyat gagal.
"Biarpun Salahuddin sanggup meninggalkan kubunya di Kelantan, PKR diperkukuhkan dengan kehadiran tokoh Abim Idris Jauzi………"
Pidato anak muda berbaju merah bersimbol bunga raya itu memang nampak bergaya. Bertenaga dan panas. Pidatonya disambut dengan semangat dan laungan "Hidup Tun! Hidup Tun! Hidup Tun!"
Tan Sri Muhyiddin Yassin tersenyum meleret. Puas.
Johor negeri tempat keputeraan Umno - iaitu sebuah parti Melayu - pada 1946. Umno dilahirkan di dalam istana dan diarak pemimpinnya keseluruh negara. Umno memang kuat di Johor.
PAS berjinak-jinak menanam padi pada sawah seluas sekangkang yang ada. Sayang padi tidak dituai, lalang pula yang tumbuh. Maka hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya.
Namun berkat kesabaran pemimpin PAS waktu itu, mereka mengorak langkah sedikit demi sedikit. Daripada memperoleh kemenangan tanpa bertanding di Senggarang pada pilihan raya umum (PRU) 2004, kemudian menang melalui pertandingan di tiga kerusi DUN.
Sifat seorang cikgu
Malam itu aku membelek-belek kajian terkini INVOKE. Ia adalah kajian yang melihatkan hampir 800,000 responden di seluruh negara. Justeru ia suatu kajian yang tidak boleh dipandang ringan. Nilai keabsahannya tinggi.
Peta Johor diwarnakan merah tanda negeri itu akan dikuasai oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) kali ini. PAS pula akan kehilangan dua daripada tiga kerusi yang dikuasainya. Satu kerusi memang sudah awal-awal dibawa pergi oleh bekas pesuruhjayanya yang kini menjadi orang nombor satu AMANAH di Johor, cikgu Aminolhuda Hassan.
Lama sudah aku kenal bekas cikgu matematik itu yang pernah belajar di United Kingdom. Beberapa tahun lalu kerap kami bertemu dan minum bersama. Sekarang agak jarang.
Sengaja selepas makan tengahari itu, aku mendail nombor telefonnya yang memang masih tersimpan dalam telefon bimbitku. Aku bercerita tentang sebuah kitab lama dari Johor. Aku minta supaya pemimpin membaca atau setidak-tidaknya memahami tentang sebuah kitab lama.
Dengan senang hati, cikgu Aminolhuda melayan khutbah pendek aku. Seorang cikgu memang begitu sifatnya - sabar dan mendengar.
"Tentang kitab?" tanya ADUN Parit Yaani itu apabila aku menyebutkan nama naskhah berkenaan.
Kitab itu ditulis pada 1878 di Singapura oleh anak Abdullah Munsyi. Muhammad Ibrahim Munsyi namanya. Kitab itu bertajuk Kitab Pemimpin Johor.
Anehnya apabila dibaca, ia bukanlah sebuah kitab politik tetapi sebuah karya yang memperkatakan nahu atau tatabahasa Melayu!
Apakah Muhammad Ibrahim khilaf dalam memahami penggunaan istilah "pemimpin"? Rasanya, tidak mungkin.
Apakah makna pemimpin pada kurun ke-19 berbeza dengan pemahaman kita pada masa kini? Tidak juga.
Bangsa pelaut yang hebat
Jika dirujuk beberapa karya terutamanya yang ditulis pada era yang lebih kurang sama, istilah "pemimpin" merujuk "ketua". Lihatlah, di dalam Kitab Suci iaitu terjemahan Bible Melayu yang diusahakan oleh H C Klinker pada 1879 dia menggunakan istilah pemimpin seperti di dalam petikan berikut:
"Turutlah orang yang menjadi pemimpinmu, dan tunduklah kepadanya". Maknanya pemimpin adalah seorang ketua.
Begitu juga di dalam A Malay English Dictionary susunan R J Wilkinson pada 1901 yang mencatatkan makna pemimpin sebagai "to lead by hand" dan "a mentor" atau "guide". Jelas Wilkinson mengambil tajuk kitab tulisan Muhammad Ibrahim.
Wilkinson menghuraikan makna istilah 'pemimpin' sebagai Johor Guide yang merujuk kepada "the name of a Malay grammar".
Mengapa Muhammad Ibrahim tidak menamakan kitabnya itu sebagai Kitab Panduan Bahasa Melayu atau apa-apa istilah yang berkaitan dengan bahasa?
Apakah rahsia di sebalik pemilihan istilah "pemimpin" sebagai tajuk buku tentang bahasa?
Jika dilihat beberapa tulisan tentang tatabahasa Melayu pada kurun ke-19 yang ditulis orang orang Barat, mereka menggunakan istilah "nahu". Penulisan terawal tentang bahasa dan kesusasteraan Melayu ditulis oleh Francois Valentijn, John Crowford dan seorang paderi Swiss, G H Werndly.
Pada 1736, Werndly menulis sebuah buku yang bertajuk Maleische Spraakunst (Nahu Bahasa Melayu). Dia bekerja dengan Belanda di Sumatera dan sangat berminat terhadap manuskrip Melayu.
Sebanyak 69 manuskrip dihimpunkan dan senaraikannya dalam buku Maleische Spraakunst. Pada 1876, seorang Perancis L’Abbe P Faure menulis buku bertajuk Grammaire de la Langua Malaise (Kitab Ilmu Nahu Dari Bahasa Melayu).
Memang orang Melayu tidak menulis hukum-hukum berbahasa kerana hukum bahasanya disusun dalam adab dan adat. Tatabahasa orang Melayu lahir dari jiwa. Tidak direka untuk bermegah-megah sebaliknya kedengaran cukup mendalam, indah dan segar.
Orang asing terpaksa menulis tentang tatabahasa Melayu kerana mereka mahu memahami bahasa yang dimiliki oleh bangsa pelaut yang hebat ini.
Peribadi pemimpin teruk
Dengan memahami bahasa sesuatu bangsa, jiwa bangsa akan dapat diterokai dan difahami.
Sebenarnya jiwa bangsa Melayu tersimpan dalam bahasanya. Kukuh bahasa, megahlah bangsanya. Buruk bahasanya, lemahlah bangsanya.
Muhammad Ibrahim mempunyai pemahaman bahawa istilah "pemimpin" sebagai istilah "bahasa". Dia menggunakan istilah "pemimpin" sebagai "bahasa" kerana memahami bahawa bahasa adalah pemimpin.
Kitab itu mengandungi 23 bab pendek yang membincangkan sifat-sifat bunyi bahasa, penggunaan kata dan lain-lain tentang bahasa Melayu. Pada mukadimahnya, Muhammad Ibrahim menerangkan sebab beliau menulis buku Kitab Pemimpin Johor.
Sebab pertamanya ialah sebagai penambahan ilmu pengetahuan tentang bangsa Melayu. Keduanya, dia menulis "supaya menjadi pemimpin bagi tiap-tiap mereka yang belum sempurna pelajaran di dalam ilmu teks menulis Melayu".
Nyatalah syarat untuk menjadi pemimpin adalah memahami ilmu teks menulis dalam bahasa Melayu.
Sesuatu yang lebih menarik, Muhammad Ibrahim menyebutkan sebab terakhir dia menulis kitab itu. Katanya kitab tersebut akan menjadi panduan jika berlaku perselisihan faham atau pertengkaran antara mereka.
Baca Hamka dan rakaman kegagalan anak muda
Kini dengan dunia yang terbentang luas, kehidupan masyarakat dipadatkan dengan perselisihan atau pertengkaran yang sia-sia. Kebanyakan perselisihan atau pertengkaran akibat daripada penggunaan bahasa yang teruk. Itulah gambaran peribadi pemimpin yang teruk.
Mempunyai ketinggian bahasa adalah syarat utama menjadi pemimpin Melayu yang baik. Cakapnya tidak celupar, gelojoh dan kasar. Tulisannya indah, bermakna dan berkesan. Tingkahnya menyenangkan dan memperkukuhkan kebenaran.
Tahu berbahasa bukan sekadar mengetahui hukum berbahasa tetapi mengetahui bagaimana memimpin masyarakat adalah teras tertegaknya bahasa Melayu.
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas penulis buku serta esei.