"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Jangan mati sebelum 15hb, nanti JKM tuntut balik bantuan”

MALAYSIA DATELINE

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menuntut keluarga arwah Ramlah Rejab memulangkan semula wang bantuan RM350 yang dibayar pada 7 Jun 2020.

Arwah Ramlah seorang ibu dan warga tua meninggal dunia pada 1 Jun 2020 sejurus bantuan bulanan JKM dibayar kepada arwah.

Pada 7 Jun 2020 JKM arahkan keluarga arwah pulangkan bantuan tersebut kerana arwah meninggal dunia sebelum 15 Jun.

Difahamkan jika penerima bantuan JKM meninggal dunia selepas 15 Jun barulah JKM tidak akan menuntut balik.

“Kalau meninggal pada atau selepas 15 Jun ok lah, JKM tidak akan tuntut balik.

“Tahniahlah kepada JKM yang cepat dan cekap. Technically, bantuan RM350 dah jatuh haram kot.

“Inilah bezanya darjat di antara rakyat marhaen orang kampung yang susah seperti keluarga arwah Ramlah berbanding rakyat VVIP kaya raya tetapi korup.

“Biar menyamun dan rasuah beratus-ratus juta mahu pun berbilion. Bila kena tangkap, pulangkan balik sedikit atau mengaku konon derma politik, dilepas dan dibebaskan terus,” kata netizen.

Bahkan, ada yang meminta JKM sedekah sahaja wang itu kepada keluarga arwah Ramlah.

“Sedekah jelah…amenda la kedekut sgt…beli kemiyan kapur barus kain kafan..apa tak pegi korek kubur tu ambik balik apa-apa yg perlu,” kata JamalBhaii

“350 mcm 350 ribu,” kata Wan Husin.

Terdahulu, tular satu surat dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Padang Terap bertarikh 7 Jun 2020 menuntut bayaran balik lebihan bayaran bantuan orang tua.

Surat itu memaklumkan bayaran bantuan bulan Jun telah dibayar kepada arwah Ramlah, pihaknya diarahkan untuk meminta pihak keluarga arwah membuat bayaran balik lebihan yang diterima selepas tarikh kematian arwah.

Kerajaan PN akan jatuh jika 6 pemimpin Umno didapati bersalah di mahkamah, kata Dr M

FMT Reporters
PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin akan jatuh sekiranya 6 pimpinan Umno didapati bersalah di mahkamah.

Beliau berkata, Muhyiddin akan menjadi penentu sama ada pimpinan Umno terbabit didapati tidak bersalah oleh mahkamah dalam perbicaraan yang membabitkan mereka.

Mahathir menyenaraikan 6 pimpinan Umno, iaitu Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahmad Maslan dan Bung Moktar Radin.

“Di waktu Muhyiddin rancang untuk terima Umno dan Najib sebagai rakan dalam parti baru, beliau janji tidak akan sentuh perbicaraan kes Najib dan lain-lain kes yang melibatkan beberapa pemimpin Umno. Perbicaraan akan diteruskan.

“Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu 3 sahaja lebih daripada separuh (111 wakil rakyat).

“Jika 6 orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108, iaitu kurang daripada separuh,” katanya dalam blognya di chedet.cc, merujuk kepada kerusi di Dewan Rakyat.

Mahathir berkata, sebelum ini anak tiri Najib, Riza Aziz dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman juga sudah “dilepaskan” oleh mahkamah.

Katanya, sudah tentu 6 orang pemimpin Umno ini juga akan didapati tidak bersalah.

“Maka selamatlah Muhyiddin. Dunia akan ketawa melihat kerajaan pintu belakang ini putar undang-undang.

“Yang salah tidak salah. Yang benar salah. Yang menang kalah. Yang kalah menang. Syabas, norma baru sudah dicipta,” katanya.

Hentikan bicara soal kekuatan antara Anwar dan Tun

MALAYSIA DATELINE
Dalam tempoh rundingan yang masih berjalan, tidak wajar jika penyokong Tun Mahathir mahupun penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim saling beradu kekuatan masing-masing di media sosial dengan harapan usaha itu mampu mempengaruhi tokoh mereka dipilih sebagai Perdana Menteri ke-9.

Menurut AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor Syazmir Hariz Noorazalan pertelingkahan antara dua penyokong ini menyebabkan rundingan antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersama pasukan Tun Mahathir dan Warisan akan terjejas akibat sentimen siapa lebih kuat.

“Adakah ini perangkap musuh agar kesepakatan ini tidak terus berjalan? Ataupun musuh hanya bersenang-lenang melihat pertelingkahan terus berlaku dalam PH Plus akibat tangan-tangan penyokong kita sendiri?” soalnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkeyakinan bahawa semua pimpinan PH Plus akan cuba sedaya upaya agar kesepakatan itu akan tercapai demi membebaskan negara ini dari cengkaman Perikatan Nasional.

Pastinya pimpinan PH Plus ini, katanya mempunyai formulanya bagi mencapai kestabilan dalam kerajaan yang akan dibentuk sama ada Anwar mahupun Tun sebagai Perdana Menteri.

“Jalannya sudah ada cuma kaedah yang terbaik bagaimana hendak bergerak sahaja yang sedang dibincangkan.

“Oleh itu, tidak moleklah pula jika penyokong-penyokong setiap tokoh mengganggu proses yang sedang berjalan.
Berpuasalah kita dari beradu kekuatan masing-masing selagi keputusan belum dicapai,” katanya.

Justeru katanya, penglibatan Pasukan Tun Mahathir dan Warisan adalah satu tanda bahawa mereka bersedia menyelamat negara dari pimpinan kerajaan PN.

“Kesediaan pimpinan PH menerima kehadiran Pasukan Tun Mahathir dan Warisan merupakan usaha terkini PH bagi memastikan negara dipulangkan semula kepada kerajaan mandat rakyat,”katanya.

Anwar perlu kompromi sekali lagi, demi kepentingan sahabat beliau

MALAYSIA DATELINE

Datuk Seri Anwar Ibrahim dicadangkan berkompromi dengan memberi peluang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sekali lagi dalam jangka masa yang jelas manakala beliau sendiri menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali dalam satu tulisan khasnya kepada Malaysia Dateline berkata, hanya inilah caranya kerajaan Pakatan Harapan 2.0 boleh dibentuk semula terutama demi kepentingan parti sahabat Anwar iaitu AMANAH dan DAP.

“Saya fikir dalam situasi kini, memberi peluang Tun mengemudi PH sekali lagi sebagai PM dengan syarat melantik DS Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan mungkin satu pilihan yang terbaik.

“Soal peralihan kuasa 2.0 dalam tempoh tertentu mungkin boleh dipateri dalam suatu bentuk persetujuan yang lebih menyeluruh dari segi tempoh dan tarikh yang nyata,” kata beliau dalam tulisan itu.

BERIKUT TULISAN PENUH DR MAZLAN ALI

APA PILIHAN ANWAR

DR MAZLAN ALI

Saya fikir Anwar dalam situasi mempunyai kuasa tawar menawar yang besar sekarang, dan dalam keadaan setelah apa yang Tun Mahathir lakukan terhadap beliau sebelum ini (mungkir janji), mungkin Anwar mengambil sikap berhati-hati untuk tidak terlalu memberi ruang yang tersangat mudah bagi Tun Mahathir.

Situasi deadlock sekarang memang membawa kebuntuan, dan saya fikir dalam pemikiran Anwar kini, membentuk kerajaan PH kembali adalah satu pilihan yang tidak boleh diabaikan, tetapi beliau mungkin berfikir mengambil langkah bahawa kerajaan PH yang baharu ini mestilah PH 2.0 yang bebas dari sebarang kemungkinan manipulasi yang berulang, dengan kunci mangganya di tangan Tun Mahathir.

Saya pernah dengar kenyataan Anwar bahawa dia tidak akan tinggalkan rakan-rakannya (DAP dan Amanah).

Tetapi dengan mengambil sikap keras dan tidak mahu kompromi, bermaksud Anwar sebenarnya hanya pentingkan dirinya sendiri dan membelakangkan kepentingan rakan-rakannya DAP/Amanah yang inginkan pembentukan Kerajaan PH 2.0.

PKR berbeza dengan Amanah dan DAP. PKR parti yang sudah lama bertapak dalam politik dan mereka telah mempunyai suatu falsafah yang cukup kuat tentang perjuangan dan keperluan intuk merealisasikan suatu reformasi yang menyeluruh.

Dengan sebab itu, PKR boleh bertahan jika terus kekal sebagai pembangkang. Saya fikir Anwar mempunyai kekuatan dan mampu untuk merealisasikan kehendaknya (enggan kompromi dengan Tun) berbanding Amanah dan DAP.

Sedangkan Amanah sebuah parti muda dan tidak begitu kuat tapak tapak politik asasnya. Justeru Amanah amat memerlukan suntikan tenaga untuk melonjakkan momentumnya iaitu dengan menjadi kerajaan. Hakikatnya peluang membentuk kerajaan baru PH 2.0 ini adalah sesuatu yg sukar dilepaskan oleh Amanah.

DAP yang terpalit sebagai parti pembangkang puluhan tahun juga memerlukan lonjakan baru untuk membuktikan kemampuannya menjadi sebuah parti kerajaan yang boleh berkhidmat untuk rakyat dan mewakili suara masyarakat bukan Melayu yang lain. Peluang membentuk kerajaan baru ini juga sesuatu yang sukar untuk dilepaskan DAP.

Anwar Perlu Kompromi

Dalam situasi kebuntuan kini, Anwar dan Mahathir masing-masing tidak boleh membentuk kerajaan tanpa kerjasama keduanya, kecuali Anwar dapat membuktikan bahawa tanpa Tun, beliau boleh membawa angka lebih 112 walau dengan apa cara, atau Tun boleh mengadakan jumlah 112 dengan mempertimbangkan muafakat baru yang tidak dalam jangkauan pemikiran kita.

Maka dalam situasi pemimpin-pemimpin pembangkang yang semakin lemah ekoran siasatan dan pendakwaan seperti kes YB Syed Saddiq, kes Timbalan Pengerusi/Presiden Warisan, kes Banglo Lim Guan Eng, pendedahan Bekas AG Afandi tentang konspirasi Mahathir-Sri Ram dan banyak lagi menunjukkan masa bagi PH 2.0 semakin suntuk. Dan tidak ada jaminan kes gangguan seksual Anwar dengan Yusof Rowther tidak akan dibuka semula, dan ini benar-benar menunjukkan pembangkang kini semakin lemas dan bakal tenggelam tidak lama lagi.

Saya fikir dalam situasi kini, memberi peluang Tun mengemudi PH sekali lagi sebagai PM dengan syarat melantik DS Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan mungkin satu pilihan yang terbaik.

Soal peralihan kuasa 2.0 dalam tempoh tertentu mungkin boleh dipateri dalam suatu bentuk persetujuan yang lebih menyeluruh dari segi tempoh dan tarikh yang nyata.

Saya fikir, ini situasi menang-menang dan Anwar masih mempunyai kelebihan untuk menentukan sendiri bentuk penjajaran semula politik menjelang PRU-15 dengan sokongan rakan-rakan DAP dan Amanah yang lebih mantap, hasil pengorbanan kali kedua Anwar sehingga mandat rakyat PRU-14 dapat dikembalikan.

Dr Mazlan Ali

‘Insya-Allah Selasa ini’ Tungguuuuu

Zikri Kamarulzaman

Pakatan Harapan (PH) bersama sekutunya yakin akan dapat memutuskan calon perdana menteri mereka menjelang Selasa ini, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

“Insya-Allah (keputusan menjelang Selasa ini).

“Hari ni majlis pimpinan PH mesyuarat selepas daripada mesyuarat PH (bersama) Bersatu yang berpihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan. Ini adalah mesyuarat susulan.

“Selepas ini akan ada satu lagi pertemuan. Di peringkat PH dan PH plus ada pengumuman dalam masa seminggu daripada mesyuarat tempoh hari,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Fahmi berkata perkara itu masih "dalam perbincangan" ketika disoal sama ada pemimpin PKR, DAP dan Amanah pada mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini ada membuat sebarang keputusan.

Satu lagi pertemuan PH bersama sekutunya, iaitu kumpulan Bersatu yang setia kepada Dr Mahathir Mohamad, dan Warisan, akan berlangsung pada waktu yang belum ditentukan, katanya.

PH dan sekutunya kini mempunyai dua pilihan utama untuk calon perdana menteri mereka.

Mahathir dilapor menawarkan diri untuk kembali buat kali ketiga selama beberapa bulan dengan presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, Anwar dilaporkan menolak saranan itu.

Anwar memberitahu Malaysiakini bahawa dirinya yakin tetapi “berhati-hati” bahawa beliau akan menjadi calon perdana menteri.

Antara yang hadir pada mesyuarat PH hari ini termasuk Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan setiausaha penganjur parti itu, Anthony Loke, serta Presiden Amanah Mohamad Sabu bersama timbalannya, Salahuddin Ayub.

Saya cadang nak tubuh parti - Dr Mahathir

DR MAHATHIR MOHAMMAD
1. Saya bercadang untuk tubuh sebuah parti politik.

2. Banyak orang Melayu suka tubuh parti politik. Dahulu saya tubuh parti Pribumi Bersatu Malaysia. Sekarang parti sudah berpecah dua.

3. Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu.

4. Nama parti ini ialah Parti AAD atau “Parti Apa Aku Dapat”.

Tujuan: Memperkaya orang Melayu yang belum dapat.

Cara: Melantik sebagai pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.

Jemputan: Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan dll.

Yuran: Tidak perlu.

‘YB Datuk’ BN kebas duit peladang, beli bangunan melebihi harga tawaran

MALAYSIA DATELINE
Seorang wakil rakyat BN bergelar Datuk dikatakan sanggup menyeleweng peruntukan jutaan riggit yang sepatutnya dimanfaat untuk kepentingan golongan peladang di negara ini.

Bekas Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr Yaakob Sapari mendedahkan salah guna kuasa yang berlaku ketika pentadbiran BN itu melibatkan bangunan ibu pejabat NAFAS di Selangor.

“Duit peladang pun YB Datuk sanggup kebas. Bangunan RM 48 juta (ringgit), YB Datuk beli dengan harga RM 59 juta.

“Seorang pengurus kanan memberitahu saya, bangunan ibu pejabat NAFAS dia yang cari. Harga tawaran dia dapat RM 48 juta.

“Dia beritahu Jemaah Pengarah harga tawaran tersebut. Malangnya Jemaah Pengarah setuju beli dengan harga RM 59 juta,” dedahnya di Facebook beliau.

Yaakob yang juga Senator Dewan Negara berkata, kes tersebut telah dibawa kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam siasatan tidak tahu bila nak ambil tindakan. Ada istilah legally right, morally wrong,” ujar senator itu.

Beliau yang dilantik sebagai AJP NAFAS pada Januari tahun lalu itu juga akan berkongsikan banyak lagi penyelewengan yang berlaku.

“Inilah YB Melayu, sanggup makan duit haram,” bidas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Kota Anggerik itu.

Tambah Yaakob, NAFAS yang dianggotai seramai 950,000 orang itu telah digantung oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selama enam bulan kerana salah laku Jemaah Pengarahnya.

Untuk rekod, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika pentadbiran kerajaan PH telah menggantung operasi NAFAS berkuat kuasa 1 Jun 2018 ekoran masalah serius dalam urus tadbir membabitkan kepemimpinannya.

Menterinya, Salahuddin Ayub ketika itu berkata, penggantungan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.

‘Zaman gelap PN kian terserlah selagi PH tidak ambil semula mandat’

MALAYSIA DATELINE
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tertegak atas kebencian kaum dan agama yang membentuk tahap sokongan penyokong tegar blok parti pemerintah itu.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia menuju kepada keadaan ekstrem kanan dengan retorik anti-DAP, Islam terancam dan Melayu kehilangan kuasa.

“Selamat datang zaman gelap dan rakyat sekali lagi akan menderita dengan kehadiran politik elitis, partisan dan kebencian kaum dan agama.

“Kita sedang menyaksikan Malaysia semakin menjadi neo-konservatif dalam tindak tanduk PN.

“Kuasa PN bergantung talian hayat kepada kebencian antara kaum dengan risiko perpaduan nasional terancam.

“Isu Melayu Islam dipolitikkan begitu rupa sehinggakan hubungan antara kaum semakin meruncing ke arah gap keharmonian yang semakin melebar,” ujarnya.

Untuk rekod, PN yang terdiri daripada BN, Bersatu, Pas serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak menguasai Putrajaya ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari lalu.

Sebelum itu, Pas dan Umno telah membentuk Muafakat Nasional (MN) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019.

Terbaharu, Pas bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila yakin dengan kerjasama politik terutamanya bersama BN dan Bersatu yang dakwanya semakin mantap.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar selanjutnya berpendapat kuasa PN turut bergantung kepada eksploitasi aparatus kerajaan untuk mengekalkan kuasa termasuk ugutan, ancaman dan pendakwaan terpilih.

“Semua ini demi sebuah kuasa yang dirampas dan menidakkan mandat rakyat yang jelas mahukan penamatan kepada kebobrokan ini,” bidasnya.

Sehubungan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut menegaskan kepentingan Pakatan Harapan (PH) menguasai kembali Putrajaya.

“Zaman gelap semakin terserlah selagi PH tidak ambil semula mandat. Kuasa yang ada dalam PN tidak stabil dan kesetiaan hanyalah kepada kepentingan apa yang dapat diraih dan bukan untuk mentadbir negara dan rakyat,” tegas Mujahid lagi.

Muhyiddin cuba dijulang Bernama, kes mahkamah diperalat ikat sokongan Umno

AHMAD LUTFI OTHMAN
Agensi berita nasional, Bernama cuba popularkan Muhyiddin sebagai “bapa kebajikan”. Kata seorang sahabat, Bernama sedang memainkan peranan seperti akhbar Utusan dahulu.

Ya, Muhyiddin sibuk mengagihkan khazanah negara bagai rampasan perang untuk tambat kesetiaan kepadanya bagi menjamin kerusi perdana menteri yang dicurinya daripada pintu belakang itu.

Saiz Kabinet dibesarkan dan jawatan timbalan menteri ditambah. Pengerusi GLC yang berimbuhan lumayan dibedak-bedakkan, khususnya dalam kalangan ahli Parlimen, termasuk syarikat strategik negara yang selama ini jarang disentuh orang politik. Personaliti bermasalah turut dilantik meskipun dipertikai integritinya.

Pengisytiharan harta dan aset oleh jemaah menteri, seperti diamalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kini senyap sepi. Kerajaan Muhyiddin memang tiada iltizam politik dan janji-janji pembaharuan untuk rakyat pun.

Rakyat memang muak dengan perbincangan politik murahan tetapi amat dahagakan perbahasan politik tahap tinggi, berkaitan dasar dan hala tuju negara serta perubahan yang diperlukan segera.

Kita mahu status negara dapat diangkat ke liga negara-negara maju, bermaruah dan setanding di peringkat antarabangsa. Tiada lagi berita-berita yang memalukan.

Muhyiddin juga dipaparkan sebagai negarawan yang tidak bermain politik, satu ilusi yang palsu. Sedangkan dialah yang menyusun gerak politik untuk merampas kuasa rakyat pada hujung Februari lalu.

Sila dengar klip audio mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu yang dibocorkan itu. Mahathir pun dihenyaknya.

Tidak berani ke Parlimen, sebaliknya hanya membaca perutusan khas melalui kaca TV, tanpa perbahasan dan proses semak-imbang. Mudahnya khazanah negara berbilion ringgit dibelanjakan tanpa penelitian lanjut wakil-wakil rakyat. Tunggulah, akan terdedah nanti kes-kes salahguna kuasa apabila ketelusan dinafikan.

Legitimasi kerajaan tebuk atap itu pun belum disahkan Parlimen. Muhyiddin juga memperalatkan kes-kes mahkamah berprofil tinggi, seperti babitkan skandal mega 1MDB dan korupsi lainnya, untuk mengikat sokongan pemimpin Umno.

Inikah perdana menteri yang diperagakan sebagai tidak bermain politik? Walhal, dialah paling licik memanipulasikan situasi politik untuk kepentingan dirinya.

Sehingga klip audio terakhir yang didedahkan itu dikatakan mengaitkan baginda Yang di-Pertuan Agong dengan percaturan liciknya bagi merebut kuasa.

Rais, Idris dan Zahid antara bakal dilantik jadi senator


Bekas menteri Umno Rais Yatim dan Radzi Sheikh Ahmad adalah antara lima senator baru yang akan mengangkat sumpah jawatan pada Selasa depan.

Ini adalah menurut senarai yang diedarkan di kalangan kalangan politik yang kemudiannya disahkan oleh Presiden Dewan Negara SA Vigneswaran.

Menurut senarai itu, tiga yang lain itu adalah Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Dewan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam dan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip.

Kelima-lima mereka adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong dan dijadual mengangkat sumpah jawatan pada jam 10 pagi, 16 Jun.

Vigneswaran turut memberitahu Malaysiakini bahawa empat lagi senator akan dilantik pada Isnin, 22 Jun nanti.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama-nama senator yang bakal dilantik itu.

Anwar: 'Perubahan perlu sebelum PRU15 kerana tiadanya semak dan imbang'

Malaysiakini

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memegang tampuk kuasa susulan gerakan politik kini mentadbir negara tanpa adanya semak dan imbang, menurut Pemimpin PH Anwar Ibrahim.

Dengan ketiadaan unsur penting itu, ahli politik veteran berusia 72 tahun itu berkata PH tidak boleh menunggu sehingga PRU ke-15 untuk mengambil semula pentadbiran negara.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, di pejabatnya di Petaling Jaya semalam, beliau membayangkan PH tidak akan mencetuskan pilihan raya mengejut tetapi sedang berusaha mendapatkan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat, sebelum membuat langkah seterusnya.

"[… ] Tentulah, tiada harapan jika anda benarkan (kerajaan) terus (mentadbir) tanpa diawasi.

"Tiada semakan di Parlimen, media arus perdana tampak lebih tunduk sekarang dan ada gangguan terhadap masyarakat sivil, wartawan dan sebagainya.

"Jadi saya fikir kita tiada pilihan selain memastikan perubahan berlaku lebih cepat dan tidak menunggu sehingga pilihan raya," katanya.

Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu selepas bekas timbalan Anwar dalam PKR, Azmin Ali dan sekutunya serta kem Bersatu yang menyokong Muhyiddin Yassin keluar daripada gabungan itu, untuk membentuk PN bersama-sama Umno, BN dan PAS, dan disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu menunjukkan PN hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Mutakhir ini, PH bersama-sama kem Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu dan Warisan membayangkan memiliki jumlah yang cukup untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan.

Dalam siaran langsung di Facebook semalam, Anwar berkata PH memiliki 107 anggota Parlimen. Beliau kemudian berkata kepada Malaysiakini angka itu merupakan 'jangkaan konservatif', iaitu mungkin lebih rendah daripada yang sebenarnya.

Hari ini pejabat Anwar menjelaskan bahawa angka itu merangkumi PH, Warisan dan anggota Parlimen yang menyokong Mahathir, tetapi tidak mengambil kira anggota Parlimen bebas dan kalangan yang tiada wakil dalam mesyuarat PH awal minggu ini.

Setuju dengan Najib soal majoriti tipis

Dalam wawancara ini, Anwar menegaskan beliau tidak akan berkompromi dalam soal prinsip hanya demi menang dalam "permainan angka".

Presiden PKR itu juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beliau mengadakan perbincangan dengan GPS, dan hanya berkata beliau berhubung dengan semua pihak.

Sokongan GPS boleh menjadi amat penting buat PH dalam usaha menyingkirkan PN tetapi pada masa sama, gabungan itu perlu memastikan anggota Parlimennya sendiri tidak bertukar arah, seperti Jugah Muyang (Lubok Antu) yang keluar PKR minggu lalu.

Ditanya berkenaan perkara itu, Anwar optimis anggota Parlimen PKR yang lain tidak akan mengambil langkah sama atau terumpan untuk meninggalkan PH ekoran masalah kewangan atau "tawaran yang sangat menarik".

"(Jugah) ada meluahkan kesukaran berkhidmat di kawasannya, tiada cukup wang (untuk berkhidmat). Saya kata kita kena tunggu, apa lagi yang boleh kita lakukan," katanya.

Dalam soal ini, Anwar berkata masalah tidak timbul jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa berwaspada dan giat melawan apa yang didakwanya sebagai percubaan membeli sokongan wakil rakyat.

Dengan jumlah sokongan yang boleh bertukar bila-bila masa, beberapa pihak antaranya bekas perdana menteri Najib Razak berkata perubahan kerajaan dengan majoriti tipis akan membawa kepada ketidakstabilan dan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya boleh memilih untuk membubarkan Parlimen agar pilihan raya diadakan.

"Saya setuju dengan Najib dalam soal ini," kata Anwar.

"Tiada gunanya memaksa perubahan jika anda hanya ada majoriti tipis, sebab anda akan balik ke petak pertama...(Jika ada) satu atau dua MP yang tidak gembira dengan kedudukan mereka," katanya lagi.

Katanya lagi, walaupun semua pilihan boleh dipertimbangkan, PH patut fokus dalam menguatkan jentera pilihan raya dan asas sokongan jika tidak mampu menubuhkan kerajaan yang stabil.

Selain itu, beliau berkata pilihan raya pada masa ini tidak wajar di tengah-tengah wabak Covid-19 dan sekatan ekoran pandemik itu akan menjejaskan usaha kempen.

Berikut adalah sedutan wawancara yang telah disunting agar lebih jelas.

Malaysiakini: Anda menyebut hanya ada 107, jika mahu kerajaan yang stabil anda perlukan lebih daripada lima lagi MP, mungkin 10 atau 15 orang.

Anwar: Saya bersikap konservatif dalam hal ini. Ia anggaran konservatif, 107. Tetapi seperti yang anda tahu, mereka (PN) ada 111, jadi masih sekitar itu. Dan tentunya bukan kedudukan saya untuk menjelaskan lagi (tentangnya). Tetapi saya perlu katakan ada unsur-unsur menimbang walau di kalangan MP (PN). Ia bukan sekadar kedudukan menteri, GLC.

Saya membaca beberapa laporan media bahasa Melayu semalam dan hari ini, (mereka berkata) Muhyiddin kurang berpolitik. Itu adalah satu kenyataan yang tak masuk akal (absurd). Caranya melantik menteri, timbalan menteri serta GLC, dan menghabiskan masa bercakap dengan MP untuk dapatkan sokongan, tidak pernah berlaku sebelum ini. Ini adalah politik.

Tapi ia politik tahap rendah, bukan politik sofistikated di mana anda bercakap tentang dasar dan berhujah tentang perubahan. Anda hanya beritahu mereka (apa yang ditawarkan) dan beli mereka. Dan anda boleh kata atau cadangkan bahawa tidak ada politik.

Jadi ada ramai orang yang bimbang, mereka kata 'Baiklah tapi apa yang sedang berlaku kepada negara, untuk tiga bulan sebelum ini atau tiga bulan akan datang?' Saya malah tak pasti sidang Parlimen Julai dapat diadakan.

Jadi apa yang berlaku kepada negara ini, adakah dalam darurat? Dan apa masalah dengan elit politik dan kalangan intelektual? Bagaimana anda dapat menerima begitu saja misalnya dari segi pelantikan, GLC, tiada kepedulian langsung. Malah anda boleh sentuh Petronas, yang boleh dikatakan tak boleh disentuh. Dalam keadaan terburuk pun, orang masih mengekalkan jarak politik dengan Petronas.

Bagi saya, ini cukup membimbangkan. Jika anda tidak berhati-hati, sebaik saja kemelampauan (excess) didedahkan, digabung pula dengan jumlahnya, ia mungkin lebih teruk daripada 1MDB. Sebab tiada semak dan imbang langsung.

Disebabkan Covid-19 maka tiada tender, kontrak diberikan begitu sahaja.

Saya tidak pasti sama ada MP PN ini akan sertai atau sokong kami atau tidak. Tapi anda akan terkejut yang orang dalam PN kini berkata, 'Lihat, tiada masa depan untuk negara ini'. Ada kebimbangan, pertama berkenaan semangat kesatuan-kepelbagaian kaum, kedua tentang soal tadbir urus. Jadi saya kekal optimis.

Malaysiakini: Anda yakin mendapat majoriti yang selesa?

Anwar: Jika anda tanya Anwar, Anwar sentiasa yakin. Malah pada 1998 pun, saya seorang optimis tegar. Ketika saya dalam penjara, bila mereka tanya, 'Apa pandangan anda?', saya akan kata 'Ya kita akan menang'.

Malaysiakini: Jadi jika kami simpulkan bahawa anda kata usaha mendapatkan jumlah yang cukup masih dalam proses, dan secara peribadi anda harap dapat melakukannya sebelum PRU ke-15 kerana keadaan yang dihadapi sekarang?

Anwar: Jika kami berjaya dapatkan sokongan yang cukup, pastinya semua orang, bukan sahaja saya, tetapi untuk semua orang yang boleh mendapatkan sokongan (kami akan gerakkan perubahan).

Tetapi seperti yang anda tahu, pendirian kami adalah mereka telah melanggar mandat, dan keduanya mereka tidak sah (legitimate) dan ketiga, (PN) sangat rapuh. Setiap hari ada ancaman daripada Umno.

Pertanyaan Rakyat: Perasuah mana akan dibebaskan selepas ini

1. Pada 9/5/2018, rakyat Malaysia sanggup berdiri lama dan beratur panjang di pusat-pusat pengundian bagi membuat perubahan politik yang amat drastik tapi dengan secara aman dan demokratik. Tanpa dipaksa, mereka memilih PH dan menolak BN.

2. Dari segi perundangan, tiada siapa boleh menafikan banyak perubahan positif yang dilakukan oleh Kerajaan PH.

Antaranya, pejabat Peguam Negara yang di bawah pengendalian seorang peguam yang senior memperlihatkan “political will” mendakwa beberapa “ikan jerung”. Saya yakin rakyat yang membuat perubahan pada 9/5/2018 itu amat gembira.

3. Selaku mantan timbalan menteri undang-undang Kerajaan PH, saya sering ditanya bilakah para “jerung politik” yang didakwa itu hendak dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Jujurnya, agak sukar untuk menerangkan kepada mereka tentang kerumitan sistem dan proses perundangan.

4. Ramai dari rakyat yang mungkin sukar memahami kenapakah mereka yang dituduh dengan pelbagai tuduhan jenayah yang berat -misalnya tuduhan rasuah atau penggubahan wang haram berbilion ringgit-masih boleh dibenarkan ber”keliaran” di merata tempat, berselfie, berkempen dan lain-lain.

5. Rakyat ,secara umumnya , tidak begitu berminat untuk tahu apabila saya terangkan misalnya tentang doktrin ” seseorang yang didakwa di mahkamah dianggap tidak bersalah kecuali setelah dibuktikan bersalah” , konsep ” rule of law”, konsep ” fair trial”, konsep pemisahan kuasa eksekutif dan Peguam Negara atau Mahkamah dan konsep jaminan ( bail ).

6. Bagi rakyat ” para jerung politik” ysng didakwa dan dilihat telah menyusahkan negara/mereka perlu dan wajar dihukum segera. Buktinya, kata mereka, kami telah menolak mereka dalam pilihan raya. Maka, kata mereka, kerja kamu ( Kerajaan) adalah ” humban mereka dalam penjara dan bagi mereka reput di sana”.

Itulah , lazimnya, hujah mereka yang bersalut kemarahan mereka kepada saya misalnya.

7. Ya, amat sukar untuk menerangkan perbezaan ” hukuman politik” dan ” hukuman undang-undang” ke atas para aktor politik yang dianggap oleh rakyat telah melakukan jenayah. Prosesnya berbeza. Kaedah pembuktiannya juga berbeza. Ya, secara relatif, lebih mudah mensabitkan seseorang ahli politik yang korup melalui “hukuman politik”. Ini kerana, antara lain, proses pembuktian bersalahnya jauh lebih ringan dan jauh lebih mudah dibandingkan melalui proses undang-undang di mahkamah.

8. Mungkin , atas dasar itu, tidak sedikit rakyat yang agak ” marah” dan ” kecewa” kepada PH kerana , bagi mereka, pesalah yang “dihukum” melalui pilihanraya masih tidak dihukum melalui “mahkamah”.

Ironinya ketegasan Kerajaan PH untuk berpegang kepada prinsip ” kedaulatan undang-undang” ( rule of law) dan prinsip ” perbicaraan yang adil” ( rule of law) menyaksikan para pemimpin PH pula yang dimarahi dan dikritik secara pedas dan konsisten oleh para penyokong mereka sendiri.

9. Ya, ianya amat sukar. Tetapi, bagi saya, itulah prosesnya. Bukan mudah untuk membuat perubahan di dalam satu negara yang boleh dikatakan segala sendi-sendi utama di negara itu telah rapuh dan rosak secara teruk. Tapi, itulah jalan yang PH kena dan perlu tempuhi . Amat sukar dan berliku.

Boleh sahaja Kerajaan PH memilih cara yang lebih mudah dan lebih segera bagi ” menghukum” ” para jerung politik”. Mungkin cara sebegitu boleh menggembirakan para penyokong sendiri dalam jangkamasa pendek. Namun, maaf, itu bukan perubahan yang hakiki. Perubahan atas dasar dendam semata-mata tidak baik kepada negara pada jangkamasa panjang. Ia bukan perubahan yang ” genuine”.

10. Takdir Allah di saat para pemimpin Kerajaan PH sedang serius berfikir, merancang dan melaksanakan proses perubahan tersebut, rupanya ada pihak yang berfikir lain. Maka, berlakulah apa yang berlaku. Kerajaan PH yang dinaikkan melalui mandat rakyat dijatuhkan oleh Kerajaan PN yang terbina melalui pengkhianatan mandat rakyat. Puncanya hanya satu -kerakusan nafsu serakah!

11. Terbukti kini wujudnya beberapa insiden yang menunjukkan seolah-seolah negara ini sedang bergerak mengundur ke belakang – pra 9/5/2018- iaitu rakyat negara ini seolah-olah masih berada di dalam budaya dan persekitaran pemerintahan BN. Jika dahulu BN, sekarang PN. Malangnya, DNAnya masih tetap sama.

12. Dari aspek perundangan, boleh jelas kelihatan ketidaksamaan perlakuan ke atas rakyat yang tidak berdaya dan pemimpin yang berkuasa di hadapan undang-undang.

Pada mulanya, rakyat hanya melihat ketidaksamaan undang-undang dalam memperlakukan pemimpin dan kaum kerabat mereka yang melanggar PKP di satu pihak dan rakyat bawahan di satu pihak yang lain. Namun nampaknya ketidaksamaan itu tidak terhenti di situ sahaja.

13. Bila tertuduh yang berhadapan dengan jenayah yang ada kaitan dengan skandal 1MDB boleh dilepaskan tanpa dibebaskan hanya kerana bersetuju dan bersedia untuk memulangkan sejumlah wang tertentu, kecurigaan rakyat perkara sebegitu mungkin akan berulang benar-benar berlaku. Kali ini seorang lagi pemimpin yang berhadapan dengan 46 pertuduhan jenayah pula dibebaskan.

Soalan yang “legitimate” dari rakyat bawahan ” pemimpin mana pula selepas ini? ” dalam keadaan rakyat bawahan dihukum 15 bulan penjara kerana mencuri petai!

14. Almarhum YM Tun Raja Azlan Shah dalam satu penghakimannya iaitu dalam kes ” Public Prosecutor v Tengku Mahmood Iskandar and Anor ( 1973 ) 1 MLJ 128 memulakan penghakimanya dalam kes tersebut dengan kata kata yang menarik.

Terjemahan ke bahasa melayu berbunyi lebih kurang seperti berikut :-

” Hari ini bukan sangat Responden ,yang sedang menghadapi perbicaraan, yang dibicarakan tetapi keadilan itu sendiri ( yang sedang dibicarakan). Berapa banyak kadar keadilan bagi keadilan itu sendiri? Jika mahkamah berusaha untuk meletakkan keseimbangan antara dua neraca- kepentingan tertuduh dan kepentingan masyarakat , maka saya ingin katakan bahawa keadilan itu adalah bersifat adil ( justice is just ) .Tujuan keadilan itu mestilah keseimbangan dan kesaksamaan”.

15. Almarhum juga berkata :-

” …Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang berkata semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Ia bermaksud, secara tersirat, hanya ada satu sahaja set undang-undang di negara ini di mana semua rakyat adalah tertakluk kepadanya. Bagi kami, setiap warganegara, tanpa mengira status rasmi atau status sosial mereka, adalah di bawah pertanggungjawaban yang sama bagi setiap tindakan yang dilakukan tanpa justifikasi undang-undang. Kesaksamaan semua orang di hadapan undang-undang meninimakan kezaliman”

16. Nabi s.a.w telah lama meingatkan kita dalam satu petikan hadith yang antara lain, berbunyi, mafhumnya :-

“..hanyasanya mereka yang binasa sebelum kamu bahawasanya mereka jika ada di antara mereka yang mencuri itu di kalangan orang-orang mulia ( الشريف ) , maka dibiarkan sahaja ( tidak dihukum) , dan apabila yang mencuri di kalangan mereka itu orang yang lemah ( الصعيف ) , maka ditegakkan hukuman hadd ke atas mereka..”

والله اعلم

Mohamed Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Sepang

11/6/2020.

Rakaman suara mirip Muhyiddin kata Agong mahu Dr M kekal PM walau k'jaan bertukar

Sebuah laman Facebook yang menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan satu lagi rakaman audio yang didakwa diambil ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari lalu.

Dalam rakaman kali ini, suara yang menyerupai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin didengar berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lebih suka jika Mahathir kekal sebagai perdana menteri, walaupun jika berlakunya pertukaran kerajaan.

Suara itu membangkitkan senario di mana Mahathir tidak letak jawatan tetapi memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan telah memberitahu Mahathir bahawa beliau telah mendapatkan nasihat seorang bekas ketua hakim yang mengatakan peletakan jawatan tidak perlu dibuat.

"Jadi dalam keadaan A yang ada sekarang ini pun Tun (kekal) perdana menteri, kalau nak bergerak ke B pun Tun tak perlu nak letak jawatan (dan) kekal perdana menteri.

"Meletakkan semula (reimposing) kedudukan tetapi bergerak daripada PH kepada PN. Kononnyalah. Tak jadi agaknya...itu keadaannya," kata suara tersebut dalam rakaman itu yang dimuat naik malam tadi.

Suara tersebut turut mendakwa Sultan Abdullah telah beberapa kali dimaklumkan berkenaan rancangan itu.

"Sentimen Agong, dia lebih suka yang ini, yang kita nak cakap ini.

"Dia tak kena dengan Anwar, dia cakap terus terang...," menurut suara itu lagi.

Suara itu turut berkata delegasi seramai enam orang, termasuk dirinya, dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul enam petang hari tersebut.

Dikatakan lima lagi ialah bekas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Presiden Warisan Shafie Apdal, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi GPS Abang Johari Tun Openg dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Untuk rekod, selepas Langkah Sheraton yang berlaku pada akhir Februari lalu, Warisan menetapkan pendirian untuk bersama dengan PH.

Kata suara itu lagi, delegasi itu akan menunjukkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Mahathir memiliki sokongan 133 anggota Parlimen - menerusi perakuan bersumpah (SD) - untuk menubuhkan kerajaan baru.

"Dalam SD sebahagian besar kata sokong Tun dan apa sajalah. Jadi kalau Tun kata kita nak tubuh A pun boleh, tubuh B pun boleh. Apa saja.

"Ia terbuka. Kita tak kata sokong Anwar ke sokong mana. Saya fikir itu tak relevan. Anwar tak masuk buku saya," kata suara itu.

Akhirnya delegasi tersebut tidak jadi mengadap Agong pada hari tersebut, dan menangguhkannya pada keesokan hari, kata suara itu lagi.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kandungan rakaman audio tersebut.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Bersatu yang dihubungi malam tadi berkata rakaman tersebut tulen.

Sumber itu berkata, rakaman itu adlaah bahagian awal mesyuarat 23 Februari, yang bermula dengan Mahathir menjelaskan bahawa beliau tidak setuju dengan cadangan Bersatu keluar daripada PH.

Katanya lagi, rakaman itu menunjukkan usaha Muhyiddin untuk meyakinkan MPT agar tidak setuju dengan pendirian Mahathir.

Malaysiakini telah menghubungi Muhyiddin, para anggota MPT Bersatu dan Istana Negara berkenaan rakaman ini, dan sedang menunggu respons mereka.

Menerusi siri pendedahan rakaman audio sebelum ini, laman Facebook pro-Mahathir itu berkata bekas perdana menteri itu pada mesyuarat tersebut telah membuat rayuan kepada MPT agar tidak memberi tekanan kepadanya untuk mungkir janji meletakkan jawatan pada tahun ini.

Ia juga mendakwa Muhyiddin mencadangkan jawatan menteri dan GLC digunakan untuk menarik anggota Parlimen Umno ke dalam Bersatu.

Di akhir mesyuarat itu, Muhyiddin dikatakan memberita mesyuarat agar meletakkan kepercayaan kepada Mahathir untuk membuat keputusan sama ada meninggalkan PH atau tidak.

Untuk rekod, selepas mesyuarat itu, pemimpin PN dan juga Shafie telah bertemu Mahathir di kediamannya untuk sekali lagi meyakinkan beliau agar meninggalkan PH, tetapi tidak berjaya.

Muhyiddin, Azmin dan sejumlah pemimpin Bersatu, Umno dan PAS kemudian berkumpul di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, mencetuskan apa yang kini dipanggil sebagai "Langkah Sheraton" yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.

Apabila Mahathir dikatakan sedar akan perkara itu pada pagi keesokannya, beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, dan dilantik sebagai perdana menteri sementara.

Dalam titah diraja di Dewan Rakyat pada 18 Mei, Yang di-Pertuan Agong bertitah baginda telah meminta agar Mahathir tidak meletakkan jawatan, tetapi akhirnya terpaksa menerima keputusannya.

Pada hari sama Mahathir meletakkan jawatan, iaitu pada 24 Februari, Muhyiddin mengisytiharkan Bersatu keluar daripada PH dan kemudian berjaya meyakinkan Mahathir untuk menarik balik peletakan jawatannya sebagai pengerusi parti.

Perkara itu kini menjadi pertikaian, dengan kem Muhyiddin mendakwa MPT tiada kuasa menolak peletakan jawatan Mahathir. Muhyiddin kini memangku jawatan tersebut dan MPT pula mengesahkan Mahathir, dan lima lagi pemimpin lain, bukan lagi ahli parti itu.

SPRM tahan 2 pengurus GLC disyaki rasuah RM800,000

FMT Reporters

Dua lelaki yang merupakan pengurus besar dan pengurus akaun sebuah GLC dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengurus besar dan pengurus akaun sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menerima rasuah lebih RM800,000 mulai 2012 hingga 2016.

Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali berkata 2 lelaki itu disyaki menerima rasuah daripada syarikat pembekal berhubung kontrak sistem jalur lebar sebuah agensi kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Katanya, kedua-duanya ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 4.30 petang semalam.

Beliau berkata, SPRM turut menggeledah beberapa premis di sekitar Lembah Klang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.”

Seksyen 17(a) Akta SPRM yang mula dikuatkuasakan 1 Jun lalu, menyatakan syarikat yang terbabit rasuah boleh didakwa, jika individu yang dikaitkan dengan entiti komersial itu memberi, berjanji atau menawarkan rasuah untuk mendapat atau mengekalkan perniagaan.

Ia memperuntukkan denda RM1 juta atau 10 kali ganda nilai suapan, dan/atau hukuman penjara.

Dua suspek itu dilaporkan direman 6 hari mulai hari ini.

PH dan sekutu ada 107 kerusi parlimen - Anwar

Pakatan Harapan dan sekutunya kini mempunyai sokongan 107 anggota parlimen dalam Dewan Rakyat, kata Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang mendedahkan perkara itu semasa sesi siaran langsung di Facebook hari ini, yang antaranya menyentuh berkaitan mesyuarat PH, Warisan dan kumpulan Dr Mahathir Mohamad di Petaling Jaya semalam.

"Kita berkumpul dan kita capai satu persetujuan. Apa pun strategi harus bersama. Pembangkang harus teguh dengan pendirian mereka.

“Sekarang ini 107 (sokongan) dalam kumpulan ini. Dan kita akan mara ke depan dalam satu pasukan untuk pastikan mandat rakyat dihormati.

“Dan kecelaruan, kebobrokan dan rasuah itu dihentikan," katanya.

Mesyuarat di ibu pejabat PKR semalam turut dihadiri oleh pemimpin Warisan Shafie Apdal, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Mesyuarat itu dikatakan bagi membincangkan, antara lain, calon perdana menteri untuk merampas kembali kerajaan pusat daripada Perikatan Nasional (PN).

Anwar Ibrahim: Merenung persembahan 100 hari Kerajaan Perikatan Nasional

ANWAR IBRAHIM
Hari ini genap 100 hari pentadbiran kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita sedia maklum bagaimana kerajaan yang ada pada hari ini tercipta dan berdiri dengan perencanaan beberapa tokoh dan babak pengkhianatan kepada amanah dan mandat yang diberi rakyat. Namun, bukan ruang ini dan ketikanya untuk membincangkan perkara tersebut.

Saya ingin mula dengan mengucapkan tahniah kepada para barisan hadapan yang berusaha dan bertungkus lumus berdepan dengan hentakan Covid-19 ke atas negara dan warga.

Tidak lupa juga kepada Kementerian Kesihatan dan kakitangan kerajaan dalam menggembeleng seluruh upaya dan kekuatan tatkala memastikan wabak ini ditundukkan.

Namun, izinkan saya mengetengahkan beberapa perkembangan lain yang pada hemat saya membimbangkan.

Pertama, langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin menyogok ahli-ahli Parlimen dengan jawatan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah langkah kebelakang dan bertentangan dengan aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan jabatan-jabatan ini bebas dari cengkaman dan pengaruh politik.

Seperti yang didedahkan dalam satu audio yang tular baru-baru ini, Muhyiddin sememangnya berhasrat untuk membeli dukungan ahli-ahli Parlimen melalui ‘scheme of things’. Sehingga hari ini beliau masih belum memberikan apa-apa respons terkait ini. Di dalam bahasa Inggeris, ini disebut sebagai ‘deafening silence’.

Kedua, sebaik mengumumkan kabinet beliau pada bulan Mac yang lalu, Muhyiddin juga berikrar kepada rakyat Malaysia agar ahli-ahli kabinet akan melakukan pengisytiharan harta sebagai komitmen kepada kebertanggungjawaban dan akauntabililiti. Sehingga hari ini, ia masih belum dilaksanakan dan rakyat tertanya-tanya apakah kerajaan hari ini masih berdiri sebagai sebuah kerajaan yang punya tanggungjawab dan ketelusan.

Ketiga, perkembangan kes-kes pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan Riza Aziz dan yang terbaru Tan Sri Musa Aman. Ini memberi gambaran jelas kepada orang ramai bahawa akan ada ramai lagi jerung lain yang akan dibebas dan dilepaskan. Apakah cukup dan munasabah dengan penjelasan yang diberikan?

Kerajaan hari ini seolah-olah berusaha keras untuk membalikkan usaha Pakatan Harapan (PH) memperbaiki Malaysia di mata dunia. Transparency International Corruption Perception Index meletakkan Malaysia di tangga 51 pada tahun 2019 berbanding 61 pada tahun 2018. Apakah tahun 2020 akan tenat berbanding tahun-tahun sebelum ini?

Muhyiddin telah melakukan beberapa pengumuman terkait Covid-19 yang melibatkan berbilion ringgit tanpa diimbangi Parlimen.

Telah saya suarakan dalam pelbagai medium bahawa kerajaan mesti membentangkannya di Parlimen agar perincian dapat dipastikan, dan apa yang mustahak adalah untuk mengelak kebocoran dan ketirisan dari berlaku dan seterusnya menafikan hak kumpulan sasar.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea Selatan, termasuk jiran kita Singapura meluluskan pakej rangsangan melalui badan Parlimen atau Kongres.

Apa yang menghalang Perdana Menteri dari mengambil contoh dan teladan yang sama?

Legasi jenis apakah yang Perdana Menteri dan kerajaan hari ini akan tinggalkan kepada generasi akan datang?

* Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Presiden PKR.

SELAMATKAN MALAYSIA UNTUK KALI KEDUA!!

Shahbudin Husin
Semua tumpuan seluruh negara petang tadi adalah kepada mesyuarat Majlis Presiden PH di pejabat PKR yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad daripada Bersatu dan Shafie Apdal selaku Presiden Warisan.

Sebelum mesyuarat, Tun Mahathir dilaporkan telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR.

Mesyuarat petang tadi menjadi tumpuan kerana ia dijangka akan memutuskan siapa calon Perdana Menteri yang disepakati dalam usaha PH mengambil alih semula kerajaan dalam tempoh terdekat ini.

Walaupun dikhabarkan telah ada kata putus berhubung perkara tersebut, tetapi sebagaimana yang dimaklumkan melalui kenyataan media PH, keputusan itu akan dimuktamadkan dalam tempoh seminggu lagi.

Adalah dipercayai, dalam tempoh seminggu ini akan digunakan untuk memaklumkan keputusan tersebut kepada parti masing-masing sebelum ia kemudian diumumkan secara rasmi sama ada Tun Mahathir atau Anwar adalah calon Perdana Menteri PH yang telah dipersetujui secara rasmi.

Dengan adanya calon Perdana Menteri itu, laluan untuk mengambil alih kerajaan kini lebih terbuka buat PH dengan tiga kaedah yang bukan lagi rahsia.

Pertama, mengumpul SD atau Akuan Bersumpah melebihi 112 Ahli Parlimen yang akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

Kedua, melalui usul undi tidak percaya dalam Sidang Parlimen selama 25 hari bermula 13 Julai depan.

Ketiga, dengan cara menolak Belanjawan 2021 melalui undian dalam Sidang Parlimen pada Oktober akan datang.

Siapa pun calon Perdana Menteri yang telah dipersetujui, harapan rakyat sebenarnya amat tinggi agar PH kembali sebagai kerajaan sebagaimana mandat yang diberikan pengundi pada PRU14 lalu.

Oleh itu, PH harus bergerak dengan nada yang sekata serta tersusun dalam perancangannya bagi mengambil alih kerajaan ini lantaran majoriti PN hanya sekitar satu atau dua undi saja.

Selain itu, diberitakan ramai lagi dalam PN yang hanya menunggu masa saja untuk memberi sokongan kepada PH disebabkan berbagai-bagai faktor.

Siapa pun yang mahu memberi sokongan, secara idealnya tidak ada masalah untuk PH menerimanya, kecuali kelompok yang sah pengkhianat dan perosak yang telah dikenalpasti dan dikenali ramai sebelum ini.

Kepada penyokongTun Mahathir dan Anwar pula, mulai sekarang mereka juga harus mengurangkan pergeseran sesama sendiri dan menerima siapa saja yang telah dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri PH.

Ini kerana, yang penting sekali ialah mengembalikan semula PH ke tampuk kuasa demi menyelamatkan kembali negara daripada pelbagai kerosakan yang semakin ketara dirasai semenjak 100 hari Muhyiddin Yassin dan PN, gabungan parti tidak berdaftar serta caca marba, menguasai Putrajaya.

Selamatkan Malaysia buat kali kedua, dengan yang pertama menumbangkan BN pada PRU 2018 lalu, adalah perjuangan murni untuk mereka yang cintakan negara ini. (Shahbudindotcom 09/06/2020)

‘MENYEPAK’ BERSATU, SATU2NYA PILIHAN UMNO UNTUK KEMBALI MENDUDUKI KERUSI PERDANA MENTERI

Shahbudin Husin
Pas melalui Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan semalam cuba meyakinkan bahawa kerjasama semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) adalah mantap dan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRU15.

Tambah beliau, segala spekulasi mengenai kerapuhan PN adalah bersifat khabar angin semata-mata.

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan, termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

“PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian UMNO telah tampil menyanggah kenyataan Pas tersebut.

Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin berkata, kenyataan Takiyuddin itu hanyalah merupakan keyakinan Pas semata-mata, sedangkan parti-parti dalam PN masih belum ada sebarang komitmen mengenai persediaan menghadapi PRU15.

“Kenyataan itu tidak lebih hanya mencerminkan keyakinan PAS saja. Kita belum bincang apa-apa pun,” tegas bekas Menteri Besar Johor itu lagi.

Maka, apa makna semua ini?

Maknanya tidak lain ialah UMNO sekali lagi membuktikan ia tidak mahu mendukung PN dan bersama Bersatu serta Muhyiddin Yassin dalam PRU akan datang.

Oleh kerana Bersatu adalah parti serpihan UMNO, menerima parti itu untuk bersama-sama menghadapi pilihanraya bermakna mereka perlu berkongsi dari segi pembahagian kerusi.

Dalam keadaan Bersatu porak-peranda, berpecah, ahli tidak seramai mana, cawangan dan akar umbi tiada, berbahagi kerusi dengan parti itu lebih merugikan UMNO, walaupun ketika ini Muhyiddin selaku Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri.

Tetapi, jangankan untuk jangka panjang, untuk menghadapi PRU akan datang saja pun, tanpa pertolongan UMNO, Bersatu tidak akan mampu ke mana-mana.

Dalam PRU14 lalu, kemenangan Bersatu di kerusi Parlimen dan BN banyak dibantu oleh jentera PH yang lebih tersusun serta sokongan pelbagai kaum.

Untuk itu, selain UMNO mempunyai lebih banyak kerusi, di tambah dengan kedudukan Bersatu yang tidak stabil dan terlalu lemah, mengenepikannya sama sekali dalam PRU15 adalah pertimbangan yang paling munasabah bagi UMNO.

Bersama BN dan Pas, disertai tiupan slogan Melayu Islam, meskipun belum ada jaminan seratus-peratus, UMNO tentu saja mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memenangi PRU akan datang tanpa ada Bersatu bersama mereka.

Dalam erti kata lain, “menyepak” Bersatu dan Muhyiddin adalah pilihan yang tidak dapat dielakkan lagi bagi UMNO.

Lagi pun, sejak lebih 60 tahun biasa duduk di kerusi Perdana Menteri, UMNO sebenarnya mula berasa janggal membiarkan parti lain, apalagi parti kecil yang berpecah dan tidak stabil seperti Bersatu, bertakhta di atas mereka.

Tambahan lagi, baik Presiden UMNO, Zahid Hamidi atau bekas Presidennya, Najib Razak, kedua-duanya kini sedang mengintai dengan serius untuk menjadi Perdana melalui kerjasama dengan Muafakat Nasional bersama Pas.

Jika kedua-duanya terhalang mencapai impian kerana hukuman penjara atas kes mahkamah yang sedang dihadapi sekarang, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Hishammuddin Hussein yang berada di lapisan kedua juga mempunyai naluri serta impian yang sama untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.

Pokoknya, dengan deretan pemimpin sendiri ramai yang menanti, UMNO tidak akan membiarkan pemimpin daripada parti lain menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti.

Bagi mencapai impian tersebut, pasti saja ia lebih mudah dengan cara mengenepikan Bersatu, sebaliknya jika bersama PN di mana Perdana Menteri sedia ada adalah Muhyiddin, dengan sendirinya terlepaslah peluang UMNO menduduki semula kerusi yang diimpi-impikan itu. (Shahbudindotcom 09/06/2020)

Pelik bin ajaib bebas 46 pertuduhan rasuah, kata MP PH

SITI NUR ZAWANI MISCON
Selepas anak tiri Najib Razak, Riza Aziz yang dilepaskan daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram Mei lalu, kini giliran bekas Ketua Menteri Sabah pula dilepaskan daripada pertuduhan kes rasuah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad melahirkan rasa hairan ekoran pembebasan Tan Sri Musa Aman daripada kesemua 46 pertuduhan terhadapnya.

Dalam ciapan Twitternya hari ini, Khalid berkata, demi menjadi Perdana Menteri, segala perkara boleh dirunding.

“Demi menjadi PM, semua boleh dirunding.

“Bukan di Malaysia tetapi di Negara Pasir Berdengung yang diperintah oleh kerajaan tebuk dinding kerana tak ada pintu belakang,” katanya merujuk kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan menjangkakan situasi sama mungkin berlaku membabitkan “Bossku” yang merupakan kes berprofil tinggi.

“Bebas 46 tuduhan. Semua 46 tak ada kes? Pelik bin Ajaib. Hari itu Riza (Aziz), sekarang Musa Aman. Selepas ini? Bossku?,” soal Khalid lagi.

Mei lalu, Riza yang juga anak Rosmah Mansor, dilepas tanpa dibebaskan daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di negeri itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas diberitahu bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan berkenaan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, pembebasan Musa berkait dengan jaminan sokongan anak beliau terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pembebasan Musa Aman ini secara politiknya boleh dibaca sebagai usaha memastikan anak beliau (kini ahli Parlimen) terus kekal menyokong TSMY.

“(Yang kedua), pengaktifan kod usaha merampas kembali Sabah,” ciapnya dalam satu siri Twitter hari ini.

Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa merupakan anak kepada Musa Aman dan ahli parti Bersatu Sabah.

Musa, Reza bebas: Semua boleh dirunding demi kekal PM, dakwa pembangkang

BORHAN AHMAD
“Demi menjadi PM, semua boleh dirunding.” Itulah respon awal pembangkang selepas penarikan balik dakwaan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad ketika mengulas tindakan Peguam Negara menarik balik 46 pertuduhan ke atas Musa berkata, “Demi menjadi PM, semua boleh dirunding.”

Tetapi, Khalid melalui twitternya menambah, “Bukan di Malaysia tetapi di Negara Pasir Berdengung yang diperintah oleh kerajaan tebuk dinding kerana takde pintu belakang.”

Namun dalam kicauan beliau seterusnya, berliau bertanya, “Bebas 46 tuduhan. Semua 46 takde kes? Pelik bin Ajaib. Hari tu Reza, sekarang Musa Aman.. lepas ini?”

“Boosku..?” tanya beliau yang dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi 49 pertuduhan.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan pula menuntut Peguam Negara memberikan penjelasan berikutan tindakan mereka ini.

“Saya harap AG memberikan penjelasan terhadap tindakannya menarik balik pertuduhan ke atas Musa Aman. Ini kes kepentingan awam,” tulis Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang itu.

Bagi penulis Amin Ahmad pula, pembebasan Musa Aman boleh dibaca sebagai usaha untuk memastikan anak beliau terus kekal menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengaktifan semula ‘kod usaha merampas Sabah kembali.’

Pagi ini, Musa Aman dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan konsesi balak di negeri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan peguam bela tertuduh semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan telah meminta supaya tetuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA).

Sebelum ini, Peguam Negara dan SPRM juga menarik balik pertuduhan ke atas anak tiri Najib, Reza Aziz.

Beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Majoriti Ahli Parlimen Muslim PN berjaya diperbodohkan oleh MCA yang hanya mempunyai dua wakil sahaja

Kuasai pelabuhan, gesa kemasukan pelancong China: MCA jadi Abang Long dalam kerajaan PN
ARIF ATAN


Poh Khiang (dalam bulatan) bersama pemimpin MCA dalam satu program tiga tahun lalu.

Bekas Bendahari MCA Datuk Seri Chuah Poh Khiang secara terbuka menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka semula pintu negara kepada pelancong perniagaan dari rakan dagang serantau secara berperingkat termasuk China.

Dalam kenyataannya semalam, Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia itu berkata, langkah tersebut penting bagi menjana semula perdagangan dan pelaburan luar negara dalam persekitaran ekonomi domestik yang lembap.

Walau bagaimanapun gesaan Poh Khiang yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal MCA-Republik Rakyat China itu dianggap berbahaya untuk keselamatan dan kedaulatan negara.

Ramai warganegara China yang kononnya melancong ke Malaysia tidak pulang ke negara mereka termasuk pembongkaran sindiket menjual MyKad selain ancaman penularan pandemik Covid-19.

Untuk rekod, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendedahkan 76,258 (95.6 peratus) daripada 79,799 warga China mengikut Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang melawat ke negara ini sepanjang 2016 hingga 2018 tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Tahun lalu gempar pengakuan seorang wanita warga China yang gagal dalam sesi temu bual berikutan tidak boleh berbahasa kebangsaan bagi mendapatkan pasport.

Wanita warga asing itu kemudiannya mengaku membeli MyKad itu daripada sindiket sebelum polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga China di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 9 Ogos tahun lalu.

Ekoran itu, sekurang-kurangnya 20 individu berusia 32 hingga 70 tahun termasuk Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang ditahan setakat September tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga kemudiannya membatalkan semua MyKad yang dijual kepada warga China ekoran kes tersebut.

Berusaha membanjiri

Mengulas gesaan pemimpin MCA itu, aktivis Adrian Lim Chee En berpendapat MCA sekarang sedang berusaha membanjiri Malaysia dengan kemasukan warga China.

“Covid-19 belum selesai, ratusan ribu warganegara China belum diusir, tapi Cina Komunis MCA sudah bersuara menggesa pembukaan sempadan agar warga China boleh ramai-ramai masuk,” bidasnya dipetik dari Facebook beliau.

Menurutnya, majoriti Ahli Parlimen Muslim PN berjaya diperbodohkan oleh MCA yang hanya mempunyai dua wakil sahaja dalam kerajaan.

“Begitulah hakikatnya. Bersenjatakan hanya dua orang Ahli Parlimen Cina kafir sahaja, MCA telah berjaya menjinakkan dan membiulkan lebih 100 orang Ahli Parlimen Melayu Muslim PN,” tempelaknya.

Adrian juga menyifatkan MCA telah menjadi ‘Abang Long’ di Putrajaya pada masa ini termasuk menguasai semua pelabuhan utama dan ruang udara.

Selanjutnya, beliau berkata, penguasaan MCA dalam kerajaan PN dapat dilihat pada pertambahan dana untuk sekolah swasta Cina serta biasiswa pendidikan tanpa had.

“MCA mempunyai hanya dua Ahli Parlimen iaitu Dewa Wee Ka Siong dan Penaja Pakej Umrah Wee Jeck Seng. Namun, mereka sudah menjadi Abang Long dalam Kerajaan sekarang.

“Semua pelabuhan utama Malaysia seperti Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Penang dan Pelabuhan Melaka kini dikuasai oleh Pengerusi Cina Kafir yang dilantik oleh MCA.

“Selain itu, MCA telah pecat bekas CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Pihak Berkuasa Ruang Udara (CAAM) yang merupakan orang Melayu Muslim dan menggantikannya dengan seorang Cina Kafir.

“Selepas sempadan laut dan udara dikuasai, mereka berjaya naikkan peruntukkan sebuah Sekolah Swasta Cina dari RM40 juta ke RM58 juta.

“Sekolah Cina swasta tersebut memberi biasiswa UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) tanpa had. Unlimited UEC Scholarships,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, tiga pelabuhan utama iaitu di Pulau Pinang, Kelang dan Melaka didominasi pemimpin MCA mulai April lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA turut melantik Chester Voo Chee Soon sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu CAAM berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, pelantikan Chee Soon yang merupakan seorang juruterbang dan pengarah operasi penerbangan di sebuah syarikat penerbangan domestik itu mengikut Seksyen 21 selepas disyor dan dipertimbangkan oleh CAAM.

Ulama Pas rela tidak insaf bersekongkol dengan penipu, penyamun Umno

ARIF ATAN
“Jika dengan kerjasama Pas-Umno dapat menumbangkan PH (Pakatan Harapan), saya bersetuju kerana menumbangkan PH adalah ibadah.”

Itu penegasan terbaharu Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik menjawab apa yang didakwanya soalan daripada beberapa ahli parti komponen PH berhubung kerjasama Pas dengan Umno.

“Ada beberapa orang dari parti komponen PH cuba menginsafkan saya tentang jenayah-jenayah politik yang pernah dilakukan oleh Umno. Satu-persatu mereka senaraikan.

“Akhirnya mereka berkata bagaimana ustaz dan parti ustaz boleh bersetuju bersama dengan Umno menumbangkan PH? Bersekongkol dengan penipu dan penyamun?” tulisnya.

Sehubungan itu, beliau menganggap dirinya tidak pernah menoleh lagi ke belakang berhubung siapa Umno sebelum ini demi agama, bangsa dan negara.

“Kerana Nabi saya mengajar saya dalam sejarahnya. Baginda tidak pernah lagi menoleh kebelakang siapa Umar sebelum memeluk Islam.

“Tapi yang penting ialah kekuatan Islam,” katanya hari ini dalam catatan yang dinamakannya “Subuh yang hening di desa An Nuur”.

Untuk rekod, Pas dan Umno setakat ini masing-masing mempunyai 18 dan 38 kerusi Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasioal (PN).

Bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang itu selanjutnya berkata, turut diberikan fokus apabila partinya memutuskan untuk bertahaluf dengan Umno ialah taat kepada pemimpin dan patuh kepada keputusan jemaah yang kedua-duanya juga dianggap ibadah.

“Taat kepada pimpinan saya adalah ibadah. Selagi tidak menyalahi suruhan agama.

“Wala kepada keputusan jamaah dan parti adalah ibadah,” tegasnya yang sebelum ini pernah ditegur pakar selepas berkongsikan hadis yang sangat daif malah ada ulama yang menyatakan palsu.

Mokhtar juga berpendapat tiada untungnya “melihat Umno sebelum ini”, bahkan itu pun, katanya, tidak pasti lagi kerana semuanya bercampur aduk dengan fitnah pihak PH.

“Bijakkah saya mengungkit kejahatan lampau kawan saya? Sambil memejamkan mata dengan kejahatan kamu yang masih berleluasa?

“Jika jawapan saya itu menandakan saya belum insaf, maka saya rela untuk tidak insaf,” tegas pemilik Pusat Pendidikan Islam Annur Jalan Pantai Sepat, Kampung Kuala Penor di Kuantan itu lagi.

Semalam, Pas yakin kerjasama politik bersama BN dan Bersatu semakin mantap sekali gus bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ada tiga pihak hangat berunding pujuk, ugut

DR MOHD YUSRI IBRAHIM
Ada tiga pihak berkongsi tiga strategi berbeza dalam politik negara sekarang.

Pihak pertama ingin mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengukuhkan PN sebagai perikatan politik yang rasmi.

Usaha ini digerakkan oleh kumpulan awal yang merintis Langkah Sheraton iaitu Bersatu, Ahli Parlimen (MP) PKR yang melompat ke PN, serta segelintir MP Umno.

Mereka berusaha keras untuk mempertahankan PN kerana buat masa ini mereka bergantung sepenuhnya kepada perikatan tersebut untuk mengekalkan kedudukan dan meneruskan kesinambungan politik.

Kumpulan kedua adalah yang mengharapkan Parlimen dibubarkan dan PRU-15 diadakan.
Usaha ini digerakkan oleh Umno dan disokong oleh proksi politik mereka dalam BN dan MN.

Tujuannya untuk membolehkan Umno mengetuai kerajaan selepas memenangi PRU-15 tersebut.

Itu lebih baik kepada mereka berbanding menumpang dalam kerajaan PN yang diketuai oleh Bersatu sekarang.

Berkongsi kuasa dalam kerajaan PN sekarang, beberapa pemimpin utama Umno tidak berjawatan, bahkan ada yang berada di peringkat akhir perbicaraan beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Berdasarkan situasi tersebut, memenangi PRU15 dan mengetuai kerajaan adalah lebih baik bagi Umno berbanding berada pada tahap sekarang.

Pihak ketiga adalah yang ingin mengambil alih semula kerajaan tanpa melalui pilihanraya.
Usaha ini sedang digerakkan oleh PH dengan sokongan MP Bersatu daripada kumpulan Tun M, Warisan dan beberapa kumpulan kecil MP yang lain.

Mereka ingin mengembalikan mandat rakyat yang diperolehi dalam PRU14 lepas, terutama pada masa kerajaan PN dilihat tidak stabil sehari dua ini.

Apakah situasi terkini?

Ketiga-tiga situasi tersebut sedang hangat dirundingkan oleh pihak-pihak yang terlibat.

Sebagai orang awam, perlu juga kita memahami bahawa istilah runding dalam politik berada dalam dua maksud iaitu pujuk dan/atau ugut.

Jangan hairan, itu adalah proses normal dalam tawar-menawar politik, apatah lagi dalam situasi genting dan selisih nipis seperti sekarang.

Jangkaan?

Buat masa ini kerajaan PN akan terus bertahan, bahkan akan diperkukuhkan sedikit demi oleh para strategis mereka.

Tan Sri Muhyiddin yang sedang mengetuai kerajaan hanya mempunyai dua ancaman yang memungkinkan kerajaan ini gagal dipertahankan.

Ancaman pertama adalah kemampuan PH yang disokong oleh kumpulan Tun M dan Warisan mengumpul cukup sokongan MP untuk menubuhkan kerajaan.

Namun sehingga kini, kemungkinan tersebut adalah kabur, PN boleh menarik nafas lega sekurang-kurangnya buat masa ini.

Situasi itu banyak dipengaruhi oleh kegagalan Anwar dan Tun M untuk berkompromi, khususnya siapa yang akan jadi PM.

Selagi isu tersebut gagal dinoktahkan secara muktamad, mereka akan gagal mengumpul cukup sokongan untuk mengambil alih semula kerajaan.

Bahkan, MP sedia ada yang sedang menyokong pakatan tersebut seorang demi seorang akan isytiharkan sokongan kepada PN selepas ini.

Ini juga normal dan mudah dijangka, rundingan yang saya maksudkan itu (pujuk dan/atau ugut) akan mengambil tempat dalam setiap sela masa yang tergantung.

Ancaman kedua adalah jika Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai PM.

Dengan isyarat-isyarat yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi Umno, saya menjangkakan sudah ada permintaan mereka supaya PM membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU-15 dipanggil.

Sudah tentu ada rundingan antara Umno dan Bersatu untuk isu ini, masing-masing ada pro dan kontra, permainan tarik tali akan terus berlaku.

Walaupun mengharap Parlimen dibubarkan, saya tidak menjangkakan Umno akan menarik sokongan kepada PM dalam masa terdekat.

Jika Umno menarik sokongan, risiko untuk PH mengumpul cukup sokongan dan menubuhkan kembali kerajaan tanpa PRU adalah kuat.

Bagi Umno, berada sebagai sebahagian daripada kerajaan PN seperti sekarang ini adalah jauh lebih baik berbanding PH mengambil alih kerajaan.

Dalam masa yang sama, walau secara phywar Umno mencadang dan menyatakan kesediaan untuk menghadapi PRU-15, namun tentu sekali strategis-strategis mereka telah memberi input yang signifikan kepada pimpinan tertinggi.

Intipatinya adalah jelas, walaupun BN + MN berpeluang untuk memenangi jika PRU-15 diadakan sekarang, namun peluang tersebut bukanlah jaminan yang cerah.

Para strategis dan pemikir Umno sudah tentu mencongak kemungkinan ini dengan mendalam, tentu sekali mereka menyedari situasi ini dengan jelas.

Untuk menghadapi PRU dalam masa terdekat, Umno bergantung sepenuhnya kepada sokongan segmen pengundi Melayu.

Ada 122 kawasan Parlimen dengan majoriti pengundi Melayu melebihi 70 peratus yang berpotensi dimenangi oleh BN + MN.

Namun dengan gabungan tahap sokongan pengundi Melayu terhadap Umno dan Pas hanya sekitar lebih sedikit 60 peratus, belum ada jaminan untuk BN + MN mendominasi semua kawasan Parlimen tersebut terutama yang terletak di Pantai Barat Semenanjung.

Itu belum diambil kira undi outliers yang terkeluar daripada peratusan yang sedia ada, saya jangkakan undi outliers ini akan terhasil daripada tindak balas kerjasama Umno-Pas nanti seperti penggunaan lambang, agihan kerusi, penamaan calon, nostalgia dan sebagainya.

Walaupun undi outliers ini tidak besar, namun cukup untuk menjadi asbab mereka akan kalah di kawasan-kawasan marginal kecil.

Gabungan PKR dan AMANAH masih mempunyai sekitar 20 peratus sokongan pengundi Melayu, dengan sokongan kuat segmen pengundi bukan Melayu, mereka masih berpotensi merampas sebahagian kerusi yang diidamkan oleh Umno dan Pas itu.

Walaupun ada protes dalam beberapa siri PRK terakhir, namun pengundi bukan Melayu khususnya pengundi China masih solid kepada PH, calon-calon PKR dan DAP masih berpeluang besar untuk menang di kawasan bercampur.

Keputusan PRK Parlimen Tanjong Piai tidak boleh dijadikan pedoman mutlak untuk PRU, itu adalah senario semasa yang bersifat protes kepada PH.

Jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, faktor Borneo sekali lagi akan menentukan siapa yang akan ditabalkan sebagai kerajaan.

Maksudnya, walaupun Umno telah menggerakkan perang saraf untuk mengadakan PRU15, mereka tidaklah terlalu ghairah untuk mendesak dan memaksa PM membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Berbanding ketidakpastian sama ada boleh atau tidak untuk memenangi PRU-15 dengan selesa, lebih baik untuk Umno bertahan dalam kerajaan sekarang berbanding membiarkan PH merampasnya.

Berdasarkan jangkaan PN atau lebih tepatnya PM mampu mengurus dan menangani dua ancaman tersebut, saya jangkakan kerajaan PN akan terus bertahan buat masa ini.

Walau dengan majoriti tipis, namun perlu diingat bahawa majoriti penjawat awam sekarang menyokong kerajaan PN.

Ini membolehkan proses penyampaian kerajaan terus berjalan lancar dengan sokongan kukuh kakitangan awam, walaupun situasi politik agak terumbang-ambing.

Penjawat awam bukan sekadar menyokong PN kerana PN adalah government of the day, tapi mereka juga menyokong dalam konteks pendirian politik.

Jika tidak percaya, boleh buat kajian untuk menafikan dakwaan saya ini.

*DR MOHD YUSRI IBRAHIM ialah Ketua Penyelidik ILHAM Centre.

Bawang besar Holland penghilang kembung perut

ZULKARNAIN LUKMAN

Hari Khamis lepas selepas selesai urusan bank waktu tengah hari, singgah makan sushi di Nippon Sushi, sebelah malamnya makan sate Kajang.

Besoknya hari Jumaat rasa tak sedap badan. Bila sukat suhu badan dah mencecah 37.1 darjah Celcius. Sebelah petang suhu 37.5. Walaupun bila makan panadol dan berehat akhirnya suhu turun tapi kembung perut tak hilang. Saya syak mungkin kerana makan sushi jadi punca. Bukan kerana Nippon sushi tapi mungkin masalah badan sendiri.

Pelbagai petua orang lama dicuba seperti minum teh dan air halia. Halia pulak guna halia yang paling mahal dan bermutu iaitu halia Bentong. Minum madu pun tak mahu hilang. Campur lagi dengan cuka epal pun tak mahu hilang.

Nak kata perut kosong pun tidak mungkin kerana makan nasi beriani sepinggan pun tak hilang kembung. Buang air besar pun 4-5 kali. Yang banyak keluar adalah angin tapi tetap tak hilang.

Solat pun tak selesa khasnya bila sujud. Bila minum susu keadaan jadi lebih teruk. Tapi makan keju tidak pula menjadi lebih teruk.

Mengikut ilmu akupunktur dan perubatan Cina kuno, masalah ini kerana berlaku pertambahan zat Yang dalam perut. Dalam konsep Yin Yang perlu ada keseimbangan dalam badan sama seperti keseimbangan dalam alam semesta.

Jika lebih tenaga Yang maka akan berlaku keradangan dan cara mengubatinya adalah dengan menambahkan tenaga Yin. Selalunya jika penyakit itu berlaku secara tiba-tiba ianya bersifat acute yakni Yang. Bila dibuat ujian memang titik akupunktur bahagian abdomen dan navel ada masalah. Kembar bagi abdomen adalah spleen.

Selain itu doa penghilang sakit بسمالله، اعوز بالله وقدرته من شر ما اجد واحاذر juga turut dibaca dan diruqyah di perut.

Malam tadi selepas Isyak, akhirnya dapat ilham untuk makan bawang besar. Maka, makan bawang besar holland sesuku labu bersama sandwich.

Alhamdulilah, selepas 10 minit makan, perut dah mula rasa lapang. Bangun Subuh pagi tadi segala simptom kembung perut telah tiada.

Sebenarnya petua menggunakan bawang besar untuk hilangkan angin dalam perut agak aneh sebab bawang diketahui penyebab kepada angin dalam perut.

Jika kita Google memang bawang adalah antara makanan yang patut dielakkan kata pakar nutrisi. Namun, sistem perubatan Cina kuno ini kadang-kala tak terjangkau dek akal manusia sebab mereka banyak berdasarkan kepada teori Yin Yang dan 5 elements therapy.

Berdasarkan teori ini boleh jadi dalam badan saya itu elemen Yin sangat kurang sehingga menyebabkan kesejukan dan meningkatkan elemen Yang secara mendadak sehingga perut jadi kembung.

Jadi memakan bawang yang mempunyai elemen Yang itu telah menguatkan semula elemen Yin. Justeru berlaku keseimbangan semula Yin Yang dalam badan sehingga menghilangkan kembung perut.

Syukur. Semoga petua ini dapat melegakan orang lain yang mengalami gejala yang sama. Namun, sebagai peringatan sistem tubuh manusia berbeza-beza. Mungkin tubuh saya sesuai dengan bawang besar ini.

Orang lain mungkin sesuai dengan makanan dan herba lain seperti halba, kulit kayu manis, kunyit, lemon, daun limau purut, serai, daun pudina, daun selasih. Apa apa pun banyakkan doa dan mohon Allah taala berikan petunjuk untuk selesaikan masalah kita.

PAS dan balak berpisah tiada

Ahli akademik, NGO gesa Terengganu wartakan kembali Hutan Simpan Belara
ARIF ATAN


Sumber: Laman web Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Rata-rata ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pemeliharaan alam sekitar kecewa dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu menyahwarta Hutan Simpan (HS) Belara sekali gus akan memusnahkan biodiversiti di kawasan itu.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Maketab Mohamed berkata, beliau amat sedih apabila mendengar khabar bahawa HS yang terletak antara Gong Lingai dan Batu Rakit itu telah dinyahwarta dan akan dicuci mangkuk (clear cut) dan digantikan dengan ladang kelapa sawit.

“Walaupun (HS Belara) kecil ianya mempunyai biodiversiti yang tinggi iaitu tempat bersarangnya Burung Enggang spesies Great Hornbill (Buceros bicornis) juga ada Dusky Langurs (Trachypithecus obscurus),” jelasnya.

HS Belara yang terletak berdekatan kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu dianggap peparu hijau di daerah Kuala Nerus yang memiliki keluasan 4,588 hektar.

Sehubungan itu, Dr Maketab memohon Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan ahli-ahli politik Terengganu yang lain dapat mengusahakan supaya HS Belara diwartakan kembali sebagai Hutan Simpan.

Tambah pakar kualiti air itu lagi, langkah tersebut amat penting bagi kelestarian alam untuk jangka panjang demi generasi kini dan masa depan.

Habitat Burung Enggang spesies Great Hornbill (Buceros bicornis) dibimbangi musnah akibat penyahwartaan HS Belara.

Dalam hal berkaitan, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Terengganu turut kecewa dengan keputusan penyahwartaan HS Belara yang merupakan salah satu hutan hujan tropika dataran rendah yang ikonik di negeri itu.

“Tidak banyak kajian dilakukan di kawasan ini, walaupun terletak di sebelah pusat bandar terbesar di negeri ini, Kuala Terengganu.

“MNS ingin mendengar dari kerajaan negeri Terengganu mengenai apa justifikasi yang ada untuk secara senyap-senyap melepaskan sebahagian besar Hutan Simpan Belara,” tegas pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Menurut MNS Terengganu lagi, pihaknya membantah keputusan menyahwartakan HS Belara yang menyebabkan sebahagian besar keluasan HS itu tidak lagi dilindungi.

“Laporan Audit kerajaan Persekutuan 2017 mengesahkan bahawa hutan yang indah ini akan dibersihkan untuk ladang kelapa sawit. Ini tidak boleh diterima.

“Memandangkan hakikat bahawa hutan adalah sumber yang berkurang, bagaimana perkara seperti ini dapat terjadi pada masa ini? Bagaimana kesalahan besar ini dapat diperbaiki?” soal MNS lagi.

SPRM rampas RM600,000 dari rumah dua ahli Armada

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM600,000 dari rumah dua anggota Pemuda Bersatu (Armada).

Menurut laporan The Star, wang tersebut dipercayai milik parti itu.

Pengarah siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali dipetik sebagai berkata, kedua-dua ahli Armada itu disoal siasat pada 5 Jun lalu berhubung laporan yang dibuat oleh Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berhubung kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.

"Setelah disoal siasat, pegawai pergi ke rumah kedua-dua anggota berkenaan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.

"Para pegawai menemui sejumlah RM600,000 wang tunai di dua lokasi," katanya.

Laporan itu menambah SPRM juga merampas sebuah kereta berharga RM100,000 milik pihak ketiga yang dipercayai telah dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan.

Ahli Armada yang menyokong bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa SPRM melakukan intimidasi terhadap mereka yang menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

SPRM menolak dakwaan bahawa siasatan berkenaan bermotifkan politik dan menegaskan suruhanjaya itu hanya menyiasat aduan yang dibuat Syed Saddiq berhubung kehilangan wangnya pada Mac lalu.

Mahathir, yang disokong Syed Saddiq terlibat dalam perebutan kuasa dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menguasai Bersatu dan kerajaan.

Bergayut di dahan PN jalan sukar buat Bersatu - Maszlee Malik

Maszlee Malik

Pada 5 Jun 2020, Dr Mohd Puad Zarkashi, ahli Majlis Tertinggi Umno telah mengeluarkan kenyataan yang pedas dan jelas.

Umno menolak pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai badan formal. Kata beliau, Bersatu sahaja yang sedang berusaha untuk ‘formalise’ (memformalkan) penubuhan PN kerana ia merupakan satu-satunya jalan survival Bersatu.

Ini bukan kali pertama pimpinan Umno menyatakan pendirian sedemikian. Tok Mat (Mohamad Hasan) Negeri Sembilan, Nur Jazlan, Ku Nan (Tengku Adnan) dan lain-lain Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno juga telah menyatakan pendapat yang sedemikian.

Pendek kata, Umno tidak perlukan Bersatu. Bersatu yang perlukan Umno.

Semalam juga, Umno dan PAS telah mengadakan perbincangan di ibu pejabat Umno untuk bersedia menghadapi PRU ke-15.

Perbincangan itu hanya melibatkan Umno dan PAS, tidak Bersatu. Mengapa Bersatu tidak diajak bersama?

Untuk memahamkan bagaimana rumit dan tersisihnya kedudukan Bersatu, saya berikan analisis contoh yang mudah tentang kekuatan Umno dan PAS.

Kita ambil contoh di Semenanjung, Umno bertanding 105 kerusi dan menang sebanyak 46 kerusi.

Nisbah kekuatan Umno ialah 46 daripada 105, bersamaan dengan 43.8 peratus.

PAS pula bertanding 144 kerusi dan menang 18 kerusi. Nisbah kekuatan PAS ialah 18 daripada 114, bersamaan dengan 12.5 peratus.

Bersatu bertanding 52 kerusi dan menang 13 kerusi. Nisbah kekuatan Bersatu ialah 13 daripada 52, bersamaan dengan 25 peratus.

Berita berkaitan: 'Umno tolak sertai PN secara rasmi, apa langkah Muhyiddin nanti?'

Persoalan yang penting di sini, melalui kerjasama PN, berapa banyakkah kerusi yang PAS sanggup korbankan untuk memberi laluan kepada Umno dan Bersatu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru?

Jangan dilupa sejarah PAS di dalam rundingan pembahagian kerusi semasa di dalam Pakatan Rakyat, PAS telah meletakkan calon di DUN Kota Damansara dan Sg Aceh sehingga berlakunya pertandingan tiga penjuru yang menjejaskan kemenangan Pakatan Rakyat ketika itu.

Mustahil PAS, Umno sedekah kerusi pada Bersatu

Pada PRU ke-14, telah berlaku pertandingan tiga penjuru di 46 kerusi antara Bersatu, Umno dan PAS. Bersatu hanya menang 10 kerusi, Umno menang 30 kerusi dan PAS pula menang 6 kerusi.

Adalah hampir mustahil untuk PAS dan Umno sedekahkan 36 kerusi yang telah dimenangi mereka kepada Bersatu.

Malah untuk mengekalkan dikotomi 10 kerusi yang sedia ada itupun adalah suatu yang amat meragukan.

Semasa PRU ke-14 yang lalu, sebanyak empat kerusi Bersatu bertanding melawan MIC, MCA atau Gerakan.

Pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai membuktikan MCA mampu merampas semula kerusi Bersatu dan adakah pada PRU ke-15, Gerakan dan MCA sanggup memberikan laluan kepada Bersatu?

Terdapat dua kerusi lagi, Kota Tinggi dan Pengerang, telah berlaku pertandingan satu lawan satu antara Bersatu dan Umno.

Selaku Presiden Bersatu dan orang Johor, adakah Muhyiddin Yassin dapat berunding agar Umno memberikan laluan kepada Bersatu bertanding di Kota Tinggi dan Pengerang tanpa tentangan?

Di kawasan yang rata-rata pengundinya bukan Melayu yang telah disandang Bersatu sebelum ini, tidak lagi akan diberikan kepada Bersatu kerana kemenangan di bawah PH sebelum ini ialah hasil dari sokongan DAP.

Peluang untuk menang di kawasan seperti ini di bawah PN sangat- sangat tipis. Kawasan-kawasan sebegini akan dibolot oleh MCA dan MIC. Kawasan tersebut adalah Tapah, Tanjung Piai, Alor Gajah dan Simpang Renggam.

Di pantai timur pula sebagai contoh, Bersatu boleh tutup kedai kerana tidak ada sebab Bersatu perlu bertanding di sana.

16 kerusi daripada 34 kerusi yang ditandingi Bersatu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, semua kerusi Bersatu kalah dengan mendapat undi hanya 101,488 dari 884,773 jumlah undi, menjadikan undi popular Bersatu di pantai timur hanya 11.5 peratus.

Saya memberikan senario yang mudah sebegini untuk memahamkan ahli dan akar umbi, bergayut di atas dahan PN adalah jalan yang sukar dan payah.

Itupun jika Umno dan PAS setuju memformalkan penubuhan PN.

Umno parti dominan

Saya gusar yang berteriak menyokong akhirnya hanya seronok sendiri, kerana hakikatnya sampai hari ini, tidak ada sebarang kenyataan pun dari Umno yang mengesahkan untuk bertanding di PRU15 menerusi PN.

Saya juga telah menulis bagaimana Bersatu akan dipinggirkan dengan sangat tidak adil. Tidak ada pimpinan Umno yang membantah atau mengeluarkan kenyataan mempertahankan Bersatu apalagi bersedia untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu.

Malah Bersatu juga tidak akan lagi menjadi parti dominan di bawah PN (sekiranya ia ditubuhkan).

Umno ialah parti dominan dan sudah tentulah calon perdana menteri bukan lagi Muhyiddin, tetapi daripada Umno. Calonnya sudah tentu Najib atau Zahid Hamidi.

Umno sekarang mempunyai 39 kerusi sementara Bersatu hanya memiliki 12 kerusi (jika tidak ditolak lima kerusi yang kononnya telah terhenti keahlian mereka) termasuk 14 MP yang lompat ke Bersatu dari Umno.

Adakah 14 MP Umno yang lompat ke Bersatu akan kembali semula kepada Umno dan bertanding mempertahankan kerusi mereka atas tiket Umno bukan Bersatu kerana mereka sebelum ini menang atas tiket Umno?

Menteri Besar PN juga bukan lagi didominasi dari Bersatu berikutan bertukarnya kerajaan negeri di Johor, Melaka, dan Kedah.

Dalam bahasa mudah, pimpinan Bersatu sekarang telah menggadaikan negeri-negeri tersebut demi sokongan politik kepada seorang individu. Ini tidak pernah berlaku di zaman PH!

Di Perak sebagai contoh, barisan exco didominasi oleh Umno seramai 6 orang daripada keseluruhan 11 Exco Perak.

Setiap kali saya bertemu dan berbincang dengan ahli-ahli dari akar umbi, inilah yang akan saya bentangkan. Berikan kepada saya formula untuk Bersatu kekal dominan jika bersama PN seperti yang diuar-uarkan?

Berikan saya satu sahaja sebab kenapa Zahid Hamidi dan Najib Razak mahu memberikan peluang kepada Muhyiddin Yassin untuk menjadi calon Perdana Menteri sekali lagi pada PRU15 nanti?