"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perginya James Bond paling hebat

 

Scotland: Pelakon legenda yang sinonim dengan watak James Bond, Sean Connery meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Keluarganya dalam satu kenyataan berkata, pelakon Scotland itu meninggal dunia ketika dalam tidur di Bahamas. Difahamkan, beliau sudah tidak sihat sejak sekian lama.

Sean yang mula berlakon pada 1954 adalah pelakon pertama yang membawa watak James Bond bermula dengan Dr No pada 1962.

Beliau terbabit dalam tujuh siri James Bond dan kali terakhir beliau membawa watak perisik British popular itu ialah menerusi Diamonds Are Forever pada 1971. Watak James Bond seterusnya diambil alih Roger Moore dalam Live And Let Die pada 1973.

Sepanjang kerjaya lakonannya, Sean memenangi pelbagai anugerah termasuk Oscar, dua anugerah Bafta dan tiga Golden Globes.

Sean memenangi Academy Awards atau Oscar sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi watak sebagai polis Ireland dalam filem The Untouchables.

Selain itu, Sean turut membintangi filem The Rock, Indiana Jones and the Last Crusade, The Hunt for Red October dan The League of Extraordinary Gentlemen.

Ogos lalu, Sean menyambut ulang tahun kelahira ke-90.

Muhyiddin didakwa elak jumpa Umno bincang syarat baru

B Nantha Kumar

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa mengelak berjumpa dengan pimpinan Umno bagi berbincang mengenai syarat baru kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.

Ini selepas beberapa percubaan pemimpin Umno berjumpa dengan Muhyiddin sejak mesyuarat Majlis Tertinggi Umno membuat mencapai keputusan untuk kekal menyokong Kerajaan PN.

"PM sepatutnya berjumpa dengan seorang pemimpin utama Umno pada Rabu atau Khamis minggu lepas.

"Tetapi, tidak jadi. Sebabnya PM terlalu sibuk. Sekali lagi, PM tidak dapat jumpa semalam atas alasan dia perlu ke Pagoh."

"Jadi, kami fikir Muhyiddin mengelak berjumpa Umno untuk bincang syarat baru," kata satu sumber terdekat dengan pucuk pimpinan parti kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini syarat-syarat baru yang sepatutnya diserahkan kepada Muhyiddin dalam usaha Umno kekal sokong Bersatu dalam Kerajaan PN.

Menurutnya, kerjasama antara Umno dan Bersatu bergantung persetujuan kedua-dua pihak dalam isu syarat ini.

"Biarpun MT Umno sebelum ini turut membuat keputusan bahawa ahli parlimen Umno akan memberikan sokongan kepada Kerajaan PN namun samada sokongan ini kekal berterusan sangat ditentukan maklumbalas PM terhadap syarat yang akan dikemukakan oleh Umno kelak," katanya.

Untuk rekod, pada 26 Okt, Umno mengumumkan bahawa akan meneruskan sokongan kepada Muhyiddin namun menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Ini selepas keputusan Biro Politik parti itu sebelum ini bahawa memutuskan untuk mempertimbangkan semula sokongan pada PN, memberi syarat baru kerjasama serta mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai parti politik.

Sumber itu juga memberitahu bahawa mesyuarat MT Umno pada 29 Okt telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memperhalusi syarat-syarat parti itu.

"Umno telah tubuhkan jawatankuasa merangkumi empat orang. Diketuai oleh Timbalan Presiden Mohamad Hasan dan tiga ahli masing-masing Setiausaha Agung Ahmad Maslan, bekas menteri besar Perak Zambry Abdul Kadir dan bekas menteri kewangan II, Johari Abdul Ghani.

"Jawatankuasa ini akan mencadangkan pra syarat kesinambungan kerjasama Umno dan Bersatu," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin Umno dan Bersatu untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, ketika dihubungi seorang ahli MT Umno menafikan dakwaan Muhyiddin mengelak berjumpa dengan pemimpin Umno.

"Tak timbul sebab PM tetap kena jumpa Umno untuk urusan parlimen," katanya yang enggan dinamakan.

Jawatan nombor dua dalam kerajaan persekutuan dikatakan sebagai salah satu tuntutan Umno untuk terus bekerjasama dengan Muhyiddin dan PN.

Tiga nama yang disebut-sebut ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, dan Ahli Pparlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

Sebelum ini dilaporkan Muhyiddin didakwa tidak mahu melantik Ahmad Zahid Hamidi kerana presiden Umno itu masih mempunyai kes rasuah di mahkamah.

Isu kehilangan dana RM1 bilion berkait projek 6 kapal tempur pesisir pantai

Jauhi lembaga pengarah LTAT, Boustead, Patriot beritahu ahli politik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengulangi gesaannya kepada ahli politik supaya tidak melibatkan diri dalam lembaga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings (Boustead).

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, hanya mereka yang berkelayakan harus dilantik memimpin badan berkenaan.

“Ahli politik tidak harus dilantik untuk menjalankan agenda politik naungan kerana ia merupakan kronisme dan amalan berpihak dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah barah yang bakal membawa kepada muflis.

“Oleh sebab itu Patriot sentiasa betegas bahawa hanya mereka yang berkelayakan harus dilantik ke dalam lembaga LTAT dan Kumpulan Boustead,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota tentera yang akhirnya akan menerima padah apabila syarikat berkenaan tidak mencapai prestasi yang baik susulan ketidakcekapan individu yang dilantik.

Arshad juga membangkitkan isu kehilangan dana RM1 bilion berkait projek 6 kapal tempur pesisir  pantai (LCS) yang disebut oleh bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong baru-baru ini.

Liew mendesak kerajaan supaya menyiasat kehilangan dana berkenaan selepas didedahkan bahawa RM5.94 bilion daripada RM9 bilion telah dibayar setakat ini kepada projek LCS walaupun ia masih belum disiapkan.

“Apabila terdapat banyak laporan buruk mengenai anak syarikat Boustead, BHIC Navaltech dan kontraktor Boustead Naval Shipyard mengenai isu projek LCS, pihak pengurusan LTAT dan Boustead Group terus berdiam diri.

“Dana RM1 bilion yang hilang itu mungkin tidak masuk ke akaun Boustead Naval Shipyard dan kelihatan ia telah diselewengkan,” kata Arshad, sekali gus menggesa Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menteri supaya memberi penjelasan segera mengenai isu berkenaan.

“Pihak pengurusan LTAT dan Kumpulan Boustead tidak harus menyembunyikan sebarang kesalahan jenayah jika dana RM1 bilion itu digunakan secara tak sah.”

Beliau berkata, mana-mana pemimpin korporat yang telus akan segera memepertahankan kedudukannya atau sekurang-kurangnya cuba mengurangkan kerosakan yang berlaku.

Beliau juga menyalahkan Mindef dan kerajaan atas masalah yang timbul dalam isu LCS dengan berkata, ia “disebabkan perbuatan berlengah-lengahkan kelulusan kontrak tambahan dan lanjutan masa yang diminta oleh kontraktor”.

Berhubung pengumuman baru-baru ini bahawa LTAT diberikan lanjutan masa sehingga 2 Feb, 2021 untuk memutuskan cadangan pelan penswastaan Boustead, Arshad berkata, ia merupakan lanjutan ke-2 yang diberikan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak LTAT pertama kali mengumumkan pelan penswastaan itu pada Mei.

“Kegagalan membuat keputusan menunjukkan kelemahan pengurusan dan tidak adil kepada pelabur. Pelan penswastaan mempunyai harga tawaran sebanyak 80 sen sesaham.

“Secara tidak langsung, ia menjadi sekatan ke atas kenaikan harga saham Boustead melebihi 80 sen dan menekan harga saham 4 syarikatnya yang tersenarai, iaitu Affin Bank Bhd, Boustead Plantations Bhd, Pharmaniaga Bhd dan BHIC,” katanya.

Pada Julai, Boustead mengumumkan pelan transformasi untuk tempoh 3 tahun akan datang.

“Namun setakat ini, kami tidak diberikan maklumat terperinci mengenai pelan berkenaan. Lembaga pengarah LTAT dan Boustead nampaknya hanya pandai dalam membuat pengumuman, bukannya mengambil tindakan penentu.

“Lembaga gagal memberikan hala tuju jelas kepada kumpulan,” kata Arshad.

LTAT menguasai 59.42% Boustead Holdings Bhd, dengan kepentingan meliputi sektor perladangan dan kewangan.

Mungkin Muhyiddin pula yang akan dikhianati

MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Ada satu cerita hikayat yang menarik tentang pengkhianatan dan bagaimana sikap keji ini memakan diri. Tetapi disebabkan kekangan waktu, cerita ini hanyalah sebuah cerita tanpa sebarang rujukan dan maklumat yang tepat.

Kisahnya begini. Pada zaman dahulu, berlaku satu peperangan antara dua kerajaan. Peperangan itu memakan korban yang besar, banyak kemusnahan harta benda berlaku dan berlangsung dalam tempoh yang agak lama.

Masing-masing pihak menunjukkan kehandalan berperang dan kehebatan peralatan perang. Sukarnya menamatkan peperangan ini kerana barisan tertinggi tentera yang cukup berpengalaman dan handal memasang strategi.

Tetapi masa berlalu dan sumber makanan dan bekalan kelengkapan berperang semakin menyusut. Akhirnya salah sebuah kerajaan tewas. Daripada barisan tertinggi tentera, tinggallah dua orang tentera penting. Mereka berdua ditangkap dan dibawa menghadap raja yang menang.

Sebenarnya raja yang menang itu agak ralat jika terpaksa membunuh dua tentera musuh. Walaupun musuh tetapi kepakaran dalam peperangan yang dimiliki amat berharga. Terlalu bodoh jika dibazirkan begitu sahaja.

Maka raja itu pun memanggil penasihatnya untuk meminta pandangan apa keputusan dan tindakan terbaik yang boleh diambil bagi menyelesaikan kekusutannya.

Untuk menyelesaikan masalah, penasihat itu membisikkan sesuatu dan raja pun bersetuju. Selesai berbincang, raja pun mengarahkan agar dua tentera musuh itu dibawa datang semula menghadapnya.

Selepas dibawa menghadap, baginda bertitah bahawa hanya salah seorang sahaja tentera musuh itu yang akan dipilih untuk menyertai kerajaannya sekaligus diberikan jawatan penting dalam pasukan tentera.

Sejurus bertitah, maka dicampakkan dua bilah pedang ke tanah sebagai senjata untuk dua tentera tersebut bertarung dan membunuh lawan demi mendapatkan tempat yang dijanjikan.

Ketika itu, dua tentera tersebut langsung tidak memikirkan siapa lawannya. Tidak penting lagi hubungan persahabatan yang dibina selama ini. Tiada lagi erti pengorbanan dan kesetiaan. Apa yang penting adalah nyawa, pangkat dan harta kekayaan yang dijanjikan oleh raja.

Bertarunglah mereka sehingga salah seorangnya tumpas di tangan sahabatnya sendiri. Gembiralah yang menang kerana membayangkan ganjaran lumayan yang akan diterima. Difikirkan segalanya sudah tamat dan ganjaran duniawi sedang menanti.

Malang seribu kali malang. Ketika asyik meraikan kejayaan membunuh rakannya sendiri, datang pula penasihat raja itu lalu membisikkan sesuatu kepada raja.

Tanpa banyak soal, raja pula mengarahkan algojo memenggal kepala tentera musuh yang menang. Maka terputuslah antara kepala dan badan dan melepaslah segala ganjaran yang dijanjikan.

Sebenarnya, apa yang dibisikkan oleh penasihat itu kepada raja sehingga raja bersetuju dengan cadangannya? Ada dua perkara yang ditekankan oleh penasihat itu iaitu kesetiaan dan pengkhianatan.

Penasihat berkata, jika mereka bersetia, mereka sanggup sama-sama dibunuh daripada mencabut nyawa sahabat dengan tangan sendiri. Kemudian, jika kesetiaan itu sudah tiada, maka yang tinggal hanyalah pengkhianatan.

Bayangkan, jika kepada sahabat sendiri yang sudah dikenali bertahun-tahun lamanya sanggup dikhianati, maka apakah alasan untuk dia tidak mengkhianati untuk kali kedua kepada raja yang memberikan kedudukan istimewa dalam kerajaan yang baharu?

Pengkhianatan memang akan berlaku pada sepanjang masa. Jika dahulu kita menikmati kisah si Kitol dan Raja Mandeliar seperti dikarang dalam Sulalatus Salatin, hari ini kita melihat dengan mata kepala sendiri pengkhianatan melalui Langkah Sheraton.

Anwar Ibrahim sudah merasai pahitnya pengkhianatan. Sekarang Muhyiddin Yassin harus berjaga-jaga. Dalam senyap-senyap, si Kitol pengkhianat menunggu waktu terbaik untuk mengulangi semula episod pengkhianatannya.

Demi mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin mungkin agak mudah untuk menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno yang semakin hari semakin kuat menggugat kerajaan rapuh itu, tetapi ada si Kitol tidak akan berdiam diri melihat kedudukan nombor dua itu dikuasai oleh pihak lain.

GERAK98: PM YANG ROSAK MESTI DIGANTI DAHULU

 GERAK98 

1. Muhyiddin jelas membuktikan dirinya merupakan seorang Perdana Menteri yang rosak dan mementingkan kuasa daripada pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat apabila cuba membunuh proses demokrasi dengan jalan darurat.

2. Malaysia seharusnya terus maju, dihormati, dinamik dan wajib melaksanakan reformasi dan tidak boleh memberikan ruang kepada seorang yang rosak terus berkuasa.

3. Kita mesti tegas dan melakukan perkara yang betul dengan memastikan negara ini tidak ditadbir oleh seorang yang rosak seperti Muhyidin. Sejarah telah membuktikan tidak ada negara yang mampu berjaya jika diterajui oleh seorang Perdana Menteri dan kabinet yang tiada arah tuju.

4. Episod mutakhir negara ini memperlihatkan agenda Muhyidin bersama Azmin Ali merancang untuk menguatkuasakan darurat dinegara ini tanpa memikirkan natijah daripada perlaksanaan darurat akan memudaratkan ekonomi negara lantas mengheret rakyat kepada kesengsaraan.

5. Apa ertinya jika Bajet diluluskan namun negara masih dibawah pentadbiran Perdana Menteri dan kabinet yang rosak ini. Negara seperti memberi isyarat yang salah kepada pelabur asing dengan membiarkan negara masih ditadbir oleh seorang Perdana Menteri dan kabinet sama.

6. Atas asas asas yang jelas ini, GERAK98 menegaskan, kewajipan negara mengambil langkah dan sikap yang betul tanpa kompromi dengan mempastikan pentadbiran negara tidak diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang rosak dan lemah bersama kabinetnya ini.

7. GERAK98 akan meneruskan usaha gigih mempastikan negara mengambil sikap betul berlandaskan prinsip sebenar tanpa berkompromi sama sekali dengan Perdana Menteri dan kabinet yang tiada integriti, tiada majoriti,lemah dan menyalahguna institusi serta instrumen negara kerana agenda peribadi untuk terus kekal berkuasa.

8. GERAK98 menggesa ahli ahli Parlimen didalam sidang Parlimen akan datang menggunakan segala ruang yang ada yang termaktub didalam undang undang wajib berusaha mencari jalan menggantikan Perdana Menteri yang rosak ini dengan seorang yang benar benar berwibawa dan mampu membawa majoriti besar dan membina kerajaan yang kuat dan stabil.

9. Ianya juga selaras dengan titah DYMM dan Raja2 Melayu yang mahu sebuah kerajaan stabil. Menggantikan seorang Perdana Menteri rosak dan lemah adalah langkah paling penting didalam mempastikan sebuah kerajaan itu stabil.

10. GERAK98 bersama seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dengan jelas menolak seorang Perdana Menteri yang rosak kerana Malaysia kini berada diposisi amat serong dimata dunia.

11. Menolak Perdana Menteri bernama Muhyidin bersama kabinetnya bakal menyelamatkan Malaysia malah negara pasti akan kembali berada dilandasan yang betul untuk membina kembali segala kerosakan yang berlaku dan amat jelas Malaysia akan kembali menjadi sebuah negara yang dikagumi tanpa Muhyidin.

MOHAMAD EZAM NOR/GERAK98 /30 OKTOBER 2020

Penyokong Anwar minta Muhyiddin jangan nampak terlalu tesepit

MOHD ALI HASHIM

Para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan jemaah menteri beliau supaya tidak mengamalkan desperado politik hanya bagi mempertahankan kuasa dan kedudukan politik mereka.

Ketua koordinator Jingga 13, Fariz Musa menzahirkan saranan tersebut setelah menyedari desperado politik yang cuba dilaksanakan hanyalah mengutamakan jawatan dan kedudukan serta usaha bagi menyelamatkan diri semata-mata.

Bagi beliau, ia dibuat tanpa memikirkan kesan dan impak terhadap rakyat dan ekonomi negara sekiranya ia berlaku serta lebih mengecewakan apabila cuba menggunakan Covid-19 sebagai alasan bagi menghalalkan tindakan dan matlamat mereka.

“Situasi ini bukan sahaja boleh mengeruhkan lagi keadaan politik semasa, sebaliknya ia memberikan kesan yang buruk kepada rakyat terutamanya yang sedang berhadapan dengan penularan pendamik wabak Covid-19

“Jingga 13 menyarankan agar Muhyiddin yang terbukti ketara sudah hilang sokongan supaya segera melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memberi dokongan serta ruang kepada Anwar bagi memimpin negara ini kearah yang lebih cemerlang dalam krisis ekonomi, pengangguran dan kemiskinan yang dihadapi sekarang.

“Latar belakang dan pengalaman yang dimiliki Anwar mampu untuk membawa perubahan yang amat diharapkan oleh majoriti rakyat dalam negara ini, cumanya kekangan dan keterbatasan ruang menyebabkan apa yang diimpikan rakyat dan negara ini untuk melihat reformasi yang ingin dibawa Anwar tidak dapat direalisasikan, ” tegas Fariz lagi.

Seloka politik Malaysia

 Mari kita berseloka

A KADIR JASIN


Kalau tidak ada-ada

Masakan tempua bersarang rendah

Kalau tidak ada-ada

Masakan Malaysia riuh-rendah.


Kalau tidak ada-ada

Masakan tempua bersarang rendah

Kalau tidak ada-ada

Masakan Najib dan Zahid berpindah-randah.

 

Bersarang rendah di ranting keranji

Rendah sampai tersentuh banir

Apa agaknya disogok dijanji

Sampai mereka lari hulu dan hilir.


Pohon keranji di tepi pasar

Buahnya ranum dibawa ke pekan

Janji dan ikrar tentunya besar

Sampai Raja mereka maklumkan.


Pohon keranji batangnya condong

Buahnya masak boleh disaji

Mula-mula Muhyiddin mereka sokong

Kemudian kepada Anwar mereka berjanji.


Batang keranji licin berminyak

Kayunya keras dibuat perahu

Khabar berita memanglah banyak

Betul atau tidak susah nak tahu.


Burung tempua di dahan penanti

Murai terbang ke sana sini

Kononnya Peguam Negara boleh diganti

Tapi Hakim Negara tak siapa berani.


Padi banyak tak habis dimakan

Dalam jelapang tempat disimpan

Kes mahkamah mesti diteruskan

Tapi kalau salah boleh diampunkan.


Nasi pulut sedap dimakan

Makan dengan jeruk tenggiri

Kemudian janji pangkat kedudukan

Busuk-busuk pun Timbalan Perdana Menteri.


Itulah kiasan peribahasa

Pantun gurindam pusaka ibunda

Itulah cerita si mabuk kuasa

Habis adab dirempuh dilanda.


Maaf Tuan saya berseloka

Menghibur hati mengubat duka

Mohon Tuan fikir hal rakyat jelata

Jangan fikir ego Tuan semata-mata.


Wallahuaklam.Terima kasih.

Tiga permintaan KKM jika PRU tetap dilaksanakan

Hariz Mohd

Ketidaktentuan politik dalam negara hari ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak akan berlakunya pilihan raya dalam tempoh terdekat, di saat negara masih bergelut menangani wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam ini, sebanyak 799 jangkitan baru telah dilaporkan.

Majoriti kes baru ini dilaporkan di Sabah yang baru mengadakan pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu. Negeri itu juga mencatatkan tiga kematian hari ini.

Mengulas soalan pemberita berhubung kemungkinan PRU diadakan dalam waktu terdekat, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang ia dijalankan di tengah-tengah penularan wabak.

Bagaimanapun, dia berkata sekiranya ia dilaksanakan, pihaknya hanya meminta tiga perkara diutamakan.

"Kita rasa sebaik-baiknya tangguhkan, kalau kita ada kuasa.

"Tetapi Kementerian Kesihatan tidak ada punca kuasa ataupun dapat menggunakan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) setakat ini....Kalau nak laksanakannya kita kena patuh kepada tiga prinsip.

"Iaitu tidak boleh merentas negeri atau sempadan negeri atau daerah, tiada kempen pilihan raya dan yang ketiga tiada lawatan rumah ke rumah," katanya pada sidang media perkembangan situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Susulan PRN Sabah pada 26 September dan dua minggu tempoh kempen sebelumnya, kes baru Covid-19 telah meningkat secara mendadak.

Selain Sabah yang menerima kesan terburuk, negeri dan wilayah persekutuan lain juga mencatatkan peningkatan kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu.

Noor Hisham kemudian ditanya sama ada Akta 342 boleh digunakan untuk menguatkuasakan tiga prinsip tersebut ketika pilihan raya.

Dia menjawab yang pihaknya sedang mengesyorkan akta itu dipinda untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

"Akta ini dirangka pada 1988, (ketika) kita tak jangka ia akan digunakan untuk pandemik. Akta ini untuk penyakit berjangkit.

"Ada keperluan untuk melihat pindaan dijalankan...Perlu rujuk kepada pihak Peguam Negara," katanya.

Katanya lagi, KKM telahpun menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk digunakan dalam pilihan raya di saat penularan Covid-19.

"Jika lihat SOP untuk pilihan raya memang ada di PRK Chini dan Slim.

"Kita juga telah siapkan SOP untuk PRN Sabah, tetapi isunya ialah ketidakpatuhan. Contohnya ada perhimpunan, kegiatan dari rumah ke rumah dan sebagainya.

"Sebaik-baiknya kita tangguhkan pilihan raya, tetapi KKM tiada kuasa (berkenaan perkara itu)," katanya lagi.

Jelas Umno masih mahu PRU, kata Mujahid

SITI NUR ZAWANI MISCON

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, mengulangi pendiriannya bahawa Umno masih mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) biarpun spekulasi kini bertiup berkenaan kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memilih calon timbalannya dalam kalangan pemimpin Umno.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, penyertaan Umno dalam kerajaan boleh difahami sebagai persediaan ke arah pembubaran parlimen dan pilihanraya umum.

Kerana itu katanya, tidak ada guna untuk Umno menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti mana yang dicadangkan Muhyiddin untuk ‘meredakan” hubungan tegang Umno dan Bersatu.

Malah menurut Mujahid, disebabkan tiada kata putus mengenai calon TPM, ianya mengukuhkan lagi kehendak parti itu untuk membubarkan Parlimen lebih awal, namun pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menghalang mereka meneruskan hajat PRU.

“Umno juga berhati-hati menawarkan sokongan Bajet 2021 dengan meletakkan perkataan ‘yang bermanfaat’ kepada rakyat.

“Umno mula menggunakan perkataan kembalikan mandat rakyat sekaligus memberi isyarat kepada Muhyiddin dan PN bahawa entiti pemerintah sekarang tidak mendapat mandat rakyat, perkara yang berulangkali ditegaskan oleh PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekurangnya ada persetujuan bersama dalam hal terpenting ini,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebooknya.

Sebelum ini, tersebar desas -desus yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, sedang menunggu Umno untuk menamakan calon daripada parti itu sebagai TPM.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, dalam Twitternya menyifatkan laporan tersebut sebagai karut.

Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Isnin lalu dilaporkan tidak berbincang dan memutuskan calon dalam kalangan ahli Parlimen Umno untuk diangkat sebagai TPM.

Bahkan, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi Umno pada semalam (29 Oktober) juga tidak membuat sebarang ketetapan untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November nanti, walaupun Umno menyatakan akan menjunjung kasih terhadap titah Agong.

Umno juga memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah wabak Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

Beberapa pihak juga melontarkan jangkaan Umno akan menolak Belanjawan 2021 sekiranya pandemik Covid-19 semakin terkawal, yang dengan itu memudahkan Umno menjatuhkan kerajaan dan seterusnya membolehkan PRU diadakan segera.

Sementara itu, Mujahid yang juga bekas Menteri Agama berpendapat, Umno seolah-olah terburu-buru mahu selesaikan masalah melalui PRU dan sekaligus menjelaskan kepada masyarakat bahawa tekanan membubarkan parlimen akan menjadi ancaman terbesar kepada Muhyiddin dan PN.

Beliau juga menganggap, Muhyiddin kini dalam keadaan bahaya dari ‘musuh dalaman’ termasuk tuntutan PH yang menuntut hak mandat kembali.

Sekali khianat, selamanya tidak selamat

RAYUSA

SATU perkara yang bukan sahaja saya, tetapi ramai menganggapnya sebagai khurafat ialah tiada Umno, tiada Melayu. Memang parti tua itu menetapkan keanggotaannya dari kalangan orang Melayu, walaupun ramai juga keturunan India beragama Islam turut menjadi ahli sejak sekian lama.

Tiada Umno tiada Melayu itu boleh diterima kalau ia dalam erti kata sebenarnya.

Walau bagaimanapun, yang berlaku ialah sebaliknya. Melayu jaga Melayu apa kalau tanah simpanan Melayu kian hilang, tulisan Jawi memupus, bahasa Melayu kian tenat meskipun bertaraf bahasa kebangsaan, dan pelbagai lagi?

Saya melihat tumbangnya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018 lalu akan turut memupuskan Umno.

Ramai juga yang menyangka/mengharapkan sedemikian. Mereka berpegang pada kenyataan bahawa sekian lama hayat Umno bergantung pada harta dan wang ringgit.

Dengan BN tidak lagi memerintah negara, maka terhalang atau tertutup peluang/jalan Umno bernafas semula dan mengaut kekayaan negara lagi.

Walau bagaimanapun, itu tidak berlaku. Umno masih boleh (berpeluang) bernafas kembali. Sementelah hanya 22 bulan sahaja Pakatan Rakyat (PH) mentadbir negara, Umno masih bernyawa.

Memang beberapa pemimpinnya didakwa di mahkamah atas banyak kesalahan, terutama rasuah. Namun begitu, oleh kerana pemerintahan PH yang diketuai Tun Dr Mahathir tidak mendendami/melulu menghukum pemimpin Umno/BN atas prinsip ‘kedaulatan undang-undang’, proses perbicaraan berjalan begitu lama dan teliti.

Lantaran tempoh panjang dan kehati-hatian, tiada seorang pun yang didakwa itu telah ‘ke dalam’. Mereka belum sempat dihukum.

Memang bagus ‘keluhuran undang-undang’ kerana ia membezakan PH dengan BN. Walau bagaimanapun, ia seolah-olah memakan diri. Tambahan pula, tidak disedari ada yang diam-diam mengatur strategi licik untuk menjahanamkan PH.

Kian lama kian berhasil hinggalah terjadinya ‘Langkah Sheraton’ yang membawa pada kejatuhan PH. Rupa-rupanya memang ada yang mengkhianati rakan-rakan dalam PH. Mereka kini menjadi antara pemimpin utama kerajaan yang memerintah selepas 1 Mac 2020, iaitu Perikatan Nasional (PN – Kabinet dibentuk pada 9 Mac 2020).

Seiring dengan pentadbiran PN, Umno kembali hidup dan menyegar sekarang. Memang sebelum ‘Langkah Sheraton’ lagi, ia telah mengambil langkah drastik (yang tidak keterlaluan jika disangka sebagai helah sahaja seperti yang pernah dilakukan pada 1970-an ketika ia melemah) apabila bergabung dengan Pas (Pas juga tidak serik dan lupa pada peristiwa lama dimainkan oleh Umno).

Dengan pelbagai perkembangan yang berlaku dan dimaklumi semua pemerhati/peminat politik tanah air, Umno semakin ‘naik tocang’.

Selepas melakukan gencatan politik dengan PN apabila kembali menyokong Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia/PPBM, ia memberi bayangan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

Walau bagaimanapun, seperti dijangka (pun diharapkan oleh penyokong PH, juga Parti Keadilan Rakyat dan DAP), Umno membuat pusingan U menyokong PN.

Kini, desakan semakin keras hingga akhirnya terdengar khabar PM akan melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari kalangan pemimpin Umno. Muhyiddin akan memilih calon Umno, tetapi bukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi!

Pada awal pentadbirannya, Muhyiddin membuat kejutan apabila membentuk Kabinet tanpa TPM, tetapi hanya empat menteri kanan yang setaraf. Antaranya, termasuklah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Datuk Sri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), dan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan).

Jika bercadang melantik Ahli Parlimen Umno, bagaimana dengan Azmin yang telah berusaha melakukan pengkhianatan? Beliau menyertai PPBM selepas dipecat dari PKR, dan memang bercita-cita menjadi PM.

Sudahlah Kabinet beliau dikritik kerana berskala besar, kini mahu ditambah pula dengan TPM yang tentunya bergaji lebih besar daripada menteri-menteri kanan.

Demi menyelamatkan kedudukannya, Muhyiddin sanggup memenuhi kehendak Umno? Maka akan semakin bersemaraklah Umno dalam politik tanah air. Seolah-olah kini ia yang lebih berkuasa daripada PM.

Meskipun enggan menerima Zahid, tetapi Muhyiddin berhadapan dengan tekanan lain apabila Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan situasi akan menjadi terlalu janggal dan di luar tradisi Umno jika Presidennya tidak dilantik sebagai TPM.

Tambah Syed Ali, sementelah Zahid ialah mantan TPM dan antara menteri Kabinet yang cukup berpengalaman. Melantik Zahid, katanya, bererti memberi penghormatan kepada Umno.

Sebagai menghormati jawatan Zahid dalam Umno yang menjadi penyumbang terbesar kepada Kerajaan PN, tiada sebab Muhyiddin wajar mengenepi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Penyisihan Zahid juga, tambah veteran Umno itu, akan mencetuskan kekecewaan dan kemarahan akar umbi Umno terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, dan tidak baik bagi PN menghadapi PRU15 nanti.

Sebelum ini, kita menganggap Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Sri Najib Razak sebagai PM paling lemah, kini Muhyiddin lebih lemah. Kelemahannya kini mengulas semula Umno.

Muhyiddin telah melakukan pengkhianatan bersama-sama Azmin terhadap rakan-rakan dalam PH kerana mereka mahu menjadi PM. Namun begitu, mereka seperti tidak masak/memahami perangai Umno.

Umno, seperti yang pernah diingatkan oleh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Nik Aziz Nik Mat, hanya akan berbaik-baik dengan musuhnya untuk ‘naik’ dan ‘hidup semula’. Ia tidak jujur.

Ketika ‘bernyawa-nyawa ikan’, Umno akan mencari ‘tonik’ biarpun dari pihak yang sebelumnya dimusuhi/dicaci. Walau bagaimanapun, setelah kembali kuat, ia ‘menendang’, malah membunuh ‘rakan sementara’nya itu, seperti yang dilakukan terhadap Pas.

Muhyiddin dan Azmin kini dalam situasi bahaya pula. Sekali Umno di‘berikan muka’, ia akan ‘sudah diberikan betis, mahukan paha’ pula! Mereka kini terjebak.

Umno telah menamakan tiga calon untuk jawatan TPM, iaitu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Luar, Datuk Sri Hishammuddin Hussein, dan Ismail Sabri.

Jawatan TPM antara yang disuarakan pemimpin Umno sebagai syarat untuk terus menyokong Kerajaan PN.

Agong tak isytihar darurat, peguam fail saman

Hidir Reduan Abdul Rashid

Seorang peguam memfailkan tindakan undang-undang berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tidak menerima cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat.

Plaintif Syed Iskandar Syed Jaafar, melalui firma guaman Tetuan Kengadharan & Co, memfailkan Saman Pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Kerajaan Malaysia disenaraikan sebagai defendan tunggal dalam tindakan undang-undang itu.

Ahad lalu, Agong memutuskan untuk tidak memberi perkenan cadangan Muhyiddin dengan menyifatkan tiadak keperluan untuk perkara itu selain menambah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Syed meminta mahkamah untuk antara lain menentukansama ada Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun perdana menteri menasihatkan sebaliknya.

Plaintif meminta mahkamah menentukan perkara ini berdasarkan Artikel 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 40 antara lain secara umum membahas tentang perlunya Agong bertindak sesuai dengan nasihat kabinet atau menteri yang bertindak di bawah kekuasaan umum kabinet.

Artikel 150 pula antara lain membahas tentang kuasa Agong untuk mengeluarkan pengisytiharan darurat di mana terdapat situasi di mana keselamatan, ekonomi, atau ketenteraman awam di Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam.

"Ini merupakan litigasi kepentingan awam untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan," kata plaintif pada surat sebab samannya.

Syed Iskandar juga meminta pengadilan untuk menentukan keabsahan suatu pindaan terhadap Artikel 150, yang memasukkan klausa antara lain, melarang mahkamah mendengar tindakan undang-undang berhubung dengan isu pengisytiharan darurat.

Di antara pindaan ini adalah penyisipan Artikel 150 (8), yang antara lain menyatakan bahawa tidak ada mahkamah yang memiliki kuasa untuk memenuhi atau menentukan permohonan, pertanyaan atau proses apa pun, dalam bentuk apa pun, dengan alasan apa pun, mengenai kesahihan pengisytiharan darurat.

Menurut salinan afidavit, Syed Iskandar dengan hormatnya mendakwa bahawa keengganan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri mengakibatkan Raja menjalankan fungsinya dengan cara yang tidak sesuai dengan Artikel 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya benar-benar percaya bahawa penentuan mengenai pertanyaan-pertanyaan di atas oleh mahkamah terhormat ini penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Syed Iskandar juga menuduh bahawa pindaan Artikel 150 tersebut adalah tidak berperlembagaan dan dengan itu batal serta tidak sah.

"Pindaan seperti itu meminggirkan kuasa semakan kehakiman yang merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sukar untuk Dr M tubuh kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menjangkakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berdepan kesukaran untuk menyatukan parti politik dalam kerajaan perpaduan.

Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, berkata sebuah kerajaan perpaduan, dari segi definisi, perlu terdiri daripada semua parti yang mempunyai perwakilan dalam Parlimen.

“Masih terdapat sentimen dalam Umno yang Tun tidak boleh dipercayai dan perasaan ini juga ada dalam PKR,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata “itu sebab utama” beliau percaya kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Mahathir sukar ditubuhkan.

Katanya, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilihat mahu menstabilkan kerajaan sedia ada daripada menyertai sebuah kerajaan perpaduan kerana sukar baginya untuk melepaskan kerajaan yang bersusah payah ditubuhkannya.

“Secara teorinya, beliau perlu menyokong sebarang bentuk kerajaan yang lebih stabil berbanding kerajaan sedia ada, tetapi cakap lebih mudah daripada lakukannya.”

Cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, yang pertama kali dibangkitkan Mahathir Februari lalu, timbul semula selepas bekas perdana menteri itu menemui ahli Parlimen dalam blok kerajaan dan pembangkang serta seorang menteri persekutuan.

Sumber memberitahu FMT, Mahathir sudah menemui Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu secara berasingan. 

Azmi berkata, tidak menjadi masalah, pada waktu tidak stabil ini, sama ada negara ditadbir kerajaan perpaduan atau interim, selagi orang yang menjadi perdana menteri itu mempunyai majoriti kukuh.

Beliau berkata, rakyat mahu individu yang boleh mendamaikan parti bertelagah ini buat sementara supaya negara dapat ditadbir dengan baik sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberitahu FMT, penubuhan kerajaan perpaduan ialah salah satu cara untuk mengembalikan kestabilan dalam kerajaan.

Pilihan lain, katanya, adalah untuk Muhyiddin meletak jawatan kerana pilihannya untuk berjuang dan terus berkuasa hanya akan menyebabkan ketidakstabilan politik berterusan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran sebarang bentuk kerajaan perpaduan tidak patut sama dengan yang dicadangkan Mahathir Februari lalu.

“Mahathir mencadangkan sebuah kerajaan di mana semua anggotanya akan bertanggungjawab hanya kepadanya dan bukan parti masing-masing.

“Saya rasa itu sangat bahaya kerana ia akan mempunyai kecenderungan diktator.”

Beliau berkata, untuk Mahathir memimpin negara sekali lagi akan meyakinkan, dengan menyifatkannya sebagai “sepasang tangan yang mantap” dengan rekod prestasi terbukti.

Namun, katanya, Mahathir bukan satu-satunya orang yang mampu memimpin kerajaan perpaduan.

Beliau memetik Tengku Razaleigh dan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim antara ahli politik veteran yang sesuai.

Katanya, 2 tokoh itu disenangi kebanyakan rakyat, tetapi mungkin tidak dengan sebahagian ahli politik.

“Rakyat mungkin mahukan seseorang seperti Anwar atau Mahathir, tetapi ahli politik tak suka mereka, mungkin kerana mereka terlalu bijak atau terlalu berkebolehan.

“Mereka tidak mahu orang berkaliber kerana mereka tiada peluang.”

Tun Mahathir kempen Kerajaan Perpaduan lagi

BORHAN AHMAD

Ketika krisis politik melanda negara, nampaknya bekas perdana menteri paling lama, Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan sedang membuat kempen agar Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua pihak dibentuk.

Ia dibayangkan melalui satu posting yang dibuat oleh kelab penyokong beliau, Kelab Che Det dengan palang pagar, #Kerajaan Perpaduan.

Dalam posting itu, pengendali kelab itu menulis “Ketika Negara diuji, Kerajaan Perpaduan adalah formula terbaik.”

“Parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang dan sebaliknya hanya kepentingan Negara sahaja yang diutamakan. Ini juga menyambut baik saranan YDP Agong supaya berhenti berpolitik.

“Jika penubuhan kerajaan perpaduan berlaku, diharap ia bukan sahaja membela kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia berbilang kaum, malah boleh memberi fokus kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang semakin mencabar kesan akibat pandemik Covid-19, pergolakan politik dan kedudukan ekonomi global yang tidak tentu,” .

Turut disertakan bersama posting itu adalah gambar tiga pemimpin yang menemui Tun Dr Mahathir iaitu ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada 26 Oktober, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama)  Datuk Dr Zulkifli Al Bakri pada 27 Oktober dan Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu pada 28 Oktober (Rabu).

Cadangan ini mendapat sambutan yang baik dari penyokong beliau dalam komen-komen mereka selepas posting itu disiarkan.

Arib Samsuri menulis, “Kerajaan perpaduan adalah kerajaan yang memerintah tanpa mengira fahaman politik. Diwaktu Covid-19 sedang melanda negara, itulah kerajaan yang rakyat perlukan. Tolong ketepikan fahaman politik masing2!!! Walaupun untuk seketika sahaja.

Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, Tun Mahathir juga berusaha menubuhkan kerajaan perpaduan ketika beliau dilantik menjadi perdana menteri interim.

Beliau bercadang mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan cara beliau memilih pemimpin yang beliau yakini untuk dilantik sebagai menteri bukan berdasarkan kedudukan dalam parti masing-masing.

Namun cadangan beliau ditolak oleh semua pihak termasuk rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan sendiri ketika itu dengan alasan, “Tun Mahathir seolah-olah mahu membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira sokongan terhadap parti. Ia akan mendekati diktator”.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mencadangkan kerajaan perpaduan pada tahun 2009 lalu ketika negara panas dengan politik dan pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil.

Ia dicetuskan Hadi dalam wawancara beliau dengan wartawan Mingguan Siasah dan laman Malaysian Insider ketika itu.

Muka depan Siasah keluaran itu memuatkan berita utama bertajuk “Negara Tanpa Pembangkang”, yang menyusuli siri tumpuan kepada “politik damai” yang dicadangkan oleh Siasah.

Dalam wawancara itu, Abdul Hadi menerangkan cadangan kerajaan perpaduan dengan mengambil contoh Indonesia di bawah bekas Presiden BJ Habibie.

Jelas Abdul Hadi, kerajaan perpaduan ini akan melibatkan semua parti politik menjadi sebahagian kerajaan, dan bukan hanya melibatkan Pas dengan Umno sahaja.

Akibat utamakan fenomena bukan intipati agama

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN

Orang jual minyak wangi, jual nama Mekah. Orang jual cepiau, jual bentuk selipar Nabi. Orang jual kismis, jual al-Quran 30 juzuk.

Kasihan orang Islam. Agama mereka diperdagang sebegitu rupa. Ketika mula-mula turun, agama ini membebaskan manusia daripada khurafat.

Bermati-matian generasi era itu mengikis khurafat daripada diri mereka. Mereka disebut generasi al-Quran yang unik oleh Syed Qutb.

Kita bimbang agama menjadi bahan tawa. Dan kita marah apabila Nabi kita dipersenda. Kita tulis surat tegur orang lain lukis karikatur Nabi kita.

Padahal, tanpa kita sedar, kita mungkin menjadi faktor agama ini menjadi bahan ketawa dan dipersenda. Jika bukan kita, siapa penyebabnya?

Kita berjubah ke sana-sini, tapi kita langgar undang-undang. Kita berjalan bongkok tanda warak, tapi kita rembat duit sesuka hati. Kita ajak orang berjuang Islam, tapi kita tidak adil dalam menghukum.

Akhirnya agama menjadi fenomena. Sekadar simbol-simbolan. Pasang kuat-kuat speaker baca al-Quran di masjid, tapi orang sakit hati dengan masjid dan al-Quran.

Kita marah orang itu, padahal kitalah puncanya kerana kita hanya mengutamakan fenomena bukan mengutamakan intipati agama.

Intipati agama ialah kasih-sayang, hormat-menghormati, jujur, patuh undang-undang, santun, prihatin dan ihsan.


*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.

SELAIN JANGGAL DAN TAK SESUAI, MELANTIK HISHAMMUDDIN TPM HANYA MENJADIKANNYA ‘KAYU KERING’ UNTUK MEMBAKAR UMNO

Shahbudin Husin

Walaupun sebelum ini dilaporkan Muhyiddin Yassin sedang menunggu nama daripada UMNO untuk dicadangkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, perkhabaran yang berlegar daripada pelbagai sumber mengatakan calon bagi jawatan itu telah pun diputuskan.

Muhyiddin dikatakan telah membuat pilihan berdasarkan pertimbangannya sendiri dan meminta UMNO untuk menyetujuinya.

Disebut-sebut calon yang bakal dilantik itu ialah Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Sembrong dan Menteri Luar Negeri sekarang.

Ada yang menyebut perlantikan itu akan dibuat Jumaat ini, tetapi ada juga yang mengatakan ia akan dilakukan minggu depan sebelum Sidang Parlimen bermula pada 2 November.

Sekiranya perlantikan itu benar-benar menjadi kenyataan, bermakna Presiden UMNO, Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob dengan sendirinya terpelanting jauh dan diketepikan untuk mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, walaupun berjawatan kanan dalam parti.

Jika benar, sesuaikah Hishammuddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Atas kedudukan sebagai Perdana Menteri, memang menjadi prerogatif Muhyiddin untuk melantik sesiapa saja sebagai timbalannya.

Tetapi, ketika UMNO berkuasa sekali pun, prerogatif itu tidak pernah digunakan sepenuhnya, sebaliknya tetap mengambil kira hireaki seseorang itu dalam parti di mana Timbalan Perdana Menteri sama ada dilantik daripada penjawat Timbalan Presiden atau Naib Presiden UMNO.

Tidak pernah Ahli MT biasa atau Ketua UMNO Bahagian semata-mata mencipta sejarah melangkau kepala semua otai-otai untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Oleh kerana Hishammuddin tiada kedudukan dalam hieraki kepimpinan, sedemikian itu adalah amat tidak sesuai, sangat janggal dan cacat dari segi tradisi serta kebiasaan UMNO jika Muhyiddin tetap juga ingin melantik Ahli Parlimen Sembrong itu sebagai Timbalan Perdana Menteri

Itu faktor yang pertama dan yang kedua pula, oleh kerana Hishammuddin tiada dalam hieraki UMNO, sudah tentu namanya tidak dicadangkan untuk mengisi jawatan tersebut oleh UMNO.

Dalam syarat-syarat baru yang diputuskan Biro Politik UMNO baru-baru ini, antara ketetapan yang digesa ialah jawatan dalam kabinet mesti mengikut kedudukan seseorang itu dalam kepimpinan parti.

Bermaka, jika Hishammuddin dilantik juga, Muhyiddin secara terang-terangan tidak menghormati UMNO sebagai parti terbesar dalam PN, tidak hornat kepada hieraki dan sekali lagi membuli UMNO.

Dalam keadaan UMNO bekerjasama dalam PN dan Muhyiddin daripada Bersatu, namanya pun bekerjasama, bermakna beliau mesti mengambil kira untuk melantik seseorang yang berada dalam hieraki dan dicadangkan oleh UMNO.

Ketiga, katalah Muhyiddin tetap berpegang kepada pendirian awalnya tidak mahu melantik Zahid Hamidi kerana Presiden UMNO itu masih ada kes mahkamah, walaupun pendirian itu telah pun dicabulinya dengan melantik Bung Mokhtar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, kenapa tidak melantik Mohamad Hassan atau Ismail Sabri Yaakob?

Apakah Timbalan Presiden UMNO atau Naib Presiden UMNO lebih rendah taraf kelayakannya berbanding Hishammuddin yang cuma Ketua UMNO Bahagian Sembrong semata-mata?

Keempat, Muhyddin dan Hishammuddin datang daripada negeri yang sama iaitu Johor.

Meskipun bukan suatu kesalahan, tetapi tidak pernah berlaku dan di luar kebiasaan selama ini seorang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri datang daripada negeri yang sama.

Apabila pemegang dua jawatan itu datang daripada negeri yang berbeza, apalagi dalam kalau kedua-duanya tidak sama parti, barulah ia menampakkan keadilan dan kesamarataan dalam konteks memastikan pembangunan yang seimbang untuk negara.

Kelima, sebaik UMNO kalah pada PRU14 lalu, Hishammuddin telah mengambil pendirian tidak mahu bertanding sebarang jawatan pada pemilihan tahun 2018, sekaligus menyepi seketika daripada sebarang aktiviti parti di peringkat kebangsaan.

Sebelumnya, beliau adalah Naib Presiden UMNO dan sebelum itu Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Bererti, dalam pasca memulihkan parti sebaik hilang kuasa pada 2018, Hishammuddin bukanlah seorang yang dikira kental jiwanya dan sanggup meneruskan perjuangan di kala UMNO berada dalam kesusahan.

Beliau hanya mula memunculkan diri setelah UMNO mula diterima dan kembali mendapat keyakinan rakyat, manakala tidak sampai dua minggu lalu dilantik sebagai Bendahari Agung BN.

Keenam, Hishammuddin juga dikaitkan sebagai individu yang dikhabarkan berperanan menarik keluar pemimpin-pemimpin UMNO menyertai Bersatu ketika Tun Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

Selain itu, beliau juga dipercayai mengatur sejumlah belasan Ahli Parlimen UMNO mengadakan pertemuan pada waktu malam di rumah Azmin Ali, kononnya untuk berbincang mengenai projek pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing, tidak lama sebelum runtuhnya kerajaan PH.

Maka itu, kebersihan dan keikhlasan hati Hishammuddin terhadap perjuangan UMNO, baik di kala senang dan susah, adalah pertikaian terbuka di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri sehingga hari ini yang membuatkan beliau sebenarnya tidak layak untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri mewakili UMNO.

Berdasarkan faktor-faktor yang dibentangkan, perlantikan Hishammuddin, kiranya menjadi kenyataan, bukan saja janggal, tidak kena dari segi tradisi dan kebiasaan, suatu bentuk pembulian, malah akan menjadikan UMNO terus kucar-kacir, berpecah serta lemah untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Sekaligus, ia adalah lorongan untuk Muhyiddin dan Bersatu terus kekal berkuasa dengan lebih lama lagi.

Untuk itu, andai kata khabar pelantikan anak Hussein Onn ini suatu kenyataan, selain UMNO mesti menarik diri dengan segera daripada terus berada dalam PN, Hishammuddin sendiri wajar menolaknya, melainkan beliau tak kisah dijadikan “kayu kering” oleh Muhyiddin untuk ‘membakar’ dan memusnahkan masa depan UMNO. (Shahbudindotcom 29/10/2020)

Muhyiddin paksa Umno pilih Hishamuddin sebagai TPM

MALAYSIA DATELINE

Umno mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin memaksa mereka agar menerima Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai timbalan perdana menteri, dakwa orang kanan Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Lokman Noor Adam dalam siaran langsung menerusi facebook beliau malam tadi mendakwa, ia dimaklumkan Muhyiddin kepada Umno petang semalam.

“Pagi semalam Muhyiddin kata, beliau sedia terima siapa sahaja sebagai timbalan perdana menteri dari Umno kecuali Zahid Hamidi. 

“Hari ini dia paksa Umno terima Hishamudidn Hussein pula jadi TPM,” dakwa Lokman, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam siaran itu.

Hishamuddin disifatkan oleh pemimpin dan ahli Umno sebagai individu yang menikam mereka dari belakang selepas mengetuai komplot membawa para ahli parlimen dari Umno lari meninggalkan mereka dan menyertai Bersatu ketika beliau masih kekal dalam parti itu.

Hishamuddin juga merupakan besan kepada Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Ketua Penerangan Bersatu yang juga bekas timbalan Presiden PKR yang mengkhianati parti itu.

Seorang aktivis Umno, Zaharin Mohd Yassin juga menzahirkan bantahan kepada cadangan Muhyiddin untuk memilih Hishamuddin.

“Mengkhianati Umno hanya merugikan ahli parti. Tetapi yang ini pengkhianat negara. Bagilah pencerahan wahai pengkhianat Umno. Jangan sampai BN gunakan duit haram dalam aktiviti parti,” tulis Zaharin sambil meletakkan gambar Hishamuddin.

Malaysia Dateline difahamkan, perlantikan pemimpin Umno sebagai timbalan perdana menteri adalah sebahagian dari syarat yang ditetapkan Umno kepada Bersatu jika mereka mahu sokongan dari Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Dalam siaran yang sama, Lokman turut mengecam Muhyiddin yang terus bermain politik ketika Yang Dipertuan Agong memberikan titah agar ahli politik tidak lagi berbuat demikian tetapi berusaha mempastikan agar Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan diluluskan.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut mengesan perkara yang sama apabila mereka tidak pernah dipanggil untuk berbincang bagi membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan apabila dibentangkan nanti.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia untuk berbincang. Perkara yang sama turut dinyatakan oleh pemimpin AMANAH.

Dr M jumpa Ku Li dan pemimpin lain bincang kerajaan perpaduan

Hariz Mohd

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin politik mengenai cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

Sumber dari pejabat Mahathir mengesahkan bahawa Mahathir telah bertemu dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pada hari Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad pada hari Selasa, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam.

"Perbincangannya adalah untuk membentuk kerajaan perpaduan," kata sumber itu kepada Malaysiakini hari ini.

Ketiga-tiga pertemuan itu dikatakan diadakan di kediaman Mahathir di Seri Kembangan, Selangor.

Ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin DAP dalam pertemuan itu, sumber itu menjawab, "setakat ini mereka yang ada dalam gambar yang sudah datang".

Sumber itu menambah bahawa "pintu mereka masih terbuka" kepada mana-mana pihak yang ingin berbincang mengenai perkara itu dengan Mahathir.

Sebelum ini, laman Facebook kelab penyokong Mahathir, Kelab Che Det menyiarkan tiga gambar yang dikaitkan dengan pertemuan berkenaan.

"Ketika Negara diuji, kerajaan perpaduan adalah formula terbaik. Parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang dan sebaliknya hanya kepentingan negara sahaja yang diutamakan. Ini juga menyambut baik saranan YDP Agong supaya berhenti berpolitik.

"Jika penubuhan kerajaan perpaduan berlaku, diharap ia bukan sahaja membela kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia berbilang kaum, malah boleh memberi fokus kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang semakin mencabar kesan akibat pandemik Covid-19, pergolakan politik dan kedudukan ekonomi global yang tidak tentu," kata kenyataan yang mengiringi gambar berkenaan di Facebook.

Perkembangan itu hadir ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdepan cabaran dari dalam dan luar gabungan Perikatan Nasional yang diterajuinya.

Muhyiddin juga mempunyai tugas untuk memastikan Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan pada 6 November mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, untuk membuktikan dia masih mendapat keyakinan daripada ahli Dewan rakyat untuk kekal sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menyeru semua ahli politik menyokong belanjawan itu yang disifatkan penting dalam usaha kerajaan menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Apabila 'cinta' Najib, Anwar tak kesampaian

Diperingkat akar umbi parti, ahli Umno meragui motif sebenar Najib mahupun Zahid Hamidi menyokong presiden PKR sebagai PM.

Meskipun Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memberi peringatan agar ahli-ahli politik menghentikan politiking dan sebaliknya menumpukan usaha memerangi Covid-19, namun nampaknya kemelut politik negara terus berlarutan.

Sehari selepas titah itu dikeluarkan Istana, bekas presiden Umno Najib Razak mengakui ada mengemukakan cadangan agar Umno mempertimbangkan kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru.

Najib mengatakan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan dengan anggota parlimen BN itu adalah dengan syarat kerjasama itu tidak melibatkan DAP.

Akibat bantahan anggota parlimen BN, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memutuskan bahawa parti itu kekal menyokong kerajaan PN.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada sebelah malam 26 Oktober lalu.

Najib keesokannya mengatakan cadangan agar Umno menyokong Anwar cuma salah satu daripada tiga pilihan yang diberikan kepada Umno. 

Kata Najib dia juga mencadangkan kepada Umno agar terus menyokong PN.

Penjelasan Najib itu bagaimanapun tidak dapat melenyapkan spekulasi di peringkat akar umbi bahawa berlaku rundingan dan tawar menawar di belakang tabir antaranya dan Anwar.

Sebelum itu, sebuah portal melaporkan bahawa Najib dan Zahid menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan sokongan Umno kepada Anwar.

Meskipun dinafikan jurucakap presiden Umno, setakat ini Zahid sendiri tidak menafikan surat yang mengaitkan namanya.

Di peringkat akar umbi parti, ramai ahli Umno kini mula meragui motif sebenar Najib mahupun Zahid menyokong Anwar sebagai PM.

Antaranya Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz yang mempersoalkan tindakan Najib mencadangkan sokongan kepada Anwar.

Dalam satu kenyataan, Tun Faisal mendakwa hanya individu yang "dijanjikan sesuatu" daripada Anwar akan mengambil tindakan menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Sama ada disengajakan atau tidak, kenyataan daripada Tun Faisal yang juga setiausaha politik kepada Annuar Musa itu secara tidak langsung mengheret sama Zahid, selaku presiden Umno.

Sehingga kini tidak hanya di kalangan ahli Umno, malah rakyat secara umum tertanya-tanya apakah agenda di sebalik cadangan agar Umno menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Terdahulu pada Sept lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dia percaya jika Anwar berjaya membentuk kerajaan baru, presiden PKR itu akan berada di bawah telunjuk Najib dan Zahid.

“Sudah pasti yang memberi sokongan kepada Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada Najib dan Ahmad Zahid.

“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Muhyiddin (Yassin) dan menarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan,” kata Mahathir.

Kenyataan Mahathir itu dibuat selepas Anwar mendakwa memiliki majoriti yang cukup daripada anggota parlimen untuk menubuhkan kerajaan. 

Bagaimanapun, Anwar seperti dijangka menafikan sebarang perjanjian bagi "membebaskan" individu tertentu yang mempunyai kes di mahkamah apabila kerajaan baru pimpinannya dibentuk.

 Siapa DAP maksudkan orang 'kemaruk kuasa'

Cadangan Najib agar Umno menyokong Anwar sebagai perdana menteri juga mendapat reaksi negatif dan keras daripada DAP.

Setiausaha Publisti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, ada sesetengah orang yang tidak berprinsip mungkin 'kemaruk kuasa' sehingga sanggup mendapatkan sokongan Najib bagi membentuk kerajaan baru. 

“Ini benar-benar gila. Nampaknya ada juga segelintir yang tidak bermaruah serta begitu kemaruk kuasa sehingga sanggup bersama Najib untuk tubuhkan kerajaan baharu.

“Saya tidak akan sesekali sokong kerajaan sedemikian," kata Pua.

Selain menguatkan lagi persepsi 'ada udang di sebalik mi', kenyataan Pua itu menimbulkan pertanyaan siapakah orang 'kemaruk kuasa' dimaksudkannya.

Sekiranya Pua tidak merujuk kepada Anwar Ibrahim, kepada siapakah ia ditujukan? Dan persoalan yang lain apakah akan ada implikasi terhadap hubungan DAP dan PKR selepas kenyataan pedas tersebut dikeluarkan?

Ramai ahli PKR sendiri keliru mengapa Anwar dikatakan bersedia menerima sokongan Najib yang pernah suatu ketika mereka gelarkan sebagai juara 'kleptokrasi'.

"Saya lihat belum apa-apa Najib sudah letak syarat dia tidak mahu kerjasama dengan DAP jika sokong Anwar. Siapa Najib untuk tentukan syarat itu," soal Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Selain Hassan, tidak ada kedengaran sebarang bantahan daripada pemimpin PKR untuk menolak cadangan kerjasama dengan pakatan Najib-Zahid di dalam Umno. Maka kenyataan Hassan itu boleh diibaratkan sebagai suara terpencil dalam PKR.

Bagaimanapun apa yang pasti, Umno sudah membuat keputusan muktamad untuk menolak cadangan Najib dan Zahid, sebelum lamaran dibuat parti itu terhadap Anwar.

Ibarat cinta tak kesampaian akibat dihalang pihak ketiga, Najib, Zahid dan Anwar kini perlu mencari formula baru bagi mencapai matlamat politik mereka.

Asalkan bukan Zahid

Di tengah-tengah perkembangan politik ini, perdana menteri yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilapor bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan timbalan perdana menteri.

Dipetik Sin Chew Daily, sumber mengatakan bahawa Muhyiddin menyerahkan kepada Umno untuk mengemukakan calon TPM asalkan calon itu bukan Zahid yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

Tiga nama disebut iaitu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan (gambar, bawah); Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.

Sekiranya perkara ini benar, ia menguatkan lagi tanggapan bahawa usul yang dibuat Najib dan Zahid untuk menyokong Anwar disebabkan keengganan perdana menteri menyelamatkan kes mereka di mahkamah.

Oleh kerana itu, Najib dan Zahid beralih sokongan kepada Anwar, yang kemudian cadangan itu ditolak oleh sebahagian besar anggota parlimen Umno. 

Setidak-tidaknya inilah persepsi yang berlegar di peringkat ahli bawahan.

Pilihan Mahathir

Langkah Muhyiddin yang dikatakan enggan melantik Zahid sebagai TPM juga seperti cuba menyanggah pendapat Mahathir pada Jun lalu yang mengatakan dia (Muhyiddin) akan memastikan enam ahli parlimen Umno yang sedang berdepan kes rasuah tidak disabitkan bersalah di mahkamah.

Mahathir sebelum ini berulangkali menegaskan bahawa dia boleh bekerjasama dengan Umno secara en bloc, asalkan bukan dengan pimpinannya yang menghadapi tuduhan rasuah.

Sekiranya Muhyiddin menunjukkan ketegasan terhadap pemimpin Umno yang sedang menghadapi kes di mahkamah ketika ini, maka apakah Mahathir mungkin akan berubah fikiran?

Setakat ini, belum ada penganalisis politik yakin bahawa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Mahathir mampu memenangi pilihan raya dengan bergerak sendirian.

Mahathir tidak mempunyai pilihan lain melainkan partinya perlu menyertai mana-mana gabungan parti politik sedia ada sekiranya mahu berada dalam kerajaan selepas PRU akan datang.

Dan sekiranya dia memilih untuk bergabung dengan parti politik lain, pilihan itu hanya ada dua - sama ada kembali menyokong Pakatan Harapan yang ada Anwar di dalamnya atau menyokong PN yang ada bersamanya Muhyiddin.

Selain itu, Mahathir boleh memilih untuk kekal dengan status quo dan menunggu keajaiban untuk memenangi PRU akan datang.

IDEA DARURAT MANIFESTASI MUHYIDDIN LEBIH SAYANG AZMIN, MASIH BERDENDAM DENGAN UMNO

Shahbudin Husin

Walaupun isu darurat boleh dikira sudah selesai berikutan Agong telah menolak cadangan tersebut, tetapi masih ramai yang memperkatakan tentangnya.

Yang paling banyak ditanya ialah mengapa dan bagaimana Muhyiddin Yassin boleh tergerak hati kepada cadangan itu, walhal untuk meraih lebih sokongan untuk mengelakkan dijatuhkan di Parlimen, beliau sebagai Perdana Menteri mempunyai banyak pilihan lain untuk dipertimbangkan.

Seterusnya, yang lebih mengecewakan, jika penguatkuasaan darurat berjaya dilaksanakan, ia akan meletakkan Agong sebagai beban bersama yang tidak sepatutnya diletakkan di bahu Istana.

Lantaran itu, mengapa Muhyiddin begitu tergamak mahu melaksanakan darurat itu?

Kalau diperhalusi, ada dua sebab darurat menjadi pilihan dan kedua-duanya adalah salah Muhyiddin belaka.

Pertama, sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu, beliau tidak pernah berani mahu mengesahkan kedudukannya di Parlimen, walaupun ada usul percaya dan tidak percaya dikemukakan terhadapnya.

Sepatutnya, selepas dilantik oleh Agong dengan kepercayaan beliau mempunyai sokongan majoriti, Muhyiddin terus membawa isu keabsahan jawatannya untuk disahkan oleh Parlimen.

Selain itu, demi untuk mengelak pengundian, beliau turut menangguh dan menukar tarikh Sidang Parlimen, bahkan pembukaan Sidang Parlimen juga hanya diadakan selama setengah hari saja.

Jika daripada awal, beliau berani bersikap jantan dan membawa pertikaian mengenai kedudukannya ke Parlimen, pasti ribut-ribut mengenai kedudukannya tidak berbangkit sampai ke hari ini.

Malah, beliau juga tidak perlu takut lagi sama ada Belanjawan 2021 dilulus atau ditolak ketika pengundian.

Tentunya juga tidak perlu lagi sampai ke tahap mahu mengisytiharkan darurat yang perkara utama di sebaliknya ialah menggantung Parlimen dan mengelakkan pengundian bagi belanjawan tahun depan.

Kedua, cadangan darurat adalah manifestasi sayangnya Muhyiddin kepada Azmin berbanding kepada UMNO yang memiliki 39 kerusi Parlimen.

Melalui pembentukan kabinetnya, Muhyiddin mengumumkan Azmin bukan saja salah seorang menteri kanan bersama Ismail Sabri Yaakob, Dr. Radzi Jidin dan Fadillah Yusof, malah sebagai menteri kanan yang terkanan sekali.

Ia berikutan, Muhyiddin mengatakan jika semasa ketiadaan beliau, Azminlah yang akan mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Dengan jawatan menteri kanan paling kanan dan diberi kuasa mempengerusikan mesyuarat kabinet, secara tidak langsungnya beliaulah Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, dengan taraf yang dirasakan sebagai orang nombor dua selepas Muhyiddin, Azmin juga dikatakan turut menggunakan pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya sebagai kegunaannya, selain pejabatnya sebagai menteri MITI di Jalan Duta.

Kalau daripada awal lagi Muhyiddin mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan sebaiknya memberikan jawatan tersebut kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi, sesuai dengan jumlah 39 kerusi Parlimen yang dimiliki UMNO berbanding Geng Azmin yang hanya ada 10 kerusi, kekeruhan hubungan dan konflik dalam PN sebagaimana yang berlaku sekarang pasti tidak terjadi.

Ini tidak, sudahlah UMNO tidak diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, kementerian-kementerian kanan turut lebih banyak diserahkan kepada Bersatu yang hanya memiliki enam kerusi asal, manakala selebihnya sebanyak 25 adalah kerusi-kerusi pelompat katak bekas UMNO (Geng Hamzah Zainuddin) dan 10 daripada bekas PKR (Geng Azmin).

Mengapa Muhyiddin tidak mahu memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada pemimpin UMNO sejak awal adalah kerana beliau amat sayangkan Azmin.

Jika ada jawatan Timbalan Perdana Menteri, tidaklah Azmin dapat diburung-merakkan seolah-olah dia adalah pemimpin nombor dua dalam negara dan bakal Perdana Menteri.

Jika diteliti, cadangan darurat yang dicadangkan kabinet kepada Agong andai berjaya dilaksanakan, dengan jelas bertujuan untuk mengekalkan keistimewaan sedia ada yang diberikan kepada Azmin sebagai pemimpin paling kanan kepada Muhyiddin.

Hanya setelah cadangan darurat itu ditolak Agong, barulah Muhyiddin ternampak sedia memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO, itu pun dengan syarat bukan Zahid Hamidi orangnya.

Ternampak di sini bahawa Muhyiddin masih berdendam kepada UMNO dan punya niat untuk terus memecah-belahkan UMNO melalui pendekatan pecah dan perintah.

Jika Timbalan Perdana Menteri yang bakal dilantik bukan Presiden UMNO itu sendiri, malah Hishammuddin Hussein yang tiada kedudukan dalam hireaki parti dijadikan pilihan, selain memperlihatkan Muhyiddin terus mahu membuli UMNO, lebih penting ia juga menunjukkan rasa sayangnya kepada masa depan Azmin tidak pernah berkurangan, meski dilanda pelbagai badai dan rintangan.

Makna kata, selepas ini Hishammuddin dan Azmin adalah gandingan yang sedang diprojekkan untuk mengambil alih kepimpinan negara. (Shahbudindotcom 28/10/2020)

Siapa TPM dari 3 MP ini?

 Calon TPM: Umno kembali ke ‘drawing board’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Orang dalam parti berkata Umno kembali ke “drawing board” berhubung calon bagi jawatan timbalan perdana menteri dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, sumber memaklumkan Umno hanya mengemukakan seorang calon iaitu presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Majoriti 39 ahli Parlimen Umno dikatakan berpihak kepada ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan mahu beliau mengambil semula jawatan timbalan perdana menteri sebagai sebahagian daripada “syarat baharu” Umno kerana terus menyokong kerajaan PN.

“Pilihan kami adalah Zahid kerana beliau berpengalaman, sebagai timbalan perdana menteri juga,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, sumber itu berkata nama lain yang kini turut disebut termasuk Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein.

Terdapat spekulasi Zahid mungkin dilihat sebagai risiko, sementara sumber itu tidak mahu mengulas mengenai presiden, menyatakan Ismail dilihat sebagai “wajar dan berkecuali”.

“Beliau tidak membawa beban politik dan kes mahkamah. Dia popular dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebilangan ahli Parlimen Umno mencadangkan nama Hishammuddin tetapi sumber itu berkata, ahli Parlimen Sembrong dilihat “rapat” dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Azmin Ali dari PPBM.

“Keputusannya mungkin tidak mewakili suara Umno. Ahli Parlimen melihat pelbagai faktor sebelum membuat keputusan,” katanya sambil menambah mereka mahu seorang ahli Parlimen yang diterima oleh semua.

Sumber itu turut menyatakan timbalan presiden Mohamad Hasan tidak dicalonkan, namun, mengikut hierarki, beliau nombor 2 selepas Zahid.

Katanya, ini kerana Mohamad tidak “diterima dengan baik” oleh ahli Parlimen Umno walaupun beliau dilihat sebagai “berjiwa rakyat” oleh akar umbi serta rakyat berbilang bangsa dan agama.

Tidak diketahui bila senarai akhir pilihan Umno bagi jawatan timbalan perdana menteri itu akan diserahkan.

Sementara itu, ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata tiada masalah siapa daripada Umno yang akan ditawarkan jawatan berkenaan.

“Tidak semestinya Zahid. Kami faham jika tidak ditawarkan kepadanya kerana perbicaraannya sedang berlangsung.

“Kita mesti mencontohi Bossku (Najib Razak) yang tidak mahu memegang jawatan sehingga namanya dibersihkan. Apa yang penting timbalan perdana menteri dari Umno dan mewakili parti dan Barisan Nasional,” katanya.

sokong, Muhyiddin masih sibuk berpolitik

BORHAN AHMAD

Sehingga hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sibuk untuk bermain politik dan tidak nampak usaha beliau untuk menyelesaikan titah Yang Dipertuan Agong agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bukti Muhyiddin tidak berminat untuk menunaikan titah Baginda adalah, sehingga sekarang beliau masih sibuk untuk berunding dengan Umno untuk mempertahankan kerajaannya bukannya berusaha menyelesaikan titah Tuanku agar Belanjawan diluluskan.

“Hari ini adalah kali kedua Yang Dipertuan Agong bertitah agar jangan berpolitik dan luluskan Belanjawan 2021 bagi membolehkan belanja untuk menguruskan Covid-19 diluluskan.

“Tetapi sehingga kini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah memanggil kami untuk membincangkan perkara ini.

“Ketika Baginda bertitah agar tidak bermain politik, Muhyiddin sibuk untuk berunding dengan Umno bagi mengekalkan kerajaannya.

“Sekarang dah tiga nama dipertimbangkan Muhyiddin untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri bagi memenuhi tuntutan Umno bukannya titah Baginda agar Belanjawan 2021 diluluskan nanti,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline.

Bagi beliau, jika Muhyiddin bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu kelulusan Belanjawan 2021 pada November ini, beliau akan memanggil pemimpin parti pembangkang untuk berunding.

“Dia nampaknya tidak berminat untuk mematuhi titah Yang Dipertuan Agong tetapi lebih berminat untuk terus bermain politik walaupun sudah dititahkan Baginda agar kurangkan berpolitik sekarang,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berkata kesediaan beliau untuk berunding dengan kerajaan bagi membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan.

“Isunya sekarang, Muhyiddin tidak minat untuk mematuhi titah Baginda. Sebab itu tidak ada di kalangan pembangkang yang dipanggil untuk berunding bagi membolehkan belanjawan diluluskan,” kata beliau.

Menurut Salahuddin, AMANAH sendiri sudah sedia untuk berunding bagi membolehkan Belanjawan 2021 dapat diluluskan sebagai titah Yang Dipertuan Agong.

“Kita sudah bersedia untuk menyokongnya. Kita dah sedia. Tetapi kena rundinglah,” kata Salahuddin memberi jaminan AMANAH akan mematuhi titah Baginda agar Belanjawan diluluskan.

Kerajaan Muhyiddin-Azmin boleh kekal sampai akhir penggal?

ZAKARIA MUSA

Apakah pertelingkahan Umno-Bersatu sudah dapat diselesaikan, ataupun sekurang-kurangnya diredakan, selepas “gencatan politik” dan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dizahirkan Ahmad Zahid Hamidi?

Maka, pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali boleh kekal selamat sehingga berakhirnya penggal Parlimen kali ini apabila Anwar Ibrahim dilihat makin sukar untuk mencapai dukungan “cukup bilang” di kala negara terus diamuk pandemik Covid-19.

Mungkin banyak pihak boleh bersetuju bahawa pendirian terbaharu Majlis Tertinggi Umno dapat meredakan ketegangan di permukaan tetapi sebenarnya kocakan di bawah payah untuk ditenteramkan.

Kedua-dua pihak, Umno dan Bersatu sudah hilang kepercayaan; masing-masing terbukti hanya mementingkan agenda politik sendiri. Persoalan sebenar, iaitu agihan kerusi dalam PRU15, tetap terbuka untuk menjadi gelanggang tempur lebih parah di antara kedua-duanya.

Namun begitu, isu besar, adalah lebih mudah menjatuhkan kerajaan Muhyiddin-Azmin daripada membentuk kerajaan baharu.

Pakatan Harapan (PH) yang sudah kehilangan Dr Mahathir Mohamad (dan ahli-ahli Parlimen bekas Bersatu) bersama Shafie Apdal (dan Warisan), kini berdepan protes sebahagian wakil rakyat DAP pula apabila Anwar mendapat sokongan Najib Razak dan Zahid Hamidi secara peribadi.

Tidak dipastikan kecenderungan sikap 11 ahli Parlimen AMANAH dengan pembabitan pemimpin Umno yang mempunyai kes mahkamah itu.

Yang pasti, negara akan terus menyaksikan situasi ketidaktentuan ini berpanjangan. Proses ugut-mengugut dan tawar-menawar dipercayai berterusan. Politikus lebih ghairah menekuni hal habuan dan kepentingan sendiri, daripada menangani krisis besar yang menimpa rakyat. Masa dan sumber yang terbatas itu akan dibazirkan begitu sahaja.

Anjuran agar semua pihak bertelingkah dapat memusatkan usaha demi kepentingan negara tentu sekali disambut baik. Setiap parti yang berbeda pasti bersikap cermat dengan persepsi umum dan berusaha mengelak tanggapan buruk masyarakat. Masing-masing memperaga watak patriotik, walaupun sebenarnya terus menyusun strategi memperkukuh pengaruh dan kedudukan.

Sifir politiknya, semua pihak menuju destinasi sama, PRU15. Setiap gerak lebih mempertimbang keuntungan atau manfaat yang bakal diraih dalam pilihan raya umum akan datang.

Demikian juga pemain utama yang diperhatikan sekarang, iaitu Umno dan Bersatu. Anwar tetap menjadi tumpuan meskipun senarai nama yang menyokongnya masih menjadi teka-teki.

Namun, ada kelompok yang sinis, menganggap Presiden PKR itu telah dipermainkan — malah dijadikan umpan — Umno. Sehingga langkahnya mengumumkan telah memperolehi “cukup bilang” sebelum PRN Sabah itu didakwa sebagai “paku terakhir ke atas keranda politiknya”.

Umno rasa dibuli Muhyiddin dan Bersatu kerana tidak mendapat posisi sewajarnya dalam pentadbiran kerajaan meskipun mempunyai hampir 40 wakil rakyat. Mereka cuma digula-gulakan dengan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

Selain tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri, sekurang-kurangnya empat menteri Umno bukannya dipilih daripada pemimpin senior parti. Agihan menteri kanan juga memihak kepada Bersatu.

Kerisauan Umno lebih kepada agihan kerusi PRU15 terutama 15 kerusi yang dimenanginya pada PRU14, tetapi telah melompat menyertai Bersatu. Pengalaman dalam PRN Sabah menunjukkan kuasa tawar-menawar ada pada Bersatu; kuasa menerajui kerajaan bagaikan magnet. Dan Umno arif sangat hakikat bidang kuasa perdana menteri yang magik itu kerana pernah merangkulnya selama lebih 60 tahun.

Umum tahu Umno dan Bersatu merupakan dua parti yang saling berebut pengaruh di kalangan masyarakat Melayu, khususnya di kampung-kampung tradisional, penempatan Felda dan wilayah luar atau pinggir bandar. Keterbukaan keahlian Bersatu baru-baru ini lebih kepada meraikan para penyokong Azmin dan bekas PKR.

Jika muafakat Umno-Pas pun sudah dijangka akan menemui titik retaknya, mengulangi persefahaman membentuk Barisan Nasional (BN) pada awal 1970-an, maka lebih-lebih lagilah kerjasama tanpa landasan kukuh Umno-Bersatu. Asasnya cukup rapuh dan longgar, boleh terburai bila-bila masa sahaja.

Penyelamatnya cuma barisan pembangkang sendiri yang bercempera. Bukan hanya faktor Mahathir-Anwar, tetapi sudah merebak kepada anggota PH sendiri. PH di bawah Anwar gagal menampilkan wajah kesatuan dan bergerak sederap khususnya dalam usaha mendapatkan semula Putrajaya. AMANAH dan DAP seakan-akan tidak dirundingi dalam mengatur proses peralihan kuasa, sehingga menimbulkan kesangsian dan kecurigaan akar umbi.

Bacaan mudah orang awam, Umno tidak puas hati dengan layanan Muhyiddin-Azmin, serta mengharapkan Anwar dapat memenuhi kehendak mereka. Soalnya, mampukah Anwar bersilat dengan permintaan Najib-Zahid (yang dibebani pelbagai kes mahkamah) itu?

Biarpun dikatakan sokongan awal Umno bukan atas nama parti dan hanya wakil rakyat tertentu, tetapi akal waras tentu mempersoalkan kewajaran itu terutama daripada aspek hukum berorganisasi.

PH juga sudah tidak sama lagi, jauh dibandingkan dengan situasi menjelang PRU14 dahulu. Bersatu keluar PH yang seterusnya meruntuhkan kerajaan pada hujung Februari 2020.

Mahathir dan kumpulan penyokongnya yang disingkirkan Bersatu juga tidak memilih bersama PH. PKR sendiri berpecah dan membawa keluar 10 ahli Parlimen. Ya, politik sentiasa dinamik. Ketidaktentuan adalah lumrah. Hanya mereka yang tangkas merebut peluang dapat memposisikan kedudukan terbaik dalam apa jua situasi.

PH yang semakin mengecil itu memang perlu terus berusaha mengembalikan mandat rakyat. Namun, lebih penting adalah mencari semula titik-titik temu agar roh kesatuan yang kental dapat dikongsi semua anggota.

Keanjalan mengatur strategi tidak bermakna prinsip-prinsip asas diabaikan. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Usah pandang ringan kepercayaan rakyat. Akhirnya, kata putus berada di tangan pengundi.

Majoriti rakyat dianggap sudah jelak dengan permainan elit politik yang keterlaluan ini. Mereka mengharapkan pentadbiran yang berkesan, demokratik, transparen, hindari pembaziran-korupsi dan tangani isu-isu ekonomi dan kesihatan secara meyakinkan.

Sumber-sumber parti pemerintah dan pembangkang yang hampir seimbang itu harus digembleng bersama. Kelaziman lama mesti ditinggalkan.

Buktikan ahli-ahli politik kita masih boleh menggalas harapan dan memenuhi impian rakyat, terutama di waktu sukar ini.

Ini bukan soal strategi atau pendekatan berhelah mengumpulkan sokongan menjelang PRU15. Ia menyentuh masa depan dan cabaran negara yang amat kritikal.

‘Cinta pertama’ Pas tidak mungkin padam, Muhyiddin makin tergugat

FAIZ FADZIL

Keputusan Umno untuk terus mengukuhkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan Pas, tetapi pada masa yang sama tidak begitu memberikan komitmen kepada Perikatan Nasional (PN) menunjukkan gabungan politik pintu belakang ini semakin rapuh umpama retak menanti belah.

Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semakin tergugat dan hanya menunggu masa untuk dijatuhkan.

Pas dilihat lebih setia kepada Umno berbanding Muhyiddin kerana telah menjalin hubungan rasmi dengan Umno sebelum berlaku Langkah Sheraton lagi, umpama cinta pertama tidak mungkin padam.

Kedudukan Muhyiddin yang semakin goyang ini sebenarnya bukan hanya kerana permainan politik Umno, tetapi kerana Pas yang tidak setia sepenuhnya kepada Muhyiddin kerana masih bermain mata dengan Umno.

Walaupun Pas memilih untuk turut menyertai PN, tetapi MN masih menjadi keutamaan, maka tidak mustahil Umno dan Pas sedang merencana strategi baharu untuk memintas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Pas yang beberapa kali mengkhianati gabungan politik sebelum ini, sudah pasti mereka boleh melakukannya sekali lagi.

Dalam keadaan Muhyiddin yang tenat sekarang untuk mempertahankan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri yang diasak oleh pemain politik.

Pengaruh beliau di hati rakyat pula semakin merosot ekoran tindakan kerajaan PN mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Khairuddin Aman Razali (at-Takiri) daripada didakwa atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin selepas pulang dari Turki.

Sikap Pas yang menikam belakang Muhyiddin bakal menyebabkan jatuhnya ‘Abah’.

Menteri Pas tersebut dikritik teruk oleh rakyat dan memberikan imej negatif kepada Muhyiddin kerana sikap double standard. Kini, rakyat tidak lagi peduli jika Muhyiddin tersingkir.

Pas adalah pihak yang kuat menyokong permohonan darurat walaupun sedar tidak wujud keperluan sedemikian di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, sikap Pas yang menikam belakang Muhyiddin bakal menyebabkan jatuhnya Muhyiddin.

Apatah lagi PPBM bertindih kerusi Parlimen dengan Umno dan Pas, sudah pasti PPBM akan diketepikan setelah habis madu kelak.

Hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini ibarat telur di hujung tanduk. Mampukah Muhyidin bertahan dengan sikap munafik Pas dalam politik ini, hanya masa yang menentukan.


*FAIZ FADZIL merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Muhyiddin tunggu calon TPM dari Umno, tapi enggan terima Zahid

Muhyiddin Yassin didakwa sedang menunggu Umno mencalonkan pemimpin parti itu yang dianggap boleh diterima untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri, lapor sebuah laporan media hari ini.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa presiden Bersatu itu bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan berkenaan dan terserah kepada parti terbabit mengemukakan calon.

Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin tidak dapat menerima Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai timbalannya kerana ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah.

“Tan Sri (Muhyiddin) boleh terima Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.

"Sekarang (Muhyiddin) cuma menunggu cadangan Umno, tapi jika mereka bertegas mahukan Zahid, maaflah," katanya.

Untuk rekod Hishammuddin ialah bekas naib presiden Umno.

Selepas dilantik menjadi perdana menteri pada Mac lalu, Muhyiddin tidak melantik timbalan perdana menteri seperti biasa yang dilakukan pemimpin terdahulu.

Sebaliknya dia melantik empat menteri kanan. Daripada jumlah itu dua adalah dari Bersatu, seorang Umno dan seorang lagi Gabungan Parti Sarawak.

Menurut laporan itu lagi, seorang sumber dari Umno mendakwa parti berkenaan diminta membentuk sebuah jawatankuasa rundingan bagi membincangkan terma baru kerjasama mereka dengan Bersatu, termasuk pelantikan timbalan perdana menteri dan jawatan lain.

Jika Muhyiddin gagal memuaskan hati Umno, kata sumber-sumber, mereka akan mendesak agar pilihan raya umum (PRU) diadakan sebaik saja ancaman Covid-19 berkurangan.

Katanya pertemuan Majlis Tertinggi Umno semalam turut membincangkan kemungkinan menyegerakan PRU.

"Tapi ini bergantung kepada langkah lanjut Muhyiddin, termasuk jika dia mengemukakan tawaran baru kepada Umno seperti pelantikan timbalan perdana menteri, usaha menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi," kata sumber yang hadir dalam pertemuan semalam.

Malaysiakini belum dapat mengesahkan kesahihan laporan berkenaan.

Siapa di belakang MalaysiaNow, ini cerita Ahli MT Umno

DR PUAD ZARKASHI

Nama seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Malaysia Insight memang sudah dikenali.

Sekarang timbul nama baru, MalaysiaNow. Siapa pemiliknya?

Ikut carian SSM, Abd Ar-Raman Koya adalah single director. Dia adik kepada Latheefa Koya bekas PKR yang dilantik sebagai boss SPRM oleh Tun Mahathir.

Dikatakan Azmin Ali adalah pay master kepada portal ini. Apakah Hamzah juga terlibat. Ada yang kata C5 terlibat.

Bagaimana C5 terlibat. Mudah je. Bocorkan maklumat dalaman. Pusing fakta dan timbulkan provokasi. Macam ada konspirasi terancang sejak 20 September.

Naratif utama portal ini sekarang ialah Umno mahu berkawan dengan Anwar. Bila berkawan dengan Anwar maknanya berkawan dengan DAP.

Mereka yakin isu kerjasama dengan Anwar-DAP adalah senjata ampuh untuk memecah belahkan Umno. Umno-DAP umpama anjing dengan kucing.

Politiking memang sukar dibendung. Azmin main belakang. Dia gunakan MalaysiaNow untuk adu domba. Dia penasihat “darurat” yang gagal.

Sayang sekali, MalaysiaNow tidak pula menyiarkan gambar Azmin menangis di rumah Muhyiddin apabila darurat ditolak.

Anwar: PKR terbuka terima ahli politik tolak rasuah

PKR menyatakan parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mahukan sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Presidennya Anwar Ibrahim berkata peringatan dan penegasan dibuat raja-raja Melayu baru-baru ini perlu diberi perhatian dan tidak boleh diremehkan.

Malah katanya ia perlu didukunbg semua pihak yang memiliki kesedaran untuk menolak kebobrokan.

Justeru kata Anwar PKR akan terus memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah tatanan yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai," katanya.

Mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan minggu depan, Anwar berkata, ia perlu dipersiapkan dengan menggembleng usaha kerajaan dan pembangkang.

Langkah itu katanya perlu untuk merencana strategi ampuh bagi menangani kesan Covid-19, isu pengangguran dan kemiskinan.

Diselamatkan daripada darurat

Kenyataan Anwar itu dibuat sehari selepas media melaporkan, bekas presiden Umno Najib Razak, mencadangkan agar parti itu bekerjasama dengan pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan untuk membolehkan perdana menteri baru dilantik. 

Ia susulan pertemuan ahli-ahli parlimen BN ketika kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat semakin goyah selepas Yang di-Pertuan Agong menolak cadangannya agar darurat diisytiharkan di negara ini.

Bagaimanapun cadangan berkenaan tidak mendapat sambutan.

Hari ini Najib menjelaskan pandangan agar BN memberi sokongan kepada Anwar itu adalah satu daripada cadangan yang dikemukakannya dalam pertemuan semalam.

Najib juga menegaskan sokongan itu mestilah dengan syarat ia tidak melibatkan kerjasama dengan DAP.

Anwar berkata usaha mengembalikan mandat rakyat - selepas dinafikan Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen PKR pada akhir Feb lalu - mestilah dibuat dengan berpaksikan matlamat mempertahan maruah bangsa dan negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.

Baca 'Raja-raja mahu mekanisme semak dan imbang dihormati'

"Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan raja-raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah," katanya.

Anwar juga berkata penegasan raja-raja Melayu yang dikeluarkan pada minggu lalu perlu diberi perhatian dan tidak boleh dipandang enteng.

"Malah ia harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan," katanya.

Rasuah: Bekas KP perisikan, dua pegawai kanan ATM didakwa

Bernama 

Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt Jen Datuk Sheikh Moksin Sheikh Hassan serta dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, atas 17 pertuduhan menerima dan meminta suapan daripada sebuah syarikat kontraktor berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan (Kementah).

Sheikh Moksin, 59; Lt Kol Che Ahmad Idris, 54 dan Brig Jen Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Che Ahmad yang merupakan Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementah ketika kejadian didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM500,000, satu pertuduhan setuju terima suapan RM500,000 dan tiga pertuduhan menerima suapan RM105,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd (FEHM Entity) Elias Jemadi Tajudin sebagai dorongan melantik syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk bahagiannya di Kementah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa, Kementah, di Kuala Lumpur antara September 2019 dan 7 April 2020.

Mohammed Feizol Anuar yang merupakan penasihat ketenteraan Menteri Pertahanan semasa kejadian, didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM128,000 daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Eksekutif FEHM Entity Hishamuddin Johari dan Pengurus Projek syarikat sama Nurin Nazwa Elias Jemadi sebagai dorongan untuk membantu menyerahkan Surat Niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan untuk Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di Kementah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di parkir Masjid Khalid Al-Walid, Kementah; parkir Dorsett Residences Sri Hartamas; di hadapan syarikat FEHM Entity, Wangsa Maju dan Persiaran Bukit Melawati, Bukit Melawati di sini, antara 30 Okt 2019 dan 24 Jun 2020.

Sheikh Mokhsin pula didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM1 juta, satu pertuduhan setuju terima suapan RM1 juta dan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM266,000 daripada Elias Jemadi sebagai dorongan untuk meluluskan cadangan pelantikan syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan di bahagiannya di Kementah.

Pesara tentera itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Havana Club, Hotel Concorde; Pejabat Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Kementah dan HairDoc Medical Publica, Solaris Dutamas, di Kuala Lumpur antara 20 Jun 2019 dan 5 Jun 2020.

Sheikh Mokhsin juga didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan wang tunai RM50,000 daripada Syed Omar Syed Mohamad kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd bagi melaksanakan perolehan, perbekalan, penghantaran, latihan dan pentauliahan bagi dua sistem khas kepada bahagiannya di pejabatnya, pada 2.30 petang, 26 Jun 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan TPR Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman masing-masing menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan bagi setiap tertuduh.

"Dalam kes ini, pertuduhan terhadap setiap tertuduh melibatkan jumlah yang besar dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda.

"Kedudukan mereka sebagai pegawai-pegawai tinggi juga perlu diambil kira. Mohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang setimpal supaya menunjukkan kepada orang di luar sana bahawa mahkamah memandang serius terhadap kes-kes sebegini," kata Muhammad Asraf.

Sementara itu, TPR Siti Noor Hafizan Zakaria memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dan satu penjamin bagi pertuduhan ketujuh yang dihadapi Sheikh Mohsin (menerima suapan RM50,000 daripada Syed Omar).

Kesemua tertuduh yang masing-masing diwakili peguam Gooi Soon Seng (Che Ahmad), Azrul Zulkifli Stork (Mohammed Feizol Anuar) dan P.G. Cyril (Syeikh Moksin) merayu jaminan rendah dengan alasan kesemua mereka adalah penanggung utama keluarga.

"Mohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah terhadap Syeikh Moksin memandangkan dia adalah seorang pesara dan dua daripada anaknya masih belajar. Selain itu, tertuduh memberi kerjasama yang baik dengan pihak SPRM.

"Saya juga memohon tidak mengenakan sebarang jaminan bagi satu lagi pertuduhan (pertuduhan ketujuh yang dihadapi Syeikh Moksin) memandangkan tertuduh telah diberikan jaminan RM100,000 bagi enam pertuduhan lain," kata Cyril.

Mahkamah membenarkan Che Ahmad dijamin RM80,000, Mohammed Feizol Anuar RM60,000 dan Sheikh Moksin RM110,000, masing-masing dengan seorang penjamin serta mereka perlu menyerahkan paspot kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan kediaman sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 27 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pada 15 Okt lepas, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada FEHM Entity bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu.

- Bernama

Henti aniaya pembangkang, Muhyiddin mesti pecat Hamzah, Azmin

MALAYSIA DATELINE 

Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menyingkirkan dua pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah mengundang pelbagai ‘huru-hara’ politik di negara ini.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, tindak tanduk serta nasihat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengganggu proses demokrasi berparlimen.

“Saya sudah cakap sejak sesi Parlimen pada 18 Mei lepas, Muhyiddin sepatutnya berhenti berharap dan percaya bulat-bulat kepada Hamzah dan Azmin.

“Hamzah sendiri seperti tidak faham realiti politik hari ini yang tidak lagi seperti dulu yang hanya berasaskan satu parti politik sahaja,” dipetik Roketkini. 

Chin Tong berkata, Hamzah kini masih lagi cuba berusaha mengembalikan pemerintahan satu parti dengan anggapan Muhyiddin memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pengarah Strategik DAP itu mendakwa Hamzah cuba membeli Ahli Parlimen dari pembangkang antara Mac sehingga Mei lalu.

“Tidak ramai pun yang menerima pelawaan menyeberang dengan majoriti tipis itu, jangkaan kononnya ramai akan lompat sebenarnya sangat kurang bijak.

“Malah, selama lebih setengah tahun, pencapaiannya hanya sekadar Ahli Parlimen Lubok Antu sahaja yang melompat ke sana,” tegasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kluang mendedahkan keputusan menggantung Parlimen dan darurat sudah diketahuinya sejak beberapa minggu lalu.

“Tapi apa yang mengejutkan saya apabila Muhyiddin meneruskan juga ‘idea’ tersebut dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lepas (23 Oktober).

“Beliau terus membuat kesilapan demi kesilapan dengan keputusan mengejutkan darinya, bermula daripada menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Hamzah juga merupakan arkitek rampasan kuasa yang gagal pada Oktober 2019 (yang berusaha memecat DAP dan AMANAH dari PH) yang juga bersekongkol dengan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein.

“Dia juga merupakan penggerak utama Langkah Sheraton, dibantu oleh Azmin,” tegasnya.

Dalam masa sama, Chin Tong mengingatkan Muhyiddin perlu menerima hakikat dirinya bukan menerajui sebuah kerajaan dengan majoriti dua pertiga atau pemerintahan satu parti dominan sahaja.

Sehubungan itu, jelasnya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut bertanggungjawab untuk mewujudkan permuafakatan antara sekutu dan menjalin muhibah dengan pembangkang lagi-lagi dalam melawan pandemik Covid-19.

“Henti aniaya pembangkang, beliau perlu menjadi Perdana Menteri untuk semua dan bukannya untuk parti Bersatu sahaja.

“Bukan pembangkang sahaja yang gusar, malah sekutunya Umno sendiri juga gusar.

“Untuk ini, Muhyiddin perlu meminta Hamzah dan Azmin meletak jawatan dari Kabinet, dan bertanggungjawab terhadap semua keputusan serta nasihat yang telah mereka lakukan termasuklah menasihati YDPA dan menyebabkan keadaan politik yang huru hara,” tambahnya lagi.

PENDIRIAN UMNO SOKONG MUHYIDDIN HANYA SEMENTARA, TUNGGU WAKTU SESUAI UNTUK BERTINDAK SEMULA?

Shahbudin Husin

Walaupun keputusan mesyuarat MT UMNO semalam memberi gambaran tidak lebih seperti “wal hasil balik asal”, realitinya kedudukan Muhyiddin Yassin belum boleh dikira benar-benar selamat.

Dalam mesyuarat itu, keputusan yang dibuat ialah UMNO kekal menyokong kerajaan PN, namun menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

Keputusan ini nampaknya tidak senada dengan gegak gempita yang ditimbulkan oleh UMNO sendiri sejak kebelakangan ini.

Kecelaruan hubungan UMNO dalam PN mula timbul apabila Anwar Ibrahim mengadap Agong untuk mempersembahan bukti majoriti yang dimilikinya untuk mengambil alih kerajaan.

Antara bukti tersebut, sebagaimana ia kemudian tersebar di media sosial, adalah surat yang ditandatangani oleh Zahid Hamidi sendiri serta disokong oleh Najib Razak.

Ia kemudian disusuli dengan mesyuarat Biro Politik UMNO yang memutuskan untuk meletakkan syarat-syarat baru kepada Muhyiddin jika hubungan kerjasama dalam PN ingin dikekalkan.

Permintaan UMNO terlihat lebih keras apabila ia juga mahu perjanjian kerjasama selepas syarat-syarat baru itu dipersetujui dilakukan dalam bentuk perjanjian bertulis.

Kemudian, UMNO dilaporkan mahu mengadakan mesyuarat MT di Pahang bagi memuktamadkan ketetapan Biro Politik itu.

Bagaimanapun, berikutan perintah PKPB yang menghalang perkumpulan secara beramqi-ramai dan pergerakan merentas negeri, mesyuarat tersebut telah dibatalkan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara.

Bagi membendung kemungkinan dijatuhkan berikutan majlis mengadap Agong oleh Anwar dan desakan UMNO itu, Muhyiddin melalui kabinet telah mengemukakan cadangan untuk menguatkuasakan darurat dengan segmen utamanya adalah menggantung Parlimen.

Ia dilihat sebagai langkah Muhyiddin untuk mengelakkan beliau dijatuhkan melalui penolakan undi terhadap Belanjawan 2021, sementelah pula Tengku Razaleigh Hamzah turut mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri dan mahu usul tidak percaya segera dibentangkan.

Apabila cadangan darurat ditolak oleh Agong, kedudukan Muhyiddin jadi bertambah genting sehingga dilaporkan beliau sendiri berura-ura mahu melepaskan jawatannya.

Selain blok pembangkang yang mengecam Muhyiddin, bukan saja atas cubaan menguatkuasakan darurat, tambahan lagi selepas cadangan itu ditolak Agong, malahan UMNO sendiri tidak henti-henti mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatannya.

Berikutan keinginan untuk meletak jawatan tidak dipersetujui beberapa menteri kabinet yang rapat dengannya, Muhyiddin pada pagi semalam talah memanggil semua ketua-ketua parti dalam PN untuk bertemu dengannya di Putrajaya.

Bagaimmanapun, Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO tidak hadir dalam pertemuan itu, walaupun ada laporan mengatakan, pada awalnya beliau memang mahu menghadirinya.

Keputusan Zahid Hamidi itu mencetuskan andaian bahawa UMNO sudah tidak selesa lagi bersama PN.

Pada sebelah petang semalam pula, Ahli-Ahli Parlimen BN mengadakan pertemuan di PWTC untuk memutuskan apa pendirian yang harus diambil berkenaan kedudukan serta sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

Dalam pertemuan itu, berbagai cadangan dilontarkan, yang paling diperkatakan tentunya apabila Najib mencadangkan BN bekerjasama dengan Anwar dalam sebuah kerajaan baru.

Begitu pun, cadangan itu menerima lebih banyak bantahan daripada sokongan, walau Najib memberi syarat, ia mestilah tanpa melibatkan DAP.

Akhirnya, untuk memutuskan segala kekalutan dan mengambil pendirian muktamad, UMNO mengadakan mesyuarat khasnya malam tadi.

Keputusan mesyuarat yang akhirnya membuat ketetapan kekal menyokong PN setelah gegak gempita bagai nak terbalik dunia yang dicetuskan oleh UMNO sendiri, kebanyakannya melihat sebagai tiada apa-apa, “wal hasil balik asal” dan hanya memenatkan wartawan menunggu berita sehingga jauh malam.

Bagi yang siniis, mereka mengatakan itulah perangai Zahid Hamidi – dulu, kini dan selamanya.

Selalu dan sejak dulu, beliau dikatakan suka bikin ribut, tapi akhirnya tetap kembali mencari bot.

Namun demikian, beberapa maklumat dalam UMNO mengatakan, keputusan MT malam tadi yang mengekalkan sokongan kepada PN dan Muhyiddin hanyalah bersifat sementara.

Sama ada UMNO mahu menolak Belanjawan 2021 juga difahamkan masih 50-50 kerana UMNO tidak mahu dilihat menambah-susah derita rakyat di kala Covid19 kembali melanda jika mengambil keputusan sedemikian.

Yang pasti, UMNO akan tetap menarik sokongannya di waktu yang sesuai nanti, terutama apabila Covid19 sudah mula reda dengan jangkaan awal gempuran akan dilakukan sebaik tirai tahun 2021 bermula.

Ketika itu, tujuan penarikan sokongan itu adalah agar Parlimen segera dibubarkan dan PRU dapat diadakan.

Buat waktu ini, sementara kekal bersama PN dan menyokong Muhyiddin, UMNO akan mengambil pendirian melengah-lengahkan dahulu sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan Bersau.

Ketetapan dan keinginan UMNO ialah mereka hanya mahu bermuafakat dengan Pas untuk menghadapi PRU akan datang – tidak sama sekali sudi berkongsi kerusi dengan Bersatu, jauh sekali dengan Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin. (Shahbudindotcom 27/10/2020)