"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN fobia dengan pilihan raya kecil

PULAU PINANG, 18 April: Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya kecil Penanti membazirkan wang rakyat adalah lambang BN sebenarnya fobia dan takut dengan pilihan raya kecil selepas kalah satu demi satu dalam pilihan raya yang lepas.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin.

"Takut untuk kalah sekali lagi dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan di DUN Penanti ini maka BN sudah mulai mendakwa bahawa pilihan raya kecil ini sebagai satu pembaziran sedangkan hakikat sebenarnya ialah mereka takut untuk menghadapi saingan hebat daripada PR berdasarkan keputusan pilihan raya yang tidak menyebelahi mereka sebelum ini," kata Hafiz kepada Siasah.

Sebelum ini, Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kekesalan kerana kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia terpaksa membelanjakan sejumlah besar wang rakyat untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Najib juga mendakwa PR cuba menduga kekuatan Barisan Nasional(BN) melalui pilihan raya kecil seperti mana yang berlaku sekarang. 

Dalam isu ini Hafiz berkata sebenarnya PR tidak membazirkan wang rakyat tetapi sebaliknya BN takut untuk menghadapi pilihan raya kecil ini sekali lagi setelah melihat keputusan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang tidak menyebelahi mereka.


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan terbubar dengan sendirinya jika ia tidak bersidang dalam masa enam bulan, demikian dijelaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari. Beliau diminta mengulas mengenai tindakan terburu-buru setengah pihak untuk mengadakan sidang DUN Perak.

Katanya, peruntukan yang berkenaan ialah 36 Perlembagaan Negeri Perak. Peruntukan yang sama ada di dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Aziz berkata peruntukan yang sama juga ada di semua negeri yang lain.

"Apa yang penting di bawah peruntukan ini ialah bahawa menjadi tanggung jawab Agong atau Sultan atau Yang diPertua Negeri untuk memanggil sidang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan," jelasnya. Peruntukan ini tidak menyatakan dewan terbubar jika ia tidak bersidang langsung selama enam bulan.

Aziz berpendapat dengan adanya peruntukan itu kerajaan yang memerintah tidak boleh lari atau mengelak dari ditanya mengenai dasar-dasar dan tindakannya oleh ahli-ahli dewan.

"Ia berkait rapat dengan kerajaan yang bertanggung jawab kepada dewan yang menjadi asas kepada undi tidak percaya itu," tambahnya.

Pakar perlembagaan itu berkata Dewan Negeri dan Dewan Rakyat hanya bubar secara automatik lima tahun selepas ia bersidang buat kali pertama selepas pilihan raya umum.

"Ini disebut oleh Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 36(3) Perlembagaan Negeri Perak,' jelas beliau.

Apa yang menarik ialah ada di kalangan peguam sendiri yang menganggap dewan terbubar secara automatik jika tidak bersidang langsung dalam tempoh enam bulan.

Aziz berkata pandangan itu mungkin menjadi sebab mengapa kebelakangan ini timbul banyak keputusan yang ganjil dan tidak selaras dengan perlembagaan.

"Semacam ada usaha halus untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya.

Ini tidak logik dan tidak masuk akal kerana macam-macam boleh berlaku. Siapa yang boleh menyekat kematian atau orang disabitkan di mahkamah?" ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak 17 April lalu, menyatakan bahawa pilihan raya kecil Dun Penanti ekoran perletakan jawatan bekas Timbalan Menteri Pulau Pinang tidak perlu kerana ia membuang masa dan wang negara.

Sebelum itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pada mulanya begitu laju menyiasat dan dikatakan akan mendakwa bekas timbalan itu tiba-tiba mengambil sikap melambat-lambatkan keputusan siasatan.

Mahkamah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires' - Dr Aziz Bari



MESKIPUN keputusan mahkamah mengisytiharkan tindakan Speaker DUN Perak menggantung Dato Dr Zambry Kadir mengecewakan banyak pihak, ia terpaksa diterima.

Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas keputusan mahkamah tertinggi negara pada 16 April lalu. Dalam keputusan lisannya mahkamah membuat keputusan sebulat suara. Ketika menyampaikan keputusan itu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Sherif memutuskan bahawa Speaker V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Aziz berkata, perlembagaan - baik negeri maupun persekutuan - tidak menyatakan dengan jelas kuasa-kuasa speaker dan selama ini undang-undang dan amalan yang ada baik di Malaysia dan seluruh Komanwel ialah ia tertakluk kepada budi bicara speaker dan ini dipandu oleh 'Standing Orders' atau peraturan dewan. Ini mempunyai asas di dalam perlembagaan dan kuasa mentafsir 'Standing Orders' itu ialah kuasa mutlak speaker.

"Saya tidak tahu apakah asas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Speaker DUN tidak sah. Dari mana mahkamah mendapat kuasa berbuat demikian?" soal profesor undang-undang itu.

Aziz berkata apa yang jelas ialah perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.

Ditanya mengenai Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak beliau berkata: "Peruntukan itu hanya memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir perlembagaan negeri. Peruntukan ini tidak memberi lesen kepada mahkamah untuk berbuat sesuka hati dan membelakangkan perlembagaan."

Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk NH Chan yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu tersebut.

Mengenai soal pembahagian kuasa (separation of powers) pula Aziz mendedahkan Mahkamah Persekutuan memang masih kabur tentang konsep itu. Katanya, "Sesiapa yang tak percaya sila baca keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kok Wah Kuan (2008) yang menangani isu berkenaan".

Aziz menyeru Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua badan kehakiman mengambil perhatian dan memberi penghakiman muktamad mengenai isu pemisahan kuasa yang menjadi idea pokok dalam konflik undang-undang mengenai kuasa speaker itu.

Aziz berkata kekaburan dan kekeliruan itu menyebabkan mahkamah terlalu menumpukan kepada isu-isu teknikal dan prosedur yang sepatutnya dibaca dalam konteks teori tadi. Beliau berharap Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan bertulis secepat mungkin supaya kita dapat mengetahui asas keputusannya.

"Setakat ini ia masih kabur dan kalau kita melihat isu ini dalam konteks pemisahan kuasa yang menjadi tunjang kepada perlembagaan itu keputusan itu adalah keputusan yang salah".

Bagaimanapun, oleh kerana Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah paling tinggi yang sekaligus memainkan peranan mahkamah perlembagaan maka isu itu terhenti di situ. Aziz berkata terpulang kepada ahli-ahli politik untuk menjelaskan kepada rakyat isu yang sulit dan kontroversial ini.

"Merekalah hakim yang sebenar dalam kemelut politik di Perak. Apa yang malang ialah semua institusi yang sepatutya mempertahankan perlembagaan gagal berbuat demikian," ujarnya.

Sebelum ini tokoh-tokoh dan NGO tertentu seperti Datuk Param Coomaraswamy (bekas Presiden Majlis Peguam), Prof. Dr Shad Faruqi dan ALIRAN meragui keberkesanan penyelesaian melalui jalan mahkamah.

Ketua Pemuda PAS: Salahuddin tiada petunjuk

KOTA BAHARU: Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub yang tidak akan mempertahankan jawatannya itu dalam pemilihan pada Muktamar PAS Jun ini berkata beliau tidak akan m emberi petunjuk kepada ahli dalam menentukan calon bagi menggantikan tempatnya itu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, terserah kepada ahli untuk membuat penentuan.

"Saya tidak mempunyai petunjuk dalam menentukan calon jawatan Ketua Pemuda menggantikan tempat saya," katanya kepada pemberita di majlis mesyuarat perwakilan PAS Kawasan kubang Kerian, di sini, hari ini yang dirasmikan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada 15 Februari lepas, Salahuddin mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda bagi memberi peluang kepada muka baru menerajui Dewan itu.

Salahuddin juga berkata beliau menyerahkan kepada ahli untuk mencalonkannya untuk jawatan naib presiden parti pada pemilihan nanti.

Katanya beliau yakin pertandingan merebut jawatan dalam parti akan berlangsung dalam suasana sihat dan demokrasi sebagaimana menjadi amalan PAS sebelum ini.

-BERNAMA-

Penanti: MP Kulim-Bandar Baharu mahu BN beri PKR laluan Bagi elak pembaziran, tumpu tangani masalah ekonomi

PETALING JAYA: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Barisan Nasional (BN) memberikan laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan tidak meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, beliau tertarik dengan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang menyatakan bahawa pilihan raya kecil Penanti akan hanya membazirkan wang rakyat dan menghilangkan fokus tumpuan ke arah membangunkan ekonomi negara.

"Sejajar dengan saranan itu, saya mencadangkan kepada BN supaya memberi laluan kepada calon PKR untuk menduduki kerusi tersebut tanpa perlu pemilihan atau pengundian.

"Bermakna saya mencadangkan agar BN tidak meletakkan sebarang calon pada hari penamaan calon," kata beliau dalam blognya.

Langkah itu sudah tentu akan dapat mengelakkan pembaziran wang rakyat dan membolehkan kerajaan menumpu kepada menangani masalah ekonomi dan kewangan negara.

Pandangan itu diberikan secara kebetulan Najib memberitahu wartawan di Kuantan hari ini bahawa BN kemungkinan tidak akan meletakkan calonnya bertanding pilihan raya kecil kerusi Penanti.

-mstar.com.my-

Hadi sedia dicabar bagi jawatan Presiden PAS

KOTA BAHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia menghadapi cabaran bagi pertandingan merebut jawatan nombor satu parti pada Muktamar PAS Jun ini berikutan desas-desus berlakunya pergolakan kuasa sehingga wujud dua pasukan di dalam parti itu.

Malahan beliau menyerahkan kepada ahli parti untuk memilih sama ada dirinya atau pemimpin yang lain sebagai presiden kelak.

"(Bagi) saya biasa saja, melihat sejauh mana kepercayaan ahli kepada saya. Saya tak akan buang pakaian (jawatan) kerana ia adalah amanah yang diberikan pengikut kepada saya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah maghrib perdana di Masjid Kota, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada bersedia menghadapi pertandingan jika dicabar dalam pemilihan parti pada Muktamar PAS yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor Jun ini.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam kenyataannya sebelum ini berkata beliau menyerahkan kepada ahli untuk menentukan pemimpin yang akan dipilih dalam muktamar agung itu.

Nik Abdul Aziz juga menolak dakwaan wujud pergolakan kuasa peringkat kepimpinan sehingga terdapat dua pasukan dalam PAS iaitu Pasukan Tok Guru dan Pasukan Presiden.

Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan terdapat pasukan Tok Guru atau pasukan Presiden dalam PAS adalah tidak benar dan apa yang penting ialah mengukuhkan parti bagi menghadapi pemilihan Jun nanti dan mencari pemimpin yang benar-benar layak menerajui parti itu.

Abdul Hadi berkata, beliau tetap bersama PAS sama ada dipilih atau tidak untuk menerajui kepimpinan parti.

"Terpulang kepada pengikut sama ada nak tukar ke pakaian atau baju (pemimpin) kita. Namun saya terus bersama PAS, yang penting ialah pemimpin Islam. Siapa jadi pemimpin saya tak kisah," katanya.

 -BERNAMA-

Setiausaha DUN Perak digantung...

Speaker DUN Perak, V Sivakumar telah menggantung jawatan setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri kerana mengeluarkan notis untuk mengadakan sidang DUN pada 7 Mei lalu tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Menurut Bernama, dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini, Sivakumar berkata, beliau menggantung tugas Abdullah kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.
    
"Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya," katanya.
    
Sivakumar berkata akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.
    
"Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.

Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Anggota DUN," katanya.

Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam.
    
Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.
    
Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu, maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihanraya bagi DUN perlu diadakan.

Notis mengadakan sidang DUN Perak itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar BN, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam ecxconya adalah terbatal dan tidak sah.

Ekoran itu, mereka kini boleh menghadiri sidang DUN Perak.
-malaysiakini-

Penanti: BN mungkin tak bertanding

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyertai pilihanraya kecil DUN Penanti, Pulau Pinang.
    
Pengerusi BN itu berkata BN perlu melihat terlebih dahulu sama ada pilihanraya kecil itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.
    
"Tak tahu lagi (sertai atau tidak) kita tengok dulu tapi saya tak ketepikan apa juga kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis `Sambutan Meraikan Perdana Menteri' peringkat Parlimen Pekan hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas, lapor Bernama.
    
Sehubungan itu, Najib yang juga presiden Umno berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bertemu dengan presiden-presiden parti komponen BN bagi membincangkan perkara itu.
    
"Saya akan bawa perkara ini kepada mesyuarat MT akan datang, kalau tak sempat saya akan bawa kepada Biro Politik, dan juga bincang dengan presiden-presiden parti komponen BN," katanya.
    
Pilihanraya kecil DUN Penanti bakal diadakan berikutan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR mengosongkan kerusi DUN itu berkuatkuasa dua hari lepas.
    
Najib berkata BN akan sepakat berhubung pilihanraya kecil itu.
    
"Sebab kita perlu buat kata sepakat, dalam hal ini jelas sekali ini satu mainan politik mereka (pembangkang), dengan tujuan mereka itu kita dapat mengesannya.
    
"Ini bukan sebab peruntukan Perlembagaan Negara, kalau disebabkan perlembagaan negara, kita tetap hormati," katanya.
    
Khamis lepas, Mohammad Fairus mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti.    
    
Mohammad Fairus, 32, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata langkah beliau itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.  
-malaysiakini-

Usul undi tidak percaya kepada Ali Rustam ditolak

Zaili Muhammad  

MELAKA, 18 April (Hrkh) - Usul undi tidak percaya kepada Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam, yang bakal dibawa oleh DAP ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka pada 20 hingga 23 April depan telah ditolak oleh Speaker Dun, Dato' Othman Muhamad.

Menurut Adun Kesidang yang juga Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San bahawa empat usul yang melibatkan kepentingan rakyat dan integriti kerajaan negeri telah ditolak oleh speaker tanpa alasan yang kukuh.

Image

"Usul pertama yang ditolak ialah undi tidak percaya kepada Ali Rustam kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan Umno baru-baru ini sehingga rakyat Melaka mempersoalkan integriti beliau," kata Goh.

Selain itu katanya, usul yang meminta kerajaan negeri Melaka mengumumkan pemilikan harta Ketua Menteri, barisan exconya dan Adun negeri Melaka turut juga ditolak.

"Kami juga mengusulkan supaya kerajaan negeri Melaka mempercepatkan projek pembinaan jalan pesisir pantai dari Melaka Raya ke Padang Temu dan mengkaji semula langkah menukar laluan di Melaka Raya untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas tetapi ianya ditolak juga.

"Manakala usul ke empat yang ditolak ialah meminta agar sistem sekatan kuota Bumiputera bagi pembangunan perumahan dan lain-lain sektor berkaitan bagi menangani kegawatan ekonomi juga ditolak," katanya.

Goh menjelaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh speaker Dun itu adalah bermotifkan politik dan menunjukkan Ali Rustam sendiri bimbang berkemungkinan ada Adun BN yang akan menyokong usul-usul tersebut.

"Saya rasa Ali Rustam juga tidak percaya kepada Adunnya sendiri di mana andainya usul undi tidak percaya diterima, kemungkinan ada Adunnya yang akan sokong.

"Begitu juga tentang pengisytiharan harta jika mereka bersih tidak melakukan kesalahan kenapa takut untuk isytiharkan harta yang mereka," katanya.

Nizar mohon mengadap Tuanku Sultan sekali lagi

Johari Jaafar  

IPOH, 18 April (Hrkh) - Sekali lagi Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mohon mengadap sembah DYMM Tuanku Sultan Perak Darul Ridzuan setelah permohonan mengadap sembah bertarikh 11 Mac lalu tidak mendapat sebarang jawapan dari pihak istana.

Dato' Seri sekali lagi memohon mengadap bagi menyembah maklum keputusan Ahli-ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat dalam Sidang Dun Tergempar yang lalu.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki sebagai reaksi terhadap permohonan yang lalu tidak mendapat reaksi daripada pihak istana.

Surat permohonan telahpun difaxkan oleh beliau selaku Setiausaha Politik melalui Kol. Dato' Abdul Rahim Mohamad Nor, Setiausaha Sulit kepada DYMM Tuanku Sultan Perak jam 3.40 petang semalam.

Pada 16 April lalu Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Speaker yang menggantung Dato' Zambry dan enam orang Exco daripada memasuki sidang dewan. Ekoran daripada itu, krisis Perak tetap tidak ada kesudahannya.

Menurutnya beberapa pihak melihat kuasa Speaker telah dinafikan oleh mahkamah, Speaker yang mempunyai kuasa dalam memberi tafsiran terhadap Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak telah hilang kekuasaannya.

"Speaker kini tidak ada imuniti terhadap keputusan yang dibuatnya," jelas beliau.

Penyelesaian yang paling adil dalam mengatasi kemelut politik di Perak katanya, ialah mengadap Tuanku bagi mohon perkenan supaya Dun Perak dibubarkan, biar rakyat yang menjadi hakim terhadap kemelut ini.

Semua pihak sama ada Pakaran Rakyat mahupun BN perlu menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat untuk memilih semula Kerajaan di Perak, katanya.

"Apapun keputusan rakyat, semua pihak hendaklah akur dengan kehendak rakyat," jelasnya.

"Ini yang kita mahu, jangan jadikan Perak negeri yang mencetus sejarah dengan membelakangi kepentingan rakyat dan undang-undang, rakyat hakim yang paling adil dalam menyelesaikan isu ini," tegasnya. 

Pilihan raya kecil: SPR mahu hadkan kehadiran penyokong

SUASANA pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 16 Ogos 2008. Persekitaran tegang termasuk kehadiran beribu-ribu penyokong berakhir dengan serangan terhadap dua wartawan.

PETALING JAYA: Jika selama ini hari penamaan calon dan hari pengundian berwajahkan seolah-olah pesta atau keramaian, persekitaran ketika tiga pilihan kecil serentak baru-baru ini nampaknya yang terakhir dalam sejarah pilihan raya negara ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang memikirkan kaedah untuk mengehadkan bilangan kehadiran penyokong ketika hari penamaan calon, semasa pengundian dan lokasi pengumuman keputusan rasmi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan yang pihaknya sedang memikirkan perkara tersebut dan akan dibincangkan secara mendalam Rabu depan.

Kata beliau, perbincangan juga akan diadakan dengan parti-parti politik bagi mendapatkan pandangan dan kerjasama apabila pendekatan itu dikuatkuasakan kelak.

"Pendekatan baru ini akan dibincangkan pada Rabu depan," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

"Pendekatan baru ini bertujuan mengehadkan kehadiran penyokong parti-parti politik yang bertanding," katanya lagi.

Menurut beliau, makin lama makin ramai yang datang ketika hari penamaan calon dan hari pengundian.

"Jumlah yang datang semakin meningkat dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya lain... adalah ini sesuatu yang perlu, ini dilakukan untuk menunjukkan kekuatan parti politik masing-masing," kata beliau sambil menambah, "bagaimana hendak mengawal jika jumlah yang datang sampai 100,000 atau 200,000."

Sejak pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Suasana tegang disaksikan pada hari penamaan calon di Permatang Pauh dan Bukit Gantang.

Malah kehadiran ribuan penyokong juga menyebabkan kesesakan lalu lintas pada hari pengundian selain 'perang mulut' di kalangan peraih undi yang kebanyakannya merupakan orang luar.

Abdul Aziz menjelaskan, perbincangan akan diadakan dengan parti-parti politik sejurus selepas perbincangan peringkat SPR selesai.

Jelas beliau, mesyuarat tersebut akan turut mencari jalan untuk mengelak terlalu ramai penyokong parti menjadi peraih undi pada hari pengundian.

Selain pada hari penamaan calon, menurut beliau, soal peraih undi ini perlu diteliti kerana pengalaman pada pilihan raya kecil 7 April lalu menunjukkan bilangan peraih undi yang terlalu ramai telah menimbulkan masalah seperti mengganggu pengundi dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas di pusat pengundian.

Malah, di kawasan Parlimen Bukit Gantang pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan ketegangan antara penyokong BN dan Pakatan Rakyat.

Kata Abdul Aziz, bilangan peraih undi yang ramai pada hari pengundian turut menyukarkan pihak polis untuk mengawal keselamatan orang ramai.

SPR akan mengumumkan pada Jumaat depan sama ada DUN Penanti akan menyaksikan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Rabu depan SPR mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tarikh pilihan raya kecil itu.

Kerusi itu kosong ekoran tindakan Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat, turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan ADUN.

-mstar.com.my-

Laporan dedah kelemahan MB T'ganu

Lebih sepuluh ADUN Barisan Nasional menerima laporan gelagat pentadbiran menteri besar Terengganu - didakwa penuh dengan politik cantas dan kelemahan - yang menjadi asas kemarahan mereka. 

Mereka memulaukan persidangan DUN pada Selasa dengan alasan nyawa mereka terancam susulan muncul mesej SMS ugutan bunuh - dipercayai berkaitan ura-ura membawa usul tidak percaya terhadap menteri besar itu.

Dalam laporan kepada kira-kira separuh ADUN parti itu, Datuk Ahmad Said didakwa memecat pegawai dan tokoh politik dalam era pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh yang digantikannya.

Mereka yang dipecat termasuklah ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Terengganu (TDI) Dr Azmi Omar, dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negeri Terengganu Inc. Datuk Seri Azlan Hashim dan Tan Sri Razali Ismail.

Bekas ketua Puteri Umno negeri, Nordiana Shafie diberhentikan sebagai pengerusi lembaga pengarah Kuantan Medical Centre (KMC) dan khidmatnya sebagai senator tidak disambung sepenggal lagi.

"Jawatan senator diberi kepada ketua-ketua Wanita (Umno) yang tidak lagi mampu menyumbang kepada negeri," laporan itu dipetik.

Laporan itu mendakwa, pengarah eksekutif Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, pengurus besar Kemaman Supply Base (KSB), dan pengurus besar Konsortium Pelabuhan Kemaman juga dipecat.

Laporan tanpa tarikh itu - yang diperolehi 
Malaysiakini hari ini - juga mendakwa Ahmad melantik mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengetuai beberapa agensi kerajaan negeri, termasuk Terengganu Inc.

Seorang penyokong PAS didakwa dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah syarikat perkayuan bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Sementara dua bekas guru sekolah rendah masing-masing dilantik untuk memimpin Unit Terengganu Bestari (U-Best) dan KMC yang dianggap "tidak tepat."

Menteri besar juga didakwa "membuat pertukaran besar-besaran (67 orang) para pegawai tadbir kerajaan negeri pada Disember 2008." 

"Ada di kalangan mereka yang diturunkan (pangkat) jawatan. Tindakan tersebut telah menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap YAB menteri besar," laporan itu dipetik.

Seorang pegawai Ahmad, ketika diminta penjelasan, enggan mengulas tuduhan-tuduhan ini.

Dihubungi hari ini, setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias Abdullah berkata, laporan itu diberikan kepada 12 atau 13 wakil rakyat BN negeri itu di Kuala Lumpur semalam.

"Kami pergi ke Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk memberi penjelasan kepada (perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak dan (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai mengapa mereka tidak hadir sidang DUN," katanya.

Idris, yang terlibat dalam kumpulan 10 ADUN tersebut, hadir memberikan penjelasan kepada Najib. Ahmad juga dipanggil memberikan taklimat berhubung krisis di negeri itu.

Bagaimanapun, kata ADUN Alor Limbat itu, rombongan ADUN itu tidak dipanggil memberi penjelasan.

Laporan tersebut tidak disediakan oleh kelab penyokong BN negeri tetapi dipercayai daripada kajian orang-orang Idris, jelas Alias lagi.

Manakala pengerusi kelab itu Datuk Rosol Wahid berkata, laporan itu dibuat untuk membolehkan ADUN mengetahui kelemahan menteri besar.

"Kelemahan ini yang menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri menjadi huru-hara dan Umno tidak bersatu," katanya kepada
Malaysiakini.

Difahamkan Najib dan Muhyiddin menerima laporan insiden pemulauan DUN selepas mesej ugutan melalui SMS yang diterima menjelang tengah malam Isnin lalu. 

Pergeseran antara menteri besar dengan 10 ADUN ini dijangka akan selesai dalam tempoh sebulan lagi.

-malaysiakini-

Waspada serunding babi di pasaran

Awas! Serunding daging babi di pasaran negara jiran kita dan pelancong negara ini diminta berwaspada apabila makan sewaktu berkunjung ke Indonesia.

Penemuan lima jenama 'abon' (serunding) dan daging dendeng siap makan yang dibuat daripada babi di pasaran disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia, lapor 
Bernama.

Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia yang melakukan ujian DNA ke atas 35 jenama serunding dan daging panggang yang dijual di pasaran di Jakarta, Jambi, Bogor, Semarang, Surabaya dan Bandung, mengesahkan kandungan daging babi
dalam lima jenama.

"Sebenarnya tekstur serat babi lebih tidak kelihatan kerana banyak mengandungi lemak. Oleh itu, kita menguji di makmal dengan menggunakan alat bernama the real-time PCR (tindakan berangkaian polimera)," ketua badan itu Husniah Rubiana dipetik berkata.

Menurut sebuah akhbar negara itu 
Republika, jenama-jenama itu ialah: 
    
bullet buttonDendeng/abon sapi (lembu) gurih cap Kepala Sapi 250 gram     
bullet buttonAbon/dendeng sapi cap Limas 100 gram (keluaran syarikat palsu) 
bullet buttonAbon/dendeng sapi asli cap ACC 
bullet buttonDendeng sapi istimewa berjenama Beef Jerky Lezaaat (keluaran MDC Food Surabaya) 
bullet buttonDendeng sapi Istimewa No 1 cap 999 (keluaran S Hendropurnomo Malang). 

Husniah dilaporkan berkata satu daripada jenama itu didapati menggunakan tanda halal yang kononnya dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI), manakala pengeluar lain menggunakan nama syarikat milik orang lain, menggunakan alamat tidak benar
atau tidak tercatat pengeluarnya.

Umat Islam - yang menggemari makanan itu termasuk kalangan anak-anak yang sukakan roti berisi serunding - boleh membezakan produk daripada babi yang warnanya lebih muda berbanding warna daging lembu dan serat babi juga lebih lembut, lapor agensi berita Malaysia dari Jakarta.

MUI dan Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan mendapati para pengeluar itu pada mulanya mengakui menggunakan daging lembu tetapi setelah diuji didapati positif daripada babi.
-malaysiakini-

Ulasan Isu Dari speakforperak.blogspot


Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihanraya sentiasa bertindak di luar daripada bidangkuasanya. Dalam kes Fairus yang telah meletak jawatannya sebagai ADUN Penanti, Suruhanjaya Pilihanraya tidak ada hak untuk membuka mulut dan memberi sebarang komen. Itu bukannya kerja pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya. Mulakan kerja-kerja persediaan untuk pilihanraya kecil di Penanti.


Suruhanjaya Pilihanraya merupakan agensi yang mengendalikan pilihanraya. Itu sahaja kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Apabila terima surat daripada Speaker, buat sahaja kerja yang patut dibuat. Jangan pula pandai-pandai nak beri nasihat. Suruhanjaya Piliharaya tidak perlu memberi nasihat politik kepada mana-mana pihak.


Pengerusi Suruhanjaya Piliharaya , Tan Sri Abdul Aziz Yusuf sudah bertanduk selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya berhak menentukan kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri.


Beliau memberi komen bahawa pengendalian pilihanraya kecil seperti ini amat membazirkan wang negara. Siapakah yang membazirkan wang dalam pilihanraya kecil? Kerajaan mencurahkan berjuta-juta ringgit untuk memikat hati rakyat sewaktu pilihanraya kecil. Pelbagai projek mee segera dilaksanakan secara lintang-pukang oleh kerajaan. Banyak lagi pemberian dibuat walaupun tindakan-tindakan seperti itu menyalahi undang-undang pilihanraya. Kos sebenarnya ditimbulkan oleh kerajaan sendiri kerana boros berbelanja untuk kepentingan parti-parti politiknya.. Kalau Tan Sri Abdul Aziz betul-betul berniat untuk memberi nasihat, beritahu Perdana Menteri supaya tidak boros membelanjakan wang rakyat dalam pilihanraya kecil Penanti yang bakal kita dihadapi.
Mahkamah Persekutuan telah membuka ruang kepada semua Dewan Negeri dan Dewan Rakyat untuk membawa segala pertikaiannya ke Mahkamah. Apa-apa isu yang dibangkitkan dalam Dewan Negeri dan Dewan Rakyat boleh juga didengar di Mahkamah. Mahkamah menjadi forum yang lebih tinggi daripada Dewan Negeri dan Dewan Rakyat. Kuasa Speaker telah diambilalih oleh hakim-hakim. Ini bermaksud YB Gobind Singh berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap Speaker Dewan Rakyat. Banyak lagi kes akan melambak di Mahkamah. Ini merupakan satu 'precedent' atau duluan yang akan membuka 'floodgate'.


Pelajar-pelajar undang-undang tidak perlu belajar tentang 'doktrin pengasingan kuasa'. Ianya tidak relevan lagi di Malaysia. Belajar sekadar bagaimana manupulasikan undang-undang bagi kepentinagan pihak-pihak tertentu adalah memadai. 'Keluhuran Perlembagaan' dan 'Kedaulatan Undang-undang' yang disarankan oleh Rukun Negara telah menjadi akademik semata-mata.

Nizar Akan Tetap Lawan Zambry

Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Speaker tidak ada kena-mengena dengan kes Dato Seri Nizar vs Datuk Dr Zambry. Saya amat terharu dengan ulasan Penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang meberi nasihat kepada Dato Seri Nizar melalui akhbar untuk menarik balik kes yang difailkan olehya. Kes Dato Seri Nizar vs Datuk Dr Zambry adalah berkaitan dengan isu 'siapakah MB yang sah'. Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam pula adalah berkaitan dengan isu pengantungan 7 orang ADUN Perak. Kedua-duanya adalah isu yang berbeza. Harap Datuk Hafarizam memahami perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan yang memalukan dalam akhbar. Tidak ada sebab untuk Datuk Seri Nizar untuk menarik diri daripada kes ini. Kalau nak bagi nasihat undang-undang pun bagilah kepada orang-orang UMNO. Mereka lebih memerlukannya.

Pilihanraya kecil: Siapa Penakut?

KERAJAAN Selangor takut, kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus. Sebab itu, ia memujuk Elizabeth Wong kembali sebagai Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan dan Exco kerajaan negeri.

Shukor berkata, jika peletakan jawatan Wong diterima, maka kerajaan negeri akan menghadapi rakyat yang kini tahu bagaimana menilai prestasinya sejak setahun memerintah negeri berkenaan. Katanya, rekod kerajaan negeri buruk dan itu jadi punca ketakutannya melepaskan Wong.

Shukor juga berkata, langkah kerajaan negeri itu juga menunjukkan kerajaan negeri tiada mempunyai pemimpin yang sesuai untuk diketengahkan jika berlaku pilihanraya kecil.

Namun lain pula nada Umno di Pulau Pinang. Sebaik pecah khabar Ahli Dewan Negeri Penanti, Mohamad Fairuz Khairuddin meletak jawatan, Ketua Pembangkang dari Umno, Datuk Azhar Ibrahim berkata, itu adalah helah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merugikan dana awam.

Katanya, pilihanraya hanya akan menyusahkan rakyat.

Sementara sekutunya dalam Barisan Nasional Pulau Pinang, Eng Hiap Boon dari MCA dan Dr Teng Hock Nan dari Gerakan berpendapat, pengumuman peletakan jawatan Fairus itu adalah cara PKR untuk meraih publisiti.

Oleh itu, mereka dan beberapa kerabat Barisan Nasional menyimpulkan bahawa  tindakan PKR menggunakan pendekatan ini untuk “membersarakan” wakil-wakil rakyatnya yang bermasalah, adalah satu “salahguna” proses demokrasi.

Mereka menyebut pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh; Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah dan terakhir sekali mungkin bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang, sebagai alasan hujah.

Laungan mereka ini disokong oleh kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Aziz Yusof apabila beliau menyatakan pilihanraya kecil memakan biaya yang besar.

Bagaimanapun katanya, jika ada kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri mahupun parlimen, SPR tetap akan menguruskan pilihanraya kecil demi memastikan rakyat mempunyai wakil yang sah di dewan berkenaan.

Namun yang menjadi persoalan mengapa soal belanja dijadikan asas perkiraan? Benarkah ini merugikan? Jika benar, maka betullah tindakan kerajaan Selangor pimpinan PKR tidak mahu pilihanraya kecil berlaku di Bukit Lanjan kerana soal kos pilihanraya. Jika demikian, kurang bijaklah Ketua Pemuda Umno Selangor mengatakan kerajaan negeri takut menghadapi rakyat!

Namun apabila PKR berani dan sanggup pula mengosongkan kerusi Penanti hanya untuk mengisinya dengan calon yang lebih efektif, tindakan itu dikatakan sebagai membazir dan menyusahkan rakyat.

Jika benar demikian kenapa Umno tidak rujuk sahaja kepada dan bekas Menterinya, Shahrir Samad berhubung tindakannya meletak jawatan ahli Parlimen Johor Bahru dan bertanding semula sebagai calon bebas lebih 20 tahun lalu? Shahrir bukan sahaja menang malah dapat membuktikan Umno (terutama Umno baru yang didaftar semula pada 1988) sudah tidak dapat kepercayaan rakyat lagi.

Oleh itu Umno perlu tentukan sikap – perlu atau tidak pilihanraya kecil di Penanti diadakan? Bila Pakatan Rakyat tidak mahu izinkan pilihanraya kecil berlaku di Bukit Lanjan, ia dikatakan penakut. Namun apabila ia hendak diadakan di Penanti, Permatang Pauh, Pulau Pinang dan peluang menang tipis, ia dikatakan membazir.

Wakil PKR di Bukit Selambau meletakkan jawatan dan melorongkan pilihanraya kecil berlaku kerana keselamatan beliau dan keluarga terancam. Laporan polis dibuat, tetapi tiada tindakan tegas diambil. Bagaimana Arumugam hendak menumpukan perhatian kepada tugasnya jika keselamatan beliau tidak keluarga tidak terjamin? Maka beliau berhenti. Dan, pilihanraya kecil berlaku.

Fairuz pula berhenti kerana hendak beri tumpuan kepada keluarga dan melanjutkan pelajaran. Beliau juga hendak mengambil peluang di luar lingkungan tugas politik untuk membersihkan namanya dari pelbagai tohmahan. Salahkah tindakan itu?

Kes pilihanraya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh lapan bulan lalu adalah unik. Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua orang, baik kawan mahupun lawan akan mengakui hakikat bahawa potensi beliau sebagai pemimpin adalah besar. Dan, beliau tidak boleh menjadi wakil rakyat kerana dianiaya oleh musuh-musuh politiknya. Maka salahkan jika isterinya berkorban melepaskan kerusi parlimen supaya Anwar bertanding dan rakyat dan negara dapat memanfaatkan potensi kepemimpinannya?

Kini jelas kedudukan, mentaliti dan tahap keyakinan diri Umno. Jika Umno berani menghadapi rakyat, adakanlah pilihanraya kecil Behrang dan Cangkat Jering. Lebih baik lagi bubarkanlah Dewan Undangan Negeri. Ini akan membantu selesaikan kemelut politik Perak. Itu baru berani namanya.  

 -TVAntara.com.my-

MELENTUR NEGARA BIAR DARI KABINETNYA

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, piagam Najib -- rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan; kerajaan tidak akan mengawal secara keterlaluan dan tidak akan bersikap ”kerajaan lebih tahu”, lunyai dirobek oleh timbalannya dan juga seorang menteri kanannya.

Mengapa jadi begini? Jika antara perdana dengan timbalannya dan seorang menteri kanan bercakap dan bertindak secara sendiri-sendirian, bagaimana hendak bina Satu Malaysia jika dalam satu kabinet pun tidak bersuara dan bertindak satu?

3 April 2009: Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik Perdana Menteri Malaysia keenam Dalam ucapan sulongnya malam itu beliau mengisytiharkan piagam pemerintahannya -- rakyat didahulukan pencapaian diutama.

9 April 2009: Najib Razak mengumumkan kabinet barunya. Dalam sidang itu beliau mengisytiharkan doktrin baru bagi pemerintahannya bahawasanya zaman  kawalan pemerintah yang keterlaluan dan pemikiran kerajaan sentiasa lebih tahu, sudah berlalu.

Langkah ini adalah khusus untuk mengukuhkan persepsi yang hendak dibina Najib bahawa kerajaannya akan lebih liberal dan akan lebih banyak mendengar pandangan rakyat. Dalil tindakannya ialah, pada hari pertama mengambil alih pemerintahan beliau telah membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Najib menjunjung harapan bahawa pengumumannya itu akan memujuk agar lebih cepat percaya dan menyokong kerajaan barunya. Sekaligus tindakannya itu adalah pengakuan bahawa kerajaan-kerajaan sebelumnya “kurang mendengar” dan “sentiasa yakin pada kebolehannya hingga ke tahap angkuh” kerana ia lebih tahu “apa yang terbaik untuk rakyat”.

Najib menegaskan konsep ini diperkenalkan demi mewujudkan ”Satu Malaysia”.

12 April 2009: Timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara dengan akhbar tempatan menegur rakyat keturunan Cina di Bukit Gantang yang tidak bersyukur kerana tidak menyokong Barisan Nasional.

Ini menyinggung perasaan rakyat dan parti-parti politik Cina di negara ini. MCA dan Gerakan dan DAP bingkas bangkit menegur Timbalan Perdana Menteri yang memang terkenal kurang senyum ini.

12 April 2009: Menteri berkelulusan doktor falsafah undang-undang yang bertanggungjawab untuk mengharmonikan komunikasi, penerangan dan kebudayaan di antara rakyat dengan kerajaan; di antara parti politik dengan rakyat dan di antara rakyat dengan rakyat, memberi mengeluarkan amaran bahawa undang-undang akan digunakan ke atas pemblog yang memutar-belit fakta dalam tulisan mereka.

Menteri itu, Rais Yatim berkata, kementeriannya akan menjadi badan penyiasat dan akan membina satu mekanisme untuk menentukan apa yang dikatakan putar belit fakta dan akan mengheret pemblog yang terbabit ke muka keadilan. Ini semua untuk kepentingan rakyat. Maknanya, kerajaan (atau sekurang-kurangnya Kementerian pimpinannya) lebih tahu apa yang baik untuk rakyat.

Katanya, rakyat perlu mendapat maklumat tepat mengenai sesuatu isu. Barulah dengan maklumat itu rakyat boleh mengatur langkah bersama kerajaan untuk membina negara dan mencapai kebahagian. Sebarang tindakan yang tergelincir daripada susila itu adalah jahat dan mesti dikenakan tindakan undang-undang.

14 April 2009: 10 Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu dari Barisan Nasional tidak hadir sidang. Alasan yang diberikan ialah kerana ada ugutan terhadap mereka melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Timbalan perdana menjelaskan mereka hanya tidak hadir dan bukan boikot sidang.

Malangnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah pimpinan Rais Yatim langsung tidak melaporkan berita aneh itu (sekurang-kurangnya bagi rakyat Terengganu); begitu juga komen Perdana Menteri dan Timbalannya.

Bila Rais ditanya mengapa RTM bertindak demikian, beliau berkata itu hak RTM sebagai sebuah stesen.

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, piagam Najib, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan; kerajaan tidak akan mengawal secara keterlaluan dan tidak akan bersikap ”kerajaan lebih tahu” lunyai dirobek oleh timbalannya dan juga seorang menteri kanannya.

Mengapa jadi begini? Jika antara perdana dengan timbalannya danseorarng menteri kanan bercakap dan bertindak secara sendiri-sendirian, bagaimana hendak bina satu Malaysia jika dalam satu kabinet pun tidak bersuara dan bertindak satu?

Jika najib ikhlas hendak memimpin satu malaysia, dia perlu melakukan sesuatu terhadap rakan kabinet yang tidak tidak sehaluan dengannya. Kata orang jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika hendak membentuk negara mestilah dari kabinetnya.

-TVAntara.com.my-