"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi singkir Shahidan Kassim

Zahid singkir Shahidan dari jawatan pengerusi Umno Perlis

Malaysiakini 

Shahidan Kassim disingkir daripada jawatan pengerusi perhubungan Umno Perlis.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan jawatan itu akan digantikan oleh Menteri Besarnya Azlan Man.

"Adalah dimaklumkan bahawa jawatan pengerusi badan perhubungan negeri Perlis (yang disandang) Shahidan Kassim digantikan kepada Azlan Man yang juga menteri besar Perlis.

"Pertukaran ini berkuatkuasa hari ini.Dirakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Shahidan Kassim atas khidmat sepanjang tempoh perkhidmatan beliau," kata Zahid pada satu kenyataan hari ini.

Keputusan Umno menggantikan jawatan pengerusi Umno Perlis dipercayai berpunca daripada kelantangan Shahidan mengkritik kepimpinan parti itu.

Shahidan antara yang lantang menentang keputusan Umno untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Malah, pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Mac lalu, dia juga "diboo" perwakilan ketika berucap ekoran pendiriannya itu.

Pada 10 April lalu, Shahidan juga dilaporkan mendesak Ahmad Zahid supaya memberi penjelasan berhubung satu rakaman audio yang tular mengaitkannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ini katanya, selepas Anwar seakan-akan mengiyakan klip audio berkenaan.

Shahidan berkata, Zahid perlu membuat penjelasan dan sekiranya benar klip audio itu tulen, dia harus berdepan tindakan disiplin daripada Umno.

Sebelum ini, Anwar dan Zahid telah menafikan klip audio itu suara mereka, berkata akan membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

Pun begitu, Anwar kemudian mempersoalkan adakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman audio didakwa melibatkannya dengan presiden Umno itu adalah tulen.

Beberapa pihak pula membangkitkan isu privasi dan risikan ala gestapo.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hasan Karim berkata sekiranya klip audio Ahmad Zahid dan Anwar itu tulen, bukanlah kedua-dua mereka yang perlu disiasat sebaliknya pihak yang berbuat jenayah dan wajib disiasat ialah orang yang melakukan pengintipan percakapan telefon berkenaan.

Akhirnya Mufti Perlis bersuara bila masjid kena kompaun

MALAYSIA DATELINE

Setelah sekian lama berdiam diri dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), akhirnya Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersuara apabila sebuah masjid di Pahang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

Bagi beliau, tindakan sebuah masjid di Pekan, Pahang dikenakan kompaun amat tidak wajar kerana masjid adalah pihak yang paling mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) selama ini.

“Jika kita ke masjid, kita akan dapati secara umumnya masjidlah tempat yang paling mematuhi SOP dibandingkan tempat-tempat lain.

“Saya rasa pihak masjid lebih wajar mendapat pertimbangan yang sepatutnya sebelum didenda,” kata beliau yang selama ini diam membisu dengan segala kebejatan yang berlalu selepas kerajaan PN mengambil alih pentadbiran negara.

Menurut Asri yang selama ini menjadi pengkritik utama Kerajaan Pakatan Harapan, “Berita VVIP atau menteri langgar SOP biasa kita dengar.

“Bila masyarakat bising maka dilaporkan kertas siasatan dibuka.

“Kemudian kita sudah tidak dengar lagi berita seterusnya,” kata beliau dalam posting di Facebook beliau semalam.

Antara kes VVIP yang tidak dikenakan apa-apa tindakan selepas melanggar SOP adalah Tan Sri Annuar Musa yang makan dengan rakan-rakannya di satu meja, kes selebriti Neelofa yang berbulan madu ke Langkawi dan juga kes Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang didakwa melanggar SOP.

Baru-baru ini, sebuah Masjid di Pekan dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak mematuhi SOP termasuk tidak menyediakan buku kedatangan dan bar kod untuk mengimbas kedatangan ke masjid itu.

Kompaun ke atas masjid itu kemudiannya dikurangkan kepada RM5,000 selepas dikritik oleh orang ramai.

Asri sebelum ini menjadikan kerajaan PH sebagai sasaran dengan pelbagai serangan dengan isu utamanya adalah DAP di belakang kerajaan PH itu.

Ekoran kenyataan Asri kali ini, rakan-rakan beliau dalam Facebook menyindir beliau.

Ahmad Zhafri Md Noor menulis, “Setakat RM10k apalah sangat doktor. Inilah kerajaan Melayu Islam yang kita mahukan. Tanpa DAP.”

Zulkefli Nani pula menulis, “Inilah kehebatan Kerajaan Melayu Islam PN! Kalau berlaku msa zmn PH tentu Tok Peti pun dah bagi kecaman keras kerana Islam terancam 😁.

“La ni cakap pun berlapik2 tak tahu berapa lapis. Tak dengar lagi dah Islam terancam. Yang pasti keputusan akhir pasal Kalimah Allah dan kes LGBT VS Kerajaan Negeri dan kemudian grup pro LGBT menang, semua ni berlaku pada zaman Kerajaan Melayu Islam.

“Tak terpikir ke mungkin Allah nak tunjukkan sesuatu??

“Tidak salah nak memihak dan kritis. Tetapi berlalu adil itu perlu.

Kalau Khalifah Umar masih hidup tak tahulah apa dia akan kata bila melihat sebahagian besar ulamak penyokong kuat Kerajaan yang telah menjadi bisu!”

Abd Razak pula menulis, “Lembut je bahasa…kalau PH yang perintah ni ayat pertama dah maki hamun…lepas tu ayat kedua hasut orang kaw2 punya supaya ikut dia…kene kerajaan haram ni ayat macam pemenang bercerita peringkat sekolah rendah….”

Fahmi kena cekup sebab senarai lagu Spotify bertema 'dengki ke' - Polis

Malaysiakini 

Aktivis dan pereka bebas, Fahmi Reza ditangkap kerana senarai lagu Spotify bertemakan 'dengki ke' yang didakwa menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menurut polis.

Berdasarkan pautan yang diberikan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed lewat malam tadi, senarai 'playlist' itu pada awalnya memaparkan potret baginda Permaisuri Agong bersama dengan kata-kata “This is Dengki Ke?”

Senarai lagu itu menampilkan 101 lagu Inggeris dan Melayu daripada pelbagai artis yang hampir semuanya bertemakan cemburu. 

Lagu pertama dalam senarai itu, misalnya adalah ‘Jealousy’ oleh kumpulan rock Britain, Queen. 

Pengecualian untuk tema cemburu termasuk 'Mr Brightside' oleh The Killers dan lagu 'God Save The Queen' oleh Sex Pistols.

Senarai lagu itu pada asalnya dinamakan "Ini Dengki Ke?" juga, tetapi nama serta potret permaisuri telah dikeluarkan daripada platform streaming muzik itu.

Pun begitu, senarai lagu Sportify tersebut boleh diakses dalam talian.

Sebelum ini, Tunku Permaisuri Agong dilapor memberi maklum balas terhadap soalan berkaitan pemvaksinan Covid-19 di istana dengan perkataan "dengki ker?"

Ini menimbulkan kritikan meluas di platform media sosial, menjadikan tanda pagar #DengkiKe paling popular di Twitter Malaysia.

Fahmi dikatakan membuat siri karya berbentuk satira berdasarkan isu tersebut, yang kemudiannya diterbitkan di saluran media sosialnya sejak beberapa hari lalu.

Bukit Aman juga memaklumkan malam tadi kes Fahmi disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis juga akan memohon perintah tahanan reman terhadap Fahmi daripada majistret hari ini.

Polis pecahkan pintu untuk menahan Fahmi Reza

Malaysiakini 

Aktivis dan pereka bentuk bebas Fahmi Reza ditahan polis di rumahnya petang tadi.

Peguam Fahmi, Yohendra Nadarajan, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 7 petang dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Setakat jam 9 malam ini, Fahmi masih disoal siasat dan akan bermalam di lokap IPD Dang Wangi.

"Permohonan reman akan dibuat di IPD Dang Wangi jam 10 pagi esok," kata Yohendra ketika dihubungi Malaysiakini. 

Menurut peguam terbabit Fahmi tangkapan ke atas Fahmi dibuat ada kaitan dengan hantaran dibuat aktivis terbabit mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Difahamkan selain disiasat mengikut Akta Hasutan, Fahmi juga berdepan dengan peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Yohendra berkata tujuh anggota polis pergi di rumah Fahmi untuk membuat tangkapan berkenaan.

"Apabila saya sampai, polis memecahkan pintu rumah untuk menangkap Fahmi," katanya.

Menurut Yohendra polis memecahkan pintu rumah tersebut selepas Fahmi enggan membukanya kerana mahu menunggu peguam sampai terlebih dulu.

Memang sering menarik perhatian ramai dengan siri rekaan satira serta kritikal terhadap kerajaan serta ahli politik, Fahmi baru-baru ini menghasilkan karya dalam isu sohor kini #DengkiKe.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan tangkapan ke atas Fahmi.

Dia juga berkata setakat ini Fahmi ditahan di IPD Dang Wangi namun siasatan dijalankan oleh pegawai Bukit Aman.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata dia tidak mendapat maklumat mengenai kerosakan pintu rumah Fahmi yang didakwa dilakukan anggota polis.

"Saya tak tahu, belum terima sebarang maklumat setakat ini," katanya ketika dihubungi malam ini.

Siang diliwat abang, malam dirogol ayah, polis tahan 4 suspek dan kakak ipar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dikatakan menjadi mangsa pemuas nafsu bapa dan tiga abang kandungnya yang didakwa merogol dan meliwatnya berulang kali sejak tahun lalu.

Semua empat lelaki berkenaan ditahan polis semalam selepas mangsa yang sudah kematian ibu itu membuat laporan polis pada 2.59 petang kelmarin.

Mangsa dikatakan diberi minuman dicampur bahan disyaki dadah oleh suspek sebelum dirogol, selain diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Mohd Sukri Kaman berkata, semua suspek dan seorang wanita yang juga kakak ipar mangsa, berusia antara 23 hingga 48 tahun, ditahan antara 12.45 tengah malam hingga 1.13 pagi semalam.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, kejadian didakwa berlaku di Tanjung Minyak dan mangsa mendakwa dirogol serta diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga abangnya di rumah.

“Mangsa juga dikatakan diberi minuman dicampur bahan disyaki dadah oleh suspek sebelum dirogol, selain kedua-dua tangan serta kakinya diikat menggunakan tali rafia di penjuru katil, manakala mulut pula ditutup dengan pita pelekat.

“Pada waktu malam pula, mangsa mendakwa dirogol bapa dan akan dipukul jika melawan,” beliau dipetik berkata oleh Berita Harian.

Sukri berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian didakwa berlaku sejak Februari 2020 dan kali terakhir pada hujung Februari lalu.

“Suspek didakwa melakukan perbuatan itu secara bergilir-gilir ketika berada bawah pengaruh dadah,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati tiga daripada suspek positif dadah dipercayai jenis methamphetamine, tambahnya.

Semua yang ditahan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Diaibkan semasa ‘datang bulan’

Mohsin Abdullah

Kita sedang dengar dan lihat kecaman pelbagai pihak mengenai amalan “pemeriksaan haid” ke atas pelajar sekolah berasrama penuh, juga sekolah agama persendirian, dan sekolah harian biasa.

Sememangnya amalan itu mesti dikecam. Ada suara yang menuntut Kementerian Pelajaran memastikan amalan itu dihentikan segera jika ia masih berlaku, dan pastikan ia tidak berlaku lagi buat selamanya. Saya setuju kerana kecaman tanpa tindakan susulan pihak berkuasa tidak membawa erti. MARA diberitakan sedang menyiasat.

Imbas sekilas lalu bagaimana amalan memalukan itu terbongkar. Semuanya bermula apabila seorang pengguna Twitter melemparkan pertanyaan adakah amalan “pemeriksaan haid” masih berlaku di sekolah.

Serta-merta tampil pelajar dan bekas pelajar yang pernah melalui pengalaman memalukan itu membuat pendedahan. Menurut apa yang diceritakan, amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka haid atau datang bulan sudah berlaku bertahun tahun lamanya. Ada yang mendakwa ia berlaku sejak 20 tahun lalu.

Adakah ini bermakna pihak berkuasa tidak tahu akan amalan ini untuk sekian lama? Atau pelajar yang diaibkan memilih untuk mendiamkan diri kerana malu mungkin?

Apa pun kita mesti berterima kasih kepada pengguna Twitter yang melemparkan pertanyaan beliau.

Apa yang didedahkan setakat ini ialah yang menguatkuasakan “perintah” ialah guru, ustazah, warden asrama, dan pengawas yang mendesak pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari. Mengapa? Untuk membuktikan pelajar tidak boleh sembahyang berjemaah seperti yang didakwa pelajar. 

Maksudnya pihak sekolah tidak percaya apabila ada pelajar memberitahu mereka tidak boleh solat kerana mengalami haid. Maksudnya mereka mensyaki pelajar berkenaan tidak mahu solat. Maksudnya mereka yakin pelajar mahu ponteng sembahyang. Lantas mereka mahu tahu sama ada benar-benar pelajar sedang datang bulan. Dalam erti kata lain, mereka mahu bukti bahawa pelajar mempunyai sebab sah untuk tidak sembahyang.

Maka terjadi lah apa yang yang terjadi seperti yang disebut tadi. Ada juga pelajar mendakwa diraba di bahagian sulit untuk mengesan sama ada mereka memakai tuala wanita. Bagi saya ini bukan sahaja menjijik dan memalukan pelajar tetapi juga sesuatu yang amat menyedihkan.

Saya yang bodoh dalam hal agama pun tahu ini bukan cara Islam meskipun berpaksi ketetapan solat mesti didirikan jika tidak ada alasan atau sebab sah. Kalau saya pun boleh tahu akan ini, apa tah lagi para agamawan.

Kata Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit individu tersebut walau atas alasan apa sekali pun.

Beliau dipetik sebagai berkata setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib dihormati dan “agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti menghalang seseorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat”.

Persoalan: Ada tidak pelajar yang boleh atau “cukup sifat” solat tetapi menggunakan haid sebagai alasan agar tidak solat? Ada tidak pelajar yang berpura-pura haid atau tipu dengan mendakwa mereka datang bulan semata-mata kerana mahu ponteng solat?

Jawapannya: Tentunya ada. Ramai atau sedikit waullahualam. Mungkin tidak ramai tetapi hakikatnya memang ada. Pun begitu ini bukan alasan “pemeriksaan haid” dilakukan.

Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan jika ditanya pihak yang menjalankan “pemeriksaan haid” mengapa mereka berbuat demikian pasti jawapannya ialah mereka juga tidak suka apa dilakukan kerana ia bukanlah sesuatu yang “menyenangkan”. Namun mereka lakukan juga kerana percaya apa yang mereka buat adalah betul dan “dilakukan demi agama dan kebaikan pelajar sendiri”.

Bagi saya, pelajar yang berpura-pura dan mendakwa mengalami haid kerana tidak mahu solat masih belum menghayati sepenuhnya apa yang diajar guru, ustaz atau ustazah mengenai keindahan dan pentingnya solat dan mengapa umat Islam wajib solat dan sebagainya.

Maksudnya mereka belum benar-benar faham dengan apa yang diajarkan kepada mereka.

Bukan mahu tunjuk pandai. Cuma ingin mencadangkan apabila pelajar datang mengakui mereka mengalami haid dan tidak boleh solat, adalah baik jika guru, ustaz dan ustazah anggap mereka sedang berkata benar. Jangan sangsi.

Percaya apa yang mereka katakan. Pun begitu sampaikan tazkirah singkat mengenai solat bukan sahaja kepada mereka tetapi semua pelajar yang sedang siap sedia menunggu masuknya waktu solat. Ini supaya mereka yang tidak mahu atau tidak boleh solat tidak terasa terasing.

Maksudnya, mereka mesti terus ditarbiah supaya satu hari nanti mereka akan mahu sembahyang dengan sendirinya, bukan dipaksa atau sembahyang kerana pihak sekolah mahu mereka sembahyang. Ertinya, mereka sembahyang kerana mereka benar-benar mahu sembahyang. Maaf mungkin tarbiah yang diberi setakat ini belum “mencukupi”.

Membuat orang Islam, sama ada pelajar, anak muda mahu pun golongan tua seperti saya sembahyang atas kemahuan dan keinginan sendiri seharusnya menjadi keutamaan atau agenda semua terutama golongan yang memanggil diri mereka pejuang dan pembela agama.

Bukan sekadar bikin bising mengapa kerja amal Ebit Lew dihebahkan atau menakut-nakut kononnya bantuan Steven Sim kepada yang memerlukan berlandaskan agenda Kristian.

Keutamaan mesti betul, beb. Keutamaan yang betul lah yang mesti diutamakan.

Amerika Syarikat beri amaran tahap empat Covid-19, jangan ke Malaysia

SURI LAILA

Amerika Syarikat memberi amaran kepada rakyatnya untuk tidak melakukan penerbangan ke Malaysia berikutan Malaysia dikatakan sudah mencapai tahap keempat Covid-19.

Menerusi nasihat perjalanan yang disediakan di laman web ‘travel state’ negara itu, AS menyatakan bahawa Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan Notis Kesihatan Perjalanan tahap empat untuk Malaysia yang menunjukkan tahap Covid-19 sangat tinggi di negara ini.

“Jangan melancong ke Malaysia kerana Covid-19. Baca keseluruhan penasihat perjalanan.

“Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan Notis Kesihatan Perjalanan Tahap 4 untuk Malaysia kerana Covid-19.

“Terdapat juga sekatan yang mempengaruhi kemasukan warganegara AS. ke Malaysia,” tulis portal tersebut.

Ketika ini, kebanyakan negara telah pun mengeluarkan nasihat perjalanan berkenaan Covid-19.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan sumber tentang negara yang mungkin sedang dalam rancangan untuk kunjungi.

Setakat semalam, negara mencatatkan keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 384,688 kes dengan hampir seminggu Malaysia merekodkan peningkatan kes melebihi 2,000. 

Kerajaan bagaimanapun menafikan negara akan berhadapan dengan gelombang keempat kerana gelombang ketiga Covid-19 masih belum reda.

Cina DAP ni buat hal lagi, orang yang dibantu, bantu orang lain pula

BORHAN AHMAD

Ingat lagi Cina DAP ini. Steven Sim Chee Keong, si Kristian DAP yang cuba untuk mendapat publisiti murah dengan membantu orang Melayu sebagaimana yang dikatakan oleh Pensyarah UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Dia buat hal sekali lagi. Kali ini beliau menceritakan bagaimana orang yang dibantu olehnya telah berjaya membantu rakan yang senasib dengan beliau.

Menurut ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, beliau menerima satu foto yang menyebabkan air matanya berlinangan, menangis kegembiraan.

Ini kisah yang diceritakan oleh ahli Parlimen DAP ini.

“Saya baharu menerima gambar ini. 

“Ingat lagi Puan Ros? Ibu dengan 10 orang anak yang diusir dari rumah sewa 10 hari sebelum Ramadan. Setelah saya membantunya, dia kini berniaga di pasar Ramadan kat Alma, Bukit Mertajam.

“Tadi Ros telah melawat dan berbuka puasa dengan Ida, seorang wanita yang hampir senasib dengannya.

“Ida bukan sahaja diusir dari rumahnya pagi ini malah terpaksa menanggung hutang RM5,000 oleh suaminya, seorang warga asing yang telah meninggalkannya dan kembali ke negara asal. Poket hanya tinggal 50 ringgit.

“Ros tak kenal Ida. Tapi apabila dia dapat tahu tentang kesusahan yang dihadapi oleh Ida, dia menawarkan diri untuk melawat Ida. Ketika di sana, Ros tiba-tiba menghulurkan RM300 kepada Ida. Hanya orang yang pernah susah akan benar-benar faham kesusahan orang lain.

“Hari itu Puan Ros dibantu, hari ini dia membantu orang lain. Saya berasa amat terharu. Siapalah yang potong bawang ni.

“Ya betul, hidup ini penuh cabaran, ramai yang susah, sakit dan sedih. Tapi percayalah, kasih sayang tetap akan menang jua. Kasih sayang mampu mengatasi segala kepahitan dan keperitan.

“Daripada kasih sayang ibu bapa sehinggalah kasih sayang antara kekasih dan sesama manusia, kasih sayang begitu manis sekali.

“I ❤️ you very much, Malaysia.

Sebelum ini, bantuan Steven Sim terhadap budak Melayu Kelantan yang bekerja sebagai penghantar makanan dengan Food Panda di Pulau Pinang telah dihina oleh pensyarah UUM itu sebagai cuba mencari publisiti murah.

Akibatnya, Steven telah mengarahkan peguamnya untuk menyaman pensyarah UUM itu.

Netizen pula mengutuk pensyarah UUM itu kerana menjadikan isu bantuan kemanusiaan ini kepada isu perkauman.

Zulhazmi membuat laporan polis di IPD Cheras.

Seorang peguam Zulhazmi Syarif telah membuat laporan polis mengenainya.

Kelmarin, 21 April, beliau telah ke Balai Polis IPD Cheras, Kuala Lumpur untuk memberikan keterangan ekoran laporan polis yang beliau buat.

“Selesai hari ni… giliran Kamarul Yusoff pulak la.. samada direkod keterangan atau …..” tulis Zulhazmi selepas memberikan keterangan itu.

Beliau memberikan keterangan di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media.

Takkan tunggu lebih ramai korban baru Muhyiddin berundur

Hassan Abdul Karim 

Banyak hujah dapat disenaraikan satu persatu sebagai bukti kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melawan Covid-19. Justeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kabinet perlu memikul tanggungjawab.

Meminta perdana menteri yang beragama Islam meletak jawatan semasa Ramadan bukanlah suatu tuntutan yang molek. Serba salah dibuatnya.

Tetapi memandangkan dalam sejarah Islam peperangan pun pernah berlaku semasa Ramadan, maka tidak ada salahnya kita menuntut seorang 'komander' agar berundur selepas dia terbukti gagal.

Sudah lebih setahun perang melawan Covid-19 dilancarkan. Usahkan menang, malahan korban kematian semakin meningkat.

Statistik setakat 18 April menunjukkan seramai 1,378 orang terkorban akibat Covid-19. Angka ini adalah manusia, bukannya statistik semata-mata.

Jumlah kes positif Covid-19 keseluruhan setakat semalam 22 April ialah 384,688 termasuk 2,875 kes baru. Angka-angka ini semua adalah manusia, rakyat kita, warganegara kita, bukannya data semata-mata.

Bukan sahaja menteri kesihatan yang perlu bertanggungjawab tetapi keseluruhaan kabinet PN. Tanggungjawab kolektif para menteri itu akhirnya perlu dipikul oleh Muhyiddin selaku perdana menteri.

Bukankah sebelum ini Muhyiddin menyatakan bahawa Proklamasi Darurat tidak ada tujuan lain kecuali hanya untuk memerangi Covid-19?

Walaupun Darurat diisytiharkan sejak Feb lalu dan parlimen digantung tetapi kerajaan PN pimpinan Muhyidin tetap gagal melawan arus yang dibawa Covid-19.

Walaupun belanjawaan negara melebihi RM300 bilion diluluskan oleh parlimen - sebelum ianya digantung kemudian - dan pakej rangsangan lebih RM70 bilion disuntik, malangnya kerajaan pimpinan Muhyiddin tetap gagal melawan Covid-19.

Menteri dibantu dua timbalan

Amerika Syarikat yang berpenduduk kira-kira 330 juta orang telah melakukan proses vaksinasi ke atas lebihi 50 peratus penduduk dewasanya.

Namun di Malaysia setakat 18 April lalu hanya 1,135,015 orang daripada 32 juta rakyatnya sudah mendapat suntikan vaksin. Jumlah itu tidak sampai 2 peratus daripada keseluruhan populasi.

Kenapa perlahan sangat program vaksinasi di Malaysia? Apa masalahnya sedangkan kabinet Malaysia mempunyai anggota menteri dan timbalan menteri yang begitu ramai.

Menteri Kesihatan sendiri dibantu sehingga dua timbalan. Selain itu ada ada juga menteri tugas-tugas khas yang diberi tanggungjawab mengendalikan kes Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali

Kemudian ada pula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu ahli parlimen Rembau yang mengetuai jawatankuasa perolehan vaksin dan program vaksinasi.

Dalam keadaan begitu program suntikan vaksin tetap berjalan dengan perlahan. Malah sangat perlahan seolah-olah pergerakan siput babi. 

Peruntukan ada, menteri ramai, tetapi terlalu sedikit rakyat yang sudah mendapat suntikan vaksin setakat ini. Mengapa?

Jadi dalam perang melawan Covid-19 ini ternyata kerajaan PN gagal. Kabinet pimpinan Muhyiddin gagal. Muhyiddin ialah komander dalam perang melawan Covid-19 ini yang setakat hari semalam mengorbankan lebih 1,400 orang.

Kita sudah tentu tidak mahu menunggu lebih ramai rakyat mati barulah perdana menteri yang gagal itu mahu melepaskan jawatannya.

Justeru saya sebagai ahli parlimen Pasir Gudang mendesak Muhyiddin meletakkan jawatannya sekarang juga.


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang, Johor.

Jakim, Majlis Agama Islam didakwa ‘tidak berbunyi’ isu penjawat awam rasuah

FAZLI RADZI

Fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis-Majlis Agama Islam dipersoal kerana dilihat menyepi dalam isu rasuah dan salah guna kuasa dlaam kalangan penjawat awam.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Datuk Dr. Hasan Mad berkata, institusi Islam di peringkat Persekutuan dan negeri “tidak berbunyi” mengenai isu terbabit.

“Apakah mereka tiada peranan dalam mentarbiahkan penjawat awam atau korporat disyaki bergelumang dengan dosa atau bersekongkol dengan pengganas penggerak ekonomi hitam?,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga berpendapat Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah tidak lagi relevan jika unit tersebut dilihat hanya mendiamkan diri tanpa mengatasi masalah terbabit.

Tegasnya, masalah ketirisan atau salah guna kuasa sepatutnya mudah dikesan jika mereka tahu sistem penyampaian awam dan korporat adalah efisyen dan dipantau rapi.

“Turut menjadi persoalan, mengapa agensi penguat kuasa terutamanya pihak berkuasa tempatan, Imigresen, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta beberapa agensi lagi masih menikus seolah-seolah mereka tidak berdepan masalah sama.

Semalam, seramai 210 pegawai kanan dan 1,330 anggota PDRM dilapor terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk jenayah, salah laku dan dadah sepanjang tahun lalu.

Mereka didapati antara lain menyalahgunakan kuasa, terlibat dalam masalah disiplin, melakukan kelakuan dan melanggar prosedur polis serta didapati berhibur di premis-premis hiburan.

Mengulas lanjut, Dr. Hasan berkata, agensi kerajaan dan korporat perlu memutihkan setiap kakitangan mereka daripada barah dan gejala rasuah atau dipengaruhi pihak ekonomi hitam yang kini ddapati menguasai hampir semua institusi awam.

Jika pemutihan tidak berlaku dari dalam agensi, ujarnya, gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak mungkin dapat diatasi.

“Diperkasa sehebat mana sekalipun termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga penubuhan mahkamah jenayah rasuah, mana mungkin ia dapat dibanteras.

“Kita wajar memberikan penghormatan kepada PDRM diatas keikhlasannya mengakui 1,540 warganya terlibat jenayah dan salah laku selain ketegasan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) dan beberapa pengarah lain bagi menangani barah ini,” tambah Dr. Hasan lagi.

PN ‘beli jiwa’ lebih dua juta penjawat awam, pesara menjelang Aidilfitri

FAZLI RADZI

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dilihat cuba ‘membeli jiwa’ penjawat awam dan pesara kerajaan dengan pengumuman pemberian duit raya.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri itu sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, serta RM250 kepada pesara kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pemberian itu akan turut membabitkan kakitangan lantikan kontrak, kontrak untuk perkhidmatan, pegawai sambilan harian (PSH) serta lantikan di bawah MySTEP dan RM250 kepada Pesara Kerajaan.

Jelasnya, bantuan khas itu yang bakal memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara, akan dibayar bersama dengan pembayaran gaji Mei, iaitu pada 6 Mei depan.

Kenyataan sama juga menyebut pengumuman pemberian duit raya untuk tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelumnya atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri.

“Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untukterus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya lagi.

Covid-19: Kelantan catat kes tertinggi dengan 662 kes

Malaysiakini 

Jangkitan Covid-19 di engara ini terus meningkat apabila sebanyak 2,875 kes positif direkodkan setakat tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu Kelantan merekodkan angka tertinggi iaitu sebanyak 662 kes, diikuti Selangor (633) dan Sarawak (474).

Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan sebanyak tujuh lagi kematian dicatatkan menjadikan angka korban kini meningkat kepada 1,407 orang.

Sementara itu seramai 248 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 115 memerlukan bantuan pernafasan.

Pelajar perempuan dimalukan, diraba untuk periksa datang bulan

Alyaa Alhadjri

Amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu, menurut pelajar dan bekas pelajar di beberapa buah sekolah.

Perbuatan yang dilakukan para guru, warden asrama dan pengawas itu antara lain meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka tidak boleh bersolat jemaah kerana mengalami haid.

Malah pelajar juga diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita.

Sekumpulan individu bercakap kepada Malaysiakini bagi menceritakan pengalaman mereka di sekolah berasrama yang dianggap "memalukan".

Malaysiakini dimaklumkan bahawa amalan seumpama ini kebanyakannya berlaku di sekolah berasrama penuh namun ada juga kes yang terjadi di sekolah harian dan sekolah agama persendirian.

Sekumpulan individu menghubungi Malaysiakini untuk berkongsi cerita mereka selepas isu itu dibangkitkan seorang pengguna Twitter yang bertanya mengenai apakah amalan tersebut masih berlaku di sekolah.

Bebenang Twitter yang berkongsikan kisah-kisah ini dikongsikan lebih daripada 6,000 kali. Mereka tampil mengatakan bahawa mereka ingin melihat amalan memalukan itu dihentikan.

Semua nama telah diubah untuk melindungi identiti mereka yang terlibat.

'Kami diraba dari belakang'

Siti N *, seorang pelajar di sekolah agama persendirian menceritakan bahawa dari Isnin hingga Khamis, pelajar diwajibkan bersolat jemaah, manakala pelajar yang datang bulan ditempatkan di sebuah bilik di mana kitaran haid mereka dicatat dalam buku rekod.

"Kadang-kadang, mereka akan beri kami sehelai kertas atau tisu, minta kami ke tandas dan tunjukkan darah haid kami," katanya melalui WhatsApp.

"Saya ingat pada satu ketika, mereka minta kami berkumpul di padang bola.

“Guru dan pengawas mesti periksa seluar dalam kami satu persatu dengan meraba belakang kami. Ia agak mengaibkan dan saya merasa sangat menjijikkan, ”kata Siti yang kini menuntut di universiti.

Pada usia 13 tahun, Adriana berkata dia memasuki sekolah asrama, namun  pengetahuan yang sedikit mengenai kitaran haid menyebabkan dia tidak dapat membezakan antara keputihan normal dan darah haid.

Adriana berkata pada satu malam dia duduk di bilik prep semasa solat berjemaah sebelum ditangkap ketika pemeriksaan mengejut. Apabila diperiksa, dia tiada tanda-tanda mengalami pendarahan.

“Senior yang bertanggungjawab menyangka saya berbohong dan memaki saya, bersama dengan senior lain.

"Saya trauma dan sejak itu, saya akan gunakan semula tuala wanita yang sama sepanjang hari untuk memastikan ada darah.

"Bila diingat semula, sangat menjijikkan sebab saya kena gunakan tuala wanita yang ada darah sejak hari itu, hanya untuk buktikan yang saya dalam haid," kata Adriana, yang kini berusia 21 tahun.

Sindiran lucah oleh guru

DH pula tidak pernah menceritakan mengenai kejadian di sekolah rendah dan sekolah menengah ketika bersekolah di dua sekolah perempuan di Kelantan.

Katanya, solat Zohor berjemaah diwajibkan bagi semua pelajar dan mereka akan menjalani pemeriksaan mengejut secara rawak.

"Jika ustazah yang bertugas, lebih baik kita lari dan sembunyi, jika tidak, dia akan heret kita ke tandas dan buatkan kita 'menyapu darah kita' di tisu.

"Kalau ada yang pakai tampon, dia akan malukan mereka, dengan tanya gatal sangat nak masuk k**e? Kata-kata tu menyebabkan saya tidak menggunakan tampon sehingga berusia 20-an,” katanya yang menyokong Pendidikan Seks diajarkan di sekolah.

Haid tak teratur dicurigai

Ash** berkata insiden itu adalah rutin yang berlaku di sekolah berasrama penuh di Selatan tanah air, di mana mereka dari 'skuad agama' mensasarkan pelajar perempuan yang duduk di luar surau sekolah.

"Kami akan beratur di luar tandas, tunggu giliran dan satu atau dua orang anggota 'skuad' akan periksa bahagian vagina. Selalu hanya melalui kain kami, tapi itu pun rasa sangat pelik,” katanya.

Kata Ash, dia mengalami haid yang tidak teratur dan perkara itu menyebabkan dia dicurigai.

“Kadang-kadang mereka panggil saya keluar, empat atau lima daripada mereka akan kerumun saya dan mereka malah mengugut akan paksa saya tanggalkan seluar dalam saya,” kata Ash yang meninggalkan sekolah asrama itu pada usia 16 tahun untuk masuk ke sekolah biasa.

Faekah *** berada di tingkatan 1 di sebuah sekolah asrama apabila dia diperiksa untuk mengetahui sama ada dia datang haid atau tidak.

“Saya tidak tahu banyak tentang haid ketika tu dan jika ada keputihan saya juga akan anggap itu adalah haid. Jadi satu hari seluar dalam saya keluar cairan dan sebab itu saya ke bilik prep.

"Tapi bila malam ketika spot check, saya tiada sebarang keputihan dan senior ingat saya berbohong.

“Sejak saat itu, kalau saya datang haid sepanjang hari, saya akan gunakan kembali tuala wanita yang sama untuk lulus spot check waktu malam

"Tapi bila dilihat semula, itu sangat menjijikkan sebab saya perlu gunakan tuala wanita sama yang ada darah pada siang hari hanya untuk menyenangkan mereka dan untuk benar-benar buktikan bahawa saya sedang haid,” tambahnya.

Amalan itu masih berlaku

Sekurang-kurangnya dua pelajar yang bercakap dengan Malaysiakini, mengatakan amalan itu masih berlaku sehingga ke hari ini.

Bee** yang bersekolah di sekolah yang sama dengan Ash berkata 'calitan haid' untuk buktikan mereka tidak boleh bersolat masih berlaku, malah mereka dikenakan hukuman yang menjijikkan.

"Ramai daripada kami, ketika masih junior dipaksa meramas tuala wanita yang berlumuran darah kerana disyaki kami tidak membuangnya dengan betul.

“Itu masih menghantui fikiran saya sampai sekarang,” katanya yang mengatakan ramai pelajar bimbang untuk bercakap mengenai perkara itu.

Selain perlecehan fizikal, Jana yang merupakan seorang lagi pelajar menceritakan tentang kata-kata seorang guru kepada mereka yang mengelak untuk melakukan 'ujian datang bulan'.

“Yang selalu datang haid dan tidak datang (spot check) pasti mengandung,” kata seorang warden di sekolah, menurut Jana.

“Waktu itu kami baru berada di Tingkatan 1 dan kata-katanya sangat menyakitkan," katanya.

Pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, Dr Harlina Halizah Siraj berkata tindakan sedemikian mengganggu privasi wanita.

"Sebagai pakar obstetrik dan pakar sakit puan, saya percaya seorang perempuan muda tidak harus membuktikan yang dia mengalaminya (kedatangan haid)," kata Dr Harlina kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata dia menentang keras perbuatan memalukan seumpama itu.

"Tindakan meraba-raba anak gadis untuk pastikan sama ada mereka sedang haid atau tidak adalah gangguan seksual, manakala tindakan meminta mereka menunjukkan tuala wanita berdarah sebagai bukti haid adalah satu kesalahan membuli, mengaibkan dan mengganggu emosi gadis-gadis ini," katanya.

Reaksi pertubuhan wanita

Mengulas isu itu, All Women Action Society (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN: Girls) menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu gangguan seksual, perlecehan fizikal dan kecam badan (body shaming).

Katanya, perbuatan itu dilakukan dengan alasan tindakan disiplin terhadap pelajar, namun sebenarnya merupakan gangguan dan salahguna kuasa.

"Pemeriksaaan mengejut datang bulan; Pemeriksaan mengejut secara fizikal untuk 'barang terlarang'; badan, pakaian dan hubungan intim yang memalukan di khalayak ramai; pengantunan kanak-kanak (child grooming); cabul, menampar dan mencubit puting buah dada sebagai hukuman adalah beberapa kejadian pelanggaran yang dialami oleh pelajar di sekolah-sekolah di Malaysia yang mendapat perhatian orang ramai baru-baru ini,"kata kumpulan wanita itu dalam satu kenyataan bersama.

Mereka menyebut insiden tersebut dilaporkan berlaku di institusi pendidikan - tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah berasrama dan universiti.

"Di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan perbuatan mengganggu kesantunan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, kes-kes ini boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah dan boleh dihukum oleh undang-undang.

"Dengan melakukan tindakan tersebut atau membiarkan tindakan tersebut dilakukan oleh guru / warden / pengetua, pihak berkuasa sekolah di Malaysia mengajar semua pelajar adalah OK untuk mencabul tubuh badan orang lain tanpa persetujuan mereka dan memperlakukan mereka tanpa rasa hormat atau maruah," kata kumpulan itu.

Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata setakat ini tidak jelas sama ada terdapat garis panduan kementerian yang secara khusus menjelaskan mengenai kaedah bagi menentukan sama ada seseorang pelajar perempuan mengalami haid atau sebaliknya.

Malaysiakini juga telah menghubungi Menteri Pendidikan, Radzi Md Jidin untuk mendapatkan respons.

Mufti: Tak wajar periksa kemaluan pelajar untuk tahu datang haid

Yasmin Ramlan

Sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit individu tersebut meskipun dengan apa-apa alasan sekalipun, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas tindakan pihak sekolah melakukan "pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka ponteng waktu solat.

Menurut Wan Salim, setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib dihormati oleh orang lain, termasuklah hak menutup bahagian-bahagian sulit tubuh mereka daripada dilihat oleh orang lain.

“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,” katanya kepada Malaysiakini.

PH Sarawak kini sokong Anwar selepas Shafie kalah, kata penganalisis

Goh Pei Pei

KUCHING: Penganalisis politik berkata, Pakatan Harapan (PH) Sarawak, khasnya DAP, tiada pilihan kecuali menyuarakan sokongan untuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk pilihan raya umum ke-15.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, keputusan itu tidak semestinya dapat membantu mereka mendapat lebih banyak undi, tetapi dapat meyakinkan orang ramai bahawa mereka tiada masalah dengan kepimpinan di peringkat nasional.

“Sukar untuk PH mendapat sokongan kuat di Sarawak kerana mereka gagal memenuhi manifesto PRU14 mereka, khasnya selepas janji untuk meningkatkan bayaran royalti minyak kepada 20%.

“Selain itu, rakyat ‘tidak selesa’ dengan seorang pemimpin DAP yang berkata Sarawak akan bankrap dalam tiga tahun,” katanya kepada FMT yang jelas merujuk kepada bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

Azman mengulas kenyataan Setiausaha PH Sarawak dan senator DAP, Alan Ling bahawa PH negeri itu akan menyokong Anwar serta berharap pengundi akan memberi gabungan itu satu lagi peluang pada PRU15.

Bagaimanapun, tahun lalu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dilaporkan berkata, mereka akan menyokong ketua menteri Sabah ketika itu, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, walaupun Anwar ialah pilihan Majlis Presiden PH.

Awang Azman berkata, keputusan itu menyebabkan “hubungan dingin” antara DAP dan PKR di Sarawak.

“DAP sekarang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar, ketika PKR semakin kuat di Semenanjung, jadi mereka mahu menunjukkan PH bersatu di peringkat negeri dan nasional.”

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan turut bersetuju bahawa PH Sarawak tiada pilihan lain, kecuali memberi sokongan kepada Anwar selepas Warisan dan sekutunya kalah dalam pilihan raya negeri di Sabah tahun lalu.

“Untuk Sabah dan Sarawak, sudah tentu Shafie ialah pilihan lebih baik, tetapi beliau mempunyai pengaruh terhad di Semenanjung.

“Tambahan, beliau sudah kalah di Sabah – yang mungkin antara alasan PH Sarawak memutuskan untuk menyokong Anwar sekarang.”

Azmi berkata, Anwar kekal sebagai pemimpin paling berkebolehan dalam PH untuk jawatan perdana menteri kerana DAP tidak mungkin mencalonkan individu bukan Melayu bagi jawatan itu.

“Jadi, penting untuk semua parti dalam PH mempunyai kata sepakat mengenai calon mereka pada PRU15.

“PH Sarawak kini menyokong Anwar sepenuhnya walaupun mereka memilih Shafie sebelum ini.”

Doakan saya memeluk Islam' - Ryan

Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Ryan berkongsi pengalaman berbuka puasa bersama pengikutnya di TikTok. Foto Ihsan Ryan Wong Yong

Kajang: "Saya tertarik untuk menimba ilmu dan mengkaji keistimewaan ajaran Islam. Saya cuba mencari maklumat di Internet, selebihnya bertanya dengan rakan, ustaz dan ustazah jika mahu mendapatkan kepastian mengenai sesuatu perkara," kata seorang pemuda Tionghua, Ryan Wong Yong.

Dia juga gigih menimba ilmu dan berkongsi pengetahuan agama (Islam) yang ada dengan pengikutnya di aplikasi TikTok.

Ryan, 18, juga terbuka berkongsi pelbagai mesej positif dan ajaran Islam dalam setiap video dimuat naiknya hingga meraih tontonan tinggi serta pendapat pujian daripada pengikutnya terutama yang beragama Islam.

Lebih menarik perhatian pengikutnya apabila Ryan turut sama berpuasa buat pertama kalinya sejak hari pertama Ramadan tahun ini.

Bercerita lanjut, Ryan yang juga penuntut Asasi Kewangan Akaun, Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), Kuala Lumpur berkata, dia tertarik untuk mendalami ajaran Islam sejak tahun lalu.

Katanya, keinginan itu tercetus selepas melihat rakan beragama Islam menunaikan kewajipan solat fardu.

"Selain rakan berbangsa Cina dan India, saya juga bergaul dengan pelajar Melayu ketika di sekolah dulu jadi banyak melihat amalan yang mereka lakukan, antaranya solat," katanya ketika dihubungi.

Menyedari pengaruh TikTok dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda, Ryan mengambil kesempatan memanfaatkan platform berkenaan untuk menyampaikan mesej positif.

Usaha Ryan tidak sia-sia apabila perkongsiannya itu mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya yang kini mencecah hampir 19,000.

"Sebenarnya, niat saya hanya untuk mengajak orang melakukan kebaikan kerana itu yang dituntut dalam semua agama termasuk ajaran Islam.

"Jadi, saya kongsikan apa yang saya tahu dan belajar, tak sangka pula ramai pengikut teruja mungkin kerana saya berbangsa Cina.

"Ibu dan ayah tahu, mereka tiada halangan selagi saya berkongsi perkara yang betul serta tidak menyentuh sensitiviti agama," katanya.

Berkongsi pengalamannya berpuasa, Ryan berkata, rukun Islam ketiga itu dilakukan dengan keinginan sendiri dengan niat mencuba dan merasai kesusahan golongan kurang bernasib baik hidup tanpa makan dan minum.

"Tiga hari pertama, saya cuba berpuasa sehingga 6 petang saja dan permulaannya memang susah kerana tidak biasa berlapar serta menahan dahaga dalam tempoh lama.

"Bermula hari empat Ramadan, saya cuba berpuasa sehingga Maghrib dan dapat sesuaikan diri.

"Kebiasaannya, saya hanya bersahur dengan menjamah biskut dan minum susu kurma serta ke restoran berhampiran rumah untuk berbuka puasa," katanya yang tinggal berdua dengan kembarnya, Wong Yong Hei, manakala ibu dan ayahnya bekerja di Singapura.

Ditanya sama ada mahu memeluk Islam atau sebaliknya, Ryan mengakui menyimpan hasrat itu tetapi membiarkan masa yang menentukannya.

Ketika ini, dia lebih selesa mendalami ajaran Islam dan memahami kewajipan sebagai seorang Muslim.

"Memang pernah terdetik untuk memeluk Islam tetapi bukan sekarang.

"Ramai pengikut saya di TikTok mendoakan saya memeluk Islam dan mudah-mudahan ia akan menjadi kenyataan satu hari nanti.

"Terima kasih atas sokongan diberikan dan saya akan terus berkongsi video dakwah untuk kebaikan bersama," katanya yang menjadikan Ustaz Ebit Lew sebagai sumber inspirasi.

Akhirnya pejuang kempen Buy Muslim First (BMF) terpaksa beli dari orang bukan islam juga

Terpaksa ambil daripada bukan Islam juga, kata pengasas Malakat Mall

FAZLI RADZI

Pengasas pusat beli belah Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim menjelaskan lawatan sekumpulan wakil pemilik perniagaan dari GM Plaza, Klang bukan Islam kelmarin susulan usaha pihaknya untuk mendapatkan bekalan barangan tertentu.

Menurutnya, Malakat Mall bercadang untuk membuka tiga lagi unit kedai iaitu kedai kelengkapan perkahwinan, peralatan mainan serta kedai peralatan parti dan acara.

Sehubungan itu, kunjungan mereka terbabit, kata Ketua Pegawai Eksekutif tersebut adalah untuk melihat keperluan Malakat Mall.

“Semasa di GM Plaza kami diperkenalkan dengan tauke-tauke yang sudah lama berniaga dan mereka sedia bantu kami untuk setup di Malakat Mall.

“Alhamdulillah mereka kagum dan tidak pernah tahu orang Islam sudah ada mall,” katanya dipetik dari Malakat Tribune.

Kelmarin, warganet mengecam Fadzil selepas pejuang kempen Buy Muslim First (BMF) itu memuat naik gambar bersama wakil pemilik perniagaan dari GM Plaza yang melawat Malakat Mall.

“Tauke-tauke pemborong dari GM Klang datang nak bantu kami di Malakat Mall,” katanya dalam hantaran yang kemudiannya telah dipadam.

Mengulas dakwaan Malakat Mall tidak mengutamakan pengimport Islam, Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pihaknya sudah membuka peluang itu sejak daripada awal pembukaan Malakat Mall tetapi tidak mendapat sambutan.

“Kami sudah panggil usahawan tempatan berniaga tapi yang datangnya sikit, tapi kita sebagai mall perlukan lebih banyak kedai dan produk untuk memenuhi rak.

“Jadi, kami ambil tanggungjawab bila tak ada (pembekal Islam), kami akan buat dulu. Kalau tak, kedai kami kosonglah,” jawabnya.

Coach Fadzil menambah dia sendiri memiliki pejabat dan kakitangan di salah satu kawasan pemborongan terbesar di Yiwu, China.

“Sebab itu dalam sesetengah urusan perniagaan, kita tidak ada pilihan, terpaksa ambil daripada bukan Islam juga.

“Itu belum lagi perkara-perkara berkaitan import yang perlu diambil kira seperti MOQ (kuantiti tempahan minimum) dan sebagainya. Tapi orang tidak fikir semua itu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Malakat Mall yang merupakan anak syarikat di bawah milik induk Kumpulan Brainy Bunch dikatakan satu-satunya pusat beli-belah diasaskan oleh koperasi tempatan.

Setelah lebih setahun beroperasi, Malakat Mall dibuka selama 24 jam setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Kariah terpaksa ganti puasa akibat masjid laung azan awal 3 minit

FMT Reporters

Nazir Masjid Al-Khairiyah di Taman Seri Gombak memohon maaf dan berjanji kesilapan melaungkan azan tidak akan berulang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kariah sebuah masjid di Batu Caves, Selangor, terpaksa menggantikan puasa yang terbatal akibat kesilapan melaungkan azan Maghrib lebih awal pada Isnin lalu.

Nazir Masjid Al-Khairiyah di Taman Seri Gombak, Wan Nawawi Wan Dagang, berkata kesilapan itu berpunca daripada masalah teknikal pada paparan digital waktu azan.

“Assalamualaikum, saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu sebenar pada 19 April lalu.

“Jemaah yang bergantung semata-mata pada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum puasa tuan dan puan adalah terbatal pada hari itu serta perlu diganti/diqada.

“Begitulah pandangan jumhur ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan kebanyakan ulama Hanbali yang bersepakat menyatakan puasa tersebut batal dan wajib diganti,” katanya dalam kenyataan yang tersebar semalam.

Beliau berkata, jemaah boleh mengikuti syarah hukum melalui Bayan Linnas Siri ke-97 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017 untuk mengetahui isu penggantian puasa yang berpunca daripada kejadian sedemikian.

“Sekali lagi kami mohon maaf dan insya Allah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi.”

Kapal selam tentera Indonesia hilang di perairan Bali

Sebuah kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) dilaporkan terputus hubungan ketika menjalani latihan di perairan Bali Utara.

Menurut media tempatan, TNI sedang mengesan kapal selam KRI Nanggala-402 buatan Jerman tahun 1978 itu, yang membawa 53 kru kapal.

Kapal selam itu dilaporkan terputus hubungan jam 4.30 pagi tadi di sekitar 96 kilometer di perairan Bali, ketika sedang menjalani latihan torpedo.

Jurucakap TNI ketika dihubungi Bernama berkata, Panglima Tentera TNI Hadi Tjahjanto dijadual mengadakan sidang akhbar di Bali, jam 8.30 pagi esok. 

- Bernama

Budak 3 tahun jadi penagih dadah angkara ayah tiri

MALAYSIA DATELINE

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didapati positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman, berkata laporan itu diterima daripada doktor yang bertugas di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (Wad Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur) berkaitan ujian air kencing yang dijalankan terhadap kanak-kanak itu, 17 April lalu.

Mohd Fazley berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan dijaga oleh bapa tirinya di Nilai pada 14 April lalu, lapor Bernama. 

“Keesokan harinya, ibu kepada kanak-kanak itu telah membawa anaknya ke hospital untuk mendapat rawatan kerana melihat anaknya berkelakuan aneh dan tidak seperti kebiasaannya.

“Rawatan yang dilakukan di hospital berkenaan mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, polis sedang mengesan bapa tiri tersebut yang bernama Mohd Faresh Khalid berusia 38 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit pakaian.

Alamat terakhir lelaki itu di C-13-7 Apartment Mawar Sari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan PT 8413 Jalan 5/4B, Taman Desa Jasmin, Nilai.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-800 5225 dan Pegawai Penyiasat Inspektor Rozainita Aida Mohamed Bakri di talian 011-3333 0025/ Inspektor Normi Hashim (013-694 9623) atau balai polis berhampiran.

Untuk rekod, lima kanak-kanak berusia kurang 12 tahun direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada 2019 dan seramai 3,289 remaja berusia 13 hingga 18 tahun pada tahun sama.

.

KKMM arah kakitangan ‘like’ media sosial menteri, timbalan

Malaysiakini 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) didakwa mengeluarkan arahan agar kakitangan awam mengikuti - dengan cara "like" atau "follow" - akaun media sosial menteri, timbalan menteri dan juga ketua setiausahanya.

Beberapa tangkap layar pesanan teks yang mengandungi arahan tersebut tular di media sosial sejak malam semalam.

Pengguna Facebook Nazrin Norani, yang dipercayai merupakan seorang aktivis, memuat naik gambar tangkap layar berkenaan di media sosial dan mempertikaikan arahan kementerian berkenaan.

"Sejak bila majikan berhak paksa pekerja mereka like page mereka? Bukankah akaun sosial media pekerja adalah hak milik pekerja? Bukan majikan.

"Malah, jika kakitangan tersebut tidak mempunyai akaun media sosial, diwajibkan pula untuk membuka akaun-akaun tersebut. Mesti ada tiga-tiga, Facebook, Instagram dan Twitter," soal Nazrin.

Hantaran Facebooknya itu telah dikongsi lebih 250 kali sejak ia dinaikkan sekitar jam 8 malam semalam

Nazrin menyertakan tiga tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikatakan daripada KKMM. Dakwanya, perbualan itu dikongsi oleh seorang sahabatnya.

Berdasarkan tangkap layar berkenaan, pengurusan tertinggi KKMM dikatakan membuat keputusan berkenaan pada satu mesyuarat, dan mengarahkan semua kakitangan mengikuti akaun-akaun media sosial utama KKMM, termasuk menterinya Saifuddin Abdulllah, timbalan menteri Zahidi Zainul Abidin, dan ketua setiausaha Mohammad Mentek.

"Sehubungan itu, diminta semua pengarah bahagian/unit untuk memantau dan memastikan setiap kakitangan telah mengikuti (like atau follow) akaun media sosial utama di bawah KKMM …" kata pesanan berkenaan.

Berdasarkan pesanan itu lagi, semua pengarah bahagian dan unit dikehendaki mengisi borang bagi membuktikan bahawa mereka telah melaksanakan aktiviti pemantauan berkenaan.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabat Saifuddin untuk mendapatkan maklum balas, dan dimaklumkan oleh salah seorang pegawainya bahawa kementerian itu akan mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara tersebut hari ini.

Zahidi pula tidak dapat dihubungi menerusi telefonnya.

Kakitangan tak selesa

Susulan hantaran tular itu Malaysiakini bercakap dengan beberapa kakitangan KKMM dan mendapati bahawa arahan itu mula dikeluarkan kira-kira seminggu lalu iaitu pada pertengahan April.

Penjawat-penjawat awam yang bercakap kepada Malaysiakini mengesahkan memang terdapat arahan sedemikian buat mereka. Tetapi mereka tidak mahu identiti mereka didedahkan memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk bercakap kepada media.

Kata mereka, arahan itu dikeluarkan kepada semua agensi, termasuk cabang media KKMM seperti Bernama dan RTM, dan terpakai untuk semua kakitangan termasuk wartawan di biro-biro seluruh negara.



Seorang daripada mereka berkata, kakitangan diminta menyenaraikan URL akaun media sosial mereka, supaya ia boleh diperiksa sama ada mereka sudah mengikuti arahan itu dengan like atau follow akaun-akaun dinamakan tadi.

"Bagi saya, tak ada masalah, sebab tak kena bayar apa-apa pun (untuk like atau follow). Tapi, isunya adalah tentang privasi.

"Akaun media sosial peribadi ini sepatutmya iyalah, peribadilah. Oleh itu ramai yang tak gembira dengan arahan itu," kata seorang lagi kakitangan.

Seorang lagi sumber, yang bekerja di pejabat luar dari Lembah Klang, memberitahu Malaysiakini bahawa arahan itu disampaikan kepada mereka melalui penyelia masing-masing di pejabat negeri

Jangan angkuh, pesan Adun Amanah pada kerajaan Selangor

Malaysiakini 

Adun Hulu Kelang Saari Sungib mengingatkan kerajaan Selangor supaya tidak angkuh dan memaksa dasar negeri secara kuku besi, khususnya dalam cadangan menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Dia berkata demikian mengambil kira dakwaan NGO bahawa tindakan itu melanggar hak asasi manusia dan mengancam biodiversiti tempatan.

“Jika dua dakwaan tersebut betul, perkara yang bakal berlaku adalah lebih dahsyat dan parah!” katanya.

“Ia melibatkan pemaksaan dasar kuasa kuku besi dan sikap angkuh tidak mahu mendengar pandangan pakar dalam bidang-bidang yang mengekalkan kestabilan politik dan pentadbiran negeri.”

Wanita Orang Asli dalam hutan Kuala Langat, gambar hiasan

Mempersoalkan mesyuarat exco yang dikatakan akan membincangkan keputusan menyahwartakan HSKLU hari ini, Saari berkata sebarang keputusan perlulah terikat dengan sistem semak imbang.

“Sebagai ahli Dewan Negeri Selangor, saya telah meminta penjelasan dari MB dan exco infrastruktur dan pertanian.

“Saya percaya dasar-dasar demokrasi masih dipertahankan dalam proses membuat keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Jabatan Perhutanan Selangor mengiklankan beberapa surat khabar berkaitan rancangan untuk menyah warta hutan simpan itu untuk memberi laluan kepada projek pembangunan campuran.

Terdapat cadangan menyahwartakan 931.17 hektar daripada 957.63 hektar keluasan HSKLU dikemukakan kerajaan negeri Selangor awal Februari 2020.

Untuk rekod, HSKLU merupakan tempat tinggal generasi Orang Asli dari suku Temuan, dengan jumlah penduduk sekitar 2,000 pada masa ini.

“Sifat eksekutif kerajaan Selangor adalah sedia wujud untuk semak imbang dan mempunyai cukup maklumat dan kemahiran untuk membuat satu keputusan.

“Dalam konteks yang lebih luas semak imbang dan kemahiran dalam pelbagai bidang juga diwujudkan melalui Dewan Negeri Selangor yang bersidang.

“Terkini tentang lulusnya usul agar tidak dinyahwartakan HSKLU,” kata Saari.

Program Muhyiddin-Azmin di Gombak langgar SOP cegah Covid-19?

FAZLI RADZI

Mahiaddin dan Azmin solat Isyak dan tarawih di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak.

Program dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak kelmarin dilihat bercanggah dengan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19.

Menerusi gambar yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin di Facebooknya, pemimpin dan jemaah terbabit tidak menjaga jarak fizikal seperti kerap ditekankan Kementerian Kesihatan.

“Gombak merupakan destinasi pertama YAB Perdana Menteri untuk mengimarahkan madrasah Ramadhan pada tahun ini.

“Syukur majlis yang diaturkan semalam (kelmarin) berjalan dalam suasana yang teratur dan patuhi SOP yang ditetapkan,” tulis Afif yang menyertai Bersatu, Jun tahun lalu selepas dipecat PKR.

Sementara itu, dalam satu gambar lain dalam majlis sama yang tersebar di Twitter menunjukkan orang ramai berkerumun menghadap sebuah meja makan bulat beralaskan kain songket.

Turut kelihatan dalam majlis yang difahamkan moreh selepas solat tarawih itu ialah Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan Pengarah Pilihan Raya PN. 

Ahli Parlimen Gombak tersebut yang berkopiah dan berbaju Melayu berwarna putih dan berkain pelikat itu dilihat duduk bersama tujuh individu lain termasuk warga emas.

Moreh di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak kelmarin.

‘Budak Azmin’ dijangka bertanding di Shah Alam

FAZLI RADZI

Ketua Penerangan Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali dijangka meletakkan anak buahnya, Dr Afif Bahardin untuk bertanding di Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Afif ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang merupakan Timbalan Biro Penerangan Bersatu menuruti jejak Azmin untuk menyertai Bersatu, Jun tahun lalu selepas dipecat oleh PKR.

Kemungkinan Afif untuk bertempur di kerusi P.108 yang disandang oleh Khalid Abd Samad sejak 2008 itu susulan pengedaran pek berbuka puasa atas nama bekas doktor yang pernah berkhidmat di Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Sungai Buloh tersebut.

Pek makanan tersebut dengan pelekat berlogokan PN turut terpampang ungkapan tulus ikhlas daripada Bersatu Bahagian Shah Alam.

Imej pek makanan sempena Ramadan itu tular di media sosial sejak semalam.

Kelmarin, Afif bersama dengan Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Azmin menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak.

“Semoga dengan keberkatan bulan yang penuh dengan kemuliaan ini, saya mendoakan agar YAB Perdana Menteri dan pasukan yang dipimpin beliau akan terus dikurniakan kekuatan dan kecekalan yang dalam memimpin Kerajaan Perikatan Nasional dalam menjaga amanah rakyat dan bangsa,” kata Afif di Facebooknya.

Untuk rekod, Khalid, 64, yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional menang besar dengan majoriti 33,849 undi pada PRU14 mengalahkan calon BN, Datuk Azhari Shaari dan calon Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Afif, 36, juga dilihat bakal ‘diajar’ majoriti pengundi di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga di Parlimen Shah Alam yang memberi kemenangan kepada PKR pada 2018.

Penyandang DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi mendapat majoriti sebanyak 17,004 manakala wakil rakyat Batu Tiga, Rodziah Ismail yang juga Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail mengaut 15,616 undi pada PRU14.

Afif berjubah dan berkopiah putih (dua dari kiri) bersama Muhyiddin dan jemaah Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak kelmarin.

Bela PU Amin: Islam benci agamawan sekongkol dengan perampas kuasa, kata Kadir

Malaysiakini 

Jika sesetengah pihak mengecam PU Amin kerana hadir di majlis yang melibatkan wanita berpakaian seksi, tokoh wartawan negara A Kadir Jasin sebaliknya berpendapat ia adalah wajar buat bekas peserta siri realiti televisyen itu.

Kata A Kadir pada pandangannya memang begitulah tugas asasi seorang pendakwah iaitu berdamping dengan sebanyak mungkin kumpulan manusia tanpa mengira tempat, masa dan suasana untuk menyampaikan Islam.

"Bagi saya (ia) bukan saja tidak salah malah patut dipuji jika ada pendakwah Islam yang sanggup mengambil pendekatan sejagat bergaul dengan sesiapa sahaja, lebih-lebih lagilah dengan orang bukan Islam atau orang Islam di pinggiran," katanya dalam hantaran di media sosial pagi ini.

Sebaliknya perlakuan yang salah, kata bekas penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad itu, ialah orang agama yang bersikap bermuka-muka dan berlagak kononnya berperangai baik sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

"Lebih baik orang agama bergambar dengan wanita cantik di khalayak ramai ketika berdakwah daripada bersekongkol dengan pemimpin yang merampas kuasa atau yang rasuah. Islam benci hipokrit!" katanya.

Semalam PU Amin mengundang polemik apabila muncul gambar dia bersama dua wanita berpakaian seksi semasa menghadiri suatu majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun semasa menjelaskan apa yang berlaku PU Amin berkata dia hadir di majlis berbuka puasa berkenaan kerana melihat ada peluang untuknya berdakwah secara berdepan dengan golongan yang ditentang sebelum ini.

Berdakwah di mana-mana saja

“Viral gambar saya dengan dua individu dalam sebuah acara tertutup baru-baru ini. Ceritanya, saya dijemput untuk baca doa berbuka puasa dan tazkirah Ramadan sebelum berbuka puasa.

“Saya hadir dengan niat menyampaikan dakwah dan menyempurnakan tugas saya secara face to face (bersemuka) lalu membaca doa agar Allah menerima segala amal kebaikan kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.

“Ini peluang untuk menyampaikan dakwah secara berhadapan. Saya tahu kesan fitnah sangat besar. Tapi kalau bukan waktu itu, bila lagi nak beri tazkirah secara berdepan dengan golongan yang saya lawan sebelum ini,” katanya. 

Kata A Kadir apa yang dilakukan PU Amin itu adalah betul dan niatnya baik iaitu untuk menyebarkan dakwah dan menyempurnakan tugasnya secara bersemuka.

"Setidak-tidaknya pun kita memperkenalkan agama kita kepada mereka. Lebih-lebih lagi dalam suasana Islam digambarkan dengan gambaran yang salah sehingga menimbulkan ketakutan dan kebencian.

"Salah satu strategi mubaligh Kristian ialah supaya penganut agama-agama lain tidak memusuhi mereka. Kita pun tentu tidak mahu agama kita dimusuhi," katanya.

Berbanding tanggapan orang ramai di negara ini terhadap pendakwah Islam, katanya, mubaligh Kristian pula berdakwah dengan sesiapa saja dan di mana-mana yang dirasakan boleh.

"Kalau di bandar-bandar besar di Amerika Syarikat, kegiatan mendakwah dilakukan oleh semua agama - termasuk Islam - secara terbuka di tempat-tempat awam," katanya.

Orang Melayu mula marah kepada istana - Mahathir

Malaysiakini 

Orang Melayu mula menunjukkan rasa marah kepada istana gara-gara pelaksanaan darurat di negara ini, kata Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas perdana menteri itu, orang Melayu menzahirkan rasa marah di media sosial kerana menderita akibat pelaksanaan darurat, yang diwartakan selepas Yang di-Pertuan Agong mendapat nasihat daripada perdana menteri.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin menyampaikan maklumat yang tidak cukup kepada Seri Paduka sehingga membawa kepada pengisytiharan itu, sedangkan Yang di-Pertuan Agong merupakan pihak yang menjadi sasaran kemarahan rakyat terhadap tindakan kerajaan.

"Segalanya diletak di bahu Agong (seolah-olah) apa jua tindakan dikatakan atas arahan Agong.

"[...] Orang Melayu biasa tak derhaka pada raja. Tapi sekarang ni terpaksa sampaikan pada setiausaha sulit (kepada Yang di-Pertuan Agong) bahawa orang Melayu mula rasa marah pada raja.

"Kita dapat ikuti dalam media sosial.

"Ini sangat tidak biasa untuk orang Melayu menentang pemerintah kami.

"Agak ramai orang Melayu marah sekarang, kerana mereka menderita akibat darurat ini," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, di hadapan pintu pagar Istana Negara hari ini.

Dr Mahathir bersama pengerusi jawatakuasa itu Khalid Samad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu masuk ke istana pada jam 3.15 petang untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memperkenankan penamatan darurat, dan keluar setengah jam kemudian. 

Hadi anggap nafsu ibarat kuda liar, netizen sindir pemimpin bernafsu ‘tebuk atap’

FAZLI RADZI

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima sindiran dan kecaman apabila dikaitkan dengan nafsu gilakan kuasa termasuk bersekongkol dengan pengkhianat mandat rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang tersebut mengibaratkan nafsu seperti kuda liar yang hanya dapat dijinakkan apabila pemiliknya memasang tali kekang pada mulut haiwan itu bagi mengawalnya.

Kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu, hal sama juga wujud pada ibadat puasa yang mengandungi didikan jihad bagi melawan hawa nafsu yang ingin kepada kelazatan hidup dunia.

Jelasnya, orang berpuasa mendapat kekuatan dan diselamatkan daripada godaan syaitan yang dibelenggu pada bulan Ramadhan manakala individu yang tidak berpuasa dengan sengaja akan merungkai ikatan syaitan yang dibelenggu.

“Maka tidak hairanlah apabila kejahatan masih berlaku dalam bulan Ramadhan kerana mereka tidak berpuasa mengikut pengertian yang sebenar,” katanya.

Walau bagaimanapun, rata-rata komentar daripada kalangan warganet dilihat menyindir Pas yang pada masa ini menganggotai Kabinet XXXL Mahiaddin Yassin.

“Tapi puasa tak berjaya kekang ketamakan pemimpin pengkhianat tebuk atap #KerajaanGagal,” selar Muhamad Nur Ismail.

Hal sama juga dibangkitkan Muhammad Qhiriel yang menulis “Nafsu nakkan kuasa. Tebuk atap sajalah” manakala Fauzi Hassim pula menganggap Pas sudah tidak lagi ‘garang’ memperjuangkan pelbagai isu berkepentingan Islam seperti ketika bergelar pembangkang.

“Dapat kuasa diam segalanya. Adalah bunyi cencorot (tikus kesturi) sikit. Itu pun sebab nak kuasa dan jawatan lebih. Salam Ramadan,” ujarnya.

Tidak kurang juga yang mengaitkan amanat ekstrem Hadi kepada ahli dan penyokong Pas sejak 40 tahun lalu yang antara lain menuduh Umno sebagai parti kafir.

“Dulu-dulu saya pernah mengkafirkan satu puak ini. Adakah itu juga dinamakan nafsu yang tak diikat ibarat kuda liar? Hanya bertanya,” perli Tasnim Widad.

Untuk rekod, Amanat Haji Hadi yang terkandung dalam ceramah umum yang disampaikannya di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 kemudiannya dikatakan sebagai punca tragedi Memali seperti pernah didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi zoo

Dalam masa sama, warganet menasihatkan Hadi meletakkan jawatan sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri yang disandangnya sejak April tahun lalu.

“Letak jawatanlah lebai penipu. Makan gaji buta puluhan ribu sebulan tu haram hukumnya. Mengambil harta negara tanpa bekerja untuk maslahah rakyat hukumnya haram.

“Takkan kamu sejahil itu untuk memahami halal haram lebai dunia,” kecam Azman Noor di ruangan komentar Hadi yang juga pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh ‘The Royal Islamic Strategic Studies’ berpusat di Jordan pada 2016 itu.

Malah, ada yang mengingatkan Hadi bahawa ramai rakyat sekarang ini sedang mengekang nafsu dan dalam masa sama dihimpit tekanan hidup impak penularan pandemik Covid-19.

“Nafsu sedang dipuaskan dengan jawatan duta khas bergaji menteri, tanpa kerja rasmi, sedang ramai di bawah sedang mengekang nafsu dengan kesengsaraan,” luah Pak Sheikh Mersing.

Selain itu, netizen turut menyindir bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal antara 1999 hingga 2004 berkenaan yang dikenali gemar menyelitkan nama binatang dalam banyak hujahnya sebelum ini termasuk ketika ucapan dasar perasmian Muktamar Tahunan Pas.

“Semua contoh binatang telah digunakan, patut jadi pengerusi zoo, bukan jadi duta duduk rumah,” tempelak Shahbudin Husin.

Pemimpin Umno memang tak tau malu, dah digelar binatang oleh MPT Bersatu pun masih nak sokong PN

Malaysiakini 

Pemimpin Umno kecam Faiz Na'aman, sifatkannya 'anjing salakan politik'

Pemimpin Umno tampil membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dianggap biadab kerana menyifatkan pemimpin "kluster mahkamah' Umno sebagai "binatang politik".

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah berkata kenyataan pemimpin Bersatu itu sebagai "anjing salakan politik".

"Sikap kurang ajar beliau yang mengeluarkan kenyataan populis boleh akibat hura-hara politik negara ibarat seekor 'anjing salakan politik'.

"Tindakan 'barking dog' MPT Bersatu Muhammad Faiz Na'aman amat memalukan dan dilihat kurang bijak walaupun akan ada yang menganggapnya sebagai hak dan kebebasan bersuara, namun sedemikian ia tidak sewajarnya berlaku malah harus belajar menghormati kepimpinan Umno yang membantu membina kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya ingin minta Muhyiddin Yassin mengambil tindakan atas keceluparan kenyataan yang beliau keluarkan. 'Anjing salakan' ini harus faham dan terima kenyataan penubuhan kerajaan PN ini adalah kerana sokongan Umno, tanpa sokongan Umno tidak mungkin presiden Bersatu boleh menjadi perdana menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Faiz melabel “Kluster Mahkamah” Umno sebagai binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi. 

“Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.

“Mereka menjadikan wadah ‘ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli MT Umno, Razlan Rafii turut menyelar kenyataan Muhammad Faiz yang menurutnya bukan saja biadab, namun cukup keterlaluan.

Membalas kenyataan itu, Razlan mengingatkan pemimpin Bersatu itu bahawa parti serpihan itu "kandang kepada binatang politik" yang kehilangan tuan.

"Bagi saya ini satu kenyataan yang cukup biadab dan kurang ajar, Muhammad Faiz ini seorang pemimpin yang tidak sedar diri.

"Sebelum mengeluarkan kenyataan biadab, dia harus sedar bahawa kerajaan PN terbentuk dengan sokongan Umno.

"Bahkan lebih daripada itu, Bersatu juga dikuatkan dengan bekas pemimpin Umno yang lari melompat parti selepas BN tewas, jadi Muhammad Faiz sepatutnya sedar diri," katanya.

Menurut Razlan lagi, pemimpin kluster mahkamah itu juga yang turut membantu menegakkan kerajaan PN.

Tamat Darurat: Mahathir, Anwar dijemput ke Istana Negara esok

FAZLI RADZI

Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat akan menghantar surat kedua kepada Yang di-Pertuan Agong esok bagi memohon perkenan Baginda untuk menerima petisyen rayuan menamatkan darurat.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam memaklumkan hal tersebut dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ di Hotel Tamu di ibu negara hari ini.

Katanya, ia berkaitan surat permohonan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyembah maklum terhadap kesan darurat kepada ekonomi negara.

Turut dijemput untuk menyertai rombongan ke Istana Negara adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Rombongan dijadualkan akan berada di Pintu 3, Istana Negara jam 3 petang esok.

3 beranak nyaris maut, gerai air tebu dirempuh pemandu ‘lalok’ dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ibu dan dua anaknya nyaris maut apabila gerai jualan kuih-muih dan air tebu mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki bawah pengaruh dadah di Jalan Limbongan, Melaka, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Hasan Basri Yahya, berkata mangsa, Norazizah Jenal, 57, dan dua anaknya Muhammad Aliff Hazimie Samsudin, 13, serta Nurul Ayu Umairah, 15, cedera di bahagian kaki, perut serta bahu, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, dalam kejadian 5.15 petang itu, tiga beranak tersebut sedang menjual juadah kuih-muih dan air tebu sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang dari arah Bandar Melaka.

“Kereta yang dipandu lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh gerai jualan anak-beranak berkenaan,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, siasatan mendapati, pemandu yang bekerja sebagai juruteknik itu tidak mempunyai lesen memandu dan saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.

“Hasil siasatan lanjut, dia juga mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan permohonan reman terhadapnya dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, pemandu kereta terbabit ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 43 (1) serta Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azmin, jangan kacau Tanjung Karang, kata Noh Omar

MALAYSIA DATELINE

Tan Sri Noh Omar memberi amaran kepada Azmin Ali agar jangan cuba mengganggu kawasannya Parlimen Tanjung Karang.

Noh berkata, Azmin akan melantik seorang penyelaras daripada Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Tanjung Karang sekligus menafikan haknya sebagai Ahli Parlimen di situ.

“Saya nak bagi amaran jangan kacau Tanjung Karang.

“Kalau Azmin tidak iktiraf saya sebagai Ahli Parlimen yang masih menyokong PN dan mahu melantik penyelaras seolah-olah hendak mengenepikan saya, kita tunggu dan lihat apa tindakan yang saya akan ambil,” katanya.

Beliau percaya penyelaras yang dilantik berperanan menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan sudah tentu diberi peruntukan.

“Jadi persoalan saya mengapa mesti dilantik seorang penyelarasan parlimen di Tanjung Karang kerana saya masih MP di Tanjung Karang yang masih menyokong kerajaan PN,” soal Noh.

Noh turut menasihatkan Azmin agar berhenti untuk memecahbelahkan parti selepas apa yang beliau lakukan terhadap Bersatu, dan PKR.

“Cukup-cukuplah, kamu dah hancurkan Bersatu, hancurkan PKR dan jangan cuba hendak kacau Tanjung Karang. Saya tidak akan berdiam diri,” katanya.

Bahkan beliau mahu merayu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak membiarkan Azmin yang disifatkan gila kuasa untuk terus berkuasa di Selangor.

“Saya tengok di Selangor bermula pengerusi, ketua PN, ketua wanita hatta penyelarasan pilihan raya pun semua bekas PKR yang masuk Bersatu,” katanya.

Polis tahan 4 lelaki disyaki terlibat kes samun, pukul (Gambar)

 Bernama

image placeholder

Polis Klang Selatan menahan empat individu yang disyaki terlibat dalam kes samun dan pukul pemandu sebuah kenderaan semalam, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima laporan polis berkaitan video tersebut yang menunjukkan sekumpulan lelaki sedang menendang dan memecahkan cermin kenderaan di tepi jalan raya.

“Kesemua suspek tiada pekerjaan dan merupakan penagih dadah yang berumur lingkungan 23 tahun hingga 35 tahun, ditahan dalam kawasan Klang Selatan dan tangkapan dibuat bermula 7 malam hingga 11 malam.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan di Shah Alam hari ini.

Shamsul Amar berkata dalam kejadian yang berlaku lebih kurang 4.30 petang semalam, mangsa sedang memandu bersama sepupunya di Taman Sentosa menghala ke Pelabuhan Klang.

Mangsa kemudian dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki oleh empat lelaki, katanya.

Beliau berkata suspek telah bertindak memecahkan cermin kereta, menarik mangsa keluar dari kenderaan dan memukul mangsa dengan menggunakan kayu serta merampas sebuah telefon bimbit milik sepupu mangsa.

Menurutnya, keempat-empat lelaki tersebut itu disiasat mengikut Seksyen 394/427 Kanun Keseksaan.

Rakyat sudah tanya bila Pas mahu selesaikan kos sara hidup?

MALAYSIA DATELINE

Pas yang kini berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dituntut untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup sebagaimana dijanjikan dalam pilihan raya lalu.

AJK AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, rakyat sudah tertanya-tanya bilakah Pas mahu menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup seperti mana kenyataan Presiden Pas pada 9 Mac 2018.

“Baldatun thayyibatun dalam firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 15, menuntut sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya mementingkan perebutan kuasa,” katanya.

Malah katanya, kegagalan Pas untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup ini memprejudiskan perjuangan Islam yang dibawa Pas dilihat lebih berminat kepada kepentingan kuasa.

Keadaan ini turut diakui kerajaan PN sepertimana kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Che Abdullah Mat Nawi pada 17 April lalu.

Menurut Faiz, kenaikan harga barang sudah pasti meningkatkan kos sara hidup rakyat dan ia berlaku akibat inflasi adalah amat membimbangkan sekali gus menunjukkan kegagalan kerajaan PN menguruskan ekonomi negara dengan baik.

“Inflasi jika tidak dikawal akan menyebabkan krisis ekonomi rakyat semakin kronik, apatah lagi kadar pengangguran yang meningkat kepada 782,500 orang pada kadar 4.9 peratus pada Januari 2021.

“Jika indiviu yang bekerja sekalipun, gaji yang diterima tidak cukup menangani kos sara hidup sepertimana gaji graduan hanya sekitar RM1,001 hingga RM1,500,” kata beliau.

Malangnya, kata beliau setakat hari ini, tiada apa-apa perancangan strategik kerajaan PN menangani masalah kos sara hidup rakyat.

Beliau juga bimbang infliasi dijangka meningkat kepada 5 peratus dan keadaan ini menunjukkan PN tiada kehendak politik (political will) untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Tidak seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai kehendak politik menyelesaikan isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP).

“Langkah ini berjaya mengawal inflasi sehingga hanya 0.7 peratus bagi tahun 2019 dan ekonomi pula berkembang sebanyak 4.3 peratus bagi tahun yang sama,” katanya.

Ini jelas, katanya tadbir urus negara sepanjang 22 bulan tersebut dipandu oleh manifesto PH berbanding PN yang tiada manifesto.

“Justeru, dakwaan bahawa PH tidak menunaikan janji kini terbukti meleset,” ujarnya.

Sekarang orang ramai mula merungut tentang kenaikan harga barang terutama barang mentah dan segar seperti ayam, telur dan sayur di waktu Ramadan ini dan dijangka meningkat lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Lelaki ugut, cekik pekerja kedai ditahan polis

Video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang lelaki memakai baju putih telah memarahi dan mencekik leher mangsa.

SEREMBAN – Seorang lelaki yang mengugut dan mencekik pekerja kedai selepas ditegur tidak memakai pelitup muka ditahan polis di Senawang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, suspek berusia 50 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam tadi bagi membantu siasatan kejadian pekerja kedai kedai diugut dan dicekik oleh seorang lelaki yang tidak dikenali semasa berada di sebuah kedai runcit di Taipan 2, Senawang.

“Pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang juga pekerja kedai pada pukul 12.33 tengah hari tadi.

“Hasil semakan lanjut mendapati mangsa yang berusia 22 tahun telah menegur suspek kerana tidak memakai pelitup muka, memeriksa suhu dan juga tidak menulis nama pada buku yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, suspek akan di bawa ke Kompleks Mahkamah Seremban esok untuk tahanan reman di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan dengan sengaja mendatangkan cedera pada mangsa.

Tambah beliau, suspek juga akan dikenakan kompaun atas ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Menerusi hantaran di media sosial Facebook, seorang individu telah berkongsi video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang lelaki memakai baju putih telah memarahi mangsa (pekerja kedai) dan bertindak mencekik lehernya. – K! ONLINE

Enggan pakai pelitup muka, lelaki berserban kasari pemuda

FAZLI RADZI

Seorang lelaki berserban dilihat mengasari seorang pekerja di sebuah premis selepas dikatakan berang ditegur untuk mengenakan pelitup muka.

Aksi samseng lelaki itu dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi hampir dua minit yang kemudiannya tular di media sosial.

Insiden yang difahamkan berlaku di Pasar Raya Masbukti Senawang, Negeri Sembilan itu menyaksikan pekerja tersebut beberapa kali memohon maaf.

Walau bagaimanapun, individu berserban berkenaan dilihat berterusan menolak sambil mengherdik anak muda yang memakai pelitup muka itu.

“Tolong cari pakcik ini. Dia tolak kepala dan cekik adik saya. Moga Allah beri keadilan pada kami sekeluarga,” kata kapsyen dalam rakaman video itu.

Empat ciri Pas parti tidak berintegriti, kata Prof Agus

ARIF ATAN

Pas dalam beberapa aspek memenuhi maksud integriti tetapi daripada tindakan politik, banyak lagi ciri-ciri asas integriti yang tidak parti itu laksanakan, kata Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyenaraikan empat ciri yang menunjukkan Pas tidak berintegriti.

Pertama, jelasnya, Pas menggunakan fahaman perkauman dan manipulasi agama yang menimbulkan keresahan masyarakat.

Parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga, katanya, berperilaku tidak seperti yang diungkapkan.

Dalam masa sama, Pas dilihat tidak konsisten antara apa yang diucap dengan perbuatan dan keempat, parti tersebut tidak menyelesaikan masalah rakyat.

“Di Kelantan misalnya, janji manifesto dalam PRU-14 banyak lagi yang belum tertunai seperti masalah air, kebersihan, pekerjaan, pembalakan, dan kemiskinan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi menerusi Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya, 12 April lalu berkata, tiada gunanya kerajaan mempunyai majoriti besar tetapi tidak berintegriti.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, Ahli Parlimen Marang tersebut berkata, Islam sebelum ini memulakan pemerintahan dengan kuasa minoriti.

Sehubungan itu, Agus membangkitkan enam persoalan sejauhmana Pas faham dengan integriti memandangkan banyak aspek nilai integriti yang tidak parti itu laksanakan.

“Apakah duduk semeja makan sambil bersembang itu politik integriti? Apakah bekerjasama sesama parti Melayu itu politik integriti?

“Apakah berada dalam satu pakatan dengan MIC dan MCA seperti sekarang ini politik integriti?Apakah menangguhkan perjuangan RUU355 itu politik integriti?

“Apakah menolak DAP itu politik integriti?” soalnya sambil menyifatkan fahaman Abdul Hadi tentang integriti sebagai “kabur dan sempit”.

“Selain bersetuju kita mesti menolak pemimpin berbohong dan kleptokrat, hujah lain Presiden Pas tentang integriti lemah dan memerlukan penelitian semula,” tegasnya.

Beliau menegaskan pentingnya integriti sebagai perjuangan menegakkan keadilan, menghapuskan kemiskinan, mengiktiraf kebebasan rakyat, dan meraikan kepelbagaian difahami memandangkan komposisi negara ini yang multi etnik.

“Paling baik sekali ialah kita memahami integriti itu sebagai “embarking on a nation building effort.”

“Setelah merenung panjang, satu sahaja coretan akhir saya: Pas perlu meningkatkan lagi nilai integritinya,” tambah Agus lagi.

Melayu berjudi dan songkok tinggi

Abdullahjones

Malam itu kami semua berkumpul dirumah Mie Gondok. Mak Cik Yah yakni emak Mie Gondok, dan Mak Cik Badar - emak saudara Mie Gondok - balik kampung untuk menyambut hari raya.

Sehingga hari ini kami tidak tahu di mana kampung mereka. Setahu kami, Mak Cik Yah memang selamanya tinggal di kampung kami. Pak Hassan suami Mak Cik Yah memang selalu tidak ada di rumah. Biasanya beliau akan ke bandar untuk mencari kerja.

Beliau akan duduk di hadapan kedai Cold Storage bersama dengan beberapa orang lelaki menunggu lori datang dan mengambil upah memunggah barang turun dari lori tersebut.

Kadang-kadang juga ada datang orang mencari pekerja ke situ untuk kemudian di bawa ke mana-mana.

Hati kami menjadi sebak setiap kali teringat akan Pak Hassan. Orangnya pendiam dan rajin berkerja. Sesekali apabila ke bandar dan singgah di Cold Storage untuk membeli aiskrim kami akan terserempak dengan beliau yang selalu memegang tin susu yang berisi teh tarik.

Ia merupakan teh tarik 'bungkus ikat tepi' versi zaman itu.

Mak Cik Badar yang tidak pernah menikah sehingga akhir hayatnya tinggal bersama kakaknya, Mak Cik Yah. Mat Diah dan Shamsiah - abang dan kakak Mie Gondok - juga tidak ada di rumah pada malam itu.

Jadi rumah papan yang dibina di atas tanah berlembah itu menjadi 'milik' kami sepenuhnya.

Untuk ke rumah Mie Gondok kami perlu meniti kepingan papan yang diatur panjang dari rumah Tok Mah, guru mengaji kami. Rumah uzur Mak Cik Yah itu kami rasa disewa dengan Tok Mah yakni isteri Haji Jilah, imam pertama surau kampung kami.

Melopong tengok orang main

Kiri dan kanan serta bawah rumah Mak Cik Yah dipenuhi air bertakung. Kadang-kadang di situ tempat kami mencari ikan laga atau kami memanggilnya sebagai ikan sekilau - ikan yang hari ini orang panggil ikan betta.

Sebelum naik ke rumah Mak Cik Yah terdapat pohon gelenggang yang sentiasa dilanggan oleh Mok buat menggaras muka kami yang berpanau akibat gemar bermain panas dan membasuh muka semasa berpeluh.

Kami berkumpul di rumah Mie Gondok untuk berjudi selepas siangnya kami berhari raya. Itulah kali pertama kami bermain judi dengan bertaruh duit. Dan ia juga adalah kali terakhir kami melangkah ke dalam zulmat sedemikian rupa.

Setelah malam itu, kami tidak pernah lagi bertaruh sehingga hari ini.

Pa, Iji, Zubir, Sedi, Amir Hamzah, Kodik, Mezah, Alam Shah, Tulang dan Mie Gondok boleh bermain terup dalam banyak jenis tetapi kerana kami hanya pandai bermain ‘colek’ dan ‘dua puluh satu’ pada malam itu kami bersetuju untuk berjudi ‘dua puluh satu’.

"Lagi pun mana ada orang main judi pakai terup colek," kata Sedi, sahabat kami yang berhenti sekolah kerana bapanya, Pak Cik Yaakup terlupa untuk ke pejabat pendaftaran bagi mendapatkan kad pengenalan semasa Sedi berumur 12 tahun.

Sedi hari ini adalah tukang rumah yang mahir. Beliau juga adalah raja dam aji di Pantai Senok dekat Bachok, Kelantan.

Pada waktu lain apabila kawan-kawan mengisi waktu dengan bermain ‘400’ atau ‘gin rummy’ kami hanya melopong kerana tidak tahu apa yang mereka mainkan.

Kami berjudi dari awal malam hingga ke pagi. Malam itu yang menang ialah Iji yakni adik kepada Pa. Kami syak Iji melakukan cepat tangan dan berpakat dengan abangnya.

Gigit jari tengok duit

Mereka dua beradik memang terkenal sering berpakat dalam banyak hal. Dari zaman kami bermain guli, main getah dan juga main terup gambar, mereka berdua paling champion.

Mereka memiliki bertin-tin getah gelang dan terup bergambar. Emak mereka, Cikgu Senah selalu menggugut untuk mengoreng getah gelang dan terup gambar sebagai makanan mereka berdua.

Kami belajar mendengar muzik di rumah merekalah. Usop The Ironman dan Bakar The Breeze, abang-abang Pa dan Iji merupakan peminat tegar muzik.

Usop memperkenalkan Ebiet G Ade kepada kami sementara Bakar pula mengajar kami menghargai Santana.

Habis semua duit raya kami dikaut oleh Iji pada malam itu. Hampir RM30 keuntungan yang beliau perolehi malam itu dan kami semua mengigit jari melihat syiling 10 sen dan 20 sen yang kami kumpul hasil dari berjalan berhari raya siang tadi.

Duit syiling 20 sen itu semestinya datang dari rumah Cikgu Bakar, suami kepada Cikgu Konet, pemilik rumah paling besar di kampung kami.

Selain judi terup, judi tikam juga menjadi terkenal apabila datang bulan puasa dan hari raya. Entah kerana jahil atau pun memang mengambil ringan, ibu bapa pula seakan memberikan pelepasan kepada anak-anak mereka melakukan maksiat itu semasa datangnya bulan yang mulia seperti sekarang.

Esoknya Iji dan Pa berjoli sakan. Kami yang sudah kerugian itu pun duduk dalam penyesalan. Mungkin kerana kesian, Iji sudi membelikan sedikit jajan untuk semua orang semasa kami duduk di kedai Cina Jo, tempat kami melepak sambil mengurat anak dara Ismail Marzuki yang tiga atau empat orang itu.

Ismail menikah dengan perempuan Cina yang dibesarkan keluarga Melayu, jadi anaknya semua cantik-cantik. Antara kami bukan semuanya tidak kacak namun sehingga selesai alam remaja, tidak seorang pun daripada kami pernah ada apa-apa hubungan cinta dengan anak-anak Ismail yang putih melepak itu.

Melayu maju setapak lagi

Kami tidak tahu dari mana datangnya idea untuk berjudi pada malam raya di rumah Mie Gondok itu. Sebelum peristiwa tersebut, kami tidak pernah berkumpul untuk bermain judi.

Malah sebelum malam itu kami langsung tidak pernah berjudi. Yang biasa kami lakukan ialah berkumpul untuk menghisap rokok dan bermain bola sepak atau sepak takraw.

Hari ini bertaruh adalah perkara biasa. Setiap hari di radio ada yang bercerita bagaimana mahu menjadi kaya. Trading pula menjadi kata bual yang popular. Semua orang adalah trader.

Melabur dalam saham dan juga tukaran wang asing adalah pekerjaan yang diimpikan oleh banyak orang . Sambil duduk di kedai kopi mereka berjual beli mata wang asing. Bercakap mengenai foreign exchange.

Berbual fasal Libor dan Klibor macam bercakap fasal nasi kandar - sungguh fasih dan lancar. Sungguh internasional.

Ada yang kata halal dan ada yang kata haram. Lalu apabila ini berlaku orang ramai mengambil jalan tengah yakni jalan ‘halam’. Justeru mereka mencari lubang-lubang yang ada bagi menghalalkan apa yang mereka suka.

Golongan yang mempunyai ilmu untuk memberi kata putus dalam hal itu juga tidak mengambil berat membahaskan dengan mendalam akan kegiatan tersebut.

Mungkin kerana terlalu ramainya trader dan kaki kuda ini berbangsa Melayu, tidak hairanlah munculnya iklan judi raya seperti yang dikecohkan sehari dua ini.

Kalau pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an Melayu dihormati kerana berani mengiklankan arak, kini Melayu maju setapak lagi dengan mengiklankan judi secara terbuka.

Syabas bangsaku yang kucintai. Sibuklah lagi memperjuangkan songkok dan keris sambil anak bangsamu mengangkang jadi tahi judi.

Ismail Marzuki meninggal dunia selang sebulan daripada isterinya. Mak Cik Badar pula meninggal akibar kanser. Mie Gondok meninggal dalam jagaan kakaknya, Shamsiah yang meninggal dunia akibat kanser.

Shamsiah meninggal sebelum bersara dan jawatan terakhir beliau adalah pengarah Jabatan Kerja Raya di tempat kami.

Pa sekarang ini ada di Kemaman bertugas di Pusat Pemulihan Dadah manakala Iji pula pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Kodik menjadi kaya-raya sebagai pembekal kotak ikan dan kini dikenali sebagai Ali Botak. Adiknya Tulang akan menjadi rakan kongsinya.

Amir Hamzah sudah bergelar Datuk manakala adiknya, Alam Shah - setelah bersara sebagai jurutera - membuka sebuah kedai besar perkakasan. Alam Shah juga adalah abang long kawasan yang digeruni.

Mezah meninggal dunia dek racun. Bukan diracun orang tetapi akibat daripada selalu meracun rumpai tanpa menggunakan penutup mulut. Beliau meninggal dalam usia yang agak muda pada bulan puasa.

Rasanya Zubair sudah bersara dari UiTM Jengka. Kami sendiri masih tidak tentu arah begini - menulis dan melukis, menulis dan melukis dan disukai ramai.