"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha Agung Bersatu isytihar GRS menang PRN Sabah

MALASIA DATELINE

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisytiharkan GRS menang pilihan raya Sabah apabila menang 37 kerusi melepasi separuh dari 73 kerusi yang dipertandingkan.

Shafie arah calon Warisan Plus kumpul di 'lokasi rahsia' malam ini - Sumber

Kota Kinabalu: Seorang calon Warisan Plus memberitahu ketua menteri sementara Shafie Apdal telah mengarahkan semua calon gabungan itu untuk berkumpul di satu 'lokasi rahsia' pada jam 8 malam ini.

"Kami mungkin tidak dapat pulang ke rumah malam ini. Saya sudah kemas barang saya untuk satu malam," kata seorang calon yang enggan dinamakan.

"Kami perlu menunggu sehinggalah keadaan menjadi stabil.

"Pertarungan masih lagi 50:50 khususnya di kerusi Kadazan Dusun Murut," katanya.

Bagaimanapun, calon itu enggan memberitahu tempat berkumpul pada malam ini.

Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setakat ini enggan mendedahkan keberadaan para pemimpin dan bilik gerakan strategi parti.

Berbanding bubar Parlimen, serah jawatan kepada Anwar pilihan wajar buat Muhyiddin

SHAHBUDIN HUSIN
Serah jawatan atau bubar Parlimen – itulah pilihan yang ada pada Muhyiddin Yassin ketika ini berikutan pengumuman Anwar Ibrahim tentang sokongan majoriti yang ada dalam tangannya sekarang untuk mengambil alih dan membentuk kerajaan baru.

“Kalaulah disebabkan saya sudah tidak mendapat majoriti yang disebutkan oleh Anwar dan saya pun dititahkan untuk menghadap Agong, yang mana ia belum lagi dititahkan, perkara pertama (saya akan melakukan) ialah memaklumkan (Agong) bahawa kalau sudah begitu keadaannya, maka saya akan mengosongkan kerusi (saya),” katanya dalam satu klip video KiniTV.

Pilihan lain, tambah Muhyiddin ialah mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Agong.

Dalam situasi sekarang, bermakna Muhyiddin amat sedar bahawa nasib dirinya umpama sedang berada di pergentingan.

Tetapi, yang manakah – antara mengosongkan jawatan Perdana Menteri, seterusnya menyerahkan kepada Anwar mengambil alih kerajaan dan membubarkan Parlimen – akan menjadi pilihan Muhyiddin?

Dalam hal ini, tidak dinafikan, ramai yang menjangka membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya awal adalah pilihan yang paling wajar buat Muhyiddin.

Diperkatakan ramai, dengan pembubaran itu, maka hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan kesampaian.

Seterusnya, apabila diadakan pilihanraya pula, belum tentu lagi Anwar dan PH mampu memenanginya.

Dalam keadaan tersebut, terutamanya kepada pembenci Anwar, mereka berhujah bahawa akan tertutup teruslah peluang Presiden PKR itu untuk menduduki kerusi Perdana Menteri buat selama-lamanya.

Tidak kurang yang berhujah bahawa sokongan UMNO kepada Anwar pun bukan untuk menjadikannya sebagai Perdana Menteri, tetapi lebih bertujuan agar PRU dapat segera diadakan.

Ternampak sekali pandang, memang diakui membubarkan Parlimen adalah pilihan yang paling munasabah untuk diambil oleh Muhyiddin.

Tetapi, harus diingat, sokongan kepada Anwar kali ini sebahagiannya datang daripada UMNO dan ini bermakna, UMNO sudah bersedia untuk meninggalkan Bersatu dan berlawan dengan parti itu di semua kerusi yang ditandinginya dalam PRU akan datang.

Apakah Bersatu ada keupayaan untuk menang bila berlawan dengan UMNO?

Lebih buruk lagi nasib Muhyiddin jika Pas yang sudah bermuafakat dengan UMNO turut mengambil keputusan tidak mahu bersama lagi dengan Bersatu.

Maka, macam mana Muhyiddin mahu mengemudi Bersatu menghadapi pilihanraya tanpa ada rakan yang kuat bersamanya?
Dalam kemungkinan lain, katalah Pas memilih untuk bersama dengan Bersatu dalam PN dan meninggalkan UMNO, sejauh manakah pula kekuatan dua parti bila bergabung dan mampukah ia memperolehi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan?

Lebih-lebih lagi apabila Pas mengambil keputusan untuk bersama dengan Bersatu dan meninggalkan UMNO, pertandingan dalam PRU nanti akan menjadi pertembungan tiga penjuru – PN, BN dan PH.

Dalam sifir yang mudah, jika tiga penjuru, pihak yang berpotensi untuk menang ialah sama ada BN atau PH, manakala PN langsung tidak ada kelibatncahaya di hujung terowong.

Dalam erti kata lain, memilih untuk membubarkan Parlimen dan bertanding lagi, lebih memberi jaminan kekalahan buat Muhyiddin dan tetap kehilangan jawatan Perdana Menterinya.

Bukankah dengan itu hanya suatu pembaziran, bahkan jalan yang memalukan saja jika Muhyiddin memilih untuk membubarkan Parlimen?

Mahu tidak mahu, jika terbukti sokongan majoritinya sudah tiada, Muhyiddin harus berjiwa besar dengan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Tambahan lagi, dengan gelombang Covid-19 yang seakan-akan muncul kembali, ekonomi negara kekal parah dan tempoh penggal Parlimen masih panjang iaitu sehingga tahun 2023, menyegerakan pilihanraya hanya akan menambahkan lagi beban serta perit derita negara ini.

Apakah di pengakhiran kariernya, Muhyiddin sanggup memusnahkan negara sebegitu rupa?

Dengan sedia melepaskan jawatannya kepada Anwar, Muhyiddin bukan saja akan dikenang sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan lebih mementingkan masa depan negara, malah inilah peluang untuk beliau membuktikan kata-katanya sebelum ini – Saya Bukanlah Seorang Yang Kemaruk Kuasa.

Tiada pemenang jelas, tapi Warisan dijangka menang 37 kerusi, kata tinjauan bebas

Nora Mahpar
PETALING JAYA:
Warisan Plus dijangka menang sekurang-kurangnya di 37 daripada 73 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah hari ini seterusnya membentuk kerajaan negeri, menurut satu tinjauan bebas.

Tinjauan firma penyelidikan Ilham Centre pada 8 Sept hingga 24 Sept mendapati gabungan pimpinan Shafie Apdal mendahului dengan 23 kerusi ‘clear winner’, manakala 14 kerusi lagi kategori 50-50.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggota Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengikuti rapat dengan 19 kerusi ‘clear winner’.

“Warisan Plus mendahului dengan 23 kerusi yang boleh dikatakan kerusi ‘clear winner’ diikuti rapat dengan GRS sebanyak 19 kerusi. Selebihnya terdapat 31 kerusi yang menjadi rebutan semua pihak, termasuk calon Bebas dan parti lain.

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini adalah penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

“Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus, berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS, manakala 12 kerusi betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah,” kata firma itu dalam kenyataan lewat semalam.

Menyifatkan PRN kali ini sebagai pilihan raya paling sukar dan mencabar, Ilham Centre berkata, pertembungan sepanjang tempoh kempen sebenarnya adalah antara 2 tokoh, iaitu Shafie dan Muhyiddin Yassin.

“Di antara keduanya, kami meninjau aura kedua tokoh ini dan rata-rata masih meletakkan Shafie mempunyai kelebihan besar sebagai ketua menteri, sementara populariti Muhyiddin agak terbatas di sini berbanding di Semenanjung,” katanya.

Dalam mendekati hati pengundi tempatan, tinjauan itu mendapati naratif Warisan Plus lebih padu dengan mengangkat tema “Sabahan for Sabah”, mengatasi naratif GRS “Sabah bersama Persekutuan”.

Menyentuh mengenai kualiti kepimpinan oleh tokoh politik di Negeri Di Bawah Bayu itu, tinjauan mendapati Shafie menonjol dalam mempamerkan kepimpinan beliau yang tegas dalam aspek pembahagian kerusi, penggunaan simbol dan penentuan calon, berbanding GRS yang tidak jelas siapakah yang mengetuai gabungan itu.

“Shafie menyerlahkan kemampuan beliau untuk menyelesaikan pengagihan kerusi Warisan Plus, walaupun ditekan oleh PKR pada pusingan rundingan kerusi, manakala Muhyiddin gagal menyelesaikan kesepakatan agihan kerusi di antara BN, PN dan PBS.

“Bagi Umno dan BN pula mengambil pendekatan menampilkan hampir 90% calon baru. Kedegilan dan ego pemimpin untuk akur kepada pertembungan ‘straight-fight’ kemungkinan memberikan sedikit kelebihan kepada Warisan Plus.”

Tinjauan itu mendapati hubungan dingin antara pengerusi Jentera Pilihan Raya BN, Bung Moktar Radin dengan Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor sukar dibaca sejauh mana pengundi Umno dan PPBM menterjemahkan undi mereka pada hari pembuangan undi hari ini.

“Dalam cerapan kami di lapangan mendapati jentera Umno dan PPBM tidak bekerjasama antara satu sama lain. Isyarat ini sebenarnya juga memberi kesan tidak langsung kepada penyokong masing-masing,” kata tinjauan itu.

Penyokong Najib juga kata kerajaan Muhyiddin tumbang

BORHAN AHMAD
Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang, penyokong Datuk Seri Najib Razak dalam Umno juga berkata perkara yang sama bahawa sekarang tidak ada lagi kerajaan yang sah selepas kerajaan Perikatan Nasional tumbang.

Datuk Lokman Noor Adam (gambar bawah) menerusi facebook live beliau berkata, hari ini tidak ada lagi kerajaan PN dan tidak ada kerajaan baharu atau pembubaran Parlimen kerana Yang Dipertuan Agong berada di Institut Jantung Negara (IJN).

“Ini kerana baginda belum menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap,” kata beliau malam tadi.

Oleh itu, katanya, jika rakyat negeri Sabah mahu mengundi parti yang juga kerajaan Persekutuan agar sama dengan kerajaan negeri, rakyat Sabah tidak boleh terikat begitu sekarang kerana kerajaan Persekutuan yang ada telah jatuh.

Bagi Lokman, Parlimen bila-bila masa sahaja boleh dibubarkan sekarang untuk memberikan laluan kepada pilihan raya umum.

Menurut beliau, apabila Yang Dipertuan Agong memanggil Anwar untuk menghadap, baginda akan meminta Anwar membawa bukti sokongan kepada beliau.

“Ketika itu, Ahli Parlimen Umno akan berkata mereka mahu Parlimen dibubarkan,” kata Lokman.

Sebelum ini, Anwar dikatakan mendapat majoriti dengan sokongan dari sebahagian MP Umno dan ia disahkan kemudiannya oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Namun begitu, bagi Lokman, MP Umno akan meminta Yang Dipertuan Agong agar Parlimen di bubarkan.

PILIHAN RAYA UMUM KETIKA COVID MENGGANAS?

Tetapi, apakah pilihan raya umum akan diadakan sekarang menjadi tanda tanya dengan pengalaman apa yang berlaku di Sabah apabila pilihan raya diadakan, penularan Covid-19 tidak dapat dikawal dengan baik.

Oleh itu, faktor Covid 19 dijangka akan menjadi pertimbangan Yang Dipertuan Agong apakah Malaysia boleh menghadapi pilihan raya umum sekarang atau tidak.

Semalam, negara mencatatkan 107 kes Covid 19 yang baharu dengan 97 darinya adalah di Sabah. 67 dari kes baharu di Sabah itu adalah di kalangan penduduk tempatan manakala selebihnya warganegara asing.

Kempen pilihan raya Sabah berakhir semalam dan lebih sejuta pengundi Sabah yang layak akan mengundi hari ini.

Dr M dakwa Anwar tolak sokongan Pejuang

FMT Reporters
PETALING JAYA
: Dr Mahathir Mohamad mendakwa Anwar Ibrahim menolak sokongan Pejuang, parti baru yang diketuai bekas perdana menteri itu, ketika presiden PKR itu mendakwa mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Mahathir berkata, ini terbukti dalam sidang media Rabu lalu, di mana Anwar mendakwa “beliau mendapat sokongan semua orang, kecuali Dr Mahathir” menurut laporan The Malaysian Insight.

“Pejuang ditolak (daripada menyertai Anwar). (Anwar) kata semua orang sokong beliau kecuali Dr Mahathir,” lapor portal itu memetik Mahathir sambil menambah Pejuang tidak lagi boleh menyokong Anwar kerana parti itu ditolak sejak awal.

Rabu lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Tetapi, beliau tidak mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya.

Ditanya jika Mahathir dan bekas ahli Parlimen PPBM antara wakil rakyat yang menyokongnya, Anwar berkata: “Belum. Beliau mungkin memutuskannya kemudian, tapi ketika ini tidak.”

Susulan itu, Mahathir pada Rabu lalu dilaporkan berkata, beliau akan “tunggu dan lihat” jika ini ialah satu lagi episod ketua pembangkang itu membuat dakwaan tidak dapat dibuktikan.

Anwar pernah membuat dakwaan sama pada 2008 yang beliau mempunyai sokongan Parlimen mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan dan mendesak perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa secara aman.

Langkah Anwar kalau gagal macam 'bunuh diri'

Malaysiakini
Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 23 September lalu, tepat seminggu setelah Hari Malaysia telah mengumumkan beliau mendapat sokongan mencukupi ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Ia mengingatkan kembali usaha serupa yang dibuat beliau 12 tahun yang lalu.

Pada malam Hari Malaysia pada tahun 2008, Anwar berkata kepada puluhan ribu penyokong di Stadium Kelana Jaya di Petaling Jaya bahawa Pakatan Rakyat, gabungan politik sebelum Pakatan Harapan, telah memperolehi jumlah ahli parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar menyebut mengenai mengambil alih kuasa sejak sebulan sebelumnya dan mengundang maklum balas Abdullah Ahmad Badawi perdana menteri ketika itu, yang pada 8 September menghantar 49 ahli parlimen BN ke Taiwan dalam apa yang dikatakan sebagai "lawatan sambil belajar".

Kenyataan bahawa Abdullah bertindak balas sedemikian menunjukkan memang terdapat rasa tidak puas hati di antara sekurang-kurangnya beberapa ahli parlimen BN yang mempertimbangkan untuk berpaling tadah.

Bagaimanapun, pengumuman terbuka Anwar juga bermakna perdana menteri ketika itu berusaha secara aktif untuk menyekat kemaraan langkahnya.

Dibayangi rancangan 16 September

Anwar, pada masa itu, mendakwa beliau mendapat sokongan sekurang-kurangnya 31 ahli parlimen BN selain 81 ahli parlimen Pakatan Rakyat, yang memberi beliau majoriti mencukupi di kalangan 222 anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, 16 September 2008 datang dan apa yang berlaku hanyalah kenyataan oleh Anwar yang ingin bertemu dengan Abdullah mengenai peralihan kuasa. Beberapa bulan lagi berlalu tetapi tidak ada yang menjadi kenyataan.

Anwar mungkin telah merancang sesuatu tetapi kegagalannya melemahkan semangat penyokongnya dan sejak itu beliau 'dibayangi' rancangan 16 September.

Oleh itu, tidak menghairankan kegagalan rancangan 16 September 2008 dibangkitkan lagi ketika Anwar membuat pengumuman terbarunya di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga telah berusaha mendapatkan kembali majoriti selepas kehilangan kuasa dalam Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, cubaan Dr Mahathir setakat ini tidak membuahkan hasil.

Mahathir juga antara pihak yang membangkitkan kejadian 12 tahun lalu ketika menyatakan keraguannya terhadap langkah terbaru Anwar itu.

Berbanding pada tahun 2008, Anwar kini berada di landasan yang lebih kuat untuk mendapatkan ahli parlimen mencukupi untuk berpaling tadah.

Pada 2008, Abdullah mempunyai majoriti 29 kerusi. Muhyiddin mempunyai tiga di Dewan Rakyat sekarang. Pada tahun 2008, Pakatan Rakyat mempunyai 81 ahli parlimen. PH pula mempunyai 91 ahli parlimen di Dewan Rakyat sekarang dengan 12 MP lagi daripada Warisan, Upko dan PSB yang mungkin perlu diyakinkan.

Tetapi pengumuman Anwar pada 23 September lalu menyebabkan ahli parlimen yang mungkin berpaling tadah terdedah identitinya dengan beberapa MP Umno didakwa terpaksa menafikan mereka terlibat dalam langkah politik ini.

Kisah budak pengembala dan serigala

Walaupun keadaan semasa menunjukkan tidak terlalu sukar untuk Anwar mengambil alih kerajaan tetapi pertaruhannya juga lebih tinggi.

Kegagalan atau kejayaan langkah Anwar kali ini boleh membawanya ke puncak kuasa atau memudarkan harapan masa depan kerjaya politiknya.

Selama beberapa dekad, Anwar memainkan peranan penting dalam politik Malaysia.

Sejak zaman aktivis mahasiswa hingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kemudian bangkit menjadi timbalan perdana menteri dan jatuh serta bangun kembali sebagai ketua pembangkang, Anwar telah membuktikan dirinya sebagai ahli politik yang tahan lasak.

Kejayaan akhirnya akan menyaksikan Anwar mencapai cita-citanya untuk menjadi perdana menteri, impian yang sering kali terlepas daripada genggamannya selama beberapa dekad.

Gagal bukan pilihan Anwar

Pada akhir Februari, tidak lama selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan, Anwar meyakinkan sekutunya untuk menyokongnya sebagai calon perdana menteri berbanding Mahathir.

Ini selepas Mahathir mahukan kerajaan campuran yang tidak mengikut garis pendirian parti dan tidak terikat dengan manifesto pilihan raya umum ke-14 sekiranya beliau kembali berkuasa.

Yakin Anwar dapat mengatasi kekurangan sokongan ahli parlimen, Pakatan Harapan menyokongnya berbanding Mahathir.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akhirnya dilantik sebagai perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional yang baru selepas menewaskan Anwar dan Mahathir.

Selanjutnya, pengumuman Anwar pada 23 September menjadi cubaan kedua beliau untuk menjatuhkan kerajaan melalui penukaran sokongan ahli parlimen sejak 2008.

Anwar berpendapat sekarang adalah masa untuk mengembalikan mandat rakyat kerana PH yang menang PRU14 tetapi digulingkan oleh Muhyiddin dan sekutunya.

Tetapi satu lagi kegagalan boleh menjahanamkan kerana Anwar mungkin tidak akan dapat bangkit kembali.

Seperti kisah pengembala dengan serigala, tiada siapa percaya kepadanya lagi selepas menipu dua kali ada serigala menyerang ternakannya walhal tiada apa-apa yang berlaku.

Gerak-geri Anwar pada hari-hari dan minggu berikutnya ini akan diperhatikan.

Warisan Plus dahului GRS menjelang hari mengundi, kata Ilham Centre

SITI NUR ZAWANI MISCON
Badan Penyelidik Ilham Centre menjangkakan Warisan Plus bakal mendahului Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung esok.

Hasil kajian lapangan yang diperolehi dari panel penyelidik mendapati, Warisan Plus mendahului dengan 23 kerusi yang boleh dikatakan kerusi ‘clear winner’ dikuti rapat dengan GRS sebanyak 19 kerusi.

Selebihnya, terdapat 31 kerusi yang menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti lain, kata Mohamad Hisomuddin Bakar, Pengarah Eksekutif Ilham Centre dalam satu kemyataannya.

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu.

“Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS.

“Manakala lagi 12 kerusi adalah yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan parti yang disertai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu menurut Ilham Centre, Pilihanraya ini masih lagi menjadi medan yang terbuka bagi GRS dan Warisan Plus sehinggalah peti undi ditutup pada jam 5.30 petang pada Sabtu 26 September 2020.

Menurutnya, mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada mereka.

5 cedera termasuk pelajar dalam kejadian tembakan di Banting

FMT Reporters

BANTING:
Tiga pelajar tercedera apabila dirempuh sebuah kereta dinaiki 2 lelaki yang cuba menyelamatkan diri selepas ditembak suspek menaiki motosikal, dalam kejadian berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datuk tengah hari tadi.

Pemandu dan penumpang kereta itu juga cedera parah terkena beberapa das tembakan di dada dan beberapa bahagian badan, yang dilepaskan oleh 2 suspek yang mengekori mereka.

“Motif kejadian dipercayai pergaduhan antara 2 kumpulan dan suspek sedang dikenalpasti,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmad dalam kenyataan.

Tiga pelajar terbabit cedera di leher dan kaki dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Kedua-dua mangsa tembakan pula masih diberi rawatan kecemasan di Hospital Banting.

AZIZ BARI SEKOLAHKAN SHAMRAHYU

MSO
Ketua Pembangkan Dun Perak Abd Aziz Bari memberi pencerahan berguna kepada Dr Shamrahayu Ab Aziz berhubung siapa berhak menghadap Yang diPertuan Agong dan tidak.

Mengulas pendapat Shamrahayu yang berpendapat Anwar Ibrahim tidak layak menghadap Yang diPertuan Agong kerana dia (Anwar) bukan perdana menteri, Aziz berkata pendapat orang dianggap pakar perlembagaan itu mengelirukan dan bahaya dalam konteks demokrasi dan raja berperlembagaan.

Shamrahyu dilaporkan berkata hanya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri boleh menghadap Agong. Beliau mengulas ekoran kenyataan Anwar Ibrahim yang akan menghadap Agong bagi menyembahkan beliau mempunyai sokongan di parlimen.

Kata Aziz, pandangan Shamrahayu itu menggambarkan kekeliruan dalam memahami peranan Yang di-Pertuan Agong khususnya sebagai "guardian" atau penjaga perlembagaan.

"Dengan beranggapan hanya Perdana Menteri saja boleh menghadap Yang diPertuan Agong ia merbahaya dalam konteks politik demokrasi dan Raja berperlembagaan," ujar Aziz.

Dalam penjelasan mengandungan tujuh point Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi berkata, Yang diPertuan Agong dengan kedudukannya memerlukan maklumat dan perspektif yang betul dan tepat mengenai keadaan semasa.

Berikut penjelasan Abd Aziz sepenuhnya yang di whatsApp kepada saya sekejap tadi setelah saya meminta beliau mengulas pandangan Shamrahayu yang mengelirukan dan bersifat bias:

1. Kenyataan Itu menggambarkan kekeliruan dalam memahami peranan Yang Di-Pertuan Agong khususnya sebagai ‘guardian’ Atau penjaga perlembagaan.

2. Peranan sedemikian memerlukan baginda mendapat maklumat dan perspektif yang betul dan tepat mengenai keadaan semasa.

3. Kelihatannya beliau keliru dengan nasihat Perdana Menteri atau kerajaan dalam sesuatu isu mengenai pentadbiran negara. Itu memang dalam autoriti PM atau kerajaan yang memerintah.

4. Tetapi dalam konteks itu pun ia tidak bermakna baginda tidak boleh mendengar pandangan pihak lain. Jika tidak masakan ada apa yang disebut “the right to advise, to warn and to be consulted” di pihak Raja. Ini semua memerlukan Raja itu mendengar dan mendapat perspektif yang pelbagai dan bukan hanya dari PM sahaja.

5. Mengatakan hanya PM saja boleh mengadap juga berbahaya dalam konteks demokrasi bahkan Raja Berperlembagaan itu sendiri.

6. Kesan dari pandangan sedemikian ialah Raja akan dilihat sebagai boneka kerajaan yang ada; sedangkan idealnya adalah raja dan istana perlu berada di atas politik kepartaian; raja perlu menjadi faktor penyatu untuk semua rakyat

7.Isu ini boleh diperdebatkan kerana beliau adalah pemegang kerusi mengenai institusi beraja dan apa yang dikatakan begitu kontroversi sekali. Trims.

Rundingan ye, kompromi tidak

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF
Pakatan Harapan menang dalam PRU yang lalu atas prinsip yang diperjuangkan sejak sekian lama. Parti komponen dan kepimpinann masing-masing yang kekal setia dalam PH teruji kerana mempertahankan prinsip perjuangan.

2. Tidak dapat dinafikan, jalan panjang dan berliku DSAI diterima umum sebagai satu perjalanan politik yang sukar. Semua ini adalah kerana mempertahankan maruah dan prinsip. Tanpa Maruah dan Prinsip bukanlah DSAI namanya.

3. Prinsip yang dimaksudkan adalah tentang Prinsip Ketelusan, Integriti dan Keadilan yang membentuk kerajaan yang bertanggungjawab. Hasrat ini telah menyatukan parti komponen PH mereka sebulat suara menolak Rasuah, Kebencian Kaum dan Agama serta mempertahankan Prinsip Demokrasi dan Kebebasan sebagai keutamaan.

4. Seruan prinsip ini menggamit sokongan rakyat sepanjang kewujudan BA, PR dan PH sehinggalah PH diberi kepercayaan untuk menjadi kerajaan atas faktor prinsip yang dijanjikannya kepada pengundi.

5. BN dari Umno dan komponennya ditolak kerana tidak cukup kuat seruan prinsip di atas apatah lagi dengan kes-kes rasuah dan skandal yang dilaluinya menjadi pertikaian rakyat kepada ketahanan integriti pemimpin Umno. Sangat jelas UMNO hilang aura prinsip ini dan taring untuk mempertahankannya.

6. Tumbangnya PH setelah 22 bulan jadi kerajaan bukan kerana PH hilang prinsip-prinsip ini, tetapi berlaku ‘korek lubang’ dari dalam dengan ‘scheme of things’ TS Mahyudin Yasin dan sekutu subhatnya DS Azmin dan kroni mereka. Lahirlah Perikatan Nasional (PN) atas ‘janji palsu pensejajaran semula politik nasional’ kononnya.

7. Pas dan Umno melihat ini peluang bagi Muafakat Nasional yang ditubuhkan sebelum ini untuk kukuhkan kedudukan mereka dengan menyokong langkah Sheraton. Habuan ‘ghanimah’ sebagai kerajaan sangat menduga Umno dan Pas sebagai umpan sokongan berterusan kerajaan ‘scheme of things’ TS Mahyudin. Malangnya setelah jadi kerajaan, Muafakat dan Perikatan tidak bertemu keserasian, manakala Pas pula bermain ‘kayu tiga’ dengan PN kerana ‘tergoda’ dengan kilauan donia alam kuasa.

8. PN dan MN bertemu atas habuan ghanimah dan umtuk ambil kesempatan kukuhkan kedudukan masing-masing, tiada isu prinsip yang boleh dikaitkan antara mereka kecuali retorik Melayu/Islam yang destruktif untuk menggamit sokongan!

9. DSAI diberi kepercayaan oleh Majlis Presiden PH untuk memimpin kecelaruan politik ‘scheme of things’ Mahyudin supaya dibuat pensejajaran semula yang hakiki agar kembali kepada jalur politik prinsip. Jalur ini jika terus dipesongkan oleh PN + MN boleh menjejas kepentingan nasional dan usaha pemulihan ekonomi pasca covid 19.

10. DSAI telah ‘bertungkus lumus’ bersama rakan teras PH sepanjang pasca kejatuhan PH untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang baru dinikmati oleh rakyat selama 22 bulan PH jadi kerajaan. Di Parlimen pasca PH sebagai kerajaan, asas pemulihan dan reform dipertahankan seperti pemulihan TH, tender terbuka dan ketelusan agihan bantuan rakyat yang diamalkan sebelum ini.

11. Saya yakin, untuk bersikap praktikal dalam proses ini, kunci utama kejayaan DSAI ialah berunding dan terus berunding dengan semua pihak. Rundingan adalah untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang deminya DSAI dan PH diberi kepercayaan.

12. Debaran semua pihak tentang perincian siapa yang mencukupkan bilangan majoriti yang dimiliki oleh DSAI semakin memuncak. Saya hanya boleh berkata setakat ini, apa sahaja hasil yang berlaku, DSAI telah BERUNDING demi prinsip kerana prinsip adalah ruh dan nyawa PH. DSAI dan rakan-rakan PH tidak mungkin BERKOMPROMI untuk mencapai hasil rundingan jika ‘nyawa’ DSAI dan PH terancam!

Semoga usaha pensejajaran semula yang hakiki berjaya dan mandat rakyat dikembalikan kepada yang empunya!

'Kami dah lama tahu langkah Anwar raih sokongan MP'

Bagi beberapa wakil rakyat Selangor, mereka sudah lama mengetahui langkah Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru

Sudah mengetahui perkara tersebut sebulan lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim, turut menambah Anwar telah berusaha sehabis mungkin untuk meraih sokongan.

“Cakap-cakap (Anwar tubuh kerajaan baru) telah didengari sejak bulan lalu dan saya tahu Anwar telah berusaha sehabis mungkin untuk mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan seterusnya,” kata Ng seperi dipetik laporan The Star.

Ng turut percaya pendedahan Anwar mempunyai asas dan bukti kukuh. Ini juga selepas pemimpin partinya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, turut menyokong tindakan anggota parlimen Port Dickson itu.

Jelasnya, rakyat kini perlu memerhatikan keadaan dan melihat mandat dikembalikan.

“Sekarang, apa yang kita perlu buat adalah perhati dan bersedia untuk melihat mandat dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Anggota Parlimen PKR Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid juga berasa yakin Anwar dapat membentuk kerajaan persekutuan tidak lama lagi dan mendapat sokongan kukuh daripada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang juga inginkan perubahahan.

Kelmarin, Anwar mengadakan sidang media untuk mengumumkan beliau memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baru selepas sejumlah ahli parlimen pelbagai parti menyokongnya menjadi perdana menteri..

Ia kemudian diikuti dengan kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang mengesahkan "ramai" ahli parlimen partinya kini bersama-sama Anwar dan beliau tidak dapat menghalangnya.

Bagaimanapun, seorang demi seorang ahli parlimen Umno tampil menafikan mereka menyertai kumpulan Anwar setakat ini.

Jumlah sokongan yang diperolehi Anwar masih menjadi misteri. Ini kerana, presiden PKR itu berkata, beliau ingin mempersembahkan jumlah itu kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.

Sementara itu, Adun Sentosa, Gunaraj George berharap selepas Yang di-Pertuan Agong pulih daripada gering, baginda akan mempercepatkan pembentukan kerajaan baru selepas Anwar diberi perkenan untuk menghadap.

Sementara itu, Adun Tanjong Sepat Borhan Aman Shah isunya sekarang adalah untuk menunggu Anwar mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong menghadap bagi menyatakan jumlah sokongan yang diperoleh.

“Isu sekarang adalah Anwar masih belum dapat perkenan Agong,” katanya.

Ketua Pembangkang Umno Selangor, Rizam Ismail pula berkata, Anwar sewajarnya mengikuti platform yang betul jika benar mempunyai jumlah sokongan kukuh.

3 kemungkinan selepas ‘Langkah Anwar’

Malaysiakini

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengumumkan dia mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun, jalan tidak semudah itu buat Anwar. Pelbagai kemungkinan masih boleh berlaku.

Berikut kemungkinan-kemungkinannya:

(1) Muhyiddin dapatkan kembali sokongan, kekal jadi PM

Jika dakwaan Ahmad Zahid Hamidi bahawa ramai anggota parlimen BN dan Umno kini menyokong Anwar ternyata benar, bermakna Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti.

Muhyiddin, bersandarkan pengundian bagi menggantikan speaker Dewan Rakyat pada 14 Julai lalu, mempunyai sokongan 113 anggota parlimen sahaja.

Bagaimanapun, sementara Anwar menunggu peluang untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin masih mempunyai peluang mendapatkan kembali sokongan yang dikatakan hilang itu.

Muhyiddin masih mempunyai kelebihan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Dia juga boleh membuktikan majoritinya melalui undi percaya di parlimen.

Ini kerana kenyataan bersama beberapa setiausaha agung parti yang menyokongnya semalam tidak benar-benar membuktikan dukungan diterimanya daripada anggota parlimen.

Parlimen akan bersidang pada 2 November depan.

(2) Muhyiddin bubar parlimen

Jika gagal mendapatkan kembali sokongannya, Muhyiddin masih boleh menasihati Seri Paduka untuk membubarkan parlimen, sekali gus membawa kepada pilihan raya umum.

Bagaimanapun ini dilihat sebagai langkah terakhir kerana ia tidak semestinya memberi kelebihan kepada Bersatu yang dipimpinnya.

Setakat ini masih tiada jaminan Umno dan PAS akan akan bersama dengannya.

Sebagai parti baru, kekuatan akar umbi Bersatu juga dilihat masih belum setanding dengan Umno, PAS atau jentera Pakatan Harapan pimpinan Anwar.

Jika Seri Paduka berkenan menerima nasihat pembubaran Parlimen, ia mungkin berlaku tidak lama selepas pilihan raya Sabah.

Dan Muhyiddin pula akan mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling singkat memerintah negara ini.

(3) Agong benarkan Anwar buktikan majoritinya

Sementara itu, Agong mungkin menerima mengadap Anwar atau mana-mana pihak yang boleh membuktikan mereka cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru.

Baginda untuk mewawancara seorang demi seorang seperti yang berlaku sebelum ini sebelum melantik seorang perdana menteri baru.

Jika Anwar berjaya membuktikan sokongan diterimanya, anggota parlimen Port Dickson itu akhirnya akan menamatkan gelaran “bakal perdana menteri” yang disandangnya sejak sekian lama.

Paling menarik dia akan menjadi perdana menteri ketiga berkhidmat untuk tahun ini.

MP Umno sokong Anwar: PAS tuntut 'penjelasan sejelas-jelasnya' dari Umno

Dibayangi dengan khabar Anwar Ibrahim kini mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru, PAS hari ini berkata, parti itu akan mendapatkan penjelasan daripada rakan Muafakat Nasional (MN) mereka berhubung perkara berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata jika perkembangan itu benar-benar berlaku, bermakna Umno tidakl mematuhi persefahaman yang termaktud dalam piagam MN setahun lalu.

“Ia boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina di atas permuafakatan BN, Bersatu, PAS, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan PH (Pakatan Harapan).

“Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Umno atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak Umno untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Dr Madhi Hasan: 10 SEBAB KENAPA ‘LANGKAH LE MEREDIEN 2020’ BERBEZA DENGAN ‘PROJEK 16 SEPT 2008’

Dr Madhi Hasan

Sidang Media Khas Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 23 September 2020 mencetuskan satu gegaran gempa terbaru dalam politik Malaysia. Beliau mendakwa telah memperolehi sokongan daripada majoriti ahli-ahli parlimen bagi pembentukan sebuah kerajaan yang baharu. Sekaligus ia akan menyebabkan tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pihak lawan politik beliau termasuk Tun Dr Mahathir dengan cepat menimbulkan keraguan dengan mengingatkan rakyat kepada kegagalan Projek 16 September pada tahun 2008.

Projek 16 September ialah satu rancangan oleh Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Abdullah Ahmad Badawi selepas tsunami politik pada PRU-12 tahun 2008. Pada 14 April 2008, Anwar mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat sedang mencukupkan bilangan untuk membentuk kerajaan melalui penyeberangan beramai-ramai ahli-ahli parlimen Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat. Tarikh yang ditetapkan untuk peralihan kuasa itu berlaku ialah 16 September 2008. Walau bagaimanapun, pertukaran kerajaan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat pada waktu itu akhirnya tidak menjadi kenyataan. Kegagalan itu sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin de facto Pakatan Rakyat.

Menyamakan kegagalan Projek 16 September 2008 dengan peristiwa hari ini adalah satu cara yang mudah untuk meredakan kegusaran di hati para pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional. Dengan menyoroti latar kepada kedua-duanya, terdapat 10 perbezaan yang menjadikan “Langkah Le Meridien” berbeza dengan “Projek 16 September”, 12 tahun yang lalu. Perbezaan-perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

1. Angka yang tidak terlalu sukar untuk dicapai.

Pada tahun 2008, pembangkang mempunyai hanya 82 kerusi parlimen dan memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi lagi untuk mencapai majoriti mudah iaitu 112 kerusi. Angka itu adalah terlalu besar berbanding jumlah yang diperlukan oleh Anwar pada kali ini. Umum mengetahui bahawa kelebihan majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin adalah dua atau tiga kerusi sahaja. Dalam erti kata lain, dari sudut permainan angka, sasaran kali ini adalah lebih attainable atau mampu dicapai.

2. Duluan (precedent) daripada kes Perak.

Idea Projek 16 September dilontarkan sebelum berlakunya peristiwa ‘rampasan kuasa’ di Perak pada bulan Februari 2009. Pakatan Rakyat menghadapi masalah untuk melaksanakan Projek 16 September kerana kaedah untuk menjatuhkan seseorang Perdana Menteri ialah dengan menjalankan undi tidak percaya di Parlimen. Rancangan itu sukar dilaksanakan kerana ia akan digagalkan oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat. Pada masa sekarang, pertukaran kerajaan boleh berlaku tanpa perlu membawa usul undi tidak percaya di parlimen. Seorang Raja atau Ketua Negeri berhak untuk memutuskan sama ada Perdana Menteri atau Menteri Besar masih memiliki sokongan majoriti melalui cara-cara lain. Perkara ini diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2010 dalam ‘kes MB Perak lawan MB Perak’ iaitu Mohammad Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir. Kaedah ini seterusnya dipraktikkan dalam pertukaran kerajaan-kerajaan negeri di Melaka dan Kedah pada tahun 2020. Oleh itu, halangan prosedural yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat pada tahun 2008 kini sudah tiada.

3. Persoalan mandat rakyat.

Pada tahun 2008, parti yang memenangi PRU-12 ialah Barisan Nasional. Pakatan Rakyat pada ketika itu bergelut dengan persoalan moral dalam merampas kuasa pemerintahan daripada sebuah kerajaan yang telah memperolehi mandat rakyat secara sah. Pada tahun 2020, Pakatan Harapan mempunyai legitimasi dari segi moral untuk mengambil kembali kuasa daripada Perikatan Nasional. Ini kerana legitimasi kerajaan Perikatan Nasional dipertikaikan dari aspek moral. Perikatan Nasional adalah sebuah kerajaan yang terhasil melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang dimenangi oleh Pakatan Harapan dalam PRU-14.

4. Kemantapan koalisi Pakatan Harapan.

Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April 2008 oleh KEADILAN, DAP dan PAS selepas kemenangan mengejut pembangkang di beberapa buah negeri dalam PRU-12. Dari segi umur, koalisi itu masih belum cukup matang dan meyakinkan apatah lagi PAS dan DAP mempunyai ideologi yang amat bertentangan. Koalisi Pakatan Harapan pada hari ini sebenarnya adalah merupakan kesinambungan kepada Pakatan Rakyat. Ia juga telah teruji dengan pengalaman mentadbir kerajaan pusat dan beberapa buah kerajaan negeri. Oleh itu, Pakatan Harapan sebagai sebuah koalisi perdana (grand coalition) adalah jauh lebih kukuh dan meyakinkan berbanding Pakatan Rakyat pada tahun pertama kewujudannya. Kekukuhan Pakatan Harapan dapat memberi keyakinan kepada ahli-ahli parlimen dari parti-parti lain untuk mengalihkan sokongan mereka.

5. Kecelaruan koalisi Perikatan Nasional.

Pada tahun 2008, hanya ada satu koalisi perdana (grand coalition) yang memerintah Malaysia iaitu Barisan Nasional yang dianggotai oleh 14 buah parti. Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Barisan Nasional mempunyai kawalan yang kuat kepada parti-parti dalam Barisan Nasional. Hari ini, Perikatan Nasional adalah sebuah koalisi yang cacamerba. UMNO yang mempunyai jumlah kerusi terbesar di pihak kerajaan mengisytiharkan yang ia bukan sebahagian daripada koalisi Perikatan Nasional. Barisan Nasional juga tidak seutuh dahulu kerana ia kini hanya dianggotai oleh tiga buah parti. Pilihan raya Negeri Sabah yang sedang berlangsung mengesahkan kecelaruan ini apabila Muhyiddin gagal menghalang parti-parti yang menyokongnya daripada bertembung sesama sendiri.

6. Pertukaran kerajaan sebagai satu norma baharu.

Selama puluhan tahun, majoriti rakyat beranggapan yang Barisan Nasional akan berkuasa seolah-olah selama-lamanya. Oleh itu, usaha Anwar untuk memecahkan halangan psikologi tersebut pada tahun 2008 adalah suatu kerja yang mencabar. Pada hari ini, rakyat telah menyaksikan kerajaan pusat bertukar buat pertama kalinya pada bulan Mei 2018. Kemudian pertukaran kerajaan pusat berlaku lagi pada bulan Februari 2020. Kedua-dua peristiwa telah berlaku dengan aman tanpa sebarang kekacauan. Dengan yang demikian, pertukaran kerajaan bukanlah satu perkara yang luarbiasa dan membimbangkan sepertimana yang dirasai oleh rakyat pada tahun 2008.

7. Keseimbangan kaum.

Pada tahun 2008, dikhabarkan bahawa sebahagian besar ahli-ahli parlimen yang akan menyeberang pada ketika itu ialah wakil-wakil rakyat bukan Melayu dari Sabah dan Sarawak. Ia menimbulkan satu dilema kerana ini akan menambah ketidakseimbangan kaum dalam Pakatan Rakyat. Representasi kaum bukan Melayu di dalam kerajaan yang bakal terbentuk akan meningkat dengan ketara. Senario tersebut akan menyukarkan urusan Pakatan Rakyat dengan institusi-institusi yang dianggap pelindung kaum Melayu terutamanya pihak Istana. Pada kali ini, Anwar kelihatan telah mencari penyelesaian kepada masalah itu dengan memfokuskan untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen Melayu-Islam. Kenyataan Zahid Hamidi yang menyatakan “ramai” ahli-ahli parlimen UMNO akan menyokong Anwar mengesahkan bahawa Anwar hampir berjaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya 12 tahun lalu.

8. Kebimbangan PAS.

Projek 16 September menghadapi kebuntuan kerana salah satu rakan kongsi utama dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS berada dalam keadaan berbelah bahagi. Berdasarkan senario yang disebut di atas, pimpinan PAS terutamanya kumpulan ulama merasa bimbang yang kerajaan baharu yang bakal terbentuk akan didominasi oleh kaum bukan Melayu. Di dalam Pakatan Harapan pada kali ini, AMANAH dan DAP selaku rakan komponen kelihatan lebih ghairah daripada Anwar sendiri untuk mengambil semula kuasa. Oleh itu, Anwar tidak lagi perlu menghadapi kerenah rakan komponen yang melambatkan perancangannya seperti pada tahun 2008.

9. Tindakan balas pihak lawan.

Pada tahun 2008, Anwar mengumumkan Projek 16 September pada bulan April dan memperuntukkan masa lima bulan untuk menjayakannya. Jangkamasa yang panjang itu diperlukan kerana Anwar sendiri belum menjadi Ahli Parlimen sewaktu beliau mengumumkan perkara itu. Halangan perundangan untuk beliau bertanding akibat sabitan kesnya yang pertama hanya berakhir pada Ogos 2008. Dalam tempoh lima bulan itu, pihak lawan melakukan pelbagai asakan terhadap Anwar terutamanya melalui pendakwaan baharu dalam kes Liwat II (kes Saiful Bukhari). Kemuncak kepada tindakan balas Barisan Nasional ialah apabila ia membawa lari ahli-ahli parlimennya ke Taiwan beberapa hari sebelum tarikh 16 September atas alasan lawatan sambil belajar. Pada tahun 2020, Anwar menukar taktiknya dengan melakukan ambush (serangan hendap) pada 23 September. Ini disahkan dengan pengakuan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang yang mereka sendiri tidak dimaklumkan mengenainya sehingga ke saat-saat akhir. Taktik itu menyebabkan pihak musuh kurang bersedia berbanding pada tahun 2008.

10. Keperluan untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang stabil.

Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2008 adalah jauh lebih stabil berbanding kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini. Abdullah Ahmad Badawi tidak menghadapi masalah untuk meluluskan apa-apa perkara di parlimen kerana majoriti yang dimiliki oleh Barisan Nasional adalah besar. Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin pada hari ini adalah yang kerajaan yang paling tidak stabil dalam sejarah Malaysia. Pihak kerajaan berada dalam kebimbangan setiap kali parlimen perlu meluluskan sesuatu kerana majoriti yang dimilikinya terlalu tipis. Oleh itu, pada kali ini Anwar tampil dengan tawaran kepada Raja dan rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil dengan majoriti yang jelas, kukuh dan meyakinkan.

• Dr Madhi Hasan ialah Felo di Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor.

Pas kini dikuasai ‘Geng Publika’, dakwa orang kanan Najib

Malaysia Dateline

Tiga pemimpin Pas yang dilebelkan sebagai 'Geng Publika' oleh orang kanan Najib.

Umno mendakwa, Pas kini dikuasai oleh tiga pemimpin parti itu yang dinamakan sebagai ‘Geng Publika’ yang sentiasa bermesyuarat dengan Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut orang kanan Datuk Seri Najib Razak, ketiga-tiga mereka adalah Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan AJK Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

“Ketiga-tiga mereka inilah berunding dengan Hamzah Zainuddin secara senyap-senyap sehingga tertubuhnya PN (Perikatan Nasional) secara senyap-senyap walaupun sudah bersama Umno dalam Muafakat Nasional,” kata Datuk Lokman Noor Adam dalam siaran FB Live beliau lewat malam tadi.

Lokman, bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib menjadi menterinya sentiasa mendedahkan apa yang berlaku di belakang tabir politik Umno dalam siaran FB Live beliau.

Menurut Lokman, ketiga-tiga mereka inilah juga menjadi orang kepercayaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sentiasa bertemu di Publika, sebuah pusat membeli belah elit di tengah ibu kota.

“Kita fahamlah, dalam usia dan situasi Tok Guru Haji Hadi sekarang, dia banyak delegate (serahkan) kepada orang lain untuk bincang. Dia tidak mikro manage lagi,” kata Lokman menjelaskan bagaimana banyak keputusan Pas diserahkan Hadi kepada tiga orang ini.

Menurut Lokman, Pas mula melukakan hati Umno apabila menyertai Kongres Penyatuan Melayu yang dianjurkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad padahal muafakat antara Umno dan Pas pasti membuahkan kejayaan.

“Tun Mahathir ni tuan-puan macam Mat Sabu kepada Pas lah. Mereka ni pengkhianat kepada parti asal mereka tetapi Pas tak sensitif kepada perasaan Umno apabila bersama Mahathir.

“Apa perasaan Pas jika Umno menyertai majlis yang dianjurkan oleh Mat Sabu dan AMANAH. Sudah tentu Pas marah. Begitulah perasaan Umno bila Pas buat macam tu,” kata Lokman.

Ketika itu, kata Lokman, Presiden Umno pula menghantar Setiausaha Agung Umno, Datuk Annuar Musa.

“Perangai Setiausaha Agung Pas (Takiyuddin) ni tuan puan samalah dengan perangai bekas Setiausaha Agung Umno ni sekarang.

“Sekarang Annuar Musa lebih setia lagi kepada Muhyiddin berbanding dengan Presiden Umno. Sebab itulah, dalam kes sidang media Anwar Ibrahim ni, Zahid kata lain, Annuar Musa kata lain,” jelas Lokman Noor Adam.

Sebaik sahaja Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku ada ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar dan beliau tidak boleh menghalangnya.

Namun Datuk Annuar Musa yang merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Menteri Wilayah Persekutuan pula meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya mengejut diadakan.

Langkah itu katanya, untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan pemimpin pilihan mereka sekali gus menjadi jalan terbaik menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara.

KENAPA PAS TIADA KERUSI DI SABAH

Dalam siaran FB Live lewat malam tadi juga Lokman mendedahkan Bersatu yang telah gagal memberikan kerusi kepada Pas dalam pilihan raya negeri Sabah.

Ia berlaku apabila dalam perundingan, Pas mengambil sikap untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya di Sabah, bukan bersama BN yang dipimpin Umno.

“Dalam rundingan BN dan PN, mereka setuju 42 (dari 73) kerusi di Sabah diberikan kepada BN manakala selebihnya akan ditandingi oleh PN.

“Tiba-tiba selepas Pas bersama dengan Bersatu dalam PN, tiada kerusi diberikan kepada Pas. Jadi itu kena tanya Muhyiddinlah,” kata Lokman selepas ditanya oleh seorang penyokong Pas kepada beliau kenapa Pas tidak ada sebarang kerusi di Sabah.

Lokman menjangkakan ada beberapa sebab kenapa Pas berdiam diri selepas dikhianati sedemikian rupa oleh Bersatu.

“Mungkin Pas sasarkan perkara yang lebih perlu bagi mereka seperti royalti minyak di Terengganu yang ada banyak lagi belum dibayar kerana mereka sedang mencari dana untuk pilihan raya sekarang,” kata Lokman kerana Perdana Menteri yang mampu menunaikan kesemua perkara itu.

Paku terakhir buat keranda …?

AHMAD LUTFI OTHMAN

Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (termasuk ahli-ahli Parlimen Warisan dan kumpulan Mahathir Mohamad) sentiasa mempunyai kekuatan moral dan hak untuk merebut balik Putrajaya sebelum PRU15, sebagaimana mandat rakyat pada Mei 2018.

Kerajaan PH yang ditumbangkan melalui aksi pengkhianatan Langkah Sheraton itu wajar ditegakkan semula tanpa perlu menunggu PRU15.

Namun begitu, mengangkat semula mandat rakyat tanpa melalui pilihan raya sebenarnya adalah permainan kuasa elit politik semata-mata, tiada kena mengena lagi dengan rakyat. Pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka dengan berani, sebahagiannya berkorban wang ringgit dan masa berharga, termasuk terbang jauh dari luar negara untuk memilih kerajaan baharu.

Elit politik sibuk mengatur strategi, tawar-menawar, mengubah sifir politik seolah-olah undi rakyat itu komoditi yang boleh diperdagang. Wabak maut tidak menghalang mereka berpencak silat mencuri kesempatan. Hujung Februari itu koronavirus sedang mengamuk tetapi politikus licik lebih cepat menghidu peluang yang terbuka. Segalanya seolah-olah tidak boleh ditunda lagi.

Secara peribadi, saya tidak berminat, malah menyimpan amarah yang dalam terhadap permainan kuasa elit politik ini. Ia pasti sarat dengan elemen tawar-menawar, kepentingan diri-kabilah, juga amalan korupsi yang bercanggah sama sekali dengan agenda reformasi.

Bagaimanapun, kita sebenarnya tiada banyak pilihan; memilih yang buruk dengan menyisihkan yang terburuk. Kuasa yang dicuri itu harus direbut kembali. Misi pembaharuan dalam pentsdbiran yang tertunda itu mesti disambung, dengan pelaksanaan lebih tersusun.

Di atas segalanya, kepercayaan rakyat kepada sistem dan proses demokrasi yang terjejas teruk kerana Langkah Sheraton itu mesti dikembalikan segera. Khususnya orang muda, majoriti sudah muak-jelak dengan permainan elit politik ini. Ia dilihat kotor dan menjijikkan; ghairah bercakaran demi habuan dan mengisi tembolok ketika rakyat perih meniti hari-hari sukar.

Saya – seperti juga orang awam lainnya – tidak mampu untuk mempengaruhi apa yang akan berlaku. Sedangkan mereka cukup terkesan dengan perubahan kepimpinan dan peralihan kuasa. Soalnya, apakah kita hanya berstatus pemerhati pasif sahaja?

Ya, benar ini hanya permainan licik seputar 222 ahli Parlimen. Rakyat telah memberi amanah untuk mengurus-memulihkan negara yang hampir punah di bawah regim lama, malangnya sebahagian daripada wakil rakyat ini lebih sibuk dan ghairah menguruskan kepentingan politik masing-masing.

Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk negara tercinta, terutama di waktu pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi sekarang. Sidang media Anwar semalam permulaan kepada cerita yang lebih panjang dan mendebarkan. Macam-macam boleh berlaku. Ada yang mengikut skrip dan mungkin tercetus nanti peristiwa tidak terduga. Aksi khianat hujung Februari itu juga bukan semuanya menurut kehendak pengarahnya. Begitulah lazimnya pentas politik. Aktor tidak perlu menunggu arahan sutradara sepenuhnya. Masing-masing peka dan sensitif dengan kepentingan sendiri.

Moga rakyat terselamat daripada terus menjadi korban bertindih. Pengkhianat dan opurtunis politik yang mencuri kuasa 7 bulan lalu sememangnya harus didera. Namun gerombolan yang licik ini tentu ada perkiraan tersendiri demi survival pada setiap musim berubah.

Justeru, Anwar dan rakan-rakannya perlu lebih cermat, berhati- hati dan bijaksana. Jangan termasuk perangkap dan jerat musuh. Masa sama, saya masih menanti sikap politik rakan-rakan dalam Warisan dan penyokong Mahathir-Pejuang. Saya mengharapkan mereka turut tersenarai menyokong kerajaan baharu nanti. GPS yang keluar kenyataan menolak Anwar juga jadi tandatanya biarpun sudah dijangka. Satu lagi, sebagai pengerusi PH, kenapa Anwar semasa sidang media itu tidak diapit Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng? AMANAH dan DAP bukan lagi sekutu akrab dalam satu pasukan? Apakah ini gerak Anwar sebagai Presiden PKR semata-mata atau langkah berstrategi bertaraf super-sulit? Di mana kesatuan Pakatan Harapan dan rakan-rakan oposisi?

Apa pun persoalan berbangkit, moga pengakhiran yang baik menunggu, insya Allah. Ramai mendoakan penuh syahdu agar Malaysia yang teduh, redup dan sejahtera-makmur-adil buat semua warganya. Anwar sememangnya diberi mandat oleh rakan-rakan PH untuk memperolehi “cukup bilang”.

Secara peribadi, sejak kerajaan PH tumbang pada akhir Feb lalu, saya konsisten menyokong penuh usaha untuk merebut semula kuasa yang dirompak itu. Tidak timbul soal kemaruk kuasa seperti yang dituduh-ditohmah. Ia adalah amanah rakyat yang mesti dipertahankan, apatah lagi kerajaan pintu belakang yang didirikan itu dilihat mewarisi regim lapuk kleptokrasi dan korupsi. Apa juga langkah pembaharuan yang dimulakan terhenti secara tiba-tiba.

Namun, perasaan saya berbaur; gembira, bersyukur, risau dan agak gementar kali ini. Masih terlalu awal untuk membuat rumusan, apatah lagi kenduri kesyukuran hanya berdasarkan sidang media penuh nekad Anwar itu. Tunggu dan lihat, serta panjatkan doa. Pendamkan dahulu soalan bertali-arus. Beri peluang buat Anwar mengumpul sokongan menyelamatkan negara, memartabatkan semula mandat rakyat. Selamat maju jaya Anwar.

Seorang kenalan sempat menitipkan soalan tambahan: “Sidang media tengahari Rabu itu ibarat paku terakhir buat keranda …. soalnya keranda siapa?”

Terkejut!!! Patriot dedah di sebalik peristiwa Lahad Datu

Patriot kesal campur tangan politik dalam pencerobohan Lahad Datu
SITI NUR ZAWANI MISCON

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mendakwa wujudnya campur tangan politik dalam peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013.

Presidennya , Datuk Mohamed Arshad Raji memberitahu, ketika itu adanya campur tangan menteri yang bersikap seperti jeneral pada waktu pencerobohan itu berlaku.

“Anggota kabinet utama pada masa itu mempunyai banyak jawapan.

“Mereka adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman,” katanya lagi.

Dakwanya, serangan dilakukan oleh kerana penceroboh berang dan kecewa tidak diberikan tanah seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia yang ketika itu ditadbir Barisan Nasional (BN)

“Jeneral dan komander darat yang sebenar tidak harus dikekang dengan campur tangan politik. Arahan yang diberi sepatutnya adalah ‘tembak sehingga mati’, bukannya melakukan rundingan dengan penceroboh asing seperti yang telah kami sebutkan dalam penyataan kami sebelum ini.

“Namun, ada dakwaan terbaru yang mengejutkan di mana sebenarnya tanah telah dijanjikan kepada para penceroboh bersenjata dan mereka datang untuk menuntut tanah tersebut.

“Selain itu, kejadian itu berlaku didakwa kerana puak-puak Moro tidak berpuas hati dengan perjanjian damai; dan janji yang tidak dipenuhi dalam rundingan damai Moro di Kuala Lumpur dan perjanjian damai Moro di Manila pada Oktober 2012, di mana negara kita memainkan peranan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu beliau berkata, menerusi laporan Reuter sekitar tempoh peristiwa tersebut berlaku, apa yang dilaporkan di Filipina adalah tidak selari dengan apa yang dilaporkan di Malaysia.

Katanya, sekiranya benar dakwaan bahawa tanah Sabah sebenarnya telah dijanjikan kepada penceroboh asing, itu adalah satu perkara yang amat mengejutkan.

Mohamed Arshad menambah, isu pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah berlarutan selama beberapa dekad dan peristiwa Lahad Datu yang berkaitan dengan isu PATI, tidak seharusnya terjadi sekiranya ada kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Senarai panjang kelemahan, kebobrokan menteri Perikatan Nasional

RAYUSA
SUDAH lebih enam bulan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir Malaysia. Mentadbir Malaysia? Sebenarnya, PN atau lebih afdal disebut Kerajaan Tebuk Atap/Pintu Belakang ini hanya mengurus Covid-19!

Disebabkan ghairah mahu menjadi kerajaan, hadapilah wabak pandemik tersebut. Tidak pasti sama ada balasan atau hukum karma kerana mengkhianati rakan-rakan Pakatan Harapan (PH), Kerajaan PN menghadapi kes Covid-19 yang naik mencanak sebaik sahaja berada di Putrajaya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (ketua pengkhianat) sebagai Perdana Menteri terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020. Ketika rencana ini ditulis, PKP masih berjalan atas nama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) fasa kedua.

Ramai yang memuji Muhyiddin dan PN hingga menganggapnya sebagai perdana menteri terbaik, dan kerajaan prihatin. Muhyiddin disanjung kerana memberi bantuan yang amat diharap-harapkan. Boleh pula berdoa, tetapi ada kawan yang bertanya Muhyiddin memohon doa atau mengarahkan Allah? Ada yang mengatakan rakyat boleh menilai kerajaan mana yang lebih baik, dan sudah tentu PN yang lebih baik.

Memang PKP berkesan dalam membendung Covid-19, walaupun hingga kini masih belum berakhir. Bantuan kewangan yang diberikan menerusi skim Pakej Rangsangan Ekonomi bernama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) memang disambut baik oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, pujian rakyat itu kerana wang ringgit. PN lebih baik hanya kerana BPN? Sebenarnya, kesan buruk lebih banyak. Ramai yang menyumpah kerana terpaksa berkurung di rumah. Ramai yang hilang pekerjaan, dan terpaksa menghentikan perniagaan!
Menyanjung kerana wang BPN tanpa memikirkan penyaluran bantuan itu langsung tidak dibahaskan di Dewan Rakyat. Alasan tiada perbahasan ialah Covid-19, PKP dan prosedur operasi standard (SOP).

Mudah alasannya, sedangkan ada wakil rakyat PN, termasuk Timbalan Menteri Kesihatan melanggar SOP. Denda yang dikenakan kepada mereka hanya untuk mengaburi mata rakyat. Mereka mampu membayarnya. Juga dengan memohon maaf dan berjanji tidak mengulanginya, selesai kes.

PN menawan hati rakyat? PH pun akan melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat menghadapi Covid-19 jika masih menjadi kerajaan. Wabak maut ini bukan ukuran PN lebih baik daripada PH.

Kelihatan baik, tetapi dari segi maruahnya, segala tindakan PN tiada hikmah dan berkah. Kalau cara tertubuhnya jelek, mana mungkin ia dapat berdiri dengan baik. Kini semakin jelas keburukannya.

Baik buruk sesebuah kerajaan bergantung pada perdana menteri, dan para menterinya. Dari mula lagi sudah terlihat kelemahan beberapa menteri PN – pandir dan menjadi bahan ketawa.

Pada awal landaan Covid-19 dan PKP, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menyarankan rakyat minum air suam untuk membasmi virus wabak tersebut. Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri kemudian membidasnya!

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (seorang lagi pengkhianat) menyembur bahan pembasmi kuman (sanitizer) di jalan raya, bukan kawasan yang sewajarnya. Beliau juga meletakkan namanya pada penutup muka agar orang tahu!

Datuk Seri Rina Mohd Harun (juga pengkhianat), Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat mengesyorkan para isteri meniru suara watak animasi terkenal Jepun, Doraemon untuk memikat hati suami.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (‘kejatuhan’ PH menyebabkan beliau dapat menggantikan Anthony Loke yang telah bertugas dengan cemerlang), awal-awal lagi mengingatkan sesiapa pun jangan menyebut PN sebagai kerajaan Melayu Islam.

Kenaikan PN juga menyebabkan Pas akhirnya menjadi kerajaan persekutuan. Walau bagaimanapun, oleh kerana naik secara tdak wajar, ia pun menjadi lemah. Tiada seorang pun pemimpinnya, termasuk menteri, membidas kenyataan Presiden MCA itu.

Setelah menjadi kerajaan, pemimpin Pas tambah mengecewakan. Jelas mereka selama ini hanya bermain politik dan ‘menunggang agama’ demi kuasa. Setelah puas memfitnah DAP atas alasan membela Islam dan Melayu, mereka kini tuli dan bisu. Semasa menjadi pembangkang, asyik menyalahkan DAP. Setelah menjadi kerajaan, kecut pada MCA, sambil membela Umno.

Dalam soal pemandu mabuk, Ka Siong pernah menyarankan mereka yang mahu ‘minum’ agar menyewa e-hailing/grab. Sepatutnya beliau tegas memberikan jaminan akan memperketat undang-undang, bukan kenyataan sedemikian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah (juga pengkhianat) menaikkan kemarahan warga internet apabila bercadang mengenakan lesen untuk Youtube, Tik Tok, instagram, dan sebagainya. Apabila keadaan semakin panas, beliau menarik balik cadangan, dan mengaku telah membuat kenyataan yang salah.

Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz diselar kerana lebih menjaga ahli bank daripada rakyat dalam isu moratorium. Senator yang juga mantan ahli bank dan pelabur ini dibidas dengan #bankerjagabanker.

Bulan lalu, Tengku Zafrul mengejutkan apabila menyebut di Dewan Rakyat bahawa Kerajaan PH meluluskan rundingan terus untuk 101 syarikat semasa mentadbir negara. Apabila didesak oleh pemimpin PH untuk menyebutkan satu-persatu, beliau menyatakan hanya menjawab soalan ahli Parlimen.

Memang sukar menyenaraikannya kerana mereka yang khianat juga terbabit memohon. Beberapa ahli Parlimen Kerajaan Tebuk Atap sendiri akan terkena.

Mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali boleh dianggap berubah 360 darjah sebagaimana pemimpin Pas. Sebelum melakukan Langkah Sheraton untuk mengkhianati rakan-rakan dalam PH, Azmin musuh ketat Dato’ Sri Mohd Najib Razak, dan para pemimpin BN/PN.

Namun begitu, selepas menjadi antara menteri kanan Kerajaan PN, Azmin membela Najib, dan membelasah bekas rakan-rakan dalam PH.

Lebih menyedih dan menyakitkan hati ialah apabila Azmin menyelar PH ketika mengaitkan dengan isu Covid-19. Beliau lupa dirinya pernah menjadi sebahagian daripada PH apabila mengatakan PH gagal membela rakyat, malah jika ada rakyat yang mati, katanya, bukan mati kerana Covid-19 tetapi disebabkan oleh PH!

Timbalan Presiden Pas, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man selepas dilantik menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air mengejutkan wartawan apabila mengatakan punca pencemaran alam ialah durian musang king!

Tuan Ibrahim juga menyatakan pelaksanaan hudud tidak boleh secara tergesa-gesa. Beliau mengatakan semasa menjadi pembangkang, Pas hanya tahu mendesak, tetapi setelah menjadi kerajaan baru tahu banyak perkara perlu diselesaikan untuk pelaksanaan hudud.

Semasa membangkang, asyik bertanya kerajaan bila boleh melaksanakan hudud. Mereka yang enggan melaksanakannya dikatakan syaitan. Setelah menjadi kerajaan, usah ditanya pula bila mahu melaksanakannya, malah yang bertanya itu pula dikatakan syaitan!

Terbaharu, Tuan Ibrahim mencadangkan rakyat Kelantan menadah air hujan untuk mengatasi masalah bekalan air kotor. Sebelum ini beliau mengatakan masalah air di negeri Serambi Makkah itu akan selesai dalam masa 40 tahun lagi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (juga dari Pas), sangat kontroversi baru-baru ini kerana mengingkari kuarantin wajib setelah pulang dari Turki. Ahli Parlimen Kuala Nerus itu hanya membayar denda RM1,000 dan mendermakan empat bulan gajinya, sambil memohon maaf.

Mohd Khairuddin atau Khairuddin at-Takiri ini juga kuat menyelar Teresa Kok yang semasa menjadi Menteri Perusahaan Utama menyarankan penanaman buluh. Beliau mengatakan Teresa mengarut, dan tiada idea.

Setelah menjadi menteri, at-Takiri tanpa malu mengikut idea penanaman buluh itu, malah memuji dan amat meyakininya pula. Sikap dan tindakan beliau ini tambah menguatkan hakikat pemimpin Pas hanya tahu memusuhi DAP. Ia menolak DAP kerana parti itu tidak menerima hudud. Anehnya, Umno yang mengaku Islam, tetapi juga menolak hudud yang sangat disembahnya kini.

Satu kesilapan besar jika rakyat hanya terpesona pada bantuan kewangan sahaja hingga buta pada keburukan yang kian terlihat. Hanya dengan cara yang baik sahaja memberikan kebaikan.

PN bukan pilihan rakyat, maka ia tidak untuk rakyat, biarpun Muhyiddin baru sahaja mengumumkan pemberian BPN 2.0 pada 23 September lalu – itu difahami kerana Pilihan Raya Negeri Sabah akan diadakan tiga hari kemudian.

PH yang dipilih oleh rakyat pada 9 Mei 2018. Kepada rakyatlah ia berbakti.

Sokongan 15 MP Umno punca Anwar dapat majoriti

MALAYASIA DATELINE
Sokongan 15 Ahli Parlimen (MP) Umno telah menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mempunyai sokongan yang kukuh dan menyakinkan dalam Dewan Rakyat, dakwa portal berita, The Vibes.

Berdasarkan sumber, portal berita yang baru ditubuhkan dan diketuai oleh Datuk Ahiruddin Atan, wartawan kanan yang rapat dengan Umno itu, The Vibes berkata, inilah penjelasan yang paling wajar kepada kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas pengumuman Anwar semalam.

Zahid dalam kenyataannya semalam berkata, beliau sedar ramai Ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar dan Umno tidak bercadang untuk menghalangnya.

Ini kerana, Umno telah memutuskan sebelum ini mereka tiada kerjasama rasmi dengan Perikatan Nasional (PN), ia hanya melibatkan individu Ahli Parlimen Umno sahaja.

The Vibes berkata, sokongan 15 MP Umno dan kenyataan Zahid inilah penjelasan terbaik kenapa Anwar berkata, majoriti MP yang menyokong beliau adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Dalam masa yang sama, Anwar mendapat sokongan sepenuhnya MP bukan Bumiputra.

Dengan sokongan 42 MP DAP, AMANAH (11), Warisan (9), Upko (1) dan PKR (38) ditambah dengan sokongan 15 MP Umno, Anwar kini akan mengambilalih Kerajaan Persekutuan.

“Ia belum termasuk lagi lima MP yang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini bebas dan dua MP dari Parti Sarawak Bersatu yang belum jelas pendirian mereka,” lapor The Vibes lagi.

Media itu juga melaporkan, 15 MP Umno ini telah memberikan sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajan tanpa mengharapkan apa-apa jawatan.

Sebelum ini, ketika ditanya, berapa jumlah sokongan kepadanya dan siapa mereka, Anwar berkata beliau mahu menyembahkan perkara itu kepada Yang Dipertuan Agong.

“Biarlah baginda menjadi orang pertama mengetahui siapa mereka,” kata Anwar dalam sidang medianya semalam.

Benarkah Zahid Hamidi sudah ada 'Deal' dengan Anwar

ZAHID HAMIDI SUDAH ADA ‘DEAL’ DENGAN ANWAR, UMNO TERPECAH DUA?
Shahbudin Husin

Suhu politik kembali panas selepas negara dikejutkan dengan polemik terbaharu susulan pengumuman Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mendakwa dirinya sudah memiliki majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sebaik selepas pengumuman tersebut, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pula seakan senada dengan Anwar apabila kenyataannya memberi bayangan terdapat Ahli Parlimen daripada UMNO yang akan menyertai kem Anwar untuk membentuk kerajaan baharu tersebut.

Kata Zahid Hamidi, UMNO dan BN tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimennya daripada mengambil keputusan menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baru.

“Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Zahid Hamidi seterusnya memberitahu, beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid Hamidi tersebut dilihat menimbulkan rasa kurang senang daripada kalangan pimpinan UMNO, malah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa tidak menyembunyikan pendirian mereka yang seolah-olah tidak mahu UMNO menyeberang untuk bersama Anwar membentuk kerajaan baharu, sekaligus menumbangkan Muhyiddin Yassin.

Kata Mohamad Hasan, UMNO masih lagi menyokong dan mendokong kerajaan PN.

“Sebarang perubahan keputusan mestilah diputuskan oleh parti,” jelasnya.

Annuar pula berkata, semua parti yang bergabung dalam PN kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Sambil menyangkal dakwaan Anwar mempunyai sokongan majoriti, Annuar menambah, apa yang dilakukan Presiden PKR itu tidak lebih ulangan publisiti murahan seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Tetapi, yang menjadi persoalan besar di sini ialah tentang kenyataan Zahid yang begitu lunak terhadap rancangan peralihan kuasa Anwar dan seolah-olah beliau sudah mempunyai persefahaman dengan Presiden PKR itu untuk menarik beberapa Ahli Parlimen UMNO untuk bersama dalam kerajaan baharu.

Malah ada sumber memberitahu, lantaran adanya sokongan Zahid Hamidi kepada Anwar itulah yang menyebabkan beliau mempunyai keyakinan untuk menjatuhkan kerajaan dipimpin Muhyiddin dan disebabkan itu juga satu sidang media tergempar diadakannya.

Perkembangan terkini ini dijangka turut memberikan kesan kepada kempen PRN Sabah yang sedang berjalan, malah krisis terbaharu ini menyebabkan kem UMNO kini sudah berpecah dua dan ia memberikan kesan moral kepada jentera pilihan raya BN yang sedang berkempen di Sabah ketika ini.

Lebih dari itu, dengan gambaran Muhyiddin sudah hilang majoriti, kedudukan PN menjadi lebih parah dan akan menyebabkan tiada siapa lagi mahu mengundi calon gabungan kerajaan itu.

Persoalannya lain, adakah selain Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Najib Razak juga terlibat dalam komplot terbaharu ini?

Dengan perkembangan ini, apakah Muhyiddin bakal ditikam oleh rakan sekutunya sendiri dalam UMNO?

Sama-sama kita nantikan kesudahannya dalam beberapa hari akan datang nanti.(Shahbudindotcom 23/09/2020)

Ruginya dakwah Pas di Sabah jika hanya sekadar pacak bendera BN

MOHD ALI HASHIM

Alangkah ruginya dakwah Pas di Sabah sekiranya ia hanya sekadar memasang dan memacak bendera BN.

Demikian dizahirkan oleh ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelas beliau, lebih menyedihkan apabila jalur dakwah Pas di Sabah masih berjalan dengan memasang dan memacak panji-panji BN yang mana, sebahagian besar calon-calon BN tersebut bukan Muslim dan Pas dilihat tidak boleh melebarkan jalur dakwahnya di Sabah.

“Pas seharusnya mengkaji semula kerjasama dengan BN apakala Pas tidak langsung tbertanding di Sabah, bahkan melepaskan 4 kerusi kepada MCA yang juga penentang hukum Hudud yang istiqamah dan keras.

” PRU 14 Pas bertanding 18 kerusi DUN Sabah dan terbukti semuanya kecundang. Namun begitu Pas bukan sekadar sebuah parti politik tetapi lebih penting sebagai sebuah gerakan Islam.

” Malah Muktamar Pas 2020 di PUTIK Kelantan, Pas gagal membahas dan mengkaji secara komprehensif mengapa Pas tidak diberi ruang untuk bertandinv dalam PRN Sabah,” ujar beliau.

Tambahnya, oleh kerana ahli-ahli Pas ditanam dan ditarbiyyahkan bahawa bukan Pas memburu kemenangan dalam pilihan raya tetapi lebih penting melebarkan dakwah Islam, ekoran itulah mereka tidak kecewa apabila tewas dalam PRU maupun PRK setelah berpegang kepada Allah tidak tanya kemenangan kamu, tapi Allah tanya usaha kamu.

Terdahulu, walaupun tidak mempunyai sebarang kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Pas tetap menggerakkan jenteranya bagi membantu Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Pas mempunyai jenteranya di 20 bahagian di Sabah melibatkan kira-kira 2,000 ahli parti.

'Presiden dan Majlis Tertinggi Umno sudah jadi ejen bebas'

A Kadir Jasin
Seorang wartawan kanan tempatan yang bertugas dengan sebuah penerbitan asing menulis dalam Facebooknya: "Umno breakup?". Maksudnya "Umno pecah?"

Dia merujuk kepada kenyataan media Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkenaan dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, hari ini yang dia ada majoriti untuk jadi perdana menteri.

Seperti saya tulis dalam Facebook saya tengah hari tadi, saya akan percaya hanya apabila Anwar angkat sumpah jadi Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin hilang kerusi Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya, Ahmad Zahid, antara lain berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sokongan kepada kerajaan PN (pimpinan Muhyiddin) merupakan sokongan peribadi oleh Ahli Dewan Rakyat Umno/BN.

Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen mereka yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar (sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin).

Ahmad Zahid berkata dia telah dimaklumkan yang ramai Ahli Parlimen Umno dan BN telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sama seperti dia tidak menghalang Ahli Parlimen Umno dan BN menyokong Muhyiddin, sekarang dia tidak menghalang mereka menyokong Anwar.

Jadi tidak hairanlah kalau wartawan yang saya petik itu membuat andaian Umno sudah berpecah.

Nampak macam itulah. Presiden Umno dan Majlis Tertinggi tidak lagi membuat keputusan calon mana Ahli Parlimen Umno wajib sokong sebagai Perdana Menteri.

Mereka buat keputusan sendiri. Kalau pada bulan Mac lalu mereka sokong Muhyiddin sampai dia dilantik jadi Perdana Menteri, sekarang mereka bebas campak dia dan ambil Anwar.

Mereka sudah jadi ejen bebas (free agent) dan Umno tidak lagi ada pendirian atau peranan dalam pemilihan seorang Perdana Menteri.

Saya PM selagi Anwar tak buktikan majoriti - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin menegaskan yang dia masih lagi memegang jawatan perdana menteri selagi Anwar Ibrahim tidak membuktikan mempunyai majoriti cukup.

"Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

"Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan PN masih berdiri teguh dan saya adalah perdana menteri yang sah," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Istana Negara sahkan Anwar sepatutnya menghadap Agong semalam

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berlangsung semalam, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis itu bagaimanapun ditangguhkan berikutan masalah kesihatan dialami Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menjalani rawatan bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Daim Zainuddin, para jemaah menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Anwar yang mendoakan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Istana Negara turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

“Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah.

“Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan,” katanya.

Azmin gelar Anwar ‘Pembohong tegar dan ahli politik gila'?

Dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim bahawa dia mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun ramai pemimpin kerajaan menolak dakwaan Anwar itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali hanya mempunyai lima kata-kata untuk dikemukakan.

"Pembohong tegar dan ahli politik gila," katanya dalam ciapan di Twitter.

Azmin, yang juga anggota majlis pimpinan tertinggi Bersatu, tidak memperincikan maksud ciapannya itu.

Bekas timbalan presiden PKR itu berperanan dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada akhir Februari lalu.

Azmin bersama 10 ahli parlimen PKR termasuk dirinya berpaling tadah menyokong Bersatu dan pada masa sama presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu dari Pakatan Harapan.

Muhyiddin kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru setelah dia membentuk kerajaan PN yang terdiri daripada pemimpin PKR yang membelot bersama wakil rakyat Bersatu, BN, GPS, PAS, PBS dan Star.

Azmin sebelum ini adalah penyokong setia Anwar yang bersamanya ketika dia dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998 dan kemudian dihumban ke penjara oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Namun, hubungan Azmin dan Anwar menjadi tegang dalam beberapa tahun kebelakangan ini sehingga menyaksikan PKR retak dan akhirnya berpecah.

Ini memuncak dengan pembelotan Azmin pada akhir Februari. Azmin juga membawa sebahagian besar penyokongnya ke Bersatu.

Pada sidang media di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur hari ini, Anwar mendakwa dia mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat tetapi enggan menyatakan jumlah anggota parlimen yang sebenarnya.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata, bahawa adalah wajar baginya mempersembahkan nombor tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

"Jumlahnya (sokongan) kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil.

"Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya sambil menambah ahli parlimen yang menyokongnya terdiri daripada pelbagai parti.

Namun, bagi pemimpin PN, Anwar hanya menipu.

Zahid Hamidi: 'Umno tak dapat halang wakil rakyatnya sokong Anwar'

Umno dan BN tidak dapat menghalang mana-mana anggota parlimennya yang mengambil keputusan untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru.

“Sebagaimana diketahui umum, Umno dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari ahli-ahli parlimen sahaja.

“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pegawai Zahid telah mengesahkan keaslian kenyataan media itu kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Anwar mengumumkan majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru.

Dia setakat ini tidak mendedahkan jumlah sokongan anggota parlimen diperolehnya sementara menunggu nama-nama itu dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Sementara itu, kenyataan Zahid itu dilihat tidak selari dengan penegasan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bahawa Umno masih lagi menyokong Perikatan Nasional (PN).
-Malaysiakini

Selepas AMANAH, 42 MP DAP juga sokong kerajaan pimpinan Anwar

SITI NUR ZAWANI MISCON
Selepas AMANAH, kini 42 ahli Parlimen DAP juga menyatakan pendiriannya menyokong pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau cukup bilang untuk membentuk kerajaan.

“Kami mengambil maklum pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim tadi bahawa beliau telah mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

“Selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, 42 Ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau cukup bilang untuk membentuk Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar tengah hari tadi mengumumkan telah mempunyai sokongan besar Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya juga memaklumkan kerajaan ini mempunyai mempunyai majoriti MP Melayu,” kata Anwar dalam sidang media khas di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang diperolehinya, Anwar menjawab ringkas, “Hampir dua pertiga. Majoriti kukuh dan meyakinkan.”

Blok yang menolak Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin pada masa ini membentuk jumlah keseluruhan 109 kerusi Parlimen dengan 91 daripadanya daripada PKR, DAP, dan AMANAH.

Sementara itu, Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memiliki 15 kerusi.

Turut menolak PN ialah Ahli Parlimen Muar bebas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan penggerak penubuhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia).

Selain itu, dua Ahli Parlimen Parti Sarawak Bersatu (PSB) juga tidak menyokong PN yang pada masa ini hanya mempunyai 113 kerusi Ahli Parlimen.

Anwar bayangkan tempat buat Muhyiddin dalam kerajaan baru

Presiden PKR Anwar Ibrahim berharap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bekerjasma memastikan peralihan lancar tampuk kepimpinan negara.

Anwar berkata dia tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Muhyiddin atau mempunyai masalah peribadi dengan presiden Bersatu itu.

“Kesedian dia bekerjasama akan membantu supaya perubahan, peralihan itu aman dan teratur,” kata Anwar ketika menjawab soalan pemberita selepas mengumumkan cukup majoriti membentuk kerajaan baru.


Dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur tengah hari ini, Anwar juga memberi bayangan ada kedudukan buat Muhyiddin, walaupun tidak menghuraikan lanjut perkara itu.

“Dan seandainya beliau bersedia beliau boleh bersedia berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai,” kata Anwar.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu

BORHAN Ahmad
Anwar dalam sidang media khas tengah hari tadi bersama Saifuddin dan Wan Azizah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau mempunyai sokongan besar Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus kejatuhan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Alhamdulillah, kini saya mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan.

“Saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam tetapi terpaksa ditangguhkan kerana baginda dimasukkan ke IJN (Institut Jantung Negara).

“Dengan sokongan majoriti selesa ini, kerajaan Tan Sri Muhyiddin jatuh.

“Saya juga memaklumkan kerajaan ini mempunyai mempunyai majoriti MP Melayu,” kata Anwar dalam sidang media khas di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur hari ini.

Turut serta isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ditanya jumlah kerusi yang diperolehnya, Anwar menjawab ringkas, “Hampir dua pertiga. Majoriti kukuh dan meyakinkan.”

Beliau dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong secepat mungkin bagi memohon perkenan baginda bagi membentuk kerajaan yang baharu.

“Kita tidak umumkan secara terperinci untuk memberikan penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi orang pertama yang mengetahuinya,” kata Anwar.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu ini.

Pada masa ini PH mempunyai 91 Ahli Parlimen iaitu PKR (38), DAP (42) dan AMANAH (11).

Menurut Anwar, majoriti dari MP yang menyokong beliau adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Sumber memberitahu, Anwar telah mendapat sokongan 10 Ahli Parlimen Umno dan kesemua 19 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama beliau.

Anwar umum majoriti kukuh, 'kerajaan Muhyiddin jatuh'

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membuat pengumuman itu di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.

Menjawap soalam wartawan, beliau berkata majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

“Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya sambil menambah ahli parlimen yang menyokongnya terdiri daripada pelbagai parti.

Anwar juga memberi jaminan bahawa dia ada dokumen tetap yang tidak boleh diragui bagi membuktikan bahawa diakini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Diasak wartwan untuk maklumat lanjut, Anwar berkata, butiran akan hanya diberikan selepas dia mengadap Yang di-Pertuan Agong yang sekarang berada di Institut Jantung Negara.

“Kerajaan pimpinan (perdana menteri) Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat selanjutnya akan saya maklumkan lepas mengadap baginda Agong dalam masa terdekat insya-Allah.

“Pentadbiran ini pasti wakili semua rakyat. Majoriti Melayu bumputera dan perwakilan dari semua kaum di negara kita," katanya.

“Kerajaan pimpinan (perdana menteri) Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat selanjutnya akan saya maklumkan lepas mengadap baginda Agong dalam masa terdekat insya-Allah.

“Pentadbiran ini pasti wakili semua rakyat. Majoriti Melayu bumpitera dan perwakilan dari semua kaum di negara ktia.

Menurut Anwar, dia dijadual mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Selasa lalu tetapi Seri Paduka sedang menjalani rawatan.

Namun katanya, perkembagangan politik negara itu telah disampaikan melalui telefon.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan barunya akan tetap menjunjung prinsip perlembngaan.

“Kita iktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabtkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera, di samping jaminan tegas mempertahan hak rakyat pelbagai kaum.

“Akhir sekali, saya mohon semua rakayt bersabar dan mendoakan kesembuhan Agong,” katanya.

PN tumbang? Selepas sekian lama ‘sikit saja lagi’, kini harinya…

BORHAN AHMAD

Selepas sekian lama bermain dengan pekataan ‘sikit saja lagi’, akhirnya hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Media mula membuat spekulasi bahawa Anwar akan membuat pengumuman ini selepas pelbagai laporan mengenainya mula didengar sejak semalam.

SinChew melaporkan, Anwar akan mengumumkan beliau mempunyai sokongan dari 123 Ahli Parlimen namun Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengunci mulutnya untuk mengesahkan sebarang perkara.

“Saya diarahkan untuk kunci mulut saya,” kata Fahmi ketika ditemui Malaysia Dateline pagi ini ketika membuat persiapan sidang media di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Wartawan mula datang ke hotel Le Meridien sejam jam 10.30 pagi lagi walaupun sidang media hanya dijangka bermula 12 tengahari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadualkan akan membuat kenyataan khas secara langsung melalui RTM, TV3, Bernama dan Astro pada jam 2.30 petang ini.

Jika benar Anwar mendapat sokongan 123 MP, bermakna ia adalah pertambahan sebanyak 14 kerusi dari 109 ketika undi belah bahagi di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Saya dengar, dia mendapat sokongan dari MP Bersatu juga,” tulis seorang wartawan kanan dalam satu kumpulan whatsapp.

Seorang pemimpin kanan AMANAH pula mengesahkan bahawa Anwar dijangka akan mengumumkan dia mempunyai sokongan yang cukup untuk mengambil alih kerajaan hari ini.

PANAS!!! Anwar buat pengumuman penting tengah hari ini

MOHD AZLIM ZAINURY
SHAH ALAM -
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan membuat satu pengumuman penting dalam sidang akhbar pada jam 12 tengah hari ini.

Terdapat spekulasi bahawa Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berjaya mengumpulkan sokongan ahli Parlimen untuk mendapatkan majoriti di Parlimen.

Sumber terdekat Anwar juga mengesahkan perkara itu seperti dilaporkan portal Malaysiakini, namun sumber terbabit enggan menyatakan jumlah sokongan atau butiran mengenainya buat masa ini.

"Tetapi (ini adalah) majoriti besar," katanya.

Tidak jelas siapa berpihak kepada Anwar, tetapi spekulasi mengatakan bahawa ia tidak termasuk kumpulan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sebaliknya, Anwar mungkin mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO.

Sumber PKR juga mengatakan bahawa beliau mungkin mendapat sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdapat juga khabar angin bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu mungkin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semalam Yang di-Pertuan Agong dilaporkan sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi keadaan baginda tidak membimbangkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor masih berada di Semenanjung namun dijadual akan berada di Kota Kinabalu, Sabah malam ini.

Pada masa ini, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memiliki 91 kerusi.

Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pejuang mempunyai 15 kerusi, manakala dua anggota Parlimen dari PSB dan Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga tidak berpihak kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Gabungan blok pembangkang sekarang ini mempunyai 109 kerusi.

Sekiranya Anwar mendapat sokongan daripada GPS, ini bermakna mereka mempunyai 117 kerusi dengan majoriti enam kerusi.

Bagaimanapun, sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan Warisan dan Pejuang, maka beliau masih boleh membentuk kerajaan dengan 112 kerusi jika mendapat sokongan PSB dan Syed Saddiq.

Jika tidak, Presiden PKR itu mesti menarik sokongan ahli Parlimen daripada PN.

Tidak kira sama ada beliau mempunyai majoriti atau tidak, Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa di tangan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sama ada baginda akan meminta Perdana Menteri yang kehilangan sokongan untuk mengundurkan diri atau membubarkan Parlimen.

SPRM tahan 2 anggota keselamatan kerana edar wang bagi pihak Umno

MALASIA DATELINE
Dua petugas keselamatan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lahad Datu kerana dipercayai menerima dan kemudiannya mengedarkan sejumlah wang disyaki untuk ‘membeli’ undi.

Kedua-duanya kemudian dikatakan mengaku bahawa mereka menerima wang itu dari pemimpin Umno dan telah mengedarkan sebahagian wang itu kepada anggota dan keluarga mereka sebelum membuang undi awal hari ini.

Bernama pula melaporkan, ia dibuat bagi pihak seorang calon parti politik.

Menurut sumber, lapor Bernama, kedua-dua suspek itu didakwa menjadi ‘orang tengah’ untuk memberikan wang tersebut kepada pengundi awal hari ini susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Kes berkenaan dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada SPRM setelah aduan diterima berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy mengesahkan penahanan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut, lapor agensi berita kerajaan itu lagi.

Seorang dua dalam PH tergigit lidah, apa nak pening

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Pakatan Harapan (PH) ada majlis presiden. Majlis ini masih wujud dan sah sehingga detik ini. PH juga ada perlembagaan. Semua anggotanya wajar akur kepada dokumen bertulis itu untuk kekal dalam PH.

Pengerusinya ialah Anwar Ibrahim, Presiden PKR. Anggota utamanya ialah Mohamad Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP). Ada anggota tambahan lain yang diputuskan oleh parti masing-masing untuk pengukuhan.

Sebarang keputusan PH mengikat parti-parti komponennya. Biasanya, keputusan penting dan besar berlaku secara konsensus. Jarang keputusan besar berlaku secara majoriti.

Setakat yang saya tahu, semua pemimpin parti komponen PH akan memegang teguh keputusan PH. Jika sesuatu keputusan memerlukan perubahan atau pindaan, hal itu berlaku dalam mesyuarat PH.

Semua pemimpin PH akan bercakap nada yang sama di hadapan umum setelah ada keputusan. Ada pun seorang dua individu pemimpin yang mungkin tergigit lidah, bercakap berbeza, itu perkara biasa. Ada peraturan yang boleh membendungnya.

Justeru, saya tidak risau sangat dengan sedikit pergeseran yang berlaku dalam kalangan penyokong PH masa kini. Sembang politik dalam media sosial sama macam sembang kedai kopi Mak Cik Kiah.

Bezanya, dalam media sosial tidak ada tepuk meja macam di kedai kopi. Kalau ada yang hempas telefon, itu terpulanglah. Hempas telefon kerana geram dengan pandangannya yang ditolak agak kurang normal.

Habis sembang, balik dan buat kerja masing-masing. Esok datang lagi dan sembang lagi. Kedai kopi Mak Cik Kiah pun meriah dan Mak Cik Kiah pun suka. Rezeki Mak Cik Kiah bertambah.

Penghujung pergeseran itu ialah keputusan yang dibuat oleh pemimpin PH. Mungkin ada seorang dua ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan itu. Hal itu lumrah kerana akhirnya, orang yang tidak bersetuju akan akur kepada majoriti.

Saya tidak pernah tertekan dengan pergeseran kecil dalam media sosial. Untuk taksub dengan seseorang atau sesuatu pandangan, jauh sekali. Saya akan terima dan tolak seseorang atau sesuatu pandangan macam saya terima atau tolak hidangan.

Jika saya nampak sedap, sesuai dengan selera dan tidak mudarat, saya makan. Jika tidak, saya ketepikan saja. Jika sudah lama dan basi, saya buang dalam tong sampah. Apa nak susah?

Tidak perlu tertekan pun dengan pergeseran politik. Teruskan hidup macam biasa. Kalau hujan turun, tadah air hujan. Tidak ada hujan, tadah teh O dari pili. Apa nak pening? Demikian saran menteri.

Keras suruh tutup kilang arak masa PH, edar minuman keras masa PN

FAZLI RADZI

Tular di media sosial gambar petugas parti BN mengangkat sekotak tin minuman keras jenama Tiger untuk diedarkan ke rumah dipercayai berlaku di Sabah.

Terdapat tiga individu lelaki yang keluar dari kereta dengan nombor plat pendaftaran SAC 9946 D dengan dua daripadanya sedang memegang sekotak tin minuman keras jenama itu.

Aksi sekutu Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu berlaku ketika kurang seminggu berbaki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-16.

Rata-rata reaksi warganet menyifatkan agihan minuman Tiger itu bercanggah dengan sikap keras Pas semasa era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Penyokong dan beberapa pemimpin parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bahkan menuntut kilang arak ditutup.

Suara lantang Pas dua tahun lalu itu turut menjadikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga pemimpin AMANAH sebagai sasaran serangan.

Antaranya pada 26 September 2018, Pas mempersoalkan Khalid yang merupakan Menteri Wilayah ketika itu berhubung arahan menutup pusat tahfiz tidak berdaftar di ibu negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sepatutnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengutamakan penutupan kedai arak susulan kes pengambilan arak tiruan yang meragut 37 nyawa.

“Ramai yang masih menunggu pengumuman Menteri Wilayah untuk mengarahkan kedai arak ditutup, selepas lebih 30 mangsa mati akibat keracunan arak,” kata Tuan Ibrahim ketika itu.

Terdahulu, Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin dalam satu ciapan di Twitter pada 20 September 2018 garang menegaskan perjuangan mengharamkan arak.

“Ayuh sama-sama kita perjuangkan supaya arak diharamkan terus dari Malaysia. Arak merosakkan manusia,” katanya.

Bagaimanapun, sikap Pas kemudiannya lunak termasuk menyatakan kilang arak sebenarnya sudah lama ada di negara ini seperti disebut Naib Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin pada Mei lalu.

Anak bekas Ahli Parlimen Pas Baling itu berkata, operasi kilang arak dan jumlah cukai daripada arak bukannya isu.

Menurutnya, penjualan arak mengikut hukum Islam dibenarkan dengan syarat mengikut nisbah bukan Islam yang minum arak di sesuatu kawasan.

Pas semasa kerajaan PH lantang berjuang mahu arak diharamkan.