"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN goyah di Johor

Chan Kok Leong
SEINGAT rakyat Malaysia, Johor memang sinonim dengan Umno/Barisan Nasional.

Tetapi, sinonim itu nampaknya bukan lagi satu kenyataan. Negeri selatan tanah air itu mungkin merupakan tempat lahir parti politik paling terkenal negara tetapi ikatannya sudahpun diputuskan apabila satu kajian terbaru menunjukkan lebih separuh penduduk Johor kini terbuka memilih muka baru untuk mentadbir negeri.

Dalam kajian dilakukan Merdeka Center for Opinion Research bulan lepas, 51% daripada 1,007 responden penduduk Johor mengatakan mereka akan memberi peluang kepada parti lain untuk menguruskan kerajaan negeri.

Pengundi Cina mempunyai peratusan tertinggi sebanyak 69% diikuti oleh India (50%) dan Melayu (39%).

Sentimen mempunyai parti lain untuk mentadbir Johor juga lebih kerap dikesan dalam kalangan penduduk Johor berpendapatan tinggi- >RM7,000 (65%) dan RM4,000- RM6,999 (67%).

Pandangan itu juga didapati wujud secara saksama dalam kalangan pengundi bandar dan luar bandar.

Kajian itu menunjukkan walaupun penduduk Johor menyokong Menteri Besar Khaled Nordin, mereka masih tidak berpuas hati dengan kos sara hidup dan cara negara ini ditadbir oleh kerajaan persekutuan.

Pendek kata, mereka tidak gembira dengan situasi ekonomi dan cara negara ini diurus oleh kerajaan BN menjadikan mereka lebih bersedia untuk memilih pihak bukan Umno/BN mentadbir kerajaan negeri.

Pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) meningkatkan tiga kali ganda kerusi di negeri itu daripada enam kepada 18. DAP adalah pemilik terbesar selepas merampas 13 kerusi negeri daripada parti komponen BN, MCA.

Dalam pilihan raya umum akan datang, Bersatu akan bertanding di 18 kerusi negeri, 16 daripadanya kini dipegang Umno. DAP pula akan bertanding di 14 kerusi dengan PKR dan Amanah akan bertanding di 12 kerusi.

Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 56 kerusi.

Terbuka untuk perubahan

Di Stulang Baru di sebelah Kg Melayu Majidee, warung-warung seperti Sebulong Corner sudah mula menganjurkan majlis DAP.

“Kami ada Adun Stulang Andrew (Chen Kah Eng) di sini minggu lepas untuk edarkan limau mandarin dan semuanya berjalan lancar,” kata penduduk tempatan dan pemilik Sebulong Corner, Roslan Adan.

Roslan, 59, yang mengambil alih perniagaan warung daripada ayahnya yang memulakan perniagaan itu 15 tahun lalu berkata dia mahu rakyat mendengar sisi lain cerita negara.

“Bertahun lamanya, kami hanya dapat versi cerita sebelah pihak sahaja di sini. Jadi saya memutuskan untuk beri peluang kepada pembangkang bertemu dengan penduduk tempatan di sini,” katanya.

Menurutnya, orang pelbagai latar belakang datang ke warungnya, yang hanya beroperasi daripada jam tujuh hingga 11 pagi setiap hari. Dan walaupun membuka warungnya kepada pembangkang, perniagaan tidak terjejas.

“Selain penduduk kampung, pekerja kerajaan dan swasta pun datang ke sini setiap hari dan mereka lebih terbuka daripada apa yang rakyat percaya,” tambahnya.

Di sebuah meja di warung itu ada empat orang lelaki, seorang daripadanya adalah ahli lama PAS Rosli Kemim, pesara tentera laut Hj Abdul Wahab Hj Abdullah dan dua lagi ahli Umno.

Rosli yang mempunyai 12 orang anak dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan berkata secara umumnya orang Melayu masih takutkan DAP kerana media menggambarkan mereka sebagai anti Islam dan pelampau Cina.

“Tetapi ini kawasan bandar dan kami dapat maklumat lebih baik dengan membaca portal berita berbeza. Jadi kami berbeza.”

Orang Melayu tak perlukan Umno

Rosli mengatakan idea yang hanya pemimpin Melayu boleh melindungi orang Melayu adalah salah.

“Kawasan in ada ramai setinggan Melayu yang duduk di sini hampir 50 tahun tetapi apa yang Ahli Parlimen Johor Bahru Shahrir Samad buat untuk mereka? Walaupun jadi wakil rakyat kami untuk tujuh penggal, setinggan itu masih tiada geran tanah,” tambahnya.

Lelaki paling berumur di meja itu, Abdul Wahab, 78, berkata Umno merasakan orang Melayu perlukan mereka.

“Tetapi sebenarnya Umno yang perlukan Melayu untuk survive,” kata bekas setiausaha cawangan Umno Stulang Baru itu.

Abdul Wahab yang menyertai Umno pada 1956 berkata dia sudah bosan dengan sistem sedia ada yang tidak ada semak dan imbang.

“Saya mula berkempen untuk Shahrir bila dia bertanding di kerusi JB pada 1979 malah ikut dia masuk Semangat 4 tetapi saya tak akan undi dia lagi. Dia masih kawan saya tetapi partinya teruk dan negara perlukan perubahan,” katanya.

Dalam kajian itu, 21% penduduk Johor mengatakan Pakatan Harapan mampu melindungi kepentingan Melayu dan bukan Melayu, 20% lagi merasakan pembangkang mempunyai pemimpin berpengalaman.

Seorang lagi ahli Umno yang enggan dinamakan, mengatakan dia juga tidak akan mengundi parti utama orang Melayu itu kerana tidak berpuas hati dengan kos sara hidup dan dakwaan korupsi terhadap pemimpinnya.

Panglima PAS cari tempat selamat, sindir Husam

Keyakinan PAS untuk menang di 120 kerusi parlimen dilihat tergugat apabila pimpinan tertinggi parti itu mahu bertanding di kerusi selamat, kata Husam Musa.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan itu berkata, ia susulan hasrat Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan akan bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

"PAS kata nak menang 120 kerusi. Kalau nak menang 120 kerusi di Kelantan kena menang semua 14 kerusi. Kena menang semua di Terengganu dan Pahang.

"Bila Tun Ibrahim nak bertanding di Kelantan, adakah dia tidak yakin boleh menang di Pahang? Bermakna di Pahang tak boleh menang," Katanya ketika berceramah di Majlis Pelancaran Jentera HARAPAN Pengkalan Chepa, Kota Bharu, malam tadi.

Terdahulu, terdapat dakwaan dan khabar angin yang mengatakan Tuan Ibrahim bakal bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Malah, beliau menyatakan kesediaan untuk bertanding di Kelantan jika diarahkan parti.

Tuan Ibrahim merupakan calon PAS di dewan undangan negeri (DUN) Jengka sejak pilihan raya umum 2004 dan tewas dalam kesemua penampilan beliau.

Pada pilihan raya umum 2013 lalu, beliau tewas kepada calon BN dengan majoriti 1,303 undi

Sementara itu, Husam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, kehadiran Tuan Ibrahim untuk bertanding di Kelantan disifatkan sebagai 'mencari tempat selamat'.

"Dia terpaksa cari tempat air tohor (selamat). Di Pahang (PAS) tak yakin boleh menang, terpaksa hantar orang bertanding di kelantan.

"Tinggalkan pada anak buah di Pahang, manakala panglima cari tempat tinggi (selamat)," katanya yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).
-malaysiakini

Rogol gadis, 9 anggota tentera direman

SEMBILAN anggota tentera direman tujuh hari bagi membantu siasatan satu kes rogol bergilir-gilir seorang gadis berusia 17 tahun di Kluang, pada pertengahan Disember lepas.

Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan semalam sebelum dibenar reman bermula hari ini.

“Saya mengesahkan (polis menerima) laporan yang dibuat (mangsa). Sembilan yang ditahan direman tujuh hari hingga 1 Mac,” katanya ketika dihubungi, di Johor Baru.

Difahamkan kesemua anggota tentera dari Kem Mahkota, Kluang tersebut ditahan selepas gadis berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kluang, kira-kira 8.50 pagi semalam.

Difahamkan seorang daripada suspek merupakan teman lelaki gadis tersebut.
-Bernama

RUU 355: Umno ‘checkmate’ Pas, DAP juga yang salah

HUSIN MAHA 
Walaupun rang undang-undang (RUU) persendirian Akta 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dibawa ke sidang Dewan Rakyat dengan persetujuan Umno sejak tiga sesi lalu, namun hasilnya masih tidak kelihatan memandangkan ia belum lagi dibahaskan dan diundi anggota dewan.

Ahli parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata, RUU persendirian ahli parlimen Marang yang juga presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibentang di Dewan Rakyat melalui kebenaran Speaker Dewan Rakyat.

Namun kesal beliau, RUU itu tidak pernah dibahas di Dewan Rakyat walaupun di luar dewan para pendokong Pas menyifatkan Abdul Hadi sebagai ‘hero Islam’.

“Kami dari parti AMANAH khususnya, arif sangat ni semua ‘game’ (permainan) Umno untuk tonjolkan imej kononnya mereka juga sokong hukum Islam yang Pas bawa dengan benarkan presiden Pas sekadar bentang RUU itu; dibahaskan tidak, jauh sekali untuk diluluskan,” kata pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) AMANAH itu.

Menulis di laman FB, Hanipa mengakui pernah menasihati pemimpin Pas bahawa jika Umno benar-benar mahu menyokong usaha menaikkan taraf dan bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi membolehkan Kelantan melaksana hudud, sepatutnya pemimpin Umno (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang menerajui kerajaan membawa pindaan Akta 355 ke Dewan Rakyat.

“Itu lagi mudah, tak berbelit, berkesan dan mungkin berjaya,” katanya.

Beliau juga masih ingat alasan pemimpin Pas bahawa jika Umno membawa RUU 355 ke Dewan Rakyat, ia diumpamakan seperti Pas membawa bola ke kotak penalti tetapi Umno yang menjaringkan gol.

Hanipa turut menyentuh tindakan seorang bekas ahli parlimen Umno memfailkan saman di mahkamah bagi mencabar RUU 355 daripada dibentangkan dengan menamakan Speaker dan Setiausaha Dewan Rakyat sebagai responden.

“Speaker dan Setiausaha Dewan Rakyat cuba batalkan saman mantan YB Umno itu tapi gagal. Tak tahulah adakah Pas akan keluar ‘fatwa’ ke atas mantan YB Umno itu, peguam beliau dan hakim tersebut kerana kes itu. Takut nanti DAP juga yang salah!” sindir Hanipa.

Menurut beliau, dengan keputusan terbaru mahkamah itu dan sidang Parlimen yang berkemungkinan akan berakhir pada Mac atau April ini, beliau yakin pembentangan RUU 355 itu tidak akan ke mana selain di takuk lama.

“Hanya dibentang dan tak berbahas, tak ada bacaan kali pertama, kedua dan ketiga, tak diluluskan di Dewan Rakyat, tak dibentang dan dilulus di Dewan Negara, tiada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan lepas itu tidak juga diwartakan.

“Maaflah juga jika saya kata amat mudah betul Umno ‘checkmate’kan Pas dalam isu ini.

“Jangan gusar, ini semua mesti salah DAP juga,” katanya sinis.

Ahli PAS minta polis siasat bukti partinya terima duit Umno

Zulkifli Sulong
SEORANG ahli PAS membuat laporan polis selepas Naib Presiden Amanah, Husam Musa mendakwa beliau ada bukti rakaman yang mendedahkan PAS mengambil duit dari Umno dan menjalin kerjasama politik dengan parti itu.

Ibrahim Harun membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, Kuala Terengganu semalam berdasarkan tulisan seorang pengguna Facebook yang memetik kenyataan Husam mengenai perkara tersebut.

Dalam satu ceramah di Kota Bharu minggu lalu, Husam dilaporkan berkata: "PAS sudah ambil duit Umno termasuk dalam pilihan raya negeri Sarawak. Saya ada bukti dan rakamannya. Jangan risau."

Husam membuat dakwaan itu semasa berceramah di Kota Bharu 18 Februari lalu.

"Saya sebagai ahli PAS ingin pihak polis menyiasat perkara ini untuk menilai sejauh mana kebenaran atau sekadar fitnah/tohmahan darinya kerana saya percaya perkara ini adalah satu pembohongan untuk menjatuhkan kredibiliti parti politik PAS," kata Ibrahim dalam laporan polisnya itu.

Dalam ceramah itu, Husam Musa berkata beliau memiliki rakaman satu taklimat berkenaan isu itu dan bersedia mengeluarkannya apabila hampir pilihan raya.

"Saya ada rakaman itu dan pemimpin itu akan tahu saya benar-benar memilikinya.

"Ini kerana pemimpin berkenaan menyebut dalam rakaman itu kalau ada sesiapa bocorkan dia akan disumpah jadi abu,” katanya ketika berucap merasmikan Bilik Operasi Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dun Kadok, minggu lalu.

Menurut Husam, rakaman audio itu jelas menunjukkan bahawa PAS sudah bekerjasama dengan Umno.

Husam juga mencabar pemimpin PAS yang beliau tidak sebut namanya itu menafikan perkara ini.

"Sila buat penafian kalau perkara ini tidak benar. Jika jelas perkara ini benar, pilihan raya ini hanya ada dua pilihan antara PH dan Barisan Nasional (BN).

"Ini kerana menyokong PAS dalam pilihan raya ini hanya bertujuan memenangkan BN," katanya.

Sebelum ini Husam juga mendakwa, beliau melihat bukti seorang pemimpin PAS menerima wang dari Umno.

Selain Husam, Sarawak Report juga mendakwa, PAS menerima wang sebanyak RM90 juta dari Umno.

Ekoran itu, PAS menyaman pengarangnya, Claire Recastle Brown di sebuah mahkamah di London.

'Tak tahan suami suka minta'

Harian Metro

SUDAHLAH menganggur, seorang lelaki tergamak meminta upah daripada isterinya setiap kali keluar menggunakan keretanya menyebabkan wanita itu mengambil keputusan memfailkan permohonan cerai.

Wanita tidak didedahkan identitinya itu dikatakan sudah tidak tahan dengan sikap suka meminta bayaran 500 dirham (RM533) setiap kali meminta pertolongan suaminya, lapor Al Bayan.

Wanita terbabit adalah penyara tunggal keluarga yang menanggung semua perbelanjaan dan keperluan keluarga itu yang menetap di Dubai (Emiriyah Arab Bersatu).

Suaminya mendakwa, bayaran upah itu sebagai ganti untuk membolehkannya keluar berhibur bersama rakan rakannya.

Menurut laporan media tempatan, lelaki terbabit sebenarnya sering keluar malam meninggalkan isteri serta anak-anaknya bersendirian di rumah.

Pada mulanya, si isteri bersetuju membayar 500 dirham kerana menyangkakan bayaran itu hanya diminta sekali sahaja namun sangkaan itu meleset apabila suaminya meminta bayaran beberapa kali selepas itu.

Sehari sebelum itu, satu kes dilaporkan di Turki membabitkan seorang wanita menceraikan suaminya kerana berasa ‘diabaikan’ apabila lelaki itu dikatakan lebih banyak meluangkan masa bersama basikal berbanding dirinya.

“Suami saya sering menghabiskan masa dengan basikal. Dia ada hubungan yang agak berbeza dengan basikal dan ia bukan perkara biasa.

“Dia benar-benar ‘jatuh cinta’ dengan basikalnya,” kata wanita dikenali sebagai Yagmur dari Istanbul itu.

Wan Saiful ahli seumur hidup PAS dijangka masuk Bersatu minggu depan

Noor Azam Shairi
Wan Saiful dijangka masuk Bersatu minggu depan
Menurut sumber, penyertaan Wan Saiful Wan Jan yang meninggalkan Ideas hari ini ke parti Bersatu dijangka akan diumumkan minggu hadapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018.

WAN Saiful Wan Jan, yang meninggalkan kumpulan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) hari ini, dijangka akan menyertai Bersatu, kata sumber.

Beliau adalah pengasas dan ketua pegawai eksekutif Ideas sejak 2009, jawatan yang akan dikosongkannya berkuat kuasa 28 Februari ini.

Serentak dengan penyertaannya itu, Wan Saiful dijangka akan turut mengumumkan keluar dari PAS yang beliau sertai sejak 1992, semasa menyambung pelajaran di universiti di United Kingdom.

Wan Saiful, 43, adalah ahli seumur hidup PAS sejak 1997.

"Wan Saiful akan masuk Bersatu," kata sumber yang enggan dinamakan yang tahu mengenai langkah politik itu kepada The Malaysian Insight.

Pengumuman penyertaan Wan Saiful dalam Bersatu dijangka akan dibuat minggu depan, kata seorang sumber lain yang juga maklum tentang perkembangan parti itu.

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan Wan Saiful untuk pengesahan.

Wan Saiful dalam kenyataan pengumumannya meninggalkan Ideas hari ini berkata langkahnya itu adalah kerana mahu melakukan perubahan, sama seperti mana ketika beliau meninggalkan hidup yang selesa di United Kingdom pada 2009 dan pulang ke Malaysia untuk mendirikan kumpulan pemikir itu.

"Sekarang masanya untuk sekali lagi mengambil risiko yang sama, membawa semangat yang sama (untuk perubahan) kepada khalayak yang lebih luas," katanya.

Beliau juga menyifatkan langkahnya meninggalkan Ideas itu satu langkah penting yang harus dilakukannya sekarang atau akan disesalinya sampai bila-bila.

The Malaysian Insight difahamkan Wan Saiful minggu ini mengadakan perbincangan mengenai langkah politiknya itu dengan beberapa pemimpin tinggi Bersatu di Kuala Lumpur.

Januari lalu, Iseas-Yusof Ishak Institute di Singapura menerbitkan kajiannya mengenai potensi Bersatu di Johor serta masa depan parti itu dalam peta politik Malaysia. Beliau adalah felo pelawat kanan di institut berkenaan.

November lalu, Wan Saiful membayangkan beliau hanya menunggu masa akan dipecat oleh PAS ekoran beberapa kenyataannya yang dilihat keras mengkritik parti Islam itu.

Antara kritikannya ialah mengenai sikap PAS yang meninggalkan prinsip-prinsip progresif dan semakin condong jadi konservatif selepas krisis dalaman pada 2015 yang membawa kepada perpecahan sehingga terbentuknya parti serpihan Amanah.

Wan Saiful mula menggerakkan Ideas bersama dua rakan karibnya, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, anakanda kepada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan ahli perbankan, Wan Mohd Firdaus Wan Fuaad semasa di United Kingdom pada sekitar tahun 2006.

Ideas ialah sebuah badan pemikir yang mendukung idea-idea bebas yang berakar pada prinsip-prinsip kebebasan, keadilan dan kesejahteraan rakyat, yang menjadi asas pegangan dan legasi bapa kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

Dalam tempoh sembilan tahun yang lalu, Ideas menghasilkan beberapa kajian dasar awam termasuk dalam bidang urus tadbir, integriti, ekonomi dan pendidikan.

Selain menganggotai beberapa dewan perniagaan sebagai penasihat, Wan Saiful juga seorang tokoh pemikir muda yang sering dirujuk oleh media tempatan dan antarabangsa untuk mengulas isu-isu politik dan ekonomi Malaysia dan juga Asean.

Beliau juga menulis secara tetap di akhbar The Star dan Sin Chew, antara dua akhbar utama dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin di Malaysia selain kerap diwawancara oleh media antarabangsa termasuk Reuters, Al-Jazeera dan The Economis, serta stesen televisyen Bloomberg dan Channel News Asia (CNA).

Tuduh curang, wanita kerat zakar suami

Seorang wanita bertindak mengerat zakar dan testis suaminya selepas menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit.

Malah suspek turut mengepam organ seks itu di tandas.

Azad Singh kini dalam keadaan kritikal di hospital selepas mengalami pendarahan susulan serangan yang berlaku di rumah mereka di Joginder Nagar, utara India.

Polis berkata, isteri mangsa, Sukhwant Kaur menunggu suaminya tidur sebelum memukul mangsa menggunakan batang besi sehingga pengsan.

Isterinya kemudian mengambil pisau dan memotong kemaluannya.
Menurut penyiasat, ibu dua anak itu melakukan serangan tersebut selepas percaya Azad mempunyai hubungan sulit.

Bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan kes berkenaan sedang disiasat. – MailOnline UK
-kualalumpurpost 

Dr Mahathir di bawah PH tak boleh lakukan sesuka hati, kata Amanah

FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Amanah hari ini memberi jaminan kepada pengkritik bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mampu memadamkan obor pembaharuan walaupun jika beliau mahu, kerana pemimpin lain dalam Pakatan Harapan (PH) akan memerhatikannya.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata Dr Mahathir bukan lagi orang yang sama yang pernah memegang kuasa sebagai perdana menteri, oleh itu tidak perlu takut jika beliau memimpin negara sekali lagi.

“Kenapa seseorang perlu melepaskan kemarahan terhadap seorang lelaki, apabila orang-orang seperti Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, yang semuanya pernah dipenjarakan secara tidak adil oleh kerajaan sebelum ini, sebulat suara bersetuju mengetepikan penderitaan peribadi mereka demi negara dan keselamatannya?” soal ahli Parlimen Shah Alam itu dalam kiriman blog.

“Lagipun, sistem korupsi sejak tahun 1980-an berlaku ketika Dr Mahathir menerajui negara. Sekiranya Dr Mahathir mahu menjadikan Malaysia bebas korupsi, tidakkah dia diberi peluang, mungkin yang terakhir?”

Khalid memberikan beberapa sebab mengapa Dr Mahathir tidak dapat melakukan sewenang-wenang jika dia menjadi perdana menteri.

Menurutnya, pakatan pembangkang tidak naif seperti dahulu, dan pemilihan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH bukanlah suatu kurniaan tanpa tanggungjawab.

“Untuk membentuk kerajaan baharu, Dr Mahathir kini mempelajari ikatan politik baharu. Boleh tahan untuk seorang lelaki berusia 92 tahun.”

Beliau berkata pada mesyuarat dan sesi PH, semua orang diberi peluang bercakap dan Dr Mahathir mendengar dengan teliti, dengan proses membuat keputusan yang dibuat dengan persetujuan bersama.

“Apa-apa pun, PH penuh semangat dalam memberi dan mengambil, salah satunya bertujuan melambangkan rakyat Malaysia yang sebenar atau bersederhana dalam bekerja.”

Beliau berkata walaupun parti Dr Mahathir, PPBM, mungkin mempunyai peluang untuk bersaing dalam 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR berada rapat di belakang dengan 51, manakala DAP dan Amanah masing-masing mempunyai 35 dan 27 kerusi.

“Dr Mahathir tidak boleh ‘bermain’ atau mempergunakan pakatan untuk kepentingannya sahaja.

“Untuk berkuasa, dia memerlukan persetujuan rakan kongsi yang lain, yang mana perwakilannya hampir sama antara satu sama lain. Untuk melaksanakan dasar dan membuat keputusan, apabila berkuasa, dia memerlukan persetujuan orang lain.

“Ini bukan Barisan Nasional (BN) tetapi PH, satu baka personaliti yang sangat berbeza.”

Khalid berkata satu lagi sebab mengapa Dr Mahathir tidak bebas berbuat sesuka hati adalah kehadiran 56 ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah.

“Dia tidak lagi dapat melakukan apa yang dia suka. Beliau tidak boleh mencuba sebarang usaha persekutuan tanpa persetujuan kedua-dua negeri ini, terutama apabila sentimen tempatan berpegang teguh pada imaginasi dan kepercayaan diri sebagai pribumi di Borneo.”

Beliau menambah pengampunan dan semangat bertolak ansur adalah penting kepada sistem politik pelbagai etnik, kerana apa sahaja yang kurang akan menghancurkan keseluruhan struktur.

“Dalam amalan ini Amanah dan selanjutnya PH, menganggap penting untuk mempunyai kepimpinan Dr Mahathir.

Mahfuz yakin HARAPAN menang di Pokok Sena

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menang di kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 walaupun menerima tentangan sengit terutama daripada PAS.

Ia termasuk kemungkinan legenda bola sepak Kedah, Muhamad Radhi Md Din sebagai calon PAS di situ.

"Latar belakang masyarakat di situ adalah mereka mahukan peralihan kuasa politik di peringkat pusat dan juga negeri.

"Jadi sudah tentu apabil bercakap tentang peralihan kuasa mereka nampak HARAPAN sebagai pihak yang boleh diberi kepercayaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau mengulas laporan Sinar Harian semalam berkenaan kemungkinan Radhi ditawarkan menjadi calon PAS di Parlimen Pokok Sena.

Menurut laporan itu, Radhi berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk bertanding jika dipilih sebagai calon tetapi perlu berbincang dengan keluarga terlebih dulu.

Beliau yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kedah selama dua kali itu dilihat sering menghadiri program anjuran PAS Pokok Sena dan malah dilantik sebagai Ikon Bola Sepak PAS di situ.

Mahfuz berkata beliau tetap menghormati sesiapa sahaja calon yang akan diletakkan parti itu untuk menggantikan dirinya.

"Saya menyambut baik (calon PAS) atas nama demokrasi.

"Saya sendiri tidak tahu akan bertanding atau tidak, tetapi akan sokong calon daripada HARAPAN," katanya lagi yang akhirnya keluar PAS Januari lalu.
-malaysiakini

Ketakutan PAS terhadap keberanian Amanah

PAS merupakan sebuah parti yang berpengalaman dalam konteks politik Malaysia. Penubuhan PAS adalah permulaan awal kepada terma "pecah belah" undi Melayu dan Islam di Tanah Melayu dan Malaysia.

Pertembungan antara faham nasionalis dan agamanis ketika itu mendorong mereka yang tidak dominan bagi melaksana agenda "Islam" bertindak menubuhkan PAS selepas kegagalan calon bernuansa agama Ahmad Fuad Hasan gagal merebut jawatan Yang Dipertua.

Maka tertubuhlah PAS pada 1951 yang menjadi saingan politik kepada Umno ketika itu hingga ke zaman gemulah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bermulalah perjalanan parti serpihan Umno iaitu PAS sebagai parti pembangkang yang digeruni. Hikayat parti serpihan ini tidak terhenti di situ kerana selepas itu wujud pelbagai parti serpihan baik daripada PAS dan Umno seperti Berjasa (1970-an), Hamim (1980-an) dan Semangat 46(1980-an).

Namun pasca pulangnya sosok yang mesra dengan panggilan Tok Guru Nik Aziz kepada penciptaNya mengubah lanskap politik PAS.

Perubahan drastik dan besar itu boleh dianggap sebagai tsunami konservatif yang lama bergulung bagai membadai mereka yang lebih progresif ketika mereka asyik dengan konsep PAS untuk semua.

Mereka alpa dengan gerakan fitnah dan pembunuhan watak (character assassination) yang dijalankan untuk bertemu dengan pemilihan parti dalam muktamar 2015.

Kelekaan itu kekal sehingga keputusan pemilihan itu diumumkan. Dalam ucapan akhir mereka dipentas muktamar tersebut, barulah terzahirnya rasa kecewa, marah dan geram. Itulah permulaan bagi mereka dan bukannya pengakhiran.

Selepas kisah itu maka tertubuhlah Amanah. Menelusuri sejarah mengapa ia ditubuhkan sebenarnya tidak ada beza sebab utama PAS ditubuhkan hampir tujuh dekad yang lalu.

Dek kerana tidak mampu bergerak dengan agenda kusam dan lapuk PAS maka beberapa bekas pimpinan PAS mengambil keputusan bagi menubuhkan Amanah pada 2015.

Ia ditunjangi pimpinan yang mahu membawa corak politik lebih bersifat tenang dan sederhana. Tidak mahu menjadi penghukum dan tuhan dalam pertembungan dengan lawan politik mereka.

Dan barisan pimpinan yang ada hari ini jugalah yang berusaha mengangkat PAS itu lebih terbuka dan inklusif sehingga mampu mewujudkan gabungan yang kuat bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat selepas 2008.

Hingga ke saat ini pemimpin yang sama komited kepada agenda perubahan bersama. Walaupun pemimpin Amanah ini adalah kelompok yang sama dilabel sebagai "barua" DAP oleh Umno ketika mereka masih di dalam PAS, mereka terus kekal dengan nekad dan tekad yang sama untuk menjatuhkan kezaliman yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) secara konsisten.

Natijahnya, hubungan Amanah dan DAP bukan saja menjadi bola tanggung kepada Umno, malah PAS juga mula menggunakan kalam "kuda tunggangan" DAP kepada pimpinan Amanah hari ini.

Begitulah harga yang perlu dibayar oleh mereka demi memperkenalkan politik yang lebih harmoni dan berhemah.

Itulah keberanian pimpinan Amanah yang perlu dan wajar dicontohi oleh pimpinan PAS yang masih terperangkap dalam politik bangsa dan agama. Walau dihina dan dimaki demi kesejahteraan rakyat Malaysia mereka merelakan tubuh mereka dilukai.

Tidak seperti pimpinan PAS hari ini. Mereka lebih suka berselingkuh secara terbuka tetapi dalam masa sama menafikan hubungan gelap mereka.

Ketakutan ini adalaj sesuatu yang perlu difikirkan oleh masyarakat dan penyokong PAS. Jika benar meraka mahu mengembalikan undi dan sokongan Melayu Muslim kembali dilihat satu, inilah masa yang paling sesuai untuk mereka bersatu menjadi satu.

Jika tidak itulah yang perlu disedari oleh rakyat akan sikap PAS yang semakin mirip kepada Umno yang hanya menjadikan sentimen sebagai alat memenangi pilihan raya.

Ketakutan PAS kepada Amanah memang berasas tetapi adalah tidak logik kewujudan Amanah menjadi penyebab kepada terpecahnya undi Melayu dan Muslim.

Dan inilah masa PAS menjadi adiwira menyatukan kembali undi Melayu dan Muslim. Itu pun jika mereka berani, jika tidak merekalah penyebab awal dan penyebab besar mengapa undi Melayu dan Muslim itu terus terpecah belah. Mungkin penyatuan itu dapat menyegerakan RUU 355 yang lama tertangguh. – 21 Februari, 2018.

* Muhammad Syafiq Azmi adalah ketua Pemuda Amanah Melaka.

Ayer Hitam mahukan Khalid Samad

AMNI JAGAT 
Dalam kajian dan tinjauan sebelum ini, saya telah mendapati kebanyakkan pengundi di sekitar kawasan parlimen Ayer Hitam telah meluahkan rasa mereka yang mahukan perubahan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang. Dalam perubahan sikap tersebut, kebanyakkan pengundi di Ayer Hitam mahukan sesuatu yang perlu dipertimbangkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Permintaan dalam tinjauan itu membawa kepada calon di Parlimen Ayer Hitam adalah dalam kalangan orang yang berbangsa Melayu. Lumrah dalam sesuatu agenda bagi mengambil hati pengundi adalah mendengar suara pengundi di peringkat bawahan yang teramai. Sememangnya kependudukan di kawasan Parlimen Ayer Hitam majoritinya adalah terdiri dari kalangan bangsa Melayu.
Salah satu rumah responden yang ditemui.

Maka, pengundi di Ayer Hitam ini memerlukan seorang tokoh dari kalangan Melayu yang boleh bertanding melawan calon dari MCA di Parlimen itu. Saya melihat kebanyakkan orang di sini agak berinformatif dengan kebanyakkan lebih 70 peratus daripada mereka yang mahukan calon gergasi dari PH untuk bertanding di Parlimen tersebut.

Antara calon yang dikemukan oleh para pengundi yang ditemui adalah YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dari Parti Amanah Negara (AMANAH). Hal tersebut merupakan suatu perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak kepimpinan tertinggi PH Johor mahu pun PH Nasional dalam menangani permintaan dari pengundi di Ayer Hitam.

Umum mengetahui, Parlimen Ayer Hitam akan ditandingi oleh calon dari parti DAP. Namun ketika ditanya kepada pengundi, kebanyakkan pengundi agak tidak senang dengan PH yang meletakkan calon dari kalangan orang bukan berbangsa Melayu. Ada antara mereka yang menyuarakan jika calon itu terdiri daripada orang Melayu yang menggunakan tiket DAP, ia turut mengundang masalah.

Masalah yang dialami oleh penduduk kampung terutamanya di Dun Semarang, mereka agak terkesan dengan dakyah sebelum ini yang menyatakan perkara negatif terhadap parti DAP. Harus diakui penduduk di kawasan kampung seperti itu pastinya akan termakan dengan dakwaan sebelum ini berkenaan dengan pandangan negatif terhadap DAP.

Selain itu, kebanyakkan mereka yang memberikan pandangan ini adalah terdiri daripada mereka yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional terutamanya Umno. Sudah semestinya dakwaan yang menyatakan soal keburukkan yang diada-adakan oleh pihak Umno terhadap DAP pasti menjadi kesangsian kepada mereka.
Bersama dengan orang kampung sewaktu ditemuramah

Pengamatan ini mnemukan suatu perkara khusus yang perlu dilakukan bagi memenangi hati pengundi di kawasan Parlimen Ayer Hitam. Relevannya wujud sepertimana tinjauan yang mendapati pengundi di Ayer Hitam bersedia untuk mengubah undi mereka dari BN kepada PH namun calon akan diletakkan perlulah hasil permintaan mereka yakni bangsa Melayu.

Lebih mendatangkan risiko sekiranya perkara ini disedari oleh pihak Umno-BN, sudah semestinya hal ini akan dijadikan suatu buah mulut bagi menyekang gerakan untuk memenangi hati pengundi. Bila saya bertanya soalan apakah parti yang sesuai selain DAP yang akan bertanding di situ, pengundi menjawab AMANAH atau Bersatu.

Namun pengundi di situ rata-ratanya masak kefahaman dengan menyatakan memberi peluang kepada AMANAH kerana Bersatu sudah bertanding di Dun Semarang dan DAP sudah bertanding di Dun Yong Peng. Bila ditanya berkenaan calon dan seandainya Khalid Samad bertanding, rata-rata mereka menjawab, sudah tepat pilihan PH dan mereka akan membantu calon berkenaan.

MP Pas kena serang pengguna laman sosial

MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Pas bagi kerusi Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerima serangan bertubi-tubi daripada pengguna laman sosial berikutan rakaman video ucapan beliau mengenai prinsip perjuangan Pas dan soal penentangan Pas terhadap Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS itu dikecam kerana didakwa berkata bohong kerana apa yang dilakukan Pas mutakhir ini kata pengguna laman sosial, jelas bertentangan dengan apa yang dikatakannya.

Salah satu daripada yang dibangkitkan pengguna laman sosial adalah soal pembelaan Pas dalam kes Indira Ghandi yang menurut Khairuddin berbeza dengan AMANAH, yang katanya mengetepikan hukum Islam.

“Sedarkah Pas bahawa Enakmen Pentadbiran Islam Terengganu 2001 yang diluluskan semasa pemerintahan Haji Hadi juga memperuntukkan kebenaran bapa dan ibu adalah diperlukan bagi anak bawah umur untuk memeluk Islam,” kata salah seorang daripada mereka.

Kata yang lain, “goreng Ustaz goreng, meniaga agama lebih menguntungkan daripada berniaga karbon kredit dan balak serta alat kosmetik”.

Dakwaan beliau, bahawa Pas konsisten membangkitkan dan penyelewengan Umno-BN di parlimen juga hebat dicemuh pengguna laman sosial.

Begitu juga dengan saranan beliau agar parti lain terutama AMANAH agar menyisih dan membiarkan Pas satu lawan satu dengan Umno-BN pada PRU14 untuk menewaskan Umno.

Kata khairuddin, parti-parti yang ada dalam Pakatan Harapan (PH) adalah parti-parti baharu, justeru biarkan Pas yang menentang Umno-BN kerana Pas dari dahulu lagi konsisten menentang Umno-BN.

Tiga penjuru? Usah takut, kata Amanah

FMT Reporters
PETALING JAYA: Amanah berkata kemungkinan pertandingan 3 penjuru kerana PAS bergerak sendirian pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak patut menjadi kebimbangan Pakatan Harapan (PH), di sebalik ramalan Barisan Nasional (BN) akan mendapat faedah besar apabila undi Melayu terhadap pembangkang berpecah.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata pengundi Melayu hanya akan berpecah apabila terdapat kekeliruan, tetapi segala-galanya “jelas” sekarang.

“Sekarang tidak ada kekeliruan bagi orang Melayu di kawasan luar bandar, pinggir bandar dan bandar,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu dalam kiriman blognya.

“Mereka tahu ekonomi Malaysia berada dalam keadaan teruk. Sekiranya ekonomi Malaysia baik, harga saham Felda FGV akan meningkat, namun ia turun pada harga RM1.60,” katanya merujuk kepada rancangan tanah persekutuan yang penuh kontroversi itu.

Beliau berkata undi Melayu boleh dieksploitasi dengan mudah melalui pertandingan pelbagai penjuru apabila wujud kekeliruan.

“Pertandingan 3 penjuru hanyalah senario yang mengejutkan, apabila pengundi keliru kerana tertipu dan terdedah dengan retorik ketiga-tiga parti politik yang kononnya mendakwa mewakili kepentingan Melayu,” kata Khalid.

PAS sebelum ini berkata ia akan meletakkan calon menentang PH dan BN pada PRU14.

Pada PRU 2013, persefahaman parti Islam itu di bawah Pakatan Rakyat memastikan pertandingan 2 penjuru di kebanyakan kerusi di Semenanjung Malaysia.

Penganalisis berkata pertandingan pelbagai penjuru akan memihak kepada BN kerana ia berpotensi memecah undi pembangkang.

Tetapi Khalid berkata pertandingan 3 penjuru memang jelas akan berlaku, kerana PAS telah mengumumkan calon mereka untuk menentang PH.

Beliau berkata perkara ini menghapuskan unsur kejutan, seperti yang dilihat di kerusi DUN Kota Damansara pada 2013, apabila PAS meletakkan calonnya pada saat akhir selepas tidak bersetuju dengan pilihan pembangkang untuk meletakkan calon PSM. BN memenangi kerusi tersebut.

“Jadi kekeliruan yang berlaku di Kota Damansara pada 2013 tidak akan berulang pada 2018,” katanya sambil menambah pengundi menyedari pertandingan kali ini adalah “antara BN dan PH, sementara PAS tidak lebih daripada mengelirukan pengundi”.

“Dan jika perubahan kerajaan adalah apa yang dikehendaki, maka PH adalah jawapannya. Jadi mengapa takut pertandingan 3 penjuru?”

'Idris Ahmad tak perlu 'berlidah biawak' - Ustaz Wan Ji

Naib Presiden PAS Idris Ahmad diingatkan tidak memutarbelitkan isu mengenai penukaran agama satu pihak, tegas Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin.

Katanya, semasa memerintah Terengganu, PAS telah meluluskan enakmen syariah yang menyebut bahawa kanak-kanak yang belum sampai umur 18 tahun, keislaman mereka dianggap sah hanya apabila mendapat persetujuan ibu dan bapa terlebih dahulu.

Wan Ji berkata perkara itu dinyatakan dalam Seksyen 101 (b), Enakmen 2 tahun 2001, Enakmen pentadbiran Hal Ehwal agama Islam (Terengganu) Bahagian memeluk agama Islam.

"Justeru, Ustaz Idris Ahmad sebagai pemimpin PAS tidak wajar "berlidah biawak" ketika membicarakan isu Islam di Malaysia.

"PAS perlu konsisten dengan pandangan agamanya, bukan berputar belit demi kekuasaan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu, PAS terus membangkitkan isu mengenai Akta 164 yang didakwanya telah menyebabkan polemik dalam masyarakat khususnya dalam kes membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah.

Idris berkata segalanya berpunca daripada keputusan mahkamah selepas akta itu diluluskan di Parlimen, meskipun anggota Parlimen PAS cuba menghalang dengan undi belah bahagi.

"Manakala di pihak PH (Pakatan Harapan), mereka bergembira akan keputusan ini.

"Bahkan mereka sanggup bekerjasama dengan Umno BN meluluskan akta ini dengan prejudis terhadap Islam, walaupun saban hari PAS yang difitnah mahu masuk Umno," katanya dilapor Harakahdaily ketika berucap sempena Himpunan Fastaqim PAS di Sik kelmarin.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk dalam keputusannya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
-malaysiakini 

Bawa anjing ke pusat beli-belah: Sikap tidak peduli ditegur

ARIF ATAN
Anjing yang dibawa wanita ini dan pasangannya di sebuah pusat beli-belah di Melaka dikritik ramai netizen kerana tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam.

Seorang pengguna Facebook, Firdaus Majid menyeru masyarakat semua kaum supaya bersikap peduli terhadap larangan membawa anjing peliharaan ke pusat beli-belah.

Berkongsikan pengalamannya ketika berada di AEON Mall Bandaraya Melaka kelmarin, beliau terkilan dengan sikap tidak peduli orang awam apabila sekadar memerhati insiden anjing yang kencing di atas sebuah troli.

Terdahulu, jelasnya dalam status yang tular itu, lelaki kepada pasangan pengunjung pusat beli-belah tersebut dilihat mengelap najis anjing yang dibawa dengan tisu tandas.

“Baju canggih tapi otak masih kuno. Dah tahu kawasan pusat beli-belah tapi masih bawa peluk anjing. Siap (anjing) kencing atas troli lagi tu.

“Si laki dia siap tolong lap kencing anjing pakai tisu tandas. Isteri saya dah pergi ke kaunter info di aras bawah beritahu samak troli tu,” dipetik daripada status Facebook beliau kelmarin.

Firdaus memberitahu beliau dan isterinya bertindak untuk menjaga troli itu hampir sejam mulai pukul 5.30 petang sementara menunggu ketibaan staf AEON bagi mengelak alat yang dicemari najis berat itu digunakan oleh pengunjung lain.

Beliau turut berkongsikan empat foto berkaitan yang antaranya menunjukkan imej seorang wanita berskirt hitam paras lutut berdiri di hadapan troli yang di dalamnya ada anjing serta gambar kehadiran staf AEON di lokasi tersebut.

“Dahlah sebelah tandas dan bilik bayi. Lepas telefon khidmat pelanggan, kakitangan bertugas telah ambil troli dan beritahu kami yang mereka akan menyertu troli itu,” katanya.

Namun, sepanjang insiden itu berlangsung, beliau mendapati ramai orang awam yang berulang-alik ke tandas di situ dan ternampak kejadian tersebut tidak melakukan sebarang tindakan.

“Semua buat tak tahu sahaja. Baik yang muda dan tua. Yang Melayu pun nampak tapi semua tak nak ambil tindakan.

“Hanya tengok, lepas tu main telefon,” ujarnya dalam status yang mendapat lebih 1,500 komentar hanya dalam tempoh dua hari selepas dimuat naik pada 18 Februari lalu.

Walau bagaimanapun, Firdaus menegaskan perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk membangkitkan isu perkauman.

“Post ini bukan untuk rasis pada sesuatu, cuma sangat marah dengan tindakan pasangan ini dan orang awam (semua bangsa) yang lalu di situ langsung tak ambil kisah kejadian itu.

“Bayangkan kalau ada orang letak bayi dalam troli itu, bayi terpegang najis itu dan hisap jari-jari.

“Tambah sadis kalau mak ayah pula main kemam jari-jari anak yang terkena najis itu dalam mulut. Sebab itu, kami ambil inisiatif jaga troli itu sampi selesai,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan kepada anggota masyarakat semua kaum supaya peka dengan isu berkaitan sensitiviti budaya dan agama.

“Baik yang Melayu, Cina, India dan lain-lain. Janganlah sibuk sangat main telefon sampai sanggup butakan mata hal-hal begini.

“Ini tak, dah nampk buat senyap, lepas itu blah (pergi) macam tu saja. Bertanggungjawab sikit walaupun orang awam,” tegasnya lagi.

Rata-rata netizen turut sependapat dengan Firdaus dengan antara lain menganggap tindakan membawa anjing ke pusat beli-belah sebagai mementingkan diri sendiri.

Antaranya, Ismen Ismail yang mengingatkan tindakan membawa anjing di tempat awam dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama juga sebenarnya boleh dianggap bersifat rasis.

“Bila Muslim tegur pasal bukan non Muslim bawa anjing, mereka kata kita rasis.

“Kalau nak pelihara (anjing), pelihara saja di kawasan peribadi. Tak perlu libatkan orang lain, saling menghormatilah,” bidasnya.

Sementara itu, Nadzatul Syiha pula memaklumkan kakitangan AEON yang majoritinya Muslim telah selesai menyertu troli tersebut.

Nurul Izzah ganti Rafizi di Pandan pada PRU14

Nurul Izzah Anwar dikatakan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak pilihan raya umum pada 2008 dan akan memberi laluan kepada Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2018.

NAIB Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bakal bertanding di kerusi Parlimen Pandan menggantikan Rafizi Ramli yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran maklumat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Nurul Izzah tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak pilihan raya umum pada 2008.

Beliau sebaliknya akan memberi laluan kepada Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pada awalnya, Nurul Izzah sepatutnya dihantar ke Parlimen Permatang Pauh untuk mempertahankan kerusi tradisi ayahnya, Anwar Ibrahim dan penyandang kerusi Dr Wan Azizah Wan Ismail dibawa ke Selangor atau Kuala Lumpur.

“Akan tetapi selepas kajian dilakukan, kita dapati Nurul Izzah lebih sesuai bertanding di kerusi Parlimen bandar seperti Pandan dan Dr Wan Azizah kekal di Permatang Pauh,” kata sumber yang mengetahui mengenai perkara ini dengan syarat tidak dinamakan.

Penyandang kerusi Parlimen Pandan Rafizi yang juga naib presiden PKR hilang kelayakan untuk bertanding pada PRU14 selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya kerana mendedahkan maklumat perbankan NFC.

Menurut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah artikel sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Seorang lagi sumber mengesahkan PKR ada mempertimbangkan untuk meletakkan Nurul Izzah di Pandan kerana beliau dilihat paling sesuai untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Rafizi pada PRU13 itu.

“Rafizi juga dikatakan tidak ada masalah sekiranya Nurul Izzah bertanding di Pandan. PKR masih membincangkan perkara ini dan akan diputuskan tidak lama lagi.

“Disebabkan Pandan boleh dianggap sebagai kerusi selamat, Nurul Izzah boleh meluangkan masa ke Lembah Pantai bagi membantu Fahmi dan calon-calon lain di seluruh negara,” kata sumber yang tidak mahu dinamakan itu.

Ketika dihubungi Rafizi mengatakan beliau beliau tidak terlibat dalam penentuan calon PKR pada PRU14.


“Calon-calon ditentukan oleh presiden PKR,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Nurul Izzah untuk mendapatkan maklum balas, tetapi masih belum berjaya.

Sumber itu menambah, sejak akhir-akhir ini, Nurul Izzah sering membawa Fahmi ke setiap programnya di Lembah Pantai.

“Kelihatan seperti Nurul Izzah mahu memperkenalkan Fahmi sebagai calon kepada pengundi Lembah Pantai,” kata sumber itu lagi.

Pada PRU13, Rafizi yang meraih 48,183 undi menang kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti besar 26,729 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Gary Lim Chin Yee (21,454 undi) dan calon bebas Allan Tan (2,415 undi).

Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Pandan iaitu Chempaka dimenangi PAS dan Teratai pula dimenangi DAP.

Mengikut data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerusi Parlimen Pandan mempunyai 88,489 pengundi dengan kaum Melayu sebanyak 44.4%, Cina 47.1%, India 7.2% dan lain-lain 1.2%.