"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN 21 PH 5 PN 2: PH mengaku kalah, faktor utama peratus keluar mengundi rendah

PH mengaku kalah dan mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan dalam PRN kali ini.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata antara faktor utama kekalahan mereka adalah jumlah keluar mengundi yang rendah.

"Dari awal kita sudah uar-uarkan kepada semua, peluang PH hanya terletak kepada (peratus) keluar mengundi melebihi 70 peratus," katanya kepada pemberita di bilik gerakan utama PH.

Pemimpin PH juga berkata mereka akan mengadakan post-mortem bagi mengenal pasti apa yang boleh diperbaiki.

BN isytihar menang PRN Melaka, majoriti 2/3

FMT Reporters

AYER KEROH: [8.49 MALAM] Suasana nampak tenang di bilik gerakan Barisan Nasional, yang mengisytiharkan ia sudah menang 19 DUN.

[8.38 MALAM] BN isytihar menang di 19 DUN sekaligus layak menubuhkan kerajaan negeri baharu, menurut bilik gerakan gabungan itu. Jumlah itu juga memberikan ia majoriti 2/3.

Individu buat aduan lepas dilarang mengundi di Ayer Keroh

Low Choon Chyuan

PRN MELAKA | Penyandang kerusi DUN Ayer Keroh Kerk Chee Yee membangkitkan aduan seorang pengundi yang tidak dapat berbuat demikian setelah diberitahu yang namanya ditanda sebagai telah mengundi.

Ia walaupun jarinya masih belum dicalit dengan dakwat kekal.

Wanita itu memberitahu Kerk yang ketika dia tiba di pusat mengundi di Dewan Bukit Beruang Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, dia diberitahu yang undi telah dibuat menggunakan namanya.

Kerk menggesa pihak berkuasa agar menyiasat perkara itu secepat mungkin.

"Wanita ini mengadu kepada kami yang dia belum mengundi dan dicalit dakwat, tetapi namanya telah dipotong. Maka dia tak boleh mengundi kali ini.

"Saya harap perkara ini akan disiasat dan dia akan membuat laporan polis," katanya kepada Malaysiakini.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab di pusat mengundi itu enggan mengulas perkara tersebut.

Kerk berdepan dengan calon BN dari MCA, Yong Fun Juan dan calon PN dari Gerakan, Michael Gan Peng Lam di kerusi DUN itu.

Sementara itu, PH dalam sidang media di kawasan DUN Ayer Molek mendakwa seorang wakil parti komponennya diarah keluar dari pusat mengundi.

Mohd Bazain Yusof, 66, yang mewakili calon DUN Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim, berkata dia telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu di Balai Polis Kandang.

Dalam laporan yang dilihat Malaysiakini, dia mendakwa insiden itu berlaku pada pukul 10.30 pagi, di mana dia diminta oleh seorang pegawai pilihan raya yang dia perlu beredar selepas dua jam di SK Bendarhara Seri Maharaja Kandang.

DUN Ayer Keroh menyaksikan pertembungan empat penjuru ntara Mohd Rafee, calon BN dari Umno Mohd Rahmad Mariman, calon PN dari Bersatu Mohd Fadly Samin dan calon bebas Ahmad Muaz Idris.

Dr Dzulkefly seru keluar mengundi, harap PH dapat semula mandat di Melaka

SURI LAILA

Pengarah Strategi AMANAH Nasional, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad menyeru rakyat Melaka untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi hari ini.

Setakat tengahari tadi katanya, jumlah pengundi yang keluar semakin rancak.

Beliau berharap kehadiran lebih ramai pengundi Melaka agar dapat menaikkan peratusan keluar mengundi sekali gus membuka peluang mandat diberikan kepada Pakatan Harapan di Melaka.

“Saya dapati rakyat Melaka yang keluar mengundi sudah mula rancak. (Respon) dalam kalangan pengundi Cina pun agak baik juga.

“Saya harap sampai di garis penamat nanti, kita dapat teruskan komitmen kembali memandatkan Pakatan Harapan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya dalam satu klip video yang dikongsinya di Twitter.

“Buat pengundi di seluruh negeri Melaka, pastikan saudara keluar mengundi sebelum 5.30 pm.

“Setakat 12.30 pm tadi, baru 36 peratus sahaja keluar mengundi. Ayuh pastikan saudara bersama meningkatkan peratusan keluar mengundi,” ciapnya.

Setakat jam 1 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia memaklumkan peratusan jumlah pengundi meningkat kepada 43 peratus.

PH boleh menang jika kadar keluar mengundi lebih 80 peratus, kata Ilham Centre

SITI NUR ZAWANI MISCON

Firma penyelidikan Ilham Centre menjangkakan kemenangan buat Pakatan Harapan (PH) di Melaka jika kadar keluar mengundi melebihi 80 peratus.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, dengan hitungan mudah, PH mempunyai peluang memenangi Melaka sekiranya momentum PRU-14 kembali berulang dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Dengan itu katanya, PH akan menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang maksima.

Ilham Centre mengesahkan pengaruh Adly antara punca sokongan kepada PH.

“Dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu yang dimiliki oleh BN.

“Jika dua situasi ini tidak berlaku, maka BN berupaya tampil sebagai pemenang,” katanya dalam Laporan Ringkasan Pola Pengundian dan Prediksi Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.

Selain Hisomuddin, laporan turut disediakan oleh panel penyelidikan Ilham Centre yang terdiri daripada Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal;  Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim; Fello Penyelidik Prof Madya Dr Yusri Ibrahim dan Felo Penyelidik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

Menurut laporan itu juga, PH akan berjaya memperoleh 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti tipis membentuk kerajaan.

Namun seandainya hilang mana-mana faktor di atas, sukar buat PH untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka.

Sementara itu, Ilham Centre mengenalpasti 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim.

Adly menunjukkan sikap penuh keyakinan ketika ditemubual oleh Utusan.

Manakala PH pula selesa di tujuh kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Bagaimanapun terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon, kata firma tersebut.

10 kawasan itu ialah Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek.

“PH perlu mempertahankan kawasan yang dimenangi mereka dahulu agar tidak terlepas kepada BN mahupun PN.

“BN perlu mencari sekurang-kurangnya 4 DUN tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk melengkapkan majoriti mudah bagi memimpin Melaka.

“PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban. Faktor kebolehmenangan PN di kawasan ini adalah faktor calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN ataupun PH,” katanya lagi.

Hasil kajian juga mendapati bahawa semakin besar PN mencuri undi Melayu di 10 kawasan tersebut, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan 3 penjuru.

Minta rumah RM100 juta, Najib lakukan 3 salah besar


Disahkan akhirnya di Parlimen oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tentang permohonan Najib Razak untuk mendapatkan kediaman bernilai RM100 juta baginya atas kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri.

Tengku Zafrul berkata, permohonan itu dibuat selepas Belanjawan 2022 dibentangkan, baru-baru ini.

“Jika terdapat sebarang dana tambahan, ia akan ditambah bawah peruntukan tambahan,” ujar Tengku Zafrul lagi.

Beliau seterusnya berkata, permohonan itu di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebarang pertanyaan di Parlimen akan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Isu permohonan rumah kediaman oleh Najib itu kemudian menimbulkan perdebatan hangat di kalangan Ahli-Ahli Parlimen memandangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah atas sabitan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan penggubahan wang haram dana SRC International.

Beliau dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, tetapi kesnya kini sedang menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dengan pengesahan berkaitan permohonan Najib itu, kerajaan ditempelak kerana seolah-olah bermurah hati menyediakan sebuah kediaman mewah untuk seorang yang telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah.

Persoalan utama di sini, walaupun mungkin ada peruntukan untuk kerajaan menyediakan sebuah kediaman untuk Najib sebagai bekas Perdana Menteri bagi mengenang jasa serta sumbangannya, apakah peruntukannya memang setinggi RM100 juta?

Jika begitu, apakah Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi sebelum ini juga diperuntukkan kediaman bernilai RM100 juta setiap seorang?

Andai kata kediaman yang diberi kepada Tun Mahathir dan Tun Abdullah tidak sampai RM100 juta, mengapa pula Najib memohon kediaman setinggi nilai RM100 juta?

Begitu pun, sekiranya memang hak beliau diberikan kediaman sebegitu sebagai bekas Perdana Menteri, Najib dalam hal ini sekurang-kurangnya telah melakukan tiga salah besar yang cukup ketara.

Pertama, kenapa beliau memohon kediaman itu ketika kedudukannya sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah?

Mengapa beliau tidak menunggu untuk memohonnya sehingga kes rayuannya selesai di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan?

Dalam apa keadaan sekali pun, tindakan Najib membuat permohonan sedemikian dalam keadaan dirinya sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah adalah tidak kena sama sekali.

Bagaimana jika selepas ini, baik di Mahkamah Rayuan atau di Mahkamah Persekutuan, hukuman bersalah keatasnya terus kekal dan akhirnya ke penjara?

Adakah kediaman itu akan terus diberikan kepadanya atau ditarik balik?

Jika pencen sebagai Perdana Menteri, menteri atau penjawat awam boleh hilang jika seseorang itu dihukum penjara atau didenda pada kadar yang tertentu, apa pula statusnya untuk sebuah kediaman mewah bagi mereka yang menerima hukuman sama?

Sebab itu, paling sesuai bagi Najib ialah membuat permohonan berkenaan kediaman itu hanya setelah beliau benar-benar bebas daripada sebarang sabitan bersalah atau pertuduhan di mahkamah.

Kenapa mesti permohonan dibuat sekarang dan tidak menunggu selesai proses di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?

Kedua, mengapa Najib mengemukakan permohonan mendapatkan kediaman itu hanya setelah Ismail Sabri Yaakob, seorang pemimpin UMNO berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri?

Kalau benar perkara itu merupakan haknya yang mesti diberikan oleh kerajaan, kenapa Najib tidak memohonnya ketika Tun Mahathir dan Mahiaddin Md Yasin memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini?

Ternampak di mata umum bahawa tindakan Najib ini tidak lebih sebagai cubaannya menuntut balasan daripada Ismail Sabri atas sokongannya kepada Naib Presiden UMNO itu menjadi Perdana Menteri.

Namun demikian, tidakkah Najib sedar bahawa tindakannya ini secara tidak langsung telah meletakkan beban dan menyusahkan Ismail Sabri?

Ketiga dan paling teruk sekali, bersama hujah pertama dan kedua di atas, tindakan Najib memohon kediaman mewah ini dengan sendirinya menjadikan beliau tidak layak lagi dipanggil pemimpin berjiwa rakyat dan selalu mengutamakan kepentingan rakyat sebagaimana kerap diakui dan dilaungkan oleh para penyokongnya.

Mengapa dalam keadaan dirinya sudah dijatuhi hukuman bersalah serta kedudukan kewangan negara yang tenat, ditambah dengan beban wabak Covid19 yang telah memberi kesan kepada semua rakyat, tetapi beliau masih tergamak memohon sebuah kediaman peribadi daripada dana rakyat bernilai RM100 juta untuk sisa-sisa hari tuanya?

Tidak simpatikah Najib kepada ramai rakyat yang sedang susah, tiada kerja, tiada pendapatan, bahkan hilang pekerjaan?

Soalnya, apa yang Najib harus lakukan sekarang?

Tiada pilihan lain dalam hal ini, di samping kempen PRN Melaka sedang menuju garisan akhir, Najib mesti menarik balik permohonan dan membatalkan hasratnya memiliki kediaman mewah itu.

Sebaiknya beliau harus menunggu sehingga semua proses rayuan dan perbicaraannya selesai barulah soal kepentingan peribadi seperti memiliki kediaman mewah ini menjadi pertimbangannya.

Lagi pun, takkan Najib sekarang ini tiada rumah langsung dan hanya duduk menyewa saja? – ShahbudinHusin 18/11/2021

Tok Mat: “Entah apa ilmu yang dipakai hingga lobai-lobai ni lupo,”

MALAYSIA DATELINE

Persetujuan Pas untuk mencalonkan Datuk Mas Ermieyati Shamsudin sebagai calon ketua menteri Melaka jika Perikatan Nasional (PN) menang ditempelak oleh Umno.

Ia dilakukan oleh rakan baik Pas sendiri dalam usahanya untuk berbaik dengan Umno sebelum ini iaitu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Saya tak tahu ilmu apa yang dipakai oleh PPBM. Ini lebih dari jolebat jolebu ni.

“Entah apa ilmu yang dipakai sehingga lobai-lobai ni lupa nak bangkit,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu.

Tok Mat mengulas pemilihan Mas Ermiyati sebagai calon KM bagi PN jika mereka menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Tok Mat adalah pemimpin yang disebut-sebut oleh Pas sebagai yang layak memimpin negara jika Muafakat nasional (MN) yang kini berkubur berjaya dalam pilihan raya umum nanti.

Tok Mat dipercayai berkata demikian merujuk kepada sikap pemimpin Pas khasnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menolak cadangan agar Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB Selangor.

Walaupun yang dinyatakan adalah kerana Wan Azizah tidak layak menjadi MB, tetapi sebab sebenarnya adalah dipercayai kerana Wan Azizah adalah wanita yang tidak layak menjadi pemimpin utama sesebuah negeri atau negara.

“Kerana apa, kerana kuasa dan jawatan,” kata Tok Mat dalam satu majlis beliau yang dirakamkan dan kini video itu disebarkan kepada orang ramai.

Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengumumkan pemilihan Mas Ermiyati sebagai calon ketua menteri jika PN menang dalam PRN ini.

Dr Rozaimi: Jangan jaja nama malaikat dalam kempen

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pakar hadis, Dr Rozaimi Ramle menegur agar orang-orang politik tidak menggunakan nama malaikat dalam kempen mereka meraih undi.

Beliau berkata, tiada masalah untuk berkempen memenangkan parti sendiri, namun jangan pula dijaja nama malaikat dalam hal yang belum pasti.

“Nak berkempen politik untuk menangkan parti sendiri tidak ada masalah. Kempenlah dengan cara menjelaskan keistimewaan idea dan gagasan yang ingin dibawa.

“Jangan pula dijaja nama malaikat dalam perkara yang belum pasti.

“Sedikit nasihat saya untuk orang politik yang sedang berkempen,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.

Hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan berlangsung esok, 20 November.

Terdahulu, aktivis politik, Jamzuri Ardani menerusi media sosial Facebooknya, berkongsi satu klip video ceramah pendek yang dianjurkan Perikatan Nasional.

Dalam ceramah tersebut, individu berkenaan meminta rakyat Melaka mengundi parti yang akhirnya ‘malaikat pun tidak memarahi mereka’.

“Saya hanya nak semua orang Melaka, (bila) pangkah (parti) itu, malaikat pun tak marah kita. Malaikat, kenapa aku pangkah ini? Sebab dia telah membuktikan dia telah menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat. Maka aku pangkahlah dia.

“Kita boleh bagitahu pada malaikat yang soal kita. Kita boleh bagitahu pada Allah di padang mahsyar.

“Nawaitu kita tidak lain tidak bukan, nak memastikan barisan kepimpinan calon-calon Perikatan Nasional kita (menang). Doakan menang besar tuan-tuan,” kata individu tersebut.

PRN Melaka soal hidup mati, penentu jajaran politik negara

Zeanaaima Mohd Yusof

PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya negeri Melaka esok akan memberikan petunjuk penting kepada soal “hidup mati” parti tertentu, khususnya yang bersaing untuk meraih undi Melayu.

PRN Melaka sudah pun menyaksikan beberapa norma baharu, umpamanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak ‘banyak’ turun padang berkempen untuk partinya.

Ini mungkin kerana realiti politik kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang beliau dirikan bersama Umno-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional(PN). Kawan di Putrajaya tetapi lawan di Melaka!

Selain SOP Covid-19, Umno juga menghadapi pilihan raya ini dengan kekangan lain seperti kewangan terhad untuk jentera pilihan rayanya, berbanding masa-masa ‘gemilang’ dahulu.

Bagi PAS, ini kali pertama sejak 1974, parti itu merehatkan bendera bulan purnama dan memakai logo (PN), sekali gus menolak lamaran Umno, sekurang-kurangnya untuk PRN Melaka.

Namun, parti yang menanggung ‘risiko’ tertinggi ialah Bersatu pimpinan Muhyiddin, penggerak utama PN yang bergantung kepada PAS sebagai rakan sekutu utama.

Nasib parti-parti berkenaan esok dalam PRN Melaka berkemungkinan membawa kepada jajaran politik baharu, melibatkan pertukaran rakan sekutu masing-masing bagi menghadapi PRU15, kata penganalisis.

“Keputusan PRN Melaka ini akan menentukan nasib PN atau lebih tepat nasib Bersatu. (Bagi) Umno (parti itu) menang besar atau kalah teruk, tak ada isu sebab dia tetap pergi solo sama juga dengan Pakatan Harapan, mereka akan tetap jadi pembangkang.

“Jika PAS tarik diri dari PN, maka Bersatu secara seorang diri memang kira mustahil. Jadi keputusan (PRN) ini memang penting kerana menentukan hidup mati mereka dalam politik,” kata penganalisis Azmi Hassan kepada FMT.

Sejumlah 23 daripada 28 DUN Melaka adalah kerusi majoriti Melayu dan menjadi medan persaingan Umno, Bersatu, PAS, PKR dan Amanah.

Dengan hari mengundi kurang 24 jam, Umno kelihatan yakin mendapatkan sokongan majoriti pengundi Melayu.

Rabu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata BN yakin memenangi 18 daripada 28 kerusi namun akan berpuas hati sekiranya memperolehi 15 kerusi untuk membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

BN bertanding di semua 28 kerusi DUN. Calon Umno di cabar oleh PAS di tujuh kerusi dan Bersatu di 11 DUN lain. Umno juga berdepan PKR atau Amanah di 18 DUN.

Perkembangan itu memberikan PH kelebihan kerana undi Melayu berpecah, kata seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi.

“Undi Melayu itu sendiri sudah berpecah dua. Ini berikan sedikit peluang kepada Pakatan Harapan. Tapi kita kena ingat bahawa Melaka ini pernah jadi kubu kuat Umno,” katanya.

Awang juga bersetuju bahawa Bersatu ketika ini menggalas beban besar untuk capai kemenangan meyakinkan agar terus relevan dalam persada politik tanah air.

“Bersatu kena menang besar pada PRN Melaka ini untuk menunjukkan parti itu relevan. Jika tidak berjaya, mereka akan dianggap tidak relevan lagi untuk PRU akan datang, malah mereka mungkin akan ditinggalkan parti PAS, (dan) PAS mungkin akan cenderung pada Umno pula,” katanya.

PH yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim mempunyai gadingan PKR dan Amanah untuk memenangi undi Melayu namun kekuatan gabungan itu yang turut dianggotai DA, secara tradisi lebih kepada undi bukan Melayu.

Keupayaan PH mendapatkan undi Melayu kali ini juga agak terhakis dengan ‘pengunduran’ Dr Mahathir Mohamad daripada gabungan itu pada tahun lalu.

Beban PH itu ditambah dengan kemungkinan pengundi bukan Melayu memilih BN untuk menghantar mesej keras kepada PAS dan PN pimpinan Muhyiddin.

Tindakan terbaharu kerajaan Kedah pimpinan PAS-PN mahu menutup kedai nombor ekor dan mengekang penjualan arak dikecam oleh ramai warga bukan Muslim termasuk pengundi di Melaka yang melihatnya sebagai cubaan menghakis hak mereka.

Justeru, pengundi bukan Melayu berkemungkinan bertindak balas dengan mengundi BN sebagai membalas kepada apa yang dilihat sebagai keterlaluan PAS-PN.

Apa yang pasti, PH tidak boleh membentuk kerajaan negeri sekiranya gagal menarik pengundi Melayu dan tidak berupaya mengekalkan tahap sokongan undi bukan Melayu yang diraihnya pada tahun 2018.

PRN Melaka diadakan setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.

Empat ADUN itu adalah (BN-Sungai Udang) Idris Haron; (BN-Pantai Kundor) Azman Hassan; (Bersatu-Telok Mas) Noor Effandi Ahmad; dan (Bebas-Pengkalan Batu) Norhizam Hassan Baktee.

Keputusan penuh PRN itu dijangka diketahui kira-kira pukul 10 malam esok.

Dengar tak isteriku, Najib minta rumah RM100 juta, kata Mat Sabu di Melaka

MALAYSIA DATELINE

Tindakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang meminta tanah bernilai RM100 juta dan dibincangkan oleh Kabinet untuk diluluskan kini menjadi isu utama di Melaka.

Ia kecoh di Dewan Rakyat semalam dan pada malam tadi ia kecoh di Melaka pula apabila wakil-wakil rakyat membawanya ke Melaka.

Ahli Parlimen Kota Raja, Haji Mohamad Sabu yang bersembang ‘derah’ (kuat) dengan isterinya Puan Normah Alwi di sebuah kopi di Melaka.

“Saya nak bagi tau, kelmarin saya bersama Tun Khalil bekas TYT Negeri Melaka. Saya bercakap depan dia, dulu bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein Onn, bila berhenti dapatlah duit gratuiti.

“Bolehlah beli rumah, beli kereta.

“Sekarang ada bekas menteri, ada dalam bank RM900 juta. Ada yang dia meninggal dunia, mak dia dapat RM1 bilion.

“Hari ini dalam Parlimen pula, Tun Mahathir dedahkan kerajaan akan hadiah RM100 juta kepada Najib.

“Saya tak kempen, saya sembang dengan isteri saya ni.

“Bangkrap negara kita tahu tak isteri ku.

“Dengar tak isteriku, Najib minta tanah untuk buat rumah RM100 juta,” kata Mohamad kepada isterinya yang duduk di sebelah beliau.

“Ini bukan ceramah ye. Saya sembang derah dengan istreri saya,” kata Mohamad yang ucapannya dirakamkan oleh kamera Malaysia Dateline malam tadi.

Ia telah disiarkan melalui FB Live oleh Malaysia Dateline.

Dalam video itu, beliau meminta rakyat Melaka memenangkan calon-calon Pakatan Harapan agar Adly Zahari boleh menjadi ketua menteri semula.

Isu permohonan Najib untuk mendapat tanah RM100 juta ini telah disahkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam.

Ia telah dibincangkan oleh Kabinet tetapi belum sempat di masukkan ke dalam Belanjawan 2022 kerana ia telah dibentangkan dan akan dibawa ke dalam satu Belanjawan Tambahan nanti.

Siapa berjaya bawa pengundi turun, mereka menang

MALAYSIA DATELINE

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata parti yang berjaya membawa pengundi turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini adalah pemenang.

Katanya, PRN Melaka kali ini cukup sengit apabila menyaksikan dua parti besar iaitu Pakatan Harapan dan BN sedang bersaing ketika ini.

“Jika ditanya parti mana yang akan menang saya fikir terlalu awal untuk buat ramalan kerana bagi saya parti mana yang dapat membawa pulang atau menarik pengundi melaka yang tinggal di luar untuk datang mengundi parti itu akan mempunyai harapan yang besar untu menang,” kata beliau.

Beliau yang melakukan pemantauan di pusat-pusat daerah mengundi di Melaka rata-rata melahirkan rasa risau kemerosotan jumlah peratusan keluar mengundi khususnya di Melaka.

“Daripada kaum mana yang paling banyak akan keluar mengundi nanti, begitu juga kita risau berapa peratus pengundi di luar Melaka pula yang akan akan balik mengundi,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan kepada pengundi Melaka bahawa PRN kali ini bukan sahaja meraikan kerana demokrasi tetapi untuk mewujudkan kerajaan yang stabil selepas ini.

Sebelum ini, Ccalon Ketua Menteri PH Adly Zahari turut meyakinkan rakyat negeri Melaka bahawa mereka akan selamat untuk keluar mengundi nanti jika SOP dipatuhi sebaiknya,

Beliau turut memesan agar pengundi-pengundi jaga jarak, pakai pelitup muka dua lapis dan sentiasa basuh tangan.

Mujahid akan saman Pesuruhjaya Pas Perak selepas siar kenyataan fitnah

SURI LAILA

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria atas dakwaan memfitnah.

Razman menerusi hantaran di Facebooknya, telah memuatnaik satu tangkap layar yang tertulis ‘Pas tidak patut menafikan hak orang bukan Islam dengan mengharamkan judi dan arak’.

Dalam tangkap layar tersebut, gambar Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar telah digunakan seolah-olah beliau mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Bila cacing naik ke mata,” tulis Razman dalam kapsyennya selepas memuat naik tangkap layar tersebut.

“Pemilik page Razman Zakaria telah memuat naik hantaran fitnah,” kata Mujahid mengulas hantaran Razman

“Tindakan undang-undang akan diambil oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa,” tambahnya lagi di Facebook pagi ini. 

Kami belum jumpa petunjuk PN boleh menang PRN Melaka

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sehingga semalam, masih tiada sebarang petunjuk bahawa Perikatan Nasional (PN) berpotensi untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Bahkan katanya, jika senario tidak banyak berubah dalam tempoh berkempen tiga hari ini, PN berisiko menerima tamparan yang menyakitkan pada hari pengundian nanti.

Menurutnya juga, sehingga kini kempen PN masih belum berjaya mencipta faktor ‘wow’ dalam kalangan pengundi yang memungkin mereka menjadi pilihan berbanding BN dan PH.

“Namun tempoh kempen masih berbaki. PN masih mempunyai cukup masa untuk mengubah tempo kempen sekali gus mencipta faktor wow yang dimaksudkan.

“Menyertai PRN Melaka sebagai ‘underdog’, pada pandangan saya adalah ‘nothing to lose’ kepada PN untuk membuat eksperimen politik bagi menarik sokongan pengundi.

“Barangkali antara yang boleh dilakukan adalah mengumumkan segera Mas Ermieyati sebagai calon KM jika itu memang ada dalam perancangan PN,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara itu Yusri berkata, penerimaan pengundi terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sememangnya agak baik di Melaka dan petunjuk itu memang ada di lapangan sepanjang tempoh berkempen.

“Atas sebab itulah, PN menggunakan sepenuhnya imej Mahiaddin sebagai bahan kempen dengan poster beliau dipamerkan secara meluas khususnya di kawasan pengundi Melayu,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, dengan mengambil kira komposisi pengundi wanita melebihi lelaki di Melaka, mengumumkan Mas Ermieyati sebagai bakal Ketua Menteri juga berpotensi menarik perhatian pengundi ‘gender’ tersebut untuk memberi undi kepada PN.

Pengumuman itu katanya, berpotensi meningkatkan sedikit peluang untuk Mas menyaingi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof di Tanjung Bidara yang merupakan antara kerusi selamat BN.

Ugut mengugut PN-Umno: Mahiaddin dah macam ketua ‘gangster’

SITI NUR ZAWANI MISCON

Adegan ugut mengugut antara dua parti yang membentuk kerajaan Persekutuan iaitu Umno dan Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai hal yang memalukan, kata Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Mahfuz Omar.

Baginya, situasi tersebut telah memperlihatkan bahawa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin bukan lagi seorang pemimpin, tapi seperti watak ketua sebuah kumpulan ‘gangster’.

Katanya juga, ini menimbulkan kebimbangan kepada kestabilan kerajaan Melaka sekiranya parti-parti tersebut dipilih membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Mahiaddin dah memperlihatkan sebagai watak ketua kumpulan gangster apabila beliau beri respon kepada Shahrir Samad bahawa dia mampu lakukan sesuatu yang boleh meruntuhkan kerajaan Barisan Nasional di Johor.

“Ini sudah jelas kepada rakyat Melaka. Keadaan porak peranda akan berlaku jika diberikan kerajaan melaka kepada kedua-dua parti ini iaitu BN dan PN.

“Mahiaddin telah hilang sifat dia sebagai seorang Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Bagaimana nak pulihkan negara kalau asyil bergaduh sesama sendiri,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Mahiaddin menyifatkan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad sebagai ‘bodoh’ kerana mencabar Bersatu untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan negeri Johor pimpinan Umno dan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka.

Pengerusi PN itu terus memberi amaran bahawa jika beliau terus dicabar, beliau boleh menekan butang dan “semuanya akan jatuh”.

“Shahrir tak fikir. Dia nak mencabar saya. Saya boleh buat besok. Sekarang (pun) saya boleh tekan button (butang, untuk arahkan Adun Bersatu tarik sokongan),semua jatuh. You want to see that happen? Oh pasal saya takut nak buat begitu?,” katanya.

Susulan itu, Shahrir membalas semula kenyataan tersebut dan mengingatkan Mahiaddin bahawa membubarkan Parlimen atau DUN bukanlah proses semudah ‘menekan butang’.

Pengundi Melaka jangan sia-siakan isyarat kehadiran bekas TYT dalam kempen PH

SHAHBUDIN HUSIN

Sudah beberapa hari berturut-turut bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob hadir dalam program kempen PH dalam PRN Melaka ini.

Kelmarin, beliau bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu hadir dalam program kempen PH di DUN Kuala Linggi dan hari ini pula di DUN Ayer Molek.

Kehadiran beliau hari ini disertai sama antaranya oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa.

Jika semalam, Mohamad Sabu tanpa berselindung menyebut kehadiran Tun Khalil yang juga bekas Menteri Besar Pahang dan menteri kerajaan persekutuan sebagai tanda sokongannya kepada PH dan memberi harapan cerah untuk mereka mencapai kemenangan pada 20 November nanti, semalam Mujahid juga melahirkan keyakinan yang sama.

“Ini menandakan satu isyarat yang positif kepada PH,” ujar beliau.

Sebagai bekas TYT atau Gabenor Melaka antara 2004 hingga 2020, kehadiran beliau bersama PH tentu juga menunjukkan betapa besar isyarat yang ingin dihantarnya kepada rakyat negeri itu menjelang hari pengundian pada 20 November ini.

Difahamkan juga, sehingga tempoh kempen berakhir pada malam Jumaat ini, beberapa lagi program kempen PH bakal dihadirinya.

Adalah tidak diragui bahawa kehadiran beliau dalam kempen PRN Melaka ini, apa lagi jika sehingga tempoh kempen berakhir beliau terus menunjukkan komitmennya, adalah semata-mata untuk melihat PH muncul mentadbir semula negeri tersebut.

Sekaligus juga bererti, Tun Khalil mahu Adly Zaharia kembali sebagai Ketua Menteri Melaka.

Memandangkan Tun Khalil adalah Gabenor Melaka ketika Adly menjadi Ketua Menteri selama 22 bulan sebelum ini, beliau tentu sedar tentang kemampuan dan kepimpinan baik yang ditunjukkan Pengerusi PH Melaka itu dalam mentadbir negeri tersebut.

Jika Adly bukan pemimpin yang baik, sebaliknya penuh dengan skandal, pasti mustahil beliau sanggup menyusahkan dirinya turun berkempen untuk PH dalam PRN Melaka ini.

Maknanya, walaupun berasal dari Pahang, tetapi kerana pernah menjadi Gabenor Melaka, rasa cinta dan keinginannya melihat rakyat negeri Hang Tuah itu terbela sentiasa ada dalam jiwanya.

Kepada pengundi Melaka, fahamilah maksud kehadiran Tun Khalil bersama PH dan jangan sia-siakan usaha murni beliau itu.

Muhyiddin hanya ulang cerita basi, kata Tok Mat

Robin Augustin

AYER KEROH: Pemimpin Barisan Nasional (BN) berusaha mengetepikan ancaman daripada Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana yakin rakyat di negeri itu bijak menilai kesilapan yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN).

Dengan menjadikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai sasaran, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan mendakwa bekas Perdana Menteri itu telah bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang stabil dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, beliau yakin pengundi Melaka tidak lupa bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Bersatu tidak melakukan apa-apa di Melaka sepanjang 22 bulan memegang kuasa, selain menambah hutang negara dan membatalkan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Jelasnya, Muhyiddin tidak meneruskan semula projek itu ketika menjadi Perdana Menteri.

Mengulas mengenai kritikan Muhyiddin terhadap BN, termasuk sering membangkitkan isu 1MDB dan perbicaraan kes rasuah pemimpin Umno, Mohamad berkata ia hanyalah sekadar cerita “basi”.

“Apa kena mengenanya PRN Melaka dengan 1MDB?” katanya.

“Mereka sebenarnya sudah tidak ada modal lagi untuk mengutuk Umno dan asyik benda sama saja. Rakyat sudah muak mendengar cerita sama sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hingga ke hari ini.”

Katanya, PN juga dilihat tidak dapat membentuk satu kesepakatan seperti yang dilihat dalam kegagalan mereka menamakan calon Ketua Menteri.

“Kita tinggal lagi tiga hari sebelum hari pengundian dan sampai hari ini tidak boleh kemukakan calon Ketua Menteri. Bagaimana kamu mahu bentuk kerajaan?”

Menurutnya, BN mengemukakan “manifesto yang praktikal” kepada pengundi dan calon Ketua Menteri “yang diterima semua” untuk menggantikan penyandangnya Sulaiman Md Ali.

“Rakyat sudah muak kutuk mengutuk,” katanya.

“Mereka mahu dengar apa yang kita boleh dan rancang untuk lakukan sekiranya kita berkuasa.”

Ahmad Said: Adun PAS pun pernah 'sembelih' PAS

Malaysiakini 

Seorang pemimpin Umno Terengganu hari ini mengingatkan, bukanlah wakil rakyat Umno saja yang pernah menjatuhkan kerajaan sendiri sebaliknya ia turut dilakukan PAS.

Mengingatkan mengenai hal itu, Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata ia berlaku apabila Adun PAS "menyembelih" kerajaannya sendiri pada beberapa dekad silam.

Meskipun tidak menyatakan dengan jelas insiden tersebut, Ahmad (BN-Kijal) dipercayai merujuk kepada kejadian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 1961 yang menyaksikan kerajaan PAS ditumbangkan oleh Adunnya sendiri.

"Tak kira siapa 'sembelih' siapa. Terengganu pernah berlaku awal sekali tahun 1961, PAS 'sembelih' PAS juga, orang ingat belaka sejarah.

"Mu tahu ke dok tahun 1961 undi tak percaya pada PAS. PAS perintah Terengganu dan ada undi tak percaya daripada orang PAS sendiri," katanya di Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Ahmad yang terkenal dengan sikap lantang itu terdahulu bangun mencelah ucapan perbahasan Belanjawan 2022 Terengganu yang disampaikan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut).

Sebelum itu Nawi membangkitkan kebimbangannya terhadap kemungkinan akan berlaku "perpecahan orang Melayu di Terengganu" susulan tindakan PAS bertanding melawan Umno-BN dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka.

Nawi menyentuh mengenai sikap PAS yang memilih Bersatu dan Perikatan Nasional untuk menyertai PRN berkenaan walaupun parti itu sudah menandatangani piagam Muafakat Nasional bersama Umno.

Anggap khianati perpaduan

Dia juga menyebut mengenani pelbagai kejadian di Terengganu ketika PAS dan Umno berseteru termasuk kejadian sembahyang dua imam, menolak sembelihan orang yang tidak sama parti, serta bernikah semula kerana tidak berpuas hati proses itu dilakukan oleh musuh politik.

Kenyataan Nawi itu kemudiannya menjadikan perbahasan agak panas sehingga ada wakil rakyat PAS yang mencelah dan menyatakan PRN Melaka berpunca daripada sikap Adun Umno yang menjatuhkan kerajaan sendiri.

Ahmad kemudiannya bangkit dan menyatakan menjatuhkan kerajaan sendiri juga pernah dilakukan oleh wakil rakyat PAS terhadap kerajaan parti itu di Terengganu.

Sebagai rekod kerajaan Terengganu ketika itu diketuai Adun PAS yang mewakili kawasan Setiu, Mohd Daud Abdul Samad. Krisis yang berpanjangan sejak penghujung 1950-an menyaksikan berlaku perpecahan dalaman.

Pada masa sama PAS berdepan dengan cabaran daripada Perikatan dan Parti Negara.

Selepas PRU pertama yang diadakan pada 1959, PAS menguasai DUN Terengganu namun dalam majoriti tipis apabila memenangi 13 daripada 24 kerusi yang ada.

Tujuh kerusi pula dimenangi Perikatan-Umno manakala empat lagi Parti Negara.

PAS kemudian berjaya menambah bilangan kerusi mereka dengan kemasukan Adun Parti Negara, Ismail Abbas (Langkap) manakala Perikatan berusaha mendapat sokongan tiga lagi wakil Parti Negara.

Pada 30 Okt 1961 Wan Daud Wan Ahmad - yang memenangi kerusi DUN Ladang atas tiket Parti Negara namun menyertai Umno kemudiannya - mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Mohd Daud.

Seorang daripada wakil rakyat yang menyokong usul itu semasa pengundian dibuat ialah Adun PAS bagi kawasan Jeram, Ahmad Azam Napiah, manakala dua lagi Adun PAS, Husin Jusoh (Hulu Besut) dan Muhammad Ismail (Besut Tengah) pula berkecuali.

Semasa undian, usul tidak percaya itu memperoleh 13 sokongan manakala lima yang menolak sekalli gus membawa kepada tumbangnya kerajaan PAS pada Oktober 1961.

Insiden Adun PAS mengemukakan usul undi tidak percaya juga berlaku di DUN Kelantan pada 1977 apabila parti itu berdepan dengan konflik yang mempertemukan kumpulan Mohd Asri Muda dengan Menteri Besar Mohamed Nasir.

Usul undi tidak percaya ke atas Mohamed dibawa Adun Simpangan Hussein Abdullah dan disokong oleh Adun Bandar Pasir Mas, Hashim Omar, kedua-duanya dari PAS.

Selepas undian dijalankan usul tersebut diluluskan dengan 20 undi menyokong dan 16 undi menolaknya.

Perbahasan di DUN Terengganu hari ini mula panas apabila Nawi menyifatkan tindakan PAS bersama dengan PN menentang BN di Melaka sebagai mengkhianati perpaduan Melayu.

Ia semakin panas apabila Ahmad turut mencelah. Bagaimanapun kehangatan itu berjaya dikawal kemudiannya oleh Speaker, Yahaya Ali.

Contohi cara Nabi, sahabat rai perbezaan cara berfikir

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Dalam urusan agama, lebai mahu kita berfikir macam depa berfikir. Jika kita berfikir berbeza, depa akan label kita anti agama atau sokong maksiat.

Dalam isu tutup premis judi misalnya, depa akan label kita sokong judi apabila kita berfikir berbeza dengan cara depa berfikir.

Situasi ini sama seperti isu hudud, RUU 355 dan isu arak. Apa yang depa fikir, itulah yang muktamad. Jika kita fikir berbeza, siaplah kena label, kena maki.

Apabila kita kata, nak tutup premis judi, jangan dibuat sebarangan. Pastikan tidak menatijahkan sesuatu yang lebih buruk. Industri judi sifatnya rencam.

Kita hormat cara fikir depa untuk menutup premis judi. Silakan. Tapi pada masa yang sama, depa kena juga melihat cara berfikir dan sudut pandang orang lain.

Boleh jadi orang lain nampak apa yang depa tidak nampak dan tahu apa yang depa tidak tahu. Depa tidak boleh rasa depa nampak dan tahu semua benda.

Nabi sendiri pun hormat cara fikir sahabat walaupun Nabi ada cara fikirnya sendiri. Misalnya, dalam kes untuk berkubu semasa peperangan Badar.

Nabi terima saranan sahabat untuk berpindah lokasi. Jika Nabi boleh terima idea sahabat, siapalah sangat kita yang serba lekeh ini? Bahkan, Nabi terima idea isterinya dalam kes penyembelihan binatang dalam peristiwa Hudaibiah.

Abu Bakar lebih senior daripada Umar dalam ranking sahabat. Tapi Abu Bakar terima pandangan Umar supaya al-Quran ditulis secara tersusun.

Begitu cara Nabi dan sahabat meraikan perbezaan cara berfikir. Nabi dan sahabat tidak melabel orang yang ada idea berbeza sebagai lawan Nabi, atau lawan Islam atau sebagainya.

Satu hal yang sangat diberi perhatian oleh agama ialah, mencegah mungkar tidak boleh menyebabkan lahirnya mungkar lain yang lebih besar.

Sesuatu mudarat tidak boleh dihilangkan dengan mudarat yang lebih besar. Misalnya, jika kita cegah seseorang minum arak, orang itu akan bunuh diri.

Dalam situasi ini, bunuh diri adalah mudarat yang lebih besar daripada minum arak. Bukan kita setuju dia minum arak, tapi perlu cari pendekatan pencegahan lain supaya bunuh diri tidak berlaku dan orang itu berhenti minum arak.

Apabila kita berfikir begitu depa kata kita liberal, lembik, tunduk kepada kaki maksiat! Kadang-kadang yang tuduh begitu bukan lulus 4 thanawi, tapi tulis dalam profil Facebook, lulusan al-Azhar.

Ya Allah, agama-Mu yang hanif (murni) ini indah. Ampunilah kami jika kami gagal dalam usaha menyerlahkan keindahan agama-Mu ini.

Sub-Inspektor lepaskan tembakan di pub hingga cederakan pelanggan ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis berpangkat Sub-Inspektor ditahan selepas melepaskan tembakan sehingga terkena seorang pelanggan dalam sebuah pub di Bandar Puchong Jaya, Puchong, malam tadi.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, anggota itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Katanya, polis sudah menahan suspek untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar tindakan itu.

“Saya sahkan suspek seorang anggota polis dan dia sedang ditahan untuk siasatan lanjut sama ada dia berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, Ketua Polis Serdang A Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati suspek melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol dan terkena seorang pelanggan lelaki berusia 56 tahun dalam pub berkenaan.

“Sejurus selepas kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan akibat tembakan di bahagian belakang badan dan lengan kiri dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Suspek mempunyai kebenaran membawa senjata api dan pistol yang digunakan ketika kejadian itu. Senjata itu kemudian dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan tiada sebarang provokasi di antara kedua-dua pihak.

PH dituduh ‘promosi’ ideologi komunis lagi, selepas MB Kedah didapati bersalah fitnah Mahfuz

FAZLI RADZI

Tidak serik-serik nampaknya pemimpin dan media Pas memfitnah Pakatan Harapan (PH) walaupun terbukti tindakan mahkamah terhadap mereka baharu sahaja berlaku dalam tempoh terdekat.

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada masa ini tidak terkecuali menjadi medan pemimpin Pas Pusat menjalarkan fitnah demi memancing undi.

Kelmarin, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad pula menuduh PH membawa ideologi komunis dan tidak harus diberi mandat untuk kembali berkuasa.

Dakwanya dalam ceramah yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pas itu, pengundi di Melaka harus menolak PH atas rekod lalunya seperti mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan “mempromosi” ideologi komunis.

“Statut Rom, ICERD, ideologi komunis…dosa besar (PH) yang tidak boleh dimaafkan.

“Kita begitu terkesan dengan keganasan komunis, tiba-tiba PH promosi ideologi komunis sebagai perjuangan negara. Ini jenayah besar,” dakwanya pada ceramah Perikatan Nasional (PN) pada 14 November lalu.

Tuduhan berat Kamaruzaman itu muncul tidak sampai seminggu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar ganti rugi RM50,000 ekoran fitnah kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Sanusi yang juga AJK Pas Pusat itu dalam akaun Facebook miliknya pada 30 Julai 2019 mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan tersebut.

Sanusi juga didakwa oleh Mahfuz menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebook pada 27 Julai 2019, yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Sementara itu, penulis Harakahdaily, Roslan Shahir yang menulis, “Husam: PAN parti diktator” dan disiarkan di portal rasmi Pas tersebut pada 14 September 2020 tampil memohon maaf kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pada 7 November lalu.

Roslan yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor mendakwa dia tidak sengaja telah menerbitkan berita yang disiarkan oleh portal The Malaysian Insight yang dakwanya lagi tidak dipastikan kesahihannya.

‘Beli nombor ekor di P Pinang’, mufti kecewa kenyataan Sanusi

FMT Reporters

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor (kiri) menasihatkan Muhammad Sanusi Md Nor berhati-hati membuat kenyataan dan perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai pemimpin kerajaan negeri.

GEORGE TOWN: Kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sesiapa yang ingin membeli nombor ekor “boleh ke Pulau Pinang” mengecewakan mufti negeri itu.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kenyataan Sanusi yang menyamakan Pulau Pinang dengan perjudian adalah “penghinaan” kepada institusi Islam di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di Pulau Pinang, dan lebih RM70 juta dibelanjakan untuk memperkasakan institusi Islam sejak 2008.

Salim turut mengingatkan Sanusi, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam di Pulau Pinang, iaitu bagi negeri yang tiada raja atau sultan di Malaysia.

Katanya, segala urusan mengenai agama Islam terletak secara langsung bawah naungan Agong.

“Selaku seorang ‘abang’ (orang lebih tua), saya menasihatkan Sanusi berhati-hati dalam membuat kenyataan. Beliau perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad.

“Sanusi tidak sepatutnya menimbulkan kontroversi melibatkan pemimpin negeri lain melalui kenyataan seperti itu sebaliknya beliau perlu kekal menjalinkan hubungan mesra dengan semua pihak,” katanya.

Salim berkata, Sanusi sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan

menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana dicetuskan Perdana Menteri.

Khalil Yaakob, bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka sokong PH

Malaysiakini 

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan kehadiran bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob bersama calon Pakatan Harapan (PH) adalah sesuatu yang positif buat gabungan itu.

Katanya, kehadiran Mohd Khalil di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi hari ini memberi impak baik kepada calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Jelasnya sokongan Mohd Khalil secara tidak langsung membuka jalan kepada PH dan Adly Zahari untuk kembali menerajui kerajaan negeri Melaka.

"Kesudian Tun Khalil untuk bersama dengan saya dan calon PH, Julasapiyah Kassim, menyantuni para nelayan di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi petang ini amat menyentuh perasaan.

"Bagi saya secara peribadi, kehadiran tokoh yang amat dihormati oleh rakyat Melaka ini, merupakan suatu yang positif kepada PH.

"Kita harap dengan sokongan Tun, PH akan memenangi PRN Melaka dan saudara Adly kembali menjadi ketua menteri. Insya-Allah," tulis Mohamad dalam satu catatan di Facebooknya hari ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan susulan empat wakil rakyat diketuai bekas ketua menteri Idris Haron menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

PH mempertaruhkan Adly sebagai ketua menteri jika PH kembali berkuasa, manakala BN kekal mempertaruhkan Sulaiman.

Perikatan Nasional (PN) belum mengumumkan bakal calon ketua menteri daripada parti itu.

Rakyat Melaka akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih kerajaan Melaka yang baru pada 20 Nov ini.

Gambar Mahiaddin penuhi Taboh Naning, mana calon PN?

FAZLI RADZI

Lain yang bertanding, lain pula wajah yang terpampang. Itu keadaan yang berlaku di DUN Taboh Naning sepanjang kempen PRN Melaka.

Wajah calon PN, Abu Hashim Abdul Samad dari Pas tidak kelihatan sebaliknya gambar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yassin pula yang memenuhi sekitar DUN itu.

Poster wajah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan dilihat seolah-olah menenggelamkan calon sebenar yang bertanding.

Abu Hashim, 61, yang merupakan pesara guru berentap dengan dua pencabarnya iaitu Zairi Suboh (PH-AMANAH) dan Zulkiflee Mohd Zin (BN-Umno).

Pada PRU-14, calon BN Datuk Latipah Omar menang dengan majoriti tipis 740 undi.


Mengapa poster Mahiaddin bersepah di Melaka?

NASUHA RAHMAN

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan mengapa poster Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin merata-rata di Melaka sedangkan beliau tidak menjadi calon di mana-mana DUN negeri itu.

Dalam segmen temubual yang disiarkan secara langsung di Facebooknya malam tadi, Lokman berkata disebabkan ada dua kumpulan di dalam Bersatu menyebabkan Mahiaddin mengambil jalan tengah dengan meletakkan posternya.

“Bersatu ada dua kumpulan satu Hadi dan Azmin yang mahukan Mas Ermieyati calon KM, manakala kumpulan Mahiaddin mahukan Rafiq Naizamohideen juga calon KM, jadi PN ambil jalan tengah letak gambar Mahiaddin,” kata beliau.

Dalam pada itu Lokman yang turut mendapat maklumat daripada mesyuarat Bersatu mendakwa PN hanya mensasarkan empat kerusi sahaja supaya kerusi ini dapat digabungkan dengan PH bagi membentuk kerajaan. 

“Kita orang sudah dapat maklumat daripada mesyuarat mereka, jadi untuk elak letak gambar Mas Ermieyati dan Rafiq akhirnya PN ambil jalan tengah letak gambar Abah.

“Padahal dia lupa pada mula-mula dia jadi PM mungkin orang masih panggil dia abah sebab masa itu dia dengar nasihat Najib,” katanya.

Bagaimanapun beliau percaya ramai yang berasa aneh melihat poster Mahiaddin seolah-olah beliau seorang sahaja yang bertanding di Melaka.

“Biasa kalau kita hendak letak posterboy letaklah sekali calon KM, tapi kalau kita tengok poster Sulaiman ok jugaklah,

“PH pun tak letak gambar Anwar Ibrahim di situ. Ada gambar Adly? Di kawasan dia adalah kalau di Masjid Tanah ada yang letak poster Adly, ok lagi masih boleh diterima.

“Tapi Muhyiddin ada gambar seluruh Melaka ramai yang bertanya beliau bertanding di Dun mana?” katanya.

Namun katanya, dengan meletakkan poster Mahiaddin sebagai ‘posterboy’ sebenarnya BN tidak perlu bimbang sebab banyak yang akan menguntungkan BN.

‘Pengerusi SPR kena berundur jika tak sampai separuh keluar mengundi’

Malaysiakini 

Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh meletakkan jawatan jika kadar keluar mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka berada bawah 50 peratus.

Menurutnya, sekiranya perkara itu berlaku, SPR jelas gagal menjalankan tugas.

"SPR sepatutnya memastikan seramai mungkin pengundi keluar pada hari pembuangan undi pada 20 November nanti, namun badan itu melakukan hal yang sebaliknya.

"Saya menggesa pengerusi SPR untuk meletak jawatan jika kadar peratusan keluar mengundi pada 20 November ini berada pada tahap di bawah 50%," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, ahli parlimen Iskandar Puteri mendakwa SPR tersasar daripada skop tugasnya.

"Saya menyeru SPR supaya sedar akan tugasnya untuk menjalankan pilihan raya secara bebas, adil dan bersih dengan segera menarik balik larangan kempen fizikal dan membenarkan kempen secara fizikal dijalankan dengan pematuhan SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

SPR harus dilihat bekerja keras dalam memastikan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Melaka kali ini melebihi paras 70%," tambahnya.

Timah: Tidak setuju keputusan Kabinet Menteri Agama dicabar letak jawatan

NASUHA RAHMAN

Menteri Agama dari Pas yang tegas tidak bersetuju dengan keputusan kabinet dalam isu arak Timah dicabar untuk meletakan jawatan.

“Jika menteri agama daripada parti agama tidak bersetuju dengan keputusan kabinet dalam isu Timah, tunggu apa lagi, letak jawatanlah,” kata AJK AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin

Katanya, meletakkan jawatan adalah konsep kebertanggungjawaban bersama dalam bekerajaan atau berorganisasi kerana keputusan mesyuarat kabinet adalah keputusan semua anggotanya.

“Andai menteri agama naik lompat atas meja sekalipun ketika mesyuarat kabinet kerana tak bersetuju, apabila keputusan telah ada, lompatan itu tak diambil kira,” kata beliau.

Beliau berkata, menteri dikira tidak beretika apabila bercakap di media perkara yang bercanggah dengan keputusan kabinet.

“Takkan hal sebegini ada menteri yang tak faham. Menteri apa macam tu? Menteri cap ayam?

“Ini bukan isu aku setuju dengan keputusan kabinet, tapi ini isu etika. Jika menteri tak setuju dengan keputusan kabinet, letak jawatan.

“Usah melalut dalam media. Habis cerita. Ada bran?” soalnya.

Sebelum ini, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin turut meluahkan rasa kesal apabila kabinet kerajaan yang terdiri daripada majoriti orang Islam masih tidak dapat menghalang penganut Islam daripada terlibat dalam aktiviti berkaitan arak.

Menurut Asri, isu itu seolah-olah kurang dipedulikan sedangkan hal yang patut menjadi keutamaan tidak menjadi perhatian.

“Dukacita, kabinet yang majoriti muslim gagal membuat keputusan menghalang orang muslim terlibat dengan apa-apa aktiviti arak sama ada minum, angkat, juruwang dan seumpamanya.

“Membincangkan hal yang remeh, melupai hal yang besar,” ciapnya di Twitter.

Menteri Agama Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas menyatakan bantahan terhadap pengeluaran arak tempatan jenama Timah meskipun Kabinet membenarkan penggunaan nama itu di pasaran.

Pendirian parti itu adalah jelas dan konsisten berkaitan minuman keras walau apa jenama sekali pun.

Media semalam melaporkan, kerajaan membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corporation (M) Sdn. Bhd. terus menggunakan jenama Timah di pasaran.

Disoal langkah Kedah haram kedai nombor ekor, 2 pemimpin PAS ‘asak’ wartawan FMT

FMT 

Pemimpin PAS Idris Ahmad dan Awang Hashim ‘kurang senang’ apabila ditanya wartawan mengenai tindakan kerajaan Kedah mengharamkan kedai nombor ekor di negeri itu.

PETALING JAYA: Dua pemimpin PAS, Idris Ahmad dan Awang Hashim, dilihat “mengasak” seorang wartawan FMT yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan pimpinan parti itu di Kedah.

Idris adalah Naib Presiden PAS dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala Awang Hashim adalah Ahli Parlimen Pendang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Apabila ditanya oleh wartawan Minderjeet Kaur mengenai rasa khuatir kalangan masyarakat terhadap keputusan Kedah itu, Idris menyoal sama ada beliau (Minderjeet) boleh menerima jika suaminya “kaki judi”.

Manakala, Awang mahu tahu sama ada Minderjeet warga Malaysia selepas menegurnya kerana bertanya soalan dalam Bahasa Inggeris.

“Asakan” dua pemimpin PAS itu menyusul setelah Minderjeet meminta penjelasan Idris mengenai keputusan kerajaan Kedah tidak lagi memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor.

Idris mendakwa “semua orang termasuk Muslim dan bukan Muslim tidak setuju dengan judi”.

Apabila ditanya oleh Minderjeet bagaimana menteri itu pasti dengan kenyataannya itu, Idris berkata langkah seperti di Kedah sudah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu yang mana ia diterima baik oleh masyarakat bukan Muslim di sana.

Ketika Minderjeet bertanya rasa khuatir kalangan orang ramai jika penutupan kedai nombor ekor diperluaskan ke negeri lain, Awang mencelah dan menegur wartawan itu.

Awang: You tanya Bahasa Melayu lah, you are Malaysian or not? (Awak warga Malaysia atau tidak?).

Minderjeet: I am a Malaysian certainly, (sudah tentu saya warga Malaysia).

Awang: You cakap Bahasa Melayulah.

Minderjeet: Please don’t do that to me (tolong jangan layan saya sedemikian).

Awang: You also proper ask the question, you know. You want me to respect you, you must respect us first…you cakap Melayu boleh tak? (Anda pun kena tanya soalan cara baik, tahu tak. Anda mahu saya hormati anda tapi anda kena hormat kami dulu).

Seterusnya, apabila Minderjeet sekali lagi bertanya Idris mengenai rasa khuatir pihak tertentu atas tindakan diambil di Kedah, beliau membalas balik dengan soalan berikut.

Idris: You setuju ke kalau suami you kaki judi? I tanya you dulu.

Minderjeet: It is not about my family (Ini bukan pasal keluarga saya).

Idris: You kena jawab my question dulu. Okay, itu cukuplah.

Wawancara itu diadakan selepas majlis pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) oleh Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin petang tadi yang dihadiri Idris dan Awang.

Minderjeet, wartawan veteran FMT ditugaskan membuat liputan acara itu.

Petang tadi, pemimpin MCA dan MIC senada menegur Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor susulan tindakannya mengharamkan kedai nombor ekor beroperasi di negeri itu.

Naib Presiden MIC, T Mohan, menyifatkan Sanusi tidak menghormati bangsa lain di negeri itu, dan mencari publisiti murahan.

“Saya lihat (tindakan Sanusi) tidak logik. Kadang-kadang Menteri Besar Kedah ini suka publisiti murahan. Nak publisiti, (Sanusi) biasa buat macam itu nak dapatkan sokongan,” katanya kepada FMT.

Setiausaha Agung MCA, Choon Sin Woon, berkata tindakan Sanusi itu memberi mesej salah kepada masyarakat majmuk di negara ini.

“Saya fikir mana-mana kerajaan di negara ini harus mengakui dan menghormati kepelbagaian budaya. Apa yang harus kita pertahankan ialah kebebasan dan pilihan oleh rakyat untuk hidup dengan cara yang mereka pilih,” katanya.

Sebelum itu, Sanusi mengumumkan kerajaan Kedah tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

Sanusi berkata, aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

Beliau berkata, penjualan minuman keras di semua premis juga akan dihadkan, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

Selepas bergelar Tan Sri, Hadi berpantun dakwa PH tipu di Melaka

ARIF ATAN

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang kini sudah bergelar ‘Tan Sri’ menyampaikan dua rangkap pantun menjelang kurang seminggu berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri berkenaan dalam pantunnya mendakwa Pakatan Harapan (PH) melakukan penipuan di Melaka.

Sehubungan itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sejak 2008 menyeru agar sokongan diberi terhadap Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu yang merupakan musuh besar Umno.

Poster dengan dua rangkap pantun yang dimuatnaik di akaun rasmi Facebook, Twitter dan Instagram Hadi hari ini adalah seperti berikut:

Buah salak buah kedondong,

Kumpul semua dalam baldi,

Bukan salah ibu mengandung,

Salah pangkah undi.


Di atas robohan Kota Melaka,

Papan cengal kita tegakkan,

Penipuan PH terhadap Melaka,

Perikatan Nasional kita tegakkan.

Hadi yang merupakan Timbalan Pengerusi PN menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) dengan gelaran ‘Tan Sri’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

‘Tan Sri’ yang disandang itu kemudiannya dilihat mengundang buah mulut orang ramai di media sosial yang rata-ratanya mempersoal kelayakan dan jasa bakti Hadi kepada negara sehingga diberi gelaran tersebut.

Warganet antara lain turut mengaitkan kekerapan Hadi, 74, tidak hadir dalam sidang perbahasan Dewan Rakyat serta Amanat Haji Hadi 1981 yang telah memecah-belahkan masyarakat Melayu sebelum hanya difatwakan haram pada 2002.

Bahkan, ada netizen yang mengaitkan dengan konsep istidraj iaitu pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhai-Nya.

Pada PRN Melaka, 20 November ini, Pas bersama PN termasuk menggunakan lambangnya sekali gus dilihat membelakangkan Umno dalam kerjasama politik, Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada September 2019.

Bahkan, Pas bergasak dengan Umno di tujuh kerusi DUN iaitu di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018, Umno menguasai 13 DUN di Melaka, dua DUN dipegang Bersatu manakala langsung tiada kerusi dimenangi Pas.

Krisis kepercayaan dan tanggapan Umno dikhianati Pas dilihat memuncak apabila ada pemimpin dari parti yang sinonim dengan warna hijau itu berharap agar Umno tewas dalam PRN Melaka.



Bersatu Umno ‘berperang’: Zaid yakin PH dan Anwar akan menang di Melaka

MALAYSIA DATELINE

Peguam Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yakin Pakatan Harapan (PH)  bersama kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan beroleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Menurut Zaid dengan asas keyakinan bahawa PH akan menang kerana Bersatu dan Umno sedang berperang besar menyebabkan rakyat negeri Melaka akan memilih alternatif yang benar-benar tulen iaitu PH dan Anwar.

“Walaupun PRN ini sangat pelik di mana berkempen pun kena kompaun, saya yakin PH dan Anwar akan menang.

“Bersatu PN sama sahaja, mereka lebih kurang sahaja, rasuah sama, ketidaktelusan sama, tidak akauntabiliti pun sama, semua sama. Yang tulen PH dan Anwar,” katanya,

Bahkan katanya, Umno sendiri juga dalam keadaan tenat keranan kerajaan yang ada pada hari ini bukan kerajaan Umno tetapi kerajaan semi Umno semi Bersatu.

Justeru katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri harus menjaga hati kedua-dua parti ini yang menyokong kedudukannya sekarang.

“PM kena jaga hati Najib, jaga hati Mahiaddin orang yang lantik dia jadi PM,” katanya dalam satu rakaman video.

Beliau berkata, senario ini susah untuk diramal siapa yang akan menang di Melaka bagaimanapun beliau yakin kedua-dua BN dan PN akan kalah. 

Bahkan beliau tidak menolak Ismail Sabri yang melakukan kempen di Melaka hanya sekadar wayang tetapi kesetiaanya kepada Mahiaddin kerana terhutang budi atas pelantikan sebagai Perdana Menteri.

“Turun tu buat wayang kesetiaan mesti pada Mahiaddin sebab orang lantik dia, sebagai Umno kena buat secara simbolik lawat Melaka dan berkempen itu sahaja,” katanya ketika diminta mengulas tentang PRN Melaka.

“Kalau dia anak jantan, suruh 2 ADUN tu tarik diri,” cabar Umno kepada Mahiaddin

BORHAN AHMAD

Umno terus mencabar Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengarahkan dua Adun mereka di Johor menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Johor dari Umno.

Ini kerana, bagi mereka, kedua-dua Adun Bersatu di Johor itu tidak akan mendengar arahan Mahiaddin mereka mereka lebih menghormati Sultan Johor.

Perkara ini dinyatakan oleh Datuk Lokman Nur Adam yang menjawab gertakan Mahiaddin untuk meminta Adunnya menarik balik sokongan di Johor.

“Saya nak cabar dia, kalau dia anak jantan, suruh dua orang tu tarik diri,” kata Lokman dalam siaran live menerusi facebook petang semalam.

“Saya nak cabar dia, kalau dia anak jantan, suruh dua orang tu tarik diri,” kata Lokman dalam siaran live menerusi facebook petang semalam.

Bagi beliau, kedua-dua Adun Bersatu ini tidak akan mendengar cakap dia tetapi akan lebih mendengar titah Sultan Johor.

“Yang dua ini tidak akan perdulikan dia,” kata Lokman memperlekehkan gertakan yang dibuat oleh Mahiaddin itu.

Cabaran Lokman ini dibuat selepas Mahiaddin memberikan amaran jika beliau mengarahkan dua Adunnya di Johor menarik diri dari menyokong kerajaan negeri Johor akan tumbang.

Mahiaddin juga berkata, mereka juga boleh membubarkan Parlimen Malaysia ketika ahli Parlimen Umno menarik diri dari sokongan mereka kepada beliau.

Beliau lebih rela melepaskan jawatan bukan meminta Parlimen dibubarkan atas kepentingan Malaysia bukan peribadi sebagai yang dibuat oleh Umno di Melaka, katanya.

Sebelum ini Mahiaddin cabaran veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, seperti yang berlaku di Melaka, bukan sahaja berniat jahat namun tidak berakal.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak akan bertindak bodoh seperti segelintir pemimpin UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan sendiri, dan akhirnya menyebabkan rakyat Melaka terpaksa menanggung risiko COVID-19 akibat PRN.

Katanya lagi, sekiranya beliau selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengarahkan dua ADUN parti itu di Johor untuk menjatuhkan kerajaan, ia adalah satu kerja yang akan membahayakan rakyat.

Adakah Muhyiddin akan terus sokong Ismail Sabri jika Bersatu kalah dalam PRN Melaka?

LIM KIT SIANG

Banyak tumpuan kini diberikan kepada “katak politik” dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, tetapi masih tidak ada perbincangan bermakna mengenai prinsip dan integriti dalam berpolitik, seakan-akan perbuatan menukar parti politik ini satu dosa yang tidak boleh diampunkan.

Winston Churchill bertukar parti politik dua kali, pertama kali sebagai seorang ahli Parti Konservatif semasa beliau mula Ahli Parlimen pada tahun 1901, beliau kemudiannya bertukar ke parti Liberal pada tahun 1904 kerana membantah dasar “perlindungan” dalam Parti Konservatif. Kemudian pada tahun 1923, beliau kembali ke Parti Konservatif kerana membantah gabungan kerjasama parti Liberal-Buruh.

Adakah Churchill salah dalam berbuat demikian? Saya akan katakan tidak, kerana peralihan politik beliau ini berasaskan kepada prinsip beliau dan beliau bersedia untuk berhadapan dengan pilihan para pengundi.

Kerana inilah semasa saya cadangkan di Parlimen pada 21 Mac 1978 supaya satu undang-undang diadakan untuk mengelakkan perbuatan lompat parti, saya katakan:

“Pembelotan seorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti yang memberikan mereka tiket untuk bertanding adalah satu perkara yang amat tidak diingini dan tidak beretika, kerana mereka diundi bukan semata-mata atas kualiti peribadi mereka, tetapi juga atas tiket parti yang diwakili mereka. Perbuatan seperti ini juga membolehkan ahli politik dijual beli seolah-olah mereka ini barangan di pasar.

“Sekiranya seorang Ahli Parlimen meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti yang mana beliau bertanding sebelum ini, maka beliau perlulah mengosongkan kerusi beliau untuk memberi laluan kepada satu pilihan raya kecil. Sekiranya peletakan jawatan atau pemecatan itu berlaku di atas sebab-sebab prinsip politik yang disokong oleh rakyat, wakil rakyat tidak sepatutnya perlu bimbang mengenai peluang beliau untuk diundi semula.”

Dalam lima tahun pertama saya sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka dan Setiausaha Agung DAP, saya telah melalui pelbagai ujian.

Pada masa itu, “katak politik” boleh dikira sebagai matawang dan satu pertiga daripada 13 orang Ahli Parlimen dan 31 ADUN DAP dalam Pilihan Raya Umum 1969 akhirnya membelot, menjadi mangsa kepada taktik sogokan atau tekanan ugutan Barisan Nasional. Seorang MP DAP yang melompat parti ini akhirnya menjadi seorang Menteri MCA.

Terdapat cubaan serius untuk menzahirkan jangkaan seorang pemimpin kanan kerajaan pada awal tahun 70-an yang mengatakan DAP ini “sudah sebelah kaki di dalam kubur”, terutamanya selepas saya menolak tawaran MCA supaya DAP dibubarkan dengan menyertai MCA untuk beberapa orang pemimpin DAP menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Saya tidak ragu-ragu untuk menolak tawaran MCA untuk menjadi seorang Menteri semasa saya hanya berusia 28 tahun sewaktu itu, kerana saya tidak percaya pembelotan dan pengkhianatan prinsip politik adalah caranya untuk mencapai cita-cita Malaysian First.

DAP bukanlah sebuah parti politik orang Cina, sebaliknya, parti politik untuk semua rakyat Malaysia — inilah prinsip yang kami pegang erat, biar apa pun cabaran politik yang dihadapi.

Komitmen pemimpin dan ahli-ahli parti kepada prinsip Malaysian First — bukannya meletakkan identiti perkauman, Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban dahulu — inilah yang menyatukan parti dan memberikan kekuatan untuk kita terus berkembang.

Mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, telah mengatakan dalam satu sidang secara maya untuk PRN Melaka di laman web Facebook malam semalam yang keputusan untuk membentuk Bersatu adalah kerana keadaan dalam negara sedang “teruk akibat isu kleptokrasi”.

Beliau mengatakan yang beliaulah orang disebalik pembentukan Bersatu dan bukannya mantan Perdana Menteri merangkap pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Perkara ini mengingatkan saya kepada mesyuarat “gunting dalam selimut” bersama dengan Muhyiddin Yassin pada 25 Julai 2016 di Hotel Le Meridien di mana Muhyiddin cuba mendapatkan sokongan DAP untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

Saya menolak untuk berbuat demikian, kerana DAP komited dengan keputusan untuk Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri.

Saya amat tertarik dengan “pengakuan” Muhyiddin malam semalam kerana ia merupakan satu pengakuan pengkhianatan Muhyiddin terhadap manifesto Pakatan Harapan untuk membina semula negara dan memenuhi harapan rakyat.

Muhyiddin mengatakan Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk gabungan politik yang kuat yang boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

Perkara ini menjadi realiti apabila PH menumbangkan BN dalam PRU 14 pada tahun 2018.

Tetapi Muhyiddin tidak pernah percaya kepada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan ini, manifesto ini hanyalah satu muslihat bagi beliau untuk menipu pengundi.

Dengan Muhyiddin mendesak Mahathir untuk mengabaikan manifesto Pakatan Harapan, saya kini faham mengapa Perdana Menteri Pakatan Harapan ketika itu mengatakan yang manifesto PH ini bukanlah sebuah kitab suci, sebaliknya hanya merupakan satu panduan, dan juga tindakan-tindakan yang bertentangan dengan semangat Pakatan Harapan seperti penangkapan wakil rakyat DAP atas dakwaan dibuat-buat mengenai kaitan dengan aktiviti keganasan Tamil Tiger di Sri Lanka.

Muhyiddin juga mengatakan malam semalam yang beliau tidak berdendam dan membenarkan seorang pemimpin UMNO untuk menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Muhyiddin mengatakan, walaupun berhadapan dengan pilihan di antara membubarkan parlimen dan membuka jalan untuk pilihan raya baharu selepas kehilangan majoriti di Parlimen, beliau menolak jalan pembubaran, sebaliknya mencadangkan nama Ismail Sabri dari UMNO untuk memimpin sebagai Perdana Menteri baharu.

Beliau mengatakan salah satu sebabnya adalah beliau tidak mahu pembangkang, yang diketuai oleh Pakatan Harapan, untuk kembali berkuasa.

Mungkin Muhyiddin patut menyatakan sama ada beliau akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya Bersatu dikalahkan sepenuhnya oleh UMNO dalam PRN Melaka pada 20 November ini?

———

Artikel kedua daripada lapan artikel oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang tentang “Tahun-tahun saya di Melaka”.

Mahiaddin beri laluan secara izin dalam paksa untuk PH menang?

MOHD SAYUTI OMAR

Mahiaddin Yassin yang bercita-cita untuk come back di Putrajaya nampak tertekan dan terdesak untuk mencapai hasratnya itu. Beliau yang selama ini dikenal sebagai cool tetapi sudah hot. Ini dipamerkan dalam siri-siri kempen dalam Pirake beberapa hari ini.

Keterdesakan Mahiaddin itu menyebabkan beliau mengambil sikap menyerang para pemimpin BN. Sikap ini memberi gambaran seolah-olah beliau kehilangan modal untuk ditawarkan kepada pengundi Melaka agar mengundi calon-calon PN.

Sekurang-kurangnya tiga atau empat orang diserang hendap oleh beliau. Antaranya Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad dan Shahrir Samad.

Kepada Najib, beliau masih mengungkitkan isu 1MDB di mana beliau cuba menunjukkan dia hero sehingga dipecat dari Umno. Mereka yang tidak mengetahui sejarah 1MDB itu mungkin akan menerima dia hero sehingga dipecat daripada Umno.

Tetapi bagi mereka yang dapat menghidu politik Mahiaddin boleh mengesahkan apakah dia hero atau tidak?

Apabila Najib menjawab isu pemecatan Mahiaddin itu bukan sahaja kerana 1MDB tetapi Mahiaddin sudah lama membuat gerakan hendak jatuhkannya, orang dapat tahu akan kekejian cara Mahiaddin berpolitik.

Dakwa Najib bukan saja Mahiaddin hendak jatuhkannya, tetapi Abdullah Badawi juga cuba digulingkan dengan berpakat dengan OT96.

Selepas menjual cerita dongeng mengenang Najib (dakwa Najib), beliau menghala kemarahannya kepada Shahrir Samad yang mencabarnya agar menarik sokongan kepada kerajaan BN Johor.

Mungkin Mahiaddin terlalu pedih dengan cabaran Shahrir itu sehingga keluar perkataan tidak sepatutnya terpantul dari mulutunya yang dianggap anak seorang ustaz. Mahiaddin menempelak Shahrir sebagai bodoh.

Tidak cukup dengan dua tokoh itu, Mahiaddin juga turut cuit Mahathir dengan memberi gambaran Mahathir berjanji kosong apabila tidak melaksanakan apa dijanjikan dalam manifesto, kerana menurut Mahathir manifesto bukan kitab suci.

Mahiaddin mahu membandingkan dirinya dengan Mahathir di mana dia kononnya seorang yang melaksanakan janji. Budak-budak baru lahir pun dapat menilai dengan dagangan Mahiaddin itu, apabila beliau sendiri telah mengkhianati kerajaan PH.

Siri-siri serangan Mahiaddin kepada pemimpin BN dan bekas bosnya itu memberi gambaran Mahiaddin sudah kehilangan arah dan kekeringan modal. Soal personal diangkat menjadi bahan untuk difikirkan oleh pengundi bukannya wawasan dan gagasan PN.

Dan tentunya sikap agak keras beliau dan kontra dengan perwatakan itu mempengaruhi pengundi di Melaka.

Citra yang dibawa Mahiaddin, bahawa PN sedang perang dunia dengan BN tanpa menarik sama PH yang sedang bergerak dengan tenang.

Apakah bagi Mahiaddin kerana saling bencinya dia kepada BN maka dia memberi laluan secara izin dalam paksa untuk PH menang?

Keganasan rumah tangga: Polis siasat ADUN Selangor

MALAYSIA DATELINE

Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor mendera bekas isterinya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, kata Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh.

“Ya, saya sahkan kita ada terima laporan kes itu yang akan disiasat mengikut seksyen berkenaan,” dipetik BH, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bekas isteri ahli politik dari parti komponen Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis dan mendakwa didera ADUN berkenaan pada 21 Ogos lalu.

Pasangan itu dilapor memfailkan kes perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Langat baru-baru ini.

Wanita mangsa dera itu dipercayai isteri ketiga ADUN tersebut yang sebelum itu dikatakan sudah menceraikan isteri pertama dan kedua ketika perkahwinan mereka.

Dia mendakwa bekas suaminya itu mahu berkahwin semula dengan bekas isteri kedua tetapi tidak mendapat persetujuannya menyebabkan perkahwinan mereka mulai goyah.

‘Syaitan’ datang majlis kahwin

KOSMO

Tangkap layar video oleh @Sanggarriasmehrunisa di TikTok memaparkan tetamu-tetamu berpakaian seperti seekor makhluk yang hodoh dan ganas di sebuah majlis perkahwinan dipercayai berlaku di Indonesia.

PETALING Tangkap layar video oleh @Sanggarriasmehrunisa di TikTok memaparkan tetamu-tetamu berpakaian seperti seekor makhluk yang hodoh dan ganas di sebuah majlis perkahwinan dipercayai berlaku di Indonesia. – Tular sebuah video memaparkan tetamu-tetamu berpakaian ‘cosplay’ (pertunjukan kostum) seperti seekor makhluk yang hodoh dan ganas di sebuah majlis perkahwinan dipercayai berlaku di Indonesia.

Menerusi perkongsian oleh @Sanggarriasmehrunisa di laman aplikasi TikTok, kelihatan lebih daripada 10 tetamu mengenakan kostum seperti itu sambil mengiringi pengantin lelaki masuk ke dalam majlis.

Berdasarkan video berdurasi dua minit 20 saat oleh @Sanggarriasmehrunisa di TikTok, orang ramai yang hadir ke majlis itu turut terkejut dan ada juga mengambil peluang bergambar bersama makhluk tersebut.

Ketika kejadian, kelihatan salah seorang dari mereka memegang replika seperti kepala bintang dan menghidupkan suar berwarna kuning sebelum pengantin berarak memasuki dewan.

Susulan perkongsian itu, orang ramai memberikan pelbagai reaksi dan ada juga berasa seram dengan kostum dipamerkan oleh tetamu yang hadir ke majlis tersebut.

“Ini baru dinamakan ‘wedding of the year’ bukan manusia sahaja yang datang majlis tapi dengan jin-jin sekali hadir bagi memeriahkan majlis buat pengantin,” jelas @Akoari697.

“Tema yang sangat kreatif, saya harap ultraman tak datang ke majlis ini nanti tak pasal-pasal bergaduh habis ‘wedding’ tak jalan nanti,” ujar @Syahmizahro.

“Ini kalau jumpa tengah-tengah malam memang aku ‘taekwando’ kan sahaja benda ini, dengan lidah terjlir macam itu siapa tak seram kalau jumpa tengah malam, tapi apa-apa pun kostum itu terbaik,” kata Ridhoredzuan.

Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih 23,200 tontonan dan 1,509 tanda suka di akaun TikTok miliknya – K! ONLINE