"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hutang negara cecah RM1.1 trilion

Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) yang baru ditubuhkan dengan dipengerusikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengadakan mesyuarat pertamanya semalam untuk meneliti kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan RM1.1 trilion atau 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar setakat akhir 2018.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, ini berikutan peningkatan hutang langsung kerajaan Persekutuan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741.0 billon daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan hutang langsung ini adalah untuk membiayai defisit fiskal, terutama bagi menampung komitmen pajakan perkongsian awam-swasta (PPP) dan perbelanjaan ‘off-budget’ yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus, menurutnya.

“Jumlah jaminan yang dtanggung kerajaan dan dibayar oleh kerajaan juga meningkat khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan.

“Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baharu tetapi untuk menampung pembiayaan projek yang sedang dilaksanakan,” menurut MOF.

Tiga projek pengangkutan itu ialah Laluan Rel Pantai Timur, Transit Aliran Massa dan Transit Aliran Ringan.

MOF berkata JPH itu akan mengenal pasti langkah untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras yang lebih terkawal, di samping meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.

“Ini termasuklah pengkajian semula projek berkos tinggi dan pengenalpastian jaminan yang ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula. Langkah ini diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif,” menurut kementerian itu.

MOF mengulangi bahawa pada masa ini, terdapat hutang yang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan yang sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf ‘AAA’.

“Bagaimanapun, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS),” katanya.

Menurut MOF, setakat 31 Mei, 2019 kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78 peratus setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

JPH akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan berkaitan dengan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan dan komitmen lain, kata MOF.
-Bernama

Majlis agama gesa sebuah parti politik henti kutip ‘infaq wajib Ramadan’

Bernama

GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) menggesa sebuah parti politik yang didakwa mengutip “infaq wajib Ramadan” sebanyak RM7 supaya segera memberhentikan tindakan itu.

Yang Dipertua, Abdul Malik Abul Kassim berkata pihaknya menerima aduan daripada sebahagian besar amil zakat fitrah yang meluahkan kebimbangan mereka terhadap tindakan itu.

Menurutnya, tindakan parti politik itu boleh mengelirukan orang ramai dalam suasana pembayaran zakat fitrah pada bulan Ramadan ini.

“Sekiranya terbukti terdapat cubaan daripada pihak berkenaan untuk memungut zakat fitrah dalam kalangan masyarakat Islam di Pulau Pinang maka sebagai badan menjaga kepentingan amil-amil zakat fitrah lantikan MAINPP, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tnidakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pulau Pinang), mana-mana individu yang memungut zakat atau fitrah tanpa dilantik sebagai amil atau selainnya yang diberi kuasa oleh MAINPP adalah melakukan suatu kesalahan.

“Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah Seksyen 90(1) Enakmen Pentadbiran,” katanya.

Waris Dato' Bentara Luar tuntut RM300 bilion dari k'jaan Johor

Ramieza Wahid dan Zikri Kamarulzaman
Waris keturunan Mohammed Salleh Perang menuntut tanah di Bukit Chagar yang terletak di bawah nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Wakil waris pentadbir keluarga terbabit, Mohd Zaini Aris, mendakwa tanah itu diberikan kepada keturunannya oleh sultan kedua Johor moden, Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Tambahnya, ada banyak lagi tanah di seluruh Johor diberikan kepada Mohammed Salleh sebagai tanda penghargaan atas khidmatnya sebagai Datuk Bentara Luar dan ketua jabatan tanah dan ukur di negeri itu.

Zaini, dalam pertemuannya dengan Malaysiakini baru-baru ini, berkata dia menyerahkan satu salinan geran dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor sebagai bukti pemilikan keluarga Mohammed Salleh ke atas Lot 204 di Bukit Chagar - yang merangkumi tanah yang dipertikaikan.

Geran tersebut dilihat ditulis dalam bahasa jawi lama. Antara terjemahannya ialah seperti berikut:

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Johor yang dikurniakan Allah bagi kerajaan di atas tanah Johor serta segala jajahan daerah takluknya mudah-mudahan dilanjutkan Allah esanya serta bertambah-tambah daulatnya dan memperolehkan kemenangan dunia akhirat amin.

“Ketahui olehmu dengan fikiran yang sempurna kita dan keturunan waris-waris ganti kita dengan sebenarnya mengurniakan kepada Mohd Salleh bin Perang, Dato Bentara Johor.

“Hingga menurun kepada waris-waris gantinya mempunyai sekeping tanah yang ada di dalam daerah bandar Johor selama-lamanya.”

Mengikut pemerhatian Malaysiakini, geran itu ditulis pada 11 Rabiul Awal 1333 Hijrah bersamaan bertarikh 27 Jan 1915.

"Jadi bagaimana pihak sultan Johor kata tanah itu dia punya, kerajaan pusat pula kata dia punya sedangkan dalam geran tanah itu Mohamed Salleh bin Perang punya," katanya.

Kata Zaini, geran itu menjadi bukti bahawa tanah yang dituntut mereka memang menjadi milik Datuk Bentara Luar Johor.

“Jadi bagaimanakah pihak Sultan Johor mengatakan bahawa tanah itu adalah milik mereka? Pemberian itu mengatakan bahawa ia adalah milik Mohamad Salleh Perang,” katanya.

Mengapa Bukit Chagar penting?

Tanah yang beralamat di Lot 204 itu meliputi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor serta lot PTB 23354.

Lot PTB 23354 ialah laluan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang seharusnya dimiliki oleh Putrajaya selepas perjanjian pertukaran tanah bersama Johor pada 2010 lalu.

Bagaimanapun, ia telah dipindah milik kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 19 November 2017, iaitu dua hari selepas baginda bersetuju untuk menyusun semula projek RTS.

Sultan Ibrahim menjelaskan beliau tidak menyedari tanah itu diperuntukkan untuk projek RTS.

Sejak itu, baginda berjanji akan mengembalikan tanah berkenaan kepada kerajaan dengan syarat projek tersebut dibina dengan segera.

Tidak dapat dipastikan sama ada Putrajaya bersetuju dengan penyelesaian itu kerana projek RTS yang dimaksudnya ditangguh selama enam bulan bagi membolehkan kerajaan meneroka pilihan lain.

Pampasan RM 300 billion.

Sementara itu, Zaini berkata waris Mohamed Salleh - yang dianggarkan seramai 4,000 orang - menjelaskan mereka tidak berminat untuk mendapatkan kembali tanah berkenaan.

Sebaliknya, kata Zaini, mereka mahu supaya diberikan pampasan dalam bentuk kewangan.

Zaini juga mendakwa Lot 204 serta lot-lot lain lain di sekitar Bukit Chagar kini bernilai kira-kira RM3 bilion.

Kadar itu adalah sebahagian daripada pampasan sebanyak RM300 bilion yang dituntut keluarga Mohamed Salleh daripada kerajaan Johor untuk tanah di sekitar Johor Bahru, Kota Tinggi, Gunung Pulai, Sungai Tiram dan Iskandar Puteri.

Tambah Zaini lagi, bekas menteri besar Johor, Osman Sapian, sebelum ini berkata beliau akan meneliti tuntutan keluarga itu terbabit.

Namun begitu, Zaini menjelaskan, bahawa pihaknya belum berjaya mengadakan pertemuan bersama menteri besar baru, Dr Sahruddin Jamal.

Pada 2017 yang lalu, keluarga terbabit memulakan tuntutan ke atas tanah tersebut di mahkamah.

Bagaimanapun mereka berdepan beberapa halangan dalam kes mahkamah itu. Antaranya terdapat dokumen yang menyatakan Mohamed Salleh menyerahkan semula Lot 204 berkenaan kepada istana Johor.

Dokumen itu bertarikh April 1915, iaitu tiga bulan selepas Mohamed Salleh mendapat tanah terbabit.

Zaini bagaimanapun mendakwa dokumen itu dipalsukan kerana tandatangan Mohammed Salleh serta saksi dilihat tidak sepadan dengan dokumen asli lain yang dimilikinya.

Atas alasan tersebut, Zaini melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa dan menggesa agar tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang berkenaan.

Keluarga itu juga berdepan masalah melantik seorang pentadbir berikutan pertikaian pada sijil kematian birokrat tersebut yang melibatkan umur Datuk Bentara Luar berkenaan.

Pada sijil kematian berkenaan, katanya, Mohammed Salleh didakwa berusia 67 tahun semasa menghembus nafas terakhirnya pada 2 Julai 1915.

Sepupu Zaini, Diah Khalid, menjelaskan jika mengikut umur yang dinyatakan pada sijil kematian berkenaan, bermakna Mohamed Salleh berusia 11 tahun semasa dia mendapat anak pertama pada 1859.

“Ini tidak masuk akal,” katanya.

Keluarga itu juga memaklumkan bahawa mereka menyaman Jabatan Pendaftaran Negara untuk mencabar kesahihan sijil kematian tersebut.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak PTG Johor, pejabat menteri besar dan sekreteriat Johor untuk mendapatkan kenyataan mereka namun setakat ini tidak mendapat apa-apa reaksi.

Untuk rekod, Mohamad Salleh adalah tokoh terkenal atas jasanya yang telah membuat peta lengkap pertama Johor serta ditugaskan oleh sultan pertama Johor moden, Sultan Abu Bakar, untuk membangunkan Batu Pahat.

'Siasat peranan Apandi sebagai tukang pukul Najib'

Sehari selepas pendedahan Kementerian Dalam Negeri telah menarik balik perintah larangan perjalanan yang dikenakan terhadap Mohamed Apandi Ali, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memperincikan peranan bekas peguam negara itu dalam skandal 1MDB.

Ketika ditanya sekiranya beliau mahu pihak berkuasa menyiasat Apandi, MP Iskandar Puteri menjawabnya dengan tegas: "Ya."

"Beliau sepatutnya disiasat. Episod itu tidak dapat dilupakan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada bulan Julai 2015, perdana menteri ketika itu Najib Razak telah melantik Apandi sebagai peguam negara menggantikan Abdul Gani Patail.

Sewaktu itu, Abdul Gani sedang mengetuai pasukan petugas khas menyiasat wang berbilion ringgit di dalam akaun bank bekas perdana itu.

Walaupun dikatakan Abdul Gani telah digantikan atas sebab-sebab kesihatan, Lim, dalam satu kenyataan akhbar sebelum ini, mendakwa desas-desus mengatakan peguam negara itu sedang berusaha mengenakan pertuduhan terhadap Najib di mahkamah.

Lim berkata sejak kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia mempunyai sepuluh peguam negara, termasuk Tommy Thomas, tetapi Apandi menduduki tempat yang istimewa kerana beberapa sebab.

"Dilantik selepas pemecatan penyandang jawatan terdahulu yang melanggar perlembagaan, yang merupakan penghinaan serius terhadap komitmen Malaysia untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Peranannya sebagai 'tukang pukul' Najib untuk meneruskan era gelap yang menundukkan institusi negara dan rakyat Malaysia kepada gelombang serangan bukan sebagai negara yang memberi jaminan untuk memastikan Malaysia yang tercerahkan dan demokratik.

"Peranannya dalam penutupan kleptokrasi Najib dan skandal 1MDB, menyekat kerjasama dengan penyiasatan jenayah oleh lebih 10 negara ke dalam skandal.

"Halangan dan keengganannya untuk meletak jawatan secara terhormat dan bermaruah apabila terdapat perubahan kerajaan dan dikenakan larangan perjalanan ke luar negara selama hampir setahun selepas beliau meletak jawatan," katanya.

Lim berkata Apandi perlu menjawab semua pertanyaan mengenai peranannya ketika menjadi peguam negara sebelum beliau meninggalkan Malaysia untuk ke United Kingdom.

Apandi dijangka menghadiri majlis anak tirinya yang diterima menjadi peguam dalam upacara Badan Peguam Inggeris.

Semalam, peguam Apandi M Visvanathan berkata Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen memaklumkan kepada anak guamnya melalui surat bertarikh 8 Mei bahawa larangan perjalanan terhadap bekas peuam negara itu telah ditarik balik.

Beliau juga berkata Apandi sepatutnya dibenarkan pergi ke UK pada bulan Julai lalu kerana beliau sebenarnya boleh menghadiri majlis tamat pengajian anak tirinya pada tahun lepas.

Kesian tengok lebai PAS ni, tak serik-serik

Bendahari PAS pertahan tindakan kongsi surat Syed Mokhtar palsu

Bersemangat menzahirkan pandangannya terhadap ‘kelemahan’ kerajaan PH, Bendahari Agung PAS Razman Zakaria kelihatan tidak tahu salah satu hantaran yang dikongsi di Facebook beliau adalah bahan palsu yang disandarkan kepada seorang tokoh perniagaan terkemuka negara.

Bercakap kepada Malaysiakini Razman sebaliknya berkata jika kenyataan yang berkenaan palsu, orang ramai masih boleh mengambil pengajaran daripada apa yang dipaparkan dalam ‘laporan’ tersebut.

“Kalaupun surat itu palsu, kita ambil iktibar dari keseluruhan cerita kerana ia dibuat berdasarkan luahan yang sering didengari.

“Kerajaan sekarang memperjuangkan rule of law (kedaulatan undang-undang) tapi kes arwah Adib masih tiada tindakan.

"Apabila orang Melayu buat salah sikit, mereka terus tangkap,” ujarnya yang jelas kecewa dengan pihak kerajaan.

Melalui hantaran dimuat naik pagi tadi itu Razman menyiar ulang hantaran suatu laman sesawang memuatkan 'surat terbuka' kononnya ditulis jutawan Syed Mokhtar Albukhary.

Beliau turut menulis "Dendam" mengiringi hantaran berkenaan.

Melalui 'surat' tersebut pengerusi Yayasan Albukhary itu memuji Najib Razak dan mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kandungan kenyataan itu juga banyak tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun Yayasan Albukhary mengesahkan Syed Mokhtar tidak terbabit membuat kenyataan tersebut dan hal berkenaan dijelaskan oleh beliau pada 2015 lagi.

Tindakan pada portal

"Walaupun Yayasan Albukhary sudah menafikan dakwaan berkenaan, perbuatan tidak bertanggungjawab ini telah timbul sekali lagi dan kali ini mengaitkan beliau dengan parti politik tertentu.

"Tindakan penulis yang menyalahgunakan nama Pengerusi Yayasan Albukhary adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar undang-undang.

"Kami ingin menegaskan bahawa Pengerusi Yayasan Albukhary jarang sekali mengeluarkan kenyataan umum.

"Oleh itu, kami ingin menyarankan orang ramai supaya mengesahkan kesahihan sebarang kenyataan yang didakwa ditulis oleh Syed Mokhtar dengan pihak Yayasan Albukhary melalui laman web rasminya, iaitu: www.albukharyfoundation.my," kata kenyataan itu.

Ditanya mengenai kemungkinan disaman, Razman yang juga pesuruhjaya PAS Perak berkata, beliau sekadar menyiarkan semula hantaran tersebut.

Katanya, ia juga bukan datang daripada mulutnya sendiri.

“Saya cuma repost sahaja. Fitnah adalah apabila saya sendiri yang mengeluarkan kata-kata tersebut.

"Saya bukan fitnah, kalau tak betul, tindakan sepatutnya diambil ke atas portal (yang berkongsi berita palsu) tersebut," katanya.

Sementara itu semakan Malaysiakini malam ini mendapati hantaran Razman tersebut sudah dipadamkan.

Bara ekstrem dalam 'sekam' PAS

Pujangga Ramadzan

ULASAN | Sekali lagi Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggunakan medium tulisan untuk memanfaatkan kemahiran beliau - memberi penjelasan sekali gus amaran.

Melalui kata-kata dan dalil-dalil dalam tulisannya semalam Abdul Hadi menggambarkan bahawa partinya saling tidak tumpah adalah jemaah yang digambarkan Allah SWT dalam firman-Nya tentang orang yang beriman.

Abdul Hadi - pada masa sama - memberi peringatan bahawa individu atau kumpulan yang berada di luar lingkungan yang disenanginya ialah golongan batil, munafik, syaitan bisu dan seumpamanya.

Beliau berbicara soal walak dan taat, tetapi kesimpulannya ialah mudah: hanya PAS berada di pihak yang benar, manakala selain itu semuanya batil.

Beliau langsung tidak membuktikan apakah PAS dan pimpinannya menepati apa yang Allah dan Rasulullah mahukan lewat ayat-ayat yang dibentang.

Membaca kupasannya tentang makna dan maksud walak serta taat dengan pelbagai ayat al-Quran dan hadis Nabawi boleh membawa anggota partinya dibuai fantasi bahawa betapa hebatnya presiden mereka, dan maha benarnya perjuangan mereka.

Mereka akan berimpian apa yang disebut oleh Allah dan Rasulullah itu, "itulah kami pada akhir zaman ini, bukan jemaah lain, bukan parti lain, bukan ulama lain."

Lega dan bersyukur

Abdul Hadi bagaimanapun tidak gagal untuk menggunakan kisah yang bersusur galur baik dan sahih sebagai hujah untuk mengabsahkan dakwaannya bahawa hanya PAS itu yang benar.

Dalam kes tulisan tersebut, beliau menggunakan hujah-hujah untuk menghalalkan walak secara membuta tuli kepada anggota PAS.

Mudah sahaja lojiknya. Kami parti Islam, kami perjuangkan Islam. Apabila sahabat sendiri berwalak sedemikian rupa maka sahlah dan halal jugalah walak kami.

Anda boleh nampak kaitannya?

Oleh kerana sahabat pun sedemikian, maka terbuktilah kami di pihak benar.

Jika anda tidak nampak kaitannya, saya juga tidak. Tapi begitulah Abdul Hadi menggunakan sirah nabi untuk membenarkan kerja buat parti dan pimpinannya.

Apakah walak kepada pimpinan itu harus - malah wajib - walaupun dalam persoalan 'dedak' Umno? Apakah walak itu wajib ketika pimpinan bebas berbohong demi parti? Itu contoh soalan-soalan yang sangat bagus di sini.

Kata ahli mereka, sirah-sirah nabi dan kisah sahabat tadi membenarkan apa yang dilakukan oleh PAS, pemimpin dan anggotanya. Lalu mereka pun lega dan bersyukur.

Jika anda ragu-ragu dakwaan penulis, dipersilakan membaca komen pengikut Abdul Hadi pada artikelnya di akaun Facebook beliau.

Dan seperti biasa, Abdul Hadi akan menyerang anggota parti lain yang pernah menyertai PAS. Naratifnya sangat mudah - tapi amat bahaya.

Seseorang itu wajib kekal bersama PAS kerana Islam adalah akidah perjuangannya. Justeru haram bagi anggota PAS berhijrah ke mana-mana parti lain kerana perjuangan mereka bukan berasaskan Islam.

Di sinilah tapak pengembangan fahaman ekstrem anggota PAS bermula. Mereka berpegang kepada fahaman bahawa "kami kekal dengan PAS kerana Islam, manakala kami melawan dan menyerang semua yang meninggalkan PAS kerana mereka meninggalkan perjuangan Islam!"

Baca Hadi ingatkan ahli PAS tentang 'syaitan bisu'

Untuk menyokong dakwaan itu, Abdul Hadi menyentuh soal walak kepada bukan orang Islam. Beliau menulis bahawa diharamkan berwalak kepada bukan Islam dengan merujuk hujah itu kepada ayat 9 surah al-Mumtahanah.

Menurut perkiraan penulis, pemilihan ayat itu tidak tepat. Siapakah bukan Islam - khususnya parti selain PAS - di Malaysia yang memerangi Islam dan umat Islam serta mahu mengeluarkan umat Islam dari bumi bertuah ini?

Maka demi membenarkan penggunaan ayat tersebut dengan tujuan halus untuk menghalang anggota PAS meninggalkan parti itu serta bersama parti lain, maka disebarkan bahawa parti seperti DAP memusuhi Islam, membenci umat Islam dan mempunyai cita-cita mahu menghancurkan Islam.

Lain pula sikap mereka apabila mahu berbaik-baik dengan parti bukan Islam yang disenangi mereka seperti MCA dan MIC. PAS tidak pun merujuk ayat tadi untuk membuat pendirian, sebaliknya membugar ayat-ayat tentang taawun dengan bukan Islam, tentang tahaluf dan seumpamanya.

Lebih malang, Abdul Hadi memberi huraian yang salah pada ayat ke-138 dan 139 surah an-Nisa' apabila mendakwa Allah melabelkan sifat munafik terhadap seseorang yang mengharapkan kemenangan dengan berwalak kepada bukan Islam.

Itu amat tidak tepat.

Label munafik itu diberikan Allah kepada golongan yang memang berpura-pura memeluk agama Islam. Cuba undur satu ayat sebelumnya.

Susah nak percaya

Pada ayat ke-137, Allah menceritakan perbuatan golongan batil yang keluar masuk Islam. Akhirnya terus kekal dalam kekufuran. Maka merekalah yang bakal menerima azab yang sangat pedih itu.

Kemudian Allah menegaskan - seperti yang diungkap Ibnu Kathir - bahawa golongan munafik yang memiliki sifat yang sama, akan diazab dengan pedih juga.

Apakah ada golongan sedemikian dalam negara kita pada hari ini? Apakah Abdul Hadi berani mendakwa ada anggota parti-parti PH yang telah keluar daripada Islam?

Allah menjelaskan melalui ayat ke-139 itu tentang sifat dan bukti golongan munafik iman tadi apabila hakikatnya mereka hanyalah berwalak kepada bukan Islam. Itulah sifat golongan munafik.

Merenung banyak kali tulisan itu, saya mengagak bahawa ia sebenarnya bukan tulisan disediakan Abdul Hadi. Sukar menerima hakikat bahawa Abdul Hadi terkhilaf dalam memahami ayat-ayat tadi, sedang kita tahu beliau alim dalam ilmu mentafsir ayat-ayat Allah.

Seterusnya, apa sangkut-pautnya ayat-ayat itu dengan situasi politik Malaysia pada hari ini? Sebenarnya tiada. Melainkan PAS sedang membina fahaman ekstrem tanpa sedar bahawa selain parti itu, semuanya adalah golongan yang sedang berwalak kepada orang bukan Islam dan tergolong dalam golongan munafik.

Kerana itulah konklusi Abdul Hadi tertulis sebegini:

"Maka cukuplah bagi ahli PAS memahami secara nyata, betapa mereka yang telah meninggalkan perjuangan Islam tanpa pedulikan wala’ dan taat kepada jemaah menjadi syaitan-syaitan bisu yang pengecut terhadap musuh dan berani terhadap Islam."

Kita terdengar laungan seperti: perjuangan Islam itu hanya ada dalam PAS, hanya jika bersama PAS. Titik.

Itulah ekstremnya PAS yang tidak disedari oleh anggota parti itu sendiri.

PUJANGGA RAMADZAN ialah pelayar laman sosial yang memiliki minda kritis terhadap pewalakan ekstrem, selain menolak amalan taasub yang tebal dalam masyarakat Muslim.

‘Mat Hasan dalang mahu singkir Zahid, Najib’

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dikatakan adalah tokoh di belakang cadangan agar perlembagaan parti dipinda bagi mengketepikan pemimpin yang didakwa di mahkamah.

Memetik sumber, Straits Times melaporkan Mohamad sedang melobi syor berkenaan, bersama dengan sekutunya, iaitu naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang ditugaskan untuk meminda perlembagaan parti.

Pada awal bulan ini, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Umno sedang berusaha untuk meminda Fasal 9.9 perlembagaannya pada mesyuarat agung luar biasa yang dijadualkan pada bulan November.

Jika cadangan berkenaan diterima, ia boleh membawa kepada penyingkiran beberapa pemimpin kanan Umno, termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti.

Turut akan tersingkir adalah bekas presiden parti itu, Najib Razak yang kini mengetuai Umno Bahagian Pekan.

Walau bagaimanapun, langkah itu bukannya mudah kerana pindaan perlembagaan perlu mendapat sokongan kira-kira dua per tiga perwakilan semasa EGM.

Beberapa pemimpin parti telah mengesahkan pindaan yang dicadangkan itu, lapor Straits Times.

"Saya mahu melihat bagaimana mereka akan menjualnya (syor pindaan itu) kepada ahli-ahli," kata Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed.

"Mereka yang nakal dalam parti ini tidak sedar ia kini adalah pembangkang."

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi Umno yang tidak dinamakan berkata, "setiap orang mendakwa diri mereka adalah bos sekarang."

Mohamad, menjalankan tugas-tugas presiden parti sejak Zahid bercuti. Bulan lalu beliau dilaporkan berkata bahawa EGM akan diadakan untuk meminda peruntukan tertentu dalam perlembagaan parti.

Ini termasuk pemberian autonomi yang lebih besar kepada Sabah, dengan negeri itu boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur.

EGM berkenaan dijadual semasa perhimpunan agung Umno dari 13 hingga 16 Nov.

Zahid, yang menghadapi 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, berdepan dengan tekanan besar dalam Umno untuk melepaskan jawatannya.

Sementara itu, Najib pula sedang berdepan dengan pelbagai perbicaraan mahkamah yang berkaitan dengan 1MDB dan anak syarikatnya, SRC Interational.

Pemandu Grab dirompak, maut ditikam di dada, kata polis

Durie Rainer Fong

Mayat Mohd Hanafiee Jaffar ditemui dibuang di sebuah kawasan semak di Sabandar, Tuaran, Sabah.
KOTA KINABALU: Pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaffar dirompak dan maut ditikam beberapa kali di dada kanannya, kata polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah berkata pihaknya masih menunggu laporan punca kematian pemuda berusia 27 tahun itu.

“Tetapi, kami belum menemui senjata yang digunakan dalam kes rompak dan bunuh itu,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, polis mengumumkan penahanan 2 lelaki yang merupakan penumpang terakhir Hanafiee dengan mayatnya ditemui dibuang di sebuah kawasan semak di Sabandar, Tuaran, dekat sini.

Seorang warga tempatan berusia 24 tahun dan seorang lagi warga asing berusia 20 tahun ditahan di tempat letak kereta Pusat Beli-belah 1Borneo kira-kira 9 malam Isnin hasil kerjasama dan rekod pihak Grab.

“Rekod daripada Grab menunjukkan kedua-dua suspek adalah penumpang terakhir yang menaiki kenderaan mangsa pukul 4 pagi Jumaat lepas dari Kingfisher ke Tuaran.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan mengaku membunuh dan membuang mangsa di sebuah kawasan di Tuaran dan kita percaya ini adalah kes samun…namun kita masih membuat siasatan lanjut,” kata Omar dipetik Bernama semalam.

Hanafiee dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan keretanya ditemui di tapak bazar Ramadan Indah Permai, Sepanggar pada 12.30 tengah malam Ahad lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati kereta mangsa berkunci, tetapi terdapat kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, bahagian dalam cermin depan dan pintu depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Jauteh Dikun berkata Hanafiee mungkin melawan sebelum dibunuh suspek.

“Suspek direman maksimum 7 hari sejak Isnin lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.”

Warden liwat pelajar tahfiz dihukum penjara 133 tahun, 42 sebatan

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang warden asrama dijatuhi hukuman penjara 133 tahun dan 42 sebatan di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas 26 pertuduhan liwat dan jenayah seksual terhadap 5 pelajar tahfiz bulan lalu, lapor Sinar Harian.

Nawawi Anuar, 28, dari Bandar Baharu Kedah dituduh melakukan kesalahan terbabit terhadap 5 pelajar yang berusia antara 9 hingga 15 tahun di Maahad Tahfiz Al-Quran Ar Raudhah Bohor Mali di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada April. Dia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Nawawi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan liwat dan memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada seorang mangsa berusia 11 tahun.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK serta Seksyen 15(e) dan 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga proses penyerahan dokumen bagi 3 pertuduhan yang minta dibicarakan.

Prosiding kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali bersama Nor Shuhada Mohd Yatim dan Mohd Farhan Aliff Ahmad, sementara Nawawi diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Perlis.

Sebelum ini, polis dilapor berkata seorang guru di pusat tahfiz berkenaan membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 9 Mei, selepas seorang mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April.

Gagasan Sejahtera guna politik murahan takutkan rakyat dan pelabur, kata Pemuda AMANAH

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyangkal kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera, Shahir Adnan, yang mendakwa Malaysia sedang mengalami kegawatan ekonomi, sebagai tindakan politik murahan yang ingin menakutkan rakyat dan pelabur.

Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, dakwaan tersebut tidak bersandar pada fakta ekonomi yang tepat, malah mempunyai ‘oblique motive’ untuk menakut-nakutkan pelabur domestik dan asing serta rakyat secara umum

Jelasnya, ekonomi negara masih utuh walaupun dihimpit impak negatif luar negara di mana ia telah disahkan oleh International Monetary Fund yang menyatakan bahawa ‘Malaysia’s economy continues to perform well despite external headwinds’

“Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record telah menyatakan pada awal tahun ini bahawa asas ekonomi negara terus kukuh dan stabil. Rekod juga menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.7 peratus tahun ini, walaupun jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia telah diturunkan kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus.

“Bukan itu sahaja, pelaburan langsung asing dan pelaburan portfolio asing telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan apabila pelaburan yang diluluskan merupakan yang terbesar dalam sejarah negara pada tahun 2018 dengan nilai “approved FDI” melonjak sebanyak 48 peratus kepada RM80.5 bilion berbanding hanya RM54.4 bilion pada tahun 2017.

“Malah, agensi-agensi penarafan ‘Big 3’ iaitu Moody’s, Fitch dan Standard & Poor’s juga telah mengekalkan rating mereka terhadap Malaysia dan telah menjangkakan ekonomi Malaysia kekal stabil untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Adun Permatang Pasir itu berkata, kerajaan telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan hutang negara sebanyak RM200 bilion dan mengurangkan jurang defisit negara da.

Tambahnya lagi, Kerajaan Pakatan Harapan komited meneruskan pengurusan ekonomi yang cemerlang dengan mengutamakan kebajikan rakyat terutama beban kos sara hidup yang ditanggung oleh golongan B40.

“Misalnya, petrol RON95 dan diesel untuk minggu 25 Mei – 31 Mei 2019 sepatutnya berharga RM2.46 dan RM2.52 seliter, tetapi rakyat hanya perlu membayar RM2.08 (RON95) dan RM2.18 (diesel). Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh seminggu sahaja berjumlah RM126.52 juta.

“Diskaun minimum 10 peratus dan pengecualian duti setem juga merupakan antara insentif yang akan dihulurkan kepada rakyat Malaysia untuk memudahkan mereka membeli kediaman yang diingini yang menjadi isu yang sering membelenggu hidup anak muda,” ujarnya.

Justeru katanya, Gagasan Sejahtera tidak perlu risau mengenai hala tuju ekonomi negara kerana agenda perubahan yang dibawa kerajaan berdasarkan konsep tadbir urus baik yang meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul dalam memacu ekonomi negara.

Warden liwat pelajar tahfiz dihukum penjara 133 tahun, 42 sebatan

FMT Reporters
ETALING JAYA: Seorang warden asrama dijatuhi hukuman penjara 133 tahun dan 42 sebatan di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas 26 pertuduhan liwat dan jenayah seksual terhadap 5 pelajar tahfiz bulan lalu, lapor Sinar Harian.

Nawawi Anuar, 28, dari Bandar Baharu Kedah dituduh melakukan kesalahan terbabit terhadap 5 pelajar yang berusia antara 9 hingga 15 tahun di Maahad Tahfiz Al-Quran Ar Raudhah Bohor Mali di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada April. Dia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Nawawi bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan liwat dan memaparkan video lucah melalui telefon bimbit kepada seorang mangsa berusia 11 tahun.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (KK), 377C KK serta Seksyen 15(e) dan 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak selain Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga proses penyerahan dokumen bagi 3 pertuduhan yang minta dibicarakan.

Prosiding kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali bersama Nor Shuhada Mohd Yatim dan Mohd Farhan Aliff Ahmad, sementara Nawawi diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Perlis.

Sebelum ini, polis dilapor berkata seorang guru di pusat tahfiz berkenaan membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 9 Mei, selepas seorang mangsa berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April.

Penyanyi Dahlan Zainuddin meninggal dunia

PENYANYI popular era 70-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 78, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang jam 9.48 malam tadi.

Allahyarham tidak sedarkan diri akibat diserang angin ahmar (strok) sejak Sabtu lalu.

Sekitar empat tahun lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu diserang strok kali pertama mengakibatkan lumpuh sebelah kiri.

Berita sedih itu disahkan oleh isterinya, Datin Effa Rizan kepada rakan media malam ini.

Jenazah dimaklumkan akan dibawa ke Masjid Bangsar untuk dimandikan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Zohor.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang cahaya mata.

Antara lagu popular Allahyarham Dahlan adalah Kisah Seorang Biduan yang sehingga kini menjadi siulan.

Dihidang 'makan malam dan seks' - Jho Low dikait skandal di Korea Selatan

Ahli perniagaan Jho Low - yang terkenal dengan peranannya dalam skandal 1MDB - kini terpalit dengan satu lagi skandal.

Menurut satu laporan, lelaki berusia 37 tahun itu didakwa menerima perkhidmatan seks yang diaturkan seorang eksekutif dalam industri hiburan Korea Selatan.

Menurut The Korean Herald, perincian berkenaan perkara itu disiarkan dalam rancagan "Straight" di saluran Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) semalam.

Menurut dakwaan, Ketua Pegawai Eksekutif YG Entertainment Yang Hyun-suk menganjurkan makan malam untuk pelabur, termasuk Jho Low, yang turut disertai pekerja seks.

Laporan itu mendakwa acara itu berlaku pada Julai 2014, melibatkan Jho Low dan seorang ahli perniagaan Thailand.

Terdapat 25 perempuan yang hadir, termasuk 10 pekerja seks, serta lapan lelaki pada malam itu.

YG Entertainment menafikan laporan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.


Yang Hyung-suk
Program MBC itu merupakan kesinambungan berkenaan laporan skandal "Burning Sun" yang menggegarkan industri hiburan Korea Selatan.

Pada Januari, MBC menyiasat bagaimana seorang lelaki berusia 29 tahun diserang ketika cuba membantu seorang perempuan yang diganggu secara seksual di kelab malam Burning Sun di Gangnam, Seoul.

Selain diserang pekerja kelab, dia juga ditahan dan didakwa oleh polis.

Siasatan itu pantas membawa kepada pendedahan bagaimana perempuan diberi dadah dan dirogol di kelab tersebut, dan polis tempatan dibayar.

Anggota band terkenal Big Bang Lee Seungri, yang mempunyai kaitan dengan kelab itu, kemudian mengumumkan bersara daripada industri hiburan.

Ia selepas perbualan tentang bagaimana dia mengaturkan pekerja seks dengan pelabur, terdedah kepada umum.

Sejak itu, siasatan yang melibatkan pelacuran, penyeludupan dadah dan korupsi dalam pasukan polis turut melibatkan kelab-kelab malam lain.

Sebelum ini Seungri bernaung di bawah YG Entertainment. Antara artis terkenal lain di bawah syarikat itu ialah PSY.

PSY pernah membuat persembahan di sebuah konsert percuma di Pulau Pinang menjelang PRU ke-13 pada 2013.

Konsert itu dipercayai menerima dana daripada Jho Low.

Sejarawan negara Khoo Kay Khim meninggal dunia

Tokoh sejarah dan budayawan terkemuka tanah air, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim meninggal dunia pagi ini pada usia 82 tahun.

Berita itu disahkan oleh anak Kay Kim, Eddin Khoo kepada Malaysiakini.

Beliau berkata satu kenyataan berhubung khabar menyedihkan itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Bernama memetik anak keduanya Rubin Khoo, 47, sebagai berkata ayahnya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur pada kira-kira 10.13 pagi tadi.

Menurutnya, Khoo pernah membuat pembedahan pintasan pada Oktober tahun lalu dan keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan.

"Walaupun begitu dia masih tabah sehingga akhir hayatnya. Kami sedang menguruskan hal ini dan akan memaklumkan hal pengebumian nanti," katanya.

Khoo yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969.

AG nafi beritahu Dr M: 'Tiada bukti kukuh terhadap Najib'

Peguam Negara Yommy Thomas menafikan hantaran media sosial yang mendakwa beliau memberitahu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin bahawa tiada bukti kukuh bagi mensabitkan Najib dengan pertuduhan menyelewengkan dana 1MDB.

Thomas memberitahu Malaysiakini petang ini beliau menerima banyak panggilan telefon bertanyakan perkara itu, maka beliau mahu menyatakan hal yang sebenarnya.

"Saya menafikan memberitahu mereka (Dr Mahathir dan Daim). SSetakat yang kami tahu, kami (pihak pendakwaan) memiliki kes yang kuat terhadap bekas perdana menteri (Najib) dan (ahli perniagaan dalam buruan) Jho Low.

"Sebagaimana yang kamu tahu juga, terdapat banyak pertuduhan yang menunggu di mahkamah (terhadap Najib dan Low) yang berpunca daripada 1MDB.

"Memandangkan perkara ini (telah dibawa) ke mahkamah, saya tidak mahu mengulas lanjut," katanya.

Menurut hantaran yang diterbitkan di berbagai laman itu, Thomas didakwa memberitahu Mahathir dan Daim bahawa pendakwaan tidak memiliki sekelumit bukti pun untuk menunjukkan Najib merompak RM42 bilion atau RM52 bilion daripada 1MDB.

"Tetapi mereka perlu membuktikannya di mahkamah atau PH akan berhadapan masalah kredibiliti yang serius.

"Oleh perkara yang demikian, selepas satu tahun memerintah, kredibiliti mereka dan PH akan rosak jika bukti untuk mendakwa Najib tidak dapat ditemui," dakwa hantaran itu.

Hantaran itu juga mendakwa barangan yang disita dari Pavilion Residences, termasuk beg mahal, barangan kemas dan jam tangan tidak boleh dikaitkan dengan skandal 1MDB.

"Jadi di manakah bukti yang menunjukkan Najib telah mencuri RM42 bilion atau RM52 bilion wang drai 1MDB?" Soal hantaran itu lagi.

Najib menghadapi lebih 40 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan jenayah pecah amanah.

Bekas perdana menteri sentiasa mempertahankan dirinya, berkata beliau tidak menyalahgunakan dana awam bagi tujuan peribadi.

Sementara itu, Jho Low yang dianggap sebagai dalang skandal 1MDB telah didakwa tanpa kehadirannya di Malaysia dan AMerika Syarikat.

TH mula pamer prestasi positif selepas pengstrukturan semula - Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

MALAYSIA DATELINE
Penasihat Syariah Kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman D berkata, pengstrukturan semula yang dilakukan oleh Tabung Haji (TH) telah mula menunjukkan kesan-kesan positif yang meyakinkan.

Jelas beliau, pengurusan korporat sangat penting dalam tadbir urus TH, justeru apa yang telah dilakukan oleh TH melalui pengstrukturan semula itu telah mula dilihat kesannya dalam jangka sederhana.

Katanya, pembentangan laporan kewangan suku pertama tahun 2019 oleh TH baru-baru ini merupakan satu sejarah kerana sebelum ini TH tidak pernah membuat pembentangan seperti itu.

“Kali ini TH telah membuktikan ketelusan yang cukup hebat dan kita dapat lihat di situ bahawa terdapat 91 ribu akaun baharu dibuka, ada keuntungan bersih untuk tiga bulan pertama sebanyak 440 juta, dan ini merupakan suatu perkembangan yang positif.

“… walaupun dalam keadaan kesan pengstrukturan itu baru bermula,” kata beliau dalam program TH – Amanah dan Masa Depan di radio Nasional FM pada 23 Mei lalu.

Katanya lagi, umum juga dapat melihat bahawa TH mendapat RM4.3 bilion melalui pendeposit baharu walaupun ada juga pendeposit yang keluar.

Biarpun memang ada pendeposit yang keluar dari TH iaitu berjumlah RM4.6 bilion, namun kata beliau, ia tidak mendatangkan masalah besar buat TH kerana pendeposit yang keluar itu adalah mereka yang menyimpan bagi tujuan melabur bukan untuk menunaikan haji, katanya.

Selain daripada itu tambahnya, jaminan dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan juga adalah sangat baik.

“Aset-aset yang dijual kepada SPV atau Urus Harta Jemaah Sdn. Bhd itu, kalaulah ada yang berkembang dengan pantas, TH mempunyai hak untuk mendapatkannya semula dalam perjanjiannya dengan kerajaan.

“Saya dimaklumkan bahawa semua urusan jual beli TH ini telah didokumenkan, dan bukan hanya kenyataan politik menteri,” tambah presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) itu.

Semua ini adalah perkembangan yang sangat baik jelasnya.

Ujar Zaharudin, suatu perkembangan yang positif juga ialah kesemua ahli Lembaga Pengarah kini tidak ada ada ‘orang politik’ kerana katanya, umum mengetahui orang politk selalunya mempunyai strategi yang ‘pelik-pelik’ yang mungkin tidak sihat bagi strategi korporat tetapi menguntungkan orang politik.

Tak tahan didera, isteri tikam suami hingga mati

Bernama
LAHAD DATU: Seorang wanita, yang tidak tahan dengan sikap suami yang sering mendera dan berlaku curang, menikam suaminya ketika tidur dalam kejadian di sebuah bilik sewa tingkat atas bangunan kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7 Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa, Rasalan Jaya, 32, seorang pengawal keselamatan, mengalami cedera parah di bahagian perut dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu pada 5.05 pagi semalam.

Ketua Polis Lahad Datu, Nasri Mansor berkata, ketika kejadian, mangsa sedang baring di bilik sebelum isterinya berusia 26 tahun mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan menikam mangsa di sebelah kanan perut.

“Mangsa mencabut pisau yang tertusuk diperutnya dan meletakkannya di atas katil sebelum menuju ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian membuang pisau itu keluar melalui tingkap dan hanya bersembunyi di bilik sewa mereka sebelum ditahan polis 2 jam kemudian.

Polis turut merampas pisau sepanjang 25 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Hasil siasatan menunjukkan mangsa juga tidak pernah memberikan nafkah kepada suspek serta 6 anak mereka serta sering mendera dan memukul suspek, katanya.

“Di samping itu, mangsa juga berlaku curang sejak 2014 dan perbuatan itu diketahui suspek tetapi dirahsiakan kerana khuatir rumahtangga mereka musnah. Akibat tidak dapat mengawal emosi serta perasaan marah, suspek menikam mangsa,” katanya


  1. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Demi politik Pas dan Umno sanggup peralat apa saja (Gambar)

Tiada lagi pemimpin boleh berceramah dalam masjid tanpa kebenaran bertulis
Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
Tiada lagi pemimpin boleh berceramah dalam masjid tanpa kebenaran bertulis
Ceramah atau pengajian di masjid selepas ini hanya akan dibenarkan dilakukan oleh mereka yang mendapat kebenaran dan kelulusan dari Pegawai Tadbir Agama (PTA), Jabatan Agama Islam (JAIS) Negeri sahaja.

Perkara itu dimaklumkan Ketua AMANAH Perak, Asmuni Awi selepas beliau dan beberapa pemimpin parti yang lain diminta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, semalam.

Dalam pertemuan tersebut, Asmuni memaklumkan bahawa pemimpin dari mana-mana parti selepas ini tidak boleh memberikan apa-apa tazkirah di dalam masjid atau surau selagi tidak mendapat keizinan bertulis dari pihak PTA atau Jabatan Mufti.

“Dalam pertemuan semalam, Sultan menitahkan untuk tidak lagi gunakan masjid dan surau untuk kepentingan politik. Kesemua ceramah parti politik tak dibenarkan.

“Ceramah dan pengajian di masjid hanya boleh dilakukan oleh mereka yang ada tauliah dan mendapat kebenaran daripada PTA diperingkat daerah.

“Jadi, ini yang ditegaskan Sultan semalam. Baginda tidak ingin masjid digunakan ataupun pemimpin politik mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan terutamanya, dan gunakan masjid untuk mempromosikan parti masing-masing,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Asmuni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi , Sultan turut menekankan supaya tidak menaikkan kain rentang yang tertera logo parti jika menjalankan program di masjid.

Tegasnya, parti-parti Umno Pas masih boleh menjalankan program seperti berbuka puasa atau mengagihkan bubur lambuk tetapi bukan berunsurkan program politik kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada jemaah yang hadir.

“Kebanyakan jemaah bukan dari satu parti sahaja. Mereka datang dari pelbagai latarbelakang, parti yang berlainan.

“Jika ceramah parti diadakan di surau dan masjid, boleh menimbulkan keresahan sehingga mereka tidak mahu lagi datang ke surau.

“Semasa kami menjadi pembangkang dulu pun kami tidak pernah melepasi sempadan dengan memberi ceramah politik di masjid. Mengapa Umno-Pas hari ini tidak boleh berbuat demikian?

“Dah terlalu warak sangat ke mereka sejak kalah ni sampai mesyuarat semua buat kat masjid. Tak cukup dengan tu pula, mereka boleh pasang dia punya banner. Mana boleh.

“Tapi bila semalam Tuanku panggil kesemua pemimpin parti dan baginda beri arahan tegas macam tu, saya nampak dah tak ada sebab mengapa boleh berlaku lagi pelanggaran arahan ini oleh mana-mana parti,” ujar Asmuni lagi.

Gantung tugas pengerusi masjid, surau anjur program parti politik

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas, sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Sultan Perak hari ini, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Abd Rahim Mohamad Nor, berkata, cadangan penggantungan tugas itu dibuat Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Mohd Yusof Husin.

Katanya, sementara penggantungan tugas itu, Sultan Nazrin menitahkan agar tanggungjawab pengerusi jawatankuasa masjid dan surau diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10(2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015.

"Baginda menitahkan Pengarah JAIPk melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah tidak bertauliah,” katanya.

Beliau berkata ceramah berkenaan berlangsung di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei serta program atas nama parti politik di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Menurut Abd Rahim, Sultan Nazrin bertitah demikian semasa menitah menghadap Ketua Polis Perak Razaruddin Hussain @ Abd Rasid; Pengarah JAIPk; Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang kini dipangku oleh Mohd Haidi Sulaiman petang semalam.

Selain itu, Sultan Nazrin turut menitahkan pemimpin enam parti politik utama di Perak menghadap baginda iaitu Pengerusi Bersatu negeri, Ahmad Faizal Azumu; Penasihat DAP negeri, Ngeh Koo Ham; Pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi; Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Saarani Mohamad; Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, petang semalam.

Abd Rahim berkata Sultan Nazrin menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dilangsungkan dalam bangunan dan perkarangan masjid atau surau di negeri Perak.

"Baginda disembah maklum, terdapat pemimpin daripada parti politik berceramah agama tanpa mendapat tauliah daripada MAIPk atas nama parti politik, dilangsungkan dalam masjid dan surau tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri.

"Setelah dipersembahkan taklimat, baginda berpuas hati terdapat asas kebenaran aduan yang diterima daripada ramai ahli kariah mengenai parti politik di Perak menganjurkan aktiviti dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau, juga pemimpin parti politik berceramah agama tanpa tauliah," katanya.

Abd Rahim berkata dalam sesi menghadap tersebut Sultan Nazrin menegaskan pendirian baginda selaku Ketua Agama Islam negeri untuk tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.

Sultan Nazrin juga, kata Abd Rahim, merumuskan bahawa persaingan aktiviti yang semakin rancak oleh parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang di masjid dan surau merupakan perkembangan sangat tidak sihat yang berpotensi menjejaskan kesucian rumah ibadat itu.

"Baginda bertitah parti-parti ini menggunakan pelbagai alasan, seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran, bantuan, tetapi pada masa yang sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau," katanya.

Katanya, baginda juga bertitah agar parti politik tidak menjemput penceramah tanpa tauliah daripada MAIPk dan jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau ia perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa agama Islam negeri.

Baginda, katanya ,menzahirkan kebimbangan kariah masjid akan memiliki identiti dan asosiasi dengan parti politik tertentu jika program atas nama parti politik dibenarkan di rumah ibadat tersebut yang sewajarnya berperanan menyatukan ummah.

Selain itu, katanya, Sultan Nazrin menitahkan pemimpin politik di Perak agar memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadah umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan kepartian.
-Bernama

Nama Islamku Tay Eng Soon

Anne Muhammad dan Mariam Nizar

Hidayah Allah kepada umatnya datang dalam pelbagai bentuk.

Bagi seorang pemuda berusia 32 tahun kelahiran Kota Kinabalu, jendela imannya dikuak ketika mula-mula masuk ke gerbang institusi pengajian tinggi.

Tay Eng Soon mengakui hatinya diketuk untuk mempelajari Islam pada usia 18 tahun apabila melihat rakan Melayu di tempat pengajiannya berpuasa di bulan Ramadan kira-kira 14 tahun lalu.

“Saya mula bertanya kepada diri saya kenapa orang Islam berpuasa dan kenapa perlu puasa. Mereka (rakan saya) cerita mengenai berpuasa dan selepas itu saya minat untuk cuba berpuasa dan ikut rakan-rakan berpuasa.

“Saya tanya mereka juga tentang Islam, kenapa perlu solat, ketika itu rakan-rakan saya sudi jawab soalan saya dan cerita tentang Islam, tentang nabi-nabi,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Ketika ditemui, Tay sedang mengikuti Kelas Fardu Ain Anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Bukit Indah Ampang.

Kahwini gadis Melayu

Tay mengambil masa selama lebih tujuh tahun untuk mendalami Islam sehingga hatinya sendiri mengakui bahawa Allah merupakan tuhan yang esa.

Namun, beliau tidak tahu bilakah masa sesuai untuknya memeluk agama itu sehinggalah seorang ustaz bertanya kepadanya.

Akhirnya dorongan itu menjadi bertambah kuat apabila hatinya terpaut dengan seorang gadis Melayu.

"Isteri saya Melayu, jadi kalau nak kahwin orang Islam, kena masuk Islam.

“Tapi masa tu pun saya ragu-ragu lagi sebab saya tahu keluarga saya tidak akan suka, akhirnya ibu mentua saya tanya, jika mahu teruskan perkahwinan saya memang kena masuk Islam.

“Jadi saya cakap dalam diri saya, inilah masanya untuk saya teruskan perjalanan hidup dan menjadi seorang Islam, saya lafazkan syahadah pada Julai 2012, sebelum Ramadan,” katanya terharu.

Namun di sebalik kegembiraannya, Tay berhadapan halangan keluarga yang tidak merestui tindakannya memeluk Islam.

Ibu kepada Tay yang terguris dengan tindakannya pernah mahu menggadaikan semua harta benda asalkan anak lelaki sulungnya itu kembali ke agama asal.

“Bila keluarga saya dapat tahu, mak saya menangis, meraung. Ayah saya marah kerana saya tidak berbincang. Tapi saya tahu kalau saya bagitahu dan bincang, saya tidak akan dapat masuk Islam,” katanya.

Menurut Tay, antara kebimbangan terbesar ibu bapanya jika mereka meninggal dunia kelak, tiada siapa akan melakukan upacara ritual kematian memandangkan dia merupakan anak sulung.

Tak tukar nama Melayu

Tay berkata, dia tidak menukar namanya selepas memeluk Islam antara lain kerana mahu menjaga hati orang tuanya yang beranggapan “masuk Islam seperti masuk Melayu”.

“Ya. Saya boleh cakap begitu. Reaksi ibu bapa saya, habislah saya akan jadi orang Melayu, sampai sekarang pun macam tu. (Tapi) semuanya perlu masa,” katanya.

Ditanya bagaimana merayakan sambutan Tahun Baru Cina, Tay berkata pada tahun pertama agak kekok kerana makan di meja berasingan.

"Mula-mula rasa kekok, sekarang saya dah ok,” katanya.

Ketika Ramadan menjelma saban tahun, Tay berkata, inilah kegembiraan paling nyata yang dicari selama ini.

Beliau juga berharap reda Allah memayungi perjalanan kehidupannya.

Pemimpin 6 parti menghadap Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah menitahkan pemimpin utama dari enam parti menghadap baginda berhubung isu penggunaan masjid dan surau untuk aktiviti politik di negeri itu.

Mereka yang dipanggil adalah dari Bersatu, Amanah, PKR, DAP, Umno dan PAS, lapor Berita Harian.

Mereka termasuk Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang juga pengerusi Bersatu Perak, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di pihak pembangkang, pemimpin yang dipanggil adalah Ketua Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Laporan itu, memetik sumber, berkata semua pemimpin berkenaan menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pada jam 4 petang tadi.

Mereka dipanggil berhubung isu penggunaan masjid dan surau serta kemudahannya dalam aktiviti atau program berunsur kepartian ketika bulan Ramadan, termasuk menggunakan logo parti.

Terdahulu hari ini, ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zakarnain Abdul Munaim mendakwa mengesan sekurang-kurangnya empat program menggunakan nama parti pembangkang di masjid dan surau di negeri itu, baru-baru ini.

'Biarlah Najib ketawa sebelum masuk penjara'

Mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuang masa berdebat dengan bekas perdana menteri Najib Razak, kata setiausaha akhbar menteri pertahanan Amin Shah Iskandar.

Kenyataan itu susulan cadangan Najib semalam agar Mohamad Sabu menggantikan Lim Kit Siang untuk berdebat dengannya.

"Najib kini berdepan dengan banyak kes mahkamah berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Biarlah Najib fokus terhadap kes mahkamah dihadapinya dan bermain dengan media sosial yang menjadi kegemaran terbarunya.

"Lagipun tidak lama lagi Najib akan 'berehat' dengan lama dalam penjara. Biarlah Najib terus ketawa sebelum masuk penjara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Najib berkata Mohamad dapat menggantikan Lim.

"Kalau masih bertegas (mahu berdebat), Lim patut arahkan Mat Sabu untuk ganti tempat dia. Setahu saya Mat Sabu orang Melayu," kata Najib.

Beliau merujuk kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Lim menarik diri sebagai "langkah bijak" kerana ia boleh mengelakkan ketegangan kaum.