"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Perempuan berkalung sorban' dan kritik sosial

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya agak ketinggalan mengikuti perkembangan dunia perfileman. Ya, maksud saya filem-filem yang mempunyai 'Islamic genre'serta pengaruh kepada kehidupan masyarakat kita.

Kebanyakan filem yang menjadi perbincangan atau isu hanya saya sedari kewujudannya apabila saya ditanya oleh orang ramai. Jika ada pun, saya selalu tertarik dengan filem-filem Iran yang saya anggap mereka telah berjaya ke suatu tahap yang patut dibanggakan. Filem
Ayat-Ayat Cinta yang kononnya hebat dan dikatakan mempunyai mesej islaminya yang tersendiri juga saya tidak sempat menontonnya.

Saya hanya akan sempat menonton jika VCD diberikan kepada saya dan saya akan menontonnya di rumah. Memang, saya sering mencadangkan kepada mereka yang saya kenal dalam kalangan penerbit filem dan drama supaya menghasilkan drama yang mempunyi mesej yang baik dan tidak menyanggahi prinsip-prinsip Islam, namun saya sendiri sehingga hari ini belum sempat menulis skrip walaupun satu drama.

Ramai daripada kalangan penggiat seni yang meminta saya memberikan sesuatu buah tangan dalam dunia perfileman, saya masih belum sempat. Insya-Allah, saya akan mencubanya.

Filem Indonesia


Semasa saya bercuti sabatikal di United Kingdom, sahabat saya al-fadhil ustaz Maszlee Malek mencadangkan saya menonton filem Indonesia Sang Murabbi. Saya menontonnya di rumah beliau di Durham. Dan saya rasa amat terkesan dengan mesej yang disampaikan. Tema dakwah yang hendak disampaikan amat berkesan bagi yang hidup dalam lingkungan tersebut.

Kisah perjalanan kehidupan pendakwah dan tribulasi yang dilalui oleh kiyai Rahmat Abdullah, bukanlah sesuatu perkara yang asing dalam kehidupan ramai pendakwah. Walaupun pada saya dari segi corak penceritaan atau
story-design gagal menonjolkan kehebatan sumbangan Kiyai Rahmat dalam sejarah hidupnya.

Namun saya tetap tersentuh. Menarik. Padahal sudah agak lama filem itu terbit, baru saya dapat menontonnya. Saya memang mencadangkan agar filem itu disaksikan oleh mereka yang aktif dalam dakwah islamiah. Namun, saya rasa mesej filem tersebut tidak dapat dikongsi oleh semua. Bak kata sesetengah ahli kerohanian: "Siapa yang tidak pernah merasa, tidak dapat memahaminya."

Aidul Adha yang lepas saya ke Bandung. Beraya bersama-sama pelajar-pelajar di sana. Bersolat dan berkhutbah. Semasa hendak pulang, ada pelajar yang hadiahkan saya naskah filem
Laskar Pelangi. Saya pulang ke Malaysia dan menonton.

Amat menarik dan menyentuh hati. Ia adalah adaptasi dari sebuah novel. Satu filem yang saya rasa patut ditonton oleh guru dan ibu-bapa agar dapat menghayati sebuah perjuangan memberi dan mendapatkan pendidikan.

Watak 'Lintang' dalam filem itu amat menyentuh jiwa. Itu filem kedua Indonesia yang saya tonton sehingga habis. Sahabat saya pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), setelah saya cadangkan kepadanya, beliau menontonnya sebanyak berbelas kali dan menangis setiap kali menonton.

Perempuan Berkalung Sorban


Sejak hujung tahun lepas ramai yang mencadangkan saya agar menonton filem Indonesia yang berjudul Perempuan Berkalung Sorban. Saya tidak sempat menontonnnya kerana tiada siapa yang memberikan rakaman filem tersebut kepada saya. Hanya dalam bulan ini saya sempat menonton. Baru dapat VCD-nya.

Hebat! Memang hebat! Dari segi retorika (
rhetorical) dan estetika (aesthetical) filem, ia begitu menarik. Story design yang hebat membawa penonton tenggelam dalam plot-plot yang disusun. Tidak hairanlah jika ia mendapat tujuh nominasi di Festival Film Bandung 2009. Ya, filem ini mendapat bantahan beberapa kiyai di Indonesia dan menggesa agar ia diboikot.

Kata mereka filem ini menghina pasantren dan Islam. Sinopsis filem itu menulis bahawa watak utama Annissa dalam filem tersebut merupakan anak seorang kiyai yang hidup di Pasantren daripada aliran salafiah. Kongkongan ke atas kehidupan wanita atas nama agama cuba ditonjolkan dengan segala retorikanya.

Apabila saya menonton filem ini, beberapa kesimpulan boleh saya buat. Pertama, filem ini tidak menghina Islam, tetapi ia merupakan sebuah kritik sosial (
social critic) yang tajam. Dialog-diolag dalam filem ini seperti "Allah selalu menyebelahi lelaki", "Islam tidak adil terhadap perempuan" itu terhasil daripada salah ajaran atau gambaran Islam yang diperlihat kepada Annisa.

Pun begitu filem ini jika ditonton oleh mereka yang tidak dapat membezakan antara ajaran asal Islam dan gambaran salah Islam mengenai wanita yang dihasil oleh sesetengah guru dan kiyai, mungkin mengelirukan mereka.

Kedua, walaupun disebutkan latar cerita dalam filem ini sebuah keluarga dan pasantren Salafiah, namun dari segi praktik yang ditunjukkan tidak mewakili ajaran Salafiah. Ini seperti cuba mengambil berkat dari kasut, air dan segala bekas dari guru. Rantaian biji tasbih yang sentiasa di tangan untuk tontotan orang juga menyanggahi amalan aliran Salafiah.

Larangan mempersoalkan tindakan guru juga bukan aliran Salafiah. Begitu juga hadis-hadis yang tidak sahih yang dibaca, tidak mewakili aliran Salafiah yang teliti dalam masalah hadis. Senario itu lebih dekat kepada aliran tarekat dan sesetengah tradisionalis di nusantara ini.

Namun, sesetengah pemikiran yang sempit mengenai wanita dikongsi oleh sebahagian pendokong Salafiah sempit dan konservatif-traditionalis. Hal ini terus berlaku dalam mereka di beberapa negara Teluk yang kuat Salafiah dan juga negara-negara Indo-Pakistan dan nusantara yang kuat aliran konservatif-traditionalis.

Walaupun antara
manhaj Salafi dan fanatik traditonalis mazhab itu berbeza dalam banyak persoalan, namun mereka kadang-kadang sama-sama menyempitkan fikiran agama mengenai kehidupan dan wanita dalam banyak hal.

Ketiga, adegan-adegan yang 'agak panas' dalam filem ini boleh mengeluarkan ia daripada
Islamic genre daripada segi pembikinannya. Walaupun episod-episod itu penting untuk difahamkan kepada penonton, tetapi ia agak berlebihan. Penonton terpaksa skip adegan-adegan tersebut.

Keempat, filem tersebut mampu membangun semangat pembaharuan. Kesungguhan Annisa untuk melakukan pembaharuan di pasantren ayahnya amat mengkagumkan. Keperitan dan cabaran yang dilaluinya mampu memilukan penonton dan memberikan semangat bahawa 'pembaharuan mesti diteruskan'.

Menarik, Annisa masih berada atas paksi amalan Islamnya. Tudung, solat, bahasa dan berbagai lagi, tidak melayakkan filem ini untuk dikaitkan dengan agenda 'liberal totok' seperti yang didakwa.

Kelima, mesej filem
Perempuan Berkalung Sorban ini boleh menjadi mesej pembaharuan atau tajdid Islami jika ia berjaya digarap dengan betul. Tafsiran-tafsiran yang salah terhadap Islam, atau tindakan yang salah yang dibabitkan dengan Islam memang patut diubah. Umpamanya, alasan ayah Annisa untuk melarang Annisa menyambung pengajian ke Jogjakarta kerana hadis "wanita tidak boleh bermusafir tanpa mahram" boleh diterima.

Namun, penyelesaiannya dengan memaksa dia berkahwin dengan calon yang dia tidak suka adalah salah dan zalim. Padahal, mungkin boleh diberi pilihan untuk dia memilih calon, atau dipastikan dia mempunyai teman-teman wanita yang lain yang baik dari segi agama mereka untuk bersamanya di tempat pengajian.

Unsur-unsur kezaliman, tafsiran yang sempit tentang Islam dan berbagai lagi sebenarnya memang wujud dalam sesetengah realiti masyarakat yang mendakwa mereka berpegang kepada Islam.

Banyak lagi jika hendak disentuh, apa yang penting filem ini sangat wajar untuk ditonton oleh mereka yang bersemangat agama. Jangan tonton dengan emosi atau anggapan ia serangan terhadap Islam, tetapi anggaplah ia sebuah kritik sosial yang diperlukan dalam sesetangah masyarakat.

Apabila para pelajar saya seramai lapan orang di peringkat MA pengajian hadis berkunjung ke rumah, saya suruh mereka tonton dan ulas. Mereka mempunyai pengalaman pengajian Islam yang agak lama, sejak kecil sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Kata sebahagian mereka yang pernah hidup di pondok: "Ia suatu realiti".

Ya, bukan semua demikian. Banyak yang sudah atau mahu berubah, namun kritik sosial tetap diperlukan.

Sekali lagi, saya tahu saya ketinggalan 'keretapi' dalam mengulas filem
Perempuan Berkalung Sorban ini, namun saya tahu masih ramai yang belum menontonnya.

Apa pun, saya percaya filem ini di suatu sudut boleh menjadi perangsang kepada usaha-usaha membela kaum wanita muslimah di negara asalnya dan negara ini juga. Demikian juga, yang lebih utama ia boleh merangsang semangat menentang tafsiran yang sempit dan salah tentang Islam.

-Malaysiakini-

Akal ‘cucu pelesit'

MUAR: Tiada nama lebih sesuai selain daripada ‘cucu pelesit’ untuk menggambarkan kelakuan buruk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tergamak berpakat dengan rakan lelaki berusia 15 tahun untuk merompak nenek sendiri yang berusia 75 tahun.

Bagi melengkapkan komplot jahatnya itu, remaja terbabit turut bersekongkol dengan seorang wanita berusia 40-an yang bertindak merampas wang tunai dan menyelongkar barang kemas nenek pelajar tingkatan dua itu di rumah mereka di Kampung Jawa, Panchor, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Kejadian malang itu bermula apabila mangsa, Ruliah Abu Bakar sedang berehat bersama ‘cucu pelesit’ itu sebelum tiba-tiba didatangi dua suspek yang menaiki motosikal secara berasingan.

Ruliah berkata, wanita berusia 40-an itu bersama remaja lelaki berusia lingkungan 15 tahun terbabit memberi salam sebelum cucunya menyuruh mereka masuk ke rumah.

Menurutnya, dia dapat mengecam suspek wanita yang dikenali sebagai Ila kerana berkawan rapat dengan cucunya serta sering berkunjung ke rumah itu.

“Saya ingatkan mereka datang untuk jumpa cucu saya saja. Tiba-tiba seorang daripada mereka bertindak kasar dengan menekup muka saya menggunakan kain.

“Saya terkejut dan cuba melawan tapi apakan daya, tenaga orang tua tak terlawan mereka berdua,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Malah, Ruliah berkata, dia diperlakukan dengan kejam dan tidak berhati perut apabila seorang daripada penjenayah itu menyerkup kepalanya dengan anak tudung dipakainya sebelum mengikat tangan menggunakan kain batik yang dipintal.

Ruliah cuba meminta pertolongan daripada cucunya, namun tanpa disangka remaja perempuan itu bersekongkol dengan penjenayah terbabit dengan membantu mereka.

“Kemudian saya dipaksa berbaring sebelum seorang daripada mereka merampas perca kain berikat getah berisi wang tunai kira-kira RM300,” katanya.

“Tidak puas hati dengan hasil rompakan berkenaan, cucu yang saya sayangi itu kemudian menyuruh dua rakannya masuk ke bilik dan menyelongkar almari sebelum mereka melarikan barangan kemas termasuk cincin dan rantai,” katanya.

Ternyata, kasih sayang seorang nenek masih menebal apabila perilaku kejam cucunya itu sanggup diketepikan apabila Ruliah berkata kepada remaja itu, ‘jangan pergi’.

Malangnya, remaja terbabit tidak mengendahkan larangan Ruliah dan meninggalkan mangsa keseorangan dalam keadaan mata tertutup dan tangan diikat.

-hmetro-

Undi Melayu bandar dan Melayu kampung

Al-Bakistani
Jika Mood pengundian seperti yang berlaku di Hulu Selangor baru-baru ini berterusan sehingga PRU akan datang, Pakatan Rakyat akan kekal memerintah di Selangor dan Pulau Pinang, tetapi tidak jamin di Kelantan dan kedah", lebih kurang begitu bacaan salah seorang ahli politik yang agak terkenal juga.

Menarik juga bacaan itu. Di dapati, keadaan undi cina dan India, berada dalam daerah selamat. Namun, undi India perlu berhati-hati sedikit.

Adapun undi melayu, perlu dibahagi kepada dua, (1) Melayu bandar, dan (2) melayu kampung. Cara berfikir melayu bandar tidak sama dengan cara berfikir melayu kampung.

Undi melayu bandar, mengikut satu pendapat, berbelah pihak kepada PR (PAS, PKR dan DAP). Adapun undi melayu kampung, mengikut tren pengundian kini, berbelah pihak kepada BN.

Persoalannya, (1) Melayu di Kelantan dan Kedah, melayu bandar atau melayu kampung? (2) di Perak, apakah ramai melayu kampung atau melayu bandar? Namun, undi cina dan india di perak dilihat berbelah pihak kepada PR.

Justeru, bagaimana pula gabungan undi melayu bandar dan undi cina dan india di Perak? (3) Di selangor, PAS banyak bertanding di kawasan melayu kampung. Justeru, mungkin PR kekal memerintah, tetapi PAS semakin minoriti. Benarkah? Inilah yang aku diceritakan.

Medan minyak tergadai: Ya dalam nafi

Husam Musa
Tahniah dan terima kasih kepada Pak Lah yang kali ini bersikap responsive.

Pak Lah memberikan penjelasan terhadap isu tergadainya dua medan minyak milik Sarawak kepada Brunei lewat petang ini, Juma'at, 30 April 2010.

Dari penjelasan ini kita dapat simpulkan;

a. Bukan medan minyak sahaja terlepas, tetapi sempadan negara kini mengecil kerana perairan di mana terletaknya dua medan minyak L dan M kini diiktiraf sebagai milik Brunei. "In a statement today, the former prime minister confirmed that Block L and Block M concessions now belonged to Brunei but...." (Bernama)

“This agreement serves to settle certain overlapping claims that existed in the past which included the area of the concession blocks known before as Block L and Block M.

“Sovereign rights to the resources in this area now belongs to Brunei." Laporan The Star berdasarkan kenyataan akhbar Pak Lah.

b. Cuma Malaysia diizinkan untuk menyertai perkongsian operasi pengeluaran minyak bagi kedua-dua blok itu untuk 40 tahun.

c. Terma ini dipersetujui Kabinet pada 11 Februari 2009. Bermakna PM sekarang juga terlibat dalam keputusan tersebut.

Penjelasan Pak Lah ini tidak mengubah inti berita sebelum ini bahawa kita telah terlepas dua medan minyak sekali gus kepada Brunei dan kini, kita sebenanya terlepas bukan sahaja medan minyak bahkan kedaulatan sempadan laut berkenaan juga untuk selama-lamanya.

Balasan yang diperolehi oleh Malaysia ialah kita boleh menyertai perkongsian operasi berasaskan perniagaan di medan berkenaan untuk selama 40 tahun. Selepas itu, kawasan berkenaan kekal dalam wilayah Brunei.

Bagi Pak Lah dan Kerajaan Malaysia, terlepas kedaulatan wilayah adalah kecil asal dapat merasa seteguk dua minyak dari kawasan yang kita lepaskan. Aduhai!

Dalam kes kawasan pertindihan sumber minyak Malaysia Thailand, negara mengambil ketetapan berbeza iaitu kawasan berkenaan kekal sebagai sebahagian wilayah Malaysia dan hasil minyak dibahagi mengikut peratusan tertentu antara dua negara. Kita tidak melepaskan kedaulatan wilayah kita tetapi kita menggunakan kaedah 'joint development'.

Mengapa susunan yang sama tidak digunakan dalam kes Brunei dan dengan itu kita tidak terlepas wilayah kita?

Atas murah hati kita melepaskan perairan di mana terletaknya dua medan minyak itu, kita mendapat kedaulatan ke atas Limbang.

Soalnya, kini pun Limbang adalah milik kita dan ia sebahagian dari Sarawak. Sungguh pun Brunei ada menuntut haknya ke atas Limbang, dari inti pati perjanjian-perjanjian sebelum ini termasuk apa yang disebut oleh Pak Lah dalam kenyataannya, isu Limbang sudah pun memihak kepada Malaysia.

Bermakna, kita mendapat apa yang sudah menjadi hak kita dan kita terlepas apa yang sepatutnya juga menjadi hak kita.

Nampaknya, kita mengambil jalan mudah dalam perkiraan ini. Apa lagi, Brunei masih secara terbuka menyatakan bahawa tuntutan ke atas Limbang belum digugurkan. Bererti, harapan kita untuk menyelesaikan isu tuntutan Limbang secara tersirat melalui 'pengukuran semula sempadan' berasaskan perjanjian-perjanjian 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939 masih dalam proses sedangkan kedaulatan kita ke atas perairan yang terkandung di dalamnya dua medan minyak yang kaya itu sudah pun terlepas.

Bermakna, Brunei telah mndapat apa yang mereka mau serta merta dan kita menunggu satu tempoh dan proses yang akan memakan masa. Apa akan terjadi jika pendirian kerajaan Brunei atas apa sebab nanti, akan berubah?

Mengikut laporan, Brunei telah pun menganugerahkan konsesi dua medan itu kepada Total dari Perancis dan kedudukan Petronas dalam susun atur perkongsian yang disebut belum dijelaskan.

Akhirnya, bagaimana dengan Sarawak? Adakah kerajaan negeri dirundingi ketika wilayah laut kita ingin dilepaskan bersekali dengan sumber minyaknya?

Jika Pak Lah telah tampil 'menafikan tetapi sebenarnya mengiyakan', adakah PM
kini hanya akan berdiam diri?


Datuk Paduka Husam Musa,

Exco Kanan Kerajaan Kelantan.

Pilihan Raya Kecil PRK Hulu Selangor – Tuan Guru mangsa media

Wan Nik Wan Yussof

Banyak pihak berpandangan peranan media massa, khususnya surat khabar adalah penyampai maklumat dan pencetus kesedaran rakyat. Peranan itu amat popular zaman berzaman. Di atas kekuatan peranan media massa inilah, maka setiap kali kempen pilihan raya media massa telah dimanfaatkan sebagai penghubung antara parti, calon dan pemimpin parti dengan pengundi. Ini kerana media massa, khususnya surat khabar dan radio-tv dapat memanjangkan isu-isu pilihan raya yang dibangkit oleh parti-parti yang bertanding.

Namun, peranan media massa akan dipertikaikan apabila terlibat dengan penyebaran maklumat yang berat sebelah atau tidak adil dalam laporannya. Perkara ini akan berlaku tatkala media massa berkenaan mula dipengaruhi agenda tersembunyi (the hidden agenda) oleh pihak tertentu. Lebih teruk lagi apabila media massa berkenaan telah dipengaruhi matlamat perniagaan dan putaran isu sensasi yang memacu circulation dan volume pembaca atau penonton.

Justeru itu, peranan dan pengaruh media massa arus perdana, khususnya surat khabar dan radio-tv dikira paling tinggi pengaruhnya. Ia menyebabkan pihak kerajaan telah mengawal sepenuhnya agenda berita media massa arus perdana bagi memastikan segala program dan dasar-dasar kerajaan dapat diterima oleh rakyat.

Walau pun begitu, peranan media massa musim kempen pilihan raya paling jelas menjadi mata rantai kepada agenda parti-parti yang bertanding, bukan lagi penyambung dasar kerajaan. Semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor (17-25 April 2010) kempen Barisan Nasional jelas dimanipulasikan untuk menghentam dan memburukkan calon, pemimpin dan parti lawan – Pakatan Rakyat.

Malah secara sedar akhbar dan radio-tv dilihat berperanan mengikut selera parti berkuasa (Barisan Nasional) yang mengawal atau memiliki kepentingan dalam media massa berkenaan. Tujuannya tidak lain ialah untuk mempengaruhi pemberitaan/pendedahan isu supaya rakyat responsif dan positif kepada parti/pihak calon Barisan Nasional.

Walau bagaimana pun, apa jadahnya pihak pengurusan media massa dikuasai Barisan Nasional semasa pilihan raya Hulu Selangor apabila didapati begitu ghairah mensasarkan pukulan maut (killing characters) terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Hassan Ali. Isu yang digunakan adalah penggunaan masjid untuk tujuan politik dan diadukan dengan perintah Sultan Selangor dan larangan jabatan agama Islam Selangor.

Berikutan kehadiran Tuan Guru sekembali daripada umrah di tanah suci, nyata perangkap media massa telah di pasang, apabila pemberita upahan dari media masaa berkenaan menghujani persoalan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan politik (musim pilihan raya).

Perangkap yang sama dikenakan terhadap Datuk Hassan tatkala Datuk Zahid Hamidi dan akhbar Utusan Malaysia (pada sehari sebelum hari mengundi dan diulangi lagi pada hari mengundi 25 April) turut memfitnah khutbah Datuk Hassan didakwa tidak sah kerana tidak disebut selawat nabi. Hal inilah menyebabkan Datuk hassan mengemukakan saman terhadap Zahid dan Utusan Malaysia.

Persoalannya, apakah permainan media massa tersebut adalah didorong secara rasional oleh disiplin media massa, atau didorong oleh kehendak Barisan Nasional yang terdesak dan inginkan kemenangan besar majoriti 6,000 undi seperti mana disebut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin (Malaysiakini, 25 April). Apa pun, pihak media massa berkenaan nyata akan mencapai peningkatan volume penonton dan pembaca.

Apa yang pasti, permainan media massa tersebut telah membawa impak negatif terhadap integriti menteri besar Kelantan atau menjejaskan reputasi exco kerajaan negeri Selangor. Apa yang penting, cara pemberitaan yang bernada fitnah itu sudah pasti akan dipuji Umno dan semua orang Umno akan tertarik membeli dan membacanya. Hal ini terbukti apabila pihak jentera Barisan Nasional turut mengedar secara percuma akhbar tersebut kepada pengundi pada tarikh-tarikh kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Apa pun, peranan media massa harus dipadukan dengan moral. Sewajarnya pemain dan pengamal media massa dan kapitalisnya harus melihat prinsip kebenaran dan keadilan. Prinsip ini boleh dijayakan sekiranya melihat secara tawaduk nilai mengutamakan moral di dalam proses maklumat (moral first in information). Sebenarnya prinsip ini hanya ada kepada pemain, pengamal dan kapitalis media massa yang beragama sahaja.

Jika begitu, mungkin radio-tv dan akhbar berkenaan adalah kelompok media massa yang tidak termasuk di dalam lingkungan media massa beragama. Selayaknya, akhbar yang memfitnah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Datuk Hassan atas isu yang dicipta itu sebenarnya layak diberi title 'media pembuli' dan rasionalnya ia disaman.

Semoga Tuhan yang Esa memberi petunjuk dan hidayah ke atas golongan pembuli dan masukkan iman serta takwa di lubuk hati mereka. sedia hadapi tindakan Umno.

Wan Nik Wan Yussof

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
merangkap Timbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan.

Gejala Buang Bayi, Keluarga Juga Yang DiPersalahkan

Mandor

SAMPAI bila kerajaan hendak menuding jari ke arah ibu bapa atau keluarga apabila gejala maksiat termasuk bertambahnya gejala membuang bayi di negara ini menular? Berbagai komen yang dikeluarkan oleh menteri berkaitan isu ini namun tidak seorang pun berani menyebut tentang betapa hukum Islam atau peraturan Islam mampu mengawal atau mencegah gejala keji ini. Menteri berugama Islam ini hanya bercakap senada dengan percakapan pemimpin yang bukan Islam. Cuba baca kenyataan salah seorang menteri dan senator berkenaan di sini.

Menteri ini menuding jari ke arah institusi kekeluargaan kununnya gagal mendidik anak. Memang benar, didikan dari ibu bapa itu penting semenjak awal lagi tetapi akhirnya undang-undang yang tepat juga penting. Umpama kita diajar, dilatih serta diuji oleh pihak JPJ sebelum kita dibenarkan memandu kenderaan. Apakah selepas kita lulus dengan cemerlang, maka kita dibenarkan terus memandu kenderaan tanpa ada undang-undang yang ditetapkan oleh JPJ atau Polis? Undang-undang mesti ada kerana bukan semua yang dilatih itu akan mempraktikkan semua yang diajar semasa mengikuti ujian di JPJ. Ibu bapa berkewajipan untuk mendidik anak-anak mengikut cara Islam, tetapi jika undang-undang negara tidak mengikut cara Islam bagaimana kita mahu membendung segala masalah di kemudian hari? Kaedah Islam wajib diguna pakai oleh keluarga di dalam mendidik anak-anak begitu juga dengan kerajaan yang memerintah. Jika ini tidak dapat diselarikan, usahlah mengharap masalah ini akan selesai.

Oleh yang demikian, jangan pula menteri berfikir mereka lebih pintar dan cerdik dari Allah yang mencipta manusia di muka bumi ini. Kelihatan melucukan, ternampak bodoh pula apabila seorang Senator mencadangkan hukuman `kasi' ke atas lelaki yang mengakibatkan gejala buang bayi ini. Mengapa terlalu dungu pemikiran seorang Senator yang sepatutnya mesti cerdik di dalam mengemukakan cadangan. Di mana beliau perolehi sumber hukum sedemikian? Adakah dari kepala otak dia sendiri? Kita jangan mengambil idea atau buah fikiran dari pemikir yang bukan Islam di dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan umat Islam. Kita punyai Tuhan yakni Allah yang telah mengajar kita dari segala perkara yang besar hinggakan kepada perkara yang paling kecil hatta cara-cara batuk dan menguap.

Gejala maksiat yang semakin berleluasa sekarang ini adalah kerana kita mengabaikan ajaran Islam samada di pihak institusi kekeluargaan dan lebih-lebih lagi di pihak kerajaan yang memerintah. Jangan pula nanti kita lebih mengambil kitab yang dikeluarkan oleh APCO sebagai rujukan kita untuk mengatasi masalah ini daripada mengambil kitab suci Al-Quran. Jika ini berlaku, maka saham juga dapat kepada mereka yang memilih pemimpin yang menolak Al-Quran.

mandor.blogspot

Polis Tidak Wajar Berkeras Kepada Peserta Perhimpunan Anti-GST

SHAH ALAM, 1 MEI: Pimpinan Pakatan Rakyat menyelar tindakan pihak berkuasa dalam meleraikan perhimpunan anti-GST yang diakan-akan anti-pekerja dan anti-rakyat kebanyakan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata hampir 80 peratus dari rakyat Malaysia akan terkesan dengan pelaksanaan GST ini, yang mengalihkan beban cukai dari golongan pemodal ke pundak kaum pekerja bawahan dan kelas pertengahan.

"Bila GST ada nanti cukai korporat akan dikurang. Kenakan cukai pada orang miskin tapi kurangkan cukai pada orang kaya. Ini yang kita tentang. Jadi saya harap suara rakyat jadi lebih kuat supaya undang-undang ini ditarik balik.

"Saya rasa perhimpunan ni bukan sesuatu yang rahsia, jalan pergi dataran merdeka pun dihalang. Tangkapan ini, bagi saya keterlaluan. Lagi pun hari ini Hari Pekerja, biarlah mereka merayakan," katanya.

Sentimen sama turut dikongsi Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof yang menyifatkan perhimpunan anti-GST adalah petunjuk jelas betapa ramai membantah perlaksanaan pakej cukai ini.

"Polis yang menangkap tak faham bahawa 1 Mei adalah hari kepada semua pekerja termasuklah polis. Tanggal 1 Mei perlu dilihat sebagai usaha mewakili nasib pekerja.

"Dalam hal ini, polis tidak perlu melihat usaha ini sebagai mengancam. Saya kecewa dengan tindakan polis itu," kata Yusmadi.

Rang Undang-Undang GST dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember lalu tetapi ditangguhkan untuk bacaan kedua pada Mei ini atas alasan lebih masa diperlukan untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

Cukai empat peratus yang akan dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan dikatakan bertujuan meningkatkan ekonomi negara tetapi kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.
-tvselangor-

8 daripada 10 orang sokong cuti bersalin 90 hari

PORT DICKSON, 1 Mei: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mendapati lapan daripada 10 rakyat negara ini menyokong cadangan agar tempoh cuti bersalin dipanjangkan.

Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata perkara itu diperolehi menerusi satu kajian yang dijalankan kesatuan tersebut.

Ramai bersetuju agar tempoh cuti bersalin dipanjangkan, malah mantan Wanita Pertama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali adalah antara yang menurunkan tandatangan petisyen kami mengenai perkara itu, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Solomon berkata NUBE kini giat mengumpul sejuta tandatangan untuk petisyen itu sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sehingga kini kira-kira 400,000 tandatangan telah diperolehi dan NUBE mempunyai masa sehingga Jun ini untuk mencapai sasaran, katanya.

Petisyen itu yang dilancarkan 8 Mac lepas bertujuan mendesak kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari sekarang kepada 90 hari, selaras dengan negara-negara anggota Asean yang lain.

-Bernama-

Istana rakam takziah pada mangsa tembak

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 1 Mei
: Kejadian kes tembak terhadap seorang kakitangan Istana Kelantan, Ramli Mohd pada jam 12.25 tengah malam tadi mendapat perhatian serius daripada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Baginda telah menitahkan agar Ketua Polis Kelantan memberi tumpuan untuk menyiasat segera kes itu secara terperinci dan menyeluruh.

Titah tersebut dibaca oleh Pengelola Istana Diraja Datuk Abdul Halim Hamad di sidang media hari ini.

Menurut Datuk Halim, mangsa adalah merupakan seorang yang berjawatan sebagai Pengawal Keselamatan di Istana Mahkota dan Istana Negeri.

Semasa kejadian, beliau baru habis bertugas dan ia berlaku di Kampung Sungai Nyior, Palekbang di kampung mangsa.

Mangsa yang berusia 50 tahun itu telah berkhidmat di istana selama 17 tahun dan merupakan seorang yang penuh dedikasi semasa bertugas, dilantik secara kontrak dengan istana.

Sebelum ini, beliau merupakan bekas tentera dan berkhidmat selama 15 tahun dan penuh berpengalaman telah diberi tugas sebagai pengawal keselamatan bagi keluarga diraja serta membantu tugas-tugas pengawal peribadi yang lain.

Datuk Halim juga berkata mangsa kini sedang dirawat di Wad Unit Kawalan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu dan dalam keadaan serius yang ditembak di dada dan peluru masih lagi berada dalam badan mangsa.

“Saya difahamkan semasa kejadian, mangsa tidak mempunyai apa-apa senjata termasuk senjata api,” katanya lagi.

Cadangan Tiga Akta Berkaitan Buruh Bawa Mudarat Kepada Golongan Pekerja

SHAH ALAM, 1 MEI: Cadangan pindaan tiga akta berkaitan pekerja yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat Julai ini, bakal membawa mudarat kepada golongan buruh di negara, sebaliknya hanya menguntungkan syarikat multinasional.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga bekas Ketua Eksekufif Kumpulan Gutrie Berhad, berkata pelaksanaan akta berkenaan, jika dilulus menyebabkan golongan buruh cuma diberi status pekerja skim kontrak jangka panjang.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam mencadangkan pindaan drastik kepada Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Ketiga-tiga cadangan pindaan ini dijadual dibentang pada sidang Dewan Rakyat Julai ini untuk kelulusan.

Khalid menganggap kelulusan pindaan ini membawa mudarat paling buruk dalam tempoh 40 tahun akta berkenaan diperkenal berikutan jaminan pekerjaan kepada beribu-ribu pekerja bakal terhakis sama sekali.

Beliau berkata demikian depan kira-kira 1,000 aktivis kesatuan sekerja di negara ini pada sambutan hari pekerja dan Pertukaran Nama Jalan Barat kepada Jalan Dr. V David.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat memahat nama pejuang hak pekerja, Dr. V David pada satu jalan yang akan ditetapkan kemudian oleh Majlis Bandaran Petaling Jaya.

Mengikut cadangan pindaan akta ini, seseorang pekerja berkhidmat lebih dari 10 tahun sebagai pekerja kontrak tidak layak memperoleh sebarang remedi jika dipecat.

Sekalipun pindaan ini menafikan hak pekerja tanpa mengambil kira tahap gaji dan tempoh perkhidmatan termasuk golongan pekerja dalam tempoh percubaan dan pekerja kontrak.

Khalid juga mempersoal penafian hak pelindungan, tiada cuti pada Ahad bersama keluarga, golongan wanita bekerja malam dan kegagalan kerajaan membuat penetapan gaji minimum.

Beliau menegaskan pekerja adalah tunjang pembangunan ekonomi negara dan kerajaan tidak boleh menidakkan hak asasi pekerja dan bimbang penafian sedemikian hanya membantutkan pembangunan ekonomi negara pada masa depan.

Menteri Besar itu turut menggesa agar pejuang seperti Dr.V David harus diiktiraf sebagai seorang pejuang hak asasi pekerja di negara ini.

“Saya lihat bagaimana pekerja sebagai satu asas pembangunan yang dapat mempertingkatkan pendapatan mereka supaya perkara asasnya bagi mereka ialah kita perlu rapatkan jurang itu dan tidak jadi seperti begini sekarang.

“Jika kerajaan tidak memandang perkara ini ke hadapan, maknanya mereka belum mengerti pembangunan masa depan,” kata Khalid.
-tvselangor-

Bagaimana kalau Umno yang bagi RM4 juta - Husam

Harakahdaily
KOTA BHARU, 1 Mei:
Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa memberikan andaian, duit RM4 juta yang dinyatakan diterima oleh seorang blogger, Kickdeefella adalah datang dari Umno untuk menjatuh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga berkata, wang itu masih ada RM4 juta lagi untuk dibelanjakan untuk jatuhkan PM yang ada sekarang (Datuk Seri Najib Razak) yang juga ditaja oleh orang Umno yang tidak puas hati kerana Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad badawi) dijatuhkan.

Husam berkata demikian dalam tulisannya melalui blog beliau, cetusan-hati.blogspot.com.

"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan UMNO tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang UMNO yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulis Husam dalam blognya.

Husam dikaitkan dengan penulis blog, Syed Azidi atau nama penanya Kickdefella yang membuat pelbagai jenis tulisan terhadap kerajaan negeri Kelantan. Khamis lepas, akhbar Umno, Utusan Malaysia menjadikan tulisan beliau laporan muka depan akhbar itu.

Tulisan itu mendakwa, beliau diamanahkan wang sebanyak RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak Saraf untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Pak Lah.

Ini adalah tulisan pertama Husam mengulas tulisan Kickdefella selepas sekian lama menyepi dari mengulasnya. Kickdefella yang dikaitkan dengan Husam dipecat dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ekoran pertelagahan beliau dengan CEOnya, Ariffahmi, yang juga menantu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Ulasan Husam yang berkata RM4 juta itu dari orang Umno serentak dengan tulisan Tun Dr Mahathir dalam blognya yang mempertikaikan tindakan kerajaan di bawah Tun Abdullah yang menyerahkan dua telaga minyak bernilai RM340 bilion kepada Brunei. Ia dibuat untuk memujuk Brunei melepaskan tuntutannya ke atas Limbang.

Serangan yang dibuat oleh Mahathir terhadap Abdullah bukan sekarang tetapi sejak beliau menjadi PM lagi sehinggalah beliau jatuh.

Dalam tulisan kali ini juga Husam menulis, betapa mudahnya untuk menjatuhkan seorang PM jika hanya memerlukan RM4 juta sahaja untuk berbuat demikian sebagaimana yang didakwa Kickdefella, beliau diamanahkan RM4 juta untuk jatuhkan Pak Lah dan terbukti lepas itu Pak Lah jatuh dan digantikan denga Najib.

"Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

"Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah," tulis Husam dalam memulakan tulisannya ini.

Beliau berkata, ada orang berkata RM4 juta itu mahal dan ada pula berkata, RM4 juta untuk menjatuhkan seorang PM itu murah.

"PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

"Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

"Seorang petugas tegar Umno seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

"Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu," tulis Husam.

Beliau juga memberikan hint dalam tulisannya dengan mengaitkan serangan Mahathir terhadap Pak Lah.

"Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

"Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

"Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

"Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?" tulis Husam.

Menurut beliau, Umno Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan Umno Kelantan. Empat juta.

"Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja Umno belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan Umno satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

"Rupanya tak susah sangat nak tewaskan Umno Kelantan dan kalau dengan empat juta Umno satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki Umno seluruh Malaysia. Rasanya Umno akan kecut," tulis beliau lagi.

Bagi beliau, cerita yang dibuat akhbar Umno itu umpama cerita kek dan gandum. Gandumnya hanya sedikit tetapi selepas dimasukkan serbuk penaik ia meenjadi besar dan indah dilihat.

"Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja," tulis beliau.

Beliau juga mengulas, setahu beliau, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. "Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita," katanya. Di sinilah, beliau mendakwa, Umno yang bayar RM4 juta itu dengan kenyataan:

"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulisnya.

Bagi beliau, cerita RM4 juta ini bertujuan untuk menutup kehilangan wang dari penyerahan dua telaga minya kepada Brunei itu.

"Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

"Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat," katanya lagi.

Nizar: Rasis gelar saya menghasut?

Pakatan Rakyat perlu masuk ke setiap pelosok kampung sekiranya mahu cita-citanya menuju ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti menjadi kenyataan.

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin berkata, BN berjaya mendapatkan sokongan Orang Asli, orang Melayu di kampung-kampung - termasuk peneroka Felda, pekerja estet India - lebih 53 tahun dengan mengawal dan memanipulasi media arus perdana.

Strategi ini dilhat berjaya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, di mana Nizar menuduh BN terlibat dalam politik wang dan taktik mengancam bagi memastikan kemenangan calon mereka P Kamalanathan.

"BN menggunakan dana awam dalam bentuk hadiah pilihan raya dalam setiap pilihan raya kecil di negara ini.

"Dan mereka rasis apabila berhadapan dengan pengundi dan apabila menyifatkan ucapan saya di Hulu Selangor sebagai hasutan," katanya.
-malaysiakini-

Sudah Ada Tanda Najib Tak Kekal Lama Ditampuk No 1

ramziredang
Semasa awal Najib mengambil alih jawatan PM Malaysia, saya telah menulis mengatakan Mahathir tidak akan berdiam diri jika tidak sampai ke satu mas
a yang anaknya Mukhriz berada di kerusi no 1 negara. Berbagai langkah akan dilakukan untuk meringkaskan masa pemegang tampuk no 1 negara. Kini dengan penonjolan PERKASA dengan imej 'ultra melayu', sentiasa bermain di bibir Mahathir dan cuba ditonjolkan, berlainan sama sekali dengan 1Malaysia

Mahathir mendakwa "kemenangan BN di hulu selangor adalah semata mata kerana peranan PERKASA yang berjaya menawan kembali hati pengundi melayu, yang sebelum ini dengan jelas telah menolak BN"

Kutukan pemimpin Perkasa terhadap MCA menambahkan lagi rekod buruk 1malaysia Najib. Malah ada juga pemimpin UMNO yang cuba mendesak MCA keluar dari BN. Satu seruan yang bodoh dan menjerut leher BN sendiri.

Agenda dari dalam MCA pula cuba digambarkan bahawa Soi Lek tidak berjaya mendapat tempat di hati pengundi Cina.

Semua ini memeningkan kepala Najib dan merosakkan slogan 1Malaysia. Apapun alasan yang diberikan oleh Ibrahim Ali dan Mahathir tentang kelantangan membela melayu dan mengutuk Cina, ianya telah menyebabkan kaum Cina dan India hilang kepercayaan kepada UMNO. UMNO dilihat sebagai kawan yangn suka menikam kawan. Masa perlu dipuji dan ditatang, masa tak suka dikeji hnedak ditendang.

Namun apapun isu yang berlaku, ianya masih boleh membuat Najib bersabar dan cuba mencari jalan. Tetapi ada sesuatu yang bakal mendebarkan Najib dan Rosmah. Yang bakal membuat mereka tidak lena tidur.

Iaitu dengan kedatangan seorang peguam dari Perancis yang bernama Joseph Brehem. Joseph adalah salah seorang peguam bagi pihak yang menyaman DCN. DCN adalah sebuah syarikat Perancis yang terlibat dalam penjualan dua kapal selam Scorpene.

Beliau datang ke Malaysia untuk mencari maklumat lanjut dalam urusan pembelian kapal selam scorpene. Beliau mencari maklumat tentang perjanjian pembelian yang termeterai ketika Najib menjadi menteri pertahanan, dipercayai menawarkan komisyen sebanyak RM3.7bilion kepada sekutu Najib, Razak Baginda.

Beliau juga akan membuat permohonan supaya mendedahkan bagaimana akaun syarikat isteri Razak Baginda bagaimana syarikat tersebut boleh mendapatkan euro114juta dengan mudah.

Beliau juga akan menggunakan 'waran geledah antarabangsa' supaya dia boleh mengakses maklumat yang diperlukan dengan tiada apa apa halangan. Di bawah Konvesyen Korupsi PBB, malaysia juga perlu memberi kerjasama yang sepatutnya jika siasatan berkaitan korupsi ingin dilakukan di Malaysia.

Selain Joseph Brehem, turut terlibat adalah peguam Renaud Semerdjian dan William Bourdon selaku peguam utama. Mereka merupakan wakil bagi pihak Suaram Malaysia. Permohonan untuk menyiasat telah difailkan di mahkamah Perancis pada bulan Disember tahun lalu. Siasatan akan dilakukan dari aspek rasuah dan wang umpanan terhadap DCN (dulunya dikenali DCNS).

Syarikat DCNS telah membekalkan berbagai alatan dan kenderaan perang ke beberapa buah negara termasuk angkatan laut Amerika, Australia, Chile, Norway, Pakistan, Arab Saudi, Singapura dan Malaysia.

Jadi jika siasatan dilakukan dan dakwaan berlakunya rasuah dan komisyen kepada syarikat DCN benar benar berlaku, sudah pasti ianya akan menjadi satu isu yang menggemparkan dunia. Bila ianya mula terbuka di mata dunia, sudah pasti jika ada sesuatu yang cuba ditutup akan terdedah dengan sendirinya.

Pada saat itu akan nyatalah, BANGKAI GAJAH TIDAK MUNGKIN DAPAT DITUTUP DENGAN NYIRU. Tentu kita sendiri sudah tau, siapa yang sedang berpeluh sekarang.

Indeks Kebebasan Media Merudum, Kerajaan Selangor Ulangi Komitmen

SHAH ALAM, 1 MEI: Sempena sambutan Hari Kebebasan Media pada 3 Mei ini, Kerajaan Selangor hari ini mengulangi komitmen untuk merealisasikan Akta Kebebasan Maklumat sebagai sokongan kepada kebebasan media.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri dalam keterbatasan kuasa, tetap akan membawa usul Akta Kebebasan Maklumat.

Kesal dengan indeks kebebasan media yang hanya lebih baik dari Zimbabwe dan Nigeria, Khalid percaya pelaksanaan kebebasan media memerlukan kesungguhan politik (political politic) dan kerajaan Selangor sudah membuktikan komitmen.

Kesungguhan kerajaan negeri terbukti apabila mendedahkan beberapa dokumen yang diklasifikasi mengikut Akta Rahsia Rasmi, apabila ia dikelaskan semula menggunakan peruntukan kuasa Menteri Besar Selangor.

Khalid mengakui wujud kes kebebasan media digunakan secara tidak bertanggungjawab tetapi tetap mengutamakan kebebasan meaid sebagai pemantau sistem eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Namun, beliau yakin media yang bebas dapat membantu kerajaan meningkatkan prinsip yang didukung kerajaan negeri iaitu urus tadbir yang baik, telus dan bertanggungjawab.

Mengikut indeks yang dikeluarkan Reporters Without Borders, prestasi kebebasan media di Malaysia pada 2009 menunjukkan kedudukan negara ini kian merosot iaitu 39.05 mata kepada 44.25 mata.

Ini bermakna kedudukan Malaysia hanya lebih baik daripada Zimbabwe dan Nigeria sahaja, itu pun dengan lebihan dua mata sahaja.

Bagaimanapun, prestasi Malaysia meningkat satu anak tangga dari 132 pada tahun 2008 kepada kedudukan 131 pada tahun 2009.

Perangkaan organisasi antarabangsa itu bukan sesuatu yang mengejutkan rakyat Malaysia lantaran sekatan ke atas media di negara ini semakin lama semakin mencengkam.

Terbaru, penerbit di stesen NTV7, Joshua Wong meletak jawatan berikutan tekanan politik kerajaan Malaysia termasuk peranan yang didakwa didalangi Datin Seri Rosmah Mansor.
-tvselangor-

Politik Dalam Masjid

nik mohamad abduh bin nik abdul aziz

Pilihan raya kecil Hulu Selangor meninggalkan satu polemik yang terus dipanjangkan sehingga hari ini iaitu perihal berpolitik di dalam masjid, boleh atau tidak? Halal atau haram?

Apabila pihak istana yang menjadi payung kepada ugama di negara kita turut campur tangan, ianya mestilah dipandang serius supaya satu ketetapan bersama dipersetujui oleh parti – parti politik yang terlibat dengan masjid dan ugama Islam. Jika tidak, ia akan mencipta suasana muram dan keluh kesah di kalangan masyarakat Islam yang masjid adalah tumpuan kehidupan beragama mereka

Mungkin untuk mencapai itu adalah susah dan sukar kerana perbezaan politik yang ketara di antara dua parti utama umat Islam iaitu PAS dan UMNO. Tetapi demi keharmonian masjid sebagai tempat ibadah dan penyatuan, usaha perlu digandakan oleh pihak di atas dan hasilnya pasti ada pada tahap dan masanya.

Jauhnya beza golongan Sunni dan Syiah tidak menghalang usaha taqrib yang cuba mendekatkan di antara mereka. Ia sukar tetapi wacana itu mesti wujud dan diteruskan demi hujjah dan keterangan sesama umat Islam.

Saya yakin berdasarkan titah Sultan Selangor bahawa larangan itu bermaksud suasana cerca - mencerca, tuduh – menuduh dan tuding – menuding terhadap individu ahli politik di dalam masjid yang boleh mencetuskan rasa kurang senang dan perpecahan di kalangan anggota jamaah masjid. Oleh kerana ia melibatkan isu – isu politik dan kepartian, maka wujudlah larangan berpolitik di dalam masjid.

Saya kira ia larangan kepada keadaan yang khas dan semacam itulah arahan yang datang dari hampir seluruh istana di Malaysia termasuk Istana Kelantan. Keadaan yang khas adalah apabila ianya membabitkan serangan terhadap individu dan parti – parti politik.

Politik adalah daripada Islam. Pertama, kerana Islam adalah menyeluruh pengajarannya. Maka adalah terlalu dangkal memisahkan politik daripada agama sedang ia adalah meliputi sebahagian besar kehidupan mnusia. Kedua, politik bermaksud, pada faham yang paling awal, pengurusan kuasa. Kuasa di rumah sampailah negara dan masyarakat antarabangsa. Maka adalah terlalu pelik jika Islam dipisahkan daripada kuasa kerana ugama tiada mungkin dapat ditegakkan tanpa kuasa. Ketiga, politiklah yang menggerakkan kewajiban agung umat iaitu berjihad di jalan Allah. Ia dimulakan oleh pemerintah atau imam. Bagaimana dibayangkan imam dan pemerintah tanpa kuasa dan politik?

Banyak lagi sebab dan kerana..

Jika begitulah pentingnya politik di dalam Islam dan jika begitu mudah sekali kita mengenali kepentingan masjid di dalam Islam, maka bagaimana kita boleh membayangkan satu suasana kehidupan Islami yang memisahkan di antara masjid dan politik?

Anda berhak bertanya mufti kerajaa negeri Perak, mengapa ketika kita telah sama – sama bersetuju memecat selipar di tangga sebelum mamasuki masjid, dia pula turut memecat politik ditangga masjid kerana baginya politik sekotor selipar?

Anda berhak bertanya beliau yang merupakan mufti pengharam politik yang paling banyak bercakap politik itu, mengapa beliau mengamalkan Islam yang begitu sukar itu untuk difahami, malah memalukan sekali memahami Islam seperti itu?

Anda berhak bertanya kerana kesukaran itulah yang memecah – belahkan umat itu memahami Islam yang benar dan asli. Tidakkah beliau sedar bahawa senjata utama barat semenjak ratusan tahun dulu untuk memecah – belahkan kesatuan umat adalah dengan menyebarkan faham politik suku ugama suku?

Begitu contoh dan gambaran bagaimana jika larangan berpolitik di dalam masjid difahami secara yang salah, maka ia akan menambahkan parah dan kesakitan yang menimpa umat hari ini.

Kita membiarkan media cetak dan elektronik dikuasai tentera iblis menyebarkan faham sekular mereka dalam saat kita turut mengharamkan masjid milik kita daripada bercakap, bahkan mesti diam dan membisu!

Tidak mungkin inilah fahaman istana yang menjadi payung agama dan negara.

Tetapi inilah fahaman UMNO yang cuba menggunakan dan berselindung di sebalik istana.

PAS dan UMNO, di sinilah garis pemisahan yang menyusahkan di antara mereka. PAS menegakkan asas beragama manakala UMNO bermatian meruntuhkan asas dan membina di atasnya tiang kepalsuan dan kekhurafatan.

Politik tak sama dengan parti. Ibrahim Ali berpolitik dan masuk parlimen tanpa perlukan parti. Tetapi sebuah kekuatan politik takkan berlaku tanpa sebuah kesatuan parti yang menggerak dan menjayakan matlamat perjuangannya. Sekadar melompat meniru katak, tiadalah nilainya dalam membela umat dan agama.

Saya menyeru kepada dua;

1) Memahamkan UMNO bahawa memisahkan politik daripada ugama adalah haram. Begitulah memisahkan masjid daripada politik.

2) Memahamkan segelintir para ustaz dan pejuang PAS bahawa mencerca, menuduh dan menyerang individu di dalam masjid adalah tidak beradab, tidak berhikmah dan tiada untungnya untuk perjuangan. Dakwah tanpa hikmah ibarat hidangan nasi tanpa lauk. Hasilnya, tutuplah kedai makan anda. Takkan datang pengunjung.

Istana boleh memainkan peranan yang maha mulia ini.

Masjid adalah syiar kesatuan umat menuju Allah. Takkan sampai kepada Allah ahli masjid yang salah memahami pengajaran ugamanya. Ajaran UMNO takkan menyampaikan rakyat Malaysia kepada ridha Allah.

Disco Rimba Merebak di Beberapa Daerah Di Kelantan?

Mohd Sayuti Omar

HIBURAN merupakan fitrah dalam kehidupan. Sesiapa pun mahukan hiburan dan memerlukan hiburan. Hiburan adalah makanan batin. Islam sendiri tidak menghalang hiburan. Tetapi hiburan itu mestilah menempati syariah dan membawa maksud dakwah kepada manusia. Hiburan yang boleh memberi kesegaran jasmani dan rohani. Kalau hiburan kering dengan unsur-unsur dan peranan demikian ia merupakan hiburan yang batil dan akan membawa kemudaratan.

Peringkat awal Pas memerintah Kelantan segala bentuk hiburan bertentangan dengan syariah, yang mendedahkan kepada maksiat diharamkan. Segala konsert terbuka tidak dibenarkan diadakan. Larangan ini menyebabkan timbul sungutan secara senyap oleh penggemar hiburan hedolisme.

Bukan itu saja, persembahan permainan tradisional Mak Yong, Dikit Barat dan Wayang Kulit juga tidak dibenarkan pada awalnya. Larangan ini menimbulkan polemik dan kritikan oleh budayawan dan peminatnya. Tetapi kelonggaran akhirnya diberi, persembahan permainan tradisional itu dibenarkan selagi ia tidak mempunyai unsur-unsur kurafat dan maksiat.

Misalnya larangan persembahayan wayang kulit yang mempunyai jampi dan mentara bersifat pemujaan roh dan benda, demi menjaga kerjernihan iman dan jiwa rakyat Kelantan.
Dikir Barat yang tidak mencampurkan lelaki dan perempuan dihalalkan. Bagaimana pun penyanyi dikir barat dari kalangan perempuan diharamkan. Tetapi anihnya CD atau VCD nyanyian dikir barat oleh perempuan bebas dan berlambak di jual di pasar-pasar dalam negeri Kelantan.

Seperti dijelaskan tadi peringkat awal larangan ini menimbulkan masalah. Ketegasan dalam hal ini menimbulkan masalah kepada pencari dan pendahaga hiburan. Ia menjadi masalah bila mana tidak ada hiburan alternatif yang disediakan. Perkara ini disedari oleh pihak berkuasa negeri Kelantan maka hiburan alternatif dibenarkan seperti persembahan nasyid kontemporari, atau persembahan dari penyanyi jantan hatta penyanyi rock dibolehkan.

Atas kelonggaran dan sebagai menyediakan hiburan alternatiflah maka johan Akademi Fantasia, Asmawi Ani dibawa ke Kelantan. Kedatangan Mawi memecah kebisuan berhubung hiburan sejak Pas memerintah Kelantan.

Boleh dikatakan Mawi telah merintis jalan memberi hiburan alternatif di Kelantan. Selepas kedatangan Mawi – yang juga boleh dipertikaikan kejernihan bentuk hiburannya, ia diikuti oleh beberapa penyaanyi jantan lain yang dikatakan sudah berubah dan insaf untuk mendekati Islam.

Serentak itu juga artis yang bertudung dan tidak menjolok mata datang ke Kelantan dan bertemu denghan Tok Guru Nik Aziz. Nik Aziz juga turut memberi sokongan dengan sedia menghadir ke majlis kelolaan mereka seperti merasmikan premis perniagaan artis berkenaan.
Exco Kelantan juga tidak malu-malu untuk duduk semeja dengan artis popular menjadi pujaan sejuta jantan untuk minum pagi atau menyampaikan cederamata kepadanya.

Semua hiburan itu masih terkawal dengan baik. Kerajaan Kelantan masih dapat menjaga dasar dan mempertahankan polisi hiburannya berteraskan kesedaran dan keinsafan insan.

Persembahan atau konsert masih berjalan dalam suasana tertib walaupun limpahan yang berlaku kadang-kadang menyebabkan masalah pencampuran lelaki dan perempuan tidak dapat di atasi. Contohnya limpahan dalam konsert Jom Heboh anjuran TV3 baru-baru ini. Tetapi itu bukan kehendak kerajaan negeri tetapi berlaku tanpa diminta. Jadi kerajaan negeri tidak berdosa dalam hal ini. Syukran!

Tetapi apakah pihak kerajaan negeri tahu mengenai satu wabak baru yang sedang menunas di Kelantan ketika ini. Wabak yang dimaksudkan itu ialah
Disco Rimba sedang berkembang dan membiak tanpa ada kawalan. Buat masa ini ia aktif di tiga buah daerah di negeri itu; Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat. Katanya kawasan yang menjadi tumpuan ialah di Dun Bukit Tuku, Gual Periok dalam parlimen Rantau Panjang, dan Dun Chetok dalam parlimen Tanah Merah.

Disco rimba ialah majlis tari menari ala disco dan ronggeng atau joget lambak. Ia diadakan di kawasan-kawasan terpencil dan sunyi di kawasan disebutkan tadi ataupun di laman rumah yang jauh dengan orang ramai. Kegiatan ini digerakkan oleh sebuah kumpalan yang namanya seolah-olah mencerminkan sebuah badan kesenian tradisi Kelantan.

Budaya ala-ala hipis kampung ini katanya sudah lama berjalan. Sejak lebih dua tahun lalu. Mereka yang menjadi pelangganya ialah golongan veteran, dan remaja yang suka berpeleseran dan dahagakan hiburan jahiliah. Tetapi apa yang mengejutkan kanak-kanak juga turut sama dilihat dalam majlis berkenaan. Apakah mereka dibawa ataupun dijadikan umpan?

Beberapa keping gambar yang dipaparkan ini menjelaskan akan keliaran dan kejahilan serta penglibatan kanak-kanak dalam majlis berkenaan.

Untuk menganjurkan disco rimba ini ia tidak memerlukan perkakas IT yang moden dan canggih. Ia cukup sebuah kaset dan pembesar suara. Peralatan lain ialah dua buah lampu kalimantang digantung ditiang kayu. Pengelolanya akan menyediakan wanita untuk dijadikan pasangan menari dan berjoget dengan bayaran seringgit dua. Mana-mana pelanggan atau pengunjung yang ada pasangan boleh membawa pasangan masing-masing.

Waktu operasinya ialah menjelang tengah malam dan hingga ke dini hari. Untuk mengadakan kegiatan ianya dibuka kepada sponsor dengan dikenakan bayaran RM500 untuk satu malam. Orang tertentu termasuk yang dikatakan mempunyai kuasa politik dikatakan turut menjadi sponsor kepada kegiatan ini.

Tidak dapat dipastikan apakah kegiatan disco rimba ini ada dalam pengetahuan wakil rakyat atau pun tidak. Sekiranya ia diketahui wakil rakyat dan mereka mendiamkan saja, betapa keji dan menyesalkan. Sekiranya mereka belum mengetahuinya dengan pendedahan ini bolehlah wakil rakyat, penghulu, penyelia mukim, ataupun mana-mana pihak membuat intipan untuk membenteras kegiatan ini.

Kerajaan Kelantan juga jangan melengah untuk mengambil tindakan bagi membenteraskan kegiatan ini. Dengan membiarkan lebih lama, menjadikan ia berkembang ke daerah lain pula dan akan timbul persepsi di kepala orang ramai kegiatan berkenaan dibenarkan. Sekiranya majlis agama, polis ataupun Ngo-Ngo anti maksiat takut untuk mencegahnya saya cadangkan supaya pihak Istana Kelantan sendiri mengambil tindakan mengenai kegiatan ini.

Apa lagi Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sekarang ini begitu mengambil berat kepada hal-hal keakhiratan, maka wajar kalau Tuanku turut bertitah menasihat supaya kegiatan ini dihentikan ataupun kerajaan Kelantan dapat menyediakan satu mekanisme bagaimana untuk menjadikan kegiatan haram dan maksiat seperti disco rimba itu ditukar kepada kegiatan halal dan diredhai Allah. Apa yang penting semua pihak kena menyedari bahawa hiburan adalah fitrah bagi mahluk yang hidup!