"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir sedih Muhyiddin pilih Najib, tak pilih dia

Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad berkata Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri kerana beliau memilih untuk bekerjasama dengan Najib Razak, berbanding dirinya.

"Bila saya tak setuju dengan dia pasal kerjasama dengan Najib, dia (Muhyiddin) pilih Najib dan tak pilih saya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah.

Dr Mahathir dalam ucapannya turut menyentuh mengenai bagaimana kerajaan kleptokrat pimpinan Najib dikalahkan rakyat pada PRU14.

Bagaimanapun, katanya selepas tewas PRU14, Najib memainkan isu-isu perkauman, mendakwa dirinya membela orang Melayu yang ditindas orang Cina, khususnya DAP.

Menurut Mahathir, pada mulanya pimpinan PAS didekati tetapi masih tidak mencukupi kerana pihak berkenaan memerlukan pimpinan Bersatu.

Dr Mahathir juga mengulang dakwaan kerajaan PH runtuh kerana pada saat genting kemelut politik tempoh hari, PH menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri manakala Muhyiddin pula sanggup bekerja sama dengan Najib dan pemimpin Umno lain yang sedang berhadapan tuduhan rasuah di mahkamah.

"Tiba-tiba PH namakan Anwar, saya kalah. Dia pun kalah. Dua-dua tiada majoriti

"Saya dikalahkan disebabkan PH tidak sokong saya. Saya pun terima lah.

"Setelah PH tolak saya dan namakan Anwar sebagai PM, tapi mereka ada sokong balik saya tapi terlewat lah.

"Kerana tindakan PH tolak saya dan saya juga tak sanggup kerjasama dengan Najib dan geng-geng dia, maka hari ini yang menjadi perdana menteri ialah Muhyiddin Yassin," jelasnya lagi.

Menurut Mahathir, pemimpin mahu beliau menolak PH dan Muhyiddin tidak sabar menunggu.

"(Kata Muhyiddin kepada saya) masanya adalah sekarang, kita keluar PH dan membentuk kerajaan Melayu.

"Malah kerja sama dengan PAS, saya fikir okay lah, tapi kerja dengan Umno? Kita baru kalahkan mereka dan kerajaan kleptokrat mereka. Kerja sama dengan Najib, musuh, saya tak sanggup.

"Tapi Muhyiddin sanggup kerja sama dengan Najib, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Azeez Abdul Rahim, Rosmah (Mansor). Macam mana saya nak kerja dengan mereka, ramai di antara mereka sedang dalam perbicaraan kes rasuah?" Soalnya.

Dr Mahathir juga mengenang peribahasa "bersatu teguh, bercerai roboh" yang ingin digunakan di dalam lagu parti ketika mahu menubuhkan Bersatu dahulu.

"Tapi yang bercerai ialah Muhyiddin.

"Pasal pilih Najib dia boleh jadi PM. Saya dah jadi PM dua kali tak pa lah tak payah pun bukan saya nak yang tu sangat.

"Tapi bila kawan tikam belakang rasa pedih juga, teruk lah," katanya.

Tegas Mahathir, "dalam politik apabila orang mengkhianati janjinya kesannya tentu buruk."

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata politik tidak begitu penting berbanding dua cabaran utama yang dihadapi Malaysia sekarang, ekonomi merudum dan penularan wabak Covid-19.

"Negara kita hadapi dua cabaran besar. Ekonomi merosot dan koronavirus. Jangan ambil rendah berkenaan dengan penyakit ini, boleh ambil maut.

"Ini bukan masanya kita nak cari tempat dalam politik. Pasal kita nak hadapi dua cabaran (ekonomi merosot dan koronavirus) ini memerlukan kita tenang diri," jelasnya beliau lagi.

Keluar PH untuk kuatkan Bersatu, tapi...

A Kadir Jasin

erita ini panjang kerana mustahil boleh diceritakan dengan ringkas.

Jalan cerita atau naratif penyokong Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu mengandungi beberapa elemen. Antaranya:

1. Bersatu mesti menjadi parti Bumiputera-Melayu terbesar di Malaysia dengan mengambil alih peranan Umno yang sudah rosak;

2. Bersatu tidak boleh menarik sokongan Bumiputera-Melayu selagi bekerjasama dengan DAP dalam PH dan sedikit sebanyak dengan PKR kerana ia mempunyai perwakilan bukan Melayu yang besar;

3. Bersatu wajib keluar PH bagi menyelamatkan Dr Mahathir daripada dihina oleh penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu beliau segera menyerahkan kuasa kepada idola mereka; dan

4.DAP tidak boleh dipercayai untuk menyokong dan mempertahankan Dr Mahathir.

Oleh sebab ramai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mentah dalam politik tetapi bercita-cita tinggi atau tamak (atau kedua-duanya sekali), mereka percaya kepada naratif di atas.

Maka dalam mesyuarat MPT 23 Februari, mereka tidak peduli lagi penjelasan dan rayuan tuan tubuh, iaitu Tun Dr Mahathir, bahawa beliau mempunyai sokongan Majlis Presiden PH.

Oleh sebab itu, Dr Mahathir merayu agar ahli MPT tidak tergesa-gesa mengambil keputusan keluar PH.

Penjelasan beliau mengenai keputusan Majlis Presiden PH dalam mesyuarat 21 Februari yang memberikan sepenuh mandat dan kepercayaan kepada beliau untuk mentadbir sehingga selepas Sidang Kemuncak APEC dan menyerahkan kepada beliau menentukan tarikh peralihan kuasa selepas itu, tidak diendahkan. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Hakikat bahawa Dr Mahathir tidak berbohong atau memberikan interpretasi yang salah semakin terbukti selepas Bersatu keluar PH dan kerajaan PH roboh.

Mencurah air di daun keladi

Beberapa orang pemimpin PH telah mula bercerita di media massa bagaimana, menjelang tengah malam 29 Februari, apabila Dr Mahathir kembali menjadi calon PM, telah diputuskan yang Anwar bersedia untuk tidak menyertai Kabinet dan Lim Guan Eng sama ada digugurkan atau tidak lagi menjadi Menteri Kewangan.

Maksudnya, terdapat tolak ansur yang luas di kalangan pemimpin PH di mana Dr Mahathir diberikan ruang untuk bertindak supaya PH terus mempunyai majoriti di Parlimen.

Tapi penjelasan Dr Mahathir kepada MPT Bersatu pada 23 Februari umpama mencurah air ke daun keladi.

Maka terpahatlah tarikh itu sebagai hari pengkhianatan, mabuk kuasa dan strategi hambar oleh majoriti ahli MPT.

Rayuan Dr Mahathir pada mesyuarat itu mudah saja: “Jangan paksa saya langgar prinsip saya. Jangan halang saya tunaikan janji saya.” Itu pun tidak dihiraukan.

Seolah-olah dirasuk syaitan, majoriti ahli MPT menekan dan membantah sehingga Setiausaha Politik Dr Mahathir ketika itu, Muhammad Zahid Mat Arip, menepuk meja dan berkata “buat kali pertama saya menyokong Tan Sri Muhyiddin.”

Adalah diketahui umum bahawa Zahid bukan saja tidak sukakan Muhyiddin malah sering mempersendakan Presiden Bersatu itu.

Selapas Bersatu keluar PH, adakah ia lebih kuat dan dihormati? Adakah orang Melayu berduyun-duyun menyertainya? Adakah Umno yang rosak itu kini hancur lebur?

Apakah penyingkiran Adun Bersatu, Sahruddin Jamal, sebagai Menteri Besar Johor dan digantikan oleh Adun Umno tanda kekuatan dan kejayaan Bersatu selepas keluar PH?

Atau memang strategi Muhyiddin dan para penyokongnya hendak menyerah balik Johor kepada Umno?

Kuat dan berani?

Kalau Bersatu kuat dan “Perikatan Nasional” kuat mengapakah tidak umumkan berapa orang ahli Dewan Rakyat yang tandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin?

Kalau kuat kenapa takut ke Parlimen sehingga memaksa sidang ditunda daripada 9 Mac kepada 18 Mei?

Kalau Bersatu kuat dan dihormati, mengapakah Adun Bersatu ditendang macam anjing kurap oleh Umno di Melaka?

Nampaknya Umno tetap Umno – hegemonik – dan Bersatu jadi lembu dicucuk hidung. Kalau orang Umno mengenang budi, tentulah mereka iktiraf jasa bekas Adun Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen, yang bermati-matian mahu Bersatu keluar PH sehingga ada orang berkata kerana dia dijanjikan jawatan Ketua Menteri oleh Umno.

Di Perak belum tentu apa akan jadi. Buat masa ini Bersatu telah hilang kerusi MB. Adun tunggal Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang menjadi MB sejak PH menang, juga mahu Bersatu keluar PH.

Tapi dia main kayu tiga. Sehingga saat akhir, iaitu pagi Ahad, 1 Mac dia masih kelihatan di kediaman Dr Mahathir di Mines, Sungai Besi. Tetapi selepas itu hilang dan tidak lagi muncul bersama Dr Mahathir. Dia ini juga “budak” Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu.

Rupa-rupanya dia mengidamkan atau dijanjikan jawatan menteri pusat kerana dia juga ahli Parlimen. Sekarang khabarnya nama dia tidak ada dalam senarai Kabinet maka dia pun cuba berjalan balik ke Ipoh. Ini pemimpin PH Perak yang bagi tahu.

Jadi Bersatu yang dijanjikan akan lebih kuat setelah keluar PH sudah hilang jawatan MB Johor (negeri Presiden Bersatu), Adunnya di Melaka dibuat macam sampah, hilang jawatan MB Perak dan belum tahu lagi apa akan terjadi di kabinet dan di negeri-negeri lain.

Dulu, walaupun tidak menang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Bersatu dapat juga banyak jawatan Kabinet, exco dan menteri besar. Hal ini bukan kerana Bersatu kuat, tetapi parti itu dihormati di bawah pimpinan Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri.

Sekarang bukan Ahli Parlimen, Exco dan Adun Bersatu sahaja yang rugi akibat perbuatan cetek akal ini, tetapi semua orang yang dilantik oleh Bersatu dan PH ke pelbagai jawatan juga mungkin hilang kedudukan kepada orang Umno dan PAS.

Tak tahulah kalau Muhyiddin dan ahli MPT yang beria-ia sangat mahu Bersatu keluar PH ada jampi azimat ala tikar terbang “zam zam alakazam” Almarhum P Ramlee untuk terbang ke angkasa lepas.

Atau mereka sangka apabila pintu gua terbuka dengan jampi “niat insun mata aji semar ngiseng” maka bertimbun harta karun yang boleh dikaut untuk memuaskan nafsu tamak haloba.

Satu saja mereka kena ingat. Silap-silap yang mereka temui ialah "ngiseng" (najis air besar). Wallahuaklam. Terima kasih.

PN dah dibincang berbulan-bulan - Najib

Malaysiakini
Perbincangan mengenai pembentukan Perikatan Nasional telah dilakukan lebih awal, menurut bekas perdana menteri Najib Razak, lapor Reuters.

Najib dipetik Reuters pada Rabu berkata "perbincangan mengenai gabungan baru telah berlangsung selama berbulan-bulan."

Reuters turut melaporkan perancangan politik yang membawa kepada Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri telah bermula beberapa bulan dahulu dengan pengetahuan beliau yang juga pengerusi Bersatu.

Rancangan itu menyasarkan untuk menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri, menurut ramai sumber yang memberitahu Reuters.

Bagaimanapun, semua perancangan itu tidak menjadi, kata sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai pertukaran kerajaan tersebut kepada Reuters tetapi enggan dinamakan "kerana perkara berkenaan sensitif."

Susulan kemelut politik itu, Dr Mahathir telah dikalahkan rakan dan sekutu rapatnya, termasuklah Muhyiddin Yassin yang mengambil alih jawatan perdana menteri.

Beliau juga dilaporkan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Salah satu sumber yang rapat dengan Muhyiddin dipetik Reuters berkata, "matlamat utamanya ialah untuk semua orang menghalang Anwar."

Reuters juga melaporkan sumber berkata: "Muhyiddin dan Mohamed Azmin Ali, ketika itu anggota parti (PKR pimpinan) Anwar berhubung dengan pembangkang Umno dan PAS bagi meneroka kemungkinan peluang penjajaran (baru politik)."

Berdasarkan rancangan asal, langkah menyekat Anwar ini dikatakan akan bermula selepas Sidang Kerjasama Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada November depan.

Persoalan mengenai peralihan kuasa perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar akan ditentukan di parlimen dan dijangka presiden PKR itu tidak akan mendapat undi majoriti ketika sidang Dewan Rakyat, kata laporan itu lagi.

Bagaimanapun, Mahathir enggan bekerjasama dengan semua pemimpin Umno, khususnya Najib yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Jurucakap Mahathir, Muhyiddin, Anwar dan Azmin bagaimanapun enggan mengulas permintaan Reuters untuk mendapatkan penjelasan mengenai hal ini.

Masih ada sangkaan baik buat Muhyiddin?

AHMAD LUTFI OTHMAN
Marah. Terkejut. Dikhianati. Pelbagai rasa bercampur-baur bila kerajaan PH tumbang susulan Bersatu keluar Pakatan Harapan, geng Azmin Ali dalam PKR bersekutu dengan BN-Pas dan Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri secara tiba-tiba tanpa berunding dengan rakan-rakan Kabinet.

Seterusnya kita menyaksikan mandat rakyat yang bertindak berani menumbangkan BN pada PRU14 hanya jadi bahan dagangan tawar-menawar demi kepentingan diri dan mengisi tembolok masing-masing.

Hingga akhirnya pemilihan Muhyiddin Yassin oleh Yang di-Pertuan Agong pun dipersoalkan ketelusannya. PH mendakwa mempunyai cukup bilang dan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Proses serta kaedah membilang sokongan wakil rakyat dipertikai dan ada risiko terdedah kepada manipulasi. Mungkin juga sokongan bertambah kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri datang lewat selepas Agong sudah membuat keputusan. Baginda bertindak berdasarkan maklumat di atas mejanya ketika itu.

Bagaimanapun, seperti diduga, sidang Dewan Rakyat sendiri ditangguhkan lebih dua bulan atas arahan perdana menteri, mungkin bagi memberi ruang masa untuk “membeli” sokongan. Ya, masa dilihat memihak Muhyiddin. Kes di Dun Johor boleh dijadikan rujukan.

Tanpa pengesahan rasmi Parlimen, wibawa Muhyiddin jelas tempang. Dunia dan masyarakat antarabangsa memandang sinis perkembangan ini; Kudeta Tanpa Darah.

Secara peribadi, meskipun cukup kecewa dengan langkah Muhyiddin, saya tidak mahu untuk turut menyebut hal-hal buruk mengenainya, terutama cerita masa silam. Setiap orang ada sisi negatifnya, ada salah-silapnya.

Muhyiddin mencipta imej positif bila bangkit menentang Najib Razak dalam skandal mega 1MDB. Rela mempertaruh kedudukan istimewa sebagai TPM. Ada pihak mendakwa Muhyiddin terlibat dalam usaha untuk mendakwa Najib di mahkamah demi kepentingan politiknya waktu itu. Jika Najib terpaksa mengosongkan jawatan PM, tentulah Muhyiddin sebagai penggantinya. Tapi Najib bertindak nekad, termasuk membuang Peguam Negara yang dikatakan sudah merangka pertuduhan jenayah terhadapnya.

Bagi saya, apa pun motif Muhyiddin mendedahkan korupsi Najib, ia masih langkah berani dan terpuji. Sekurang-kurangnya membantu memperkukuh momentum gerakan menjatuhkan kerajaan kleptokrasi di kala itu. Juga melebarkan wilayah sokongan di luar kawasan tradisi pembangkang.

Saya sebenarnya pernah membayangkan Muhyiddin adalah calon PM Pakatan Harapan, sebelum nama Mahathir dicalonkan secara rasmi. Pengalaman memihak kepadanya. Juga tiada rekod keji yang menjolok mata. Mungkin personalitinya tidak kelihatan sekuat Mahathir dan Anwar, tetapi siapa lagi pilihan selain Muhyiddin, semasa Anwar dipenjarakan dan Mahathir dilihat terlalu lanjut usianya.

Nama Muhyiddin kemudian timbul kembali dalam kotak fikiran saya selepas menyedari pertembungan tajam di antara kem Mahathir-Anwar dalam proses peralihan kuasa yang rumit itu. Bagi saya perlu ada kompromi atau jalan tengah yang lebih harmonis. Saya cukup tidak selesa dengan perdebatan terbuka polemik ini.

Walaupun Anwar dan Mahathir sendiri seperti boleh bertolak-ansur tetapi kumpulan masing-masing kadang-kadang macam sudah mengisytiharkan perang terbuka. PH nampak semakin dilemahkan dalam keadaan kritikan ke atas pentadbiran PH bertambah hebat, khususnya serangan pembangkang yang dibungkus sentimen keagamaan-perkauman.

Peralihan perdana menteri sesama Umno tidak sangat menimbulkan masalah tapi kali ini kita diuji dengan transisi membabitkan parti berbeda, Bersatu dan PKR. Dua parti ini dalam diam sedang bertarung untuk menjadi parti paling berpengaruh dalam PH.

Saya dapat faham keresahan ahli-ahli Bersatu — parti yang muda, belum berkuku dan mempunyai wakil rakyat yang kecil — tentang masa depan parti itu selepas Mahathir bukan lagi perdana menteri. Dalam sistem dan tradisi kita jawatan perdana menteri datang bersama senarai kuasa, pengaruh dan keistimewaan yang melimpah ruah. (Dan senarai panjang ini sepatutnya dicantas dan diagihkan selaras agenda reformasi yang diperjuangkan).

Saya teringat pidato Mahathir di Langkawi, pada malam hari mengundi PRU14, iaitu mahu membentuk kerajaan yang “terbatas kuasanya”. Kuasa di tangan seorang individu yang melampau boleh menjerumus ke gaung kebinasaan.

Namun nama Muhyiddin tenggelam apabila kesihatannya dikatakan merosot teruk sehingga banyak tugasan di KDN pun agak terabai. Kanser yang ditanggungnya cukup serius.

BERSAMBUNG….

MB 'gagal dihubungi', hala tuju Perak jadi tanda tanya

Malaysiakini
Sudah hampir dua minggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan hampir seminggu Muhyiddin Yassin secara rasmi menjadi perdana menteri kelapan Malaysia.

Johor sudah bertukar tangan, Melaka semakin hampir - kecuali berlaku lagi perkara melompat parti - untuk mengalami nasib sama.

Kedah dapat difahami bertahan lagi kerana kedudukan menteri besar dipegang oleh anak Dr Mahathir Mohamad.

Namun Perak seakan-akan tidak berada dalam radar pemerhati tegar politik. Bersatu mempunyai kedudukan sangat istimewa di Perak.

Hasil pilihan raya umum (PRU) ke-14, Ahmad Faizal Azumu menjadi satu-satunya calon Bersatu yang berjaya mendapat tempat dalam DUN Perak. Itu pun menang kerusi DUN Chenderiang dengan kelebih 39 undi saja.

Namun atas semangat kerjasama dan persefahaman PH, Ahmad Faizai - yang dipanggil Peja oleh kebanyakan orang - dilantik menjadi menteri besar.

Dua puluh lapan Adun lain - termasuk DAP yang memiliki 18 kerusi - sepakat memberi sokongan.

Sahabat dunia akhirat

Dengan perubahan kerajaan ekoran 'Langkah Sheraton', sepatutnya Perak menjadi negeri terawal untuk berpindah milik kepada Umno. Namun sehingga kini keadaan masih belum jelas.

Pada masa sama, Ahmad Faizal dilaporkan 'menghilang' dan gagal dikesan oleh kebanyakan orang.

Menurut sumber banyak pihak cuba menghubungi Adun Chenderiang itu namun gagal. Malah, katanya, difahamkan panggilan telefon daripada Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, juga tidak berjawab.

"Mukhriz tu macam sahabat dunia akhirat Ahmad Faizal, pun tak berjawab," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sumber itu yang enggan didedahkan identitinya menambah anak bekas exco Perak itu dipercayai sedang berkira-kira sama ada mahu mengalah atau terus mempertahankan kerajaan PH.

"Difahamkan beliau ada berjumpa Mahathir dan pengerusi Bersatu itu menasihatkan Ahmad Faizal kekal bersama PH," katanya.

Seorang sumber lain pula menambah, isteri Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, terkejut apabila mengetahui Ahmad Faizal bertemu Muhyiddin Yassin selepas kerajaan PH jatuh baru-baru ini.

"Siti Hasmah dah anggap Ahmad Faizal tu macam anak sendiri dan beliau rasa terkilan dengan tindakan menteri besar Perak itu.

"Sepatutnya menteri besar pertahankan kerajaan PH dan ambil kira perasaan Mahathir dan Siti Hasmah," katanya.

Pada masa sama, sumber itu memberitahu, usaha memujuk sedang giat dijalankan melalui pihak tertentu yang dipercayai mempunyai akses kepada Ahmad Faizal.

Terlalu mengepung

Katanya, nasib kerajaan PH Perak kini banyak bergantung kepada sikap Ahmad Faizal serta dua Adun lain yang mempunyai hubungan rapat dengannya.

Sumber dalam Bersatu itu juga menambah, krisis yang berlaku sejak akhir Feb lalu juga membawa 'rahmat' tersendiri buat parti itu dan Ahmad Faizal.

"Menteri besar dan pegawai-pegawai beliau perlu mengambil iktibar agar lebih mesra dengan pihak akar umbi, penyelaras DUN yang dilantik serta ahli parti.

"Sebelum ini penyelaras DUN atau pemimpin Bersatu peringkat bahagian dan cawangan selalu terpaksa mengadu kepada exco dari Amanah, DAP dan PKR.

"Nasib baik mereka sangat membantu dan melayan kami," katanya yang mendakwa, hanya ada sekali dapat berjumpa Ahmad Faizal sejak kira-kira 20 bulan lalu.

Kata sumber itu, sesetengah pegawai Ahmad Faizal terlalu 'mengepung' menteri besar berkenaan daripada berjumpa pemimpin akar umbi atau menyalurkan maklumat yang kurang tepat.

"Jadi apa yang berlaku sekarang sepatutnya dijadikan titik untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran.

"Sebab itu kami masih memujuk beliau untuk kekal bersama PH," katanya.

Sementara itu sumber dari Pejabat Menteri Besar Perak memberitahu Malaysiakini, sehingga hari ini kerajaan negeri masih dalam keadaan status quo.

"Hal-hal pentadbiran kerajaan negeri juga berjalan seperti biasa," katanya.

Kalau macam tu tak payah buat PRU, biar Agong lantik siapa dia suka

Hadi: Undi tak percaya PM bermakna tak percaya pada Agong
PAS menyifatkan langkah pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk membuat usul undi tidak percaya berhubung pelantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai tidak percaya kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menyelesaikan isu berkenaan secara demokratik.

"Syukur pada Allah SWT dan terima kasih pada rakyat yang telah menghadapi dengan tenang dengan damai dan aman dan kepadaYang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang telah selesaikan secara demokratik.

"Walaupun Tuanku tak terbabit politik, tetapi bila menghadapi masalah politik mestilah mengambil saluran yang betul mengikut perlembagaan.

"Mereka yang nak buat undi tak percaya (pada perdana menteri), tidak percaya pada Tuanku, tak percaya pada Yang di-Pertuan Agong, terpulang rakyat untuk menilai mereka," katanya dalam satu sidang media khas di Rusila, Terengganu, hari ini.

Pada 29 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri yang baru.

Ia selepas kemelut politik yang menyaksikan Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen dari PKR meninggalkan PH yang membawa kepada tumbangnya gabungan itu.

Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu dan membentu kerajaan Perikatan Nasional bersama BN, PAS dan GPS serta wakil rakyat bebas.

Bagaimanapun, jumlah pecahan sokongan sebenar 222 ahli parlimen masih dipersoalkan.

Selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PH akan membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri pada sesi parlimen akan datang.

Sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung 9 Mac ini, ditunda kepada 18 Mei depan.

Dalam pada itu, Hadi berkata PAS konsisten mahukan barisan menteri Kabinet yang bersih dilantik dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun kata anggota Parlimen Marang itu, parti itu menghormati perbicaraan di mahkmah yang sedang dihadapi oleh pemimpin gabungan Perikatan Nasional.

PAS juga katanya tidak mahu rakan gabungan dari Sabah, Sarawak serta bukan Islam terpinggir dalam pembentukan kabinet oleh Muhyiddin.

"Seperti saya buat kenyataan awal yang disiarkan awal oleh media dan pendirian ketika bertemu perdana menteri semalam, PAS konsisten mahu kabinet yang bersih, profesional.

"Kita berlaku adil dalam semua ini dan saya tak mahu lempar tuduhan orang itu tak boleh, orang ini tak boleh sebelum keputusan mahkamah.

"Mengikut kehakiman Islam, kehakiman barat, orang yang dituduh belum terbukti bersalah selagi mahkamah tak jatuhkan hukuman bersalah," katanya lagi.

Pada 3 Mac lalu, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob yang juga Ketua Dewan Ulama PAS berharap pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri tidak melibatkan mereka yang terpalit dengan isu atau kes rasuah.

Ia kemudiannya disusuli dengan kenyataan Hadi yang menyarankan kumpulan profesional dilibatkan untuk membantu kerajaan.

Jelasnya golongan itu diperlukan untuk meningkatkan tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.

Dr. Dzul akan kembali menerajui Kementerian Kesihatan?

'Kembali ke KKM? Pertaruhan juga tinggi untuk saya'
Geraldine Tong
Beberapa pihak, termasuk daripada kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar Dr Dzulkefly Ahmad kembali memegang jawatan menteri kesihatan.

Ketika ditanya berhubung perkara berkenaan, pemimpin Amanah itu enggan memberi respons lanjut.

"Saya mahu menunggu surat rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang maklum balas.

"Saya perlu melihat terma dan syarat terlebih dahulu, sama ada ia benar-benar 'khidmat negara'.

"Pertaruhannya juga tinggi untuk saya," katanya kepada Malaysiakini dalam mesej WhatsApp hari ini.

Dzulkefly, yang merupakan pengarah strategi Amanah, berkata demikian selepas ditanya mengenai cadangan agar beliau kembali ke kabinet, terutamanya dengan wabak Covid-19 yang berterusan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setakat ini cadangan itu hanyalah khabar angin dan dia tidak pernah mendengar cadangan rasmi.

Malaysia kini tidak mempunyai menteri, termasuk di Kementerian Kesihatan krisis kemelut politik minggu lalu menyaksikan pembentukan kerajaan baru di bawah Perikatan Nasional.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin belum lagi menubuhkan kabinet barunya.

Prestasi Dzulkefly sebagai menteri kesihatan sebelum ini mendapat pujian, terutama dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini.

Malaysia kini berdepan gelombang kedua penyebaran Covid-19 selepas jumlah kes yang disahkan di negara ini baru-baru ini melonjak kepada 55 kes.

Bekas senator Umno, Khairul Azman Harun, berkata bahawa prestasi Dzulkefly mungkin lebih baik berbanding menteri sebelumnya di Kementerian Kesihatan sekiranya beliau berkhidmat lebih lama.

Khairul kemudian menyatakan harapannya agar Muhyiddin melantik semula Dzulkefly memegang jawatan itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng juga menggesa Muhyiddin untuk melantik semula Dzulkefly sebagai menteri kesihatan.

Ahli Parlimen PKR itu menyifatkan bahawa Dzulkefly, yang memegang PhD dalam toksikologi, memainkan peranan penting dalam menyediakan kepimpinan yang sangat diperlukan dalam respons awal terhadap wabak Covid-19

PPBM terdedah kepada ambil alih oleh Umno walaupun berkuasa

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Perselisihan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Muhyiddin Yassin susulan pelantikan presiden PPBM itu sebagai perdana menteri minggu lepas mungkin membawa kepada berakhirnya parti yang mereka tubuhkan setelah keluar Umno pada 2016, kata sumber.

Mereka berkata, hanya segelintir ahli Parlimen kekal bersama Mahathir dengan tidak menyertai blok Muhyiddin yang membawa kepada pembentukan Perikatan Nasional dengan sokongan Barisan Nasional (BN), PAS dan GPS, iaitu satu “selisih besar” yang kini mengancam untuk memusnahkan PPBM.

“Masih terdapat anggota Majlis Tertinggi yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan (bekas) pembangkang,” kata sumber kepada FMT.

Pada 1 Mac, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas seminggu tanpa kerajaan di Putrajaya berikutan peletakan jawatan Mahathir sebelum itu.




Ini susulan langkah PPBM dan beberapa ahli Parlimen yang diketuai oleh timbalan presiden PKR yang dipecat, Mohamed Azmin Ali, keluar PH bagi membentuk satu kerajaan gabungan baru dalam usaha yang dikatakan bertujuan menyingkirkan DAP daripada kuasa pusat, selain menghalang cita-cita presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Mahathir pada mulanya mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan, tetapi kemudian kembali kepada PKR, DAP dan Amanah yang mencalonkan semula beliau sebagai pemimpin kerajaan PH yang dihidupkan semula.

Gabungan itu bagaimanapun gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka mendapat cukup sokongan daripada majoriti ahli Parlimen.

Sejak itu Mahathir mendakwa Muhyiddin mengkhianati beliau kerana bersetuju menerima ahli Parlimen Umno secara pukal.


Sumber parti berkata, wujud kebimbangan mengenai “pengambilalihan” PPBM oleh Umno.

Mereka menyebut tentang kewujudan kelompok “pro-Umno” dalam PPBM, yang tidak mahu parti itu mengetuai mana-mana kerajaan negeri.

Berikutan tumbangnya kerajaan pusat yang dipimpin oleh PH, Umno berjaya kembali berkuasa di kubu kuatnya di Johor apabila pengerusi Umno negeri itu Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar menggantikan pemimpin PPBM.

Sumber memberitahu FMT bahawa tumbangnya PPBM di Johor adalah satu daripada banyak “konsesi” yang dibuat oleh PPBM.

“Dalam beberapa hari ini kita menyaksikan hidangan makanan percuma yang ditawarkan oleh PPBM,” katanya.

Ia berkata, wujud kebimbangan bahawa Perikatan Nasional akan lebih menguntungkan Umno sebagai parti yang mempunyai paling banyak kerusi dalam gabungan itu.

Dalam pada itu, kebanyakan pemimpin PPBM berdiam diri berikutan krisis yang berlaku.

“Tetapi ahli akar umbi marah. Tiada hala tuju jelas,” kata sumber sama kepada FMT.

Namun, Muhyiddin, yang kini mengetuai kerajaan, tidak kelihatan akan berpatah balik.

Beliau sudah mengambil langkah untuk memperkuatkan kedudukannya dengan menangguhkan sidang Dewan Rakyat bagi menghindari percubaan rampasan kuasa oleh PH di Parlimen.

Seorang pemimpin yang setia kepada Mahathir berkata, PPBM “merosakkan diri sendiri” dengan “tergesa-gesa” bekerjasama dengan Umno.

“Kita mendedahkan parti kepada pengambilalihan menyeluruh oleh Umno.”

'Saya letak jawatan keputusan sendiri, tiada tekanan'

Malaysiakini
Latheefa Koya mengesahkan sudah meletakkan jawatan sebagai ketua ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan medianya hari ini, Latheefa berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac lalu.

"Ia keputusan saya sendiri. Spekulasi yang mengatakan saya ditekan (untuk letak jawatan) tida berasas.

"Hasrat saya adalah untuk kembali menjadi pendukung hak asasi manusia," katanya.

Tambah Latheefa, beliau bertemu dengan Muhyiddin semalam dan menjelaskan keputusannya kepada perdana menteri itu.

"Kami berbual mesra dan beliau (Muhyiddin) faham pendirian saya," katanya.

Latheefa berkata beliau juga menerangkan secara ringkas kepada Muhyiddin tentang usaha dan tindakan yang sedang dilakukan SPRM untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari luar negara.

"Beliau sangat menyokong dengan tindakan ini," katanya.

"Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan semoga berjaya kepadanya dan kerajaan baru dalam memperbaiki kebajikan dan kepentingan rakyat," tambahnya.

Kata Latheefa lagi, beliau juga sudah berjumpa dan memberi taklimat kepada timbalannya, Azam Baki seta ketua-ketua jabatan SPRM bagi memastikan penyerahan tugas berjalan lancar.

Latheefa menyatakan keyakinan teradap pegawai-pegawai SPRM.

"Saya meninggalkan jawatan saya dengan keyakinan penuh bahawa SPRM akan terus tidak dikompromi dan tanpa lelah melawan rasuah, tanpa mengambil kira kedudukan atau sokongan politik perasuah.

"Saya berterima kasih kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, rakan setugas di SPRM dan rakyat yang memberi sokongan selama saya menjadi ketua pesuruhjaya SPRM.

"Semoga Tuhan merahmati negara kita," katanya.

Peletakan jawatan Latheefa adalah yang kedua membabitkan pegawai kanan kerajaan selepas Tommy Thomas meninggalkan jawatannya sebagai peguam negara pada 28 Feb lalu.

Latheefa dan Thomas dilantik ke jawatan masing-masing selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU ke-14 pada Mei 2018.

Latheefa lepas jawatan ketua SPRM beberapa hari lalu

Malaysiakini
Lima hari selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia, tersebar khabar mengatakan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meletak jawatan.

Hal itu mula diperkatakan malam ini ekoran beberapa laporan media mengenai Latheefa Koya.

Menurut sumber Malaysiakini, Latheefa - yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM oleh Dr Mahathir Mohamad - membuat keputusan untuk meletak jawatannya beberapa hari lalu.

Bagaimanapun tidak diketahui alasan mengapa Latheefa bertindak begitu.

Peletakan jawatan itu - jika benar - adalah yang kedua membabitkan pegawai kanan kerajaan selepas Tommy Thomas meninggalkan jawatannya sebagai peguam negara pada 28 Feb lalu.

Latheefa dan Thomas dilantik ke jawatan masing-masing ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 pada Mei 2018.

Beberapa media melaporkan tugas ketua pesuruhjaya SPRM kini dipangku timbalan Latheefa, Azam Baki.

Malaysiakini sudah menghubungi Latheefa dan Azam untuk mendapatkan reaksi mereka namun setakat ini belum berjaya.

Sementara itu Sinar Harian melaporkan Latheefa mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Putrajaya pagi tadi sebelum beliau ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Najib Razak.

Kata akhbar itu, Azam akan menggantikan Latheefa mulai Isnin ini.

Sumber lain pula memaklumkan, kakitangan SPRM diberitahu ada perhimpunan khas akan diadakan di ibu pejabat agensi antirasuah itu pada 9 Mac ini.

"Semua ketua-ketua bahagian diwajibkan hadir dalam perhimpunan khas itu," katanya yang enggan dikenali.

Untuk rekod Latheefa memulakan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mulai 1 Jun tahun lalu untuk tempoh dua tahun.

Sementara itu dalam reaksi segeranya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata jika benar Latheefa meletakkan jawatannya, ia merupakan satu tamparan kepada langkah memerangi rasuah yang dijalankan kerajaan sebelum ini.

"Baru pagi tadi Latheefa berkata kekayaan melimpah Ku Nan (Tengku Adnan Tengku Mansor) akan diselidik, dan khabar angin bertiup mengenai peletakan jawatannya. Ini bukan sesuatu yang elok," ciapnya di Twitter.

Empat Adun Bersatu sokong PH Selangor selepas MB umum pecat

Malaysia Dateline
Selepas beberapa jam kesemua lima ADUN Bersatu diumum keluar dari Pakatan Harapan (PH) Selangor, mereka terbabit menyatakan pendirian untuk kekal sebagai penyokong gabungan parti yang baru ditumbangkan itu.

ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli yang mewakili kesemua ADUN Bersatu itu dalam sidang media petang tadi berkata, terpulang pada pihak kepimpinan PH Selangor untuk menilai kesetiaan atau kebersamaan mereka bersama kerajaan negeri.

Jelasnya, sokongan mereka kepada PH Selangor itu selepas berunding dan mendapatkan pandangan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir dalam sidang media itu, ADUN Kuang, Sallehuddin Amiruddin dan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar manakala ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah tidak hadir tetapi mengambil pendirian sama.

Sementara itu Sallehuddin memberitahu, mereka mungkin akan bertemu Amirudin esok bagi membincangkan kedudukan mereka serta kaedah yang boleh diambil untuk bersama kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, kata mereka, di sebalik pendirian tersebut mereka masih setia bersama Bersatu dan tidak berniat menjadi wakil rakyat bebas.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam sidang media di kediaman rasminya di Shah Alam petang tadi mengumumkan pemecatan kesemua lima ADUN Bersatu dan dua bekas ahli PKR daripada kerajaan Selangor.

Beliau berkata, peruntukan bagi tujuh wakil rakyat itu juga akan dibekukan.

Pada PRU14 lalu, Bersatu memenangi lima kerusi di DUN Selangor. Satu lagi kerusi Bersatu ialah Selat Kelang dimenangi Abdul Rashid Asari yang merupakan Pengerusi Bersatu Selangor.

Pengalaman mahal bekerja dengan 'menteri muda, mentah dan naif' Steven Sim

Steven Sim
Semalam saya menghadiri majlis perpisahan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Selepas 20 bulan menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri, kami berdua kini terpaksa meninggalkan KBS.

Ramai yang bertanya kepada saya, macam mana rasanya bekerja dengan seorang menteri yang 10 tahun lebih muda daripada saya?

Saya perhatikan sepanjang perkhidmatan kami, menteri muda, mentah dan didakwa naif itulah yang akan selalu menjadi orang pertama membangkitkan isu kebajikan atlet, orang kuang upaya (OKU), mat motor, banduan, wanita, orang susah, orang terpinggir, dan - secara amnya - golongan yang kurang dipandang masyarakat.

Itulah sebabnya, kini bekas atlet negara diberikan perkhidmatan rawatan kesihatan percuma sepanjang hayat mereka, jumlah peruntukan untuk sukan dan sukan para ditambah.

Di KBS ada program Reben Kuning. Saya sendiri pernah masuk ke penjara wanita di Kajang untuk program kementerian. Peruntukan khas disediakan untuk atlet wanita, program #MalaysiaKerja untuk membantu anak muda yang mengganggur dan sebagainya.

Menteri muda, mentah dan dikatakan naif itulah yang memberi arahan agar semua tawaran pelaksanaan projek KBS dibuat secara tender terbuka.

Ada juga pegawai kanan yang berttanya kepada saya (mungkin mereka menganggap saya lebih berpengalaman dan kurang naif?): "Macam mana semua nak buat open tender, tak praktikal."

Kakitangan KBS bukti kemampuan

Saya jawab, apabila menteri sudah memberi arahan begitu - suka atau tidak - apa yang perlu dibuat adalah melakukannya.

Kerana melalui open tender jugalah, salah satu program sukan besar kendalian KBS, Le Tour De Langkawi, dapat dijayakan dengan penjimatan lebih 30 peratus.

Kualiti pertandingan itu tetap sama, malah tahun ini, buat kali pertama dalam sejarah 25 tahun Le Tour de Langkawi, pasukan Malaysia berjaya menjadi juara dan pelumba negara, Nur Aiman Md Zariff, mencipta sejarah sebagai pemenang kategori raja bukit.

Menteri muda, mentah dan dikatakan naif itulah yang memberi banyak peluang kepada kami semua untuk menonjolkan pemikiran dan kebolehan masing-masing.

Saya diberi peluang untuk mengepalai beberapa projek KBS, antaranya, penubuhan pusat atlet, dasar perkhidmatan kesihatan percuma untuk bekas atlet negara, Fit Malaysia, program TRACK untuk menempatkan atlet dalam kerjaya kedua mereka, program Inspirasi Anak Muda (untuk pengupayaan belia berisiko), program Sekolah Rukun Negara sebagai platform memupuk perpaduan dan patriotisme anak muda dan sebagainya.

Saya ingat lagi, semasa merancang Fit Malaysia, saya membuat keputusan untuk menggunakan tenaga kerja penjawat awam KBS dalam penganjurannya.

Dalam kata lain, kita buat "in-house" dan bukan diserahkan kepada kontraktor lain seperti sebelum ini.

Ada juga suara-suara menyatakan kebimbangan: "Lebih baik kita lantik saja penganjur acara, nanti program tak cantik, menteri kena marah lagi."

Saya pun berbincanglah dengan menteri muda, mentah dan dikatakan naif itu. Lalu dia berkata: "Let us trust our own civil service". Jalan terus.

Hasilnya, kami berjaya menganjurkan program Fit Malaysia dengan kos RM300,000 sahaja di setiap negeri berbanding RM1.3 juta dahulu. Ia adalah penjimatan hampir 80 peratus.

Banyak boleh dijimatkan

Kualiti yang sama, penyertaan yang sama (25,000 peserta di Pulau Pinang, contohnya) dan yang paling best, penjawat awam kita terbukti memang hebat dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

KBS juga berjaya menghapuskan persekitaran toksik yang menyelubungi perkhidmatan awam dahulu apabila mereka jarang mendapat kepercayaan bos-bos politik untuk melaksanakan sesuatu kerja besar 100 peratus secara in-house.

Malah, apabila penganjuran Le Tour De Langkawi dibuat secara tender terbuka dan membawa penjimatan 30 peratus, ada seorang pegawai kanan KBS yang berbisik kepada saya: "Kalau buat in-house kita boleh jimat sehingga 50 peratus."

Jelas, prinsip "penjawat awam boleh" sudahpun dibudayakan dalam KBS.

Saya berasa begitu terharu, rupa-rupanya sebelum PRU ke-14, persekitaran toksik menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasan dan ia secara tidak langsung telah memburukkan tanggapan orang ramai terhadap mereka.

Apabila menteri-menteri baru memberikan kepercayaan semula kepada penjawat awam, maka mereka itu bangkit untuk menunaikan amanah dengan cemerlang.

Syed Saddiq - menteri muda, mentah dan dikatakan naif itu - juga bertekad melaksanakan pembaharuan dalam pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang bertanggungjawab, antara lain, menguruskan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dari 2014 hingga 2017 - walaupun dengan suntikan dana kerajaan RM130 juta - PSM mencatat kerugian sejumlah RM37 juta.

Pada 2017 sahaja - dengan dana kerajaan sebanyak RM43 juta - PSM kerugian RM25 juta.

Selepas PRU ke-14, pada 2018, dengan dana kerajaan sebanyak RM18 juta, PSM berjaya mencatat keuntungan RM3 juta.

Pada 2019, kerajaan memberikan dana sebanyak RM20 juta dan PSM mencatat keuntungan RM11.8 juta.

PSM diberi mandat untuk membersihkan pengurusan stadium agar aset-aset awam boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa pulangan positif kepada rakyat.

Kepemimpinan Bro Syed Saddiq membuka peluang kepada semua warga KBS - terutamanya penjawat awam - untuk menebus kembali profesionalisme mereka dan membuktikan keupayaan masing-masing dengan cemerlang.

Kami telah berkata pada awal perkhidmatan kami dulu, kami bukan pakar. Justeru, kerja kami ialah untuk memastikan ekosistem yang sesuai agar pakar-pakar sektor belia dan sukan boleh menjalankan kerja mereka.

Saya dengan bangganya boleh berkata bahawa, kerana kepemimpinan Syed Saddiqlah, kami meninggalkan KBS dengan tangan yang bersih dan nurani yang tulus serta puas.

Semoga nilai-nilai urus tadbir baik yang telah disemai akan senantiasa dihayati di KBS tak kira siapa jua yang menerajuinya.

STEVEN SIM ialah ahli parlimen Bukit Mertajam dan bekas timbalan menteri belia dan sukan.

Sudah jadi kerajaan masih otak takfiri?

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Pas bekerjasama dengan Umno dan berjaya tubuh kerajaan pintu belakang adalah aktiviti politik.

Jika tindakan itu lantaran pemimpin Pas ingin merasai nikmat jadi kerajaan di peringkat Persekutuan, itu normal sebab pemimpin Pas juga ada syahwat.

Sama ada tubuhkan kerajaan pintu belakang perbuatan salah atau betul, itu perbincangan lain.

Tetapi apabila pemimpin Pas sifatkan tindakan mereka menyamai Fath Makkah, nampaknya pemikiran takfiri masih mengakar dalam otak mereka.

Malaysia negara demokrasi. Negara ini ada institusi raja. Pembentukan kerajaan pula berlaku melalui proses pilihan raya.

Parti yang banyak memenangi kerusi berhak mendapat jawatan dalam kerajaan sebab mereka penyumbang utama kepada kemenangan dalam pilihan raya.

Jika Pas tidak puas hati dengan kemenangan DAP, mengapa dalam pilihan raya lalu Pas tidak bertanding di kerusi DAP? Kalahkan DAP di situ, selesailah masalah.

Apabila pemimpin Pas berkata, pembentukan kerajaan pintu belakang umpama Fath Makkah, adakah pemimpin Pas berkata negara ini negara musyrikin?

Pemimpin Pas sedar atau tidak bahawa negara ini ada raja dan sultan yang semuanya Muslim?
Dalam Perlembagaan jelas disebut kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Di mana asasnya pemimpin Pas menyamakan negara ini dengan Makkah pada era penguasaan musyrikin?

Kelantan dikenal Serambi Mekah bukan kerana Pas memerintah tetapi kerana wujudnya banyak pondok pengajian dan ramainya orang alim.

Tanpa Pas pun, Kelantan adalah Serambi Mekah. Tapi yalah, kalau aktiviti tubuh kerajaan pintu belakang tidak ditempel dengan label agama, apa yang Pas boleh buat?

Jika tubuh kerajaan pintu belakang adalah Fath Makkah, siapa Khalid Ibn al-Walid? Siapa Ali yang menjayakan Sulh Hudaibiah?

Siapa Umar dalam kalangan pemimpin Pas dan siapa pula Abu Bakar? Kamu mahu kata semua pemimpin kerajaan PH dahulu setaraf musyrikin Makkah? Belilah cermin dan suluhlah jerawat di muka sendiri terlebih dahulu.

PKR mahu saman 12 bekas wakil rakyatnya setiap orang RM10 juta Kow Gah Chie

Kow Gah Chie
PKR akan mengheret 12 wakil rakyatnya yang melompat parti baru-baru ini ke mahkamah dan menuntut mereka membayar RM10 juta setiap seorang, kata bendahari parti itu, Lee Chean Chung.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata saman oleh PKR itu berdasarkan dokumen undang-undang yang ditandatangani wakil rakyat berkenaan sebelum mereka diletakkan sebagai calon pada pilihan raya umum 2018.

"Kami akan menghantar kepada mereka surat tuntutan minggu depan. Mereka perlu menjawab tentang bagaimana untuk membayar RM10 juta itu," kata Lee, yang juga Adun Semambu.

"Kegagalan berbuat demikian, kami akan dakwa mereka di mahkamah. Kami akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkannya selepas menghantar surat kepada mereka," katanya.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, setiap wakil rakyat terbabit perlu membayar PKR sebanyak RM10 juta jika dipecat sebagai ahli, melompat ke parti lain atau meninggalkan parti tetapi kekal sebagai calon bebas.

Pembayaran itu perlu dilakukan dalam masa tujuh hari selepas seseorang wakil rakyat keluar atau dipecat daripada parti.

Beliau berkata PKR sedang berbincang dengan peguam untuk mengumpul semua maklumat yang relevan mengenai wakil rakyat yang berpaling tadah.

Seramai 12 wakil rakyat terbabit terdiri daripada sembilan anggota parlimen dan tiga Adun.

Anggota Parlimen terbabit adalah Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) , Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Tiga Adun berkenaan pula ialah Adun Gombak Setia, Hilman Idham, Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dari Melaka dan Adun Pemanis Chong Fat Full dari Johor.

Semua wakil Bersatu dalam k’jaan Selangor dipecat

Malaysiakini
Susulan pembentukan kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN), kesemua lima anggota parlimen Bersatu dan dua bekas ahli PKR dikeluarkan daripada kerajaan Selangor.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata peruntukan bagi tujuh wakil rakyat itu juga akan dibekukan.

Tambahnya penyingkiran juga akan dilanjutkan kepada wakil-wakil Bersatu di semua peringkat kerajaan negeri termasuk exco, ketua kampung, pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor.

“(Mereka) akan dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini.

"Pada masa yang sama, kami juga akan membekukan peruntukan mereka. Ini termasuk dua wakil bebas yang sebelum ini dipecat daripada parti (PKR), "katanya.

“Dan dalam pada masa yang sama kita juga turut membekukan semua peruntukan terlibat dengan mereka termasuk dua orang calon bebas yang telah dipecat dari parti di dalam ahli dewan ini,” katanya.

Kedua calon bebas yang dimaksudkan Amirudin adalah bekas menteri besar Azmin Ali dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediaman rasminya di Shah Alam petang tadi.

Turut hadir penyokong Pakatan Harapan (PH) dari PKR, DAP dan Amanah.

Bagaimanapun, terdapat pimpinan yang didapati tidak hadir pada sidang media tersebut dan antaranya adalah Idris Ahmad (Ijok) PKR, Rodziah Ismail (Batu Tiga) dan Shatiri Mansor (Kota Damansara).

Malaysiakini telah menghubungi mereka untuk mendapat komen.

Untuk rekod PH kekal sebagai kerajaan negeri dengan 42 anggota Adun berbanding PN dengan 13 kerusi.

Bersatu guna isteri pula pujuk Ahli Parlimen AMANAH sertai kerajaan PN

Malaysia Dateline
Lebih 7,000 penonton menonton secara live temurapat Khalid Samad malam ini melalui saluran ini sahaja.

Selepas gagal memujuk secara berdepan, usaha memujuk para Ahli Parlimen AMANAH agar menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijalankan oleh para isteri pula.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, kerja memujuk kini dijalankan oleh para isteri pemimpin PN ke atas para isteri pemimpin AMANAH.

“Selepas gagal pujuk kami, kini isteri mereka pula memujuk isteri kami agar kami menyertai kerajaan Perikatan Nasional,” kata Khalid dalam majlis temurapat dengan ahli dan penyokong AMANAH dan PH di Gombak malam ini.

Temurapat itu turut disiarkan secara langsung melalui laman sosial termasuk facebook.

Turut menjadi sasaran adalah isteri kepada Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Menteri Kesihatan.

Isteri beliau juga dihubungi oleh isteri salah seorang pemimpin Bersatu agar memujuk Dr Dzulkefly supaya menyertai kerajaan PN.

“Kita nak tokoh yang berwibawa macam Dr Dzulkefly untuk kekal sebagai Menteri Kesihatan,” kata isteri pemimpin Bersatu itu kepada isteri Dr Dzulkefly.

Sehingga kini, hanya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari AMANAH yang kekal kesemuanya bersama PH.

Azmin bakal dilantik TPM, Hishamuddin Menteri Pertahanan?

Malaysia Dateline

Buat permulaan, Muhyidin dijangka hanya akan melantik lima anggota dalam barisan kabinet beliau.

Walaupun Umno menjadi komponen utama Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk apabila mempunyai ahli parlimen paling ramai, namun pimpinan Umno tidak mendapat tempat utama dalam barisan kabinet Tan Sri Muhyidin Yassin.

Menurut sumber, bekas Menteri Pembangunan Ekonomi yang menjadi pencatur utama penubuhan PN dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Selain TPM, Azmin juga bakal dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Pimpinan Umno yang paling kanan dijangka akan dilantik ke dalam kabinet Muhyidin adalah Datuk Hishamuddin Hussein bukannya presiden atau timbalan presiden Umno.

Menurut sumber itu, Hishamuddin dijangka akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Buat permulaan, Muhyidin dijangka hanya akan melantik lima anggota dalam barisan kabinet beliau.

Bersatu hanya mempunyai 20 ahli parlimen sahaja dalam PN manakala bekas PKR Azmin (10), PAS (18) manakala Umno paling ramai (36) dan MCA (2) ahli parlimen.

PN DIJANGKA AKAN BERPECAH SEBAIK SAJA MENTERI2 MULA DILANTIK

Shahbudin Husin
Tidak dinafikan kerajaan Perikatan Nasional atau PN yang baru mengangkat sumpah Ahad lalu adalah kerajaan paling rapuh dan boleh tumbang serta berkecai bila-bila masa saja daripada sekarang.

Berikutan kedudukan majoritinya di Parlimen masih lagi kabur, kedudukan Muhyiddin Yassin hampir pasti akan ditentukan dalam sidang Parlimen yang sepatutnya diadakan pada 9 Mac ini.

Sekiranya Muhyiddin gagal menarik sokongan melebihi 112 Ahli Parlimen terhadapnya sehingga 9 Mac ini, pilihan yang ada baginya ialah menangguhkan dahulu sidang Parlimen itu.

Oleh kerana sidang Parlimen terakhir diadakan ialah pada 5 Disember 2019 lalu, Muhyiddin hanya ada tempoh untuk menangguhkannya sehingga 5 Jun iaitu selama enam bulan daripada kali terakhir Parlimen bersidang.

Mahu tidak mahu, dalam tempoh sebelum Jun akan datang, melalui kuasa dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mesti berusaha sedaya upaya menambah sokongan Ahli Parlimen terhadapnya, tidak kira sama ada melalui tawaran jawatan, kedudukan, projek atau habuan wang tunai barang dua tiga beg.

Sebaik saja cukup sokongan terhadapnya, itulah masa yang terbaik untuk Muhyiddin memanggil sidang Parlimen bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan PN sebagai kerajaan.

Jika gagal juga, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan berakhir melalui usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh PH serta pasti disokong oleh Tun Mahathir Mohamad dan beberapa kelompok Ahli Parlimen lain yang tidak setuju dengan pengkhianatan yang dilakukan oleh Presiden Bersatu itu.

Kalau Muhyiddin gagal mempertahankan jawatannya dalam sidang Parlimen yang mesti diadakan selewat-lewatnya Jun nanti, bukan saja beliau akan menjadi Perdana Menteri paling singkat memegang jawatan, bahkan PN juga akan menjadi kerajaan paling pendek dalam sejarah negara ini.

Kerapuhan lain yang tidak mustahil menyebabkan PN boleh berkecai ialah apabila lantikan menteri-menteri kabinet dilakukan oleh Muhyiddin.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, selain UMNO yang merupakan blok terbesar dengan 38 Ahli Parlimen yang sudah pasti akan menuntut jumlah menteri terbanyak, Pas yang mempunyai 18 kerusi Parlimen juga tentu tidak akan berserah atau redha begitu saja dalam soal jawatan kabinet ini.

Perlantikan itu nanti boleh saja membuatkan ada yang berkecil hati dan tidak puas hati, apabila jika mereka itu berjawatan lebih kanan dalam parti.

Selain jawatan menteri, jawatan yang turut dituntut oleh UMNO ialah Timbalan Perdana Menteri.

Soalnya, siapakah Timbalan Perdana Menteri yang akan dilantik oleh Muhyiddin?

Adakah beliau akan melantik pemimpin-pemimpin yang ada jawatan kanan dalam UMNO atau akan melantik Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin yang tidak berada dalam hireaki parti?

Oleh kerana pemimpin-pemimpin UMNO adalah ibarat harimau lapar sejak kehilangan kuasa pada Mei 2018 lalu, mereka kini dalam kedudukan begitu pelahap kepada jawatan dan sesiapa juga yang dilantik sebagai menteri atau Timbalan Perdana Menteri, pihak yang tidak puas hati sentiasa ada alasan untuk melalak dan memberontak.

Akhirnya, perebutan jawatan dan dengki sesama sendiri itu tidak mustahil membuatkan Muhyiddin sendiri terpelanting daripada jawatannya.

Dalam Bersatu pula terbahagia kepada tiga kumpulan – Ahli Parlimen asal Bersatu, Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu seramai 13 orang dan kumpulan Azmin Ali yang baru-baru ini mengumumkan menyertai Bersatu berjumlah 10 orang.

Dalam ketiga-tiga kumpulan itu terdapat di antaranya bekas-bekas menteri dan mereka yang masih bernafsu besar untuk kembali semula sebagai menteri.

Untuk melantik semua bekas menteri daripada ketiga-tiga kumpulan itu sebagai menteri memang ternampak mustahil kerana jawatannya begitu terhad, selain perlu berbahagi dengan UMNO, Pas dan GPS di Sarawak.

Jika ada yang tercicir daripada dilantik sebagai menteri, apabila pernah menjadi menteri di zaman PH atau mereka yang berasa telah memainkan peranan penting menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, kemungkinan untuk mereka berasa kecil hati dan kembali menyokong PH atau Tun Mahathir adalah besar sekali.

Apalagi jika dengan beralihnya sokongan itu boleh menyebabkan PN tumbang dan mereka pula ditawarkan jawatan menteri oleh PH atau Tun Mahathir.

Yang pasti, bulan-bulan mendatang ini bukan saja menyaksikan kerapuhan kerajaan PH dan kedudukan Muhyiddin bila-bila masa saja boleh tumbang, tetapi juga menjadi tontotan kita semua di mana ada Ahli Parlimen menjadi bahan tawar-menawar umpama harga daging di pasar menjelang musim perayaan. (ShahbudinHusin 03/03/2020)

Ku Nan berang lepas asetnya hampir 1 bilion didedah di mahkamah

Situasi tegang ketika Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor disoal tentang pengisytiharan harta yang dibuatnya ketika berada dalam kabinet.

Menurut Malay Mail, Tengku Adnan mula berang ketika disoal pihak pendakwaan mengenai perkara itu.

"Bila saya katakan saya tidak mahu mengisytiharkan sendiri, kerana (jika buat) secara terbuka anda tahu mengapa.

"Kerana sekarang saya mempunyai masalah dengan hampir satu bilion aset. Kerana mereka merasakan mereka mahu mensensasikan, itulah sebabnya saya rasa saya telah ditindas," katanya dipetik sebagai berkata.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan bagi kes rasuah Tengku Adnan supaya dokumen pengisytiharan harta dibuat secara tertutup.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa orang ramai harus dibenarkan mendengarkan perincian agar perbicaraan itu dilihat sebagai telus dan adil.

Ketika disoal oleh peguam bela Tan Hock Chuan, Tengku Adnan berkata beliau mengisytiharkan aset RM938,643,566.16 pada tahun 2001 apabila Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri.

Pada tahun itu, Tengku Adnan dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2001.

Pada tahun 2006, Tengku Adnan mengisytiharkan asetnya berjumlah RM711,325,822. Pada masa itu, beliau dilantik sebagai Menteri Pelancongan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 2013, Tengku Adnan mengisytiharkan asetnya berjumlah RM691,770,649 kepada Perdana Menteri Najib Razak. Tengku Adnan adalah Menteri Wilayah Persekutuan untuk keseluruhan penggal.

Pada 2016, Tengku Adnan membuat perisytiharan aset sebanyak RM782,748,061.

Tengku Adnan sedang menghadapi perbicaraan kerana didakwa menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada pemaju hartanah.

Strategi pasukan pembelaan melibatkan usaha membuktikan bahawa Tengku Adnan sangat kaya dan tidak memerlukan rasuah.

Umno tak senang bayangan kabinet Muhyiddin?

Malaysiakini
Ketika ini dipercayai timbul spekulasi mengatakan Umno kurang senang dengan rancangan awal Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, membentuk kabinetnya selepas mengangkat sumpah baru-baru ini.

Hal itu dikesan selepas tular beberapa tulisan oleh inividu yang dekat dengan koridor kuasa dalam Umno sejak beberapa hari lalu, selain ciapan setiausaha agung parti itu, Annuar Musa, semalam.

Meskipun ia tidak dinyatakan secara jelas, kenyataan tersebut ditafsir membawa mesej tertentu bagi membayangkan rasa tidak puas hati kepemimpinan Umno.

Sumber memberitahu Malaysiakini, rasa kurang senang itu timbul daripada bayangan mengenai pelantikan jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kanan lain.

Katanya Umno kurang senang apabila nama bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

"Sedangkan di Dewan Rakyat sekarang, Umno ada kerusi yang paling banyak dan sepatutnya lebih layak serta berhak mengisi jawatan itu.

"Jika dari Umno pun yang nak dilantik, saya yakin orang itu bukanlah Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau tentu sedar sentimen rakyat ketika ini," kata sumber tersebut merujuk kepada lebih 50 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan presiden Umno itu yang sedang dibicarakan.

Gagal urus idealisme

Sumber itu memberitahu, hal itu yang menjadi pertikaian utama dan menimbulkan kurang senang dalam kalangan pemimpin Umno.

Isu pembentukan kabinet kini menjadi perhatian ramai selepas Muhyiddin secara rasmi dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan selepas seminggu kemelut politik kesan 'Langkah Sheraton' membabitkan Azmin dan beberapa pemimpin PKR.

Kemelut itu juga menyaksikan Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad berada dalam dua kem berbeza.

Antara 'bunga-bunga' yang menguatkan lagi sangkaan orang ramai kepada rasa tidak puas hati Umno itu ialah ciapan Annuar semalam.

"Satu dari punca kejatuhan PH ialah kegagalan mengurus antara idealisme peribadi perdana menteri dengan aspirasi parti dalam gabungan.

"Mereka terlupa kita bukan sebuah republik tapi kerajaan demokrasi ala Westminste. Dua sistem yang amat berbeza.

"Kita juga bukan sistem satu parti tapi gabungan lemah.

"Sekiranya tak di uruskan dengan baik, percayalah PN (Perikatan Nasional) akan memecahkan rekod PH sebagai kerajaan paling singkat!

"Apa-apa pergolakan kali ini bererti Parlimen wajib dibubarkan dan PRU mengejut wajib diadakan.

"Muafakat Nasional akan kita perkasakan dan kami tidak lalai dengan kuasa yang ada sekarang," katanya.
]
Muafakat Nasional ialah kerjasama rasmi yang menghubungkan PAS dan Umno, dan ia tidak melibatkan kem Muhyiddin dalam Bersatu.

Beberapa hantaran di media sosial juga membayangkan rasa tidak puas hati Umno.

Antaranya: "Kami dah hulur tangan, kalau sambut tak ikhlas kami semua tarik balik la. Mudah je sifir ni."

Kenyataan dibuat Muhyiddin dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri pada 2 Mac lalu juga kelihatan tidak disenangi sesetengah orang Umno apabila beliau menyebut mengenai perlunya melantik orang yang bersih serta berintegriti saja.

Tak perlu ada jawatan pun

Sementara itu, seorang lagi sumber memaklumkan kepada Malaysiakini, ucapan Muhyiddin itu seolah-olah memberi gambaran bahawa Umno sedang bermasalah.

Namun, katanya, rundingan dengan Muhyiddin setakat ini semuanya masih berjalan lancar.

"Saya yakin ia akan diselesaikan secara bijaksana di antara perdana menteri dan presiden (Ahmad Zahid), khususnya berhubung isu pembentukkan kabinet," katanya.

Sementara itu, Anggota Majis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah ketika dihubungi menafikan wujud rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin parti terbabit.

Jelas beliau semuanya kini berjalan lancar dan persepsi kurang elok itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu.

"Semuanya lancar, cuma persepsi (negatif) ditimbulkan, tiada masalah pun.

"Jadi biar perdana menteri buat keputusan kita hormat keputusannya," katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, pula berkata parti itu tidak perlu berharap pada sebarang jawatan dalam kerajaan.

Bahkan katanya, Umno tidak perlu pun memegang sebarang jawatan dalam kabinet, sebaliknya memadai dengan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

"Pada pandangan saya Umno tidak perlu menerima sebarang jawatan dalam kerajaan baru ini dan memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional.

"Apa pun sebarang keputusan hendaklah dibincang secara bersama dengan PAS," katanya.

Sementara itu bekas ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (Jasa), Dr Puad Zarkashi berharap Muhyiddin tidak bertindak secara berpilih atau bermotif politik dalam melaksanakan tugasnya.

"Jangan nanti hanya mereka yang (sedang dibicarakan) sahaja yang menjadi fokus atau sasaran beliau, sedangkan mereka belum dibuktikan bersalah.

"Bagaimana dengan mereka yang ada skandal video dan melompat parti? Itu juga membabitkan soal integriti.

"Bahkan orang yang terselamat daripada pendakwaan kerana pandai corner baring juga tidak boleh terkecuali.

"Kalau mereka terpilih sebagai menteri, Muhyiddin akan dituduh tidak konsisten. Sebab itu Muhyiddin mesti tegas dan jangan retorik," katanya.

Pengkhianat terbaru

Malaysiakini
Perikatan Nasional (PN) akhirnya mempunyai majoriti cukup dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Isu susulan wakil rakyat PKR bagi kerusi Pemanis Dr Chong Fat Full keluar parti dan menjadi wakil bebas mesra PN.

Chong mengumumkan perkara itu dalam sidang media bersama Menteri Besar Hasni Mohammad serta Adun Muafakat Nasional.

“Saya sudah buat rundingan dengan penyokong saya, pengundi saya, keluarga, kawan-kawan,

sudah fikir. Bagi saya (bila) cukup matang baru buat (keputusan).

“Pasukan MB cukup sabar dengan saya, kerana mereka tahu susah bagi saya sebagai ahli PKR, semangat PKR, dah lama dengan PKR untuk buat keputusan ini,” katanya.

Chong menafikan ditawarkan sesuatu untuk berbuat demikian

Hasni pula berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan oleh Chong sendiri.

Istana Johor pada 27 Februari mengumumkan gabungan baru akan mengambil alih kerajaan negeri selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemu bual 54 daripada 56 Adun.

Sultan mendapati 28 daripada mereka menyokong gabungan baru Bersatu-BN-PAS berbanding 26 yang menyokong Pakatan Harapan.

Dua Adun yang tidak hadir ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang turut mempunyai sesi temu bual dengan Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin Bersatu Mazlan Bujang yang masih memerlukan masa untuk membuat pendiriannya.

Chong daripada awal lagi dipercayai telah menyokong PN.

Bagaimanapun, Khamis lepas, Chong berkata masih bersama PH dan hadir dalam sidang media gabungan itu yang mengumumkan mempunyai sokongan 28 Adun.

Sehari selepas itu, Hasni mengangkat sumpah menteri besar. Mazlan bersamanya dalam sidang media mengumumkan pembentukan kerajaan baru.

Dengan sokongan Chong dan Mazlan, PN mempunyai 29 kerusi DUN manakala PH pula mempunyai 27 kerusi.

Jawatan TPM: Bersatu bertelagah antara Ahmad Zahid atau Abdul Hadi?

DALIA ISMAIL
Suara tidak puashati dikalangan pimpinan negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula jelas kedengaran dalam memastikan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diserahkan kepada kumpulan perasuah dan kleptokrat kerajaan Umno-BN.

Bahkan ada dikalangan ahlinya pula di negeri yang dijajah Kelantan mencadangkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Armada Negeri Kelantan Asran Alias berkata, semua pihak harus menghormati Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang kini menyandang jawatan Perdana Menteri ke-8

Katanya Umno tidak perlu menekan Muhyiddin untuk memilih Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku TPM.

“Tan Sri Muhyiddin telah jelaskan, beliau hanya akan mengambil ahli kabinet yang bersih dan berintegriti sahaja.

“Maka Datuk Seri Zahid Hamidi yang masih terpalit dengan skandal rasuah tidak patut diangkat menjadi pimpinan utama,” bidasnya.

Ini susulan tindakan Umno Kedah semalam telah menetapkan pendirian mereka supaya Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menganggotai semula barisan kabinet baharu dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bergandingan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Reaksi berbeza pula disuarakan oleh Exco Armada Bersatu Abdul Hannaan Khairy dalam kenyataannya hari ini.

“Umno Kedah sepatutnya hormat kepada Tan Sri Muhyiddin. Adakah Umno berfikir Pakatan Nasional ini mampu dibentuk tanpa kerusi ’emas’ Bersatu?

“Umno perlu dengar kata tuan, bukan cuba jadi tuan,” bidasnya

Tambah Abdul Hanaan lagi, susulan beberapa negeri (Johor, Melaka) dibawah Pakatan Harapan kini jatuh ke tangan Perikatan Nasional sewajarnya peluang diperoleh selepas Bersatu keluar gabungan PH sepatutnya lebih berperanan memperkasakan Bersatu di peringkat negeri.

“Jika Perdana Menteri adalah dari Bersatu, jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri juga harus letaknya kepada Bersatu,” tegasnya.

Beliau turut tidak puashati apabila Johor lebih awal melantik Menteri Besar dari Umno Datuk Hasni Mohd pada 28 Februari sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lepas.

“Belum sempat Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM8, Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Johor sudah diangkat sebagai MB Johor.

“Ini tidak adil kepada Bersatu!!,” dalam nada kecewa dan mahu semua parti di bawah Perikatan Nasional sepatutnya akur dengan Bersatu bukan sebaliknya berlaku.

Krisis politik yang melanda negara seminggu lalu menyaksikan Bersatu keluar PH membentuk Perikatan Nasional yang disertai Bersatu, BN dan Pas.

Manakala Pakatan Harapan kekal dengan PKR, AMANAH dan DAP.

Zahid masuk kabinet akan undang sikap 'mampus pi lah'

Abdul Hamid Mohamad

Kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat rapuh. Jika undi tidak percaya dilakukan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin apabila parlimen bersidang, kita tidak tahu sama ada beliau boleh mendapat sokongan majoriti atau tidak.

Isu yang paling utama ialah adanya Umno dalam kerajaan itu. Pakatan Harapan (PH) tahu tanpa Umno, kerajaan itu akan tumbang. Modal besar PH terhadap Umno ialah Umno parti korup.

Penyertaannya dalam kerajaan PN menjadikan kerajaan baru itu sebuah kerajaan korup.

Perhatian khusus akan diberi kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, sama ada beliau akan diberi jawatan dalam kabinet. Jika beliau diberi jawatan menteri, apatah lagi timbalan perdana menteri, terus terang saya katakan, Muhyiddin akan kalah undi tidak percaya dan kerajaan PN akan tumbang.

Bukan itu sahaja, orang ramai yang menyokong kerajaan PN, termasuk saya, akan menarik balik sokongan mereka, dan berkecuali. Mereka akan mengambil sikap “Mampus pi lah” kerana mereka telah terlalu bosan dengan ahli politik yang hanya menjaga perut masing-masing.

Maka, sebelum dilakukan undi tidak percaya, pemimpin parti-parti komponen PN perlulah bermesyuarat, mengambil pendirian, mengeluarkan kenyataan dan melakukan apa yang sempat dilakukan, bahawa:

PN tidak akan mengulangi kesilapan Umno dan PH.
PN tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
PN tidak akan melantik ahli parlimen yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk memegang sebarang jawatan dalan kabinet PN.
Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai perkhidmatan kehakiman dan perundangan yang kanan, berpengalaman dalam pendakwaan dan undangundang, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi peguam negara / pendakwa raya.
Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai kanan SPRM yang berpengalaman, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Kerajaan PN tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi peguam negara / pendakwa raya dan ketua pesuruhjaya SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.
Kerajaan PN juga sekali-kali tidak akan mempengaruhi atau menekan pendakwa raya supaya menghentikan pendakwaan atau menarik balik pertuduhan terhadap ahli kabinet PN, ahli parlimen PN atau penyokongnya.
Kerajaan PN sekali-kali tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi mahkamah dalam menjalankan tugas kehakimannya.
Kerajaan PN tidak akan meminta pengampunan ke atas sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah terhadap ahli kabinet PN, ahli prlimen PN atau penyokongnya. Tetapi hak mereka berbuat demikian tidak dihalang.
Kerajaan PN akan menumpukan perhatian sepenuhnya untuk memperbaiki ekonomi negara, taraf kehidupa rakyat dan pentadbiran negara.
Muhyiddin dan pemimpin parti-parti komponen hendaklah bertegas dalam hal ini. Lebih baik tumbang walaupun melakukan sesuatu yang betul, daripada tumbang kerana melakukan sesuatu yang salah.

Jika Umno berkeras menghendaki Zahid menjadi menteri atau TPM dan mengugut keluar PN, biarkan Umno keluar, biarkan PN tumbang. Umno akan dikutuk oleh orang Melayu dan mati tak berkubur. Percayalah.

Dalam ucapan pelantikan saya sebagai ketua hakim negara pada 11 Disember 2007, antara lain, saya menyebut:

“Saya sedar bahawa, jika Allah SAW melanjutkan usia saya sekalipun, tempoh untuk saya memegang jawatan ketua hakim negara ini adalah amat singkat. Tetapi, jika, dengan takdir Allah SWT saya memegang jawatan ini hanya sehari sahajapun, dalam masa satu hari itu, saya berazam untuk melakukan apa yang saya, dengan jujur, fikir adalah betul, sehabis baik yang saya boleh lakukan. Sama ada sehabis baik saya itu cukup baik atau tidak terserahlah kepada orang ramai untuk menghakiminya.”

Mungkin ada pengajaran yang boleh diambil daripadanya.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD adalah bekas ketua hakim negara. Abdul Hamid Mohamad.

'Seperti dirasuk syaitan mereka asak Dr M'

A Kadir Jasin
Apabila Dr Mahathir Mohamad memberitahu saya yang Muhyiddin Yassin mengaku dia anak orang alim bagi membuktikan dia orang baik, jawapan saya mudah saja.

Hanya syaitan bodoh saja menghasut anak orang jahat atau orang yang tidak ada pengaruh.

Tapi tidak ada syaitan yang bodoh. Syaitan cerdik cuma derhaka kepada Allah, jadi syaitan akan hasut orang yang berpengaruh yang boleh mempengaruhi ramai orang.

Justeru itu, tok guru dan anak-anak tok guru yang berpengaruh adalah sasaran yang unggul bagi syaitan.

Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bersidang pada hari Ahad 23 Februari lalu, seolah-olah dirasuk syaitan kerana bertubi-tubi mengasak Dr Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik Bersatu keluar daripada PH dan menyertai Umno dan Pas.

Bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Zahid Mat Arip, sampai menghentak meja dan berkata buat kali pertama dia menyokong Muhyiddin. Yang saya tahu dia sebelum ini sangat benci kepada Muhyiddin.

Turut menyokong dengan lantang sampai tidak sedikit pun mempedulikan rayuan Dr Mahathir ada Ahli MPT yang diketahui bercita-cita tinggi seperti Rafiq, Redzuan dan Wan Saiful.

Ahli MPT yang bercakap mempertahankan Dr Mahathir adalah minoriti dan terdiri daripada mereka yang tidak bercita-cita politik.

Tapi ada juga yang hipokrit dan tikam belakang. Di depan Dr Mahathir sokong tapi sebenarnya mengkhianati beliau. Dalam hal ini saya, secara peribadi, amat kecewa dengan mainan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja.

Jelas daripada asakan dan penderhakaan pada 23 Februari itu bahawa konspirasi keluar PH dan bergabung dengan Umno itu sudah dirancang dengan teliti untuk satu jangka masa yang panjang melibatkan watak-watak dalam Bersatu, Umno, PKR dan PAS.

Ternyata Dr Mahathir juga dihampakan oleh watak-watak Umno yang beliau alu-alukan ke dalam Bersatu seperti Hamzah Zainuddin dan Mustapha Mohamed. Nampak seolah-olah ada usaha mengambil alih Bersatu oleh pendatang Umno ini.

Ini terbukti apabila adun Umno dilantik menjadi MB Johor mengganti wakil Bersatu. Hal yang sama mungkin berlaku di negeri-negeri lain. Muhyiddin orang mulia, tapi kalau ini bukan pengkhianatan, apa lagi?

Inilah apa yang boleh saya simpulkan hasil daripada apa yang saya sendiri lihat dan apa yang saya dengar daripada Dr Mahathir.

Jadi apabila Muhyiddin berkata dia tidak mengkhianati Dr Mahathir, ia hanyalah semantik - antara yang tersurat dengan yang tersirat.

Sekali lagi Dr Mahathir telah dikhianati dan diderhakai oleh orang-orang yang dipercayainya.

PH lancar Jelajah Selamat Melaka

MALAYSIADATELINE
Pakatan Harapan (PH) Melaka akan melancarkan program Jelajah Selamatkan Melaka mulai malam ini bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai ‘kerajaan pintu belakang’ yang bakal dibentuk Perikatan Nasional (PN).

Pengerusinya, Adly Zahari menegaskan, program itu akan dimulakan di Paya Rumput, dekat Alor Gajah sebelum ke Pengkalan Batu, Telok Mas dan Rembia.

Adly yang mendakwa masih memegang jawatan Ketua Menteri berkata, program berkenaan penting berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang sebelum ini bersama PH tetapi kini bersekongkol dengan PN.

Adly turut mendakwa tindakan Adun itu dibuat semata -mata untuk merebut kuasa.

“Rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan itulah faktor mengapa kami dalam PH berkolaborasi untuk memberi penjelasan supaya kuasa sebenar membentuk kerajaan dikembalikan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AMANAH di Bukit Katil, seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Halim Bachik dan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.

Ditanya mengenai sama ada beliau masih menganggap dirinya Ketua Menteri Melaka yang sah, Adly berkata, beliau masih belum meletakkan jawatan. Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan politik semasa, beliau dimaklumkan oleh Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, beliau tidak memegang jawatan berkenaan lagi.

Adly berkata, beliau akan memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan negeri dalam urusan penyerahan dokumen berkaitan projek pembangunan, ekonomi dan sosial yang ada padanya kepada pentadbiran baharu jika diminta berbuat demikian.

Mengenai dakwaan AdunPengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee kononnya beliau menjadi barua ketika dalam PH, Adly berkata, ia sekadar alasan Adunterbabit untuk menutup tindakannya melompat ke PN.

“Itu hanyalah alasan untuk menutup kelemahan sendiri kerana dalam kerajaan PH, kita bekerja secara berpasukan, bukan dia seorang sahaja yang bekerja untuk rakyat,” katanya.

Sehubungan itu beliau yakin rakyat Melaka akan mengembalikan pemerintahan negeri ini kepada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

PH, penyokong Mahathir buat taklimat jelaskan situasi politik

Kow Gah Chie

Pakatan Harapan dan peyokong Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu akan mengadakan sesi taklimat di seluruh negara untuk menjelaskan berhubung situasi politik baru-baru ini.

Parti-parti pembangkang akan menjelaskan kepada akar umbi dan penyokong mereka sambil menggesa sidang Dewan Rakyat disegerakan untuk melihat pihak yang memegang sokongan majoriti.

Parti komponen PH dan pemimpin tertinggi mereka dilihat tidak banyak membuat kenyataan terbuka sementara menunggu persidangan parlimen.

Media tidak dimaklumkan mengenai sebarang program atau pertemuan mereka sejak Ahad lalu, selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Bercakap dengan Malaysiakini, parti komponen PH berkata mereka sedang mengadakan taklimat di seluruh negara untuk menerangkan kejadian baru-baru ini kepada penyokong mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamudin berkata pihak yang menyokong Mahathir dalam Bersatu akan melakukan perkara yang sama.

"Ia adalah acara tertutup dan dia menjelaskan apa yang telah berlaku," katanya.

Beliau berkata sayap pemuda akan menganjurkan taklimat di Kedah.

Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan pemimpin bahagian Bersatu di ibu negara semalam untuk menjelaskan apa yang telah berlaku, katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata DAP akan mengadakan taklimat di Johor esok dan setiausaha agung parti akan hadir.

"(Taklimat) ini diperlukan untuk menjelaskan apa yang berlaku dan memotivasi mereka (anggota akar umbi dan penyokong)," katanya.

Bendahari PKR Lee Chean Chung berkata parti itu kini menerangkan kepada akar umbi melalui media sosial dan mengadakan taklimat melalui inisiatif sendiri.

"Kami akan menerangkan apa yang berlaku dalam tempoh satu minggu lalu kerana beberapa ahli masih keliru tentang apa yang berlaku.

"Kami juga akan menyampaikan bahawa kami memegang teguh pendirian kami dalam menegakkan politik berbilang kaum," kata Adun Semambu itu.

"Dalam kes saya, saya lakukan di kerusi Parlimen Indera Mahkota yang dipegang oleh 'pengkhianat' Saifuddin Abdullah," kata Lee.

Saifuddin, yang merupakan setiausaha agung PH meninggalkan PKR bersama kumpulan Mohamed Azmin Ali, dalam gerakan untuk mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Benarkah tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan? - Tun Mahathir

Perdana Menteri mendakwa krisis politik bermula apabila saya, Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Benarkah, tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan?

Saya yang kononnya disokong oleh parti kerajaan dan parti lawan, termasuk Najib Razak dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya?

Ini tidak masuk akal.

Yang benar ialah saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya.

Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi perdana menteri.

Di Istana peletakan jawatan saya diterima. Saya diarah pegang jawatan perdana menteri buat sementara.

Siapa yang akan ganti saya. Rakyat bosan dengan orang politik yang lebih utama politik dari pentadbiran yang baik.

Saya cadang diadakan satu kerajaan nasional yang bukan orang politik yang berpengetahuan juga akan menyertai kerajaan.

Orang parti juga akan menyertai kerajaan tetapi sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti mereka.

Tetapi cadangan saya ditolak. Saya pun letak jawatan. Dan berlarutanlah krisis ini. Saya tidak tahu bila ia akan tamat?

Mungkinkah ‘deep state’ bukan mitos atau realiti, tetapi konspirasi?

Zin Mahmud
Pada awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan timbul soal “deep state” yang diterjemahkan kepada “negara terpendam.” Ia timbul apabila kerajaan baru itu sukar untuk melakukan reformasi selaras dengan manifesto dan fahaman Pakatan Harapan ketika itu.

Tentunya “deep state” itu merujuk pada kakitangan-kakitangan kerajaan yang menghalang atau menyukarkan sebarang pembaharuan atau reformasi. Perkara ini dapat difahami memandangkan banyak kakitangan kerajaan yang menyokong Barisan Nasional. Sememangnya perkhidmatan awam tidak boleh berpihak pada mana-mana parti politik. Mereka mesti patuh pada kerajaan sedia ada. Namun budaya dan fahaman politik, lebih tepat lagi ideologi mereka tentu dibentuk oleh tradisi kerajaan memerintah selama 60 tahun, iaitu pimpinan Umno sejak negara mencapai kemerdekaan.

Jadi sudah tentu melalui kursus-kursus dan pergaulan semasa kerja, perkhidmatan awam termasuk institusi-institusi negara seperti universiti tentulah secara keseluruhan berfahaman ideologi nasionalisme kanan Umno. Tetapi ini tidaklah bermakna tidak ada anggota perkhidmatan awam yang menyokong fahaman pihak pembangkang tetapi tentulah bilangan mereka kecil. Contoh nyata perkara ini kemenangan besar yang diperoleh oleh calon Barisan Nasional di Putrajaya pada setiap pilihan raya umum.

Konsep “deep state” ini berasal dari Amerika Syarikat. Ia bermaksud ada sekumpulan orang dalam perkhidmatan awam dan institusi-institusi penting negara seperti CIA yang mengawal dan mempertahankan nilai-nilai nasional AS melangkaui apa yang diperjuangkan oleh mana-mana parti politik, sama ada Republikan dan Demokratik, walaupun mereka menang pilihan raya dan menjadi kerajaan.

Pemegang fahaman politik nasionalisme kanan seperti Umno dalam PH adalah PPBM. Sementara parti yang menuntut digerakkan pembaharuan dan reformasi datang dari PKR, DAP dan Amanah. Maka sudah tentu berlaku pertembungan antara PPBM di satu pihak dan PKR, DAP dan Amanah di pihak lain. Dalam hal ini fahaman politik PPBM sehaluan dengan “deep state.” Maka apa yang dituntut oleh parti-parti pembaharuan itu dihalang PPBM. Kegagalan untuk menggerakkan pembaharuan ini bagaimanapun disalahkan pada “deep state” dalam perkhidmatan awam.

Tentulah anggota perkhidmatan awam tidak senang dengan tuduhan seperti ini. Ia seolah-olah menyatakan sebahagian daripada mereka ada nelakukan sabotaj terhadap kerajaan pilihan rakyat. Apabila tidak pernah dinyatakan dengan jelas siapa itu “deep state”, penulis mengemukakan konsep “deep state of the mind”. Maknanya “deep state” itu hanya wujud dalam minda, bukan saja dalam kalangan anggota kerajaan tetapi sebahagian rakyat. Termasuk penulis sendiri.

“Deep state of the mind” ini keadaan minda rakyat yang sudah terdidik melalui maklumat yang diterimanya sepanjang hayat. Bayangkan tentulah minda sebahagian besar rakyat negara ini dibentuk oleh media massa yang dikawal oleh kerajaan sejak sebelum merdeka lagi. Ataupun program-program Biro Tata Negara (BTN) yang dijalankan sejak tahun 1970-an lagi. Tentulah ia membentuk minda sebahagian besar rakyat.

Tetapi minggu lalu apabila kerajaan PH tumbang akibat tindakan sebahagian daripada pemimpin PPBM dan PKR bergabung dengan BN dan PAS untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional, maka ada tentulah terdetak dalam fikiran sebahagian pemimpin PH terutama dalam kalangan PKR, DAP dan Amanah yang memperjuangkan pembaharuan atau reformasi bahawa “deep state” itu sebenarnya tidak wujud.

Apa yang wujud konspirasi dari sebahagian ahli politik PPBM dan PKR yang bukan saja menolak kepimpinan Anwar Ibrahim tetapi agenda reformasi itu sendiri.

Malah dari awal lagi sudah bermula konspirasi untuk berpakat dengan parti-parti pembangkang ketika itu, khususnya Umno dan PAS bagi menubuhkan kerajaan baru yang bebas daripada Anwar, DAP dan agenda reformasi. Maka sebab itu selama pentadbiran PH, segala tuntutan reformasi oleh sebahagian daripada pemimpin PKR, DAP dan PPBM dihalang oleh mereka yang menolak agenda itu.

Perlu diingat PH memasuki pilihan raya umum ke-14 atas platform menentang kleptokrasi. Yang menyuarakan agenda reformasi hanyalah PKR, DAP dan Amanah. Walaupun agenda reformasi terdapat dalam Manifesto Harapan tetapi ia tidak ditekankan oleh kerajaan PH apabila mentadbir. Malah manifesto itu dirasakan tidak akan dilaksanakan.

Maka dari awal lagi sudah kelihatan ada hubungan antara sebahagian pemimpin PPBM dan PKR dari kumpulan Azmin Ali dengan Umno dan PAS. Malah PAS mengadakan pertemuan dengan Mahathir untu memberi jaminan sokongan pada beliau. Terdapat juga laporan yang menunjukkan terdapatnya pertemuan ahli-ahli politik yang melibatkan kalangan kumpulan Azmin dengan Umno dan PAS.

Ia menjadi rahsia umum hinggakan seolah-olah apa yang dilakukan oleh penentang-penentang Anwar itu bukan lagi konspirasi tetapi merupakan langkah politik yang sampai pada kemuncaknya dalam bentuk pertemuan di Hotel Sheraton Petaling Jaya di mana gagasan Pakatan Nasional berubah kepada Perikatan Nasional.

Proses ini memngambil masa sepanjang pentadbiran PH. Segala perkembangan politik PKR menjangkakan parti itu akan berpecah dengan kumpulan Azmin yang bersungguh-sungguh menghalang kemaraan Anwar. Tetapi tidak timbul pula PPBM akan keluar daripada PH dan menumbangkan kerajaan.

Sememangnya dipercayai terdapat persediaan dilakukan untuk berdepan dengan keadaan di mana Mahathir tidak lagi mengetuai PPBM dan PH. Juga untuk menganggap PPBM boleh bersikap seperti Amanah dengan menerima kepimpinan Anwar adalah suatu yang naif.

Namun begitu, apabila akhirnya kerajaan PH tumbang, timbul persoalan kemungkinannya dari awal lagi sebahagian pemimpin PPBM sudah merancang untuk mewujudkan keadaan begini. Juga persoalan kemungkinan berlaku sabotaj dalam PH sendiri. Adakah kekalahan calon PPBM dalam pilihan raya kecil merupakan sebahagian daripada proses sabotaj?

Mungkin buat masa ini, post-mortem pun dilakukan oleh parti-parti PH yang berasa dikhianati. Untuk memulihkan kepercayaan antara satu sama lain khususnya dengan PPBM adalah suatu cabaran besar. Bagi ahli sains politik dan sejarah, tempoh seminggu yang bergelora merupakan bahan kajian menarik. Bagi penganalisis politik, mereka akan berusaha membongkar apa sebenarnya berlaku pada tempoh itu. Pada satu hari memoir akan ditulis menceritakan pengalaman mereka yang terlibat atau saksi.

Kesimpulannya ialah Malaysia Baru tidak akan dapat ditegakkan kerana adanya “deep state” yang menghalang daripadanya terlaksana. “Deep state” itu bagaimanapun berupa “deep state of the mind” yang merupakan suatu naratif nasionalisme kanan dan dijadikan suatu suatu mitos. Mitos ini dijadikan realiti melalui konspirasi yang terserlah sebagai tindakan-tindakan politik.

Apa yang berlaku selama hampir 2 tahun ini hanya merupakan “correction” atau pembetulan terhadap kepimpinan Najib Razak. Tetapi dengan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, beliau hanya meneruskan Malaysia Lama yang diwujudkan sejak Tunku Abdul Rahman memerintah. Sememangnya sepatutnya Muhyiddin yang menggantikan Najib sebagai perdana menteri kerana beliau pernah menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

Walaupun Anwar pernah juga menjadi timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, tetapi pemikiran dan sosok beliau bersama dengan partinya, PKR tidak dapat diterima “deep state of mind” Malaysia Lama.

PKR dan DAP buat masa ini tidak akan dapat diterima oleh kebanyakan rakyat negara. Mereka dapat menjadi kerajaan hanya kerana rakyat menyokong Mahathir dan PPBM bagi menolak kleptokrasi.

Amanah seperti juga PAS tidak akan dapat diterima oleh kebanyakan rakyat. Mereka akan sentiasa bergantung pada parti lain. Sebab itu GPS hanya menyokong Muhyiddin dan tidak menyertai Perikatan Nasional, sebabnya kerana ada PAS.

Mazhab pintu belakang tunggang Melayu, dagangkan Islam

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Sejak sebelum PRU ke 14 lagi, isu Melayu/Islam menjadi tumpuan Umno menangkis asakan politik Pakatan Harapan (PH) terhadap kes-kes rasuah 1MDB, Felda dan penyelewengan TH. Mereka meratib DAP Cina akan berkuasa, Melayu akan hilang kuasa dan berbagai lagi jawapan berbau perkauman.

PH mendedahkan penyelewengan institusi orang Melayu kerana mahu menyelamatkan maruah orang Melayu. Tetapi Umno menangkis dengan jawapan jangan jadi barua DAP. Maka, istilah khadam DAP Cina berkumandang di telinga orang Melayu.

PH tidak pernah jadi barua sesiapa jauh sekali menjadi khadam sesiapa. Kami bawa naratif menentang rasuah dan penyelewengan bukan menentang Melayu! Asas luas politik PH tidak mengenal kaum dan bangsa, asalkan ia berkepentingan semua PH akan membetuli keadaan.

PH sedar bahawa isu penyelewengan pemerintah dari perbuatan rasuah adalah masalah bersama rentas kaum kerana kerajaan BN yang diam kepada mungkar pemerintahan akan membawa kepada sebuah negara yang akan mereput hingga ke akar rumput rakyatnya.

PH cuba membawa satu perjuangan dengan prinsip yang lebih meluas (broad base) yang melihat kesan tindakan melibatkan kepentingan semua pihak. Umno bertahan dengan hujahan bangsa dengan mengheret negara kepada budaya amalan politik identiti (identity politics) dalam hal ini identitinya adalah kaum disulam agama sempit.

Rakyat Malaysia menolak hujahan beridentitikan kaum tetapi memilih asas kepentingan bersama. Dalam PRU yang lalu, pengundi menolak politik beridentikan kaum dengan memberi mandat kepada PH yang lebih meluas teras perjuangannya.

Politik kaum terus memainkan peranannya walaupun telah lahir kerajaan mandat rakyat. Parti identiti kaum terus mengasak kerajaan PH bernuansakan kaum dan agama sempit. Semua isu dikembalikan kepada naratif kaum dan agama sempit seperti pelantikan Peguam Negara, TH, pembunuhan Adib dan insiden lain yang cuba menjejaskan kerajaan PH.

Menguntungkan Melayu

Kerajaan pintu belakang yang terbentuk sekarang adalah bercirikan politik identiti kaum dan sekali gus menafikan kehendak politik yang dipilih iaitu politik kepentingan bersama.

Bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, alasan Melayu menjadi faktor penyatuan mereka walaupun terpaksa membentuk kerajaan pintu belakang.

Benarkah kerana Melayu? Jika kerana Melayu bukankah perjuangan PH untuk memulihkan institusi Melayu atas kepentingan bersama menguntungkan Melayu?

Bukankah menentang perasuah adalah tuntutan Islam dan sekali gus menguntungkan orang Melayu yang akan bebas dari kesan pemimpin rasuah? Hari ini mereka yang didakwa di mahkamah kerana rasuah dan penyelewengan kembali menjadi kerajaan?

Bukankah dengan menolak Umno dan BN, PH telah membuka ruang kepada politik rentas kaum yang menguntungkan semua pihak? Ia peluang kepada masa depan negara yang PH namakan sebagai Malaysia Baharu yang progresif dan inklusif serta peduli rakyat.

Betulkah kerana Melayu, PPBM membentuk kesepakatan dengan Umno/Pas? Ataukah kerana ketamakan kuasa, syahwat kuasa dan berebut jawatan?

Sedihnya untuk Malaysia kerana Melayu terus dipertunggangkan dan Islam terus didagangkan oleh mazhab pintu belakang!

Zahid Hamidi hina Mahkamah, gagal kemuka surat jemputan daripada PMO

M Fakhrull Halim
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi gagal menunjukkan surat jemputan daripada Jabatan Perdana Menteri (PMO) tentang pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Zahid berkata, surat tersebut tidak dapat dikeluarkan memandangkan setiausaha politik perdana menteri belum dilantik secara rasmi.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa perintah Yang Arif semalam tentang surat, saya telah berhubung dengan setiausaha politik berkenaan.

“Oleh kerana belum ada pelantikan secara rasmi dan belum angkat sumpah, maka surat yang meminta saya datang dan juga surat yang memperjelas pertemuan itu, tak dapat dikeluarkan oleh peagawai berkenaan,” katanya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Ia bertentangan dengan keterangan Zahid di mahkamah semalam, bahawa dia memang menerima surat daripada PMO untuk satu pertemuan dengan Muhyiddin semalam, bagi membincangkan soal pelantikan kabinet baru kerajaan.

Zahid kemudian memohon maaf terhadap mahkamah atas apa yang disifatkannya sebagai kekeliruan semalam.

“Secara terbuka saya memohon maaf atas kekeliruan dan salah faham yang timbul, dan saya tak berhasrat langsung untuk mengelirukan mahkamah ini.

"Saya amat menghormati Yang Arif dan mahkamah yang mulia. Sekali lagi saya memohon maaf atas kekeliruan," katanya.

Semalam, Sequerah memangil semula sebutan kes di sebelah petang untuk mendapatkan penjelasan Zahid, selepas membenarkan permohonan penangguhan oleh pembelaan di sebelah pagi.

Ia susulan JPM dalam kenyataan menafikan Muhyiddin mengadakan sebarang pertemuan politik semalam.

Sequerah juga meminta Ahmad Zahid menjeaskan perkara itu dan menunjukkan surat jemputan daripada JPM sebagai bukti pertemuan tersebut.

Timbalan DPP Raja Rozela Raja Toran kemudian menggesa mahkamah memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap tertuduh kerana didakwa “menipu, dan dengan sengaja memperdayakan mahkamah untuk mendapat cuti satu hari” daripada perbicaraannya.

Hakim: Tiada kes hina mahkamah

Sebelum permohonan maaf Zahid pagi ini, peguam bela Hisyam Teh Poh Teik sekali lagi berkata kekeliruan timbul ekoran "penggunaan kata yang silap" dan anak guamnya langsung tiada niat untuk mengelirukan mahkamah.

Hisyam berkata Zahid memang mengadakan pertemuan dengan setiausaha politik Muhyiddin.

Raja Rozela kemudian membangkitkan kegagalan Zahid untuk mengemukakan surat jemputan pada hari ini, sedangkan semalam berkata dia menerima surat tersebut.

Sequerah kemudian memutuskan tiada kes hina mahkamah dan setuju dengan hujah peguam bahawa terdapat "silap komunikasi" dan penggunaan kata yang mungkin menimbulkan salah faham.

"Saya juga menerima mungkin terdapat pemilihan perkataan yang silap dalam permohonan penangguhan (semalam) dan ini mungkin menyebabkan salah faham.

"Saya juga mengambil kira permohonan maaf tertuduh...dan tidak kurang penting (jaminan) peguam bahawa ini tak akan berlaku lagi.

"Saya dapati tiada kes menghina mahkamah," katanya lagi.

Bagaimanapun kata Sequerah, beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan mengelirukan mahkamah, dan memberi amaran hukuman penjara atau denda boleh dikenakan terhadap sebarang cubaan sedemikian.

Zahid berdepan 47 tuduhan membabitkan 27 kes pengubahan wang haram, lapan kes rasuah dan 12 kes pecah amanah membabitkan wang Yayasan Akalbudi.

Kamu nak jadi PM, kami hilang tiga MB

Malaysia Dateline
"Beliau akan dilihat sebagai alat kepada Umno untuk kembali berkuasa sahaja sekarang," kata penganalisis politik.

“Kerana kamu hendak jadi Perdana Menteri, kami di tiga negeri ni terpaksa berkorban.”

Itulah serangan yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang dari ahli-ahli PPBM khasnya di Johor, Kedah dan juga Perak.

Ini berikutan PPBM atau lebih dikenali sebagai Bersatu itu kehilangan tiga menteri besar dan diserahkan kepada Umno di ketiga-tiga negeri itu.

Mesej yang tular dalam media sosial kini adalah:

“Di Johor, Bersatu masuk PN (Pakatan Nasional), MB Bersatu kena tendang, Umno pula jadi MB.

“Di Perak, Bersatu masuk PN, MB Bersatu kena tendang, Umno juga akan jadi MB.

“Di Melaka, Bersatu masukk PN, Umno juga jadi MB.

“Muhyidin jual Bersatu kepada Umno. Pas pula jadi perkakas nak naikkan kleptokrat.

“Siapa untung, siapa rugi.”

Bagi penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak akan stabil dengan kedudukan yang ada terutama selepas apa yang berlaku di ketiga-tiga negeri itu.

“Beliau akan dilihat sebagai alat kepada Umno untuk kembali berkuasa sahaja sekarang,” kata Dr Mazlan mengulas kejayaan Umno merampas sekurang-kurangnya tiga kerusi MB dari Bersatu di tiga negeri

Bagi beliau, apa yang boleh dilakukan oleh Muhyiddin sekarang adalah menukar Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan kehendaknya dipenuhi.

“Namun kalau test pertama beliau untuk menukar speaker ini gagal, kedudukannya juga dalam bahaya. Ini akan buktikan juga dia tidak ada jumlah yang cukup,” katanya.

Pilihan yang ada juga kepada Muhyiddin sekarang adalah membubarkan Parlimen.

“Namun ini sudar juga untuk Muhyidin dan Bersatu. Bersatu terpaksa berebut kerusi dengan Umno dan Pas yang mahu bertanding di kawasan yang sama iaitu kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Ketua Menteri Melaka tekad tak mahu letak jawatan

Bubar Dun Melaka:’Nak tunggu saya letak… saya tidak akan letak jawatan’
MALAYSIADATELINE

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari bertegas beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka melainkan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun).

Beliau dalam ceramah sulungnya malam ini diadakan selepas cadangannya agar berlaku pembubaran Dun ditolak, oleh Yang Dipertuan Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob hari ini dalam usaha untuk mempertahankan mandat rakyat dalam PRU14 lepas.

Dakwa Adly lagi, dalam pertemuannya dengan Mohd Khalil,hari ini, beliau telah menyatakan hasratnya tidak akan meletakan jawatan sebagai Ketua Menteri melainkan bubarkan Dun dan diadakan Pilihan Raya Negeri..

“Kalau mereka nak ambil (jawatan KM) terpulang kepada mereka, nak tunggu saya letak.. saya tidak akan letak.

“Kalau mereka berani.. bubarkan Dewan Undangan Negeri

“Biar kita lawan anak jantan.. kita tengok siapa yang rakyat humban dalam pilihan raya,” ujarnya di perkarangan Seri Negeri malam ini menerusi video langsung di facebooknya malam ini.

Kata Adly kerajaan negeri Melaka tidak boleh ditumbangkan hanya disebabkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri dari gabungan PH memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Muafakat Nasional.

Kata Adun Bukit Katil dari Parti AMANAH Negara ini, kemelut kepimpinan di negeri itu hanya boleh diselesaikan dengan pembubabaran Dun dan ia adalah yang terbaik untuk mengekalkan mandat rakyat yang telah menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Sebenarnya yang terbaik di negeri Melaka dengan membubarkan Dun

“Ini kerana sistem kita tidak boleh dibeli dengan dua tiga orang.. mereka pindah ke sana dan kerajaan negeri jatuh.

“Semangat demokrasi yang kita bina mandat rakyat tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan memburukkan orang lain.

“Mandat rakyat jika berlaku apa-apa mesti dipulangkan kepada rakyat,” ujarnya yang mencadang untuk menganjurkan himpunan yang lebih besar lagi bersama rakyat.

Hari ini Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan berkata atas budi bicaranya, Yang Dipertuan Negeri Melaka tidak bersetuju dengan permohonan membubarkan Dun) Melaka yang dibawa Adly.

Situasi kepimpinan di Melaka menyaksikan kesemua 13 Adun BN bergabung dengan empat lagi Adun dari Bersatu (2), PKR (1) dan DAP (1) untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional di negeri itu.