"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menghalalkan lelaki berpakaian perempuan mencabar hukum Allah - Mufti Perak

Lelaki berpakaian perempuan: Jangan cabar hukum Allah, kata Mufti Perak
Aktivis transgender, Nisha Ayub (kanan) bersama rakan sekerjanya di luar Mahkamah Rayuan Putrajaya.
IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengistiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan perlembagaan sebagai tindakan mencabar hukum Allah S.W.T.

Menurut beliau, lelaki berpakaian seperti perempuan atau pun sebaliknya adalah salah satu perkara yang amat bertentangan dengan ajaran Islam justeru ianya perlu disekat.

Katanya, tindakan Mahkamah Rayuan itu diibaratkannya sebagai menghalalkan perkara yang haram dan ianya akan menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.

“Ianya adalah kehendak dan juga hukum agama Islam bukannya adat untuk kita sesuka hati menghalalkan. Haram untuk lelaki menyerupai wanita.

“Saya amat sedih, udang-udang tersebut diwujudkan bagi menjaga akhlak orang Islam untuk tidak melanggar hukum syarak Islam. Tetapi sekarang ianya seperti dihalalkan.

“Dengan keputusan yang dibuat, masyrakat khususnya orang Islam akan bebas melakukan dosa dan melanggar syarak Islam tanpa rasa takut. Jangan kita mengundang bala” katanya ketika ditemui di pejabatnya pada Jumaat.

Dr. Harussani juga turut menasihatkan orang ramai untuk memahami ilmu agama dengan lebih mendalaman supaya setiap perbuatan tidak akan bercanggah dengan fahaman agama Islam.

“Saya harap orang ramai faham kehendak agama, belajar dan kenal Allah S.W.T serta hukum-hukumnya.

“Memang kita digalak menjadi liberal, tetapi liberal dalam soal pembangunan, jangan sampai kita mencabar tuhan dan mengubah hukumnya sendiri,” ujarnya.

Menurut laman portal Malaysian Insider, Mahkamah Rayuan pada Jumaat telah mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam yang berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah tidak berperlembagaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah melanggar Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan sebulat suara itu bermakna undang-undang yang sama di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan juga tidak sah dan batal, katanya portal tersebut. 
-Astro-

Kes Mat Sabu: Saksi tak tahu siapa Agong pada tahun 1950

MOHD SABRI SAID
BUTTERWORTH: Saksi pendakwa yang kelapan iaitu Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara, ASP Jafri Md Zain mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa laporan polis pihak pengadu berhubung kes Mat Indera tetap mempunyai nilai walaupun laporan polis mengandungi fakta-fakta yang tidak betul dan tidak masuk akal.

Pada perbicaraan kelmarin, saksi pendakwa itu disoal bertalu-talu oleh peguambela Mohamad Sabu, Mohamed Hanipa Maidin berhubung siasatan beliau berkenaan laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu mantan pesara polis iaitu Visvanathan.

Di dalam laporan polis itu beliau menyatakan Mat Sabu menyokong komunis dan menderhaka Yang di-Pertuan Agong.

Hanipa menyoal pegawai penyiasat itu bagaimanakah laporan polis pengadu boleh dikatakan mempunyai nilai dalam keadaan dakwaan pengadu menderhaka kepada Agong adalah tidak masuk akal kerana pada tahun 1950 iaitu kejadian tragedi Bukit Kepong institusi Yang di-Pertuan Agong belum wujud lagi.

Begitu juga Hanipa membangkitkan dakwaan pengadu kononnya menyokong komunis adalah suatu yang secara jelas tidak betul kerana Mat Sabu tidak pernah sama sekali menyebut perkara tersebut di dalam mana-mana ucapannya.

ASP Jafri yang berkhidmat selama 19 tahun dengan PDRM adalah saksi kelapan pendakwa.

Beliau dan beberapa petugas PDRM telah pergi ke Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Fahmi Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011 untuk merakam tujuh keping gambar. Mat Sabu didakwa di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Butterworth di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Selepas keterangan pegawai penyiasat itu perbicaraan tersebut kini ditangguhkan kepada 14 Disember 2014 depan di Mahkamah Kuala Terengganu ekoran waris kepada salah seorang polis pada kejadian Bukit Kepong, Jaafar Hasan dalam keadaan uzur dan tinggal di Terengganu.

Berikut adalah antara lain soalan Hanipa ke atas saksi pendakwa tersebut.

Soalan: Adakah kamu ada ambil statement daripada pengadu kes ini iaitu encik Visvanathan?

Jawapan: Tiada

Soalan: Berapa pegawai penyiasat dalam kes ini?

Jawapan: Saya seorang.

Soalan: Jika kamu seorang siapa pula yang ambil keterangan pengadu di bawah seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah?

Jawapan: Ada pegawai penyiasat lain.

Soalan: Maknanya bukan seoranglah..ada pegawai penyiasat lainlah?

Jawapan: Saya tak setuju.

Soalan: Kamu ada baca laporan polis pengadu.

Jawapan: Ada.

Soalan: Cuba lihat laporan polis..setuju tak dia ada kata ucapan Mohamad Sabu tentang Bukit Kepong menghina atau derhaka Yang di-Pertuan Agong?

Jawapan: Ya, betul.

Soalan: Saya nak tanya kamu pada hari kejadian Bukit Kepong tahun 1950 sebelum merdeka siapa Yang di-Pertuan Agong.

Jawapan: Saya tak tahu.

Soalan: Sebagai Pegawai Penyiasatan kamu rasa laporan polis itu ada nilai bila dia kata Mohamad Sabu hina Agong. Bila pada waktu itu Agong pun belum ada?

Jawapan: Bagi saya ada nilai.

Soalan: Kamu lihat dalam laporan polis pengadu kata Mohamad Sabu sokong komunis dalam siasatan kamu, adakah dakwaan pengadu itu betul?

Jawapan: Ya, berdasarkan trankrip ucapan Mohamad Sabu memang dia sokong komunis.

Soalan: Kamu benar-benar pasti...ingat ya kamu dalam bersumpah ini adalah kamu masih nak kekalkan keterangan kamu?

Jawapan: Ya.

Soalan: Baiklah itu pilihan kamu, sekarang cuba lihat transkrip eksibit P7. Tunjukkan pada mahkamah di mana yang dikatakan Mohamad Sabu sokong komunis.

Jawapan: (Saksi tunjuk transkrip) Tiada Tuan Hakim.

Soalan: Adakah sekarang kamu masih nak katakan laporan polis pemgadu masih ada nilai?

Jawapan: Saya tak boleh jawab Tuan Hakim.

Soalan: Kamu setuju bukan Mohamad Sabu seorang saja yang kata mereka yang lawan penjajah British adalah pejuang kemerdekaan?

Jawapan: Ya.

Soalan: Maknanya ada perbezaan pendapat siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan seperti boleh dilihat dalam buku Pengukir Nama Johor yang disemak oleh pakar sejarah Ramlah Adam dan kata pengantar oleh Datuk Ghani Othman mantan Menteri Besar Johor?

Jawapan: Ya.

Soalan: Kamu setuju tak ada apa warta atau keputusan kabinet ke dalam kes Bukit Kepong ni hanya ada satu saja versi yang harus dipakai tentang siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan?

Jawapan: Saya tak mahu jawab.

Soalan: Oleh kerana kamu sendiri setuju ada pelbagai pendapat atau versi tentang siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan maknanya apa yang Mohamad Sabu kata bukan satu fitnah?

Jawapan: Saya tak setuju kerana apa yang dia kata tak sama dengan pendapat yang satu lagi.

Soalan: Bukan kamu sendiri dah mengaku ada lebih satu pendapat...tak apalah itu sahaja soalan saya Tuan Hakim.

Kenapa Pak Samad lebih suka dengar khutbah dalam Bahasa Tamil/

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata beliau tidak menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara kerana mendakwa khutbah di masjid itu menyebabkan "hatinya sakit".
Sebaliknya, katanya, beliau beralih mendengar khutbah di Masjid India walaupun dalam bahasa Tamil yang tidak difahaminya, berbandingkan khutbah di Masjid Negara yang didakwanya selalu memihak kepada kerajaan.

“Saya tidak suka dengar situ (Masjid Negara). Jadi saya pergi Masjid India. Dia (imam) bercakap dalam Bahasa Tamil dan saya tidak faham, tapi saya suka.

"Tak faham oklah, sedapkan? Tapi kalau dalam Bahasa Malaysia, dia cakap kamu faham, hati sakit," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sidang media bagi majlis makan malam dan mengutip derma bagi memperingati Teoh Beng Hock di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang mesra dipanggil Pak Samad sebelum ini biasa menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara tetapi beliau telah berpindah ke Masjid India sejak empat bulan lalu.

Walaupun khutbah di Masjid India menggunakan bahasa Tamil, Pak Samad berkata ramai orang Melayu menunaikan solat itu dan beliau sudah mulai rasa mesra kerana menemui rakan baik di masjid itu.

Sokong Anwar

Sementara itu Pak Samad berpendapat tidak mustahil berlaku himpunan besar-besaran jika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan berhubung kes liwat II.

"Kalau lihat dari hadirin umum yang datang (ke Mahkamah Putrajaya), memang ada yang rasa ketidakpuasan hati tentang kes ini.

"Jadi kalau ada apa-apa berlaku, misalnya hukuman yang tidak memihak kepada Anwar, tidak mustahil akan ada tunjuk perasaan yang besar-besaran di serata negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Pak Samad berkata beliau hadir ke mahkamah di Putrajaya dalam tempoh beberapa hari berturut-turut utnuk memberi sokongan kepada Anwar.

"Saya berada di situ memang untuk menyokong Anwar, sebagai seorang sasterawan negara saya mempercayai dia wajar disokong.

"Kalau anda lihat memang tidak ada sasterawan negara yang lain. Jadi saya memberi sokongan saya yang padu dan penuh,” katanya.

Majlis makan malam

Sementara itu, NGO Teoh Beng Hock Trust for Democracy akan mengadakan majlis makan malam untuk mengutip dana pada 5 Disember depan di Dewan Mutiara, Mutiara Complex, Jalan Ipoh bermula jam 7 malam

Pak Samad yang juga merupakan presiden Teoh Beng Hock Trust for Democracy berkata tujuan kutipan dana ini untuk membolehkan yayasannya membantu individu yang ditahan atau mati di lokap tahanan.

Katanya, kutipan dana ini juga bertujuan mengadakan pelbagai program pendidikan untuk menyedarkan masyarakat mengenai hak kemanusiaan dan demokrasi.

Beliau berkata, yayasannya akan menghantar surat kepada semua ahli Parlimen dan ADUN untuk mendapat bantuan dermaan dan berharap dapat mengutip RM500 ribu dana dalam majlis itu.
-malaysiakini-

Keputusan rayuan Anwar selepas Umno bersidang?

HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: Apabila Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan kes rayuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini disabitkan dengan hukuman lima tahun penjara ke suatu tarikh lain, persoalan yang menjadi teka-teki ramai ialah bilakah ia akan diumumkan dan apakah pula keputusannya.

Sementara pihak pembela dan pendakwa melahirkan keyakinan keputusan nanti akan memihak kepada mereka, orang ramai juga mulai membuat telahan dan andaian masing-masing, tulis Shahbudin Husin dalam blognya.

Menurutnya, ada yang yakin Anwar akan didapati bebas dan ada juga yang merasakan sebaliknya.

Arifin yang mengetuai panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan membuat penangguhan itu selepas tidak sampai sejam mendengar hujah penutup oleh pihak pembela dan pendakwa pada petang semalam selepas bersidang sejak tujuh hari lalu.

Empat lagi hakim yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Beliau berkata, memandangkan banyak fakta dikemukakan, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk membuat penilaian dan keputusan akan dibuat di tarikh lain yang akan diberitahu kemudian.

Pada pandangan Shahbudin, berbanding kes rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mana keputusan diumumkan pada hari yang sama pendengaran hujah kedua-dua pihak pendakwa dan pembela berakhir, penangguhan keputusan ini mengulangi seperti apa berlaku dalam Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Baginya, tidak dipastikan berapa lamakah panel lima hakim ini memerlukan masa untuk menilai fakta-fakta yang dikemukakan sebelum membuat keputusan muktamad, mungkin seminggu, dua minggu, tiga minggu atau lebih lama daripada itu.

Beliau berpendapat, memandangkan Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini, adalah dijangkakan keputusan kes rayuan Anwar itu hanya akan diumumkan selepas tarikh tersebut.

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan ketua pembangkang itu.

Jika Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut kelayakan sebagai anggota parlimen (MP) kawasan Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Gambar Anwar Ibrahim dan Mahathir duduk berhampiran ketika solat Jumaat

Tranungkite
Pertemuan dua insan yang bersama-sama bergerak untuk memajukan UMNO akhir menjadi pertembungan yang maha darsyat sehingga hari ini di suatu Jumaat.

Gambar ini menjadi satu nostagia klasik!!

Berita malang bagi peminat sukan

Pemain badminton nombor satu Malaysia, Datuk Lee Chong Wei berdepan dengan tindakan penggantungan apabila gagal ujian doping kali kedua di Norway.

Laporan The Star menyebut, ujian ke atas “Sampel B” itu dijalankan pada 5 November dan pembukaan materainya disaksikan sendiri oleh Lee.

Ujian itu menunjukkan sampelnya mengandungi dexamethasone, sejenis bahan antiradang.

Menurut laporan itu, Lee menjalani ujian rawak semasa kejohanan dunia di Copenhagen pada 30 Ogos.

Beliau berdepan penggantungan daripada kejohanan sukan itu untuk tempoh sehingga dua tahun namun berhak mendapat pendengaran oleh Persekutuan Badminton Dunia.
-malaysiakini-


SIS Sebenarnya Cabar Kuasa Allah, Bukan cabar kuasa Sultan Selangor

SIS nafi cabar kuasa Sultan Selangor
Post Pic
KUALA LUMPUR: Sisters In Islam (SIS) hari ini menafikan mencabar kuasa sultan dengan memfailkan semakan kehakiman terhadap fatwa mengharamkan mereka.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu mengeluarkan kenyataan selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan umat Islam agar tidak menentang fatwa.

SIS berkata, pada masa lalu, fatwa pernah disemak semula dan apa yang mereka lakukan bukan perkara baru.

"Fatwa boleh disemak semula, dan diubah. Lihat fatwa berhubung Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Berhad di Selangor.

"Mula-mula mereka kata amanah saham itu haram, kemudian ianya diubah kepada tidak halal.

"Jadi, apakah itu juga mencabar kuasa Sultan,” kata Pengasas SIS Zainah Anwar pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Fatwa mengharamkan SIS digazetkan pada Julai, mengisytiharkan NGO itu dan organisasi sama yang mempromosikan "liberalisme dan pluralisme" bercanggah dengan ajaran Islam.

Ketika berucap di Majlis Multaqa Sultan Selangor di Shah Alam pagi tadi, Sultan Selangor bertitah, umat Islam seharusnya yakin dengan penuh ikhlas dan bersatu padu fikiran untuk mengatasi segala ajaran Islam mengatasi ideologi dan kepentingan politik.

"Sesuatu fatwa yang dibuat di negeri Selangor ini hanya sah setelah mendapat persetujuan dan perkenan beta.

"Beta menyeru kepada umat Islam janganlah tergesa-gesa mengkritik fatwa yang dikeluarkan tanpa memahami dengan sepenuhnya," titah baginda.

Zainah menjelaskan hari ini, semakan kehakiman bukanlah isu agama tetapi lebih kepada isu Perlembagaan.

"Ia berkaitan dengan kebebasan untuk berekspresi, kebebasan untuk berpersatuan dan kebebasan untuk beragama,” katanya. - themalaysiainsider

.....
SIS hanya cabar Allah dengan tidak memahuhi arahan Allah wanita mesti menutup aurat

Curi Motor Dan Dibogelkan, Ini Penjelasan Kariah Masjid

Rentetan dari tersebarnya gambar tersebut di dalam media sosial banyak pihakan telah mempersalahkan jemaah masjid termasuk dengan Imam serta AJK Masjid.

Kerana ramai yang beranggapan suspek tersebut telah dipukul oleh kariah masjid tersebut disebabkan dalam gambar yang tersebar kelihatan jemaah Masjid turut berada disitu.

Persepsi yang timbul dari gambar tersebut ialah suspek dibelasah dan diaibkan oleh jemaah Masjid sendiri..

Bagaimanapun ahli kariah Masjid tersebut menafikan mereka yang memukul suspek, berikut adalah penjelasannya..

Salam hormat...
penjelasan mengenai kes curi motor di Masjid Mukim Pauh 5 semalam (4.11.2014)

Dato/Datin/Tuan/Puan/
Ramai yg mendakwa bahawa suspek telah dipukul dan dan ditelanjangkan oleh jemaah Masjid.

Untuk pengetahuan semua, suspek telah ditangkap oleh salah seorang ahli jemaah yg datang lewat utk solat isya..

Oleh kerana solat berjemaah sedang berada dirakaat akhir dan jemaah belum selesai melaksanakan solat, suspek telah dibawa keluar dari kawasan masjid dan pergi ke tepi jalan ditempat yang ada orang...

Suspek curi telah dipukul di luar kawasan masjid dan semakin ramai orang datang memukulnya termasuk pengguna jalanraya.

Sedikit pun tidak ada kaitan dengan imam dan Ahli jemaah yg lain. Ahli jemaah masjid hanya datang selepas suspek telah dipukul oleh orang ramai...

Akhirnya, saya tegaskan disini perbuatan memukul dan menelanjangkan pencuri motor itu bukanlah perbuatan Imam dan ahli jemaah seperti yg telah didakwa di WhatsApp, Telegram, Fesbuk dan lain2 laman sosial.

Akhir kata.. Siasatlah dulu Sebelum menghukum.
Muda2an kita semua dilindungi Allah..

Oleh: ahli Qaryah Pauh Lima.

Gambar Di Hari Perkahwinan Yang Memalukan Dan Menyedihkan

Selatanonline
Calon pengantin perempuan yang berniat memberi kejutan dengan make up usia 50 tahun sebagai gurauan lantas ditinggalkan begitu sahaja oleh kekasihnya kerana marah. Pasangan pengantin Guo Chien merasa marah dengan tindakan yang di lakukan oleh Qing Kao, 26, muncul di hari perkahwinannya di bandar Shenzhen di tenggara wilayah Guangdong, China dengan wajah di make up untuk memberi kesan kedutan dan kulit pucat.

"Saya fikir dia akan tertawa dan melihatnya sebagai jenaka. Tapi dia sangat marah dan berkata tidak akan bergambar dengan saya jika seperti ini. Dia kemudian masuk teksi dan pergi," jelas Kao.

Chien menunjukan rasa marahnya di depan orang ramai orang yang melintasi kawasan itu, kemudian meninggalkan Kao sendirian yang menangis sebelum akhirnya memutuskan untuk pulang.
Sumber: http://dairishare.blogspot.com

Cerita Ustaz Yang Temui Jenazah Ahmad Rafikin Yang Hilang 3 Hari

Selatanonline
Pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Mahmud yang hilang ketika menyertai acara maraton Cabaran Antarabangsa Gunung Terom, Sekayu, ditemui mati, kira-kira jam 6.35 petang tadi. Allahyarham Ahmad Rafikin Azman, 16, ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat tersepit di celah batu, tidak jauh dari trek perlumbaan, lapor sebuah portal berita. Jenazahnya dibawa turun ke kaki gunung pada kira-kira jam 6.50 petang dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat. Berikut merupakan cerita kawan kepada ustaz yang menemui jenazah arwah Ahmad Rafikin.

Ni gambar aku amik masa ustaz ni azan. Lepas azan 3 kali angin kuat menyapa dan masa tu ustaz ni berkomunikasi dengan benda tu. Bawah jambatan tu la diorang ada terdengar seperti orang menangis minta tolong tapi cari punya cari tapi tak jumpa. Aku yang terlibat dalam operasi ni pun macam tak caya. Kata ustaz tadi takda mende pun (dia macam menyembunyikan sesuatu). Korek punya korek. Ustaz tu cerita ada 3 orang, dua lelaki dan seorang perempuan tua. Seorang budak remaja perempuan, cucu kepada si tua tadi berkenan dengan arwah. Macamana cucu tu leh berkenan dengan arwah Ustaz tak cerita sebab ustaz pun tak tahu. Dekat-dekat kawasan tu ada pintu gerbang alam kita dan alam dia. Kedudukan gerbang tu depan sedikit dari jambatan gantung yang kedua. Al Fatihah kepada adik Ahmad Rafikin. Semoga keluarga tabah.
Ketika Ustaz Sedang Melaungkan Azan
Penduduk dan para penyelamat membuat solat hajat dan doa di air terjun.

Potong dan bawa lari kaki kakak

Balangoda (Sri Lanka) Polis melancarkan gerakan memburu dua lelaki yang memotong kaki seorang wanita di depan sebuah kedai di sini sebelum melarikannya. 

Menurut laporan akhbar, seorang daripada lelaki itu ialah adik mangsa dan seorang anak saudaranya. Mangsa yang bekerja di sebuah perpustakaan kini dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital dengan kecederaan teruk. 

Menurut polis, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja Isnin lalu apabila dihalang oleh adik dan anak saudaranya. Mereka kemudian memotong kaki wanita itu dan membawanya lari dari tempat kejadian. Pihak berkuasa hospital berkata semalam, mungkin sudah terlambat untuk mereka membantu menyambung semula kaki wanita berkenaan. 
- Agensi

Terlampau banyak kebetulan dalam kes liwat 2

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan harus melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan memandangkan kes pendakwaan itu penuh dengan keraguan dan kebetulan yang tidak terkira.
Peguam Ramkarpal Singh berkata, ia tidak boleh menjadi satu kebetulan apabila Mohd Saiful Bukhari bertemu dengan seorang pegawai kanan polis dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum kejadian liwat yang didakwa itu.

Beliau berkata, semua bukti saintifik yang dikemukakan pihak pendakwaan dalam kes liwat itu tidak boleh dipercayai dan patut ditolak pada akhir kes pendakwaan di peringkat Mahkamah Tinggi itu sendiri.

"Kemungkinan yang nyata ialah sampel bahan itu telah tercemar dan hakikat bahawa pemerian mereka (pendakwaan) tidak sama dengan sejarah sampel yang diambil, jelas menimbulkan keraguan yang serius terhadap integriti sampel.

"Ia tidak boleh dikatakan tanpa ragu-ragu bahawa ia adalah sampel yang sama diambil daripada PW1 (Mohd Saiful Bukhari)," beliau berhujah di hadapan lima anggota panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada hari ketujuh prosiding rayuan akhir penasihat PKR itu.

Beliau juga tidak bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa merekalah yang membuktikan bahawa sampel itu diusik, terutama yang dikumpulkan daripada rektum pengadu.

Ramkarpal berkata, meskipun ada kemungkinan besar sampel itu diusik dan ia boleh membawa kepada pegawai penyiasat Supritendan Jude Blacious Pereira (kini bersara), pihak pembelaan tidak dapat menyoalnya memandangkan mungkin orang lain yang melakukannya.

Menyentuh keterangan dua ahli kimia, iaitu Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, Ramkarpal berkata bahawa hakim Mahkamah Tinggi gagal menyedari kekurangan saksi dalam analisis mereka.

"Tidak akan ada sebarang sebab untuk memanggil perayu (Anwar) untuk memasukkan pembelaannya memandangkan dapatan berhubung dengan 'Lelaki Y' adalah diragukan," katanya.

(Semasa perbicaraan, Dr Seah mengesahkan bahawa profil DNA Lelaki Y adalah padan dengan profil DNA Anwar, yang dikumpulkan daripada perayu ketika beliau ditahan semalaman di ibu pejabat polis kontingen Kuala Lumpur).

Mengenai saksi utama itu sendiri (Mohd Saiful Bukhari), Ramkarpal berkata dia bukan saksi yang meyakinkan.

"Dia mungkin tidak diliwat memandangkan sebenarnya tiada bukti bahawa ada penetrasi.

"Hakikat bahawa air mani ditemui pada dubur beliau tidak boleh, dalam hal keadaan kes ini, membawa maksud bahawa beliau mengalami penetrasi kerana terdapat keraguan yang serius sama ada air mani itu benar-benar diambil daripada PW1 (Mohd Saiful Bukhari) pada 26 Jun 2008, "katanya.

Oleh itu, Ramkarpal menggesa mahkamah untuk tidak terpengaruh dengan taakulan salah pendakwaan bahkan menganggap bukti DNA itu boleh dipercayai memandangkan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan sama ada berlaku penetrasi.

Beliau membuat kesimpulan dengan berkata rayuan itu patut dibenarkan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan.

Pada 7 Mac, Anwar, 67, dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan itu oleh Mahkamah Rayuan, selepas didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Dmansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3:10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
-mstar-

Ini Beberapa Perkara Yang Patut Diamalkan Sebelum Tidur


-tranungkite-

Zikir sehingga berjaya berjabat tangan dengan Para Malaikat

Selatanonline
“Hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!”

“Hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!” lantun Hanzalah pada dirinya. Kakinya mengerah cepat ke Masjid. Nabi pasti ada disana fikirnya. Riak ketakutan dan secebis penyesalan terlukis diwajahnya.

“Hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!”Diulangnya beberapa kali. Sedang dalam perjalanan, Hanzalah berselisih dengan Saidina Abu Bakar As Siddiq. Saidina Abu Bakar terkejut dengan apa yang diucapkan oleh Hanzalah tersebut.

“Apakah yang telah kau katakan ini wahai Hanzalah?” Tanya Abu Bakar

“Wahai Abu Bakar, ketahuilah Hanzalah telah menjadi munafik. Aku ketika bersama Rasulullah aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir padaku. Aku menangis kerana takutkan neraka.”

“Namun. Dirumah aku ketawa riang bersama anak-anak dan isteriku . Hilang tangis aku bersama Rasulullah.”

“Aku telah menjadi munafik!” Ujar Hanzalah sambil teresak-esak bimbangkan akan dirinya.

Saidina Abu Bakar terkejut.

“Kalau begitu aku pun munafik. Aku pun sama denganmu wahai Hanzalah.”

Lantas, kedua-dua sahabat ini bersama-sama menemui Rasulullah. Tangisan tidak berhenti. Mereka benar-benar ketakutan. Takut pada Allah. Takut azab neraka yang sedia menunggu para munafik.

Hati mereka gementar.

Sesampainya di hadapan Rasulullah, Hanzalah bersuara.
“Wahai Rasulullah, Hanzalah telah munafik.”
Rasulullah bertanya. “Kenapa?”

“Ketika aku bersamamu ya Rasulullah, aku merasakan seolah-olah syurga dan neraka itu sangat hampir. Lantas air mataku mengalir. Tapi, dirumah aku bergurau senda keriangan bersama anak-anak dan isteriku . Tidakkah aku ini seorang munafik ya Rasulullah”

Rasulullah tersenyum.

Lantas baginda bersabda,

“Demi yang jiwaku di tanganNya andai kalian tetap seperti kalian di sisiku dan terus berzikir nescaya para malaikat akan berjabat tangan kalian, sedang kalian berada di atas tempat tidur dan di jalan raya, akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu)”. – HR. Muslim

Huraian maksud hadis di atas ialah kita sebagai manusia ini memang mempunyai iman yang turun dan naik. Hanya para malaikat sahaja yang mempunyai iman yang mendatar. Yang penting sekiranya kita ada berbuat dosa, bertaubatlah, dan berusahalah dengan bersungguh-sungguh agar iman kita meningkat setanding dengan para sahabat Rasulullah SAW, seperti Hanzalah dan Saiyidina Abu Bakar As Siddiq. Walaupun mereka mempunyai tahap keimanan yang sangat tinggi, mereka masih risau tentang tahap keimanan mereka!

Perbicaraan liwat II diteruskan hingga solat Maghrib


7.40pm: Selepas mengimamkan solat Maghrib, Anwar kemudiannya berucap di hadapan kira-kira 300 orang penyokong di bawah khemah bertentangan dengan Kompleks Perbandaran Putrajaya.

Ketika berucap, Anwar mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya yang sanggup berpanas dan berhujan deminya.

"Mana nak cari (penyokong) macam ini. Mana nak cari yang sanggup berhujan panas. Saya teruk juga tapi saya duduk dalam bilik berhawa dingin. Ini hujan atau panas tetap bertahan.

"Di manakan ku cari ganti," kata Anwar sambil mendapat sorakan daripada penyokongnya.

Selepas itu, Anwar meminta kepada penyokongnya supaya berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman pada jam 3 petang esok dan solat Jumaat terlebih dahulu di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selepas itu, Anwar melaungkan "Lawan tetap lawan", "Hidup rakyat", "Reformasi" dan takbir.

Sementara itu, ketika ditemui Malaysiakini bagi mengulas berhubung kejadian tangkapan kepada tiga orang penyokongnya, Anwar berkata beliau akan mendapatkan maklumat mengenainya kejadian itu terlebih dahulu.

"Saya kena periksa dulu. Saya kena dapatkan maklumat dulu," katanya ringkas.

7.15pm: Walaupun keadaan di Putrajaya hujan lebat, namun penyokong Anwar masih bersemangat melaungkan "reformasi" ketika Anwar berjalan menghampiri mereka.

Selepas keluar daripada Istana Kehakiman, Anwar solat maghrib bersama penyokongnya.

7.00pm Mahkamah ditangguhkan dan akan bersambung pada jam 3 petang esok.

Sementara itu, di luar mahkamah, terdapat tangkapan terhadap dua wanita dan seorang lelaki.

Bagaimanapun punca tangkapan dan siapa ditangkap masih lagi tidak diketahui.
Naib Presiden PKR Tian Chua dan anggota parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin akan pergi ke Balai Polis Putrajaya untuk mendapatkan maklumat lanjut.




6.40pm: ‎Gopal mempertahankan tindakan Karpal Singh yang mahukan dokumen berkaitan.

Menyentuh soal Dr Osman, Gopal berkata, beliau tidak ada di situ untuk mempertahankan diri jadi tugas itu akan diambil olehnya.

“Negara ini mengundangnya menjadi doktor, kerana dia warganegara asing. Dia pulang ke tempat asal selepas tamat berkhidmat.

“Dia tidak motif untuk menyebelahi perayu (Anwar).”

“Nota-notanya menunjukkan alat plastik diguna untuk memasukkan,” katanya.

6.25pm: Gopal berkata, peruntukan dalam kes 'Tandoor' di India yang dipetik Shafee berbeza dan tidak boleh digunakan di sini.

6.20pm: Gopal berkata, Hasanuddin, pemilik kondominium tidak boleh dipanggil kerana ia telah diganggu.

Katanya, Anwar menafikan bahawa insiden liwat itu berlaku.

“Saksi pembelaan tidak boleh tampil ke depan kerana mereka diganggu,” tambahnya.

Anwar sebelum ini menyerahkan senarai 13 saksi alibi tetapi tiada yang dipanggil.

6.15pm: Peguam bela berkata, prinsip itu hanya terpakai dalam kes dadah.

Gopal merujuk kepada testimoni Saiful berhubung "tanpa kerelaan".

“Tidak betul untuk memberikan konotasi berbeza."

6:10pm Gopal berhujah berhubung adverse inference yang boleh mengaitkan Anwar, jika saksi alibi tidak dipanggil.

6.03pm: Gopal membaca keterangan Saiful berhubung KY jelly.

Saiful, katanya, menawarkan KY jelly sebagai ekshibit pada 28 Jun tetapi Jude enggan menerimanya dan hanya merampasnya di pejabatnya pada hari kemudiannya.

5.29pm: Gopal berkata Saiful mempunyai keberanian bertemu dengan timbalan perdana menteri, bukan hanya di pejabat tetapi juga di rumahnya.

Shafee meminta rehat sebentar sebelum menjawab hujah-hujah Gopal.

Hakim membenarkan rehat 20 minit untuk berhenti solat.

5.26pm: Gopal berkata, seluar dalam yang dirampas berjenama Levi's.

Beliau juga bertanya sama ada sut itu berjenama “Brioni atau brownie".

Shafee bangun dan berkata selepas pihak pendakwaan mendengar kembali transkrip, ia sebenarnya Brioni dan “kedengaran seperti briyani”.

“Ya,” Gopal berseloroh, “tetapi sut Brioni lebih mahal daripada briyani”.

Gopal berkata, malah seluar dalam Saiful mempunyai label tetapi tidak seluarnya, yang didakwa Brioni.

5:20pm: Gopal menyentuh berhubung dakwaan layanan istimewa dengan pemberian sut Brioni.

“Saya fikir yang arif pun tidak mampu. Ia sut 16,000 dolar,” guraunya.

Katanya, Saiful memberikan seluar pada mahkamah tetapi tiada label.

“Sudah pasti jika ia dihantar ke tukang jahit sudah tentu ada label,” katanya sambil menambah tiada bukti sut Brioni diserahkan.

4.57pm: Gopal berkata keterangan Saiful berhubung insiden sebelumnya tidak boleh diterima.

5.13pm: Walaupun hujan lebat, penyokong Anwar kini berzikir bagi mendoakan supaya dibebaskan.

4.53pm: Gopal mempersoal Saiful menghidangkan kopi dan karipap selepas insiden didakwa berlaku.

Katanya, Saiful berkata pintunya berkunci dan tetapi bagaimana dia dapat menghidangkan karipap itu.

Gopal kini membaca keterangan Anwar daripada kandang (dok).

4.47pm: Gopal berkata, Saiful bukan lelaki biasa kerana dia cuba mendapatkan maklumat secara tidak sah daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) ketika itu Farah Azlina Abdul Latif.

4.45pm: Cuaca di Putrajaya kini gelap gelita dan hujan lebat.

Bagaimanapun penyokong Anwar tidak berganjak daripada perkarangan Istana Kehakiman.

Mereka kini berteduh di khemah yang berada di hadapan Mahkamah Persekutuan yang dipasang sempena sebuah karnival pada hujung minggu ini.

Naib presiden merangkap setiausaha agung PKR Rafizi Ramli turut memberitahu penyokong Anwar bahawa ketua pembangkang mungkin dibebaskan.

4.40pm: Gopal berkata, Saiful malah menggoda anggota pasukan pendakwaan.

4.30pm: Perkara itu, kata Gopal, merosakkan kes pendakwaan.

“Tanpa permaidani, pendakwaan tidak dapat membuktikan.”

Gopal kemudian mempersoal kewibawaan Saiful dengan berkata dia mengagumi Anwar tetapi sebaliknya membenci Anwar.

Gopal, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, berkata terdapat keterangan daripada Najwan Halimi.

Gopal membawa testimoni Najwan yang menyebut Saiful biasanya memuat naik gambarnya bersama pemimpin-pemimpin dan logo BN di samping gambar Anwar Ibrahim yang dirujuknya sebagai “pemimpin munafik”.

Gopal berkata, Najwan juga terkejut melihat Saiful berkhidmat dengan Anwar ketika dia membenci perayu.

4.24pm: Ram berkata, hakim telah melawat tapak itu tetapi hakim Arifin berkata lawatan itu tidak direkodkan.

Gopal berkata, tiada bukti direkodkan bahawa permaidani itu dipindahkan, ketika ditanya berterusan oleh hakim-hakim.

Shafee dalam penghujahannya berkata permaidani itu dipindahkan ke unit lain.

4.21pm: Gopal berkata pelakuan liwat tidak berlaku kerana insiden berlaku pada unit 11-5-1 di atas permaidani tetapi permaidani ditemui di unit yang lain.

“Berdasarkan ini, pelakuan meliwat tidak pernah berlaku,” katanya.

4.13pm: Gopal berkata, permaidani sutera China dirampas daripada unit 11-5-2 oleh pegawai forensik polis Supt Amidon Anan.

Gopal berkata, polis juga merampas sehelai rambut dirampas di 11-5-1 tetapi permaidani dirampas di unit 11-5-2.

Menyentuh dakwaan pihak pendakwaan bahawa permaidani itu dipindahkan, Gopal berkata, “Tetapi saya tidak percaya dengan permaidani terbang.”

“Tiada bukti bahawa permaidani itu dipindahkan. Pemilik kondominium Hasanuddin tidak dipanggil,” tambahnya.

Hakim Abdull Hamid bertanya sama ada Saiful ditunjukkan dengan permaidani itu. Gopal menjawa dia mengenal pastinya.

4.06pm: Peguam bela utama Gopal Sri berkata, kes pihak pendakwaan dalam insiden sebelum ini berdasarkan kemungkinan.

Beliau kemudian merujuk kepada laporan polis Saiful yang menyebut insiden berlaku pada jam 3.30 petang di unit 11-1-5, Kondominium Desa Damansara.

Kata Gopal, dalam kes pendakwaan, perincian kesalahan itu daripada keterangan Saiful menyebut dia dipaksa mengambil posisi di atas permaidani.

“Pelakuan itu dilakukan atas permaidani dan itu kes pendakwaan,” katanya.

3.55pm: Gobind kini merujuk pada testimoni palsu DSP Jude di Suhakam dan juga kes Teoh Beng Hock berhubung sampel DNA yang tidak dapat dikenal pasti pada tali pinggang si mati.

Pegawai penyiasat dalam kes Teoh, kata Gobind, bertindak proaktif dalam memangil anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan sampel, bagi mengecualikan diri mereka.

“IO (pegawai penyiasat) dalam kes Anwar tidak melakukan perkara itu,” katanya.

3.43pm: Gobind berkata, terdapat ada yang tidak kena dalam kes itu apabila dia diliwat oleh seorang, sedangkan keterangan mencadangkan terdapat dua orang meliwatnya.

Ini kerana, katanya, terdapat alel 18 dan dengan hakikat itu sahaja pun Anwar patut dibebaskan.

Gobind berkata, Shafee menyebut bahawa alel 18 mungkin daripada Dr Osman dan ia seperti Shafee menyokong hujah pasukan pembelaan.

3.32pm: Gobind membangkitkan kes Hanif Basree, yang mana hakim Abdull Hamid Embong menjadi hakim perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi.

Katanya, kes itu serupa apabila terdapat keterangan berhubung DNA tertuduh dan terdapat juga DNA pihak lain dalamnya.

“Terdapat keterangan bahawa ia 18 alel (pihak lain).”

Hanif, seorang jurutera di Shah Alam, dibebaskan daripada kes pembunuhan Norita Samsuddin kerana terdapat kehadiran air mani atau DNA orang lain.

Gobind menggesa mahkamah menolak keterangan daripada lokap dan persoalan bagaimana Lelaki Y sampai kepada ekshibit.

“Pendakwaan gagal membuktikan bahawa Lelaki Y adalah perayu.”

3.25pm: Gobind berkata, anak guamnya cuba dikaitkan dengan “Lelaki Y”.

Katanya, Mahkamah Tinggi menyebut, oleh kerana Anwar satu-satunya yang berada dalam sel, Lelaki Y haruslah dia.

Bagaimanapun, kata Gobind, orang lain juga mungkin mempunyai akses kepada sel yang digunakan Anwar.

“Penemuan ini berdasarkan penghunian tunggal, tetapi jika terdapat orang lain yang mempunyai akses langsung kepada sel, bagaimana pula,” soalnya.

3.22pm: Gobind Singh Deo pula memulakan penghujahannya.

3.15pm: Sangget berkata, pihak yang memiliki alel 18 mungkin seorang pelaku.

Katanya, hakim perbicaraan benar apabila ia pada mulanya tidak mengakui bahawa tiga barangan yang diambil daripada sel – iaitu botol air mineral, berus gigi dan tuala.

“Tanpa barang-barang ini, ia tiada sebarang kaitan dengan Anwar dan ini membawa kepada persoalan siapa sebenarnya 'Lelaki Y',” katanya.

Sementara itu, bekas pengerusi bersama gabungan proreformasi sistem pilihan raya BERSIH Datuk S Ambiga turut hadir mengikuti perjalanan prosiding.

3.00pm: Sangeet berkata, polis terdesak apabila Anwar tidak membenarkan spesimennya diambil dan ia mendorong mereka menggunakan cara yang boleh dipertikai.

2.45pm: Sangget berkata, keterangan menyebut terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dalam sel tetapi tidak berfungsi.

Katanya, mahkamah oleh itu harus menolak keterangan mengikut keadaan dan menerima keterangan langsung.

Sangeet berkata, terdapat dua orang anggota polis menjaga sel itu tetapi tidak dipanggil sebagai saksi dan mencadangkan sampel itu mungkin datang daripada mereka.

Katanya, sampel itu diperoleh melalui cara tidak adil jika mahkamah memutuskan menerimanya.

2.30pm: Sangeet Kaur (kanan) pula memulakan penghujahannya.

Beliau berkata, bukan DNA Anwar yang berada dalam dubur Saiful, tetapi “Lelaki Y'.

Sangeet membangkitkan perkara sama, iaitu polis tidak melihat Anwar memberus gigi menggunakan berus gigi yang diberikan.

Peguam bela berkata demikian ketika pihak pendakwaan merujuk kepada testimoni polis bahawa Anwar membawa botol air mineral ke dalam sel.

2.26pm: Mahkamah bersambung semula.

Kelihatan bekas timbalan presiden PKR Senator Syed Husin Ali dan anggota parlimen Kelana Jaya Wong Chen hadir mengikuti perkembangan kes.

1.05pm: Ram berkata, terdapat keraguan serius dan perkara itu memberikan hak untuk anwar dibebas dan dilepas daripada kes itu.

Mahkamah berhenti sebentar untuk makan tengah hari.

1.00pm: Ram berkata, terdapat kemungkinan yang nyata bahawa sampel itu diusik dan ia mungkin sampel berbeza.

Satu sampel diambil daripada Saiful menunjukkan kemerosotan tetapi tidak yang lain; dan perkara itu mencetuskan keraguan, kata Ram.

“Tembusan tidak berlaku dalam kes ini, bagaimana sampel ditemui di dubur?” soalnya.

Saiful juga, katanya, bukan saksi meyakinkan seperti dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan.

12.55pm: Ram berkata, terdapat alasan untuk meragui atau tidak percaya pada testimoni Jude kerana dia didapati menipu dalam prosiding yang lain.

Beliau merujuk tindakan Jude (kiri) membuka beg plastik P27.

Ram kemudian merujuk keterangan Dr Thomas Hoogland yang mana terdapat bukti untuk mengatakan Anwar tidak melakukan tindakan seks seperti didakwa Saiful.

Anwar selepas pembebasannya pada 2004 menjalankan pembedahan belakang.

“Bukan kebetulan untuk Saiful bertemu (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak), dan ini bertentangan dengan 'Kes Tandoori' yang mana ahli politik disyaki tidak bertemu dengan perdana menteri India.”

12.35pm: ‎Ram mempersoalkan kelayakan Seah yang dalam testimoninya mengaku meajalankan ujian DNA sejak 1994 tetapi kelayakan doktor falsafah beliau hanya diperoleh pada tahun 2000.

Ram kembali menyentuh soal gangguan terhadap bahan bukti, berhubung tindakan Jude membuka beg plastik mengandungi sampel daripada HKL.

“Dia tidak patut membuka plastik itu kerana perkara ini mencetuskan keraguan.”

Ram kemudian membaca testimoni Jude semasa pendengaran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung penangkapan lima peguam, yang mana Shafee ketika itu mempengerusikan panelnya, mendapati bahawa pegawai polis bukan saksi berwibawa.

Ram kemudian membawa testimoni Jude di mahkamah ketika soal balas oleh peguam bela sebelum ini, mendiang Karpal Singh, yang berkata Mahkamah Persekutuan patut berhati-hati menerima keterangan daripada pegawai polis.

12.31pm: Ram sekarang cuba membersihkan reputasi Dr Brian McDonald (kanan) ekoran keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan yang mendakwa beliau seorang pakar dan hanya pandai berteori.

Shafee sebelum ini berkata, pengakuan McDonald tidak diterima walaupun di Australia, negaranya sendiri.

12.20pm: Ram memberi amaran bahawa garis panduan harus diikuti dan salinannya patut disediakan kepada pihak pembelaan.

Katanya, jika tidak diberikan, ia akan menyebabkan seseorang itu disabitkan membunuh atau kesalahan lain, kerana garis panduan tidak diberikan atau ahli kimia tidak mengikutinya.

12.12pm: Ram berkata apa yang dilabelkan oleh doktor HKL pada sampel itu adalah berbeza.

Ini kerana, katanya, DSP Jude telah melabelnya apabila membuka plastik besar mengandungi sampel HKL di pejabatnya.

Hakim Abdull Hamid bertanya, berdasar analisis Seah dan keterangan doktor HKL bahawa kemungkinan ada tembusan boleh jadi keterangan dengar cakap.

Ram bersetuju dan berkata ia bukan sampel yang sama adan Saiful tidak diliwat.

12.07pm: Oleh itu, Ram berkata, terdapat persoalan sama ada penembusan sebenarnya berlaku.

12 tengah hari: Ram kini berhujah sekitar isu penembusan.

Ram berkata, tiada bukti perubatan mencadangkan penemuan sebelumnya, kerana tiada bukti perubatan untuk menyokong andaian itu.

“Penemuan sebelumnya tidak patut dipertimbang, bahawa berlakunya tembusan,” kata Ram.

Apa yang penting, katanya, empat orang doktor – seorang daripada Pusrawi dan tiga daripada HKL – berkata tiada tembusan berlaku.

Shafee menunjukkan testimoni Saiful bahawa Anwar memancutkan mani dalam duburnya “seperti biasa”.

Sementara itu, suasana di perkarangan Istana Kehakiman meriah apabila permainan 'kuiz' (kanan) berkisar kes liwat II itu diadakan.

Penyokong yang berjaya menjawab soalan dengan tepat turut diberikan hadiah hamper.

Kartunis Zunar sebagai pengadil turut memakai pakaian seperti hakim dengan mengenakan rambut palsu berwarna putih dan jubah hitam.

Antara soalan yang ditanyakan dalam permainan kuiz itu ialah siapakah hakim bagi pendengaran kes liwat II dan apakah jenama dan saiz seluar dalam Saiful. [Baca lanjut]

11.52am: Mahkamah bersidang kembali.

Ram berkata, tindakan pihak pendakwaan meminta Awar mengambil DNA-nya sendiri untuk membuktikan pembelaannya sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, pendakwaan sepatutnya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah dan bebannya tidak terletak di bahu pihak pembelaan.

“Ini asas undang-undang, kerana penting untuk pihak pendakwaan membuktikan kes itu,” katanya.

Shafee pada Selasa mencadangkan Anwar mengambil sampel DNA-nya untuk membuktikan dia tidak bersalah.

11:13am: Mahkamah berhenti berehat sebentar. Akan bersambung semula pada 11.30 pagi.

11:20am: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang kelihatan dalam mahkamah.

Dua cucu kecil Anwar juga berada dalam mahkamah.

11:05am Ram berkata, tiada keraguan bahawa pihak pendakwaan mengakui terdapat kemerosotan pada sampel, sebaliknya tiada kemerosotan pada calitan daripada bahagian intim.

Ram bertanya bagaimana sampel itu boleh berada dalam keadaan asli sedangkan ia tidak disimpan dalam peti sejuk seperti disarankan.

Justeru, kata Ram, ia menunjukkan bahawa sampel itu bukan sampel yang sama dan boleh jadi sudah dikompromi.

10.43am: Hakim Tan Sri Suriyadi Halim bertanya, jika 18 alel itu asing, ia tidak menolak kehadiran Anwar dalam sampel-sampel itu (seperti daripada lokap dan Saiful).

Ram menjawab bahawa ia juga boleh bermaksud Anwar tidak pun berada di sana (kondominium).

Ram berkata ahli kimia Seah (kanan) juga setuju bahawa tiada kemerosotan sampel walaupun diambil selepas 56 jam.

Katanya, walaupun tidak menggunakan perkataan “asli”, Seah setuju bahawa tiada kemerosotan sampel.

Bagaimanapun, kata Ram, Seah bersetuju bahawa kemerosotan akan berlaku.

10.40am: Penyokong Anwar semakin bertambah. Kira-kira 200 orang kini berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman.

Selain berkumpul mereka turut membaca surah Yassin dan mendengar ceramah daripada pemimpin PKR.

Risalah yang mengandungi gambar mata Anwar yang lebam pada 1998 dan bertulis "Jangan biarkan ini berlaku lagi" turut disebarkan kepada orang ramai.

Selain itu, peniaga turut mengambil kesempatan dengan menjual baju-T bertulis "Rakyat Hakim Negara”, payung dan kerusi lipat kepada peserta himpunan.

10.30am: Ram berkata, spekulasi dan andaian tidak boleh dibuat dalam isu itu.

Katanya, pencemaran berlaku atau kesimpulan yang boleh dibuat adalah sampel itu telah dikompromi.

1020am: Ram berkata, 18 alel muncul pada tuala 'good morning', berus gigi dan botol air mineral dan perincian semula patut dilakukan bagi menjelaskan kehadirannya.

Keadaan itu sama seperti dalam kes Teoh Beng Hock apabila alel asing ditemui daripada tali pinggang si mati.

Ram menegaskan bahawa pihak pendakwaan harus menjelaskan kenapa terdapat kehadiran 18 alel itu.

“Ia juga muncul dalam calitan rektal tinggi B9 dan lokap daripada tuala 'good morning'.”

Pihak pendakwaan menjelaskan, ia mungkin datang daripada Dr Mohd Osman Abdul Hamid tetapi tiada bukti.

Justeru, ia hanya boleh dikatakan sebagai kemungkinan.

Katanya, 18 alel juga terdapat dalam lokap dan ia menunjukkan sampel itu datang daripada pihak ketiga tetapi tidak boleh dan berbahaya untuk dikaitkan dan dispekulasi dengan doktor Dr Osman (atas).

“Tiada bukti untuk menyokong hujah pihak pendakwaan. Beban pembuktian terletak di bahawa pihak pendakwaan untuk membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.”

10.10am: Peguam bela Ram Karpal merujuk kepada tuala 'good morning' yang terdapat kehadiran 18 alel.

Ahli kimia Nor Aidora Saedon berkata 18 alel itu merupakan stutter.

“Bagaimanapun, berdasarkan garis panduan Jabatan Kimia, 18 alel itu bukan stutter, dan ia sepatutnya dilaporkan.”

Daripada testimoni Nor Aidora, ahli kimia itu kemudian bersetuju bahawa tindakannya bertentangan dengan garis panduannya sendiri.

“Tiada keraguan bahawa kehadiran contaminor dalam 18 alel yang didakwa tidak dapat dinafikan.”

10am: Ram berkata peguam kerajaan Dr Seah Lay Hong menyebut, 18 alel boleh berlaku pencemaran secara sporadic.

9.38am: Peguam bela Ram Karpal memulakan hujah balas terakhir pasukan pembelaan.

Beliau membangkitkan isu berkaitan sampel yang diambil daripada dubur pengadu kes Saiful Bukhari Azlan.

9:32am: Peguam utama Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram bertanya sama ada mahkamah mahu pihak pembelaan menyentuh isu itu.

Hakim Tan Sri Arifin Zakaria bagaimanapun menyuruh prosiding perbicaraan diteruskan.

930am: Shafee (kanan) berkata beliau diarahkan oleh peguam negara untuk membangkitkan kenyataan Anwar di media yang menurutnya serius dan menghina mahkamah.

Tulisan dirujuk itu berjudul "Go back to law school, Anwar tells Shafee" dalam Malaysiakini.

9:27am: Mahkamah bersidang. Anwar melangkah ke kandang (bawah) sambil tersenyum kepada pemberita.

9am Mahkamah yang boleh memuatkan kira-kira 70 orang kini padat.

Antara kelihatan dalam mahkamah exco kerajaan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad, anggota parlimen Wangsa Maju Tan Kee Kwong dan bekas timbalan menteri perumahan Datuk Lajim Ukin.

Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba ke dalam mahkamah.

8.30am: Kira-kira 50 orang penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mula berada di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya.

Penyokong Anwar semakin bertambah dari masa ke masa.

Di luar Istana Kehakiman juga kini terdapat deretan khemah sempena karnival yang akan diadakan hujung minggu ini.
-malaysiakini-