"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis kasari saya, tak beri alasan ditahan, kata pemimpin bahagian PKR

Predeep Nambiar

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin bahagian PKR berkata, beliau dikasari polis ketika ditahan di Batu Caves semalam atas dakwaan menghalang lalu lintas dan melawan ketika ditahan selepas itu.

Polis menahan Naib Ketua PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip semalaman di lokap Sentul dan membebaskannya dengan jaminan polis tengah hari tadi. Mereka turut menafikan dakwaan lelaki itu dikasari.

Mengimbas kejadian semalam, Rozan berkata, beliau dipaksa meniarap atas tanah dan digari sebelum polis mematahkan pemegang bendera parti.

Katanya, beliau ke kawasan kejiranan itu dengan pembesar suara untuk memaklumkan pengundi menyemak butiran mereka di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya, selepas sesetengah pengundi mendakwa mereka didaftar dengan alamat salah.

“Polis datang kemudian dan kata saya berkempen, saya diberitahu membawa bendera PKR salah. Saya beritahu mereka, saya membuat hebahan khidmat awam, bukan berkempen.

“Apabila mereka mengugut untuk tangkap, saya meminta butiran kesalahan yang didakwa dilakukan saya. Mereka tiada jawapan.

“Apabila saya tanya sama ada saya perlu merakam menggunakan telefon saya, mereka kata teruskan. Apabila saya lakukannya, mereka merampas telefon saya,” katanya kepada FMT.

Rozan kemudian mendakwa dua anggota polis itu mengasarinya, menolak mukanya ke bawah dan menggarinya dengan tangan di belakang. Katanya, polis kemudian mematahkan pemegang bendera yang dipegangnya.

“Dengan muka saya ke bawah, saya asyik tanya kenapa saya ditahan, tetapi mereka tidak jawab. Hak saya tidak dibacakan kepada saya.”

Rozan, bekas pegawai khas kepada seorang timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan, berkata terdapat kesan melecet di pergelangan tangannya akibat penahanan kasar oleh polis.

Peguamnya, Gurmukh Singh terkejut dengan kenyataan polis berhubung anak guamnya menghalang polis kerana perkara itu tidak pernah didedahkan kepadanya ketika ditahan.

“Polis perlu nyatakan dengan sangat jelas. Anda perlu beritahu individu terbabit kenapa anda menahannya. Ia bukan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan kemudian.”

Pemegang bendera patah ketika ditahan, kata ketua polis daerah

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai dalam respons segera menafikan dakwaan Rozan dengan berkata semua prosedur dipatuhi.

“Kami tidak mematahkan pemegang bendera itu. Beliau bergelut melawan penahanan dan pemegang itu patah.”

Mengenai dakwaan Rozan bahawa alasan penahanannya tidak dimaklumkan kepadanya, Beh berkata: “Itu versi dia, tetapi kami ada (nyatakan alasan ditahan).”

Dalam kenyataan terdahulu, Beh berkata, polis mengarahkan Rozan meninggalkan kawasan itu, tetapi beliau sebaliknya “melakukan provokasi dan mempersoalkan kuasa polis”.

“Setelah menerangkan hak-hak untuk menahan dan memeriksa, pihak polis menasihati individu tersebut untuk beredar, tetapi beliau enggan dan beliau sekali lagi bertindak melakukan provokasi dengan mempertikaikan hak pengadu sebagai anggota polis.

“Oleh yang demikian, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.”

Rozan disiasat mengikut Seksyen 186 dan 283 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta membuat halangan di jalan awam.

Sesiapa yang didapati bersalah menghalang penjawat awam bertugas boleh didenda sehingga RM10,000 dan dipenjara sehingga dua tahun. Menghalang jalan awam boleh didenda sehingga RM400.

Fenomena Baru di Arab Saudi, Kaum Hawa Gemar "Tari Telanjang"

Jakarta, CNBC Indonesia - Fenomena baru kini melanda Arab Saudi. Kaum hawa di kerajaan Raja Salman bin Abdulaziz itu keranjingan pole dancing (tari tiang) yang terstigma sebagai tari telanjang (strip) di sejumlah film-film Hollywood.

Salah satunya adalah Nada (28). Instruktur yoga tersebut mengambil kelas khusus untuk memperlajari tarian ini.

Keluarga dan teman-temannya awalnya menilai apa yang ia lakukan adalah kesalahan. Mereka menyebutnya tak pantas.

Mereka juga kerap mengolok-olok hal yang dia lakukan seraya menyebut latihan pole dance sebagai hal yang melelahkan. Namun ia tidak terpengaruh dan bertahan menggeluti tarian tersebut hingga saat ini.

"Awalnya, mereka mengatakan ini tidak pantas dan sebuah kesalahan," ujarnya dikutip AFP, Kamis (13/10/2022).

"Sekarang mereka mengatakan 'Kami ingin mencobanya'," tegasnya.

Hal sama juga dikatakan seorang siswa pole dancing di Riyadh yang enggan menyebutkan nama. Ia mengklaim bahwa dirinya "tidak malu sama sekali" untuk mencoba tarian itu.

"Itu kepribadian saya, saya akan mengatakan," ujarnya.

"Saya tidak malu untuk merangkul sensualitas saya, feminitas saya. Saya tidak malu apa pun, selama saya tidak menyakiti orang lain," katanya lagi.

Tapi dia mengakui bahwa tidak semua orang akan begitu nyaman dengan itu. Tuntutan yang kuat ke fisik, ujarnya, membuat banyak wanita berhenti mempelajari tarian ini.

"Dibutuhkan banyak otot, banyak kekuatan untuk bisa melakukannya," ujarnya.

Kegemaran baru wanita Arab Saudi ini juga dibenarkan oleh pengelola gym di negara itu. Banyaknya minat membuat tiga gym membuka kursus pole dancing.

"Saya merasa bahwa pole dancing telah mendapat perhatian lebih, karena itu sesuatu yang baru dan gadis-gadis suka mencobanya," kata May al-Youssef, pemilik gym di Riyadh.

"Seiring waktu para wanita (Arab Saudi) tampaknya lebih menyukai tubuh mereka. Mereka berkata pada diri mereka sendiri: 'Saya merasa baik dengan kulit saya'," tambahnya.

Sebenarnya selama bertahun-tahun, pembatasan memang diberlakukan pada wanita Arab Saudi. Namun sejumlah reformasi yang dilakukan pemerintah mulai membuka kesempatan perempuan lebih mengeksplor diri mereka di negeri itu.

Wanita di kerajaan ini diharapkan lebih aktif dalam olahraga, sesuatu yang jarang dilakukan selama ini. Hal itu juga, menurut AFP, guna mengkampanyekan citra lebih lembut akan Arab Saudi ke dunia luar.

Sebelumnya, tim sepak bola nasional wanita Arab Saudi juga bersaing dalam pertandingan pertama mereka di rumah melawan Bhutan. Wanita negeri itu juga sudah diperbolehkan mengendarai mobil mereka sendiri.

Remaja dibakar hidup-hidup oleh perogolnya

Agensi

New Delhi: Seorang remaja perempuan masih bertarung nyawa di sebuah hospital di utara India selepas lelaki yang dipercayai merogolnya hingga hamil bertindak kejam dengan membakarnya hidup-hidup.

Pegawai Kanan Polis di negeri Uttar Pradesh, Kamlesh Kumar Dixit memberitahu CNN, suspek lelaki berusia 18 tahun bersama ibunya ditahan Isnin lalu kerana disyaki bersubahat dalam cubaan membunuh selepas mereka didakwa menuang minyak tanah ke atas remaja itu sebelum membakarnya, pada 6 Oktober lalu.

Katanya, lelaki itu yang juga sepupu kepada remaja itu didakwa kerana merogol mangsa itu kira-kira tiga bulan lalu di Mainpuri, kira-kira 270 kilometer dari tenggara ibu negara India.

Insiden itu menyebabkan remaja berusia 15 tahun itu, hamil.

"Apabila mengetahui kehamilan gadis itu, keluarganya dan keluarga yang didakwa perogol berbincang sama ada kedua-duanya patut berkahwin," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Press Trust of India yang memetik kenyataan polis itu melaporkan, gadis itu tertarik untuk ke rumah perogol itu atas alasan untuk berkahwin dengannya sebelum mangsa didakwa dibakar.

Tindakan keganasan ke atas remaja dan wanita yang kejam sering menjadi tajuk utama di Uttar Pradesh dengan kes terbaharu itu mencetuskan kemarahan orang ramai.

Seorang aktivis antirogol dari New Delhi, Yogita Bhayana berkata, kejadian itu menunjukkan kekurangan empati dalam kalangan masyarakat di India.

"Selama bertahun-tahun, kami cuba mengubah keadaan. Kes ini menunjukkan kegagalan sistem kita.

"Remaja itu sepatutnya dibantu," katanya.

Menurut Bhayana, ramai lelaki masih melihat rogol sebagai tindakan kuasa ke atas wanita.

"Kebanyakan kes keganasan tidak dilaporkan kerana mangsa terlalu takut untuk melaporkan kepada polis atau sering diajar mereka akhirnya harus dipersalahkan atas sebarang salah laku," katanya.

Pada 2019, kerajaan pusat meluluskan rancangan untuk membuka lebih 1,000 mahkamah pantas di seluruh India untuk membantu menyelesaikan kes rogol dan kesalahan seksual yang tertunggak terhadap kanak-kanak bawah umur.

Bagaimanapun, menurut data yang dikemukakan menteri undang-undang dan keadilan di Parlimen pada Disember 2021, kurang daripada 700 mahkamah seumpama itu ditubuhkan.

-hmetro 

PH sah tidak bubar DUN di 3 negeri

Malaysiakini

Pakatan Harapan (PH) sah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang ditadbir gabungan itu, kata pengerusinya, Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Anwar berkata keputusan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dicapai dalam mesyuarat majlis presiden PH hari ini.

Anwar berkata, pendirian awal untuk tidak membubarkan DUN yang dibuat PKR dan Amanah kini telah dipersetujui oleh DAP.

"DAP mengambil masa menjelaskan pendirian mereka tapi akhirnya setiausaha agung DAP memutuskan bahawa kita PH dan tiga negeri PH akan bersama membuat keputusan menangguhkan pilihan raya negeri supaya tumpuan dibuat menangani permasalahan banjir," kata Anwar.

Naib ketua PKR Batu ditahan polis

Geraldine Tong

Naib Ketua PKR Batu Rozan Azen Mat Rasip ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Sentul malam ini.

Peguamnya GS Sandhu mengesahkan perkara itu dengan Malaysiakini.

Awal malam ini, mesej yang didakwa daripada Rozan tersebara menyatakan dia baru ditahan polis.

"Saya telah ditahan secara kasar dan paksa dan digari oleh dua orang pegawai polis jam 6 petang tadi di depan Taman Koperasi Polis 2 Batu Muda semasa jalankan kempen periksa kawasan undi," kata mesej itu.

Mesej itu juga mendakwa Rozan membuat pemeriksaan berkenaan susulan empat kes pertukaran kawasan buang undi penduduk Parlimen Batu.

Sandhu berkata, polis menyiasat Rozan mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan.

Lidah rasim PKR, Suara Keadilan sebelum ini melaporkan Rozan mendakwa terdapat beberapa kes pengundi Batu menukar kawasan mengundi tanpa kebenaran.

Dia mendakwa terdapat empat kes yang disahkan setakat ini, dengan enam lagi aduan dalam siasatan.

Ezam cabar Dr M di Langkawi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ezam Mohd Nor, bekas setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka menentang Dr Mahathir Mohamad di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.

Beliau akan bertanding sebagai calon bebas atau calon bagi mana-mana parti yang sudi memberikan laluan kepadanya, menurut Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak).

Setiausaha Agung Gerak, Syed Putra Syed Isa, berkata keputusan itu hasil desakan pelbagai pihak terhadap kumpulan berkenaan untuk meletakkan calon menentang Mahathir di Langkawi.

“Mahathir masih lagi merupakan ancaman utama kepada proses reformasi dalam negara ini dan menjadi tanggungjawab Gerak Malaysia meletakkan saingan yang serius pada kali ini atau dalam PRU15,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dipilih sebagai Ahli Parlimen Langkawi dalam PRU14 pada 2018. Beliau mengalahkan calon Umno Nawawi Ahmad dan PAS Zubir Ahmad dengan majoriti 8,893 undi.

Beliau kini pengerusi Pejuang selepas meninggalkan Bersatu pada 2020.

Ezam yang juga pengerusi Gerak bersetuju dengan keputusan kumpulan itu meletakkannya bertanding menentang bekas perdana menteri tersebut.

Keputusan untuk bertanding di Langkawi itu turut disahkan sendiri oleh beliau kepada FMT.

Syed Putra berkata, semua jentera pilihan raya Gerak terutama di Kedah sudah diarahkan membuat persiapan segera.

Katanya, Ezam dijangka membuat pengumuman mengenai keputusan itu ketika pelancaran sukarelawan Gerak, esok.

Ezam sebelum ini merupakan ketua Pemuda PKR dari 1999 hingga 2005. Beliau kemudian meninggalkan parti itu pada 2008 dan menyertai Umno.

Beliau pernah berkata akan berdepan Naib Presiden PKR Amirudin Shari di DUN Sungai Tua jika menteri besar Selangor itu dicalonkan bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Ezam turut mendesak Amirudin dan lapan lagi ADUN PKR Selangor untuk tidak bertanding pada PRU disebabkan hubungan mereka dengan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

PRU15 penyertaan terakhir saya

Malaysiakini

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan menjadi yang terakhir buatnya.

“Jadi masa saya sudah sampai. Ini penyertaan terakhir saya. Saya serahkan kepada pengundi, nak saya lagi atau tidak? Kalau ya, saya teruskan, jika tidak, saya balik kampung,” kata penyandang kerusi Pagoh itu.

Antara sebab yang disebutnya ialah usianya kini 75 tahun dan sudah 50 tahun perkhidmatannya kepada negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PH) itu juga yakin mengenai bakal pemimpin Bersatu untuk yang akan menerajui parti itu.

“Saya tidak sewajarnya menongkat langit, sampai dah jadi tua bangka, jangan salah faham.

“Saya fikir dalam situasi terkini banyak juga yang berkualifikasi, berpengalaman. Tengok kabinet saya terdahulu," katanya.

“Malahan di Pagoh pun ada. Itu satu pertimbangan,” tambahnya.

Mengulas isu rundingan kerusi, Muhyiddin berkata gabungan itu dijangka menyelesaikan rundingan kerusi mereka pada awal minggu depan.

Katanya, manifesto pilihan raya PN juga hampir selesai.

Antara isu yang ingin PN fokuskan dalam manifesto itu, katanya, adalah bagaimana untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat dalam landskap kenaikan inflasi dan kos sara hidup.

Mereka juga mahu memberi tumpuan untuk membantu PKS bangkit semula selepas wabak, dengan memperkenalkan dasar seperti moratorium bank.

Hadi: Ada pemimpin Umno rasuah, rakus kuasa punca PAS tangguh kerjasama

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ada pemimpin Umno yang rakus mahu memerintah negara dan menerima rasuah antara punca PAS menangguhkan hasrat bekerjasama dengan parti itu, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, penangguhan itu bagi membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menjernihkan kekeruhan berkenaan.

Katanya, PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding menjalin kerjasama dengan BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sebelum ini, PAS termasuk Bersatu saling bekerjasama menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga terbentuk kerajaan (diterajui perdana menteri daripada Umno).

“Tetapi disebabkan ada kalangan pemimpin Umno yang ‘gelenyar’ dan tidak sabar memerintah, menyebabkan Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU15 diadakan,” katanya dipetik Berita Harian ketika menyampaikan kuliah Dhuha di Marang, Terengganu.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu mendedahkan beliau didatangi beberapa individu yang meminta kerjasama dengan Umno diteruskan.

Beliau turut membuat perumpamaan kerjasama antara PAS dengan Umno dan BN seperti memakan “durian mentah” yang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit perut.

“PAS menolak pemberi dan penerima rasuah dalam Umno, sama seperti PH yang ada pemberi dan penerima rasuah.

“Kegopohan Umno untuk mendapatkan kuasa, sedangkan kita minta pembubaran Parlimen ditangguhkan disebabkan ingin memberi tumpuan kepada banjir, tidak diendahkan hingga akhirnya dibubarkan juga.

“Jadi, biarlah Umno dan BN menjernihkan dulu kekeruhan yang ada, sementara kita menangguhkan kerjasama ini,” katanya.

Karya tin arak dan PAS: Mahkamah lepaskan Fahmi Reza

Hidir Reduan Abdul Rashid

Pereka grafik Fahmi Reza dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan menyalah guna rangkaian perkhidmatan dengan memuat naik karya sindiran kepada PAS.

Karya yang dimuat naik di Facebook pada 1 Jun tahun lepas menunjukkan gambar tin arak jenama Carlsberg dilagakan dengan tin minuman berlogo PAS dengan kapsyen “Carlsberg untuk semua”.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini membebaskan seniman lantang itu atas alasan pertuduhan terhadapnya cacat dan tidak berasas.

DNAA bermaksud seseorang itu boleh dituduh semula di mahkamah pada masa depan.

Keputusan hari ini disahkan oleh peguamnya Rajsurian Pillai yang dihubungi selepas prosiding di hadapan hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Peguam bela juga berkata mahkamah memutuskan supaya wang jaminan RM3,000 dikembalikan kepada Fahmi.

Karya kontroversi itu dipercayai dihasilkan sebagai reaksi kepada kenyataan beberapa menteri PAS supaya peraturan kawalan jualan arak diperketat di Kuala Lumpur.

Fahmi dituduh bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar rangkaian perkhidmatan untuk menyakitkan hati orang lain.

Kompleks mahkamah Kuala Lumpur, gambar hiasan

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM50,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Fahmi telah banyak kali dihadapkan ke mahkamah susulan karya-karya pedasnya.

Antara yang popular ialah wajah bekas perdana menteri Najib Razak sebagai badut.

Fahmi 1 - 0 PAS

Sementara itu, Fahmi di media sosialnya terus menyindir PAS dengan menyifatkan keputusan hari ini sebagai “Fahmi 1 - 0 PAS”.

“Hari ni hakim isytihar pertuduhan ni tidak berasas, groundless dan cacat, dan gugurkan pertuduhan terhadap aku! 

“Wang jaminan akan dikembalikan. 

“Kepada pemimpin PAS, panas tak apa, koyak janganlah,” tulisnya dengan menggunakan tanda pagar #SatireIsNotACrime (satira bukan jenayah).

Lepas ‘bercerai’, Umno dakwa Pas semai kebencian rakyat dengan tular gambar banjir 2014

NASUHA RAHMAN

Selepas ‘bercerai’ semalam Umno mendakwa Pas sengaja menyemai kebencian rakyat dengan menularkan gambar banjir pada 2014.

Facebook Friends of PAS telah berkongsi ‘posting’ gambar air banjir di dalam wad Hospital Raja Perempuan Zainab II oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham yang berlaku pada 2014.

“PRU dalam banjir. Angkara siapa?” kongsi Fecebook itu yang mempunyai lebih 30k ahli.

Bagaimanapun perkongsian itu disedari oleh Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki lalu membidas dan mendakwa gambar banjir besar 2014 pun mahu ditularkan hanya untuk menyemai kebencian rakyat.

Lepas 'bercerai', Umno dakwa Pas sengaja semai kebencian rakyat dengan tular gambar banjir 2014

“Sepatutnya lebih molek kita berdoa agar Allah lindungi rakyat semua daripada musibah banjir.

“Jika ditakdirkan musibah melanda sekalipun (wana’uzubillah), SPR mempunyai kuasa di bawah peruntukan Perlembagaan dan Akta untuk menangguhkan proses pengundian di kawasan-kawasan yang terlibat.

“Malah YDP Agong boleh sahaja mengisytiharkan Darurat Bencana jika musibah teruk melanda.

“Lagipun yang berkempen bukannya BOMBA, JPAM, PDRM, TENTERA, NADMA, Kakitangan HOSPITAL tapi jentera parti. Kerajaan masih berfungsi seperti biasa walaupun telah dibubarkan,” tulis Asyraf dalam hantaran itu.

Terdahulu, Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan Umno yang mana piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 kini boleh dianggap berkubur, apabila Pas semalam memuktamadkan untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh Umno, iaitu parti tersebut perlu meninggalkan Bersatu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.

Walaupun para pemimpin Pas dan Umno enggan mengakui kenyataan itu, namun keputusan yang diumumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyaksikan pertembungan antara calon daripada kedua-dua parti itu pada PRU15.

PAS guna logo sendiri di Kedah, Kelantan dan T'ganu

Malaysiakini 

PAS  memuktamadkan keputusan untuk menggunakan logo parti tersebut di negeri pimpinannya - Kelantan, Terengganu dan Kedah - untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi negeri-negeri lain pula, kata timbalan presidennya PAS itu lagi, mereka dipercayai akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

“Penggunaan logo kita sudah putuskan bahawa Kelantan, Terengganu, Kedah kita akan gunakan logo PAS.

“Namun, negeri lain kemungkinan besar akan menggunakan logo PN, (ia) sudah dimuktamadkan dan akan bawa ke Majlis Pimpinan PN,” lapor harakahdaily dalam satu wawancara portal rasmi PAS itu bersama Tuan Ibrahim.

Sebelum ini muncul cadangan agar PN menggunakan lambang PAS berbanding gabungan itu bagi menyertai PRU ke-15 tidak lama lagi.

Hal itu kerana PAS berpendapat lambang 'bulan' parti itu lebih dikenali dengan meluas dalam kalangan orang ramai berbanding PN yang masih baru usianya.

Gesaan itu turut disuarakan secara terbuka oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, yang berpendapat ahli partinya "alergik" kepada warna biru yang mengingatkan mereka kepada Umno-BN.

Untuk rekod semalam Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan jawatankuasa kerja parti itu membuat keputusan untuk memperkukuh kerjasama mereka dalam PN untuk menghadapi PRU akan datang.

Banyak benda boleh buat

Dalam wawancara tersebut Tuan Ibrahim turut mengulas isu keengganan PAS membubarkan dewan undangan negeri (DUN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Mengakui keputusan tersebut akan membuatkan kos perjalanan pilihan raya bertambah kerana perlu diadakan dua kali, penyandang kerusi parlimen Kubang Krian itu berkata, PAS tidak boleh disalahkan.

Sebaliknya Tuan Ibrahim menganggap Umno-BN yang perlu dipersalahkan apabila tergesa-gesa mahu membubarkan parlimen menjelang musim tengkujuh.

“Soal kos dan sebagainya, kita (PAS) akui. Tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar pada waktu ini? Rakyat susah kalau banjir berlaku.

“Kemudian sekolah akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir, kita bimbang takut-takut kemarahan rakyat sekarang ini kita sangat ketara," katanya.

Dia yang dilantik menjadi menteri selepas Langkah Sheraton menambah, PAS mahu DUN dibubarkan selepas keadaan tenang dan ancaman banjir berakhir.

"Kenapa kita (PAS) tidak bubar? Sebab kita tak mahu diheret sama dengan kemarahan rakyat sekarang.

"(PAS) yakin, kita ada lebih lapan bulan lagi masa (sehingga Mei 2023), dan dalam tempoh lapan bulan banyak benda kita boleh buat, dan kita tak perlu tergesa-gesa," katanya.

'PAS dan Umno bertembung di 27 kerusi, paling banyak di pantai timur'

Haspaizi Zain

PAS berdepan kemungkinan akan kehilangan sebahagian besar kerusi yang dimenanginya sebelum ini jika pertembungan parti itu dengan Umno tidak dapat dielakkan di 27 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Malaysiakini difahamkan, pertembungan di 27 kerusi parlimen itu paling banyak di Kelantan dan Terengganu.

Menurut maklumat dalaman Umno dan PAS, 27 kerusi itu kebanyakannya dimenangi PAS pada PRU ke-14, namun berisiko dirampas kembali oleh BN.

Ini khususnya membabitkan kerusi yang dimenangi PAS dengan majoriti kecil, apatah lagi sebelum ini kerusi berkenaan disandang Umno BN.

"Ia termasuk beberapa kerusi tradisi Umno sebelum ini yang berjaya dimenangi PAS selepas pertembungan tiga penjuru dalam PRU ke-14 lalu.

"PAS tidak mahu kehilangan kerusi berkenaan kepada Pakatan Harapan (PH) jika bertembung dengan Umno.

"Manakala Umno pula melihat bahawa parti itu berpeluang untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS," kata sumber PAS kepada Malaysiakini.

Pertembungan antara PAS dan Umno di 27 kerusi parlimen yang juga mungkin akan memberi kelebihan kepada PH tampak sukar untuk dielak.

Ia selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Khamis mengumumkan bahawa parti itu membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Walaupun tidak jelas, keputusan yang dibuat PAS itu memberi gambaran bahawa parti itu menolak untuk meneruskan kerjasama dengan Umno dalam PRU ke-15.

Pada 29 Sep lalu, Malaysiakini melaporkan PAS sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 30 kerusi parlimen yang diyakini berpeluang cerah untuk menang pada Pilihan PRU15 akan datang bersama PN.

Menurut sumber parti itu, 30 kerusi berkenaan dikategorikan sebagai "kerusi hijau."

Daripada 30 kerusi itu hampir kesemuanya menyaksikan pertembungan dengan Umno namun lima kerusi bakal menyaksikan perebutan sesama sendiri dengan Bersatu.

Antara 27 kerusi parlimen bakal menyaksikan pertembungan antara PAS dan Umno ialah, Bachok; Pasir Puteh, Kuala Krai, Kota Bharu; Kuala Terengganu; Kuala Nerus; Pendang; Arau; Bagan Serai; Jerantut dan Bukit Gantang.

"Misalnya kerusi Bukit Gantang, Umno menang dalam PRU14 lalu sebelum wakil rakyat melompat menyertai Bersatu.

"Sebelum itu kerusi berkenaan dimenangi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad. Sudah pasti PAS mahu merampasnya kembali dan Umno mahu mempertahankan kerusi tradisinya," kata sumber dari Umno

Di sebalik “Penyatuan Ummah” Pas

ZIN MAHMUD

Umno tolak kerjasama dengan Pas. Maka Pas hanya kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN).

Tetapi Pas terus mengharapkan Umno. Pas masih sebut tentang “Penyatuan Ummah” dan “kerajaan Melayu-Islam”.

Sama ada dengan BN atau PN, Pas perlu kerjasama dengan MCA dan MIC atau Gerakan dalam kerajaan. Apa yang disebut sebagai “kerajaan Melayu-Islam” hanyalah satu penipuan.

Di dalamnya tetap ada menteri Cina dan India. Pastinya “kerajaan Melayu-Islam” akan melayan tuntutan mereka. Jadi sebenarnya Pas keliru.

Apa yang disebut sebagai “Penyatuan Ummah” pula adalah sebenarnya “asabiah”, sesuatu yang Pas lawan dahulu.

Ini kerana “Penyatuan Ummah” itu asasnya bermaksud kerjasama Pas dan Umno atas nama Melayu. Jadi dalam kerjasama itu, Pas mempertahankan dan membela Umno kerana ia parti Melayu.

Sedangkan Umno ternyata telah melakukan pelbagai penyelewengan. “Asabiah” bermaksud membela seseorang atau sekumpulan orang dari kaum sendiri walaupun ia jelas melakukan perkara-perkara salah.

Nama saja “Penyatuan Ummah” tetapi di sebaliknya ialah “asabiah.”

Ada sesuatu yang “busuk” di Putrajaya?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Dalam karya terkenal William Shakespeare yang terkenal iaitu Hamlet, ada satu dialog yang masyhur yang diungkapkan oleh Marcellus kepada temannya, Horatio,yang berbunyi “something is rotten in the state of Denmark”.

Adakah keadaan yang sama juga sedang berlaku di Putrajaya iaitu secara spesifiknya dalam kabinet Gomen Tebuk Atap yang diterajui oleh Perdana Menteri Umno?

Semua mungkin sudah tahu 12 orang menteri daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu dari Parti Bersatu dan Pas telah menghantar surat kepada YDPA bagi membantah hasrat PM Umno bagi membubarkan Parlimen sekaligus mengadakan pilihanraya di musim banjir.

Setiausaha Agong Umno mengkritik tindakan 12 menteri PN itu atas alasan tindakan depa dianggap tidak wajar.

Beberapa menteri PN membela tindakan itu dan ada yang habaq ianya termasuk kebebasan bersuara depa untuk memberikan pandangan.

Jika idea untuk bubarkan Parlimen dan untuk adakan pilihanraya umum pada musim banjir boleh diangggap mengarut dan tidak masuk akal, malangnya idea menteri PN dalam kabinet Ismail Sabri memilih untuk menyatakan bantahan di luar bilik mesyuarat kabinet juga boleh dianggap mengarut dan tidak masuk akal juga.

Mengapa?

Kerana menjadi satu amalan Perlembagaan (constitutional convention) anggota kabinet dalam sesebuah Kerajaan wajib bersuara dalam satu nada suara.

Amalan Perlembagaan sebegitu dinamakan prinsip “tanggungjawab bersama” atau “collective responsibility”.

Mengikut prinsip ini semua anggota kabinet dalam sebuah Kerajaan wajib bersuara dalam satu nada suara.

Depa tak boleh berbeza pendapat di luar bilik mesyuarat kabinet semasa sesuatu isu sedang dibincangkan apa lagi jika keputusan telah dicapai.

Ya, depa boleh berbeza pendapat dalam bilik mesyuarat kabinet selagi mana keputusan belum dicapai.

Ini hakikatnya suatu yang begitu asas seasas anda belajar ABC atau alif ba ta. Amat malang jika menteri tidak faham perkara asas tersebut.

Tidak timbul sebenarnya isu kononnya anda mempertahankan hak kebebasan bersuara.

Apabila anda telah dilantik sebagai menteri, anda mungkin tidak sedar anda telah “surrender” hak dan kebebasan untuk tidak bersetuju dengan rakan anda di dalam kabinet.

Itulah esensi prinsip asas tanggungjawab bersama.

Anda boleh tidak bersetuju di luar kabinet tapi anda kena letak jawatan terlebih dahulu dan selepas itu teriaklah sekuat mana pun yang anda suka.

Jika anda ditangkap pun masa itu sebab pihak berkuasa mungkin orang ingat anda sudah tidak siuman lagi sebab menjerit sakan tak tentu hala.

PKR, Amanah guna lambang PH di Sarawak, DAP pilih logo sendiri

FMT Reporters

PETALING JAYA: PKR Sarawak dan Amanah akan menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tetapi DAP negeri memutuskan untuk menggunakan logo sendiri.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), DAP Sarawak menggunakan lambang roket yang sinonim dengan parti itu.

Menurut Borneo Post, ketua PKR Sarawak, Roland Engan berkata, pemimpin DAP negeri percaya logo parti itu mempunyai nilai sentimental manakala sebahagian penyokong setia pula tidak mahu DAP menggunakan lambang PH.

Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling juga berkata, pemimpin DAP di negeri itu lebih memilih logo sendiri dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“PH kebangsaan memutuskan untuk menggunakan lambang PH tetapi kami di sini diberi kebebasan untuk membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Engan menafikan dakwaan PKR Sarawak akan memberi laluan kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM) di Julau. Penyandang kerusi Parlimen Julau adalah Larry Sng, yang dahulu presiden PBM sebelum jawatan itu diambil alih Zuraida Kamaruddin.

Sng memenangi kerusi itu pada PRU14 sebagai calon bebas sebelum menyertai PKR. Beliau kemudiannya meninggalkan parti itu pada tahun lalu.

“Kami mempunyai calon sendiri di sana. Kami tidak berunding dengan Sng di Julau,” katanya dan menambah PKR Sarawak akan bertanding di 17 kerusi Parlimen termasuk Kapit dan Julau.

Politik kepura-puraan semasa pilihan raya

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Semasa pilihan raya banyak tindak-tanduk palsu, tidak jujur dan penipuan dapat berlaku semasa berkempen. Maka awaslah wahai pengundi akan ada para pemimpin dan calon yang bertanding dalam pilihan raya yang bernafas dalam politik kepura-puraan.

Seperti zaman- zaman pilihan raya lepas rakyat akan mendapat perhatian yang luar biasa daripada parti-parti yang bertanding terutamanya semasa berkempen. .Ini kerana ia adalah hari rakyat mengundi di mana undian mereka sangat diperlukan bagi menang.

Pelbagai bentuk naratif, cerita, rencana, visi, dan program yang diwacanakan melalui aneka komunikasi politik, semuanya disampaikan ”atas mandat rakyat”. Rakyat kini menjadi watak utama dalam wacana politik pilihan raya.

Perhatikan pada waktu inilah para pemimpin parti-parti politik memperlihatkan wajah dan sikap keprihatinan mereka di hadapan rakyat. Ke ceruk rantau mana sekalipun atau sehingga ke lubang cacing pun jika terdengar ada orang yang memerlukan bantuan, berpusu-pusu para calon dan rombongannya akan datang memberikan pertolongan dan bantuan.

Mereka sanggup melakukan apa sahaja di depan lensa pemberita, menyuapkan nasi ke mulut orang susah pun sanggup dilakukan.

Apakah yang berlaku pada musim pilihan raya ini diseliputi oleh kepura-puraan untuk menang dalam pilihan raya. Bantuan yang diberikan itu melebihi bantuan semasa bencana banjir.

Kemudian akan keluarlah manifesto yang menyatakan apa yang akan mereka ingin lakukan selepas memenangi pilihan raya. Tetapi pililihan raya ke-14 memperlihat dan membuktikan bahawa segala manifesto akan janji jika menang merupakan cetakan kosong yang indah dikertas atau di kaca skrin, hanya janji manis dibibir, ia tidak memberikan sebarang makna berkesan kepada rakyat.

Selepas pilihan raya segalanya bagaikan debu yang berterbangan dan tidak semua ditunaikan janji.

Jika kata-kata suara rakyat adalah suara keramat janganlah termakan dengan kenyataan tersebut kerana sebaik parti atau gabungan parti-parti menang tiada lagi kekeramatan rakyat melain kekeramatan pemimpin.

Jadi berhati-hati mengundi, jangan termakan dengan taburan wang ringgit, rasuah janji-janji manismu itu kerana ramai juga calon yang hipokrit dan munafik.

Namun masih ramai dalam kalangan rakyat di kawasan parlimen dan negeri yang terperdaya masih mengundi calon yang rasuah dan rendah akhlak dan tidak mewakili rakyat.

Mereka mudah dibeli hanya dengan pemberian wang yang sedikit dan janji-janji bagai menanam tebu ditepi bibir tetapi madu yang telah menjadi tuba selepas keputusan pilihan raya diumumkan dan kemenangan calon yang mereka undi itu.

Apakah sebenarnya perubahan besar yang berlaku kepada rakyat selepas menang pilihan raya? Apa yang pasti ialah perubahan kepada mereka yang menang, perubahan dari kehidupan sederhana menjadi kaya, yang rendah diri di hadapan rakyat menjadi seorang yang ego dan bangga diri, yang berkhidmat menjadi Yang Berhormat (YB), rakyat kembali seperti biasa tiada lagi kedengaran mandat atau kepentingan rakyat.

Anda sendiri dapat perhatikan calon yang anda undi dengan kes rasuah, penting puak, keluarga dan kelompok dalam parti, kaya dalam dengan perniagaan mementingkan kroni, kolusi dan nepotisme, membelakangkan rakyat dan berkhianat.

Semasa kempen mereka berpura-pura prihatin terhadap rakyat, korban untuk rakyat dan menjaga kepentingan tetapi bila menang?

Wajarkah para pemimpin seperti ini diundi semula?

Pas pilih kerjasama dengan PN, tidak akan bubar Kelantan, Terengganu, Kedah

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pas memutuskan untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja Pas Pusat yang diadakan sebentar tadi.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat keputusan untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah.

“Selain itu Pas juga memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Pas bersetuju untuk semua calon daripada peringkat negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama terlebih dahulu.

Sementara itu, berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Hadi berkata mesyuarat itu memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan 3 DUN termasuklah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Mengejutkan, kata Fahmi selepas Rais Hussin masuk PKR


Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Penyertaan bekas pengasas bersama Bersatu Rais Hussin ke dalam PKR agak mengejutkan, kata Fahmi Fadzil.

Ketua penerangan PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai bagaimanapun merasakan tindakan Rais menyertai parti itu adalah usahanya bagi mengislahkan perjuangannya selepas kecewa dengan Bersatu.

“Keterbukaan beliau untuk meninggalkan parti yang beliau sendiri bangunkan kerana baginya parti itu telah hilang arah dan jauh menyimpang daripada perjuangan asal,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, Rais mengumumkan menyertai PKR seminggu selepas keluar Bersatu.

Minggu lalu, Rais yang juga bekas pengerusi biro strategi dan dasar Bersatu mengumumkan pengundurannya daripada parti itu.

Beliau tidak lagi aktif dalam aktiviti parti sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

Fahmi berkata, beliau melihat keputusan Rais menyertai PKR sebagai perkara yang positif serta membuktikan bekas orang kuat Bersatu itu menerima agenda reformasi didukung PKR.

“Ia adalah langkah yang baik untuk menunjukkan beliau mengakui bahawa perjuangan keadilan ini ada makna, erti dan nilai serta beliau bersedia untuk mengislahkan diri selaras dengan perjuangan PKR,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata tiada jaminan untuk mana-mana individu termasuk Rais yang baharu menyertai PKR dicalonkan parti pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman ketika dihubungi berkata, pemergian Rais ke PKR bukan sesuatu merugikan parti, namun tetap menghormati keputusan dibuat bekas pemimpin Bersatu itu.

Anwar kata ‘pintu terbuka luas’ untuk rundingan dengan Dr M, Muhyiddin

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata pintu gabungan itu “terbuka luas” untuk rundingan kerjasama dengan bekas sekutu Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan kerjasama dengan Mahathir yang juga pengerusi Gerakan Tanah Air dan pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin sekali lagi, Anwar berkata, PH hanya bekerjasama dengan mereka yang menentang rasuah dan salah guna kuasa

“Sesiapa setuju, mereka boleh datang dan berbincang dengan kami.

“Pintu terbuka luas,” katanya kepada wartawan pada sidang media di ibu pejabat PKR.

Semalam, Anwar berkata, beliau enggan menerima tawaran Mahathir untuk bekerjasama selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana merasakan pendirian bekas perdana menteri itu dalam beberapa perkara sentiasa berubah.

“Tidak mengapa. Kita akan terus melihat (apa kata Mahathir). Minggu depan, dia akan ada pendirian yang berbeza,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi.

Mahathir pada Selasa apabila ditanya mengenai kemungkinan kerjasama dengan Anwar selepas PRU15 berkata, soalan itu sepatutnya ditanya kepada pengerusi PH itu sendiri.

“Masalahnya (Anwar) tidak mahu bekerja dengan saya (tetapi) saya seorang yang baik,” kata Mahathir.

Perbalahan antara Anwar dan Mahathir berhubung penyerahan jawatan perdana menteri sering menjadi tajuk utama media dari 2018 hingga 2020 ketika Mahathir memegang jawatan itu semasa pentadbiran PH.

Penganalisis berkata, keengganan Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar seperti dipersetujui sebelum ini membawa kepada perpecahan PH dan punca kejatuhan kerajaan PH ketika Langkah Sheraton.

Anwar adalah timbalan perdana menteri ketika Mahathir berkuasa dari 1981 hingga 2005 sebelum beliau dipecat pada 1998 dan didakwa serta dipenjara atas tuduhan liwat dan rasuah.

Anwar beberapa kali menyelar “pengkhianat” di sebalik Langkah Sheraton pada Feb 2020 apabila Bersatu dan serpihan PKR diketuai timbalan presiden ketika itu Azmin Ali bekerjasama dengan Barisan Nasional dan PAS untuk menumbangkan kerajaan PH.

Presiden Bersatu Muhyiddin kemudian dilantik

Bekas pengacara TV mungkin cabar Nik Nazmi di Setiawangsa

Mohamad Fadli

Nurul Fadzilah Kamaluddin yang merupakan pengamal undang-undang sivil dikatakan mungkin mencabar penyandang kerusi Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PETALING JAYA: Bekas pengacara TV Alhijrah, Nurul Fadzilah Kamaluddin mungkin bertanding di Parlimen Setiawangsa menentang penyandang kerusi itu, Nik Nazmi Nik Ahmad pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Fadzilah yang kini ketua Srikandi Muda Bersatu menjadi pilihan untuk parti itu menarik sokongan pengundi muda di kawasan berkenaan.

Sumber memberitahu FMT, Fadzilah merupakan calon paling sesuai untuk mencabar Nik Nazmi ekoran prestasi PKR yang semakin menurun sejak pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Katanya, kajian dalaman Bersatu mendapati pengundi di Setiawangsa bosan dengan wakil rakyat mereka yang jarang turun padang menyelesaikan isu tempatan.

“Tugasnya adalah untuk memenangi hati pengundi muda yang merupakan majoriti kawasan bandar di Setiawangsa.

“Sebelum masuk ke bidang politik, Fadzilah pernah buat kerja aktivis kebajikan dalam badan bukan kerajaan. Beliau juga merupakan pengamal undang-undang sivil dan mempunyai syarikat guaman sendiri,” kata sumber.

Sumber itu juga berkata, sekiranya Fadzilah dicalonkan Bersatu, ini merupakan kali pertama parti itu mengetengahkan wanita muda sebagai calon.

Katanya, beliau juga mempunyai peluang untuk menang di kerusi itu kerana misinya adalah bagi menyelesaikan isu miskin bandar dan menyediakan perkhidmatan guaman kepada wanita yang berdepan masalah.

“Beliau mahu menubuhkan sebuah pusat khidmat guaman di Setiawangsa. Anak tempatan Setiawangsa ini dijangka mampu memberi saingan sengit kepada calon yang bertanding di kerusi Parlimen itu,” katanya.

Bagaimanapun, sumber itu berkata segala keputusan akhir terletak pada pimpinan pusat tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk memilih calon di Setiawangsa.

Pada PRU14, Nik Nazmi daripada PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Zulhasnan Rafique dengan 34,471 undi berbanding 20,099 undi diperoleh BN.

Kemenangan Nik Nazmi menyaksikan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa, yang dikuasai parti itu sejak tiga penggal lalu.

‘Sabah tidak akan diserah atau berada bawah pentadbiran Filipina’

Malaysiakini

Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan jawapan beliau kepada soalan yang dikemukakan Chan Foong (PH-Kota Kinabalu) di persidangan Dewan Rakyat pada 6 Okt lepas berhubung isu pertikaian timbang tara tuntutan Sulu, antara pihak yang mendakwa kumpulan Sulu serta kerajaan Malaysia, yang beliau jelaskan ia adalah tuntutan persendirian dan tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan.

“Sebagai penjelasan kepada jawapan saya mengenai persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian daripada Filipina susulan keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris, ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku.

“Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Final Award Mahkamah Arbitrasi Paris tersebut dibuat oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 yang menganugerahkan pihak menuntut Sulu itu sejumlah US$14.92 bilion.

“Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa kumpulan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina.

“Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan tersebut adalah merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah – sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina,” kata beliau

Wan Junaidi berkata tuntutan itu adalah provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara, katanya.

Menurut menteri itu, proses tersebut bukan sahaja disalahguna tetapi ia juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

- Bernama

Mufti terkesima dengan ucapan ‘menang PRU untuk elak kes rasuah’

Malaysiakini

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata dia terkesima mendengar ucapan “orang politik” berkaitan keperluan menang pilihan raya bagi mengelakkan pertuduhan rasuah.

"Terkesima mendengar, bagaimana secara terang orang politik boleh mengaku tujuan untuk menang PRU adalah bagi mengelakkan kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah.

“Jika itu berlaku, negara ini akan jadi syurga rasuah,"ciapnya di Twitter.

Tokoh agama yang sering menyentuh isu politik tanah air itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus dia merujuk kepada siapa.

Bagaimanapun, ia dibuat ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terpalit kontroversi susulan ucapannya dalam perhimpunan agung tahun MIC pada Isnin lalu.

Ucapan Ahmad Zahid baru-baru ini mengundang perhatian ramai setelah dia menyebut satu persatu kepimpinan BN yang mungkin menghadapi perbicaraan jenayah sekiranya parti itu tewas lagi.

Namun, Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN hari ini menyalahkan musuh politik gabungan itu sebagai punca ucapannya "diputar belit" untuk mengelirukan orang ramai.

Kata Ahmad Zahid, ucapannya itu sebenarnya merujuk kepada pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih di mahkamah.

Berani mati, lelaki sengaja baring atas jalan minta dilanggar

SITI NUR ZAWANI MISCON

Seorang lelaki menunjukkan aksi berani mati apabila dilihat sengaja berbaring di tengah-tengah jalan raya dan meminta orang awam melanggarnya.

Dalam satu rakaman papan pemuka (dashcam) yang tular, seorang lelaki berbaju putih dilihat menghampiri jalan raya sebelum berbaring selepas sebuah kenderaan cuba melalui kawasan tersebut.

Turut kedengaran pemandu meminta lelaki tersebut untuk bangun dan tidak menghalang laluannya.

“Jangan pura-puralah,” kata pemandu yang kemudian dibalas oleh lelaki tersebut supaya pemandu teruskan jalan.

Kejadian difahamkan berlaku di Blok 4 Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya, dan rakaman kejadian dimuat naik oleh pemilik akaun tersebut sekitar pukul 1 pagi.

Melihat tingkah lelaki tersebut yang terus berdegil, pemilik dashcam kemudiannya mengundurkan kereta.

Lelaki tersebut bagaimanapun terus bangun dan beredar dari tempat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid meminta agar pemilik dashcam atau pemandu kereta dan saksi kejadian tampil membuat laporan di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

2 wanita dibunuh, jadi ‘korban’ untuk ‘tarik duit’

AFP

Kepercayaan terhadap bomoh masih mendalam di kawasan pedalaman India. (Gambar AP)

NEW DELHI: Polis India menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang dikatakan bomoh, kerana membunuh dua wanita untuk dijadikan korban kononnya bagi meraih kekayaan.

Sepasang suami isteri yang mengalami masalah kewangan membayar 300,000 rupee kepada Mohammed Shafi bagi membunuh dua mangsa yang turut diseksa kejam, menerusi dua upcara dalam tempoh tiga bulan, kata jurucakap polis Pramod Kumar kepada AFP.

Shafi memberitahu pasangan dari Kerala itu itu – Bhagaval Singh dan isterinya Laila – bahawa korban manusia akan membawa kekayaan, kata polis.

Shafi yang digambarkan polis sebagai penyumbalewang seksual pernah didakwa atas tuduhan rogol, dan dikatakan “mengumpan” mangsa pertama ke rumah Singh pada Jun lalu kononnya untuk menawarkan watak lakonan dalam sebuah filem.

Menurut penyiasat, Shafi meyakinkan pasangan itu untuk mengambil bahagian dalam upacara pemujaan kedua pada September selepas mereka mengadu masih belum memperoleh kekayaan.

“Kami memang menyiasat kes kehilangan wanita pertama sebelum mendapat tahu mengenai mangsa kedua yang juga hilang sekitar kediaman pasangan itu pada September,” kata Kumar.

Dua wanita itu mencari rezeki dengan menjual tiket loteri dari rumah ke rumah. Mayat mereka ditemui ditanam di halaman rumah pasangan itu, dan polis kini turut menyiasat sama ada Shafi terlibat dalam kes lain.

Jiran Singh berkata lelaki itu, yang dipercayai seorang pengamal perubatan tradisional, menyuarakan rasa terkejut dengan kejadian itu malah sukar percaya dia terlibat dalam pembunuhan berkenaan.

“Ramai orang datang ke rumahnya untuk mendapat rawatan tulang retak, lebam dan sakit ringan lain. Kami tidak pernah mengesyaki apa-apa, apatah lagi dia memang seorang yang berbudi bahasa,” kata Gopan K dipetik Hindustan Times.

Kepercayaan terhadap bomoh masih berleluasa di kawasan pedalaman India.

Awal bulan ini, dua lelaki ditahan kerana membunuh seorang kanak-kanak berusia enam tahun. Mereka dilaporkan di bawah pengaruh dadah dan membunuh mangsa sebagai korban untuk dewa Shiva demi mendapat kekayaan.

2 pegawai imigresen ditahan, sindiket seludup Ah Chong tumpas

Bernama

ISKANDAR PUTERI: Dua pegawai Jabatan Imigresen (JIM) ditahan petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket menyeludup pendatang tanpa izin yang disenarai hitam untuk masuk ke negara ini semula.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, dua individu itu berusia 20 hingga 27 tahun dan bertugas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini.

Terdahulu, katanya, JIM menumpaskan sindiket menyeludup pendatang tanpa izin yang dikenali sebagai sindiket Ah Chong menerusi operasi di Larkin Sentral dan KSAB kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

“Turut ditahan 25 pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita berserta dua tekong warga tempatan berusia 34 dan 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut (transporter),” katanya pada sidang media di Laluan Keluar Bas dan Lori KSAB.

Katanya, sindiket itu disyaki aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka April lepas dengan menyasarkan pendatang tanpa izin yang disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

Beliau berkata, sindiket itu mengenakan bayaran RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka membawa masuk sekurang-kurangnya 600 pendatang tanpa izin dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta.

“Dalam operasi ini, kita berjaya menahan dua tekong dan 25 warga Indonesia yang memasuki negara ini melalui Singapura. Modus operandi sindiket ini adalah membawa masuk pendatang tanpa izin melalui LinKedua, sebelum dua pegawai imigresen di KSAB yang terlibat melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral menggunakan bas.

“Di Larkin Sentral, sebuah bilik khas disediakan sindiket untuk memberikan cop palsu kepada pasport milik kesemua pendatang tanpa izin itu bagi mengaburi mata pihak penguasa dan selepas itu mereka akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur.”

Katanya, 25 warga Indonesia yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua pegawai imigresen dan dua tekong warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Pihak imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran.”

Nenek lesap RM140,000 akibat bercinta dengan ‘angkasawan’

DANIAL HAKIM

Seorang nenek lesap RM140,000 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam akibat menjalin hubungan cinta dengan ‘angkasawan’ yang mula dikenalinya di Instagram.

Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai angkasawan Rusia itu kononnya bekerja di Stesen Angkasa Antarabangsa.

Pasangan tersebut ‘bercinta’ selepas bertemu pada 28 Jun lepas di Instagram sebelum meneruskan hubungan mereka menerusi telefon, lapor Yomiuri Shimbun dipetik Awani.

Sementara itu, Balai Polis Higashi Omi dalam kenyataan pada 7 Oktober lalu memaklumkan bahawa lelaki tersebut mengajak mangsa berkahwin selepas dia tiba ke bumi.

Lapor The Japan News, ‘angkasawan’ itu menghantar mesej melalui aplikasi Line, memberitahu mangsa bahawa dia mahu memulakan kehidupan baharu di Jepun dan menyatakan rasa cinta kepadanya.

Dalam satu mesej, lelaki itu berkata bahawa dia akan terus mencintai warga emas itu walaupun mengakui menyebut hal tersebut sebanyak 1,000 kali pun tidak akan mencukupi.

Namun, dalam masa sama, lelaki berkenaan meminta ‘kekasihnya’ menghantar duit berjumlah AS$30,000 (4.4 juta yen atau RM140,160) sebagai caj mendarat ke bumi.

Susulan itu, mangsa berusia 65 tahun yang menetap di bandar Higashiomi City itu melakukan lima kali transaksi wang antara Ogos dan September.

Walau bagaimanapun, warga emas tersebut akhirnya membuat laporan polis apabila curiga dengan tindakan lelaki berkenaan yang berterusan meminta wang.

PAS umum esok bubar atau tidak DUN 3 negeri

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: PAS sudah membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang dikuasai mereka iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bagaimanapun berkata keputusan itu akan diumumkan parti itu esok.

"Ya (sudah ada keputusan). Esok akan dimaklumkan keputusan itu," katanya ringkas ketika ditanya sama ada PAS sudah membuat keputusan berhubung pembubaran DUN di tiga negeri.

Media sebelum ini melaporkan, PAS memutuskan tiga negeri yang dikuasainya, Kelantan, Kedah dan Terengganu, tidak akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.

Isnin lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin lalu selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU-15.

‘Jho Low makan tengah hari bersama pegawai Ambank, TIA’

Malaysiakini

Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menghadiri perjumpaan makan tengah hari di sebuah hotel lima bintang bersama beberapa pegawai bank dan wakil Terengganu Investment Authority (TIA), 13 tahun lalu.

Bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad Kok Tuck Cheong, 67, berkata beliau diperkenalkan kepada Jho Low oleh Pengarah Perhubungan Perbankan AmBank Chan Wan Seong semasa perjumpaan makan tengah hari itu yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental di Kuala Lumpur pada 2009.

“Terdapat kira-kira lima atau tujuh individu. Tiada pengenalan secara rasmi,” katanya sambil menambah Jho Low tidak banyak bercakap.

Saksi pendakwaan ke-40 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhammad Shafee bertanya sama ada hanya pegawai bank yang hadir, Kok berkata beberapa wakil TIA turut hadir. TIA kemudian dinamakan semula sebagai 1MDB.

- Bernama

Anwar: Belum ada keputusan negeri PH buat pilihan raya asing

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengesahkan masih belum ada keputusan yang dimuktamadkan mengenai pilihan raya negeri ditadbir gabungan itu untuk diadakan secara berasingan.

Beliau berkata, perkara itu masih dalam proses rundingan bersama pucuk pimpinan setiap parti komponen masing-masing.

“Kami masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden PH tetapi perkara itu perlu dibincangkan semula secara terperinci bersama pucuk pimpinan parti masing-masing.” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat itu.

Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan tiga negeri yang ditadbirnya, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

Kerajaan negeri Selangor telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya meneruskan pemerintahan sehingga pertengahan 2023.

Anwar berkata, kepimpinan parti di setiap negeri diberi peluang untuk mengemukakan pendapat masing-masing mengenai perkara itu dalam tempoh singkat.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, keputusan PH berhubung perkara itu adalah berdasarkan konsensus ketiga-tiga negeri.

Ini bermakna ketiga-tiga negeri akan membuat keputusan sama mengenai pembubaran DUN, bagi memberi laluan kepada PRU15.

Konvensyen Pakatan Harapan dipercepatkan kepada 20 Oktober ekoran pembubaran Parlimen

BORHAN AHMAD

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk mempercepatkan Konvensyen Pakatan Harapan ke 20 Oktober berbanding 29 Oktober sebelum ini.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat oleh mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini dengan menetapkan konvensyen itu akan dikekalkan di Ipoh.

Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan media sebaik sahaja selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Konvensyen Pakatan Harapan bakal menjadi platfom untuk Pakatan Harapan mempertontonkan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya umum ke 15 selepas Parlimen dibubarkan 10 Oktober lepas.

Dalam pertemuan dengan media hari ini, Fahmi juga memberitahu, Majlis Presiden PH akan membuat kenyataan berkaitan lain-lain hal termasuk permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membubarkan Dewan Negeri mereka serentak dengan pembubaran Parlimen.

Majlis Presiden juga, katanya, akan membuat pengumuman segera berhubung dengan permohonan Muda dan PSM untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Dalam masa 24 hingga 48 jam dari sekarang pengumuman mengenainya akan dibuat,” kata Fahmi.

Berhubung dengan dakwaan P Waytha Moorthy dari parti Malaysian Advancement Fahmi berkata, sepanjang yang beliau tahu tidak ada sebarang permohonan dari parti itu mahu bekerjasama dengan PH.

“Setahu saya, kita tidak ada menerima sebarang permohonan dari parti beliau untuk bekerjasama sebagai Muda dan PSM membuat permohonan kerjasama.

“Jadi kita tidak boleh buat apa-apa keputusanlah,” kata Fahmi.

Waytha sebelum ini berkata, partinya gagal dalam usaha untuk bekerjasama dengan PH.

PH akan buat keputusan penting dalam mesyuarat petang ini

BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan dijangka akan membuat kata putus petang ini apakah permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri itu serentak dengan pembubaran Parlimen dipersetujui atau tidak.

Majlis Presiden PH yang sedang bermesyuarat di Ibu Pejabat Parti Keadilan dekat Petaling Jaya juga dijangka akan membuat kata putus pembahagian kerusi di kalangan parti-parti komponen mereka.

Mesyuarat ini juga dijangka akan membuat keputusan berkenaan permohonan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk turut bernaung di bawah banner gabungan parti itu.

Mesyuarat yang bermula jam 3 petang itu dipengerusikan oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai oleh semua pimpinan utama PH termasuk Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO).

Menurut sumber, Muda dan PSM dijangka akan diterima untuk bekerjasama dengan PH tetapi adalah mustahil untuk menyertai gabungan itu kerana ia memerlukan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memaklumkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP membuat permohonan kepada PH untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri serentak dengan pembubaran Parlimen.

Ia berbeza dengan keputusan PH sebelum ini agar ketiga-tiga negeri di bawah PH tidak dibubar tetapi memberikan tumpuan kepada bantuan untuk mangsa banjir ekoran musim tengkujuh yang bakal tiba.

Pas juga telah membuat keputusan sebelum ini untuk tidak membubarkan ketiga-tiga negeri di bawah parti itu iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Usah salahkan rakyat jika BN menang, kata Agus

Malaysiakini

Pembangkang tidak boleh menyalahkan orang lain - termasuk rakyat - kecuali diri mereka sendiri jika BN kembali mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff berkata gabungan BN boleh mengalahkan parti lain apabila PRU ke-15 dilangsungkan nanti jika pembangkang gagal berkonsolidasi atau memperkukuhkan kerjasama sesama sendiri.

"Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) dan Warisan, sila duduk bersama dan berbincang.

"Tidak perlu fikir tentang khemah besar, (sebaliknya) fikir tentang electoral pact (pakatan pilihan raya) saja.

"BN dan PH semuanya masih ada masa sehingga hari pencalonan untuk berbuat demikian.

"Ingatan saya kepada pemimpin pembangkang cuma satu: jangan salahkan rakyat yang tidak tahu memilih jika gagal berkonsolidasi sekiranya BN menang lagi," katanya dalam kenyataan dimuat naik di media sosial hari ini.

Bekas profesor sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga menegaskan perkara tersebut sebagai mengulas mengenai keadaan semasa politik serta pentingnya kerjasama dalam kalangan parti politik menjelang PRU ke-15.

Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, situasi PRU ke-15 menyaksikan BN dalam keadaan bersatu, manakala perpaduan parti pembangkang berada dalam keadaan sebaliknya.

Justeru dia menegaskan betapa mustahaknya perpaduan dan kerjasama bagi parti yang ingin menang dalam pilihan raya kali ini.

Mohammad Agus juga menegaskan, kajian pakar mengesahkan bahawa perpaduan elit penting untuk menonjolkan imej perpaduan kepada orang ramai.

"Tanpa imej perpaduan ini, harapan untuk menjatuhkan rejim pemerintah sukar kerana rakyat tidak percaya kepada parti yang gagal menjanjikan kestabilan dan perpaduan.

"Di Malaysia, BN gagal memenangi hatta satu kerusi pun di Kelantan dalam PRU 1990 kerana imej perpaduan dan konsolidasi elit PAS dan Semangat 46 yang kuat ketika itu.

"Di Indonesia, gerakan reformasinya berjaya kerana elitnya tidak bersatu mendukung rejim Suharto.

"Di Malaysia, BN berjaya mengekalkan pemerintahannya kerana keupayaan Dr Mahathir (Mohamad) menyatukan elit-elit politik BN untuk bersatu dan tidak melawan kepimpinannya.

"Begitulah juga dengan PRU ke-15 ini. BN bersatu dan perpaduan inilah yang meyakinkan BN untuk membubarkan parlimen. Pembangkang menolak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka tahu perpaduan sesama mereka rapuh," katanya.

"Apakah BN ada harapan untuk menang? Biarpun banyak isu yang tidak menyebelahi BN, mereka mempunyai peluang yang lebih besar jika pembangkang tidak bersatu," katanya.

Menurut Mohammad Agus memang terlalu sukar untuk parti pembangkang bekerjasama erat kerana - antara lain - disebabkan 'parut luka' yang terjadi sebelum ini.

Langkah Sheraton dan pengkhianatan lainnya, kata Mohammad Agus, adalah "kesakitan yang tajam" namun ia merupakan cabaran untuk pemimpin pembangkang mencari kesepakatan.

"Bagaimana untuk bekerjasama? Berjiwa besarlah dan mulakan langkah untuk sekurang-kurangnya ada electoral pact.

"Dengan kerjasama elektoral sahajalah sekurang-kurangnya, PRU ke-15 ini akan menjadi lebih menarik dan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk negara tercinta ini," ujar Mohammad Agus lagi.

PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

Ahmad Hasbi

am@hmetro.com.my

PU Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. FOTO Azrul Edham

PU Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. FOTO Azrul Edham

Seremban: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.

Tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan yang dilakukan pada 6 Julai 2022, antara jam 3 pagi hingga 5 pagi di ruang tamu rumah sama dan pada 5 Februari 2022, antara jam lebih kurang 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad bagaimana memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya selain memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama baik.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen 8 Disember ini.

Muhyiddin: Umno tolak PAS ‘berita baik’ buat PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan Umno enggan meneruskan kerjasama dengan PAS disifatkan “berita baik” bagi Perikatan Nasional (PN), sekali gus menjadikan gabungan itu lebih kukuh untuk menang lebih banyak kerusi, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, hubungan gabungan itu dengan PAS kekal baik sejajar kedudukan parti itu sebagai antara pengasas bersama dengan Bersatu dan parti komponen lain.

“Itu keputusan mereka (Umno), tapi bagi PN hubungan dengan PAS tetap baik kerana mereka (PAS) adalah antara parti pengasas PN. PAS juga berulang kali menjelaskan mereka kekal rakan penting PN.

“Jadi, sudah jelas sekarang mengenai ketidakpastian hubungan mereka (PAS) dengan Umno, tetapi saya fikir ia membuka laluan kepada PN untuk lebih kuat dan efektif untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada pilihan raya ini.

“Bagi saya itu berita baik,” katanya menurut Berita Harian, malam tadi.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata demikian di Kota Kinabalu ketika diminta mengulas keputusan Umno tidak bekerjasama dengan PAS, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada 2 Okt, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengemukakan tiga tuntutan kepada PAS sebelum kembali menjalin kerjasama politik – PAS keluar PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi parti itu “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Semalam, bercakap kepada FMT, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, berkata parti itu sedang berada dalam dilema susulan “Bersatu mengajak memusuhi Umno, manakala Umno minta syarat ceraikan Bersatu”.

Katanya, PAS akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat dalam mesyuarat pengurusan parti dengan ‘syarat’ kedua-dua parti itu akan dibuat perincian.

Terdahulu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin, menegaskan hubungan Umno dengan PAS ‘gugur’ kerana parti itu tidak dapat memenuhi tiga tuntutan diberikan Zahid.

Sehubungan itu, katanya, Umno bersedia bertembung dengan PAS di 27 kerusi Parlimen kritikal, pada PRU15.

27 Kerusi kritikal itu merujuk kawasan jika undi Umno dan PAS digabungkan akan menjadikan peluang menang lebih besar demi menumpaskan Pakatan Harapan (PH).

Zahid Hamidi orang paling berkuasa di negara ini bermula pembubaran parlimen semalam?

BERMULA SEMALAM, ZAHID HAMIDI ORANG PALING BERKUASA DI NEGARA INI

Shahbudin Husin 

Berikutan pembubaran Parlimen berkuatkuasa semalam, Ahmad Zahid Hamidi kini menjadi orang politik paling berkuasa di negara ini.

Kejayaan merealisasikan tekanan membubarkan Parlimen menjadi kenyataan, bermakna bermulalah terbuka gerbang kuasanya.

Dengan kuasa memberi watikah calon ada di tangan beliau, semua calon BN, termasuk Perdana Menteri dan menteri-menteri, untung nasib mereka sekarang ini amat bergantung kepada budi bicara dan kehendaknya.

Walaupun mungkin mustahil beliau tidak memberikan watikah calon kepada Ismail Sabri Yaakob yang kini merupakan “Perdana Menteri caretaker”, apa yang nak disebut di sini ialah kuasa memberi watikah itu adalah keistimewaan yang dimilikinya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang tidak ada pada sesiapa selain beliau pada ketika ini.

Kepada menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen sedia ada, tidak mustahil kedudukan sebahagian daripada mereka sedang dalam penelitian oleh Zahid Hamidi sama ada mereka perlu diberi watikah calon atau sebaliknya.

Kalau tak diberi watikah calon, bererti “bye byelah” untuk bertanding lagi dan terlepaslah dengan sendirinya semua jawatan yang ada dalam kerajaan sekarang ini.

Tambahan lagi kepada menteri, timbalan menteri dan ahli parlimen yang pernah mengkritiknya secara terbuka, mengadakan sidang media membalunnya tanpa segan silu atau sehingga sekarang masih tidak sebulu dengannya, tentu mereka mula susah hati dan resah gelisah sejak semalam lagi.

Bagi yang ada harga diri, mungkin mereka tak kisah sama ada mahu dipilih lagi untuk bertanding atau tidak.

Bagi mereka, semua itu ketentuan rezeki dan Tuhan yang menentukannya.

Namun, bagi yang tebal muka dan ghairah mahu bertanding lagi, tambahan lagi kerana belum puas menikmati kedudukan dalam kerajaan, tidak mustahil ada di antaranya tanpa segan-segan mula menghimpit dan mendekati Zahid Hamidi.

Bukan saja mereka sanggup bertunggu tangga di pejabatnya, barangkali ada juga yang menjejakinya sehingga ke rumah pada waktu malam atau tersembul di muka pintu selepas waktu subuh.

Kalau beliau ada perbicaraan pula, jangan terkejut jika tiba-tiba kelihatan ramai wajah ahli parlimen hadir memberi sokongan, walhal sebelum ini sebelah kaki pun haram mereka tak pernah memijakkan kaki ke mahkamah.

Ketika inilah, bermacam-macam ikrar dan janji taat setia akan sanggup dilafazkan terhadap Presiden UMNO itu, asalkan nama dalam senarai watikah calon tidak diketepikan.

Tanpa jawatan dalam kerajaan, bahkan masih berdepan 47 kes dalam perbicaraan, bertukarnya kedudukan Zahid Hamidi menjadi orang paling berkuasa ketika ini adalah suatu pencapaian yang sangat menakjubkan.

Tidak pernah ada mana-mana Presiden UMNO pernah meraih kemuncak seperti ini kerana sebelum ini semua Presiden UMNO dan Pengerusi BN ketika mereka dikejar oleh ramai orang untuk mendapat watikah calon, termasuk ada yang menangis merayu agar tidak digugurkan, mereka dalam masa yang sama adalah berkedudukan sebagai Perdana Menteri.

Berbeza dengan Zahid Hamidi, beliau tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan, manakala jawatan Perdana Menteri disandang oleh Ismail Sabri.

Selepas proses pemberian watikah calon, diikuti penamaan calon dan seterusnya pengundian, Zahid Hamidi selepas keputusan PRU15 diumumkan nanti dan jika ditakdirkan BN mencapai kemenangan, sekali lagi bakal menjadi orang paling berkuasa di negara ini.

Ketika itu, dengan kedudukan sebagai Pengerusi BN, di tangannyalah menjadi penentuan siapa yang bakal dinamakan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Beliau boleh mengekalkan atau mengenepikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, meletakkan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sebagai calon Perdana Menteri yang baharu atau tidak menamakannya, menamakan mana-mana pemimpin UMNO lain yang dikehendakinya sebagai Perdana Menteri, malah boleh juga mencalonkan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri ke-10.

Lagi pula, meski masih berdepan kes mahkamah dan desas-desus beliau sebagai bakal Perdana Menteri ke-10 sudah sekian lama kedengaran, sekali pun Zahid Hamidi tidak pernah membuat penafian mengenainya.

Kenapa tidak pernah ada penafian dan susah sangatkah untuk Zahid Hamidi menyatakan – Saya tidak mahu sama sekali jadi Perdana Menteri!! – ShahbudinHusin 11/10/2022.

Liwat 3 rakan sel, banduan dipenjara 23 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang banduan dihukum penjara 23 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana meliwat tiga rakan selnya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shahrul Ruzaimy Maznan, 29, mengaku salah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa berusia 24 tahun di dalam sel Penjara Marang, Marang jam 1.30 pagi pada 5 Julai lalu.

Dia turut mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi sama jam 3.30 pagi pada 8 Julai lalu.

Selain itu, Shahrul melakukan kesalahan sama terhadap dua lagi mangsa berusia 28 dan 24 tahun di lokasi sama pada 29 Jun dan 4 Julai lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan, manakala bagi dua lagi tuduhan, dia dipenjara masing-masing enam dan tujuh tahun serta satu sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukumannya berjalan serentak mulai hari ini. Ini bererti tertuduh hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan.

Ketika ini, tertuduh sedang menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat bunuh.

Mahyuddin: Tindakan Ismail menyalahkan saya dan menteri PN tidak bertanggungjawab

FMT Reporters

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin berkata adalah “tidak bertanggungjawab” untuk perdana menteri menyalahkan beliau dan menteri dari Perikatan Nasional (PN) kerana mengakibatkan kerajaan tidak dapat dipertahankan dan memaksa Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen.

Muhyiddin berkata Ismail menuding jari itu kepada PN kerana Barisan Nasional (BN) dan Umno sedang menghadapi serangan teruk daripada orang ramai kerana pilihan raya umum akan diadakan ketika musim banjir.

“Tetapi mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa. Mereka sendiri perlu bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di Sabah.

Presiden Bersatu itu bagaimanapun berkata beliau tidak mahu memanjangkan pertikaian kerana Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenan pembubaran parlimen.

Awal hari ini, Ismail memetik surat 12 menteri daripada PN kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan pendirian mereka membantah pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, dan pengisytiharan Muhyiddin bahawa BN adalah musuh PN pada pilihan raya.

Pengisytiharan Muhyiddin, kata Ismail telah memecahbelahkan kerajaan, kerana PN adalah sebahagian daripada pentadbirannya.

Isytihar tak mahu bertanding itulah yang dikata 'dikejar tak dapat, yang digendong berciciran'

'Saya buat keputusan tidak bertanding PRU15'

SAIFULLAH AHMAD

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan menerusi hantaran terkini di laman Facebook pada Selasa.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding di kerusi DUN Titi Serong.

"Saya dengan rendah hati ingin memohon ribuan kemaafan kepada penyokong dan pendokong saya di kawasan Titi Serong yang mana saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi PRU15 ini.

"Keputusan yang berat ini diambil bagi menebus kesilapan langkah politik saya sebelum ini. Saya akan turun berkempen bagi memenangkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dan PH di DUN atau Parlimen yang ditandingi," katanya menerusi hantaran tersebut.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain turut merakamkan penghargaan kepada pimpanan Amanah Kawasan Parit Buntar, Amanah Perak dan juga Amanah Nasional yang telah meletakkannya sebagai calon pada PRU yang lalu.

Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta penjawat awam kerajaan negeri dan pejabat daerah Kerian yang membantu menjayakan agenda pembangunan di DUN Titi Serong.

Pada PRU14, Hasnul Zulkarnain menang di kerusi DUN Titi Serong mewakili Amanah menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 140.

Ketika PH mentadbir Perak, Hasnul Zulkarnain dilantik sebagai exco kerajaan negeri selama 22 bulan dan pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Pada 9 Mac 2020, beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Amanah Nasional bersama dua wakil rakyat PH iaitu ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Keong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam mengumumkan keluar parti susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum dipecat pada Disember 2020 dan menjadi wakil rakyat bebas.

PAS: Bersatu ajak bermusuh, Umno ajak bercerai

Anne Muhammad

PETALING JAYA: PAS kini sedang meneliti hubungan antara Umno dan Bersatu apabila kedua-dua parti itu saling menetapkan syarat berkaitan kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Murshidul amnya, Hashim Jasin mendedahkan, syarat Bersatu kepada PAS adalah memusuhi Umno.

“Macam Bersatu, dia ajak kita memusuhi Umno. Umno pula minta syarat dekat kita ceraikan Bersatu. itu pandangan mereka, kita ada pandangan kita sendiri, jadi kita akan kemukakan.

“PAS akan buat keputusan dalam sehari dua dalam mesyuarat pengurusan parti. PAS ada sikap tersendiri jadi saya tak boleh kata apa setakat ni jadi sebab syarat Umno kita tengok, syarat Bersatu pun kita tengok,” katanya kepada FMT.

Hashim berkata demikian ketika ditanya pertembungan Umno dengan PAS di 27 kerusi Parlimen kritikal tidak dapat dielakkan susulan kegagalan parti itu memenuhi ‘tiga syarat’ ditetapkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkaitan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Hashim berkata mesyuarat PAS pada Khamis ini akan membincangkan berkaitan pertembungan 27 kerusi dan syarat Bersatu dan Umno.

Pada 2 Okt, Zahid yang juga presiden Umno, mengemukakan tiga tuntutan kepada PAS sebelum kembali menjalin kerjasama politik – PAS keluar PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi parti itu “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Hashim ketika ditanya adakah PAS akan bergerak solo pada PRU15 sekiranya parti itu tidak dapat mengikut syarat Bersatu dan Umno berkata:

“Itu perkara berikutnya, setakat ni sikap kita bersama Umno dan Bersatu,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian parti itu untuk bekerjasama dengan Umno dan Bersatu pada PRU15.

“PAS melihat kita ini dalam agenda perpaduan ummah bukan kehendak presiden PAS tapi perintah dari Allah.

“Kalau kita anggap perintah Allah perlu dilaksana, harap mereka berlapang dada lah. Kita laksanakan apa yang diperintah oleh Allah, bukan apa yang diperintah oleh manusia,” katanya.

Bubar Parlimen: Antara musim banjir dan faktor Zahid

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Akhirnya segala tanda tanya telah dijawab Parlimen telah dibubarkan. Kekalutan Umno bagaikan siri drama Jenaka Kampung Kalut (atau JKK) siaran di TV3, sembang-sembang di kedai Pak Kodi dan mesyuarat di dewan komuniti JKK dalam situasi penuh kekalutan.

Umno adalah parti yang kalut hendak mengadakan pilihan raya.

Kekalutan Umno terlihat dengan mesyuarat demi mesyuarat dan pertemuan demi pertemuan diadakan sama ada dengan ketua bahagian atau dengan adun seperti di Johor.

Mengapa Umno begitu kalut? Adakah pengalaman daripada faktor bencana pandemik yang telah memenangkan mereka di tiga buah negeri itu menjadi asas kepada harapan dapat memenangi PRU-15 lagi dengan kedatangan bencana banjir?

Tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas iaitu di Sabah, Melaka dan Johor berlaku dalam situasi pandemik Covid-19.

PRN di Sabah pada September 2020 telah membawa kemenangan Umno tetapi membawa peningkatan kes di Semenanjung yang sewaktu itu telah mengalami pengurangan dalam kes Covid-19.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.61 peratus. Walaupun pada peringkat awal mengsasarkan kepada 75 peratus dan kemudiannya keadaan kes yang semakin meningkat memperlihatkan penurunan peratusan undi kepada 70 peratus.

Antara faktor yang menyumbang kepada rendah peratusan ialah kesan pandemik Covid-19. Laporan peningkatan kes keseharian pada waktu itu menyebabkan pengundi takut untuk pulang mengundi. Ini mempengaruhi psikologi pengundi.

Dalam PRN Melaka pada November 2021, sebanyak 83.4% turun mengundi PRU14 namun jumlah tersebut turun mendadak ke 64.1% sahaja akibat kerisauan dengan wabak COVID dan letih dengan politik semasa.

Dalam PRN Johor Februari 2022, pula hanya 54.9 peratus pemilih turun mengundi. Berbanding tiga lagi PRN yang diadakan dalam tempoh dua tahun lalu, PRN Johor adalah yang paling rendah.

Dalam PRN Johor, faktor pandemik jatuh kepada nombor dua bagi pengundi Melayu tetapi bagi mereka yang bukan Melayu faktor jangkitan Covid-19 dan pembaziran wang antara sebab mereka enggan turun mengundi.

Oleh itu adakah kekalutan Umno yang hendak mengadakan pilihan raya umum pada tahun ini berdasarkan kepada kemenangannya pada musim bencana Covid-19 di mana peratusan keluar mengundi jauh berkurangan dalam kalangan rakyat terutamanya yang menyokong pembangkang.

Adakah dengan faktor ramalan kedatangan banjir menyebabkan Umno mengadakan pilihan raya supaya dapat menang dalam situasi bencana seperti yang telah dimenangi dalam PRN di tiga buah negeri?

Sukar untuj dipastikan tetapi laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (5 September 2022) METMALAYSIA meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan.

Namun terdapat kekeliruan kenyataan dengan dakwaan berlakunya hujan lebat berterusan mulai pertengahan November sehingga membawa kepada banjir besar penghujung bulan itu adalah tidak tepat. (Kosmo 15 September)

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia berikutan pihaknya tidak mempunyai kaedah tepat untuk meramalkan banjir lebih awal seperti yang hangat diperkatakan.

“Kita tidak nafikan episod hujan lebat itu akan berlaku tapi ramalan dua bulan lebih awal banjir besar berlaku (November) memang tak ada kaedah tepat.

” Tidak dinafikan kemungkinan itu ada, cuma di mana kawasan paling terjejas atau bila, kita tak tahu,” katanya.

Agak pelik mengapa kenyataan sudah berubah berhubung dengan ramalan banjir pada bulan November kepada tiba-tiba eadah yang digunakan tidak tepat.

Di samping itu antara faktor kekalutan Umno hendak mengadakan pilihan raya ialah kemungkinan undi Melayu yang menurun berikutan isu bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk penjara dan isu pendedahan rasuah isu pembelian enam kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Skandal LCS mula ‘terbongkar’ apabila PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, data ‘faktor kekalahan’ Umno itulah yang memaksa pemimpin tertinggi parti berkenaan memutuskan untuk menyegerakan PRU ke 15 biar pun dalam keadaan mengharung banjir hujung tahun ini.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli “Awal September lepas Najib check in dan kes LCS pecah, saya tengok saya tak percaya. Sebab saya buat survey sejak Jun 2016. Daripada 27% sokongan Melayu, lepas skandal LCS jatuh jadi 18 %.

“Itu maksudnya 9% jatuh. Kalau belajar sains pilihan raya dari dari 2013 ke 2018, 7% swing sahaja di kalangan pengundi Melayu menyebabkan jatuh kerajaan Umno,” katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia Pulau Pinang. (Suara Keadian, 2 Oktober 2022)

Keadaan ini tentu memberikan situasi panik kepada Umno untuk segera mengadakan pilihan raya.

Faktor lain kenapa Umno memerlukan pembubaran parlimen ialah faktor Zahid sendiri.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan yang dihadapi beliau membabitkan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB), esok.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan, bermula pada 13 dan 15 April, 23-26 Mei, 27-30 Jun, 1, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 September serta 26-29 September, 17-20 dan 31 Oktober dan 1-3 dan 7-10 November.

Pada 24 Januari lepas, Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Zahid membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bayangkan kes terakhir ialah 7-10 November adakah kes tersebut akan ditangguhkan.

Kita tidak tahu kedudukan dan keputusan kes ini tetapi ia akan terus mengurangkan undi Melayu dan menjejaskan nama Umno. Oleh itu pembubaran parlimen adalah penting bagi beliau.

Di samping itu Zahid sebagai presiden memerlukan kemenangan dalam pilihan raya ini sebagai membuktikan ketokohannya sebagai pemimpin parti Melayu utama.

Bagaimanapun ini adalah misi ‘do or die’ sekiranya Umno menang bererti masa depan yang cerah untuk beliau dan Umno dan jika kalah dalam pilihan raya kali ini, masa depan beliau sebagai pemimpin akan gelap dan parti Umno akan melalui laluan getir untuk bertahan dalam arus politik perdana.


Kolumnis adalah pensyarah Universiti Selangor

Zahid PM10, Najib PM11?

Lim Kit Siang 

Semalam, sebuah parti BN dikatakan berazam untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada pemenjaraan. 

Walaupun presiden parti berkenaan mengeluarkan penafian, tidak ada sebarang ragu-ragu bahawa cita-cita ini adalah salah satu objektif tersurat atau tersirat Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-15.

Baca: MIC nafi bawa resolusi bebaskan Najib dalam perhimpunan agung

Di Singapura, pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bekas timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) BSI Bank Ltd, Cawangan Singapura (BSIS) atas peranannya menyebabkan kegagalan bank tersebut melaporkan transaksi meragukan berkaitan 1MDB. 

Raj Sriram, bekas pengerusi cabang perbankan peribadi BSIS diberikan amaran bersyarat 24 bulan oleh jabatan hal ehwal komersial polis Singapura dan perintah larangan (PO) selama 10 tahun dari Monetary Authority of Singapore (MAS). 

“BSIS, yang Sriram merupakan timbalan CEO dan ketua perbankan peribadi, merupakan salah satu saluran utama dana tercemar dari 1MDB,” kata timbalan pengarah urusan (pengawasan kewangan) MAS, Ho Hern Shin.

MAS menarik semula lesen BSIS pada bulan Mei 2016 kerana pelanggaran syarat-syarat antipengubahan wang haram/pendanaan keganasan yang serius dan berulang.

Sekurang-kurangnya 10 negara telah mengambil tindakan terhadap skandal 1MDB. 

Tapi penting diingatkan, tiada pemimpin Umno atau parti-parti lain BN pernah mengutuk skandal 1MDB, sama ada sekarang atau dalam dekad yang lepas.

Sementara salah satu cita-cita tersurat atau tersirat Umno dan BN dalam PRU15 adalah untuk membebaskan Najib Razak dan protagonis lain dalam skandal 1MDB daripada liabiliti jenayah mereka. 

Umno mahupun parti-parti BN tidak peduli yang Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai negara kleptokrasi akibat skandal 1MDB.

Persoalan penting yang mesti ditanyakan rakyat Malaysia, adakah PRU15 ini satu usaha untuk membebaskan Najib? 

Atau membebaskan rakyat daripada kemiskinan, eksploitasi, ketidaksamaan, dan ketidakadilan, dan meletakkan Malaysia sebagai negara majmuk yang hebat dan bertaraf dunia?

PRU15 akan menentukan siapakah perdana menteri ke sepuluh.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang merupakan calon perdana menteri, Anwar Ibrahim, menyeru pengundi membetulkan “kerosakan” yang ditinggalkan selepas 65 tahun pembinaan negara, mendapatkan semula negara daripada dua kerajaan “pintu belakang”, dan berjuang demi masa hadapan yang mampan, makmur dan peduli rakyat.

PM tak cakap benar

Perdana Menteri, Ismail Sabri, tidak bercakap benar apabila dia mendakwa dalam siaran langsungnya semalam bahawa negara kita diiktiraf yang terbaik di Asia Tenggara dalam menguruskan pandemik Covid-19. 

Bagaimanakah dia boleh membuat dakwaan sebegini sedangkan kita mencatatkan kadar kematian per sejuta penduduk yang paling tinggi dalam kalangan negara Asean?

Malah kita mencatatkan hampir dua kali ganda kadar kematian per sejuta penduduk berbanding dengan negara di tempat kedua, seperti berikut: 

Malaysia 1,097Indonesia 567Filipina 563Brunei 505Thailand 468Vietnam 436Myanmar 352Singapura 275Kemboja 178Laos 101

Undilah BN jika…

Adakah Malaysia akan mendapat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai perdana menteri ke-10? Adakah Najib Razak akan kembali sebagai perdana menteri ke-11?

Sekiranya rakyat Malaysia mahu melihat negara kita terus dihina di seluruh dunia sebagai negara kleptokrasi dengan Najib sebagai perompak, undilah Umno, BN, Zahid, dan Najib. 

Sekiranya kita mahu Malaysia untuk kembali kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara–yang disabotaj Langkah Sheraton, yang menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dan sah, dan kemudian membawa masuk dua kerajaan “pintu belakang– undilah PH dan Anwar sebagai perdana menteri ke sepuluh.

PRU15 ini akan menjadi ujian sama ada kita peduli dengan nasib Malaysia dan generasi masa hadapan, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, supaya Malaysia dapat berdiri bangga menjelang ulang tahun ke-100 negara sebagai negara majmuk yang hebat dan bertaraf dunia. 

Rakyat Malaysia perlu terus berstamina, cekal tabah, dan mempunyai matlamat untuk meneruskan kerja jangka panjang yang masih belum selesai untuk memenuhi Impian Malaysia, dan memenuhi cita-cita Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, supaya Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan galau”.

Anak ‘Bossku’, Nizar diramal jadi calon di Pekan

Jason Thomas 

Anak lelaki Najib Razak, Nizar, yang bertanding di kerusi Pekan akan mengekalkan legasi bekas perdana menteri itu, kata seorang penganalisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Najib Razak kesuntukan masa untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, kata seorang penganalisis.

Bekas perdana menteri itu telah menjadi Ahli Parlimen selama lima penggal sejak 1976 di kerusi yang disandang bapanya dari 1959. Bagaimanapun, dengan pilihan raya umum yang akan diadakan dalam masa beberapa minggu, Najib mungkin kesuntukan untuk layak bertanding.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan rasuah dalam kes SRC International. Beliau telah memfailkan semakan untuk membatalkan sabitannya dan juga telah memohon pengampunan diraja.

Beliau mungkin tidak akan memperolehi keputusan tepat pada masanya untuk layak menjadi calon dengan pengundian mungkin diadakan pada 4 Nov atau 6 Nov, kata penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.

“Saya rasa masa Najib (sebagai) Ahli Parlimen berakhir dengan Parlimen ke-14,” kata Azmi.

Bagaimanapun, Azmi berkata, terdapat peluang “sangat tinggi” buat anak Najib, Nizar bertanding di kerusi Pekan. Nizar, ketua Pemuda Umno Pekan dilihat mampu meneruskan legasi Najib.

Parlimen Pekan telah dipegang oleh keluarga itu sejak 1959, pertama dengan bapa Najib yang juga perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, dan kemudian oleh Najib susulan kematian Razak, kecuali untuk satu penggal pada 1982-1986 ketika Najib menjadi menteri besar Pahang.

Seorang lagi penganalisis bersetuju, bahawa Nizar adalah calon utama untuk mengambil alih kerusi Najib di Pekan.

“Saya fikir mereka sedang berusaha untuk meletakkan Nizar bagi menggantikan bapanya sebagai calon untuk Pekan,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Pada Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Nizar berkemungkinan bertanding di kerusi Pekan.