"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Jika kami jahat, inilah masanya ‘bunuh’ Mahathir’

KAMARUL HALIM M KAMAL
BATU PAHAT – Kini adalah masa sesuai untuk membunuh karier Tun Dr Mahathir Mohamed namun ia tidak dilakukan kerana masih menghormati bekas perdana menteri itu, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Katanya, beliau sentiasa menasihati ahli parti itu supaya menghormati dua tokoh iaitu Mahathir dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun masing-masing pernah bermusuhan dengan mereka.

"Jika kami ini jahat, inilah masanya untuk bunuh karier politik Mahathir tetapi kita tidak lakukannya sebab masih menghormati beliau,” katanya ketika Konvensyen Pemuda Amanah Nasional Tahun 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Amanah Pusat, Sany Hamzan; Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan Ketua Wanita Muda Amanah, Anis Afida Mohd Azi.

Salahuddin berkata, kini bukan masanya untuk semua ahli Amanah membuka cerita lama, termasuk 'membaca Kitab Sejarah Mahathir' tetapi bekerjasama untuk menumbangkan musuh hakiki iaitu Umno-BN.

"Dahulu kita sememangnya musuh, tetapi kini kita telah kenal musuh hakiki kita, mempunyai musuh yang sama, dan sebab itulah kita perlu menentang musuh yang sama ini secara bersama-sama."

"Ramai orang kata 'tak takut kalau Mahathir belot?'...kalau beliau belot kita lawanlah balik dia, tetapi saya percaya dia akan tetap bersama kita," katanya

Beliau berkata, Amanah menerima kehadiran Mahathir dalam pakatan pembangkang sebagaimana parti lain dan pihaknya juga tidak pernah sangsi dengan perjuangan individu yang pernah menjadi pemimpin Umno itu

"Anwar pun dulu pernah menjadi pemimpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah menjadi pemimpin Umno, kita terima juga...mengapa kita tidak boleh menerima Tun Mahathir."

"Lebih ramai bekas pemimpin tertinggi dalam pakatan lagi bagus. Sekurang-kurangnya mereka tahu cara dan dalaman parti Umno berkenaan serta mempunyai strategi menumbangkannya," katanya.

Dalam pada itu Salahuddin berkata, Pemuda Amanah diminta tidak menjadi tali barut kepada mana-mana musuh supaya tidak tersungkur pada saat akhir bagi mengekalkan kejayaan dikecap kini.

Katanya, disebabkan Amanah masih baharu dan memasuki tahun kedua penubuhan, pihaknya kini masih lagi di dalam proses mengenali ahlinya, walaupun pernah bersama di dalam Pas.

Beliau juga mengingatkan setiap ahli Pemuda Amanah supaya mengenali dengan lebih awal musuh, sekali gus menyelamatkan parti itu.

Katanya, bagaimanapun pihaknya kini tidak mahu bermusuh dengan ahli parti lamanya (Pas), berikutan mahu menarik keahlian daripada parti tersebut menyertai mereka untuk berjuang menentang Umno-BN.

"Saya mengingatkan Pemuda supaya tidak menjadi tali barut, menjual maklumat dan strategi kepada pihak tertentu, termasuklah kepada Bukit Aman kerana tidak mahu tersungkur di pintu kemenangan

"Inilah 'musuh sebenar' kita ahli termasuklah anak muda yang mengaku menjadi ahli kita tetapi sebenarnya belot, membocorkan rahsia dan semua ahli diminta peka mengesan individu berkenaan

"Menyedari yang Pas kini semakin hampir, mesra dan bercumbuan dengan Umno, kita tahu ramai ahlinya tidak menyukainya...sebab itulah kita tidak mahu bermusuhan dengan mereka, menarik seberapa ramai daripada mereka untuk menyertai kita," katanya

Menurutnya, Pemuda Amanah juga diingatkan supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran mendatang daripada Umno-BN, bukannya berkelahi sesama sendiri untuk merebut jawa
Katanya, mereka juga perlu menghormati setiap keputusan yang dilakukan di pimpinan tertinggi termasuk di dalam Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Bersatu

"Siap sedia daripada ancaman musuh sebenar ini, selain musuh Umno-BN serta kita perlulah bersama dalam memberikan setiap pandangan serta pendapat," katanya

Menyedari Amanah sebuah parti yang kecil dan baharu, beliau tidak mahu ahli Pemudanya angkuh serta sombong dengan mana-mana parti lain dalam Pakatan Harapan.

Calon MB Johor Pakatan Harapan?

MALAYSIA DATELINE
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub menafikan Pakatan Harapan cuma mencalonkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan sebagai Menteri Besar Johor jika pembangkang berjaya merampas pemerintahan negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

Beliau yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan memaklumkan bukan hanya Aminolhuda dicalonkan, sebaliknya beliau dan beberapa pemimpin pembangkang lain termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dicalonkan menjadi Menteri Besar Johor.

“Adapun isu berkaitan calon Menteri Besar (Johor), hal ini sekiranya berbangkit dan menjadi satu keperluan, ia akan diputuskan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan.

“Mana-mana pihak boleh sahaja membuat spekulasi. Namun kami tegaskan, keutamaan Pakatan Harapan adalah memenangi Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14),” katanya dalam satu kenyataan media dipetik hari ini.

Sebelum ini terdapat desas-desus DAP mahu pemimpin AMANAH sama ada Salahuddin atau Aminolhuda menjadi Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan parti Melayu Umnodi negeri tersebut.

AMANAH ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin Pas yang gagal mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Pas beberapa tahun lalu kerana dilihat terlalu tunduk kepada kehendak DAP.

Sejak itu, AMANAH yang dianggap sebagai parti serpihan Pas dilabelkan sebagai khadam DAP oleh penyokong Pas kerana parti berkenaan sering mempertahankan DAP termasuk dalam isu-isu yang dilihat bercanggah dengan kepentingan agama Islam.

Muhyiddin semasa masih dalam Umno pula pernah menjadi Menteri Besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995, namun beliau terpalit dalam pelbagai kontroversi sepanjang memegang jawatan berkenaan.

Malah, anwarbrahimblog.com pada tahun 2009 pernah menyiarkan artikel yang menyebut walaupun Muhyiddin menafikan beliau pernah menjual tanah Johor kepada Singapura, tetapi beliau pernah didakwa terlibat dalam usahasama dengan syarikat dari negara itu untuk menukar status tanah di Johor bagi memajukannya.

Pada tahun 1993, Muhyiddin juga Menteri Besar Johor yang bertanggungjawab membuat perubahan terhadap cuti hujung minggu di Johor daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad yang menimbulkan kemarahan umat Islam Johor ketika itu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 1 Januari 2013 menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kembali kepada hari Jumaat dan Sabtu.

Gagal cari kerja setaraf ijazah, lepasan universiti pilih jadi tukang cuci rumah

Yasmin Ramlan
Gagal cari kerja setaraf ijazah, lepasan universiti pilih jadi tukang cuci rumah
Masa yang fleksibel dan pendapatan berpatutan menjadi tarikan untuk pelajar dan lepasan universiti untuk menyertai agensi perkhidmatan pembersihan kediaman. – Gambar ihsan Maideasy, 3 Ogos, 2017.
PUTUS ASA selepas beberapa bulan gagal mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusannya, Siti Nursyazalina Zailani nekad memilih menjadi tukang cuci rumah dengan upah yang berbaloi untuk seorang pemegang ijazah yang baru masuk ke pasaran kerja.

Graduan kejuruteraan bahan itu tidak segan menjadi tukang cuci rumah kerana desakan semasa hidup di Kuala Lumpur dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, memadamkan semua perasaan malu itu.

“Saya tertarik dengan kerja ini kerana waktu kerjanya yang fleksibel dan kalau rajin, kita boleh dapat kira-kira dua ribu ringgit (RM2,000) lebih sebulan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nursyazalina, 26, bekerja sebagai tukang cuci rumah dengan sebuah agensi perkhidmatan membersih kediaman yang beroperasi menggunakan aplikasi, Maideasy selama hampir setahun.

Niat awalnya mahu bergabung dengan agensi itu secara sambilan, “sementara mendapat kerja tetap.”

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan memohon kerja di sana-sini dan beberapa kali hadir temuduga tetapi tidak juga ditawarkan kerja, dia tidak ada pilihan selain melakukan sesuatu supaya hijrahnya ke Kuala Lumpur tidak sia-sia.

“Saya tak ada masa untuk memilih kerja sebab saya datang dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk cari kerja dan membantu ibu saya yang merupakan seorang ibu tunggal,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

“Kalau bekerja lapan jam sehari, lima hari seminggu… macam kerja pejabat, saya boleh dapat lebih kurang atau lebih daripada lepasan graduan universiti sekarang.”

Tidak malu

Menurut Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh, seramai 54,867 atau 23.9% daripada 228,568 graduan lepasan universiti di seluruh negara pada 2015 tidak memperoleh pekerjaan selepas tiga bulan majlis konvokesyen mereka.

Memandangkan jumlah graduan tidak berkerja yang semakin meningkat, lebih ramai mula beralih kepada pekerjaan yang sebelum ini tidak pernah langsung terlintas di fikiran mereka.

Nursyazalina diperkenalkan kepada agensi itu oleh adiknya, Siti Nurdiyana yang ketika itu sedang mengambil peperiksaan untuk jadi akauntan bertauliah di sebuah kolej di Cheras.

Kalau kakaknya jadi tukang cuci rumah kerana tidak ada kerja, si adik ini pula kerana mahu meringankan beban ibu yang masih terpaksa menanggung seorang lagi adik mereka yang masih bersekolah.

Siti Nurdiyana Zailani tidak malu bekerja sebagai tukang cuci bagi membantu adik dan ibunya di kampung. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2017.
Siti Nurdiyana Zailani tidak malu bekerja sebagai tukang cuci bagi membantu adik dan ibunya di kampung. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2017.

Kerja itu malah memberi Nurdiyana kebebasan menguruskan masa yang disesuaikannya dengan waktu belajar, berbanding kerja sambilan di restoran makanan segera atau jurujual di pusat membeli-belah.

“Saya perlukan duit belanja tanpa menyusahkan mak. Tapi saya nak kerja yang saya boleh kawal masa sebab saya kadang-kala sibuk dengan jadual belajar.

“Saya tidak boleh ikut masa bekerja di pusat membeli-belah atau di restoran makanan segera seperti pelajar universiti lain sebagai kerja sambilan,” katanya.

Wang kerja cuci rumah itu bukan saja dia gunakan untuk belanja bulanan malah untuk membayar yuran peperiksaan.

“Kawan-kawan dan keluarga saya tahu saya buat kerja cuci rumah. Saya tak kisah pun apa orang nak kata. Kawan-kawan tak pandang rendah malah saya ajak juga mereka buat sama. Mereka tak nak tapi mereka prihatin dengan keselamatan saya.

“Cuma orang ramai akan selalu tanya: 'Kau tak geli ke bersihkan rumah orang'?

“Bagi saya kalau nak kerja, tak payah fikir apa orang cakap. Kita tak buat salah pun,” katanya.

Kedua-dua beradik itu mengakui tidak malu dengan kerja yang mereka lakukan sebaliknya sedikit rimas dengan sikap sesetengah orang yang hairan melihat kesanggupan mereka melakukan kerja yang selalu dikaitkan dengan warga asing itu.
“Ada yang terkejut dan selalu tanya macam mana saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan bagus.

“Mereka tak sangka saya lepasan universiti dan tanya bermacam soalan mengenai kenapa saya buat kerja bersih rumah orang,” kata Nursyazalina.

Nursyazalina kini sudah pulang ke Ipoh untuk menjadi tukang masak membantu ibunya yang mengusahakan sebuah kedai makan. Adiknya pula meneruskan cita-cita menjadi akauntan dan masih belajar di Shah Alam.

Warga tempatan tidak mahu kerja

Maideasy menawarkan perkhidmatan cuci rumah dengan bayaran permulaan serendah RM50. Selain cuci rumah secara harian atau mingguan, Maideasy juga menyediakan perkhidmatan pembersihan rumah sebelum atau selepas pindah dengan kadar bayaran mengikut saiz unit kediaman.

Syarikat perusahaan rintisan (startup) ini ditubuhkan pada akhir 2015 dan menyediakan tenaga kerja hanya di kalangan warga tempatan.

Tetapi menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maideasy, Azrul Rahim, bukan mudah meyakinkan warga tempatan melakukan kerja yang ditawarkan syarikatnya.

“Untuk dapatkan orang Malaysia bekerja dengan kami sebagai pembantu rumah pada mulanya sangat sukar. Saya terpaksa merayu kepada mereka untuk menerima kerja sebegini,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu pertemuan berasingan.

“Mereka sanggup terima apabila mendapati ia mampu menjana pendapatan dua atau tiga kali ganda berbanding jika mereka bekerja lain misalnya di restoran makanan segera.

“Bagaimanapun, masalah utama kami adalah persepsi orang ramai terhadap pekerjaan ini,” katanya.

Ganti pekerja asing

Azrul menjelaskan dia tidak mengambil pekerja warga asing kerana proses pengesahan mereka ke negara ini yang rumit. Selain itu, ia juga tidak mahu mengambil risiko mengupah pekerja asing tanpa izin.

Walaupun pekerjanya terdiri daripada pelbagai latar belakang, Azrul mendedahkan bukan mudah menarik anak muda terutamanya pelajar universiti bergabung dengan syarikatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maideasy, Azrul Rahim berkata syarikatnya hanya menyediakan tenaga kerja daripada kalangan warga tempatan kerana tidak mahu mengambil risiko mengambil pekerja asing tanpa izin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Ogos, 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif Maideasy, Azrul Rahim berkata syarikatnya hanya menyediakan tenaga kerja daripada kalangan warga tempatan kerana tidak mahu mengambil risiko mengambil pekerja asing tanpa izin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Ogos, 2017.
“Bagi mereka kerja di kedai makanan segera lebih bagus. Tetapi kami ada juga krew yang terdiri daripada pelajar universiti.

“Mereka lakukannya secara sembunyi, tak nak orang tahu. Tapi sejak akhir-akhir ini ramai pelajar yang ceburkan diri dalam bidang ini dan membawa kawan sekali,” katanya.

Semua pekerja yang diambil oleh Maideasy diberikan latihan asas secara intensif bagi menjamin mutu perkhidmatan yang berkualiti termasuk aspek komunikasi dan layanan pelanggan.

“Kadang-kala mereka berdepan dengan pelanggan yang cerewet dan bercakap kasar. Jadi kita ada latihan untuk mengendalikan situasi sedemikian,” katanya.

Selain membersihkan kediaman, ia turut menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas. – 3 Ogos, 2017.
-malaysianinsight

Padah usik beruang (Gambar)


Gara-gara mengusik seekor beruang, seorang lelaki di Thailand nyaris maut apabila diterkam dan dibaham mamalia buas itu yang ditempatkan di sebuah kuil.

Kejadian itu berlaku di daerah Phetchabun apabila mangsa yang dikenali sebagai Naiphum Promratee cuba memberikan makan kepada kepada beruang tersebut.
Sebaik sahaja diterkam, lelaki berusia 36 tahun itu jatuh pengsan dan kejadian berkenaan disedari oleh rakan-rakannya yang cuba menyelamatkan mangsa.
Lelaki itu tidak sedarkan diri apabila diheret ke sangkar sebelum rakan-rakannya menjerit dan berusaha menyelamatkannya.

Satu rakaman menunjukkan, haiwan itu menyerang dan menjatuhkan mangsa ke tanah sambil rakan-rakan Promratee menjerit dan cuba menghalau beruang terbabit menggunakan batang besi.

Kemudian, mereka menyimbah air ke atas beruang terbabit menyebabkan ia melarikan diri buat seketika sebelum kembali mengheret Promratee ke sangkar.
Namun tindakan pantas seorang daripada rakan mangsa berlari masuk ke sangkar dan memukul haiwan itu berjaya menyelamatkan nyawa Promratee yang kemudiannya dibawa ke hospital.

Pegawai unit penyelamat, Bpae Permpoonsap, 60, berkata, pihaknya menerima laporan serangan beruang pada 11.10 pagi waktu tempatan.

“Beruang itu adalah antara haiwan yang dijaga oleh sami di kuil.

“Mangsa pergi ke sana bersama empat atau lima rakan dan dia mengusik haiwan tersebut.

“Beruang itu menerkam dan menyerangnya. Kami tiba dan mendapati lelaki itu mengalami kecederaan parah.

“Dia bertuah kerana masih hidup dan kini berada di hospital dan sudah mula bercakap,” katanya. – Mirror.uk
-kualalumpurpost

Wanita bogel berkeliaran di sekitar Ampangan (Gambar)

SARINAH MAT KASIM

Kelibat wanita berkenan berkeliaran di sekitar Ampangan.
SEREMBAN - Peniaga di sekitar Ampangan, di sini terganggu dengan kehadiran seorang wanita tidak berpakaian yang dipercayai mengalami masalah mental.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu petang tadi mendapati, wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu sedang tidur di kaki lima dekat ruang kedai niaga, sebelum bangun untuk membuang air kecil dan air besar di hadapan kedai di situ.

Peniaga, Elmi Samsudin, 74, berkata, wanita tersebut telah lama berada di situ, namun sejak kebelakangan ini dia suka berbogel dan berkeliaran di sekitar Ampangan.

Katanya, wanita itu kini semakin agresif apabila bertindak memaki-hamun orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu, selain mengganggu peniaga.

“Dulu dia hanya tidur di kaki lima ini sahaja, tetapi sejak kebelakangan ini dia suka berbogel, buka baju sesuka hati dan membuang najis bersepah-sepah.

“Aduan telah dibuat kepada pihak polis dan JKM tetapi menurut mereka itu bukan di luar kuasa mereka untuk mengambil wanita ini.

“Kami berharap pihak berkaitan dapat datang ke sini serta mengambil wanita ini untuk diletakkan ke tempat sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, peniaga di situ rimas dengan kelakuan pelik wanita tersebut, selain bimbang keselamatan serta perkara tidak diingini berlaku kepadanya.

Tiga sebab tarikh pilihan raya ditunda - Dr Dzulkefly

MALAYSIA DATELINE
Walaupun penggal pemerintahan BN semakin mendekati penghujung, perdana menteri sukar untuk menentukan tarikh terbaik membubarkan parlimen ekoran tiga isu yang memberi kesan besar kepada imej pentadbirannya, jelas pengarah strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly menyenaraikan kegagalan 1MDB melalui kementerian kewangan untuk membayar RM2.86 bilion kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC); masalah yang menimpa pemodal baru projek Bandar Malaysia; dan prosiding undang-undang perihal rasuah pembelian kapal selam Scorpene di mahkamah Perancis sebagai isu-isu yang menghantui Datuk Seri Najib Razak.

"Nasib malang yang menimpa PM Najib bagai tiada penghujung. Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, tidak memadai jika dikatakan Najib kini dalam kecemasan dan kerimasan. Dia kaget," katanya.

Menurut beliau, kesangsian tentang kemampuan pentadbiran Najib untuk membayar RM2.86 bilion komitmen 1MDB kepada IPIC seperti diarah mahkamah arbitrasi antarabangsa nampaknya berasas malahan kewujudan 'Unit Dana Pelaburan' yang disebut-sebut untuk membiayai pembayaran itu diragui kewujudannya.
"Sekarang telah heboh di seluruh dunia 1MDB tidak dapat membayar IPIC. Pihak kreditor ini beri lanjutan sehingga 5 Ogos. Saya bertanggapan 1MDB, bahkan
MOF akan tetap gagal membayar.

"Jadi adakah wajar kita membuat kesimpulan bahawa 'unit' dalam 'portfolio pelaburan' dalam perjanjian PetroSaudi melalui akaun Pulau Cayman yang tersohor itu benar-benar sebuah dongengan sahaja?" soal beliau.

Dr Dzulkefly turut mempersoalkan 'program rasionalisasi' penjualan aset-aset 1MDB yang jelasnya tidak mampu menghindar 1MDB daripada berada dalam keadaan 'tidak mampu bayar' (default) sebegini.

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika kegagalan kerajaan melalui Kementerian Kewangan membuat pembayaran kepada IPIC akan memberi kesan kepada nilai ringgit dan kemungkinan pentadbiran Najib 'meminjam' dari tabung Petronas atau simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi melunaskan pembayaran itu.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional itu juga membangkitkan terbitan bon kerajaan (Murabahah Notes) nombor kod tender 201700001701 untuk RM2.5 bilion dengan tarikh pembukaan pada 1hb Ogos dan tarikh diterbitkan pada 4hb Ogos lalu oleh Bank Negara Malaysia.

"Kuantum atau jumlah (bon itu) boleh dikatakan kurang sikit dari keperluan hutang 1MDB kepada IPIC," katanya mengulas kebimbangan umum bahawa ia bakal digunakan untuk melunaskan hutang 1MDB.

Beliau turut menyentuh masalah yang menimpa calon pengganti pemaju utama Bandar Malaysia, Dalian Wanda yang kemampuan kewangan telah tersekat atau disekat Kerajaan China.

"Mungkinkah ada mana-mana syarikat Fortune 500 lain yang besar dan gagah untuk ambil alih projek ini dengan 'RFP' atau mudahnya, permohonan cadangan baru?

"Mungkinkah Mitsui Group dan Daiwa dari Jepun atau IWH-CREC akan menyertai semula perbidaan? Tergendala Bandar Malaysia sebab kegopohan Najib," ujarnya.

Malah tambah beliau, lawatan Presiden China Xi Jinping ke Kuala Lumpur yang dijadual September ini telah ditangguhkan sekaligus merencatkan perancangan Najib untuk mengadakan pilihan raya pada awal bulan Oktober setelah acara besar Sukan SEA berakhir.

Kemunculan prosiding undang-undang membabitkan rasuah Scorpene di mahkamah Perancis dengan penglibatan bekas penganalisis politik, Razak Baginda, orang kepercayaan Najib ketika menjawat timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, kata Dr Dzulkefly juga menggusarkan presiden Umno itu.

"Ya, kalau pun Najib telah mencongak-congak tarikh membubar parlimen, kini semuanya menjadi pudar dan Najib kembali tercari-cari. Situasi ini amat seksa dan menyeksakan.

"Apakah lebih baik Najib berundur sahaja bagi menyelamatkan partinya atau Umno undurkan Najib? Tetap soal besarnya, Siapa pengganti beliau? Hishamuddin atau Zahid Hamidi? Atau ada calon yang lebih 'junior' berwibawa?

"Umno meskipun tampak tenang diluar, tetap terus bersengketa secara dalaman bahkan dalam BN itu sendiri," ujar beliau.

(Gambar) Mengapa enam pegawai kedutaan Malaysia hadir pengurusan saman Sarawak Report?

MALAYSIA DATELINE
Hadrizammi menutup muka ketika cuba dirakam Sarawak Report.

Kehadiran enam pegawai kanan Kedutaan Malaysia di London dalam pengurusan kes saman presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi London, 2 Ogos lalu menarik perhatian laman berita portal internet itu.

Dalam berita bertajuk "So Who Is Supporting 'Opposition' Pas Leader, Hadi Awang, In His Suit Againts SR?" (Siapakah yang membantu pemimpin 'pembangkang' Pas, Hadi Awang, dalam samannya terhadap Sarawak Report?), laman portal berita itu menyatakan rasa terkejut dengan kehadiran paling kurang enam pegawai kanan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia dalam pengurusan kes saman Abdul Hadi terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi.

Antara yang dikesan hadir ialah konsular politik pesuruhjaya tinggi Malaysia ke UK Mohd Hadrizammi Mustafa; pegawai media kedutaan Malaysia di UK Wan Rosli Wan Osman dan timbalan ketua setiausaha hubungan dua hala Jesse Quiban.

Dua pegawai pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang hadir di mahkamah tinggi London.Mereka juga dilihat tekun mencatat sesuatu ketika prosiding berjalan.

"Jadi, apakah kepentingan kerajaan Malaysia dalam saman fitnah 'ahli politik pembangkang' terhadap seorang wartawan dan mengapa mereka menghabiskan banyak masa untuk menghantar kakitangan mereka," soal Sarawak Report.

Sarawak Report juga merakam foto tiga daripada kakitangan kedutaan terbabit yang dilihat mengenali rapat pasukan peguam plaintif dan diberi penerangan lengkap berhubung sesi pengurusan kes itu.

Bagaimanapun wakil kedutaan Malaysia itu dilapor tidak gembira dirakam foto mereka dengan Hadrizammi cuba melindungi wajahnya daripada dirakam.

Sarawak Report turut melaporkan kos yang ditanggung presiden Pas untuk membayar khidmat peguam Carter Ruck yang berjumlah RM3000 (£500) sejam.

Malah Sarawak Report menganggarkan kos yang dibelanjakan presiden Pas bagi urusan mahkamah setakat ini adalah RM600,000 (£100,000).

Bagaimanapun peguam Abdul Hadi, Carter Ruck enggan menjawab soalan Sarawak Report berhubung jumlah perbelanjaan mahkamah yang ditanggung ahli parlimen Marang itu setakat ini.

Ketika para pemimpin Pas mengakui tidak mempunyai dana malahan tidak mampu membayar bil elektrik ibu pejabat parti itu, Sarawak Report mempersoalkan pihak yang membantu membiayai tindakan undang-undang itu memandangkan kempen pungutan derma di kalangan ahli parti yang dilancarkan pada Mac lalu hanya berjaya mengutip £13,000 (RM78,000).

Pekerja didenda minum air mangkuk tandas (Gambar)


Antara sedutan video yang tular di laman sosial. - Foto sumber Shanghaiist
SICHUAN - CHINA. Beberapa foto dan video menunjukkan pekerja meminum air dari mangkuk tandas yang tersebar dan menjadi tular, menimbulkan rasa mual pelayar laman sosial.

Menurut laporan Beijing News, kesemua individu terbabit bekerja di sebuah studio fotografi di bandar Guang'an.

Kesemua mereka didakwa tidak menyampaikan prestasi memuaskan dan didenda dengan cara jijik itu.

Seorang pekerja wanita memberitahu, beliau mengalami cirit-birit dan tidak mampu makan tanpa mengalami muntah-muntah.

Video dan foto insiden tersebut tersebar secara meluas di laman sosial China dan aplikasi mesej, WeChat.

Seorang kakitangan yang merakam video berkenaan ditahan polis dan kes tersebut sedang disiasat.
-sinarharian

Lelaki mati dibakar kerana curi amplifier masjid (video)

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dibakar sehingga mati selepas ditangkap mencuri 3 unit amplifier daripada sebuah masjid di Suka Tenang, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat, semalam.

The Jakarta Post melaporkan lelaki berusia 30 tahun itu dikenali sebagai MA ditangkap penduduk kampung ketika sedang mengangkut amplifier tersebut.

Dia melarikan diri dan terjun ke dalam sungai yang memisahkan Suka Tenang dengan Kampung Muara Bakti.

Bagaimanapun, ketika tiba di tebing sungai di Muara Bakti, penduduk kampung berkenaan menangkapnya. Mereka memukul MA sebelum menuangkan petrol dan membakarnya.

Suspek meninggal dunia di tempat kejadian dengan 80% kesan lecuran pada badan. Mayatnya dihantar ke Hospital Polis Kramat Jati di Jakarta Timur.

“Kita tidak boleh menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah kerana Indonesia mempunyai undang-undangnya sendiri,” kata Ketua Polis Bekasi Sr Comr Asep Adi Saputra.

'Peguam Perancis sahkan Razak Baginda didakwa pada 18 Julai'

Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon telah mengesahkan bahawa Abdul Razak Baginda telah didakwa (indicted) di Paris atas dakwaan sogokan berhubung penjualan kapal selam kepada Malaysia.

Bourdon, peguam yang mengendalikan kes Scorpene di Paris, berkata laporan berita mengenai Abdul Razak, rakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini didakwa di Perancis, adalah tidak mengelirukan.

Katanya, beliau boleh mengesahkan bahawa Abdul Razak telah didakwa pada 18 Julai kerana didakwa terlibat dalam rasuah aktif dan pasif, dan recel d'abus de biens sociaux.

Perkataan Perancis itu diterjemahkan kepada "penyalahgunaan aset korporat" dalam bahasa Inggeris.

"Ini (dakwaan pada 18 Julai) adalah satu langkah penting bagi kes kami," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. Bourdon mewakili NGO hak asasi manusia Suaram ketika mereka memfailkan kes itu di Perancis pada 2009.

Ditanya sama ada Abdul Razak perlu hadir di mahkamah Perancis untuk menghadapi pertuduhan, Bourdon berkata: "Dia harus memberi respons terhadap penghakiman 11 muka surat hakim".

Mengenai bila ia akan berlaku, Bourdon enggan memberi komen, dengan mengatakan bahawa dia perlu menunggu maklumat yang tepat, yang akan diperolehnya dari para hakim selepas cuti musim panas.

"Inkuiri bukan satu dakwaan"

Pada hari Selasa, agensi berita Perancis AFP melaporkan bahawa Abdul Razak telah didakwa di Perancis tetapi ini segera dipertikaikan Abdul Razak yang berkata laporan itu "mengelirukan," sambil menambah bahawa perkara itu masih dalam peringkat penyiasatan.

"Istilah 'didakwa' dalam konteks siasatan bermakna meletakkan individu tersebut di bawah 'penyiasatan rasmi'.

"Proses perundangan Perancis adalah berbeza dari proses perundangan Malaysia. Dalam proses perundangan Malaysia seseorang yang disyaki melakukan jenayah disiasat dan jika ada bukti yang mencukupi, orang itu dihadapkan ke mahkamah undang-undang," kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Pembelian dua kapal selam kelas Scorpene Malaysia dari DCNS Perancis, sekitar harga satu bilion euro, telah ditandatangani pada Jun 2002. Pada masa itu, Najib adalah menteri pertahanan.

Pembelian kapal selam kini menjadi subjek penyiasatan oleh pihak berkuasa Perancis berhubung dakwaan bayaran sogokan.

Setakat ini, empat orang warga Perancis dan Abdul Razak dilapor dalam siasatan.

Sementara itu, bekas pengarah Suaram Cynthia Gabriel berkata beliau juga menerima pengesahan dari Bourdon bahawa Abdul Razak memang didakwa pada 18 Julai.

Pejabat Bourdon akan mendapatkan penghakiman 11 muka surat dari majistret Roger le Loire sebaik saja ia kembali dari cuti musim panas, tambahnya.


"Majistret yang menyiasat mempunyai kuasa untuk mendakwa dalam sistem perundangan dua tahap Perancis," kata Gabriel, yang kini menjadi pengarah Pusat Pemantauan Rasuah untuk memerangi korupsi dan kronisme (C4).

"Jadi tidak sepatutnya ada kekeliruanberhubung pendakwaan Abdul Razak," kata Gabriel.
-malaysiakini

'Doktor' gila seks perdaya tiga wanita mengandung

RAHAYU MUSTAFA 

KUALA TERENGGANU - Tiga wanita mengandung di Besut menjadi mangsa ‘doktor ‘gila seks yang meminta mereka melakukan perbuatan lucah melalui panggilan telefon dipercayai untuk kepuasan nafsunya, bulan lalu.

Lelaki yang menyamar sebagai pakar perubatan Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) bernama Dr Haji Abu Bakar itu akan menghubungi mangsa dan memperdaya mereka mengikut arahannya.

Antara arahan lucah doktor palsu tersebut adalah meminta mangsa mengurut payudara dan memegang tempat sulit sambil mengeluarkan bunyi dengan alasan sebagai usaha mengubati sakit yang dihidapi mangsa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohammad Omar berkata, ketiga-tiga mangsa tidak menyedari ditipu kerana maklumat diberikan lelaki itu mengenai mangsa adalah betul.

“Ini kerana lelaki ini telah menyamar sebagai pakar dari Hospital Besut menghubungi sebuah klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Besut meminta maklumat 12 ibu mengandung anak sulung kononnya untuk dibuat kajian.

“Jururawat bertugas telah memberikan butiran lengkap 12 ibu sebagaimana diminta tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, selepas itu jururawat terbabit berasa curiga lalu menghubungi Hospital Besut bertanyakan mengenai pakar berkenaan namun dimaklumkan tiada pegawai perubatan bernama Dr Haji Abu Bakar di sana.

Selepas mendapat pengesahan, pihaknya terus memberi peringatan kepada 12 wanita yang terlibat namun tiga daripada mereka sudah menjadi mangsa doktor gila seks terbabit.

Klinik berkenaan kemudian membuat laporan polis pada 18 Julai lalu manakala nombor telefon yang digunakan lelaki tersebut gagal dihubungi.

Berikutan kejadian itu, JKNT mengeluarkan satu pekeliling larangan pemberian sebarang maklumat mengenai pesakit melalui panggilan telefon kepada semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

“Saya juga minta mana-mana pesakit yang pernah mendapat panggilan seumpama ini agar tampil membuat pengesahan dengan kita dan laporan polis,” katanya.

Menurut Dr Mohammad, ini merupakan kali ke-3 penipuan seumpama ini berlaku selepas tahun 2010 dan 2013 yang mana doktor palsu gila seks itu menggunakan modus operandi sama.

Mahathir, Anwar dan faktor Azmin

DR Mahathir dan Anwar. Kedua-duanya adalah idola saya. Kedua-duanya juga pernah saya lawan. Mereka adalah dua tokoh politik yang saya kagumi sejak hari pertama saya kenal apa itu politik dan perjuangan.

1987, tahun saya tamat alam persekolahan. Kebetulan, juga tahun pertembungan besar dalam Umno. Team A vs Team B.

Ayahanda saya pada masa itu salah seorang daripada perwakilan Umno yang akan mengundi. Saya aktivis pelajar yang lumrahnya tidak suka Umno tetapi saya pastikan Abah pangkah Team A. Kebetulan hari mengundi yang jatuh pada 24 April juga hari lahir saya. Saya minta pada Abah, itulah 'my birthday wish'. Undi Team A kerana Dr Mahathir dan Anwar Team A.

1997, Dr Mahathir dan Anwar mula berseteru. Saya sudah menjadi setiausaha politik Anwar ketika itu. Saya terpaksa memilih antara dua idola. Saya pilih Anwar pada hari beliau tampil ke mahkamah dengan mata lebam pada September 1998. Saya merasakan kewajipan membela Anwar sehingga ketua saya itu bebas.


2007, saya terpaksa membuat satu lagi keputusan yang sukar. Saya terpaksa tinggalkan Anwar pula. Lebih rumit dan sukar berbanding keputusan meninggalkan Dr Mahathir 10 tahun sebelum itu. Ceritanya panjang dan bersiur.

2017, hari ini, kedua-dua idola yang pernah saya lawan dan tinggalkan ini bersatu dan bertaut kembali. Awalnya sukar buat saya untuk menyatakan sikap walaupun mereka idola saya, perjalanan hidup politik saya sukar bersama mereka. Dua kali saya dimasukkan ke penjara semasa melawan Dr Mahathir manakala Anwar pula saya terpaksa berlawan dengannya setelah saya sendiri masuk ke penjara untuk membebaskannya.

Tetapi itu perjalanan politik saya yang tidak penting. Apa yang jauh lebih penting adalah perjalanan negara ini sebagai sebuah bangsa merdeka dan bermaruah. Perjalanan politik saya sukar tetapi apa yang lebih sukar adalah perjalanan hidup negara ini.

Malaysia hari ini dalam keadaan paling sukar sejak merdeka. Rakyat Malaysia terutama rakyat biasa berada di dalam keadaan paling getir.

Justeru, saya bersyukur melihat dua idola dan tokoh besar bangsa ini bersatu demi rakyat dan negara. Kerana itulah yang negara dan rakyat ini perlukan di saat getir ini - pengorbanan dan jiwa besar pemimpin mereka.

Saya lebih bersyukur melihat kenyataan Anwar yang mendokong Dr Mahathir mengepalai misi menjatuhkan rejim rasuah dan kleptokrasi Najib Razak. Anwar membuat keputusan ini dalam keadaan beliau masih di penjara. Saya pernah di penjara, saya faham makna seksa penjara. Semua keputusan adalah sukar, apatah lagi keputusan besar seperti ini.

Faktor Azmin

Kalau Dr Mahathir dan Anwar adalah idola saya di dalam politik, Azmin pula adalah seorang sahabat. Mungkin sahabat yang paling akrab di dalam perjalanan politik saya. Kami berjuang bersama, susah bersama. Ke jalan bersama, ke lokap juga bersama.

Azmin jauh lebih rapat dengan Dr Mahathir dan Anwar berbanding saya. Dan rapatnya hubungan Dr Mahathir dan Anwar semasa mereka perdana menteri dan timbalan perdana menteri, antaranya adalah kerana faktor Azmin selain faktor Dr Mahathir dan Anwar sendiri serta isteri dan keluarga mereka. Peranan Azmin besar dalam “mengamankan” lorong antara pejabat nombor 1 dan pejabat nombor 2 negara di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu.

Tetapi, apabila mereka bertembung Azmin jugalah yang mengalami kesan paling parah. Walaupun saya dan keluarga derita di saat getir pertembungan itu, tetapi derita Azmin dan keluarganya jauh lebih berat dan mencabar. Tentunya yang paling berat deritanya adalah Anwar dan keluarganya sendiri.

Jadi, apabila Dr Mahathir dan Anwar bertemu kembali selepas pertembungan getir bertahun lamanya itu, saya mencari Azmin walaupun kami juga bertembung sejak 10 tahun yang lalu. Azmin tetap pilihan pertama saya kerana saya yakin selain Dr Mahathir dan Anwar sendiri, Azmin adalah orang yang mempunyai jawapan paling jelas terhadap semua peristiwa itu.

Telahan saya benar. Azmin bukan sahaja tahu malah dialah arkiteknya. Beliau sanggup mengenepikan pengalaman getir sebelum ini demi rakyat dan negara. Malah Azmin mempunyai 'roadmap' yang jelas menuju kemuncak perjuangan reformasi dengan gabungan Dr Mahathir dan Anwar.

Azmin menyakinkan saya. Walaupun saya pernah tidak bersetuju dengannya tetapi saya akui beliau seorang ahli politik yang pintar, berkeupayaan luar biasa di dalam perancangan dan pelaksanaan (planning and execution) serta sabar - satu elemen penting bagi pemimpin di zaman edan hari ini.

Dan dua faktor paling penting dan strategik yang ada pada Azmin ialah

i. Pengalaman puluhan tahun bersama Dr Mahathir dan Anwar yang tidak ada pada pemimpin lain.

ii. Kedudukan beliau hari ini sebagai pemimpin utama parti selepas presiden dan menteri besar kepada sebuah negeri yang gagah dan berjaya.

Game is over for BN but...

Penyatuan Dr Mahathir - Anwar seharusnya menjadi berita paling baik bagi rakyat dan berita paling buruk bagi penghisap darah yang semakin rakus menyamun harta rakyat. "Game over" untuk Najib, Umno and Barisan Nasional (BN). Saya tahu kerana baru lebih setahun lalu saya bersama mereka dalam kedudukan yang amat strategik untuk mengetahui apa yang ada di dalam kem Najib itu sendiri sehingga ke hari ini.

"It's game over for Umno-BN. It's in the hand of the opposition now but it's only the opposition themselves to lose it". Inilah maudu' utama tulisan saya ini. Hati-hati dengan musuh di dalam diri kita sendiri. Perasaan iri sesama pejuang, saling tidak percaya, saling adu domba dan menjatuhkan sesama sendiri. Ini yang akan menggagalkan kita, bukan BN kerana BN sendiri sudah gagal.

Maka, garapkan semua kekuatan yang ada dan buang elemen yang merosakkan. Manfaatkan gabungan Dr Mahathir - Anwar, beri kepercayaan kepada Azmin atas faktor strategik yang beliau miliki pada momen ini dan tentunya elemen lain pada tokoh lain yang semuanya perlu digarap dalam mencapai misi menjatuhkan rejim korup kleptokrasi ini.

Sikap 'humility', tawaduk, tahu diri, perlu dipertahankan dalam diri setiap pejuang di saat kejayaan semakin hampir. 'Humility' adalah perkataan paling kerap daripada Anwar sejak saya kenal beliau.

Di saat ini, perlu diperbanyakkan peringatan ini kerana di saat sokongan dan populariti memuncak, semakin hilang dan pudar 'humility'. Kita menjadi terlalu yakin sehingga perkataan dan tindakan kita menghampiri sikap bongkak, memperlekeh jasa dan peranan orang lain, memasang agenda sendiri yang akhirnya akan merosakkan agenda besar perjuangan.

Ingatlah, sehebat mana pun ledakan sokongan ketika ini, hakikatnya setelah hampir 20 tahun perjuangan reformasi dimulakan, langkahnya belum pernah sampai ke Putrajaya. Pastinya ada langkah yang sumbang sebelum ini. Perhalusi langkah itu dan langkah ke depan dengan jiwa penuh 'humility' bukan dengan rasa gah dan obsesi jawatan dan kedudukan.

Tentunya nukilan amat sederhana daripada saya ini mengundang pelbagai reaksi. Tidak mengapa, saya sudah lali dengan kecaman.

Saya tidak berparti dan tidak mempunai kepentingan politik. Saya hanya mahu melihat perjalanan panjang ini sampai ke destinasinya kali ini.

Negara semakin nazak. Rakyat menderita kepayahan hidup saban hari. Misi ini tidak boleh gagal. Gagal bukan lagi satu pilihan. Demi rakyat dan negara tercinta. – 1 Ogos, 2017.

* Mohamad Ezam Mohd Nor adalah bekas tahanan ISA dan OSA 2001 dan 2003.

Pas berjangkit 'penyakit' Umno

ARIF ATAN
Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menyifatkan Pas bersikap seperti Umno yang berbangga dengan jumlah kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Menurutnya, Pas menganggap mendapat sokongan rakyat teramai padahal prestasi parti berkenaan pada 2013 dibantu pimpinan lama Pas yang pada masa ini bersama AMANAH.

"Sedikit sebanyak 'penyakit' yang dihinggapi Umno-BN telah menjangkiti Pas. Mungkin ini disebabkan mereka kerap bertemu dan kadang-kadang berkongsi bantal yang sama.

"Bukankah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Mujahid Yusof Rawa, Datuk Husam Musa dan lain-lain telah turun berkempen di seluruh negara untuk calon-calon Pas?

"Bukankah Dr Hatta pengarah pilihan raya Pas pada ketika itu?" soalnya yang menyifatkan Pas sepertimana Umno-BN lupa peranan pimpinan lama dalam memenangkan calon-calon parti dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mengingatkan Najib Razak tidak harus berbangga dengan 88 kerusi Parlimen yang telah dimenangi Umno-BN.

Tanpa sumbangan 'pesara politik' yang dicemuh Presiden Umno itu, jelasnya, pencapaian Umno-BN jauh lebih buruk.

"Sebahagian darinya, kalau tidak kesemuanya, dimenangi dengan bantuan 'pesara politik' seperti mana digelarnya, yang sekarang ini bersama PH (Pakatan Harapan).

"Tanpa mereka (Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Mahyuddin) sudah pasti prestasi Umno-BN akan semakin terjejas," tegasnya dipetik dari akhbar keluaran terbaharu AMANAH Edisi 61, 30 Julai - 5 Ogos.

Beliau berpendapat Tun Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz telah berperanan membantu Umno-BN untuk merampas kembali Kedah daripada Pakatan Rakyat pada 2013.

"Atau Najib menganggap Kedah dirampas kembali semata-mata atas kekuatan dirinya sendiri tanpa bantuan Tun Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz?

"Dan tidakkah begitu juga di Johor? Tidakkah Tan Sri Mahyuddin berperanan membantu Umno-BN supaya terus berkuasa di negeri Johor?" soalnya.

Paling kurang 80 kerusi

Mengulas lanjut, Khalid berkata, keadaan DAP sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak tidak semestinya kekal jika Pakatan Harapan mampu membentuk kerajaan di Putrajaya selepas PRU-14 dengan paling kurang memperoleh 112 kerusi Parlimen.

"Sekiranya DAP kekal dengan 38 kerusi atau bertambah menjadi 42 kerusi sekalipun, jumlah kerusi AMANAH, Keadilan dan PPBM mesti melebihi 80 kerusi.

"Ini bermakna kerusi yang dimenangi tiga parti ini mesti bertambah dari 37 yang ada sekarang ke paling kurang 80 kerusi. Dan ini bukan sesuatu yang mustahil memandangkan sokongan terhadap tiga parti ini sedang bertambah hari demi hari," ujarnya lagi.