"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tentera dilupakan dalam bajet 2010 / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 24 Okt:
Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai bajet 2010 yang langsung tidak diperuntukkan untuk sektor pertahanan.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata, inilah kali pertama pembentangan bajet yang langsung tidak menyentuh mengenai peruntukan untuk anggota tentera yang telah berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Ujarnya, selepas Barisan Nasional memenangi kerusi Bagan Pinang yang majoriti pengundinya terdiri daripada anggota tentera, BN terus melupakan jasa mereka sedangkan pelbagai janji ditaburkan kepada anggota tentera sebelum pilihanraya kecil berkenaan.

"Saya agak terkejut kerana pembantangan belanjawan tidak menyebut langsung sektor pertahanan. Selepas menang di Bagan Pinang, pasukan tentera dilupakan. Baru sangat menang, terus dilupakan,"katanya kepada pemberita sewaktu mengulas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di lobi parlimen siang tadi.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Namun apa yang dikesalkan, bajet yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama itu langsung tidak memberi penghargaan kepada golongan tentera.

"Sepanjang ingatan saya, ini kali pertama pembentangan belanjawan yang tidak menyebut dan mengucapkan penghargaan kepada anggota tentera,"ujarnya kesal.

Sementara itu, ahli parlimen Bachock, Nasharudin Mat Isa yang juga Timbalan Presiden PAS melahirkan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan untuk membenarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjana hasil pendapatan sendiri agar dapat mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan.

Apa yang dibimbangkan ujarnya, kebebasan yang diberikan kepada IPTA untuk menjana pendapatan sendiri itu akan menjejaskan fungsi IPTA untuk membangunkan modal insan.

"Universiti diberikan semacam satu kebebasan untuk menjana pendapatan, tetapi tidak disentuh dalam pembentangan itu mengenai peluang-peluang yang harus diberikan kepada universiti untuk benar-benar membangunkan modal insan."

"Saya bimbang universiti akan menjadi institusi yang hanya menjana kewangan lebih daripada institusi untuk membangunkan modal insan," katanya.

Najib dalam pembentangannya berkata, dalam usaha kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya sainng dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan.

Dengan autonomi yang bertambah ujarnya, IPTA misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

"Bagi mencapai objektif ini, kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatnnya sendiri, "katanya.

Nasharudin mahu dapatkan penjelasan Nik Aziz / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 24 Okt
: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mahu mendapatkan penjelasan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung tulisan dalam blognya mengenai cadangan agar diadakan muktamar khas bagi membincangkan beberapa isu melibatkan beberapa pimpinan parti.

Nasharuddin ketika diminta mengulas isu berkenaan berkata, cadangan diadakan muktamar khas itu merupakan pandangan peribadi Nik Aziz dan sesiapa pun dalam parti berhak mengeluarkan pandangan masing-masing.

Namun ujarnya, sebarang keputusan yang melibatkan dasar parti tidak boleh dibuat secara individu sebaliknya perlu dibincangkan dalam mesyuarat.

"Presiden tak boleh buat keptusan, timbalan presiden pun tak boleh mengubah dasar parti hanya kerana pandangan individu. Seseorang itu bebas memberikan pandangan tapi untuk melakukan perkara besar, perlukan keputusan dalam syura,"ujarnya kepada pemberita di lobi parlimen selepas pembentangan bajet 2010 di dewan rakyat.

Kelmarin, Nik Aziz dalam blognya menimbulkan cadangan itu dipercayai kerana tidak senang dengan beberapa pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

"Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan perpaduan atau UG (unity government).

"Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ini?" tulis Menteri BEsar Kelantan itu dalam blognya.

Ekoran itu, Nik Aziz mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan membuat keputusan yang menentukan haluan parti ekoran beberapa pimpinan yang dianggap mendatangkan masalah kepada parti.

Tulisan itu juga sebagai mengulas mengenai analisis ahli akedemik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Aziz BAri yang mengaitkan kekalahan PAS di Bagan Pinang dengan krisis di Selangor yang melibatkan Dr Hassan Ali berhubung jualan arak di negeri itu dan kritikannya terhadap tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan dan Kebertanggungjwaban (Selcat.)

Aziz juga mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tidak membuat sebarang kenyataan terhadap isu melibatkan Hassan itu sehingga menyimpulkan sikap sedemikian dengan perwatakan negatif bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Nasha berkata, cadangan Nik Aziz itu perlu dibawa ke dalam mesyuarat supaya beliau dapat membentangkan secara terperinci mengenainya.

"Saya berpegang kepada prinsip, kita ada cara dan kaedah untuk menentukan sesuatu perubahan yang melibatkan dasar parti.

"Sebab parti ini milik ahli yg bermuktamar setiap tahun dan memang ada peruntukan di dalam perlembagaan PAS tentang muktamar khas dan sebagainya tapi kita ingin dapat penjelasan apa yang dimaksudkan tok guru dalam tulisan tersebut,"katanya.

Pemuda Umno Perak takut berdebat / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Nazri Abdullah & Hafiz Sabri
IPOH, 24 Okt: Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak menyifatkan Pemuda Umno negeri itu pengecut dan penakut ekoran tidak mahu pula untuk berdebat.

Mereka sebelum ini telah mengemukakan cabaran debat kepada Pemuda PAS negeri itu atas tajuk mencari kebenaran siapa benar siapa salah dalam insiden sidang DUN Perak 7 Mei lalu.

Cabaran yang disiar akhbar Sinar Harian edisi perak pada 22 Oktober lalu juga turut meminta DDP Perak menunjukkan bukti benarkah Adun BN bertindak merampas kerusi Speaker dari V.Sivakumar.

Mereka juga menuntut supaya DPP membuktikan adakah benar dakwaan bahawa Pakatan rakyat di pihak benar dan BN di pihak salah.

Namun, apabila DPP ingin menghantar surat menyahut cabaran itu semalam, Pemuda Umno pula didakwa mengelak dan tidak mahu untuk berdebat.

ImageDPP Perak diketuai ketua penerangannya Mohd Akmal Kamarudin semalam telah pergi ke pejabat Pemuda Umno bagi menyerahkan surat menyahut cabaran debat tersebut.

Namun rombongan mereka dihalang oleh petugas pemuda Umno di tengah jalan 50 meter dari pagar bangnunan Umno Perak.

Petugas Pemuda Umno itu hanya memberitahu mereka telah diarahkan oleh ketua mereka untuk tidak menerima surat tersebut.

Surat tersebut antara lain memaklumkan DPP Perak bersedia pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk berdebat secara intelektual berhubung isu tersebut.

Image"Mengapa pemuda umno berdolak dalih, bukankah pemuda umno cabar supaya kami tunjukkan bukti, tapi bila kami nak tunjukkan bukti mengapa pemuda umno tak berani berdepan," kata Akmal.

"Apakah pemuda umno Perak tiada sebarang hujah sehingga menyebabkan mereka tidak berani berdepan dengan pemuda PAS Perak?" soalnya.

Teoh dibunuh: Exco lapor polis, mahu suruhanjaya diraja / UBN Najib Altantuya / Zambry / pkfz

Nazri Abdullah
SERI KEMBANGAN, 24 Okt : Exco Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah hari ini membuat satu laporan polis berikutan pendedahan terbaru mengesahkan 80 peratus pembantunya mendiang Teoh Beng Hock mati dibunuh bukan terjatuh.

Laporan dibuat di balai polis Seri Kembangan pagi ini mendesak pihak polis menyiasat kes ini dari sudut kes pembunuhan bukannya bunuh diri atau mati mengejut.

"saya berasa sangat kecewa, pihak polis menyiasat kes ini daripada sudut bunuh diri sejak awal. Sudut ini telah menghadkan skop siasatan polis dan telah melepaskan peluang emas untuk mencari bukti. Adakah pihak polis sengaja mahu melindungi SPRM pada hari pertama," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan.

Beliau juga menuntut supaya kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Diraja dengan segera dan menghentikan Inkues yang didakwa tidak telus dan membazirkan wang rakyat.

"Jangan bazirkan wang rakyat, keluarga dan juga pegawai-pegawai, kerajaan pusat harus tubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini.

"Saya lihat inkues ini berjalan dengan tidak baik, dan tidak telus, mereka hanya menyiasat berdasarkan laporan polis dan patologi tempatan, itu telah mengecewakan rakyat." katanya lagi

ImageBeliau turut mendakwa terdapat sesetengah pihak cuba untuk menyembunyikan kisah sebenar disebalik kematian Teoh ini.

Rakyat Malaysia katanya mahu melihat keadilan ditegakkan dan Teoh tidak boleh mati sia-sia sahaja.

"Ini peluang untuk pihak polis membuktikan kepada rakyat bahawa mereka boleh menjalankan tugas dengan profesional dan bebas," katanya lagi.

Patologi terkenal antarabangsa dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand Rabu lalu telah memberi keterangan sebagai saksi pakar di Inkues mengenai kematian Teoh dan membuat kesimpulan kematian mendiang disebabkan dibunuh.

Ianya berikutan tanda bulat di leher Teoh dipercayai dicekik, retakan pada tengkorak mendiang bukan akibat terjatuh dan kecederaan pada dubur Teoh juga akibat dicucuk dengan objek sebelum terjatuh.

ImageTeo Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam dipercayai jatuh daripada tingkat 14 bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, pada 16 Julai 2009, jam 1.30 tengah hari selepas menjalani soal siasat.

Mendiang adalah setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Hakim kes Tian Chua buat dua keputusan penting sebelum ini / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Okt:
Selain menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan RM3,000 denda untuk Tian Chua, Hakim Mahkamah Majistret, Mohd Faizi Che Abu juga menjatuhkan beberapa hukuman penting sebelum ini.

Antaranya menjatuhkan hukuman denda RM700 atau tiga hari penjara ke atas Pengerusi U Mobile, Datuk Rosman Ridzuan selepas mengaku salah memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim.

Rosman adalah suami kepada aktres Noniswara Baharudin.

Hakim Mohd Faizi juga adalah hakim yang bertindak sebagai koroner yang memutuskan kematian aktres Sujatha sebagai kes bunuh diri.

Sujatha ditemui mati bersebelahan dengan sekeping gambar lelaki iaitu S. Vell Paari, ketua Maika Holding yang juga anak kepada Presiden MIC, S Samy Vellu.

Semalam Mohd Faizi menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 kepada anggota Parlimen Batu, Tian Chua.

Denda RM3,000 bererti Tian Chua akan hilang statusnya sebagai anggota Parlimen kerana mengikut undang-undang sesaorang akan kehilangan kerusi wakil rakyat jika disabit kesalahan dan didenda lebih dari RM2,000 atau setahun penjara.

Tian chua dijatuhkan hukuman selepas didapati bersalah menggigit seorang anggota polis oleh hakim itu.

Dalam keterangannya di Mahkamah, polis itu mengaku dia menumbuk Tian Chua sebelum digigit oleh Tian Chua. Hakim mendapati Tian bersalah kerana yang dibicarakan adalah Tian bukan polis itu. Dia juga percaya kejadian itu benar-benar berlaku.

Tian Chua pula ketika bertemu media di Parlimen semalam berkata, semasa perbicaraan di mahkamah, tidak ada sebarang saksi dikemukakan oleh pendakwa yang menyokong dakwaan polis itu.

Video kejadian yang ditayangkan juga hanya menunjukkan pergelutan berlaku tetapi tidak menunjukkan dia menggigit polis berkenaan, kata Tian.

Tian akan membuat rayuan ke atas keputusan mahkamah ini.

Kerajaan tidak serius: Bahasa Melayu tidak boleh jadi bahasa dunia / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Detikdaily

Pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan tidak memberikan sebarang kesan selagi kerajaan tidak membuat keputusan tentangbahasa pengantar di peringkat sekolah menengah serta pendidikan tinggi. Itu antara pendapat kritis yang diutarakan tokoh bahasa serta Karyawan Tamu, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof. Emeritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid kepada NYZA AYOB serta wartawan pelatih UiTM, NADIA IDRIS sewaktu diwawancara.

Beliau yang ditemui di pejabatnya di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya turut mempersoalkan tentang keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisyitiharkan Oktober ini sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Apakah dengan pengisytiharan tersebut mampu menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan?

PROF DATO' ABU BAKAR ABDUL HAMID: Sudah sampai masanya kerajaaan memikirkan semula langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar ilmu dan sebagai bahasa untuk menjadi lambang kepada Malaysia.
Kita bercakap mengenai 1Malaysia tetapi kita tidak bercakap mengenai satu bahasa. Jika 1Malaysia tentulah orang boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan satu bahasa.
Tetapi masing-masing bercakap dengan bahasa masing-masing dalam segala kegiatan. Jika di sekolah sekarang, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hanya peringkat tertentu sahaja.
Di peringkat yang lebih tinggi selepas SPM, kita tidak tahu apa bahasa pengantar yang sebenar. Ini sebenarnya telah mundur. Dahulu bahasa kebangsaan yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 60-an, ia tidak dilaksanakan.
Tetapi selepas berlaku peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, barulah ia dilaksanakan semula. Tetapi hari ini, di peringkat sekolah menengah atas serta di peringkat universiti, apa bahasa pengantarnya?
Tidak ada pengumuman lagi dan tidak ada dasar yang jelas. Saya melihat bulan bahasa kebangsaan ini diadakan semula selepas beberapa tahun ini, sebagai usaha kita membawa ke depan dan dua langkah ke belakang.

Boleh Prof jelaskan maksud kita sudah dua langkah ke belakang?

Sekarang ini kita sudah dua langkah ke belakang dan hendak melangkah semula ke depan. Dahulu, bulan bahasa telah dijalankan dengan jayanya sehingga kita sudah mengubah bahasa pengantar pendidikan, apabila semua orang sudah mula belajar Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu dianggap penting dalam pentadbiran.
Sekarang, kita telah melangkah dua langkah ke belakang apabila melaksanakan PPSMI. Saya pernah sebut berkali-kali jika PPSMI dilaksanakan, dalam tempoh 17 tahun, Bahasa Melayu akan tamat riwayatnya.
Tetapi kita lihat sekarang ini, kita pun tidak tahu akan kembali ke keadaan asal atau tidak setelah pelbagai lapisan masyarakat turun berdemonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI. Sewaktu demonstrasi itu saya sempat berbincang dengan rakan-rakan dan kami tertanya-tanya sesama kami, pernahkah ada rakyat di negara lain yang terpaksa berdemonstrasi untuk menegakkan dasar yang telah termaktub dalam akta dan telah termaktub dalam perlembagaan. Sepatutnya kerajaanlah yang menjalankan dasar ini. Tetapi kerajaan yang mungkir dan tidak melaksanakannya. Masyarakat pula terpaksa berdemonstrasi menuntut agar kerajaan melaksanakan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Cuma di Malaysia sahaja kerajaan yang melaksanakan sikap sebegitu terhadap sesuatu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Jika dilihat pada demonstrasi tersebut, rakyat disembur dengan gas pemedih mata.
Ini merupakan perbuatan yang sangat kejam dilakukan kerajaan. Sudahlah kerajaan ini melakukan sesuatu yang bertentangan dengan dasar yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, orang yang hendak menegakkan akta tersebut dilakukan sedemikian rupa. Ini kerajaan jenis apa?

Tan Sri Muhyiddin menyatakan langkah pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi. Jadi, sejauh mana Prof melihat usaha ini dapat dilaksanakan?

Kerajaan harus melaksanakan dalam pentadbiran. Mesyuarat kementerian-kementerian jika dilihat hari ini, menggunakan bahasa apa? Jika Bulan Bahasa Kebangsaan ini untuk menyedarkan rakyat, rakyat akan melaksanakannya jika kerajaan melaksanakannya terlebih dahulu. Bagi saya itu yang lebih penting.
Saya mengingatkan diri saya agar janganlah saya bersikap sinis dengan apa yang kerajaan ingin lakukan. Saya menyatakan barangkali kerajaan jujur dan kerajaan betul-betul ingin melakukannya. Tetapi bukti-bukti yang lain itu amat mengganggu fikiran dan perasaan saya. Saya telah terlibat dengan isu bahasa ini terlalu lama.

Ini bermaksud Prof melihat kerajaan tidak serius dalam melaksanakan Bulan Bahasa Kebangsaan ini?

Dalam konteks tersebut, saya melihat apakah kerajaan serius dengan pelaksanaan bulan bahasa ini? Bagi saya, selagi kerajaan tidak membuat keputusan tentang bahasa pengantar untuk sekolah menengah atas sehingga ke peringkat pendidikan tinggi, pelaksaan bulan bahasa atau tahun bahasa tentu ia tidak akan ada apa-apa kesannya.
Ini hanya permainan politik untuk mengaburi mata orang ramai sahaja. Saya ada terbaca buku tulisan Samad Ahmad mengenai demonstrasi 1967 dalam usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang tunggal di negara ini.
Beliau ada menyebut nama-nama yang terlibat dalam demonstrasi tersebut. Jadi tokoh-tokoh yang terlibat dalam demonstrasi tersebut juga terlibat dalam demonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI. Saya kira ini suatu sejarah yang berulang.
Jadi, apakah kerja kita ini satu langkah ke depan dan dua langkah ke belakang dan sekarang kita langkah balik ke depan? Saya tidak mahu sinis, tetapi tidak boleh tidak menimbulkan pertanyaan apakah kerajaan serius. Ini sudah tentu meragukan.
Jika dahulu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan dan sudah mengubah dasar bahasa pengantar dengan semua institusi pendidikan mengajar dengan menggunakan Bahasa Melayu.
Tetapi sekarang ini, tanyalah kepada pensyarah universiti serta Naib Canselor, apakah bahasa pengantar? Semua orang tak tahu. Apakah ada arahan secara bertulis apakah bahasa pengantar Bahasa Inggeris? Saya tanya kebanyakan mereka mengatakan tidak ada.

Jadi, untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, ia perlu komunikasi secara rasmi?

Dahulu kita mengadakan bahasa kebangsaan untuk menyedarkan rakyat yang dahulunya berkiblatkan Bahasa Inggeris supaya memberi tempat kepada Bahasa Melayu dalam komunikasi seharian.
Sebenarnya yang penting ialah komunikasi secara rasmi. Bahasa seharian ini tidak boleh ditentukan oleh sesiapa. Itu pilihan inidividu. Yang boleh ditentukan seperti penulisan surat rasmi kerajaan.
Cikgu hendak mengajar di sekolah itu bahasa apa? Pensyarah di universiti menggunakan bahasa apa? Itu kita boleh tentukan. Jika hendak bangkitkan kesedaran individu itu tentang bahasa, saya rasa itu perkara yang kecil sangat.
Tidak ada kerajaan di dunia ini boleh membuat peraturan itu semua. Pengajaran PPSMI itu, tidak ada peraturan atau akta yang menetapkannya tetapi kita boleh laksanakan. Kerajaan berhabis berbilion ringgit untuk melaksanakannya. Dan akibatnya Bahasa Melayu akan hancur. Saya telah banyak kali menyebut mengenai perkara ini dan sudah tidak mahu untuk menyebutnya lagi.

Apakah Prof juga melihat pengumuman kerajaan untuk menghapuskan PPSMI itu kerana faktor tertentu dan bukan kerana untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan?

Saya ingin tanya, jika demonstrasi Mansuh PPSMI itu tidak dipimpin oleh Dato' Dr Hassan Ahmad, adakah kerajaan akan menghapuskan PPSMI? Saya menyatakan kerajaan ingin menghapuskan PPSMI bukan kerana Bahasa Melayu itu termaktub dalam Perlembagaan atau Akta Pendidikan atau Akta Bahasa tetapi kerajaan lakukan ini kerana hanya ingin memuaskan hati orang yang tidak setuju dengan tindakan kerajaan dan takut kalah dalam pilihan raya. Saya tidak mahu sinis tetapi itulah kesimpulan yang saya dapat apabila kerajaan menyatakan ingin menghapuskan PPSMI.

Adakah kerajaan akan hapuskan PPSMI jika orang tidak berdemonstrasi? Apa pengajaran yang kita dapat daripada situ?

Pertama, kerajaan tidak ikhlas dan tidak jujur dan yang kedua kerajaan mengatakan, jika kamu mahukan sesuatu, berdemonstrasi. Kerajaan hanya takut apabila rakyat berdemonstrasi. Perlukah orang berdemonstrasi untuk menegakkan sesuatu yang telah termaktub dalam perlembagaan dan akta-akta bahasa dan akta pendidikan?
Jika kita melihat dalam konteks sedemikian, barangkali Bulan Bahasa Kebangsaan tidak perlu lagi. Sekarang ini rakyat memberi kesedaran kepada kerajaan dengan berdemonstrasi bahawa inilah kehendak rakyat.

Prof turut terlibat dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bharu baru-baru ini. Pada pandangan Prof, apakah Bahasa Melayu benar-benar boleh menjadi bahasa dunia sedangkan kerajaan sendiri sebelum ini dilihat tidak serius dengan pelaksanaan Bahasa Melayu di negara ini?

Tema persidangan tersebut Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Barangkali saya seorang sahaja yang bersuara agak pesimistik. Saya berpantun sedikit dalam ucapan saya itu. Saya menyatakan madah saya ini 'madah derhaka'.
Mungkin kenyataan saya itu membuatkan peserta-peserta seminar berkecil hati. Tetapi lebih baik saya berterus terang daripada bermegah-megah sedangkan sebenarnya tidak betul. Saya tengok ramai yang ghairah Bahasa Melayu ini menjadi bahasa dunia.
Saya mengatakan bahasa yang mungkin menjadi bahasa dunia ialah Bahasa Indonesia. Tidak ramai orang Malaysia yang menyukai Bahasa Indonesia. Lima tahun di Indonesia pada mulanya saya juga tidak faham apabila membaca surat khabar Indonesia.
Dan jika ditayangkan sinetron Indonesia di televisyen Malaysia perlu disediakan sari kata. Jadi Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia semakin hari semakin jauh. Dahulu ada cadangan mewujudkan bahasa baku sekurang-kurangnya daripada segi ucapan. Tetapi televisyen kita tidak suka penggunaan bahasa baku ini. Apabila bertukar menteri, ditukar kembali kepada bahasa biasa.

Kenapa Prof berpendapat Bahasa Indonesia boleh menjadi bahasa dunia berbanding Bahasa Melayu?

Bahasa Indonesia boleh menjadi bahasa dunia. Saya menyebut dalam persidangan tersebut, bahasa dunia mestilah penuturnya besar iaitu 100 juta ke atas. Kriteria ini dipenuhi Bahasa Indonesia.
Yang keduanya, ia mesti menjadi bahasa Lingua Franca. Bukan bahasa yang diucapkan pembicara asli. Di Indonesia, pembicara asli Bahasa Melayu kira-kira 10 peratus. Dan ia dipelajari sebagai bahasa kedua oleh orang yang bukan pengguna bahasa pertama.
Jika dahulu kita lihat di Belanda pengajian Bahasa Indonesia lebih meluas berbanding Bahasa Melayu. Saya mengajar di Ohio, Amerika Syarikat saya menyebut Bahasa Melayu/Bahasa Indonesia. Jadi, mereka pun bersetuju.
Selain itu untuk sesuatu bahasa itu menjadi bahasa dunia, ia mestilah bahasa ilmu. Apa sahaja bidang pengajian di Indonesia, semuanya menggunakan Bahasa Indonesia.
Tetapi di Malaysia, bahasa apa yang kita gunakan? Jika bukan Bahasa Melayu yang kita gunakan, bagaimana kita hendak jadi bahasa dunia.

Jadi, Bahasa Melayu amat mustahil untuk menjadi bahasa dunia?

Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa untuk orang Malaysia dahulu barulah boleh menjadi bahasa dunia. Berapa peratus orang Malaysia yang boleh bercakap Bahasa Melayu?
Selagi Bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran serta tidak digunakan sebagai bahasa ilmu, saya rasa tidak perlulah kita bercakap ia boleh menjadi dunia. Sebagai bahasa rasmi di Malaysia ini pun, ia tidak dipenuhi.

Bolehkah PR bentuk kerajaan tanpa sokongan majoriti Melayu? /UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Lim Hong Siang

Bolehkah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan yang halal dan absah (berlegitimasi), seandainya gagal memperolehi sokongan lebih 50% daripada masyarakat Melayu, tetapi sokongan masyarakat kaum lain memberikan bilangan kerusi yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk PR memerintah di peringkat pusat?

"PR mungkin terasa serba salah dengan kesahihan kerajaannya seandainya ia memperolehi kurang 50% daripada sokongan masyarakat Melayu, walaupun mendapat mandat lebih 50% daripada seluruh masyarakat Malaysia."

Demikianlah pemerhatian dan persoalanan yang dilontarkan oleh pengkaji politik, Wong Chin Huat selepas kekalahan PR di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober yang lalu. Wong mengemukakan statistik bahawa wujudnya kecenderungan pengaliran undi masyarakat India kepada BN dalam PRK tersebut, yang boleh dijelaskan sama ada Bagan Pinang ialah "kes terasing" atau "menggambarkan trend keseluruhannya (khususnya masyarakat India)".

Seandainya 40% undi Melayu diperolehi...

Perhitungan kasar Wong berdasarkan 165 kerusi parlimen di Semenanjung menunjukkan, seandainya PR memperolehi 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, maka PR akan memperolehi 103 kerusi, dan hanya memerlukan 9 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan persekutuan (dengan 112 daripada 222 kerusi).

Seandainya PR memperolehi 50% undi kaum India dan 75% undi kaum Cina, dalam keadaan mengekalkan undi Melayu pada paras 40%, maka PR akan memperolehi 90 kerusi di Semenanjung. Jikalau undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan mendapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku pada PRU ke-12.

Pemerhatian Wong (gambar kiri) terhadap senario politik selepas PRU ke-12, termasuk beberapa PRK seperti Bukit Gantang, Manek Urai yang menyaksikan peralihan sokongan sebahagian masyarakat Melayu kepada BN, menyimpulkan bahawa "mustahil untuk PR memperolehi lebih 50% sokongan Melayu dalam masa terdekat."

Maka, Wong mencadangkan agar PR menggariskan matlamat yang lebih realistik, iaitu mengekalkan undi Melayu sekurang-kurangnya pada paras 40%, di samping melonjakkan graf sokongan masyarakat bukan Melayu kepada 75%, seandainya ingin mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan pada PRU ke-13.

Untuk Wong, selagi PR terasa serba salah jikalau gagal memperolehi lebih 50% undi daripada masyarakat Melayu, maka UMNO dan lidahnya, Utusan Malaysia akan diberi kesempatan untuk meneruskan serangannya.

Seandainya Pakatan Rakyat meretak...

Logik Wong begini. Seandainya PR terus dihantui bayangannya "untuk mendapat sokongan lebih 50% Melayu", maka parti komponen PR, terutamanya PAS dan PKR dijangka akan beralih kepada hujah mahupun dasar yang menampakkan perkauman dan keagamaannya sekali-kala, sekiranya tidak tahan dengan serangan UMNO dan Utusan Malaysia.

Lantaran itu, PAS dan PKR akan bertelagah dengan DAP yang perlu tampil untuk menyanggah hujah dan dasar tersebut. Apa yang berlaku seterusnya adalah pengundi bandar, kelas menengah akan hilang yakin kepada PR kerana "harapan (yang diberikan PR)" kini diganti dengan persepsi "sering berbalah sesama sendiri". Senario ini berakhir dengan retaknya PR seperti Barisan Alternatif sebelumnya...

Untuk mengelakkan ramalan pesimis ini menjadi kenyataan, Wong menganjurkan pandangan bahawa PR perlu yakin bahawa dirinya tetap kerajaan yang absah seandainya mendapat mandat lebih 50% undi daripada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

Sistem negara yang dikuasai Melayu

Ketika mengulas pandangan yang diutarakan Wong Chin Huat, Yong Kai Ping (Editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina) berkata, "legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu" merupakan "persoalan struktur" yang perlu dihadapi bukan sahaja PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan kerajaan di negara ini.

Yong menjelaskan bahawa setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu sistem "negara Melayu", di mana sektor perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.

Justeru itu, Yong berpendapat bahawa PR tidak dapat mengelakkan dirinya ketika berdepan dengan persoalan ini, dan terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Yong menganggap bahawa PR masih belum menemui jalan keluar, ketika berhadapan dengan serangan retorik UMNO bahawa "naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu".

"Sememanganya, PR tidak akan dapat menandingi UMNO ketika membincangkan Melayu. Namun, apakah hujah sebaliknya yang diketengahkan untuk membalas retorik UMNO? Satu hujah yang senang difahami, berkesan untuk memujuk dan mendapat keyakinan masyarakat Melayu...," kata Yong.

Misalnya, "Melayu" dipisahkan kepada Melayu-Bandar, Melayu-Kelas Menengah dan sebagainya, agar kepentingan Melayu ini dapat dihalusi dan dibincangkan secara konkrit, cadang Yong.

Malah, Yong (gambar kanan) menganggap "politik berbilang kaum" yang dianjurkan PR ini perlu didalami, dan bukan hanya berpuas hati dengan aktiviti seperti rumah terbuka sahaja. Beliau mencadangkan agar pemimpin PR perlu berdialog dengan sektor perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, untuk menghapuskan rasa musuh dan syak wasangka yang wujud.

Apabila tembok ini dipecahkan, barulah PR boleh tampil dan mendakwa dirinya sebagai pakatan politik yang melambangkan kepentingan semua kelas dalam masyarakat Malaysia, simpul Yong.merdekareview

*Perbincangan ini mengambil tempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, pada 13 Oktober 2009, dalam satu forum yang bertajukkan PRK Bagan Pinang.

Laporan Audit dedah penyelewengan BN / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

KUALA LUMPUR – Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan audit yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara baru-baru ini, jelas menunjukkan negeri-negeri yang ditadbir PR jauh lebih baik daripada yang diperintah Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan laporan positif dari segi pengurusan kewangan dan ini menjadi bukti pentadbiran PR telus di negeri bawah pemerintahan mereka.

“Kita bangga kerana laporan ini memberi petunjuk bahawa negeri di bawah pemerintahan BN penuh dengan penyelewengan, berbanding negeri di bawah PR,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Katanya, PR akan menubuhkan pasukan untuk meneliti laporan audit itu sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Kita telah bermesyuarat dua hari lepas dengan semua Ahli Parlimen PR dan seperti kenyataan pemimpin PR semalam (kelmarin), kita akan ambil langkah seterusnya,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Phua, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyalahgunaan peruntukan seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

Sementara itu, mengulas kenyataan Pakar Patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang mengatakan bekas Setiausaha Politik seorang Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, mungkin dicekik sebelum jatuh, Anwar menegaskan kenyataan itu berdasarkan fakta dan bukan isu politik.

Katanya, kenyataan tersebut tidak boleh diperlekehkan kerana beliau adalah pakar forensik terkemuka di Asia dan kenyataan tersebut berdasarkan kajian yang mendalam mengenai kes kematian tersebut.

“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang wajar dan adil berkenaan inkues kematian ini. Saya juga berasa dukacita kepada keluarga mendiang kerana isu ini terus membelenggu mereka,” katanya.

Semalam, Dr Pornthip membuat kesimpulan bahawa kemungkinan 80 peratus Beng Hock dibunuh dan 20 peratus dia membunuh diri.

-detikdaily.net-

Cuba kalau yang menang di Bagan Pinang itu PAS / UBN Najib Altantuya / Zambry /PKFZ

Maka kekalahan ini adalah yang paling baik dan sesuai untuk Pakatan Rakyat, khasnya PAS, dan tepat pada waktunya. Sekali lagi syukur kepada Allah yang maha bijaksana dan sentiasa membantu hamba-hamba-Nya sesuai dengan apa yang sewajarnya.

Oleh DINSMAN

Ya, bagaimana kalau yang menang di Bagan Pinang itu ialah calon PAS (Pakatan Rakyat) dan bukannya calon Umno-BN. Bagaimanakah keadaan kita selepas menerima berita kemenangan itu? Pastinya gembira sangat, 'kan!

Gembira sungguh, dan bahkan berkemungkinan besar akan terlebih gembira. Masakan tidak! Berturut-turut lapan kali pilihan raya kecil (PRK) di Semenanjung semuanya kita (Pakatan Rakyat) yang menang, termasuk dua antaranya merampas kerusi Umno. Rasa-rasa macam rakyat Malaysia sudah pun berubah dan sedar, serta sudah boleh menilai mana yang makruf dan mana yang mungkar, mana yang baik dan mana yang jahat.

Rasa-rasanya kita sudah pun bersedia untuk mengambil-alih kerajaan persekutuan melalui pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti. Tak ada masalah. Rakyat sudah bangkit. Mereka sudah faham perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, dan mereka sudah bersedia untuk memberikan undi mereka kepada kita. Rasa-rasanya kemenangan sudahpun berada di pihak kita. Lapan kemenangan berturut-turut dalam PRK itu sudah cukup untuk meyakinkan.

Kita pun jadi terlalu percaya dan yakin dengan kekuatan kita. Dan pastinya tidak akan timbul lagi upaya berfikir mengenai kelemahan kita dan upaya mengkaji semula strategi kita untuk meningkatkan persediaan bagi menghadapi PRK dan PRU akan datang. Kita yakin yang strategi dan cara berkempen kita sepanjang musim kempen itu semuanya betul, bijak dan berkesan. Tidak perlu lagi memikirkan kelemahan dan kesilapan.

Dan kita pun akan berkata: Tengoklah, rakyat Malaysia sudah faham dan menolak pemimpin yang tercemar dengan amalan rasuah. Rakyat Malaysia tidak dapat menerima lagi budaya samseng dan ugut-mengugut itu. Rakyat Malaysia sudah celik politik, dan mereka tidak dapat diperdaya lagi dengan segala taktik menipu dan strategi jahat Umno-BN. Bahkan undi pos pun tidak lagi menjadi masalah kepada kita.

Nyaris-nyaris kita akan terpedaya dengan tanggapan, sentimen, komitmen dan emosi kita sendiri. Ya demikianlah segalanya boleh bertukar dengan semudah itu sahaja. Suatu fenomena yang sangat menarik untuk kita perhatikan. Betapa rapuh dan kaburnya apa yang kita anggap sebagai realiti sosio-politik itu.

Kalau kita yang menang maka bacaannya begini, dan kalau kita yang kalah maka bacaannya begitu, padahal garis yang membezakan antara kedua-duanya boleh saja tergelincir dan bertukar-ganti. Dan kita pun mungkin saja jadi terpedaya di situ. Siapa tahu? Hah ha ha ... (Dunia belako!)

Semua orang mengharapkan kemenangan. Pihak yang bertanding kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kelemahan. Di tengah-tengahnya adalah rakyat yang (tiba-tiba saja) menjadi rebutan. Rakyatlah yang menentukan. Atau siapakah sebenarnya yang menentukan? Rakyatkah ataupun kita yang menentukannya?

Tak mengapalah soalan yang conceptual itu. Tidak penting sekarang. Yang penting ialah rakyat sudahpun memberikan undi mereka, dan mereka telah memilih calon Umno-BN.

Syukurlah! Kita kalah, tapi syukurlah, kerananya maka otak kita pun semuanya jadi aktif berfikir dan bermuhasabah, mencari di mana lemah dan salahnya kita; melihat semula apa yang kita telah buat, dan apa yang sepatutnya kita buat dan apa yang sepatutnya kita tak buat, sesuai dengan realiti dan tahap ketamadunan masyarakat kita.

Berbagai-bagailah pendapat, pandangan dan analisis boleh kita baca dan dengar berikutan dengan kekalahan ini. Ada yang melihat kepada kelemahan di pihak kita, dan ada yang terus menyalahkan pihak lain, sama ada pihak parti dan kerajaan BN, jabatan-jabatan kerajaan yang menjadi alat BN, mahupun pihak rakyat yang masih belum sedar.

Banyaklah juga pandangan dan analisis yang menarik. Paling pentingnya bagi saya ialah hakikat bahawa majoriti rakyat di Bagan Pinang masih belum mahu menerima PAS. Ini suatu fakta yang pahit, tetapi mesti dan perlu ditelan juga

Maka kekalahan ini adalah yang paling baik dan sesuai untuk Pakatan Rakyat, khasnya PAS, dan tepat pada waktunya. Sekali lagi syukur kepada Allah yang maha bijaksana dan sentiasa membantu hamba-hamba-Nya sesuai dengan apa yang sewajarnya.

Kita selalu berkata bahawa tiap sesuatu kejadian itu ada hikmahnya. Memanglah fitrah kejadian Tuhan itu demikian. Tetapi soalnya dapatkah atau bagaimanakah kita memanfaatkan hikmah yang disediakan Allah pada setiap kejadian yang kita alami itu?

Sekadar mengatakan kemenangan BN itu sebagai petanda yang mereka masih menerima perasuah dan amalan rasuah - apakah itu ada manfaatnya untuk masa depan kita? Atau dengan mengatakan kemenangan Isa Samad itu akan membawa masalah kepada masa depan Umno - apakah itu juga ada manfaatnya kepada masa depan PAS?

Saya tak akan berlagak pandai dalam ruangan ini dengan mengeluarkan senarai apa-apa yang patut dan tidak patut dipelajari oleh PAS dan Pakatan dari peristiwa kekalahan di Bagan Pinang itu. Saya hanya ingin mengajak kita berfikir, dengan kemampuan otak kita masing-masing. Bagaimana kalau PAS menang di Bagan Pinang itu? Mana yang lebih baik untuk PAS dan Pakatan sebenarnya - menang di Bagan Pinang itu, atau kalah?

Kalau soalan ini ditanya sebelum hari mengundi, tentulah ia kedengaran bodoh. Apa perlunya ia ditanya sedangkan semua orang bekerja bermati-matian untuk menang. Siapakah yang masuk ke medan juang untuk mencari kalah? Itu soalan yang tidak munasabah.

Tetapi setelah melepasi waktunya dan keputusan pun telah diketahui, soalan itu menjadi wajar sekali untuk ditanya dan dijawab dengan seikhlasnya. Bukan dengan emosi pejuang yang berkobar-kobar untuk mengalahkan musuh di medan perang, tetapi dengan fikiran yang waras dan berlapang dada untuk melihat apa yang benar, demi untuk kemenangan di masa depan.

Waktu senggang yang membolehkan kita duduk berfikir secara rasional dan bijak ini adalah perlu. Soalnya, apakah waktu senggang begini tidak wujud sekiranya kita menang? Jawabnya ya, memang ia tidak akan wujud sekiranya kita menang. Kemenangan akan melahirkan dorongan dan fikiran ke arah lain; manakala kekalahan pula akan melahirkan dorongan dan fikiran ke arah yang lain.

Sekarang kita kekalahan. Maka manfaatkanlah hikmah yang terdapat dalam situasi ini. Selamat bermuhasabah!

-----
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 0136362408

Repons tulisan Dinsman: Ada yang tak kena dalam PAS sekarang? / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Biarlah saya mengambil risiko dimarahi pihak tertentu, supaya kita semua tidak menerima hukuman (mala petaka berupa kekalahan dalam PRU-13) semata-mata kerana tidak ada yang mahu bercakap terus terang.

Oleh KASSIM MUHAMAD

Terdapat aspek-aspek menarik dalam tulisan Dinsman, "Cuba kalau yang menang di Bagan Pinang itu PAS" dalam Harakah baru-baru ini. Antara lain, Pakatan Rakyat termasuk PAS akan sangat gembira kerana kemenangan berturut-turut kali kelapan ini. Ya, jika itu terjadi.

Sebelum ini sudah ada telahan yang mungkin terlalu berlebih-lebih, iaitu jalan ke Putrajaya sudahpun terbentang luas.

Keseronokan, jika menang di Bagan Pinang, bukanlah tidak bersebab. Namun euforia kemenangan berterusan seperti ini boleh saja membawa pelbagai kesan.

Pertama, ia mencipta rasa yakin diri Pakatan Rakyat, khususnya PAS, dengan andaiannya bahawa orang bukan Melayu kini benar-benar bersama PAS.

Sekadar makluman, sebaik pengumuman Bagan Pinang diketahui, seorang kawan yang sangat yakin dengan pendapat bahawa "PAS itu sama saja dengan Umno" melontarkan pesanan ringkas: "Jangan pandang ringan Umno!"

Sebenarnya pelbagai perkara boleh diutarakan, diungkit dan direndangkan sebagai sebab musabab besar kenapa Pakatan Rakyat, khususnya PAS, tewas. Tapi bukan senarai sebab musabab itu yang mahu dibicarakan, kerana rasanya ada aspek lain yang elok dan lebih wajar diteliti dengan saksama. Ya, bermuhasabah.

Apakah kita selalunya rasional dengan tingkah kita selama ini? Untuk lebih jelas, 'kita' di sini membawa maksud PAS, bukannya komponen Pakatan Rakyat yang lain. Aspek "mempersoalkan kerasionalan kita, khususnya PAS dalam membuat sesuatu tindakan" ini kerap benar diulang-ulangi orang, khususnya dalam blog berbahasa Inggeris seperti Malaysia Today.

Lihat saja komen yang bertali arus apabila sesuatu peristiwa itu meletup dan dibesar-besarkan media arus perdana. Kita tentunya tidak hairan dengan telatah ini kerana manusia memberikan reaksinya berdasarkan maklumat dan tanggapan-persepsi yang menguasainya.

Dan persepsi itu umumnya dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya pendedahan media arus perdana seperti akhbar dan TV yang umumnya dikuasai Umno-BN.

Ini bermakna keputusan seseorang manusia itu mungkin saja rasional, mungkin juga tidak. Berapa ramai manusia di dunia ini yang membuat keputusan semata-mata bersandarkan tanggapan-persepsi yang tidak rasional?

Berapa ramai yang kahwin lari walaupun yang memelihara dan membesarkan mereka sehingga dewasa itu adalah kedua ibu bapa? Apakah hasil sesuatu pilihan raya itu menjadi tidak sah jika para pengundi dicaj tinggi emosinya tatkala keluar mengundi?

Manusia membuat keputusan dengan bersandar maklum balas dan maklumat yang diperolehi. Dan salah satu daripadanya ialah bagaimana mereka diajar untuk melihat dan 'menilai' maklum balas yang diasak ke dalam kepala, setiap hari, setiap saat.

Teori pakar propaganda Hilter, Goebbels boleh dipakai sebarang zaman, kecuali mungkin jika manusia semua sudah mahir berfikir dan berpandukan kebenaran.

Perlu dinyatakan, sambil memohon maaf kalau ada yang merasakan saya bersikap kasar, bahawa saya cuba memberanikan diri untuk bercakap terus terang setelah saya puas mendengar orang berbisik di sana-sini tetapi tidak ada yang mahu tampil ke depan dan menyatakan apa yang sering disoksek-soksek merata-rata, hingga ke Sarawak itu.

Biarlah saya mengambil risiko dimarahi pihak tertentu, supaya kita semua tidak menerima hukuman (mala petaka berupa kekalahan dalam PRU-13) semata-mata kerana tidak ada yang mahu bercakap terus terang.

Dan saya pun kurang pandai untuk berselindung di sebalik permainan kata-kata seperti gaya Dinsman itu.

Mari kita teliti semula lima contoh benar lagi nyata yang amat memedihkan yang telah dan sedang berlaku dalam PAS. Dan jangan lupa untuk teliti kesan maklum balas yang diolah semula akibat perbuatan kita (baca: PAS) sendiri.

Kecuali isu kepala lembu, bukannya orang lain (baca: Umno/BN) yang memulakan. Kitalah yang memulakan semuanya. Umno dan seluruh bala tenteranya hanya memanfaatkan bola tanggung (meminjam istilah Azizi Abdullah), yang entah kenapa kita hulurkan. Tak ada beban batu digalas!

Apakah contoh-contoh tersebut? Pertama, gagasan besar Kerajaan Perpaduan. Kedua, kritikan terbuka seorang EXCO (dari parti kita) terhadap SELCAT; dan ketiga, tingkah kita dalam isu kepala lembu.


Yang terakhir kita seperti tidak tahu dan tidak mahu berhenti ialah penggempuran bala tentera kita (baca: PAS) terhadap maksiat konsert. Gempur maksiat konsert ini sama dengan semangat berkobar-kobarnya kita tatkala mahu menyelesaikan peristiwa beer.


Semua ini telah dihujah bijak oleh pandai PAS. Ada nas lengkap dalilnya. Kita tidak ingin teliti itu semua kerana tidak berupaya. Yang mahu dibentangkan ialah soalan dan pemerhatian berikut:

Telatah Unit Amal kita tatkala banjir besar di Johor kekal bersemadi di hati rakyat Johor. Apakah itu pencegahan maksiat atau satu contoh perbuatan mulia yang mesti diutamakan?

Bagaimanakah mahu kita ubati sakit ‘kehilangan kepercayaan’ sesetengah ahli dan penyokong PAS dan juga orang-orang bukan Melayu terhadap KESAN gagasan kerajaan perpaduan?

Kesannya (“Ini parti yang tak boleh percaya. Kasi sokong mahu belot!”) mesti dihadapi dengan nyata, dengan perbuatan.

Cakap dan hujah sudah tidak memadai. Kenapa? Contoh kesan penyakit kehilangan keyakinan ini telah begitu nyata dan cukup banyak di negara ini. Sejarah Umno/BN jelas sekali kepada seluruh rakyat. Kenapakah PAS tega mengikuti jejak-jejak seperti itu?

Apakah mengejar ‘beer’ tanpa sesuatu yang jauh lebih mantap itu, lebih utama daripada melawan rasuah yang berleluasa? Bagaimana mahu menjawab ini semua? Apakah saya, Ah Chong, sekarang tak boleh suka-suka minum?

Apakah kerja melawan maksiat konsert itu lebih besar daripada mengejar kes perceraian yang tidak selesai-selesai?

“Haiya, sekarang Taliban datang lagi cari konsert!” Bagaimana mahu dijawab semua tuduhan yang sangat menyakitkan hati ini? Namun inikah cara yang terbaik membawa mesej Islam – tukang kejar konsert? Adakah tidak boleh dipelajari kaedah Hassan dan Hussein menegur orang dewasa yang salah tatkala berwudhu’?

Kalau Johny bertanya “Apakah sekian banyak harta zakat tidak mampu perbaiki nasib ummah, termasuk yang bukan Islam?” Apakah jawapannya “Itu urusan Islam!”?

Siapakah yang benar-benar bangun berkata dengan lantang, jelas dan berani sekali bahawa peristiwa kepala lembu bukanlah cara Islam? Panglima besar? Atau hanya seorang laskar biasa yang bangun bersuara?

Sebenarnya senarai soalannya cukup panjang. Namun apakah keadaan sebenarnya cukup tenang dan aman dalam PAS? Apakah benar PAS tak ada masalah kerana umumnya baik orang-orang Islam maupun yang bukan-Melayu jelas akan terus menyokong kita?

Atau ada yang berhujah, “Kita berjuang kerana Islam dan Allah sentiasa bersama kita kerana kita yang berjuang demi agama-Nya. Soalan sokongan bukan masalah besar sangat.”

Mungkin apa yang dibentangkan ini berdasarkan pengalaman yang salah. Ini bermakna segala pengamatan yang diturunkan salah belaka. Mungkin. Syukurlah kalau semua ini tidak tepat dan PAS masih jelas kompasnya.

Tatkala ke majlis rumah terbuka PAS, ada teman yang memberikan komen, “Tahun ini tak banyak rakan-rakan orang Cina. Tahun sudah lebih ramai.”

Mari kita akhiri dengan meneliti apa yang ditinggalkan oleh orang-orang tua kita:

Kenapa dibiar tapainya cair, yang tertinggal tuak kelana
Biarpun sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina

Menghayati nasihat penulis produktif / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Azamin Amin
CATATAN PENGALAMAN

"Masa itu demokrasi dibunuh oleh BN. PAS dipecat oleh BN sehingga terjadinya darurat di Kelantan. Untuk menyuburkan demokarsi saya masuk parti pembangkang."

Di era Perdana Menteri Tun Abdul Razak, tulisannya cukup memeritkan. Pedih bagi yang terpaksa berhadapan dengan hujah-hujahnya yang kukuh dan membuka mata. Kesannya, demonstrasi dan tangkapan menjadi aksi-aksi selepas itu.

Antara bukti ialah ketika dia membongkar kisah 'Dua Abdul' di bawah pentadbiran Tun Razak yang kononnya terbabit dengan subversif sehingga tertangkapnya yang mereka yang terlibat. Begitu juga dengan kritikannya terhadap isu ketiadaan air di Johor sehingga tercetusnya himpunan demontrasi menuntut air.

Selain bidasan dan 'pancungannya' ke atas sikap dan tindakan kerajaan, dia juga diberi kepercayaan membuat liputan kunjungan Tun Abdul Razak ke Peking bersama Utusan Malaysia sekitar tahun 1974 malah pernah mewakili Malaysia dalam Seminar ASEAN mengenai sebaran am di Manila.

Siapa yang tidak kenal dengan Subky Latif, insan yang menjadi pelopor penulisan buku-buku politik semasa dan peneroka �new journalism� di Malaysia sehingga digelar 'Mahaguru' kewartawanan oleh sebahagian besar pengamal media. Malah bagi pemimpin politik dan kerajaan namanya sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Di sebalik kesederhanaan watak, gaya hidup dan kopiah merahnya itu, dia telah pun mencecah kaki ke Britian, Perancis, Belanda, Denmark, Swirtzerland, Greece, Brussel dan Amerika bagi menyorot bidang yang diceburinya. Lebih hebat, dia pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Berlin Barat, Jerman.

Walaupun pun begitu, kehidupannya masih sama seperti dulu, seiring kehidupan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat. Tanpa niat mengejar impian kereta dan rumah mewah, beliau masih berjuang dengan tinta tajamnya. Itulah kehebatan tindakan dan tulisan Subky yang tidak boleh diramal sesiapa.

Masakan tidak ketika PAS kalah teruk dalam pilihan raya 1978 dan saat dihalau daripada Barisan Nasional (BN), Subky pula mengambil keputusan melawan arus dengan menyertai parti yang memperjuangkan Islam itu. Usianya ketika itu baru 38 tahun.

Ketika diwawancara, secara tegas Subky menceritakan tujuannya memasuki PAS adalah untuk memastikan demokrasi di Malaysia selamat.

Menceritakan pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh beliau ialah sewaktu menjawat Setiausaha Pemuda PAS Pusat sekitar tahun 1982, ketika memulakan usul dan menjadi pelopor konsep Kepimpinan Ulama.

"Cadangan saya diterima dan dibawa ke Muktamar dan akhirnya diluluskan menjadi dasar sehingga sekarang," katanya.

Beliau juga tidak lupa ketika mula 'mendekatkan' PAS dengan masyarakat bukan Islam pada tahun 1985 dan 1986 sehinggakan di Kuala Lumpur dibuat seminar-seminar yang memberi penerangan konsep pemerintahan Islam kepada kaum Cina.

"Sejak itu kita mengorak langkah dengan mengadakan ceramah-ceramah di Dewan Perhimpunan Cina sehingga tertubuhnya CCC Chinese Comunity Council yang dianjurkan PAS.

"Kita pernah dipanggil berceramah di tokong-tokong Cina sekitar Kuala Lumpur, Kepala Batas dan Ipoh. Senario itu cukup membimbangkan BN apatah lagi tentang konsep Islam yang diterangkan oleh PAS," katanya.

Sebagai pengasas akhbar lidah rasmi PAS iaitu Harakah pada tahun 1978, Subky tetap menyelitkan kisah susur-galurnya menerbitkan akhbar yang kini sentiasa panas dan 'hangat' di pasaran itu.

Katanya di awal penerbitan ianya dicetak sejumlah 12,000 sahaja namun beberapa hari selepas diedar di pasaran, Harakah akhirnya 'sold-out'. Tidak cukup dengan itu, ada pembaca dan peminat setia minta ianya diulang cetak.

Tetapi, di sebalik kehebatannya, tidak ada yang tahu bahawa ketika itu tidak ada syarikat percetakan yang bersedia mencetak Harakah kerana dua faktor iaitu kerana ianya akhbar PAS dan keduanya pengasas dan pengarangnya adalah Subky Latif.

"Hanya sebuah syarikat percetakan akhbar Tamil yang bersedia mencetak. Itu pun hanya sekali sahaja. Kemudian tidak sanggup kerana amaran, ancaman dan ugutan daripada kerajaan pada masa itu," jelas Subky yang pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Kemudian beliau bertemu dengan seorang kenalan berbangsa Cina yang sudah hampir tutup bisnes percetakannya sehingga tidak mampu membayar gaji pekerja.

"Saya buat rundingan dengannya iaitu membayar sejumlah RM5,000 untuk setiap minggu Harakah dicetak. Dan setiap bulan syarikat itu memperoleh sejumlah RM20,000 sampai boleh membayar gaji pekerjanya," katanya sesekali ketawa.

Kemudian katanya ada agen Umno yang jadi lembaga pengarah syarikat itu yang mengenakan sekatan dan syarat supaya Harakah tidak mengkritik kerajaan. Ada sekali, tidak dicetak sehingga, pengedar tunggu sampai pukul 1 pagi, kata Subky

"Kita bawa bahan itu ke Pulau Pinang kerana ada yang sanggup mencetak, dan akhirnya kita bawa pada malam yang sama untuk edaran dan 'sold-out' juga!," kata Subky

Selain Harakah, sebelum itu, Subky pernah menjadi 'peneroka' tiga buah akhbar seperti dwi mingguan �Suara Rakyat, �Suara Merdeka� dan �Harian Watan�. Begitu juga dengan beberapa majalah yang 'diciptanya' seperti Sarina, Keluarga, Kisah Cinta dan Kritik.

Sejarah telah menceritakan bahawa Subky seorang yang tidak pernah mengingkari tuntutan tanggungjawab malah dikenali sebagai kolumnis yang paling istiqamah dan tidak pernah 'bercuti' daripada menulis. Sehingga kini Subky tidak pernah gagal mengisi ruangan '1,2 dan 3...' dan 'Mens Sana in Corpore Sano' dalam Harakah dan juga Siasah namun semua itu memerlukan tahap displin yang tinggi

"Mesti ada displin yang tinggi. Mungkin kerana sudah diasuh menjadi wartawan sejak berusia 25 tahun... sejak Utusan Zaman tahun 60an maka saya sudah terbiasa dengan keadaan begitu.

"Ketika saya jadi ketua, saya akan pastikan sesiapa yang mahu menjadi kolumnis, berdisplin dan isi ruang kolum bila sampai tarikhnya. Jika hanya menulis sekali sekala, lupakan sahaja," katanya.

Selain menulis beliau sendiri pernah bertanding pada pilihan raya kecil Pelabuhan Kelang, 1 Disember 1979, merebut kerusi Menteri Pengangkutan yang kosong dengan kematian Mendiang Tan Sri V. Manikhavasagam. Subky merupakan antara pemimpin yang banyak menyertai pilihan raya.

Bertanding di Perak, Terengganu, Setapak Kuala Lumpur, dan pernah 'melawan' Tun Dr Mahathir di Kubang Pasu, Subky yang tidak pernah menang kerusi sekalipun tetap istiqamah dalam perjuangannnya.

Beliau yang berpendidikan Melayu dan menengah Inggeris dilahirkan Setiawan Perak 28 Julai 1940, kini berusia 70 tahun pernah menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963.

Semenjak empat tahun kebelakangan ini, Subky berusaha menyiapkan buku 'Analitikal' tentang hikayat para Nabi khususnya 25 Rasul yang dijangka akan terbit dalam jangka masa terdekat.

"Bangun awal untuk baca Quran sebelum solat Subuh, lepas solat siapkan tulisan untuk Harakah, Siasah dan juga Buletin Rakyat. Kolum tetap maka displin mesti ada.

"Saya sudah pun siapkan buku 25 Rasul itu dan terpulang kepada pihak yang nak meneribitkannya nanti," katanya.

Ditanya tentang petua menjadi penulis dan wartawan yang berjaya, Subky teringat sebuah buku penulis berbangsa India yang mencebiskan kata-kata semangat untuk beliau terus menulis tanpa henti.

"By mearly wishing to be a writer you do not become once but by writing everyday you will and can become a good writer (Sekadar hajat nak menulis belum boleh menjadi penulis tetapi jika menulis setiap hari anda akan menjadi penulis yang baik)," lontar Subky memetik kata itu.

"Seperkara lagi, saya suka bertengkar, dari kecil lagi dan saya mahu menang. Dari pertengkaran itulah saya mendapat ilham dan idea baru untuk menulis," katanya mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya.

Nasihatnya kepada akhbar Siasah dan Harakah ialah sentiasa menghidupkan isu.

"Buat follow-up. Ini...keluar sahaja, isunya mati begitu sahaja. Sepatutnya dibiarkan hidup. Ini keluar sahaja-mati.

"Jadi lead... 'first news' bukan pengekor cerita orang,"

Beliau teringatkan kata-kata ketua dan wartawan kanannya tentang kayu ukur menjadi wartawan yang berjaya.

"Kata Osman Abadi, wartawan yang berjaya ialah yang berjaya menumbangkan kerajaan," katanya terkenang kata-kata ketua dan wartawan kanannya itu.

Subky sambil menyatakan matlamatnya sebagai penulis ialah menjadi 'starter' atau pencetus sesuatu isu dalam landskap politik negara malah sebagai pembimbing kepada para pembaca yang tidak tahu perkembangan terkini isu-isu semasa khususnya membabitkan politik.

Kepada penulis dan wartawan, setiap kali keluar pejabat mesti 'balik' dengan berita dan tengok seseorang bagaiamana nak jadikan dia 'bahan' berita, kata Subky

"Jumpa 'Public Figure' atau para pemimpin, jangan himpit atau sembang kosong sahaja. Cari jalan supaya orang itu bercakap dan jadikan berita," katanya.

Apa yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran walaupun kadang-kadang salah, katanya.

"Kalau tidak betul akhirnya akui kesalahan kita.

"Sesiapa yang tidak puas hati dan kata salah, mesti buktikan kesalahan dan sanggah saya dengan penuh yakin, jika tidak saya tidak akan terima," katanya dengan mengahkiri perbualan yang penuh dengan kata-kata hikmahnya, menyuntik semangat jiwa wartawan.

(Tulisan ini adalah untuk siaran akhbar Siasah keluaran terbaru yang kini berada di pasaran)

(Sebarang pandangan dan teguran bolehlah dimajukan kepada azaminamin@yahoo.com atau urespons@gmail.com)

Sokong 100% Peratus Cadangan Tok Guru Nik Aziz / UBN Najib Altantuya / Zambry / pkfz

Aris Awang

Aku sokong seratus peratus, cadangan Tok Guru Nik Aziz untuk diadakan mesyuarat Agung Khas untuk melakukan usul pertama: pemilihan semula kepimpinan dalam PAS dan usul kedua: memilih nak UG atau nak PR.

Untuk usul pertama: Memilih kepimpinan, tiba-tiba Bang Mat Sabu dipilih menjadi Presiden dan Mat Toy sebagai Timbalan Presiden dan Heh..... heh.. heh, Razak Sentu serta Bakaq Paket Emboi sebagai Naib Presiden aku akan pertahankan mereka sama seperti Ustaz Idris pertahankan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang jika mereka ditendang aku akan boh penerajang balik.

Kerana mereka adalah pimpinan dan aku kenali hati budi mereka. Kalau jadi masalah ialah kerena orang keliling mereka sebenarnya. Watak Bang Sabu hampir sama dengan watak Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, tu yang aku syok kat dia tu........

Untuk usul kedua: Memilih nak UG atau PR, tiba-tiba perwakilan memilih nak UG. Aku beri tahu awal-awal lagi aku akan ikut jejak langkah Al-Marhum Ustaz Azahari Abd Razak, bekas Ahli Majlis Syuraa Ulamak PAS juga Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah dan dipecat dari Majlis Fatwa Negeri Kedah kerana menyatakan dengan tegas Ustaz Ibrahim Libya adalah mati syahid pada tahun 1986. Beliau telah bertawakuf sepanjang PAS bersama Perikatan/BN (yang ketika itu jika bersama dengan BN sudah tentu boleh jadi EXCO Kerajaan Negeri kerana PAS ada 8 dari 24 kerusi- masa tu mana ada lagi pensyarah Universiti teringin nak aktif dalam PAS, sudah tentu peluang beliau lebih baik untuk jadi EXCO berbanding orang lain). Sebaik sahaja PAS di teranjang keluar BN (aku pun tak tau sehari dua ni suka cakap pasai penendang, peneranjang, penendang dan sebagainya- mungkin macam Pak Daeng Sanusi kut - ketika jadi Ketua Penerangan PAS Pusat dulu, menerang kepada UMNO, balik ke negeri Johor jadi Pesuruhjaya - penerajang sama UMNO) Ustaz Azahari kembali aktif membawa obor dan cita-cita Fasal 5 Perlembangaan PAS kehulu kehilir. Sehinggalah PAS kembali dikenali ramai, menjelas batas iman dan kufur, mengapa tidak boleh menyokong UMNO, apa itu assobiyyah, apa itu sekular dan macam lagi sehinggalah PAS kembali gagah kerana bahanapi perjuangan (taqwa) memenuhi setiap dada ahli dan penyokongnya. Maka ia meluncur laju menerobos angkasa beritahu Pak Garson dari Indonesia, tetapi luncuran tersebut akan kembali menjunam jika bahanapi perjuangan (taqwa) mula kurang didalam tangki (dada) pejuangannya dan sokongan akan memula memudar. Sedarlah, kita tidak dapat menjaga hati manusia, kita hanya mampu berusaha yang membolak balik hati manusia ialah Sang Penciptanya.

Aku beritahu awal-awal bahawa bahawa aku akan tawakuf dari PAS, mungkin ketika itu akan aktif sekejap dalam NGO seperti JIM (mungkin kerana belum pernah aktif dalam JIM) yang telah meletakkan sasaran tahun 2020 (ada 11 tahun lagi) akan melaksanakan Syariat Islam di Malaysia ini. Bagaimana cara untuk capai itu aku sudah tanya pada sahabat JIM di Kedah dan beritahu mereka inilah yang menyebabkan Jeff Oii pening - iaitu tak masuk pilihanraya bagaimana nak memerintah Malaysia, kerana cara selain itu sudah tentu secara rampasan kuasa dan qital sahaja. Wa'allah hu aklam, mereka mungkin ada cara yang lebih hebat, jadi kalau Muktamar PAS pilih nak UG, aku nyong-nyong bawa beg plastik macam Ghafar Baba masuk JIM la kut atau lagi dahsyatnya joint dengan Ahmadi Nijad tolong dia buat emparan untuk mengurai bahan radioaktif serang Israel. Paling koman pulun pintai kueh Pintai Bilis pun rasa lebih faedah dan dapat pahala daripada bersama dengan UMNO/BN. Bila PAS kena rerajang balik dari BN mungkin aku akan masuk semula dan aktif semula, boleh jadi masa berakpun orang basuh dah........ telinga pun tak dengar...... pasai tua bangka dah ataupun pakai mati celik sebab tunggu, PAS keluar semula dari UMNO/BN.

UMNO/BN tidak akan dapat dipulihkan lagi, yang perlu sekarang ia perlu dikuburkan. Kita bina landskap politik baru di Malaysia ini bersama Pakatan Rakyat. Individu kepimpinan PAS iaitu Tuan Guru Hj Abd hadi Awang, terus aku kagumi dan hormati dan beliau adalah seorang yang baik, ikhlas serta jujur dalam firasatku. Oleh itu kepada kepimpinan PAS yang aliran pemikirannya seperti Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat hendaklah sering begulin-garak dengan Presiden, maka racun UG akan dinyahkan dari suntikan maut yang diberikan oleh mereka-mereka itu setiap hari. Malangnya kita hanya menyembur dari kejauhan, rapat dan tusuklah nasihat berguna itu setiap hari dengan menjadi teman setia Presiden demi Islam, demi rasulNya dan demi Allah. Kita mesti berjiwa besar untuk membawa inspirasi Islam kedalam hati manusia.

Tengok cara orang berjiwa besar, walaupun dikatakan bukan anak tempatan beliau tetap selamba je memenuhi undangan. Klik
disini

Jangan marah, marah jual.