"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mustahil harapkan pertemuan empat mata Mahathir-Anwar?

ZAKARIA MUSA
Membaca “keluhan” Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, mengenai kesatuan dan persefahaman di antara kumpulan berbeda pembangkang amat menyentuh perasaan saya.

Pastinya ia merujuk senario semasa yang menyaksikan semakin renggang dan bertambah tajam pergeseran di antara kem Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Dua tokoh besar ini kelihatan sukar untuk diserasikan lagi; penyokong masing-masing kerap bertegang leher, malah ada ketikanya umpama berkerat rotan.

Memang diakui Mahathir-Anwar menyimpan sejarah dan memori pahit-manis yang cukup panjang. Pertarungan mereka meninggalkan kesan yang begitu pedih dan perit. Seolah-olah sukar dijernihkan semula. Namun, demi menyelamatkan negara daripada regim kleptokrasi Najib Razak, kedua-duanya boleh melupakan perseteruan dan menjalin kerjasama baharu menjelang PRU14.

Tempoh berbulan madu itu tidak lama. Isu peralihan kuasa yang termeterai pada Januari 2018 merobeknya. Syak wasangka dan saling mencurigai melorong kepada permusuhan yang meretakkan Pakatan Harapan.

Selepas kerajaan PH tumbang penghujung Februari 2020, hubungan Mahathir-Anwar bertambah dingin. Mahathir khususnya terus melemparkan dakwaan dan pandangan yang agak negatif kepada Anwar.

Percubaan untuk merebut kembali Puterajaya di kala kerajaan majoriti tipis Muhyiddin Yassin bergolak hebat digagalkan, antara lain, kerana pembangkang sukar mencari persepakatan tentang calon perdana menteri. Sekali lagi, dua tokoh besar ini — Mahathir dan Anwar — memilih jalan berbeda.

Ya, tiada imej perpaduan dan kesatuan di antara mereka. Jika Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, juga Muafakat Nasional, berbalah serta bersengketa sesama sendiri, Mahathir-Anwar tambah lagi! Peluang merebut kembali kuasa atau mandat rakyat yang dicuri telah disia-siakan.

Sedih sekali apabila Khalid Samad berkata, apa yang paling menyedihkan sekarang adalah perbalahan antara pihak-pihak dalam PH dan penyokongnya sehingga tidak boleh berjumpa.

“Yang paling menyedihkan adalah apabila kita tidak dapat selesaikan perbalahan yang meruncing antara kita hingga tidak bertemu. Bahkan ada pula yang menganggap ia tak perlu diselesaikan.

“Kita kena faham suasana sekarang sudah berubah berbanding sebelum PRU14 lalu. Dahulu BN, Pas dan PH bertanding tiga penjuru. Sekarang Pas dan Umno bergabung dan Bersatu yang bersama kita dahulu sudah bersama dengan mereka.

“Dalam keadaan ini, kita akan kalah kalau kita tidak bersatu. Suasana ini akan mempengaruhi undi Melayu. Ia takkkan selesai kerana tak bertemu,” kata Khalid dalam wawancara khas dengan Jom Channel, baru-baru ini, seperti dilaporkan Malaysia Dateline.

Malah dikhabarkan ada sebahagian penyokong PH sendiri yang bertepuk tangan apabila calon Pejuang kalah dalam PRK Slim dan Wawasan Plus kalah PRN Sabah.

“Bila Warisan Plus kalah di Sabah ada di kalangan kita juga bertepuk. Mungkin orang yang berpura-pura memihak kepada kita. Mereka kata, oleh itu Shafie Apdal tak layak jadi PM, nak menang Sabah pun tak boleh. Ini satu yang sangat negatif dan menyedihkan saya,” kata Khalid lagi.

Berdasarkan tinjauan rambang di media sosial, tergambar begitu sukar untuk mendamaikan penyokong Mahathir dan Anwar. Malah Mahathir ditonjolkan sebagai perancang utama menyebabkan kerajaan PH tumbang demi memastikan Anwar tidak dapat menjadi perdana menteri.

Seolah-olah majoriti rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Mahathir. Pandangan yang lebih ekstrem pula, lebih baik PH bekerjasama dengan Umno dan Najib, berbanding Mahathir yang ditohmah pengkhianat.

Maknanya, Mahathir kini sudah dianggap musuh dan perlu sama-sama diperangi. Lantaran itu, mana-mana pihak yang dilihat berdamping dan bersama Mahathir, misalnya Pejuang dan Warisan, juga dianggap musuh. Begitu juga dengan pihak yang dikatakan masih menaruh kepercayaan kepada Mahathir seperti AMANAH dan DAP, juga dicurigai.

Situasi ini tentunya tidak sihat buat koalisi pembangkang. Dengan kata lain, PH semakin ramai musuh dan mengecil rakan-rakannya. (Tak pasti jika ia memperolehi kawan-kawan baharu daripada Umno pula!)

Tidak dapat dibayangkan senario PH15 jika pembangkang gagal menguruskan perbedaan sesama sendiri, khususnya berkaitan usaha dan gerak kerja untuk memikat pengundi Melayu luar bandar.

Namun situasi yang nampak sulit ini tidak seharusnya membuatkan kita mudah kecewa. Setiap cabaran dan halangan, biar sebesar mana sekalipun, jika ditekuni dan ditangani dengan bijaksana, dalam kerangka besar dan holistik, insya Allah ada jalan keluarnya. Dinamika siyasah sering menawarkan peluang lebih baik asalkan keputusan dan pendirian politik yang diambil tidak tersasar. Syaratnya, muafakat dan persepakatan jangan terburai.

Usahakanlah pertemuan dan rundingan di antara kumpulan yang berselisih. Sedih sekali mendengar bahawa untuk berjumpa pun amat payah. Saya membayangkan ada majlis santai minum petang di antara Mahathir dan Anwar, pertemuan empat mata, demi menyelamatkan negara tercinta.

Reaksi penyokong sudah dapat dijangka. Biarkanlah mereka meluahkan rasa. Masing-masing ada pandangan dan cerita sedih tersendiri. Yang penting sosok Mahathir dan Anwar. Berkorbanlah. Bertolak-ansurlah. Leburkan ego dan dendam. Usah bakar Malaysia yang sepatutnya meneduhi setiap warganya ini.

Mungkin juga Shafie Apdal, yang masih dianggap calon berpotensi sebagai perdana menteri oleh Mahathir boleh berperanan penting. Kombo Anwar-Shafie mungkin sesuai dipraktikkan sekarang. Dalam politik, tiada jalan mati, ‘kan?

Bukan masa untuk bertelagah lagi

MOHD ALI HASHIM

Ahli Jawatankuasa AMANAH Pulau Pinang, Rosli Hasan menyokong penuh saranan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad supaya Pakatan Harapan (PH) memperkukuhkan penyatuan dalam kalangan pimpinan dan penyokongnya.

Menurut Rosli lagi, gerakan memperkukuhkan hubungan antara komponen dalam PH kini adalah suatu agenda besar yang harus direalisasikan sebelum menjelangnya pilihan raya umum ke 15 yang akan datang.

“Apa yang berlaku kini menjadi perhatian kepada rakyat yang senantiasa meneropong dan memperhatikan hubungan, gerak kerja dan percaturan yang berlaku dikalangan pimpinan PH.

” Sehubungan itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab semua pimpinan PH di semua peringkat untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah pemimpin yang terbaik dan mampu untuk membela nasib rakyat.

Menyahkan segala kepentingan diri, kelompok dan puak dalam PH adalah tindakan tepat yang mesti dilaksanakan tanpa lengah, ” ujarnya lagi.

Maka itu kata beliau, sekiranya hubungan baik ini tidak dipelihara dan dijaga tidak dapat dinafikan ia memberi impak yang amat besar kepada dokongan yang akan dierima dalam pilihan raya umum ke 15 yang akan datang tidak lama lagi.

Tambahnya, eratkan hubungan dan berikan dokongan tanpa belah bahagi kepada pimpinan dalam PH secara total walaupun wujudnya beberapa perbezaan pandangan dengan mengutamakan usaha untuk meraih sokongan majoriti rakyat dalam negara ini.

Seandainya ini menjadi realiti katanya, adalah diyakini kesinambungan peduli rakyat yang telah sekian lama diperjuangkan akan dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada pelbagai golongan masyarakat.

Ketika kes Covid paling tinggi, betulkah PM pergi main golf?

MALAYSIA DATELINE

Ketika penyebaran Covid-19 berada di tangga paling puncak, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan menyertai Tan Sri Muhyiddin Yassin Charity Golf (TSMCG) di sebuah hotel terkemuka di Johor.

Kain pemidang program TSMCG di sebuah hotel di Johor Bahru.

Menurut kain pemidang di sebuah hotel yang kini beredar di media sosial. beliau dijadualkan menyertai TSMCG pada 1 dan 2 Oktober, hari di mana negara mencatatkan rekod kes baru Covid-19 paling tinggi dalam sejarah iaitu 287 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pula dijadualkan menyertai program yang sama pada 4 Oktober esok.

Hampir 300 peserta dan rakan masing-masing dijadualkan menginap di Hard Rock Hotel Desaru dan bermain golf di hotel Lotus Desaru Beach Resort.

Sebelum ini, ketika awal Covid melanda negara, sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) digenakan, Muhyiddin juga dilaporkan menyertai pertandingan golf.

Beliau menyertai pertandingan itu pada 14 Mac 2000, dua hari sebelum PKP dikenakan kepada seluruh rakyat iaitu oada 16 Mac 2020.

Pas era gerhana 2.0 sudah bermula?

ALI BUKHARI AMIR

Pada zaman gerhana Pas era 1970-an, parti Islam itu mula menerima pukulan berat dan kecaman hebat daripada ahli-ahlinya kerana sikap lunak mereka terhadap parti pemerintah; BN.

Kini, tiada siapa pun yang dapat menjangkakan bahawa parti itu sekali lagi menerima nasib yang sama lantaram para pemimpinnya meneruskan lagak sikap politik yang sama selepas 50 tahun meniti era gerhana 1970-an itu.

Perlahan-lahan lahan politik Pas yang asalnya suci murni kini mula dicemari dengan berkembang biaknya sikap-sikap rakus, tamak dan haloba dengan kesuburannya tentu saja diwarisi daripada rakan sekutunya; Umno.

Bukti hadirnya sikap buruk ini yang dilihat jelas ketara, muncul dalam Muktamar Pas yang baru berlalu. Kecaman warga netizen yang meninggalkan kesan paling mendalam adalah syor untuk meraih gelaran Dato’ bagi ydp setiap kawasan.

Alasan mendapatkan gelar Dato’ bagi ydp kawasan itu pula tidak munasabah, iaitu sebagai usaha meraih kehormatan rakyat ke atas para pemimpin Pas yang berjawatan dan menyandang pelbagai gelaran itu, khususnya gelaran Dato’ yang diperolehi daripada pihak istana di setiap negeri yang Pas kini sedang memerintah.

Perwakilan Pas Wilayah Persekutuan pada asalnya menyentuh tentang kedudukan golongan yang ketiga (insan yang disifatkan sebagai kaum yang mementingkan keduniaan, kebendaan, golongan yang selalu memihak kepada parti yang menang).

“Golongan ketiga adalah orang yang mencari kebendaan. Golongan ini akan sentiasa berada di sisi parti yang menang.

“Ini kerana matlamat mereka (golongan ke-3) hanya memandang kepada manfaat yang diperolehi apabila menyokong Pas.

“Oleh itu saya mencadangkan agar semua pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri, ydp-ydp kawasan, termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap untuk dianugerahkan gelaran Dato’ atau sebagainya oleh negeri-negeri yang kita perintah, termasuk negeri Kelantan, Terengganu dan juga negeri Kedah,” kata Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Wilayah itu.

Dengan nada berterus-terang tanpa berselindung, perwakilan itu berkata, gelaran Dato’ itu adalah alat untuk ~ “…kerana kita hendak menarik sokongan mereka (golongan ketiga) kepada Pas…”

Perlu diakui, tambah beliau, bahawa rakyat sangat menghormati dan teruja dengan pemimpin-pemimpin mereka apatah lagi dengan gelaran dan pangkat yang mereka miliki.

Perwakilan Pas Wilayah Persekutuan itu menutup syor dengan lafaz berbahasa Arab berbunyi…

“An-Naas ‘ala Deen Muluukihim” yang membawa makna ~ “Rakyat mengikut agama pemimpin mereka”.

Agak menarik jika kita dapat bermuhasabah dengan lebih mendalam terhadap garis-garis fikiran perwakilan Pas hari ini, di mana setiap kali ucapan muktamar seumpama musibah besar bagaikan ledakan bom atom yang melanggar Hiroshima dan Nagasaki pada hujung Perang Dunia Kedua.

Pertamanya, tidakkah ahli-ahli Pas sedar bahawa pangkat, gelaran ini pernah ditawar untuk Nabi s.a.w dan baginda menolaknya asalkan beliau tidak lagi berdakwah? Ertinya, baginda tidak minta gelaran dan berjawatan tinggi di GLC seperti Pas dambakan gelaran Dato’ demi kehormatan diri.

Memang ahli-ahli Pas boleh berkata bahawa gelaran itu bagi membolehkan mereka mendapatkan rasa hormat orang kepada mereka agar mereka kononnya lebih mudah melaksanakan dakwah.

Tetapi, tidakkah mereka sedar tentang sunnah perjuangan Nabi s.a.w memulakan dakwah dengan cemuhan dan kehinaan yang tiada berkesudahan? Bahkan, penghinaan terhadap Nabi s.a.w itu berterusan sehinggalah ke hari ini dalam media-media Barat.

Memang lumrah dakwah nabi-nabi yang ditakdirkan tiada berkedudukan terhormat sebagai ujian terhadap diri sendiri. Dan…Pas harus menginsafi bahawa beban dakwah ini banyak menanggung ujian cemuhan, hinaan berbanding kehormatan diri.

Dalam 25 orang nabi dan rasul, cuma nabi berstatus raja-raja sahaja yang seruan dakwah mereka itu tidak menanggung cemuhan dan hinaan dengan sebab kekayaan, pangkat dan gelaran mereka. Selebihnya, nabi-nabi itu terpaksa menanggung bebanan fitnah dan ujian penghinaan dan bukan penghormatan.

Nabi-nabi Ulul Azmi yang sejumlah lima orang itu pun bukan berstatus raja-raja pada awal-awal permulaan dakwah mereka itu.

Semoga ahli-ahli Pas hari ini sedar dengan beberapa kesilapan mereka dalam berfikir.

Kedua, tidak cukupkah lagi dengan darjah penghormatan yang diberikan umat selama ini dengan gelaran keagamaan? Lekeh sangatkah gelaran Ustaz, Asatizah dan Tuan Guru selama ini jika nak dibandingkan dengan gelaran Dato’? Golongan ketiga (pencinta dunia dan rapat dengan kerajaan memerintah) itu akan pandang rendah jugakah jika Tuan Guru sudah berkuasa nanti?

Adakah gelaran asatizah, panggilan ustaz dan tuan guru sudah tidak lagi menambahkan hormat golongan ketiga terhadap Pas? Golongan ini yang disifatkan sebagai kaum yang cinta keduniaan dan selalu bersama golongan menang itu pun tidak mencemuh gelaran ustaz, asatizah ini jika Pas berjaya membentuk kerajaan setelah menang dalam pilihan raya.

Jikalau ahli-ahli Pas masih mahu melihat Pas sebagai parti dakwah dan parti Islam yang berkuasa untuk terus menunaikan kewajipan dakwah, maka muhasabah diri perlu dilakukan berkali-kali.

Tidakkah Pas menginsafi bahawa kebanyakan rasul tidak diberi anugerah, pangkat, gelar bersifat keduniaan melainkan hanyalah sedikit dalam kalangan mereka yang menjadi raja-raja dan kaya-raya seperti Sulaiman, Daud, Ayub, Zulkifli?

Bukankah Tuhan memuliakan gerakan dakwah Ashabul Kahfi dengan mendahulukan sebutan kisah mereka pada awal Surah Al-Kahfi (malah nama surah itu pun diukir dengan gelaran ke atas mereka), manakala kisah Zulkarnain (raja pendakwah) diletakkan di hujung surah tersebut.

Jikalau raja pendakwah itu lebih berdarjat terhormat dibanding Ashabul Kahfi (pemuda tertindas dan ditindih di bawah lembayung kekuasaan rejim zalim tirani), tentu saja nama surah itu diabadi dengan nama Surah Zulkarnain dan perbincangan ayat darihal raja pendakwah itu akan diukirkan di bahagian awal surah itu juga.

Akhir kalam menjelang era gerhana Pas sekitar 2020-an kali ini kita sarankan ahli-ahli Pas dapat telaah semula buku tulisan bekas ahli Pas; Amaluddin Darus terbitan Harimau Press.

Buku setebal 238 halaman yang terbit pada 1977 itu turut menyorot kejadian yang sama ketika Pas di ambang gerhana seperti yang terjadi kini saat muktamar-muktamar Pas bertukar wajahnya sebagai musibah besar bagi agama, bangsa, dan tanah air.

Ali Bukhari Amir adalah pengendali Sekolah Pemikiran Kg. Baru, pengendali Sekretariat Mastera Samarinda (2007), dan pengendali Wacana Ilmu, Seni, dan Budaya (WISB).

Surat khas untuk Menteri Pendidikan

LYN AHMAD
Assalamualaikum yang berbahagia Dr Radzi Jidin. Saya seorang waris murid dari utara dan anak-anak saya bersekolah di Kedah.

Tuan Dr, bermula daripada kes pertama Kluster Sivagangga sehinggalah ke kluster terkini iaitu Kluster Sungai, kes positif Covid telah banyak dikesan dalam kalangan murid sekolah.

Kami para waris di sini bukan sahaja bimbang anak-anak akan terkena jangkitan, tetapi setiap kali ada kes walaupun melibatkan seorang murid atau waris murid, beribu murid lain akan dipaksa menjalani saringan swab.

Saya yakin tuan tahu bahawa prosedur ini boleh menjadi mimpi ngeri buat anak-anak terutamanya murid pra dan rendah.

Unit Pendidikan Kesihatan Kota Setar pernah mendedahkan bahawa 10,621 sample telah diambil bagi saringan selama dua hari, dan ini belum termasuk sekolah-sekolah yang pernah disaring sebelum itu, contohnya di Sungai Petani, Kulim dan lain-lain.

Ada murid yang sudah takut dan trauma hendak ke sekolah akibat daripada saringan tersebut. Saban hari saya sebagai waris murid menunggu respons daripada pihak KPM khususnya tuan sebagai menteri kanan pendidikan.

Jangan katakan hendak mengeluarkan sebarang kenyataan atau rasa simpati, hendak menulis mengenai Kedah di laman media sosial tuan dan KPM pun tidak.

Yang saya nampak hanyalah perkongsian mengenai Sabah, Sabah dan Sabah. Melawat sekolah-sekolah di Sabah, bermain bola sepak di Sabah, semuanya di Sabah.

Gigih sungguh team KPM berkampung di sana.

Sekolah-sekolah di Kedah ini tuan jeling pun tak mahu, sedangkan kes di sekolah-sekolah di sekitar Kedah lebih tinggi berbanding Sabah pada waktu itu terutamanya di Kota Setar.

Dan kes di Kedah ini sudah lama bermula dan berkemungkinan akan terus berlaku. Kami di sini tidak cemburu, cuma tertanya-tanya, pihak tuan tidak pandai memberi prioritikah?

Rakyat yang memerhati tindak-tanduk tuan sudah boleh mengagak dari awal mengapa tuan dan team begitu gigih peduli Sabah.

Ya, kerana PRN Sabah.

5 minggu cukup lama

Sambil menyelam sambil minum air, dan pada 29 September, semua spekulasi itu terjawab apabila tuan telah memuat naik status di Twitter mengakui bahawa tuan telah menjelajah bumi Sabah selama lima minggu demi “pilihan raya negeri Sabah 2020”.

Lima minggu adalah tempoh yang sangat lama.

Jika sekolah-sekolah di Kedah diberi perhatian sepanjang tempoh lima minggu itu, tidaklah 10,000 lebih murid terpaksa ‘diswab’!

Saya sangat kecewa.

Tuan Dr, bersyukurlah kerana masih ada peluang kedua. Peluang untuk tuan menebus kesilapan lalu.

Di saat semakin banyak negeri mula terjejas akibat kes positif yang dibawa pulang dari kawasan berisiko tinggi, adalah baiknya tuan mula memberi fokus kepada tugas hakiki tuan pula iaitu menyantuni pendidikan, sekolah-sekolah, guru-guru dan murid-murid.

Mohon faham bahawa prioriti tuan adalah kami semua, bukan parti politik tuan!

Tutuplah sekolah-sekolah lebih awal supaya keadaan lebih terkawal. Belajarlah daripada apa yang berlaku di Kedah.

Jangan menggunakan pendekatan wait and see dan hanya menutup sekolah apabila berlaku kes.

Murid-murid di Kedah sudah melaluinya dan pengalaman itu cukup perit. Pendekatan prevention is better than cure adalah jauh lebih relevan pada waktu ini.

Kami faham bahawa pendidikan itu penting, tetapi nilai keselamatan adalah jauh lebih penting.

Bukan kami meminta sekolah ditutup bertahun-tahun, memadai beberapa minggu, sebulan, atau sehingga kes di seluruh negara reda sedikit.

Mungkin akan ada pihak yang bertegas bahawa penutupan sekolah berada di bawah kuasa MKN atau KKM.

Jika ini berlaku, maka adalah menjadi tanggungjawab tuan untuk fight for us demi keselamatan bersama.

Saya pasti, guru-guru juga mungkin berada dalam keadaan tertekan.

Tak kasihankah?

Selain mengajar, mereka terpaksa memikul tanggungjawab besar dalam memantau setiap pergerakan murid bagi menjaga SOP.

Di Kedah, melalui maklumat yang saya dapat, pernah ada kes murid-murid mendapat jangkitan selepas menggunakan pengangkutan yang sama.

Seperkara lagi, tidakkah proses saringan besar-besaran akan menelan belanja yang besar?

Perbelanjaan untuk saringan swab, PPE dan sanitasi – tidakkah membazir?

Dan tidak ada belas kasihankah kepada frontliners? Mudahan perkara ini dapat diberi perhatian segera.

Sekian daripada saya.

Oh ya, memandangkan tuan ke Sabah atas tujuan utama berpolitik, segala kos pengangkutan dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kementeriankah, atau ditaja oleh parti?

Kami rakyat bawahan hanya mampu berdoa semoga tuan dan pihak KPM jujur menggalas amanah, tidak menggunakan peruntukan kementerian untuk tujuan yang tak sepatutnya.

Semoga tuan dan team dirahmati Allah SWT. Semoga keprihatinan dan sifat profesionalisme tuan terus subur.

UNTUK KEMBALI KUASAI PUTRAJAYA, UMNO MESTI SEGERA TINGGALKAN BERSATU

Shahbudin Husin
Kalau diadakan pungutan suara di kalangan ahli-ahli UMNO tentang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang, rasanya tidak sampai 10 peratus yang bersetuju.

Begitu juga kalau diadakan pungutan suara tentang perlukah UMNO berkongsi kerusi dengan Bersatu, terutama di kawasan yang biasa ditandingi parti itu, agaknya hampir tidak ada yang setuju dengan perkara itu.

Meskipun Bersatu kini mengetuai kerajaan PN dengan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, nyawa parti itu dalam PRU akan datang banyak bergantung kepada ihsan UMNO.

Tanpa kerjasama dan sokongan, lebih-lebih lagi murah hati UMNO untuk bertoleransi dari segi pembahagian kerusi, Bersatu tiada ruang lagi untuk menghirup udara segar dalam perjalanan masa depannya.

Bersatu ini hanya umpama bunga teratai – gah di permukaan tetapi akar umbinya tidak pun mencengkam tanah.

Dalam PRU14 lalu, mereka banyak bergantung kepada jentera parti PKR dan DAP dan dalam PRU akan datang, mereka mengharap menumpang jentera parti UMNO dan Pas pula.

Itulah Bersatu, lebih-lebih lagi Muhyiddin yang menerajui Bersatu tidaklah mempunyai aura seperti Tun Mahathir Mohamad ketika PRU14 lalu.

Pendirian UMNO terhadap Bersatu ketika ini amat jelas iaitu mereka menyokong Muhyiddin dan berada dalam kerajaan PN hanyalah sehingga penggal Parlimen PRU14 ini berakhir saja.

Untuk PRU15, UMNO hanya mahu komited dalam kerjasamanya dengan Pas dalam Muafakat Nasional atau MN dan sebab itulah UMNO menolak untuk menyertai gabungan PN secara rasmi.

Dengan keadaan ini, walaupun Muhyiddin telah mendaftarkan PN, kedudukan Bersatu masih lagi terumbang-ambing kerana jika UMNO menolak untuk bertoleransi dalam soal kerusi, parti itu tiada peluang lagi untuk terus bernyawa.

Berikutan PRN Sabah yang memperlihatkan Bersatu tidak menghormati UMNO di mana sejak awal Muhyiddin telah menamakan Hajiji sebagai Ketua Menteri, walaupun parti itu hanya serpihan UMNO, kemudian cuba memungkiri janji pengagihan kouta menteri kepada Bung Mokhtar Radin, nyata bahawa Bersatu bukanlah rakan yang baik untuk berkongsi kuasa.

Sepatutnya sejak awal lagi Bersatu menghormati kedudukan UMNO yang lebih besar dan ramai Ahli Parlimennya pula menyokong Muhyiddin, namun Muhyiddin seperti memperlekehkan UMNO dengan mengumumkan nama Hajiji sebagai Ketua Menteri tanpa sebarang perundingan dengan UMNO.

Kini, selepas PRN berakhir, nampaknya ramai pemimpin UMNO makin sedar mereka bukan saja sedang dipermainkan oleh Bersatu, malah bakal “dibunuh” masa depannya jika terus bersama parti itu.

Presiden UMNO, Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Mohamad Hasan dan lain-lain pemimpin kanannya mula bersuara tentang hala tuju baru yang mahu dilalui untuk menghadapi PRU akan datang.

Tindakan UMNO tidak menyertai PN adalah suatu tindakan yang betul, tetapi ingin terus berada bersama Bersatu sehingga PRU akan datang, barangkali bukan suatu keputusan yang tepat.

Ini kerana selama tujuh bulan bersama selama ini jelas menampakkan Bersatu ingin membolot, menguasai dan melemahkan UMNO melalui kuasa yang terkumpul di tangan Muhyiddin dan beberapa menteri kanan daripada Bersatu yang rapat dengan Perdana Menteri seperti Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali.

Jika lebih lama bersama, UMNO akan terus dilemah serta hubungannya dengan Pas juga akan dipecah-perintahkan yang tujuan akhirnya ialah agar Bersatu terus unggul menguasai kerajaan untuk tempoh yang lebih lama.

Dalam hal ini, UMNO tidak harus berlengah lagi dan mesti cepat keluar daripada kerajaan PN, tidak kira sama ada dengan menyokong Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baru atau supaya pilihanraya semula dapat diadakan segera.

Yang penting, keluar daripada kerajaan PN dan menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah pilihan yang tidak boleh dilengah-lengahkan lagi buat UMNO.

Lagi cepat bertindak, lagi cerah harapan untuk UMNO kembali menguasai Putrajaya seperti sebelum ini, sebaliknya bagi Bersatu pula, sekali ia sudah berjaya mengalahkan UMNO sejak PRU14 lalu, selamanya niat untuk menguburkan UMNO itu tetap membara.

Berdasarkan sokongan semasa rakyat kepada UMNO dalam beberapa PRK sebelum ini dan di PRN Sabah, tidak dinafikan ia telah pulih dan berada di tahap yang baik, maka masa depan parti itu sebenarnya lebih berkilau jika tanpa bersama Bersatu, tetapi Bersatu hampir tiada masa depan jika tiada UMNO bersamanya.

Pilihlah mana satu – mahu UMNO terus hidup atau merelakan Bersatu “mematikan” UMNO? (Shahbudindotcom 02/10/2020).

Apabila penuh dengan kebodohan, tutup mulut kamu

AZIZI AHMAD
Kesombongan dan keangkuhan adalah penyakit yang pelik, ia membuat semua orang sakit kecuali orang yang memilikinya.

Sebenarnya, kebanyakan kita tidak menyukai mereka yang bersifat sukar dan kita menghabiskan berjam-jam untuk mencari kaedah bagaimana menangani orang-orang yang bermasalah.

Lagipun, kita tidak dapat membina pasukan kerja yang sihat atau hubungan rumah tangga yang sihat dengan orang yang dipenuhi dengan ego, kesombongan, dan keangkuhan.

Mereka terlalu mementingkan diri sendiri dan tentunya tidak mengambil berat tentang orang lain.

Orang yang sombong menganggap mereka tahu semuanya atau sekurang-kurangnya berpura-pura tahu.

Oleh itu, mereka sering mahu bermula dari puncak. Mereka mahukan kedudukan yang mengiktiraf bakat istimewa mereka. Tetapi ia bukan sahaja tidak cerdik, tetapi juga tidak produktif.

Sudah tentu, orang yang sombong dan sukar tidak suka bekerja dengan baik.

Sebaliknya, orang yang tidak sombong dan tidak sukar bersedia bermula di mana mereka masuk. Mereka bersedia mendengar dan belajar.

Saya pasti anda mengenali beberapa orang yang suka bercakap tetapi kurang bertindak.

Mereka suka membincangkan semua perkara yang akan mereka lakukan tetapi tidak pernah melakukan apa-apa.

Jadi, ya, perubahan bermula di fikiran tetapi selesai dengan tindakan anda.

Kebenarannya adalah (kepada anda yang sukar dan besar kepala) … anda tidak bernasib baik dan anda tidak berada di atas kerana berusaha keras.

Ray Kroc, pengasas McDonald’s, berkata, “Keberuntungan adalah hasil ketekunan. Semakin sukar anda berusaha … semakin beruntunglah anda”

Orang sombong berpendapat bahawa mereka cukup hebat, tetapi mereka tidak sekuat yang mereka mahukan anda sangka

Masalahnya adalah orang sombong sering menganggap peraturan bukanlah untuk mereka. Mereka fikir mereka lebih baik dari itu.

Malangnya, orang sukar didorong ego, sukar untuk menyedari kesalahan mereka sendiri dan mengubahnya. Mereka dibayangi sanjungan daripada dibimbing oleh kebenaran.

Peringatan untuk orang yang sombong. Anda perlu tahu akan perbezaan antara keunggulan dan kepentingan.

Oleh itu, orang yang sombong dan sukar, sedarlah bahawa tingkah laku anda mungkin membuat anda menonjol, tetapi itu jauh dari penting.

Ia membawa kepada kita untuk mengatakan yang sebenarnya dan bukannya memperkatakan kebenaran.

Bagi mereka yang terkesan dengan ego, kesombongan, keangkuhan dan sukar, “Berhati-hati semasa anda bercakap. Dan ketahuilah masa-masa ketika anda harus diam”.

Seperti yang dikatakan oleh Will Rogers, “Setelah memakan seekor lembu jantan, seekor singa gunung merasa sangat hebat dan dia mulai mengaum. Dia terus menerus mengaum sehingga sampai seorang pemburu datang dan menembaknya. Moral: Apabila kamu penuh dengan ‘kebodohan’, tutup mulut kamu.

Penulis adalah bekas seorang pendidik.

Kesalahan terbesar Najib cuba selamat kawannya dalam isu Felda, kata Kadir Jasin

SITI NUR ZAWANI MISCON

Susulan dakwaan Amerika Syarikat bahawa FGV Holdings Berhad menggunakan buruh paksa di ladang-ladangnya sehingga menyekat import minyak sawit dari negara ini, Datuk A Kadir Jasin (gambar) menyalahkan Najib Razak di atas apa yang berlaku.

Bekas Penasihat Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, Malaysia tidak mungkin mengamalkan kegiatan buruh paksa seperti yang didakwa oleh kerana kebanyakan buah kelapa sawit yang diprosesFGV di Malaysia dihasilkan oleh peneroka sendiri.

Malah, beliau memuatnaik artikelnya pada 27 Oktober 2019 bertajuk “Najib dan Rogol Beramai-ramai ke atas Felda”, yang menceritakan bagaimana Najib telah memperalatkan Felda dan anak syarikatnya, FGV untuk tujuan politik dan mencari keuntungan mudah jangka pendek sehingga akhirnya membebankan Felda, para peneroka dan pembayar cukai.

Beliau berkata, kesalahan paling besar yang Najib lakukan ke atas Felda adalah apabila bekas Perdana Menteri itu memaksa FGV menyelamatkan sahabatnya, Tan Sri Peter Sondakh, dengan membeli ladang Eagle High milik tauke Cina Indonesia itu dengan harga melebihi harga pasaran.

“Jadi besar kemungkinan dakwaan kerajaan Amerika Syarikat itu berdasarkan operasi FGV di luar Malaysia.

“Mengikut laporan FGV sendiri, ia mempunyai ladang seluas 439,725 hektar di Malaysia dan Indonesia.

“Kesalahan dan kesilapan besar Najib adalah mencampur-adukkan pentadbiran negara dengan kegiatan korporat yang melibatkan harta negara seolah-olah kedua-duanya adalah milik peribadi beliau,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Akibatnya kata Kadir, Felda bertukar daripada operasi ekonomi luar bandar yang lestari kepada operasi yang rugi dan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Terdahulu, Kadir yang juga bekas‎ Ketua Pengarang New Straits Times, pernah melaporkan bahawa FGV telah membeli saham syarikat perladangan Indonesia hampir dua kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran

Pada November 2019, Felda membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham Eagle High pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar AS$114 juta (RM520 juta) di pasaran pada Disember 2016.

Ahli Parlimen Batu Sapi, bekas menteri undang PH, VK Liew meninggal dunia


Bekas menteri undang-undang di era Pakatan Harapan (PH) Liew Vui Keong meninggal dunia.

Timbalan presiden Warisan Darell Leiking dan anggota parlimen Sandakan Vivian Wong mengesahkan pemergian anggota parlimen Batu Sapi itu kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Liew awal minggu ini dimasukkan ke hospital dan dilaporkan koma sebelum ini.

Selama hayatnya, mendiang yang lebih dikenali sebagai VK Liew melalui perjalanan politik penuh warna-warni.

Dia pernah memimpin Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), yang menjadi komponen BN ketika itu, sebelum menyertai Warisan.

Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri bawah pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan Najib Razak pada 2009 hingga 2013.

Dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Kota Belud, Liew ditauliahkan sebagai peguam oleh Lincoln's Inn, London selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti North London pada 1987.

Bahaya besar menanti DAP, Amanah sekiranya ahli Parlimen Umno sokong Anwar, kata penganalisis

Robin Augustin

Mohd Izani Mohd Zain (kiri) and Kamarul Zaman Yusoff.
PETALING JAYA: Amanah dan DAP akan terkesan teruk sekiranya Presiden PKR, Anwar Ibrahim, membentuk kerajaan dengan sokongan ahli Parlimen Umno, menurut penganalisis.

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia dan Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia percaya penyokong masing-masing akan menjauhi kedua-dua parti itu sekiranya dilihat bekerjasama dengan Umno, parti yang dimomok-momokkan.

“Umno dan DAP seperti air dan minyak; mereka tak bercampur,” kata Kamarul, yang melihat tidak akan ada perbezaan sekalipun ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar tidak termasuk mereka yang menghadapi perbicaraan.

Minggu lalu, Anwar mengumumkan mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan baharu, tetapi belum mendedahkan nama ahli Parlimen yang menyokongnya.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, seolah-olah mengesahkan dakwaan Anwar apabila beliau berkata banyak ahli Parlimen partinya menyokong presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Veteren DAP, Lim Kit Siang pula berkata, Anwar meyakinkan beliau tidak akan ada perjanjian dibuat dengan watak-watak kontroversi dalam Umno.

Kamarul bagaimanapun berkata tiada perbezaan sama ada perjanjian dibuat atau pun tidak dengan watak-watak kontroversi itu, kerana sebarang bentuk hubungan kerja dengan Umno boleh menyebabkan DAP dan Amanah hilang sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya akan datang.

Tambahnya, PKR mungkin akan dapat meraih sokongan pengundi Melayu sekiranya rancangan Anwar menjadi, tetapi ia boleh hilang sokongan pengundi yang percaya akan rancangan parti itu untuk membersihkan negara daripada kleptokrat.

Izani percaya PKR, DAP, dan Amanah akan diserang sekiranya bekerjasama dengan watak-watak Umno walaupun hakikatnya PKR perlukan sokongan orang Melayu untuk berjaya.

“Mereka akan berdepan isu sokongan pada pilihan raya umum ke-15,” katanya. “Amanah akhirnya akan jadi parti yang paling lemah. Parti itu akan tidak lagi relevan sekiranya Anwar dapat sokongan orang Melayu melalui Umno.”

Namun, James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berbeza pendapat, mengatakan Pakatan Harapan masih boleh mendapat sokongan orang bukan Melayu memandangkan satu-satunya alternatif adalah Perikatan Nasional, yang bertumpuan Melayu.

“Sudah tentu, PKR akan raih (sokongan) paling banyak kerana Anwar akan menjadi perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Chin berkata DAP kemungkinan tidak akan diberi banyak jawatan menteri kerana Anwar memberikan petunjuk kerajaan baharu itu akan menjadi kerajaan majoriti Melayu.

“Tapi saya rasa DAP akan ikut rancangan Anwar sebab parti itu mahu kembali bersama kerajaan dan berusaha membawa perubahan,” katanya.

Beliau menambah Amanah juga akan dapat manfaat daripada akses ke sumber kerajaan dan kemungkinan masih mendapat undi daripada golongan yang dikatakan progresif.

Khalid Samad dedah kenapa Anwar umum ada majoriti

Anwar umum ada majoriti untuk elak PM minta Agong bubar Parlimen
MALAYSIA DATELINE

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini diberitahu, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai sokongan yang kuat untuk mengelakkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumpa Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad yang turut berada dalam mesyuarat itu berkata, itulah tujuan mesyuarat khas itu diadakan iaitu untuk memberikan penjelasan kenapa tindakan itu dibuat oleh Anwar.

Anwar mengumumkan beliau mempunyai sokongan dengan majoriti yang besar di kalangan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional.

“Kami bincang kenyataan Anwar dalam mesyuarat khas itu. Kita inginkan penjelasan dengan detail. Dia buat pengumuman itu, takut Muhyiddin jumpa Agong bubar Parlimen.

“Jadi, kalau Muhyiddin letak jawatan, dah ada pengganti. Tak perlu dibubar,” kata Khalid dalam wawancara khas beliau dengan Jom Channel malam tadi.

RAMAI TAK SABAR MAHU ANWAR SEGERA JADI PM….

Shahbudin Husin
Susulan pemakluman Anwar Ibrahim pada minggu lalu bahawa beliau telah mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk mengambil alih kerajaan, keghairahan orangramai untuk melihat ia menjadi kenyataan turut meningkat.

Di mana-mana, apabila saja ada perbualan mengenai politik negara, soalan yang tidak terlepas daripada pertanyaan ialah bila Anwar akan mengangkat sumpah?

Lebih daripada itu, ramai kawan-kawan dan saudara mara juga turut bertanyalan soalan yang sama.

Makin hari berlalu, soalan yang sama terus ditanya dan kedengaran di mana-mana, meskipun rata-ratanya faham bahawa Agong belum dapat menerima Anwar untuk mengadap berikutan masalah kesihatan yang dihadapi baginda.

Ini memperlihatkan keghairahan rakyat Malaysia untuk melihat Anwar mengambil alih kerajaan amat tinggi, sama tinggi dengan bimbangnya penyokong Muhyiddin Yassin terhadap kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Realitinya, selagi Anwar belum dapat mengadap Agong, maka selagi itulah soalan “bila Anwar akan mengangkat sumpah?” terus tiada jawapan.

Anwar sudah memaklumkan sebelum ini bahawa jumlah bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya hanya akan dipersembahkan kepada Agong terlebih dahulu, selepas itu jika ada keperluan, barulah akan didedahkan kepada umum.

Maka, selagi Agong tidak sihat dan Anwar tidak dapat mengadap, tiada siapa tahu berapa jumlah Ahli Parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepada Presiden PKR itu mengambil alih kerajaan.

Juga tidak akan diketahui bila tarikh angkat sumpah akan dilangsungkan.

Sebelum ini, Anwar sudah pun mendapat tarikh untuk mengadap Agong iaitu pada 11 pagi Selasa, 22 September bagi mempersembahkan jumlah sokongan yang telah diperolehinya dan selepas itu suatu sidang akhbar akan diadakan.

Tetapi, berikutan keadaan kesihatan Agong yang tidak mengizinkan, majlis mengadap telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain yang belum ditentukan.

Untuk itu, Anwar telah mengadakan sidang media pada 23 September memaklumkan rancangannya untuk mengambil alih kerajaan itu dengan hakikat sokongan yang dimilikinya adalah kukuh dan meyakinkan.

Dalam hal ini, Anwar terpaksa mengadakan sidang akhbar, walaupun belum mengadap Agong kerana bimbang rancangannya itu bocor kepada pengetahuan umum terlebih dahulu.

Yang penting di sini, dengan Anwar telah memohon untuk mengadap Agong, malah malah disahkan oleh Istana Negara dan sudah diberikan tarikh dan masa untuk pertemuan, bermakna beliau tidak berbohong dan bukan main-main dengan jumlah sokongan yang telah diperolehinya serta usahanya untuk mengambil alih kerajaan.

Ia kemudian diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang tiada halangan jika Ahli-Ahli Parlimen BN mahu memberi sokongan, sambil beliau juga dimaklumkan bahawa sudah ramai daripada kalangan mereka itu telah pun menyokong Anwar.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Najib Razak juga agak berteka-teki mengenai perkara itu – tidak mengiya dan tidak pula menafikan.

Dengan sokongan yang dimiiliki Muhyiddin hanya antara satu atau dua undi saja di Dewan Rakyat, menjatuhkannya bukan masalah besar sebenarnya jika dilihat kepada semakin membesarnya perasaan tidak puas hati di pihak UMNO terhadap kepimpinan Perdana Menteri sejak kebelakangan ini.

Pokok pangkalnya, bertukar atau tidak kerajaan dalam waktu terdekat ini hanya boleh diketahui selepas Anwar dibenarkan mengadap Agong dalam waktu yang terdekat ini.

Setelah Anwar mengadap Agong dan mempersembahkan sokongan yang dimilikinya, selepas itu Agong tentu saja akan memanggil Muhyiddin pula untuk mengadap baginda.

Seterusnya, jika terbukti Anwar memiliki sokongan yang mencukupi, Muhyiddin ada dua pilihan – meletak jawatan dan menyerahkan kepada Anwar untuk mengambil alih kerajaan atau membubarkan Parlimen bagi diadakan pilihanraya.

Kuncinya di sini ialah sementara Anwar mungkin tidak sabar menunggu tarikh untuk mengadap Agong yang turut disertakan doa agar baginda segera sihat seperti sediakala, rakyat Malaysia secara umumnya pula turut tidak sabar untuk melihat bila majlis angkat sumpah Perdana Menteri baru akan dilangsungkan. (Shahbudindotcom 01/10/2020)

Annuar kisahkan kesilapan Umno di Sabah

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, mendedahkan Umno ditawarkan jawatan ketua menteri Sabah lebih awal oleh Bersatu namun parti itu melakukan beberapa kesilapan.

Menjelaskan keadaan berkenaan petang ini Annuar berkata kesilapan Umno ialah mereka tidak menerima pelawaan tersebut yang dibuat Bersatu sebelum hari penamaan calon.

“Silap Umno ialah tidak menyahut tawaran itu dan kita ada pendekatan kita sendiri," katanya.

Lebih memburukkan keadaan kata Annuar ada beberapa pendekatan dan strategi yang diambil sama ada Umno atau parti rakan mereka sama ada merugikan atau tidak mencapai sasaran.

Kata Annuar ia kemudan menimbulkan kerumitan apabila kerusi yang dimenangi BN jauh lebih sedikit berbanding apa yang dijangka.

"BN Sabah terlalu yakin memenangi 26 hingga 27 kerusi. Laporan pengundi putih pada awalnya begitu meyakinkan. 27 daripada 41 (kerusi jika dimenangi) melepasi sasaran stok putih," katanya.

Malangnya kata menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, pada hari pengundian tidak sampai separuh daripada pengundi BN yang dikenal pasti keluar.

Malah katanya peratusan yang keluar itu adalah paling rendah berbanding mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini.

"Menjelang jam 3 petang pada mengundi hanya 7 daripada 41 (kawasan) melepasi garis kritikal.

"Ertinya jentera (BN) masih lemah atau data tidak tepat dan salah cula," katanya.

Konfrontasi dalaman merugikan

PRN Sabah menyaksikan hubungan di antara Umno dan parti serpihannya - Bersatu - terus bergelora dan isu pelantikan ketua menteri semakin menampakkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Pengagihan jawatan dalam kabinet negeri itu juga menyaksikan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, diberikan portfolio berbeza daripada rancangan asal Ketua Menteri Hajiji Mohd Nor.

Ekoran itu beberapa pemimpin Umno dan Bersatu mengeluarkan pandangan yang menggambarkan hubungan mereka tidaklah erat walaupun bekerjasama menghadapi Warisan di Sabah.

Antara pemimpin yang mengisyaratkan hal itu ialah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Annuar berkata komen yang dilontarkan sesetengahnya dibuat berdasarkan fakta tidak tepat dan lebih kepada khabar angin.

Mengenai pertembungan di antara calon dari parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Annuar berkata pada pendapatnya ia bukan berpunca daripada Bersatu.

Malah, katanya, Umno dan Bersatu tidak pun bertembung di mana-mana kerusi.

"Ia bermula apabila PBS (Parti Bersatu Sabah) mahu banyak kerusi dengan lambang sendiri. Setelah masing-masing tak beralah, berlakulah 'free for all' dikebanyakan kerusi BBI (bumiputera bukan Islam)," katanya.

Annuar juga menyentuh pendekatan konfrontasi yang diambil dalam kalangan ahli Umno Sabah sehingga merugikan mereka sendiri.

Jika pendekatan penyatuan diambil, katanya, mungkin lebih banyak kerusi boleh dimenangi Umno.

"Begitu juga percubaan mendapatkan banyak kerusi untuk bertanding tak semestinya untung.

"Yang lebih penting ialah kerusi yang dimenangi, bukan yang ditandingi.

"BN bertanding 41, menang cuma 14. PN bertanding 27 tapi menang 17," katanya.

TERKINI : Anwar telah serah senarai nama MP kepada pihak Istana Negara, tunggu diterima menghadap Agong

Klatedaily.com
Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menghadap bagi mengemukakan hasrat membentuk kerajaan baharu.

Ketua Whip PKR, Dato’ Johari Abdul berkata, perkara itu diketahui Istana Negara seperti yang dijelaskan sebelum ini, namun hanya menunggu kesihatan Seri Paduka lebih stabil untuk menerima menghadap.

“Tunggu istana kata okey sahaja kita terus masuk,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam sebagi mengulas perkembangan terkini kerajaan baharu yang mahu dibentuk Anwar.

Perkara itu diumumkan seminggu lalu namun semua pemimpin PKR dilihat ‘mengunci mulut’ daripada mendedahkan butiran rancangan tersebut termasuk selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Johari mendakwa, Anwar telah menyerahkan senarai nama ahli parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu kepada pihak istana.

“Dia (Anwar) dah bagi kepada Agong, saya pun tidak tahu bila dia serahkan. Cuma memang senarai itu telah diberi kepada pihak istana,” katanya.

Ditanya tentang senarai nama ahli parlimen menyokong Anwar, Johari berkata, beliau tidak mempunyai maklumat kerana bukan individu terpenting bagi mengetahuinya.

“Saya tiada keutamaan dalam hal ini, hanya seorang sahaja yang tahu iaitu Anwar. Orang lain memang tidak tahu,” katanya.

Anwar sebelum ini mendakwa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Katanya, kerajaan baharu itu didakwa melibatkan gabungan ahli parlimen pelbagai parti termasuk UMNO, namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperoleh.

Keadaan menjadi lebih kecoh apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat seperti menyokong Anwar dengan menjelaskan beliau tidak menghalang mana-mana ahli parlimennya yang ingin mengikut haluan Presiden PKR.

Kenyataan Zahid itu bagaimanapun tidak senada dengan timbalan presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata, pendirian beliau dan ahli parlimen UMNO lain tetap iaitu menyokong Perikatan Nasional (PN) dan pentadbiran Muhyiddin.

Meninggal yang dicemburui: Abang Man meninggal ketika laung azan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kematian yang dicemburui. Itu yang berlaku ke atas Rosliman atau mesra dipanggil abang Man, apabila disahkan meninggal dunia ketika sedang melaungkan azan Subuh di Surau Ar-Rayyan pagi ini.

Dalam kejadian itu, Allahyarham dikatakan baru sahaja melaungkan dua rangkap dari kalimah Azan sebelum terhenti dan menimbulkan tanda tanya penghuni Apartmen Sri Ixora Seksyen 27, Shah Alam.

Menurut cerita yang dikongsikan Lembaga Zakat Selangor, arwah meninggal dunia ketika melaungkan azan pada kalimah Allahu Akbar dan Shahadah.

“Seluruh penghuni apartment berasa pelik kenapa azan subuh dari Surau Ar-Rayyan pagi ini cuma kedengaran dua rangkap dari kalimah yang mulia (Allahu Akbar dan Ashadu alla illaha illa Allah) dan kemudian terhenti.

“Kemudian bersambung di corong pembesar suara semacam cemas. Selang kemudian terdengar ajk (Ahli Jawatankuasa) lain membuat pengumuman menyeru ahli keluarga abang Man turun ke surau dengan kadar segera dan kelihatan ambulan tiba di kawasan surau.

“Setibanya di ruang solat surau, kelihatan sekujur tubuh kaku terbaring di ruang azan. Abang Man, telah kembali bertemu penciptanya dalam keadaan semua orang berimpikan iman,” katanya.

Salah seorang jemaah yang rapat dengan arwah sebak dan menceritakan baru semalam arwah bersungguh mahu menjayakan majlis kesyukuran rakan mereka, Ustaz Sahari yang baru sahaja keluar dari hospital.

“Dia yang nampak sangat gembira dengan menu yang dicadangkan. Dia yang menawarkan diri untuk menyediakan kopi O kaw. Rupanya dia Allah panggil dalam keadaaan sangat-sangat kami cemburu.

“Paling kami terkejut hari ini adalah hari ketiga arwah memberanikan diri dan juga sangat teruja untuk azan subuh walaupun beliau bukan bilal surau. Beliau merupakan AJK Pemeriksa Kira-kira surau,” luahnya lagi.

Covid-19: Kerajaan main-main

ZULHAZMI SHARIF
Sejak kebelakangan ini kes baru Covid19 dilaporkan makin meningkat. Pilihan Raya Negeri Sabah antara pemangkin peningkatan kes. Ekoran itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan arahan semua individu yang baru tiba dari Sabah akan dilakukan saringan dan ujian bermula 27 Sept 2020 – 10 Okt 2020, di semua Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa).

Seterusnya MKN mengarahkan mulai 27 September juga, individu yang tiba dari Sabah wajib menggunakan aplikasi MySejahtera, jalani saringan dan ujian COVID-19 serta perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Arahan tersebut memang dilihat baik bagi langkah pencegahan dan pengawalan tetapi nampaknya seakan-akan hanya main-main atau pilih kasih. Arahan mungkin hanya terpakai untuk orang awam sahaja bukan kepada pemimpin negara atau orang-orang tertentu.

Mengapa?

Pada 24 September 2020 Berita Harian melaporkan dengan merujuk tulisan Menteri Wilayah Persekutuan di laman facebook beliau bahawa Menteri tersebut mendapat arahan kuarantin daripada Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu.

Laporan tersebut seperti berikut :

“Saya sudah menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan COVID-19 dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, hari ini.

“Ini berikutan kontak dekat saya dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang kini disahkan positif. Saya dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu,”

Jika tempoh kuarantin wajib selama 14 hari seperti yang diumum oleh Menteri Kanan Keselamatan, Menteri Wilayah Persekutuan perlu dikuarantin sehingga Rabu 7 Oktober 2020 tidak kira samada keputusan ujian saringan Covid terhadap beliau positif atau negarif kerana beliau kontak rapat dengan individu positif.

Hari ini Kementerian Wilayah Persekutuan mengeluarkan nota kepada media memaklumkan bahawa Menteri Wilayah akan mengadakan sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan pada esok, 1 Oktober 2020 terkait dengan kedudukan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Adakah Menteri Wilayah Persekutuan melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan pada 24 September 2020 atau beliau dikecualikan?

Adakah peraturan dan arahan kerajaan hanya untuk orang awam tidak untuk orang politik?

Adakah ini satu lagi episod hud-hud yang pulang dari Turki?

Kerajaan main-main!!

GRS ibarat bom jangka, kata penganalisis

Durie Rainer Fong
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik meramalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan sukar mengekalkan kesatuannya selepas kemenangan pada pilihan raya Sabah minggu lalu.

Mereka melihat potensi pergaduhan dalaman, persaingan sesama sendiri, dan personaliti yang kuat dalam gabungan yang longgar itu seperti pemicu yang akan memecahkan GRS.

Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak menarik perhatian kepada perkembangan pada Selasa lepas, antara Ketua Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin, dan Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Nampaknya ini permulaan yang sukar bagi GRS…ini bukanlah langkah pertama yang bagus untuk sebuah kerajaan baharu,” katanya kepada FMT.

“Kalau mereka boleh bertahan selama kira-kira 6 bulan lagi, kita boleh anggap itu sebagai suatu kejayaan. Mari kita tengok apakah mereka boleh atasi perbezaan antara mereka dalam 6 bulan pertama ini.”

Hanya beberapa jam selepas mengangkat sumpah, Hajiji mengumumkan penukaran portfolio Bung (perumahan dan kerajaan tempatan) dengan portfolio Timbalan Ketua PPBM Sabah, Masidi Manjun (kerja raya).

Ditanya apakah ada perbincangan awal mengenai pembahagian jawatan Kabinet Sabah antara parti komponen, Hajiji mengesahkan tetapi pertukaran itu dibuat ekoran perkembangan terbaharu.

Sumber memaklumkan Bung tidak berpuas hati dengan jawatan yang diberikan kepada BN, yang membantu GRS menawan 38 kerusi pada PRN.

Mereka mendakwa Bung segera meninggalkan Istana Negeri selepas ketua menteri dan 3 timbalannya, termasuk beliau, mengangkat sumpah jawatan.

Bridget Welsh dari University of Nottingham (Malaysia) mengingatkan GRS sebuah gabungan baharu dan oleh itu parti-parti komponennya harus belajar bekerjasama.

“Ada personaliti yang kuat, serta gaya dan jangkaan yang berbeza. Majoriti cukup tapi tak kukuh kerana GRS akan goyah jika satu pihak meninggalkannya.

“Ketidakstabilan dalam politik persekutuan akan membayangi Sabah dan itu cabaran utamanya – iaitu pertalian antara ketaktentuan politik di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya kepada FMT.

Penganalisis sosio-politik, Awang Azman Awang Pawi, dari Universiti Malaya percaya perkembangan pada Selasa itu hanya sebahagian kecil daripadanya.

Beliau percaya perselisihan akan berpanjangan dan akan ternampak pada perebutan jawatan di peringkat negeri hingga ke akar umbi.

“Ini akan berlaku dalam pembahagian jawatan di pihak berkuasa tempatan dan daerah, malah apabila melibatkan pembahagian projek daripada yang besar-besar sehinggalah sekecil-kecil kerja seperti potong rumput dan baik pulih longkang.

“GRS akan lagi goyah dan rapuh apabila sampai masanya untuk membahagian kerusi Parlimen, memandangkan kita menuju pilihan raya umum,” katanya.

Daripada 38 kerusi yang dimenangi oleh GRS, 17 diperoleh PN, 14 oleh BN dan 7 oleh PBS.

Warisan Plus menang 29 kerusi sementara sekutunya PKR menang 2 dan Upko 1. Tiga kerusi lain milik calon Bebas.

Sampai bila Anwar hanya jadi bakal PM?

RAYUSA

TIGA hari sebelum Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan apabila mengadakan sidang media pengumuman beliau mempunyai majoriti ahli Parlimen untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Bukan lebih seorang dua, tetapi jumlah yang sukar dicabar lagi. Justeru, Anwar bersedia menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Muta’in Billah untuk mempersembah senarai majoriti itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadli Shamsuddin mengesahkan bahawa Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima Anwar menghadap baginda.

Walau bagaimanapun, pertemuan penting tersebut terpaksa ditangguhkan kerana Al-Sultan Abdullah masih berada di wad Institut Jantung Negara (IJN). Baginda dimasukkan ke IJN pada 21 September lalu akibat keracunan makanan, dan rawatan intervensi susulan penimejan MRI sehari kemudian. MRI tersebut menunjukkan kecederaan yang dialami baginda ketika bersukan.

Khamis lalu, Ahmad Fadli menyatakan Anwar perlu menunggu dalam masa seminggu untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Empat hari kemudian, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah telah selamat menjalani rawatan keracunan makanan, dan intervasi, serta dinasihatkan menjalani rawatan susulan di IJN. Baginda dijangka keluar dari IJN dalam masa terdekat.

Perjalanan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelihatan terhalang lagi. Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sementara selepas kejatuhan Kerajaan PH, hampir semua pihak merasakan beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelapan. Namun demikian, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengangkat sumpah jawatan tersebut.

Kejutan pengumuman Anwar tersebut ditambah oleh pengesahan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada ahli Parlimen parti pimpinannya turut menyokong Ketua Pembangkang itu.

Kegeringan Al-Sultan Abdullah ialah takdir Allah SWT, dan tidak dapat dielakkan.

Namun demikian, ada yang amat wajar diabaikan, iaitu kenyataan pakar Perlembagaan, Dr Shamrahayu Ab Aziz bahawa hanya Perdana Menteri yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan kepercayaan majoriti. Kenyataan Dr Shamrahayu itu mengundang reaksi ahli politik, dan peguam.

Peguam Lim Wei Jiet, menerusi akaun Twitternya menyifatkan kenyataan Shamrahayu tiada asas undang-undang. Jelasnya, dalam kes Mahkamah Persekutuan 2010 ketika Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, isu kehilangan majoriti boleh ditentukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Wei Jiet meminta Shamrahayu membaca kes Mahkamah Persekutuan Nizar v Zambry [2010] 2 MLJ 285 berhubung isu kehilangan majoriti boleh ditentukan oleh representasi Adun (Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat ialah ahli Parlimen).

Oleh yang demikian, tegas Wei Jiet, tiada halangan bagi Anwar bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Wei Jiet turut merujuk hal yang sama berlaku di Kedah pada Mei lalu ketika wakil Pas, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk menyatakan PH hilang majoriti.

Beliau bertanya mengapa ketika itu Shamrahayu tidak menegaskan hanya Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir boleh menghadap Sultan Aminul Karim. Ternyata Shamrahayu hanya mengampu dan menyokong kerajaan pintu belakang/tepuk atap.

Shamrahayu juga tidak cerdik, dan tidak logik apabila menyatakan jika Anwar memiliki akaun bersumpah ahli Parlimen sekalipun, itu tidak boleh dibawa kepada Al-Sultan Abdullah kerana jawatan Perdana Menteri belum dikosongkan.

Jelas Shamrahayu, Anwar patut memaklumkan perkara itu kepada Muhyiddin agar Perdana Menteri dapat menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan, atau menasihatkan pembubaran Parlimen.

Anwar dilihat hanya mempunyai AMANAH dan DAP sebagai rakan politik yang setia selepas kejatuhan PH di Putrajaya.

‘Menempah maut’

Mengapa pula ditunjukkan kepada Muhyiddin? Masakan Muhyiddin mahu meletakkan jawatan. Membubarkan Parlimen seperti ‘menempah maut’.

Mengenai pendapat Shamrahayu bahawa Anwar perlu menggunakan Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, Wei Jiet bertanya mengapa dia membisu sewaktu Langkah Sheraton.

Soal Langkah Sheraton itu turut disentuh oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. Beliau membidas kenyataan Shamrahayu, dan bertanya mengapa Shamrahayu membisu sahaja ketika tindakan yang didalangi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Petaling Jaya itu.

Pada 23 Februari lalu, negara menyaksikan kemelut politik seminggu selepas wujudnya Langkah Sheraton sehingga menyaksikan kejatuhan PH, dan peletakan jawatan Dr Mahathir.

Yang di-Pertuan Agong kemudian mengadakan pertemuan dengan 222 ahli Parlimen dua hari kemudian bagi melihat calon Perdana Menteri mana yang mendapat sokongan majoriti.

Enam hari kemudian, Muhyiddin pula menghadap Agong, ketika Dr Mahathir masih menggalas jawatan Perdana Menteri sementara bagi menyatakan jumlah sokongan majoriti yang diperolehnya.

Timbalan Presiden Pas, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan tiada ahli Parlimen Pas menyokong Anwar. Beliau dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah tidak mempercayai pengakuan Anwar itu, dan mahu melihat senarai sokongan tersebut.

Mereka tidak berhak. Melihatnya atau tidak, mereka tiada kuasa apa pun. Hanya Yang di-Pertuan Agong yang wajar melihatnya, dan membuat keputusan.

Usaha Anwar mendapatkan sokongan membentuk kerajaan memang disokong penuh oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan sokongan masing-masing.

Walau bagaimanapun, kelmarin perjalanan Anwar ke kerusi Perdana Menteri kembali samar-samar apabila AMANAH, dan DAP, rakan komponen utama PH dikatakan menolak kerjasama Ahli Parlimen Port Dickson itu dengan ahli Parlimen Umno.

Walaupun ada benarnya sanggahan itu kerana ahli Umno ialah musuh utama politik, tetapi dari mana lagi Anwar akan beroleh sokongan? Memang tidak wajar bersekongkol dengan pihak musuh untuk membentuk kerajaan, meskipun ada ahli Umno yang baik.

Namun begitu, pendirian telah ditegaskan, iaitu tidak akan berkompromi dengan Umno, dan ahlinya. Jika baik, mengapa mereka masih dalam Umno?

Ada yang melihat sokongan Umno kepada Anwar semakin jelas kerana ketidakpuasan hati dalam isu pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Mereka tentu mengharapkan keuntungan jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Oleh kerana berjasa, mereka pasti mahukan pembalasan daripada Anwar. Inilah yang tidak digemari AMANAH, dan DAP.

Kedengaran juga sebelum ini bahawa AMANAH dan DAP tidak menyokong Anwar, sebaliknya Mahathir sebagai Perdana Menteri. Setelah pendirian itu diubah, timbul pula isu sokongan ahli Parlimen Umno terhadap Anwar.

Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 September yang dipengerusi oleh Anwar, bersetuju dengan usaha membentuk kerajaan baharu. Tegas majlis tersebut, usaha mengembalikan mandat rakyat itu memerlukan iltizam, dan komitmen menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah, dan memperbaik institusi, termasuk badan kehakiman.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli, dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Walau bagaimanapun, tidak jelas adakah sokongan itu jika tiada ahli Parlimen Umno. Jadi, selain menunggu hari Anwar dapat menghadap Yang di-Pertuan Agong, kita juga menanti penjelasan lanjut Majlis Presiden PH. Adakah Anwar memang ditakdirkan tidak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia atau sebaliknya?

Bung mohon maaf kepada Zahid, gagal jadi ketua menteri Sabah

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin memohon maaf kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana gagal meneruskan hasrat parti itu yang mahu beliau dilantik sebagai ketua menteri Sabah yang baharu.

Bung berkata, tidak dinafikan jawatan ketua menteri memang menjadi harapan Umno negeri, namun menyedari dengan hanya memperoleh 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan parti itu sukar menuntut jawatan berkenaan.

“Sesungguhnya PRN kali ini amat luar biasa daripada kelazimannya. Setiap DUN mempunyai begitu banyak parti dan calon bebas yang bertanding dengan menggunakan pelbagai logo serta mendapat sokongan pihak tertentu.

“Saya akan lakukan ‘post mortem’ untuk mencari sebab-musabab dan punca beberapa kerusi ditandingi BN mengalami kekalahan. Kami juga akan membuat penambahbaikan demi memastikan BN dapat merampas semula kerusi tersebut pada PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap pihak tertentu yang masih bersandiwara dengan menyalahkan pemimpin tertentu dalam hal dan urusan Sabah supaya menghentikannya.

Baginya, adalah lebih baik berlaku adil dan jangan merugikan Umno demi agenda peribadi.

“Kita jernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi kedukaan kita dengan keputusan PRN baru-baru ini. Duka dan pedihnya, Umno Sabah yang rasainya, kita undur selangkah ke belakang bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Bung bersama Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PBS Joachim Gunsalam dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah.

Ia selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Mohd Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

GLC Terengganu: Pas menang, orang luar senang?

ARIF ATAN
Naib Pengerusi AMANAH Terengganu, Hasbie Muda membidas kerajaan negeri apabila terus membisu berhubung pelantikan ‘orang luar’ dalam sejumlah syarikat milik kerajaan negeri (GLC).

Menurutnya, pelantikan beberapa orang luar Terengganu di GLC dan agensi kerajaan negeri Terengganu semakin heboh diperkatakan.

“Menteri Besar terus membisu. Exco juga membisu.

“Nama Raja Idris Raja Kamaruddin adik blogger Raja Petra Kamaruddin sehingga kini terus diperkatakan dan ianya masih belum dijawab oleh kerajaan. Jaga berbelas GLC.

“Apa tiadakah anak negeri yang layak?” soal Penyelaras Pakatan Harapan (PH) DUN Paka itu.

Untuk rekod, Idris juga merupakan salah seorang penasihat bagi isu-isu korporat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kini.

Hasbie turut menyifatkan pelantikan orang luar bagi sejumlah GLC di negeri itu sebagai bercanggah dengan prinsip ketiga Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 berkenaan kekayaan untuk rakyat.

“Ingatkan untuk rakyat Terengganu. Rupa-rupanya rakyat luar,” tempelak Hasbie yang juga bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada mantan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu lagi.

Bulan lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan penting dalam GLC Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu mendedahkan terdapat individu yang tidak mempunyai rekod baik di Kelantan dan pernah dipecat dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

Menurutnya, individu terbabit mendapat gaji RM800,000 setahun iaitu kira-kira RM67,000 sebulan dengan dilantik menjadi pengerusi di sebuah syarikat, 11 pengarah dan turut menjadi penasihat.

Beliau juga mendedahkan seorang warganegara England merujuk kepada Idris pula dilantik menjadi pengerusi di enam buah syarikat dan pengarah di enam buah syarikat dengan gaji keseluruhan RM650,000 setahun.

Ahmad berkata, ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini, paling banyak seorang individu dilantik memegang tiga jawatan dalam GLC.

Walau bagaimanapun, seorang pemimpin Pas yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada 13 Ogos lalu mempertahankan kemampuan Idris menerajui banyak jawatan penting dalam GLC negeri itu.

Menurutnya, Idris melepaskan gaji bernilai jutaan setahun untuk kembali ke Terengganu bertugas membantu Abdul Hadi yang menjadi Menteri Besar bagi memulihkan TDM Berhad pada 1999 dengan gaji yang jauh lebih kecil berbanding sebelumnya kerana akur dengan arahan Abdul Hadi.

Masa semakin suntuk untuk PH bangkit dari kelesuan

MOHD ARIF JUHANI

Pusinglah dengan 1001 alasan apa sekalipun, hakikatnya Warisan Plus telah tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang berlangsung pada 26 September lalu.

Sesetengah pihak cuba menyedapkan hati dengan menyenaraikan bilangan kerusi yang diperoleh Warisan Plus yang mana lebih tinggi berbanding musuh politiknya seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Tiada guna juga sesetengah pihak berkongsi angka statistik undi popular yang menunjukkan Warisan Plus lebih tinggi berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Semuanya telah ditakdirkan bahawa Warisan Plus tewas dalam usaha menyekat rampasan kuasa di peringkat negeri daripada berlaku di Sabah.

Memang banyak alasan boleh dikemukakan punca kekalahan. Paling tidak, ada yang menggunakan dalih bahawa peratusan turun mengundi yang rendah kerana pengundi luar tidak pulang ke kampung untuk mengundi.

Ada yang menjadikan peningkatan penularan pandemik Covid-19 juga sebagai alasan. Semuanya memang masuk akal tetapi dalam politik, penentu pada akhirnya adalah berapa majoriti yang diperoleh.

Kini, sukar dinafikan bahawa apa yang dihadapi Warisan Plus di Sabah kini mula mengundang kebimbangan dalam kalangan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum PRN berlangsung, dalam kalangan PH menganggap Sabah adalah penentu penting kepada kelangsungan nyawa politik mereka di Semenanjung.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim antara yang menyebut bahawa hasil keputusan PRN itu nanti akan membawa simbolik kehendak rakyat sama ada cenderung kepada PN atau PH sebagai kerajaan.

Beliau menambah bahawa keputusan PRN itu juga akan menjadi penentu kepada pembubaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Bahasa mudahnya, jika Warisan Plus menang, maka pembubaran Parlimen tidak akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Hal ini turut diakui oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika berada di Sabah. Katanya, “PRN Sabah ini adalah penentu masa depan di Sabah. Di peringkat nasional kita belum putuskan bila hendak mengadakan PRU. Kalau di Sabah kita sudah menang, kita cepat-cepatlah mengadakan PRU di peringkat pusat.”

Walaupun jika ditinjau kebanyakan pendapat, tidak banyak yang optimis Parlimen akan dibubarkan segera selepas GRS menang.

Benar, PN sekarang berada dalam situasi yang selesa. Tambahan pula Pengerusi PN Sabah, Hajiji Noor dari Bersatu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16, tetapi apa yang diperoleh itu tidak memberikan keyakinan kepada Muhyiddin membubarkan Parlimen.

Benar juga bahawa PN dan BN dalam situasi tegang berdasarkan beberapa laporan media yang menunjukkan pendirian tidak sebulu antara kalangan pemimpin blok parti pemerintah itu.

Tetapi seperti disaksikan oleh banyak pihak, mereka masih mampu membentuk kerajaan negeri di Sabah walaupun bermula tempang dengan insiden pertindihan kerusi dan kenyataan tidak sepakat tentang siapa calon Ketua Menteri Sabah.

Situasi ini jauh berbeza dengan Warisan Plus yang teguh di belakang kepimpinan Shafie Apdal. Pertarungan di media sosial juga menunjukkan Warisan Plus jauh ke hadapan berbanding lawan politiknya.

Justeru, walaupun seteru politik PH itu berada dalam suasana pergolakan dalaman tetapi apa yang pasti kedudukan mereka masih kukuh dan mendapat kepercayaan pengundi untuk membentuk kerajaan negeri.

Soalan yang perlu ditanya kepada PH pula, apakah harapan masih ada untuk PH kembali merampas mandat yang telah dicuri pada Februari lalu?

Masih segar untuk diingatkan apa yang telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tatkala kempen PRN masih berlangsung.

Tidak semena-mena beliau membangkitkan soal Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri jika Anwar Ibrahim gagal memperoleh sokongan ahli Parlimen yang lain untuk merampas semula mandat rakyat.

Sukar dipastikan di mana letaknya keperluan hal demikian dibangkitkan. Boleh jadi itu adalah bahan kempen dengan harapan pengundi di Sabah akan terpukau dan tertarik lalu diterjemahkan dalam bentuk undi kepada Warisan Plus.

Jika berlaku sebaliknya iaitu Warisan Plus berjaya mengekalkan mandat yang lebih besar dan kukuh di Sabah, maka bersemangatlah harapan para pimpinan PH pula untuk membawa momentum tersebut ke Semenanjung dalam misi untuk merampas mandat yang dicuri.

Malangnya, Warisan Plus tetap tewas manakala hubungan sesama komponen Pakatan Harapan pula kekal dingin dan tidak menentu hala tujunya.

Tidak lama selepas tewas, Tun Mahathir Mohamad pula masih kembali menegaskan pencalonan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri. Dalam suasana dingin kini, kenyataan ini tidak ubah seperti mencurah garam ke atas luka.

Maka dalam situasi sekarang, mengaku sahajalah bahawa PH semakin lesu mencari formula terbaik walaupun Anwar Ibrahim mendakwa dalam satu sidang media (juga semasa kempen PRN Sabah berlangsung) bahawa beliau telah memperoleh sokongan besar bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Walaupun AMANAH dan DAP menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri tetapi boleh diperhatikan bahawa kenyataan Anwar tidak menimbulkan keterujaan. Besar kemungkinan mereka bimbang kegagalan 16 September 2008 akan berulang.

Mesyuarat Bulanan Majlis Presiden PH yang berlangsung pada 28 September lalu juga tidak menunjukkan sebarang hasil keputusan yang meyakinkan rakyat, malah kebanyakan pimpinan enggan memberi sebarang ulasan ketika disoal media.

Rakyat sedang memperhatikan kelesuan dan ketidaktentuan hala tuju PH ketika ini. Tatkala PN dan BN masih bergembira mengagihkan hasil ghanimah sesama sendiri, mengukuhkan jentera dan sokongan akar umbi.

PH perlu segera mengambil keputusan dan tindakan. AMANAH yang menganggap dirinya sebagai jurudamai dalam PH perlu segera berperanan menguruskan krisis ketidakpercayaan antara Anwar dan Mahathir.

Sama ada kembali ke meja muafakat dan mengembalikan semangat para petugas PH atau terus bernostalgia tentang kerajaan 22 bulan dahulu, masa sudah semakin suntuk kepada PH menghadapi PRU15.

Bersediakah Umno untuk dikuburkan oleh Bersatu?

BERSATU SEDANG DIBINA UNTUK GANTI UMNO?
Shahbudin Husin

Antara parti yang menyebabkan UMNO kalah dalam PRU14 lalu adalah Bersatu.

Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu dan Tun Mahathir Mohamad, Pengerusi Bersatu telah membawa parti itu bergabung dengan PH bagi tujuan menumbangkan UMNO dan BN.

Setelah UMNO hilang kuasa, parti itu diajak kembali bersama dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan baru, Perikatan Nasional setelah PH dijatuhkan sendiri oleh Tun Mahathir yang tujuan sebenarnya ialah kerana tidak mahu melakukan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Dalam kerajaan PN sekarang, walaupun UMNO tidak menyertai gabungan itu, tetapi Bersatu tetap dengan niat dan nawaitu asal iaitu mahu menguburkan UMNO.

Kalau dulu, Bersatu menumbangkan UMNO melalui pilihanraya, kini mereka cuba melakukannya melalui kawalan permainan kuasa yang berpusat dalam tangan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Bagi Bersatu, hanya dengan menguburkan UMNO saja satu-satu cara untuk memastikan masa depannya terus ada dalam politik negara ini dan mustahil, setelah menjatuhkannya, Bersatu mahu menolong UMNO hidup semula.

Meski tahu UMNO tidak menyertai PN, Muhyiddin tetap meneruskan usaha mendaftarkan gabungan itu sebagai pertubuhan yang sah.

Apa ia sudah sah, langkah pertama Bersatu ialah memujuk dan meyakinkan Pas untuk menyertai PN dan dalam masa yang sama, Bersatu juga berjaya memujuk serta meyakinkan Pas serta sebahagian pimpinan UMNO untuk menerima kemasukan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional atau MN.

Dari segi ini, Bersatu jelas mempunyai kelebihan kerana mengetuai PN dan di masa yang sama berada pula dalam MN, manakala UMNO hanya berada dalam MN saja dan tidak dalam PN.

Dari segi percaturan politik, jika berlaku pertembungan, Bersatu bukan saja lebih untung kerana berada di dalam PN dan MN, bahkan dapat menjadikan Pas yang juga berada dalam PN dan MN, lebih memihak kepadanya.

Bukan rahsia lagi bahawa kecondongan Pas sekarang ini lebih kepada Bersatu berbanding UMNO.

Bukti pertama ialah dalam PRN Sabah baru-baru ini di mana tuntutan kerusi dan jawatan Ketua Menteri telah berjaya disapu oleh Bersatu, meskipun parti itu menang kerusi yang kurang sedikit daripada UMNO.

Sama seperti di pusat di mana Bersatu yang mengalahkan UMNO tetapi kemudian UMNO mengangkat kembali pemimpin Bersatu sebagai Perdana Menteri, di Sabah juga begitu keadaannya.

Hajiji Noor yang sekarang menjadi Ketua Menteri adalah bekas pemimpin UMNO yang meninggalkan parti itu secara berjemaah sebaik BN kalah PRU14 sehingga ketika itu hanya Bung Mokhtar saja satu-satunya pemimpin UMNO yang bergelar wakil rakyat yang masih setia kepada UMNO.

Lantaran kesetiaannya, Bung Mokhtar kemudiannya dijadikan Pengerusi UMNO dan BN Sabah, jawatan yang sebelum itu disandang oleh Hajiji.

Hari ini, selepas PRN Sabah, melalui permainan kuasa yang terkumpul di tangan Muhyiddin, beliau telah bahaya menjadikan Hajiji sebagai Ketua Menteri, mengenepikan Bung Mokhtar yang sejak awal dinamakan oleh UMNO sebagai calon Ketua Menterinya.

Di sini, selain kejayaan Muhyiddin meletakkan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang menjadi perkiraan, yang tidak kurang pentingnya ialah UMNO berjaya dipermainman sekali lagi oleh Bersatu.

Dulu UMNO berharap dengan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, kes mahkamah beberapa pemimpinnya mungkin akan diberi pertimbangan, tetapi nampaknya jalan-jalan menuju ke penjara lebih terbuka buat mereka.

Dulu juga, sewaktu UMNO hanya bermuafakat dengan Pas, harapan UMNO untuk merebut kembali jawatan Perdana Menteri nampak begitu bercahaya, namun kini suluhannya lebih untuk mengekalkan Muhyiddin lagi.

Yang nyata PRN Sabah adalah permulaan kepada cara Bersatu menekan UMNO di mana selepas ini, dalam pembahagian kerusi peringkat Parlimen, pendekatan yang sama akan diaplikasikan.

Tekanan Bersatu kepada UMNO itu pasti akan lebih mudah jika sekiranya dalam PRU15 nanti, sama seperti Najib, Zahid Hamidi juga tidak boleh bertanding lagi kerana hukuman bersalah oleh mahkamah telah dijatuhkan terhadapnya.

Dengan Najib dan Zahid Hamidi tidak boleh lagi bertanding, pemimpin UMNO lain tiada pilihan selain berlembut dalam soal kerusi serta akur untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Jika selepas dua penggal pemimpin UMNO tidak duduk di kerusi Perdana Menteri, parti itu akan menjadi semakin tidak relevan di mata umum dan tidak mustahil selepas itu UMNO dicadang untuk dibubar dan seterusnya bergabung dengan Bersatu.

Dalam Bersatu sekarang ini suara ke arah pembubaran UMNO itu tetap kuat kedengaran sebagai satu-satunya cara ke arah penyatuan Melayu.

Beberapa pemimpin Bersatu berkata, oleh kerana UMNO dipenuhi pemimpin yang rasuah dan kotor moralnya, orang Melayu tidak boleh lagi disatukan melalui wadah itu.

Bersatu juga mula menunjukkan keangkuhan bahawa parti itu lebih diterima berbanding UMNO berikutan keputusan PRN Sabah dan kejayaan meletakkan Hajiji sebagai Ketua Menteri, khususnya dengan dakwaan trus defisit dan sebagainya.

Melalui Bersatu dan bukan lagi dengan nama UMNO, Pas juga dikatakan lebih sedia untuk menjalin hubungan dengan gabungan dua parti itu sehingga ke hari kiamat.

Soalnya, apakah UMNO hanya mahu berdiam diri saja melihat laluan-laluan ke pusara yang sedang dibina oleh Bersatu dan Muhyiddin untuk menguburkan parti itu?

Lagi lambat untuk bertindak, lagi tertutup rapat ruang untuk menyelamatkan UMNO.(Shahbudindotcom 30/09/2020)

Walaupun dalam “kapal” sama, Armada dakwa Najib “penyamun”

SITI NUR ZAWANI MISCON

Walaupun sudah bergabung membentuk kerajaan dan berada dalam kapal yang sama, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lantang menyerang pimpinan tertinggi Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Najib digelar ‘penyamun’, istilah yang selalu digunakan oleh Tun Dr Mahathir ketika menyerang Najib, selepas tindakan Najib yang cuba mencampuri perbalahan antara pemuda Umno dan Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada).

Menerusi hantaran Facebook rasmi Armada PPBM, sayap pemuda Bersatu itu menggelar Najib “penyamun” susulan kenyataan Najib yang mengingatkan agar parti komponen dalam Perikatan Nasional tidak melampau.

“Jangan melampau, rakyat memerhati,” tulis Najib.

Kenyataan itu ditulis sebagai respon kepada hantaran Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada semalam yang melenting dengan kenyataan Ketua Armada dan mendakwa BN telah banyak mengalah kepada Bersatu.

Asyraf turut menyenaraikan tiga situasi yang membuktikan Umno-BN mengalah kepada Bersatu selepas menganggap Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengeluarkan kenyataan “melampau”.

Kerajaan GRS ‘goyah’?

Willie Jude

Bung Moktar Radin dan Masidi Manjun bertukar portfolio selepas kedua-duanya dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan menteri kerja raya.
KOTA KINABALU: Walaupun ketua menteri Hajiji Noor mengumumkan pertukaran portfolio kementerian antara 2 timbalannya, kerajaan yang baharu ditubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat masih “goyah”.

Pagi tadi, Bung Moktar Radin yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan manakala Masidi Manjun yang juga timbalan ketua PPBM Sabah dilantik timbalan ketua menteri, memegang portfolio menteri kerja raya.

Pelantikan itu difahamkan mencetuskan rasa tidak puas hati BN khususnya Bung, malah Adun Lamag itu dipercayai mahu membuat sidang media berhubung perkara itu di kediamannya.

Beberapa ahli Umno yang berkumpul di kediaman Bung turut meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggap tindakan Hajiji sebagai tidak menghiraukan semangat setia kawan dalam GRS.

Bagaimanapun, sidang media itu tertangguh selepas Bung pergi ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) untuk bertemu dan berunding dengan Hajiji seterusnya membawa kepada pengumuman pertukaran portfolio antara Bung dan Masidi.

Dalam sidang medianya selepas itu, Bung berkata perkara itu bukan 1 isu sebaliknya hanya masalah komunikasi.

Namun, reaksi Masidi berhubung pertukaran itu berbeza dengan Bung dan dilihat seolah-olah beliau terpaksa melepaskan jawatan menteri kerja raya kepada Bung.

“(What a day) Hari yang panjang, kurang dari 3 jam selepas dilantik sebagai menteri kerja raya, sekarang saya menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Saya bertukar kerja dengan Bung. Tolong jangan tanya saya apa sebabnya. Saya akan bagitahu selepas saya bersara,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Kenyataan Masidi itu menjadi tular di media sosial dengan pelbagai spekulasi timbul.

Bagaimanapun, kira-kira sejam selepas itu, Masidi sekali lagi membuat ciapan di Twitter, namun kali ini nampak lebih positif dan bersedia untuk menerima tugasan baharunya.

“Terima kasih atas kata-kata baik anda semua dan mesej ucapan tahniah. Saya telah teruskan langkah, saya bercita-cita untuk berjaya dalam apa pun tugas yang diberikan kepada saya. Saya selalu menganggap tugasan itu lebih penting daripada saya. Kecemerlangan adalah milik mereka yang menginginkannya,” katanya.

Kerajaan GRS terdiri daripada PN memenangi 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, BN (14) dan PBS (7).

Tak pelik kalau Bung 'telan Hajiji hidup-hidup' - A Kadir Jasin

N Faisal Ghazali

Pertukaran porfolio dalam kerajaan Sabah hanya sejurus selepas majlis mengangkat sumpah tadi memperlihatkan betapa 'rapuhnya' kerajaan negeri itu, kata wartawan veteran A Kadir Jasin.

Membandingkan dua nama utama dalam parti kerajaan - Bung Moktar Radin dan Hajiji Mohd Noor - A Kadir berpendapat tidak wujud keseimbangan dalam kerajaan berkenaan.

Justeru katanya tidak pelik kalau Bung Moktar yang juga pengerusi Umno Sabah itu 'menelan hidup-hidup' Hajiji.

"Kalau kita bandingkan watak Bung Moktar dengan Hajiji, rasanya tidak pelik kalau Bung Moktar telan Hajiji hidup-hidup," katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.

Ia dibuat selepas salah seorang menteri Sabah yang juga anggota Bersatu menciap di Twitter mengenai pertukaran portfolio membabitkan dirinya dengan Bung Moktar.

Dalam ciapannya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah itu membayangkan wujud sesuatu di sebalik pertukaran portfolio tersebut hanya kira-kira tiga jam selepas Hajiji dan barisan menterinya mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

Namun Masidi kelihatan merahsiakannya dan menegaskan kisah sebenar hanya akan dieritahu apabila dia bersara kelak.

Warisan Plus ada peluang

Kata A Kadir orang ramai tidak perlukan masa yang lama untuk mengetahui apa yang berlaku kerana ada "bayu dari Gunung Kinabalu" memberitahu Bung Moktar naik angin dan menuduh Hajiji memungkiri janji.

"Faham sajalah. Bung ini kepala pilihan raya Umno Sabah. Walaupun prestasi Umno tidak menyerlah malah bertambah pudar namun dia tetap 'bossku' Umno Sabah dan cukup intim dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Secara kebetulan kedua-dua mereka orang kena tuduh (didakwa di mahkamah)," katanya.

A Kadir yang sebelum ini menjadi seorang daripada anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata apa yang berlaku di Sabah menunjukkan Hajiji hanya boleh terselamat selagi ada perlindungan dari Putrajaya.

"Itu pun selagi (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) masih berkuasa.

"Jadi jangan hairanlah kalau Putrajaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Sabah. Lebih kurang macam zaman Umno juga.

Pada masa sama A Kadir berpendapat Warisan - yang diketuai Mohd Shafie Apdal - dan rakan mereka mempunyai peluang di negeri berkenaan.

"Ini memberi peluang keemasan kepada Shafie Apdal dan Warisan Plus untuk memainkan peranan sebagai pelindung Sabah daripada hegemoni Putrajaya dan PN," katanya.

Zahid Hamidi diberikan 7 hari untuk keluarkan Umno dari kerajaan PN

BORHAN AHMAD
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan tujuh hari oleh kumpulan Datuk Seri Najib Razak agak memulakan tindakan terhadap Bersatu selepas beberapa kali Umno diperlekehkan oleh parti itu.

Jika beliau gagal membebaskan Umno dari Perikatan Nasional, kempen untuk mengenepikan beliau dari Presiden Umno akan digerakkan di kalangan ahli Umno.

Sehubungan itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang kini orang kanan Najib, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, pihaknya memberikan Zahid tujuh hari untuk melaksanakan perkara ini.

“Tujuh hari dari sekarang, MP-MP Barisan Nasional kena ambil keputusan. Jangan tunggu lama-lama.

“Hari itu strateginya, kita mahu menyokong Anwar Ibrahim. Tuanku tak mahu menerima Anwar kerana baginda berada di IJN. Kita tak boleh buat apa, Tuanku tak sihat, kita kena tunggu Tuanku.

“Tetapi ahli Parlimen BN ada jalan keluar. Dalam bulan Oktober ini, akan ada sidang parlimen. Inilah masa sesuai kita kena pastikan, jangan kita sokong Belanjawan yang akan dibentang oleh Muhyiddin Yassin.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita umumkan supaya kita keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini kerana hari ini jelas kerajaan Muhyiddin membuli Umno,” kata Lokman melalui fb live beliau.

Menurut bekas Pengarah Kemunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya itu, tindakan tidak melantik Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai ketua menteri padahal Umno mempunyai kerusi paling banyak di Sabah adalah satu penghinaan kepada Umno.

Pagi tadi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun Bersatu hanya mendapat 11 kerusi berbanding dengan Umno yang mendapat 14 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah.

Sebelum penamaan calon, kata Lokman, Umno telah dibuli dengan diberikan sebahagian sahaja kerusi manakala sebahagian lagi diambil oleh Bersatu dan Perikatan Nasional.

Bagi beliau, BN tidak dapat menang lebih besar kerana keyakinan rakyat Sabah tidak ada kepada BN kerana tidak bertanding semua kerusi.

“Parti kecil membuli parti besar. Sampai bila kita hendak membiarkan kita dibuli oleh budak-budak ni. Cukuplah cukuplah.

“Itu sebabnya kalau Zahid berani membuat pendirian ini, kita wajar menyokongnya.

“Cukuplah kita menjadi lembu dicucuk hidung, cukuplah kita dijadikan balaci kepada PPBM. Cukup cukup cukup. Enough is enough,” kata Lokman lagi.

Bagi beliau, tidak akan ada ahli Umno yang sanggup membiarkan Umno terus diperbodohkan oleh Muyiddin Yassin.

“Saya tidak fikir ahli Umno mahu bernaung di bawah sebuah parti yang telornya dipegang oleh Muhyiddin,” kata Lokman lagi.

Kitingan letak jawatan timbalan menteri


Timbalan ketua menteri Sabah yang baru dilantik, Jeffrey Gapari Kitingan telah meletakkan jawatannya sebagai timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya di dalam kerajaan persekutuan.

Menurut akhbar Sin Chew Daily, Kitingan telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat pengunduran dirinya, hari ini.

Kitingan, 72, dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah, di Kota Kinabalu pagi ini.

Dia adalah salah satu daripada tiga timbalan ketua menteri, yang dilantik, hari ini. Selain dirinya, turut dilantik sebagai timbalan kepada ketua menteri Sabah, Hajiji Noor adalah Bung Moktar Radin dan Joachim Gunsalam.

Kitingan adalah presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan anggota Parlimen tunggal parti itu yang mewakili parlimen Keningau.

Pada pilihan raya negeri Sabah, Ahad lalu, dia berjaya mengekalkan kerusi Tambunan dengan majoriti yang lebih besar.

Akar umbi Umno menyifatkan Bersatu dan Pas sebagai pengkhianat, penipu dan tukang fitnah?

Surat terbuka akar umbi kepada presiden, MKT Umno
Tandiko Dalusin

Salam sejahtera kepada presiden dan MKT Umno Malaysia.

Saya mewakili diri dan ini pendirian saya sebagai ahli Umno.

Kepada Datuk Seri presiden dan MKT yang bijaksana,

Suara keluhan, risau, gelisah dan pelbagai macam yang dilontarkan oleh ahli akar umbi apakah tidak sampai ke atas?

Bermacam sudah persoalan, teguran, nasihat, ucapan, tulisan yang kami berikan kepada pemimpin parti tetapi langsung seperti tiada kesan.

Kami sayangkan parti keramat. Kami di bawah melihat dari posisi berbeza dengan orang atasan.

Jika pemimpin atasan ada pandangan tersendiri hal terkait dengan keadaan parti sekarang, kami di bawah juga melihat keadaan itu. Mungkin presiden dan MKT melihat dari sudut berbeza dengan kami di bawah yang tidak punya apa-apa kuasa dan kedudukan.

Jauh sekali kami bukan ada kepentingan dalam jawatan kerajaan yang ada.

Namun saya menulis ini demi menyelamatkan parti Umno dari terus dibuli, ditekan, didera tanpa orang atasan berbuat sesuatu yang saya lihat dari hari ke sehari semakin bercelaru.

Dato Seri presiden dan MKT,

Apa lagi langkah yang perlu ahli lakukan untuk kuatkan parti? Seruan presiden telah kami ikuti. Bersatu kuatkan parti dalam intipati ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2018 saya ikuti dari mula hingga akhir.

Apa juga nasihat dan saranan presiden demi kalikan kekuatan parti, kami ahli akar umbi taat dan bekerja untuk parti.

Boleh ke untuk sekian kalinya, suara akar umbi diambil perhatian oleh tuan presiden dan MKT dalam memandu perjalanan parti?

Mungkin kami hanya pengikut dan orang bawahan yang lemah, lembab, kurang mahir sepak terajang politik dan kurang ilmu, tetapi kami juga berhak mengeluarkan pendapat, nasihat, teguran dan kritikan demi mengembalikan parti ke landasan yang pernah parti duduki dahulu.

Dato presiden dan MKT,

Di bawah ini saya ingin bertanya dari hati. Moga pertanyaan ini sampai dan dapat respon daripresiden dan MKT.

  • Apakah nasib Muafakat Nasional sebenarnya bila PAS bersama PN sebuah lagi gabungan parti lain. Saya tidak mahu pertikaikan PAS hendak ke mana kerana itu hal mereka. Tetapi apa hala tuju MN selepas ini?
  • Umno merupakan parti dalam MN bersama PAS. Bagaimana dan apa formula Umno hendak membahagikan kerusi bersama Umno untuk PRU15? Sedangkan dalam masa sama PAS bersama PN juga pasti merundingkan kerusi untuk mereka.
  • Presiden dan MKT perlu segera muktamatkan apa kesudahan gabungan MN agar ahli akar umbi boleh faham dan menerima apa juga keputusan. Sama ada gabungan ini terus diperkukuhkan atau sebaliknya.
  • Kemarahan, gelisah dan risau nya ahli akar umbi kepada tindakan PAS bersama PN bersebab. Akar umbi tidak mahu Umno terus dibuli dan didera menjadi kuda tunggangan sesiapa untuk mencari benefit politik parti semata.
  • Umno sudah lama berlembut dan mengalah kepada Bersatu. Tapi nampaknya Bersatu tidak jujur dan makin terlihat kelakuan mereka membuli Umno. Mereka mulai kuatkan parti mereka dengan menjadikan Umno sebagai batu loncatan untuk mereka menguasai arena politik dan kerajaan. Apakah presiden dan MKT tidak melihat perkara ini?
  • Prestasi Umno BN di PRN Sabah merosot kerana pemimpin bertolak ansur memberikan kerusi tradisi kepada PN (Bersatu). Kini siapa yang susah dan siapa yang dah mulai bongkak? Bersatu sudah mulai pandai mengugut dan meminta jawatanketua menteri Sabah padahal Bersatu hanya menang 10 kerusi berbanding BN 14. Apa tindakan presiden dan MKT?
  • Kedudukan BN semakin merosot. Tanda aras di PRN Sabah baru berlalu. Komponen BN seperti MCA sudah tidak diterima oleh pengundi. Lagi teruk hilang deposit pun ada. Ini tidak merisaukan presiden dan MKT ke bila memikirkan PRU15 akan datang?
  • Apakah presiden dan MKT akan teruskan formula pembahagian kerusi dalam BN menghadapi PRU15? Jika ya, bersedia untuk hilang banyak kerusi BN dari MCA dan MIC.
  • Apakah presiden dan MKT akan terus beralah beri kerusi tradisi kepada Bersatu di kalangan bekas pemimpin Umno yang lari tempoh hari? Lihat apa nasib BN di Sabah yang berikan kerusi tradisi kepada Bersatu? Sudah la komponen BN (MCA) bertanding dikawasan yang ditandingi juga oleh PBS dalam gabungan GRS. Apa semua ini presiden dan MKT Umno?
  • Ahli akar umbi sudah letih dan penat bekerja bermatian di bawah tapi orang atasan seperti tidak melihat bahaya dan bahana yang akan melanda parti Umno. Tindakan seperti di Sabah telah jelas dan apakah masih tidak mahu belajar dan mengambil pengajaran darinya.
  • Jika tidak mahu mendengar pandangan orang bawah yang masih cintakan parti, tidak ada kepentingan bagi pemimpin atasan maka tunggu la nasib apa akan terjadi pada parti Umno dan BN.
  • Presiden dan MKT Umno jangan buang masa buat itu ini segala eksperimen dan ujikaji. Mesyuarat dan putuskan segera apa tindakan yang perlu untuk memulihkan imej dan sokongan rakyat kepada Umno dan BN.
  • Jika tidak ada jalan lain, kalaulah jalan bersendirian itu jalan terakhir perlu dilalui, maka kami ahli akar umbi akan terus menyokong parti tanpa berbelah bagi.lop

Lebih baik hidup bermaruah daripada menjadi kuda tunggangan dan dibuli oleh pengkhianat, penipu dan tukang fitnah.

TANDIKO DALUSIN adalah akar umbi Umno dari Rasuah.

Tu dia sampai 3 orang jadi timbalan ketua menteri

Bung, Jeffrey, Gunsalam dilantik timbalan KM Sabah
FMT Reporters


KOTA KINABALU: Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin, bersama Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, dan Naib Presiden PBS, Joachim Gunsalam dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah hari ini.

Bung akan memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan, Jeffrey diberi portfolio pertanian dan perikanan, manakala Gunsalam bertanggungjawab ke atas pembangunan perindustrian.

Sementara itu, Timbalan Ketua PPBM Sabah, Masidi Manjun, mengangkat sumpah sebagai menteri kerja raya, diikuti Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim, sebagai menteri luar bandar.

Mereka mengangkat sumpah jawatan selepas Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Hajiji Noor, mengangkat sumpah ketua menteri di hadapan Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin di Istana Negeri hari ini.