"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Firasat W.S Rendra tentang Anwar dan Mahathir

MUAMMAR QADDAFI MOHD NASIR 
Seniman Agung Indonesia, W.S Rendra, beliau pernah menyebut kepada Anwar yang merupakan sahabat karib beliau dengan mengatakan;

“Anwar, Mahathir mengejar waktu, anda mempunyai waktu, semoga, anda menang akhirnya.”

Kata-kata ini sudah lama, tidak tahu tarikh bila ia disebut cuma ia diceritakan kembali oleh Anwar pada 2006.

Kenyataan Tun Mahathir sebelum ini buat aku tersentak, beliau pernah sebut masanya tidak lama, beliau mengejar waktu untuk memulihkan kembali Malaysia yang rosak.

Bila dikenang kembali apa yang Rendra sebut, yang mana pada waktu itu kita mungkin fikir kenyataan ni macam biasa-biasa sahaja, Tun Mahathir bukan lagi PM, apa yang beliau perlu kejar, beliau sudah bersara.

Kemudiannya pada usia 93 tahun, Tun kembali untuk membina kembali Malaysia yang dirosakkan Najib dan pimpinan BN, kerosakan yang ada sangat banyak dan usia Tun hampir satu abad.

Ternyata, ada kebenaran terhadap ungkapan kata-kata Rendra, Tun mengejar waktu yang beliau ada untuk bina kembali Malaysia,

Dan Anwar, ramai orang silap anggap Anwar kini macam “bangsawan” yang menanti diserahkan kuasa dengan mudah, Mahathir buat segala kerja dan nanti beliau akan naik sebagai PM tanpa perlu bersusah payah.

Silap tuan-tuan, kenyataan “Semoga kamu menang akhirnya” oleh Rendra tidak datang percuma.

Ingat tak apa Sheikh Deedat beritahu Zakir Naik saat akhir usia beliau, bisik beliau kepada Dr. Zakir, “My son you have achieve in four years what took me 40 years”.

Dr Zakir balas, “Kejayaan saya dalam tempoh 4 tahun kerana asas yang dibina oleh anda selama 40 tahun, tanpa tapak yang dibina oleh anda saya mungkin akan mengambil masa 44 tahun”.

Begitulah kejayaan kita pada hari ini, kemenangan pada PRU14 ini tidak bermula dengan usaha dari 2016-2018, sebaliknya asasnya dibina pada 2008 waktu tertubuhnya Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.

Tidak kurang dengan usaha sejak zaman reformasi yang kini menghampiri 20 tahun perjalanannya. Menafikan sumbangan besar ini saya kira adalah satu kesilapan yang sangat besar

Tapak ini akhirnya mendapat sentuhan akhir daripada Tun Mahathir yang seterusnya membawa kepada kemenangan bergaya Pakatan Harapan.

Kerana itu juga nama nama tokoh seperti Ustaz Fadhil Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Karpal Singh, tidak harus kita lupakan dan pisahkan daripada kejayaan ini.

Budak lelaki 12 tahun sudah pandai merogol

Seorang budak lelaki hanya berusia 12 tahun ketika dia mula merogol tiga ahli keluarganya yang lebih muda selama dua tahun.

Dia yang kini berusia 15 tahun telah merogol seorang budak lelaki sebanyak dua kali antara usianya lima dan lapan tahun, dan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun juga sebanyak dua kali.

Ketika pendengaran di mahkamah, beberapa kesalahan itu dilakukan di Lanzarote manakala yang lain dilakukan di Devon, England antara Mac 2015 dan April 2017.

Anak muda itu, yang identitinya tidak dapat didedahkan mengaku 11 pertuduhan terhadapnya pada Selasa dan mungkin akan berdepan hukuman penjara.

Mahkamah Belia Exeter mendengar bahawa dakwaan rogol itu berhubung kesalahan seks oral terhadap seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan.

Kesalahan lain termasuk menyentuh organ seksual dan satu pertuduhan mencium.

Pendakwa Bathsheba Cassel berkata: “Dia berusia 12-14 tahun ketika kesalahan-kesalahan ini dilakukan. Kesalahan ini adalah kesalahan seks yang dilakukan terhadap tiga ahli keluarga berasingan yang berumur lima hingga sembilan tahun pada masa yang relevan.”

Mahkamah mendengar, kesalahan itu disedari apabila mangsa-mangsa memberitahu ibu bapa mereka apa yang dilakukan oleh remaja terbabit yang tinggal di Devon, kepada mereka.

Dalam sesi soal siasat dengan polis, mangsa berkata defendan ‘menyuruhnya melakukan seks oral dan dia juga melakukan perkara sama’.

Mahkamah mendengar remaja lelaki itu tidak mempunyai sabitan atau amaran sebelum ini. Dia akan dijatuhkan hukuman bulan depan di mahkamah yang sama. -MetroUK
-kualalumpurpost

Patutla pejenayah bermaharajalela

KUALA LUMPUR - Dua pegawai Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama wang tunai hampir lebih RM1 juta, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, dua pegawai berkenaan dan seorang individu ditahan di sebuah kedai membaiki kereta di Subang Jaya bersama wang tunai, RM341,000.

Menurut sumber, dua pegawai yang masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintendan itu kemudiannya dibawa ke sebuah kondominium milik seorang daripada suspek

“Pegawai SPRM menemui wang tunai anggaran RM400,000 hingga RM700,00,” katanya, hari ini.

Sumber berkata, kedua-dua pegawai polis itu kemudian dibawa ke pejabat STAGG di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan di pejabat berkenaan menemui wang dianggarkan lebih RM225,000 dan pemeriksaan serta serbuan selesai kira-kira jam 6.40 petang,” katanya.

Kedua-dua pegawai kanan polis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
-sinarharian

Ganjil lagi pelik - Dr. MAZA

Muhyiddin dakwa Jamal lari sebab polis 'cuai'

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal atas kecuaian pihak berkuasa yang bertugas menyebabkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos hilang untuk pertama kalinya dari sebuah hospital swasta minggu lepas.

"Pegawai yang bertugas mengendalikan kes sedemikian tidak boleh cuai. Saya berasa kecewa, dalam kes Jamal, bagaimana dia dapat melarikan diri dari hospital?

"Saya kesal ia berlaku, kecuaian telah berlaku dan saya tidak boleh benarkannya berlaku lagi (pada masa akan datang)," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas mengamati operasi terhadap pendatang tanpa izin Jabatan Imigresen di Petaling Street di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan apa-apa tindakan tatatertib yang akan diambil termaktub di bawah bidang kuasa pihak berkuasa yang berkenaan.

Sebelum itu, Muhyiddin ditanya jika beliau mempunyai pesanan kepada Jamal dan bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga dikehendaki oleh polis berhubung siasatan terhadap aduan kes ugutan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Muhyiddin berkata kedua-dua ahli politikitu perlu menyerah diri kepada pihak berkuasa berkaitan atau berisiko ditangkap kerana polis Malaysia boleh mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan negara asingnya, termasuk Interpol.

"Adalah lebih baik bagi mereka untuk menyerah diri dan polis akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah undang-undang," katanya.
-malaysiakini

'Anwar jangan sekadar bimbang, kukuhkan HARAPAN'

A Kadir Jasin
Pada 9 Mei rakyat jelata telah membuat keputusan. Mereka memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) yang antara lain, menjanjikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kini sudah lebih 20 hari kerajaan baru HARAPAN mentadbir. Alhamdulillah segala-galanya berlaku dalam suasana aman damai walaupun ada saat-saat yang mencemaskan.

Jadi janganlah ada mana-mana pihak – dari mahligai yang bergemerlapan kepada lorong belakang yang hanyir dan gelap – cuba mencabar kesahihan kuasa rakyat.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditajukberitakan sebagai berkata beliau bimbang dengan perbezaan pendapat dalam HARAPAN.

Saya katakan begini kepada sahabat lama saya itu: Jangan sekadar bimbang saja. Sebagai orang tua kita lakukanlah yang terbaik bagi mengukuhkan perpaduan dalam pakatan kita.

Tiada yang terlepas pandangan umum

Sesiapa pun, si papa atau raja akan mengundang tindak balas yang setimpal sekiranya mereka cuba menidakkan pilihan rakyat jelata dan undang-undang negara.

Seperti saya nyatakan berulang kali, dalam dunia tanpa sempadan yang dipacu oleh media sosial ini, tidak seorang atau satu hal pun akan terlepas daripada pandangan umum.

Dunia hari ini bukan lagi dunia “raja dalam rumah buat kira-kira. Suri dalam dapur makan roti gula”.

Rakyat jelata mahu tahu dan terpaksa diberi tahu kira-kira apa yang raja sedang buat dan berapa harga roti yang dimakan suri kerana rakyat jelata lah yang membiayai keperluan mereka.

Bukan puluhan atau ratusan ribu ringgit tapi ratusan juta! Maka sewajarnyalah kira-kira yang raja buat itu demi kebaikan rakyat jelata dan bila ada raja, ada lah permaisurinya.

Dayang tepi kolam yang sedang mahu jemur tepung tidak lagi mahu dipatuk hidungnya oleh burung hitam. Ini adalah kerana raja, isteri raja, dayang dan rakyat jelata kini berada di abad ke-21 dan bukan lagi di zaman dongeng, mitos serta rekaan di mana raja adalah kudrat.

Secebis (petikan) daripada Perkara 40, Perlembagaan Persekutuan - Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat:

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Antara Melayu dan Integriti

Ya, memanglah kalau boleh orang Melayu mahu Melayu menyandang semua jawatan penting, tetapi apa gunanya kalau Melayu yang berjawatan tinggi itu zalim, perasuah dan bersubahat dengan penyangak dan pencuri.

Kerajaan baru menjanjikan reformasi institusi. Untuk itu kita perlukan seorang pakar guaman yang amanah dan berintegriti sebagai peguam negara (attorney general).

Kalau kita hendak melakukan pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi pula, kita perlukan pula seorang pendakwa raya negara (prosecutor general) yang berkaliber.

Bagi mengelakkan pemusatan dan pembolotan kuasa, kita perlu pisahkan tugas guaman dan pendakwaan. Kita perlu ada seorang peguam negara dan pendakwa raya negara.

Bangsa dan keturunan mungkin penting bagi sesetengah orang tetapi bagi semua yang mahukan keadilan, yang lebih penting adalah kewibawaan.

Jadi hendaknya janganlah ada sesiapa yang cuba mensabotaj proses pembentukan dan pelengkapan pentadbiran HARAPAN ini atau bermain kayu tiga untuk tujuan politik yang sempit. Rakyat jelata memerhatikan!

Sembilan ADUN Umno mohon ampun, tetapi tetap tolak Azlan

Semua sembilan ADUN BN Perlis yang memulaukan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menerusi satu sidang media, hari ini.

Permohonan ampun itu diketuai oleh Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama tujuh wakil rakyat Umno pada satu sidang media di sebuah hotel di Perlis.

Mereka bagaimanapun tetap menolak Azlan sebagai menteri besar negeri itu.

“Sidang media hari ini, kita minta maaf (pada Raja) dan kekal menolak Azlan Man.

“Tak ada siapa yang lari. Kita taat setia pada raja, harap salah faham dengan raja dapat diselesaikan cuma semua tak nak Azlan Man.

“Kita yakin rakyat faham, kenapa kita tak mahu (Azlan) kita akan terangkan pada tuanku,” katanya menerusi sidang media yang disiarkan di Facebook Astro Awani.

Zahidi berkata semua ADUN itu sedang menunggu masa yang sesuai daripada Tuanku Syed Sirajuddin untuk mengadap.

Pada 24 Mei lalu, sembilan ADUN Umno Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah pelantikan Azlan selaku menteri besar yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau.

Mereka turut mengadakan sidang media pada hari yang sama di PWTC dan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut supaya Azlan dipecat dari Umno.

Sehingga kini Perlis merupakan satu-satunya negeri yang masih belum menamakan barisan exco selepas BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Berdasarkan konvensyen, Raja Perlis perlu melantik ADUN yang mendapat keyakinan majoriti sebagai menteri besar.


Sebelum ini semua ADUN berkenaan membantah pelantikan Azlan dan membuat laporan polis kerana menganggap pelantikan berkenaan bertentangan perlembagaan persekutuan dan undang-undang negeri.

Sementara itu, Zahidi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar itu turut menolak bahawa pilihan raya negeri perlu diadakan semula kerana BN telah memenangi kerusi majoriti di negeri itu.

“Rakyat dah pilih BN, kami majoriti menang. Kami menang atas daya usaha perkenan rakyat yang bekerja di kawasan, rakyat dah buat keputusan dan kami nak berkhidmat pada rakyat,” katanya.

Bukan Mahathir, bukan Anwar

Redzuan Shamsudin
Belum sebulan PRU ke-14 berakhir, sudah timbul isu melibatkan pergolakan dalaman Pakatan Harapan (HARAPAN) diungkapkan sesetengah penyokong parti-parti komponen.

Salah satu isu yang boleh memecahbelahkan HARAPAN adalah lobi penyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggantikannya dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Debat di media sosial berkaitan perkara ini menimbulkan persepsi HARAPAN mula goyah, walaupun ia tidak menjadi kudis kepada pemimpin-pemimpin di atas.

Serangan pertama berlaku apabila Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengumumkan dapatan terbaru kajian Invoke Malaysia yang menjelaskan gelombang rakyat menolak BN pada PRU lalu bukan didasari faktor Mahathir semata-mata, tetapi kerana 1MDB, GST dan isu kos hidup melampau.

Ia mengundang serangan daripada penyokong Dr Mahathir dan saki baki tentera siber BN yang menangguk di air keruh.

Mereka mengecam Rafizi (gambar) atas cubaan memperkecilkan pengaruh Dr Mahathir mencipta kemenangan pada 9 Mei lalu.

Bagi mereka, HARAPAN telah mencuba dalam empat PRU sejak 1999 namun hanya Dr Mahathir yang berjaya menumbangkan BN.

Penyokong PKR yang tidak puas hati pula membalas - jika Anwar tidak dipenjarakan maka keputusan PRU tetap berpihak kepada HARAPAN kerana pada PRU ke-13 pun undi popular BN telah merosot kepada 49 peratus.

Selain itu, kegiatan Anwar selepas dibebaskan pada 16 Mei lalu turut menjadi pertikaian. Kononnya beliau sengaja mencari publisiti bertemu Sultan-sultan, di saat Dr Mahathir bekerja keras menyelamatkan ekonomi negara.

Penyokong yang terlanjur bertempur sesama sendiri ini perlu berfikir secara rasional. Hakikatnya semua tokoh dalam HARAPAN mempunyai sumbangan sendiri, tiada yang lebih berbanding yang lain.

Bandar dan luar bandar

Benar, munculnya Dr Mahathir menjadi katalis kepada perubahan politik. Auranya di kawasan luar bandar tidak dinafikan, terutama kampung Melayu tradisi dan Felda.

Merosotnya kerusi Umno di kawasan Felda adalah kemenangan peribadi Dr Mahathir. Pada PRU 2013, Pakatan Rakyat ketika itu hanya mampu menang di enam daripada 54 kerusi kawasan itu. PRU kali ini, HARAPAN merampas lebih 20 kerusi.

Tetapi apakah hanya Mahathir saja penyebab kejayaan ini? Penghargaan tetap perlu diberikan kepada Anwar dan pemimpin pembangkang lain.

Ini kerana Mahathir tidak perlu berkempen di kawasan bandar apabila sokongan Cina kepada HARAPAN setinggi 80 peratus. Siapakah yang menjana sokongan sebanyak itu dalam PRU 2008 dan 2013?

Jika Mahathir berada dalam kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah pada PRU 1990 - ketika itu masyarakat Cina tidak memberi sokongan - maka kerusi Parlimen di kawasan bandar dan separa bandar tak mungkin dimenangi.

Begitu juga dengan masyarakat India yang memberi lebih 70 peratus sokongan kepada HARAPAN. Pada PRU 2013, undi mereka kepada Pakatan Rakyat hanya sekitar 55 peratus, menyebabkn BN masih mampu menang di kerusi luar bandar di mana pengundi India menjadi penentu.

Peralihan kali ini hasil kempen berterusan Hindraf sejak 2017, sedangkan mereka menyokong BN secara terbuka pada PRU 2013. Tetapi Hindraf jarang disebut sebagai "penyumbang" kemenangan HARAPAN pada PRU ke-14.

Antara 'arus' dan hari pertama

Tak dinafikan, Dr Mahathir adalah faktor dominan peralihan sokongan rakyat dalam PRU ke-14. Namun kita perlu berlaku adil, beliau mudah mendapatkan massa kerana 'menaiki arus' yang sudah disediakan Anwar, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu bertahun lamanya.

Bersama arus itu adalah media pembangkang yang mampu menyampaikan maklumat secara meluas.

Ketika Anwar mula terjun ke dalam dunia pembangkang, yang ada hanya HARAKAH. PKR kemudian mewujudkan Suara Keadilan untuk menyerang dan menangkis serangan BN. Selepas dua dekad, akhbar ini berjaya masuk ke kawasan luar bandar dan meninggalkan kesan di sana.

Sewaktu Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri pada 7 Januari lalu, tidak sedikit penyokong HARAPAN khususnya PKR yang menolak keras. Mereka beranggapan Mahathir tidak sepatutnya diterima kerana telah menzalimi Anwar dan merosakkan sistem pemerintahan.

Berbulan-bulan lamanya Suara Keadilan berkempen untuk Mahathir agar diterima mereka. Adakah Mahathir, dan HARAPAN, akan berjaya jika PKR terbelah dua?

Begitu juga Media Oren (dahulunya TV PAS). Media AMANAH ini berjasa besar menyiarkan siaran langsung ceramah HARAPAN.

Bandingkan keadaan ini dengan hari pertama Anwar sebagai pembangkang, malah selepas kejayaan pada PRU 2008. Media pembangkang tidak sekuat hari ini.

Penyokong Mahathir perlu berterima kasih kepada media dan penyokong pembangkang yang dahulunya penentang tegarnya, tetapi kemudian menjadi penyokong kuat.

Jika penyokong pembangkang khususnya penyokong Anwar boleh berubah menerima Dr Mahathir, kini tiba masanya penyokong Mahathir menerima Anwar yang sudah pun bebas dari penjara.

Momentum dan penyudah

Kemenangan bersejarah 9 Mei adalah kemenangan bersama. Tiada pihak yang tidak berkorban tenaga dan wang ringgit demi kejayaan ini.

Semua yang menyokong HARAPAN adalah pejuang. Mereka sekian lama mengorbankan masa, wang dan tenaga melawan berbilion ringgit dedak yang ditabur Datuk Seri Najib Razak.

Justeru tidak molek jika ada penyokong mana-mana parti komponen mengangkat diri atau pemimpin mereka lebih berbanding yang lain.

Dr Mahathir berjasa besar sebagai penyudah berkesan, tetapi pemimpin dan kader parti lain juga berjasa besar mencipta momentum sejak 20 tahun lalu.

Akhirnya, keputusan PRU ke-14 adalah kemenangan rakyat. Undi merekalah yang menjatuhkan Umno dan BN, serta meletakkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai timbalannya dan pemimpin-pemimpin komponen HARAPAN sebagai menteri kabinet.

Untuk menang amat sukar, tetapi lebih sukar mengisi dan mengekalkan kemenangan. HARAPAN tidak boleh berbalah. Kerajaan hari ini mempunyai tugas berat.

Perkara terbaik yang boleh dilakukan penyokong bukanlah mempertahankan Dr Mahathir dan menolak Anwar (seolah-olah perlu menolak Anwar untuk mempertahankan Mahathir) tetapi sedaya-upaya membantu menjadikan negara lebih baik selepas musnahnya rejim Najib.
-malaysiakini

Suri rumah rancang serangan hari mengundi ditahan polis

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah berusia 51 tahun ditahan pasukan Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Puchong pada 9 Mei lepas kerana merancang serangan pada hari pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada hari yang sama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas merancang untuk melancarkan serangan menggunakan kereta untuk merempuh pengundi bukan Islam di pusat mengundi pada hari tersebut.

“Selain itu suspek juga merancang untuk merempuh rumah ibadat bukan Islam menggunakan kereta yang dimuatkan dengan tong gas sebagai bahan letupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat 27 Mac hingga 9 Mei lepas, PDRM menangkap 15 suspek berusia lingkungan 17 hingga 51 tahun kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas termasuk suri rumah terbabit dalam operasi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah.

Tangkapan itu melibatkan 6 suspek rakyat tempatan, 2 warganegara Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap Malaysia, sepasang suami isteri dari Afrika Utara, 4 warganegara Filipina dan seorang warganegara Bangladesh.

Rafizi dilepaskan dengan bon tingkah laku baik

Mahkamah Rayuan hari ini melepaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan bon tingkah laku baik RM10,000 selama dua tahun atas sabitan kesalahannya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sebelum ini, Rafizi dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana mendedahkan butiran laporan 1MDB pada sidang akhbar di Parlimen.

Panel tiga anggota yang diterajui oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan bon tingkah laku baik setelah Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah cadangan yang dibuat oleh peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid.

Ahmad Nizam berkata mereka tidak merayu terhadap sabitan kesalahan itu tetapi mengenai hukuman itu.

Dua lagi hakim yang bersidang sama adalah Datuk Ab Karim Ab Rahman dan Datuk Kamardin Hashim.

Ahli Parlimen Johor Bahru Ahmad Kamal Nasir kemudiannya bertindak sebagai penjamin untuk Rafizi.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan salah satu sabitan terhadap naib presiden PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan hukuman penjara 18 bulan.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Azman Abdullah membebaskan ahli Parlimen Pandan itu terhadap satu lagi sabitan OSA.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Rafizi atas dua pertuduhan OSA dan menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara, dengan hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Pemimpin PKR itu didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, tetapi dibebaskan daripada tuduhan memiliki dokumen itu, yang diklasifikasikan sebagai OSA.

Dia didapati bersalah mendedahkan laporan itu semasa sidang akhbar di lobi Parlimen pada kira-kira pukul 3 petang 28 Mac tahun lalu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) (c) (iv) OSA.

Di bawah OSA, seseorang boleh dijatuhi hukuman minimum 12 bulan atau sehingga tujuh tahun penjara.

Akibat keputusan mahkamah itu, Rafizi tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
-malaysiakini

Kereta mewah Najib jadi tumpuan media


Media asing dan tempatan berkumpul di perkarangan Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan malam ini susulan penularan rakaman video yang mendakwa beberapa kereta mewah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disorok di parkir kondominium mewah itu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Lebih 20 pengamal media berkumpul di perkarangan Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan di sini, susulan penularan rakaman video yang mendakwa beberapa kereta mewah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disorok di parkir kondomonium mewah itu.

Tinjauan mendapati wartawan dan jurukamera memenuhi kawasan hadapan bangunan kondominium mewah itu berikutan mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan parkir berkenaan walaupun hujan lebat.

Kenderaan jenis Mercedes dan Toyota Vellfire, yang antaranya dipercayai membawa Najib dilihat memasuki kawasan parkir bangunan itu pada jam 6.45 petang tadi.

Kenderaan Mercedes tersebut kemudian dilihat keluar pada kira-kira 8.30 malam, manakala Toyota Vellfire itu pula turut keluar meninggalkan kawasan berkenaan pada 9.50 malam.

Satu rakaman video berdurasi 24 saat tular di media sosial, mendakwa beberapa kereta mewah di parkir di kawasan letak kereta aras bawah kondominium itu milik keluarga Najib dan disorok oleh rakannya yang memiliki unit di kondominium tersebut.

Bagaimanapun tiada pasukan polis yang kelihatan membuat pemeriksaan mahupun serbuan di kondominium mewah itu malam ini.

Menurut sumber, pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman tidak membuat sebarang serbuan di kondominium itu.

Usaha Bernama untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak polis gagal apabila pihak berkaitan tidak dapat dihubungi. - Bernama

Jamal sudah lari ke Tanjong Balai

JAMAL Yunos dipercayai sudah melarikan diri ke Indonesia dua hari selepas bolos dari tahanan reman di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor minggu lalu, lapor Sin Chew Daily.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu kini bersembunyi di Tanjung Balai, Karimun Besar, di barat daya pesisir Johor, lapor portal akhbar berbahasa Mandarin itu, memetik sumber.

Polis Selangor semalam mengumumkan akan memohon waran tangkap ke atas pemimpin akar umbi Umno yang kontroversi itu selepas berdegil enggan memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad berkata polis sudah memberikan peluang dan masa kepada Jamal menyerah diri untuk membantu siasatan berkaitan dirinya tetapi ketua Geng Baju Merah itu enggan bekerjasama.

Jamal semalam gagal tampil di Ibu Pejabat Polis Ampang walaupun sehari sebelum itu berjanji akan datang untuk diambil keterangannya.

Dia sebaliknya muncul dalam sebuah rakaman video meminta Muhyiddin Yassin selaku menteri dalam negeri memberi jaminan yang dia tidak akan “dizalimi” sekiranya menyerah diri.

Dalam rakaman di kebun kelapa sawit itu, Jamal mengaku dia kononnya tidak menolak undang-undang tetapi mendakwa dirinya jadi mangsa apabila disenaraihitamkan oleh Imigresen serta diletakkan di bawah pemantauan polis.

Dia juga mendakwa keluarganya tertekan kerana rumah mereka digeledah polis sementara rakan-rakannya didakwa di mahkamah atas kejadian yang berlaku beberapa tahun lalu.

Menurut polis, Jamal disiasat di bawah enam kes, tambahan kepada tiga yang telah dituduh terhadapnya semasa dalam tahanan di hospital swasta itu pada 25 Mei lepas.

Lelaki mirip Musa Aman di London tular

ARIF ATAN
Musa Aman didakwa ditemui di London.
Video lelaki mirip Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Tan Sri Musa Aman di stesen keretapi St Pancras International di London tular sejak malam tadi.

Rakaman video berdurasi hanya 10 saat itu dimuat naik pengguna Facebook, Az Eem yang turut menanda pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli.

“Ex-cm Sabah spotted at St. Pancras, London,” tulis Az Eem pada rakaman yang memaparkan individu berjaket merah dan memakai topi sedang berdiri di sisi troli bagasi bersama seorang kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika individu yang dilihat dalam video itu adalah Musa yang dikehendaki polis.

Musa sebelum ini dilaporkan sudah meninggalkan negara ini tanpa menggunakan saluran undang-undang.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu dipercayai sempat melarikan diri ke London sebelum sempat disenaraihitamkan untuk keluar dari Malaysia.

Pada 23 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan di kediaman Musa di Luyang tetapi tidak merampas apa-apa barang.

Pas PRU14: Langkah songsang Pas Selangor yang malang

NAZRI NOOR
BAHAGIAN KEDUA

Pas muncul dan dijulang sebagai hero dan juara pada PRU13, setelah menang bergaya dan membolot 15 kerusi dari 20 yang di tandingi di Selangor. Bukan sahaja pencapaian tertinggi dalam sejarah Pas Selangor, tetapi juga penyumbang terbesar kerusi di DUN Selangor.
Dibandingkan dengan komponen parti Melayu lain, PKR (melayu) seramai 10 orang (dari 14 yang menang) dan Umno 12 orang, nyata bahawa Pas sebenarnya hero yang unggul jauh kedepan meninggalkan PKR dan Umno, khasnya sebagai mendominasi lanskap perwakilan blok melayu Muslim di Selangor yang berjumlah 37 orang kesemuanya.
Malah Pas juga sama taraf dominannya dengan DAP yang juga menyumbang 15 kerusi (dari 15 yang ditandingi).

Pencapaian yang gemilang ini sebenarnya momentum dan rentetan dari kemenangan bergaya mereka secara besar besaran untuk pertama kali pada PRU12 (2008). 15 kerusi yang dimenangi pada PRU13 adalah lonjakan hampir dua kali ganda dari 8 kerusi yang dimenangi pada PRU12 (2008), juga dari 20 kerusi yang di tandingi waktu itu.
Pas sebagai king maker, hampir-hampir
Tidak keterlaluan jika label king maker layak digelar untuk Pas Selangor. Setidak tidaknya, hampir menjadi king maker yang akhirnya tidak menjadi.
Beberapa insiden cemas dan kritikal dalam jatuh bangun politik Selangor betul-betul membuktikan label king maker ini tidak jauh tersasar.
Ambil PRU12 (2008) sebagai contoh. Setelah sekian lama, tersebarlah rahsia umum bahawa terjadi satu pakatan sulit pada malam keputusan PRU12 bila kedudukan 8 kerusi memihak kepada Pas, 15 kepada DAP dan 13 kepada PKR, dengan total 36 memihak kepada gabungan persefahaman bukan BN (walaupun koalisi Pakatan Rakyat (PR) hanya diresmikan selepas PRU12, bukan sebelum).
Pada masa yang sama, BN (Umno) masih mengekalkan 20 kerusi, walaupun sangat bernasib baik kerana menang tanpa bertanding di Sementa dan menang tipis angkara calon Pas yang ‘mengacau daun’ di Kota Damansara.
Jika digabungkan 20 kerusi Umno dan 8 kerusi Pas, jumlahnya 28, sama banyak dengan gabungan DAP+PKR yang juga berjumlah 28. Potensi satu situasi yang tergantung.
Tambahan terbongkar rahsia umum bahawa ada broker politik yang berunding dalam gelap untuk menubuhkan kerajaan perpaduan baik di seluruh Negara, mahupun di Selangor dan juga di Perak.
Pas sekali lagi muncul sebagai bakal king maker semasa polemik dan krisis kepimpinan jawatan Menteri Besar Selangor setelah Tan Sri Khalid Ibrahim di pecat oleh parti beliau, dan seterusnya jatuh ke status wakil bebas tanpa parti.
Setelah di pecat, PKR dengan baki 13 kerusi jika digabung dengan 15 kerusi DAP, cuma mampu membawa total 28 kerusi, sama banyak dengan potensi gabungan Pas (15) + Umno (12) + 1 Bebas.
Ini sekali lagi bakal mengundang krisis politik tergantung. Di tambah lagi dengan rahsia umum bahawa PAS juga turut menyerahkan nama ahli wakil parti mereka sebagai calon Menteri Besar selepas langkah Kajang yang tak berapa menjadi seperti skrip asal, keadaan menjadi sangat runcing. Dan PAS lihat menjadi king maker.
Jika tidak kerana ‘pengacau’ dua ADUN Hulu Klang dan ADUN Morib yang tampil menandatangangi surat sokongan kepada Wan Azizah dan seterusnya menamatkan krisis dan menyelamatkan negeri Selangor pada waktu itu.
Bayangkan jika negosiasi tersebut menjadi. Lanskap politik hari ini tentunya berubah wajah. Pendeknya, dalam beberapa situasi getir, nyawa politik Selangor terletak di tangan Pas.
Langkah songsang yang membawa malang
Mematuhi arahan parti dan keputusan Majlis Syura mereka, Pas Selangor mengambil keputusan untuk bersendiri sebagai blok ketiga, dan mengharapkan keluar sebagai penentu dan king maker dalam menghadapai PRU14. Terbukti ianya satu langkah yang songsang dan membawa malang.
Berbekalkan 13 kerusi yang menang, pakatan Gagasan Ikatan Sejahtera Pas Selangor serta rakankongsi mereka memasuki medan PRU14 dengan bertanding 49 kerusi DUN, disamping 19 kerusi Parlimen dengan penuh bergaya dan yakin, dalam bahasa mereka sendiri, “dengan membariskan 3 penceramah selebriti, 2 calon bukan Islam, 5 jurutera, 5 doktor perubatan, 2 akitek, 3 lulusan doctor falsafah, 2 profesor madya dan seorang akauntan. Serta 9 calon Muslimat, satu angka yang mengatasi parti-parti lain, malah negeri-negeri lain yang PAS bertanding”.
Nasib dan hasil nyata tidak menyelebelahi Pas. Rakyat lebih bijak memilih dan lebih arif menentukan siapa yang lebih berhak dan layak untuk menerajui pimpinan negeri dan negara. Majoriti rakyat mengundi calon yang mampu menumbangkan Barisan Nasional dan memenangkan komponen PH.
Pas menerima tamparan hebat setelah kalah di semua kerusi Parlimen, kalah di semua kecuali satu kerusi DUN, dan hampir kesemua calon mereka tidak langsung diendahkan oleh rakyat tanpa mengira professor atau selebriti, dimana 11 calon DUN dan 4 calon Parlimen mereka hilang deposit.
Satu nasib yang amat malang menimpa sebuah parti yang terbesar, dengan 15 kerusi DUN cuma selamat dengan satu. Satu anjakan ketara dalam masa kurang dari 3 tahun rentetan dari krisis dan perpecahan semasa muktamar di Kuala Selangor pada tahun 2015.
Pas, sebuah parti yang gah dan baru mula membina asas, akhirnya tersungkur menerima nasib malang, angkara langkah politik yang berlawan arus dan songsang.

Sebab dah tak boleh curi duit kerajaan Umno tamatkan peruntukan kepada semua bahagian, sayap

Berikutan kekalahan besar pada pilihan raya umum ke-14, Umno mengambil keputusan untuk menamatkan penyaluran peruntukan bulanan ke semua bahagiannya di seluruh negara.

Mengikut surat bertarikh 22 Mei, daripada setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada semua setiausaha bahagian dan penolong setiausaha semua sayap, peruntukan bulanan akan ditamatkan.

"Sayugia dimaklumkan, Ibu Pejabat setelah meneliti kedudukan kewangan parti dan ingin memaklumkan yang mana penyaluran peruntukan bulanan kepada pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap-sayap Bahagian terpaksa ditamatkan bermula Mei 2018.

"Walau bagaimanapun, adalah diharapkan bahawa pihak Bahagian dan Sayap Pergerakan Bahagian dapat meneruskan pengoperasian Bahagian sepertimana kebiasan sebelum ini.

“Kerjasama semua berhubung perkara ini amat dihargai," petik surat itu.

Semakan Malaysiakini dengan seorang pemimpin Pemuda Umno Johor mengesahkan bahawa mereka turut menerima surat berkenaan.

Umno dan gabungan BN yang diterajuinya tewas mengejut kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Beberapa pemimpin parti mengakui bahawa kekalahan itu berpunca daripada "keangkuhan" dan percaya bahawa mereka tidak dapat dikalahkan.
-malaysiakini

Tren RM5.7 bilion dari China dibeli tanpa tender terbuka, kata persatuan pekerja KTM

Tren RM5.7 bilion dari China dibeli tanpa tender terbuka, kata persatuan pekerja KTM
Tren RM5.7 bilion dari China dibeli tanpa tender terbuka, kata persatuan pekerja KTM
Pembelian-pembelian ini boleh dianggap tidak memenuhi spesifikasi teknikal, komersial dan kehendak KTMB. Ianya dibuat berdasarkan kehendak Kementerian Pengangkutan sendiri bukannya KTMB sebagai ‘needs and user'.– Gambar Facebook, 30 Mei, 2018.

KERAJAAN terdahulu didakwa membuat pembelian set tren bernilai RM5.7 bilion secara terus dari China tanpa tender terbuka.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) (KPPKTMB) Abdul Razak Md Hassan berkata, berdasarkan rekod KTMB, pembelian terdiri daripada 30 unit set tren jenis “Six Car Seat” bernilai RM1.9 billion yang dibeli pada 2012; dan 10 unit set tren jenis “Electric Train Seat” (ETS) bernilai RM507 juta (pada 2013).

Pembelian juga meliputi sembilan jenis ETS bernilai RM1.1 bilion (pada 2019); 13 unit set tren “Deisel Multiple Unit” bernilai RM1.5 bilion (pada 2019); dan 38 unit “Maintenance Six Car Seat” bernilai RM750 juta (sepanjang tempoh pembelian).

“Pembelian-pembelian ini boleh dianggap tidak memenuhi spesifikasi teknikal, komersial dan kehendak KTMB. Ianya dibuat berdasarkan kehendak Kementerian Pengangkutan sendiri bukannya KTMB sebagai ‘needs and user’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesatuan itu berkata tindakan kerajaan terdahulu yang memfokuskan pembelian set tren terus dari China menggambarkan seolah-olah Malaysia ‘mengkiblatkan’ sistem kereta api dari negara itu, sedangkan produk antarabangsa dari negara lain mempunyai kualiti dari sudut teknikal dan komersial yang lebih baik.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang baru dilantik Mohamed Azmin Ali baru-baru ini berkata tiada lagi sistem rundingan terus dan tender terhad bagi perolehan projek-projek mega akan datang dan ia mesti dilakukan secara terbuka dan telus.

Dalam pada itu, KPPKTMB juga meminta kerajaan mengkaji semula projek Landasan Kereta api Berkembar Lembah Klang (KVDT) fasa 2 yang mana pemberian tender harus dibuat secara terbuka.

Ini kerana, katanya, terdapat kelewatan dari pihak kontraktor bagi projek KVDT fasa 1 sehingga berlaku kelewatan pembukaan depoh di KL Sentral.

Selain itu kesatuan itu juga berharap kerja-kerja pembuatan dan penyelenggaraan akan diberikan keutamaan kepada KTMB sendiri, dan sekiranya KTMB tiada keupayaan, maka syarikat tempatan perlu diberi keutamaan. – Bernama

BN senarai 11 nama baharu untuk jawatan MB Perlis

MALAYSIA DATELINE 
Selepas nampak seakan ada jalan penyelesaian, krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dijangka terus meruncing apabila Barisan Nasional (BN) Perlis memutuskan untuk menghantar 11 nama baharu, termasuk nama Datuk Seri Shahidan Kassim kepada istana.

Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata 11 nama itu terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta dua Ahli Parlimen.

Dua ahli Parlimen itu termasuk Zahidi dari Padang Besar dan Shahidan, sebagai ahli Parlimen Arau, merangkap Pengerusi BN Perlis dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno negeri.

Zahidi berkata pihaknya sehingga kini masih menunggu tarikh bagi menghadap Raja Perlis dan dijangka mungkin seawal minggu hadapan.

“Seperti yang saya nyatakan semalam kita akan adakan sidang media bagi memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan selepas itu kita akan menghadap baginda.

“Kita akan serahkan 11 nama calon Menteri Besar kepada Tuanku bagi dipertimbangkan,” katanya seperti dilaporkan BHonline.

Ditanya mengenai pencalonan Shahidan dan beliau sendiri yang bukannya ADUN, Zahidi berkata ia boleh berlaku kerana mengikut Artikel 39(4) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Sebelum ini kita hanya menghantar satu nama, mungkin sukar untuk Tuanku membuat pilihan jadi kita hantar 11 nama untuk Tuanku pertimbangkan,” katanya.

Kemelut Menteri Besar Perlis akan memasuki minggu ketiga Khamis ini walaupun Datuk Seri Azlan Man sudah mengangkat sumpah bagi jawatan itu Khamis lalu.

Krisis bermula apabila Shahidan menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim yang juga ADUN Tambung Tulang sebagai calon Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, pencalonan Ismail tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin kerana baginda tidak mahu Menteri Besar Perlis menjadi ‘boneka’ kepada pihak tertentu.

Sembilan ADUN BN memboikot istiadat berkenaan sebagai bantahan terhadap perlantikan semula Azlan yang berlangsung di Istana Arau pada Khamis lalu.

Kejadian itu menimbulkan murka Tuanku Syed Sirajuddin kerana semua ADUN berkenaan telah mendapat surat jemputan dari pihak Istana dua hari sebelum majlis berlangsung.

Suami pelakon drama popular ditahan, tipu pelaburan forex

SUAMI kepada pelakon drama ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan forex (GWGFX) dan Bitcoin Bitkingdom membabitkan kerugian RM13.9 juta.

Sumber polis berkata lelaki itu ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara di Menara 238, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur kira-kira 12 tengah hari tadi.

“Tempoh tahanan reman terhadap lelaki itu akan dibuat esok,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Lelaki yang bergelar Datuk itu merupakan suami kepada pelakon wanita berusia 23 tahun dan mereka dilaporkan baharu mendirikan rumahtangga pada 18 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara ​​​​​​Bukit Aman, Khalil Azlan Chik ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.

Pada 14 Mei lepas, polis menahan pemilik syarikat produksi bergelar Datuk berusia 35 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kes yang sama. 
–Bernama

Ha...ha... ha... Jamal menyorok di ladang sawit, mohon perlindungan KDN


Selepas gagal hadir di balai polis hari ini, Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos mengirimkan klip video untuk memberi penjelasan.

Dalam klip video berdurasi 7 minit itu, Jamal yang dilihat berada di kawasan kelapa sawit menjelaskan bahawa dia bimbang akan ditangkap pihak berkuasa sebaik sahaja hadir memberi kenyataan.

“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya teCNNtapi apabila yang berlaku terhadap saya ini (sehingga) dengan nama saya disenaraihitamkan dan (saya) diletak dalam langkah keselamatan khas oleh PDRM (saya jadi bimbang).

“Dan selepas SPRM menyerbu kediaman saya, pejabat, dan beberapa tempat lain, saya bimbang daripada semalam hinggalah malam tadi rumah saya diserbu oleh polis, (selain) kediaman ibu saya, rakan-rakan saya.

"Ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang walaupun saya telah berjanji semalam (untuk datang),” katanya.

Jamal sebelum ini berjanji untuk hadir ke IPD Ampang Jaya bagi memberi keterangan pada kira-kira jam dua petang.

Bagaimanapun, beliau gagal hadir seperti dijanjikan.

Sementara itu, Jamal juga memohon perlindungan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada beliau sekiranya mahu dirinya segera tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Saya mohon Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan kepada saya seorang pemimpin politik, pemimpin aktivis supaya tidak dizalimi, tidak dianiaya.

“Saya melihat apa yang berlaku kepada saya hari ini seperti mana Tun Dr Mahathir menzalimi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan rakan-rakannya ketika dahulu.

“Saya bukannya penjenayah tetapi saya diperlakukan seperti penjenayah dan pengganas sekarang ini,” katanya.

Terdahulu, ketua Gerakan Baju Merah itu didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan ekoran mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada 5 Oktober lalu.

Jamal juga disiasat mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api 1960 atas dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak ramai.
-malaysiakini

Kementerian sahkan RTM siar Piala Dunia 2018

Lagi khabar gembira daripada kerajaan - Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengesahkan kejohanan Piala Dunia 2018 akan disiarkan di saluran RTM1.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata kabinet setuju dengan cadangan itu selepad dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

Katanya lagi, Kementerian Kewangan akan memperincikan kos penyiaran itu dalam sidang media esok.

Shahidan tetap enggan mohon ampun dari Raja Perlis

Diyana Ibrahim
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perlis Shahidan Kassim tetap enggan memohon ampun daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail meskipun dikecam hebat atas keingkarannya dalam isu pelantikan menteri besar.

Bekas menteri besar itu mempertahankan tindakannya dan berkata tidak ada keperluan untuk beliau meminta maaf mahupun meletak jawatan sebagai pengerusi BN.

“Buat apa saya nak minta maaf, bukannya saya buat salah. Kalau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) nak minta maaf terpulang tapi bukan saya,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Pada masa sama Shahidan turut mempertahankan pendirian bahawa BN Perlis tidak pernah bersetuju dengan pelantikan Azlan Man sebagai menteri besar.

“Sekarang ini dalam proses sebab hujah kita tindakan melantik Azlan tidak selari dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis di mana calon menteri besar perlu mendapat sokongan majoriti.

“Dalam kes ini Azlan tak dapat sokongan majoriti,” katanya, mengulas mengenai kemelut pelantikan menteri besar Perlis itu.

Minggu lalu seramai sembilan Adun BN tidak hadir dalam upacara angkat sumpah jawatan menteri besar.

Bagaimanapun semalam, salah seorang Adun yang memboikot pelantikan itu, Azizan Sulaman berkata kesemua mereka sudah pun bersedia mengadap Raja Perlis bagi menjernihkan keadaan.

Kemelut itu tercetus apabila BN Perlis tidak berpuas hati apabila Raja Perlis menolak calon pilihan mereka, Ismail Kassim yang merupakan adik kepada Shahidan, untuk dilantik ke jawatan menteri besar.

Tindakan protes itu diteruskan apabila Shahidan mengumumkan cadangan memecat Azlan namun ditolak oleh pucuk pimpinan Umno.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Abdul Hadi terlalu prejudis, kata Penasihat Umum AMANAH

ARIF ATAN
Abdul Hadi terlalu prejudis, kata Penasihat Umum AMANAHPenasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang menyifatkan mesej Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada AMANAH yang menggunakan perlambangan “sebesar zarah semangat Islam” sebagai tidak berasas.
Menurutnya, Abdul Hadi tidak wajar berkata demikian memandangkan perkara-perkara asas berkaitan kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan telah diberi penegasan akan dipertahan bahkan akan diperkasa.

“Pada saya, tidak wajarlah (Abdul Hadi) sebagai seorang yang pernah menjadi ketua saya dan saya sudah 40 tahun bersama Pas.

“Kalau ‘sebesar zarah keimanan mereka itu,’ seolah-olah terlalu begitu prejudis,” katanya dalam slot 100 Hari Malaysia Baharu di Astro Awani malam tadi.

Terdahulu, Ustaz Ahmad diminta perantara forum, Nazri Kahar untuk mengulas mesej Abdul Hadi kepada AMANAH dalam program sama di sebelah petangnya.

Abdul Hadi sebagai panel tunggal dalam slot selama sejam itu berkata, ‘suara Islam’ mesti tanpa segan dibawa dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

“Mesej saya sekiranya masih ada sebesar zarah semangat Islam di dalam diri mereka (AMANAH), mereka mesti mempertahankan kedudukan Islam dengan tidak rasa malu dan segan dalam Pakatan Harapan.

“(AMANAH) mesti membawa suara Islam dalam kerajaan. Ini mesej kita. Mereka dulu bersama Pas kerana Islam maka jika keluar pun kerana Islam juga dan mesej ini mesti dibawa dalam kerajaan.

“Ini tanggungjawab yang amat besar,” tegas Abdul Hadi lagi yang turut menganggap parti komponen PH mempunyai ideologi dan pendekatan yang berbeza walaupun mendapat kemenangan dengan harapan yang satu iaitu menjatuhkan BN.

Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad berkata, Pas sebenarnya balik ke 30 tahun ke belakang bukan anjakan paradigma seperti yang dianggap apabila berfikir seolah-olah Malaysia ini hanya dihuni masyarakat Melayu Islam.

Menurutnya, kecenderungan untuk menakut-nakutkan atas nama kaum dan agama masih terus berbangkit walaupun hakikatnya majoriti pimpinan tertinggi parti komponen PH adalah beragama Islam.

“Tentang isu kaum dan agama, ini adalah lanjutan daripada apa yang ditegaskan oleh Umno-BN dan juga dikukuhkan Pas terutama semasa kempen PRU-14.

“Dulu ditakutkan kalau PH memegang tampuk pemerintahan Putrajaya, DAP akan dominan, dan ditakut-takutkan sampai hari ini pun masih dibangkitkan sekarang dalam PH, jumlah Ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai,” ujarnya.

Jelasnya, pendekatan PH dalam memerintah tidak sama dengan BN walaupun memang Umno sebagai parti teras memandangkan dalam PH terdapat Majlis Presiden yang dianggotai keempat-empat parti komponen iaitu AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP.

Sehubungan itu, Ustaz Ahmad berpendapat kuasa agama Islam perlu dikembalikan kepada Majlis Raja-raja Melayu yang telah dicabuli oleh kerajaan BN terdahulu.

“Kita (PH) tidak ikut cara kerajaan dulu (BN). Pentadbiran Islam di peringkat Kerajaan Pusat mesti dengan perkenan Majlis Raja-raja, mengangkat kuasa Majlis kebangsaan Islam.

“Pelbagai himpunan atas nama Islam ketika kerajaan BN dahulu tak nampak imej raja-raja. Kenapa program berkaitan Islam, raja-raja tiada? Padahal, merekalah ketua agama Islam.

“Apa yang dimaksudkan mereformasi institusi itu adalah mengambil jalan terbaik, dalam pada masa sama mengekalkan kuasa kepada Majlis Raja-raja,” tambahnya lagi.