Ng Kee Seng
Kerajaan persekutuan gemar hidup dalam dunia sendiri, memberitahu bahawa segala-galanya bagus untuk semua rakyat Malaysia, dari segi kewangan dan ekonomi. Tetapi golongan miskin bandar dan luar bandar, dan kini golongan berpendapatan sederhana, sedang bergelut untuk menyara hidup.
Kos sara hidup sedang melambung, membesarkan anak-anak, memberi mereka makan dan pendidikan yang baik merupakan suatu tekanan.
Kemewahan seperti kereta dan motosikal, hubungan telekomunikasi dan peralatan IT berada di luar kemampuan ramai.
Dan bagaimana pula dengan kos memiliki tempat tinggal?
Rakyat kebanyakan mengetahui dan merasakannya. Mereka tidak boleh tertipu mengenai realiti ke atas kos sara hidup.
Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan terus menyebarkan dan menenangkan rakyat Malaysia untuk mempercayai bahawa kesemuanya adalah baik-baik sahaja.
Tetapi statistik global dari Indeks Kos Sara Hidup Generasi Y (GYCLI) telah membawa pendedahan.
Laporan Knight Frank Global Cities 2015 yang julung kali diadakan, yang diterbitkan pada 25 September mendedahkan bahawa tiada bandar Asia yang berjaya mendapat tempat 10 teratas.
Ini bermakna, Generasi Y berhempas pulas mencari rezeki setiap hari tanpa dapat menyimpan. Kuala Lumpur tidak pun berada dalam tangga 20 teratas.
GYCLI menilai kos sara hidup di bandaraya-bandaraya global kepada golongan profesional muda.
Hong Kong muncul sebagai bandar yang paling kurang berpatutan manakala Frankfurt mengungguli indeks itu. Semua tujuh bandaraya-bandaraya global Asia Pasifik berada di bawah tangga 10 teratas.
Keputusan laporan CLI ini menunjukkan bahawa graduan muda yang tinggal di Frankfurt mempunyai paling banyak pendapatan boleh guna, dengan kira-kira 60 peratus daripada gaji bersih mereka masih berbaki pada akhir setiap bulan, berbanding dengan 4.61 peratus defisit bagi graduan-graduan Hong Kong.
GYCLI memberi tumpuan kepada graduan muda di daerah-daerah perniagaan pusat (CBD), dengan menggunakan pembolehubah seperti gaji permulaan graduan, kos penginapan, bil, sewa serta harga satu pain bir, secawan kopi dan barang-barang runcit.
Laporan itu menganalisis kos sara hidup di daerah-daerah yang baru muncul di sekitar CBD tradisional dunia di bandar-bandar terkemuka global, seperti kawasan sekitar Square Mile di London, atau Downtown New York.
Ketua penyelidikan perdagangan Knight Frank, James Roberts berkata: "Banyak daerah-daerah yang baru muncul di sekeliling CBD tradisional telah membangun sebagai tempat bertenaga dan canggih untuk didiami, dan sering menarik siswazah-siswazah muda untuk memulakan kerjaya mereka di situ.
"Bagaimanapun, apabila populariti kawasan-kawasan ini meningkat, harga akan naik dan graduan muda sering bergelut untuk kekal mendiami kawasan itu.
“Ia tidak boleh lagi dianggap bahawa pekerja-pekerja yang lebih berumur mahu berpindah ke pinggir bandar, sebaliknya mereka turut sukakan gaya hidup bandar yang bertenaga, jadi persaingan bagi mendapatkan tempat kediaman di kebanyakan lokasi-lokasi bergaya menjadi semakin panas. Satu cabaran di kebanyakan bandar-bandar global adalah bagi mengimbangi permintaan bercanggah bagi menempatkan gelombang firma baru, dan pekerja-pekerja mereka, dalam kawasan yang sama yang menjadi tumpuan ramai.”
Kos Sara Hidup Generasi Y (disusun mengikut kemampuan)
Sumber: Laporan Knight Frank Research/Newmark Grubb Knight Frank, Global Cities 2015, Mukasurat 93
Di bandar-bandar Malaysia, seperti ibu kota persekutuan Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru, graduan Gen Y tertekan dari segi kewangan.
Jangan disebut mengenai makan mewah atau bufet dalam suasana berhawa dingin di hotel untuk memikat gadis, atau bakal pelanggan.
Adakah sesiapa yang terfikir mengapa di Lembah Klang, kedai-kedai nasi campur tradisional ekonomi sudah tidak lagi ekonomi. Sepinggan nasi boleh menelan harga RM10 atau lebih!
Set makan tengah hari/malam nasi beriani boleh dikenakan caj sehingga RM18 bagi seorang!
Nasi Kandar dan daun pisang? Jangan tanya. Anda minta pelayan untuk mengira sebanyak tiga kali, dan dia akan memberikan anda tiga harga yang berbeza.
Dengan kenaikan yang akan berlaku terhadap harga bahan api dan kadar tarif kuasa, ditambah pula dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April akan datang, apa yang boleh rakyat Malaysia jangkakan tahun depan?
Ramai yang pasti akan menjawab bahawa kos sara hidup di Singapura adalah lebih tinggi daripada di Malaysia. Ini tidak tepat atau benar.
Sepinggan nasi lemak di pusat penjaja makanan di Singapura (dengan sepotong ayam, telur, kentang dan sayur-sayuran) hanya berharga S$3.50.
Bagaimana pula di Malaysia? Sudah tentu anda tidak boleh menukar matawang dan menyatakan yang ianya adalah lebih mahal daripada di Malaysia, apabila anda memiliki dolar Singapura.
Selain itu walaupun kos sara hidup di Singapura adalah lebih tinggi, tetapi pendapatan individu juga telah meningkat secara berkadar. Seorang guru sekolah menengah dibayar lebih daripada $10,000, belum termasuk bonus. Bandingkan ini dengan guru-guru di Malaysia.
Jadi, apakah masalah-masalah sosio-ekonomi sebenarnya di Malaysia? Kerajaan atau rakyat?
-http://bm.theantdaily.com
Ng Kee Seng percaya bahawa tuhan sentiasa membantu mereka yang menolong diri mereka sendiri. Dalam sebuah demokrasi yang sihat, setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam politik dan negara.