"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa HARAPAN boleh dan tak boleh buat jika menang PRU14

Zikri Kamarulzaman
Pakatan Harapan satu langkah lagi untuk menjadi gabungan rasmi dan menawarkan dirinya sebagai pencabar utama untuk merebut Putrajaya.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang akhbar tengah malam Khamis lalu, mengumumkan senarai ikrar pakatan itu, termasuk penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

Namun, jika HARAPAN memenangi pilihan raya umum ke-14, apa sebenarnya yang ia boleh - atau tidak boleh - dilakukannya di Parlimen, dengan andaian pakatan itu menang hanya dengan majoriti mudah.

Bolehkah ia menghapuskan GST?

Ya. Majoriti mudah di Parlimen sudah memadai untuk HARAPAN memperkenal, meminda atau memansuhkan undang-undang, yang bermakna ia boleh menghapuskan GST meskipun terdapat peringatan sebaliknya dari para ahli ekonmi.

Kuasa untuk menggubal undang-undang juga bermakna ia boleh menghapuskan undang-undang seperti Akta Hasutan.

Bolehkah ia menghadkan penggal jawatan perdana menteri?

Ya dan tidak. Had penggal jawatan boleh dilaksanakan atas dasar prinsip. Bagaimanapun, ini bermakna tiada apa yang dapat menghalang sesiapa sahaja daripada melakukan 'pusingan-U' terhadap janji ini.

Undang-undang mengenai perkara itu boleh diluluskan - tetapi undang-undang mudah dimansuhkan.

"Undang-undang tidak akan mencukupi untuk menjadikannya kekal," tegas Wan Saiful Wan Jan kepada Malaysiakini.

Ahli sains politik Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat berkata cara terbaik untuk melakukan ini ialah meminda Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, yang mentadbir perkara mengenai kabinet.

Ini sama dengan bagaimana Perkara 125 menyatakan bahawa hakim Mahkamah Persekutuan hanya boleh memegang jawatan sehingga umur maksimum 66 tahun dan enam bulan.

Bagaimanapun, meminda Perlembagaan Persekutuan memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen, sesuatu di mana kerajaan dengan majoriti mudah sukar mencapainya.

Bolehkah ia mengubah sistem pilihan raya?

Ya. Sistem pilihan raya semasa - first-past-the-post (FPTP), di mana pemenang ambil semuanya, telah menjadi titik perbalahan selama bertahun-tahun.

Sistem ini boleh menyebabkan kekalahan HARAPAN dalam pilihan raya umum akan datang jika PAS memecah undi pembangkang, yang membolehkan BN menang walaupun, dalam beberapa kes, mendapat kurang daripada 50 peratus undi.

Bagaimanapun, masalah yang menyelubungi FPTP boleh diselesaikan dengan meminda Seksyen 13 (1) - Akta Pilihan Raya untuk beralih kepada sistem pilihan raya yang lain.

Wong berkata Perkara 116 dan 117 perlembagaan menentukan bahawa pilihan raya mestilah berdasarkan kepada sistem 'single-member constituencies' atau sistem daerah.

Ini bermakna kita mempunyai tiga pilihan - FPTP, sistem dua pusingan Perancis, dan sistem undi alternatif Australia, kata Wong kepada Malaysiakini.

Kedua-dua sistem pengundian dua pusingan dan sistem undi alternatif akan menghapuskan kesan 'spoiler' bila lebih daripada dua parti bertanding dalam pilihan raya dan untuk memastikan bahawa pemenang akhirnya akan mempunyai sekurang-kurangnya '50 peratus tambah satu undi '.

Bolehkah masalah gerrymandering diselesaikan?

Mungkin tidak. Perkara 113 (2) perlembagaan mengatakan bahawa persempadanan semula hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya selang lapan tahun.

Oleh itu, sekiranya kerajaan BN sekarang dapat meneruskan dan meluluskan proses persempadanan semula sebelum PRU14, maka tangan HARAPAN akan terikat dengan perkara ini, kecuali jika ia dapat memperolehi majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Wong menjelaskan bahawa dengan majoriti mudah, HARAPAN masih boleh mencetuskan persempadanan semula di peringkat negeri dengan menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri, tetapi ini perlu dilakukan oleh kerajaan negeri masing-masing.

Bolehkah HARAPAN melemahkan kedudukan orang Melayu, Islam dan institusi diraja?

Tidak. Umno boleh mendakwa bahawa pembangkang akan melemahkan kedudukan orang Melayu, Islam dan institusi diraja jika BN kalah, tetapi ketidakmampuan untuk meminda perlembagaan bermakna institusi-institusi ini akan dilindungi oleh hukum tertinggi negara.

Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shamrahayu Abd Aziz berkata HARAPAN tidak akan berbuat demikian, demi mengekalkan 'political mileage' atau keuntungan politiknya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan bahawa walaupun peruntukan perlembagaan tidak akan dimansuhkan, namun dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan HARAPAN mungkin tidak memegang peruntukan-peruntukan ini dengan amat tinggi.

Menurutnya, perasaan bahawa institusi Islam dan Raja-Raja Melayu terancam bukan kerana peruntukan undang-undang, tetapi kerana sikap, rekod perdebatan semasa tentang bagaimana rakyat bercakap tentang kebebasan untuk propagate (menyebarluas), kebebasan beragama dan sebagainya

Umno ulangi sikap gengster, dakwa Amanah

MALAYSIA DATELINE
Poster jamuan raya melaka
Umno mengulangi sikap tidak bertamadun mereka apabila mensabotaj tapak program jamuan hari raya Pakatan Harapan (Harapan) Melaka, dakwa Timbalan Pengerusi Amanah Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab.

Beliau berkata, jamuan itu akan berlangsung pada hari ini dan Harapan sudah membuat tempahan awal untuk meyewa tempat tersebut tetapi Umno tanpa segan silu ingin menggunakan dataran tersebut dan mengadakan program jamuan hari raya pada tarikh dan masa yang sama.

"Sebagaimana biasa mereka bertemu dengan tuan tanah dan mungkin menawarkan wang sewa yang jauh lebih tinggi dari kadar sewaan yang dibayar oleh Harapan. Mungkin juga tuan tanah diugut. Ini kerana kerja-kerja jahat seperti ugut, pukul ala gengster ini sudah sebati dengan mereka.

Buktinya baru-baru ini Ketua Armada PPBM ditumbuk dan dipaksa makan cili selepas tercetus perbalahan tentang bendera semasa jamuan hari raya PPBM di Tanjung Kling," katanya dalam kenyataan.

Sofi berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Umno pernah 'merampas' Markas Pas di Bukit Baru, malah dengan kejam merobohkan Pasti dan Pejabat Pas Kawasan Bukit Katil atas alasan ingin membina jalan baru.

"Rakyat tidak lupa perangai mereka yang akan mengadakan ceramah di sebelah ceramah pembangkang. Malah peristiwa penyokong PR berdarah kepala semasa ceramah Anwar Ibrahim di atas tanah Hj Yassin Abd Ghani masih segar dalam ingatan," katanya.

Akibatnya, kata Sofi, rakyat menghukum Umno-BN pada PRU13 apabila dua kerusi tradisi Umno iaitu Parlimen Bukit Katil dan Dun Bukit Baru jatuh ke tangan PR pada masa itu.

"Kini Umno mengulangi perangai tidak bertamadun itu. Mereka tidak pernah serik dan tidak belajar dari peristiwa lalu," katanya.

Abang tergamak rogol adik sendiri sejak 4 tahun lalu

Indonesia, Kompas melaporkan seorang abang berusia 27 tahun tergamak memperkosa adiknya yang berusia 12 tahun di Pontianak.

Perogol tersebut sudah pun diberkas oleh pihak berkuasa susulan mangsa telah membuat laporan di atas perlakuan jijik abangnya itu.

Menceritakan kejadian ketika pertama kali dirogol pada empat tahun lalu, mangsa mengatakan dia pada mulanya diajak suspek untuk ke bahagian dapur rumah.

Kerana fikirkan hubungan adik beradik, si mangsa tidak mengesyaki apa apa kerana ketika itu mangsa baru berusia lapan tahun.

Jijik sungguh perilaku si abang kerana sanggup berbuat demikian terhadap adik kecilnya.

Bukan sekali sahaja diperkosa, tetapi perbuatan itu berlarutan sehingga bulan Jun lepas.
-kualalumpurpost

10 petanda ekonomi Malaysia KO

AMRAN AHMAD NOR Pada tahun 2009, kita digembar-gemburkan dengan pelaksanaan program transformasi ekonomi (ETP) diiringi program transformasi kerajaan (GTP) yang menyasarkan negara pada landasan betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

GTP dan ETP dikatakan berdasarkan prinsip inklusif atau keterangkuman dan mampan yang mampu menjurus kepada kehidupan rakyat yang lebih berkualiti selain meningkatkan pertumbuhan pelaburan sektor swasta.

Namun, hari ini selepas sekitar tujuh tahun pelaksanaan kedua-dua program tersebut, rakyat kian mengadu, mengeluh mengenai 'kejayaan ekonomi negara' yang tidak dirasai walaupun kerajaan berikrar untuk mendengar denyut nadi rakyat.

Walaupun Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia semalam mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus dengan mengumumkan kadar inflasi menurun kepada 3.9 peratus pada bulan Mei, keadaan tersebut seperti tidak membawa apa-apa makna.

Petanda pertama hingga ketiga

Pertamanya, kebanyakan rakyat Malaysia yang 90 peratus daripada terdiri daripada golongan makan gaji tidak lagi mampu bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang melonjak secara tidak terkawal.

Ekonomi rakyat tidak 'semakmur' ekonomi negara setelah kemampuan berbelanja menjadi semakin menipis saban hari. Ia bersangkut-paut dengan faktor kedua yang menunjukkan ekonomi negara adalah tidak sihat iaitu kadar inflasi yang pernah meledak kepada 5.1 peratus kira-kira tiga bulan yang lalu.

Lebih merunsingkan agensi penarafan RAM Rating Services Bhd menaikkan unjuran inflasi bagi tahun ini kepada 3.8 peratus daripada 3.0 peratus pada asalnya, berdasarkan kepada momentum pemulihan harga minyak yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama.

Ini membawa makna bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bergerak seiring dengan kenaikan inflasi yang akan menterjemah kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lebih mahal di masa depan.

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) turut menyumbang kepada petanda ketiga keadaan semasa ekonomi Malaysia kerana ia menjadi petanda jelas kebergantungan negara kepada pendapatan minyak walaupun negara telah 60 tahun mencapai kemerdekaan.

GST diperkenalkan sebagai 'strategi penyelamat' bagi membendung kesan penurunan pendapatan negara ekoran penurunan harga minyak global, sekali gus, membawa mesej jika harga minyak mentah global meneruskan trend menurun, maka, lebih banyak barangan akan dikenakan cukai itu.

Faktor keempat hingga ketujuh

Faktor keempat yang menjurus kepada status semasa ekonomi tidak baik ialah paras gaji rakyat negara ini yang masih rendah.

Memetik Laporan Gaji dan Upah 2016 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, gaji penengah pekerja di Malaysia naik 6.2 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dengan gaji penengah pekerja tempatan yang tidak termasuk pekerja asing hanya meningkat tiga peratus sahaja pada tahun lepas.

Ini membawa makna bahawa pertumbuhan gaji warga asing mengatasi pekerja warga tempatan dan jika ditolak kadar inflasi, kenaikan gaji penengah pekerja tempatan tidak mencecah satu peratus atau dalam perkiraan yang lebih jelas, ini adalah peningkatan gaji bulanan sekitar RM17 sahaja.

Faktor kelima ekonomi Malaysia tidak memuaskan pula ialah prestasi ringgit yang menjadi mata wang paling teruk berbanding Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan jika dibandingkan dengan nilai pada tahun 2007.

Sejak tahun 2008, nilai ringgit mengalami penyusutan sebanyak 27.7 peratus sedangkan nilai matawang serantau naik 6.8 peratus secara purata.

Tempias skandal 1MDB

Lebih teruk lagi, kejatuhan nilai ringgit sebenarnya jauh lebih cepat berbanding mata wang lain semenjak The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan berita mengenai skandal 1MDB yang membabitkan dana yang dimasukkan ke akaun Malaysian Official 1 (MO1).

Selain itu, petanda keenam pula ialah keluhan Kongres Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mengenai penjawat awam di Malaysia yang memiliki hutang RM880 juta dan berdepan risiko untuk muflis.

Ekoran kenaikan kos sara hidup, kebanyakan penjawat awam dikatakan lebih cenderung membuat pinjaman bagi menampung keperluan harian dan perayaan di samping terdedah kepada penggunaan kredit kad tanpa kawalan, hutang koperasi, pinjaman peribadi bank dan 'berhutang dengan along' yang akhirnya membawa kepada risiko muflis.

Petanda ketujuh pula ialah suasana semasa sektor korporat tempatan yang menyaksikan firma yang pernah menjadi kebanggaan Malaysia iaitu Proton Holdings Berhad 'dijual' kepada firma dari China yang bakal menyaksikan kawalan pengurusan terutama dari aspek pemilihan vendor dan kakitangan dari bekas negara komunis itu yang jauh lebih murah.

Secara logik, apa perlunya Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd China untuk memilih vendor tempatan ataupun menggajikan pekerja tempatan sekiranya kos pembikinan komponen dan sistem penggajian adalah jauh lebih rendah jika mereka berbuat demikian di China dan mengambil pekerja warga sendiri.

Kesan pekerja Proton, bank

Perkembangan terbaru membabitkan Proton itu pastinya akan 'menyakitkan' para vendor dan kakitangan Proton yang mungkin terpaksa menutup perniagaan atau mencari pekerjaan baru dalam suasana prospek pekerjaan semasa ekoran kebanjiran warga asing yang lebih kompetitif.

Di samping itu, jika tidak diuruskan dengan menyeluruh, proses penggabungan bank-bank tempatan pastinya akan memberi kesan kepada para pekerjanya yang pastinya berdepan dengan tawaran Skim Pemberhentian Sukarela (VSS). Persoalannya, mahu kerja apa selepas VSS?

Petanda kelapan pula ialah prestasi kutipan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang secara langsung menunjukkan ketidakmampuan bekas pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk membayar pinjaman akibat tidak mendapat pekerjaan tetap atau gaji berpatutan dengan sijil.

Walaupun bukan semua atau tidak keterlaluan untuk menganggap bahawa majoriti peminjam PTPTN mahu membayar pinjaman di sebalik ketidakmampuan mereka, kekangan untuk mendapat pekerjaan tetap dengan upah berpatutan menyekat mereka daripada menjadi peminjam yang baik.

Dengan kos sara hidup yang meningkat serta keperluan hidup lain seperti melangsungkan perkahwinan dan menyara ibu bapa, mereka yang baru memulakan kehidupan selepas tamat pengajian berada dalam dilema untuk sama ada membeli keperluan asas atau membayar pinjaman PTPTN.

Masalah Uber, GrabCar dan teksi

Faktor kesembilan ekonomi Malaysia tidak baik ialah penemuan kajian oleh DAP baru-baru ini yang mendapati para pemandu Uber dan GrabCar tak semewah dahulu dengan 51 peratus daripada mereka kurang menjana pendapatan berbanding setahun yang lalu.

Ini belum termasuk masalah yang membelenggu para pemandu teksi tempatan seperti kos sewaan tinggi yang perlu ditanggung oleh mereka di bawah sistem teksi sedia ada yang secara langsung memberi kesan ke atas sekitar 80,000 pemandu teksi di seluruh negara.

Kesepuluh, ekonomi Malaysia juga tidak sihat kerana terlalu bergantung kepada pelaburan dari negara China yang membawa makna pergantungan kepada dana asing untuk memajukan ekonomi tempatan dan keterpaksaan untuk akur dengan kuasa asing demi kepentingan ekonomi negara.

Justeru, dengan negara kini berada di persimpangan sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-14, rakyat boleh menilai dan membandingkan sendiri ekonomi negara dan poket sendiri.

Jika kekal mengundi parti pemerintah semasa, nantikan GST ke atas lebih banyak barangan.

Namun, jika berani untuk berubah, tunggu penzahiran komitmen pembangkang untuk menghapuskan GST, sistem kroni dan pastinya, mahu menunjukkan mereka lebih baik dari kerajaan sedia ada.

AMRAN AHMAD NOR merupakan bekas wartawan meja ekonomi Utusan Malaysia yang dibuang kerja pada tahun 2009 atas perjuangan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ). Kini menjadi anggota seumur hidup DAP. Beliau anak arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP Kebangsaan.

Mahathir umum Mat Sabu 'presiden Umno'

Walaupun terkenal sebagai pemimpin yang keras ketika 22 tahun pentadbirannya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pembangkang kini sering menonjol dengan pelbagai aksi santai dan lucu.

Terbaru, bekas perdana menteri keempat itu, tengah malam tadi membuat 'lawak' baru dengan mengumumkan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu sebagai “presiden Umno”.

“Yang berbahagia Tuan Haji Mohamad Sabu, presiden Umno,” katanya ketika mengumumkan struktur rasmi Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Kesilapan itu membuatkan bilik sidang media yang diam menjadi bingit dengan gelak ketawa.

Sebelum itu Mahathir ditegur oleh seseorang: “AMANAH”.

Mahathir secara spontan membetulkan pengumumannya: “Oh, AMANAH”.

Beliau juga secara spontan memanggungkan kepala, turut ketawa besar, menepuk dahi sendiri dan memandang Mohamad.

Mohamad juga, seperti pemimpin-pemimpin kanan lain Pakatan dan petugas media, turut ketawa besar dengan keletah itu.

Mahathir bagaimanapun secara spontan terus mengusik Mohamad: “Saya turun pangkat dia”.

Beliau kemudian terus menghabiskan pengumuman itu ketika suara-suara tawa kecil masih kedengaran.

Baru-baru ini Mahathir turut menggelikan hati pengguna Internet apabila lupa lirik ketika menyanyikan lagu raya dalam video yang disiarkan di Facebook BERSATU.

Ketika Ramadan lalu, terdapat juga video beliau bergurau dengan jemaah dengan bertanya sama ada beliau boleh merasa bubur lambuk yang sedang dikacaunya di Kodiang dalam kawasan kubu kuatnya Kubang Pasu.

Sementara itu, mesyuarat pemimpin kanan lebih HARAPAN semalam berjaya memuktamadkan struktur dan logo rasmi mereka setelah perbahasaan hangat berbulan-bulan sebelum ini.

Mahathir secara rasmi dilantik sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu.


Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meringkuk di penjara Sungai Buluh pula dinamakan sebagai Ketua Umum, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.

Mahathir antara pihak yang menandatangan keputusan semalam selain pemimpin-pemimpin PKR, BERSATU dan DAP.

Beliau dilantik sebagai timbalan presiden bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng.
-malaysiakini

Buta al-Qurankah aku? (teguran tulus untuk presiden Pas)

ZOLKHARNAIN ABIDIN AL-ABYADHI
Bukan untuk berbangga, tetapi sekadar memulahazahkan diri sendiri. Aku telah mendengar dan memperdengarkan bacaan al-Quran-ku selama tiga tahun dengan guru sehingga tamat tanpa gugur walaupun sepatah. Bacaan al-Quran-ku bersanad.

Sudah lebih 10 tahun aku jadi imam solat terawih, dan sekurang-kurangnya 10 juz al-Quran aku baca dalam solat terawih setiap tahun. Antara 30 - 40 orang bersolat terawih bersamaku.

Aku sudah berkuliah tafsir di Perlis semenjak hampir 25 tahun yang lalu dan kini sudah sampai juz yang ke-21. Kuliah itu aku sampaikan dengan nota yang aku sediakan sendiri berpandukan beberapa kitab tafsir muktabar. Kini kuliah itu masih berlangsung.

Tidak ada hari yang aku tak baca al-Quran dan aku khatam al-Quran dalam tempoh tertentu tanpa leka. Di rumahku juga ada beberapa kitab tafsir muktabar yang aku rujuk termasuk puluhan versi tafsir ada dalam Maktabah Syamilah komputer riba aku.

Anak-anak aku juga, aku dan keluarga aku sendiri yang ajar mereka membaca al-Quran. Tidak ada seorang pun anak-anakku yang tak tahu baca al-Quran, bahkan mereka boleh membaca dangn lancar semenjak awal usia lagi. Ada yang menghafaz al-Quran secara bersendirian.

Dalam realiti itu, dua tahun lalu aku nekad keluar Pas. Aku ulang, aku keluar Pas secara nekad dengan menyertai Amanah. Dan, semasa dalam Pas dan selepas keluar Pas, begitulah rutin kehidupan aku bersama al-Quran, tidak pernah berubah.

Aku percaya, ribuan ahli Amanah juga kehidupan mereka dengan al-Quran sama seperti aku, bahkan aku yakin ada yang lebih baik berpuluh kali ganda berbanding aku. Mereka juga bekas ahli Pas. Hal yang sama juga ada pada mereka yang tak pernah pun masuk Pas.

Tiba-tiba Abdul Hadi berkata, sesiapa keluar Pas buta al-Quran. Hah... buta al-Quran-kah aku dan kami? Jika setara aku dan kami (maaf, bukan untuk bangga) masih dikata buta al-Quran, setara manakah baru dikira tak buta al-Quran? Adakah semua orang Pas sekarang tidak ada yang buta al-Quran, atau mereka dikira celik al-Quran kerana bersama Pas dan bukan bersama al-Quran?

Aku kenal ramai orang Pas, bahkan begitu kuat dukung Pas, baca al-Quran pun merayap-rayap. Apabila ada usrah, dia mengelak untuk baca al-Quran kerana takut diketahui tak tahu baca al-Quran. Adakah mereka tak dikira buta al-Quran? Oh tidak dikira begitu sebab mereka orang Pas...! Begitukah?

Maafkan aku wahai Abdul Hadi. Usahlah kamu rasa diri kamu dan parti kamu suci tanpa noda. Usahlah kamu cuba persoalkan nilai agama orang lain. Usahlah kamu ambil kerja Tuhan utk menentukan kesyurgaan atau kenerakaan orang lain. Jadilah hamba Tuhan, bukan cuba jadi Tuhan...!

Inilah teguran tulus daripada Zola untuk Abdul Hadi. Zola cerita tentang diri Zola sendiri bukan untuk bangga, tapi Zola tak ada maklumat tentang diri orang lain. Itu saja. Sekadar itu saja...! Semoga cerita ini menjadi iktibar kepada semua yang baca posting Zola ini.

Ibu dakwa anaknya ditampar, ditendang guru

Kota Kinabalu – Seorang ibu yang mendakwa anaknya ditendang dan ditampar oleh guru kerana lewat ke kelas, berharap sekolah berkenaan akan menggunakan cara lain untuk mendidik pelajar.

Suri rumah berusia 56 tahun dari Tawau itu mendakwa anaknya yang berusia 10 tahun mengalami kecederaan di betis selepas dipukul oleh gurunya Isnin lepas.

“Saya diberitahu, bahawa cikgu berkenaan telah menendang dan menampar anak saya kerana dia lewat ke kelas dan lupa membuat kerja sekolah.

“Tiada ke cara lainkah yang boleh digunakan selain keganasan?” tanya beliau.

Ibu pelajar itu berkata, anaknya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan selepas mengadu kakinya sakit dan sukar untuk berdiri.

“Doktor mengesyaki kakinya mengalami keretakan dan telah membalutnya,” ujarnya, sambil menambah balutan itu dibuka selepas doktor membuat pemeriksaan X-ray.

Ibu yang tidak mahu dikenali itu, membuat laporan polis pada Selasa dan berharap Jabatan Pendidikan akan mengambil tindakan lanjut.

Menurutnya, guru berkenaan, yang berusia 32 tahun dan merupakan bapa kepada dua anak, serta guru besar sekolah telah meminta maaf kepadanya.

“Tetapi, adakah meminta maaf cukup untuk memastikan keganasan seperti ini tidak berulang lagi?” katanya.

Timbalan Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mereka akan menyiasat kes ini.

“Kami akan memanggil para guru, guru besar dan saksi lain untuk mendapatkan kenyataan dari mereka,” katanya
-kualalumpurpost

Anwar, Dr M ketuai Pakatan, logo ‘gunung’ jadi pilihan

Vanesha Shurentheran and Khairil Ashraf
PETALING JAYA: Gabungan 4 parti di bawah Pakatan Harapan malam tadi mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin tertinggi, di samping memilih logo baharunya yang akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.

Anwar diumumkan “ketua umum” dan Dr Mahathir sebagai “pengerusi”, jawatan sama yang dipegang dalam parti masing-masing.

Dalam kenyataan bersama dibacakan Dr Mahathir, gabungan itu turut mengumumkan akan mengemukakan permohonan baru untuk mendapatkan pengampunan bagi Anwar, yang kini dilarang bertanding sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara pada 2015.

“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan…Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” kata kenyataan ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM, selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Antara hadir pada mesyuarat itu ialah Dr Mahathir sebagai pengerusi PPBM, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Ketika ditanya sama ada struktur baharu itu merestui Anwar sebagai calon perdana menteri, Dr Mahathir menjawab:
“Dia akan dibebaskan hasil usaha perdana menteri yang terdahulu daripadanya dan kita akan mohon supaya dia dapat pengampunan diraja dan selepas itu kita akan melalui proses undang-undang,” katanya, sambil menambah ia sesuatu yang tidak dapat dilakukan serta merta “kerana perdana menteri yang akan mengambil alih ini mempunyai tugas yang banyak”.
Sebelum ini, timbul beberapa desakan supaya Dr Mahathir menjawat perdana menteri sebelum melantik Anwar yang kini masih menjalankan hukuman penjara.

Dr Mahathir enggan menjawab sama ada rancangan itu dipersetujui PH.

“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi,” katanya.

“Nombor 7 akan kita isytihar,” kata Dr Mahathir merujuk perdana menteri ke-7 selepas Datuk Seri Najib Razak.
“Tapi hari ini kita isytihar nombor 8 sahaja.”

Logo baharu ‘puncak gunung’

Logo rasmi yang dipilih mewakili gabungan itu berlatarbelakang warna merah, dengan perkataan “Harapan” dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya.

“Kita besarkan A menjadi satu gunung puncak yang tinggi,” kata Dr Mahathir selepas mesyuarat itu.

Logo baharu itu sekiranya didaftarkan akan buat pertama kali digunakan pembangkang pada pilihan raya umum. Sebelum ini, parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat yang kini
dibubarkan menyertai pilihan raya dengan logo masing-masing.
Senarai kepimpinan diumumkan hari ini hasil daripada rundingan yang memakan masa beberapa bula melibatkan pimpinan tertinggi 4 parti itu.

Selain Dr Mahathir dan Anwar, Wan Azizah dilantik menjadi presiden, dibantu timbalannya Muhyiddin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Empat naib presiden turut dilantik mewakili setiap parti, iaitu Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub.

Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai ketua setiausaha, manakala ahli Parlimen DAP, M. Kula Segaran dilantik bendahari.

Dalam kenyataannya, PH berjanji menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada April 2015, dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.
Ia antara 7 janji lain yang turut menyentuh harga petrol, kos kehidupan, reformasi institusi, rasuah, 1MDB dan Felda.
“Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan,” kata kenyataan itu.

Pemandu Uber dicabul penumpang berbadan sasa

Melaka: Seorang pemandu Uber melalui detik cemas apabila seorang penumpang warga asing berbadan sasa mencabulnya semasa berhenti menurunkan lelaki itu.

Pemandu wanita berusia 23 tahun itu mendakwa lelaki tersebut memegang tangan kirinya dan menciumnya ketika hendak membayar tambang.

Insiden dilaporkan berlaku di kawasan perumahan dekat Taman Kesidang pada Selasa lepas.

Pemandu berusia 23 tahun itu kemudian membuat laporan polis di balai polis Tengkera kira-kira pukul 2.30 petang, iaitu satu jam selepas insiden itu.

Penumpang itu diambil di Bukit Beruang.

Sebaik tiba di destinasi, penumpang itu didakwa enggan keluar dari kereta apabila tiba di destinasi dan mencabul pemandu tersebut.

The Star difahamkan bahawa penumpang itu turut mengajak pemandu wanita itu pergi ke satu tempat bersamanya.

Malah penumpang itu berjanji untuk menjaganya.

Namun wanita itu menjerit dan menyuruhnya keluar dari kereta sebelum pergi ke balai polis berdekatan.

Ketua polis daerah Melaka Tengah ACP Afnizar Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Dr Mahathir tetap bersama Anwar, tak perlu ‘U-turn’ lagi, katanya

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui beliau membuat “pusingan U” seperti yang kerap didakwa pemimpin Barisan Nasional (BN), sambil berkata tindakan seperti itu tidak lagi perlu dilakukan kerana sudah menemui rakan kongsi sesuai iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau memilih parti pembangkang dan bekas seteru politiknya itu untuk menjatuhkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan pelbagai salah laku yang disifatkannya sebagai “jembalang”.

“Saya dapati ada persamaan dengan parti-parti pembangkang yang menentang Umno dan BN. Terdapat juga persamaan dengan Anwar Ibrahim. Saya dan Anwar boleh bekerjasama setelah saya U-turn,” tulis Dr Mahathir dalam blognya hari ini.

Menurutnya, gandingan mereka berdua “bersama dengan yang lain-lain” akan menjatuhkan kerajaan dipimpin Najib “yang mundur, korup dan kleptokratik”.

“Itu objektif saya bekerjasama dengan Anwar. Tidak perlu U-turn lagi. Ianya telah pun berlaku,” kata Dr Mahathir.

Minggu lalu, Najib mendakwa Dr Mahathir berbaik-baik dengan Anwar kerana bimbang bekas timbalannya itu akan memberikan keterangan dalam pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal tukaran wang asing (forex).

Suruhanjaya itu diumumkan Kabinet bagi menyiasat kerugian berbilion dolar dialami Bank Negara Malaysia ketika pentadbiran Dr Mahathir, yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003.

Dr Mahathir hari ini menolak dakwaan beliau takut dengan keterangan Anwar, sebaliknya berkata RCI itu hanya bertujuan “mencari kesalahan saya”.

“RCI ke atas urusniaga matawang Bank Negara lebih 30 tahun dahulu bukan untuk mencari keadilan tetapi jelas satu usaha terdesak Najib untuk menutup mulut pengkritiknya. Ia tidak akan berjaya.”

Cabaran debat Dr Zuhdi memalukan Pas, kata Mahfuz

MALAYSIA DATELINE

Enggan menyahut cabaran pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki untuk berdebat, ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar sebaliknya menyifatkan cabaran Dr Zuhdi itu sebagai 'memalukan Pas' kerana belum berlaku dalam mana-mana parti politik, seorang pemimpin kanan parti mengajak ahli biasanya untuk berdebat.

Ketika dihubungi Malaysia Dateline, Mahfuz melahirkan perasaan terkejut dengan cabaran debat Dr Zuhdi berdasarkan kedudukannya sebagai ahli jawatankuasa Pas Pusat.

"Belum pernah terjadi pemimpin parti mencabar ahli biasa berdebat. Saya tiada apa-apa jawatan dalam parti," kata Mahfuz yang juga bekas naib presiden Pas.

Dalam pemilihan parti baru-baru ini, Mahfuz tidak mempertahankan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Pokok Sena dan tidak dilantik ke sebarang jawatan oleh Pas negeri dan pusat.

Mahfuz menyifatkan tindakan Dr Zuhdi itu sebagai memalukan Pas dan yakin ia dibuat atas kapasiti individu tanpa pengetahuan ahli-ahli lembaga pengarah PPP.

Menurutnya, sebagai pengarah sebuah agensi penyelidikan dalam Pas, Dr Zuhdi tdak sepatutnya melakukan tindakan yang menjejaskan imej parti.

Malah cabaran debat Dr Zuhdi, katanya mengesahkan persepsi umum bahawa perbezaan pendapat dalam Pas tidak diraikan malah ahli parti hanya perlu mengikut apa juga yang diputuskan pemimpin.
"Persepsi luar ini nampaknya dikukuhkan dengan tindakan Zuhdi," katanya.

Beliau menambah, Dr Zuhdi sepatutnya menumpukan tugas di bidang penyelidikan dan membentangkan hasil penyelidikan kepada pemimpin parti bagi manfaat parti.

Mahfuz turut menjawab sindiran Dr Zuhdi bahawa teguran beliau kerana 'sayangkan parti' dan mempersoalkan adakah ahli yang mengikut arahan secara membuta tuli dianggap sebagai 'sayangkan parti'.

"Saya bukan lakukan serangan terhadap parti seperti didakwa tetapi hanya berikan pendapat yang berbeza agar pemimpin Pas buat perubahan (kepada yang lebih baik)," katanya.

Semalam Dr Zuhdi mencabar Mahfuz yang juga bekas ketua pemuda Pas Pusat untuk berdebat.

Langkah ini kata Zuhdi penting bagi menjernihkan 'kecelaruan' Mahfuz jika benar bekas ketua pemuda Pas itu masih sayangkan parti.

Malah Dr Zuhdi yang menyokong kuat idea perpaduan Pas-Umno melihat ahli parlimen Pas itu semakin galak menjadi 'jurucakap' Pan (Amanah) dan DAP dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan Pas.

"Beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berselindung di bawah nada 'masih sayang kepada Pas' sedangkan tindakannya jelas untuk menyerang Pas. Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai MP Pas diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti," tegas Dr Zuhdi.

Pelayan wanita dakwa dicabul pegawai khas Adun

Predeep Nambiar
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan menyiasat dakwaan seorang bekas ahli majlis perbandaran mencabul seorang wanita yang baru memulakan tugas sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata lelaki terbabit dan wanita berusia 26 tahun itu akan dipanggil hari ini memberikan kenyataan.

“Kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan,” katanya kepada FMT.

Sumber yang rapat dengan penyiasatan kes itu berkata orang yang menjadi sasaran laporan polis itu kini bertugas sebagai pegawai khas kepada seorang Adun dan berumur awal 40-an.

Sumber sama berkata lelaki itu yang dalam keadaan mabuk membawa wanita itu ke kawasan letak kereta, memeluk dan menciumnya, sebelum memaksanya melakukan seks oral.
Difahamkan kawasan tersebut dilengkapi dengan kamera litar (CCTV).

Wanita terbabit enggan menuruti kemahuan lelaki itu, sebaliknya merasa “terkejut, takut dan menangis”.

Lelaki “berbadan besar” itu kemudian menanggalkan seluarnya dan melakukan onani sehingga air mani terkena di peha wanita itu.

Lelaki itu kemudian cuba menawarkannya wang sehingga RM500 untuk bermalam dengannya, tetapi ditolak.

Pengarah Penyelidikan Pas cabar Mahfuz berdebat

MALAYSIA DATELINE
Dr Zuhdi Marzuki
Rimas dengan kritikan bertali arus ahli parlimen Pas Pokok Sena terhadap parti sendiri, pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencabar Mahfuz yang juga bekas naib presiden parti itu untuk berdebat.


Langkah ini kata Zuhdi penting bagi menjernihkan 'kecelaruan' Mahfuz jika benar bekas ketua pemuda Pas itu masih sayangkan parti.

Malah Dr Zuhdi yang menyokong kuat idea perpaduan Pas-Umno melihat ahli parlimen Pas itu semakin galak menjadi 'jurucakap' Pan (Amanah) dan DAP dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan Pas.

"Beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berselindung di bawah nada 'masih sayang kepada Pas' sedangkan tindakannya jelas untuk menyerang Pas. Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai MP Pas diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti," tegas Dr Zuhdi.
Zuhdi menambah, PPP juga mendapat maklumat Mahfuz tidak lagi menghadiri program-program penerangan dan penjelasan tentang halatuju dan pendirian parti, sebaliknya terus menerus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

"Isu-isu yang dibangkitkan olehnya sebenarnya telahpun dijawab di dalam program-program yang dianjurkan oleh parti. Sikap yang ditunjukkan oleh MP Pokok Sena kelihatan sengaja dilakukan untuk menunjukkan hanya pandangan beliau yang tepat berhubung dengan senario terkini politik," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau atas kapasiti Pengarah PPP mencabar Mahfuz berdebat tentang isu-isu berkaitan halatuju dan pendirian Pas hari ini, untuk memberi ruang kepada bekas yang dipertua Pas Pokok Sena itu berhujah bahawa keputusan pucuk pimpinan Pas adalah tersasar seperti didakwa.

Bagaimanapun Dr Zuhdi mensyaratkan debat itu hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli Pas disebabkan isu-isu berkaitan halatuju dan pendirian parti banyak berkaitan dengan hal ehwal dalaman Pas.

Selain PPP, beliau turut mempelawa agensi parti yang lain khususnya yang berada di bawah Badan Perhubungan Pas Kedah untuk menjadi penganjur debat sekiranya Mahfuz lebih selesa.

"Debat tersebut diharapkan dapat menjernihkan kecelaruan Datuk Mahfuz, jika benar beliau bertindak sebelum ini kerana sayangkan parti. PPP bersedia menjawab dakwaan-dakwaan beliau dalam debat tersebut, dan Datuk Mahfuz sewajarnya tidak lagi celupar jika kesemua dakwaan beliau sudah terjawab," katanya.

Pelajar UTHM hanya makan nasi putih dan kuah, dakwa peniaga kedai makan

AMINJAGAT

Akibat kos sara hidup yang semakin meningkat, kesannya turut dirasai dikalangan pelajar khususnya di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dakwa seorang peniaga kedai makan 'Line Clear' di Batu Pahat dalam tinjauan dilakukan krew 'Jelajah Live Bongkar' anjuran Amanah Negeri Johor baru-baru ini.

Krew 'Jelajah Live Bongkar' telah membuat liputan di sekitar kawasan Batu Pahat bagi mendapatkan respons orang ramai mengenai kenaikkan harga barang yang kian mencengkam masyarakat di negara ini.

Menurut Baharudin Omar, 55 , (Gambar) yang meluahkan rasa simpatinya melihat nasib pelajar-pelajar di UTHM dakwanya, terpaksa berjimat sehingga terdapat dikalangan pelajar itu hanya makan nasi berlaukkan kuah sahaja serta air kosong semata.

Pengusaha kedai makan yang menjadi tumpuan pelajar dari universiti itu juga meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan keadaan ekonomi yang semakin mendesak rakyat ketika ini sehingga turut menjejaskan perniagaannya.

“Kalau tengok pelajar yang datang makan di sini hanya makan nasi putih, kuah serta air kosong saja.Kita akan berasa sedih dan kebanyakkan mereka datang dari keluarga yang susah serta tidak berkemampuan.

“Dulu ada juga pelajar yang hidup macam ni, kalau dulu dari sepuluh orang kita akan tengok dua daripadanya saja yang makan macam ni tapi hari ni boleh dikatakan lapan hingga sembilan orang yang akan makan macam ni sepanjang waktu.

“Ekonomi kita teruk, saya akui pelanggan saya semakin susut dan peniagaan ini tidak rancak macam dulu. Bagi saya ini adalah disebabkan faktor ekonomi rakyat yang semakin teruk terbeban, cuba lihat gaji macam tu tapi barang belanja semakin mahal,” katanya.

Suhaizan KaiatManakala Pengarah program 'Jelajah Live Bongkar', Suhaizan Kaiat (Gambar kiri) meluahkan rasa kesedihannya dengan apa yang berlaku terhadap pelajar yang terpaksa menanggung kesan dari kepincangan pengurusan ekonomi di negara ini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor itu juga menegaskan agar pihak kerajaan memandang serius akan perkara yang berlaku ini supaya pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dapat meneruskan pembelajaran mereka secara lebih selesa dari keadaan sekarang.

“Saya merasa sedih dengan apa yang berlaku ketika ini mengenai nasib pelajar-pelajar di IPT khususnya di UTHM yang terpaksa mengikat perut atau berjimat sehingga tahap sebegini rupa sedangkan negara kita digemburkan sebagai negara membangun.

“Harapan saya adalah untuk pihak kerajaan segera menyelesaikan masalah ini agar pelajar-pelajar di IPT dapat menjalani pembelajaran mereka secara lebih selesa tidak seperti hari ini mereka dijadikan mangsa akibat daripada pengurusan ekonomi yang tidak cermat,” Suhaizan Kaiat.

Program 'Jelajah Live Bongkar' ini adalah suatu insiatif bagi mendekati masalah yang dialami oleh masyarakat terbanyak di negara ini dalam menjalani atau menghadapi permasalahan yang berlaku dalam hidup mereka hari ini.

Lelaki ditahan sembelih, jual daging anjing

Bernama 
SIBU: Polis Sibu menahan seorang pengusaha gerai makanan selepas menyerbu sebuah premis menyembelih serta menjual daging anjing di Lorong Rambutan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah berkata, lelaki berumur 54 tahun itu yang juga pemilik premis terbabit ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan menyembelih dan menjual daging anjing.

Turut dirampas 2 ketul daging anjing.

Menurut beliau, suspek mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut dan akan direman untuk siasatan lanjut.

Turut serta dalam serbuan tersebut adalah pegawai daripada Jabatan Veteriner Sibu dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan semalam mengesahkan terdapat 1 lagi kes baru rabies dari Kampung Ampungan, Serian selepas melalui ujian makmal dan menjadikan 4 kes dicatatkan di negeri ini.

Dua kanak-kanak meninggal dunia kerana penyakit itu manakala seorang lagi dilaporkan masih kritikal dan tenat di Hospital Umum Sarawak.

Remaja terbunuh cas telefon ketika mandi

Texas – Seorang remaja Texas terbunuh apabila kabel pengecas telefon bimbitnya terjatuh ke dalam tab mandi.

Madison Coe, 14 dari Lubbock, meninggal dunia ketika mandi di rumah bapanya di New Mexico hujung minggu lalu.

Polis di Lovington, New Mexico, berkata mangsa dilihat seperti terkena kejutan elektrik dan menemui telefon bimbit, kabel pengecas dan kabel sambungan di bilik mandi tersebut.

Nenek Coe memberitahu dalam temu bual bersama stesen televisyen KCBD, gadis itu mempunyai tanda terbakar di tangannya.

“Tragedi seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi kepada orang lain,” kata nenek remaja itu, Donn O’Guinn.
“Kami menginginkan sesuatu yang baik dengan berwaspada serta kesedaran tidak menggunakan telefon bimbit di bilik mandi,” tambah O’Guinn.

“Dia seorang yang baik dan semua orang sukakannya”. – mStar

Meterai perjanjian baru dengan PKR dan DAP jika Pas mahu dilihat bermaruah - Datuk Mahfuz Omar

MALAYSIA DATELINE
Pas harus memeterai perjanjian baharu dengan PKR dan DAP jika mahu dilihat bermaruah untuk terus berada dalam kerajaan Selangor, kata ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, jika Pas tidak berbuat demikian parti itu akan terus dilihat mahu mengambil kesempatan dan peluang berada dalam kerajaan Selangor.

Mahfuz Omar"Rakyat memahami bahawa yang 'menceraikankan' hubungan kerjasama politik dengan PKR dan DAP ialah Pas oleh itu saya tidak mahu lihat 'parti saya' dan sahabat-sahabat saya dari 'parti saya' akan terus ditertawakan rakyat dan dilihat mahu ambil kesempatan dan peluang berada dalam kerajaan Selangor.

"Sedangkan Pas telah isytihar akan menentang PKR dan DAP pada PRU14 nanti," kata Mahfuz dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pas Selangor bahawa rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas dalam PRU13 di negeri itu.

Menurut Mahfuz, PR adalah tahaluf siyasi tiga parti iaitu Pas, PKR dan DAP selepas PRU12 yang mengangkat kemenangan parti pembangkang sehingga dapat menguasai beberapa negeri.

Kesinambungan kerjasama antara tiga parti atas suara PR terus terjalin hingga kepada penyertaan dalam PRU13 yang lalu.

Namun jelasnya, tahaluf siyasi ini terungkai satu demi satu apabila Pas mengambil keputusan rasmi memutuskan hubungan dengan DAP melalui muktamarnya di Kuala Selangor dan disahkan pula oleh Majlis Syura Ulamak Pas.

Ini katanya berlaku walaupun dalam masa yang sama pimpinan Pas masih mempertahankan kedudukan dalam kerajaan PR Selangor atas alasan PR masih wujud kerana Pas bekerjasama dengan PKR.

"Akan tetapi dalam keadaan ikatan hubungan masih terjalin di Selangor, terkini 'parti saya' juga telah memutuskan hubungan dengan PKR melalui keputusan muktamar di Kedah dan disahkan pula oleh Majlis Syura Ulamak.

"Ya, betul mandat rakyat pada PRU13 untuk PR tetapi persoalannya bagaimana pula pimpinan Pas mahu menghalalkan kehadiran keberadaan PAS dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sedangkan kerjasama politik dengan gabungan suara parti-parti pembangkang yang bersama sertai PRU13 atas sudah terlerai dan ditamatkan oleh Pas?" soalnya.

Beliau juga berkata, jika dahulunya Pas berhujah bahawa mereka boleh terus berada dalam kerajaan negeri kerana masih mempunyai hubungan dengan PKR, kini parti itu juga memutuskan hubungan PKR.

"Senario kini hanya yang masih ada kerjasama dari PR terdahulu ialah PKR dan DAP sahaja.

"Hujah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang juga MB Selangor ada kebenarannya juga kerana masih lagi mengharapkan kerjasama dengan 'parti saya' iaitu Pas untuk dapat berjalan terus dan terjalin semula," katanya.

"Jika pembangkang kususnya Pas mahu dihormati rakyat dan parti lawan mestilah sentiasa 'subur mekar' dengan amalkan sikap 'serumpun bak serai, sesusun bak sirih'," katanya.