"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu royalti minyak: Kenapa Kelantan terkejut, tanyalah 3 menteri Pas dalam kerajaan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, kerajaan Kelantan sepatutnya bertanya kepada tiga menteri Pas yang berada di dalam kerajaan sekarang berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri berkenaan.

Ia susulan respon Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini yang menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang hanya akan memberi wang ihsan kepada Kelantan dan bukan wang royalti.

Justeru kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu, sepatutnya Menteri Besar Kelantan pergi bertanya secara terus pada menteri Kabinet kerana dua menteri dalam kerajaan adalah dari Kelantan.

“Lah, buat apa terkejut royalti Kelantan tak diberi. Tanya Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dia buat apa dalam Kabinet. Tiga menteri ada.

“Takkan hal bantuan Kelantan, tiga menteri, dua dari Kelantan tak boleh kata apa. Kalaulah mereka nak cakap tapi kerajaan tak setuju, keluarlah dari Kabinet.

“Sekarang ini Exco Kelantan tanya, mana royalti kami. Mu duduk dalam kerajaan kan, peliklah. Pergi jumpa menteri teruslah, tak perlu cakap dalam surat khabar.,” katanya semasa perasmian Konvensyen AMANAH Kelantan pagi ini.

Mat Sabu berkata, semasa pentadbiran Pakatan Harapan dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju memberi wang royalti sebanyak RM400 juta kepada Kelantan kerana keadaan ekonomi negeri itu yang agak jauh kebelakang.

Beliau juga membayangkan bahawa Kelantan kini mula merindui pentadbiran PH yang dahulu membayar wang royalti petroleum.

“Ertinya saya nampak kerinduan dalam PH itu timbul semula,” katanya lagi.

Pada 25 November lalu, Zafrul berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Namun begitu, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan, katanya.

Dr Maszlee sah sertai PKR selepas jadi MP Bebas

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik sah menyertai PKR hari ini selepas meninggalkan Bersatu dan Bebas selepas itu.

Maszlee mengumumkan penyertaannya dalam PKR dalam satu majlis penyerahan borang keahlian di Simpang Renggam yang dihadiri Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada hari ini, saya membawa mesej kepada orang-orang muda dan yang seusia dengan saya, bahawa harapan masih belum pudar. Kita masih punya harapan untuk bangkit semula dan membawa perubahan.

“Maka atas dasar inilah, saya seperti anda semua, rakyat biasa, rakyat marhaen, yang inginkan perubahan, membuat keputusan yang besar untuk bersama PKR,

“Hari ini, saya, ahli keluarga saya, para penyokong, keluarga besar Simpang Renggam akan mengundi, dan 500 rakyat Simpang Renggam akan menyerahkan borang permohonan keahlian menyertai PKR,” katanya disertai sorakan reformasi oleh penonton yang hadir.

Kemenangan BN di Melaka bakal lenyapkan PH?

DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM

Pilihan raya umum negeri Melaka sudah pun selesai. Apa yang dijangkakan – kemenangan bagi BN – memang menjadi kenyataan.

Cuma pencapaian dua pertiga itu yang dilihat sebagai kejutan memandangkan andaian pertarungan sengit antara tiga gabungan politik besar, BN, PH dan PN akan hanya menghasilkan kemenangan tipis bagi BN.

Ramai juga yang telah membuat analisis keputusan PRN ini. Artikel ini akan cuba melihat beberapa sudut daripada analisis-analisis yang telah dibuat bagi mendapatkan gambaran lebih besar dan asas tentang pola pemilihan dan kemampuan atau kebolehan parti-parti bertanding untuk terus mendapat sokongan rakyat negeri tersebut.

Secara umum, kebanyakan daripada perbincangan tentang kemenangan BN dan kekalahan PH membandingkan prestasi parti-parti ini pada PRU ke-14 dengan PRN yang baru lalu, tanpa mengambil kira keadaan dan suasana pada 2018 dan sekarang.

Ketika PH menang PRU ke-14, wujud gelombang besar penolakan terhadap BN (dan Umno yang menjadi terasnya) atas sebab isu GST dan 1 MDB.

Kesan GST telah menyebabkan kos kehidupan menjadi tinggi akibat inflasi dan menimbulkan kemarahan rakyat. Masa itu juga semua parti pembangkang (termasuk Pas, walau tidak bersama dalam PH) bersatu dalam menentang tindakan-tindakan kerajaan BN yang menyusahkan rakyat.

Media sosial sarat dengan kemewahan pemimpin kerajaan dalam keadaan rakyat ditekan kos hidup yang tinggi. Gelombang yang dijana oleh kemarahan rakyat tersebut mampu menumbangkan kerajaan BN di Pantai Barat Semenanjung, dari Kedah sampai ke Johor.

Walaupun menang di Melaka, PH hanya mengatasi BN dengan dua kerusi membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

Pencapaian 13 kerusi oleh Umno-BN di Melaka pada 2018 ketika gelombang menolak BN mencapai kemuncaknya, adalah sesuatu yang cukup baik menunjukkan kubu Umno di Melaka tidaklah terjejas sangat.

Seperkara yang perlu diperhatikan ialah sejauhmana PH setelah menang dalam PRU lepas membina kekuatannya tersendiri untuk terus relevan dan diterima rakyat?

Ini kerana sebagai gagasan yang baru mendapat mandat selepas menewaskan gergasi politik seperti BN, PH sepatutnya segera membina persepsi positif dalam kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu.

Malangnya, PH gagal membina struktur dan kekuatannya termasuk membina imej yang positif dalam kalangan rakyat.

“Branding” PH boleh dikatakan hampir-hampir tiada. Sepanjang 22 bulan memerintah, lebih banyak aspek negatif yang dibaca mengenai PH oleh rakyat daripada pencapaian postitfnya.

Gambaran yang tersebar melalui media massa ialah PH tidak mesra Melayu dan Islam – hasil serangan tentera siber pihak musuh – dan ini tidak ditangkis secara berkesan, menyebabkan stigma negatif terus melekat padanya.

Apa tidaknya, Kementerian Penerangan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menjelaskan dasar dan tindakan kerajaan PH semacam lumpuh kerana diketuai menteri yang tidak memahami sentimen, budaya dan pemikiran majoriti penduduk negara iaitu orang Melayu.

Hasilnya disaksikan dalam siri pilihan raya kecil bermula daripada Cameron Highlands sehingga Tanjung Piai di mana PH tewas dalam setiap PRK tersebut.

Stigma ini masih kekal pada PH sehingga sekarang kerana kelembapannya sendiri ditambah dengan tindakan atau kenyataan komponennya seperti DAP yang menyumbang kepada persepsi negatif yang telah dibina sejak 2018 lagi.

Harus diingat persepsi anti-DAP telah dibina sekian lama – dan sedikit sebanyak disumbang oleh DAP sendiri melalui tindak-tanduknya yang kurang bijak – justeru tanpa memberi solusi kepada persepsi ini dalam kalangan Melayu tradisional-konservatif, PH sukar maju ke hadapan.

PRN Melaka menunjukkan walaupun Umno terpalit dengan masalah integriti kepimpinannya, orang Melayu masih boleh mengundinya kerana kebimbangan yang wujud sekiranya “kuasa terlepas ke tangan bukan Melayu” – persepsi anti-DAP itu.

Ini ditambah dengan Bersatu tidak lagi menjadi komponennya. PH berdepan dengan masalah identiti – adakah ia “perjuangkan” hak orang Melayu atau terbawa dengan idealisme “demokratik liberal”nya?

Kenyataan terakhir ini menjelaskan keengganan Melayu tradisional-konservatif untuk memberi sokongan kepada gabungan tersebut.

Hanya kelompok Melayu bandar yang terdedah kepada isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan mendambakan pemerintahan yang baik – good governance – masih kekal memberi sokongan.

Banyak juga diperkatakan tentang peratusan yang keluar mengundi. Yang ini memang jelas – penurunan mendadak ke 65.6 peratus itu pastinya ada memberi kesan kepada prestasi PH.

Apatah lagi di beberapa DUN, peratusan kemenangan bagi BN kecil dan dapat diatasi sekiranya yang keluar mengundi lebih tinggi dan saingan daripada PN juga kecil.

Seperti yang disebut ramai pengulas pengundi luar dan pengundi bukan Melayu yang menjadi penyokong kuat PH berkurangan, hasilnya di beberapa kerusi “marginal” PH tewas, jika diperhatikan kepada jumlah undi popular yang diterima antara PH dan BN yang tidaklah begitu jauh.

Satu lagi faktor ialah penerimaan dua orang wakil bekas Umno yang menjadi penyebab kejatuhan kerajaan yang lepas tidak dipersetujui pengundi Cina, dan diterjemahkan dalam peratusan yang tidak memberangsangkan itu.

Namun bagi saya keputusan PRN Melaka mencerminkan betapa politik identiti masih menebal dalam kalangan masyarakat.

Pengundi Melayu tradisional-konservatif masih kuat berpegang kepada identiti keMelayuan yang dilihat diwakili oleh Umno (BN) dan sebahagian kecil kepada PN.

PH tidak dilihat sebagai gabungan yang boleh menjaga isu-isu orang Melayu dan Islam antara lain kerana tidak mempunyai parti Melayu majoriti seperti Bersatu misalnya.

Dari awal PH banyak membawa isu-isu nasional bersifat kosmopolitan, mesra masyarakat sivil, anti-rasuah dan sebagainya. Bagi masyarakat tradisional yang sudah lama diasuh dengan politik penaungan, isu-isu ini tidak banyak memberi kesan kepada mereka. Barangkali cara mempakej dan memasarkan isu-isu ini masih tidak efektif dalam kalangan masyarakat terbanyak.

Keputusan PRN Melaka juga memberikan isyarat tentang keperluan menilai semula isu kepimpinan dalam PH.

Memang tidak dapat dinafikan betapa banyak pengorbanan yang telah dibuat oleh pengerusi PH bagi menjayakan gabungan itu.

Namun tidak pernah muncul sebegitu banyak suara-suara yang mendesak atau meminta beliau undur daripada jawatan tersebut sepertimana sekarang.

Bagi pengamat politik, suara-suara ini mempunyai isyarat bahawa PH memerlukan pemimpin baru mengemudinya. Ini bukan bererti Datuk Seri Anwar Ibrahim terkeluar daripada struktur kepimpinan. Cuma pertukaran kepada eksekutifnya sahaja. Di Singapura, konsep ini diamalkan selepas Lee Kuan Yew tidak lagi menjadi Perdana Menteri satu ketika dahulu.

Dengan perkembangan terkini dalam politik Malaysia, apakah BN yang sedang marak akan terus merangka strateginya untuk kembali menguasai kerajaan Persekutuan dengan sokongan yang lebih besar, dengan itu menjadikan PH terus kekal sebagi pembangkang?

Jawapannya ada pada kepimpinan PH.

Ketika rakyat terhimpit harga barangan, Covid-19, pegawai Kelantan bersidang di KL dikritik

MALAYSIA DATELINE

Ketika rakyat terhimpit dengan harga barangan yang melonjak naik dan kekalutan ekoran Covid-19, tindakan kerajaan negeri Kelantan mengadakan persidangan pentadbir tanah di Kuala Lumpur dikritik ramai.

Ini kerana, mengadakan persidangan di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur bukan satu pilihan yang baik ketika rakyat berdepan dengan pelbagai masalah sekarang.

“Banyak-banyak hotel di kelantan hotel mewah di Kuala Lumpur menjadi pilihan.

“Sedang Rakyat jelata bergelut dengan kesusahan.. kerajaan Pas negeri Kelantan menghabiskan duit kerajaan menyewa hotel di ibu negara.

“Apa manfaat?” tanya Pemuda AMANAH Kelantan.

Mereka bertanya, tidak sedarkan kerajaan negeri Kelantan, mereka mengadakan majlis berkenaan di Kuala Lumpur ketika harga barang melambung tinggi sekarang ni.

“Sedar tak kerajaan Pas Kelantan,” tanya mereka.

Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan Persidangan Pentadbir Tanah Negeri Kelantan 2021 di Hotel Concord, Kuala Lumpur pada 24 – 25 November lepas. Turut serta adalah menteri besar, Datuk Ahmad Yacub.

Bagi pengkritik, Siti Kasim, Persidangan Pentadbir Tanah Negeri Kelantan yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur ini menimbulkan banyak tanda tanya.

“Kenapa? Adakan biasa untuk semua kerajaan negeri mengadakan perbincangan di luar dari negeri.

“Tanya je,” kata beliau.

'Naluri, nafsu saya masih lelaki tetapi penampilan saja perempuan'

Abe Pink dan Yana ketika sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. FOTO ihsan pembaca

Murnaena Muhammad Nasir
am@hmetro.com.my

Abe Pink dan Yana ketika sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. FOTO ihsan pembaca

Pasir Mas: "Naluri dan nafsu saya masih lelaki tetapi hanya penampilan saja ke arah perempuan terutama daripada segi pemakaian," kata individu hanya mahu dikenali sebagai Abe Pink, 35.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penampilannya yang berambut panjang dan bersolek ketika majlis sambutan ulang tahun perkahwinan bersama pasangannya, Yana, 29, yang bertemakan majlis persandingan.

Bapa empat anak itu berkata, berpenampilan feminin itu sebenarnya sudah menjadi minatnya sejak dulu lagi.

"Saya mula perlahan-lahan tonjolkan diri yang sebenar selepas berhenti berkhidmat sebagai penjawat awam selama 12 tahun pada 2015 lalu.

"Naluri dan nafsu saya masih lelaki tetapi hanya penampilan saja yang ke arah perempuan terutama dari segi pemakaian manakala bersolek pula hanya jika ada majlis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, perkongsian sambutan ulang tahun perkahwinan pasangan berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu di TikTok mendapat perhatian ramai sehingga ditonton lebih 3.3 juta kali setakat ini.

Mengulas lanjut, Abe Pink berkata, dia tidak terkejut dengan perkongsiannya tular baru-baru ini disebabkan penampilannya yang menyerupai wanita.

"Tahun lalu pernah viral mengenai minat saya suka pakai baju wanita dan terima banyak kecaman. Jadi, kali ini saya lebih tenang dan anggap ia perkara biasa. Saya terima saja semua pendapat netizen sama ada positif atau negatif terutama bab hukum agama," katanya.


 Yana dan Abe Pink. FOTO ihsan pembaca


Ditanya mengenai penerimaan isterinya, Abe Pink berkata, dia berterima kasih dengan Yana kerana memahami minatnya itu.

Saya boleh katakan isteri saya ini seperti satu dalam sejuta, dia tidak menyokong sepenuhnya kecenderungan saya itu tetapi sentiasa berada di sisi sama ada susah mahupun senang.

"Dia tahu diri saya kini dalam keadaan yang sukar dan jika isteri pilih tinggalkan mungkin saya akan menyimpang lebih jauh lagi," katanya.

Sementara itu, Yana berkata, dia menerima penampilan suaminya itu dan berharap warganet dapat mendoakan perubahannya.

"Awalnya tidak boleh terima, tetapi memikirkan dia adalah suami saya jadi perlahan-lahan biasakan diri.

"Lagipun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami kepada saya dan anak-anak. Manusia boleh berubah kerana itu saya sebagai isteri hanya bersabar dan tidak pernah putus berdoa," katanya.

Diminta mengulas mengenai sambutan berkenaan, Abe Pink berkata, pemilihan majlis persandingan lengkap dengan busana pengantin dan pelamin pada ulang tahun perkahwinan ketujuh bersama isterinya itu sebenarnya hanya kebetulan.

"Sepatutnya 8 Februari lalu hari ulang tahun kami tetapi tidak dapat meraikannya disebabkan wabak Covid-19.

"Kebetulan Isnin lalu ada penggambaran untuk produk saya jadi alang-alang itu saya buat majlis kecil-kecilan sambut sekali hari ulang tahun kami bersama kenalan lain," katanya yang juga pengasas produk makanan tambahan, Hommes Beauty.

PAS dengan mereka yang beli dan guna android box, kedua-duanya haram jadah?

Mufti Wilayah bincang hukum beli android box, Pas pula kena kutuk

FAZLI RADZI

Laman rasmi Pas, Harakahdaily menerusi Facebook dilihat menjadi tumpuan warganet gara-gara artikel, “Hukum membeli dan menggunakan android box.

Rata-rata netizen mengutuk Pas walaupun tulisan itu diambil dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Fatwa yang diterbitkan kelmarin.

Orang ramai antara lain menyindir pembentukan kerajaan Pusat yang turut disertai Pas meskipun tidak mendapat mandat rakyat melalui pilihan raya.

“Hukum android box pula yang keluar. Apa pula hukum kalah PRU tapi dapat jawatan sebab tebuk atap.

“Makan gaji buta lagi tu. Mintak mufti bagi pencerahan sikit,” perli pengguna Facebook, Md ESalleh.

Hal sama turut dibangkitkan Saiili Ismail, malah menganggap tiada beza antara Pas dengan golongan yang membeli android box.

“Bersekongkol dengan pengkhianat amanah rakyat, perasuah dan penyamun juga haram tapi kenapa lebai Pas boleh bersama dengan kemungkaran?

“Tiada beza pun parti Islam Pas dengan mereka yang beli dan guna android box. Kedua-duanya haram jadah,” tegasnya.

Kes lelaki dituduh curi ‘speaker’ maut dicekik, 2 beranak antara 3 direman

FMT 

Tiga suspek meninggalkan Kompleks Mahkamah Ipoh selepas perintah reman dikeluarkan majistret hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Dua beranak antara tiga individu direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di pasar pagi Flat Jalan Ashby di Ipoh, Perak yang dipercayai berpunca daripada kecurian alat pembesar suara.

Sinar Harian melaporkan, perintah reman dikeluarkan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas tiga lelaki itu mulai hari ini hingga Khamis depan.

Suspek berusia 60 tahun bersama anak lelakinya berusia 34 tahun serta seorang lagi lelaki berusia 47 tahun yang ditahan semalam disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, tiga lelaki itu tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh dengan menaiki van pada 10.47 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi semalam, empat lelaki dilaporkan bertengkar mengenai kecurian alat pembesar suara milik seorang daripada suspek.

Menurut laporan, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dicekik dalam pergelutan itu dan polis merampas sebilah pisau lipat di tempat kejadian.

Hanya sempat bergelar suami isteri setengah jam

Kaherah: Pasangan Mesir ini hanya sempat bergelar suami isteri setengah jam selepas dinikahkan apabila si isteri meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pengantin wanita, Nadia Taha Madhi meninggal dunia dalam pelukan suaminya ketika majlis perkahwinan mereka masih berlangsung di kampung Reda di selatan Mesir.

Nadia sebelum itu sempat menghubungi bapanya selepas kira-kira 25 minit majlis berlangsung, namun rebah dalam pelukan suaminya, ketika masih memakai gaun pengantin.

Bapanya tidak percaya anaknya itu meninggal dunia selepas dia pulang seketika untuk berehat.

"Anak saya sangat gembira apabila dia menari bersama adik-beradiknya dan menerima tetamu ketika majlisnya.

"Saya terus ke rumah saya selepas majlis perkahwinan untuk berehat selepas melalui hari yang panjang.

"Dia menghubungi saya sebaik sahaja saya tiba di rumah, 30 minit kemudian saya menerima berita mengejutkan mengenai kematiannya," katanya seperti dilaporkan Gulf News.

Katanya, dia masih terkejut dengan kejadian itu.

"Saya masih terkejut kerana saya tidak faham apa yang berlaku, tetapi apa yang saya ada hanyalah doa untuknya.

"Semoga Allah mempertemukan kita dengannya di syurga dan memberi kita ketabahan dan kesabaran untuk menanggung kehilangannya," katanya.

Hmetro 

Najib PM 10, penentuan ya 10 Dis

Shahbudin Husin 
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sudah beberapa kali menyebut Najib Razak akan muncul sebagai PM10 jika UMNO menang lagi dalam PRU15 akan datang.

Walaupun Najib terlihat agar hairan kenapa namanya sering dijaja oleh Lim Kit Siang, tetapi belum pernah sekali pun lagi beliau menafikan dirinya ingin jadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Maknanya, secara tidak langsung dalam hati Najib sendiri memang tersemat keinginan untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi.

Kalau betul tidak mahu lagi jadi Perdana Menteri, tentulah tiada masalah untuk beliau berterus-terang mengatakan tidak berhasrat lagi kepada jawatan tersebut.

Di waktu yang sama, dalam UMNO sendiri bukanlah rahsia lagi tentang wujudnya keinginan kelompok tertentu yang mahu beliau jadi Perdana Menteri buat kali kedua setelah dijatuhkan pada PRU 2018 yang lalu.

Soalnya, bolehkah Najib jadi Perdana Menteri lagi?

Seorang bekas menteri memberi reaksi dengan berkata, dulu ramai yang menyebut, kalau Tun Abdullah Badawi boleh jadi Perdana Menteri, bermakna sesiapa juga tidak mustahil jadi Perdana Menteri.

Kini katanya, dengan Ismail Sabri Yaakob yang pengalamannya lagi di bawah daripada Tun Abdullah Badawi pun boleh jadi Perdana Menteri, lagilah tidak mustahil untuk sesiapa saja untuk memegang jawatan itu, termasuk Najib buat kali kedua.

Turut tidak mustahil kata bekas menteri itu lagi, jika sebelum ini Tun Mahathir Mohamad berupaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua melalui parti yang berbeza berbanding keberadaannya sebagai Perdana Menteri pada kali pertama, Najib mungkin mencatat rekod dua kali sebagai Perdana Menteri melalui parti yang sama iaitu UMNO.

Di Malaysia ini macam-macam boleh jadi, tambah beliau.

Namun demikian, sama ada Najib berupaya muncul kembali sebagai Perdana Menteri buat kali kedua atau tidak, ia sebenarnya banyak ditentukan pada tarikh 8 Disember depan.

Najib sebelum ini telah dihukum bersalah oleh Mahkamah Tinggi berkaitan kes rasuah SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Beliau bagaimanapun dibenar merayu ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan hukuman tersebut dan 8 Disember ini telah ditetapkan sebagai tarikh untuk hakim memberikan keputusannya.

Jika pada 8 Disember ini rayuannya diterima oleh Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan daripada hukuman itu, maka cerahlah harapan Najib untuk menjadi calon PM10 mewakili BN jika PRU15 diadakan pada tahun depan misalnya.

Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO pastinya lebih selesa meletakkan Najib sebagai calon Perdana Menteri, walaupun Ismail Sabri sedang menduduki jawatan itu sekarang ini.

Tetapi, kalau rayuannya ditolak dan hukuman bersalah itu kekal di peringkat Mahkamah Rayuan, hasratnya mengejar jawatan Perdana Menteri buat kali kedua boleh dikata telah terpadam dengan sendirinya.

Meski biasanya Najib akan terus dibenar merayu ke Mahkamah Persekutuan selepas itu, namun pengekalan hukuman bersalah di peringkat Mahkamah Rayuan akan menghalangnya daripada bertanding lagi sebagai Ahli Parlimen di Pekan.

Tanpa dibenar bertanding dalam PRU15, bermakna tiada lagilah peluang Najib untuk menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua.

8 Disember – selain Najib dan penyokongnya yang berdebar menanti tarikh itu, tidak terkecuali Ismail Sabri juga pastinya turut berdebar sama menunggunya. – ShahbudinHusin 24/11/2021.

Abdul Hadi tolak MN kerana hanya terikat antara PAS dan Umno sahaja

MALAYSIA DATELINE

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Perikatan Nasional (PN) satu-satunya menjadi gagasan politik yang lebih besar dan perlu berperanan dan berkuasa dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk ini.

Dalam Minda Presiden Pas yang terbaru hari ini, Hadi juga berkata, Pas hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

Oleh sebab itulah, katanya Pas menolak Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan hanya melibatkan Umno dan Pas sahaja.

Tambahnya, Pas juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN.

“Gagasan yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya, kerana berlakunya perubahan situasi dan realiti.

“Dahulunya Umno ialah sebuah gabungan pertubuhan dan kumpulan Melayu sahaja, kemudian berubah menjadi satu parti, di samping parti Melayu yang lain seperti Pas dan Parti Negara.

“Kemudian, Umno menubuhkan Parti Perikatan dengan memasukkan MCA dan MIC dan selepas itu parti-parti dari Sarawak dan Sabah. Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang mengejutkan, maka pada tahun 1974 ditubuhkan Barisan Nasional (BN) yang disertai oleh Pas pada awalnya,” kata beliau.

Jelas Hadi, tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang boleh mencacatkan struktur negara, sememangnya memerlukan suatu perubahan kepada proses islah yang dibentuk terkini kerana Barisan Nasional (BN) yang sudah berpenyakit.

Oleh itu, katanya, langkah persembahannya bermula dengan penubuhan MN yang tidak lengkap, maka perlu dilengkapkan dengan penubuhan PN.

Secara tegasnya kata Hadi, Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain dan Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh.

“PAS boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja. Bahkan, PAS bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

“PAS hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata,”ujarnya lagi.

Justeru katanya, Pas hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN.

Arab Saudi kini bersalji

Hmetro 

Tangkap Layar video The National News menunjukkan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi.

Tangkap Layar video The National News menunjukkan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi.

Riyadh: Cuaca sejuk, hujan renyai dan hujan ais dengan salji dilaporkan di beberapa kawasan di Arab Saudi minggu ini memberi kegembiraan untuk mereka yang jarang melihatnya.

The National News melaporkan Hafar Al Batin, sebuah kawasan di wilayah timur dilanda hujan pada Isnin selepas hujan ais dan hujan lebat di Riyadh pada Ahad.

Ribut petir, hujan dan hujan ais juga dilihat di Qurayyat berhampiran Turaif di wilayah sempadan utara.

Orang ramai mengambil kesempatan memuat naik gambar dan video hujan ais di padang pasir, di laman sosial, bagi berkongsi kegembiraan serta mengalukan cuaca musim sejuk.

Mereka juga sanggup memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk mandi hujan selain menadah hujan dan hujan ais di tangan mereka.

"Ia adalah satu kejutan yang menyenangkan. Kami memandu ke wilayah timur dari Riyadh untuk hujung minggu dan dalam perjalanan pulang, hujan tiba-tiba turun.

"Kami mengalami tempoh musim panas yang panjang dan kini akhirnya diberi nikmat musim sejuk.

"Saya merancang untuk pergi ke London, tetapi tidak perlu lagi. Kami mempunyai cuaca hebat di sini," kata Tala Hamdan, rakyat Arab Saudi.

Pusat Meteorologi Negara melaporkan suhu dijangka menurun di seluruh negara pada minggu akan datang berikutan cuaca buruk dan hujan berpanjangan.

Pusat itu juga meramalkan hujan untuk semua kawasan di seluruh negara.

Berikutan hujan yang melanda kawasan pesisir minggu lalu, angin sejuk dan hujan akan merebak ke kawasan utara dan timur negara, serta Riyadh dan Qassim, kata pusat berkenaan.

"Selepas sebulan, kita akan lalui hari yang paling dingin tahun ini iaitu musim sejuk," kata pakar cuaca, Dr Khaled Al Zaqaq pada Isnin.

Walhasil balik asal ke PAS?

Mohsin Abdullah

Saya tersenyum lebar malah ketawa ketika membaca kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, 23 November lalu. Menurut Takiyuddin, Jemaah Menteri yang tentukan bila PRU15 akan diadakan. Bukan parti politik. Saya ketawa bukan menafikan kata-kata beliau.

Kata Takiyuddin, parti politik tidak boleh menentukan bila PRU15 perlu dilaksanakan kerana sebarang keputusan mengenai pilihan raya akan diputuskan oleh Jemaah Menteri berdasarkan Perlembagaan, memandangkan negara masih lagi dalam fasa pandemik Covid 19.

Itu betul. Malah pada waktu tidak ada wabak Covid-19 pun (atau apa jua wabak) Jemaah Menteri lah yang menentukan bila pilihan raya perlu diadakan. Kerana undang-undang utama Malaysia itu digubal pada 1956, tentunya tanpa mengambil kira wabak. Lagi pun, tidak siapa yang menjangka wabak akan melanda. Ringkasnya “hujan atau taufan” soal pilihan raya diputuskan Jemaah Menteri. Dalam lain perkataan, kerajaan.

Saya kira Takiyiddin merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, bahawa PRU15 perlu diadakan dalam masa terdekat berikutan kemenangan BN-Umno pada PRN Melaka tempoh hari. Menurut Tok Mat, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas, Setiausaha Agung PAS itu menyifatkan kata-kata Timbalan Presiden Umno satu cadangan “rasmi” Umno kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno. Atau beliau mungkin mentafsirkan kenyataan Timbalan Presiden Umno langkah Umno mahu menentukan bila PRU15 diadakan. (Timbalan Presiden bahkan Presiden Umno sendiri bukan anggota Jemaah Menteri).

Tetapi apabila beliau sendiri mengakui keputusan PRU hanya boleh dibuat Jemaah Menteri, bukan parti politik, saya garu kepala. Bukankah Jemaah Menteri semuanya datang daripada parti politik? Bukankah mereka orang parti? Ini yang buat saya ketawa.

Saya faham apa yang dibayangkan Takiyuddin iaitu bukan orang Umno sahaja yang duduk dalam Jemaah Menteri. Ada juga orang Bersatu. MCA, parti Sabah dan Sarawak, dan juga PAS. Oleh itu apa yang ‘mungkin’ mahu dikatakan Takiyuddin ialah pendapat mereka juga mesti diambil kira bukan sahaja pandangan Umno. Mereka juga ada suara dalam menentukan keputusan berhubung PRU.

Betul kerana kita kerap diberitahu Jemaah Menteri buat keputusan berdasarkan “konsensus”. Namun pada waktu dan perkara penting tertentu Perdana Menteri mempunyai “the final say” atau hak buat keputusan muktamad.

Pada masa lampau parti politik yang menguasai kerajaan memberi mandat kepada ketua mereka yakni Perdana Menteri membuat keputusan penting itu. Perdana Menteri akan mendengar semua pandangan orang partinya dalam dan luar kerajaan, “think tank”, serta mengambil kira keadaan semasa iklim politik ketika itu.

Dalam sistem politik kita, tarikh pilihan raya tidak ditetapkan dan diumum awal sehingga memberi “advantage” kepada pemerintah. Lazimnya Perdana Menteri akan pilih waktu partinya di “kemuncak” kekuatan sementara parti lawan berada pada “kemuncak” kelemahan. Setelah mengambil kira semua percaturan, Perdana Menteri membuat keputusan.

Itu amalan lazim di negara ini tidak kira sama ada satu parti atau satu gabungan politik menguasai kerajaan. Cuma kali ini kerajaan merangkumi wakil pelbagai parti dan gabungan politik yang berbeza ideologi. Ini menyulitkan. Apatah lagi ada parti kawan di sini, tapi lawan di sana.

BN-Umno sekarang memang merasa mereka dalam keadaan selesa untuk menghadapi PRU15 setelah kemenangan bergaya di Melaka. Tetapi tidak untuk PAS dan Bersatu.

Namun seperti dikatakan tadi Perdana Menteri mempunyai kuasa penentu dan beliau orang Umno. Tidaklah perlu kita dingatkan bahawa di Melaka, Bersatu dan PAS sama-sama menggunakan lambang Perikatan Nasional menentang BN-Umno. Sukar untuk Umno melupakan itu.

Beralih pula kepada isu hubungan BN-PN terutama PAS kerana Bersatu bagai sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Umno. Itu setakat sekarang. Kita tahu dalam politik semua boleh terjadi.

Lantas bercakap mengenai PAS, imbas kembali kata-kata penganalisis politik yang saya pernah petik untuk artikel-artikel lalu berhubung PRN Melaka dan pendirian parti itu menggunakan lambang PN di bumi Hang Tuah itu.

“PAS ni boleh ‘konar’ bila-bila masa sahaja. Tidak mustahil kalau semua calon PN di Melaka kalah apa lagi kalau calon PAS guna lambang PN kalah dan kebetulan Umno menang dan dapat kuasa Melaka, PAS akan berpatah balik sebab bagi PAS tindakan begitu dianggap politik sejahtera,” kata penulis politik veteran Mohd Sayuti Omar kepada saya 2 November lalu.

“Soal memilih PN berbanding Muafakat Nasional, keputusan PRN Melaka akan menguji kewibawaan PAS. Sekiranya PAS membuat pusingan U dalam keputusan besar mereka ini akan memperlihatkan PAS tidak setia dengan Bersatu,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, kepada saya sehari selepas PRN Melaka.

Oktober lalu, Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, dipetik media berkata “saya jangka PAS akan kembali kepada MN jika PN kalah teruk di Melaka.”

Itu sebelum PRN Melaka.

Tiga hari selepas PRN Melaka, kata Takiyuddin apabila ditanya wartawan sama ada PAS akan kembali kepada ‘penyatuan ummah’ bersama Umno: “Dalam politik ini, tujuannya untuk capai kestabilan dalam negara. Apa sahaja amalan yang bawa kestabilan kepada negara adalah satu amalan yang baik bagi saya.”

Jika itu samar-samar, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, lebih jelas. Kata beliau, akar umbi PAS diakui lebih memilih untuk bersama MN dan usaha kerjasama dengan Umno diharap dapat terus diperkuatkan lagi menjelang PRU akan datang.

Maksudnya, pimpinan PAS akui dan mungkin juga “mesti” akur dengan hasrat akar umbi. Yang peliknya hasrat akar umbi diakui selepas kekalahan di Melaka bukan sebelumnya.

Apa pun, menurut Hashim, PAS tidak akan meninggalkan PN (Bersatu) demi agenda penyatuan ummah, meskipun akar umbi PAS cenderung MN (Umno).

Walhasil balik asal nampaknya!

Mahathir: ‘Tak pernah orang yang disabit bersalah terima layanan macam Najib’

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan layanan istimewa diterima Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dengan kes penyelewengan dana 1MDB, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut mempertikai diskriminasi layanan diterima Ahli Parlimen Pekan itu yang terkenal dengan gelaran Bosku, berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah ditahan dan digari sebelum didakwa di mahkamah.

Beliau mempersoal atas dasar apakah keistimewaan itu diberikan kepada Najib sedangkan ia tidak diberikan kepada Anwar atau mana-mana individu yang disabitkan kesalahan.

“Walaupun dia (Najib) didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan denda lebih daripada RM200 juta, dia tidak membayar dendanya atau dipenjarakan hanya kerana dia telah membuat rayuan terhadap kesnya

“Jelas sekali kedaulatan undang-undang tidak digunakan secara sama rata antara mereka,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya hari ini.

Mahathir berkata, Najib adalah penjenayah yang telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang kerajaan.

Namun katanya, kerajaan Ismail Sabri berpendapat bahawa perbuatan mencuri wang kerajaan sehingga kerajaan terpaksa membayar semula berbilion-bilion untuk pinjaman yang dipinjam Najib, layak mendapat ganjaran RM100 juta.

“Tiada orang lain di Malaysia ini yang telah disabitkan kesalahan, tetapi dilayan seperti Najib.

“Najib diperlakukan seperti orang yang tidak bersalah, tidak membayar denda atau dipenjarakan

“Setakat yang diketahui tiada orang lain yang diperlakukan sebegini. Bahkan lebih daripada itu kerana dia kini dibenarkan ke luar negara. Sekali lagi, tidak ada duluan sedemikian di mana-mana negara,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin perlu menjelaskan mengapa layanan terhadap Najib berbeza daripada semua banduan lain di Malaysia.

Baginya, dengan kebebasan diberi kepada Najib, ia telah membenarkan beliau menggugat keputusan Mahkamah Tinggi dan menggugat seluruh institusi.

“Dengan pengaruh Najib, dia mampu menyebarkan kejahatan ini dalam kalangan pengikutnya yang naif dan mudah tertipu,” ujarnya.

Formula kalahkan Umno BN, satukan pembangkang tidak kira kecil besar

AZHAR MAT DALI

Ramai orang mengulas dan memberi pelbagai perspektif tentang keputusan pilihan raya negeri Melaka. Pelbagai ulasan dan sisi pandang. Meriah!

Ini pula sisi pandang aku. To qualify myself, aku spend masa lebih sebulan menyelami keadaan di Melaka bemula seawal berlaku krisis sehingga membawa kepada PRN tersebut.

PRN Melaka dijalankan dalam suasana suram ekoran pelbagai sekatan SOP dan ketakutan kepada Covid-19.

Keputusan telah semua ketahui di mana BN menang 21 kerusi, PH 5 kerusi dan PN 2 kerusi.

Justeru, apa maknanya kepada aku?

1) PRN Melaka membuktikan undi Umno/BN tidak bertambah banyak pun. Umno/BN hanya perolehi undi popular sebanyak 38 peratus, berbanding 37.5 peratus pada PRU14. Peratus tambahannya sangat kecil dan hampir tiada anjakan undi walaupun hasilnya Umno/BM menguasai lebih 2/3 kerusi DUN Melaka.

2) Undi PH dalam PRU14 telah beralih sebanyak 13 peratus. Menariknya undi ini telah bergerak kepada PN menjadikan PN mendapat 24 peratus undi. PN yang ditunjangi PAS mendapat undi sekitar 11 peratus pada PRU14 yang lalu.

Jika momentum peralihan ini kekal pada PRU15, aku jangkakan Umno/BN akan kembali memerintah negara dengan selesa.

3) PRN Melaka juga membuktikan undi masyarakat Cina tidak lagi solid kepada DAP.

Sebahagian undi Cina telah pergi semula kepada MCA menbolehkan mereka merampas 2 kerusi dari DAP.

Jika keadaan ini kekal, Penang dan Selangor berada dalam keadaan bahaya kepada PH.

4) PRN Melaka juga membuktikan rakyat telah hilang harapan kepada PH. 38 peratus rakyat tidak keluar mengundi membawa makna mereka tidak lagi menyakini PH untuk membuat perubahan kepada Malaysia.

Realiti terkini, PRU15 akan mengulangi sejarah berlaku pertembungan 3 penjuru seperti PRU14. Namun, tahun 2018, pertembungan 3 penjuru menguntungkan PH. Tetapi PRN Melaka, 3 penjuru menguntungkan Umno/BN.

Formula untuk kalahkan Umno/BN ialah kesatuan pembangkang. Kecil besar, semuanya penting dan sangat saling memerlukan. Buktinya dah ada, iaitu PRU 2018.

Percubaan tahun-tahun sebelumnya gagal untuk kalahkan Umno/BN.

Jika kita berfikir untuk kalahkan Umno/BN, skali lagi in our lifetime, molek kita usaha dan cari jalan untuk kesatuan opposisi ni.

Mudah-mudahan kasih sayang Tuhan terus bersama kita.

Warga asing jadi tauke padi, beras

Yusmizal Dolah Aling

yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebelum ini kehadiran mereka hanya untuk mengisi peluang pekerjaan di sektor pembinaan, perladangan, perkilangan dan pembuatan.

Namun, tiada siapa menyangka warga asing terutama Bangladesh dan etnik Rohingya kini mampu bergelar 'tauke' dalam sektor padi dan beras di tujuh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Bermula dengan berkecimpung di dalam penanaman sayur seperti di Cameron Highlands, 'abang Bangla dan Rohingya' mula 'menguasai' jelapang padi negara dengan ada yang menjalani hidup mewah hasil aktiviti agronomi.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, setakat ini pihaknya mengesan lebih 200 'petani import' didapati mengusahakan penanaman padi di negara ini.

Katanya, rekod mendapati jumlah warga asing yang bekerja sebagai pesawah paling ramai adalah di IADA Barat Laut, Selangor seramai 116 orang, Perak dan Pulau Pinang (34 orang), Rompin (15), Seberang Perak (8), Rompin (5) dan Ketara (Besut, Terengganu) seramai dua orang.

"Mereka ini terbabit dalam amalan agronomi termasuk aktiviti menuai, tapak semaian dan mekanisasi.

"Ada yang bermula dengan mengambil upah menabur benih, membaja dan meracun di mana mereka ini tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat atau agensi, malah bebas melakukan apa-apa perkhidmatan.

"Ia adalah satu senario tidak sihat kepada pekerja tempatan kerana dalam tempoh beberapa tahun akan datang, tidak mustahil mereka akan menguasai sepenuhnya sawah padi kita," katanya.

Azman berkata, mereka dipercayai masuk ke negara ini untuk melakukan pekerjaan di sektor lain sebelum ini, namun memilih berkecimpung di dalam industri padi dan beras disebabkan beberapa faktor.

Katanya, sebelum ini memang terdapat pemilik yang tidak mengusahakan sawah mengupah orang lain untuk penanaman, meracun dan sebagainya setiap kali musim padi, namun pembabitan warga Bangladesh dan etnik Rohingya kini seperti menjadi satu trend.

"Kita bimbang suatu hari nanti, mereka akan menjadi tauke sepenuhnya di dalam industri (padi dan beras negara) sedangkan ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Mafi dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan petani dengan pelbagai inisiatif terkini seperti pengenalan Smart Sawah Berskala Besar (SBB) dan pelbagai lagi.

"Di satu sudut lain, kita juga menumpukan kepada pengawalan jualan benih padi sah bagi memastikan kualiti benih untuk hasil yang optimum.

"Tetapi jika ini (kehadiran pesawah warga asing) tidak dibendung, sudah pasti petani tempatan tidak akan mendapat manfaat sewajarnya dan lama-kelamaan mereka pula memonopoli industri padi secara perlahan-lahan," katanya.

Azman berkata, maklumat setakat ini mendapati, warga asing berkenaan menyewa sawah terbabit pada harga RM6,000 sehektar, melebihi apa yang ditawarkan petani tempatan.

Menurutnya, hasil tanaman akan dijual kepada kilang menggunakan nama petani, namun hakikatnya ia adalah milik warga asing terbabit.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi pekerja asing yang aktif di dalam industri terbabit berdasarkan senario semasa.

"Justeru kita akan berbincang dengan beberapa pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini demi masa depan industri padi dan beras negara yang lebih baik.

"Insya-Allah, saya yakin dengan pengenalan Smart SBB, ia boleh menjadi satu kaedah penyelesaian kepada banyak isu termasuk benih padi, industri hiliran, bekalan beras dan sudah tentu memberi pulangan maksimum kepada petani.

"Kita akan bawa isu ini kepada pihak berwajib yang terbabit seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menyiasat dokumen perjalanan atau permit yang digunakan," katanya.

Azman berkata, mereka dipercayai masuk ke negara ini untuk melakukan pekerjaan di sektor lain sebelum ini, namun memilih berkecimpung di dalam industri padi dan beras disebabkan beberapa faktor.

Katanya, sebelum ini memang terdapat pemilik yang tidak mengusahakan sawah mengupah orang lain untuk penanaman, meracun dan sebagainya setiap kali musim padi, namun pembabitan warga Bangladesh dan etnik Rohingya kini seperti menjadi satu trend.

"Kita bimbang suatu hari nanti, mereka akan menjadi tauke sepenuhnya di dalam industri (padi dan beras negara) sedangkan ada yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Mafi dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan petani dengan pelbagai inisiatif terkini seperti pengenalan Smart Sawah Berskala Besar (SBB) dan pelbagai lagi.

"Di satu sudut lain, kita juga menumpukan kepada pengawalan jualan benih padi sah bagi memastikan kualiti benih untuk hasil yang optimum.

"Tetapi jika ini (kehadiran pesawah warga asing) tidak dibendung, sudah pasti petani tempatan tidak akan mendapat manfaat sewajarnya dan lama-kelamaan mereka pula memonopoli industri padi secara perlahan-lahan," katanya.

Azman berkata, maklumat setakat ini mendapati, warga asing berkenaan menyewa sawah terbabit pada harga RM6,000 sehektar, melebihi apa yang ditawarkan petani tempatan.

Menurutnya, hasil tanaman akan dijual kepada kilang menggunakan nama petani, namun hakikatnya ia adalah milik warga asing terbabit.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi pekerja asing yang aktif di dalam industri terbabit berdasarkan senario semasa.

"Justeru kita akan berbincang dengan beberapa pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini demi masa depan industri padi dan beras negara yang lebih baik.

"Insya-Allah, saya yakin dengan pengenalan Smart SBB, ia boleh menjadi satu kaedah penyelesaian kepada banyak isu termasuk benih padi, industri hiliran, bekalan beras dan sudah tentu memberi pulangan maksimum kepada petani.

"Kita akan bawa isu ini kepada pihak berwajib yang terbabit seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menyiasat dokumen perjalanan atau permit yang digunakan," katanya.

Tidak bijak tukar ‘panglima perang’ sewenang-wenangnya

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim satu-satunya pemimpin yang diperlukan untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15.

Katanya, tiada orang lain yang ada kepimpinan yang diperlukan bagi menggantikan Anwar sekiranya Presiden PKR yang juga Pengerusi PH itu diketepikan.

“Dalam keadaan Pakatan Harapan yang hanya ada beberapa bulan sahaja akan menempuh satu peperangan besar dalam Pilihanraya Umum, maka tidaklah bijak jika kita menukar Ketua Panglima Perang dengan sewenang-wenang,” kata beliau.

Menurutnya, cadangan menyuruh Anwar berundur sekarang sebelum PRU15 adalah cadangan yang tidak munasabah

“Kita hendak menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 tak lama lagi, mungkin tahun hadapan.

“Barisan Nasional, Umno dan pihak-pihak yang anti-Keadilan dan PH memang suka sangat jika Anwar Ibrahim disingkirkan. Bertepuk tanganlah mereka,” ujarnya.

Beliau yang mengenali Anwar seorang yang tetap tenang dan tabah walaupun ada desakan untuk berundur kerana beliau telah melalui musibah yang lebih dahsyat sebelum ini.

“Dia bukan orang yang mudah merajuk atau mudah patah hati. Dari perhatian saya sejak puluhan tahun mengenal susuk diri bernama Anwar Ibrahim ini, Presiden Keadilan ini punya stamina perjuangan yang kental.

“Kelebihan ini perlu dicontohi pemimpin-pemimpin muda. Setiap kali Anwar tumbang dan rebah, dia akan bangkit kembali,” kata beliau.

Sejak PH kalah teruk di Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu, Anwar Ibrahim dihentam dan didesak berundur supaya memberi peluang kepada orang muda pula memimpin.

Anwar: Nak saya letak jawatan, boleh teliti tapi jangan angkuh

Mohamad Fadli

BANGI: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, beliau sedia meneliti apa-apa pandangan supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) namun menegaskan desakan itu tidak harus dibuat secara angkuh.

“Itu pandanganlah (desakan letak jawatan). Kita teliti juga tetapi kita beri peringatan jangan nampak pandangan itu dilihat agak angkuh,” katanya.

Anwar turut memaklumkan beliau bertanggungjawab memikul kekalahan PH termasuk menerima dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.

Ikhlas dan setialah berkawan

ZULHAZMI SHARIFF

Ada sahabat yang tulis meminta agar DAP ikhlas dan setia dalam berkawan. Baik nasihat tu. Kadang-kadang kita memang perlu nasihat dan “jentik” juga kawan-kawan yang lebih lajak dari laju.

Saya cuma nak tambah sikit saja. Saya kata sikit tapi silap-silap boleh jadi banyak. Sebenarnya bagi saya, pandangan Adun Bilut dari DAP hanya pandangan peribadi dia sebagai salah seorang pemimpin, ahli dan pendukuong DAP dan juga PH. Memang masa adalah segalanya dan masa inilah yang menjadikan pandangan beliau mengguris rakan lain.

Bagi saya, ini juga pandangan peribadi saya, bukan pandangan parti saya, tak ada salahnya pandangan Adun Bilut tu. Itu pandangan dia. Adakah kita nak semua orang cakap atau berpandangan sama macam kita sahaja? Orang lain pun ada otak dan akal serta perasaan.

Mungkin juga pandangan tersebut adalah rentetan beberapa tindakan yang dilakukan oleh Anwar dan KeADILan yang mungkin secara sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak sengaja turut mengguris hati rakan lain? Cuma dia sebut sekarang. Jadi, masa dia sebut itu amat terasa sebab baru kalah.

Kita juga boleh ungkap beberapa tindakan sebelum ini yang amat mengguris tetapi kawan-kawan diam tidak besarkan.

Contohnya, berkonyong-konyong dari KeADILan turun ke negeri-negeri membuat taklimat dan perjumpaan sesama ahli parti sendiri dan kemudian umumkan akan bertanding di sana di sini.

Turun ke Perlis umumkan akan bertanding 11 daripada 15 kerusi Dun Perlis. Amboi. Kawan lain makan kuah saja ka? Isi semua hangpa balun.

Begitu juga di Kedah. Diumumkan jangkaan bertanding sekian banyak kerusi sedangkan pembahagian kerusi belum dibincang apatah lagi dimuktamad. Amboi… awai pacak.

Kemudian berkeras mahukan penggunaan logo KeADILan dalam pilihan raya sedangkan kita bersama dalam PH yang ada logo rasminya. Berkokok sana sini sehingga sekarang dilambakkan faktor kekalahan disebabkan logo antaranya. Kalau dah bersama, kita sama-samalah popularkan logo HARAPAN tu.

Seterusnya, tindakan Anwar sendiri yang sebelum ini berunding malah sudah berpakat dengan Umno kleptokrat sehingga mendapat angka yang cukup sokongan yang kukuh lagi meyakinkan sebelum pilihan raya Sabah. Strong formidable and convincing katanya dari mana? Semua orang tahulah. Tak payah selindung.

Belum dikira semasa mengadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari pun masih lagi berkira-kira dengan Umno kleptokrat.

Maklumat tidak dikongsi kerana ianya hanya privy kepada mereka. Banyak lagi tau kalau nak disungkit keluar perilaku songsang membelakangkan rakan.

Ingat tak insiden bangun, duduk sebelum bantah Belanjawan 2021 tahun lepas? Angkara siapa?

Cabar pula untuk namakan siapa kalau bukan Anwar? Dulu lagi sudah dicadangkan nama tapi yang keras degil menolak itu ialah kamu.

Tidak ada orang lain yang layak selain kamu. Selagi hutang jawatan PM tidak dilangsaikan, jangan mimpi orang lain diberi laluan. Kalau aku tak dapat biar semua tak dapat. Baru padan muka semua.

Akhir sekali, nak nasihat boleh tapi bila orang lain bagi nasihat sama jangan sentap. Macamlah orang lain semua bodoh. Yang pajak tak semua tau.

Takkan bila menang mahu ‘makan bersama’, soal Tok Mat

MALAYSIA DATELINE

Tiada keperluan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN PN sebagai ahli Exco dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

“Saya berpandangan, tiada keperluan mereka (ADUN PN) berada dalam barisan Exco Melaka.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’? Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan,” dipetik BH.

Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Seri Sendayan, malam tadi.

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan BN menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) dan PN masing-masing lima dan dua kerusi.

Mengulas lanjut, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, bukan menjadi satu hal yang canggung jika persefahaman dan kerjasama antara parti berlaku di peringkat Persekutuan namun tidak pula di peringkat negeri.

“Terdapat di beberapa negara lain, di peringkat Kerajaan Persekutuan, mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak bersama. Itu bukan satu kejanggalan dan bukan baharu tetapi di Malaysia ia kali pertama.

“Jadi, kalau tidak ada apa-apa buat apa mahu pening-pening kepala, kalau kerajaan Melaka membentangkan, saya akan tanya, kalau mereka boleh nyatakan dan memaklumkan ada keperluan itu (lantik Exco) kita setuju.

“Kita juga tidak mahu buat ia sukar untuk mana-mana pihak, tetapi justifikasinya mesti ada,” tegasnya yang juga Pengarah Pilihan Raya BN itu lagi.

Kerajaan negeri Melaka belum memutuskan kedudukan dua ADUN baharu PN sama ada akan menyertai barisan Exco atau sebaliknya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, Barisan Nasional BN akan melakukan perbincangan bersama pucuk pimpinan sebelum membuat keputusan.

Menurutnya, PRN Melaka menyaksikan BN bertanding solo walaupun pentadbiran pusat masih di bawah kerjasama PN.

Senarai barisan Exco Kerajaan Negeri dijadualkan akan diumum pada minggu ini.

Peralihan besar di DUN Melaka, tapi bukan undi BN (undi BN meningkat hanya 0.64 peratus)

Andrew Ong

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menunjukkan keputusan dramatik dalam komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mungkin menunjukkan BN benar-benar popular ketika ini.

Bagaimanapun, penelitian lebih mendalam terhadap keputusan berkenaan mendapati ia tidak semudah itu. 

Artikel ini akan menunjukkan sebab-sebabnya dengan menumpukan kepada Umno dan dua parti serpihannya iaitu PAS dan Bersatu. Artikel ini tidak mengambil kira peratusan keluar mengundi.

Kemenangan marginal untuk BN, penurunan untuk PH. 

Dalam sistem pilihan raya Malaysia, pecahan undi - pembahagian undi yang diterima oleh sesuatu parti - sering diabaikan tetapi ia petunjuk penting populariti dalam komuniti tertentu.

Dengan membandingkan keputusan pilihan raya umum 2018 dan 2021 di Melaka, jelas BN masih bukan pilihan majoriti rakyat Melaka.

Pecahan undi BN meningkat hanya 0.64 peratus. Dengan perpecahan undi antara PH dan PN, itu sudah cukup untuk memberikan BN lebih dua pertiga majoriti dalam DUN.

Pecahan undi PH susut 15.31 peratus kebanyakannya disebabkan pengundi anti-BN luar bandar beralih kepada PN. 

Pada 2018, kawasan luar bandar kebanyakannya ditandingi Bersatu, yang kini mengetuai gabungan PN.

Dengan kemenangan 21 kerusi, BN memenangi lebih 50 peratus pecahan undi di tujuh kawasan sahaja.

Tidak dinafikan bahawa BN tahu bagaimana menggunakan sistem first-past-the-post dan persempadanan pilihan raya untuk memihak kepada mereka.

Pecahan undi: Peningkatan ketara untuk Umno, tapi..

Umno memperoleh 2.94 peratus peningkatan signifikan dalam pecahan undi berbanding 2018, tetapi penelitian lanjut terhadap keputusan itu menunjukkan ia tidak menyeluruh.

Parti itu memenangi 16 kerusi pada 2021, tetapi kurang sokongan di enam kerusi - Kuala Linggi (-1.34 peratus pengurangan bahagian undi), Tanjung Bidara (-9.01 peratus), Pantai Kundor (-5.39 peratus), Rim (-1.49 peratus) , Serkam (-4.14 peratus) dan Sungai Rembai (-3.25 peratus).

Secara purata, calon Umno yang menang memerlukan 48 peratus undi untuk menang di Melaka pada pilihan raya kali ini.

Satu lagi pihak yang untung besar ialah Bersatu yang menggandakan undinya lebih dua kali ganda pada 2021.

Perlu ditegaskan bahawa Bersatu meletakkan lebih banyak calon pada 2021 (15 calon) berbanding 2018 (6 calon). Lebih banyak calon bermakna lebih banyak peluang mendapat undi, yang turut menjelaskan mengapa Gerakan menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan ketara (5 calon pada 2021 berbanding 1 calon pada 2018). 

Bersatu juga perlu mengambil kira penyokong PAS kali ini.

Yang rugi besar ialah DAP, PKR dan PAS. Di pihak PAS, perlu diingatkan bahawa parti itu meletakkan 24 calon pada pilihan raya 2018 dan hanya lapan kali ini.

Bersatu bukanlah ancaman besar

Umno dan Bersatu saling berebut 11 kerusi dan keputusan menunjukkan Bersatu secara umumnya dikalahkan oleh Umno.

Kecuali Bersatu memenangi satu kerusi (Sungai Udang) dan di Tanjung Bidara (dengan perbezaan 5 peratus undi).

Secara purata, undi Bersatu adalah 15.4 peratus di belakang Umno dari segi pecahan undi.

PAS sebaliknya lebih teruk dalam berdepan Umno di enam kerusi. Secara purata, PAS berada 21.9 peratus di belakang Umno dari segi pecahan undi.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa PAS bersaing rapat dengan Umno di Serkam - kalah dengan hanya 99 undi.

Umno, Bersatu dan PAS kesemuanya merayu undi di kubu Melayu. Pemenang yang jelas di Melaka ialah Umno.

Setiap gabungan ada hilang wang deposit

BN, PH dan PN masing-masing kehilangan dua deposit.

Di peringkat parti komponen, MCA dari BN dan Gerakan dari PN hilang wang deposit di Kota Laksamana dan Bandar Hilir. 

Ini adalah pertandingan yang pertama bagi MCA di dua kawasan ini.

Bagi PH, PKR dan Amanah masing-masing hilang wang deposit di Tanjung Bidara dan Ayer Limau.

Bagaimanapun, berita baik untuk PAS. Pada 2018, daripada 24 calonnya, 10 calon hilang wang deposit. Mereka mempunyai rekod bersih kali ini.



MSO: Rafizi dan Nurul Izzah

MOHD SAYUTI OMAR

Penampilan Rafizi dan Izzah pada PRU 2018 banyak menarik anak muda kepada PH.

Setiap kali berlaku sesuatu yang merugikan Pakatan Harapan (PH) kesalahan diletakkan kepada Anwar Ibrahim seolah-olah semua kesalahan itu menjadi tanggungjawabnya. Memang selaku ketua beliau kena dipertanggungjawabkan.

Namun begitu tidak semua masalah dihadapi PH menjadi tanggungjawabnya seorang. Atas apa-apa yang berlaku perlu dipertanggungjawab secara berjemaah. Kata Tok Dor secara kolektif.

Kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dibebankan kepada beliau secara lamsum. Macam-macam komen dan kritikan yang didengari.

Salah satu ialah mendesaknya berundur. Permintaan itu adalah alasan paling akhir sebenarnya. Saya yakin beliau sdang menuju ke garis akhir tidak lama lagi.

Kalau beliau berundur, siapa yang patut menjadi pengganti? Orang hanya minta beliau berundur tetapi tidak menamakan siapa sebagai penggantinya.

Secara umum disuruh mengambil alih tempatnya orang muda. Ini wajar, memandangkan Anwar sudah berusia, dah lapok. Tetapi siapakah orang muda itu?

Pagi tadi seorang sahabat daripada Terengganu minta saya sampaikan kepada Anwar mengenai hal ini. Dia menyebut dua nama sebagai ganti Anwar – Rafizi Ramli dan Nurul Iazzah. Saya percaya bukan sahaja, kawan saya itu sahaja yang terpandang dua nama ini, tetapi orang lain juga.

Meminta atau Anwar berundur saya juga merasakan wajar. Tetapi dua nama itu disebut sebagai mengisi kekosongan itu kurang tepat.

Betapa hebat, popular dan berpotensinya Rafizi dan Nurul Izzah tetapi keupayaan kedua-duanya belum mencukupi untuk menandingi keupayaan, populariti dan kemantapan perjuangan Anwar dari segi apa sahaja.

Usah bercakap soal prinsip, idealisme perjuangan, dari segi kekuatan dan iltizam perjuangan sahaja tidak memadai.

Perjuangan memerlukan seorang bukan sahaja popular, berani tetapi yang sabar dan boleh menahan diri. Sanggup menghadapi apa sahaja kerenah, tidak mudah kecewa dan melarikan diri.

Prinsip yang harus ada pejuang akan mati paling akhir atau paling awal daripada pengikut. Tidak melarikan diri dan mengambil cuti, kerana tiada istilah cuti dalam perjuangan.

Kalau jadi pemimpin hanya mahu muncul waktu senang, mengutip bunga-bunga kejayaan, tidak mahu menghidu kebusukan dan memikul beban kesusahan, itu bukan sifat pemimpin.

Berbalik kepada dua sosok itu mereka perlu melengkap diri, seperti Anwar, punya sifat tidak kenal mengalah, berputus asas, mudah pedih telinga atau dalam istilah orang Kelantan babil. Milikilah sifat dimiliki Anwar baru mereka boleh dipacang untuk menjadi pemimpin.

Aneh hari ini mereka adalah pemimpin parti tetapi komitmen mereka tidak kelihatan. Apa kerana mereka tidak senang dan berbulu dengan Anwar.

Sikap sedemikian tidak perlu ada kerana handicap dan persaingan tetap akan ada dalam apa jua jemaah atau organisasi. Bukankan pejuang itu perlu kekuatan jiwa dan mental.

Umno tidak sabar mahu tukar PM

SHAHBUDIN HUSIN

Sebaik saja menang bergaya dalam PRN Melaka, macam sudah tak sabar lagi Umno mahu PRU15 diadakan dengan segera.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, beliau sudah pun memberitahu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar menimbang untuk membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat ini.

Ini kerana katanya, berikutan kejayaan BN di Melaka, ia adalah keadaan yang cukup baik untuk disusuli dengan diadakan PRU15 pula.

Berkaitan gesaan Mohamad Hasan atau Tok Mat ini, saya sebelum ini pernah menulis bahawa kemenangan BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan buat Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, antara yang utama berhak mendakwa kemenangan itu sebagai kemenangan mereka ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Melaka.

Ismail Sabri malah akan terus terpencil dengan kemenangan BN secara solo ini kerana beliau sebelum ini bersungguh-sungguh menawarkan diri untuk menjadi pendamai bagi mencari titik kerjasama antara Umno, Pas dan Bersatu.

Bermakna, idea Umno mesti bekerjasama dengan Pas dan Bersatu yang cuba diusahakan oleh Ismail Sabri itu langsung tiada harga sekarang ini kerana telah terbukti bertanding solo pun BN mampu mencipta kejayaan cemerlang.

Malah, Zahid Hamidi, Najib dan Mohamad Hasan yang sedari awal mempertahan keperluan BN bertanding solo ternyata tidak salah perkiraan dan sedang menjadi pujaan ahli-ahli akar umbi Umno.

Untuk itu, gesaan Tok Mat agar PRU15 diadakan segera bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Ternampak sekarang selepas kejayaan BN di Melaka, Umno melalui Tok Mat sedang mempromosi kemenangan tersebut untuk agenda yang lebih besar iaitu menukar Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak dilihat mewakili keseluruhan wajah Umno kerana sejak awal beliau lebih memihak kepada Mahiaddin dan Bersatu berbanding Umno.

Oleh kerana Zahid Hamidi sedang berdepan perbicaraan di mahkamah, manakala Najib sudah dihukum bersalah dan ada lagi perbicaraan berkaitan 1MDB sedang berjalan, kedua-dua mereka tentu saja tidak sesuai dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika PRU15 diadakan sekarang ini.

Atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Umno dan Pengarah PRN Melaka yang berjaya mencipta kejayaan cemerlang buat BN, pastinya Mohamad Hasan adalah calon terbaik sekali untuk diketengahkan.

Selain itu, Mohamad Hasan juga mendapat sokongan akar umbi yang lebih kukuh berbanding Ismail Sabri yang kecenderungannya dilihat lebih condong untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan Umno berbanding keyakinan bergerak solo.

Dalam erti kata lain, secara tersiratnya Mohamad Hasan sedang menonjolkan dirinya sendiri untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Ismail Sabri di sebalik gesaannya agar dipercepatkan PRU15 itu.

Jika Umno atau Mohamad Hasan mahu Ismail Sabri terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri, beliau tidak perlu terlalu tergesa-gesa mendesak diadakan pilihan raya dengan segera.

Lagi pun, Ismail Sabri belum lagi mencecah tempoh 100 hari menikmati hari-hari penuh bahagia sebagai orang paling berkuasa di negara ini.

'PAS akan dapat 3 DUN Melaka jika bersama Umno'

Malaysiakini 

Jika PAS menerima tawaranuntuk bersama Umno pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, parti itu akan menang di tiga kerusi, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah katanya, ini termasuk kerusi DUN Bukit Katil yang dari awal ditawarkan Umno kepada PAS bagi mengalahkan calon Amanah.

"Jika PAS terima pelawaan Umno tempoh hari, sudah tentu PAS akan punya wakil di tiga DUN dengan mudah termasuk DUN Bukit Katil yang sejak dari awal ditawarkan Umno bagi mengalahkan musuh tradisi mereka Amanah," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dia berkata berkata demikian sebagai mengulas laporan berita berhubung kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam laporan tersebut anggota Parlimen Pasir Mas itu dipetik sebagai berkata PN merampas dua kerusi DUN yang dimenangi BN dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu.

Katanya, PAS hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti tipis 79 undi serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan ditandingi kecuali Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi.

"Ini adalah petanda awal kemampuan PAS dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti," katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Sementara itu Asyraf berkata, Ahmad Fadhli tidak sepatutnya perlu bernada angkuh untuk mengugat kubu kuat BN atau tidak.

"Lagipun bukankah PAS berulang kali sebut nak lawan DAP-PH? Kenyataan sebegini buat kita jadi keliru, musuh PAS ni siapa sebenarnya?" soalnya.

Selepas tewas di Melaka bersama PN, Pas kata ahli masih mahu bersama Umno

MALAYSIA DATELINE

Selepas tewas di Melaka Pas mengaku akar umbi masih mahu bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata akar umbi dilihat lebih menyokong MN bagaimanapun Pas tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) demi penyatuan ummah.

“Umno adalah sahabat Pas dalam MN dan diharapkan kerjasama tersebut terus diperkukuh menjelang PRU15 dan rundingan menyatupadukan ketiga-tiga parti itu akan terus dilakukan.

“Kita akui akar umbi mahu MN dan kita harap pihak Umno mengukuhkan MN dalam pilihan raya akan datang. Apa yang lebih penting kerajaan negeri Melaka tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) meskipun PN juga kalah dalam PRN itu,” katanya dipetik Utusan.

Pas tewas di semua lapan kerusi ditandingi dalam PRN Melaka itu sekali gus mengulangi kekalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pas tidak serang Umno di Melaka

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek juga mengesahkan bahawa persaingan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lebih kepada persabahatan sebab itulah Pas tidak menyerang Umno.

Kamarudin berkata, meskipun tidak berada di bawah satu gabungan bersama Umno pada PRN Melaka, prinsip MN bersama Umno masih lagi dikekalkan sehingga kini.

“Oleh kerana kita ambil prinsip masih mengekalkan MN, isunya kita tidak boleh buat serangan kepada mereka sepanjang PRN ini dan kita kekal pada prinsip persahabatan itu walaupun bersama PN.

“Sebab tu kita tak ada buat serangan apa, jadi saya tiada isu lah, biarpun tidak mendapat satu kerusi dalam PRN Melaka.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pintu persefahaman antara Umno dan Pas menerusi MN masih terbuka meskipun BN dilihat mampu bergerak bersendirian.

Rafizi digesa kembali atau PH tersungkur PRU15 nanti, kata AMK

MALAYSIA DATELINE

Di sebalik kekalahan Pakatan Harapan hari ini di media sosial seruan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk kembali ke pentas politik semakin bergema.

Ketua Penerangan AMK Sabah Razeef Rakimi berkata, seruan untuk Rafizi kembali bukan sahaja dalam kalangan akar umbi PKR malah akar umbi AMANAH dan DAP juga turut menyeru agar arkitek kemenangan PH pada PRU-14 itu kembali ke lapangan membantu PH kembali ke landasan.

Rafizi sebelum ini menjadi arkitek di sebalik penubuhan PH dan antara individu yang membantu penubuhan AMANAH bagi menggantikan Pas yang dikatakan bersekongkol dengan Umno pada ketika itu.

Rafizi melalui Invoke di bawah seliaan beliau telah turun ke lapangan dan melalui gerak kerja beliau berjaya membantu PH menumbangkan BN yang telah mentadbir selama enam dekad.

Bagaimanapun katanya, setelah berjaya menawan Putrajaya pandangan dan kritikan Rafizi mula ditolak pimpinan PH.

 Misalanya kata beliau, teguran Rafizi berkaitan ‘kartel’ dalam PKR juga tidak diendahkan sehingga berlaku Langkah Sheraton yang menyaksikan pengkhianatan ‘kartel’ dalam PH dan tumbangnya kerajaan PH yang hanya memerintah selama 22 bulan.

“Keputusan PRN Melaka menyaksikan PH kehilangan lapan kerusi yang disandang iaitu tiga kerusi dari PKR, empat dari DAP manakala satu kerusi dari AMANAH.

“Ini merupakan kekalahan paling teruk dialami PH terutama PKR yang tewas di kesemua 11 kerusi yang ditandingi,” ujarnya.

Dapatan di media sosial terutama Facebook memdapati akar umbi PH mahu Rafizi Ramli kembali ke politik dan membantu PH bagi menghadapi PRN Sarawak yang dijangka berlansung pada bulan Disember ini.

Menurut rata-rata pengguna Facebook, Rafizi perlu segera kembali dengam strategi yang beliau ada atau PH akan tersungkur pada PRU-15 akan datang.

Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka telah melabuhkan tirai dengan menyaksikan kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) dengan 21 kerusi menewaskan Pakatan Harapan (PH) yang hanya mendapat lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Ini sekaligus membuatkan BN menang selesa dengan menguasai lebih 2/3 kerusi DUN Melaka.

Mengelak diri daripada berpolitik dalam ilusi

ZIN MAHMUD

Dalam berasa kekecewaan kerana gagal dalam pilihan raya negeri Melaka, ada baiknya bagi para penyokong AMANAH bermuhasabah dan seterus menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan bagi masa-masa akan datang lebih-lebih lagi dengan pilihan raya umum ke-15 yang pasti akan diadakan secepat mungkin.

Terdapat dua perkara yang wajar ada ketika bermuhasabah. Pertama, walaupun sudah lama perkara ini diketahui, tetapi wajar diperingati semula mengenai fenomena berpolitik dalam ilusi, serta menghadapi realiti secara tegas.

Apa yang dimaksudkan dengan ilusi dalam berpolitik ialah beranggapan sesuatu keadaan yang tidak benar sebagai realiti. Contohnya, keputusan PRN Melaka sudah jelas dari awal. Realitinya ialah PH kini sudah bukan PH tahun 2018. PH sudah berpecah-belah dan menjadi amat kecil. Tetapi umumnya banyak kalangan masih berasakan PH itu besar. Inilah ilusi.

Minda manusia cenderong menyoroti pada apa yang disukai. Ini membawa mereka untuk mempercayai ilusi. Sementara realiti itu pula adalah suatu yang pahit. Maka seringkali realiti itu ditenggelami oleh ilusi.

Perkara kedua ialah mengingatkan kembali bahawa perjuangan ini bukan untuk kuasa dan jawatan semata-mata. Ia adalah perjuangan murni untuk kebaikan, kebenaran dan keadilan yang sudah tentu mengikuti kehendak agama. AMANAH ditubuhkan setelah Pas didapati mahu bekerjasama dengan UMNO. Sebahagian besar pemimpin AMANAH aktif melawan Umno sejak dari mereka berusia muda. Maknanya, sebahagian besar masa hidup mereka ialah melawan Umno. Perjuangan melawan Umno ini ada pasang surutnya. Maka hanya mampu meraih satu kerusi dalam PRN Melaka tidak wajar menyebabkan rasa putus asa.

Dalam pilihan raya umum tahun 1986, pembangkang Melayu, Pas hanya menang satu kerusi. Tetapi dalam pilihan raya 1990, Pas melalui Angkatan Perpaduan Ummah memenangi Kelantan. Dalam pilihan raya umum tahun 1995, Angkatan Perpaduan Ummah menang tipis di Kelantan, malah hampir kehilangannya.

Semasa pilihan raya 1999, Keadilan gagal menggugat BN tetapi Pas menang Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 2004, PKR hanya menang satu kerusi, itupun hampir terlepas dan memerlukan pengiraan semula. Pas pula terlepas Terengganu.

Dalam tahun 2008, pertama kali dalam sejarah BN hilang majoriti dua pertiga dengan Barisan Alternatif bersama DAP memenangi lima negeri. PAS dapat menjadi Menteri Besar Perak. Sekarang bekas MB itu bersama AMANAH.

Pada tahun 2013, Pakatan Rakyat hanya dapat mempertahankan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Tetapi pada tahun 2018, buat pertama kalinya kerajaan BN tumbang dan AMANAH bukan saja menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan tetapi anggota AMANAH menjadi Ketua Menteri Melaka.

Maka keputusan pilihan raya negeri Melaka ini bukanlah suatu yang mengecewakan. PH kalah tetapi Adly Zahari dapat mempertahankan kerusinya. Jadi Amanah ada juga kerusi ketika mana PKR dan Pas gagal memperoleh sebarang kawasan.

Menjangkakan bahawa PH akan menang di Melaka adalah suatu politik ilusi. Adalah jelas PH sudah berpecah belah. Bersatu keluar PH. PKR berpecah teruk. Pejuang dan Muda tidak bersama PH. Semua jelas. ADUN Umno yang lompat itu pula tidak membawa perpecahan BN.

Daripada keputusan Melaka ini, pastinya akan berlaku penjajaran semula politik. BN akan bertambah yakin untuk memenangi PRU ke-15. Mereka tidak perlu kerjasama mana-mana parti politik lain. Tidak perlu Pas dan tiada Muafakat Nasional. MCA yang memenangi dua kerusi di Melaka juga yakin akan dapat kembali. BN tidak perlu Gerakan lagi. MCA boleh ambil alih semua kawasan Gerakan untuk ditandingi dalam PRU ke-15.

Maka MCA bolehlah menguji nasib untuk mendapatkan kembali Pulau pinang. PRN Melaka menunjukkan DAP bukanlah kebal. Undi Cina tidak dijamin untuk parti itu.

Tetapi nasib PKR sudah kelihatan sejak PRN Sabah. Jadi kegagalannya di Melaka boleh dijangka akan berulang dalam PRN Sarawak. Bukan saja Gabungan Parti Sarawak kini lebih yakin tetapi hubungannya dengan BN akan diperkukuhkan. PKR dan DAP berada dalam tekanan.

Sungguhpun begitu, gagasan PH ini bukan saja perlu diteruskan tetapi ditingkatkan. Lebih tinggi daripada politik pilihan raya ialah inti perjuangan. PKR, DAP, AMANAH dan UPKO berkongsi wawasaan dan idealisme terhadap negara.

Fahaman PH tidak akan sama dengan BN. Walaupun majoriti masih mahu mendukung BN, tetapi fahaman perjuangan PH adalah suatu yang benar, adil dan sesuai. Sedikit sebanyak, walaupun tidak penuh, perkara ini pernah ditunjukkan dalam kerajaan PH yang memerintah negara selama 22 bulan dan juga di Melaka di bawah Adly.

Walaupun Bersatu pernah berada dalam PH, tetapi fahaman parti itu tidak serasi dengan PH. Bersatu, seperti juga Pejuang mempunyai fahaman serupa dengan Umno Mereka berada dalam PH untuk mengalahkan BN saja. Sebab itu mereka tidak dapat berada lama dalam PH, jauh sekali untuk menerima kepimpinan Anwar Ibrahim.

Bagi AMANAH, dalam suasana suram ini, adalah perlu untuk mengukuhkan kembali niat mengapa mereka perlu terus berada dalam perjuangan. Antara mereka yang sedang menjangkau tua tentu ingat mengapa ketika mereka masa muda mengambil keputusan untuk menentang Umno. Tentu ada sebab mereka menentang Umno dan BN sejak tahun 1980. Kalau untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan, adalah lebih praktikal bagi mereka untuk menyertai Umno.

Perjuangan ini bukan kerana kuasa dan jawatan. Ada suatu yang lebih besar daripada kuasa dan jawatan. Sememangnya kuasa dan jawatan mempunyai kegilaannya sendiri. Mabuk kuasa dan gila kuasa sering berlaku, dan perkara ini dapat disaksikan sendiri terhadap BN dan juga segala pergolakan politik selepas tahun 2018.

Warga berusia akan digantikan oleh golongan muda, yang pastinya segar dengan idealisme perjuangan. Sungguhpun begitu, mereka lebih terdedah dengan penyakit gila dan mabuk kuasa kerana belum lama diuji. 

Akhirnya, sememanglah nasib ahli politik dalam negara demokrasi berpilihan raya ini ditentukan oleh para pengundi. Tetapi pengundi bukanlah serba serbi benar dan bersih. Sama seperti ahli politik, mereka juga mempunyai angin-angin tertentu yang akhirnya menyerahkan kuasa kepada ahli politik yang bertanding.

Maka untuk menang, ahli politik dan aktivis wajar memahami angin-angin pengundi itu. Tetapi pengundi seperti juga para ahli politik dan aktivis adalah manusia yang mempunyai jiwa dan perasaan.

Mengapa seseorang itu menyokong sesebuah parti atau tokoh adalah terpulang pada jiwa dan perasaannya. Apa yang dikatakan idealisme juga berkait dengan jiwa dan perasaan. Perasaan manusia boleh menjadi rendah diri, atau jadi angkuh. Begitu juga perasaan terhadap agama dan bangsa sendiri. Semua faktor memberi sumbangan kepada sesuatu keadaan.

Akhirnya, ia terpulang pada setiap penyokong, aktivis, ahli dan pemimpin AMANAH untuk menetapkan bagaimana menghabiskan sisa-sisa hayatnya demi perjuangan. Iaitu sebesar mana emosinya perlu dilaburkan untuk parti demi rakyat dan negara. Dengan kejelasan arah tuju, maka sebarang kekalahan tidak akan mendatangkan kekecewaan. Kekuatan fahaman perjuangan menjadi sebahagian jati diri masing-masing.

Yang tewas dan menang besar pada PRN Melaka

Malaysiakini

Negeri Melaka mencatatkan beberapa kejutan berikutan kemenangan besar Umno dan rakan-rakan komponennya dalam BN pada pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

Ia merupakan kemenangan dalam PRN paling penting sejak pilihan raya umum (PRU) 2018 dan berkemungkinan mempunyai implikasi yang jauh lebih besar.

Malaysiakini meneliti bagaimana keputusan pada PRN ini boleh memberikan kesan kepada tokoh-tokoh politik utama negara

Pemenang - Najib dan Zahid

Kemenangan besar di Sabah dan diikuti dengan kemenangan lebih besar di Melaka jelas menunjukkan bahawa dua tokoh Umno - presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan penasihat BN Najib Razak - berjaya mengekalkan populariti mereka meskipun terpalit dakwaan rasuah.

Momentum daripada dua pilihan raya penting ini akan menjadi pencetus semangat kepada kedua-dua mereka bagi memastikan kemenangan BN seterusnya di Putrajaya.

Walaupun Najib disabitkan bersalah di mahkamah dan terpalit dengan kontroversi memohon hartanah bernilai RM100 juta daripada kerajaan persekutuan, hal itu ternyata tidak memberikan sebarang kesan.

Bagi Zahid, dia kini berjaya menunjukkan kepimpinannya mulai membuahkan hasil. Hal ini mungkin menjejaskan pencabarnya dalam majlis tertinggi Umno yang sebelum ini menggesa kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Tewas - Anwar Ibrahim

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mencatatkan prestasi terburuk dalam kerjaya politiknya.

Awal tahun lalu, dia dinamakan sebagai calon perdana menteri tetapi "Langkah Sheraton" akhirnya menjadikannya sebagai ketua pembangkang.

Akhir tahun lalu, Anwar mendapat malu besar selepas dakwaannya memiliki majoriti yang "kukuh dan meyakinkan" untuk menawan Putrajaya tidak menjadi kenyataan.

Menjelang PRN Melaka, Anwar berkeras bahawa PN boleh menerima "katak politik" sebagai calon, walaupun menerima amaran daripada rakan gabungannya, DAP.

Berikutan kekalahan PKR pada PRN Melaka, Anwar kini perlu menjawab kepada akar umbi semasa pemilihan parti itu akan datang.

Tewas - Abdul Hadi Awang

Presiden PAS Abdul Hadi Awang meyakinkan partinya untuk membelakangkan kerjasama dalam Muafakat Nasional bersama Umno demi memihak kepada PN yang masih belum teruji.

Berlaku perbezaan pendapat di kalangan pemimpin yang pro-Umno dalam PAS, namun mereka dikalahkan semasa pemilihan pucuk pimpinan parti itu baru-baru ini.

Abdul Hadi kini berada dalam kedudukan yang lebih lemah sekiranya dia cuba berunding semula dengan Umno.

Tewas - Idris Haron

PRN ini tidak akan berlaku jika Idris Haron tidak menarik balik sokongan kepada Sulaman Md Ali sebagai ketua menteri.

Dengan cita-cita untuk menjadi ketua menteri sekali lagi, strategi Idris bertukar parti tidak menjadi.

Kerjaya politik Idris naik mendadak dan pernah menjadi timbalan menteri di peringkat persekutuan.

Kini, buat pertama kali sejak 2004, dia bukan lagi wakil rakyat yang dipilih mahupun memegang mana-mana jawatan dalam parti.

Pada usia 55 tahun, Idris masih agak muda dalam politik namun pada masa ini, dia perlu bangkit semula.

PH kalah bukan disebabkan BN tapi pengkhianatan Mahiaddin

MALAYSIA DATELINE

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan disebabkan oleh Barisan Nasional (BN) yang hanya kekal dengan jumlah undi mereka, tetapi larinya undi akibat pengkhianatan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan kumpulannya, demikian menurut AMANAH.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, jika dilihat kepada undi popular yang diterima oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihanraya Negeri Melaka ini adalah sebanyak 77,731.

Katanya, ia adalah satu jumlah yang telah dicampur dengan undi Pas pada tahun 2018 iaitu sebanyak 44,570 bermakna Bersatu memperolehi 33,161 undi dalam PRN kali ini.

“Jika dicampur dengan undi popular yang diterima oleh PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi,” kata beliau dalam kenyataan.

Dalam masa yang sama, katanya, keputusan ini jelas menunjukkan PH hilang sokongan majoriti akibat pengkhinatan Mahiaddin Yasin dan kumpulannya sejak Sheraton Move.

“Mereka mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2018 di atas nama PH tetapi beralih arah selepas itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, PH menghormati keputusan yang memberi kemenangan kepada BN dan ia adalah kehendak pengundi yang bebas untuk membuat pilihan dalam keadaan pilihan raya yang berlaku dalam suasana pandemik Covid-19 dan halangan kempen yang sangat ketat.

Di peringkat Parti Amanah Negara dan PH, katanya, satu kajian akan dilakukan segera untuk melihat sebab-sebab kekalahan tersebut bagi dibaiki di masa hadapan.

“Apapun, keputusan telah dibuat oleh rakyat, satu muhasabah perlu dilakukan untuk kebaikan di masa hadapan,” tambahnya lagi.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN sekali gus berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan berjaya memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional pula menang dua kerusi.