Mohd Izani Mohd Zain
bhrencana@bh.com.my
Tragedi serangan terhadap WTC beri tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa AS sebagai pencetus siri keganasan atas nama Islam.
Pernahkah kita terfikir bagaimana Islam boleh berkonflik dengan Barat? Islam adalah agama sedangkan Barat adalah blok atau kumpulan negara dan bukannya agama. Begitu juga dalam konteks politik dan pemerintahan, penggunaan istilah Islam dan demokrasi digunakan. Ada yang mempersoalkan bagaimana Islam boleh digandingkan dengan sebuah sistem politik ciptaan manusia yang terdedah dengan kekurangan?
Tidak dinafikan, terma Islam dan Barat atau Islam dan demokrasi sering kali dipilih bagi menggambarkan sebuah hubungan, juga pertembungan antara kedua-dua belah pihak. Ini kerana antara Islam dan Barat atau demokrasi, ia mewakili sejarah, pemikiran, budaya dan nilai yang berbeza. Lebih-lebih lagi demokrasi yang lahir di bumi Barat, telah membawa segala idea kemajuan yang berpaksikan kepada pembangunan dan pemodenan.
Dalam konteks masa kini, demokrasi telah menjadi satu jenama Barat yang semakin diterima baik, malah di beberapa tempat, bersikap tidak demokratik dianggap sebagai satu kesalahan besar, berbanding tidak menjalankan tuntutan agama. Demokrasi disinonimkan dengan hak dan kebebasan, manakala agama pula amanah dan tanggungjawab yang dianggap membebankan. Malah, jika demokrasi sekalipun, ia mesti mengikut acuan dan selera Barat. Bukan demokrasi yang diubah suai, tetapi demokrasi salinan Barat.
Demokrasi acuan kita
Demokrasi sering kali dilihat mempunyai satu bentuk sahaja iaitu yang ditentukan oleh falsafah dan ideologi Barat. Dalam hal ini, hegemoni demokrasi Barat yang liberal amat kental dan mempengaruhi dalam konteks pelaksanaannya seperti soal hak asasi manusia dan kebebasan individu. Malaysia tidak terlepas dalam soal ini apabila sering disorot dan dibandingkan pelaksanaan demokrasinya mengikut perspektif Barat.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam SERTA masih sensitif dengan nilai dan budaya tempatan, demokrasi ala Barat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.
Di sinilah letaknya kepentingan demokrasi diterjemahkan dalam konteks Islam yang meletakkan al-Quran dan as-sunah sebagai panduan, bukannya telunjuk dan ideologi Barat. Dalam erti kata lain, hegemoni terhadap demokrasi oleh Barat yang berpaksikan fahaman liberal dan kebebasan individu hendaklah dilunturkan dan diganti dengan prinsip dan nilai Islam.
Islam perlu memimpin demokrasi agar demokrasi terpimpin ini tidak terpisah dengan agama dan tradisi Islam. Dalam hal ini, Al-Maududi pernah memperkenalkan konsep theo-democracy iaitu demokrasi yang berasaskan agama. Konsep ini jelas menonjolkan peranan agama dalam memandu demokrasi, dan ia berbeza dengan demokrasi ala Barat yang lebih mengutamakan kehendak manusia dan kebebasan individu.
Maududi percaya bahawa demokrasi hanya boleh diterima jika sistem politik dari Barat itu berlandaskan agama atau 'lingkungan' yang telah ditetapkan oleh Islam.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna umat Islam dihalang untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri. Mereka boleh mencari jalan penyelesaian atau hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak diputuskan secara langsung dalam al-Quran mahupun as-sunah. Malah dalam Islam, perkara yang dikategorikan sebagai siyasi iaitu cara untuk memerintah kerajaan dan menyelesaikan konflik, umat Islam diberikan kebebasan untuk mencari jalan penyelesaiannya dengan syarat ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-sunah.
Berbeza dengan perkara yang dikategorikan sebagai adini iaitu hal yang berkaitan dengan akidah (kepercayaan), ibadah (penyembahan) dan akhlak (tingkah laku), umat Islam mesti menerima apa juga ketetapan yang telah diputuskan dalam al-Quran dan as-sunah. Mereka tidak diberikan kebebasan untuk menentu dan mengubah tentang apa yang telah diputuskan berkaitan tentang ketiga-tiga perkara itu.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi dalam perlembagaan negara, Malaysia wajar mendefinisikan demokrasi mengikut acuan Islam selain mengambil kira tuntutan nilai timur dan budaya tempatan. Pandangan ini sebenarnya pernah dilontarkan oleh John L Esposito dalam buku Islam and Democracy, apabila beliau melihat demokrasi adalah satu sistem politik yang sentiasa berubah, boleh diperdebatkan dan tidak hadir dalam satu bentuk sahaja.
Malah, beliau menyarankan demokrasi perlu digabungkan dengan nilai dan budaya tempatan termasuk faktor Islam dalam konteks ini. Pendekatan ini pastinya akan menjadikan demokrasi itu lebih 'dekat' dengan aspirasi Islam dan relevan dalam konteks pelaksanaannya di Malaysia.
Kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir walaupun melalui proses pemilihan secara demokrasi, dihalang untuk terus memerintah.
Tolak idea kemajuan Barat
Tragedi 11 September 2001 telah memperkukuhkan kedudukan demokrasi selain Amerika Syarikat (AS) di peringkat global. Hegemoni Barat yang didalangi oleh AS telah dirobek selepas serangan terhadap World Trade Centre (WTC) dan sebahagian bangunan Pentagon. Ketika itu, AS tanpa mengambil masa yang panjang telah melancarkan kempen Perang Global Menangani Keganasan atau 'Global War Against Terror' (GWAT).
Meskipun kempen ini pada awalnya mahu memberi tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa menjadi pencetus kepada siri keganasan atas nama Islam, tetapi kesannya menjalar kepada pergerakan Islam yang mengambil pendekatan sederhana, juga keseluruhan umat Islam. Situasi ini sebenarnya didorong oleh pendirian Barat yang melihat umat Islam adalah kumpulan yang bersifat monolitik atau seragam.
Sikap pukul rata ini memberi gambaran buruk kepada Islam sehingga agama dilihat sebagai satu elemen yang mendorong kepada keganasan. Dasar dan pendekatan beragama dianggap satu langkah berbahaya dan terkebelakang yang akan menolak keadilan dan kebebasan manusia.
Bagi Barat, demokrasi tidak hanya datang membawa pilihan raya, sebaliknya, ia datang bersama idea kemajuan yang mencabar peranan agama dengan mengagungkan proses rasionalisasi, konsep kekayaan material, pembebasan daripada kongkongan adat, pemisahan politik daripada agama SERTAkemampuan sains dan teknologi yang berjaya membekalkan manusia dengan keupayaan untuk menguasai dirinya dan alam sekeliling. Mana-mana negara yang menerima demokrasi, tetapi menolak idea kemajuan ini akan dianggap tidak membawa aspirasi asal Barat.
Justeru, kemenangan parti Islam dalam pilihan raya di beberapa negara dinafikan kerana mereka menggugat nilai demokrasi asal dan selera Barat. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sebelum itu Parti Refah di Turki, Front Islamique Salvation (FIS) di Algeria dan Hamas di Palestin. Hak mereka untuk memerintah dihalang walaupun telah menggunakan proses demokrasi melalui pilihan raya yang sah.
Faktor demokrasi yang tidak berisiko memperlihatkan kerajaan hanya menerima demokrasi selagi demokrasi itu tidak membawa risiko apa-apa terhadapnya. Sebagai contohnya, kerajaan tidak bersedia menerima kemenangan daripada parti Islam meskipun pada awalnya menerima penyertaan parti itu dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.
Sikap tidak adil ini bukan sahaja tidak demokratik, malah lebih buruk daripada itu, ia mendorong kepada kelahiran kumpulan pengganas yang sudah tidak lagi mempercayai demokrasi dan pilihan raya. Apabila demokrasi disekat, keganasan politik akan berlaku dan inilah sebenarnya yang mahu dilihat oleh Barat, iaitu Islam menganjurkan keganasan.
Pluralisme demokrasi dan kepelbagaian agama
Barat amat konsisten mempromosikan kebebasan atas nama demokrasi. Kini Barat tidak perlu lagi runsing kerana agenda itu dilakukan sendiri oleh umat Islam, khususnya golongan intelektual. Sebahagian mereka ditaja melalui dana penyelidikan antarabangsa yang besar dengan tujuan mempromosikan demokrasi, kebebasan dan keadilan yang mutlak dan meminggirkan peranan agama.
Kumpulan intelektual ini sememangnya digemari oleh Barat dan melalui suntikan dana penyelidikan, mereka menjadi jurucakap dan diberi pentas yang besar dalam mempromosikan 'Islam'. Kumpulan ini bukan semua berlatarbelakangkan agama, tetapi dengan kemampuan berbahasa Inggeris, berketrampilan dan sikap toleransi yang melampau, mereka mentafsir Islam menggunakan logik akal tanpa menggunakan sumber tertinggi, iaitu al-Quran dan as-sunah.
Fenomena pluralisme demokrasi dan kepelbagaian agama masa kini memburukkan lagi keadaan. Bagi mereka, sudah tidak ada kebenaran mutlak dalam Islam dan semua boleh disanggah dan diberi penafsiran yang pelbagai. Lebih malang, atas nama meraikan kepelbagaian, umat Islam dikelirukan dengan hujah dan logik akal mereka.
Ini termasuk memperjuangkan hak atas nama kebebasan dan demokrasi. Anehnya, mereka langsung tidak bercakap soal tanggungjawab atau sekurang-kurangnya mencari keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. Sebaliknya, mereka melihat menuntut hak itu lebih besar dan mulia daripada memperingatkan soal tanggungjawab.
Sedangkan dalam konteks Islam, kita dilahirkan dalam keadaan berhutang kerana dianugerahkan nyawa dan kehidupan oleh Allah SWT. Kita sepatutnya malu kerana melebihkan soal hak dan melunakkan soal tanggungjawab. Bersuara soal hak tidak salah, tetapi ia mestilah seiring dengan tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah SWT yang mempunyai batas dan sempadannya.
Apa yang penting, kita perlu cerdik mendefinisi dan menilai demokrasi mengikut acuan kita, bukan mencedok bulat-bulat dari Barat. Kenapa kita perlu tunduk dengan pendirian Barat sedangkan kita sendiri boleh membuat pilihan? Jika benar demokrasi bercakap soal hak dan kebebasan, kenapa kita tidak boleh menunaikan hak dan kebebasan itu untuk membuat pilihan?
Kebebasan bukanlah kunci utama memahami demokrasi, sebaliknya ilmu dan kebijaksanaan. Keghairahan kita mengejar kebebasan tidak akan membawa ke mana kerana suatu masa nanti, kita akan rebah dan tersungkur. Kebebasan tanpa had dan batas akan merosakkan kita.
Islam bukanlah agama yang mengekang umatnya daripada berfikir dan menyelidik. Jika Islam menghalang, maka tidak lahirlah tradisi ilmu Islam yang kekal sampai sekarang. Islam juga tidak menolak penolak pembaharuan, tetapi agama yang bersifat sejagat dan dinamik yang menjawab persoalan sepanjang hayat. Tugas kita adalah mencungkil kebenarannya dan apa juga kaedah penyelesaian mesti kembali kepada tanggungjawab kita mendaulatkan kesucian dan ketinggian agama.
Barat tidak memerlukan satu lagi tragedi selepas 11 September 2001 untuk melemahkan umat Islam. Ia boleh datang secara proksi dan kejahilan umat Islam sendiri yang melihat Islam itu hanya satu anutan bukan cara hidup yang sempurna.
* Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).