MOHD ALI HASHIM
Ahli Umno Kuala Kedah gembira selepas mengumumkan penyertaan mereka bersama Amanah.Ahli Umno Kuala Kedah gembira selepas mengumumkan penyertaan mereka bersama Amanah.
Akibat muak dan bosan dengan kerenah yang diamalkan oleh pimpinan Umno dan BN, seramai 75 ahli Umno Cawangan Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti tersebut dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah)
Menurut bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Tepi Laut, Azizan Ahmad Nayan, keputusan yang diambil oleh mereka adalah tindakan yang betul dan tepat pada masanya.
Malah katanya lagi, pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung tersebut tidak dapat diselesaikan oleh pimpinan Umno dan BN, walaupun pelbagai aduan dan keluhan telah pun disalurkan kepada pimpinan mereka.
Beliau juga berkata, penduduk kesal dengan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan di kampung tersebut apabila mereka tidak pernah dimaklumkan.
Lebih menyedihkan ujarnya, nasib mereka tidak dibela oleh Umno dan BN, walaupun rayuan dan belas kasihan dipohon bagi membela nasib penduduk kampung sejak sekian lama.
.Sementara itu Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris pula berkata, penyertaan ahli Umno termasuk Wanita dan juga Pemuda sekaligus membuktikan Amanah semakin mendapat sokongan di Kedah.
"Ini merupakan suatu isyarat bahawa rakyat semakin dahagakan perubahan dalam kepimpinan kerajaan.
"Mereka semakin yakin bahawa Umno dan BN sudah tidak lagi mampu untuk membela nasib rakyat yang begitu mengharapkan nasib mereka dibela.
"Dengan penyertaan begitu ramai ahli Umno tersebut terbukti kubu kuat Umno sejak 60 tahun yang lalu berjaya ditembusi oleh Amanah," jelasnya.
Tambah Asmirul lagi, ramai lagi ahli Umno dan pimpinan parti tersebut khususnya dalam Parlimen Kuala Kedah akan mengambil tindakan yang sama tidak lama lagi.
"Ramai lagi ahli Umno dan pimpinan mereka di Bahagian Kuala Kedah akan mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai Pakatan Harapan (PH).
"Walau bagaimana pun mereka masih menanti masa yang sesuai untuk membuat pengisytiharan tersebut.
"Kita yakin terlalu ramai ahli Umno di Kuala Kedah yang akan keluar parti menjelang pilihan raya umum yang akan datang, " ujarnya lagi.
Dengan penyertaan tersebut katanya, PH mampu untuk merealisasikan harapan rakyat yang mahukan perubahan berlaku di Kedah dalam pilihan raya umum yang akan datang.
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Mufti: Jangan tunduk desakan hantar Zakir ke India
Kerajaan pusat tidak harus tunduk dengan mana-mana pihak terutamanya parti politik yang mendesak agar pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India, kata Mufti Perlis Prof Madya Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya, desakan yang dibuat pihak tertentu itu dengan mendakwa Zakir sebagai pengganas adalah tidak berasas, malah sengaja menimbulkan kekeliruan dan imej tidak baik kepada seorang ilmuan tersohor.
"Saya hairan dengan pihak yang menimbulkan perkara ini. Berdasarkan setiap ceramah dan perkongsian ilmu oleh Dr Zakir, tiada bukti yang menunjukkan pendakwah itu mengajak orang ramai melakukan keganasan.
"Mereka yang buat dakwaan perlu buktikan apakah kenyataan beliau (Zakir) yang menyeru keganasan. Segala ucapan beliau dirakamkan...jadi sila maklumkan di mana ayat yang menyeru keganasan itu?" katanya kepada pemberita, di pejabatnya, di Kangar, hari ini.
Mohd Asri menyatakan kekecewaan beliau terhadap senario tersebut kerana tindakan itu seperti menidakkan hak seseorang pendakwah untuk menyampaikan kebaikan.
"Perkara ini dicetuskan kumpulan yang fanatik agama, diikuti dengan beberapa tokoh parti politik yang mengeluarkan kenyataan mengaitkan Zakir dengan perbuatan menghasut ke arah keganasan.
"Jika perkara itu terus dibangkitkan, kerajaan juga perlu memeriksa latar belakang pendakwah agama lain terutama dari negara luar yang masuk ke rumah ibadat mereka hingga membuatkan pengikut mereka fanatik dalam sesuatu perkara," katanya.
Mohd Asri turut mencadangkan satu dialog terbuka diadakan antara pendakwah antarabangsa itu (Zakir) bersama individu yang tidak berpuas hati dengannya.
"Biar mereka berdialog di khalayak ramai dan buktikan ketika itu di mana Dr Zakir menyeru kepada keganasan...jika tiada, bermakna mereka perlu menerima kehadiran para ilmuan ke negara ini," katanya.
Menurut Mohd Asri sesiapa sahaja boleh menganjurkan dialog tersebut, malah sekiranya tiada pihak yang sudi berbuat demikian Perlis berbesar hati untuk menganjurkan dialog itu.
Sementara itu, beliau turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan pusat kerana memberi status penduduk tetap kepada Zakir.
"Ini adalah perkara yang perlu kita ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan kerana memberi status ini kerana Dr Zakir adalah aset kesarjanaan yang dibawa ke negara kita," katanya.
-Bernama
Pakatan semakin mendapat tempat di hati rakyat Kelantan, kata Prof Agus
MALAYSIA DATELINE
Prof Agus Yusof melihat Amanah dan Bersatu semakin diterima rakyat Kelantan dan perlu bergerak ke Kelantan selatan pula.
Amanah dan Bersatu semakin mendapat tempat di hati rakyat Kelantan, khususnya di kalangan pengundi muda (21-40 tahun), kata pengkaji politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof.
Bagaimanapun, katanya, kepimpinan kedua-dua parti itu kurang padu manakala ceramahnya banyak, tetapi penceramahnya orang yang sama dan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.
Bersatu dan Amanah perlu menumpukan aktivitinya ke Kelantan selatan pula.
"Bersatu dan Amanah perlu melakukan banyak lagi kerja untuk mendekati rakyat Kelantan secara lebih menyeluruh kerana setakat ini aktivitinya hanya tertumpu di Kelantan Utara sahaja," kata Agus.
Sehubungan dengan itu, Agus, saintis politik yang berasal dari Kelantan itu berkata, Umno lebih berpeluang untuk merampas kembali negeri Kelantan itu dari Pas.
"Pertanyaan saya cuma satu, setelah menang di Kelantan, siapakah Menteri Besar Umno tersebut?" kata Agus dalam satu tulisan di akaun Facebooknya.
Menurut beliau, sekiranya diadakan pilihan raya sekarang, Pas yakin mereka akan kekal memerintah Kelantan.
Umno juga yakin sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, mereka yang akan menang.
"Amanah dan Bersatu juga mendakwa mereka boleh mencabar kekuatan Pas dan Umno, hatta jika Umno dan Pas berkerjasama sekali pun dalam PRU akan datang.
"Begitulah politik, semua parti yakin akan menang," katanya.
Agus akui Pas mempunyai sokongan akar umbi yang teguh.
"Penyokong tegarnya kekal dengan Pas atas alasan Pas adalah parti agama.
"Begitupun, saya dapati ceramah Pas sudah semakin kurang diminati kerana penceramahnya tidak mampu memberikan gagasan baru untuk memerintah Kelantan ke depan," katanya.
Katanya, Umno masih sepi dengan kegiatan ceramah, tetapi mempunyai banyak program berfokus.
"Seperti Pas, Umno juga mempunyai penyokong tegar dan jentera akar umbi yang kuat," katanya.
Menurut beliau, bagi anak Kelantan yang tinggal di Lembah Kelang pula, mereka pengundi rasional yang memerhati kepada calon dan isu.
"Penyokong tegar setiap parti sekitar 20% sahaja menjadikan 40% pengundi luar Kelantan ini adalah pengundi atas pagar," katanya.
Persoalannya, parti manakah yang akan menang dalam pilihan raya umum nanti?
"Dengan mengambil kira perpecahan Umno dan Pas sehingga lahirnya Bersatu dan Amanah, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, data yang ada menunjukkan Umno lebih mempunyai kelebihan.
"Betul, rakyat kecewa dan marah berat dengan beberapa isu Umno, khususnya berkaitan dengan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup serta rasuah yang sering dilaporkan di dada akhbar," katanya.
Tetapi dalam konteks Kelantan, Agus memberikan tiga faktor utama yang tetap memberi kelebihan kepada Umno untuk menang.
(i) kegagalan kerajaan Pas mengatasi masalah rakyat dan membangunkan Kelantan menyebabkan rakyat mahukan perubahan kerajaan.
(ii) pemimpin tempatan Umno lebih peka dengan masalah dan isu rakyat.
(iii) parti dan kewangan Umno lebih kukuh untuk memujuk rakyat dalam kempen pilihan raya.
PAS pula, katanya, perlu mengubah pendekatan kempen dan ceramahnya jika mahu kembali mendapat tempat di hati rakyat.
"Isu-isu rakyat perlu dijawab secara berhemah dan berfakta, bukan setakat apa yang PAS lakukan sekarang. Dalam politik, Pas perlu berpijak di alam nyata," katanya.
Jika kerjasama dengan Umno, penyokong Pas Kedah akan lari
HAZAYANI ZAKARIA
Adun Kubang Rotan Nasir Mustapha terus menjadi sorotan kepada halatuju politik beliau selepas ini. Gambar Nasir (tengah) bersama program Pakatan Harapan di Kedah.
Dalam bahagian pertama, HAZAYANI ZAKARIA memberikan fokus kepada hubungan baik antara Amanah dan Bersatu di Kedah.
Dalam bahagian ini, fokus diberikan kepada hubungan antara Amanah dan bekas parti lamanya Pas dalam konteks politik Kedah.
Ikuti bahagian kedua dan akhir laporan ini.
Antara projek Pemuda Amanah Kedah adalah menganjurkan pertandingan futsal di kalangan remaja negeri itu.
HARI kedua di Alor Setar, saya bertemu pula dengan Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi bagi mendapatkan pandangan satu-satunya Adun Amanah di Dun Kedah itu.
Phahrolrazi Zawawi .... pemimpin penting Amanah Kedah.
Pharolrazi bermula sebagai Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang ditubuhkan pada 10 Ogos 2014 di tengah-tengah krisis menteri besar Selangor yang menyaksikan Pas menolak calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.
Selepas muktamar tahun 2015 dan Pas berpecah, Phahrolrazi membuat keputusan bersama Amanah.
Orangnya kelihatan lembut tetapi mesti ada ketegasannya yang tersendiri hingga beliau dilantik mewakili Amanah dalam jawatankuasa pembahagian kerusi di Kedah.
Mengakui Amanah dan Pas tidak bercakaran di negeri kelahiran bekas Presiden Pas Datuk Fadzil Noor itu, beliau yakin sebahagian besar ahli dan penyokong Pas akan bersama Pakatan Harapan jika Pas Pusat terus bersikap mesra Umno.
"Amanah wujud di Kedah pun bukan sebab ada masalah dengan parti tapi lebih kepada isu nasional. Di Kedah Amanah dan Pas tiada masalah. Ada beberapa Adun Pas yang cenderung kepada Amanah cuma tidak menzahirkannya," ujarnya yang ditemui di kediamannya di Alor Setar.
Adun Pengkalan Kundur itu juga berkata, jika benar berlaku apa-apa persefahaman antara Pas Pusat dengan Umno, Pas Kedah akhirnya akan membuat pendirian yang jelas.
"Pas Kedah ini agak keras dengan Umno ini warisan yang sedia ada. Walaupun Umno Kedah buat kenyataan mahu kerjasama dengan Pas tapi kenyataan itu nampak sebelah pihak. Pas Kedah tidak pernah menyambut seperti mana pimpinan Pas Pusat yang membuat kenyataan lunak terhadap Umno.
"Kalau Pas pusat melangkah terus lagi saya fikir sebahagian besar pendukung Pas Kedah sama ada bersama dengan Pakatan Harapan kalau tidak beralih parti pun dari segi sokongan saya yakin mereka memihak kepada Pakatan Harapan," katanya.
Pejabat Amanah Kubang Rotan tersergam indah ketika Adunnya walaupun masih Pas tetapi dipinggirkan oleh parti itu.
Saya cuba mendapatkan pengesahan mengenai status Adun Kubang Rotan Nasir Mustafa yang dikatakan cenderung kepada Amanah namun tidak ada jawapan pasti yang diberikan.
"Tak tahulah. Tak ada lagi yang zahirkan akan masuk Amanah walaupun kelihatan pro Amanah. Cakap-cakap memang selalu dengar tapi tak berani nak kata sebab tak ada yang buat pengakuan," katanya.
Menurut beliau juga, Pakatan Harapan di Kedah sering mengadakan program bersama-sama dan mendapat sambutan yang menggalakkan, mungkin kerana faktor Mahathir.
"Tak dinafikan, Mahathir sangat membantu dalam menarik sokongan pengundi dan tak mustahil pengundi Umno akan beralih kepada Bersatu dan pengundi Pas akan beralih ke Amanah," katanya yang juga berkata beliau melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa walaupun sudah bertukar parti.
Pemuda tulang belakang Amanah Kedah
Ketua Pemuda Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris yang membawa saya bertemu Phahrolrazi turut menceritakan senario Pemuda Pakatan Harapan di Kedah.
Beliau berkata, pemuda keempat-empat parti saling melengkapi dan bersedia jika pilihan raya diadakan pada bila-bila masa sekalipun.
"Pemuda Amanah sering menjadi pemudah cara antara pemuda Bersatu iaitu Armada dengan pemuda PKR dan DAP memandangkan Armada masih baru di sini," katanya.
Beliau berkata, pemuda Amanah sedang giat mengumpulkan anak-anak muda yang pro-Amanah untuk dibawa ke pentas ceramah.
Baru-baru ini mereka menampilkan anak Adun Pas Tokai, Surya Putera Taulan di pentas ceramah anjuran Pemuda Pakatan Harapan Kedah.
Beliau berkata, Pemuda Amanah Kedah sentiasa menyumbangkan tenaga dan kepakaran untuk gerak kerja parti itu.
"Saya katakan Pemuda ialah tulang belakang kepada Amanah Kedah. Banyak program yang melibatkan lebih 50 peratus tenaga pemuda dan AMANAH memberi keprcayaan kepada kami," katanya.
Petang itu, dalam cuaca hujan agak lebat, jalan-jalan utama di bandar Alor Setar sedikit sesak akibat ada perlawanan bola sepak di Stadium Darulaman.
Mahfuz antara tokoh penting di belakang Himpunan Hijau di Alor menjelang PRU 13, tetapi Pas tetap kalah.
Saya melalui stadium dan teringat kenangan ketika membuat liputan Himpunan Hijau sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Lautan manusia membanjiri dalam stadium dan melimpah ke luar stadium.
Ironinya Pas kalah dalam PRU13
Jelaslah kehadiran ratusan ribu manusia ke program-program parti bukan ukuran kalah atau menangnya parti itu dalam pilihan raya.
Tambahan pula dunia sekarang yang dikecilkan dengan teknologi maklumat melalui segala bagai aplikasi.
Mungkin trend sekarang, orang ramai yang akses kepada internet tidak lagi rajin untuk bersesak-sesak di tempat program dan menghabiskan masa di sesuatu tempat sebaliknya berada di alam maya sahaja.
Dengan segala media sosial yang ada, ramai yang memilih untuk menjadi pengundi senyap, mahu menterjemahkan sokongan kepada Pakatan Harapan hanya di atas kertas undi.
Seperti kata Asmirul; kadang-kadang di tempat program tak ramai yang hadir tapi ramai penonton video di Facebook live.
Mufti Perlis bidas penyembah ‘lembu’ yang halang ‘pendakwah kita’
FMT Reporters
PETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin hari ini memuat naik beberapa baris di laman Facebooknya, menyelar apa yang dipanggilnya golongan “mempertuhankan lembu” kerana menentang seorang “pendakwah”.
“Apabila yang mempertuhankan lembu bersatu, lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu,” Asri memulakan catatan ringkas yang disifatkannya “puisi pagi Jumaat”.
Walaupun tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, mufti Perlis itu sebelum ini mempertahankan pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik, yang dikecam beberapa persatuan bukan Islam, termasuk Hindraf.
Dalam catatannya, Asri turut mengecam sebuah kerajaan yang menurutnya “menyembah api dan penganut sati, pembakar wanita janda, di benua sana.”
Sati merujuk amalan kuno di kalangan masyarakat Hindu di India yang diharamkan di negara itu, di mana seorang balu membakar dirinya selepas kematian suami.
Asri sebelum ini membidas tindakan sekumpulan aktivis termasuk pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy yang menyaman kerajaan kerana membenarkan Zakir tinggal di Malaysia.
Mereka menyifatkan Zakir, yang kerap menyentuh kepercayaan Kristian dan Hindu dalam ceramahnya, sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
“Tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan Muslim atau kafir yang tidak suka dengan dakwah. Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Islam yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap,” kata Asri bulan lalu.
Berikut nukilan Asri sepenuhnya:
..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu..
lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu..
mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..
pembakar wanita janda..di benua sana..
ajaran yang mengkastakan manusia..
sedih, sehingga ada yang dipanggil paria..
wajarkah manusia diperlakukan demikian rupa..
betapa menghina insan sesama..
di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada..
berpakat mereka membuat angkara..
kita tidak boleh berdiam bahasa..
toleransi dan kesabaran ada hadnya..
puisi pagi jumaat..
Pas Selangor akui sama-sama mereka pun 'ditembak'
ARIF ATAN
Menghampiri musim pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), Pas dilihat cenderung menjatuhkan antara satu sama lain tidak terkecuali di Selangor yang menyaksikan parti itu masih berkongsi kuasa dengan Pakatan Harapan.
Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim berkata, hal tersebut diakui sendiri pemimpin kanan negeri tersebut sekaligus bukti Pas sudah hilang tumpuan dalam menyerang Umno-BN.
Menurutnya, pendirian politik Pas yang jauh berbeza berbanding sebelum ini bukan sahaja terhad kepada kepimpinan tinggi dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang malah jauh melangkaui ke akar umbi.
"Pas ini (rosak) bukan soal Ustaz Hadi tetapi pemikiran. Kalau kita rasa Ustaz Hadi seorang kita boleh tunggu lagi tapi pemikiran itu sudah meresap sampai ke cawangan.
"Bila timbul satu-satu isu, yang ini tembak, yang itu tembak. Bukan tembak Umno tapi tembak rakan sendiri. PKR, DAP, Amanah.
"Bahkan sama-sama mereka pun, ditembak. Saya masih ada lagi hubungan dengan beberapa orang Pas Selangor. Mereka beritahu hal ini.
"Saya cakap, 'Dulu waktu kami (kini di Amanah) kena macam-macam (fitnah) walaupun tak betul, kau orang diam. Sekarang mereka serang kau orang pula'.
"Manusia jenis perangai tak elok akan berterusan jadi tak elok tidak kira bergelar ustaz atau tidak. Dalaman Pas sudah teruk. Datuk Iskandar Abdul Samad (Pesuruhjaya Pas Selangor) dituduh macam-macam - Khalid Samad (Pengarah Komunikasi Amanah) nombor dua, perigi butalah," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan konflik perebutan kuasa dalam Pas semakin sengit sehingga perpecahan kali kedua tidak dapat ditolak ekoran kemahuan mendapat tempat sebagai calon bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya cakap terus-terang makin dekat pilihan raya, letupan dalaman Pas makin kuat. Masing-masing mahu posisi dalam parti, ada agenda mahu jadi calon.
"Ini lebih membawa kepada lebih banyak lagi perpecahan dalaman Pas dan sedang menuju perpecahan apa yang dipanggil perpecahan kali kedua," jelasnya ketika ditemubual Malaysia Dateline di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Izham berkata, Pas tidak akan kembali kepada prinsip perjuangannya yang rasional dan berhemah walaupun Abdul Hadi tidak lagi menjadi Presiden parti sekaligus menyaksikan pentingnya penubuhan parti baharu Islam seperti Amanah.
"Sebab itu bila saya ditanya kalau Hadi bukan lagi Presiden Pas, ada dua sebab kenapa kita tidak boleh lagi berfikiran Pas ini seperti dulu. Ya. Pas memang terus wujud tetapi pengaruhnya akan semakin berkurang.
"Pertama sebabnya reputasi Pas sudah rosak. Padahal, keyakinan itu dibina puluhan tahun tetapi mereka rosakkan keyakinan itu dalam masa hanya satu hari. Mahu bina semula reputasi bukan mudah. Baik buat parti baru (Amanah).
"Kedua, parti-parti politik Islam ini tiada sempadan sebenarnya nak buat berapa banyak pun. Macam 'marketing company'. Ada banyak tawarkan produk sama, saling bersaing siapa paling hebat daripada segi servis dan kualiti produk," jelasnya.
Tambah Timbalan Pengarah Strategi Amanah Nasional itu, persaingan antara parti Islam juga memberi peluang kepada rakyat untuk memilih mana yang terbaik.
"Rakyat ada pilihan. Masing-masing akan berlumba buat yang terbaik. Kalau ada satu saja monopoli dalam satu sistem ekonomi, tidak bagus untuk ekonomi.
"Kena ada persaingan baru akan ada hasil terbaik. Begitulah juga dalam pertembungan prinsip antara Amanah dan Pas. Faedahnya siapa dapat? Pengguna dan dalam konteks politik hari ini, rakyat," tegas Izham lagi.
Benjy ditahan kerana miliki dadah di lapangan terbang Medan (Gambar)
MALAYSIA DATELINE
Benjy dengan tangan bergari diperiksa pegawai penguatkuasa Indonesia ketika ditahan di Lapangan Terbang Kualanamu Medan.
Seorang pelakon lelaki negara ditahan polis Indonesia selepas disyaki membawa dadah ketika memasuki Kota Medan, Sumatera Utara melalui Lapangan Terbang Kualanamu, 18 April lepas.
Media dalam talian memetik Ketua Pengawasan dan Pelayanan Kastam dan Cukai Lapangan Terbang Kualanamu, Zaky Firmansayah sebagai berkata, Benjy ditahan tiga hari lepas setelah pihak berkuasa di lapangan terbang itu membuat pemeriksaan badan terhadapnya.
Beliau berkata setelah membuat pemeriksaan bahagian duburnya, mereka menemui dua paket dadah sintetik yang dipercayai syabu seberat 14 gram.
Katanya, pelakon berusia 38 tahun itu mendakwa memasuki Kota Medan untuk bertemu dengan seorang rakannya yang bekerja sebagai juruhebah.
Sementara itu Atase Polis Diraja Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Abu Bakar Yaacob ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata pelakon itu kini ditahan polis Medan bagi siasatan lanjut.
"Kami telah menerima laporan mengenai tangkapan pelakon itu dan dimaklumkan mengenai penahanannya," kata beliau.
Abu Bakar berkata suspek ditahan tiga hari lepas pada 9.30 malam ketika tiba di lapangan terbang berkenaan dengan menaiki sebuah pesawat tambang murah dari Kuala Lumpur.
Pelakon itu sebelum ini pernah didakwa beberapa kali berkaitan kes dadah di Malaysia sejak 2015.
Bayi dilahirkan tanpa kaki, tangan (Gambar)
New Delhi – Ibu bapa seorang bayi perempuan yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan berkata, mereka ‘mendapat hukuman Tuhan’ dengan kelahiran kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan berikrar akan tetap memelihara bayi berkenaan.
Petani, Omprakash Yadav dan isterinya, Phoolmati Devi tidak tahu anak mereka akan dilahirkan cacat.
Doktor berkata, kecuali tidak mempunyai kaki dan tangan, bayi itu sihat.
Phoolmati, 22, dari Koria di Chhattisgarh, negeri di utara India berkata, dia dan suaminya tetap akan menerima kehadiran bayi mereka dan menganggap kecacatannya sebagai ‘balasan Tuhan,’ kerana dosa yang mereka lakukan sebelum ini.
Doktor GD Baghel dari hospital daerah Baikunthpur berkata: “Kanak-kanak itu sihat. Beratnya seperti bayi biasa. Semua organnya berfungsi dengan baik, hanya dia tidak mempunyai kaki dan tangan.”
Bayi yang belum dinamakan itu lahir di rumah sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Menurut Omprakash, dia tidak dapat menyatakan perasaannya dengan kelahiran anak sulungnya itu.
“Saya gembira kerana memperoleh anak. Tetapi kegembiraan itu terganggu apabila saya terbayang masa depan anak saya itu,” katanya.
Phoolmati pula berkata: “Apabila bayi dilahirkan tanpa tangan dan kaki, ia adalah hukuman daripada Tuhan. Mungkin kami dihukum kerana kesalahan masa lampau. Bidan memberitahu semuanya normal.
“Saya melahirkannya tengah malam dan hanya dimaklumkan mengenai keadaan bayi saya keesokan hari.
“Saya terkejut. Saya mengharap bayi saya seperti kanak-kanak lain. Saya tetap menerimanya walaupun dia tidak bertangan dan berkaki.” – Agensi
-kualalumpurpost
Penerbangan sebuah pesawat terpaksa ditunda gara-gara sepasang suami isteri ‘bergusti’ di landasan (Gambar)
Sebuah pesawat China Eastern Airlines ke Chengdu, Sichuan terpaksa ditunda gara-gara sepasang suami isteri ‘bergusti’ di landasan Lapangan Terbang Changsui di Kunming, Yunnan pada Selasa.
Akhbar South China Morning Post melaporkan, penerbangan domestik tersebut yang sepatutnya berlepas pada jam 11 pagi terpaksa ditunda selama setengah jam akibat pergaduhan antara pasangan suami isteri berkenaan.
Pasangan tersebut dikatakan bergaduh selepas turun dari sebuah bas untuk menaiki kapal terbang sebelum berlaku aksi tolak menolak dan tarik menarik antara mereka.
Ketika pergaduhan itu berlaku, wanita terbabit ditolak hingga terjatuh dan baju lelaki itu terkoyak akibat ditarik wanita tersebut.
Susulan kejadian itu, kedua-dua mereka dihalang daripada memasuki pesawat dan penerbangan diteruskan kira-kira pukul 11.28 pagi serta selamat sampai di Chengdu pada 12.36 tengah hari.
Hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri itu dalam proses penceraian susulan sudah tidak serasi dalam perhubungan mereka. – Mynewshub
DAP 'pening kepala' dengan foto 'pasangan Dyana Sofya Zairil Khir Johari bercumbu'
Pencalonan dua ahli DAP Melayu berprofil tinggi pada pilihan raya umum akan datang menjadi tanda tanya selepas satu siri gambar-gambar yang memaparkan mereka dalam kedudukan INTIM diedarkan secara meluas.
Lelaki dalam gambar itu mirip Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Beliau bagaimanapun menafikan bahawa dirinya dalam gambar berkenaan.
"Bukan, itu bukan saya. Ia jelas satu lagi percubaan untuk memfitnah saya dengan serangan peribadi.
Ia adalah palsu," kata Zairil kepada Malaysiakini melalui mesej pesanan teks.
Wanita dalam gambar itu yang mirip Dyana Sofya Mohd Daud, masih belum mengesahkan atau menafikan jika sesungguhnya beliau adalah individu yang dirakamkan tersebut.
Siri gambar itu - memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah restoran, di mana sekeping daripadanya menggambarkan pasangan itu sedang bercumbu - menjadi tular di kalangan kumpulan sembang WhatsApp dan laman web pro-BN semalam.
Siri gambar itu - set ketiga yang diedarkan di alam maya yang mendakwa kedua-dua mereka mempunyai hubungan sulit, juga dimuat-naikkan oleh Datuk Rizal Mansor, pembantu kepada isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor.
“Perlu SD kah untuk membuktikan kisah ini?" soalnya dalam posting Facebook.
Beberapa akhbar arus perdana turut menerbitkan semula gambar-gambar itu hari ini. Ini bukan kali pertama, gambar-gambar yang didakwa memaparkan pasangan itu timbul.
Ketika ini, terdapat ‘cakap-cakap’ di kalangan pemimpin DAP bahawa apa yang berlaku menyebabkan kesipuan kepada parti itu dan mungkin menjejaskan pencalonan pasangan itu pada pilihan raya umum akan datang.
Tak sah, tak nafi
Pada masa ini, kepimpinan DAP Pulau Pinang dan Perak memberi bayangan bahawa pencalonan mereka, sehingga hari ini belum ada kepastian dan mungkin akan disentuh dalam perbincangan nanti.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ketika dihubungi berkata beliau akan mengaerahkan Zairil untuk "memberi penjelasan" tidak lama lagi dan menasihatkannya supaya berdepan dengan media.
Mengenai sama ada pemimpin DAP Pulau Pinang akan membincangkan sekiranya gambar-gambar berkenaan akan menjejaskan pencalonan semula Zairil sebagai seorang wakil rakyat, Chow berkata perbincangan akan didakan "jika perlu".
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata pencalonan Dyana Sofya untuk bertanding di kerusi parlimen Teluk Intan pada pilihan raya umum akan datang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan DAP pusat.
"Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk buat keputusan. Zairil telah berulang kali menafikan (gambar-gambar sebelum ini) tetapi foto keluar berterusan, jadi adalah lebih baik media mendapat jawapan dari mulut mereka sendiri," kata Nga kepada Malaysiakini.
"Dyana aktif di Teluk Intan dan setiap minggu terlibat dalam program rakyat bersama ADUN (Pasir Bedamar) Terence Naidu. Beliau amat komited untuk berkhidmat kepada rakyat Teluk Intan," katanya.
Dyana, yang juga pembantu Lim Kit Siang, tewas kepada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Teluk Intan pada tahun 2014.
Beliau semalam, ketika dihubungi, tidak mengesahkan atau menafikan bahawa dirinya adalah wanita seperti dalam gambar tersebut.
"Ini adalah serangan peribadi ketiga dalam tempoh dua bulan, saya anggap pilihan raya umum dah nak dekat.
"Tak kira siapa dalam gambar dan video-video yang didakwa adalah saya, ini pencerobohan privasi dalam hidup orang itu. Saya sedih budaya politik kita telah sampai ke tahap ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berusaha menarik perhatian daripada "serangan dan dendam peribadi" kepada kerja-kerja beliau di Teluk Intan, termasuk mendapatkan dana untuk Pusat Pembangunan Wanita dan membaiki jeti di sana.
-malaysiakini
Pengasas BERSATU umum keluar parti
Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kamarulazman Habibur Rahman hari ini mengumumkan keluar parti.
Kamarulazman Habibur Rahman yang juga ahli majlis pemimpin tertinggi BERSATU turut mengumumkan peletakan semua jawatan yang disandangnya.
"Hari ini saya ingin umumkan peletakan jawatan saya sebagai ketua penaja bahagian BERSATU Teluk Kemang.
"Saya juga menolak tawaran sebagai pengerusi perhubungan BERSATU Negeri Sembilan dan saya letak jawatan saya sebagai setiausaha kerja BERSATU pusat.
"Saya juga letak jawatan sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi BERSATU. Dan akhir sekali saya undur diri dari jadi ahli BERSATU," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.
-malaysiakini'Kasihan ahli Pas diperkuda pemimpin sendiri'
ARIF ATAN
Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Ustaz Zolkharnain Abidin bersimpati dengan nasib ahli Pas di peringkat akar umbi yang berterusan diperalat pemimpin mereka sendiri.
Menurutnya, kehidupan pemimpin Pas pada masa ini berbeza dengan ahli parti itu yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga demi memperjuangkan Islam acuan Pas.
"Kasihan ahli Pas di peringkat cawangan yang terus diperkudakan oleh pemimpin mereka. Ketika mereka berjaga malam untuk teruskan 'perjuangan Islam' versi Pas, pemimpin mereka bersenang-lenang dengan ulitan kemesraan dan kemewahan anugerah pemimpin Umno.
"Ketika mereka nak 'lawan Umno', pemimpin mereka ajak orang ramai memilih Umno," ujarnya mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara Mingguan Malaysia keluaran 16 April lalu.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam laporan akhbar pro-Umno itu mendakwa kuasa politik orang Melayu terletak pada Pas dan Umno bahkan Pas bukan 'berperang 24 jam' dengan Umno sebaliknya bekerjasama untuk kebaikan Islam dan rakyat.
Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain menyifatkan Hadi secara jelas berkempen untuk Umno pada ketika Pakatan Harapan berusaha mengajak rakyat memerangi Umno.
"Kalimah atau, meletakkan Umno dan Pas pada suatu situasi sama rata dari sudut layak untuk diundi oleh rakyat. Ketika PH (Pakatan Harapan) bertungkus-lumus mengajak rakyat menolak Umno, Hadi merestui Umno untuk dipilih.
"Nampaknya, pendedahan Rafizi bahawa Pas menerima dedak Umno melalui Nasharudin semakin terbukti. Untuk apa Hadi buat begitu, kalau bukan untuk membalas jasa Umno dan Najib kepada pemimpin Pas?" soal pendakwah dari Perlis itu.
Beliau berkata, rakyat semakin jelas melihat Abdul Hadi mutakhir ini tidak lagi mengkritik Najib dan Umno.
"Apabila dia (Abdul Hadi) mengajak rakyat untuk memilih Umno jika tak mahu memilih Pas, maknanya dia mahu Umno menang.
"Ini juga bermakna, Pas masuk pilihan raya bukan untuk menang, tetapi untuk mengganggu PH. Pas cuma pengacau kemaraan PH," tegasnya dipetik daripada catatan beliau di Facebook.
Ustaz Zolkharnain turut berpendapat tindakan Abdul Hadi mengajak orang Melayu memilih Umno bercanggah dengan prinsip Pas selama ini yang menolak perkauman. "Ketika kepercayaan orang Melayu kepada Umno sudah terhakis, Hadi mengajak rakyat memilih Umno. Pelikkan? Orang Umno sendiri keluar Umno, Hadi pula ajak orang ramai pilih Umno atas alasan kepentingan Melayu.
"Hadi sudah jadi pejuang Melayu pula? Bukankah perjuangan Umno suatu masa dulu adalah asabiah Melayu, kini bukan lagi?
"Semakin hari, kompas politik pemimpin Pas semakin gelong. Mereka bukan lagi fokus utk tumbangkan Umno-BN," bidasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengajak ahli Pas menilai kembali perjuangan Pas pada masa ini termasuk keluar daripada parti berkenaan.
"Tidak salah mereka tinggalkan Pas kerana pemimpin Pas kini bukan meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu. Kini Pas sudah jadi sekutu Umno," tegasnya.
Mahkamah arah Razman bayar kos tangguh bicara saman Nizar
MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria hari ini memohon perbicaraan kes saman yang dikemukakan oleh Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk seri Ir Nizar Jamaluddin ditangguhkan.
Mahkamah Sesyen Ipoh sebelum ini telah menetapkan hari ini dan esok sebagai hari perbicaraan saman tersebut.
Penangguhan tersebut dibuat kerana Razman memfailkan Permohonan Pihak Ketiga bagi mengheret pihak akhbar Sinar Harian yang melaporkan kenyataan fitnah Razman tersebut di dalam prosiding.
"Walaupun permohonan itu melibatkan defendan dan Sinar Harian, saya sebagai peguam plaintif (Nizar) telah menyatakan bantahan di hadapan Puan Hakim sebentar tadi terhadap permohonan defendan tersebut yang telah difailkan terlalu lewat.
Mohd Fitri Asmuni"Sedangkan perbicaraan telah pun ditetapkan dan mereka boleh memfailkannya dengan lebih awal," kata peguam plaintif, Mohd Fitri Asmuni ketika ditemui.
Menurutnya, hal ini telah memprejudiskan Mohammad Nizar selaku plaintif dalam kes ini yang terpaksa menunggu lebih lama untuk kes ini diselesaikan sejak ianya difailkan pada Ogos, 2015.
Jelas Fitri, Puan Hakim yang ditemui di dalam Kamar Hakim turut mempersoalkan tindakan defendan tersebut.
"Puan Hakim memaklumkan bahawa beliau memang mahu bicara dijalankan pada hari ini dan esok, tetapi terkejut bila pagi tadi peguam defendan tiba-tiba memohon penangguhan.
"Akan tetapi, penangguhan terpaksa juga dibenarkan oleh mahkamah walaupun mahkamah mahu kes ini dibicarakan pada hari ini untuk memberi ruang kepada permohonan defendan tersebut," katanya.
Ujarnya, beliau sendiri telah meminta anak guamnya hadir ke mahkamah pagi tadi dan bersedia sekiranya mahkamah mahu bicara diteruskan.
"Tetapi oleh kerana kes terpaksa ditangguhkan, maka saya telah memohon suatu kos diberikan kepada plaintif akibat dari penangguhan yang tidak wajar itu.
"Mahkamah membenarkan permohonan saya dan memerintahkan Razman membayar kos sebanyak RM500 kepada plaintif untuk hari ini," jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam plaintif telah meminta mahkamah mengarahkan Razman membayar kos sebanyak RM8,000 pada hari ini.
"Kos RM8,000 tersebut adalah berkaitan dengan permohonan membatalkan saman yang difailkan oleh Razman terhadap Nizar serta permohonan membatalkan tuntutan balas yang difailkan oleh Nizar terhadap Razman," katanya.
Menurut Fitri juga, Razman telah kalah dalam kedua-dua permohonan tersebut dan mahkamah telah memerintahkan Razman membayar kos masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM3,000 kepada plaintif.
"Perintah tersebut telah dibuat sejak 24 November 2016 iaitu 5 bulan yang lalu, tetapi sehingga ke hari ini Razman masih gagal membayar kos RM8,000 itu kepada plaintif walaupun telah beberapa kali diminta.
"Jadi saya minta Mahkamah arahkan Razman bayar kos tersebut hari ini juga dan jika gagal, Razman mesti dikenakan hukuman Hina Mahkamah", jelas Fitri lagi.
Mahkamah membenarkan permohonan Fitri dengan mengarahkan Razman membayar kos RM8000 termasuk RM500 tetapi memberi peluang selewat-lewatnya sehingga Jumaat ini.
Tahun lalu, Mantan Menteri Besar Perak itu memfailkan tuntutan fitnah sebanyak RM3 juta terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya sebagaimana artikel yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015, bertajuk Pendekatan Nizar mirip DAP.
Kembar diterajang pelajar tahfiz, kemudian dipukul guru kerana mengaduAedi Asri
Aedi Asri
KUALA LUMPUR: Seorang bapa tidak dapat menahan kecewa apabila pasangan anak kembarnya menjadi mangsa buli di sebuah sekolah tahfiz di Setapak, Kuala Lumpur.
Hamid Sultan mendakwa 2 anaknya berusia 9 tahun turut dipukul seorang guru hanya kerana mengadu hal itu kepada bapa mereka.
Katanya mereka berdua mengadu dibuli pelajar lebih tua hanya selepas minggu pertama persekolahan.
Anak mereka pada mulanya mengadu perkara itu kepada pakcik mereka kerana bimbang ayah mereka akan mengesyaki mereka melakukan kesalahan.
Hamid Sultan menunjukkan telinga salah seorang anak kembarnya yang koyak akibat ditarik pelajar buli di sebuah sekolah asrama di Setapak.
Hamid berkata beliau terus melaporkan hal itu kepada 2 guru di madrasah berkenaan.
“Mereka memberi jaminan akan menyiasat dan mengambil tindakan, tetapi tiada apa-apa perubahan,” katanya.
Sehinggalah pada hujung Mac dan awal bulan ini, Hamid mendapati kesan lebam, gigitan dan tanda rotan di badan mereka.
“Mereka beritahu diterajang di muka, dipukul dengan raket badminton dan kayu kriket. Mereka dipukul di kaki lima, diheret ke tandas, dan juga di bilik. Telinga salah seorang ditarik sehingga koyak,” katanya.
Kejutan terbesar tiba pada 15 April lalu, apabila Hamid yang merasa tidak sedap hati melawat anaknya di sekolah.
“Sebaik tiba, mereka meluru ke kereta dan menangis mengadu masih dibuli,” katanya.
“Saya bimbang dengan keselamatan anak-anak saya, tetapi diberi jaminan bahawa pelajar yang bersalah – yang kebanyakannya berusia belasan tahun – akan dibuang. Maka saya bersabar.”
Keesokannya, Hamid menghantar anaknya kembali ke sekolah, tetapi mendapati pelajar membuli itu masih tidak diambil tindakan.
Sebaliknya, mudir sekolah memberitahunya mereka “dalam pemantauan”.
Hamid berkata beliau sekali lagi ke madrasah tersebut.
“Kali ini anak saya menangis berkata dipukul ustaz, yang memarahi mereka kerana mengadu kepada saya.”
Laporan polis
Hamid terus membawa kedua-dua anaknya membuat laporan polis pertama serta mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Ini kes buli – 2 anak saya yang baru berusia 9 tahun dipukul. Guru-guru ini sepatutnya mengambil tindakan segera, bukan mempersoalkan mereka hanya kerana mengadu,” katanya.
Hamid sudah membuat 2 laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju dan Balai Polis Klang, pada 15 dan 16 April lalu.
Beliau berharap dengan membawa perkara itu kepada perhatian polis, perkara sama tidak berlaku kepada pelajar lain.
Hamid Sultan menunjukkan 2 laporan polis yang dibuatnya terhadap pelajar dan guru sekolah asrama di Setapak.
“Apatah lagi untuk sebuah sekolah tahfiz yang mengajar agama. Kerana ia sekolah tahfiz juga saya memberikan masa untuk pihak pentadbiran menyiasat dan mengambil tindakan.
“Tetapi yang sebaliknya berlaku, keadaan anak saya semakin teruk.”
Laporan polis itu menamakan 9 pelajar terlibat, di samping seorang guru warga India yang memukul anaknya kerana mengadu hal itu.
Dakwaan buli di sekolah tahfiz bukan perkara baru. Media sebelum ini pernah melaporkan isu melibatkan sebuah sekolah tahfiz di Kedah pada Februari 2016 dan kes jenayah seksual di sekolah tahfiz di Perak pada Ogos tahun sama. Pengurusan sekolah bagaimanapun menafikan perkara itu.
Hamid, 42, berkata beliau kini risau menghantar anaknya ke asrama, terutama yang turut dihuni pelajar yang jauh lebih berusia.
Hamid juga membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Saya juga sedang berbincang dengan peguam untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Peristiwa ini harus menjadi pengajaran buat sekolah itu,” katanya.
FMT akan mendapatkan pentadbiran sekolah terbabit.
Langgan:
Catatan (Atom)