"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

70 peratus penggerak Pas Selayang sertai Amanah

ARIF ATAN
Timbalan Ketua Amanah Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim memberitahu kira-kira 70 peratus daripada ahli Pas yang aktif di kawasannya sebelum ini sudah bertindak keluar parti.

"Ramai tenaga dan penggerak strategik dalam Pas pada PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) lepas telah beralih kepada Amanah di Selayang sama ada di peringkat pilihan raya, strategi, Wanita mahupun Pemuda.

"Kira-kira 70 peratus daripada mereka sudah berhijrah dari parti sejarah. Jadi, kita tidak bimbang dengan situasi jentera pilihan raya yang dimiliki Amanah Selayang. Tambahan pula, kita bukan bersendirian sebaliknya bergerak bersama Pakatan Harapan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kemerosotan keyakinan ahli Pas di peringkat akar umbi turut diakui Setiausaha Amanah Selayang, Abd Jabar Musa yang menyifatkan ramai daripada mereka pada masa ini secara berterus-terang mengakui tidak menyenangi sikap dan pendirian kepimpinan Pas.

"Saya masih tidak memutuskan silaturrahim dengan ahli-ahli parti sejarah. Banyak maklum balas saya dengar rakan-rakan saya di parti lama ini ambil pendekatan protes dalam diam.

"Kalau bertemu, mereka meluahkan apa terbuku di hati termasuk rasa kecewa mereka terhadap Pas pada masa ini. Bagi saya, segala kepincangan atau kelemahan yang dikongsikan mereka itu dijadikan iktibar untuk memperbaiki gerak kerja Amanah khususnya di Selayang ini," ujar bekas ahli Pas sejak tahun 1999 itu.

Dapatkan akhbar mingguan Amanah terbaharu Bil 53, 28 Mei - 3 Jun di pasaran sekarang untuk laporan penuh Fokus Kawasan Amanah Selayang.

Pegawai Guan Eng, Zaidi bekas Major TUDM kena tampar depan masjid oleh ahli PAS


Seorang bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditampar peserta himpunan membantah campur tangan kerajaan Pulau Pinang di George Town hari ini.

Zaidi Ahmad yang kini menjadi pegawai penerangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan cuba membuat provokasi ketika bekas ketua pemuda PAS negeri itu, Mohamed Hafiz Nordin, menyampaikan ucapan.

Harian Metro melaporkan, kejadian berlaku di Masjid Simpang Enam kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Portal itu melaporkan Mohamed Hafiz kini mengetuai Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP).

Tindakan Zaidi itu didakwa dihalang beberapa peserta sebelum seorang daripada mereka menjadi berang dan menampar mukanya.

Bagaimanapun, kekecohan itu dikawal dengan bantuan anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Sementara itu Zaidi berkata, dia tidak terjejas dengan insiden berkenaan malah menganggapnya sebagai perkara biasa yang perlu dilaluinya.

Bagaimanapun dia yang berpangkat major semasa menganggotai TUDM di Butterworth itu menafikan membuat provokasi semasa Mohamed Hafiz berucap.

"Saya berada di masjid itu ketika Hafiz berucap menuduh kerajaan Pulau Pinang campur tangan dalam fatwa negeri. Jadi saya bertanya kepada dia," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Zaidi, dia cuma ingin tahu fatwa mana yang ada campur tangan kerajaan negeri, tapi tiba-tiba dia diserang.

Tidak terganggu dengan insiden itu Zaidi cuba bertanya kepada Mohamed Hafiz itu lagi namun perhimpunan berkenaan tamat kira-kira 10 minit kemudian.
Bangkit isu dakwat SPR

Ditanya sama ada akan mengambil tindakan ke atas penyerangnya, Zaidi berkata, tiada cadangan untuk berbuat demikian.

"Dia pun orang dah tua," katanya.

Mohamed Hafiz (gambar) adalah seorang daripada pemimpin pemuda PAS Pulau Pinang yang tidak senang dengan kerjasama parti itu dengan PKR sejak sebelum pilihan raya umum ke-13 lagi.

Tempatnya digantikan oleh Mohd Yusni Mat Piah yang terlibat menjadi calon ketiga di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh pada 2013.

Kemunculan calon PAS itu disebut-sebut menyumbang kepada kemenangan BN - yang diwakili Datuk Mahmud Zakaria.

Calon kedua di kerusi itu ialah Badrul Hisham Shaharin yang dari PKR.

Mohamed Hafiz pula terlibat dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan selain menjadi pendakwah di masjid dan surau.

Zaidi pula dibesarkan di Kepala Batas dan menjadi perhatian ramai apabila membangkitkan isu kesahihan dakwat digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU ke-13 lalu.

Khidmatnya bersama TUDM ditamatkan oleh mahkamah tentera pada 2014. Zaidi sempat menyertai PAS seketika sebelum berpindah menjadi anggota Parti Amanah Negara (AMANAH).

Zaidi kemudian mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP.
-malaysiakini

Anak ke-4 Anwar akan disoal siasat polis

MALAYSIA DATELINE
Nurul Ilham Anwar
Anak keempat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham Anwar akan disoal siasat pihak polis ekoran kehadirannya dalam Kempen Bebaskan Anwar (FAC) dua tahun lalu.

Menurut kenyataan ibu pejabat PKR, Nurul Ilham akan dirakam percakapan mengenai kehadiran beliau di perhimpunan nyalaan lilin menyokong pembebasan Anwar yang berlangsung pada 15 Feb 2015.

Rakaman percakapan itu akan dibuat di ibu pejabat PKR pada jam 4 petang ini.

Nurul Ilham juga akan disoal siasat oleh anggota polis dari IPD Klang Utara.

Dijangka hadir mengiringi beliau ialah peguam G Manivanan yang juga Ahli Parlimen Kapar.

RM29 bilion, Separuh hasil kutipan GST untuk bayar faedah hutang kerajaan

MALAYSIA DATELINE
Bajet Negara 2017
Dianggarkan RM29 bilion terpaksa dibelanjakan kerajaan BN untuk membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dan ia melebihi separuh wang hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikutip kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, setakat April 2017 jumlah hutang Kerajaan Persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan adalah sebanyak RM649 bilion.

Dari jumlah itu, katanya bentuk hutang terbesar negara adalah kertas hutang kerajaan Malaysia (MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti dengan kertas hutang terbitan pelaburan kerajaan (GIIs) sebanyak RM235 bilion.

"Hutang-hutang dalam bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh Kerajaan Malaysia bila sampai tarikh matangnya. Sementara menunggu matang, Kerajaan Malaysia perlu membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai 'coupon rate') mengikut kadar yang diurusniagakan di pasaran hutang," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, lebih stabil sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang tersebut.

"Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi," jelas beliau.

Oleh sebab itu, katanya reputasi antarabangsa kerajaan Malaysia di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, tambah beliau skandal 1MDB yang merosakkan nama baik Malaysia telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.

Beliau yakin jika reputasi kewangan Kerajaan Malaysia dipulihkan, pentadbiran baru Pakatan Harapan boleh meyakinkan pasaran dan pelabur.

Keyakinan para pelabur ini, jelas beliau akan diterjemahkan dalam bentuk kadar faedah rendah ke atas kertas-kerta hutang yang diterbitkan.

"Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh turun sehingga 1% berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun," ujarnya.

GST: Rafizi 'sekolahkan' Najib

MALAYSIA DATELINE

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sedia 'menyekolahkan' perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang baru-baru ini memomokkan janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan alasan tanpa GST perbendaharaan negara akan hilang RM42 bilion setahun.

"Sebenarnya saya telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka mengenai perkara ini di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan dilancarkan baru-baru ini.

"Cara untuk menguruskan Perbendaharaan tanpa mengenakan GST ada dihuraikan di dalam Bab 4 bertajuk Mengurus Perbendaharaan Negara," ujar beliau dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam.

Menurut Rafizi, punca kerajaan BN kesempitan sumber kewangan adalah kerana kecenderungan berbelanja melebihi pendapatan sepanjang dua dekad lalu sehingga mewujudkan hutang yang besar.

Negara ujar beliau terpaksa berhutang bagi menampung defisit apabila perbelanjaan melebihi pendapatan pada setiap tahun.

Pengurusan perbendaharaan negara, katanya tidak hanya berkisar kepada menambah pendapatan malah di masa yang sama perlu mengawal perbelanjaan.

Apabila perbelanjaan yang membazir dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan dari perbelanjaan itu, jelas beliau lebih dari mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST yang dihapuskan.

Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan menjelaskan tiga kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menampung perbelanjaan negara setelah GST dihapuskan iaitu membanteras rasuah dan mengurangkan ketirisan; pentadbiran kewangan yang telus bagi mengurangkan bayaran faedah tahunan; dan rasionalisasi cukai melalui pengenalan 'cukai ke atas keuntungan jual beli saham' dan cukai jualan dan perkhidmatan.

Menurutnya, dengan inisiatif lain seperti rundingan semula kontrak-kontrak yang berat sebelah dan rampasan harta dari rasuah yang terlibat dalam skandal-skandal besar, beliau yakin masalah yang meruncing untuk menggantikan sumber pendapatan dari GST yang dihapuskan dapat diatasi.

"Pokoknya, secara moralnya GST perlu dihapuskan dan kita ada potensi penjimatan yang cukup untuk menampung kekurangan hasil apabila GST dihapuskan kelak," tegas beliau.

Kanak-kanak ditemui menyusu pada mayat ibu (Gambar)


Kanak-kanak ditemui menyusu pada mayat ibu di Bhopal, India semalam. - Foto Cover Asia Press
BHOPAL - INDIA . Seorang kanak-kanak ditemui menangis dan menyusui mayat seorang wanita yang dipercayai ibunya, semalam.

Menurut laporan Times Of India, Pengerusi Badan Kebajikan Kanak-kanak (CWC), Sudhir Vidhyarthi menerima aduan mengenai kejadian tersebut yang bertempat di sebuah pagar kereta api.

"Kanak-kanak tersebut lapar, menyebabkan kami yang menyaksikan keadaan tersebut berlinangan air mata," kata Sudhir.

Siasatan awal polis mendapati mangsa yang berumur 35 tahun disyaki terjatuh dari kereta api semasa mendukung anaknya.

Mangsa kemudian meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala anaknya yang berumur 14 bulan terselamat.

"Mangsa mungkin terjatuh dari sebuah kereta api pada malam Selasa dan maut akibat kecederaannya," kata seorang pegawai polis di stesen Kotwali.

Sementara itu, CWC mengalami kesukaran untuk mendaftarkan anak mangsa di sebuah hospital.

"Sangat mengarut, hospital minta bayaran terlebih dahulu walaupun tahu keadaan anak mangsa getir," kata Sudhir.

Sudhir memberitahu, anak mangsa akan dirawat selama dua hari sebelum diberikan kepada waris mangsa.
-sinarharian

Cebisan daging, kepala pengebom Jakarta berselerak, kata saksi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penduduk tempatan menceritakan keadaan ngeri di tempat kejadian selepas 2 serangan berani mati yang meragut 5 nyawa di Terminal Bas Kampung Melayu, Jakarta Timur, malam semalam.

Amri Halim, 32, yang dipetik Harian Metro berkata, beliau yang dalam perjalanan pulang ke rumah, terdengar letupan kuat setibanya di terminal bas itu pada jam 9 malam Rabu (waktu tempatan).

Katanya, selepas menghentikan keretanya, beliau ternampak orang ramai bertempiaran meninggalkan terminal bas itu sambil menjerit pengebom berani mati berada di tempat kejadian, sebelum letupan ke-2 menyusul 5 minit kemudian.

“Orang ramai yang berada di situ mula tunduk dan ada yang menangis ketakutan. Saya memberanikan diri menghampiri kawasan itu.

“Cebisan daging berselerak. Tangan di tempat lain, kepalanya di tempat lain dan penuh darah di kawasan itu, sangat mengerikan,” katanya ketika dihubungi akhbar itu.

Dua lelaki meletupkan diri dan membunuh 3 anggota polis, selain mencederakan 10 orang dalam letupan berkembar selang 5 minit di ibu negara Indonesia, semalam.

Sepuluh mangsa cedera itu terdiri daripada 5 anggota polis dan 5 orang awam.

Menurut laporan The Straits Times, dua pengebom itu dikenal pati sebagai Ichwan Nurul Salam, 34, dari Bandung serta Solihin yang merupakan pekerja pentadbiran sebuah sekolah berasrama Darul Asnor di Poso, Sulawesi Tengah.

Sumber polis yang dipetik portal berita itu berkata, polis yakin Solihin mempunyai kaitan dengan pelampau di Poso dan mereka berdua juga mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS.

Menurut laporan itu, bahan letupan yang digunakan dalam serangan semalam ialah bom gred rendah.

Jurucakap polis, Setyo Wasisto yang dipetik Reuters berkata, bahan letupan dimasukkan ke dalam periuk tekanan dan ia adalah bom sama yang digunakan dalam satu serangan di Bandung, pada Februari lalu yang disyaki ada kaitan dengan IS.

Dalam pada itu, Amri percaya sasaran sebenar pengebom ialah anggota polis yang mengawal lalu lintas di tempat kejadian.

“Sebenarnya, menjadi rutin biasa buat kami di perkampungan melakukan konvoi damai pusing kampung dan seluruh Jakarta bagi menyambut Ramadan.

“Jadi, polis jaga lalu lintas mungkin jadi sasaran pengebom. Konvoi juga sepatutnya dijadualkan lalu ke kawasan ini, tetapi diarah melalui kawasan lain selepas letupan berlaku,” katanya.

Bekas gangster lawat Mufti Wilayah Persekutuan (Gambar)

Muhammad Shamsul Abd Ghani
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menerima kunjungan Abdul Salam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.Foto-Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini menerima kunjungan daripada bekas gangster Australia di pejabatnya.

Berkongsi di laman Facebooknya, Zulkifli berkata, banyak perkongsian yang beliau dapat dalam pertemuan itu.

"Ahlan wa sahlan (selamat datang) kami ucapkan kepada Abdul Salam, 42, (Vince Focarelli), bekas gangster di Australia yang menziarahi kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

"Mendengar bagaimana beliau menerima hidayah untuk memeluk Islam, cukup menginsafkan kami mengenangkan kebesaran ALLAH SWT," katanya di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata "benarlah bahawa hidayah itu milik ALLAH SWT semata-mata,".

Vince Focarelli sebelum memeluk Islam, merupakan ketua kumpulan Comanchero pernah terlibat dengan beberapa jenayah berat termasuk pengeboman yang membunuh dua orang ahli kumpulan gangster Hells Angels.

Anak Vince, Giovanni terbunuh dalam satu kejadian tembak menembak antara kumpulan gangster di Dry Creek pada 2012.
-sinarharian

Nasib Ustaz Ahmad Awang selepas lawan Hadi

Beliau pernah dimangsakan oleh pihak tertentu semasa BN mentadbir Selangor, namun apa yang berlaku ketika ini dirasakannya lebih teruk.

Hanya kerana menyatakan pandangan yang berbeza dengan pucuk pimpinan parti suatu ketika dulu, satu demi satu kuliahnya ditamatkan.

Beliau ialah Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Ahmad Awang.

Ahmad bukanlah nama asing dalam PAS. Selain pernah mendapat kepercayaan menjadi pesuruhjaya di Perak, beliau juga berkhidmat sebagai naib presiden parti itu sebelum perjalanan politiknya mula menjadi 'gelap' apabila mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua tahun lalu.

Pada pemilihan jawatankuasa pusat di Kuala Selangor pada 2015, bukan saja Ahmad 'hanyut' daripada arus perdana PAS, malah hampir semua pemimpin yang tidak sealiran dengan Abdul Hadi dikalahkan.

Turut tersingkir bekas anggota parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu.

Bersama beberapa pemimpin lain mereka kemudian menubuhkan AMANAH.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad berkata setakat ini berbelas masjid dan surau mengetepikan namanya daripada senarai penceramah tetap.

Malah katanya, ada tempat tertentu enggan lagi memberi ruang kepadanya mengajar selepas lebih 20 tahun menyumbang pengetahuannya di situ.

"Kebanyakan mereka tidak memaklumkan penamatan kuliah saya secara rasmi. Ada yang melalui mesej, ada melalui telefon malah ada juga yang berdalih," katanya.

Misalnya, cerita Ahmad, sebuah tempat di Selangor, beliau tidak diberikan ruang untuk menyampaikan kuliah bulanan atas alasan "bertembung dengan penceramah lain" pada tarikh yang sepatutnya.

Ia berlanjutan sebanyak tiga kali. Apabila disiasat, rupa-rupanya sejak awal lagi nama Ahmad diketepikan dan digantikan dengan penceramah lain.

"Itu berlaku sebelum saya keluar PAS lagi," katanya.

Ada yang bersimpati

Lebih menarik, katanya, ada orang memberitahu slot kuliahnya digantikan oleh ahli keluarga terdekat Abdul Hadi sendiri.

Katanya, tindakan masjid dan surau tertentu mengetepikannya itu seakan-akan dibuat sebagai suatu dasar parti apabila beliau bertanding untuk menjadi presiden PAS.

"Apabila saya keluar PAS, keadaan menjadi lebih buruk. Bagi sesetengah anggota parti itu, keluar PAS seolah-olah kita keluar Islam.

"Sesiapa yang menyertai parti lain akan dilayan seperti orang bukan Islam," katanya.

Lebih parah, kata Ahmad, ada pihak tertentu dalam PAS yang berasakan darah orang yang keluar parti itu seolah-olah halal.

Katanya, sekali imbas PAS kelihatan tidak ada bezanya dengan Umno yang pernah menguasai masjid dan surau di Selangor suatu ketika dulu.

Namun apabila difikirkan kembali, sebenarnya keadaan masjid dan surau di bawah kelolaan anggota PAS ketika ini jauh lebih buruk walaupun hanya berdepan dengan perbezaan pandangan politik.

"Sekarang ada tempat yang sudah menyekat saya lebih dua tahun. Dulu semasa Umno mentadbir Selangor, saya cuma pernah dihalang paling lama setahun," katanya.

Namun Ahmad tetap terbuka dan mengakui ada segelintir anggota PAS masih bersikap rasional dan bersimpati dengan orang sepertinya.

"Mereka inilah yang kadang-kadang menyampaikan maklumat kepada saya," katanya.
-malaysiakini

Kanak-kanak berusia setahun dirogol jiran

Seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan terpaksa menjalani pembedahan demi menyelamatkan nyawanya selepas cedera teruk akibat dirogol jirannya berusia 45 tahun.

Lapor Dailymail, mangsa yang tinggal di kawasan setinggan di timur Delhi, India sedang bermain di luar rumahnya apabila Hare Ram Yadav, 45, seorang tukang jahit, membawanya masuk ke dalam rumahnya pada 7 Mei lalu.

Sebaik berada di dalam rumahnya, kanak-kanak itu dirogol selama 15 minit sebelum pulang ke rumah dalam keadaan berdarah dan menangis.

Ketika kejadian, ibu kanak-kanak berkenaan yang berusia 20 tahun berada di dalam rumah memberi makan kepada bayinya yang berusia lapan bulan, sementara bapanya yang berumur 28 tahun bekerja di gerai teh.

Menurutnya, anaknya itu pulang ke rumah sambil meraung dan  dilihat sukar berjalan.

“Saya dukung dia dan bertanya apa yang sudah berlaku. Saya fikir dia hendak ke tandas dan apabila saya membawanya ke bilik air dia mengalami pendarahan teruk di kemalaunnya.

“Saya benar-benar takut dan menjerit meminta tolong kerana pendarahan tidak berhenti. kemudian ayahnya pulang ke rumah dan kami membawanya ke sebuah hospital,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa mengenali jiran berkenaan sebagai seorang yang mesra walaupun tidak rapat dengan keluarganya.

“Saya tidak tahu dia secara peribadi tetapi saya selalu melihat dia di kawasan itu. Saya fikir dia seorang yang baik dan mesra bersama jiran sebelum ini.

“Saya terkejut apabila dapat tahu perkara seperti ini berlaku kepada anak perempuan saya. Lelaki itu tua, manakala anak saya masih kecil dan baru pandai bertatih, malah belum pandai bercakap,” katanya.

Doktor mengesahkan kecederaan mangsa akibat dirogol. Kanak-kanak itu menjalani pembedahan pada 8 Mei lalu dan kini beransur pulih.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Nupur Prasad berkata, Yadav ditahan pada hari sama dan mengakui perbuatannya sebelum didakwa merogol serta melakukan serangan seksual.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu mengatakan anakanya itu kini mula takut untuk keluar rumah dan pada setiap malam, anaknya akan menjerit ketakutan teringatkan mengenai kejadian itu.

Pasangan itu lantas memutuskan untuk merahsiakan kejadian ini apabila anaknya besar nanti dan merancang untuk pindah ke kawasan lagi bagi mengelak dari percakapan orang ramai mengenai kejadian rogol itu.

“Saya tidak akan beritahu apa yang berlaku kerana ia akan menghancurkan jiwa anak saya dan saya juga tidak mahu dia menghadapi penghinaan dari masyarakat.

“Jadi saya dan suami nekal mengambil keputusan untuk berpindah daripada sini,”katanya.

Tambah ibu muda itu, dia mengharapkan perogol anaknya itu dikenakan hukuman yang lebih tegas dan berat memandangkan tindakan yang dilakukan adalah terlampau kejam
-kualalumpurpost

Pastor Raymond Koh yang hilang 3 bulan lepas didakwa terlibat memurtadkan orang Islam?

Selepas 100 hari misteri Raymond Koh, polis umum suspek ditahan
Adam Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Seorang suspek dari utara Semenanjung ditahan minggu lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan Pastor Raymond Koh yang masuk hari ke-101 hari ini, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua polis negara sekali lagi menafikan polis tidak serius dalam kes kehilangan Koh, memandangkan siasatan masih diteruskan walaupun selepas lebih 3 bulan kehilangannya di Petaling Jaya Februari lalu.

“Itu (tuduhan polis hentikan siasatan) tidak benar. Tidak ada kes yang ditutup begitu sahaja. Sudah semestinya kita lakukan siasatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

“Minggu lepas kita ambil suspek dari Utara tanah air yang kami percaya dapat membantu siasatan.”

Khalid enggan mengulas lanjut mengenai suspek yang ditahan itu.

Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu.

Ketika itu, Koh dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan lebih daripada 10 lelaki dan 7 buah kenderaan terlibat dalam kejadian yang berlaku di siang hari.

Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat.

Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.

Polis siasat dakwaan murtad

Khalid berkata, pihaknya bukan hanya menyiasat kehilangan Koh, sebaliknya turut menyiasat laporan yang mengaitkan beliau terlibat dalam memurtadkan penganut agama Islam.

“Dalam kita mahu mengetahui sebab kehilangannya, kita juga siasat laporan yang dibuat bahawa dia (Koh) memurtadkan orang Islam. Kedua-dua laporan ini kita siasat.

“Jadi, tidak adil pula jika kita hanya siasat kehilangan Raymond sahaja Kita juga siasat sama ada kehilangan dia mempunyai kaitan dengan aktiviti memurtadkan orang Islam,” katanya.

Sementara itu, Khalid menjelaskan 3 orang aktivis yang melakukan tuduhan kononnya pihak berkuasa terbabit dalam kehilangan Raymond dipanggil memberikan keterangan.

“Aktivis ini menuduh pihak berkuasa terlibat, jadi kita hendak tahu apa bukti yang mereka ada. Kalau ada bukti, marilah. Jangan hanya main tuduh kerana ini tuduhan serius,” katanya.

Tiga aktivis yang dimaksudkan adalah Thomas Fann, Sevan Doraisamy dan Rama Ramanathan, yang merupakan sebahagian daripada Citizen Action Group On Enforced Disappearance (Caged) yang ditubuhkan awal bulan lalu.

Mereka disiasat bawah Seksyen 504B Kanun Keseksaan.
-fmt

Tunku Mahkota Johor sarankan Khairy Jamaluddin jadi Askar Wataniah, bukan menteri

TMJ: Lebih baik KJ jadi Askar Wataniah, bukan menteri
Ketiadaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini nampaknya dipandang begitu serius oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, orang ramai tertanya-tanya di manakah menteri belia dan sukan itu ketika perlawanan sukan utama tanah air berlangsung.

"Pada pendapat saya, beliau sepatutnya menjadi antara individu penting yang sepatutnya turut hadir menyaksikan salah satu perlawanan bersejarah ini," katanya melalui Facebook Johor Southern Tigers petang ini.

Menurut TMJ, beliau dimaklumkan Khairy terlibat dengan program Askar Wataniah pada malam perlawanan Piala FA tersebut.

Bagaimanapun, pada pandangannya, menteri terbabit sepatutnya memberi keutamaan pada perlawanan akhir Piala FA itu.

"Pada saya, sekiranya program Askar Wataniah lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi Askar Wataniah daripada menjadi menteri belia dan sukan," tegas Tunku Ismail.

Perlawanan akhir Piala FA 2017 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, 20 Mei lalu lalu menyaksikan pasukan Kedah bertemu Pahang.

Ia turut disaksikan tiga kerabat diraja iaitu dari Kedah, Johor dan Pahang.

Perlawanan sengit dan menghiburkan itu berakhir dengan skukad Helang Merah menundukkan Tok Gajah 3-2.

Tunku Ismail turut menasihati Khairy agar tidak memilih untuk hadir ke majlis yang menjadikan beliau sebagai tumpuan semata-mata.

"Janganlah hanya memilih untuk pergi ke aturcara yang anda pasti akan menjadi tumpuan majlis tetapi apabila sebaliknya, tidak mahu pergi kerana sudah tahu anda tidak menjadi tumpuan.

"Apabila anda telah menjadi seorang menteri atau ahli politik, yang sebetulnya adalah mengenai berkhidmat kepada rakyat dan institusi negara, bukan berkhidmat untuk kepentingan diri sendiri," jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya mahu menjadi popular lebih baik menjadi selebriti dan bukannya memegang jawatan sebagai seorang menteri atau ahli politik.

"Dan kepada semua ahli politik dan wakil-wakil pemuda, keutamaan tugas anda adalah turun padang dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya mengira berapa banyak 'followers' di laman media sosial.

"Ini bukan pasal soal sukan dan bola sepak sahaja tetapi ini adalah tanggungjawab dan amanah kesemua ahli-ahli politik dalam negara," kata Tunku Ismail.
-malaysiakini

Tembak mati isteri, pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan

Kuching – Kurang enam jam selepas menembak mati isterinya, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan berhampiran sebuah pasar raya di pinggir bandar raya ini, jam 9.35 malam tadi.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak, yang bertindak atas maklumat risikan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansur, ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan suspek ditahan berhampiran Pasaraya e-Mart Matang, di sini.

Katanya, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penahanan dilakukan.

“Berikutan penahanan suspek, tumpuan kini diberikan pada proses siasatan, termasuk mengenal pasti motif sebenar pegawai terbabit membunuh mangsa.

“Fokus siasatan bertumpu kepada masalah peribadi antara mangsa dan suspek,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan tidak menyatakan sama ada senjata api digunakan dalam pembunuhan itu dirampas daripada suspek.

Mazlan turut mengesahkan suspek bertugas sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga.

Katanya, hasil maklumat awal mendapati suspek memasuki bilik tidur mangsa dan melepaskan satu das tembakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang tadi, seorang wanita ditemui mati di rumah keluarganya di Kampung Kakai, Serian, dipercayai ditembak oleh suaminya, yang juga seorang pegawai polis.

Difahamkan, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga sejurus menembak mangsa.

angsa ditemui mati oleh jirannya, seorang anggota polis bantuan, yang bergegas ke rumah berkenaan selepas ibu wanita terbabit meminta pertolongan.

Mangsa, Siti Nadirah Abdullah, 33, dikatakan berkahwin dengan suspek, yang juga seorang pegawai polis di Belaga tahun lalu, namun masih belum dikurniakan anak.

Namun, difahamkan mangsa kini mengandung dua bulan dan akan menjalani pemeriksaan minggu depan.

Mangsa mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu. Mangsa tidak bekerja selepas mendirikan perkahwinan kedua ini.

Mangsa dalam akaun Facebook menggunakan nama Christy El, yang kali terakhir dikemaskini pada 10 April lalu, meninggalkan catatan “Bergembiralah, anda tidak tahu berapa lama lagi masa anda yang tinggal.” – BH Online

PM Sementara: Mengapa Tidak Mohamad Sabu?

MOHD AZHAR ABD RAHMAN
Dalam pada seluruh pimpinan Pakatan Harapan sama ada dari PKR, AMANAH, DAP mahupun PPBM bersetuju secara bersama untuk menumpukan kepada usaha menumbangkan Barisan Nasional terlebih dahulu sebelum menamakan mana-mana pemimpin sebagai Perdana Menteri, namun pada masa yang sama terdapat pimpinan parti masing-masing mula mengenengahkan ketua mereka sebagai calon tidak dapat disembunyikan. Ia bolehlah diibaratkan seperti kelip-kelip terbang malam.

Pada sesetengah pihak ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat kerana ia menggambarkan seolah-oleh HARAPAN terlalu memikirkan soal jawatan dan pangkat daripada memberi tumpuan sepenuhnya terlebih dahulu kepada strategi dan kempen mengalahkan BN dalam PRU ke 14 yang akan datang.

Tidak kurang juga yang berpendapat calon Perdana Menteri itu sebaiknya dikemukakan lebih awal supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat di bawah bahawa kesepakatan HARAPAN ini benar-benar ampuh dan bersedia mengambil alih Putrajaya.

Apa yang pasti, majoriti pimpinan HARAPAN bersetuju sekiranya HARAPAN berjaya menawan Putrajaya, tanggungawab sebagai Perdana Menteri itu diberikan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR selepas beliau dibebaskan dari hukuman penjara. Malah bekas seterunya, Tun Dr Mahathir juga pernah berkata jika itu yang dimahukan rakyat, siapalah saya untuk menghalang.

Mengambil kira tempoh masa Anwar dapat dibebaskan untuk melayakkan beliau bertanding sebagai ahli parlimen seterusnya diberi mandat sebagai PM, masa yang diperlukan untuk ke arah itu adalah kira-kira 2 hingga 3 tahun dan mungkin lebih. Sebelum usaha itu dapat dijayakan, seorang Perdana Menteri interim atau sementara perlu dilantik supaya urusan kerajaan dan perubahan-perubahan yang diwar-warkan semasa kempen dapat dilaksanakan.

Sekiranya ini roadmap yang dipersetujui, maka Perdana Menteri interim inilah yang menjadi tanda tanya, siapa selayaknya?

Kelihatannya seperti mudah. Lantik, tunggu Anwar keluar dan serah kepada Anwar. Tetapi ia tidak semudah yang difikirkan. Lihat sahaja roadmap Langkah Kajang. Nampak mudah dan seperti boleh dilaksanakan tetapi setelah separuh jalan, pelbagai pula mehnah dan karenah berlaku. Bukan kerana roadmapnya tetapi keteguhan kepada janjinya.

Sesiapa sahaja boleh meletakkan nama sebagai Perdana Menteri interim ini kerana pada kefahamannya ia hanya bersifat sementara. Tetapi sementara itu bukan bermaksud tak perlu buat apa-apa dan hanya menunggu Anwar.

Ada kerja dan tuntutan yang perlu dilaksanakan dan ia tidak boleh diambil mudah. Kita tidak mahu Pakatan Harapan yang mendapat kepercayaan rakyat itu nanti bertukar menjadi ‘putus harapan’.

Dalam Kongres PKR baru-baru ini, malah sebelum ini pun PKR optimis bahawa tugas PM sementara itu hanya layak disandang Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PPBM pula melalui Penasihatnya enggan memberi sebarang bayangan awal dan mengajak semua pihak berusaha mengalahkan BN terlebih dahulu dan melihat parti mana yang memenangi kerusi terbanyak akan diberi mandat tersebut. Maka mereka memilih untuk menangkap gambar daripada mengangkat sepanduk ANWAR PM ke-7 .

Namun ada pihak yang melihat PPBM berminat dengan jawatan tersebut setelah dikatakan berusaha meminta lebih banyak kerusi parlimen untuk ditandingi pada PRU akan datang.

DAP pula dari awal menolak sangkaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan mereka bakal diangkat sebagai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sekiranya menang pada PRU ke 14 nanti. Lim Kit Siang tegas mengatakan tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Hanya Amanah yang kelihatan tidak mahu dilihat berminat dengan jawatan tersebut dan hanya akan membawa pandangan melalui perbincangan dalaman. Namun sebagai gabungan pakatan yang mesra kepada pandangan dan pendapat dari sisi yang berbeza, saya lontarkan, mengapa tidak Mohamad Sabu?

Tanpa menafikan kemampuan kepada mana-mana calon yang disebut, mari kita lihat merit yang ada pada Haji Mohamad bin Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu yang kini berusia 63 tahun, 29 tahun lebih muda dari Tun Dr Mahathir.

Beliau merupakan tokoh tulen pembangkang yang setia berada dalam posisi sebagai pembangkang sejak dari awal lagi pembabitannya dalam politik. Lebih separuh usianya dihabiskan dalam gerak kerja sebagai ahli politik pembangkang.

Beliau tidak mengambil langkah ‘mencuci dari dalam’ seperti yang dibuat beberapa pimpinan yang akhirnya diri mereka ‘dicuci terlebih dahulu’. Seandainya beliau mengambil langkah sedemikian, dan setia benar kepada ketuanya, mungkin tempat Zahid Hamidi itu adalah miliknya. Tetapi kerana percaya dan benar-benar berpegang teguh dengan prinsip, itu bukan jalan yang dipilih Mat Sabu.

Beliau berusaha dan komited, untuk melaksanakan perubahan, reformasi, tajdid, islah atau apa sahaja istilah yang disebut ke arah membina semula negara sebuah kerajaan di luar dari pengaruh BN perlu diwujudkan.

Menyedari hakikat itu, beliau menjelajah ke seluruh negara, masuk ke semua ceruk kampung, berceramah dan bersyarah dengan gaya bahasa bersahaja mengajak rakyat berfikir tentang masa depan. Tanyalah kepada beliau, daerah mana yang tidak pernah beliau kunjungi.

Sejak dari 70-an beliau berpegang kepada prinsip ini dan berjuang sepenuh hati mengajak rakyat bersama beliau ketika itu. Melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), seterusnya bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kini Parti Amanah Negara (AMANAH), beliau tetap meneruskan usahanya mengajak kepada perubahan.

Masuk keluar penjara tidak menjadi masalah baginya malah duduk bersama dengan orang yang memenjarakannya pun bukan penghalang untuk beliau terus berusaha memastikan perubahan berlaku sehinggakan ramai tokoh yang dahulunya penentang beliau kini mengakui apa yang diperjuangkan Mat Sabu adalah benar.

Mat Sabu pencetus kepada budaya berbincang secara ilmiah. Ingatkah anda isu Mat Indera? Atas lontaran beliau tentang Mat Indera, forum-forum dan perbincangan berkaitan sejarah negara menjadi perhatian dan menghidupkan budaya perbincangan ilmiah di universiti-universiti malah di kampung-kampung. Itulah penangan Mat Sabu.

Meskipun beliau bukan pemegang ijazah kedoktoran (phd), namun rekod yang merakamkan pemikiran dan usaha juang beliau ada dalam arkib tesis dan disertasi di universiti-universiti. Beliau juga mengamati perkembangan politik dunia dan sering ke negara-negara luar untuk memahami dan melihat sendiri isu yang berlaku di negara-negara tersebut. Cuma kehadirannya bukan sebagai pemimpin kerajaan, jadi tiada liputan yang diberikan kepada beliau.

Seperti yang pernah disebut oleh Prof Dr Ridhuan dalam satu majlis penyerahan tesis oleh graduan seliaannya, beliau berkata, pemikiran Mohamad Sabu bukan sahaja terpancar di dalam negara bahkan hingga ke University Frankfurt cuma perjalanan dan pemikiran Mohamad Sabu tidak dirakam dalam bentuk tulisan menyebabkan ia seakan tidak terpandang dan tiada dalam rak di perpustakaan.

Dalam gerakan bersama rakyat, gerakan apa yang tidak disertai Mat Sabu? Hampir kesemua gerakan sivil yang melibatkan isu rakyat didokongi beliau malah ada beberapa gerakan diasaskan beliau. Ini menunjukkan beliau benar-benar menjiwai keluhan rakyat dan mempamerkan sikap yang tegas dalam memperjuangkan isu-isu rakyat. Oleh sebab itu, hampir seluruh rakyat di negara ini baik di kampung mahupun bandar mengenali Mat Sabu malah kebanyakan orang kampung memanggil AMANAH sebagai Parti Mat Sabu. Begitulah betapa tingginya jenama Mat Sabu itu di mata rakyat.

Apa yang lebih penting dalam semua yang dinyatakan di atas adalah ketulenan beliau dalam menggalas tugas sebagai pemimpin pembangkang . Istiqamahnya beliau dalam menjadi penyemak dan pengimbang dasar-dasar kerajaan dan terus-terusan memberi tekanan kepada isu-isu korupsi telah teruji dan pengalaman beliau ini merupakan kualiti yang diperlukan sebagai pemimpin utama negara.

Soal prinsip dan keberanian beliau membuat keputusan tidak perlu dipertikai. Beliau keluar dari memegang sebarang jawatan di negeri Pulau Pinang sejurus PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Beliau keluar dari PAS, parti yang telah beliau perjuangkan puluhan tahun dan membina AMANAH kerana mempertahankan prinsip ’amar makruf nahi mungkar’ yang dipegang beliau.

Beliau buang hal peribadi dan perasaan lama untuk meraikan sesiapa sahaja yang mahu bersama dalam perjuangan ini atas dasar prinsip. Maka, andai diberi mandat kepada beliau untuk memimpin negara sehingga Anwar layak diserahkan tugas tersebut, saya yakin beliau tidak akan berdolak-dalih untuk merealisasikan perkara tersebut.

Sehingga kini, ketokohan dan kualiti yang ada pada Mat Sabu sebagai pembawa perubahan perlu diakui. Beliau antara pemimpin teratas yang disenangi oleh semua komponen HARAPAN baik melayu mahupun bukan melayu. Tidak pernah terlibat atau mencetuskan konflik sesama mereka malah sering mengambil sikap terbuka apabila timbul perselisihan. Di dalam parti yang diketuainya AMANAH, kedudukannya teguh dan bergerak maju. Inilah nilai kepimpinan yang ada padanya bersama pasukannya yang mempunyai latar dan rekod yang cemerlang.

Sekiranya ditanya siapa pemimpin 'Muslim Demokrat' yang ada di Malaysia selain Anwar Ibrahim, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa orangnya adalah Mat Sabu.

Cuma Mat Sabu tidak pernah duduk dalam kerajaan, tidak pernah memegang kuasa dan jawatan besar seperti mana Anwar dan orang tidak dapat melihat bekas tangannya dalam hal pentadbiran kecuali pengalamannya menjadi ahli parlimen selama 3 penggal, Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub (PIHH).

Namun sekiranya tugas sebagai Perdana Menteri Interim ini diberikan kepadanya, saya yakin beliau tidak hanya akan menunggu, malah beliau akan segera melaksanakan proses perubahan yang dilaungkan seiring dengan aspirasi Anwar dan rakan-rakannya.

Maka, sekali lagi saya sarankan dalam isu ini, mengapa tidak Mohamad Sabu yang menjadi pilihan?

MOHD AZHAR ABD RAHMAN

Setiausaha Pemuda AMANAH

Tanjung Malim.

Wanita mohon mahkamah penjarakan suami

Wartawan Sinar Harian

Mohammad Syahrill Mohammad, 34, (tengah) dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah.
KOTA BHARU – “Makan tidur, makan tidur. Lepas tu pukul saya.”

Itu luahan seorang isteri ketika memberi keterangan impak di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Dalam keterangannya itu, Wan Nor Hafiza Wan Ahmad, 30, turut memberitahu mahkamah, kejadian pukul tersebut bukan kali pertama dilakukan tertuduh, malah dia sudah sering menjadi mangsa lelaki terbabit.

“Saya seorang sahaja yang bekerja (penyambut tetamu), dia pula curi barang kemas, ambil duit saya. Saya minta dia dihukum penjara dua tahun dan selepas ini minta dia jangan datang cari saya serta anak kami lagi,” katanya.

Majistret, Nik Habri Muhammad kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Mohammad Syahrill Mohammad, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Wan Nor Hafiza di kedua-dua lengan dan mencekik mangsa di sebuah rumah di Jalan Kemboja, Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 8 pagi, 10 April lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Mohamad Marzuki Omar, manakala tertuduh diwakili peguam awam.

Kejadian berpunca selepas tertuduh berang apabila mangsa menemui kawan tertuduh untuk bertanyakan barang kemas mangsa yang hilang dalam simpanan.

Barang kemas mangsa dipercayai dicuri oleh tertuduh sendiri dan dijual kepada rakannya. Sejak itu, mangsa sering dipukul tertuduh dan duitnya pula diambil tanpa pengetahuan mangsa.

Nik Habri dalam keputusannya menasihatkan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan itu supaya mengambil pengajaran dan menginsafi kesalahan yang dilakukan.

“Saya tidak menyebelahi sesiapa, namun menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi mangsa. Di rumah kamu boleh jadi hero, tapi tidak di mahkamah saya.

“Perbalahan suami isteri adalah perkara biasa, tetapi apabila sudah sampai ke mahkamah akan menjadi sesuatu yang serius,” katanya.