"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa perlunya nombor plat VIP harga hampir RM100,000 bagi pemimpin yang kononnya memperjuangkan islam

Kereta mewah, motor besar, banglo RM3 juta dalam radar SPRM
B Nantha Kumar

SPRM akan memberi perhatian kepada kereta mewah, motosikal berkuasa tinggi dan banglo milik beberapa pemimpin PAS dalam siasatan terkininya terhadap beberapa pemimpin parti itu.

Menurut sumber SPRM, agensi tersebut telah mengenal pasti beberapa pemimpin PAS menggunakan kereta mewah dan juga membeli rumah banglo.

"Sekurang-kurangnya lapan pemimpin PAS akan dipanggil ke siasatan ini," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau turut menyenarai pendek bahawa seorang bekas pemimpin PAS didakwa memiliki kereta-kereta mewah bernilai hampir RM1.5 juta dan sebuah rumah banglo berharga RM3 juta di Bangi," katanya.

"BMW525, Mini Cooper, Toyota Vellfire, Toyota Camry dan Toyota Fortuner. Laporan memberitahu beliau membeli kereta-kereta mewah ini secara tunai," tambah sumber yang mengetahui butiran siasatan itu.

"Manakala, tujuh pemimpin lain didakwa menyalahgunakan dana membeli Porche Cayman, Range Rover, Audi A6, Toyota Vellfire dan Toyota Altis, Volkswagen Passat, Audi Q7, Mercedes Benz, motor BMW dan sebagainya.

"Turut dalam radar adalah pembelian nombor plat VIP oleh pemimpin-pemimpin ini.

“Dipercayai sekurang-kurangnya dua pemimpin PAS membelanja hampir RM100,000 setiap seorang untuk membeli nombor plat VIP ini," katanya lagi.

Untuk rekod, SPRM hari ini memanggil bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz untuk mendapat keterangan berkenaan dakwaan dana RM90 juta.

Presiden PAS Hadi Awang hari ini berkata parti itu terbuka dan sedia bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan itu.

Beliau juga menegaskan kewangan PAS disumbangkan oleh anggota-anggotanya yang mencecah angka sejuta orang.

SPRM akan panggil 8 lagi pemimpin PAS

B Nantha Kumar

Sumber dalaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa sekurang-kurangnya lapan lagi pemimpin PAS akan dipanggil berhubung isu penerimaan dana RM90 juta daripada Umno.

Menurutnya, lapan yang bakal dipanggil itu sama ada terkait dengan dakwaan tersebut atau untuk membantu siasatan.

"SPRM hari ini bermula dengan Nasharuddin Mat Isa dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Sekurang-kurangnya lapan lagi pemimpin PAS dipanggil.

"Tiga dalam pimpinan pusat, dua dari Majlis Syura Ulama, seorang dari kerajaan Kelantan, seorang dari sayap pemuda dan seorang lagi dari pimpinan PAS Pahang.

"Daripada lapan orang ini, dua daripadanya adalah anggota parlimen," kata sumber itu yang arif dengan siasatan yang dijalankan.

Hari ini, Nasharuddin yang merupakan bekas timbalan presiden PAS hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya manakala Nik Abduh - anggota parlimen Bachok - di ibu pejabat SPRM Kelantan.

SPRM sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung RM90 juta disyaki dari syarikat 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Nasharudin Mat Isa mengadap SPRM

Faisal Asyraf

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dipanggil SPRM berhubung dakwaan transaksi dana RM90 juta yang diterima pemimpin PAS dari Umno.

Menurut sumber dari SPRM, Nasharudin tiba kira-kira jam 8.40 pagi untuk merekod keterangannya mengenai perkara itu.

Dipercayai, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan dan bekas naib pengerusi PAS Husam Musa juga dijadualkan akan tiba di SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, kelibat beliau masih belum kelihatan.

Sementara itu di Kelantan, ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tiba di Kompleks SPRM di Kota Bharu pada jam 10.20 pagi, dengan memandu kereta Mercedes Benz berwarna hitam.

SPRM sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung RM90 juta disyaki dari syarikat 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown pada 6 Ogos 2016 berhubung jumlah RM90 juta yang didakwa dibayar Umno kepada pemimpin PAS untuk meraih sokongan.

Pada 2 Februari lalu, Abdul hadi menyelesaikan kes itu di luar mahkamah apabila menarik balik tuntutan terhadap defendan iaitu Claire serta defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

Zahid dedah rahasia Umno, PAS 'bertaawun' sebelum PRU14 lagi

Haspaizi Zain

Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beberapa siri pertemuan telah diadakan antara pemimpin Umno dan PAS bagi membincangkan soal kerjasama antara dua parti itu sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 14.

Bagaimanapun kata presiden Umno yang sedang bercuti itu, tiada keputusan dicapai dan PAS memilih untuk bersendirian.

"Secara ikhlas, sebelum PRU14 beberapa siri pertemuan diadakan antara kepemimpinan atasan Umno, BN dan PAS. Bagaimanapun tidak ada keputusan secara konkrit untuk hadapi secara bersama.

"PAS ambil keputusan untuk bersendirian tanpa bergabung dengan kerajaan (BN pada masa itu) walaupun ada perbincangan.

"Realitinya kekalahan Umno, BN adalah sebab pertandingan tiga penjuru sama ada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya dalam satu forum bertajuk Kerjasama Umno dan PAS Sejauh Mana? di Dewam Utama Kompleks Umno Bagan Datuk, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk dan Yang Dipertua PAS kawasan itu, Misbahul Munir Masduki bertindak selaku ahli panel pada program berkenaan.

PAS dan Umno menjalinkan kerjasama yang lebih serius selepas PRU14 apabila dua parti dominan orang Melayu itu memecahkan tradisi "permusuhannya" dengan membentuk kesepakatan politik.

Ia diterjemahkan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang berlaku apabila BN tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PAS, begitu juga PAS memberi laluan BN bertanding di kerusi yang dilihat memihak sekutunya itu.

Terbaru dalam PRK Parlimen Cameron Highlands yang menyaksikan BN memenangi kerusi berkenaan dengan PAS turut membantu kempen.

Begitu juga dengan PRK DUN Semenyih akan akan berlangsung tidak lama lagi, PAS memberi laluan kepada BN bertanding di kerusi itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata jika Umno dan PAS mahu merampas kembali Putrajaya, mereka perlu ikhlas membuat keputusan secara bersama.

Beliau berkata, pemimpin kedua-dua parti itu perlu ikhlas melakukan perubahan.

"Wahai pemimpin Umno, wahai pemimpin PAS dengan ikhlas saya katakan Umno kali ini benar-benar ikhlas demi kepentingan agama.

"Selama ini sebagai keeajaan mungkin ada "kefasikkan" yang dilakukan, mungkin ada dosa besar dan kecil (dilakukan) ini proses pembersihan kepada Umno," kata Ahmad Zahid.

Katanya kerjasama Umno dan PAS perlu segera diterjemahkan dalam bentuk yang lebih konkrit untuk mendepani cabaran semasa.

SPRM soal 3 ahli politik dalam siasatan kes RM90 juta

Minderjeet Kaur
PETALING JAYA: Tiga ahli politik akan disoal esok pagi berhubung dakwaan RM90 juta disyaki daripada 1MDB dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin PAS.

Sumber di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata salah seorang diminta ke cawangan Kelantan manakala 2 lagi akan disoal di Putrajaya.

“Mereka diminta berada di pejabat SPRM pada 9 pagi,” kata sumber kepada FMT.

Seorang ahli politik itu adalah Adun, menurut sumber itu.

Semalam, PAS mengumumkan ia sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan SPRM dan dokumen-dokumen itu akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

Parti Islam itu juga menyeru pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan tersebut tampil membantu siasatan.

Perkembangan ini menyusuli penyelesaian luar mahkamah antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung artikel yang mendedahkan dakwaan tersebut.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dituduh di mahkamah dalam kes-kes berkaitan 1MDB nafi pernah membayar RM90 juta kepada pemimpin PAS.

Beliau mengingatkan pihak berkuasa sudah membuat siasatan yang sangat teliti terhadap akaun-akaun peribadinya dan Umno sejak pilihan raya umum ke-14.

Kenapa Nik Abduh membisu?

MALAYSIA DATELINE
Rakan mendakwa ada 40 saksi hidup dengar pengakuan Nik Abduh, tetapi dia tetap membisu.
Kebisuan ahli parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz selepas Presiden Pas terpaksa menarik balik samannya ke atas Sarawak Report kini menjadi tanda tanya.

Bahkan, laman facebook AJK Pas Pusat itu menerima persoalan bertalu-talu dari rakan-rakan beliau walaupun topik lain yang dibicarakan dalam tulisannya.

Posting terakhir Nik Abduh.. isu lain tetapi ditanya isu audio beliau,.

Pada posting terakhirnya iaitu pada 5 Februari lalu, Nik Abduh memuat naik satu video kuliah dalam bahasa Arab, namun persoalan dan komentar di bawahnya penuh dengan isu ‘audio pengakuan beliau menerima duit Umno’.

Mohd Ashraf menulis: “Tak sangka ana, enta makan duit umno… akhirnya, pecah lubang.. bukan main enta kata dalam ceramah dan masjid2, yang enta kata video enta tu fitnah… Tak baik cakap tipu.. dah la tipu darat kat depan2 ahli…”

Sebelum ini, pemimpin ulama muda Pas, Dr Muhammad Atiullah mendakwa beliau berada di depan Nik Abduh ketika pengakuan menerima duit Umno itu dibuat.

Bahkan, ada 40 saksi yang masih hidup bersama-sama beliau mendengar pengakuan Nik Abduh itu, kata pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Kesemua pendedahan ini berlaku ekoran tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik samannya terhadap Sarawak Report melalui penyelesaian di luar mahkamah.

Selepas 'nyamuk' meninggalkan PAS

Raja Bahrin Shah Raja Ahmad

Apabila Amanah ditubuhkan pada 2016, pimpinan PAS memperlekehkan kami dengan menyatakan 'parti nyamuk' itu hanya akan bertahan beberapa bulan.

Selepas PRU ke-14 - dan setelah tiga tahun Amanah wujud - ahli kami menjadi sebahagian daripada kabinet Malaysia dengan lima menteri dan lima timbalan menteri, selain seorang speaker Dewan Rakyat.

Nampaknya hayat 'nyamuk-nyamuk' ini jauh melebihi tempoh jangkaan mereka.

Apa yang tidak disangka oleh PAS ialah, 'nyamuk-nyamuk'tersebut sebenarnya meninggalkan parti itu kerana mengalami alahan kepada DNA Umno yang sedang membiak pada waktu itu.

Hari ini, DNA ada pula 'nyamuk-nyamuk' yang mula mengigit dengan agresif sekali di dalam PAS.

Gigitan mereka berbentuk pengakuan sebagai saksi melalui Facebook dan laporan polis tentang rakaman audio didakwa pengakuan Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa PAS menerima wang Umno.

Ia dipercayai berlaku dalam satu majlis pada 2016 - iaitu tahun yang sama Amanah ditubuhkan.

Tak pertahan maruah parti

Saudara-saudara seperjuangan kami adalah golongan yang sayangkan PAS seperti kami juga, walaupun kelantangan kami menyebabkan kami disingkirkan.

Mungkin kerana kami golongan profesional dan bukan ustaz pula tetapi lantang, justeru disingkir terlebih dahulu, manakala sebahagian yang lain - dan bergelar ustaz - masih giat berusaha menentang pembiakan DNA Umno dari dalam PAS.

Selepas melihat betapa lemahnya pimpinan PAS hari ini gagal mempertahankan maruah PAS, dan menarik balik saman ke atas Sarawak Report, saudara kami dalam PAS mula mengorak langkah dengan bersuara secara berbisa.

Apa yang nyata di sini ialah dengan pengakuan Nik Abduh pada Oktober 2016 - seperti didedahkan oleh Dr Mohd Atiullah - apa yang kumpulan kami nyatakan pada masa itu terbukti benar.

Justeru kerana benar itulah kami disingkir.

Apa yang dinyatakan oleh adik-adik saudara seagama kami - iaitu ustaz terbabit - yang masih di dalam PAS beberapa hari lepas adalah bantahan keras mereka atas tidak bersedianya pucuk pimpinan parti mempertahankan maruah dengan menarik balik saman ke atas Sarawak Report!

Ramai anggota dalam PAS mempertikaikan isu itu secara meluas sekarang.

Bukan sahaja mereka tidak bersedia mempertahankan maruah parti, malahan pucuk pimpinan PAS sanggup mencemarkan nama PAS dengan membantu Umno dan BN yang ditolak rakyat pada PRK ke-14 lalu, selain semua PRK yang diadakan selepasnya - kecuali di Cameron Highlands.

Penolakan Umo-BN oleh rakyat adalah jelas pada PRU ke-14 tetapi seperti dinyatakan oleh almarhum Tok Guru Nik Aziz, mengapa pula PAS memberi pelampung kepada musuh yang sedang lemas selepas mereka berpuluh-puluh tahun merampas hak dan tanah orang PAS selama ini?

Mengapa memberi tongkat kepada musuh yang zalim selepas mereka ditolak rakyat?

Kami percaya masih ramai saudara yang bersefahaman dengan kami sekarang cuba memperbetulkan PAS dari dalam.

Biarlah kami mengorbankan diri dengan diusir dari PAS dan dituduh sebagai pengkhianat, asalkan kesedaran dan kebenaran muncul selepas tiga tahun.

Kain rentang dengan gambar saya dengan perkataan "pengkhianat" dpasang di merata-rata kawasan Kuala Terengganu ketika kami cuba menyedarkan anggota PAS apa yang sedang berlaku dalam parti.

Termasuk menantu presiden

Keluarga dan anak anak saya amat tertekan pada masa itu. Saya maafkan pihak terlibat kerana mereka tidak tahu perkara yang diselindungkan oleh pimpinan atasan PAS yang sedang mabuk cinta dan gelap mata dengan kekayaan Umno-BN.

Apa yang penting ialah, anggota biasa PAS sekarang sedar akan apa yang dilakukan pimpinan mereka hari ini. Saya tidak pernah memutuskan silaturrahim dengan anggota PAS yang saya anggap sebagai sahabat, dan berhak diziarahi serta ditegur sapa.

Kalau kami dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana dikatakan liberal, bagaimana pula golongan ustaz PAS seperti Atiullah bersama 40 orang ustaz lain, termasuk menantu Abdul Hadi sendiri yang didakwa hadir di majlis pejelasan Nik Abduh itu?

Semasa kes 1MDB melibatkan Najib Razak diperkatakan, pucuk pimpinan PAS mahu dibawa empat orang saksi untuk membuktikannya.

Isu kenyataan Nik Abduh bukan hanya ada bukti rakaman audio, tetapi 40 orang saksi hidup bertaraf ustaz PAS sendiri.

Ia adalah 10 kali ganda daripada "empat orang saksi" yang dikatakan diperlukan untuk pembuktian.

Saya sangat bersimpati dengan saudara-saudara kami dalam PAS kerana mereka telah berkorban banyak harta benda dan tenaga serta taat kepada pimpinan yang hari ini yang tidak berterus-terang dalam banyak isu.

Kami terus menganggap saudara kami dalam PAS sebagai sahabat seagama dan saya sanggup melupakan tuduhan liar kononnya pengkhianat kepada saya kerana mereka tidak di beritahu hal sebenarnya oleh pucuk pimpinan parti itu.

Islam menuntut kita mencari kebenaran walaupun sepahit mana untuk ditelan demi Islam dan keadilan di dunia dan akhirat.

RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pengerusi PH Terenganu.

HANCUSSS!!! 40 saksi pengakuan Nik Abduh terima duit Umno, kata ulama Pas

BORHAN AHMAD

Seorang pemimpin ulama muda Pas, Dr Muhammad Atiullah Othman mendakwa ada lebih 40 saksi yang masih hidup mendengar pengakuan Ahli parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz bahawa dia menerima duit Umno.

Dalam satu posting di facebooknya, pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, beliau hadir sendiri dalam majlis pengakuan Nik Abduh itu.

Dr Muhammad Atiullah berkata… Wajahnya bagaikan Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetapi hatinya sudah sama mendiang Marcos.

“Selepas hari kejadian, saya sangat kecewa dengan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam Pas. Memang bukan semua, tetapi saya sangat kecewa dengan UNA. Wajahnya bagaikan Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetapi hatinya sudah sama mendiang Marcos,” tulis Muhammad Atiullah yang sebelum ini banyak menyerang pemimpin profersional dalam Pas sehingga parti itu berpecah sehingga terbentuknya Amanah.

Menurut tulisannya hari ini, yang dibuat selepas Presiden Pas menarik balik samannya terhadap Sarawak Report, Dr Muhammad berkata ia berlaku dalam bulan Oktober 2016.

“Bulan Oktober 2016 adalah paling hitam dalam hidup saya. Buat pertama kali menjadi saksi hidup pengakuan menerima suapan.

“Saya sebagai penjawat awam, tentu kenal bahawa apa yang disebut oleh YB Nik Mohamad Abduh adalah rasuah, bukan hadiah. Semua penjawat awam telah diberi pendedahan perbezaan antara hadiah dan rasuah sebagai syarat pengesahan jawatan,” tulis beliau.

Pada hari hari kejadian, katanya, beliau duduk betul-betul di hadapan Ustaz Nik Abduh (UNA).

“Tiada seorang pun depan saya. Telunjuk UNA yang marah terhadap Ustaz Zaharuddin Muhammad (UZM) yang membantah ‘ambil duit UMNO’, secara fizikalnya menuding kepada saya.

“Pimpinan lain yang hadir dan bersama dengan pandangan UNA adalah Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi dan YB Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri,” tulisnya lagi.

Menurut Dr Muhammad, UZM persoalkan hujah Nik Abduh.

“Cuba memerhati hadis Nabawi dan perbahasan Fiqh. Tetapi, UNA pula melenting tak tentu pasal. Lentingannya di hadapan saya. Bagaikan saya dimarahi sebab saya betul-betul di hadapan UNA. Antara UNA dan UZM, ada dua orang iaitu Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi dan YB Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri,” katanya.

Dr Muhammad bertegas, tiada seorang pun di hadapan beliau yang menghalang beliau mendengar penyataan Nik Abduh itu

“Tiada kepala yang menghalang saya dari memandang UNA. Di belakang saya pula adalah Ustaz Hazmi Dibok. Saya turut memerhati di sekeliling dan cuba mengenali satu persatu orang yang hadir. Jumlah mereka yang patut jadi saksi mencecah ataupun lebih empat puluh (40) orang,” katanya.

Tulisan Dr Muhammad Atiullah adalah sebahagian dari cerita bagaimana rakaman video Nik Abduh yang membuat pengakuan menerima duit dari Umno.

Rakaman itu dikatakan bakal menjadi sebahagian dari bahan bukti dalam kes pembelaan Sarawak Report terhadap saman Abdul Hadi terhadap editornya Clare Rewcastle Brown.

Namun beberapa hari lepas, Presiden Pas itu telah menarik balik samannya dengan satu penyelesaian di luar mahkamah.

Apa berlaku dalam Pas hingga Hadi tarik balik saman?

BORHAN AHMAD
Habuan daripada musuh sebelum perang haram namanya rasuah. Habuan daripada musuh selepas perang halal namanya ghanimah, kata Zaharudin, menantu Hadi.

Apakah yang berlaku dalam Pas sehingga Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik samannya ke atas Sarawak Report kini menjadi perbincangan awam dan mempunyai pelbagai tafsiran.

Semuanya berkait rapat dengan hubungan antara parti itu dengan Umno dan kes ini ditarik balik selepas Umno tidak lagi menjadi kerajaan.

Ada yang mendakwa Hadi menyaman Sarawak Report atas dorongan dari Umno yang menjadi kerajaan ketika itu kerana Pas sedar perbelanjaan untuk kes undang-undang di United kingdom sangat mahal.

Ia terbukti dengan pengakuan bahawa Pas telah membelanjakan RM2.5 juta untuk kos guamannya sebelum saman itu ditarik balik.

Namun, bagi sesetengah pihak dalam Pas, mereka lebih gusar lagi perbicaraan ini nanti memberikan bukti dengan jelas bahawa ada pemimpim Pas yang memang benar-benar menerima wang Umno ketika mereka masih bermusuh.

Dua hari sebelum Setiausaha Politik Hadi membuat kenyataan penarikan saman itu oleh Hadi, menantu Hadi, Zaharudin Muhammad sekali lagi menyerang kerjasama antara Umno dengan Pas dan hubungan pemberian duit antara kedua-duanya.

“Bersekedudukan sebelum kahwin haram namanya zina. Selepas kahwin halal namanya berumahtangga.

“Habuan daripada musuh sebelum perang haram namanya rasuah. Habuan daripada musuh selepas perang halal namanya ghanimah.

Maruah PAS yang kian terserlah

Raja Bahrin Shah

ULASAN | Saya hadir banyak kenduri kahwin di Terengganu semalam. Di sana saya mendengar perbualan hangat dan ditanya bertubi-tubi berkenaan berita hangat penarikan balik saman PAS ke atas Sarawak Report.

Ramai yang bertanya itu terdiri daripada anggota dan penyokong setia PAS yang menanti ketibaan April 2019. Mereka telah pun dimaklumkan oleh pimpinan mereka bahawa Sarawak Report akan didakwa kerana memfitnah PAS. Sebelum PRU ke14 pula penyokong PAS telah diberitahu mereka telah menang kes tersebut walaupun ia belum lagi bermula.

Pekara yang menggemparkan orang ramai ialah penyelesaian luar mahkamah yang dibuat adalah tanpa Sarawak Report perlu menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada PAS.

Lebih menggemparkan lagi adalah Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dengan megah menyatakan beliau berpuas hati dengan penyelesaian yang dicapai dan Sarawak Report tidak perlu menarik balik atau memadamkan artikel tersebut - yang menuduh PAS menerima RM90 juta daripada Umno - di lamannya. Artikel tersebut masih tersiar di laman untuk bacaan umum seluruh dunia.

Tambah menakjubkan lagi ini bermakna kandungan artikel tersebut bukanlah fitnah dan adalah benar. Di mana letaknya maruah PAS dalam isu ini?

Ramai bertanya di mana maruah PAS yang menarik balik kes ini dan membenarkan artikel tersebut terus disiarkan. Anggota dan penyokong PAS pula bertanya di mana RM3 juta yang dikutip daripada mereka, kononnya untuk kes saman malu itu?

Saman pun tidak, malu masih ditanggung apabila tuduhan PAS menerima RM90 juta dari Umno terus disiarkan.

Baru saja minta sumbangan

Di waktu rakyat mengalami masalah tekanan kos sara hidup, pengorbanan besar telah di lakukan oleh mereka yang memberi sumbangan sehingga mengumpul jumlah RM3 juta.

Hanya beberapa minggu lalu seorang naib presiden PAS telah merayu daripada ahlinya untuk RM400,000 lagi bagi membiayai kes saman tersebut. Ketika itu musim permulaan sekolah dan pengorbanan besar telah mereka lakukan untuk mencukupkan permintaan sumbangan.

Sekarang mereka rasa diperdaya dan ingin penjelasan daripada pemimpin mereka. Mengapa minta sumbangan RM3 juta kalau saman itu tidak akan diteruskan?

Soalan yang berlegar adalah sama ada PAS memulakan saman ke atas Sarawak Report sebelum PRU ke-14 dahulu kerana cuba menutup cerita sebenar untuk membantu PAS dan Umno menghadapi PRU.

Adakah rayuan terbaru RM400,000 sebelum PRU Camerons Highlands juga untuk meraih simpati terhadap PAS dan rakannya dari Umno BN yang kononnya di fitnah oleh pihak asing dan kafir ?

Bukankah isu utama yang ditimbulkan PAS dan Umno di Cameron Highlands adalah isu Islam-Melayu bertembung dengan kafir-bukan Melayu?

Sekarang dengan menjelangnya tarikh 1 April 2019 - tarikh sepatutnya perbicaraan kes - yang terlalu dekat, ini mungkin peluang terakhir PAS menarik balek 'gertak' saman mereka.

Kalau kes diteruskan, segala rahsia dan tembelang wang dan hubungan PAS-Umno akan terbongkar. Adakah dengan menyelesaikannya di luar mahkamah, PAS cuba menutup isu sulit tersebut daripada didedah ke seluruh dunia di mahkamah luar negara?

Bagi Sarawak Report dan Clare Rewcastle Brown pula, mereka masih boleh terus menyiarkan cerita mereka di laman tanpa perlu memohon maaf apa-apa pun. Pada masa sama mereka tidak perlu belanja besar lagi untuk membayar peguam.

Yang untung dan rugi

Mereka untung dan menang besar apabila boleh mengekalkan tuduhan tanpa perlu memohon maaf.

PAS pula rugi dan tercalar maruahnya kerana apa yang mereka tuduh sebagai fitnah masih tersiar untuk dibaca seluruh dunia.

Tetapi yang paling rugi dan rasa diperdaya adalah anggota dan penyokong PAS yang berkorban harta membiayai RM3 juta kos guaman untuk kes yang mungkin sudah dirancang untuk ditarik balik, kerana risiko terbongkarnya kewangan PAS dan Umno terlalu tinggi.

Dengan rakaman suara didakwa berkaitan Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mengakui PAS menerima wang Umno diakui tulen, peluang untuk parti itu menang sangat tipis.

Umno pula menjadi pihak paling gembira dan untung kerana telah berjaya memerangkap PAS dalam isu itu. Mereka juga untung kerana PAS telah membantu BN untuk menang di PRK Cameron Highlands baru-baru ini.

Anggota dan penyokong PAS pula terus rugi diperkudakan Umno. Mereka mengorbankan harta dan tenaga di Cameron Highlands dan nampaknya sekali lagi di Semenyih.

Adakah tindakan PAS memfailkan saman ke atas Sarawak Report dulu benar-benar kerana maruah, atau strategi sebelum PRU ke-14?

Kenapa PAS tidak benarkan isu itu ditentukan melalui perbicaraan di mahkamah?

RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pengerusi PH Terenganu.

“Ya, ana ambil duit amnuuuu”

IZMIL AMRI
Kenapa isu tarik balik saman Sarawak Report itu sangat penting? Sebab dakwaan berat SR terhadap Pas ialah parti Haji Hadi itu telah menerima dana dari Umno.

Persoalan dana dari Umno ini juga sangat penting, kerana ia menjadi punca bagaimana Pas terbelah dua. Maksudnya orang yang menerima duit UMNO telah menjalankan tugasnya untuk memecahkan PAS dan mengeluarkan PAS dari gabungan Pakatan Rakyat.

Kita semua tahu PAS adalah komponen paling kuat dalam Pakatan Rakyat ketika itu. Dan kerana itu UMNO mencari point lembik tengkuk PAS, dan setelah dibelai, ia termakan umpan perpaduan yang membuka jalan mudah menuju kuasa.

Maka UMNO beli jiwa beberapa pimpinan PAS. Mereka timbulkan perbalahan, dan PAS pun berpecah, dengan harapan ia akan dapat menyertai kerajaan bersama UMNO setelah PRU14. Perbahasan halal haram makan duit UMNO ini ambil masa yang cukup lama juga. Kita semua tahu akan hal itu.

Usai PRU14, UMNO melingkup dan duitnya putus. Berjuta ringgit dana yang disimpan di pejabat dan rumah pemimpinnya kerana begitu yakin akan menang besar, telah disita. PAS kiranya putus duit juga, selain putus harapan untuk naik tahkta di Putrajaya.

Jadi gini saja lah. Memandangkan hukum undi BN pun sudah jadi wajib, dan tidak ada segan silu lagi tentang kerjasama politik kedua-duanya, saya minta tanzim PAS berlaku jujur dengan akar umbi.

Mengaku sahaja enta orang dulu sudah ambil duit UMNO untuk kempen menghalau para jebon dan Anwarinas, dan dengan tindakan tersebut menjahanamkan jemaah sehingga hancur berkecai.

Mengaku bahawa ya, enta makan duit UMNO supaya Pakatan Rakyat melingkup. Mengaku supaya akar umbi tahu pengkhianatan enta dan berapa sebenarnya harga untuk membeli sebuah tanzim jemaah Islam.

Apa nak malu? Benda pun sudah berlalu. Saman pun dah tarik balik, laporan Sarawak Report tetap kekal begitu. Segeralah mengaku. Katakan dengan lidah yang fasih, “Ya, ana ambil duit amnuuuu”.

Jangan malu-malu. Enta tahu. Ana pun tahu.

'Ramalanku benar belaka'

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata beliau sudah menjangkakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Hanipa yang juga merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas keputusan Abdul Hadi menyelesaikan kes saman yang difailkan pada 2017 itu di luar mahkamah.

"Dari awal saya dah ramal beliau akan tarik balik saman itu.

"Nampaknya betul ramalan saya kali ini. Kenapa saya ramal begitu, maaf tak boleh cakap di sini," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Hanipa, kes berkenaan yang ditarik balik tanpa perintah membayar kos bererti segala bayaran yang dibayar kepada peguam Abdul Hadi tidak akan dipulangkan.

Selain itu, kata Hanipa, dengan perkembangan terbaru berhubung perkara itu, laporan yang disiarkan Sarawak Report tidak boleh dikatakan fitnah.

"Bila kes tak jalan dan ditarik balik maknanya itu bukan dikira menang. Bila tak menang maknanya tak boleh kata apa yang disiarkan oleh Sarawak Report adalah sebagai fitnah.

"Apatah lagi dalam terma penyelesaian yang saya baca, tiada pun sebaris ayat Sarawak Report tarik balik tuduhan atau minta maaf yang mungkin boleh ditafsir sebagai satu concession atau pengakuan apa yang disiarkan oleh Sarawak Report adalah fitnah.

"Bila tarik balik kes dalam keadaan sebelum ini dilapor media audio "ana tahu" tidak dibantah jadi keterangan ia menimbulkan spekulasi bahawa isi audio itu mungkin sahaja tiada yang lain kecuali benar belaka," katanya merujuk rakaman suara yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada parti itu.

Terdahulu, Setiausaha Politik kepada presiden PAS, Syahir Sulaiman yang memaklumkan perkembangan saman fitnah itu berkata, antara penyelesaian luar mahkamah yang dibuat adalah Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Clare.

Sementara Clare sebagai defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini awal hari ini, Clare berkata, dengan penyelesaian luar mahkamah itu, rencana yang menjadi pertikaian dalam kes saman itu tidak akan ditarik balik.

Rencana yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 itu merupakan subjek pertikaian dalam kes saman yang difailkan Abdul Hadi pada 21 Apr 2017.

Rencana itu mendakwa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

PAS bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan menyaman Sarawak Report.

Perkembangan terbaru ini hadir meski awal bulan lalu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad membuat rayuan kepada anggota dan penyokong parti itu supaya menghulur derma bagi membantu menyelesaikan kos guaman saman Abdul Hadi itu.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata, dengan penyelesaian luar mahkamah itu, ahli PAS yang mahu kes itu terus dibicarakan akan kecewa.

"Saya rasa ahli PAS yang mahukan kes itu dibicarakan tapi nampak kini harapan hanya tinggal harapan. Tak apa derma untuk perjuangan Islam atas ruh wala' akan dikira satu amalan baik," katanya.