"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Airbus A380 terbang guna minyak masak

Hmetro 

PESAWAT Airbus A380. FOTO Airbus

PESAWAT Airbus A380. FOTO Airbus

Paris: Penerbangan menggunakan minyak masak sebagai bahan api. Itu pencapaian pesawat Airbus A380 yang melengkapkan penerbangan percubaan menggunakan minyak masak sebagai bahan bakar.

Pesawat ujian itu menyelesaikan penerbangan tiga jam dari Lapangan Terbang Blagnac di Toulouse yang juga ibu pejabat Airbus di Perancis, pada 25 Mac lalu, lapor CNN.

Ia dikuasakan oleh Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF), kebanyakannya diperbuat daripada minyak masak terpakai dan sisa lemak, dan beroperasi dengan satu enjin Rolls-Royce Trent 900.

Airbus kemudian membuat percubaan susulan dengan penerbangan kedua pesawat A380, menggunakan bahan api minyak masak yang sama, pada 29 Mac, terbang dari Toulouse ke Nice untuk memantau penggunaan SAF semasa berlepas dan mendarat.

Bahan api yang digunakan dibekalkan oleh TotalEnergies, sebuah syarikat yang berpangkalan di Normandy, Perancis dan diperbuat daripada Hydroprocessed Ester and Fatty Acids (Hefa).

Airbus menguji penggunaan penerbangan berkuasa SAF tahun lalu, dengan A350 diuji pada Mac 2021, dan pesawat A319neo terbang menggunakan minyak masak pada Oktober.

Syarikat itu berharap supaya pesawatnya diperakui untuk terbang dengan SAF menjelang akhir dekad ini dan pada masa ini, pesawat Airbus boleh dikuasakan sehingga 50 peratus SAF, diadun dengan minyak tanah tradisional.

"Meningkatkan penggunaan SAF kekal sebagai kunci utama untuk mencapai cita-cita industri bagi pelepasan karbon sifar menjelang 2050," kata Airbus dalam satu kenyataan.

Syarikat itu mendakwa pesawat yang menggunakan SAF boleh menyumbang antara 53 peratus hingga 71 peratus daripada pengurangan karbon yang diperlukan untuk mencapai matlamat itu.

Airbus merancang untuk membawa pesawat sifar pelepasan pertama di dunia ke pasaran menjelang 2035.

Tetapi dengan harga yang tinggi, penggunaan meluas tidak dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Hasil A380 merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan beberapa syarikat penerbangan mengambil masa untuk menggunakannya, sebahagiannya atas alasan, bahawa ia kurang cekap bahan api berbanding kapal terbang jarak jauh yang lebih moden.

Rafizi-Saifuddin, Jangan merajuk andai kalah pemilihan

Jangan merajuk andai kalah pemilihan, kata penganalisis berkait pertembungan Rafizi-Saifuddin

Zeanaaima Mohd Yusof 

PETALING JAYA: Calon jawatan Timbalan Presiden PKR, sama ada Rafizi Ramli atau Saifuddin Nasuition dinasihatkan agar tidak merajuk dan membawa diri, jika kalah dalam pemilihan parti, Mei depan.

Penganalisis, Awang Azman Awang Pawi berkata hakikatnya Rafizi dan Saifuddin adalah ahli parti yang terbukti setia, justeru mereka perlu terus berjuang memenangkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam mana-mana pilihan raya, walaupun tewas dalam pemilihan kelak.

“Pertembungan antara Rafizi dan Saifuddin akan memakmurkan demokrasi (dan) ia akan dapat dijalankan dengan subur. Jangan ada yang (bila) kalah, merajuk dan jangan ada (bila) kalah, bawa keluar kumpulannya untuk tidak menyertai pasukan PKR yang besar (utama).

“Rafizi dan Saifuddin…mereka tetap ahli PKR yang setia. Mereka tetap ada misi yang sama untuk memenangkan PKR dan PH,” katanya kepada FMT.

Selepas PKR menampilkan prestasi hambar dalam dua pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, Rafizi mengumumkan akan kembali aktif dalam politik sekaligus mengintai jawatan nombor dua dalam parti.

Menyusul, Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR mengumumkan hasratnya mencabar Rafizi. Saifuddin dilihat banyak pihak sebagai orang kuat kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Presiden (Anwar) pasti mempunyai orang yang selesa untuk dia bekerjasama. Tetapi pada masa sama ia perlu menseimbangkan di antara pilihan akar umbi dengan citarasa dan kemahuan dia.

“Cuma kena pastikan persaingan itu dapat dilakukan dengan adil dan saksama,” kata Awang Azman yang merupakan Pensyarah Sosiobudaya di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Awang Azman berpendapat, Saifuddin sebagai setiausaha agung parti mempunyai sokongan akar umbi yang tidak boleh diremehkan. Namun Rafizi juga tidak boleh diperlekehkan.

“Ketika ahli PKR dan ahli PH dalam keadaan tercabar, dalam keadaan sedih selepas menerima kekalahan, bila Rafizi mengumumkan dia mahu kembali aktif, seolah-olah ia beri sinar baru kepada PKR, khususnya, PH, umumnya.

“Rafizi tahu bila waktu yang sesuai untuk dia umumkan kemunculan semulanya. Dia seolah-olah tahu macam mana nak selesaikan semua permasalahan bukan sahaja PKR, tapi PH,” katanya.

Kerusi Timbalan Presiden PKR kosong selepas penyandangnya Azmin Ali dipecat dari PKR selepas dikatakan menggerakkan Langkah Sheraton hingga tumbangnya kerajaan PH pada 2020.

Hadi pula sahkan akan jumpa Mahathir

Malaysiakini 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijadual bertemu Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Dia akan menjadi pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) kedua untuk berjumpa bekas perdana menteri itu, di saat gabungan itu berusaha mengukuhkan kedudukannya menjelang PRU15.

Hadi mengesahkan pertemuan itu kepada pemberita di Marang, Terengganu hari ini.

“Ya dengan siapa saja kita sedia bekerjasama untuk menyatukan ummah. Pertemuan dengan Mahathir, insya-Allah akan diaturkan," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Dia juga berkata PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang "tidak ekstrem dan liberal".

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilaporkan telah bertemu dengan Mahathir kira-kira dua minggu selepas PRN Johor, berhubung kemungkinan kerjasama untuk PRU15.

Mahathir dilihat kurang bersetuju dengan idea itu dengan berkata dia tidak akan menyokong usaha Muhyiddin untuk sekali lagi menjadi perdana menteri.

Namun anaknya Mukhriz, yang juga presiden Pejuang, membayangkan parti itu sanggup melupakan peristiwa lalu dan bekerjasama dengan Bersatu dan parti pembangkang lain.

Perkembangan ini selepas ketiga-tiga parti mencatat prestasi buruk dalam PRN Johor bulan lalu.

PN mendapat tempat ketiga dari segi undi popular manakala Pejuang hilang deposit di kesemua 42 kerusi yang ditandingi.

Bekas pengarang TV3 tuntut MB Pahang, exco mohon maaf, ganti rugi RM3 juta

Malaysiakini 

Bekas wartawan kanan Khaidir Ahmad menuntut permohonan maaf secara terbuka dan gantirugi RM3 juta daripada Menteri Besar Pahang, Wan Mohd Rosdy Wan Ismail dan exco kerajaan negeri Shahaniza Shamsuddin.

Dua lagi pihak yang dinamakan dalam surat tuntutan bekas ketua pengarang TV3 itu ialah portal berita kerajaan negeri PahangKu Media dan Ketua Pengarang PahangKu Media, Azam Abdul Rahman.

Dalam surat tuntutan bertarikh 18 Mac yang dihantar melalui firma Law Practice of Rafique itu empat pihak berkenaan diminta untuk segera menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan pada satu hantaran di media sosial.

Jika tidak, firma guaman itu berkata ia telah diarahkan untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap mereka.

Selain itu, pihak yang dinamakan itu juga diminta membayar kos guaman RM55,000 dalam tempoh rujuk hari daripada tarikh surat tuntutan itu.

Surat tuntutan tersebut dibuat sebagai respons terhadap hantaran di laman Facebook PahangKu Media bertajuk “Iklan ubat kuat Khaidir Ahmad: Eksploitasi kanak-kanak dan manipulasi gambar kayu baru dipotong" pada 10 Januari 2022.

Khidir mendakwa kenyataan dalam hantaran itu sebagai "tidak benar, berniat jahat dan berunsur fitnah."

Malaysiakini sedang menghubungi pihak yang dinamakan dalam surat tuntutan itu bagi mendapatkan maklum balas lanjut.

UiTM putuskan Professor hina pelajar B40 direhatkan mulai hari ini

MALAYSIA DATELINE

Professor wanita yang menghina pelajar B40 kerana tidak memiliki komputer telah direhatkan daripada mengajar mulai hari ini sehingga siasatan selesai dijalankan.

Jabatan Komunikasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang diadakan semalam.

“Profesor Dr Roshana Takim direhatkan daripada tugasan pengajaran mulai 1 April sehingga siasatan lengkap dilaksanakan oleh UiTM.

UiTM putuskan Professor hina pelajar B40 direhatkan mulai hari ini

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan tersebut, pihak universiti memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja ataupun tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warga.

“Pihak universiti memandang serius terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja ataupun tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik universiti serta menggugat keselamatan warga.

“UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan,”kata kenyataan itu.

UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan pelajarnya.

Namun dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

Sebelum ini tular di media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai gelang emas bagi membeli peralatan itu.

Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan kejadian turut tersebar dan UiTM membuat laporan polis.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dilaporkan berkata, laporan polis itu dibuat bagi melindungi mahasiswa dan kakitangannya.

'Lepas tikam belakang, Muhyiddin minta sokong untuk jadi PM semula'

Alyaa Alhadjri

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin Yassin meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Mahathir berkata dia tidak tahu mengapa Muhyiddin meminta sokongannya.

"Dia nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi perdana menteri sekali lagi," katanya kepada pemberita ketika diminta mengesahkan laporan bahawa Muhyiddin ada bertemunya baru-baru ini.

"Saya tak tahu tapi dia minta saya (sokong). Kami (Pejuang) tak kuat, kami tiada wang, tapi dia minta kami sokongnya," katanya lagi apabila ditanya bagaimana Pejuang dapat membantu Muhyiddin memandangkan parti itu tidak memegang banyak kerusi Parlimen.

Mahahir berkata Pejuang belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, tetapi membayangkan yang dia tidak bersetuju dengannya.

"Saya tak tahu nak kata apa (kepada Muhyiddin).

"Saya tak jadi perdana menteri sebab Muhyiddin. Dia tikam belakang saya. Sekarang orang yang dia tikam belakang itu tak mati lagi," katanya.

Mahathir juga membayangkan prestasi Muhyiddin sebagai perdana menteri tidak begitu baik dan tidak layak untuk mendapat sokongan.

“Semasa dia jadi perdana menteri, ramai orang tak puas hati dengan kepimpinannya. Dia bukan perdana menteri yang baik.

“Jika dia lakukan perkara yang bagus untuk negara, saya percaya saya tak sokong pun dia boleh menang.

“Kami tidak akan menyokong perdana menteri yang ada banyak kegagalan sama seperti Najib,” katanya lagi.

Bertentangan dengan kenyataan Mahathir hari ini, anaknya Mukhriz, yang juga presiden Pejuang, semalam membayangkan parti itu sanggup melupakan peristiwa lalu dan bekerjasama dengan Bersatu dan parti pembangkang lain.

Walaupun Pejuang mencatatkan pencapaian yang buruk pada PRN Johor, dengan hilang deposit di kesemua 42 kerusi yang ditandingi, Mahathir bertegas parti itu masih mempunyai sokongan.

Katanya, walaupun parti itu hanya ada 5,000 ahli di Johor, tetapi Pejuang berjaya meraih 18,000 undi.

Pejuang menjadikan isu rasuah sebagai kempen utama dan Mahathir mendakwa politik wang terus menghalang kemajuan parti itu.

“Ya. Salah satu sebab tetapi sebab yang sangat penting,” katanya ketika ditanya jika politik wang menjadi faktor kekalahan calon Pejuang.

“Bila kita hubungi sejumlah pengundi, jawapan mereka adalah ‘berapa banyak yang anda akan bagi?’ Mereka kata ada parti beri RM200,” dakwanya.

Terdahulu, dia mengadakan pertemuan dengan NGO Yayasan Anti-Rasuah dan menerima permohonan presidennya, Mohamad Nizam Isa untuk menyertai Pejuang.

Remaja didakwa bunuh kanak-kanak

BERNAMA

Kuantan: Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada bulan lalu.

Remaja lelaki berusia 16 tahun itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Hafdan Mohd Qurbani Azhar di surau An-Nadwah Kompleks Asrama Cempaka Permata Camar, Jalan Pantai Sepat di sini, antara 3.45 petang dan 4.15 petang, 20 Mac lalu

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhlin Hani Khairon manakala remaja terbabit diwakili peguam Datuk Mohd Najid Husain.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh seorang individu dalam kejadian yang didakwa melibatkan wang RM4.

Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan di kepala.

Bekas polis lapor polis terhadap bekas ketua polis negara

Kow Gah Chie

Bekas pegawai polis, Md Ali Amir Batcha membuat laporan polis terhadap bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor atas dakwaan salah guna kuasa dan menahannya tanpa bicara secara tidak sah di bawah Ordinan Darurat (EO) selama tiga tahun pada 1990-an.

Dia turut menamakan empat bekas pegawai tinggi polis, termasuk ketua polis Johor ketika itu dalam laporannya.

"Saya buat repot polis bersabit jenayah konspirasi terancang pada lima bekas polis yang gunakan undang-undang draconian /darurat atas saya sehingga saya dipenjara tanpa bicara tiga tahun di Simpang Renggam (pada 1997).

"Saya nak polis ambil tindakan atas jenayah konspirasi supaya tidak lagi berlaku salah laku sebegini dalam jabatan. Kita tak mahu budaya ini berterusan yang mana mereka menggunakan budaya implicate atau khabar angin.

"Dalam laporan saya namakan bekas ketua polis negara yang telah arahkan D7 (Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) tangkap saya bawah undang-undang pada 1997, bekas CPO Johor yang terlibat memberi laporan ke Bukit Aman, yang katakan saya terlibat (dalam jenayah),” katanya.

Ali berkata namanya telah dibersihkan oleh sebuah tribunal khas, yang ditubuhkan untuk membuka semula siasatan berhubung dakwaan dia ditahan secara tidak sah susulan beberapa siri rompakan pada 1990-an.

Bekas pegawai polis berusia 68 tahun itu juga berkata dia telah menghantar keputusan tribunal untuk direkodkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lepas.

Dengan keputusan tribunal itu, Ali berharap polis akan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan konspirasi yang dia ditahan tanpa bicara.

Dilaporkan bahawa Ali sebelum ini telah membuat tiga laporan polis, tetapi gagal.

Ali dilaporkan mendakwa dia adalah mangsa konspirasi di mana dia dituduh secara salah selepas dia berjaya melumpuhkan kegiatan samseng di Johor sejak 1995.

Ali menuntut lebih RM316,000 sebagai bayaran pampasan bagi penahanan secara salah dan ditamatkan perkhidmatan secara tidak sah daripada pasukan polis serta faedah bersara.

Dia dalam pada itu turut menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memastikan semak dan imbang dalam pasukan polis.

Ali ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat di pusat tahanan Simpang Renggam dari 1997 hingga 2000. Dia kemudiannya ditamatkan perkhidmatan daripada pasukan polis.

Ali juga merupakan pengasas kepada Persatuan Kebajikan Prihatin Wira Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kebajikan dan hak pegawai serta kakitangan beruniform.

Malaysiakini telah menghubungi Abdul Rahim untuk mendapatkan komen.

Rafizi Ramli: Mana suara Najib ketika bekas CEO Sapura dibayar RM983 juta?

RAFIZI RAMLI

Sejak hilang kuasa dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah menyeleweng dana pencen rakyat, Dato’ Seri Najib Tun Razak ghairah cuba bersuara dalam semua perkara kononnya untuk menjadi hero rakyat.

Terbaru, dia mengusulkan supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan dengan mengarahkan institusi milik rakyat seperti Petronas, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad (“Sapura”) yang berdepan masalah kewangan.

Apabila saya bersuara bahawa sebarang usaha untuk menyelesaikan kemelut kewangan Sapura tidak boleh melibatkan wang rakyat, seperti biasa Najib menimbulkan isu kerugian wang rakyat (melalui pegangan PNB di dalam Sapura), kehilangan kerja, kerugian vendor dan pinjaman bank kepada Sapura.

Pada dasarnya, sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir (“corporate governance”) yang lemah.

Sekiranya syarikat-syarikat swasta ada talian hayat (dengan diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban (“accountability”) untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing.

Tambah pula, dalam hal ini, beberapa rekod kewangan Sapura sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi terutamanya berhubung bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya (yang juga mewakili beberapa pemegang saham terbesar Sapura).

Rekod kewangan Sapura yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan 2009 hingga 2021 menunjukkan pecahan bayaran-bayaran berikut (dibundarkan kepada juta yang terdekat, jika berkenaan):

Gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif Sewa kepada syarikat berkaitan pengarah eksekutif Yuran harta intelek kepada syarikat berkaitan pengarah eksekutif

Jumlah tahunan

2009 1,1817,000 – – 1,1817,000

2010 2,480,000 – – 2,480,000

2011 3,750,000 – – 3,750,000

2012 5,284,000 – – 5,284,000

2013 45,023,000 12,000,000 63,000,000 120,023,000

2014 114,399,000 22,000,000 70,000,000 206,399,000

2015 89,751,000 20,000,000 70,000,000 179,751,000

2016 91,503,000 22,000,000 70,000,000 183,503,000

2017 88,684,000 18,000,000 70,000,000 176,684,000

2018 37,347,000 10,000,000 56,000,000 103,347,000

2019 13,028,000 11,000,000 20,000,000 44,028,000

2020 9,597,000 16,000,000 10,000,000 35,597,000

2021 6,054,000 18,000,000 10,000,000 34,054,000

RM508,717,000 RM149,000,000 RM439,000,000 RM1,096,717,000

(jadual gaji, bonus, sewa dan yuran harta intelek boleh dilihat secara terperinci di https://rafiziramli.com/…/mana-suara-najib-ketika…/)

Selain gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif yang mencecah ratusan ribu ringgit setiap hari (2013: RM123,351 sehari, 2014: RM313,422 sehari, 2015: 245,893 sehari, 2016: 250,693 sehari, 2017: RM242,970 sehari, 2018: RM102,321 sehari, 2019: RM35,693 sehari, 2020: RM26,293 sehari dan 2021: RM16,586 sehari), pengarah eksekutif juga dibayar dalam bentuk lain, iaitu:

1. Sewa tahunan yang dibayar oleh Sapura kepada syarikat yang berkaitan (dimiliki oleh) pengarah eksekutif (dan pemegang saham yang mereka wakili). Sejumlah RM149 juta dibayar sebagai sewa dalam tempoh 2013 hingga 2021.

2. Yuran harta intelek (IP) sebanyak RM439 juta dalam tempoh 2013 hingga 2021. Saya difahamkan bayaran ini adalah yuran bagi membolehkan Sapura Energy Berhad menggunakan nama “Sapura” yang dilesenkan oleh pemegang saham (yang diwakili pengarah eksekutif).

Dalam tempoh yang sama (2009 hingga 2021), Sapura membayar dividen kepada pemegang-pemegang saham sebanyak RM683 juta.

Analisis kewangan ini (bagi tempoh 2009 hingga 2021) menunjukkan perkara-perkara berikut:

i. Sapura membayar pengarah eksekutif tertentu (yang mewakili pemegang saham majoriti) sebanyak RM1.1 bilion sedangkan keuntungan yang dipulangkan kepada pemegang saham sebagai dividen hanyalah RM683 juta.

ii. Dari jumlah RM683 juta itu, sekitar 35% dividen dibayar kepada pemegang saham majoriti yang diwakili oleh pengarah eksekutif yang mengetuai Sapura.

iii. Oleh itu, anggaran bayaran keuntungan kepada pemegang saham majoriti (yang diwakili pengarah eksekutif) dalam bentuk gaji, sewa, yuran harta intelek dan dividen adalah sekitar RM1.33 bilion berbanding hanya RM440 juta yang diagihkan kepada pemegang saham lain seperti PNB dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

iv. Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar yang diwakili pengarah eksekutif adalah sekitar tiga (3) kali ganda berbanding yang diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat.

Semua ini berlaku semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

Malangnya, 90% (atau RM983 juta) dari bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu 2009 hingga 2018.

Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?

Saya ingin mengambil peluang ini untuk menunjukkan bagaimana Najib hanya mengambil kesempatan menembak dalam semua isu kononnya untuk menjadi ter-paling wira rakyat demi menyelamatkan dirinya yang sudah dijatuhkan hukuman penjara.

Hipokrasi Najib ini tidak sewajarnya dibiarkan berterusan dan rakyat harus dibentangkan dengan fakta-fakta untuk menunjukkan hipokrasinya.

Pada masa yang sama, mulai esok saya juga akan membentangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan sekarang dan mengelakkan ribuan kakitangannya kehilangan kerja.

Lepas didakwa, Yasin minta Syed Saddiq usahakan kelulusan ganja perubatan

Nadia Azam

Yasin Sulaiman, yang berdepan dua pertuduhan atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya hari ini meminta Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengusahakan agar ganja perubatan diluluskan di parlimen.

“Sampaikan salam kepada YB Syed Sadiq, minta dia segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen,” pesannya kepada wartawan ketika tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Kegiatan menanam ganja dijalankan penyanyi terbabit terbongkar selepas kediamannya diserbu polis pada 24 Mac lalu.

Dalam serbuan itu polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemukan dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Penyanyi dan komposer itu akan didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah berbahaya.

Untuk rekod, kira-kira dua tahun lalu, Yasin pernah mendedahkan dirinya menghidap bipolar dan pernah dirawat di wad psikiatri hospital Kuala Lumpur selama dua minggu.

Tahun lalu Syed Saddiq meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan pendirian kerajaan mengenai penggunaan hem atau "ganja perubatan" sebagai ubat alternatif kepada pesakit.

Menurut Syed Saddiq, perkara itu telah dilaksanakan di banyak negara dan diiktiraf oleh komuniti perubatan antarabangsa.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam jawapannya di parlimen berkata produk mengandungi ganja yang digunakan untuk tujuan perubatan boleh diimport dan digunakan di Malaysia jika mematuhi keperluan undang-undang.

Rafizi: Pengarah Eksekutif Sapura terima RM983 juta ketika Najib jadi PM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata Pengarah Eksekutif Sapura Energy Bhd menerima kira-kira RM983 juta dalam pelbagai bentuk bayaran daripada 2009 hingga 2018, ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beberapa rekod kewangan syarikat petroleum itu sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi termasuk bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya yang juga pemegang saham terbesar Sapura.

Katanya, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, Najib seharusnya memikul amanah dengan memberi hala tuju selain memastikan institusi dana rakyat seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

“Malangnya, 90% (atau RM983 juta) dari bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu 2009 hingga 2018.

“Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Najib menggesa kerajaan melindungi Sapura daripada muflis dengan memberi pinjaman atau mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan daripada PNB.

Katanya, membenarkan Petronas mengambil alih pemilikan dan memberi pinjaman mudah kepada Sapura akan membolehkan firma perkhidmatan petroleum itu meneruskan kontraknya manakala bank mempunyai keyakinan untuk menyambung semula kemudahan kewangan kepada syarikat terbabit.

Mengulas saranan itu, Rafizi menegaskan sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir yang lemah.

“Sekiranya syarikat swasta ada talian hayat (diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing,” katanya.

Bella kata dia dicili, dijirus air panas dan diikat

Bernama

Rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali semalam memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella ada menceritakan kepadanya bahawa dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

Pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, berkata Bella memaklumkan kejadian itu ketika mereka berada di dalam ambulans untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan remaja berkenaan dilihat berada dalam keadaan trauma.

"Semasa berada dalam ambulans ke HKL, saya bertanya kepada Bella apa yang terjadi. Bella yang memanggil saya 'mommy' mengatakan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu.

Saksi pendakwaan pertama itu yang mengenali Siti Bainun sejak 2015 berkata sebaik tiba di hospital, remaja itu dilihat tidak mampu berjalan dengan baik dan sukar bergerak kerana kakinya sakit.

"Saya nampak Bella macam tidak larat dan dia kata kakinya sakit, tapi saya tak boleh pegang sebab saya bimbang Bella mungkin dijangkiti Covid-19. Bella juga merujuk beberapa nama individu yang melakukan perbuatan itu terhadapnya," kata saksi itu yang dilihat sebak semasa memberi keterangan.

Menurut Zuriaty semasa dia berada di hospital itu, Siti Bainun tidak pernah bertanyakan keadaan Bella sebaliknya mempersoalkan mengapa anak-anak di bawah jagaannya dibawa ke pusat kuarantin di Maeps, Serdang.

Saksi itu berkata Bella adalah orang kurang upaya (OKU) yang diambil oleh rakannya itu untuk dijadikan anak angkat pada Julai 2020 dan sejak itu, Bella tinggal bersama Siti Bainun dan remaja itu berada di bawah tanggungjawab wanita berkenaan.

Terdahulu ketika membacakan laporan polis yang dibuatnya pada 24 Jun 2021, Zuriaty berkata remaja berkenaan mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

Kepada soalan Zilfinaz, saksi berkenaan menjelaskan bahawa laporan polis itu dibuat berhubung kecederaan dan penderaan yang terdapat pada tubuh badan remaja perempuan itu.

Memberikan gambaran terperinci berkaitan Bella, saksi itu berkata meskipun Bella seorang remaja sindrom Down, dia seorang yang sangat manja, rajin, baik dan berdikari serta boleh menguruskan diri sendiri seperti solat dan sangat pembersih.

'Baik sebelum jadi tak berapa mesra'

Ditanya mengenai hubungan Siti Bainun dan remaja berkenaan, Zuriaty memberitahu bahawa pada mulanya hubungan mereka sangat baik apabila Siti Bainun dilihat sangat sayang kepada Bella dan sentiasa cuba mengambil hati remaja itu dengan membeli barang-barang yang Bella suka.

"Bella suka mekap, bekas air kerana Bella suka minum air dan baju baru namun pada Ogos 2020, saya mula lihat mereka tidak berapa mesra selepas Siti Bainun enggan membawa Bella berjalan ke Kuala Selangor untuk ke rumah abang ipar Siti Bainun," kata saksi itu.

Zuriaty berkata disebabkan keengganan Siti Bainun membawa Bella, dia ada bertanya kepada Siti Bainun mengapa dia bertindak sedemikian dan Siti Bainun memberitahu dia enggan membawa Bella kerana remaja itu suka buat perangai dan degil.

Saksi itu menjelaskan bahawa dia membawa Bella menaiki keretanya ke Kuala Selangor selepas Siti Bainun enggan membawa remaja itu bersamanya.

"Sepanjang berada di sana (Kuala Selangor), Siti Bainun tidak mengendahkan Bella dan tidak bertanya sama ada remaja itu sudah makan atau tidak. Pemerhatian saya mendapati Bella tidak buat perangai dan tidak degil malah jika dia hendak minum air dia akan mengambilnya sendiri," kata saksi itu yang turut memaklumkan dia turut berada di Kuala Selangor bersama Siti Bainun pada hari berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung hari ini.

-Bernama

Dituduh mencuri, 585 Peserta Kesedar lantik peguam mempertahankan hak mereka

MALAYSIA DATELINE

Dituduh mencuri, 585 Peserta Kesedar lantik peguam mempertahankan hak mereka yang dinafikan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

585 peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Taman Agropolitan Rantau Manis bertindak melantik peguam Hisham Fauzi dari dari Hisham Fauzi & Associates, Kota Bharu bagi mempertahankan hak mereka.

Peserta ini tekad membawa Kesedar ke Mahkamah demi mempertahankan hak mereka atas lot yang telah diusahakan dari awal hinggalah mengeluarkan hasil.

Keduanya peserta ini juga akan mempertahankan diri mereka di Mahkamah kerana Kesedar telah membuat laporan polis menuduh mereka mencuri hasil sawit dari lot berkenaan.

Dituduh mencuri, 585 Peserta Kesedar lantik peguam mempertahankan hak mereka

585 Peserta Kesedar tekad mahu mengheret Kesedar ke mahkamah demi hak mereka yang dinafikan

“Bagaimana kami boleh dituduh mencuri sedangkan lot berkenaan adalah hak kami dari awal lagi?” soal wakil peserta terbabit.

Projek Agropolitan Kelantan Selatan menelan belanja RM240 juta dilaksanakan bermula tahun 2009 bermatlamat mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat miskin tegar sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.

Dalam tempoh 12 tahun, projek itu telah memberi manfaat kepada hampir 600 keluarga meningkatkan taraf hidup masing-masing apabila diberikan kediaman serta jaminan pekerjaan di ladang kelapa sawit.

Sehubungan itu, para perserta sedang berusaha untuk mendapatkan komen dari Pengerusi Kesedar, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pas bagi Kawasan Bachok.

585 peserta ini telah hilang pekerjaan apabila projek tersebut diambil alih oleh Kesedar.

Projek berkenaan yang pada asalnya dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kesedar, namun selepas kerjasama tamat, ECERDC telah menyerahkan projek itu sepenuhnya kepada Kesedar berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perserta ini merupakan rakyat termiskin yang dipilih bagi menyertai program berkenaan sebagai salah satu ikhtiar basmi kemiskinan sebelum ini.

Mereka diberikan lot tanah untuk diusahakan dengan sawit dan sebuah rumah E-Kasih apabila menyertai projek berkenaan.

Walau bagaimanapun penyelesaian yang diputuskan pihak Kesedar dan ECERDC tanpa berbincang lanjut dengan peserta projek itu membuatkan mereka kehilangan punca rezeki.

Segala perjanjian antara peserta dengan ECERDC sebelum ini terbatal dan para peserta yang sebelum ini mencari rezeki bergantung kepada hasil kelapa sawit idak lagi dibenarkan masuk ke lot sawit masing-masing.

Malah pihak Kesedar telah membuat laporan polis ke atas peserta kerana enggan akur menyerahkan tanah lot mereka kepada Kesedar dan masih mengerjakannya.

Difahamkan beberapa peserta telahpun dipanggil oleh pihak polis berkaitan laporan oleh Kesedar berkenaan.

“Sebagai ganti, satu surat penyerahan pemilikan kediaman diedarkan kepada peserta program untuk ditandatangani yang mana kami tidak setujui.

“Mengikut kandungan surat, peserta yang bersetuju menandatanganinya akan diberikan surat pemilikan rumah E-Kasih yang sudah kami duduki sekarang serta menerima gratuiti penyertaan RM700 sebulan hanya untuk tempoh setahun bermula Januari 2022.

“Ketika ini peserta yang enggan menandatangani surat itu telah hilang punca pendapatan.

“Sebelum ini purata pendapatan bulanan kami bekerja di ladang adalah sebanyak RM1,500 sebulan. Kehidupan kami kini semakin tertekan apabila terpaksa bergolok-gadai barang kemas dan menjual barangan berharga bagi meneruskan kelangsungan hidup,” kata wakil berkenaan.

Anak Zahid Hamidi pertahan pensyarah yang hina pelajar B40

NASUHA RAHMAN

Anak Presiden Umno dilihat mempertahankan pensyarah yang menghina seorang pelajar UiTM B40 kerana tidak memiliki komputer ketika mengikuti kelasnya.

Datuk Nurul Hidayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui statusnya di Instagram menyokong tindakan pensyarah terbabit yang memarahi pelajarnya kerana tidak memiliki komputer walaupun pelajar terbabit sudah masuk semester kelima.

Katanya, walaupun susah tetapi sebagai seorang pelajar seharusnya bertanggungjawab meletakkan pembelajaran sebagai perkara utama.

“Saya ni ada juga pensyarah yang saya tak suka tapi tak ada la sampai nak aibkan pensyarah.

“Dahlah dia pensyarah dia marah la student yang dia rasakan tak ambil serius dan ambil mudah dalam hal pembelajaran,” katanya.

Beliau turut menyifatkan budak-budak zaman sekarang semuanya mahu berkongsi masalah mereka di media sosial.

“Zaman sekarang laki marah bini masuk Socmed, bini marah laki masuk Socmed. Gaduh laki bini, sakit hati semua nak letak kat Socmed.

“Kena marah dengan pensyarah pun masuk Soecmed,” tulis beliau.

Beliau yang menggelarkan budak zaman sekarang sebagai ‘budak nijam’ menasihatkan agar mengalihkan rasa sedih dan kecewa kepada satu tenaga bagi membakar semangat mereka jika betul-betul mahukan ilmu.

“Kalau betul nak ilmu tak akan share atau aibkan pensyarah macam tu,” katanya lagi.

Nurul Hidayah melalui IG mempertahankan tindakan pensyarah terbabit

Malam tadi tular video seorang pensyarah UiTM dikatakan telah menghina golongan B40 apabila beliau melampias amarahnya kepada pelajar kelasnya yang tidak memiliki komputer.

Pensyarah yang juga berpangkat professor itu juga mengakui tidak gemar duduk dengan golongan B40 kerana beranggapan mereka lebih suka menghabiskan wang untuk kepentingan sendiri daripada pelajaran.

Dasyat: Profesor ‘tak boleh duduk dengan orang B40’ dikecam orang ramai

FAZLI RADZI

Seorang profesor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dikecam orang ramai susulan tular sedutan video dia mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada pelajarnya yang tidak mempunyai komputer.

Prof Dr Ts Roshana Takim yang menggunakan kata ganti diri “kau” dan “aku” itu dilihat berang dengan antara lain menyarankan supaya kakak pelajar itu menjual gelang emas untuk membeli komputer.

Pensyarah itu juga berkata, pelajar tersebut akan keciciran pengajian ekoran masih tidak memiliki komputer walaupun berada di Semester Lima.

“Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40, ya! Dia lebih memikirkan pasal lain dari pembelajaran.

“Ok kelas, kau tutup kamera kau tu. Aku tak nak tengok lagi dah,” katanya.

Semakan Malaysia Dateline mendapati, pensyarah di Pusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, UiTM berkenaan sudah berkhidmat lebih 30 tahun. 

Berikut dialog penuh antara pensyarah dan pelajar B40 yang berasal dari Seremban itu:

Prof : Cakap dengan tunggul. Berapa jawapan dia? Negatif?

Pelajar : 0.07. (bunyi bising)

Prof : Kau pakai apa? Kau pakai phone ek?

Pelajar : Ya prof.

Prof : Mana kau punya komputer?

Pelajar : Aaaa.. Saya tak ada komputer Pprof.

Prof : Engkau tinggal kat mana?

Pelajar : Seremban.

Prof : Kau tinggal kat Seremban. Bapak kau kerja apa?

Pelajar : Tak kerja Prof.

Prof : Mak kau kerja apa?

Pelajar : Tak ada dah Prof.

Prof : Mak kau dah tak ada, bapak kau dah tak kerja.

Pelajar : Ya, Prof.

Prof : Kau tak ada adik beradik?

Pelajar : Ada Prof.

Prof : “Kau cakap dengan kakak kau. Kalau dia ada gelang emas, pergi jual kat gelang emas, pergi beli komputer. Aku cakap dengan kamu (ketuk meja), kalau kau ada kakak ada gelang emas, pergi jualkan gelang emas beli komputer.

Patut tu kau tak boleh belajar dengan baik disebabkan kerana kau tak ada komputer. Lepas ni aku akan ajar kau Excell. Pasal tu kau akan menjadi drop out student.

Semester 5 kau tak ada komputer. Aku, aku sanggup tak ada pakaian, aku ada 5 je pakaian, the most important is the computer is very very important for me.

Hanya (RM)800 sahaja beli komputer. Apa masalah kau? Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40 ya! Dia lebih memikirkan pasal lain dari pembelajaran.

Ok kelas, kau tutup kamera kau tu. Aku tak nak tengok lagi dah.”

Nak kahwin 6 lelaki

Hmetro 

Agensi

WANITA itu disoal siasat polis di China. FOTO Agensi

Beijing: Seorang scammer wanita yang menjalin hubungan dengan enam lelaki dalam masa sama untuk mendapatkan wang ditahan polis, negara ini.

Oddity Central melaporkan wanita berusia 42 tahun itu menjadi tajuk utama berita di China selepas penahanan itu.

Polis mendedahkan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu antara Julai dan Disember 2021.

Dia didapati menipu enam lelaki pertengahan umur dan memperdaya mereka untuk membeli barangan mewah seperti telefon pintar, komputer dan pakaian serta menuntut wang.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas salah seorang mangsa menjadi curiga dengan tingkah lakunya melakukan siasatan dan akhirnya mengesan penipuannya.

Menurut akhbar China, seorang lelaki bernama Yu yang menjadi mangsa wanita itu mendedahkan modus operandi penipuan suspek.

Dia bertemu wanita itu di Yiwu, Wilayah Zhejiang, pada Ogos tahun lalu selepas dihubungi menerusi laman janji temu.

Wanita itu menyamar sebagai janda tiada anak dan mahu mencari hubungan yang stabil.

Personaliti wanita itu menarik perhatian Yu, sejak awal lagi.

Wanita itu mula meminta pelbagai hadiah dan sejumlah wang namun Yu tidak teragak-agak untuk menunaikan permintaan kekasihnya itu.

Mereka sudah membuat perancangan untuk berkahwin, tetapi setiap kali ingin bertemu keluarganya, wanita itu sentiasa mencari alasan untuk menangguhkan perkara berkenaan.

Menyedari sesuatu yang pelik mengenai tingkah laku suspek, Yu terus berlakon dan memberikan wang kepada suspek.

Tetapi selepas memberinya wang untuk membeli gaun pengantin serta membayar lokasi perkahwinan mereka, wanita itu terus mencari alasan untuk menangguhkan acara besar itu.

Ketika itulah, dia mula curiga.

Bosan dengan pembohongannya, Yu menuntut supaya dia membayar balik semua wang yang diberikan dan apabila suspek enggan, dia terus menghubungi polis.

Siasatan mendedahkan Yu bukanlah satu-satunya mangsa yang ditipu suspek.

Antara Julai dan Disember 2021, dia menjalin hubungan dengan lima lelaki lain dan menipu kesemua mereka.

Siasatan kes itu masih diteruskan, tetapi polis mengatakan mereka sudah mempunyai bukti suspek menipu enam lelaki itu dan memperoleh sekurang-kurangnya 150,000 yuan (RM99,394) dalam tempoh enam bulan.

Gara gara foto wanita separuh bogel, sidang media Chubb-E batal!

Sudirman Mohd Tahir

sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Gambar itu tidak sepatutnya diedarkan."

Demikian jawapan penyanyi dan komposer, Chubb-E ketika ditanya mengenai gambar imej wanita separuh bogel yang didakwa terkandung dalam video muzik lagu Rambang yang dihantar kepada beberapa pihak, semalam.

Chubb-E, 22, atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy berkata, imej dipaparkan itu tidak ada dalam muzik video yang sepatutnya dilancarkan hari ini.

"Gambar tersebar yang dikatakan sedutan dari muzik video lagu saya sebenarnya tidak ada pun dimuatkan dalam video berkenaan. Gambar itu tidak sepatutnya diedarkan. Malah, dalam muzik video sebenar tidak ada wanita separuh bogel itu.

"Gambar yang tersebar menimbulkan salah anggap orang ramai. Muzik video Rambang adalah lain daripada yang lain, ia mempunyai konsep dan koreografi tarian menarik dan ini yang sepatutnya menjadi tumpuan orang ramai," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Chubb-E penyebaran gambar itu juga bukanlah sebahagian daripada gimik lagu dan muzik video Rambang.

"Saya pasti ia menjadi tanggapan negatif segelintir pihak. Bagi saya, gimik tidak diperlukan untuk lagu dan muzik video terbaharu saya. Ini kerana lagu dan muzik video ini ada tarikan dari segi melodi, senikata, rapping dan tarian," katanya.

Terdahulu, Harian Metro juga  mendapat kiriman mesej WhatsApp daripada wakil penganjur berhubung pembatalan acara sidang media dan pelancaran single dan muzik video Rambang petang ini.

"Setelah menempuh perbincangan panjang hari ini (semalam) pihak pengurusan Nova mengambil keputusan membatalkan sidang media Chubb- E  yang dirancangkan esok (hari ini). Kami memohon maaf kerana membuat pembatalan ini di saat-saat akhir," katanya.

Bersatu mahu jatuhkan Ismail Sabri dalam masa terdekat?

Apakah tindakan menarik sokongan akan berlaku dalam waktu terdekat?

SHAHBUDIN HUSIN

Setelah kalah dalam dua PRN iaitu Melaka dan Johor, Mahiaddin Md Yasin nampaknya mula menyesal melepaskan jawatan Perdana Menteri yang sempat dipegangnya selama 18 bulan sebelum ini.

Kini baru beliau sedar, sebab utama PN kalah dalam dua PRN tersebut ialah kerana tindakannya meletakkan jawatan Perdana Menteri yang mana jawatan itu kini diambil alih oleh Umno melalui Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob.

Politik negara kita secara umumnya masih terkepung dengan politik naungan dan parti yang memiliki kuasa sebagai Perdana Menteri lebih berpotensi menjadi pilihan pengundi kerana rakyat masih mengharapkan bantuan serta pertolongan dalam kehidupan mereka.

Jika Mahiaddin masih memegang jawatan Perdana Menteri, bukan saja agak mustahil untuk BN menang dengan majoriti dua pertiga di Melaka dan Johor, malah keputusannya mungkin mengulangi seperti kejayaan dalam PRN Sabah yang lalu.

Tetapi, segala-galanya kini sudah berlalu dan apa yang Mahiaddin nampak sekarang tanpa jawatan Perdana Menteri dalam tangannya, PN juga bakal menerima nasib buruk dalam PRU15 akan datang.

Menyedari hal itu dan tidak mahu melihat Bersatu dan PN menerima nasib buruk dalam PRU15 akan datang, Mahiaddin kini dilaporkan mula berusaha untuk kembali jadi Perdana Menteri semula.

Meskipun dalam beberapa kenyataannya sebelum ini, Mahiaddin beberapa kali membayangkan tidak mustahil PN mampu berkuasa semula, namun umum lebih memahami difahami hasrat tersebut ingin dicapainya melalui PRU15 nanti.

Rupa-rupanya, hasrat untuk kembali sebagai Perdana Menteri itu tidak saja ingin dicapainya melalui kemenangan PN dalam PRU15 akan datang, malah beliau kini difahamkan sudah mula bergerak untuk kembali sebagai ketua kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan.

Dalam langkah yang dianggap mengejutkan, Mahiaddin difahamkan telah mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir Mohamad bagi tujuan tersebut, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu difahamkan Mahiaddin telah berterus-terang bahawa beliau ingin kembali sebagai Perdana Menteri dan meminta Tun Mahathir menyokongnya bagi sama-sama memastikan Umno dan BN tidak berjaya memenangi PRU15.

Tun Mahathir dikatakan agak terkejut dan hairan dengan hasrat Mahiaddin itu kerana beliau menyangka permintaan untuk bertemu dengannya sekadar untuk menziarahinya berikutan baru pulih daripada rawatan jantung di IJN atau untuk membincangkan bagaimana parti-parti blok pembangkang boleh bersatu padu melawan BN.

Langsung tak terfikir oleh Tun Mahathir, kedatangan Mahiaddin itu adalah untuk menyampaikan hasrat hatinya kembali jadi Perdana Menteri.

Agaknya kerana terkejut dan kehairanan dengan hasrat Mahiaddin itu, Tun Mahathir diberitakan hanya mendengar saja Ahli Parlimen Pagoh itu bercakap tanpa memberi sebarang komen atau respon, apa lagi ungkapan yang memperlihatkan sokongan atau komitmen.

Iyalah…siapa tak terkejut dan hairan kerana Mahiaddin sebelum ini bukan saja mengenepikan Tun Mahathir, malah memecatnya daripada Bersatu, tapi kini seperti seseorang yang tidak pernah berdosa, datang menyuakan mukanya dan meminta sokongan daripada Pengerusi Pejuang itu untuk jadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Agaknya Mahiaddin terlupa dengan siapa beliau meminta sokongan itu kerana Tun Mahathir juga, kalau peluang terbuka serta kesihatannya masih ada, pasti ingin jadi Perdana Menteri lagi untuk kali yang ketiga.

Kepada beberapa sahabat dan kenalan yang mengunjunginya baru-baru ini, Tun Mahathir tidak menyembunyikan mengenai tujuan kedatangan Mahiaddin bertemu dengannya itu.

Cuma, sebagaimana kita hairan dengan hasrat Mahiaddin itu kerana beliau adalah Perdana Menteri yang gagal dan bagaimana boleh ada perasaan mahu kembali semula, Tun Mahathir tentu saja lebih berasa hairan lagi.

Yang pasti, dengan hasrat Mahiaddin yang mula diluahkannya itu, malah sudah bercakap dengan Tun Mahathir mengenainya, adalah jelas beliau kini mahu merampas semula jawatan Perdana Menteri daripada Ismail Sabri Yaakob yang diberi laluan olehnya sendiri sebelum ini.

Dengan siapakah lagi Mahiaddin turut bercakap, meluahkan hasrat hati dan berbincang mengenai keinginannya itu?

Apakah beliau turut telah bertemu pemimpin-pemimpin PH dan Anwar Ibrahim?

Dengan perkembangan ini, adakah ia bermakna tindakan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri oleh Mahiaddin dan PN akan berlaku dalam waktu terdekat ini?

Rakyat tak boleh selamanya diawasi MySejahtera

Malaysiakini

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata tidak boleh untuk rakyat negara ini terus dibebani dengan mekanisme pengawasan secara langung seperti yang dilakukan aplikasi MySejahtera.

Pada asasnya kata Mohamad aplikasi itu dibangunkan untuk mengekang dan mengawasi penularan wabak Covid-19 dan ternyata ia sangat membantu.

"Namun laporan pelantikan entiti persendirian, MySJ Sdn Bhd (MySJ), sebagai syarikat yang akan menguruskan applikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya adalah sesuatu yang membimbangkan," katanya.

Menurut Mohamad Malaysia akan memasuki fasa endemic mulai 1 April ini dan kerajaan wajar memutuskan rasional penerusan amalan pendaftaran melalui MySejahtera serta kemestian pengaktifan MySJTrace.

"Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme surveillance yang secara langsung menceroboh privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka.

"Tentukanlah tempoh masa sebelum semua ini boleh kita hentikan demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia seperti sebelum pandemik (berlaku), katanya lagi.

Komen Mohamad itu dibuat ketika perbincangan di antara Putrajaya dan MySJ mengenai kemungkinan kedua-duanya memeterai perjanjian bagi memastikan aplikasi tersebut terus berfungsu.

Libatkan data peribadi

Aplikasi itu asalnya dibangunkan oleh KPISoft Malaysia Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Entomo Malaysia) pada 2020 dan digunakan terutamanya sebagai sistem pengesanan kontak kepada pesakit Covid-19.

Ia kemudian berkembang menjadi aplikasi pelbagai kemudahan berkaitan wabak tersebut.

Suatu pertikaian komersial yang dimulakan oleh P2 Asset Management Sdn Bhd mendedahkan bahawa Entomo Malaysia menubuhkan MySJ sebagai wadah yang akan mengkomersialkan aplikasi MySejahtera.

Tambah Mohamad walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memberikan penjelasan mengenai langkah tersebut, masih ada beberapa kekeliruan yang wajar dijelaskan.

Misalnya kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, tentang pelantikan MySJ melalui mekanisme rundingan terus, bukannya secara tender terbuka.

Katanya rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat.

"Apatah lagi kerana keputusan sebegini melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan trend kehidupan puluhan juta rakyat Malaysia," katanya.

Tian Chua mesti buktikan tiada lagi kaitan dengan Azmin

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Tian Chua masih mempunyai masa depan dalam PKR selagi boleh membuktikan kepada kepimpinan dan ahli parti yang beliau telah memutuskan hubungan dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali, kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (PKR) berkata barisan parti harus bersedia menerimanya semula sekiranya beliau menunjukkan rasa penyesalan yang cukup dan tanggungjawab adalah pada Tian Chua.

Minggu lalu, Tian Chua mengumumkan beliau tidak akan bertanding semula sebagai naib presiden parti. Beliau telah dilihat sebagai sekutu rapat Azmin, yang mengetuai sekumpulan ahli PKR keluar dari parti dan akhirnya menyertai Bersatu.

Fauzi berkata sekiranya Tian Chua kekal bersama parti itu, beliau akhirnya akan “diabadikan” sebagai salah seorang perintis parti itu, setelah menjadi salah seorang naib presiden dan ahli aktifnya sejak penubuhannya pada 1999.

“Walaupun pernah dikaitkan dengan mereka (puak Azmin), dia boleh pertikai bahawa hakikatnya beliau kekal dalam parti, tidak seperti Azmin and Co. dan ia adalah bukti kesetiaannya kepada perjuangan besar ‘Reformasi’.

“Kita mempunyai persamaan di sini, apabila Abdullah Ahmad Badawi yang memihak kepada Pasukan B Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan Umno 1987, tetapi tidak pernah menyeberang ke Semangat 46.

“Abdullah berada di belantara politik selama empat tahun sebelum diterima kembali oleh arus perdana Umno dan menjadi menteri luar. Kemudian pada 2003, beliau menjadi perdana menteri kelima,” katanya kepada FMT.

Tian Chua berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden untuk “menurunkan suhu” dalam parti susulan perebutan jawatan dalam pemilihan parti pada Mei.

Bagaimanapun, beliau akan mempertahankan Ketua Bahagian PKR Batu dan “kemungkinan besar” akan bertanding kerusi Parlimen Batu yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.

Namun penganalisis dari Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi percaya Tian Chua memilih untuk tidak bertanding semula jawatan naib presiden kerana sudah ada dua “pasukan” yang akan bertembung dalam pemilihan parti.

Beliau berkata Tian Chua bukan dalam kedua-dua kumpulan ini.

“Tanpa Azmin, agak sukar untuk Tian Chua menang dalam PKR. Sudah tentu, PKR masih akan bersikap kritis terhadap Tian Chua, melainkan beliau boleh melakukan sesuatu seperti lebih lantang dalam mempertahankan kepimpinan parti daripada kritikan luar. Ini boleh menyebabkan penyokong PKR menerimanya semula,” katanya kepada FMT.

Jawapan KJ tidak meyakinkan, rakyat mungkin perlu pertimbang ‘uninstall’ MySejahtera

NASUHA RAHMAN

Berikutan jawapan Menteri Kesihatan tidak meyakinkan, rakyat Malaysia mungkin perlu mempertimbangkan tindakan menyahpasang (uninstall) aplikasi MySejahtera sebagai langkah melindungi data peribadi mereka daripada risiko yang tidak diingini.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Razak Ridzuan isu aplikasi MySejahtera yang menimbulkan keraguan terhadap keselamatan data peribadi rakyat Malaysia harus diselesaikan segera oleh menteri terbabit.

“Jawapan Khairy Jamaluddin tidak begitu meyakinkan dan masih menimbulkan banyak persoalan bagaimana pengurusan data dan maklumat peribadi rakyat Malaysia diberi kebenaran diuruskan oleh pihak ketiga tanpa kontrak, terma dan syarat yang jelas,” ujarnya.

Katanya, pendedahan dokumen mahkamah yang mendedahkan Entomo (Kpisoft) bersetuju untuk memindahkan harta intelek dan lesen perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn Bhd menerusi perjanjian berjumlah RM338.6 juta yang akan terpakai sehingga akhir 2025 juga menimbulkan satu persoalan besar.

“Bagaimana Khairy yang mempertahankan tindakan memberi kebenaran kepada Kpisoft yang kemudiannya menggunakan nama Entomo untuk mengutip dan menyimpan data peribadi rakyat Malaysia yang kononnya dibuat secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat, kemudiannya menuntut bayaran RM 338.6 juta kepada MySJ.

“Ini jelas menunjukkan kelemahan pihak kerajaan dalam meneliti setiap keputusan yang dibuat yang akhirnya memakan diri dan merisikokan rakyat Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan.

Jawapan KJ tidak meyakinkan, rakyat mungkin perlu pertimbang 'uninstall' MySejahtera

Aplikasi MySejahtera

Apa yang lebih penting, katanya, sejauh mana jaminan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dipelihara dan apakah benar tidak akan berlaku pencabulan data tersebut.

Sedangkan katanya, Khairy mengakui tiada kontrak antara kerajaan dengan Entomo ketika dia mula menjadi menteri kesihatan atas alasan syarikat itu menawarkan untuk membangunkan dan menyelia perkhidmatan aplikasi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pada 24 Mac 2022, sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.

Keputusan kerajaan untuk ‘penyerahan’ ini telah diputuskan oleh cabinet pada tanggal 26 November 2021. Kebenaran telah diberikan oleh cabinet kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme runding terus untuk mengambilalih aplikasi MySejahtera.

Chegubard jawab dan cabar Najib

Najib jangan sembang, saya tunggu ‘surat cinta’ anda, kata Chegubard

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata, beliau tidak akan “mengalah” dengan ugutan saman oleh bekas perdana menteri Najib Razak berhubung ayat “Apa lagi Cina mahu?”.

“Setakat ini dia sembang saja. Saya alu-alukan saman daripada dia (Najib). Sudah pasti akan ada saman balas, kalau saman itu bukan sumber daripada saya,” kata Chegubard kepada FMT.

Bagaimanapun Chegubard berkata, setakat ini masih belum ada sebarang “surat cinta” atau notis saman daripada bekas perdana menteri itu sampai ke pihaknya.

“Tiada (saman), tiada apa pun. Najib ni biasalah, dia nak saman Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa tapi tak saman-saman. Dia nak saman Muhyiddin (Yassin), tak saman-saman,” katanya yang mendakwa Najib cuba mengalihkan isu kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya.

“Penafian tu hanya nak tunjuk dia hebat, dia betul. Isu sebenar ialah dia nak alih isu sabitan dia dengan kes 1MDB.”

Semalam, Najib berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chegubard kerana memfitnah beliau berhubung ayat “Apa lagi Cina mahu?”.

Katanya, beliau sudah memberikan tempoh 24 jam kepada Chegubard untuk menafikan tuduhan itu, namun beliau enggan “mengalah”.

“Dia kata memang ada bukti muka hadapan Utusan dan ‘beberapa media’ pernah melaporkan ucapan ugutan saya tersebut pada 2013. Bebalnya.

“Tak payah buang masa dengan individu yang gagal bezakan tajuk berita media dengan apa yang saya ucap sebenarnya. Saya saman,” katanya di Facebook.

Jumaat lalu, Chegubard dalam catatan di Facebook mendakwa Najib menipu dalam satu majlis di Pulau Pinang bahawa beliau tidak pernah menyebut ayat “Apa lagi Cina mahu”.

‘Penyelewengan dalam agensi pentadbiran negeri Kelantan bukan sengaja diada-adakan’

MOHD SAYUTI OMAR

Cerita mengenai kelemahan dan penyelewengan yang berlaku dalam agensi pentadbiran negeri Kelantan bukan sesuatu yang sengaja diada-adakan untuk memburuk-burukkan kerajaan diperintah oleh parti agama itu. Ia sesuatu yang benar dan terbukti.

Sebelum ini, timbul pelbagai cerita tentang penyelewengan di beberapa agensi kerajaan Kelantan yang menyebabkan berlaku kecaman rakyat kerana telah menyusahkan mereka.

Disebabkan kepincangan itu, kerajaan negeri Serambi Makkah itu dipersoal dan diragui integritinya.

Bukan sahaja dalam masalah pentadbiran daerah (BPT), dalam syarikat mengendalikan air Kelantan (AKSB), tetapi banyak lagi. Paling ketara menjadi sungutan ialah apa yang terjadi di pejabat Tanah dan Galian Kelantan (PTG).

Seorang rakyat Kelantan mencurahkan kekesalan dan marahnya dengan apa yang berlaku kepadanya. Kisah ini ada kena mengenai dengan pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Ceritanya begini, beberapa tahun lepas kawan itu, telah membeli tanah seluas lapan ekar di Jajahan Kuala Krai daripada seorang pemilik. Tanah itu berstatuskan pertanian atau kebun getah dan sudah pun mempunyai geran. Atas geran tanah itu tercatat status dan jenis tanah berkenaan.

Hingga suatu hari, beliau berhajat untuk mengusahakan tanah berkenaan untuk tujaun itu beliau perlu berurusan dengan pejabat Tanah dan Jajahan di Kuala Krai bagi mendapat penjelasan lanjut. Apa mengejutkan beliau diberi tahu tanah miliknya 8 ekar itu sudah bertukar status daripada tanah bebas kepada tanah hutan simpan (HSK).

Beliau cuba mendapat penjelasan lanjut daripada pihak berkenaan kenapa hal itu boleh berlaku kerana beliau tidak pernah dimaklum oleh pihak pejabat tanah berhubung perubahan syarat tanah itu. Tetapi gagal, pihak berkenaan (PTG) dan pejabat Jajahan saling menolak dan menafikan ia membabitkan mereka.

Apa yang menghairankan kenapa dalam geran berkenaan tanah itu masih berstatus asal, tetapi bila disemak di pejabat Tanah dan Galian dalam sistem dan data telah bertukar menjadi tanah hutan simpan. Keadaan ini membingungkannya.

Apakah kejadian ini satu penyelewengan atau taktik untuk mengabui mata rakyat? Kita tahu masalah tanah hutan simpan kekal (HSK) di Kelantan kini dicerobohi dengan pembukaan ladang pertanian dan juga pelombongan, pembalakan dan sebagainya.

Pihak kerajaan pula galak membuat kenyataan yang kawasan hutan simpan kekal di negeri itu masih kekal keluasannya dan malahan bertambah.

Pihak kerajaan berbangga dengan keadaan itu seolah-olah pentadbir mereka menjaga khazanah negeri. Rakyat yang buta dan bodoh akan mempercayai apa yang kerajaan laungkan.

Baru-baru ini, Menteri Besar Ahmad Yaakob memberi tahu jumlah hutan simpan kekal di Kelantan sebanyak 629,000 hekar bersamaan 42 peratus keluasan Kelantan.

Apakah pertambahan kawasan HSK itu disebabkan kerana ada permainan “sim silabim” seperti yang berlaku ke atas tanah 8 ekar yang dimiliki oleh seorang pemilik tadi? Kerana untuk mengekalkan keluasan HSK maka tanah-tanah milik persendirian yang bebas dijual juga dikategorikan (digezetkan) sebagai HSK?

Bukankah cara ini satu penipuan dan penyelewengan. Sebenarnya apa yang berlaku bukan kepada individu itu sahaja, tetapi ia juga dialami oleh pemilik lain, yang mana tanah mereka secara senyap-senyap sudah dikategorikan sebagai hutan simpan kekal.

Pemilik tanah lapan ekar berkenaan menuntut ia diselesaikan dengan baik, jika gagal beliau tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa mengheret pejabat tanah dan PTG ke mahkamah.

Kita berharap pihak berwajib lebih telus, lebih bertanggungjawab dan janganlah menipu rakyat dengan sesuatu yang terang-terang dibohongi. Berdosa tau!

*Simsilabim = silap mata.

Najib saman Chegubard

FMT Reporters

PETALING JAYA: Najib Razak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard kerana memfitnah beliau berhubung ayat “Apa lagi Cina mahu?”.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau sudah memberikan tempoh 24 jam kepada Chegubard untuk menafikan tuduhan itu, namun beliau enggan “mengalah”.

“Dia kata memang ada bukti muka hadapan Utusan dan ‘beberapa media’ pernah melaporkan ucapan ugutan saya tersebut pada 2013. Bebalnya.

“Tak payah buang masa dengan individu yang gagal bezakan tajuk berita media dengan apa yang saya ucap sebenarnya. Saya saman,” katanya di Facebook.

Najib berkata, Chegubard boleh membacakan semua artikel yang dilaporkan media di mahkamah untuk membuktikan beliau pernah mengugut atau menggunakan ayat “Apa lagi Cina mahu?”.

“Jika dia tak berjaya cari, maka kami berterima kasih kepada dia sebab dia bakal sumbang bantuan besar-besaran secara paksa untuk saya agihkan kepada rakyat,” katanya.

Jumaat lalu, Chegubard dalam catatan di Facebook menuduh Najib menipu dalam satu majlis di Pulau Pinang bahawa beliau tidak pernah menyebut ayat “Apa lagi Cina mahu”.

Chegubard mendakwa ugutan Najib itu dilaporkan di muka depan akhbar arus perdana pada Mei 2013 selepas berlaku tsunami pengundi Cina pada pilihan raya umum ke-13.

Anwar Ibrahim: Mengapa MySejahtera dijual?

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Pada 24 Mac 2022, sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.

Keputusan kerajaan untuk ‘penyerahan’ ini telah diputuskan oleh cabinet pada tanggal 26 November 2021. Kebenaran telah diberikan oleh cabinet kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme runding terus untuk mengambilalih aplikasi MySejahtera.

Walaubagaimanapun, pada bulan Disember 2021, PAC telah mengesyorkan bahawa kerajaan sepatutnya mengambilalih operasi MySejahtera tanpa kos tambahan memandangkan aplikasi tersebut kini telah menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.

Para pegawai Kementerian Kesihatan yang memberi keterangan di hadapan PAC mendakwa bahawa MySJ Sdn. Bhd. tidak ada kaitan sama sekali dengan KPISoft, iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera sebagai inisiatif CSR. KPISoft sejak itu telah menukar nama syarikat kepada Entomo. Dakwaan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn. Bhd mesti diteliti dan disiasat.

Para pengarah MySJ Sdn. Bhd. termasuk dua orang pengasas KPISoft. Pengarah-pengarah MySJ Sdn. Bhd. juga termasuk inidividu-individu yang punya kaitan politik dan perniagaan dengan beberapa parti di dalam kerajaan termasuk Tan Sri Dato Seri Shahril Bin Shamsuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy sehingga bulan Mac 2021 dan Tan Sri Dato’ Seri Megat Najmuddin yang merupakan seorang ketua UMNO bahagian yang kemudian menjadi anggota kanan Bersatu.

Sementalah itu, 81.4% saham MySJ Sdn. Bhd. dimiliki oleh sebuah syarikat yang lain yakni Revolusi Asia Sdn. Bhd. di mana 88% dimiliki oleh pengasas-pengasas KPISoft.

Dalam kata lain, 71.2% saham MySJ Sdn. Bhd. dimiliki oleh dua pengasas KPISoft yang membangunkan aplikasi MySejahtera. Untuk mengatakan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn. Bhd. adalah tidak jujur.

Di bawah sistem tender terbuka, fakta-fakta ini akan diteliti oleh kerajaan dan rakyat. Dalam sistem runding terus, apa yang berlaku ini hanya mirip kepada gejala menganugerahkan syarikat-syarikat dan individu yang dekat dengan pemerintah. MySJ Sdn. Bhd. termasuk pengarah-pengarah yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam mengurus pengoperasian perisian atau teknologi maklumat tidak jelas dan menimbulkan kebimbangan tentang logik menganugerahkan aplikasi ini secara runding terus.

Tambahan pula, penjualan MySejahtera kepada syarikat swasta hanya menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.

Aplikasi MySejahtera telah merekodkan lebih 11 bilion daftar masuk sejak bulan Disember 2020, dan ini adalah menurut GitHub. Maklumat daftar masuk ini mengandungi pelbagai maksud iaitu kecenderungan peribadi, corak penggunaan, atau laman sosial individu. Kita juga mengandaikan bahawa pengkalan data MySejatera juga termasuk maklumat kesihatan individu tentang simptom-simptom dan diagnosis positif Covid-19.

PAC juga memberitahu bahawa segala data di dalam MySejahtera dan kerahsiaannya adalah di bawah kawalan Kementerian Kesihatan.

Pada 19 November 2020, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa “data yang dikumpul melalui aplikasi MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh KKM dan diselia oleh Nacsa dan MKN”.

Pada 20 Disember 2020, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSEcurity Malaysia mengatakan bahawa data MySejahtera adalah selamat. “Data-data ini digunakan hanya untuk memantau Covid-19 dan tidak dikongsi dengan mana-mana pihak ketiga kerana ia tertakluk kepada dasar kerahsiaan”.

Oleh yang demikian, persoalan-persoalan ini mesti dijelaskan oleh cabinet:

Mengapakah keputusan diambil untuk menjual MySejahtera kepada syarikat swasta daripada membenarkan aplikasi itu di bawah kawal selia KKM?

Mengapa penjualan aplikasi ini tidak dibuat melalui tender terbuka atas dasar ketelusan?

Laman web MySejahtera termasuk kebijakan kerahsiaan yang menyebut “Tidak ada data peribadi yang dikumpul aplikasi ini dikongsi dengan mana-mana pihak ketiga atau dipindahkan ke tempat luar dari Malaysia untuk tujuan komersial.” Laman web itu juga menyatakan “MySejahtera dimiliki dan dikawalselia oleh kerajaan Malaysia. Ia diuruskan oleh KKM dan dibantu oleh NSC dan MAMPU. Kerajaan memberi jaminan bahawa maklumat data peribadi hanya digunakan untuk tujuan mengurus dan membendung penularan wabak Covid-19. Ia tidak akan dikongsi kepada mana-mana pihak.” Laman GitHub MySejahtera pula menyatakan “Menurut polisi kerahsiaan MySejahtera, data daftar masuk individu akan dilupuskan selepas 90 hari. Statistik rumusan ini hanya disimpan sebagai jumlah agregat; MySejahtera tidak menyimpan data tersebut. Kesimpulannya, penyemakan data tidak boleh dilakukan untuk tarikh-tarikh lebih dari 90 hari, meski wujudnya ketidaktekalan.”

Apa sebab-sebab MySJ Sdn. Bhd. menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbangtara untuk projek ini?

Apakah kerajaan Malaysia sering menganugerahkan individu-individu atau syarikat-syarikat yang menjalankan CSR untuk manfaat rakyat Malaysia dengan kontrak yang lumayan?

Apakah skop dan kepakaran MySJ Sdn. Bhd. terkait pengoperasian MySejahtera dan bagaimana KKM boleh memastikan data-data yang dikumpul oleh aplikasi itu tidak akan disalahguna oleh pihak ketiga termasuk MySJ Sdn. Bhd.

Apakah syarat-syarat kontrak tertakluk kepada jaminan yang dibuat KKM sebelum ini tentang data kesihatan peribadi, dasar kerahsiaan MySejahtera dan undang-undang negara yang mengawalselia kerahsiaan data individu?

Apakah peranan dan tanggungjawab MySJ Sdn. Bhd. dalam memastikan data yang dikongsi rakyat Malaysia melalui MySejahtera atas dasar mandat awam tidak akan digunakan sama sekali untuk tujuan pemasaran, pembangunan produk, pemantauan, mahupun untuk tujuan yang berunsur diskriminasi?

Ayuh Malaysia wajar disertai seluruh rakyat yang patriotik, cintakan negara

MALAYSIA DATELINE

Kempen Ayuh Malaysia yang digerakan Rafizi Ramli, Nurul Izzah dan pimpinan muda Pakatan Harapan yang lain wajar disertai seluruh rakyat yang petriotik dan cintakan negara ini.

Meskipun diakui masa agak suntuk dan sumber juga agak terhad, gerakan ini sekurang-kurangnya membawa satu suntikan baharu kepada rakyat Malaysia untuk menilai secara objektif dalam memilih kepimpinan negara untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam menjayakan usaha ini, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Razak Ridzuan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan mempunyai kesedaran membentuk semula sistem yang telah korup selama ini agar turut serta dan memberi sokongan sepenuhnya.

Gerakan Ayuh Malaysia ini katanya wajar diangkat sebagai platform yang memberi pencerahan kepada rakyat bahawa kuasa undi yang ada pada mereka mampu mewujudkan gelombang dan arah baru buat Malaysia.

“Justeru, ayuh semua kita mengambil langkah awal menyatakan sokongan dan menjadi agen kepada gerakan ini.

“Ayuh sebarkan maklumat yang disediakan, daftar sebagai sukarelawan menerusi aplikasi CISTA dan beri sumbangan dana kepada Ayuh Malaysia semampunya,” katanya.

Kempen anjuran Rafizi dilancarkan bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi PRU15 dan pelbagai isu dikupas dalam sesi tiga jam itu antaranya berkaitan perumahan rakyat, isu pertanian dan pendidikan.

Mereka juga berikrar untuk membawa isu-isu rakyat menerusi aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Kempen itu dibuat selepas mengambil kira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan pandangan pelbagai pihak di dalam PKR.

Ayuh Malaysia mempunyai matlamat mengajak sukarelawan dalam kalangan rakyat yang mahu meneruskan momentum perubahan untuk turut serta mendekati pengundi-pengundi atas pagar dengan memainkan peranan di dalam kempen digital, menjadi Ejen Kira Undi (PACA) dan sukarelawan pilihan raya.

Pemilihan PKR: Saifuddin masih berteka-teki jawatan bakal ditandingi

Yasmin Abdul Latif

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail masih berteka-teki dengan jawatan yang akan ditandinginya dalam pemilihan parti Mei ini.

Berbaki 12 hari sebelum penamaan calon pada 8 April ini, katanya, beliau masih mendapatkan pandangan daripada setiap lapisan pimpinan berhubung jawatan akan ditandinginya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jawatan yang akan ditandinginya harus memberi impak besar dan menyumbang lebih banyak manfaat kepada parti.

“Apabila saya, kalau akhirnya, membuat keputusan begitu, ertinya saya ingin meraikan proses demokrasi dalam parti.

“Sudah tentu keputusan itu mengambil kira semua dan sudah tentu keputusan kalau terpilih atau tidak, itu boleh menyumbang kepada kebaikan parti,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PKR Bahagian Lembah Pantai hari ini.

Pemilihan PKR bagi sesi 2022 hingga 2025 ditangguhkan ke 13 hingga 18 Mei ini.

Minggu lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti kali ini.

Untuk rekod, jawatan Timbalan Presiden PKR kosong selepas Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti itu bersama beberapa Ahli Parlimen.

Ku Li: Berhenti atau dipecat

Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Anggota Kabinet yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen pada 23 Mac lalu, perlu bertanggungjawab.

Malah, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika sesi Dewan Rakyat itu juga wajar berhenti atau dipecat kerana menyebabkan usul penting seperti SOSMA gagal diluluskan.

"SOSMA satu usul yang penting dan soal keselamatan negara macam mana boleh ditolak dan menteri-menteri tidak hadir.

"Ia 'collective responsibility' (tanggungjawab kolektif)...apabila usul seumpama itu nak jaga keselamatan negara tak diendah, tak dipeduli serta ditolak oleh Dewan rakyat bererti Menteri itu tidak bertanggungjawab.

"Jadi, simpan buat apa (wajar berhenti). Bagi saya mengikut 'practice parliment of democracy' boleh dipecat dan patut dipecat...kecuali kalau Perdana Menteri pecat, dia sendiri terpecat juga," katanya sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 Gagasan Melayu Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu ketidakhadiran anggota Kabinet ketika sesi pengundian terbabit di Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, menyebabkan keputusan undian belah bahagi dengan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, 86 lagi menolak dan 50 lagi tidak hadir.

Ditanya sama ada ketidakhadiran dalam kalangan Ahli Parlimen blok kerajaan mempunyai unsur sabotaj oleh pihak tertentu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata ia terserah kepada kerajaan untuk menentukannya.

"Itu saya tak tahu, serah kepada pihak kerajaan untuk memeriksa 85 orang pihak kerajaan. Itu saja jumlah yang hadir, yang lain tak hadir termasuk menteri dan timbalan menteri.

"Tak pernah berlaku di mana mana pun, bawa usul dalam Parlimen dan tahu bilangan (wakil kerajaan) tidak ramai yang hadir....ini cuai," katanya.

Usul melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibahaskan 19 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Kegagalan meluluskan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan, untuk membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas melanjutkan tempoh penahanan individu ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

'Jangan buang masa dengan rundingan jika nak kuatkan pembangkang'

NS Ramli

Usaha menguatkan gabungan pembangkang tidak akan berhasil menerusi rundingan yang tidak berkesudahan, kata Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir.

Akmal sebaliknya berkata, pembangkang boleh kembali kuat dengan membawa isu-isu yang dekat dengan rakyat.

"Nak kuatkan (gabungan pembangkang) itu bukan dengan buang masa bincang runding dan sebagainya.

"Jadi, (kalau) nak kuatkan PH kena bawa isu yang rakyat nak kita perjuangkan.

"Kalau di Pahang sebagai contoh, isu alam sekitar, pembalakan, siapa yang sebenarnya berani bercakap mewakili pihak rakyat," katanya sambil menambah pengukuhan pembangkang perlu kekal berteraskan parti sedia ada dalam PH.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Indera Mahkota 2022, di Kuantan, hari ini.

Mesyuarat dihadiri Ketua Cabang Keadilan Indera Mahkota, Lee Chean Chung yang juga Adun Semambu.

Akmal turut mengingatkan semua pimpinan parti agar kembali menumpukan isu rakyat dan tidak terikut-ikut dengan percaturan politik parti kerajaan ketika ini.

Diminta mengulas mengenai saranan Rafizi Ramli kepada PH supaya fokus untuk mempertahankan semua kerusi dimenangi pada PRU lalu, Akmal berkata saranan itu turut merangkumi kerusi Parlimen yang kini milik parti lain selepas Langkah Sheraton.

"Kita perlu ingat bahawa kerusi yang dikhianati itu adalah milik parti dan bukannya milik individu tertentu.

"Jadi, kerusi itu juga kita akan tumpu untuk rampas kembali pada PRU akan datang, selain berusaha mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini," katanya yang juga ahli parlimen Johor Bahru.

2 artis berdepan hukuman gantung

Nazarali Saeril, Muhammad Saufi Hassan dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin

am@hmetro.com.my

POKOK ganja milik seorang artis yang dirampas di sebuah kondominium di Kota Damansara.

POKOK ganja milik seorang artis yang dirampas di sebuah kondominium di Kota Damansara.

Kuala Lumpur: Selain ada yang pernah dipenjara dan dijatuhi hukuman denda, dua selebriti dalam industri hiburan Malaysia kini berdepan hukuman lebih parah iaitu gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan akibat memiliki pelbagai jenis dadah.

Terdahulu, kes mengedar dadah jenis kanabis yang dihadapi penyampai radio, Isma Halil Hamzah, 49, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengikut pertuduhan, Isma Halil didakwa mengedar kanabis dengan anggaran berat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, jam 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Isma Halil mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini, Februari lalu.

Terkini, pada Khamis lalu (24 Mac), seorang penyanyi nasyid lelaki ditahan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini dan pemeriksaan menemui 17 batang pokok ganja di rumah berkenaan.

Dia yang juga komposer turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952.

Artis terbabit kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketika diminta mengulas isu selebriti dalam industri hiburan yang terkait dengan isu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata, semua itu perlu diserahkan kepada mahkamah untuk membuat penghakiman.

"Ia bukan kes pertama (selebriti ditahan mengikut seksyen ini), namun kita tidak boleh terus menghukum mereka ini.

"Ini kerana mereka perlu menghadapi perbicaraan dan mereka belum boleh dikatakan bersalah selagi belum disabitkan dengan kesalahan itu," katanya.

Menurut Freddie, ada yang mengatakan jumlah dadah ditemui adalah besar dan terus menjatuhi hukuman terhadap selebriti berkaitan.

"Kita pun tidak tahu sama ada ia digunakan untuk diri sendiri atau diedar. Ia masih perlu disiasat dan disahkan oleh pihak berkuasa.

"Tidak adil jika kita terus menjatuhi hukuman terhadap mana-mana selebriti yang ditahan sedangkan siasatan atau perbicaraan masih berjalan," katanya.

Pada masa sama, Freddie turut menggesa mana-mana artis yang masih terbabit dengan dadah supaya meninggalkan tabiat itu.

"Berhenti segera, jangan korbankan nyawa kita kerana dadah.

"Kita boleh hidup tanpa dadah. Apa guna dadah kepada badan kita ini," katanya.

Freddie turut meminta mana-mana artis yang mahu meninggalkan tabiat menghisap dadah, namun sukar melakukannya supaya bertemu pihaknya.

Katanya, Karyawan akan berusaha untuk membantu dengan mendapatkan mana-mana pusat pemulihan dengan syarat, artis terbabit memang mahu berhenti menghisap dadah.

Kita akan hilang semuanya: Ameng

Kuala Lumpur: "Saya sudah ada titik hitam dalam hidup, saya harap rakan artis mahupun sesiapa saja jangan tersilap langkah.

"Kita akan hilang semuanya apabila terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Keluarga anak-anak. Jika dia seorang artis, dia akan hilang populariti, jika dia orang biasa orang akan sukar mempercayai dan akan terus dipandang serong."

Demikian nasihat vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 54, (gambar) yang pernah 'tersalah langkah' dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah tidak lama dulu.

Ameng berkata, titik hitam dalam hidupnya itu akan sentiasa ada, namun dia tetap bersyukur kerana kejadian itu menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupannya.

"Bayangkan, waktu kena tahan, didapati bersalah, masuk pula penjara, kena sebat. Sehingga sekarang saya boleh merasai kesakitannya dan ia menjadi salah satu faktor perubahan dalam hidup.

"Ketika itu, saya hilang semuanya, hilang populariti, hilang keluarga dan pastinya hilang kepercayaan dalam kalangan rakan serta kalangan peminat.

"Waktu itu, saya mula terfikir musibah yang berlaku pada diri saya ini kerana Allah SWT marah dengan saya, bila marah pasti ada buat silap," katanya kepada Metro Ahad. Dan Alhamdulillah, saya berubah kepada diri yang lebih baik, Insya-Allah," katanya kepada Metro Ahad.

Untuk rekod, Ameng pernah dipenjarakan lapan tahun dengan 10 sebatan pada 2011 atas kesalahan memiliki dadah.

Ameng berkata, tiga amalan yang dilakukannya iaitu menjaga solat, berzikir dan membaca al-Quran menjadikan dia kuat untuk terus istiqomah mengubah kehidupannya berbanding sebelum ini.

"Saya akan pastikan setiap hari saya habis membaca 10 muka surat al-Quran dan dalam seminggu, saya akan menghafal satu muka surat dan ia sudah menjadi rutin dalam kehidupan saya.

"Kehidupan sebagai artis ini memang tidak menentu, namun selepas mengamalkan membaca al-Quran ini, saya dapati kehidupan lebih tenang, Alhamdulillah, ada saja rezeki tidak putus-putus walaupun dalam bermacam persaingan.

"Sekarang pun saya banyak dijemput dalam platform umum untuk berkongsi kisah hidup dan saya harap pengalaman hidup saya ini boleh dijadikan iktibar untuk orang lain," katanya.

'Mungkin dah guna lebih 10 tahun tahun'

Kuala Lumpur: Penagih yang menanam ganja di rumah kebiasaannya sudah lama menggunakan bahan terlarang berkenaan.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Ramli Abd Samad berkata, kebanyakan penagihan ganja berkemungkinan sudah menggunakan bahan ini melebihi 10 tahun.

"Ganja yang ditanam di rumah biasanya untuk kegunaan sendiri, mungkin juga penggunaannya turut dikongsi bersama-sama rakan penagih lain.

"Bagi artis yang mengambil dadah, tujuannya untuk menambahkan kreativiti berkarya, lebih berkeyakinan dan tidak gementar apabila menyanyi di pentas bagi seorang penyanyi.

"Namun, tanpa mereka sedar sudah bergantung bahan itu untuk melakukan sesuatu perkara," katanya.

Beliau berkata, ganja ialah tumbuhan yang di dalamnya terdapat dua komponen kimia utama iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD).

"TCH ialah bahan khayal untuk menambah kreativiti berkarya manakala CBD digunakan untuk perubatan termasuk rawatan barah, epilepsi dan sebagainya.

"Di media sosial, ramai artis antarabangsa menunjukkan penggunaan ganja secara terang-terangan.

"Ini juga boleh mempengaruhi artis Malaysia untuk turut sama menggunakan ganja," katanya.

Ramli berkata, kesan penggunaan ganja adalah lebih rendah berbanding dadah lain.

"Malaysia masih menggunakan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang perlu dipinda mengikut keperluan masa kini.

"Empat artis pernah menjalani rawatan di Pengasih dan mereka sudah keluar daripada pusat ini serta pulih daripada pengaruh dadah," katanya.