"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kisah gagak, kakak tua, angsa dan merak

TUAN IBRAHIM TUAN MAN 
Seekor gagak yang tinggal di hutan sangat berpuas hati dengan kehidupannya sehingga ia terjumpa seekor angsa.

“Putihnya angsa. Saya hitam sangat. Angsa mesti burung yang paling gembira di dunia,” katanya.

Angsa yang tinggal di kolam berkata kepada burung gagak bahawa ia pun fikir begitu satu ketika dulu sehingga ia terjumpa burung kakak tua.

“Saya satu warna sahaja. Burung kakak tua ada dua warna. Burung kakak tua barulah burung yang paling gembira di dunia,” kata angsa itu kepada burung gagak.

Burung gagak itu mencari burung kakak tua dan memberitahu apa yang dikatakan angsa itu.

Burung kakak tua pun menjawab, “Wahai gagak sahabatku! Aku pun fikir begitu dulu aku paling hebat… tapi sehinggalah aku terjumpa burung merak. Dia ada pelbagai warna.”

Burung gagak pun pergi ke zoo dan melihat kehebatan burung merak.

“Wahai burung merak! Cantiknya kamu. Setiap hari beribu manusia datang menjengukmu. Bila mereka melihat saya, mereka halau saya. Kamulah burung yang paling bahagia di dunia,” kata burung gagak.

Burung merak pun menjawab, “Aku selalu rasa akulah paling cantik dan gembira di dunia ini. Tapi kerana kecantikan aku, aku dikurung di dalam zoo ini. Aku telah melihat sekitar zoo ini, hanya burung gagaklah yang tak terkurung di zoo ini. Kalau aku ialah burung gagak, aku rasa aku paling gembira kerana dapat bergerak sana sini.”

Wahai anakku,
Di kalangan manusia, kamu juga akan saling membanding. Sebenarnya ia tidak perlu kerana ia menimbulkan tekanan dan kesedihan. Membanding bermakna kamu tidak menghormati apa yang diberi Allah. Kamu berasa Allah tidak adil. Kamu berasa diri malang.

Wahai anak kesayanganku,
Fokuslah pada apa yang ada di tangan. Setiap manusia ada benda lebih dan benda kurang. Tapi Allah Maha Adil – sesiapa yang tahu bersyukur dengan apa yang ada, dialah manusia yang paling gembira. Adakah kamu salah seorang itu?

Senyum

Mahathir jadi macam Sultan Melaka?

SUBKY LATIF 
TUN Dr. Mahathir telah menarik pula sokongannya kepada Perdana Menteri Najib justeru kelemahan pimpinannya, pada pandangannya merugikan negara. Apabila negara rugi, maka apa lagilah rakyat.

Kononnya tidak berbangkit dia hendak menjatuhkan Perdana Menteri itu sebagaimana yang dilakukannya tolong menjatuhkan Perdana Menteri Abdullah Badawi sebelumnya, tetapi setakat ini sekadar menarik sokongan dan kepercayaannya kepada Najib.

Apa yang akan dibuatnya selepas ini akan kita sama-sama perhatikan. Apakah akan sekali lagi keluar Umno seperti yang dilakukannya dulu?

Yang nyata padanya, dia angkat Abdullah Badawi sebagai gantinya 11 tahun, Abdullah telah mengecewakannya. Dia dapat buang orang tua itu. Atas isyarat dan pencerahannya, diangkat Najib sebagai ganti.

Najib sebagai ganti itu telah dirancangnya sejak sebelum Abdullah menamakan timbalannya. Pernah Abdullah bersungut, berilah kebebasan padanya memilih timbalan yang juga dikira bayangan sebagai penggantinya kelak.

Tetapi Mahathir dipercayai enggan menghadiri jamuan meraikan persaraannya selagi tidak dinamakan Najib sebagai pilihan. Abdullah dikatakan ketika itu lebih berminat kepada Muhyiddin Yassin. Tiada pilihan lagi bagi Abdullah selain menyetujuinya.

Mahathir telah kecewa pemilihan atas Abdullah itu, bukan saja dia dikira lemah, tetapi melawannya. Seolah-olah derhaka padanya. Mungkinlah derhaka itu tidak sampai ke tahap penderhakaan Hang Jebat kepada Sultan Melaka, tetapi ciri-ciri penderhakaan itu ada.

Najib telah dijadikan Hang Tuah bagi membuang Abdullah yang berciri Jebat itu. Najib adalah pilihan Mahathir juga. Akhirnya Najib juga tidak sebagai yang diharapkannya, malah dikiranya lebih teruk dari Abdullah. Sudah acap ditegurnya Najib secara sindiran terbuka. Dia tidak mendengar kata juga. Tidak mengikut kata itu seperti derhaka juga kira-kira.

Apakah Mahathir sedang menghadapi masalah yang dihadapi Sultan Melaka yang membuang Hang Tuah kerana Hang Tuah difitnahkan oleh golongan Temenggung? Sultan buang Hang Tuah, rampas keris Taming Sari daripadanya serahkan kepada Hang Jebat, samalah seperti memberi mandat kepadanya.

Pilihan atas Jebat itu mengecewakan Sultan. Pilihan itu tidak bagai yang disangka. Diingatkan Jebat lebih baik, rupanya tidak dapat memenuhi harapan Sultan.

Banyak yang percaya pembuangan atas Anwar Ibrahim adalah Mahathir termakan fitnah kalau pun fitnah itu daripadanya sendiri. Anwar dibuang atas alasan untuk digantikan dengan bakal pimpinan yang lebih baik.

Rupa calon yang menggantikan Anwar itu kedua-duanya tidak tepat bagai yang diharapkan. Pada masa Anwar dibuangnya, belum nyata kelemahannya selain dari yang difitnahkan. Bahkan andaian umum Anwar akan lebih baik daripada Mahathir. Sebelum dibuang Anwar, dia memiliki imej anti penyelewengan dan anti rasuah. Mahathir? Entahlah!

Hang Tuah boleh diambil balik. Anwar sudah tidak boleh diambil balik. Jika dua pemilihan Perdana Menteri selepasnya yang dibuatnya tidak tepat, apa yang tepat dibuatnya?

Anwar diambilnya dari belukar di luar Umno dijadikan Umno dan cuba dijadikan gantinya. Pengambilan atas anwar itu padanya tidak tepat, maka apakah pembuangannya tepat? Mengambilnya tidak tepat, membuangnya pun tidak tepat.

Dia pilih Musa Hitam sebagai timbalannya mengetepikan Tengku Razaleigh, dikiranya tidak tepat. Diganti dengan Ghafar Baba. Tidak tepat juga. Anwar apa lagilah. Pilihan ke atas Abdullah dan Najib juga tidak tepat. Sultan Melaka hanya membuat satu pilihan tidak tepat, tetapi Mahathir membuat banyak pilihan tidak tepat.

Kita sudah tahu rupanya Mahathir tidak tahu membuat pilihan tepat. Semua pilihannya silap, tidak tepat. Dia jangan diberi membuat pilihan lagi. Biarlah pemimpin itu dipilih oleh rakyat, bukan dipilih oleh pemimpin kerana pemimpin juga banyak membuat silap.

Konon nak kalahkan umno 56-0 cermin muka la woii..bergocoh sama sendiri

SHAH ALAM: Selepas beberapa minit diumumkan sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad kini berhadapan tekanan daripada sebahagian besar ahli exco sayap PKR itu.
Dilihat tidak berpuas hati dengan kemenangan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu, sembilan exco AMK yang baharu diumumkan secara rasmi bertindak meninggalkan pentas utama Kongres AMK.

Kumpulan berkenaan langsung tidak mengendahkan arahan Pengerusi Tetap, Shuhaimi Shafiei supaya terus berada di atas pentas sebelum Nik Nazmi menyampaikan ucapan penangguhannya.

Tindakan mereka itu menerima reaksi negatif daripada perwakilan dan pemerhati yang kelihatan terpinga-pinga dengan situasi berkenaan.

Akibatnya, Nik Nazmi terpaksa meneruskan ucapan penangguhannya tanpa sokongan daripada sembilan exconya sendiri.

Difahamkan sembilan kumpulan berkenaan merupakan penyokong kem Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali yang diketuai seorang lagi calon Ketua AMK, Amirudin Shari.
Pada pemilihan AMK, Nik Nazmi mengalahkan Amirudin dengan majoriti 250 undi.

Nik Nazmi memperoleh 4,509 undi sementara Amirudin mendapat 4,259 undi.

Sementara itu jurucakap sembilan exco itu berkata, tindakan keluar dewan merupakan tanda protes terhadap keputusan pemilihan yang tidak berpihak kepada Amirudin.

Mengulas lanjut beliau mendakwa wujud penipuan dalam pemilihan AMK di Cabang Pensiangan, Sabah.

"Sepatutnya pemilihan di sana dibatalkan, tetapi diterima semula kerana untuk memenangkan seseorang.

"Apa yang dibuat ini tanda penolakkan, protes terhadap kepimpinan Nik Nazmi kerana pasukan Amiruddin menguasai hampir 90 peratus AMK," katanya.
-mstar-

Presiden PAS dilantik Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, semalam.

Perlantikan itu dibuat pengerusi kesatuan itu Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mengekalkan jawatannya untuk kali keempat berturut-turut.

Dua lagi yang turut dilantik sebagai naib ketua bersama Tuan Guru Abdul Hadi adalah Syeikh Raisuni dari Maghribi dan Syeikh Ahmed Al-Khalily Mufti Kesultanan Oman.

Perlantikan mereka dipersetujui oleh ulama dunia yang bersidang di Turki, semalam.

Sementara Presiden Sekretariat Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin dipilih salah seorang daripada 20 ahli jawatankuasa kesatuan itu.

Apa ulasan Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai Isis dan Gaza

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya di London. Sudah dua minggu lebih di sini. Cuti sabatikal yang kedua saya ini selama sembilan bulan lama. Tidak pasti lagi berapa lama di sini dan ke mana pula hendak hendak pergi. Kajian saya sedikit kaitan dengan isu-isu semasa hadis yang membabitkan pandangan Barat.

Jika tidak kaitan dengan Barat, mungkin elok saja saya ke negara Arab. Saya sudah pernah tinggal di Jordan selama 5 tahun.

Di Barat ini jika campur tolak, tidak sampai 2 tahun pun. Kali ini mungkin mencukupkannya.
Awal saya bercadang hendak ke US sebab sudah dua kali saya di UK. Tapi mengenangkan kos yang agak tinggi ke sana, ditambah pula dengan isu-isu politik US di peringkat antarabangsa yang memualkan, saya tukar rancangan.

Apatah lagi, cuti sabatikal kedua ini, USM tidak biayai kos ke luar negara. Semua tanggung sendiri. Pada awalnya saya fikir macam tidak mampu, Alhamdulillah dengan doa maka Allah berikan sedikit rezeki daripada pelbagai sumber. Salah satunya royalti buku “Aku Ingin Kembara Lagi” yang diterbitkan beberapa bulan lalu. Cukup untuk kembara seorang diri dengan kehidupan yang serba sederhana.

Isis
Semasa artikel ini ditulis, isu jornalis US James Foley yang disembelih oleh Isis di Iraq menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di sini. Apatah lagi apabila lelaki bertopeng yang menyembelih Foley dengan pisau itu bercakap dengan pelat British London.

Maka tajuk seperti “US journalist James Foley beheaded by Isis fighter with London accent” mengambil tempat bagi banyak akhbar dan berita TV dan internet. Warga Muslim British menjadi pembunuh yang sangat ganas atas nama Islam. Itulah mesej yang terlekat pada kepala ramai pembaca.

Saya tidak pasti apakah ‘game’ kali ini yang akan tempias kepada Muslim di UK ini dengan berita seperti itu. Jika kita lihat orang Islam memang ramai di UK ini khususnya London. Iklan pun ada yang gambar perempuan Muslimah bertudung. Pasti islamophobia akan meningkat lagi.

Hanya apa yang boleh kita tegaskan bahawa apa yang Isis buat pastinya bukan ajaran Islam. Kita juga hairan bagaimana Isis itu begitu kuat dengan segala senjata dan anggotanya. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?

Memotong kepada musuh untuk dipertontonkan kepada orang ramai bukan perbuatan yang diiktiraf oleh Islam. Apatah lagi membunuh mereka yang tidak terlibat di medan perang seperti wartawan. Ia sama sekali diharamkan oleh Syariat Islam yang mulia.

Tokoh besar tabi’i (murid para sahabat Nabi SAW) iaitu al-Zuhri menyatakan: “Tidak pernah dibawa kepada Rasulullah satu kepala pun, tidak sekalipun dalam Perang Badar. Pernah dibawa kepala kepada (Khalifah) Abu Bakar, beliau membantahnya”. (Sunan Said bin Mansur, al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani, Marasil Abi Daud dan Sunan al-Baihaqi).

Pada zaman dahulu, peperangan dan pembunuhan memang membabit pancung kepala. Semua pihak tanpa mengira agama. Pelbagai cara pembunuhan dilakukan dan pancung termasuk salah satu dari cara manusia membunuh. Kristian dalam sejarahnya sangat kejam, sering mambakar manusia hidup-hidup.

Sementara itu, Islam pula menjadikan pancung kepala sebagai cara hukuman bunuh dijalankan kerana ia paling pantas membunuh pesalah dan mengelakkan kesakitan. Apabila dengan pantasnya terputus badan dan kepala maka, tiada lagi nyawa. Bukan menyembelih manusia seperti yang Isis lakukan. Nabi bersabda: “Allah telah menetapkan simpati untuk setiap perkara. Apabila membunuh maka elokkanlah cara pembunuhan”. ( Riwayat Muslim)

Disebut Perang Badar dalam kenyataan al-Zuhri tadi disebabkan perang tersebut membabitkan ramai musuh utama umat Islam termasuk Abu Jahal yang sangat zalim yang telah menyeksa dan membunuh dengan kejamnya ramai pengikut Nabi. Dalam Perang Badar Abu Jahal dibunuh. Pun begitu tidak dibawa kepalanya kepada Nabi SAW.

Cerita kepala al-Aswad al-‘Ansi yang dibawa kepada Nabi SAW juga satu kekeliruan kerana al-Aswad itu dibunuh pada tahun ke sebelas Hijrah, di masa Nabi SAW telah pun wafat. (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir jld 4 ms 287. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

Ketika dibawa kepala musuh iaitu Yannaq yang menjadi ketua di pihak Rome kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, beliau membantah. Lalu mereka berkata: “Wahai Khalifah! mereka itu melakukan yang sama kepada kita”. Jawab Khalifah Abu Bakar: “Apakah kamu jadikan Parsi dan Rome sebagai contoh teladan?!! Jangan bawa kepadaku kepala, cukuplah sekadar surat dan berita”. (Riwayat Said bin Mansur).

Abu Bakar as-Siddiq membantah perbuatan seperti itu sekalipun pada zaman tersebut yang manusia memang membunuh dengan demikian cara. Bahkan Abu Bakar tidak benarkan umat Islam meniru teladan buruk musuh sekalipun mereka berbuat demikian pada umat Islam.

Perbuatan Isis di samping tidak menyanggahi Islam, ia hanya menimbulkan fitnah terhadap umat Islam terutama di zaman ini. Pasti, tiada siapa yang waras menyukai apa yang dibuat oleh Isis.

Gaza
Presiden Obama ketika mengulas apa yang Isis lakukan terhadap James Foley menyebut: “No just God would stand for what they did”. Kita memang membantah apa yang Isis buat cuma kita mesti bertanya adakah di sana tuhan yang adil yang akan mempertahankan apa yang Israel telah dan sedang lakukan terhadap rakyat Gaza?!!

Ribuan kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat yang dibunuh dengan kejam oleh senjata Israel setiap hari. Hampir setengah juta kehilangan tempat tinggal. Sekolah, hospital, rumah dan segalanya di bom saban hari.

Bukan seorang wartawan, tapi ratusan ribu menjadi mangsa yang tidak berdosa. Bukan mereka pergi melapor berita yang mungkin sebahagiannya propaganda untuk media yang berat sebelah, tetapi mereka berada di rumah mereka sendiri.

Tapi Amerikalah mempertahankan dan membekalkan senjata untuk Israel. Kenapa Obama tidak menyebut ‘no just God would stand for what Israel did’ ?!! Sebaliknya, beliaulah ‘the demon behind the mask’.

Di saat kota-kota Eropah bangkit melakukan demonstrasi membantah Israel atas kekejaman mereka terhadap Palestin, berita Isis menyembelih dijelmakan menjadi tajuk utama keseluruhan media di Barat. Rakyat Barat yang mempunyai kesedaran tentang hak-hak kemanusiaan kali ini dengan perkembangan media sosial mula nampak kejahatan zionist.

Anti-semitism yang merujuk kepada Yahudi yang lama dipendamkan, mula bangkit semula di Eropah. Namun dengan isu terbaru ini maka mereka semacam mendapat modal untuk mengalih pandangan umum terhadap Israel.

Mereka seakan menyuruh rakyat melupakan kekejaman terhadap ratusan ribu manusia, berikan perhatian terhadap seorang wartawan yang disembelih oleh Isis. Padahal Isis sebelum ini menyembelih begitu banyak rakyat di Iraq. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?

Islam tidak pernah meredhai kezaliman terhadap umatnya, juga terhadap orang lain. Sifat rahmat Islam itu merangkumi setiap kehidupan termasuk setiap juzuk alam ini. Namun semua menjadi keliru. Atas keadaan yang tidak adil dan kejam terhadap masyarakat yang lemah maka ramai muslim yang keliru antara ajaran agamanya dan emosinya yang memberontak.
-malaysianinsider-

Isu ladang babi di Selangor, salah siapa sebenarnya?

ridhuan teePenolong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor, Mohammad Firdaus Babh menganggap dakwaan Ridhuan itu sebagai “jelas melakukan tohmahan dan berniat jahat terhadap DAP”.
PETALING JAYA: Nama kolumnis terkenal, Ridhuan Tee kini mula menjadi sebutan semula apabila beliau mengaitkan kemarahan puak tertentu di kalangan parti pembangkang terhadap pentadbiran Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan sebuah projek penternakan babi bernilai RM100 juta.


Ridhuan mendakwa, usaha menyingkirkan MB Khalid mempunyai kaitan dengan cadangan DAP untuk melaksanakan projek penternakan babi bersepadu bernilai RM100 juta di negeri itu.


“Saya bimbang, jika projek ini dibenarkan, Selangor akan dikenali sebagai darul babi. Terlalu banyak ladang babi di Selangor, selain Seberang Prai, Perak, Melaka dan Johor, yang telah menimbulkan ketidakselesaan penduduk, terutamanya berhampiran kawasan orang Islam,” katanya.


Tindakan Khalid yang masih belum melaksanakan projek bersepadu itu menjadi faktor utama kemarahan daripada pihak yang digelarnya “ultra kiasu”.


“Ultra kiasu sudah tidak kenal halal haram. Misalnya, projek penternakan babi bersepadu, bernilai RM100 juta yang masih belum dilaksanakan, juga antara faktor utama mereka begitu marah kepada Khalid.


“Itu tidak termasuk lagi dengan kesan daripada perlaksaan projek iaitu virus nipah (JE) yang pernah mengorbankan nyawa manusia di negara ini,” katanya.


Mengulas krisis pentadbiran semasa Selangor, Ridhuan juga berkata, beliau bersetuju dengan hujah Khalid bahawa kerajaan negeri boleh terus ditadbir walaupun hanya dengan empat Exco PAS.


Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor, Mohammad Firdaus Babh menganggap dakwaan Ridhuan itu sebagai “jelas melakukan tohmahan dan berniat jahat terhadap DAP”.


“Kenyataan ini tidak menggambarkan pemikiran seorang doktor (falsafah) yang bertaraf profesor,” kata Firdaus.


Sebelum ini, Pengerusi Biro Pertanian Tradisional MCA, Datuk Dr.Lee Chong Meng, pernah mengeluarkan kenyataan bahawa rancangan asal pemusatan penternakan babi di Selangor dicadangkan oleh syarikat milik Bumiputera menggunakan teknologi Jerman dan dibiayai dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


“Adun Tanjung Sepat, Datuk Karim Mansor yang mengkritik projek pemusatan ternakan babi itu ialah individu di sebalik salah sebuah syarikat Bumiputera yang terlibat,” kata Dr.Lee.


Malah tambah Dr.Lee, kerajaan BN negeri di bawah teraju Dr.Mohamad Khir Toyo pernah menghantar delegasi ke Jerman bagi mengadakan lawatan sambil belajar untuk menilai teknologi yang digunakan dalam penternakan babi.

-freemalaysiatoday-

Kecohla pulak, Dah lapan tahun Awie kahwin dengan Rozana Misbun tapi tak daftar

Rozana (tengah) bersama peguamnya iaitu Rubiah Jaffar (kiri) dan Majdah Muda.
Rozana Misbun membuat pendedahan pernikahannya dengan Awie (Wings) selama lapan tahun di Thailand, rupa-rupanya masih belum didaftarkan di Malaysia
KUALA LUMPUR: Isteri kepada penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun hanya menyedari perkahwinannya selama ini yang telah mencecah lapan tahun tidak pernah didaftarkan di negara ini selepas dia merujuk masalah rumah tangganya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kira-kira dua bulan lalu.

Rozana, 36, berkata, suaminya pernah memberitahu kepadanya sebelum ini perkahwinan mereka di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 telah didaftarkan dan dia terkejut apabila diberitahu tiada sebarang rekod perkahwinan mereka berhubung perkara itu.

"Selepas tragedi 2 Jun lalu saya pergi ke Jawi dengan niat untuk mendapatkan khidmat kaunseling berhubung masalah rumah tangga kami dan apabila mereka semak surat perkahwinan kami di setiap negeri, ia tiada dalam rekod.

"Pada ketika itulah baharu saya mengetahui perkahwinan kami masih belum didaftarkan sepanjang sembilan tahun berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Rozana ditemui pada satu sidang media khas yang diadakan di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat. Dia turut ditemani oleh dua peguamnya iaitu Majdah Muda dan Rubiah Jaffar.

Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu Rozana berkata, sejak kejadian tersebut Awie tidak pernah menghubunginya untuk bercakap mengenai soal perkahwinan atau perceraian sebaliknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak mereka.

Jelas Rozana, dia keliru dengan tindakan suaminya itu sedangkan status perkahwinan mereka tidak dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan.

"Kami belum pun bercerai dan dia sudah sibuk dengan soal hak penjagaan anak-anak kami sedangkan status perkahwinan pun belum disahkan dan didaftarkan di Malaysia.

"Saya sendiri tidak merebut anak-anak dengan dia tetapi dia yang membuat permohonan malah aduan yang saya lakukan sebelum ini langsung tidak melibatkan mahkamah syariah," jelasnya.

Sementara itu, Rozana berkata, dia akan mempertahankan haknya sebagai seorang ibu terhadap tiga anak-anaknya yang kini di bawah jagaan sementara suaminya.

Jelas Rozana, demi kembali bersatu dengan anak-anaknya dia tidak akan berdiam diri dan akan memastikan haknya sebagai seorang isteri dan ibu terbela di mahkamah.

"Saya akui sebelum ini saya takut dan trauma dengan dia tetapi kini tidak lagi kerana saya akan melawan kembali untuk mendapatkan hak saya selepas dua bulan tidak bertemu dengan anak-anak.

Mengulas mengenai pelbagai cerita kurang enak yang disebarkan tentang dirinya, Rozana berkata, dia tidak mempunyai hak untuk menghalang sesiapa sahaja yang ingin bercakap mengenainya kerana hanya dia dan keluarga sahaja yang tahu keadaan sebenar.

"Tidak mengapa jika ada pihak yang ingin memburuk-burukkan saya dan kalau hendak balas setiap tuduhan itu memang susah dan Awie sendiri tahu bagaimana hubungan saya dengan anak-anak dan saya sememangnya tidak pernah meninggalkan mereka.

"Apa yang boleh saya katakan sekiranya seseorang tidak tahu situasi dan keadaan sebenar lebih baik jangan beri pendapat atau komen kerana hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu cerita sebenar," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, peguam syarie Rozana, Majdah Muda, berkata, pihaknya akan menfailkan jawapan permohonan bantahan awal bagi mengetepikan perintah hak penjagaan (hadanah) sementara yang difailkan oleh Awie 21 Julai lalu.

Jelas Majdah, pada 17 September baharulah mahkamah akan meminta kedua-dua belah pihak memberi hujahan dan kemudiannya membuat keputusan terhadap perkara itu.

Awie turut mengemukakan bantahan terhadap permohonan Rozana untuk membatalkan permohonan injunksi yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) olehnya pada 16 Julai lalu untuk menghalang wanita itu daripada mendekati atau menghubunginya dan anak-anak mereka dalam apa jua cara sekalipun.

Pada 22 Julai lalu Awie berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.
-mstar-

Kesian!! lelaki pemilik akaun twitter ini bangga isytihar dirinya murtad

Mohd Fadly Samsudin
Kuala Lumpur: Ruang maya hangat apabila seorang lelaki yang menggunakan nama samaran, Orkid Anggerik di dalam akaun Twitter miliknya mengisytiharkan dirinya murtad.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu dengan penuh bangga membuat beberapa status mengakui secara terang-terangan tidak lagi mengamalkan ajaran Islam kerana tidak mempercayainya.

Perkara itu membuatkan ramai pengguna Twitter menyelar perlakuannya dan ada juga yang menyatakan simpati terhadap nasibnya yang jauh tersasar daripada Islam selain mendoakan dia kembali ke pangkal jalan.

Bagaimanapun, akaun Twitter lelaki berkenaan sudah ditutup dan segala kandungan yang dimuat naik sebelum ini tidak boleh lagi diakses sejak kelmarin.
Foto
ANTARA status dimuat naik seorang lelaki di laman Twitter mengenai pengakuan keluar daripada Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sebagai seorang Islam setiap individu wajib bertanggungjawab ke atas apa sahaja yang mereka lakukan termasuk perkataan dan tulisan.

“Ada beberapa perkara yang tidak boleh dibuat sebagai gurauan iaitu dalam masalah nikah, talak dan memerdekakan hamba.
-hmetro-

(Gambar) Kongres Wanita PKR dan AMK tidak dapat sambutan, Fikir-fikir sendirilah

Zuraida KamaruddinSHAH ALAM: Persidangan Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR yang berlangsung pagi ini di sini tidak mendapat sambutan apabila hanya sebahagian tempat disediakan yang dipenuhi perwakilan.
Ketua Wanitanya, Zuraidah Kamaruddin dalam ucapannya menyifatkan masih ramai lagi perwakilannya yang sesat di dalam Stadium Malawati.

"Wanita diberi ruang yang besar di sini.
Zuraidah nafi kongres tidak dapat sambutan
"Saya difahamkan ramai yang masih sesat dalam stadium ini. Kena cepat-cepat ya penuhi kerusi yang ada," katanya ketika memberi ucapan, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan perhatian Sinar Harian Online, setakat jam 9.45 pagi hanya sebahagian kerusi yang disediakan penganjur dipenuhi perwakilan.

Mengikut tentatif program yang disediakan kepada media, pendaftaran perwakilan telah bermula sejak 7 pagi tadi sehingga 9 pagi.

Kemudian diikuti ucapan Ketua Wanita Keadilan dan ucapan perasmian Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar.
-sinarharian-

Yang ini gambar dari Kongres Angkatan Muda Keadilan pula. Fikir-fikir sendirilah

Ini dia calon untuk PRK Dun Pengkalan Kubor?

Calonkan Kamarudin Jaffar untuk PRK Dun Pengkalan Kubor
Hadi al-Majwi
Pakatan Rakyat (PR) wajar mengambil kesempatan sempena Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Pengkalan Kubor untuk mengukuhkan kerjasama politik di antara PAS, Keadilan dan DAP.PRK kali ini juga penting buat Menteri Besar (MB) Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob atas dua sebab.
Pertama, ini adalah PRK pertama di Kelantan setelah beliau menjadi MB menggantikan Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kedua, Dun Pengkalan Kubor sendiri berjiran dengan Dun MB iaitu Pasir Pekan.
Kedua-duanya terletak di bawah parlimen Tumpat yang diketuai MB selaku Yang Dipertua PAS Tumpat.

Sejauh manakah pengaruh MB baru ini dapat membantu PR untuk memenangi semula Dun Pengkalan Kubor?

Umum mengetahui yang Kelantan dilanda "krisis yang tak nampak" berikutan gaya pentadbiran MB baru yang dilihat tidak menawarkan apa-apa yang menarik untuk rakyat, di samping isu kedudukan Datuk Husam Musa yang menjadi duri dalam daging bagi PAS Kelantan.

Dun Pengkalan Kubor itu sendiri merupakan satu Dun yang menarik.

Pemenangnya bersilih ganti antara PAS, Umno, Berjasa dan Semangat 46 sehinggalah pada tahun Pilihanraya Umum (PRU) 2008 PAS menyerahkan kerusi ini kepada Keadilan untuk ditandingi.

Tetapi Dun ini gagal dimenangi Keadilan pada PRU 2008 (tewas majoriti 100 undi) dan Keadilan tewas lagi dengan majoriti yang lebih besar pada PRU 2013 (tewas majoriti 1,736 undi).

PRK kali ini akan menyaksikan adakah PAS masih budiman untuk terus menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada Keadilan untuk ditandingi atau PAS mahu mencuba nasib meletakkan calonnya di situ.

Sementelah Keadilan juga tidak pernah menang di situ, maka tidak salah bagi PAS untuk kembali berpencak setelah kali terakhir menang di Pengkalan Kubor pada PRU 1999.

Siapa pun calon PR bagi Dun Pengkalan Kubor, calon itu mestilah winnable yakni boleh menang.

Penulis tidak dapat melihat calon lain yang boleh mengisi ciri-ciri boleh menang ini melainkan Ahli Parlimen Tumpat selama empat penggal iaitu Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin terbukti sangat popular dan sudah 'menjejak kaki' di parlimen Tumpat sejak PRU 1995.

Selaku calon Barisan Nasional (BN), beliau tewas tipis di tangan Allahyarham Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood.

Namun begitu, setelah menyertai PAS pada tahun 1999, beliau diberi kepercayaan PAS untuk bertanding di parlimen Tumpat dan menang dengan majoriti besar iaitu 10,442 undi.

Apabila kerajaan negeri pimpinan PAS dilandai badai pada PRU 2004, beliau tetap kekal menang (walaupun majoriti kurang menjadi 1,820 undi) dan menjadi salah seorang daripada enam ahli parlimen PAS yang terselamat pada penggal itu.

Beliau menang lagi pada PRU 2008 dengan majoriti hampir 10 ribu undi dan mengulangi lagi kejayaan yang sama pada PRU 13 apabila menang dengan majoriti 10,624.

Dalam keadaan PAS tidak mempunyai apa-apa tawaran 'duniawi' yang menarik untuk diberi kepada rakyat Pengkalan Kubor, ditambah pula dengan lambakan projek mi segera dan kempen agresif yang akan datang dari segenap jentera kerajaan pusat, Pengkalan Kubor bukanlah medan yang sesuai untuk PAS bereksperimen meletakkan muka baru sebagai calon.

Persepsi dingin terhadap kerajaan negeri dan kempen agresif BN perlu dineutralkan dengan populariti Kamarudin, itu pun jika rakyat masih tidak terpengaruh dengan sogokan BN.

Kita percaya jika PAS ingin meletakkan Kamarudin sebagai calon PR di Pengkalan Kubor, Keadilan akan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Bukan lagi satu rahsia di Kelantan kebanyakan calon Keadilan di Kelantan pun adalah calon import dari kalangan pimpinan dan penyokong PAS juga.

Tidak ada cacatnya jika Keadilan mengalah kali ini demi memastikan kejayaan bersama untuk PR.

Kejayaan PAS merampas Pengkalan Kubor adalah penting untuk mengukuhkan mandat kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Yakob.

Jika Pesuruhjaya PAS Kelantan gagal untuk menawan kerusi Dun di dalam kawasan yang beliau sendiri menjadi Yang Di Pertuanya, implikasinya amatlah serius dan PAS Kelantan wajar bermuhasabah menyemak kembali gaya pentadbiran mereka di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Siapa yang mulakan krisis Selangor?

Nathaniel Tan
Saya mempunyai satu soalan yang mudah. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng masih memuji Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini, adakah anda fikir orang ramai akan mempunyai keraguan tentang integriti menteri besar ini?

Soalan ini membuatkan saya berfikir tentang sama ada kita membentuk pendapat kita secara bebas, atau sama ada kita membentuknya dengan tujuan mewajarkan kedudukan bos, wira atau orang yang kita kebetulan gemari.

Tidak dinafikan ada yang akan rasa saya jatuh ke dalam kategori kedua, dan itu adalah nyata hak mereka.
Bagaimanapun perasaan saya adalah Pakatan Rakyat menyedari adanya kerosakan yang serius berikutan krisis Selangor, dan mengambil jalan yang lebih mudah dengan memesongkan sasaran ke arah seorang yang menjadi sasaran kempen memburuk-burukkan besar-besaran – mungkin juga kerana beliau bukan jenis yang melawan.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming adalah seorang kenalan lama dan seorang yang bijaksana. Pada hari Isnin, beliau menulis sebuah artikel dalam The Star yang bertanyakan kepada Khalid: Adakah ianya berbaloi?

Saya rasa adalah berbaloi buat Khalid untuk berpegang kepada prinsip-prinsip beliau. Kita akan meneroka sebabnya di dalam rencana ini.

Perenggan ketiga rencana Ong menanyakan beberapa soalan marah, pada dasarnya membayangkan bahawa Khalid merupakan punca keseluruhan krisis ini. Kesimpulan soalan-soalan ini: Berbaloikah untuk hampir memecahbelahkan Pakatan?

Saya dapati ini sedikit lucu, memandangkan saya pada dasarnya bertanya soalan yang sama terhadap Anwar. Dalam penilaian saya yang tidak seberapa, Anwar yang sanggup mengorbankan Pakatan untuk menjadikan isterinya Menteri Besar Selangor.

Sama ada Anwar berhak atau tidak untuk meneruskan jalan ini, saya kira bergantung kepada sama ada anda berfikir yang Khalid adalah korup ataupun tidak.

Seperti yang saya telah tulis sebelum ini panjang lebar, terdapat dua kemungkinan. Sama ada Anwar mencipta kempen untuk menjatuhkan Khalid kerana kontroversi berkaitan Khalid, atau Anwar mencipta kontroversi berkenaan Khalid kerana beliau mahu menjatuhkan Khalid, dan menggantikannya dengan Menteri Besar yang lebih menurut perintah.

Ong menunjuk kepada dua kes secara khususnya: perjanjian air, dan kes Bank Islam. Saya telah menulis mengenai kes-kes ini dan banyak lagi, dan cuba yang terbaik untuk tidak menjadi radio buruk, tetapi bagi menghormati artikelnya, saya akan merumuskan beberapa perkara.

Khalid percaya bahawa ada nilai yang adil untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor. Anwar dan Rafizi Ramli seolah-olah bersimpati dengan penyokong lama mereka, Wan Azmi Wan Hamzah dan pandangannya bahawa syarikat konsesi air beliau, SPLASH memiliki nilai 10 kali ganda lebih tinggi dari apa yang Khalid percaya.

Saya telah berkata bahawa jika Anwar boleh berjanji bahawa MB baru Selangor tidak akan membayar lebih dari RM250 juta untuk membeli SPLASH, ini akan membuktikan bahawa motivasi mereka untuk menggantikan Khalid adalah optimis.

Sudah tentu, baik Anwar mahupun mana-mana penyokong beliau tidak dapat berjanji sebegini, atau menjawab apa-apa soalan sekitar isu ini. Semua orang dengan sengaja tidak menghiraukannya

Saya percaya Khalid merasa bertanggungjawab kepada rakyat Selangor. Kewajipan itu termasuk menghalang kroni dari menjarah wang negeri. Untuk menetapkan harga pembelian yang adil bagi syarikat konsesi air, Khalid menandatangani perjanjian dengan kerajaan persekutuan.

Jika sesiapa sahaja boleh membuktikan secara meyakinkan bahawa Khalid telah mendapat faedah peribadi yang tidak beretika daripada perjanjian ini, saya akan menjadi orang pertama yang berhenti menyokong Khalid.

Strategi mereka menuduh Khalid rasuah adalah serupa dengan seseorang menuduh saya dengan berkata: "Awak telah berlaku curang kepada teman wanita anda! Kini buktikan bahawa anda tidak melakukannya!"

Bagaimana saya boleh buktikan bahawa saya tidak curang? Bukankah penuduh yang bertanggungjawab untuk membuktikan tuduhan ini? Adakah saya perlu menyediakan butiran mengenai setiap pergerakan harian dalam hidup saya, untuk membuktikan yang dakwaan tersebut tidak benar?

Prinsip yang sama terpakai dalam kes Bank Islam. Pengkritik Khalid mengabaikan keperluan untuk mengemukakan bukti kukuh, dan bergantung kepada tanggapan bahawa jika anda memalit lumpur dengan mencukupi, sesetengah orang akan percaya bahawa sebahagian daripadanya akan melekat.

Ong menulis bahawa beliau merasakan sebegini dan perjanjian air merupakan sebab yang cukup untuk mempersoalkan kesetiaan TSKI.

Sudah tentu kita semua bebas untuk mempersoalkan kesetiaan satu sama lain. Bagaimanapun perhatikan, perbezaan antara mempersoalkan kesetiaan dan merelakan sikap tidak acuh PKR terhadap prinsip keadilan asasi, dan tindakan mereka menjadi hakim, juri dan algojo.

Sebab-sebab untuk memecat Khalid kerap berubah-ubah, dan sering kali tidak masuk akal. Hakikat bahawa penyelesaian Bank Islam hanya dimuktamadkan pada bulan Julai 2014, bukannya Feb 2014 tidak membantu kes Ong atau meningkatkan keyakinan terhadap pembacaannya terhadap dokumen-dokumen undang-undang itu.

Bagaimanapun kita semua menyedari bahawa Serampang Kajang dilancarkan pada Januari 2014, dan sebelum pemuktamadan perjanjian air atau penyelesaian kes Bank Islam.

Jadi sekali lagi, adakah Anwar membuat promosi untuk menjatuhkan Khalid kerana kontroversi berkaitan Khalid, atau adakah Anwar dan gengnya mencipta kontroversi terhadap Khalid kerana beliau mahu menjatuhkan Khalid?

Kisah ini nampaknya akan berakhir, dan peranan Khalid dalam apa yang akan berlaku semakin kecil. Saya dahulunya dengan naif berharap Pakatan akan memberi tumpuan kepada masa depan dan masalah dalaman mereka sendiri, tetapi ia seolah-olah lebih mudah bagi mereka menjadikan Khalid kambing hitam untuk semua krisis mereka.

Masa akan menentukan siapa yang betul. Selepas penggal beliau sebagai MB berakhir, kita akan mempunyai banyak masa untuk membuat penilaian penuh kerja Khalid, yang baik dan yang buruk.

Dalam pada itu, sehingga tuduhan terhadap beliau dapat menjadi lebih daripada percubaan lemah memanipulasi keterangan mengikut keadaan, Serampang Kajang mungkin tiada kaitan dengan Khalid, dan segala-galanya dilakukan untuk membuat dana Selangor mengalir dengan lebih bebas.

Adakah berbaloi bagi Khalid untuk mengambil pendirian beliau itu? Saya hanya boleh menjawab untuk diri sendiri, dan jawapan saya adalah ya. Ia adalah berbaloi kerana satu hari nanti, Malaysia akan dapat menunjukkan sekurang-kurangnya seorang lelaki dan berkata: ada seorang negarawan yang melakukan tindakan yang benar, dan bukannya apa yang mudah.

NATHANIEL TAN gembira kerana sudah melihat cahaya di penghujung jalan. Beliau menulis tweet di @NatAsasi.

Padan muka, dah menggatal sangat

Norfaisal Jahuri
Melaka: “Ummi tolong adik ummi...adik dah tak tahan duduk sini. Nak makan pun susah sampai kena kerja di sawah setiap hari,” rayu Suliza Kassim, 18, ketika menghubungi ibunya, Azizah Ahmad, 49, petang, kelmarin selepas dua bulan terkandas di Jambi, Sumatera, Indonesia, kerana mengikut kekasihnya pulang ke negara asalnya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu kini terkandas di kampung kekasihnya selepas dibawa pulang lelaki terbabit dikenali sebagai Laili Iskandar 30-an yang membawa Suliza masuk secara haram ke negara itu pada Jun lalu.

Azizah kini tidak mengetahui bagaimana nasib anak gadisnya selepas mendakwa Suliza sudah bernikah dengan lelaki terbabit dan kini hamil serta bekerja keras untuk menyara kehidupan hariannya.

Tertekan dengan nasib menimpanya, ibu tunggal yang menghidap tiroid dan penyakit jantung kini dirawat di Hospital Melaka selepas menerima panggilan anaknya merayu membantunya pulang.
Foto
KANDUNGAN SMS yang diterima mendakwa Suliza mahu berkahwin dengan Laili.

Menurut Azizah, dia amat risau mengenangkan nasib anaknya yang memberitahu terpaksa bekerja di bendang terlebih dulu sebelum boleh makan, sedangkan anaknya itu tidak pernah melakukan kerja berat walaupun dibesarkan di Felda.
-hmetro-

*Dah banyak kes perempuan melayu ikut jantan asing lepas tu mengadu hidup susah, kena aniaya, kena tipu duit habis beribu dan macam2 lagi tapi tak serik dan mahu ambil pengajaran.

Berikut adalah senarai nama 20 jenazah yang dibawa balik esok

SEPANG: Kerajaan hari ini mengeluarkan senarai nama 20 jenazah mangsa tragedi MH17 warga Malaysia yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL untuk istiadat penghormatan esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kumpulan pertama jenazah yang akan dibawa pulang dari Amsterdam itu melibatkan 11 orang beragama Islam dan sembilan orang bukan Islam.

Jumlah itu melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal, katanya.

Anak kapal ialah Mastura Mustafa (P), Ahmad Hakimi Hanapi (L), Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P), Nur Shazana Mohamed Salleh (P), Dora Shahila Kassim (P), Lee Hui Pin (P), Angeline Premila Rajandaran (P), Chong Yee Pheng (P) dan Azrina Yakob (P).

Penumpang pula ialah Foo Ming Lee (L), Karamjit Singh Karnail Singh (L), Ng Qing Zheng (L), Mabel Anthony Samy (P), Paul Rajasingam Sivagnanam (L), Elisabeth Ng Lyeti (P), Ariza Ghazalee (P), Muhammad Afif Tambi (L), Noor Rahimmah Mohd Nor (P), Mohd Ali Md Salim (L) dan Hasni Hardi Parlan (L).

"Daripada 20 jenazah itu, 17 akan diterima dalam keranda manakala tiga lagi mangsa dibawa dalam bekas abu iaitu Elizabeth Ng, Lee Hui Pin dan Angeline Premilla," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini, Khamis.

Sidang media bersama itu disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Hishammuddin berkata 13 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah manakala tujuh lagi akan diterbangkan ke negeri masing-masing menggunakan pesawat C-130 dan helikopter EC725 milik Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata lima jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (dua jenazah) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (tiga jenazah) manakala dua lagi jenazah diterbangkan menggunakan helikopter EC725 ke Pagoh dan Segamat, Johor.

Hishammuddin berkata lapan lagi jenazah warga Malaysia sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Kami sedang berusaha untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada Ahad ini," katanya.

Sementara itu, Liow berkata dua lagi mangsa warga Malaysia dalam tragedi pesawat MH17 telah dikenal pasti semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 30.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Hishammuddin berkata 13 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah manakala tujuh lagi akan diterbangkan ke negeri masing-masing menggunakan pesawat C130 dan helikopter EC725 milik Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata lima jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat C130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (dua jenazah) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (tiga jenazah) manakala dua lagi jenazah diterbangkan menggunakan helikopter EC 725 ke Pagoh dan Segamat, Johor.

Hishammuddin berkata lapan lagi jenazah warga Malaysia sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Kami sedang berusaha untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada Ahad ini," katanya.

Sementara itu, Liow berkata dua lagi mangsa warga Malaysia dalam tragedi pesawat MH17 telah dikenal pasti semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 30.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu. 
-Bernama-

Terkini Gaza: Tiada lagi rundingan dengan Israel - Al-Qassam

GAZA, 21 Ogos: Sayap tentera kerajaan Hamas Briged Izzuddin Al-Qassam telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi lewat malam tadi dalam suasana peperangan Al-’Asful Ma’kul (Dedaun hancur dimakan ulat) yang masuk hari ke-45.

Kenyataan bertarikh 20 Ogos yang disiarkan di laman web rasmi Al-Qassam itu mengandungi kata-kata ancaman terhadap Israel yang menyifatkan Israel telah berterusan dalam posisi orang yang kalah dan gagal dalam peperangan.

Mengulas mengenai serangan beberapa roket Israel ke atas rumah keluarga Al-Daloo di Kampung Syeikh Redwan yang mengorbankan isteri dan anak Ketua Tertinggi Al-Qassam Muhammad Deif, Al-Qassam berkata bahawa Muhammad Deif masih lagi hidup dan sedang menyaksikan kehancuran Israel serta akan memimpin tentera Al-Qassam membebaskan Masjid Al-Aqsa.

Berhubung sesi rundingan yang dijalankan di Kaherah, Al-Qassam menyifatkannya sebagai ‘tarian iblis Ifrit’ yang tidak akan menghasilkan keputusan yang baik untuk Gaza.

Katanya, Hamas telah menjelaskan syarat yang mereka mahukan semenjak awal, namun ia tidak dituruti malah gencatan senjata telah dilanggar oleh Israel.

Oleh itu, Al-Qassam meminta kumpulan perunding Palestin agar keluar dari meja rundingan dan tidak perlu kembali semula jika diajak berunding pada masa akan datang.

Sebanyak lima arahan dikeluarkan antaranya memberi amaran kepada syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa agar menghentikan penerbangan masuk atau keluar dari Lapangan Terbang Ben Gurion bermula jam 6 pagi waktu Gaza bersamaan 12 tengahari waktu Malaysia 21 Ogos 2014.

Al-Qassam melarang penduduk Israel berada di kawasan-kawasan lapang seperti padang bola manakala penduduk Gaza pula dilarang kembali ke rumah mereka dan perlu berada di pusat-pusat perlindungan pelarian dan tempat-tempat yang selamat.

Rakyat Gaza juga diminta mengikuti arahan dari semasa ke semasa oleh Al-Qassam dan tidak mempercayai janji pemimpin musuh yang tidak bertanggungjawab.

Kenyataan itu juga meminta Israel dan masyarakat dunia memahami apa yang diingini oleh rakyat Gaza, iaitu pembebasan mutlak Gaza daripada penjajahan Israel.-ismaweb

Jika Wan Azizah ditolak, jawatan MB diserah kepada PAS?

Tranungkite
Ni dah jadi macam apa yang utara kata "Kalau aku tak dapat! Biaq hangpa pun tak dapat!".. busuk perut tak kena tempat punya ayat tu..

PKR tetap kekal dengan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Menteri Besar Selangor walaupun berdepan kemungkinan Sultan Selangor menolak pencalonan presiden parti itu sekaligus memberi laluan pilihan raya negeri diadakan.

Pendirian tersebut dinyatakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berkata keputusan sudah dicapai dan hanya nama Dr Wan Azizah dihantar kepada istana.

Selain nampak terdesak.. kenyataannya itu jelas menunjukkan bahawa beliau tidak memberikan pilihan langsung malah lebih bersifat memaksa Sultan Selangor supaya menerima Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar.

Seolah-olah beliau menganggap Sultan itu adalah seorang ahli PKR yang boleh diarahkannya supaya mengikut kehendak parti sedangkan untuk memilih dan melantik itu adalah hak Sultan.

Malah sanggup berhadapan dengan pilihanraya meskipun ramai yang sudah sedia maklum jika diadakan pilihan raya negeri risiko PR Selangor untuk kehilangan majoriti lebih dari 2/3 adalah tinggi.

Rasanya adalah lebih baik jawatan Menteri Besar itu diserahkan kepada PAS jika PKR benar-benar tiada nama lain yang layak untuk dikemukakan kepada Sultan...

Tapi mana mungkin tak ada ADUN-ADUN lain yang layak dijadikan sebagai MB tu.. kalau dikatakan mereka tak layak kenapa pulak mereka dicalonkan sebagai ADUN?

Ini lebih baik dari dibazirkan beratus juta RM untuk diadakan Pilihanraya Negeri yang akibatnya akan menyebabkan beberapa ADUN yang ada kehilangan jawatan.

Dan yang lebih penting ianya menunjukkan kepada seluruh rakyat Selangor dan Malaysia amnya bahawa PKR bukanlah gila sangat dengan jawatan MB itu..

Lagipun.. kita kan berjuang demi rakyat.. jadi jangan menyusahkan rakyat dengan memaksa mereka keluar mengundi sekali lagi hanya kerana PKR tak dapat jawatan MB itu.. golongan atas pagar dah meluat tu Bro...

Tunggulah Sultan balik dulu Saifuddin.. jangan bagi nampak gelojoh sangat...

Laporan berkaitan...
PKR tetap kekal dengan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Menteri Besar Selangor walaupun walaupun berdepan kemungkinan Sultan Selangor menolak pencalonan presiden parti itu sekaligus memberi laluan pilihan raya negeri diadakan.

Pendirian tersebut dinyatakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berkata keputusan sudah dicapai dan hanya nama Dr Wan Azizah dihantar kepada istana.

"Kita tidak bincang langsung mengenai perkara itu," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider apabila ditanya mengenai langkah seterusnya jika Sultan menolak presiden PKR tersebut.

Saifuddin berkata mereka menanti maklum balas daripada pihak istana selepas nama Dr Wan Azizah dihantar sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kita cuma tunggu sahaja maklum balas daripada Tuanku," katanya.

Mengenai kemungkinan Dr Wan Azizah ditolak, Saifuddin berkata langkah susulan belum diputuskan kepimpinan ketika ini.

"Ia masih belum berlaku dan belum bincang," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata mereka akan melalui proses mengikut perlembagaan dan undang-undang dalam usaha menggantikan Khalid.

"Kita akan guna proses perlembagaan dan undang-undang. Prosesnya adalah dengan menghantar nama terlebih dahulu dan dalam isu ini, majoriti sokongan kepada Dr Wan Azizah adalah jelas," kata Rafizi,

Rafizi juga tidak memberitahu mengenai langkah seterusnya jika Sultan Selangor menolak Dr Wan Azizah, sambil berkata tidak mahu membuat "spekulasi".

"Tidak apa, kita guna dahulu proses Perlembagaan. Buat ketika ini, kita tidak mahu berspekulasi," katanya.

Awal hari ini, The Malaysian Insider memetik pakar perundangan sebagai tidak menolak Sultan Selangor masih boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan semula.

Peguam Abdul Shukor Ahmad berkata merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan pada 2010 melibatkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Zambry Abdul Kader, sultan mempunyai pilihan mengarahkan peletakan jawatan MB kerana hilang sokongan majoriti ahli DUN.

Shukor berkata Sultan juga boleh memanggil sidang tergempar dan mengarahkan MB menguji sokongan di DUN.

"Sekiranya menteri besar hilang sokongan undi, beliau perlu meletakkan jawatan. Sultan juga boleh membubarkan DUN sekiranya Tuanku menerima saranan menteri besar," katanya kepada The Malaysian Insider.