"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki didakwa cabul rakan sel penjara

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my

MELAKA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, terhadap empat pertuduhan mencabul kehormatan rakan selnya, dua tahun lalu.

A Sitambarasan, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa berusia 24 tahun di bilik No 54, Blok Damai, Penjara Sungai Udang, pada 8,9,10 dan 12 Oktober 2022 antara jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh berada dalam reman bagi perbicaraan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi.

Ahli Parlimen didakwa merogol beberapa wanita dan membuat video seks

Bernama

Prajwal Revanna, 33, ditahan selepas pulang dari Jerman selepas didakwa merogol beberapa wanita dan membuat video seks.

Ahli Parlimen India Prajwal Revanna, 33, yang mewakili kawasan Hassan di negeri Karnataka Selatan telah ditahan susulan dakwaan rogol.
NEW DELHI: Seorang Ahli Parlimen India yang dituduh merogol beberapa wanita dan membuat video seks eksplisit telah ditahan pada Khamis malam selepas pulang dari Jerman.

Prajwal Revanna, 33, mewakili kawasan Hassan di negeri Karnataka selatan di Lok Sabha, dewan rendah parlimen yang sedang berakhir.

“Revanna tiba pada 12.40 tengah malam dari Munich dan telah ditahan. Prosedur yang sewajarnya akan dilaksanakan oleh pasukan siasatan khas (SIT),” kata menteri dalam negeri Karnataka, G. Parameshwara yang dipetik oleh media tempatan.

Cucu kepada bekas Perdana Menteri H D Deve Gowda telah pergi ke luar negara menggunakan pasport diplomatiknya pada 27 April, tidak lama selepas video seks itu tersebar.

Partinya, Janata Dal (Sekular), yang merupakan sekutu parti nasionalis Hindu India, Bharatiya Janata (BJP) telah menggantung keahliannya selepas kontroversi politik mengenai dakwaan rogol itu meningkat.

OKU 'dipukul': Polis siasat dakwaan 3 laporan disediakan anggota sendiri - peguam

Shahrin Aizat Noorshahrizam

Peguam N Surendran berkata pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU), Ong Ing Keong disuruh menandatangani tiga laporan yang disediakan polis berhubung kes serangan terhadapnya.

Tiga laporan itu didakwa disediakan polis selepas dia membuat laporan pertama pada 28 Mei lalu, mendakwa dirinya diserang seorang pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

"Mereka (polis) sedang melihat perkara itu," kata Surendran yang mengiringi Ong ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi memberi keterangan, hari ini.

Surendran berkata demikian ketika ditanya jika polis turut menyiasat dakwaan yang dibuat terhadap anggotanya berhubung kes tersebut.

Wanita racun kekasih kerana 'gelap mata' dengan harta RM141 juta

Agensi
INA Thea Kenoyer. FOTO Agensi
INA Thea Kenoyer. FOTO Agensi
Los Angeles: Seorang wanita di Dakota Utara mengaku bersalah kerana membunuh teman lelakinya selama sedekad, dengan meracun mangsa, kerana percaya lelaki itu akan meninggalkannya dengan harta AS$30 juta (kira-kira RM141 juta), menurut dokumen dan pegawai mahkamah, Rabu lalu.

Memetik laporan NBC News, Ina Thea Kenoyer, 48, ditangkap pada 30 Oktober tahun lalu dan didakwa membunuh Steven Edward Riley Jr, 51, pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Polis Minot.

Polis percaya Kenoyer mempunyai motif kewangan untuk membunuh Riley.

Pada 3 September lalu, Riley pergi ke lapangan terbang bersama rakan-rakan untuk bertemu peguam kerana percaya dia akan menerima harta warisan dengan jumlah besar, menurut afidavit waran tangkap yang difailkan di daerah kehakiman pusat utara North Dakota.

Rakan-rakannya memberitahu penyiasat bahawa dia bercadang untuk meninggalkan Kenoyer, yang dia mempunyai hubungan selama kira-kira 10 tahun, selepas menerima harta warisannya.

Tidak jelas sama ada Riley sebenarnya mewarisi sejumlah besar wang.

Di lapangan terbang, Riley memberitahu rakan-rakannya dia berasa mabuk walaupun tidak minum alkohol, mengadu sakit perut dan hampir terjatuh ketika cuba berjalan.

Mereka mahu membawa lelaki itu untuk rawatan perubatan tetapi Kenoyer, yang mendakwa mempunyai latihan perubatan berkata, pasangannya itu mengalami strok haba.

Dia berkata, lelaki itu hanya perlu pulang ke rumah dan berehat selepas berada di lapangan terbang, kata afidavit itu.

Keesokan harinya, ambulans dipanggil ke rumah pasangan itu di Minot, Dakota Utara, di mana Riley didapati tidak sedarkan diri. Dia meninggal dunia pada 5 September, menurut afidavit itu.

Bedah siasat menentukan punca kematiannya adalah keracunan, kata polis.

Keluarga dan rakan Riley memberitahu polis bahawa mereka bimbang Kenoyer meracuninya dengan antifreeze (penyejuk enjin), mengikut afidavit.

Susulan kejadian, Kenoyer ditahan di penjara sebelum didakwa dengan pembunuhan jenayah.

Dia kemudian mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan bunuh dan hukuman terhadapnya akan diputuskan pada 13 Ogos depan.

Vellfire terbabas ke parit, 3 maut

FMT Reporters
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Haizrul Rahmad berkata, seorang lelaki dan dua wanita terperangkap dalam MPV meninggal dunia di tempat kejadian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Tiga maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas di KM5 Jalan Skudai di Johor Bahru.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Haizrul Rahmad berkata, sebuah Toyota Vellfire terbabas ke parit sedalam kira-kira 2m di depan sebuah hotel pada 7.20 pagi tadi.

“Terdapat tiga mangsa terperangkap dalam kenderaan. Pihak bomba mengeluarkan semua mangsa menggunakan tali dan ‘stretcher’,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurutnya, seorang lelaki dan dua wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Beliau berkata, 12 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, semua mayat diserahkan kepada polis dan operasi tamat pada 8.40 pagi.

Pramugari ditahan seludup 1 kilogram emas dalam dubur

KOSMO!

NEW DELHI  – Seorang pramugari ditahan kerana cuba menyeludup hampir satu kilogram emas yang dibawa dari Muscat ke Kannur dengan menyembunyikan emas berkenaan di dalam duburnya, lapor portal berita NDTV semalam.

Pendedahan itu dibuat berdasarkan kenyataan sumber Jabatan Perisikan Hasil (DRI) Cochin.

Anggota-anggota DRI menahan peragawati berkenaan, Surabhi Khatun yang merupakan  penduduk Kolkata, pada Selasa lalu.

Dia diberkas selepas tiba dari Muscat, Oman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kannur.

“Pencarian pada tubuh suspek menemui 960 gram emas disembunyikan di dalam duburnya,”

Selepas disoal siasat, dia dihadapkan ke mahkamah majistret dan direman 14 hari di sebuah penjara wanita di Kannur,  kata sumber DRI kepada agensi berita Press Trust of India.

Kes tersebut dilaporkan adalah yang pertama seumpamanya di India.

Siasatan terperinci dan bukti yang dikumpul setakat ini menunjukkan dia pernah menyeludup emas beberapa kali sebelum ditahan. – AGENSI

Pemandu lori ais didakwa cabul wanita di parkir JPJ

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!
MELAKA – Seorang pemandu lori ais didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita di parkir kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil, Mac lalu.

Tertuduh, S. Kauiarsu, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang seorang wanita berusia 23 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.50 pagi di tempat meletak kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Mac 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Roslan mencadangkan jumlah jaminan RM7,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam K. Shareveen yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai pemandu lori ais dengan pendapatan RM50 sehari dan menyara kedua ibu bapanya yang mempunyai masalah jantung.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 16 Julai depan untuk lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

‘Pak Belang’ berkeliaran di pekarangan masjid

KOSMO!
RAKAMAN CCTV menunjukkan seekor harimau berkeliaran di sebuah masjid di Sumatera Barat. - Foto Istimewa
JAKARTA  – Seekor harimau Sumatera dirakam kamera sistem televisyen litar tertutup(CCTV)  sedang berkeliaran di pekarangan sebuah masjid, lapor portal berita detiksumut hari ini.

Kejadian berlaku di Masjid Alisma Alius dalam wilayah Sumatera Barat semalam, kata Balai Pemuliharaan dan Sumber Daya Alam Sumbar(BKSDA). 

Rakaman CCTV berdurasi dua minit dan 3 saat itu  tular di media sosial.

Harimau itu dilihat berkeliaran sambil memantau keadaan sekelilingnya.

“BKSDA Sumbar mengesahkan laporan tentang penampakan harimau Sumatera yang dirakam menerusi CCTV. 

“Kejadian berlaku pada pukul 2 pagi (waktu tempatan) semalam,” kata Ketua BKSDA Sumbar, Dian Indriati.

Dian berkata, BKSDA dan pemerintah tempatan berjaya ‘mengusir’ haiwan itu kembali ke habitat asal. 

Menurutnya, masjid itu terletak berdekatan hutan simpan dan kawasan pemuliharaan haiwan liar. – AGENSI

Kes kanak-kanak autisme dibunuh: Ibu bapa ditahan

Wartawan HM

Petaling Jaya: Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini, pada Disember tahun lalu, ditahan polis hari ini.

Menurut sumber, pasangan berusia 28 tahun terbabit ditahan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, Selangor kira-kira 11 pagi.

Lelaki dan wanita terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

"Setakat ini tiada maklumat berhubung siasatan yang sedang dijalankan polis terhadap pasangan terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

Beliau berkata, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk permohonan reman esok.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan kes kematian kanak-kanak autisme berusia enam tahun yang disyaki dibunuh selepas lebih 30 jam dilaporkan hilang.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Pekerja kedai gajet terkejut lelaki sudah mati ikut jual telefon bimbit

KOSMO
Pekerja kedai gajet terkejut apabila melihat laporan berita yang menunjukkan lelaki berbaju biru adalah mangsa kejadian pembunuhan. – Khaosod
BANGKOK –  Seorang pekerja kedai gajet terkejut apabila mendapat tahu dia membeli telefon bimbit terpakai milik mangsa kes pembunuhan dan melihat mendiang berada di sisi suspek yang menjual barangan curi itu, lapor laman berita Thaiger semalam.

Menurut polis, mangsa yang dikenali sebagai Paisan, ditemui mati di dalam biliknya selepas membawa pulang seorang rakan lelaki.

Suspek menggeledah bilik dan kereta mangsa serta melarikan dua iPhone sebelum menjualnya kepada sebuah kedai telefon bimbit di Pathumwan.

Seorang pekerja perempuan memberitahu polis bahawa dia melihat seorang lelaki berbaju biru mengekori suspek yang memakai baju bersama  topi ‘hoodie’.

Lelaki memakai ‘hoodie’ dikenal pasti sebagai suspek, manakala individu berbaju biru itu kemudian disahkan sebagai mangsa yang telah dibunuh.

Menurut pekerja kedai, lelaki misteri itu berada di sebelah suspek sepanjang urusniaga berlangsung, malah pekerja-pekerja  lain mengaku turut melihatnya.

Selepas menonton program berita dan melihat gambar suspek berdiri bersama mangsa di dalam sebuah lif sebelum dia dibunuh, pekerja kedai tersebut terkejut lalu membuat laporan polis.

“Saya amat terkejut mendengar dakwaan pekerja kedai ini. Saya percaya bahawa rakan saya terus mengekori lelaki yang membunuhnya walaupun dia telah meninggal dunia,” kata seorang sahabat karib mangsa.

Polis masih menyiasat kes pembunuhan itu dan penjualan telefon bimbit berkenaan, manakala suspek masih bebas. – AGENSI

Lelaki hilang 11 hari lalu ditemui mati dekat reban ayam

MUHAMMAD ZIKRI
ANGGOTA bomba mengusung mayat yang ditemui di dalam sebuah kereta di Kampung Parit Baru Kayu Ara Pasong, Pontian hari ini.
PONTIAN – Mayat seorang lelaki berusia 31 tahun yang telah reput ditemui dalam sebuah kereta berhampiran reban ayam di Kampung Parit Baru Kayu Ara Pasong, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan berhubung penemuan mayat lelaki kira-kira pukul 10 pagi.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat telah reput.

“Lelaki itu juga merupakan orang yang pernah dilaporkan hilang sejak 21 Mei lalu,” katanya hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video memaparkan orang awam menemui mayat lelaki dalam kereta Toyota Vios yang diletakkan di sebatang jalan tanah merah berhampiran dengan sebuah reban ayam.-KOSMO! ONLINE

OKU, Mangsa 'pukul' kongsi pengalaman di balai polis

Shahrin Aizat Noorshahrizam

Nota editor: Artikel telah dipinda untuk memberi gambaran yang lebih tepat perkongsian Ong mengenai pengalamannya.

Seorang pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU), yang didakwa diserang oleh pengiring Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menceritakan pengalamannya di ibu pejabat polis Brickfields di Kuala Lumpur.

Bercakap pada sidang media di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) di Petaling Jaya petang tadi, Ong Ing Keong, 46, turut mendedahkan seorang wakil istana hadir ketika itu.

Ditanya bagaimana dia tahu bahawa orang itu berasal dari istana, dia menjawab menggunakan bahasa isyarat yang diterjemah sebagai: "Seorang pegawai polis tulis untuk saya."

Sebagai menjawab soalan, Ong kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa seorang pegawai polis telah menyediakan laporan kedua dan menyuruhnya menandatanganinya.

Mengulas lanjut mengenai "pilihan" yang diberikan kepadanya, Ong mendakwa sama ada dia meneruskan laporan itu dan polis akan merampas telefonnya untuk siasatan, atau dia boleh menggugurkan kes itu dan menerima pampasan.

Kerana berasa tertekan, Ong memilih pilihan kedua kerana takut tidak dapat berkomunikasi dengan rakan dan keluarga sekiranya telefonnya dirampas.

Ong mendakwa pegawai polis itu juga memberitahunya bahawa jika dia pergi ke mahkamah, telefon bimbitnya akan dirampas.

"Jadi saya berada dalam dilema, saya tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan saya tidak tahu mengapa mereka mahu mengambil telefon bimbit saya," katanya.

Rundingan pampasan

Selepas memaklumkan keputusannya, Ong mendakwa pegawai itu bertanyakan berapa banyak yang dia perlukan sebagai pampasan untuk rawatan perubatannya.

Pemandu e-hailing, yang cacat pendengaran, mendakwa bahawa dia mula-mula ditawarkan RM500 tetapi memandangkan jumlah itu terlalu sedikit, dia meminta RM1,000 dan kedua-dua pihak akhirnya bersetuju dengan angka RM800.

Ong turut mendedahkan sebahagian perbualannya dengan wakil istana yang dikatakan itu kerana dia telah bertanyakan di mana pelakunya.

“Saya tanya, mana orang pukul saya? Kenapa dia tak ada di balai?

"Wakil itu berkata, 'Oh, dia sibuk bekerja'," katanya.

Ong turut mendakwa anggota polis mengawasi pergerakannya di balai polis dengan teliti dan turut mengekorinya apabila dia ke tandas.

Pemandu e-hailing itu berkata dia mengeluarkan telefon keduanya ketika berada di dalam tandas untuk menghantar mesej kepada rakannya, yang hanya dikenali sebagai "Phillip", dan isterinya untuk mendapatkan nasihat.

Sepanjang pengalaman pahit itu, Ong berkata dia tidak ditemani oleh jurubahasa bahasa isyarat dan bergantung kepada bantuan Phillip untuk mentafsir menggunakan WhatsApp.

Menjelaskan kenyataan yang bercanggah

Penasihat LFL Latheefa Koya berkata objektif utama sidang media itu adalah untuk menjelaskan sebarang kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak mengenai pengalaman pahit yang dialami Ong.

Dia menegaskan bahawa adalah penting bagi Ong untuk menceritakan kisah itu berdasarkan apa yang dialaminya dalam beberapa hari lepas.
Dari kiri: Zaid Malek dari LFL, peguam Latheefa Koya dan mangsa Ong Ing Keong semasa sidang media hari ini

“Terlalu banyak kenyataan bercanggah keluar yang mendakwa perkara itu selesai dan dia mahu beralih.

"Tetapi anda boleh mendengar terus daripadanya hari ini bahawa dia mahukan keadilan. Dia tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku kepadanya," tambah bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Dengan bantuan jurubahasa, Setiausaha Agung Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (Dawn) Anthony Chong berkata kes ini menandakan kepentingan untuk mengakui bahawa tidak semua orang pekak di Malaysia mahir sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris kerana latar belakang pendidikan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia Anthony Chong (kanan).
“Kami merasakan polis perlu melindungi rakyat dan harus sedar tentang kebolehcapaian komunikasi kepada orang kurang upaya,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Dawn berkata bahawa anak Ong telah meninggal dunia hanya tiga minggu lalu, yang menyukarkan lagi dia untuk menghadapi situasi itu.

LFL akan mengiringi Ong ke ibu pejabat polis daerah Brickfields esok pada jam 11:30 pagi untuk merekodkan kenyataannya.

Turut hadir pengarah LFL Zaid Malek dan penasihat N Surendran.

Zalimnya! Tergamak sumbat kucing dalam guni campak sungai

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular yang memaparkan orang ramai cuba menyelamatkan kucing yang dibuang di dalam guni.
TANGKAP layar video tular yang memaparkan orang ramai cuba menyelamatkan kucing yang dibuang di dalam guni.
Kuala Lumpur: Zalim. Itu perkataan yang dapat menggambarkan tindakan seorang lelaki yang tergamak menyumbat kucing di dalam guni dan dicampak ke sungai di Jelutong, Pulau Pinang, hari ini.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) Ari Dwi Andika berkata, berdasarkan maklumat pelaku sudah dua kali berbuat demikian dan perbuatannya pada 8.30 pagi ini berjaya dilihat saksi.

"Perbuatan zalim kali kedua yang berlaku di tempat sama sempat dilihat oleh saksi yang selama ini tertanya-tanya siapakah sering bungkus kucing dalam guni berikat dan dilempar ke sungai sebelum ditemui mati.

"Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jelutong, Timur Laut, Pulau Pinang pada 11.58 pagi tadi supaya penjenayah melakukan perbuatan zalim dapat diheret ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ari berkata, kes jenayah haiwan itu mempunyai saksi yang mengenali pelaku.

Justeru, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Masyarakat Pulau Pinang menunggu kecekapan dan kompetensi pegawai penyiasat menjalankan siasatan dan menanti hasil pendakwaan terhadap penjenayah haiwan yang didakwa sudah beberapa kali melakukan jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.

Berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat, seorang individu bertindak mengambil guni yang berikat dari dalam sungai.

Selepas ikatan dibuka, individu itu mendapati terdapat seekor kucing yang dipercayai sudah tidak bernyawa.

Janganlah macam ini Tuan Guru

Mohsin Abdullah

Minda Presiden adalah catatan Hadi Awang selaku pemimpin nombor wahid PAS ditulis dengan panjang lebar, siap dengan firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.

Hadi akan kaitkan petikan surah al-Quran dengan PAS yakni untuk menggambarkan perjuangan partinya berlandaskan kitab suci itu dan ajaran Rasul serta PAS melaksanakan perintah Allah. Ringkasnya pada hemat saya yang dipersembahkan Hadi ialah PAS itu Islam.

Untuk sampaikan mesej itu, Minda Presiden ditulis sekurang-kurangnya setiap minggu dan disajikan untuk khalayak menerusi Facebook dan media milik PAS.

Seperti dikatakan tadi, ia ditulis dengan panjang. Jika anda bukan ahli PAS yang wala’ kepada Hadi dan saf pimpinannya, ‘penat’ juga nak membacanya dari mula hingga akhir. Saya gunakan istilah ‘penat’ untuk melembutkan bahasa.

Apabila media empat hari lalu menyiarkan tuduhan yang saya anggap luar biasa lemparan Hadi ke atas media menerusi catatan terbaharu dalam Minda Presiden, saya memberanikan diri dan mengetepikan rasa takut penat dan membaca sepenuhnya.

Hadi memulakan dengan penentangan terhadap perintah Allah oleh iblis yang dihadapi Nabi Adam AS. Dan beliau meneruskan huraian mengenai penentangan sedemikian pada zaman nabi-nabi lain. Semua itu sememangnya benar.

Hadi seterusnya bercakap mengenai zaman apabila para nabi sudah tiada.

“Selepas tiada lagi nabi, maka kumpulan Islam pula yang diwajibkan mengambil alih perjuangan nabi. Maka, menjadi kewajipan mereka untuk menghadapi lawan yang sama prinsip dan konsepnya.”

Betul mengenai kumpulan diwajibkan mengambil alih perjuangan nabi. ‘Lawan yang sama prinsip dan konsepnya’ merujuk musuh Islam yang menentang perintah Allah, sama seperti golongan penentang pada zaman nabi-nabi. Dan penentangan berlarutan sehingga hari ini.

Lantas tajuk Minda Presiden yang disiarkan Harakahdaily pada 28 Mei lalu dan yang dibicarakan dalam artikel ini berbunyi ‘Islam sasaran fitnah, di sini PAS sasaran pertama’.

Bab ‘Islam sasaran fitnah’ memang betul. Sekarang ada Islamofobia di merata dunia. Mengapa ia terjadi tidak perlu dihuraikan dalam penulisan ini. Bab ‘PAS sasaran pertama’ bagaimana pula?

Yang jelas, Hadi menerusi catatan ‘Minda Presiden’ meletak partinya antara kumpulan Islam ‘diwajibkan mengambil alih perjuangan nabi’. Setuju atau tidak terpulang. Tetapi, Hadi juga menegaskan partinya jadi sasaran kerana menang banyak kerusi pada PRU lalu.

Pun begitu, Hadi seakan menyamakan ‘serangan’ (atau kritikan kadangkala keras) ke atas PAS dengan serangan ke atas Islam. Dan sebaliknya.

“Kini senjata media digunakan bagi memburukkan wajah Islam dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Islam,” kata Hadi.

Siapa agaknya ‘sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Islam’ yang beliau kata itu? Rasanya ramai tahu atau boleh agak siapa yang Hadi maksudkan.

Oleh kerana beliau menuduh ‘media digunakan bagi memburukkan wajah Islam’ saya yang lama bekerja sebagai orang media dan menganggap diri masih dalam media, terpaksa memberi pencerahan.

Tuduhan itu boleh membawa erti media Malaysia, termasuk yang dikendalikan orang Islam sengaja dan dengan rela serta senang hati ‘memburukkan wajah Islam’.

Dalam perkataan lain, media Malaysia tidak suka (benci?) Islam. Singkatnya, anti-Islam.

Kata Hadi “apabila berlaku kelemahan manusia pada diri segelintir kumpulan Islam yang terjerumus ke dalam kesalahan moral atau jenayah, maka akan dibesar-besarkan beritanya”.

Dibesar atau dikecilkan sesuatu berita tertakluk kepada keseriusan kesalahan yang kumpulan Islam itu dituduh lakukan.

Membunuh kanak-kanak. Merogol budak perempuan berusia lapan tahun. Atau meliwat budak lelaki berusia 11 tahun (sekadar contoh). Semua itu sememangnya akan mendapat liputan meluas.

Takkan jenayah keji seperti itu hanya diberi 20 saat di televisyen atau dua perenggan di media cetak dan dalam talian.

Namun hakikatnya, apa yang disiarkan bukan rekaan media, bukan fitnah. Yang disiarkan berpandu kepada aduan dan kenyataan polis secara rasmi, juga hujah dalam mahkamah apabila atau jika tertuduh dibawa ke muka pengadilan.

Seperkara lagi. Selagi belum disabitkan kesalahan di mahkamah, wajah orang yang dituduh akan ‘dikaburkan’ oleh media.

Siapa pula kumpulan Islam yang Hadi kata itu? Adakah beliau mencadangkan kes jenayah diabaikan media hanya kerana yang dituduh atau melakukannya ‘kumpulan Islam’?

Kata Hadi lagi “sekiranya terdapat berita dari sekolah agama, pondok, sekolah tahfiz ataupun seorang ustaz imam, orang yang berkopiah, apa lagi mereka yang berjubah, ada yang sengaja diletakkkan kopiah atau jubahnya atau dipakaikan jilbab wanitanya”.

Ertinya ‘sengaja diletakkan kopiah atau jubahnya atau dipakaikan jilbab’ dilakukan oleh media?

Adakah Hadi menuduh media pergi kepada pelaku jenayah dan pakaikan mereka kopiah, jubah atau jilbab?

Atau yang beliau maksudkan ialah gambar pelaku diubah suai dengan kaedah teknologi moden?

Orang ramai yang hadir di tempat kejadian atau mahkamah boleh menjawab adakah pelaku jenayah berpakaian sama semasa di tempat kejadian dan gambarnya disiarkan media.

Dan berkata lagi Hadi “apabila dalam kalangan agamawan yang sebenarnya bebal dan tidak bertafaqquh (faham) dalam agama melakukan kesalahan yang melampau daripada petunjuk agama atau menyalahgunakan agama Islam, maka dibesarkan beritanya atau direka cipta beritanya seantero dunia, diulang dan didramakan dengan lakonan-lakonan yang dicipta supaya dapat menarik perhatian agar ramai yang membenci Islam dan kumpulannya yang sebenar bagi mencacatkan wajahnya yang sebenar”.

Sekali lagi ditanya siapa kumpulan si tertuduh yang dirujuk? Berita kesalahan agamawan sewajarnya dihebahkan sebagai peringatan kepada pengikutnya (umpama yang dengar ceramahnya) berhati-hati kerana si agamawan terbabit melakukan yang Hadi kata ‘melampau daripada petunjuk agama’.

Mengenai tuduhan reka cipta, lakonan, didramakan, samalah dengan tuduhan awal tadi, pesalah dipakaikan kopiah, jubah atau jilbab oleh media.

Ada lagi kata Hadi “Apa sahaja langkah menyokong Islam pasti akan dibelasah dengan pelbagai tuduhan fitnah dan penghinaan. Penentangan dilakukan dengan segala cara, bermula dengan menggunakan platform media melalui tulisan, ucapan, tayangan, lukisan karikatur”.

Beginilah. Di Barat, medianya melakukan pendedahan kes paderi Kristian melakukan jenayah seks ke atas kanak-kanak dan juga apa yang didakwa “dark secrets of the Vatican”. Berita seperti itu disiar “prominently”.

Akhbar The Guardian Februari lalu menyiarkan laporan panjang mengenai dakwaan Pope Francis menentang “reform” yang boleh mengatasi masalah kesalahan seks oleh paderi ke atas kanak-kanak.

Beliau juga dituduh ‘pejam sebelah mata’ ke atas kes paderi menghamilkan rahib wanita dan memaksa mereka menggugurkan kandungan. Adakah media United Kingdom memfitnah gereja? Atau mereka anti-Kristian?

Di Thailand, di mana majoriti rakyatnya penganut kuat ajaran Buddha, media menyiarkan dengan meluas kes kesalahan seks oleh sami Buddha. Adakah media Thai anti-Buddha?

Di India, medianya menyiarkan beberapa kes salah laku, termasuk jenayah seks membabitkan sami Hindu. Adakah media India anti-Hindu?

Ok bak nyanyian Malek Ridzuan “cukup sampai di sini. Saya dah lambat nak ke masjid”. Sembahyang Jumaat.

Papan iklan gergasi terbakar, bomba selamat 9 mangsa

FMT Reporters
Papan iklan gergasi yang terbakar di Lebuh Raya Persekutuan petang tadi. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA: Sembilan nyawa berjaya diselamatkan dalam kejadian papan iklan gergasi terbakar di Lebuh Raya Persekutuan, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Rosman Majid, berkata mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan terdapat sembilan pekerja di atas papan iklan elektronik itu, antaranya sedang melakukan kerja penyelenggaraan.

Tiga dilaporkan mengalami kecederaan akibat terkena api dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Antara pekerja yang berjaya diselamatkan bomba. (Gambar Bomba)
Rosman memaklumkan empat jentera dengan pelbagai peranan daripada empat balai bomba berdekatan bergegas ke tempat kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.15 petang.

Usaha menyelamat dan memadam kebakaran di KM33.8 Lebuh Raya Persekutuan itu, berdekatan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik di sini, melibatkan dua kenderaan penyelamat kebakaran, satu platform tangga udara, dan satu tangki air dengan kekuatan seramai 17 anggota dari balai bomba Petaling Jaya, Jalan Penchala, Subang Jaya, dan Shah Alam.

“Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar telah hadir ke operasi kebakaran,” katanya dalam kenyataan.

Kebakaran mengakibatkan kepulan asap hitam tebal, namun situasi dilaporkan dapat dikawal.

Operasi ditamatkan kira-kira 3.45 petang tadi. Punca kebakaran belum dimaklumkan setakat ini.

'Polis sediakan laporan kedua, suruh saya tandatangan'

Shahrin Aizat Noorshahrizam

Seorang pemandu e-hailing, yang didakwa diserang oleh pengiring Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendakwa polis telah menyediakan laporan polis kedua dan dia diaragkan menandatanganinya.

Laporan polis kedua itu menyatakan bahawa individu OKU berusia 46 tahun berkenaan berkata dia telah menyelesaikan perkara itu dan tidak mahu memanjangkannya.

Dalam sidang media di Petaling Jaya petang ini, Ong Ing Keong turut mendakwa wakil istana hadir di balai polis.

Ditanya bagaimana dia mengenal pasti orang itu berasal dari istana, dia menjawab: "Seorang pegawai polis tulis untuk saya."

Polis tak profesional, layan mangsa macam suspek dakwa NGO pekak

Malaysiakini

Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (Dawn) mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak profesional dalam mengendalikan kes dakwaan seorang pemandu orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh pengiring kerabat diraja Johor.

Dawn malah mendakwa pemandu e-hailing yang merupakan mangsa dalam kes terbabit juga didakwa dilayan seperti suspek.

“Setibanya di balai polis antara lima petang dan enam petang, dia telah diiringi ke pejabat pegawai polis dan ditinggalkan tanpa pengawasan selama berjam-jam. 

“Dia diminta menyerahkan telefonnya kepada pegawai polis yang bertanggungjawab. 

“Mangsa tidak menerima penjelasan untuk pemeriksaan telefon atau penyimpanan berpanjangan telefonnya, dan dilayan seolah-olah dia seorang suspek,” dakwa Dawn.

Polis kelmarin mendedahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian lelaki itu yang didakwa dipukul oleh pengawal peribadi seorang kerabat diraja di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Polis tidak mendedahkan identiti suspek tetapi media melaporkan identitinya sebagai pengawal peribadi kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang lebih dikenali sebagai (TMJ).

Beberapa jam selepas itu, polis bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa pengadu membuat laporan polis kedua bahawa perkara itu diselesaikan secara baik dan dia tidak mahu memanjangkan kes.

Dalam kenyataan semalam, Dawn mengimbas kembali apa yang berlaku pada hari kejadian, selepas pemandu itu didakwa dipukul.

“Mangsa berasa kurang senang dan tidak pasti tentang langkah yang perlu diambilnya seterusnya. 

“Dia dinasihatkan membuat laporan polis dan terus ke balai polis di Brickfields untuk melaporkan kejadian itu. Laporan itu (dibuat) berdasarkan mesej yang disediakan oleh rakannya. 

“Dia diminta untuk menunjukkan bukti kejadian tumbukan muka, selepas itu dia menunjukkan video di telefonnya. Susulan laporan itu, dia diarahkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Semasa dia menjalani pemeriksaan kesihatan, dia menerima pesanan untuk kembali ke balai polis pada hari yang sama, 28 Mei 2024,” katanya.

Dawn berkata mangsa juga memohon telefon bimbitnya dipulangkan namun ditolak.

“Atas alasan apakah telefon bimbit mangsa disimpan untuk siasatan polis?” soal Dawn.

“Privasinya sepatutnya dihormati sepenuhnya, kerana dia adalah mangsa dalam kes ini.”

‘Masih berkabung, anak baru meninggal’

Malah, kata Dawn, anak OKU itu bagi meninggal dunia tiga minggu sebelum itu dan dia masih berkabung. 

“Situasi yang timbul daripada insiden serangan ini telah memberi kesan yang mendalam kepada beliau, menyukarkan beliau untuk menghadapinya.

“Mangsa (seorang OKU) pekak tidak dapat mempertahankan dirinya dengan secukupnya. 

“Telah dilaporkan bahawa kes itu tidak dikendalikan secara profesional dan tidak berintegriti,” menurut Dawn.

Tegas Dawn lagi, penglibatan seorang jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang profesional dan cekap diperlukan dalam kes terbabit.

NGO itu juga berkata, tidak kira sama ada apa yang berlaku berpunca dari salah faham atau tidak, semua orang mesti dilayan secara saksama.

“Walaupun dia memiliki kad OKU kerana ketidakupayaannya untuk mendengar dan bercakap (namun, dia tidak bisu), dia tidak sepatutnya dianggap sebagai warganegara yang berkelas lebih rendah,” katanya.

Dawn juga mendakwa pemandu OKU itu diberi dua pilihan, sama ada meneruskan kes ke mahkamah atau menggugurkan kes itu dan diberi pampasan.

Menurut Dawn, mangsa dimaklumkan jika memilih pilihan pertama, telefonnya akan dirampas. 

“Di bawah tekanan, mangsa Pekak menggugurkan kes dan bersetuju untuk diberi pampasan,” dakwanya.

Malaysiakini sedang cuba mendakwa penjelasan polis berkaitan dakwaan-dakwaan di atas.

Imam surau diancam angkara video maksiat dalam Axia, anak pula dituduh jadi pelaku

WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pasangan yang didakwa melakukan maksiat dalam kereta Perodua Axia di perkarangan sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Akibat penularan video tersebut di media sosial, pemilik kereta itu malah menerima kecaman teruk walaupun tidak mempunyai hubungan darah dengan pelaku terbabit.

Sehubungan dengan itu, anak kepada pemilik Axia berkenaan tampil memberikan penjelasan berhubung kejadian sebenar susulan keluarganya menerima ancaman.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Hilmi Hamdan memberitahu kereta Axia itu dimiliki oleh bapanya yang merupakan seorang pesara guru dan juga imam surau.

Kenderaan tersebut bagaimanapun digunakan oleh adik bongsu Hilmi iaitu seorang lepasan tahfiz yang melanjutkan pelajarannya di sebuah pusat pengajian di ibu kota.

Namun ketika kejadian, Perodua Axia tersebut dipinjamkan kepada sahabat adiknya dipercayai individu dalam video dengan tujuan untuk menghantar rakan lain ke klinik.

“Adik saya merupakan lepasan tafiz dan di sana beliau juga menjadi imam dan guru mengaji. Kami insya-Allah, datang dari keluarga yang baik. Bukan pembuat maksiat sebagaimana ditularkan.

“Beberapa hari lepas, kawan adik telah meminjam kereta Axia itu. Adik saya berada di perpustakaan dan membenarkan kawannya meminjam kereta untuk menghantar kawan ke klinik.

“Peristiwa dan rakaman tersebut berlaku selepas mereka ke klinik. Pesalah di dalam kereta itu kawan adik saya. Bukan adik, apatah lagi ayah saya sebagai pemilik kereta,” jelasnya.

Jelas Hilmi, pendedahan tersebut terpaksa dilakukannya untuk membersihkan nama bapa yang ditularkan dan dilemparkan kata-kata kesat oleh pengguna media sosial.

Bapanya juga dihubungi oleh individu tidak dikenali dan adik malah digelar sebagai kaki maksiat hingga terpaksa merehatkan kereta itu berikutan menerima ancaman.

Dalam perkembangan terbaharu, Hilmi Hamdan memaklumkan bahawa pelaku telah membuat permohonan maaf di atas tindakan mencemarkan nama baik keluarganya.

Pelaku juga difahamkan sudah menyerah diri kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid Gombak Utara di mana kesalahan itu dibuat selain menemui perakam video tersebut.

Individu yang menularkan video tersebut turut memohon maaf kepada keluarga Hilmi kerana tindakannya yang telah menimbulkan fitnah ke atas pemilik Axia berkenaan.

Sementara itu, Hilmi menegaskan bahawa dirinya tidak berniat untuk mendedahkan wajah pelaku dan berharap kejadian itu dijadikan pengajaran di masa akan datang.

“Ada yang minta dedahkan muka pesalah sebagai tanda kami tak tipu. Maaf, kami bukan jenis pendendam. Pesalah adalah rakan baik adik saya. Dia juga pernah bertandang ke rumah kami di Terengganu.

“Pesalah yang kami kenal adalah seorang kawan yang baik, cuma mungkin pada hari kejadian dia sedikit ‘terbabas’ dan terpedaya dengan hasutan syaitan. Semoga Allah ampuni dosa mereka.

“Kalau kami dedahkan muka pesalah, bermakna kami telah membunuh masa depan seorang anak muda yang terkhilaf hari ini. Mungkin dia akan menjadi seseorang yang berjasa pada masa akan datang.” Tambahnya.

PATI sanggup bayar RM50,000 dapatkan MyKad palsu

WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Badrul Hisham (dua dari kiri) menyampaikan MyKad pada seorang penduduk pada program Mekar di Pulau Perhentian, Besut hari ini.
BESUT – Sebanyak 290 kes penyalahgunaan MyKad dikesan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berlaku di seluruh negara dalam tempoh empat tahun sejak 2020.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, ia merangkumi 197 kes menggunakan MyKad palsu manakala selebihnya, 93 kes pula menyalahguna Mykad milik orang lain.

“Siasatan JPN mendapati segelintir warga asing sanggup membayar sehingga RM50,000 semata-mata untuk mendapatkan MyKad palsu.

“Mereka sanggup bergolok-gadai demi mendapatkan MyKad yang merupakan dokumen penting membuktikan kerakyatan negara ini,” katanya pada program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Pulau Perhentian di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan MyKad kepada 32 penduduk pulau peranginan tersebut yang melakukan permohonan sebelum ini.

Badrul Hisham berkata, penggunaan MyKad palsu tersebut didambakan warga asing khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Tambah beliau, sebahagian besar warga asing itu juga menggunakan MyKad palsu sebagai tiket mudah mendapat pekerjaan.

“Isu MyKad palsu dan penggunaan MyKad orang lain yang mungkin didalangi sindiket jenayah ini amat dipandang serius JPN,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kerani didakwa bersetubuh dengan anak tiri

Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my

Ampang: Seorang kerani didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuan berusia 17 tahun, minggu lalu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 34 tahun berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai bapa tiri melakukan persetubuhan terbabit, yang mana hubungan tertuduh dan mangsa tidak membenarkan perkahwinan di bawah undang-undang atau hukum agama.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah flat di sini, 10.30 pagi dan 8.30 pagi masing-masing pada 20 serta 21 Mei lalu, mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhasimah Hashim, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

"Syarat tambahan tertuduh dan mangsa tinggal di tempat berlainan, selain lelaki itu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis terdekat," katanya.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Wan Afifah Che Bakar, memohon jaminan RM5,000 mengikut kemampuan anak guam yang perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia tiga, enam serta tujuh tahun.

"Saya difahamkan mangsa sudah dihantar ke rumah ibu saudaranya di Subang atas saranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tertuduh dan mangsa tidak lagi tinggal bersama," katanya.

Hakim kemudian membenarkan jumlah jaminan dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.

Anggota polis wanita gaduh: Siasatan dijalankan dari sudut tatatertib

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis akan menjalankan siasatan dari sudut tatatertib dalam kejadian pergaduhan membabitkan dua anggota polis di Balai Polis Brickfields, di sini, 25 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kes itu bersifat peribadi antara dua anggota polis wanita berkenaan.

"Kejadian itu tidak membabitkan orang awam serta tiada penggunaan apa-apa bentuk senjata berbahaya.

"Siasatan akan dijalankan dari sudut tatatertib (dalam kes berkenaan)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, laporan polis berhubung kejadian itu tular di media sosial dengan seorang wanita berpangkat Lans Koperal dikatakan cedera di kepala.

Menurut laporan polis yang tular berkenaan, seorang anggota polis wanita berpangkat Koperal yang terbabit dalam kejadian itu sudah diambil keterangan.

Warga asing tak takut pun operasi yang dibuat DBKL

Tidak sampai sebulan DBKL gempur ibu kota, penjaja warga asing masih bermaharajalela

NUR IFTITAH ROZLAN
Warga asing masih berani berniaga seperti biasa di sekitar kaki lima Jalan Silang, Lebuh Pudu dan Jalan Petaling.
OPERASI demi operasi dilaksanakan, kompaun demi kompaun dikeluarkan, namun masih belum berjaya menyelesaikan isu lambakan penjaja warga asing khususnya di ibu kota.

Bukanlah hendak menidakkan kebertanggungjawaban pihak penguat kuasa dalam mengawal pergerakan peniaga ini, kerana jawapannya sudah pasti boleh dilihat menerusi segala operasi dan gerak gempur yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) saban hari.

Mengambil contoh kejadian baru-baru ini, tular video memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menjalankan perniagaan menjual makanan sirih berapi di sekitar ibu kota.

Untuk makluman, sirih berapi merupakan salah satu makanan jalanan yang terkenal di India.

Bertindak atas video tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 12 Mei lalu menggempur aktiviti perniagaan haram warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) dan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur.

Pasukan penguat kuasa DBKL menyita barangan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap tujuh penjaja warga asing yang dikesan menjual sirih, makanan dan pakaian terpakai tanpa kebenaran pihak berkuasa.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan diambil selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

Semua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tujuan dokumentasi dan rekod.

Respons pantas DBKL berhubung isu berkenaan harus dipuji, namun adakah operasi gerak gempur itu menimbulkan ketakutan terhadap peniaga warga asing ini?

Hasil tinjauan Majoriti di sekitar kaki lima Jalan Silang, Lebuh Pudu dan Jalan Petaling pada Khamis mendapati warga asing masih berani berniaga seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Belum sampai sebulan pun tindakan penguatkuasaan diambil, aktiviti perniagaan mereka kembali 'rancak' berjalan.

Degil dan tidak serik! Mungkin itu gambaran tepat yang sesuai diberikan buat mereka.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan warga asing yang membuka tapak di situ berasal dari Bangladesh, Nepal, Indonesia dan Rohingya.

DBKL pada 12 Mei lalu menggempur aktiviti perniagaan haram warga asing di sekitar Jalan Silang dan Lebuh Pudu. — DBKL

Bahu jalan itu masih sahaja dipenuhi peniaga yang menjual sirih, buah-buahan, kerepek dan pakaian terpakai.

Dengan kesan ludahan kapur sirih bertebaran di atas lantai, ditambah sampah sarap di sekeliling mereka telah merencatkan pemandangan di kota raya.

Bagaimanapun di sebalik situasi itu, timbul persoalan sama ada golongan itu sememangnya sudah terlalu ramai hingga sukar dikawal gerak-geri mereka.

Atau adakah penguatkuasaan negara sudah mulai 'dibaca' hingga pada akhirnya undang-undang kita seolah-olah boleh 'dilanggar' begitu sahaja? — Majoriti

Empat beranak yang menaiki sebuah motosikal terpelanting atas jalan dihempap pokok tumbang

NOR AINNA HAMZAH
Tangkap layar video tular di media sosial membabitkan insiden empat beranak yang menaiki sebuah motosikal dihempap dahan pokok patah di Jalan Bukit Putus, Negeri Sembilan, semalam.
KUALA PILAH – Satu video tular memaparkan kejadian empat beranak yang menaiki sebuah motosikal tercampak selepas dahan pokok patah di Jalan Bukit Putus, di sini, semalam.

Menerusi video berdurasi 59 saat itu kelihatan dahan pokok di tepi jalan tersebut patah ketika empat sekeluarga berkenaan melalui kawasan tersebut.

Kejadian itu menyebabkan pembonceng wanita dan kanak-kanak perempuan tercampak atas jalan.

Sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada bersebelahan motosikal tersebut turut terkena serpihan dahan yang patah itu dan sempat memberhentikan kenderaannya apabila melihat mangsa terjatuh.

Menerusi ruangan komen, wanita dipercayai si ibu dan kanak-kanak tersebut sudah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah akibat kecederaan di bahagian muka.

Menurut maklumat yang dikongsikan, mereka sekeluarga dalam perjalanan menghantar pesanan makanan.

Sementara itu, sumber polis berkata, setakat pukul 6 pagi tadi, mangsa masih belum membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE

Bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz: 1MDB: Bekas CEO AmBank cuba sembunyikan salah laku

Malaysiakini

BICARA 1MDB | Bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz berkata bekas ketua eksekutif AmBank, Ashok Ramamurthy cuba menyembunyikan salah laku di bank komersial itu sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Saksi pendakwaan tersebut memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak melibatkan dana RM2.27 bilion 1MDB.

"Dia (Ashok) ingin menyembunyikan salah laku semasa tempohnya sebagai Ketua Eksekutif AmBank kerana jika dia telah melihat sebarang kesalahan semasa memegang jawatan itu, dia sepatutnya mengambil tindakan," kata Zeti di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pendakwa berhujah bahawa Najib menerima berbilion ringgit daripada 1MDB melalui AmBank.

Buat panggilan lucah, tunjuk kemaluan, pempengaruh disiasat

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh ditahan polis selepas disyaki menunjukkan kemaluan dan bercakap lucah kepada seorang wanita menerusi panggilan video baru-baru ini.

Lelaki berusia 27 tahun terbabit ditahan pada 2.25 petang semalam untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang dibuat pada 4.50 petang, 17 Mei lalu.

"Pengadu yang tidak bekerja mendakwa menerima panggilan video daripada seorang lelaki yang dikenalinya semasa berada di rumahnya di Taman Melewar.

"Hasil siasatan awal, pengadu berkenalan dengan suspek sejak awal bulan ini melalui laman sosial Instagram.

"Suspek membuat panggilan video kepada pengadu dan menunjukkan kemaluannya serta bercakap lucah dengan pengadu. Pengadu kemudian membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, polis menahan suspek petang semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan sebaik selesai merakam keterangannya.

Mohamad Lazim berkata, siasatan juga mendapati suspek dan pengadu pernah berjumpa sebelum ini.

Katanya, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Tambahnya, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu baru dikenali.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

AWAS!! Ketibaan warga asing meningkat di lapangan terbang sempena tarikh akhir RTK 2.0

Malaysiakini

Peningkatan bilangan pekerja asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur adalah disebabkan oleh beberapa majikan yang mengejar tarikh akhir untuk membawa masuk pekerja asing mereka di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Imigresen menyatakan bahawa jumlah ketibaan pekerja asing telah meningkat sejak 22 Mei dan dijangka terus meningkat menjelang tarikh akhir esok.

"Sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500-1000 orang.

"Bilangan ketibaan mula meningkat sehingga 2,500 orang sehari pada 22 Mei 2024 dan seterusnya pada 27 Mei 2024 telah meningkat sehingga 4,000-4,500 orang sehari.

"Jabatan ini menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga 31 Mei 2024 berdasarkan makluman dari syarikat penerbangan yang akan meningkatkan jumlah penerbangan mereka bagi memenuhi permintaan," kata kenyataan itu.

Jabatan Imigresen bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad untuk menangani kesesakan itu.

Langkah yang diambil termasuk menambah bilangan kaunter untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan serta menambah lebih ramai pegawai imigresen untuk menguruskan kemasukan pekerja asing yang besar.

Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya tidak akan melanjutkan tarikh akhir 31 Mei untuk mengambil pekerja asing melalui RTK 2.0

‘Pulangkan ikan arowana, jelas ia milik orang lain’

KHAIRUL MOHD. ALI
SEORANG penduduk menangkap ikan arowana yang terlepas selepas kolam ternakan itu pecah di Kampung Tengah Layang, Kluang.
JOHOR BAHRU – Ribuan ikan arowana yang hanyut selepas kolam takungan ternakan haiwan itu di Kampung Tengah Layang, Kluang pecah perlu dipulangkan kepada pemiliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khaled berkata, hal itu kerana masyarakat umum tahu siapa pemilik haiwan berkenaan.

Menurut beliau, tindakan mengambil ikan-ikan berkenaan untuk kegunaan sendiri adalah tidak wajar.

“Jika jelas ia milik orang lain dan kita tahu siapa pemiliknya, hendaklah kita pulangkan kepada pemilik. Itu sebaik-baik akhlak seorang Muslim, malah semua agama mendidik kita agar tidak mengambil hak orang lain.

“Kita kita tidak boleh makan atau ambil sesuatu yang bukan hak, malah kita bimbang ia menjadi darah daging jika datang dari sumber yang tidak sah,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Fared, situasi tidak sama sekiranya pemilik ikan memberi kebenaran atau menghalalkan kepada sesiapa untuk mengambil ikan tersebut.

Sementara itu, penternak ikan arowana komersial yang dikenali sebagai Ng Ah Phau mendakwa ikan-ikan berkenaan adalah miliknya dan diternak di 13 buah kolam di Kampung Tengah Layang.

Katanya, dia mengalami kerugian bernilai jutaan ringgit apabila sebanyak 15,000 ikan arowana induk yang dipelihara sejak 30 tahun lalu hanyut selepas kolamnya pecah. – KOSMO! ONLINE

Banyak pihak mempersoalkan kes pengiring kerabat pukul OKU, polis kena jawab

Malaysiakini

LFL: Polis perlu terus siasat dakwaan pengiring kerabat pukul OKU

Lawyers for Liberty (LFL) menggesa polis untuk meneruskan siasatan kes pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang didakwa dipukul pengawal peribadi seorang kerabat diraja.

"Kerajaan perlu memastikan tiada campur tangan dalam siasatan.

"Kewibawaan undang-undang kita dan penguatkuasanya dalam pertaruhan dan sebarang langkah yang salah akan membawa kepada kehilangan kepercayaan sepenuhnya terhadap pengendalian keadilan di negara kita," kata Pengarah LFL Zaid Malek dalam kenyataan hari ini.

Senada dengan ahli parlimen PKR Hassan Karim, Zaid juga menegaskan tiada istilah "penyelesaian" antara pihak yang didakwa sebagai pelaku dan mangsa dalam kes jenayah.

Dia berkata apabila laporan dibuat, polis bertanggungjawab untuk menyiasatnya.

"Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 mempertanggungjawabkan polis untuk megekalkan keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan jenayah serta menangkap dan mendakwa pesalah," katanya lgi.

Justeru, Zaid berkata tugas menyiasat tidak boleh diabaikan hanya kerana laporan polis dibuat untuk "menyelesaikan atau menarik balik" laporan asal terhadap dakwaan jenayah yang dilakukan.

Dia berkata jika itu dibolehkan, kalangan yang berkuasa boleh memaksa agar sebarang laporan yang dibuat ke atas mereka untuk ditarik balik.

"Ia akan membawa kepada keruntuhan sism keadilan jenayah kita, menjadikan undang-undang jenayah hanyalah sandiwara," katanya lagi.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata seorang individu membuat laporan berkenaan perkara itu pada Selasa lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkenaan kesalahan mencederakan secara sengaja, dan membawa hukuman penjara tidak lebih setahun, denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Namun, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan kemudian memaklumkan individu tersebut membuat satu lagi laporan pada malam hari yang sama, yang menyatakan dia tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.

“Pengadu telah membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya.

Diikat sebelum dirompak, pesara guru rugi RM12,700

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Beaufort: Pesara guru wanita diikat sebelum seorang lelaki memakai topi keledar merompak rumah mangsa di Kampung Datung Melabau di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 2.40 pagi itu, penjenayah terbabit melarikan gelang emas, wang tunai kira-kira RM2,300 dan beg tangan mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa berusia 58 tahun baru selesai menunaikan solat sebelum ternampak kelibat individu melintas melalui tingkap rumahnya.

Menurutnya, ketika mangsa memeriksa pintu dapur, dia terkejut melihat seorang lelaki yang tidak dikenali memakai topi keledar dengan menutup mukanya menggunakan 'visor' sedang berdiri di hadapan pintu dapur rumahnya.

"Lalu mangsa terus menutup pintu dapur tetapi suspek menolak pintu berkenaan sehingga mangsa terjatuh.

"Suspek kemudiannya mengikat tangan mangsa dibahagikan belakang menggunakan pita pelekat dan membawa mangsa ke dalam bilik tidur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya mengugut bunuh mangsa sekiranya meminta pertolongan.

"Suspek mengambil gelang emas yang dipakai di tangan mangsa, dua beg tangan yang diletakkan di atas meja makan mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

"Suspek turut mengambil wang tunai berjumlah RM2,300 dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM12,700," katanya.

Ismail berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa adalah seorang pesara guru.

"Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/506 Kanun Keseksaan.

"Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bagi membantu siasatan," katanya.

Israel guna alasan terowong untuk serang Rafah

AFP

Kaherah: Israel menggunakan dakwaan terowong di sempadan Mesir dengan Gaza sebagai alasan untuk melancarkan serangan di Rafah, lapor media Mesir, Al-Qahera News.

"Tiada kebenaran kepada laporan media Israel mengenai kewujudan terowong di sempadan Mesir dengan Gaza," kata Al-Qahera yang memetik sumber perisikan peringkat tinggi.

"Israel menggunakan dakwaan untuk meneruskan operasi di bandar Rafah di Palestin dan memanjangkan perang untuk tujuan politik," kata sumber berkenaan lagi.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari sebelum ini dilaporkan berkata, tentera menemukan 20 terowong di kawasan itu.

Mesir berkata, ia memusnahkan ratusan terowong rentas sempadan dengan Gaza sejak 2013. Terowong itu digunakan untuk mengangkut pejuang dan senjata ketika perang membabitkan pemberontak di Sinai Utara di lokasi itu, selama bertahun-tahun.

Bangunan kediaman juga dirobohkan ketika pihak berkuasa Mesir membersihkan kawasan di mana terowong dibuka di Sinai Utara.

Sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober, Israel berulang kali mendakwa penyeludupan terus berlaku melalui terowong di bawah sempadan.

Mesir pula menuduh Israel menggunakan dakwaan itu untuk membenarkan pendudukan secara haram di koridor Philadelphi, menurut ketua Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir, Diaa Rashwan.

Januari lalu, Rashwan memaklumkm Mesir sudah menghapuskan terowong termasuk dengan mewujudkan zon penampan dan mengukuhkan sempadan, menjadikan sebarang operasi penyeludupan mustahil, sama ada di atas atau di bawah tanah

Rashwan pada masa itu memberi amaran bahawa menduduki koridor Philadelphi adalah pelanggaran perjanjian Kem David, yang ditandatangani Israel dan Mesir pada 1979.

Ketegangan dengan Mesir yang juga negara Arab pertama mengiktiraf Israel dan secara sejarah memainkan peranan pengantara utama meningkat, sejak Israel menolak amaran global serta menghantar tentera darat ke Rafah, awal bulan ini.

Tentera Israel juga merampas bahagian sempadan Palestin dengan Mesir, yang sejak itu enggan menyelaraskan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui Rafah.

Walaupun mendapat bantahan global, Israel meneruskan serangan darat di Rafah.

Nyawa melayang langgar serpihan tayar lori di lebuh raya

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
SERPIHAN tayar lori yang dilanggar oleh mangsa dalam nahas di KM190.7 Lebuh Raya Utara - Selatan, awal pagi tadi.
JASIN – Seorang lelaki maut, manakala empat lagi cedera selepas motosikal yang mereka tunggang melanggar serpihan tayar lori di Kilometer 190.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa, Mohd. Afirzul Hamzah, 35, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Empat yang lain, Zakrul Ariffin Minhat, 20, dimasukkan ke zon merah, manakala Muhammad Zarif Zufayri Mazli, 23, patah bahu kanan dan Muhammad Nur Aiman Kamil, 23, serta Ahmad Farhan Fikri Abd. Khalid, 28, mengalami luka-luka dan cedera di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, sebelum kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan berkonvoi bersama 16 penunggang yang lain dari Melaka menuju ke Johor.

“Setiba di lokasi, empat penunggang telah terbabas setelah melanggar serpihan tayar lori yang pecah.

“Akibat kemalangan itu, seorang daripadanya maut, manakala empat lagi cedera dan dikejarkan ke Hospital Jasin menggunakan ambulans,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, kumpulan itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengadakan program makan di sebuah restoran di Simpang Ampat.

“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati lokasi nahas tidak mempunyai pencahayaan yang cukup.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki kemaruk seks ugut bakar rumah pelajar

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Min Teck dengan kepala berbalut dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku cabul pelajar perempuan. FOTO Alias Abd Rani
Min Teck dengan kepala berbalut dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku cabul pelajar perempuan. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Pekerja kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal termasuk memaksa pelajar tingkatan tiga melakukan oral seks di dua lokasi berasingan di Batu Pahat, tahun lalu.

Lim Min Teck, 24, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan kepala berbalut akibat terjatuh tangga membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun ketika itu, di sebuah taman permainan dekat Taman Sri Saga, Batu Pahat, pada 11.30 pagi, pertengahan Oktober tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Pertuduhan kedua pula, dia sekali lagi didakwa mengulangi perbuatan itu dengan memaksa mangsa melakukan oral seks dengan kejadian itu berlaku di sebuah kilang terbiar di Batu Pahat, 1.30 tengah hari, hujung Oktober tahun lalu.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (b) akta sama dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, tertuduh mengenalinya melalui aplikasi MiChat sebelum mereka bertemu.

Mangsa dipaksa melakukan perbuatan itu oleh tertuduh kerana turut diugut rumahnya akan dibakar jika gagal memenuhi permintaan.

Perbuatan tertuduh terbongkar apabila abang mangsa terbaca mesej ugutan dihantar tertuduh sebelum membuat laporan polis, 26 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan tiga sebab iaitu kesalahan dilakukan serius dan tidak boleh dijamin.

"Selain itu, perbuatan ini membabitkan seorang kanak-kanak serta wujud elemen keganasan dan ugutan terhadap mangsa," hujahnya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 4 Jun ini untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes serta hukuman bakal dikenakan terhadapnya.

Apabila 15,000 ikan Arowana terlepas kawasan anak sungai dan parit, ini yang terjadi

BuletinTV3

Penduduk berpesta tangkap lebih 15,000 ikan Arowana

SIMPANG RENGGAM: Ribuan ikan spesis arowana ditemui dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam, sejak semalam.

Ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan kawasan berdekatan.

Justeru penduduk sekitar tidak melepaskan peluang menangkap ikan terbabit menggunakan jala dan jaring.

Aktiviti menangkap ikan itu bagai satu pesta bagi penduduk setempat.

Malah ada yang menjadikan ikan hiasan berkenaan sebagai hidangan makan tengah hari.

Video aktiviti penduduk menangkap ikan berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Spesis ikan berkenaan turut hanyut hingga ke Sungai Sayong dan Kota Tinggi.

Dalam pada itu seorang penternak ikan Arowana komersial yang dikenali sebagai Ng Ah Phau ketika dihubungi berkata, ikan berkenaan adalah miliknya yang diternak di 13 kolam, di Kampung Tengah Layang, di sini.

Katanya, lebih 15,000 ikan arowana induk yang dipeliharanya sejak 30 tahun lalu hanyut selepas kolamnya pecah awal pagi semalam menyebabkan beliau menanggung kerugian jutaan ringgit.

Susulan kejadian itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Simpang Renggam petang semalam.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan sama ada kejadian itu berpunca dari perbuatan sabotaj atau sebaliknya.

Ikan spesis arowana yang dipeliharanya, dieksport ke beberapa negara termasuk Singapura, Jepun, Britain dan Australia.

Difahamkan harga pasaran bagi seekor arowana induk dijual pada harga RM2,000 hingga RM3,000 seekor berdasarkan spesis dan saiz.