"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

President MIC ni tak layak jadi Presiden Dewan Negara

Presiden Dewan Negara langgar protokol keselamatan KLIA - Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendakwa Presiden Dewan Negara S Vigneswaran melanggar protokol keselamatan ketika menggunakan ruang istirehat bilik VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Vigneswaran yang juga presiden MIC telah menafikan berbuat demikian dan ketika dihubungi Malaysiakini berkata Loke tidak adil kepadanya dengan tidak memberikan beliau peluang untuk memberi penjelasan.

Pada sidang akhbar hari ini, Loke menunjukkan rakaman video litar tertutup (CCTV) bertarikh 14 November yang memaparkan Vigneswaran tiba di bilik VIP di lapangan terbang dengan memakai selipar sebelum beliau dihentikan oleh kakitangan keselamatan penerbangan.

"Jelas VVIP tersebut tidak mematuhi etika pakaian,dalam konteks ini beliau pakai selipar.

"Pegawai kita bagi tahu slipper tak boleh masuk, menjaga imej bilik VIP

[...] jelas beliau terus menceroboh, just go through. Walaupun tanpa pas ini (keselamatan), tak mengendahkan pegawai keselamatan.

"Refused to be searched (enggan diperiksa) terus jalan.

"Turun ke bawah kaunter, menegur menengking pegawai kita," kata Loke di KLIA hari ini.

Loke berkata walaupun Vigneswaran bukan penumpang pada malam kejadian tetapi beliau tetap perlu mematuhi peraturan.

"Saya menjangkakan presiden dewan senat menunjukkan tauladan yang baik," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah kakitangan khidmat pelanggan KLIA, Norafiza Mohd Nasir (gambar, kanan) yang bertugas di bilik VIP pada malam berkenaan.

Beliau mendakwa Vigneswaran menengking kepadanya apabila dia menunjukkan pekeliling kerajaan mengenai etika berpakaian.

"Beliau sampai dan terus argued kenapa dia tidak boleh dibenarkan masuk, saya maklum Tan Sri boleh guna tapi tak boleh lepas sampai ke gate kerana Tan Sri tak pakai kasut.

"Cuma boleh sampai bilik VIP sahaja, tak boleh lepas.

"Dia tak puas hati dan dia marah, sambil bercakap dan terus kata “mana ada bertulis dalam pekeliling ini tak boleh pakai slipper.”

"Bila ambil (pekeliling) itu, dia terus buang, lempar saya punya circular.

"Dan terus berlalu sambil mengomen-gomen," katanya kepada media.

Ketika dihubungi, Vigneswaran menafikan melanggar sebarang protokol keselamatan di bilik VIP dan mendakwa beliau tidak diberikan peluang untuk membuat penjelasan.

Saya mengalah untuk kepentingan parti

Rafizi Ramli
Esok akan bermula Kongres Nasional PKR yang melabuhkan tirai kepada pemilihan parti kali ini.

Keputusan untuk Majlis Pimpinan Pusat mungkin hanya akan diumumkan kemudiannya.

Saya dimaklumkan, secara tidak rasmi beza undi di antara saya dan saudara Azmin Ali ialah lebih kurang 2,500 undi, iaitu kurang 2 peratus dari jumlah keseluruhan yang mengundi (sekitar 141,000 orang anggota parti).

Saya fikir saudara Azmin bakal diumumkan timbalan presiden dengan undi popular yang tidak melebihi 51 peratus, berbanding dengan undi saya sekitar 49 peratus.

Jumlah undi ini berlatar belakangkan persoalan mengenai integriti dan ketelusan proses pemilihan yang dipersoalkan oleh semua calon yang bertanding.

Ada beberapa isu yang menjadi kontroversi, termasuklah kebebasan pengawas-pengawas oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang daripada awal lagi dipersoalkan kerana aduan-aduan yang mereka berat sebelah.

Begitu juga dengan masalah sistem e-pengundian. Ada bukti yang kukuh bagaimana undi-undi telah hilang secara sistematik seperti yang dibentangkan oleh saudara Akmal Nasir (ketua Pemuda PKR yang baru) melibatkan undi di cabang-cabang besar yang dilihat berpihak kepada saya.

'Talian Celcom dipotong di Pensiangan'

Kita juga dikejutkan dengan peristiwa “penghadang isyarat” (jammer) di Kuala Selangor dan talian Celcom dipotong di Pensiangan.

Paling kontroversi ialah kejadian data dihapuskan di Julau dan kehadiran aplikasi Prey di dalam peranti tablet yang digunakan untuk undian. Pada hari kejadian, JPP mengakui peranti tablet telah dicerobohi dan mengumumkan menggantung keputusan di Julau.

Selepas itu, JPP menukar pendirian dan bertegas tiada data yang terkesan walaupun kejadian itu benar-benar berlaku.

Dengan perbezaan undi sekitar 2,500 sahaja atau kurang dari 2 peratus dari jumlah keseluruhan yang keluar mengundi, pengundian di Julau (yang mempunyai lebih 13,000 anggota) boleh mengubah keputusan untuk jawatan Timbalan Presiden dan jawatan-jawatan lain.

Saya ada asas yang kukuh untuk berkeras supaya diadakan semula pemilihan. Tambahan pula JPP memang mengakui berlakunya pencerobohan dan Ketua Unit IT JPP, Alvin Teoh memang ditahan polis untuk siasatan berhubung kes ini.

Namun, saya juga sedar bahawa kepentingan perjuangan dan parti mengatasi segala-galanya. Kita menawarkan diri untuk memikul amanah dengan hasrat boleh membawa parti ke peringkat yang lebih baik dan meningkatkan khidmat parti kepada rakyat.

Jika dalam usaha kita mendapatkan amanah itu, parti dijerumuskan ke dalam ketidaktentuan dan persengketaan yang berpanjangan, itu bertentangan dengan niat asal kita untuk berkhidmat.

Saya mengambil kira kesan kekalahan kepada saudara Azmin adalah lebih besar berbanding jika saya mengalah. Beliau seorang menteri kanan, penyandang jawatan sebagai dua penggal dan bekas menteri besar. Kekalahan beliau di tangan seorang penganggur akan dijadikan alasan untuk beliau berundur terus dari persada politik.

Sebab itu, saya menjangkakan penyokong-penyokong beliau lebih sukar menerima kekalahan berbanding dengan saya.

Mungkin menang di Julau jika pemilihan semula

Saya juga telah melihat bagaimana penyokong kuat beliau, saudara Vernon Kedit telah bertalu-talu membuat laporan kepada SPRM mengenai keanggotaan di cabang Julau (yang sebelum itu tidak pun dibantah) sehingga menyebabkan kakitangan parti ditahan SPRM.

Saya yakin, jika pemilihan semula diadakan di Julau (dan besar kemungkinan saya akan menang), akan ada watak seperti ini yang akan mengheret parti ke peringkat Pendaftar Pertubuhan dan mahkamah.

Akhirnya, kita tidak ubah seperti pepatah Melayu “menang sorak, kampung tergadai”.

Apabila pergolakan dari pemilihan parti ini berpanjangan melangkaui Kongres Nasional hujung minggu ini, bebannya akan ditanggung oleh Anwar Ibrahim, presiden kita.

Beliau akan dituduh tidak berkemampuan mengendalikan parti. Beliau akan dikritik kerana dilihat tidak mampu mendisiplinkan pimpinan parti di bawah.

Selari dengan tuduhan dan kritikan itu, akan ada suara sumbang dari luar dan dalam parti yang mempersoalkan kewibawaan beliau menjadi Perdana Menteri ke-8.

Saya tidak terjun ke persada reformasi sejak 20 tahun lalu dengan niat mahu merebut kuasa. Saya benar-benar mahu melihat keadaan yang lebih baik untuk rakyat biasa, kerana saya datang dari keluarga susah dari Terengganu.

Kemenangan dua peratus

Saya benar-benar yakin kalau kita bawa perubahan yang mengangkat idealisme reformasi yang kita perjuangkan, nasib rakyat akan menjadi lebih baik.

Dan saya juga yakin orang yang paling baik untuk melaksanakan idealisme reformasi itu ialah Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang ke-8.

Oleh itu, saya membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui biro politik dan mengalah lebih awal.

Lagi pun, keputusan pemilihan kali ini adalah cukup jelas. Undi popular saudara Azmin hanyalah 51 peratus, berbeza 2 peratus sahaja dengan undi popular saya yang melambangkan dua aliran berbeza yang sama kuat dan sama penting di dalam parti.

Isyarat yang dihantar melalui undi anggota yang memberi kemenangan kurang dua peratus kepada saudara Azmin (dalam keadaan beliau menteri kanan, penyandang jawatan selama 8 tahun dan bekas menteri besar), adalah isyarat yang perlu diperhalusi oleh beliau sendiri.

Saya mendoakan Anwar Ibrahim, sebagai presiden parti dan bakal perdana menteri mendengar dan meneliti segala kemelut serta keluh kesah anggota di bawah.

Sejujurnya, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah di dalam pemilihan ini.

Kita semua menang jika kita menginsafinya dan berazam untuk memperkukuhkan idealisme reformasi lantas kembali berkhidmat kepada rakyat, di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.

Kita semua kalah jika yang memegang amanah itu hanya melihat jawatan dipegang sebagai loncatan untuk mencari laba mengikut puak masing-masing, sehingga bercanggah dengan teladan kepimpinan Anwar Ibrahim.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada puluhan ribu pendokong kempen saya yang mengorbankan masa, wang dan tenaga sehingga ke peringkat ini.

Saya tidak berjawatan dan tidak berwang untuk membayar saudara-saudari, tetapi saudara-saudari tetap setia berkhidmat sebagai relawan.

Koperasi anggota PKR

Sepanjang kempen selama empat bulan, saya berjumpa ramai anak-anak muda, ibu-ibu dan abang-abang yang miskin tetapi kental daya juangnya.

Saya disambut ikhlas oleh sahabat-sahabat pelbagai bangsa dan budaya: baik yang Melayu, Cina, India, sahabat-sahabat Kadazan Dusun Murut dari pedalaman Sabah dan pendokong parti dari seantero negeri Sarawak yang besar itu.

Saya hargai persahabatan saudara-saudari dan setiakawan yang tidak ternilai itu. Saya terhutang budi dengan saudara-saudari.

Makanya, saya kini kembali sebagai anggota biasa PKR seperti mana ratusan ribu saudara-saudari di luar. Saya akan terus turun berjumpa anggota akar umbi untuk menyusun gerakan kita menjadi lebih baik.

Saya akan mengusahakan satu koperasi agar saya dapat membantu kedudukan ekonomi seberapa ramai anggota PKR di seluruh negara, yang tidak mendapat apa-apa pun dari perjuangan ini.

Saya akan terus setia kepada perjuangan PKR untuk rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.

Sama-sama kita raikan beliau sebagai presiden baru PKR, kita ketemu di Kongres Nasional esok.

Calon ketua Pemuda PKR (AMK) Dr Afif Bahardin naik angin apabila Kalahari?

Calon ketua Pemuda PKR (AMK) Dr Afif Bahardin hari ini menggemparkan perwakilan Kongres Tahunan AMK dengan mengoyak 'cai' (senarai pasukan) pasukan lawan Rafizi Ramli.

Afif, calon kem Timbalan Presiden Azmin Ali, berbuat demikian dalam acara di Shah Alam di hadapan kira-kira 300 perwakilan di Shah Alam.

“Inilah kita pertahankan sepanjang 9 minggu (pemilihan), bukan lagi soal bicara idealisme perjuangan idealisme, siapa yang buat kerja dan tidak buat kerja, siapa yang layak, yang tidak layak.

“Yang penting kertas ini (cai) masuk dan letak di tepi meja (ketika undi).

“Senipis inilah nilai masa depan Keadilan (PKR),” katanya yang kemudian mengoyak senarai yang dipegangnya itu.

Afif yang kelihatan beremosi berkata demikian dalam ucapan penggulungan timbalan ketua Pemuda AMK.

Itu adalah ucapan rasmi terakhir beliau sebelum menyerahkan jawatan kepada penggantinya.

Terdahulu exco kerajaan Pulau Pinang itu mempertikaikan proses pemilihan PKR yang didakwanya mempunyai banyak kelemahan.

Afif kalah dalam pertembungan dengan Akmal Nasir dari kem Rafizi.

Najib enggan masuk kandang tertuduh

Hariz Mohd
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini enggan memasuki kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semasa pengurusan kes bagi 25 pertuduhan jenayah yang dihadapinya berkaitan 1MDB.

Anggota Parlimen Pekan itu dilihat duduk di kerusi di sebelah kandang tertuduh dan terus berbuat demikian walaupun diminta berpindah secara sopan oleh seorang pegawai polis bertugas atas arahan pihak pendakwaan.

Ketika dihubungi selepas prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu pemberita bahawa Najib sepatutnya memasuki kandang itu memandangkan beliau adalah tertuduh, tetapi bersikap "degil".

"Pada mulanya saya tidak menyedari bahawa dia (Najib) tidak duduk dalam kandang tertuduh, ketika saya menghadap hakim, tetapi (ketua pendakwa raya) Gopal Sri Ram melihat ketika dia berpaling dan memberitahu saya mengenainya.

"Jadi saya beritahu pegawai polis yang bertugas untuk meminta kepadanya (Najib) masuk ke dalam kandang, dan saya fikir dia telah mematuhi perintah pegawai polis itu. Hanya apabila prosiding itu hampir selesai, saya perasan bahawa dia masih tidak berbuat demikian," Kata Akram.

Katanya, polis boleh mengambil tindakan untuk memaksa Najib memasuki kandang berkenaan, tetapi atas budi bicara mereka memutuskan untuk tidak menimbulkan kekecohan kerana prosiding itu berlangsung dalam tempoh yang singkat.

Malaysiakini menghubungi peguam bela Najib, Shafee Abdullah untuk mengulas mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, semasa prosiding, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 27 November berhubung kes 1MDB yang dihadapi Najib yang akan disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau sebelum ini dimaklumkan oleh Sri Ram bahawa hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah bersetuju agar kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen.

Hakim Azura juga mendengar hujah Sri Ram bahawa pihak pendakwaan masih mempunyai 20 peratus dokumen bagi kes pengubahan wang haram dan 15 peratus dokumen bagi kes rasuah untuk diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Pada 20 Sept, Najib menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.08 bilion dan empat tuduhan salah guna kuasa bagi memperoleh RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Mat Hassan hilang kerusi Rantau, mahkamah arahkan PRK

Hafiz Yatim

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Rantau Negeri Sembilan kosong dan mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai tidak sah.

Sehubungan itu, hakim Azimah Omar mengarahkan satu pilihan raya kecil diadakan serta-merta.

“Ini diakui peguam Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulis.

“Dengan itu, mahkamah membenarkan pempetisyen memfailkan petisyen seperti berikut, Mohamad tidak dipilih sebagai ADUN Rantau dan pemilihannya tidak sah atau batal.

“Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta,” katanya.

Menurut hakim, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

"Ini adalah diskriminasi kepada pempetisyen (Dr S Streram) dan gangguan kepada proses demokrasi," katanya.

Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa pegawai pengurus itu tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR masuk sedangkan dia tahu Streram berada di luar pusat penamaan.

"Tindakannya tidak beretika dan tiada integriti," kata Azimah. Beliau juga mengarahkan Amino Agus untuk membayar kos sebanyak RM30,000.

Streram yang didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Beliau pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

Mohamad menang kerusi itu tanpa bertanding apabila Amino Agus enggan membenarkan Streram memasuki pusat pencalonan pada 28 April lalu.

Sebanyak 19 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan selama 12 hari itu.

Pakar bius berusia 63 tahun itu diwakili empat peguam diketuai Hanif Kathri manakala Mohamad diwakili lima peguam diketuai Hafizam Harun.

Mohamad yang ditemui pemberita selepas penghakiman itu dibuat memberitahu bahawa dia akan berbincang dengan peguamnya sama ada untuk merayu keputusan tersebut.

"Saya hormati keputusan mahkamah.

"Saya ada 14 hari untuk buat rayuan selepas berunding dengan peguam saya," katanya.

Streram berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini kerana mengembalikan semula haknya dan pengundi boleh memilih calon pilihan mereka untuk kerusi DUN N27 Rantau.

"Saya harap akan terpilih sekali lagi dalam pilihan raya itu nanti," katanya.

ICERD: Tiga persoalan utama antara realiti dan prinsip perlu dihalusi, kata Mufti Perlis

MALAYSIADATELINE
Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sangat perlu dilihat dalam tiga persoalan penting sebelum mana-mana pihak membantah dan kerajaan meratifikasikannya, kata Mufti Perlis Datuk Dr Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Beliau berkata, pertamanya semua pihak perlu melihat sejauh manakah keselarasan hasrat dan semangat konvensyen tersebut dengan Islam?

“Realiti dunia hari ini menunjukkan sikap yang tidak adil atas asas perbezaan bangsa dan agama di peringkat antarabangsa.

“Sekalipun mereka menandatangani ICERD tetapi mereka tetap menindas serta tidak adil. Penindasan Israel ke atas rakyat Palestin sejak dahulu tidak diambil tindakan yang tegas.

“Bahkan Amerika sentiasa membela Israel. Demikian penindasan Negara China terhadap penduduk Kaum Uighur yang muslim di Wilayah Xinjiang. Di India, penindasan terhadap penduduk dan rakyat muslim oleh Pemerintahan Narendra Modi sekarang.

“Peliknya, sikap diskriminasi Kerajaan India ini disokong kuat oleh beberapa pemimpin politik di Malaysia. Malangnya, di sini, mereka bercakap tentang keadilan dan hak sama rata, untuk India, mereka ada alasan yang lain.

“Semangat ICERD itu sebenarnya memang telah menjadi pegangan Umat Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Sepatutnya Umat Islam tidak memerlukan ICERD atau untuk berpegang dengan tujuan ICERD ini,” ujarnya sperti dalam kenyataan di facebooknya hari ini.

Kedua kata beliau lagi, apakah realiti dunia hari ini tentang diskriminasi kaum dan agama yang selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu mengutuk semua manifestasi dan amalan kebencian atas asas kaum, agama dan negara?

“Setiap kali ketidakadilan dunia terhadap Umat Islam, tidak diberikan pembelaan yang adil. Lihat di Myanmar, Palestin, China, India dan lain-lain.

“Dunia tidak lantang memperkatakan tentang perlanggaran hak kemanusiaan dan diskriminasi jika ia membabitkan Umat Islam. Ini merupakan realiti yang dapat kita saksikan.

“ICERD gagal menghalang mereka.Dalam ertikata lain, sekalipun ICERD telah diratifikasikan oleh kebanyakan negara dalam dunia ini, namun penindasan dan diskriminasi kaum terus berlaku. Sikap diskriminasi kaum dilakukan terutama oleh negara-negara yang kuat. Sering kali mereka justifikasikan hal itu atas nama memerangi pengganas,” ujarnya.

Dan ketiga apakah latar sejarah dan realiti Malaysia jika dilaksanakan perincian ICERD tersebut?

“Malaysia mempunyai realiti yang luarbiasa. Jika ICERD membincangkan tentang hak setiap rakyat yang berbeza latar kaum dan selainnya di bawah sesuatu negara, Tanah Melayu telah memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka yang berasal dari India dan China dengan begitu mudah sekali.

“Tanpa ICERD bahkan mengatasi ICERD. Tiada seperti Tanah Melayu ini. Tanpa sebarang peperangan kaum dan tanpa sebarang kekejaman seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara di dunia ini.

“Orang Malayu telah mengambil pendekatan yang sangat berbeza iaitu hampir 1juta individu yang bertaraf tiada kerakyatan (stateless person) telah diberikan kewarganegaraan oleh Tanah Melayu. Kebanyakan mereka berasal dari China dan India. Ketinggian budi dan sikap pemurah ini ini sukar didapati di mana-mana bumi melainkan di Tanah Melayu.

“Sejak dahulu, kaum selain Melayu dapat hidup dengan aman di Tanah Melayu. Mereka menjadi saudagar besar dan membuka perniagaan sekalipun di tengah-tengah kampung Melayu. Mereka tidak dilayani sebagai musuh atau dizalimi. Orang Melayu memanggil orang Cina ‘taukeh’ sebagai panggilan untuk orang yang kayu atau peniaga. Orang Cina kaya raya, peniagaan mereka tidak diganggu. Demikian juga Kaum India. Adapun peristiwa 13 Mei 1969, ia mempunyai latarnya yang tersendiri. Namun, secara umum layanan dan hubungan kaum di Malaysia sangat baik,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan kedatangan dan pemberian kerakyatan terhadap kaum-kaum lain dengan mudah, telah menyukarkan orang Melayu yang bukan berlatar pedagang bersaing dengan kaum lain. Di samping banyak kelemahan orang Melayu itu sendiri yang perlu dibaiki.

“Sebagai sikap yang adil atas keluhuran budi Kaum Melayu maka hak istimewa Orang Melayu sebagai tuan rumah, dalam kerangka yang adil tanpa menindas pihak lain adalah wajar.

“Maka, jika PBB mengiktiraf Affirmative Action (tindakan afirmatif) sebagai ‘Positive Discrimination’ dalam pelbagai negara bagi menjaga kepentingan kaum-kaum yang tertindas untuk diberikan keistimewaan supaya berdaya saing maka tidaklah ganjil jika Kaum Melayu yang merupakan tuan asal Tanah Melayu yang bersikap pemurah itu diberikan ruang di bawah Positive Discrimination.

“Selagi mana tidak menzalimi pihak lain, maka a sesuatu yang wajar jika dinilai dari latar sejarahnya.

“Banyak bangsa dalam dunia ini telah membuktikan sikap diskriminasi yang melampau. Sejarah Eropah, Amerika, UK, China, India dan selain lain telah membukti mereka menindas kaum selain dari bangsa mereka yang kuat atau majoriti.

“Bahkan ketika mereka minoriti pun, kaum kulit putih melaksanakan dasar Apatheid di Afrika Selatan. Di Eropah Nazi dan Yahudi. Demikianlah kaum kulit putih Amerika dan UK terhadap kaum kulit hitam. Padahal mereka sendiri yang membawa bangsa kulit hitam ke negara mereka. Begitu dahsyat sejarahnya.

“Namun tidak di Malaysia. Sekalipun bukanlah Orang Melayu yang menjemput ataupun mengajak Kaum Cina dan India ke Tanah Melayu, namun orang Melayu orang asing yang datang ke tanah mereka. Lebih dari itu, mereka memberikan hak sebagai warga negara tanpa ditumpah setitis darah pun.

“Secara perbandingan, toleransi antara kaum, khususnya Kaum Melayu terhadap kaum-kaum yang dari segi sejarahnya berasal dari luar, kualiti toleransi Melayu sekalipun tanpa ICERD jauh lebih baik dari kebanyakan negara di dunia ini.” ujarnya.

Tok Pa dan Husam sinergi baru PH Kelantan

N Faizal Ghazali

Penyertaan anggota parlimen Jeli, Mustapa Mohamed dalam parti Bersatu dilihat akan memberi nafas dan sinergi politik baru Pakatan Harapan (PH) Kelantan.

Penganalisis politik berpendapat, bekas menteri Umno yang lebih dikenali sebagai Tok Pa itu adalah tokoh ideal untuk digandingkan dengan Husam Musa yang kini mengepalai PH Kelantan.

Dr Mazlan Ali berkata, kedua-dua personaliti ini berkongsi beberapa persamaan dalam gerak kerja mereka.

"Kedua-dua mereka ini dikenali sebagai pemimpin yang mempunyai visi dan bermisi. Rakyat Kelantan apabila mengharapkan kepada pembangunan, kerancakan pelaburan dan peluang pekerjaan, akan melihat watak Tok Pa sebagai individu yang mempu memberi membawa harapan tersebut.

"Selain itu rekod pencapaian dua pemimpin ini di Kelantan sangat baik, Husam seorang pemimpin yang terbukti mampu untuk menjalankan tugas-tugas yang bervisi di negeri itu, begitu juga Tok Pa," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebagai rekod, Mustapa sebelum ini adalah pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan yang banyak memainkan peranan melawan PAS di Kelantan.

Namun, strategi BN tidak berjaya sejak 1990 sekali gus membolehkan PAS memerintah Kelantan hingga ke hari ini.

Justeru, Dr Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata dalam arus politik semasa, tidak mustahil untuk PH menggandingkan kewibawaan Mustapa dan Husam.

"Saya melihat gabungan antara Tok Pa dan Husam dalam konteks Harapan, sebagai satu elemen sinergi yang boleh mengangkat negeri Kelantan, tambahan pula kedua-dua mereka mendapat sokongan daripada kerajaan pusat.

"Mereka membawa visi dan misi kerajaan persekutuan. Saya percaya sudah pasti Kelantan banyak aspek-aspek yang perlu dilihat, dalam sudut pembangunan insan, pembangunan ekonomi, luar bandar dan infrastruktur masih memerlukan pembelaan kerajaan persekutuan.

"Jadi gabungan antara Mustapa dan Husam ini sangat ideal, satu gandingan yang mampu untuk membangkitkan semula sokongan rakyat kepada kerajaan Harapan," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar berpendapat, pengalaman luas kedua-dua pemimpin itu dalam politik Malaysia mampu menguatkan pengaruh Harapan Kelantan.

Katanya, gandingan mereka dilihat boleh memberi kesan besar kepada PH Kelantan dalam mempersiapkan jentera parti untuk merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

"Pengalaman Tok Pa sebagai bekas menteri kabinet dan Husam sebagai bekas exco kanan dalam pentadbiran amat diperlukan dalam pembangunan negeri.

"Sekiranya gandingan ini menjadi realiti dan seterusnya mendapat sokongan ahli khususnya penyokong Harapan, ia akan memberi ancaman besar kepada PAS Kelantan.

"Ketokohan kedua-dua mereka sentiasa menjadi bualan rakyat Kelantan tanpa mengira pegangan ideologi parti. Rakyat dapat merasakan kedua-dua pemimpin ini mampu mengubah dan membangunkan Kelantan untuk tampil sebagai negeri yang lebih disegani," katanya yang juga dekan pembangunan pelajar dan alumni UUM.

Gigi kekuningan, mulut berbau? Anda kena baca tips di bawah

Nizha Periaswamy

Masalah kesihatan mulut selalunya diambil remeh sehingga kita berdepan dengan isu perubatan seperti sakit gigi, sakit gusi dan sebagainya. Mulut salah satu organ yang harus diberi keutamaan kerana ia boleh memberi petanda untuk pelbagai penyakit.
Memberus gigi sahaja tidak mencukupi, apatah lagi hanya sekali sehari. Ia lebih dari sekadar memberus. Masalah gigi kuning, mulut berbau, kering atau berliur, semuanya memberikan ketidakselesaan. Bukan hanya kepada anda tetapi mereka yang di sekitar.

Artikel di bawah yang dipetik dari beberapa portal kesihatan mungkin boleh membantu anda melindungi kesihatan mulut.

1Diet gigi putih
Sekiranya anda gemar minum teh atau menghisap rokok dan mengharapkan gigi yang putih bak mutiara, memang mustahil. Jadi elakan pengambilan minuman atau amalan yang boleh menyebabkan gigi anda kuning atau kotor. Di samping itu pengambilan minuman bersoda, makanan berkuah tertentu, kicap dan jus berwarna juga boleh mengagalkan usaha pemutihan gigi.

2Tukar berus gigi setiap 2 atau 3 bulan
Jika tidak, anda hanya memindahkan bakteria ke mulut. Menurut doktor gigi, Dr. Harold Katz, cara terbaik untuk memberus ialah dengan meletakkan berus gigi anda pada sudut 45 darjah terhadap gusi dan perlahan-lahan menggerakkannya dalam gerakan bulat. Pegang berus gigi seperti pensel supaya anda tidak menggosok terlalu keras.

3Gunakan pengikis lidah untuk mengeluarkan plak lidah
Salah satu sebab nafas berbau adalah pembinaan bakteria pada lidah. Dengan mengkikis lidah setiap hari, ia akan membantu menghilangkan pengumpulan bakteria. Ia lebih berkesan daripada memberus lidah anda dengan berus gigi, kata Katz.

4Makan makanan “pembersih”
Makanan ‘pembersih’ ini membantu membersihkan gigi semasa anda mengunyah. Epal adalah antara makanan ‘pembersih’ terbaik selain lobak mentah, saderi dan bertih jagung. Untuk hasil yang terbaik, nikmati makanan pembersih ini pada penghujung hidangan supaya anda tidak perlu memberus gigi selepas makan.

5Kekalkan kesegaran, jilat dan bau
Mungkin berbunyi jijik tetapi bagaimana lagi anda boleh periksa bau mulut anda? Jadi untuk tujuan itu, Dr.Katz menyarankan kita menjilat telapak tangan dan membaunya. Sekiranya anda mencium sesuatu yang kurang enak atau busuk, ini bermakna bau mulut anda harus diberi perhatian. Segera dapatkan gula-gula penyegar nafas tanpa gula atau pembersih mulut bebas alkohol. Pembersih mulut beralkohol boleh mengeringkan tisu mulut, menyebabkan bakteria lebih mudah berjangkit.


6Berus gigi di antara waktu terawal dan terakhir
Kedua-dua waktu itu adalah paling penting untuk kesihatan gigi anda. Air liur memelihara plak dari gigi dan ia akan mengering pada waktu malam, jadi sebaiknya semua plak dibersihkan dari gigi sebelum tidur. Ia juga penting untuk memberus sebaik bangun tidur pada waktu pagi demi mengeluarkan plak dan bakteria yang dibina semasa anda tidur.

Langsung: Rosmah dituduh terima RM189 juta dari ahli perniagaan - Malysiakini

LANGSUNG | Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor dan bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor akan didakwa di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-duanya akan didakwa dengan pertuduhan rasuah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad.

Pembantu Rosmah, Rizal Mansor juga akan dihadapkan ke mahkamah berasingan di hadapan hakim Azura Alwi. Manakala ahli perniagaan, Tan Eng Boon akan didakwa di hadapan hakim Rozina Ayob.

Ku Nan akan diwakili peguam yang diketuai Tan Hock Chuan manakala K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent mewakili Rosmah.

Malaysiakini membawakan liputan secara langsung:

Ahli perniagaan Tan tak perlu serah pasport

3.40pm - Ahli perniagaan Tan Eng Boon yang didakwa bersubahat dengan Tengku Adnan dalam kesalahan rasuah.

Tan, 70, didakwa menyerahkan cek RM1 juta pada 27 Dis 2013 kepada Tengku Adnan. Seorang penterjemah membacakan dakwaan ke atas Tan dalam bahasa Mandarin. Tan kemudian mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan.

Dalam debat penghujahan panjang berhubung proses ikat jamin, pendakwa meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM3 juta atas alasan Tan mempunyai risiko melarikan diri kerana sering ke Singapura untuk urusan perniagaan.

Peguam Tan, Faisal Moideen berhujah bahawa jumlah yang diminta pihak pendakwaan bersifat menghukum kerana kes berkenaan melibatkan RM1 juta dan tertuduh memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

Faisal juga berhujah bahawa anak guamnya tampil di mahkamah tanpa perlu ditahan dan tidak melarikan diri dari perbicaraan lain di Johor Bahru di mana dia menyerahkan RM700,000 wang ikat jamin.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib bagaimanapun tidak bersetuju dan menjelaskan kes itu berbeza.

"Kini dia berdepan (maksimum) 20 tahun penjara. Bagi seseorang yang berumur 70 tahu, yang mendengar dakwaan ke atasnya yang boleh menyebabkannya dipenjara untuk sisa hidupnya, ini situasi yang berbeza," kata Ahmad.

Hakim Azura Alwi akhirnya menetapkan ikat jamin RM700,000 dan mengarahkan Tan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran rumahnya setiap bulan dan mengemukakan semua dokumen perjalanan antarabangsanya, kecuali Singapura, seminggu lebih awal sebelum berlepas.

14 projek disebut dalam kertas pertuduhan terhadap Ku Nan

3.30pm: Berikut adalah projek-projek pembangunan di Kuala Lumpur yang disebut dalam kertas pertuduhan kedua terhadap Tengku Adnan:

1. Cadangan usahasama dengan DBKL untuk membangunkan rumah mampu milik di atas sebidang tanah di Taman Metropolitan Kepong.

2. Cadangan untuk membeli 1.15 ekar tanah untuk tujuan membangunkan rumah mampu milik di Seksyen 85A, Bandar Baru Sentul.

3. Cadangan untuk membeli 6.846 hektar tanah di Bukit Jalil untuk membangunkan Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) dan pangsapuri.

4. Cadangan untuk membeli 48,106 kaki persegi tanah di Batu 4, Jalan Kelang Lama untuk membangunkan bangunan pejabat.

5. Cadangan untuk membeli 3.75 ekar tanah di Kampung Pandan untuk membina rumah mampu milik.

6. Cadangan untuk membeli 8,719 ekar tanah di Kampung Pandan untuk membina rumah mampu milik.

7. Cadangan untuk membeli 1.8 ekar tanah di Jalan Padang Tembak untuk membina rumah mampu milik.

8. Cadangan untuk membeli tanah seluas 1.07 ekar di Taman Desa untuk membina pangsapuri dan rumah mampu milik.

9. Cadangan untuk membeli 11,341 kaki persegi tanah di Setapak untuk membina pangsapuri dan rumah mampu milik.

10. Satu cadangan untuk membangunkan 1,208 unit pangsapuri dalam dua fasa.

11. Cadangan untuk membeli 42.43 ekar tanah di Taman Desa untuk membina rumah mampu milik.

12. Cadangan untuk membeli 4.5 ekar tanah bersebelahan dengan Jalan Kuchai Lama 6 untuk membina rumah mampu milik.

13. Cadangan untuk membeli tanah seluas 8,500 meter persegi di Taman Metro Prima untuk membina rumah mampu milik.

14. Cadangan untuk membeli 3.138 ekar tanah di Petaling untuk membina rumah mampu milik.


Ikat jamin Rizal ditetapkan RM1 juta
3.10pm: Hakim Rozina Ayob menetapkan ikat jamin RM1 juta terhadap Rizal, yang akan dibayar dalam dua kali ansuran. Bekas pembantu kepada Rosmah itu juga diarahkan untuk menyerahkan pasportnya.

DPP Kamal Bahrain Omar memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memohon untuk membicarakan kes Rizal bersama Rosmah. Ia akan didengar semasa prosiding praperbicaraan pada 29 Nov.

Ikat jamin RM1 juta untuk Ku Nan

3.05pm: Peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan bersetuju dengan ikat jamin RM1 juta yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan memerintahkan bekas menteri itu menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatiknya.

Hakim menetapkan 12 Disember untuk sebutan kes itu.

Rizal didakwa terima rasuah untuk Rosmah, diri sendiri

2.57pm: Empat pertuduhan dibacakan terhadap Rizal Mansor.

Pihak pendakwaan mendakwa Rizal meminta atau menerima rasuah daripada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd dalam empat peringkat.

Menurut pertuduhan pertama, Rizal meminta RM187.5 juta untuk Rosmah dari Saidi sebagai dorongan untuk membantunya memenangi kontrak kerajaan. Bagi tuduhan kedua Rizal didakwa meminta sebanyak RM25 juta untuk dirinya sendiri. Kedua-dua kesalahan itu berlaku antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi tuduhan ketiga, Rizal didakwa menerima bayaran sebanyak RM5 juta bagi pihak Rosmah pada 20 Dis 2016 sebagai ganjaran untuk membantu Jepak Holdings memenangi kontrak kerajaan.

Bagi pertuduhan terakhir, Rizal didakwa menerima bayaran sebanyak RM500,000 untuk dirinya sendiri pada 23 Dis 2016.

Kesemua empat kertas pertuduhan berkaitan projek Kementerian Pendidikan iaitu Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1,250,000,000 yang dianugerahkan kepada Jepak Holdings tanpa proses tender terbuka.

Sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009, Rizal boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan bagi setiap kesalahan.

Rizal memohon perbicaraan bagi kesemua empat pertuduhan.


Ku Nan didakwa terima cek RM3 juta
2.55pm: Pertuduhan alternatif dibacakan terhadap Tengku Adnan membabitkan jumlah RM1 juta

Dia meminta dibicarakan untuk pertuduhan alternatif tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Tengku Adnan dituduh menerima, atas kapasitinya sebagai menteri wilayah persekutuan cek RM2 juta daripada pengasas Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong.

Ini berlaku dengan pengetahuan Aset Kayamas, Sinerjuta Sdn Bhd, Fiber Vista Sdn Bhd, Era Ecoland Sdn Bhd, Garuda Searah Sdn Bhd, dan Ujana Mutiara Sdn Bhd yang mempunyai hubungan kerja dan sedang menjalankan beberapa projek dengan kementerian.

Ia juga merupakan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu melibatkan jualan tanah di Kuala Lumpur.

2.50pm - Pertuduhan pertama terhadap Tengku Adnan adalah seperti berikut:

Pada 27 Disember 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, dia didakwa selaku menteri wilayah persekutuan memperoleh cek bernilai RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon.

Ia berlaku dengan pengetahuan Nucleus Properties Sdn Bhd - kini dikenali sebagai Paragon City Development - yang mempunyai hubungan rapat dengan kementerian, untuk membangunkan tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

2.45pm: Hakim menetapkan 10 Disember sebagai sebutan kes terhadap Rosmah.

2.40pm Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Geethan Ram memberitahu mahkamah bahawa pasport Rosmah telah diserahkan dalam kes lain dan bersetuju dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Hakim membenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Geethan meminta ikat jamin dibayar secara berperingkat.

Umar Saifuddun membantah dan meminta ikat jamin dibayar sekali gus.

Hakim memutuskan ikat jamin sebanyak RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya dibayar dalam masa tujuh hari.


2.37pm - Bagi pertuduhan pertama terhadap Rosmah, dia dituduh menerima RM187.5 juta antara Mac dan April 2016.

Jumlah itu adalah 15 peratus daripada kontrak dari Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Bayaran itu bertujuan membantu syarikat itu mendapatkan tender langsung daripada Kementerian Pendidikan berhubung projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah dituduh menerima RM1.5 juta dari Saidi pada 7 Sept 2017, sekali lagi untuk membantu Jepak Holdings memperoleh kontrak berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan di bawah perenggan 16 (a) (A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Rosmah mengaku tidak bersalah.

2.35pm Rosmah masuk dalam kandang tertuduh apabila hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad memulakan prosiding.

DPP Umar Saifuddin memperkenalkan pihak pendakwaan.

2.30pm Rosmah berjalan masuk ke mahkamah bersama anaknya Norashman dan duduk di barisan kedua galeri awam.

Mahkamah akan bermula bila-bila masa dengan timbalan pendakwa raya, Umar Saifuddin mengetuai pendakwaan.

2.20pm: Anggota parlimen Larut dari Umno, Hamzah Zainuddin juga muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

2.14pm: Setiausaha Agung Umno Annuar Musa tiba di mahkamah bersama-sama bekas menteri dan anggota parlimen Umno, Shahidan Kassim.

Shahidan dilihat berjalan perlahan.

2.11pm: Sejurus ketibaan Rosmah, bekas pembantunya Rizal Mansor tiba di perkarangan kompleks mahkamah KL.

Dia berpakaian kemeja batik berwarna biru gelap dan seluar hitam dengan sepasang cermin mata hitam. Rizal dilihat tergesa-gesa berjalan ke mahkamah.

2.05pm: Rosmah tiba di kompleks mahkamah Kuala Lumpur bersama-sama dengan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak.

Kedua-dua mereka melangkah keluar dari sebuah kenderaan warna hitam.

Najib tiba dengan memakai sut biru gelap dan tali leher berwarna biru. Beliau kelihatan tenang dan tersenyum kepada media. Manakala Rosmah pula memakai baju kurung hijau kekuningan, mengekori Najib.

1.57pm: Bekas setiausaha agung Umno, Tengku Adnan tiba di mahkamah hari ini dengan memakai baju batik berwarna biru. Beliau diiringi beberapa orang pengawal peribadi.

Kumpulan Azmin dijangka menang besar

Pemilihan PKR berkemungkinan menyaksikan pasukan Azmin Ali iaitu calon bagi timbalan presiden menang besar.

Bagaimanapun jawatan bagi ketua pemuda PKR (AMK) masih boleh dimenangi calon daripada kumpulan pesaing Azmin, Rafizi Ramli.

Sumber daripada kedua-dua kem berkata keputusan tidak rasmi menunjukkan Afif Bahardin and Akmal Nasir bersaing sengit bagi jawatan tertinggi sayap parti itu.

Afif dikenali sebagai penyokong setia Azmin, manakala Akmal dianggap sebagai anak didik Rafizi.

Malaysiakini ketika ini tidak dapat memastikan pasukan mana memenangi paling banyak bilangan kerusi bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat AMK.

Pada 2014, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dianggap bukan penyokong Azmin, dipilih memimpin sayap pemuda parti itu.

Bagaimanapun Majlis Pimpinan Pusat AMK kebanyakannya terdiri daripada penyokong kuat Azmin.

Sekiranya Akmal dipilih sebagai ketua AMK, beliau masih boleh melantik individu daripada pasukannya dalam barisan exco.

Namun apa yang pasti pembantu Azmin, Hilman Idham bakal mengisi jawatan sebagai timbalan ketua AMK selepas undi besar diterimanya mengatasi calon dari kem Rafizi, Raymond Anuar.

Sementara itu , Haniza Talha dan Dr Daroyah Alwi dilihat bakal memenangi jawatan tertinggi dalam Wanita PKR.

Kedua-dua dikaitkan sebagai penyokong Azmin.


Bagi jawatan majlis pimpinan pusat parti itu, keputusan berkemungkinan menyaksikan 20 kerusi akan dimenangi kem Azmin.

Berdasarkan rekod Malaysiakini, terdapat lima calon MPP dikaitkan dengan Rafizi- Abdullah Sani Abdul Hamid, Larry Sng, Nik Nazmi, Nurin aina dan Dr zaliha Mustafa.

Tidak dapat dipastikan bila jawatankuasa pemilihan akan memuktamadkan keputusan dan membuat pengumuman.

Kongres nasional PKR bagi sayap Wanita dan AMK akan bermula malam ini, dengan barisan baru dijangka akan diperkenalkan pada majlis tersebut.

Tugas besar menanti Anwar tangani budaya ‘kem politik’ dalam PKR

MUHAMMAD SAUFEE ROSMAN dan MOHD FHARKHAN ABDUL GHAPAR
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan parti dilihat bukan sahaja memikul tanggungjawab mengetuai parti komponen terbesar Pakatan Harapan malah tugas lebih besar menanti iaitu untuk menangani budaya ‘kem politik’ dalam parti itu.

Tugas ‘menjernihkan’ budaya berpuak itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan risiko berlaku perpecahan dalaman parti pasca pemilihan PKR yang mungkin akan memberi kesan terhadap kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengupas isu itu, penganalisis dan pemerhati politik, Dr Chandra Muzaffar berkata PKR sebagai parti komponen terbesar PH perlu segera ‘mengubati’ budaya tidak sihat itu sebelum ia menjadi kudis dalam parti.

“Hal sedemikian merupakan masalah besar bagi PKR serta kerajaan PH… ada kemungkinan berlaku perpecahan dalam parti, sekiranya (budaya) kem atau puak ini berterusan.

“Kini mereka (PKR) memegang kuasa (sebahagian daripada kerajaan) dan atas dasar itu PKR perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi (budaya) kem politik bagi mengukuhkan kedudukan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, Chandra, yang juga bekas Timbalan Presiden PKR sebelum, mengumumkan keluar parti pada Disember 2001 mengakui budaya itu sudah wujud dalam PKR sejak awal penubuhannya, namun dilihat semakin serius pada masa ini.

“… ia bukan perkara baharu, cuma saya nampak sekarang (kem politik) jauh lebih teruk berbanding dahulu. Maka, perkara ini akan menjadi cabaran kepada barisan pemimpin baharu untuk menghadapinya pada masa akan datang, terutamanya selepas proses pemilihan PKR (tahun ini) selesai,” katanya.

“Saya berharap para pemimpin utama PKR seperti (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) selaku presiden baharu perlu bersikap bebas dan neutral bagi mengatasi masalah kem dan puak dalam parti itu,” tambahnya.

Persaingan sengit antara Anggota Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli yang perebutan jawatan Timbalan Presiden dilihat secara tidak langsung mewujudkan ‘kem’ dalam parti.

Kelantangan Rafizi mengkritik proses pemilihan parti dan dakwaan Azmin sebagai individu yang akrab dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya tidak disenangi oleh pengikut setia Anwar antara ‘drama’ yang menjadi perhatian umum sepanjang proses pemilihan PKR.

Menjelang Kongres Nasional PKR pada Jumaat ini, keputusan akhir tidak rasmi yang dipaparkan menerusi laman Twitter ‘Pemilihan KEADILAN 2018’ menyatakan Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mendahului dengan 70,550 undi mengatasi Rafizi (66,594 undi) untuk menempah kerusi Timbalan Presiden.

Sementara itu, profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zaid Ahmad dan Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian bersetuju pasca pemilihan PKR, Anwar perlu melaksanakan proses pendamaian dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti hingga anggota di peringkat cabang.

Zaid menjelaskan walaupun Anwar seperti tidak memperlihatkan campur tangannya pada proses pemilihan dengan tidak memihak kepada mana-mana individu sebagai tanda demokrasi, namun beliau perlu lebih tegas pasca pemilihan nanti.

“Anwar perlu bijak menangani pihak dan penyokong yang kalah supaya selepas pemilihan ini mereka masih rasa diperlukan dan dihargai oleh parti. Dia (Anwar) mesti berupaya lakukan pendamaian agar ahli parti dapat kembali bekerja bersama-sama dan tinggalkan segala persaingan ketika pemilihan untuk mengukuhkan parti menuju PRU15,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Sivamurugan berpendapat langkah merapatkan saf kepimpinan PKR bukan sahaja pada aspek perpaduan pemimpin tertinggi malah literasi politik dan matlamat parti harus dididik dalam kalangan anggota agar mereka memahami jawatan dan pangkat bukan perkara penting dalam perjuangan.

Tambahnya, Anwar harus pastikan tindakan segera untuk kembalikan perpaduan dalam parti dan yang kalah harus menerima hakikat (kekalahan), manakala yang menang tidak boleh pinggirkan yang kalah.-BERNAMA

Ayam halal di Lembah Klang diragui?

HIDAYAH HAIROM

KUALA LUMPUR - Kira-kira 80,000 ayam yang diragui statusnya akan terus dibekalkan di ibu negara jika projek pusat penyembelihan ayam halal tidak dapat dilaksanakan.

Malah Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia (G3PM) mendakwa ia akan lebih diragui apabila bekalan ayam sedia ada yang diedarkan di Lembah Klang ketika ini dikendalikan tanpa mematuhi piawaian agensi berkaitan.

Pengerusinya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, situasi akan berubah jika terdapat pusat penyembelihan ayam halal kelak yang dipantau rapi serta dikawal selia setiap pemprosesan termasuk penyembelihan.

“Secara amnya, projek pusat penyembelihan ayam halal berpusat dan pasar harian ini bakal memberi impak positif kepada seluruh warga Lembah Klang dengan kapasiti pembekalan 80,000 hingga 120,000 ekor ayam bersih dan halal kepada pengguna setiap hari.

“Selain itu juga, setiap pemprosesan dan penyembelihan ayam bakal dipantau rapi serta dikawal selia dengan ketat oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM7 juta dibiayai oleh pemaju untuk melengkapkan pusat tersebut dengan sistem loji rawatan air moden, canggih dan sisa buangan pepejal yang setaraf dengan piawaian negara maju seperti di Singapura, Dubai, Hong Kong dan Eropah.

“Kaedah advance bio-security akan memastikan ayam hidup yang sampai dari ladang bebas daripada sebarang wabak penyakit atau kesan sampingan kesihatan bermula dari awal operasi sehingga proses sisa.

“Kami tidak mahu berniaga di kawasan kotor seperti sekarang. Selama lebih 8 tahun Jabatan Perancangan Bandar DBKL, konsultan antarabangsa dan pihak pemaju perhalusi projek ini demi selesaikan isu yang berlaku di sekitar kawasan pasar harian itu,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Rosli berkata, peniaga dan penjaja kecil yang beroperasi di kawasan pasar tersebut menyokong pemilihan tapak lokasi projek itu kerana tiada lagi tempat yang lebih sesuai dan ikonik bagi menggantikan tapak asal dan pusat penyembelihan ayam halal tersebut.

“Adalah menjadi satu kerugian kepada warga kota Kuala Lumpur sekiranya projek ini gagal dilaksanakan.

“Ia adalah satu keputusan komprehensif dan kondusif untuk peniaga menyediakan stok jualan sumber makanan yang diproses mengikut piawaian ketat, bersih, halal, patuh syarak, halalan-toyyiban buat pengguna terutamanya pengguna Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sahih Group Sdn Bhd, Ahmad Jefri Mohd Meidin yang juga pemaju projek berkenaan berkata, lokasi projek berkenaan bersesuaian dengan pasar yang menjadi hub agro dan akan memberi penambahbaikan dalam semua aspek.

“Selain masalah-masalah sedia ada yang dapat diatasi, pembangunan projek ini juga akan memberi pulangan terbaik dari segi ekonomi dan nilai hartanah.

“Kami berharap pihak kerajaan tidak berganjak dari keputusan asal untuk memastikan projek ini dilaksanakan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Calon tewas lapor SPRM dakwa JPP sabotaj kem Rafizi

Adam Abu Bakar

Iswardy Murni berkata, beliau turut membuat laporan polis dan menyerahkan surat bantahan kepada JPP PKR.
PUTRAJAYA: Seorang calon yang tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan wujud konspirasi dalam Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk mensabotaj calon kem tertentu dalam parti itu.

Iswardy Morni, 41, yang tewas dalam perebutan jawatan ketua PKR Bahagian Petra Jaya membuat laporan itu kerana hilang kepercayaan terhadap JPP.

Beliau kalah dengan perbezaan 32 undi kepada penyandang Ketua PKR Bahagian Petra Jaya, Baharuddin Mokhsen.

“Macam ada sesuatu untuk ganggu proses pemilihan di Bahagian Petra Jaya. Hal ini kerana ia pemilihan parti dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ada konspirasi menentang saya dalam pemilihan. Disebabkan itu saya buat laporan kepada SPRM kerana saya dari kem Rafizi Ramli,” katanya di luar ibu pejabat SPRM hari ini.

Beliau turut mengadu penukaran tarikh pemilihan di bahagian Petra Jaya tanpa sebarang notis atau makluman yang menjadi antara punca beliau kalah.

“Pada awalnya, tarikh pemilihan pada 10 November, namun pada malam 9 November, saya diberitahu (pemilihan) diadakan pada 11 November pula, kemudian saya sahkan dengan JPP, mereka katakan kembali pada tarikh asal.

“Jadi, pada 10 November, saya ke pusat pengundian bersama penyokong untuk proses pemilihan parti, tetapi pada tarikh itu saya pergi langsung tidak ada orang, termasuk anggota JPP.

“Hal ini kerana pemilihan diadakan pada 11 November, ramai pengundi saya tidak boleh hadir pada masa tersebut sebab pertukaran tarikh tanpa sebarang makluman. Ia tidak adil bagi saya dan pengundi.”

Katanya, beliau sudah membuat laporan polis dan menyerahkan surat bantahan kepada JPP.

“Ini adalah tindakan susulan. Kita mahu tunjukkan keseriusan kita dalam isu ini. Saya hilang percaya pada JPP,” katanya sambil menambah tiada keperluan membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Sarawak ialah negeri terakhir mengadakan proses pengundian. Sebanyak 29 bahagian menjalankan pemilihan pada 10 dan 11 November lalu.

Petra Jaya mempunyai 1,508 ahli yang layak mengundi.

Isu jualan tanah DBKL: SPRM tahan Tengku Adnan

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Utusan Malaysia Online yang memetik sumber, melaporkan Tengku Adnan ditahan pada jam 3.15 petang selepas tiba untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tengku Adnan sudah sampai ke ibu pejabat SPRM, selepas tiba pada pukul 3.15 petang beliau terus ditahan,” katanya.

Tengku Adnan hari ini dipanggil bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes penjualan tanah DBKL semasa beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Difahamkan, Tengku Adnan akan didakwa esok berhubung siasatan kes berkenaan termasuk 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas lebih 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion.

Baru-baru ini, media melaporkan sebanyak 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion disiasat oleh pasukan khas Kementerian Wilayah Persekutuan dan SPRM sejak 31 Julai lalu.

Pada bulan lalu, Tengku Adnan mengakui SPRM telah memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah tersebut.

Rasuah: Bekas KSU, anak didenda RM12.6 juta bersama

Zikri Kamarulzaman
Bekas ketua setiausaha kementerian pembangunan wilayah luar bandar dan wilayah, Mohd Arif Ab Rahman dan anaknya, Ahmad Zukhairi, hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menerima suapan.

Hakim Azura Alwi mendenda kedua-dua mereka sebanyak RM12.6 juta bersama dan penjara 15 tahun.

Mohd Arif disabitkan kesalahannya membantu anaknya menerima rasuah sebanyak SG$200,000 (RM550,000) daripada sebuah syarikat tenaga solar untuk mendapatkan projek kerajaan pada Ogos 2016.

Kedua-dua tertuduh didakwa kerana memberi projek bekalan elektrik luar bandar sistem solar hibrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah secara rundingan terus (reka dan bina) bernilai RM57.5 juta kepada Syarikat Eramaz (M) Sdn Bhd.

Arif didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bersama Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Manakala Zukhairi pula melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
-malaysiakini

Merakam sejarah: Epilog projek Mat Songel terbongkar

Hishamuddin Rais

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam hari ini mengakui, memang ada rancangan untuk menubuhkan kerajaan campuran oleh pemimpin-pemimpin parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum, 9 Mei lalu. (Laporan Astro Awani 5 November 2018)

Tidak mustahil Datuk Seri Najib yang merupakan pengerusi Barisan Nasional dan merupakan parti yang memenangi kerusi paling banyak, dapat mentadbir negara ini sebagai “Care Taker Government” selama 3 bulan lagi selepas 9 Mei, 2018. (Laporan MalaysiaKini 4 November 2018)

Hishamuddin Rais juga telah menulis pekara yang sama dalam siri Merakam Sejarah pada 29 Ogos 2018.

Mengikut Lokman ‘caretaker goverment’ akan diteruskan selama tiga bulan. Manakala Hishamuddin Rais telah menulis bagaimana Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditangguhkan penubuhan selama dua minggu. Ertinya - selama dua minggu ini Najib akan terus menjaga kerajaan.

Perbezaan hanya pada fakta masa. Lokman melaporkan Najib terus menjadi penjaga kerajaan selama tiga bulan. Manakala Hishamuddin Rais melaporkan kerajaan PH ditangguh selama dua minggu.

Permintaan penangguhan selama dua minggu daripada Wan Azzizh ini berlaku pada hari Jumaat 11 Mei 2018 - dua hari salepas kemenangan PH dan sehari sesudah Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Mengikut logik Wan Azizah, penangguhan ini perlu untuk proses mengampunkan Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.

Rafizi perlu dapat pengampunan untuk dilantik menjadi menteri kewangan. Wan Azizah tidak bersetuju Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan pertama kerajaan PH.

Apa makna projek Mat Songel?

Pada 1 September 2018 Malay Mail telah melaporkan kenyataan Anwar Ibrahim yang menuduh Hishamuddin Rais hanya pandai-pandai mereka-reka berita dalam siri Merakam Sejarah.

Hishamuddin Rais dituduh sebagai penjilat yang membuat berita berasakan khabar angin. Sayugia diingatkan - menjilat ini adalah konsep seksual.

Walhal dalam bahasa Melayu ada konsep 'pembodek', 'macai', 'balaci' atau 'kaki ampu' yang memberikan makna yang sama. Mengapa Anwar menggunakan konsep seksual sebegini hanya Guru Nanak yang tahu.

Malah babak Wan Azizah dipelawa oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi perdana menteri juga tepat seperti yang dirakam oleh Hishamuddin Rais.

Babak ini diakui sendiri oleh Wan Azizah dalam laporan Berita Harian pada 9 Ogos 2018. Laporan ini memetik taklimat media Wan Azizah ketika melawat Jakarta.

Kenyataan Lokman dan kenyatan Wan Azizzh ini telah membuktikan bahawa apa yang dirakam oleh Hisahmuddin Rais adalah sahih, tepat dan benar. Amin.

Pekara induk sebagai epilog dalam siri Merakam Sejarah ini yang ingin saya hujahkan di sini ialah tentang projek gelap Mat Songel.

Apa makna dan implikasi projek Mat Songel ini? Bagaimana anak semua bangsa wajib memahami makna projek ini?

Kenyataan Lokman ini membuktikan dengan jelas kewujudan projek Mat Songel yang mahu menghalang tertubuhnya kerajaan baru PH.

Projek Mat Songel ini juga cuba menghalang Mahathir dari mengangkat sumpah untuk menjadi perdana menteri.

Lokman Adam secara jujur walau pun tidak disengaja telah membongkar projek gelap Mat Songel.

Lokman menerangkan perlu ditubuhkan kerajaan sementara selama tiga bulan untuk membolehkan Najib melakukan perundingan.

Baca tulisan berkaitan: Merakam sejarah: Disailang lagi

Lalu timbul persoalan - dalam masa tiga bulan ini Najib akan berunding dengan siapa? Dengan Agong? Dengan Mahathir? Dengan Guan Eng? Dengan Mat Sabu? Dengan Wan Azizah? Dengan Abdul Hadi? Atau dengan Raja Bomoh?

Kenapa saya terus menimbulkan pekara ini?

Peranan tiga sosok

Dalam siri Merakam Sejarah ini saya menuliskan kembali segala fakta - sebelum - ketika dan sesudah PRU ke-14 - yang saya ketahui. Dalam masa yang sama saya sedar ada babak-babak lain yang tidak saya ketahui.

Justeru terpulanglah kepada Si Polan dan Si Anu itu untuk merakamkan babak-babak yang mereka ketahui untuk pengetahuan umum.

Pada hemat saya Si Polan dan Si Anu ini juga memiliki tugas merakam sejarah untuk generasi yang akan datang.

Tujuan saya amat jelas. Rakaman sejarah ini untuk memberi ingatan kepada generasi yang akan datang. Agar mereka dapat melihat, mempelajari dan menghindar dari melakukan kesilapan yang sama.

Ilmu pengetahuan bukan datang dari mimpi. Ilmu pengetahuan datang dari pengalaman perbuatan manusia. Mengumpul pengalaman dan menuliskan kembali pengalaman adalah asas membentuk keilmuan.

Buku dan kitab adalah rakaman pengalaman manusia yang diususun untuk dijadikan ilmu dan rujukan.

Secara teperinci saya mencungkil projek Mat Songel ini kerana saya memikul beban sejarah untuk berkata benar. Apakah makna berkata benar ini?

Semasa berkempen dalam PRU ke-14 - dengan slogan dan garis ucapan dalam ceramah cukup jelas. Di semua ceramah Jelajah Harapan - pemidato utama akan mengumumkan kepada bakal pengundi tentang sosok yang dicadangkan untuk meneraju kerajaan PH.

Umum diberitahu Perdana Menteri PH ialah Mahathir. Timbalan Perdana Menteri ialah Wan Azizah. Manakala Anwar Ibrahim dicadangkan untuk menjadi perdana menteri menunggu.

Orang yang paling sering memasyhurkan peranan tiga sosok ini ialah Mohamad Sabu atau Mat Sabu. Secara berseloroh Mat Sabu akan meminta Mahathir mengambil pen dari dalam poket baju. Kemudian Mat Sabu meminta Mahathir mengangkat pen tersebut untuk dilihat umum di bawah pentas.

"Lihat Dr Mahathir masih bertenaga mengangkat pen… dia angkat pen ini untuk tanda tangan penangkapan Najib dan Rosmah….. bukan Mahathir nak jadi nelayan atau turun ke bendang….". Orang ramai ketawa mendengar ucapan Mat Sabu.

"Wan Azizah sebagai timbalan. Anwar dicadangkan untuk menjadi perdana menteri menunggu kerana dia masih dalam penjara… bila PH menang Anwar akan diampunkan….." Ini janji PH yang dilafazkan oleh Mat Sabu.

Umum juga telah diberitahu bahawa Mahathir hanya akan menjadi perdana menteri untuk sementara waktu kerana faktor usia. Inilah juga janji ketika PH berkempen.

Pada 9 Mei 2018 PH mendapat kerusi parlimen terbanyak. PH menang. United Malays National Organisation dan kuncu-kuncu kalah teruk. Tup tup Mat Songel membuat projek sailang.

Semua terbarai

Projek sailang Mat Songel ini telah saya rakamkan melalui babak-babak yang berlaku semenjak malam 9 Mei. Malam pertama istiadat angkat sumpah di Istana Negara gagal.

Malam kedua istiadat ini sengaja diperlambat-lambatkan. Di belakang babak-babak ini wujud Mat Songel yang sedaya upaya cuba untuk mengagalkan kelahiran kerajaan PH. Ini bukan fitnah. Semua telah dibuktikan. Amin.

Akhir-akhir ini kita selalu terbaca dan terdengar tentang Mahathir akan memberikan kerusi perdana menteri kepada Anwar yang sedang menunggu. Dikatakan ada ‘janji’ telah dibuat antara Mahathir dengan Anwar.

Perkara ini secara terbuka telah diberitahu oleh Mahathir kepada warga dalam dan luar negara. Ini bukan satu rahsia. Tapi? Apa tapinya?

'Janji' ertinya ada persetujuan antara dua pihak. Ada janji mulut. Ada janji bertulis. Dalam Adat Perpatih Negeri Sembilan amat jelas dalam hal janji berjanji ini:

bulat air kerana pembetong

bulat manusia kerana mufakat

kerbau dipegang tali

manusia dipegang janji

Persoalan timbul apakah janji ini bertulis antara Mahathir dengan Anwar. Apakah ini janji telah dimeteri dan dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Atau ia hanya jawapan Mahathir kepada media ketika ditanya berapa lama Mahathir akan menjawat kerusi perdana menteri.

Semua ini semakin tidak jelas. Apa yang kita sering dengar hanyalah kata-kata Mahathir yang dia akan berundur. Apa yang kita dengar Anwar sebagai perdana menteri menunggu.

Apa masalah?

Pada hemat saya dari segi semangat kempen PRU ke-14 - amat jelas tidak ada apa-apa pertelingkahan. Tidak ada apa-apa masalah. Apa yang dijanjikan dalam kempen Jelajah Harapan akan dikotakan.

Tetapi - anak semua bangsa semakin ramai mempersoalkan tentang janji ini. Tentang melepaskan kuasa kepada Anwar. Pemerhati politik juga telah mula menimbulkan persoalan yang sama.

Malah telah terdengar saranan agar Mahathir meneruskan jawatannya untuk satu penggal. Ini untuk memastikan agenda reformasi dapat dituntaskan. Saranan ini disokong pula oleh kenyataan Mahathir sendiri.

Mahathir memulangkan tarikh untuk dia melepaskan jawatan kepada rakyat - kepada anak semua bangsa. Mengapa ini berlaku walhal semua seharusnya telah tuntas?

Semua ini timbul kerana di belakang semua ini adalah babak-babak projek sailang Mat Songel. Anak semua bangsa semakin sedar, terutama salepas kenyataan Lokman.

Umum juga telah membaca bagaimana Anggota Parlimen kapar Abdulah Sani dari PKR telah membocorkan bagaimana Daim Zainuddin cuba sailang Anwar dari menjadi perdana menteri ke 8.

Abdullah Sani telah membuat kenyataan ini di ruang lobi parlimen ini pada 12 Ogos 2018.

Sayugia diingatkan bahawa projek sailang Mat Songel bermula seawal malam kemenangan PH, iaitu pada 9 Mei 2018 . Daim hanya dilantik menjadi penasihat kerajaan pada Sabtu 12 Mei 2018.

Justeru kalau mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan berasakan babak-babak yang telah saya rakam maka perjanjian ini 'lonco'. Maknanya jika ada apa-apa janji maka janji itu lupus kerana ada pihak yang telah mungkir.

Ini sama saperti janji mulut antara Presiden Gorbachev dengan Presiden Reagan. Presiden Amerika ini berjanji tidak akan menambah anggota NATO ( Perjanjian Tentera Atlantik Utara) di Eropah. Presiden Bush telah menambah Poland, Bulgaria, Ukraine dan Rumania sebagai anggota baru NATO.

Apabila ini berlaku maka Presiden Putin terus menambah peluru berpandu di sekeliling Rusia. Tindakan Putin melanggar perjanjian.

Hakikatnya bila Mat Songel membuat projek sailang maka semua kemungkinan terbuka luas. Semua terbarai.

Wajib dikongsi bersama ketika merakam sejarah - bercakap benar adalah membuat kerja revolusi. Amin.

Jangan suka basuh malam-malam, makan dalam kereta Al

Alyaa Alhadjri

PARLIMEN | Remeh namun 'berbisa' dan boleh mengancam kebahagiaan. Itu yang dapat difahami daripada penjelasan Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.

Menurut timbalan menterinya, Hannah Yeoh, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menunjukkan ada hal-hal yang lazim dan kecil boleh menyumbang kepada masalah rumahtangga sehingga membawa perceraian.

Antaranya, isteri gemar membasuh baju pada waktu malam, suka mengikuti rombongan beramai-ramai dan tabiat makan dalam kereta.

Penjelasan itu menyebabkan anggota Dewan Rakyat ketawa.

"Saya pun basuh baju malam-malam," kata Yeoh secara spontan, sebelum dicelah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming: "(Timbalan) menteri, jangan basuh baju malam-malam,"

"Apa nak buat, sidang parlimen selalu habis malam," jawab Yeoh sambil tersenyum.

Beliau juga berkata punca lain yang membawa perceraian ialah berbeza fahaman politik, pasangan berdengkur semasa tidur dan suami atau isteri suka membeli-belah.

5 tahun pertama kritikal

"Saya baca sebab-sebab (perceraian) ini kerana saya nak tunjukkan bahawa banyak faktor remeh dijadikan sebab untuk bercerai," katanya.

Terdahulu Yeoh menjawab soalan Amin Ahmad (PH-Kangar) yang bertanya mengenai kes perceraian melibatkan pasangan yang baru lima tahun berkahwin serta punca-puncanya.

Kata Yeoh mengikut statistik kementerian ada 2,932 kes perceraian di seluruh Wilayah Persekutuan saja antara 2013 dan 2017, manakala data di negeri lain sedang dikumpul.

"Bagi orang bulan Islam pula, statistik dari Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan ada 14,440 kes perceraian di bawah usia perkawinan lima tahun bagi 2013 hingga 2017.

"Dalam tempoh berkenaan Johor paling tinggi iaitu 2,860 kes diikuti Wilayah Persekutuan 2,771 kes dan Selangor 1,858 kes," katanya.

Yeoh yang juga anggota parlimen Segambut berkata tempoh lima tahun pertama perkahwinan sangat mencabar kerana kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2014, lebih satu per tiga kes perceraian berlaku dalam jangka waktu itu.

Katanya antara punca-punca utama perceraian pada perkawinan pertama lelaki ialah tiada persefahaman (56.2 peratus), isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar (10 peratus).

Bagi wanita pula katanya 38 peratus menyatakan punca utama perceraian kerana tiada persefahaman, diikuti suami curang (20.5 peratus), dan suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).

"Jadi langkah diambil kerajaan untuk memantapkan institusi perkahwinan dan keluarga ialah melaksanakan program pra dan pascaperkahwinan bagi memberikan asas kukuh membina keluarga bahagia, terutama bagi pasangan baru berkahwin," katanya.

Kalau lompat masuk PAS kembali pada Islam, lompat parti lain takde iman?

'Apakah tiada sekelumit iman di hati para pelompat parti ini?'

Selepas pemimpin Umno mengecam wakil rakyat yang melompat parti dengan bidalan langau, seorang ulama PAS pula mengaitkan tindakan terbabit denan iman di hati.

Penceramah terkenal dan anggota Jawatankuasa PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani berkata seseorang wakil rakyat yang melompat keluar dari parti dan kerusinya dianggap membawa dosa khianat sehingga ke pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Parti baru yang menerima mereka pula, katanya, adakah akan menerima wakil rakyat terbabit dengan senang hati.

"Apakah tiada sekelumit iman di hati para pelompat parti ini?" katanya melalui satu hantaran di media sosial semalam.

Ahmad Dusuki yang dicalonkan PAS untuk merampas kerusi dewan undangan negeri Kota Anggerik - dan kalah perbezaan lebih 17,000 undi - pada 9 Mei lalu mengulas mengenai tindakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Guar Chempedak meninggalkan Umno semalam.

Tindakan itu menjadikan Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail menjadi wakil rakyat bebas dan diumum Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Ahmad Kassim semalam.

Kata Ahmad Dusuki semalam berlaku lagi "budaya khianat" di kalangan wakil rakyat dan menggesa "para alim ulama" mengeluarkan hukum mengenai langkah keluar parti tersebut.

Biar pengundi memilih semula

"Apakah dengan mengisytihar (menjadi) Adun atau MP (anggota parlimen) bebas kalian akan dianggap bersih daripada dosa?

"Para alim ulama perlu mempertegaskan hukum terhadap pelompat pelompat parti ini agar tidak menjadi budaya di kalangan mereka yang telah diberi tanggungjawab untuk mewakili pengundi yang mengundi mereka itu.

"Agama ini jelas melarang kalian MP atau Adun melakukan khianat!!! Apa sahaja parti kalian wakili!!" katanya yang kelihatan berang berdasarkan kenyataan dibuatnya itu.

Untuk rekod sejak PRU ke-14 berakhir sejumlah Adun dan MP meninggalkan BN dan menjadi wakil rakyat bebas, atau membentuk gabungan sendiri.

Selepas berlaku krisis dalaman PAS pada 2015 pula beberapa wakil rakyat mereka turut meninggalkan parti berkenaan dan menubuhkan Amanah, atau menyertai parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Kata Ahmad Dusuki jika ada wakil rakyat yang mahu melompat parti mereka mesti melepaskan kerusi yang dimenangi itu untuk membolehkan pengundi masing-masing membuat pilihan semula melalui pilihan raya kecil.

Beliau yang terkenal dengan siri ceramah mengenai alam barzakh berkata tindakan itu perlu diambil kerana mereka memenangi sesuatu kerusi menggunakan parti asal masing-masing.

"Itu jelas khianat!!!" katanya.

Makna kemenangan Azmin pada politik negara

Zin Mahmud
Ramai kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) melepaskan nafas lega dengan kemenangan Datuk Seri Azmin Ali yang mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan bersejarah parti itu.

Ini kerana kemenangan menteri Hal Ehwal Ekonomi itu diharapkan dapat mengekalkan perpaduan PKR dan selanjutnya menyumbangkan pada kestabilan PH, satu perkara yang penting untuk kelangsungan kerajaan sedia ada.

Walaupun lawannya, Rafizi Ramli mempunyai banyak peminat dalam kalangan penyokong PH di luar PKR, adalah dibimbangkan jika beliau yang menang, ada kemungkinan parti itu boleh berpecah. Perpecahan PKR akan menjejaskan pandangan baik orang ramai terhadap PH itu sendiri.

Perpaduan itu pula berasaskan pada hakikat kebanyakan ahli PKR mempunyai semangat demokratik yang baik dan menerima keputusan pemilihan itu dan meneruskan perjuangan reformasi parti itu.

Perlu diingatkan, walaupun pemilihan itu menyaksikan pelbagai kejadian yang tidak baik hingga timbul perkelahian, tetapi kemampuan PKR mengerahkan ahlinya beramai-ramai keluar mengundi, ia memperlihatkan penglibatan besar akar umbinya, suatu yang tidak terlihat pada parti lain di negara ini.

Selain itu, Rafizi memperlihatkan aktivisme tinggi, walaupun kalah tetapi meraih undi yang besar. Banyak penyokong PH wajar menginginkan kedua-duanya bekerjasama untuk masa depan PKR sendiri.

Pun begitu, masa depan PKR tentunya bergantung pada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebagai presiden PKR dan ketua umum PH, bersama penetapan beliau adalah bakal perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya sesuatu kesilapan saja yang boleh menggagalkan matlamat politiknya.

Harus diingat idealisme PKR adalah reformasi. Persoalannya tentu timbul tentang apakah reformasi yang hendak dibawa PKR sebagai parti dominan dalam PH. Juga perlu diambil kira, sejauh manakah parti lain dalam PH akan menerima agenda reformasi, tetapi lebih penting lagi adakah rakyat keseluruhannya mahukannya.

Malah dalam PKR sendiri, setelah merasai nikmat kuasa, adakah percaturan politik untuk memanfaatkan kuasa dianggap lebih penting daripada agenda dan prinsip reformasi? Atau reformasi hanya satu idealisme yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman 20 tahun?

Ataupun ia hanya retorik untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi meraih kekuasaan? Namun begitu, idealisme tentu berdepan dengan realiti yang menuntut pengubahsuaian serta kompromi pasti perlu dilakukan.

Masa depan PKR, dari segi dalaman bergantung pada kerjasama baik antara Azmin dan politik Anwar serta pihak yang dalam pemilihan tempoh hari itu menyokong Rafizi.

Para pemerhati sudah melihat kemenangan Azmin itu adalah tamparan pada Anwar. Tetapi ia tidak semestinya begitu. Percaturan politik dalaman parti pasti berterusan. Semua pihak, sama ada dalam PKR, atau luar terpaksa hidup dalam keadaan itu.

Apa yang pasti juga adalah PKR, walaupun akan menjadi dominan akan tetap perlu bekerjasama dengan parti lain dalam PH, tidak ada kecualinya. Setiap parti komponen mempunyai kedudukan yang turut diperlukan oleh PKR.

Di sebalik wajah PKR yang dominan, kekuasaannya dalam PH turut ditunjangi PPBM, DAP dan Amanah. PPBM membekalkan elemen fahaman kebangsaan Melayu, DAP merupakan sosok suara kaum bukan Melayu, sementara Amanah menyumbang denyut nadi gerakan Islam.

Sebab itu, semua idealisme reformasi tidak dapat disokong oleh parti lain dalam PH.

Pada keseluruhannya, idealisme reformasi turut didokong DAP dan Amanah. Tetapi ia tidak dapat diterima oleh PPBM. Idealisme politik PPBM tetap seperti mana Umno Baru yang diasaskan oleh Dr Mahathir. Sedangkan reformasi timbul kerana penentangan pendokongnya terhadap Dr Mahathir.

Walaupun Dr Mahathir berubah dan tentunya PPBM tidaklah serupa betul dengan Umno, tetapi ada saja penyokong parti itu yang tidak boleh menerima Anwar. Sememangnya terdapat kegelisahan dalam kalangan sebahagian penyokong PPBM apabila menghadapi kepimpinan Anwar, yang bakal menjadi perdana menteri.

Buat masa ini Dr Mahathir ialah pengerusi PH dan menjadi perdana menteri. Walaupun bilangan kerusi PPBM adalah kecil berbanding PKR tetapi ketokohan Dr Mahathir menjadikan parti itu besar.

Dr Mahathir menggembleng sokongan DAP dan Amanah untuk mengimbangi kekuatan PKR. Selain itu, daripada PKR, dilihat Dr Mahathir mesra pada Azmin hinggakan ia dijadikan isu oleh pihak Rafizi.

Tetapi kedudukan itu akan berubah apabila Anwar menjadi perdana menteri kelak. Bukan saja kedudukan PPBM akan merosot tetapi juga DAP dan Amanah. PKR akan muncul sebagai parti dominan dalam PH seperti Umno dalam Barisan Nasional, walaupun tidaklah mencapai setaraf itu.

Tetapi pada masa-masa akan datang, PKR mungkin berhasrat untuk menjadi parti yang lebih dominan daripada keadaan sekarang. Dengan keadaan yang lebih dominan, parti itu boleh menentukan kedudukan ahli PH itu sendiri dengan kemungkinan penyertaan parti yang sekarang menjadi pembangkang. Dalam keadaan itu, agenda reformasi lebih mudah dilaksanakan.

Sebagai parti yang terbuka dan bersifat pelbagai kaum, PKR boleh menampung semua program fahaman PPBM, DAP dan Amanah. Cumanya soal kepimpinan dan kepentingan khusus yang diwakili Umno dan PAS akan menjadi penghalang kepada PKR untuk menjadi dominan.

Sebagai contoh, kepimpinan Anwar tidak secara keseluruhan boleh diterima oleh rakyat negara ini. Malah daripada sudut tertentu dengan masa berlalu, Azmin lebih boleh diterima berbanding Anwar. Dalam PH sendiri, ada kalangan dalam PPBM dan Amanah yang lebih boleh menerima Azmin daripada Anwar.

Tetapi persaingan antara Azmin dengan Rafizi tidak akan berakhir dengan keputusan pemilihan itu. Dinamika politik PKR akan terus bergolak, dan ia turut mengheret PH dan meberi kesan juga pada pembangkang.

Politik Malaysia penuh dengan kejutan. Kalau tidak lama dahulu pengundi Port Dickson menentukan bakal pengganti perdana menteri, maka dalam pemilihan parti pula, ahli PKR Bahagian Julau, Sarawak yang menentukan siapa timbalan presiden parti.

Perjalanan Azmin masih jauh, dan begitu juga Rafizi. Walaupun Anwar belum menjadi perdana menteri, tetapi para pemerhati sudah memikirkan siapa pula yang akan menggantikan beliau kelak. Azmin pula sebelum ini pernah melakukan tindakan politik yang bukan saja tidak disenangi oleh aktivis PKR tetapi juga Amanah.

Tetapi bagi rakyat pada umumnya, apa yang mereka kehendaki adalah kehidupan yang selesa tidak kira siapa yang mentadbir.

Para pemerhati politik berusaha memberi tafsiran kepada kemenangan Azmin mengatasi Rafizi. Tetapi akhirnya terpulang pada aktivis memanfaatkan keputusan pemilihan PKR itu.

Ia tetap bersejarah kerana inilah pertama kali sebuah parti yang mengadakan pemilihannya hingga ke peringkat ahli. Lebih-lebih lagi dengan menggunakan teknologi elektronik yang belum begitu stabil.

Proses pemilihan PKR yang begitu terbuka itu menjadi cabaran kepada parti politik yang lain di negara ini. Itulah makna sebenar kemenangan Azmin.

Ada menteri tidak perform, Rombakan Kabinet bulan depan?

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Isu rombakan Kabinet hanya sekadar spekulasi dan ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat PH.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak mendengar kemungkinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan Kabinet.

"Saya tidak mendengar perkara ini dalam Kabinet atau secara dalaman. Mungkin ia tak lebih sekadar spekulasi dan khabar angin.

"Walaupun jika ia berasas, akhirnya Perdana Menteri yang membuat keputusan," katanya ketika wawancara bersama stesen radio, BFM hari ini.

Sebuah portal hari ini melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Bersatu.

Bagaimanapun, portal itu mendakwa hanya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bakal digugurkan.

Kuota Bersatu akan diganti oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Sri Gading yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Adun Guar Chempedak keluar Umno

Adun Guar Chempedak Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengambil keputusan untuk keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

Menurut Bernama, perkara itu diumumkan Speaker DUN Kedah Ahmad Kassim sebaik persidangan DUN bermula pagi ini.

"Perkara ini dimaklumkan kepada saya melalui satu surat yang diterima semalam...Jadi tempat duduk beliau dalam dewan ini akan berubah," katanya seperti dipetik.

Untuk rekod, Ku Abdul Rahman, 62, merupakan seorang daripada tiga adun BN yang sebelum ini menyokong pelantikan speaker yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) susulan kebuntuan memandangkan PH dan pembangkang mempunyai jumlah adun yang sama.

Beliau menjadi adun Guar Chempedak sejak 2008. Pada PRU ke-14, beliau menewaskan Musoddak Ahmad (PAS) dan Mohd Saffuan Sabari (PKR) dengan majoriti 259 undi.

Ku Abdul Rahman juga menjadi exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam negeri, Hal Ehwal Pengguna pada penggal lalu.

Dengan perkembangan ini, Umno kini hanya memegang dua daripada 36 DUN di negeri itu.

Shahidan muncul di mahkamah, diikat jamin RM25,000

Bekas menteri Shahidan Kassim hari ini muncul di mahkamah untuk mendengar pertuduhan jenayah ke atasnya, beberapa hari selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.

Anggota parlimen Arau yang pernah menjadi menteri besar Perlis itu sepatutnya didakwa atas tuduhan berkaitan kes cabul pada 9 Nov lalu namun gagal menghadirkan diri.

Berdasarkan kenyataan di Facebook Shahidan ketika itu berada di Mekah, dan peguamnya Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai pertuduhan berkenaan lebih awal.

Sementara itu Bernama melaporkan Shahidan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM25,000 bersama dua penjamin.

Utusan Online melaporkan Shahidan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira jam 8.20 pagi ditemani isterinya Shamsiah Mohd Yassin.

Kedatangan Shahidan turut disambut kira-kira 10 orang penyokongnya.

Jihad dengan falasi

Al-Abror Mohd Yusuf
Barangkali bosan kerana perbualan biasa-biasa dalam kumpulan WhatsApp selama berhari-hari, salah seorang anggotanya 'menyakat' kawan-kawan.

Daripada segala apa yang ada di atas muka Bumi ini, dia memilih untuk menghantar imej tentang dakwaan kerajaan Pulau Pinang mengharamkan azan.

Untuk mengukuhkan hujahnya mamat yang seorang ini menyodorkan satu klip kuliah "agolitik" seorang pemimpin sebuah parti.

Apakah "agolitik" itu? Ia istilah yang sengaja direka untuk tulisan kali ini, iaitu gabungan sedikit kata-kata agama dan banyak kempen politik semasa kuliah di masjid.

Keratan imej dan video itu sudah bertahun-tahun lamanya. Si ustaz yang membuat tuduhan juga sudah meminta maaf. Dan kerajaan Pulau Pinang bukan sekadar mengizinkan azan, malah pada setiap subuh negeri itu menggalakkan azan dikumandangkan dua kali.

Tetapi apa sangatlah untuk seorang penyokong parti kebangsaan bernama PAS itu untuk menerima hujah bahawa apa yang dihantarnya itu satu fitnah.

Baginya - barangkali - demi Islam semuanya adalah halal, waima menyebarkan pembohongan dan fitnah.

"Aku geram, bro. Bila orang hantar gambar seksi atau lucah dalam grup, tak ada sesiapa yang bising," kata dia. "Ini aku usik sikit pasal DAP semua melompat."

"Bukan soal DAP atau amoi," kata seorang kawannya. Juga dalam kumpulan WhatsApp itulah. "Ini soal betul atau salah, fitnah atau fakta. Kalau salah mengaku salah."

Maknanya dia nak melawan hantaran-hantaran nakal dan lucah dengan keratan cerita dan video pembohongan.

Selepas ditegur - dan gagal pula mempertahankan hujahnya - dia pun meminta maaf dengan bertapi-tapi. Tapi itu dan tapi ini. Dia tetap menyalahkan orang lain dalam maafnya. Memang jenuh.

Ia adalah gambaran betapa tidak semua orang yang mendakwa sayangkan Islam itu mempunyai kefahaman yang dalam tentang Islam. Dan pada ketika tertentu mereka akan keliru dengan kata-kata sendiri.

Mencampur-adukkan Islam dengan mengabsahkan semangat Melayu melampau, misalnya.

Ismail Haniyeh tak berjubah

Islam ialah agama yang membawa aman, damai dan sejahtera. Ia mungkin boleh hadir dalam tubuh orang berjubah, atau berserban, namun tidak semestinya orang yang berkot dan berseluar jeans tidak ada iman di dalam hatinya.

Serban dan jubah - sebagai contoh - mungkin membalut sekujur tubuh yang damai dan membahagiakan, namun ia bukan suatu jaminan.

Berapa ramai orang berjubah dan berserban begitu lincah menyakiti orang lain. Jika tidak pun dengan siku, lutut, kaki atau tangan, mereka melakukannya dengan penuh bergaya dengan nikmat lidah yang Allah kurniakan.

Islam itu menyeluruh dan teduh. Ia bukan sekadar jubah dan serban atau berdahi hitam. Berapa banyak sudah kita berdepan kesukaran untuk membezakan yang mana satu lebih hitam pada seseorang - sama ada dahi atau hatinya.

Orang yang berjubah, berjanggut dan berserban mungkin muslim tetapi tidak semestinya seorang mukmin. Kalau mereka mencarut, menyebarkan aib atau menanamkan kebencian, itu masih boleh dilayan dengan hati yang tenang.

Namun bagaimana dengan orang yang berjubah dan berserban - misalnya - begitu galak melayan mesej wanita yang 'gersang' pada malam hari atau menghantar gambar alat sulit sendiri? Ini cuma contoh dan misalan saja. Tidak merujuk kepada sesiapa sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Bagaimana pula dengan orang yang mengaku bertakwa pada hampir kebanyakan masanya, kemudian memikirkan bagaimana mahu meledakkan tubuh-tubuh yang dilatih untuk menjadi pengebom pencari mati?

Jahat atau baik seseorang - atau muslim atau tidaknya mereka - bukan ditentukan oleh pakaian yang khusus. Akhlaklah yang menentukan taraf mereka sama ada perlu dihormati atau dibenci.

Entah berapa kali Ismail Abdel Salam Ahmed Haniyeh itu berjubah pada setiap bulan berbanding dia berpakaian segak dengan kot dan bertali leher. Berkot dan bertali leher tidak menjadikan beliau fasik atau munafik.

Orang tetap menghormatinya sebagai seorang pejuang yang tekal dengan Hamasnya.

Namun bagi sesetengah orang menyebarkan falasi (fallacy) dianggap halal hanya kerana dia berasa dia lebih bertakwa dan Islam berbanding orang lain.

Dan jika tindakan itu dilakukan orang yang sealiran dengannya, ia wajib disokong. Pedulilah apa pun hujahnya atau bagaimana busuk tembelang yang pecah, ia wajib dibenarkan.

Apakah lagi istilah yang sesuai untuk menamakan fahaman itu kalau bukan kebangsaan? Dan pada beberapa segi PAS kini bolehlah dianggap sebagai sebuah parti kebangsaan yang secara kebetulan pada tubuhnya ada perkataan Islam.

Bangsa apakah mereka? Bangsa PAS-lah.

Tukang kempen percuma

Dan bangsa PAS itulah yang diajak pemimpinnya memboikot filem Polis Evo 2 itu. Daripada orang tidak begitu peduli dengan filem berkenaan, kini semakin ramai menyedari bahawa ada filem tersebut bakal menjengah pawagam beberapa hari saja lagi.

Adakah kempen itu akan berjaya? Jawabnya, ya dan tidak.

Ya, berjaya kalau julatnya ialah di kalangan bangsa PAS saja. Tidak pula kalau diukur kepada rakyat negara ini secara keseluruhannya.

Seorang rakan yang memang bukan penggemar filem-filem Melayu semalam berkata, dia akan menonton Polis Evo 2 di pawagam.

Alasan dia mudah: sebab PAS suruh boikot maka dia wajib menyanggah PAS. Antara lain kerana dia tahu PAS bukan agama dan kata-kata pemimpinnya bukan bertaraf wahyu walaupun mungkin mereka berserban dan berjubah selalu.

Dan tarikh 9 Mei baru saja berlalu. Sukar untuk percaya bahawa PAS sudah lupa bahawa di kebanyakan kerusi pilihan raya yang ditandinginya - kecuali di pantai timur dan Kedah - mereka berada di kedudukan bawah.

Jika pertandingan tiga penjuru, maka biasanya di tempat ketigalah PAS. Mujur sangat kalau ada pertandingan empat, lima, enam atau lebih penjuru, tidaklah malu sangat bangsa PAS.

Maknanya mereka ditolak orang ramai, kalau pun tidak dibenci oleh sesetengah pengundi. Keadaan itu berlaku dalam keadaan calon-calon mereka kadang-kadang berjubah dan berserban, dan kadang-kadang tidak.

Kadang-kadang mereka mahu kelihatan seperti hipster.

Dalam keadaan begitu amat luar biasa kebijakan pemimpin PAS membuat gesaan seperti memboikot Polis Evo 2 itu.

Mengenai Polis Evo 2 itu, elok benar kalau syarikat produksinya, Astro Shaw, memberi sedikit sumbangan kepada PAS atas kegigihan sesetengah pemimpin dan penyokong parti itu memberikan promosi percuma buat mereka.

Ia bukan masalah besar buat penerbit filem itu - atau sesiapa pun. Kalau bimbang akan ada isu berbangkit, hulurkan derma itu atas nama individu, bukan syarikat.

Bukankah PAS sebuah parti yang bangsanya berpolitik secara matang dan sejahtera? Justeru mereka sedia menerima sumbangan daripada sesiapa saja waima daripada parti yang pantang besar buat mereka, iaitu DAP?

Jangan lupa juga wawasan jauh PAS mahu mengumpul infak RM10 juta sebulan itu. Dengan adanya sumbangan demi sumbangan daripada semua, cepatlah parti itu mencapai matlamat yang ditetapkan para cendekiawannya.

Itulah, kadang-kadang ada juga sedikit simpati buat bangsa PAS itu tetapi mereka nampaknya gigih benar tidak mahu dikasihani dengan cara yang wajar.

Kemudian kita pun sedar - ingatan dan rasa hormat pada seseorang itu bukan terletak pada batang tubuhnya.

Seseorang itu mungkin rendah, mungkin tinggi, mungkin gempal, mungkin kurus, mungkin berkulit cerah, mungkin gelap. Pada akhirnya yang diambil kira ialah akal dan kewarasan juga.

Selebihnya ialah tahap kelobakan masing-masing yang tersorok atau terlondeh oleh kata-kata sendiri.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang menggemari brokoli dan kadang-kadang berasa lucu melihat pejuang Melayu megah berbaju Harley Davidson.

Rosmah hadapi tuduhan baru tak lama lagi

Isteri Najib Razak, Rosmah Mansor, dijangka dikenakan beberapa lagi tuduhan jenayah di mahkamah dalam tempoh terdekat dan ia berlaku kira-kira 40 hari selepas dia didakwa untuk kali pertama bulan lalu.

Kali ini Rosmah dipercayai akan dikaitkan dengan projek hibrid solar untuk sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak.

Memetik sumber SPRM yang tidak dinamakan The Star mendakwa turut akan didakwa bersama Rosmah ialah bekas pembantunya Rizal Mansor.

Pihak yang dekat dengan siasatan bagaimanapun enggan mendedahkan peranan Rosmah dalam projek terbabit dan butiran tuduhan yang akan dikenakan ke atasnya.

Isteri perdana menteri yang berprofil tinggi itu dihadapkan ke mahkamah buat kali pertama pada 4 Okt lalu. Beliau berdepan 17 dakwaan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM7 juta.

Pada Jun lalu Malaysiakini mendedahkan Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan BN menganugerahkan projek hibrid kepada sebuah syarikat berpangkalan di Bintulu, Sarawak.

Pemberian projek untuk 369 sekolah luar bandar itu didakwa dibuat atas "arahan langsung" daripada Najib. Ia melibatkan dana sebanyak RM1.25 bilion.

Dokumen yang dilihat Malaysiakini juga mendakwa kontrak terbabit diberikan tanpa melalui prosedur operasi standard Kementerian Pendidikan, serta proses perolehan yang sepatutnya.

Siasatan itu kemudian berkembang dengan menyaksikan beberapa pegawai eksekutif syarikat itu ditahan SPRM. Pembantu Rosmah dan Najib pula ditahan dan direman untuk disoal siasat pada Julai.

Ditanya sama ada bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid akan turut didakwa, sumber yang dipetik itu menjawab: "Belum lagi."

Boleh boikot Polis Evo 2 tapi ada syarat, kata Amanah

Seorang pemimpin parti Amanah berpendapat tidak salah untuk sesetengah pihak memboikot filem Polis Evo 2 yang belum ditayangkan itu.

Bagaimanapun kata Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkharnain Abidin sebelum langkah memboikot Polis Evo 2 itu dilakukan, ada keutamaan lain yang perlu dibuat.

Katanya langkah itu ialah memboikot PAS terlebih dulu.

Menurut Zolkharnain berdasarkan kepada pengamatannya tidak ada masalah besar pada filem aksi berkenaan.

"Kalau ada masalah tentang penjahat pakai serban, bukan orang PAS saja yang pakai serban.

"Panggilan imam pun, berlambak orang yang dipanggil imam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga timbalan pengerusi Amanah Perlis menambah di dunia realiti memang ada orang yang mengaku Islam namun berpewatakan ganas.

"Orang PAS pun ramai yang berwatak ganas," katanya sambil memberikan beberapa contoh, termasuk menumbuk kawan sendiri.

Terdahulu seorang pemimpin PAS menyarankan orang ramai memboikot Polis Evo 2 atas alasan ia memberikan gambaran buruk kepada Islam.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Riduan Md Nor juga melabel filem arahan Joeh Soh dan Andre Chiew itu sebagai karya "sampah".

Baca Polis Evo 2: Memang ada pengganas bertopeng Islam

Bagaimanapun seperti kebanyakan orang lain Riduan mengaku belum menonton filem tersebut. Polis Evo 2 hanya akan mula ditayangkan di pawagam pada 22 Nov ini.

Menurut Zolkharnain ada sesetengah pemimpin PAS sendiri menampakkan tanda memiliki unsur ganas, seperti fahaman takfiri (mengkafirkan orang lain).

"Jadi kalau orang PAS nak boikot filem tu, elok orang PAS boikot PAS dulu.

"Kalau filem itu mencemarkan imej Islam, apa kurangnya PAS?

"Dah selesai boikot PAS, barulah boikot filem tu. Adilkan? Sebab sama-sama ganas," katanya lagi.

PAS promosi dilemma Polis Evo 2?

ARIF ATAN
Ramai mahu tonton filem Polis Evo 2, Pas dianggap buat promosi percuma
Imej pelakon Hasnul Rahmat sebagai ketua pengganas yang berserban dalam Polis Evo 2 didakwa memberi persepsi buruk kepada Islam.
Rata-rata warga maya menganggap pemimpin Pas melakukan promosi percuma untuk filem Polis Evo 2 (PE2) yang hanya akan ditayangkan di pawagam mulai 22 November ini.

Ekoran gesaan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas Dr Riduan Md Nor semalam yang mengajak rakyat Malaysia memulaukan filem lakonan Zizan Razak dan Shaheizy Sam itu, ramai pengguna media sosial sebaliknya menyatakan tidak sabar untuk menonton PE2.

Antaranya, pengguna Facebook Usman Affan yang mengakui tidak pernah menonton filem tempatan di pawagam sebelum ini.

Beliau berpendapat tindakannya untuk menonton filem terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag itu nanti sebagai satu pengajaran kepada pemimpin Pas supaya lebih berhati-hati.

“Mungkin filem ini satu teladan buat tok lebai (pemimpin Pas) untuk berakhlak lebih Islamik. Tidak takfiri dan khawarij, tidak cepat menghukum dan menghina orang,” bidasnya.

Sementara itu, Steven Chew pula percaya syarikat produksi filem PE2 pastinya berterima kasih kepada pemimpin Pas.

“Sebenarnya saya tidak tahu adanya filem ini. Tiba-tiba ada lebai (pemimpin Pas) bagi iklan percuma yang amat berkesan sehingga ramai ingin menonton filem ini.

“Esok hari parti lebai ini boleh tubuh syarikat berkhidmat sesiapa yang ingin buat promosi produk mereka, amat berkesan,” sindirnya.

Pengguna Facebook, Alias Azman juga menyatakan keinginannya untuk menyaksikan tayangan sekuel PE2 yang turut menampilkan pelakon Hasnul Rahmat sebagai ketua pengganas berserban di pulau terpencil di pantai timur.

“Rasa nak pergi tonton saja Evo 2! Baru-baru ini filem Munafiq 2 ada watak antagonis Abuja.

“Daesh, Taleban, Boko Haram, Wahhabi An Najdi, Abu Sayyaf semua itu memang memberi imej yang buruk buat umat Islam sama ada kita suka atau tidak. Mengapa kita perasan bagus sangat sampai tak boleh kena tegur?” soalnya.

Tidak kurang juga warga maya yang menyindir ajakan memboikot filem PE2 agak melucukan memandangkan bukan semua negeri ada pawagam.

“Nak boikot filem Polis Evo 2 tapi Kelantan tiada pawagam,” perli Hariz Zhafrie.

Bagi Intan Sulaiman pula menulis, “Lagi orang nak tengok akibat promosi dari Pas” tetapi Hamizon Abedul pula berkata, “Dah jelas pun anti Islam.”

Semalam, Riduan mendakwa PE2 cuba memberi imej buruk kepada Islam dan tindakan boikot boleh memberi pengajaran kepada pihak yang terlibat dalam pembikinan filem itu.

Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu turut menyaksikan aksi pelakon Raline Shah, Riz Amin, Hairul Azreen, Soffi Jikan, Syafie Naswip, Fir Rahman, Dennis Yin dan Tanta Ginting.

Najib, 2 bekas menteri dijangka hadapi pertuduhan baru

Bekas perdana menteri Najib Razak, dua menteri, dan seorang bekas timbalan menteri, selain tiga yang lain dilaporkan akan berdepan pertuduhan dalam masa terdekat.

Berita Harian melaporkan Najib, bekas pegawainya, dan seorang bekas menteri akan berdepan dakwaan berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi sekolah di Sarawak.

Jun lalu, Malaysiakini melaporkan Najib didakwa memberi arahan kepada Kementerian Pendidikan pada 2007 untuk melantik secara langsung sebuah syarikat bagi projek hibrid solar bagi membekalkan elektrik kepada 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pegawai khas kepada Najib dan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid sebelum ini disoal siasat oleh SPRM berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi bekas menteri dijangka disoal siasat berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor pada bulan lalu mendedahkan bahawa beliau disoal siasat SPRM sebanyak 12 kali berhubung siasatan penjualan tanah DBKL.

Bagi individu bekas timbalan menteri pula, dakwaan ke atasnya dijangka berhubung dakwaan penyelewengan RM25 juta dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Seorang anggota parlimen juga sebelum ini didakwa akan berdepan dakwaan mengaut keuntungan berjuta ringgit dengan mengambil komisen dari projek kerajaan BN.

Sementara itu, New Straits Times semalam melaporkan, bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad juga dijangka berdepan dakwaan menyalahgunakan kuasa ketika menerajui syarikat berkaitan kerajaan itu.

Rafizi: Saya hampir menang dengan 3,000 undi di Julau

Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau hampir mendapat 3,000 undi untuk bersaing dengan lawannya Mohamed Azmin Ali sebelum dakwaan berlakunya "serangan siber" terhadap tablet yang digunakan dalam pemilihan di Julau semalam.

“Saya dah hampir menang di Julau, hampir dapat 3,000 undi,” katanya dipetik The Malaysian Insight.

Pemilihan PKR Julau digantung kira-kira pukul 2 petang selepas Rafizi mendakwa terdapat tablet yang digunakan untuk sistem e-undi dipasang perisian ‘Prey Anti-Theft’.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Rashid Din turut mengesahkan mengesahkan 10 tablet yang digunakan pada pemilihan cabang Julau telah "diceroboh".

Penulis teknologi Keith Rozario bagaimanapun menjelaskan perisian yang didakwa Rafizi sebagai malware itu adalah adalah perisian anti-kecurian.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang mengulangi penjelasan itu menggesa JPP mendedahkan log file (senarai daftar) tablet berkenaan bagi mengenal pasti pihak yang memasang perisian berkenaan.

Sementara itu, Rafizi berkata, setelah JPP menggantung pemilihan, kira-kira 800 penyokongnya mengambil keputusan untuk tidak turun mengundi.

"Saya mungkin boleh menang besar di Sarawak (sekiranya pemilihan tidak digantung)," kata Rafizi.

Berhubung kemungkinan pemilihan semula di Julau, Rafizi berkata ramai pihak mungkin tidak "mempunyai tenaga" untuk ia diadakan.

"Setiap kali pemilihan semula, ia menjejaskan kempen kami. Untuk menyusun anggota di kawasan seperti Julau tidak mudah. Isu lojistik adalah isu utama.

"Saya sudah tak ada duit untuk menghadapi pemilihan semula," katanya dipetik sebagai berkata.

Pemiihan fasa kedua PKR Sabah, yang diadakan serentak dengan pemilihan semula di beberapa cabang PKR di Sabah, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor akan diadakan hari ini.