"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rosmah bakal dapat RM26 bilion dakwa Deepak

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Deepak Jaikishan yakin, walaupun ramai calon Umno mempunyai peluang menang yang tinggi (Winneble candidate) tetapi dengan Datin Seri Rosmah Mansor yang menjadi penjaga golnya, Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah untuk menjaringkan gol.

"Tangannya penuh dengan bilion ringgit untuk ditangkap, jadi dia tidak mempunyai masa untuk menangkap bola yang ditendang masuk," kata Deepak dalam kenyataannya kepada media.

Atas dasar itu, Deepak bekas kawan baik Rosmah itu berkata, BN bakal gagal dalam pilihan raya ini.

Beliau menjangkakan, Pakatan akan mendapat 123 kerusi, BN 99 kerusi dan Rosmah akan mendapat RM26 bilion.

Deepak mengulas kes ini ketika mengulas ucapan perwakilan dari Kelantan yang mendakwa pasukan Red Warior di Kelantan akan menjadi contoh pengurusan Umno pimpinan Najib yang bakal menang dalam pilihan raya ini.

Ketika ditanya, di manakah beliau mendapat angka RM26 bilion tersebut, Deepak berkata, ia adalah hasil kiraan beliau berdasarkan projek yang melibatkan Rosmah.

"Saya membuat kiraan berdasarkan projek yang saya terlibat dan projek yang saya tahu dimiliki oleh dia," kata Deepak dalam satu kenyataanya malam tadi.

Deepak sebelum ini mendakwa beliau adalah rakan perniagaan Rosmah sebelum berbangkitnya kes Penyataan Bersumpah (SD) P Balasubramaniam.

Sejak kes P Bala, hubungan mereka bermasalah kerana beliau didakwa tidak menunaikan janji untuk menyelesaikan kes Bala.

Deepak berkata, dia hanya menolong kawan dalam kes itu bukannya terlibat secara langsung.

Siaran langsung bicara selebriti dan Ustaz Azhar

Ikuti Siaran langsung bicara selebriti di sini http://rtv.kelantan.my/
http://www.livestream.com/rtvkelantan

Wanita puas seks lebih jelita

DIKATAKAN hubungan seks mampu mengubati apa jua penyakit yang singgah ke tubuh. Malah, kenyataan ini mulai dipersetujui oleh penyelidik-penyelidik perubatan. Kata mereka, aktiviti seks yang teratur berupaya memperbaiki peredaran darah, menghalang penyakit dan berkemungkinan besar meningkatkan tahap imunisasi badan.

Begitu juga dari sudut emosi. Dipercayai, wanita-wanita yang cukup puas mendapat keperluan jasmani kurang berhadapan masalah tekanan perasaan malah memiliki daya keyakinan diri yang tinggi selain penampilan keseluruhan yang lebih positif. Sebenarnya, apa yang dinyatakan itu hanya sebahagian daripada keseronokan mengadakan hubungan asmara. Ada beberapa keistimewaan melakukan seks selepas berkahwin.

Wajah berseri

Tidak dinafi, kebanyakan wanita berkongsi pendapat yang sama iaitu hubungan seks yang dilakukan secara teratur mampu membuatkan kulit menjadi lebih mulus dan bersinar malah jelita. Benarkah begitu?

Dikatakan, kebangkitan fizikal tidak hanya meningkatkan peredaran darah sebaliknya berupaya menaikkan paras estrogen yang berfungsi untuk mengekalkan kulit wajah yang berminyak dan lembut. Dalam masa yang sama, ia juga membuatkan rambut kelihatan lebih lebat dan sihat.

Bentuk tubuh yang menarik

Letih bersenam di gimnasium atau penat berdiet semata-mata untuk mendapatkan tubuh badan yang cantik? Sebenarnya, terdapat cara yang lebih mudah untuk merealisasikan impian anda itu.

Cukup hanya di rumah dan banyakkan belajar dari suami ketika mengadakan hubungan kelamin. Masih tidak faham? Sebenarnya, ketika anda melakukan seks, anda sebenarnya sedang bersenam tetapi gaya senaman yang dilakukan lebih menyeronokkan kerana saling bekerjasama.

Seseorang yang mempunyai kehidupan seksual yang lengkap dan teratur secara automatiknya memiliki daya keyakinan diri yang tinggi lantaran merasakan senaman tersebut serasi dengan tubuh.

Hilangkan lenguh-lenguh badan

Letih bermain badminton belum hilang ditambah pula dengan rasa sengal-sengal badan. Mungkin kerana lama tidak bersukan jadi ada sahaja urat-urat yang bersimpul dileraikan. Lazimnya, khidmat tukang urut diperlukan tetapi dalam hal ini, pasangan adalah ‘doktor’ yang paling hebat.

Cari waktu yang menarik untuk berdua-duaan dengan pasangan dan nikmati keseronokan tanpa gangguan daripada anak-anak. Pasti kesakitan yang ditanggung itu mampu dipulihkan setelah hubungan seks dilakukan.

Kenapa? Ini kerana setiap kali hubungan kelamin berlangsung, sejenis hormon yang dinamakan endorphin telah dikeluarkan yang mana ia adalah ubat penahan sakit secara semula jadi yang dikeluarkan oleh tubuh.

Malah, penulis buku “The Healing Power of Sex” menjelaskan bahawa sekali orgasma mampu menjauhkan seseorang dari sakit selama enam jam.

Kitaran haid yang teratur

Menurut Winnifred Cutler, pengarang buku “Love Cycles”, wanita yang mengadakan hubungan seks setiap minggu mudah menjangkakan kedatangan haid berbanding wanita-wanita bujang atau kurang melakukan hubungan kelamin dengan pasangan.

Ini kerana, wanita yang mempunyai pusingan haid yang teratur lebih mudah menjangkakan bila waktu suburnya. Jadi, dengan mudah keduanya merancang untuk memiliki cahaya mata setelah mengetahui waktu penting tersebut.

* Dipetik dari majalah Mingguan Wanita edisi terbaru

Gempar terowong zaman perang di Kelantan

 Gempar terowong zaman perang di Kelantan
Binaan lama yang ditengelami tanah kini dibersihkan
TUMPAT: Kampung Palekbang di sini tiba-tiba menjadi tumpuan apabila tersebar cerita penemuan terowong peninggalan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua di laman sosial, di blog dan cakap-cakap di kedai kopi sejak seminggu ini.

Kewujudannya terus menjadi teka-teki apabila khabar angin mengatakan terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga Lalang Luas, Machang.

Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat bekas kubu tentera Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi, yang kini dalam kajian pembangunan ekosejarah selia Kerajaan Negeri Kelantan.

Beberapa hari lalu kelihatan anggota polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.

Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih menjadi persoalan hingga kini.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut mendapati kawasan tersebut sedang giat dibersihkan dan kelihatan beberapa telaga ditemui, didakwa sebagai lubang untuk turun ke bawah tanah.

Turut juga kelihatan binaan lama yang sudah ditenggelami tanah dibersihkan serta beberapa kawasan yang sudah dikawal oleh pihak keselamatan.

Seorang penduduk tetap Kampung Palekbang, Zakaria Abdul Kadir, 74, berkata, cerita kewujudan terowong bawah tanah ini adalah cerita karut yang sengaja digembar-gemburkan.

“Memang tidak wujud terowong bawah tanah, itu semua cerita karut, tidak ada stor bom atau pun senjata api di sini,” katanya.

Menurutnya, telaga yang ditemui di kawasan tersebut adalah tempat simpanan air untuk kegunaan kereta api dan bukannya terowong untuk turun ke bawah tanah.

Zakaria berkata, lokasi tersebut asalnya pelabuhan dan stesen kereta api yang tersohor menjadi nadi penghubung rakyat Kelantan untuk ke Kota Bharu serta sebagai pusat perdagangan.

Menurutnya, Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan.

Bagaimanapun kewujudan kampung itu disenaraikan dalam rekod setelah kerajaan Inggeris membina landasan kereta api pada pertengahan 1920.

“Palekbang adalah kampung yang termaju sekali dalam Kelantan pada masa itu apabila muncul sebagai pusat perdagangan dan pekan transit dari luar Kelantan ke Kota Bharu serta tempat-tempat lain.

“Dengan kemudahan pengangkutan yang maju dan kedudukan yang strategik, Kampung Palekbang berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pengedaran sama ada dengan kereta api atau feri yang merentasi Sungai Kelantan,” katanya.

Zakaria berkata, pada masa itu, Kampung Paklebang mempunyai stor simpanan sejuk yang menyimpan stok minuman botol F&N dan Coca-cola, serta depo minyak Shell dan Esso untuk bekalan bagi seluruh negeri Kelantan.

“Di sini juga terdapat kilang air batu yang besar untuk membekalkan air batu bagi seluruh negeri Kelantan dan kesemua bangunan tersebut terletak di pinggir sungai Kelantan seiringan dengan stesen kereta api Palekbang,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zakaria, stesen kereta api Palekbang terpinggir sekitar tahun 1970-an apabila Jambatan Sultan Yahya Petra dibina dan dibuka menjadikan jalan darat berkembang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob ketika dihubungi memaklumkan lokasi yang didakwa mempunyai terowong bawah tanah itu masih dalam kajian pihak Kerajaan Negeri.

“Tidak ada apa yang luar biasa di kawasan berkenaan, ia masih dalam kajian dan pelbagai penemuan kemungkinan akan diketahui nanti.

“Mungkin di bawah tanah tersebut ada tempat simpanan peralatan perang milik tentera Jepun. Sebab itu, Kerajaan Negeri minta bantuan pihak tentera ke lokasi tersebut. Lagi pun di sini pada zaman Jepun adalah penempatan tentera, kemungkinan ada bahan api di bawah sana,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan khabar angin berkaitan penemuan terowong tersebut.

Lagi pendedahan Felda jual minyak sawit ke Israel

Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR 30 Nov: Satu lagi ‘bom besar’ berkaitan penjualan minyak sawit ke Israel oleh Felda akan didedahkan dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Batu Pahat esok, kata Mazlan Aliman.
“Saya akan dedahkan satu lagi maklumat berhubung penjualan minyak sawit Malaysia ke Israel esok, dalam himpunan di Johor,” kata Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu.

Beliau turut mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang mempertimbang untuk saman Suara Keadilan dan Harakah.

Maslan berkata, kedua-dua akhbar tersebut memaparkan kenyataan Mazlan berhubung isu penjualan minyak sawit kepada Israel.

Selasa lalu, Suara Keadilan pada muka depannya melaporkan, anak syarikat Felda menjual minyak sawit kepada Israel, malah nilai import negara dari Israel berjumlah RM2 bilion pada 2010 dan 2011.

Sementara laporan Harakah pula bertarikh 26 November.

“Itu hak dia untuk saman. Apa yang saya nyatakan itu adalah benar. Saya ambil kira semua dokumen dan fakta. Saya tak takut berhadapan perkara ini,” tegas Mazlan ketika dihubungi.

“Saya ada banyak lagi maklumat untuk didedahkan, terpulang pada dia untuk saman, tapi ingat, setiap pendedahan akan bawa kesan yang lebih teruk kepada Umno,” katanya.

Mazlan sebelum ini mendedahkan penjualan sejumlah besar minyak sawit kepada Israel sejak tahun 2010.

Mazlan turut mendedahkan invois jualan minyak sawit mentah kepada Bunge Agribusiness Singapore Pte Ltd, syarikat Israel berpengkalan di Singapura.

NAJIB TIDAK AKAN LEPAS: Hakim Perancis ke Malaysia siasat kes Scorpene

Maria Begum, Malaysia Chronicle
NAJIB TIDAK AKAN LEPAS: Hakim Perancis mungkin ke Malaysia siasat kes ScorpenePara hakim Perancis yang menyiasat kes kontroversi melibatkan pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai RM7.3 bilion dari DCNS, penjual senjata tentera laut dijemput ke Malaysia untuk ‘merisik’ kontroversi yang melibatkan pegawai tertinggi Malaysia termasuk Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang liat memberi bekerjasama mahupun untuk berdiri di kandang saksi di Paris.
Apoline Cagnat, seorang peguam Perancis yang dilantik oleh SUARAM, mengesahkannya, sambil menambah bahawa Najib merupakan "saksi utama" dan ada kemungkinan akan ditangkap oleh pihak berkuasa Perancis jika dia memilih untuk mengabaikan mana-mana sepina yang dikeluarkan oleh mahkamah Paris.

"Ini mungkin akan berlaku dalam kes Scorpene jika hakim mempunyai bukti yang cukup untuk mengeluarkan waran sedemikian" Cagnat memberitahu sidang akhbar di Singapura.

"Mereka (hakim Perancis) boleh meminta kerjasama (dari Putrajaya). Mereka juga boleh datang. Ia adalah terpulang kepada mereka. Kadang-kadang mereka akan datang atau menghantar polis. Ia adalah tidak mustahil"

Dideportasi dan TIADA jaminan keselamatan

Cagnat dan rakan-rakannya, termasuk William Bourdon dan Joseph Breham, telah dijemput oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi taklimat kepada Parlimen Malaysia berikutan maklumat terbaru dalam kes Scorpene yang kini sedang didengar oleh seorang hakim penyiasatan di Perancis.
Walau bagaimanapun, disebabkan keengganan pentadbiran Najib untuk memastikan keselamatan mereka atau berjanji tidak akan mengusir mereka setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mereka memutuskan untuk mengadakan taklimat itu di Singapura.

Pada bulan Julai 2011, Najib telah mengejutkan masyarakat antarabangsa apabila menghantar pulang Bourdon setelah beliau tiba di Kuala Lumpur untuk memberi taklimat kepada Suaram dan berucap di makan malam perdana untuk mengutip dana. Awal tahun ini, Breham telah dipaksa untuk mengadakan sidang akhbar di Bangkok selepas gagal mendapatkan kerjasama dari Putrajaya.

Dan kini, nampaknya parti Umno Najib sedang mencela kerajaan Singapura pula, menuduh mereka campur tangan dalam urusan Malaysia dengan membenarkan sidang akhbar itu diadakan di negara tersebut.

"Ini jelas menunjukkan Singapura campur tangan dalam hal ehwal negara kita," kata Mohd Ali Rustam, bekas naib presiden Umno yang dilaporkan berkata demikian oleh Malaysian Insider.

Terdesak untuk kaburi tuduhan

Ironinya, Ali Rustam sendiri telah dihukum oleh partinya kerana mengamalkan politik wang atau memberi wang tunai dan hadiah kepada pemimpin bahagian untuk mengundi dirinya semasa pemilihan parti pada tahun 2008. Hanya beberapa minggu yang lalu, Ali sekali lagi disyaki terlibat dalam politik wang tetapi kali ini dia diasak kerana memiliki dana yang banyak untuk mengadakan majlis perkahwinan mewah yang terbesar di negara untuk anaknya hanya dengan gajinya sebagai Ketua Menteri Melaka sahaja.
Tidak menghairankan apabila komen Ali mencetuskan cemuhan dari pesaingnya dipihak pembangkang.

"Tiada apa yang baru dalam Umno. Untuk menyelamatkan diri sendiri, Umno akan menyembunyikan rasuah yang berlaku dalam

kes Scorpene. Ia akan cuba menjustifikasikan peranan mereka dan juga Najib dalam perolehan kapal selam itu," kata naib presiden PKR yang juga ahli parlimen Batu, Tian Chua kepada Malaysia Chronicle.
"Jika tunggak Umno tidak bersalah dan tidak mengambil rasuah daripada DCNS dalam pertukaran untuk bersetuju membeli kapal selam, mengapa mereka perlu mengusir peguam Perancis, mengancam untuk mengharamkan SUARAM dan menuduh semua orang sedang cuba untuk merampas kuasa kerajaan Malaysia? Mula-mula, George Soros dan Yahudi mempergunakan SUARAM, kini Singapura dan orang Cina cuba menjatuhkan Melayu. Namun, pada hakikatnya, semua ini adalah jelas, cubaan elit Umno untuk mengaburi mata rakyat."

Ahli- ahli parlimen yang telah ke Singapura untuk mendengar taklimat termasuk ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Kuala Krai , Hatta Ramli, Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne, Subang, R Sivarasa dan Teluk Kemang, Kamarul Baharin Abbas.

Cuba MENGELAK

Apabila ditanya oleh Ahli Parlimen bagi mengulas hujah Putrajaya bahawa perolehan kapal selam merupakan satu perjanjian sulit antara kedua-dua negara dan tidak melibatkan pembayaran komisen kepada syarikat swasta Putrajaya, Cagnat telah menjawab bahawa pentadbiran Najib "cuba melarikan diri" dari siasatan tetapi bukti telah menunjukkan sebaliknya.
Beliau menamakan 7 saksi yang dikemukakan oleh Suaram dan diterima oleh mahkamah Perancis dan menegaskan bahawa Najib dan kawan karibnya Razak Baginda merupakan orang paling penting dalam senarai itu.

Cagnat juga menegaskan bahawa pengeluaran waran tangkap untuk Menteri Pertanian Guinea,Teodoro Nguema Obiang, anak presidennya, berhubung kes rasuah baru-baru ini juga boleh berlaku kepada Najib.

5 saksi yang lain merupakan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi; Setev Shaariibuu, bapa wanita Mongolia yang telah dibunuh Altantuya Shaariibuu, penyiasat persendirian, P Balasubramaniam; Pengarah Urusan Boustead Holdings Bhd dan timbalan pengerusinya Lodin Wok Kamaruddin; dan Jasbir Singh Chahl, yang dilaporkan sebagai orang kanan Razak Baginda.

“Saya berharap hakim akan dibenarkan menyoal mereka,” tambah Cagnat.

NGO lain akan ambil alih

Cagnat juga berkata walaupun pentadbiran Najib berjaya mengisytiharkan SUARAM sebagai haram dan kehilangan statusnya sebagai NGO dan juga plaintif sivil, ini tidak bermakna hakim Perancis akan berhenti dari menyiasat kes tesebut.

Sementara itu, ahli sekretariat SUARAM Cynthia Gabriel, yang mempengerusikan sidang akhbar berkata NGOnya sekarang sedang mengadakan perbincangan dengan NGO Malaysia yang lain untuk mengambil alih peranan dalam menerajui perbicaraan kes rasuah setelah SUARAM diisytiharkan haram.

Salah satu daripada NGO tersebut adalah Transparency International-Malaysia, dedah Cynthia. SUARAM telah dikecam hebat oleh pentadbiran Najib. Pejabat-pejabatnya telah diserbu, dituduh memiliki akaun yang diragui dan statusnya sebagai sebuah NGO juga dipersoal.
Umno juga menuduh SUARAM mendapat pembiayaan daripada Open Society, sebuah pertubuhan pro-demokrasi yang diasaskan oleh jutawan terkemuka Yahudi, George Soros yang sering dipersalahkan oleh elit Umno termasuk bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk mewajarkan tuduhan bahawa Malaysia akan kehilangan'kedaulatan' jika pembangkang berkuasa.

Mengapa Petronas bayar bahagian K'tan pada k'jaan pusat?'

husam musaExco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa tindakan Petronas Membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan adalah satu jenayah pecah amanah.
Katanya, berdasarkan kenyataan Presiden Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abas semalam, syarikat minyak negara itu sememangnya membayar 5 peratus bahagian negeri Kelantan kepada kerajaan persekutuan.

"Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan tidak menyampaikan pembayaran itu kepada kerajaan negeri Kelantan, tidak juga memasukkan ke dalam Akaun Wang Yang diSatukan Kerajaan Persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957 serta membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak Akta yang sama," tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengingatkan bahawa Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada tahun 1975 dengan Petronas dan tidak ada sebarang perjanjian antara Kelantan dan Kerajaan Malaysia.

Menurut perjanjian itu, katanya, Petronas, bukan Kerajaan Malaysia, berjanji membayar secara langsung kepada Negeri Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun bilamana pengeluaran bermula.

Oleh itu, tegasnya, mengapa Petronas tidak membayar langsung kepada Kelantan tetapi sebaliknya membayar kepada pihak ketiga iaitu kerajaan persekutuan.

"Jika Kelantan tidak layak menerima bayaran itu atas apa jua sebab, kerajaan persekutuan juga tidak berhak menerima lebih daripada 5 peratus bayaran tunai hak kerajaan persekutuan selain dividen dan cukai," tegasnya.

Oleh itu, Husam mendakwa, pembayaran oleh Petronas 5 peratus hak Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan "adalah satu tindakan jenayah pecah amanah di mana hukumannya adalah mandatori penjara".

Beliau mendakwa bahawa kerajaan persekutuan juga melakukan jenayah dengan bersubahat menerima bayaran bukan haknya dan menggunakan wang itu tidak seperti yang dikehendaki oleh perjanjian.

"Semua pihak yang bersubahat menggunakan wang ini secara salah, termasuk jawatankuasa Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Awang Adek juga melakukan jenayah pecah amanah yang sama," tegasnya.

"Mustahil bagi Petronas untuk tidak memahami perjanjian mudah seperti itu dan sebarang tanggungjawab perundangan kembali kepada Petronas dengan semua anggota lembaga pengarah dan pengurusan tertingginya akan dipertanggungjawabkan," tambahnya.

Menurut Husam lagi, tindakan yang sesuai akan diambil oleh kerajaan Kelantan apabila tiba masanya.

"Kerajaan negeri juga akan menulis surat kepada Petronas untuk mendapatkan jumlah wang 5 peratus bahagian Kelantan yang telah dibayar kepada Kerajaan Persekutuan," tambahnya.

Rogol gadis: Kemaluan remaja lelaki melecur disimbah asid

PULAU PINANG: Gara-gara merogol seorang gadis minggu lalu yang dipercayai dikenali melalui laman sosial Facebook, seorang remaja menerima 'hukuman' apabila kemaluannya disimbah asid oleh sekumpulan lelaki di Jelutong di sini petang semalam.

Ketika kejadian dipercayai bermotifkan dendam itu, remaja berusia 18 tahun itu sedang berjalan seorang diri ke rumahnya sebelum dihampiri sekumpulan suspek termasuk ahli keluarga gadis tersebut lalu berlaku pertengkaran.

Kumpulan suspek kemudian tiba-tiba bertindak mengeluarkan asid lalu menyimbah ke kemaluan remaja itu sehingga mengakibatkannya melecur.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, polis menerima laporan daripada gadis berusia 16 tahun berkenaan pada Rabu lalu yang mendakwa telah dirogol remaja terbabit.
-utusan-

PI Bala mahu tahu siapa peguam yang menyediakan SD keduanya

Lelaki yang mendakwa telah dipaksa untuk mengubah akuan bersumpahnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu, berkata beliau gembira bahawa kebenaran akhirnya terserlah juga.
Penyiasat persendirian P Balasubramaniam berkata ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan (kiri), yang terlibat untuk mendapatkannya mengubah akuan berkanun (SD) itu, telah melakukan "perkara yang betul".

Dalam responnya melalui emel kepada Malaysiakini, Balasubramaniam menggesa Deepak supaya mendedahkan segala-galanya yang diketahui mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mahu Deepak mengesahkan siapa sebenarnya individu yang terlibat dari awal hingga akhir.

Balasubramaniam kini hidup dalam buangan bersama keluarganya di India selama tiga tahun sejak beliau melarikan diri negara selepas menandatangani SD kedua.

Deepak, dalam satu wawancara dengan Malaysiakini awal minggu ini, berkata pembabitannya dalam konspirasi itu adalah ekoran permintaan dari seorang "rakan wanita" yang dikaitkan dengan pihak-pihak yang akan terjejas oleh SD pertama Balasubramaniam.

Sementara itu, Balasubramaniam (kanan) berkata beliau mahu tahu siapa peguam yang didakwa merangka SD kedua, yang menurutnya, telah disediakan tanpa "pengetahuan atau input" daripadanya.

"Persoalannya ialah siapa yang melakukannya? Tiada siapa yang interviu saya sebelum menyediakan SD kedua. Ia disediakan tanpa pengetahuan atau input saya. Saya ingin mengetahui siapa peguam ini."

3 sebab Najib patut jawab dakwaan Deepak

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang sepatutnya menjawab dakwaan yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan di dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno hari ini atas tiga sebab.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan demikian sebagai respons kepada Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengatakan akan menjawab dakwaan Deepak Jaikishan terhadap keluarga Najib yang turut melibatkan kes pembunuhan berprofil tinggi seorang warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Justeru, tegas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu bahawa sepatutnya Najib yang menjawab dakwaan itu, bukannya Zahid.

Pertama, katanya dakwaan Deepak melibatkan keluarga Najib, yang mana dia telah membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan untuk campur tangan Perdana Menteri bagi membolehkannya menjadi satu pihak dalam satu projek Kementerian Pertahanan pada 2005 yang bernilai RM100 juta sewaktu Najib merupakan Menteri Pertahanan – membuat perjanjian dengan syarikat ketua Wanita Umno Selangor yang membolehkannya menyertai sebagai pihak ketiga.

“Memandangkan Najib bukan sahaja hadir tetapi juga mengepalai Umno, beliau sepatutnya menjawab kerana apa sahaja yang dikatakan Zahid tidak lebih sekadar khabar angin dan tidak mempunyai kewibawaan dan legitimasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kedua, kata Lim, hubung kait Deepak dengan kes pembunuhan berprofil tinggi warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Katanya, Deepek telah meluahkan kekesalan melibatkan diri dalam rancangan membuatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam membuat Pengakuan Bersumpah kedua, menarik balik Pengakuan Bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya.

Menurutnya, di dalam satu wawancara Deepak mengatakan yang beliau terlibat dalam kes Bala bagi membantu “keluarga Perdana Menteri”.

“Sekali lagi, jawapan Zahid terhadap dakwaan Deepak tidak akan memuaskan kerana hanya Najib yang sesuai menjawab dengan berwibawa semua dakwaan itu,” ujarnya.

Ketiga, katanya ia merupakan batu uji kepada Ucapan Dasar Presiden Umno kelmarin yang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak sepatutnya diberikan peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 memandangkan Umno Barisan Nasional mampu membawa kejayaan besar memerintah Malaysia sejak lima dekad lalu – salah satunya adalah “keampuhan institusi negara”.

Beliau berkata, keburukan skandal Deepak/Bala/Altantuya adalah pengakuan memalukan, bukan kepada kejayaan tetapi korupsi dan memusnahkan “keampuhan institusi negara” memandangkan Malaysia tidak mungkin akan terjerumus ke keadaan buruk dalam kes pembunuhan Altantuya sekiranya pelbagai institusi negara, sama ada polis, badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan akhbar Malaysia memelihara dan menegakkan integriti, kebebasan dan profesionalisme mereka.

Sehubungan itu, Lim mempersoalkan adakah Najib bersedia menyangkal tuduhan-tuduhan terhadapnya, kerajaannya dan negara dengan menyerahkan dirinya untuk satu siasatan awam yang menyeluruh dan bebas terhadap skandal Deepak/Bala/Altantuya dan mengumumkannya pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Bagi Lim, sekiranya Najib bersedia menyerahkan dirinya untuk satu siasatan awam yang menyeluruh dan bebas ke atas skandal Deepak/Bala/Altantuya, maka permohonan maafnya di dalam Ucapan Dasarnya bagi pihak kepimpinan Umno atas sebarang “kesalahan” atau “kekhilafan” adalah jujur.

“Jika tidak, permohonan maafnya tidak lebih daripada sekadar retorik,” katanya lagi.