"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih ramai ahli Parlimen Umno akan tarik sokongan terhadap Muhyiddin, kata Nazri

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Lebih ramai ahli Parlimen Umno mungkin dijangka mengikut jejak langkah ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan menarik sokongan kepada kerajaan, kata Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, lebih ramai yang akan mengikut contoh Jazlan yang hari ini mengumumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Kita tunggu dan lihat. Lebih ramai ahli Parlimen (Umno) mungkin menarik sokongan mereka. Kita tunggu dan lihat.

“Selepas itu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mesti menghadap Yang Di-pertuan Agong,” katanya kepada FMT. 

Kenyataannya itu merujuk kepada syarat perlembagaan bahawa perdana menteri yang kehilangan sokongan di Dewan Rakyat mesti meletak jawatan jemaah menterinya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengatakan jumlah ahli Parlimen Umno yang dijangka menarik balik sokongan mereka itu. Muhyiddin sejak beberapa minggu lalu berdepan tekanan dalam Umno termasuk daripada segelintir ketua bahagian.

Disoal sama ada beliau antaranya, Nazri menjawab: “Saya tidak tahu lagi.”

Tambahnya, tanpa Jazlan, Muhyiddin kini mempunyai 111 ahli Parlimen berbanding 109 dalam pembangkang. Ini turut merangkumi Jazlan.

Kerajaan Perikatan Nasional memerlukan 112 undian untuk majoriti mudah daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Dua kerusi kosong akibat kematian dua ahli Parlimen.

Selain Jazlan, ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini juga menyatakan tidak menyokong Belanjawan 2021 bulan lalu apabila mempersoalkan keabsahan kerajaan Muhyiddin.

Walaupun hilang majoriti, PN masih boleh jadi kerajaan buat masa ini

Zikri Kamarulzaman

Walaupun kehilangan majoriti sekalipun kerajaan Perikatan Nasional Plus masih boleh kekal menjadi kerajaan, sekurang-kurangnya buat masa ini, kata pakar.

Ini kerana walaupun hanya memiliki sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen, PN Plus masih merupakan blok terbesar di Dewan Rakyat.

"Ini akan melemahkan (perdana menteri) Muhyiddin Yassin tetapi belum cukup untuk menyingkirkannya sehingga muncul majoriti alternatif," kata pakar Sains politik, Wong Chin Huat kepada Malaysiakini.

"Dan sehingga cukup anggota Umno yang bersedia menyokong kerajaan Pakatan Harapan, gabungan Muhyiddin masih mempunyai jumlah terbesar walaupun tidak mempunyai majoriti dalam Dewan," tambahnya.

Pandangan ini dikongsi oleh felo kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir dan peguam pakar perlembagaan, Lim Wei Jiet.

PN Plus hilang majoriti selepas Ahli Parlimen Machang dari Umno, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan kepada kerajaan hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga menyuarakan penentangan terhadap Muhyiddin namun setakat ini belum dizahirkan menerusi undian di parlimen.

Sementara itu, perpecahan dalam blok pembangkang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Anwar Ibrahim hanya memiliki sokongan 91 ahli parlimen.

"Tanpa majoriti alternatif, ada ruang kekaburan bagi Agong untuk percaya bahawa Muhyiddin masih memiliki majoriti, kerana pilihan raya tidak diambil kira," kata Wong.

Sementara itu, Lim - yang juga pengasas bersama Muda - berkata Muhyiddin juga tidak wajib mengundurkan diri buat masa ini.

"Pada prinsipnya dia harus mengundurkan diri. Tetapi itu tidak wajib dari segi undang-undang," katanya ketika dihubungi.

Peguam itu berkata tiada keperluan bagi Muhyiddin untuk mengadap Yang di Pertuan Agong melainkan dia dipanggil ke Istana.

Ahmad Jazlan menarik balik sokongan daripada PN di tengah-tengah desakan agar Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu yang dipimpin Muhyidddin

Umno akan membuat keputusan mengenai perkara itu pada perhimpunan agung parti itu, 31 Januari ini.

"Nasib PN akan lebih jelas kemudian," kata Jeniri.

Walaupun Umno menolak kerjasama dengan Bersatu, ini bukan bermakna parti itu menyokong Anwar dan PKR - walaupun Anwar mendakwa memiliki majoriti kuat.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz menegaskan bahawa Umno masih mempertahankan prinsip "no Anwar, no DAP".

Wong berkata sentimen inilah yang akan menjadikan Muhyiddin dan PN terus berkuasa buat masa ini.

"Umno masih terperangkap dengan naratif anti-Anwar, PH, DAP dan bimbang pusingan-u secara tiba-tiba akan menyebabkan kekalahannya di tangan PAS dan Bersatu di bawah panji perpaduan Melayu.

"Ringkasnya, apa yang membuatkan Muhyiddin bertahan adalah perbezaan yang masih belum dapat diselesaikan antara Umno dan PH-DAP," katanya.

UMNO MESTI DIELAK DARIPADA ‘DIMAMPUSKAN’, JANGAN SAMPAI SEJARAH UMNO DIMATIKAN BERULANG LAGI

Shahbudin Husin

Walaupun desakan UMNO ketika ini mahu PRU segera seolah-olah menggambarkan parti itu tidak sabar dan begitu yakin mampu berkuasa semula, tujuan sebenarnya lebih daripada itu.

Tujuan utama UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan keluar daripada kerajaan PN ialah lebih untuk mengelakkan parti itu daripada “dimampuskan” secara perlahan-lahan.

Selama 10 bulan berada dalam kerajaan PN dan berkubang dengan Bersatu, UMNO akhirnya sedar mereka banyak dibuli dan dilemahkan oleh parti serpihannya sendiri.

Hanya kerana Bersatu memiliki banyak kuasa, semua itu digunakan untuk melemahkan UMNO supaya akhirnya Bersatu dapat berperanan menjadi penggantinya.

Bukan saja dalam konteks memenangi kerusi pilihanraya di mana Bersatu mahu mengambil kerusi-kerusi milik UMNO, malah tanpa UMNO juga, Bersatu tidak mungkin mampu menang banyak kerusi Melayu.

Sebagaimana dalam PRU14, pergantungan UMNO adalah kepada PKR dan DAP, untuk PRU akan datang, sasaran berpaut mereka ialah kepada UMNO dan Pas pula.

Tetapi, kekuatan Pas semata-mata mungkin tidak mampu mengekalkan kuasa Bersatu, maka menjadi dedalu di atas dahan UMNO adalah pilihan yang paling munasabah untuk mengekalkan kuasa yang ada sekarang ini.

Yang pasti, selagi membiarkan dirinya ditumpangi dedalu Bersatu, UMNO pasti akan “mati” akhirnya kerana tidak ada dedalu yang tidak memakan dahan yang ditumpanginya.

Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bukan saja tidak akan membiarkan pemimpin UMNO diberi tempat sewajarnya dalam kerajaan, malah alan mengurangkan jumlah kerusi untuk UMNO agar tidak melebihi apa yang dimiliki Bersatu.

Sekarang ini, selain dibuli dalam banyak aspek seperti pembahagian jawatan dalam kerajaan dan sebagainya, dalam tempoh 10 bulan saja sudah ramai pemimpin UMNO yang hati dan kiblat politiknya lebih condong ke arah Bersatu.

Tetapi, pernahkah kita dengar ada pemimpin Bersatu yang pro kepada UMNO?

Semua itu berlaku kerana Bersatu sedang memiliki banyak kuasa serta mampu menawarkan pelbagai jawatan dan kemewahan.

Kelebihan yang ada itu sedang digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu, melemahkan UMNO dan kemudian menjadikannya parti yang tidak lagi bermaya.

Jika hanya dalam tempoh 10 bulan saja sudah kedapatan ada pemimpin kanan UMNO yang pro Bersatu, ditambah dengan sekumpulan mereka yang khianat menyertai Bersatu sebelum, tidak dapat ditolak lagi lama masa berlalu, lagi macam-macam kemungkinan boleh berlaku.

Untuk itu, UMNO tidak ada pilihan selain bertindak menghentikan kemungkinan lebih buruk berlaku kepada masa depannya dengan sesegera dan secepat yang boleh.

Jika dirasakan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari nanti terlalu lama dan mungkin ia cuba dihalang atas pelbagai sebab, maka tindakan mengumumkan keluar segera daripada kerajaan dan menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah pilihan yang tidak boleh dielak lagi.

Hanya dengan keluar daripada PN saja UMNO dapat menyelamatkan masa depannya dan ketika ini mereka jangan fikir bahawa tindakan itu mesti berakhir dengan PRU semata-mata.

Setelah jatuh Muhyiddin dan PN, kemudian jika kerajaan baru terbentuk juga dapat membuatkan UMNO lebih terjamin masa depannya.

Berbanding Muhyiddin dan Bersatu yang hanya boleh terus hidup jika UMNO berjaya dibuli dan dilemah sehingga akhirnya “dimatikan”, Anwar Ibrahim dan PKR sebaliknya tidak berniat sama sekali untuk “memampuskan” UMNO demi survivalnya.

PKR dan UMNO hanya musuh politik, tetapi bukan pesaing yang berkubang di lubuk yang sama.

Dalam hal berkaitan, jika UMNO sebelum ini pernah diharamkan untuk mengelakkan pemilihan 1987 daripada diadakan semula, seterusnya untuk menghalang Tengku Razaleigh Hamzah daripada terus berada dalam UMNO yang dibarukan, apakah tidak mustahil Muhyiddin juga melakukan hal yang sama kepada UMNO demi masa depannya?

Bukankah Muhyiddin dan Tun Mahathir, selain dalam kelompok Team A ketika bersama UMNO, mereka berdua juga sama-sama menubuhkan Bersatu sebelum ini?

Mustahilkah gaya politik Tun Mahathir menjadi tiruan bagi Muhyiddin? (Shahbudindotcom 09/01/2021)

Ahli Parlimen Machang tarik sokongan untuk kerajaan Muhyiddin

Faiz Zainudin

Ahmad Jazlan Yaakub yang juga ahli Parlimen Machang, meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia minggu ini.

PETALING JAYA: Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan menarik menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu diumumkan dalam sidang media di Kota Bahru, Kelantan, sekaligus menyaksikan jumlah ahli Parlimen yang berada di belakang Muhyiddin berkurangan seorang lagi.

“Maka dengan ini saya mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin,” kata ahli Parlimen Machang itu.

Ahmad yang sebelum ini meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia awal bulan ini, ketika dihubungi FMT turut mengesahkan perkara itu sambil memaklumkan ia berkuat kuasa hari ini.

Sebelum ini, ahli Parlimen Gua Musang dari BN, Tengku Razaliegh Hamzah menyatakan tidak menyokong Belanjawan 2021 bulan lalu apabila mempersoalkan keabsahan kerajaan Muhyiddin.

Perkembangan terbaru ini bermakna kerajaan PN kini hanya mempunyai 110 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, dengan dua kerusi kosong selepas ahli Parlimen Batu Sapi (Warisan) dan Gerik (BN) meninggal dunia.

Kerajaan yang diterajui membabitkan tiga gabungan parti besar dalam kerajaan, iaitu 50 dari Perikatan Nasional (PN), 41 Barisan Nasional (BN) dan 18 Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain satu PBS dan seorang Bebas.

Pada 4 Jan lalu, Ahmad Jazlan menyerahkan surat peletakan jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menyusuli kata duanya kepada kerajaan.

Beliau turut meminta kerajaan mengadakan PRU secepat mungkin, dalam tempoh suku pertama 2021.

Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata beliau akan menghantar surat kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dengan segera mengenai tindakannya itu.

“Sebanyak 12 daripada 14 bahagian (Umno) meminta saya mempertimbangkan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN yang ditunjangi PPBM kerana perdana menteri daripada parti itu.


“Pada hemat kami, kerajaan tidak berupaya mengurus tadbir negara dengan baik dan tak berjaya laksanakan amanah yang diberikan dengan seadilnya,” katanya.

Menurutnya, Ahmad Jazlan antara kegagalan kerajaan PN mentadbir adalah berkenaan moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat tidak mencapai matlamat sebenar, termasuk kegagalan mengurus Covid-19.

Apa lagi Umno mahu?

LIM HONG SIANG

Jikalau gandingan Perikatan Nasional ditubuhkan atas nama “perpaduan ummah”, untuk membentuk kerajaan persekutuan yang berteraskan parti Melayu-Islam, atas nama apa pula PN berpecah?

Persoalan ini wajar dijawab oleh pemimpin Umno, Pas dan PPBM, yang kini dalam hubungan retak menanti belah. Kerana Umno tidak diletakkan pada kedudukan dominan? Bukankah senario sebegini telah dijangkakan apabila Umno menobatkan Muhyiddin Yassin, Presiden PPBM sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020? Senario terbaik untuk Umno adalah ketiga-tiga parti itu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah – itupun jikalau Muhyiddin Yassin sudi merendah diri – mengapa timbul khayalan bahawa Umno boleh mendominasi gabungan ini sebaliknya, dengan kuasa pelantikan menteri berada dalam tangan Muhyiddin?

Persoalan seterusnya, jikalau Umno menarik diri daripada kerajaan Muhyiddin Yassin, membentuk kerajaan baru sama ada dengan Pakatan Harapan mahupun DAP, apakah Umno yang memiliki 39 kerusi, juga mahu menuntut kedudukan dominan dalam kerajaan baru? Dengan 38 kerusi yang dimiliki PKR, dan 42 kerusi yang dikuasai DAP, ditambah 11 kerusi oleh AMANAH yang solid menyokong PH, mungkinkah jawatan Perdana Menteri diberikan kepada Umno? Dan jikalau sekali lagi Umno dikesampingkan, apakah mereka mahu menjatuhkan juga kerajaan yang baru ini?

Itupun belum diambil kira siapakah calon Perdana Menteri daripada Umno. Apabila bab calon PM ini disentuh, ia mencungkil ingatan kita bahawa Umno pernah menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Muhyiddin Yassin pada Oktober 2020. Ia dilihat sebagai ugutan terhadap Muhyiddin Yassin sebelum pembentangan Belanjawan 2021. Bukan main garang desakan itu, namun sehingga hari ini, Umno belum mencapai kata sepakat dalam soal calon TPM – setelah berkali-kali bermesyuarat hingga ke lewat malam.

Bagaimana seseorang itu memperolehi apa yang dimahukan, sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang dimahukannya?

Sekilas pandang, ini masalah kepimpinan. Jelas, pemimpin Umno tidak berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan, tidak bertegas ketika memberi kata dua, dan tidak sanggup mempertahankan keputusan yang telah dimuktamadkan. Presiden Ummo, Ahmad Zahid Hamidi teragak-agak dalam langkah percaturannya ketika berdepan dengan Muhyiddin – sehingga Muhyiddin berjaya menarik nafas lega setiap kali dilanda krisis.

Namun, seandainya dikupas lebih mendalam, situasi kebuntuan ini disebabkan permainan politik “kluster mahkamah” dalam Umno, yang mengambil kesempatan ke atas situasi politik terkini untuk tawar-menawar dengan kedua-dua blok, antara PH dengan PN. Proses sedemikian telah mencetuskan ketidaktentuan politik, yang sudah tentu mengalih tumpuan kita tatkala berdepan dengan penularan wabak Covid-19, ditambah pula dengan banjir yang melanda pada awal tahun 2021.

Semua ini “pengetahuan am” bagi mereka yang celik politik. Naratif “perpaduan Melayu”, atau perpaduan mana-mana kaum, adalah serapuh kerajaan Muhyiddin. Kepentingan manusia berbeza sungguhpun daripada keturunan yang sama. Sedangkan kepentingan abah, pak long, pak ngah dan pak su boleh berbeza dalam sesebuah keluarga, apatah lagi kepentingan kelompok manusia dari lapisan masyarakat yang berbeza?

Ada Melayu yang akan terkapai-kapai dalam air bah seandainya ada Melayu yang ghairah menggondolkan hutan; ada Melayu yang akan hilang nyawanya lantaran terlanggar lubang jalan apabila ada Melayu dalam Mercedes tidak menjalankan tugasnya dengan tanggungjawab. Apabila ada rezeki yang diperolehi atas nama Melayu, sudah tentu ada bala yang menimpa ke atas sosok Melayu.

Justeru, naratif yang berasaskan perkauman – tidak kira apa kaum sekali, semakin tidak releven untuk menyelesaikan masalah negara yang semakin rumit. Virus corona tidak mengenali warna kulit, air bah tidak mengenal keturunan tuan rumah – rasa kemiskinan sama untuk semua kaum – lapar, haus, sakit, letih dan sebagainya – semuanya sama.

Berlatar-belakangkan konteks ini, setiap parti politik yang berlandaskan agenda kaum, perlu menilai semula perjuangan mereka, lebih-lebih lagi selepas Malaysia melalui sejarah pertukaran kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018, dan “Langkah Sheraton” pada Februari 2020. Tiada parti politik yang mampu mentadbir sesebuah negara dengan baik hanya bersandarkan retorik kaum dan agama, tanpa kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan keadilan dalam pemerintahannya.

Berbalik kepada Umno. Masalahnya, parti ini tidak sempat mengalami reformasi dalaman yang menyeluruh sebelum kembali berkuasa. Kelompok pemimpin yang terpalit dengan skandal masih berpengaruh dalam kalangan akar umbi sedia ada; sementara kelompok pemimpin yang imejnya lebih positif, tidak bertempat dalam saf pimpinan – sama ada ditolak dalam pemilihan parti pada tahun 2018, mahupun enggan tampil bertanding. Dengan kata lain, Umno tidak diberi nafas baru sepenuhnya selepas kekalahan dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.

Padahal proses ini boleh dilengkapkan, seandainya pemimpin seperti Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin sanggup menunggu. Pemimpin yang tercalar dengan skandal akan disingkirkan melalui proses kehakiman, dan kekosongannya dalam parti akan diisi oleh pemimpin yang kurang kontroversi. Jikalau diberi masa sepenggal penuh kepada PH, sudah tentu ia mengundang situasi yang lebih positif untuk semua pihak. Selepas pemimpin yang korup diketepikan, Umno akan mampu membina semula kekuatan dan imej barunya, lantas memberi persaingan yang sengit kepada PH, dari segi keberkesanan dan kecekapan pentadbiran. Rakyat juga yang akan dimanfaatkan apabila kedua-dua blok ini bersaing atas dasar dan pentadbiran.

Namun demikian, sejarah tidak berlaku sebegitu. Ketidaksabaran pemimpin Umno, termasuk mereka yang memiliki imej positif untuk kembali ke Putrajaya, mengubah halatuju perjalanan sejarah. Kini, mereka bergelut sesama diri dalam Umno, sehingga lemah ketika berdepan dengan PPBM, dan kemudian mengakibatkan satu Malaysia terayun-ayun dalam ketidakstabilan politik, tatkala kita berdepan dengan virus, banjir dan kemelesetan ekonomi.

Jarang-jarang politikus mengaku tersilap langkah dalam percaturan politiknya, kerana apapun kekalutan yang berlangsung, Mercedes mereka masih mampu merempuh air bah, dan batang tubuhnya akan diberi rawatan terbaik jikalau dijangkiti Covid-19. Cuma, berapa kali pembohongan yang perlu kita lalui, sebelum sedar bahawa ianya satu penipuan? Berapa pengajaran yang perlu kita lalui, sebelum kita mengambil iktibar daripadanya?

Nazri setuju Umno tinggalkan kerajaan PN 'secepatnya'

Ramieza Wahid

Bekas ahli majlis tertinggi (MT) Umno, Mohamed Nazri Aziz, hari ini menyatakan sokongannya kepada gesaan Najib Razak supaya parti itu keluar secepatnya meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Nazri sekiranya lebih lama Umno berada dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin itu, ia hanya akan menyulitkan situasi partinya kelak.

“Untuk parti, saya setuju dengan apa dikatakan Najib (untuk keluar dari PN segera).

“Lebih lama kita tinggal (bersama PN) ia akan sukar untuk kita nanti dan hari-hari dia akan curi ahli kita [...] Kita kena keluar secepatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Najib yang juga bekas presiden Umno berkata parti itu dilayan seperti ‘anak tiri’ dalam kerajaan PN. Untuk rekod PN kini diterajui Muhyiddin Yassin yang juga bekas timbalan presiden Umno.

Dia dipecat daripada jawatannya dalam Umno selepas lantang mengkritik Najib dalam isu skandal 1MDB.

Justeru, katanya Umno harus keluar daripada pentadbiran pimpinan Muhyiddin jika mahu mempertahankan kedudukannya sebagai parti yang berpengaruh.

Umno sendiri sebelum ini mendesak agar PRU diadakan segera dengan alasan supaya kerajaan yang mendapat mandat rakyat dapat dibentuk.

Ia berlaku ketika hubungan Umno dengan Bersatu semakin tegang ekoran satu demi satu bahagian Umno mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama di antara mereka.

Baru-baru ini, mesyuarat MT Umno pula memutuskan untuk membawa usul berkenaan hubungan parti mereka bersama Bersatu ke perhimpunan agung parti pada hujung bulan ini.

Sementara itu, Nazri juga berharap agar partinya tidak kerap bertegah sesama sendiri.

“Saya harap juga ahli Umno kita berhenti mengkritik juga. Saya hairan yang banyak 'bantai' pemimpin kita, orang kita juga.

“Sepatutnya yang hentam kita, Bersatu. Ini orang Umno jadi macam ikan piranha, makan sesama sendiri,” katanya lagi.

Bukan setakat 2 kolam, 100 kolam pun Pas sanggup masuk

MALAYSIA DATELINE

Pas tidak akan memperduli apa jua tohmahan yang dilemparkan kepada parti itu yang disifatkan ‘makan’ dua kolam sebagai bukti Pas khianat dan tamak.

“Kami nak beritahu kamu, demi penyatuan dan persaudaraan Ummat atas nama Islam, usahkan dua kolam, 100 kolam pun kami akan masuk,” demikian menurut Ulama Pas Mokhtar Senik melalui Facebooknya hari ini.

Bahkan katanya, soal berjaya atau tidak menyatukan Umno dan Bersatu ianya bukan urusan Pas sebaliknya sudah dibayar oleh Allah atas usaha Pas selama ini.

Mokhtar juga berkata Pas tidak menghiraukan jika parti itu ditipiu sebaliknya jangan ada pihak yang menipunya.

“Kamu nak kata PAS ini bodoh kerana mudah ditipu oleh parti lain. Kami nak kamu faham bahawa kami tak kisah ditipu kerana yang penting kepada kami jangan MENIPU.

“Urusan tertipu atau tidak bukan urusan kami. Urusan kami ialah luruskan perjuangan dengan mematuhi agama Allah.

“Orang nak kata apa pun kepada Pas itu dia punya pasal. Kita tak ditanya diakhirat atas apa yang mereka tuturkan.

“Bahkan kadang-kadang kata-kata yang memfitnah dan menyakitkan itu menggugurkan dosa-dosa kita dihadapan Allah kelak atau menaikkan darjat kita disisi Allah,” katanya.

“Kamu nak kata Pas bersendirian bila Umno berpaling arah kepada DAP.  Itu telahan dan sangkaan kamu.

“Hakikatnya selagi Pas bersama Islam, Pas tidak akan pernah bersendirian. Allah, Malaikat dan orang mukmin sentiasa bersama Pas ( Ada ahli hadis nak meroyan ke dengan kalimat ini?).

“Kamu nak kata Pas akan kalah teruk, lalu kamu minta kami tinggalkan Pas?. Kami nak beritahu selagi Pas berjuang atas dasar dan prinsip Islam, seribu tahun lagi pun kami tetap bersama Pas. Kalah menang bukan urusan kami. Urusan kami ialah bersama Islam sampai akhir hayat.

“Dengan perjuangan ini kami tak pernah kenal serik dan kalah. Kami tak pernah kenal jemu dan mengalah. Kami tak kenal putus asa. Kerana kami sudah merasai manisnya berjuang untuk Allah,” ujar beliau.

Pemimpin PAS bermesyuarat bincang kemelut Umno-Bersatu

Haspaizi Zain

Kepemimpinan PAS hari ini bermesyuarat bagi membincangkan situasi politik semasa negara khususnya membabitkan hubungan Umno dengan Bersatu.

Pemimpin utama PAS tiba di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan mesyuarat bermula jam 10 pagi ini.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Bagaimana pun Ahli Jawatankuasa PAS pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dilihat meninggalkan ibu pejabat parti itu jam 10.30 pagi.

Kelmarin Bendahari PAS Pusat, Iskandar Abd Samad parti itu akan membincangkan ketetapan yang diambil Umno berkenaan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15, hari ini.

Semalam pemimpin veteran PAS, Dr Mahfodz Mohammed, berkata parti itu akan terus berusaha agar sekutunya, Umno dapat menerima hakikat betapa perlunya mereka terus kekal dalam satu gabungan.

Mahfodz berkata suka atau tidak, ketiga-tiga parti Melayu-Islam di negara ini perlu kekal bersama bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Hanya 2 pilihan buat Muhyiddin, kata Shafie

Durie Rainer Fong

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, Muhyiddin Yassin yang di bawah tekanan Umno, hanya mempunyai dua pilihan untuk menangani kebuntuan politik semasa.

Katanya, perdana menteri sama ada boleh meminta gencatan politik dengan Umno dan pembangkang, untuk membolehkan beliau memfokuskan pentadbiran ketika krisis Covid-19, atau mengadakan pilihan raya mengejut.

Beliau berkata, pilihan raya tidak mungkin diadakan buat sementara, tetapi Muhyiddin mempunyai pilihan mengadakan pilihan raya umum ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak, yang perlu diadakan antara Jun dan Ogos ini.

“Ini bermakna berpolitik secara besar-besaran di kalangan parti dalam beberapa bulan akan datang,” katanya sebagai tetamu jemputan dalam sebuah forum politik dalam talian mengenai prospek politik serantau untuk 2021.

Muhyiddin yang mengetuai Perikatan Nasional, berkuasa melalui majoriti tipis di 222 kerusi Dewan Rakyat. Gabungan itu terdiri daripada PPBM, PAS dan parti kecil, serta bergantung kepada sokongan 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang diketuai Umno.

Shafie berpendapat, pakatan PPBM-PAS-Umno menentang satu sama lain di beberapa kerusi pada PRU 2018.

“Walaupun Muhyiddin berharap dapat memanfaatkan populariti awalnya untuk mengadakan pilihan raya umum seawal Jun 2020 tanpa menyelesaikan pembahagian kerusi antara tiga parti itu, PPBM akan menjadi pihak paling rugi dalam pilihan raya umum.”

Beliau mendakwa “elit dikuasai lelaki tua” khasnya dalam kalangan parti Melayu, meninggalkan ruang besar dalam politik negara serta retorik politik perpaduan Melayu terbukti ialah janji palsu.

“Umno, PPBM dan PAS gagal membentuk kerajaan stabil. Orang Melayu sendiri menderita apabila golongan elit kuasa Melayu melaksanakan satu set peraturan kepada orang Melayu biasa, ketika mereka mematuhi peraturan berbeza.

“Kira-kira 70% orang Melayu berada di pusat bandar dan 80% rakyat Malaysia berpusat di bandar. Tetapi Umno, PAS dan PPBM masih menggunakan asas majoriti orang Melayu berpangkalan di luar bandar.

“Tak lama lagi mereka akan berdepan pemberontakan orang Melayu bandar kembali ke kampung untuk mengundi.”

Shafie berkata, ideologi sama Umno, PAS dan PPBM ialah generasi muda serta wanita bersikap acuh tak acuh, yang merupakan sekumpulan besar pengundi.

“Ideologi mereka mengabaikan keperluan orang bukan Melayu, Lebih teruk lagi, mereka melihat rakyat berbilang kaum di Sabah dan Sarawak sebagai ‘orang luar” dalam permainan kuasa mereka.”

Katanya, politik Malaysia perlu dibetulkan semula; ekonomi menjadi lembap dan institusi negara semakin terjejas.

Perlu ada pergerakan baru untuk mengisi ruang yang beliau senaraikan, melangkau politik peribadi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Pergaduhan PN boleh bawa ‘celaka’ pada rakyat, kata bekas Menteri Kesihatan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan ahli-ahli politik Perikatan Nasional (PN) untuk berhenti berbalah kerana mereka seperti membawa ‘celaka’ dan ketidakstabilan buat rakyat.

Beliau menyindir bahawa terdapat sebahagian pemimpin politik yang berangan-angan untuk membubarkan Parlimen dan mengheret rakyat untuk berpilihan raya dalam keadaan negara berdepan gelombang Ketiga pandemik Covid-19.

“Pemimpin negara semakin kaget dan cenderung untuk sekadar mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja.

“Berhenti berpolitik termasuk berbalah sesama sendiri dalam Perikatan Nasional, sekaligus membawa celaka dan ketidakstabilan buat rakyat dan negara.

“Dengan kes positif melepasi 125,000, dan kematian melebihi 515 kes sehingga merekodkan kes terbanyak iaitu 3027 kes pada semalam, Malaysia berada dalam posisi yang amat gawat,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Menurutnya, fasiliti-fasiliti Kesihatan awam khasnya hospital Covid-19 sudah hampir sarat dengan pesakit.

Malah, kes kategori 1 bagi pesakit tidak bergejala juga tidak lagi dimasukkan ke hospital dan menjalani kuarantin di rumah.

“Kejayaan awal Malaysia hampir musnah ditelan cabaran Gelombang ke-3 yang malangnya tidak dijangkakan sebegini dahsyat,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly juga mengulas surat terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang ditandatangani lebih 40 pakar perubatan negara.

“Surat terbuka ini sememangnya tepat dan wajar untuk perdana menteri kelapan bertindak!

“10 pelan tindakan kritikal yang disarankan dalam surat terbuka ini adalah amat mustahak dilaksanakan segera,” katanya lagi.

Menurut surat terbuka itu, pakar-pakar mengambil maklum ‘pengurusan pandemik Covid-19 negara yang memberi gambaran suram dan tidak terkawal.’

“Walaupun dijalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan intervensi kesihatan yang lain, laporan harian kes masih tidak menunjukkan tren penurunan,” kata surat tersebut.

Pemikiran Setiausaha Agung Umno umpama goreng pisang, kata Khairy

MALAYSIA DATELINE

Pemikiran yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan bahawa Umno marah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak menggugurkan kes mahkamah terhadap pemimpin mereka umpama pemikiran goreng pisang.

Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, kalau dahulu, pemikiran macam ini dinamakan ‘lobak’ sekarang ia umpama ‘goreng pisang’.

“Kalau sebab kita tidak memberikan sokongan adalah kerana kerajaan ini tidak mahu campur tangan dalam kes mahkamah, itu pemikitan level goreng pisanglah.

“Kualiti IQ dialah. Dulu lobak, kini goreng pisang,” kata Khairy dalam sidang medianya hari ini menjawab hujjah Ahmad Maslan kenapa Umno marah kepada kerajaan PN.

Ahmad sebelum ini berkata, salah satu sebab utama Umno tidak puas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana langkah PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.

Ahmad – salah seorang pemimpin Umno yang dihadapkan ke mahkamah – berkata perkara itu sebenarnya mengatasi rasa tidak puas hati Umno dalam soal agihan jawatan dalam kerajaan.

“Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat.

“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya.

“Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?” soalnya dalam satu dialog dua hari lalu.

Katanya lagi, penerusan kes-kes tersebut menandakan kerajaan sekarang juga bertindak zalim, justeru PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru.

Ahmad kini sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Selain Ahmad, pemimpin Umno lain yang dibicarakan atas tuduhan rasuah termasuk Najib, presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.

Netizen kecam PAS Umno guna jentera kerajaan sampaikan bantuan parti

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Pas dan Umno menggunakan jentera kerajaan untuk mengedarkan bantuan atas nama mereka dikecam oleh netizen dan orang ramai.

Bagi mereka, tindakan ini tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan jentera kerajaan secara terang-terangan.

Bernama menyiarkan gambar pasukan Bomba digunakan untuk mengedarkan bantuan yang dihantar kepada mangsa banjir atas bekas yang berlogo Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan logo Pas dan Umno.

“Anggota Bomba dan Penyelamat Temerloh meredah Sungai Pahang dalam misi menghantar sumbangan barangan keperluan ke kampung terputus hubungan dalam Parlimen Kuala Krau, Pahang hari ini,” lapor Bernama menerusi twitternya.

“Kena letak logo ke…puikkkk,” tulis Haeman membalas twitter Bernama itu melihat kepada logo Pas dan Umno pada beg pembungkus bantuan itu.

“Apasal bukan Unit Amal Pas ke dengan Pemuda Umno yang redah banjir hulur bantuan. Kaki kena ayaq banjir berkudis ke,” tulis Argyp #Rakyatjagarakyat menerusi twitter beliau.

“Sedih dana pembayar cukai digunakan untuk milej politik. Macam mereka tak tahu bahawa ia menyalahgunakan wang pembayar cukai. Beg plastik MN,” tulis Gary LFW dalam bahasa Inggeris menerusi twitternya pula.

Zalim mengikut sifir Ahmad Maslan tidak lojik

MINDA KANUN

Baru-baru ini Ahmad Maslan, Setiausaha Agung Umno yang juga baru dilantik menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional menggantikan Annuar Musa mengatakan dalam satu temubual dengan Umno Online bahawa beliau tidak puas hati dengan kerajaan sekarang kerana kerajaan sekarang adalah zalim.

Beliau mengatakan antara lain seperti berikut;

“Dan satu lagi ketidakpuashatian ialah bukan kerana jawatan sangat tetapi kerana kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tidak wajar dibuat.

“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah diorang kata kluster mahkamah dan sebagainya ini. Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini adalah kes yang dibawa zaman Mahathir, zaman Tommy Thomas, zaman Latheefa Koya. Tun Mahathir dah takde dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu pergi mana dah sekarang, Latheefa Koya saya tak tahu ke mana dah.

“Kenapa kes yang mereka bawa itu masih diteruskan? Sebagai contoh satu kumpulan 41 organisasi dan individu, satu lagi kumpulan 80 organisasi dan individu, mereka tak tahu pun duit yang presiden bagi tu datang daripada mana, mereka anggap sebagai dana politik biasa, tetapi kenapa 41 orang itu disita dan yang 80 orang itu termasuk saya ini dikompaun berpuluh kali ganda!

“Ada yang dapat 50 ribu daripada presiden disuruh bayar kompaun 2.5 juta. Ini satu kegilaan yang melampau! Dan kezaliman yang tahap tinggi. Maka saya dan Tan Sri Shahrir mengepalai 43 orang yang lain menyaman SPRM tetapi kami berdua pula diheret ke mahkamah dan diteruskan oleh kerajaan yang ada ini. Kerajaan yang ada ini meneruskan kezaliman bermakna kerajaan ini juga yang zalim…”

Untuk rekod, Ahmad Maslan adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan semasa zaman Najib menjadi Perdana Menteri. Semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan, beliau telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersama Shahrir Samad atas pertuduhan berkaitan penggubahan wang haram dan korupsi.

Semasa zaman Pakatan Harapan, Ahmad Maslan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Bagi pertuduhan pertama, kesalahan yang didakwa itu adalah kerana beliau membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau juga dituduh telah memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM dan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Justeru, menjadi satu keanehan apabila beliau menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakannya dizalimi. Akta yang dibuat itu adalah akta yang dibuat semasa zaman Barisan Nasional memerintah dan bukannya dibuat oleh Pakatan Harapan untuk mengenakan diri beliau.

Jika akta itu digubal oleh Pakatan Harapan adalah logiknya beliau mengatakan sedemikian. Tambahan lagi, dengan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan sepatutnya beliau lebih faham persoalan mengenai penggubahan wang haram itu.

Maka, jelas sekali tindakan politik yang dibawa oleh Umno sekarang ini sebenarnya adalah usaha-usaha terdesak beberapa kerat pemimpin Umno untuk melepaskan diri daripada pertuduhan yang kononnya zalim ini.

Apalah yang zalimnya pertuduhan sebegitu sekiranya beliau diberikan hak untuk membela diri dan beliau boleh mengupah mana-mana peguam yang terbaik untuk mempertahankan dirinya sekiranya benar-benar beliau tidak bersalah.

Berbanding dengan kezaliman kerajaan Barisan Nasional yang membuat tahanan tanpa bicara itu di bawah ISA adalah lebih zalim kerana orang yang ditahan itu tidak tahu kesalahan mereka dan mereka tidak berpeluang untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah.

Kesalahan menggubah wang haram ini bukanlah kesalahan yang sebarangan. Kesalahan seperti ini telah digubal di seluruh dunia.

Tujuan kesalahan berkaitan pengubahan wang haram ini dijadikan kesalahan adalah untuk menutup ruang-ruang korupsi dan menyelamatkan wang negara daripada dirompak di siang hari.

Adalah tidak adil sekiranya orang politik bebas menggubah wang haram untuk tujuan politik atau untuk tujuan peribadi tetapi rakyat kebanyakan pula bersusah payah mencari sedikit wang ringgit untuk menyara kehidupan yang semakin mendesak.

Kita juga rindu dengan ketegasan zaman Pakatan Harapan yang telah membuat pertuduhan ke atas ahli-ahli politik yang selama ini mengumpul kekayaan luar biasa.

Malang sekali, sebelum ahli-ahli politik ini disabit dan dihukum, ianya telah ditebuk atap oleh pengkhianat politik sehingga akhirnya usaha-usaha untuk membanteras korupsi ini telah terbantut.

Kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini tidak nampak lagi sebarang usaha dibuat untuk menuduh atau mendedahkan penyelewangan.

Kita berharap kemajuan Pakatan Harapan ini dapat diteruskan kelak jika rakyat sekali lagi memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara selepas PRU 15 kelak.

Surat doktor pakar pada PM: Pengurusan Covid-19 tak terkawal

Kami seperti penama-penama di bawah melihat status terkini wabak Covid-19 negara dengan penuh kerisauan dan keprihatinan.

Pengurusan pandemik Covid-19 negara memberi gambaran yang suram dan tidak terkawal.

Walaupun dijalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan intervensi kesihatan yang lain, laporan harian kes masih tidak menunjukkan tren penurunan.

Kadar Insiden Terkumpul (bagi setiap 100,000 penduduk) dan Kadar Kebolehjangkitan (kes aktif bagi setiap 1,000 penduduk) tidak melandai, dengan Kadar Kebolehjangkitan berada pada tahap 0.879 bagi setiap 1,000 penduduk.

Ini bermaksud antara 8 hingga 9 orang telah dijangkiti untuk setiap 10,000 orang.

Kadar Ujian Pengesanan Positif meningkat, berada pada tahap 8.9 peratus pada 3 Januari 2021, jauh mengatasi tanda aras keberkesanan pengawalan pandemik yang ditetapkan oleh WHO pada kadar 5 peratus.

Izinkan kami mengusulkan 10 cadangan tindakan segera bagi menghindari Covid-19 di Malaysia sebelum ia menjadi lebih kritikal.

Pertama, meningkatkan ujian pengesanan secara bersasar, besar-besaran dan lebih kerap menggunakan rapid antigen test kits (RTK-Ag) yang lebih mudah, murah dan pantas daripada PCR, untuk merencatkan penularan jangkitan Covid-19.

Kedua, diagnosis awal RTK-Ag dalam tempoh masa kurang daripada 24 jam membolehkan isolasi serta merta dan membantu pengesanan kontak dengan segera.

Ketiga, pengesanan kontak menggunakan aplikasi digital mempercepatkan proses pengesanan. Disamping itu, teknologi data sains dan machine learning boleh dimanfaatkan untuk mencari kawasan sasaran untuk saringan dijalankan. Hanya melalui respon segera Find-Test-Trace-Isolate (FTTI) ini sahaja boleh memecahkan kluster Covid-19 dan seterusnya mengurangkan penyebaran sporadik virus ini. 

Keempat, dengan program ujian yang bersasar dan besar-besaran ini kes Covid-19 dijangkakan akan meningkat. Maka untuk melindungi kapasiti penjagaan kesihatan negara, kami menganjurkan kes klinikal tahap 1 dan 2 diisolasikan di rumah dengan garis panduan yang jelas daripada MOH.

Tahap kesihatan mereka boleh dipantau secara harian dengan aplikasi digital, disokong dan dibantu oleh komuniti setempat dan penghantaran segera ke hospital Covid-19 bagi kes yang semakin merosot.

Kelima, kita mestilah melindungi kecemerlangan perkhidmatan kakitangan medikal dihospital Covid-19 kerajaan dengan memindahkan semua pesakit bukan Covid-19 ke hospital kerajaan dan swasta yang tidak merawat pesakit Covid-19. 

Ini membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada kes Covid-19 yang serius dan tidak terganggu dengan kes Covid-19 yang tiada bergejala atau gejala kecil sahaja.

Keenam, memberi sokongan kepada industri yang penting untuk keutuhan ekonomi negara dengan program kesihatan awam yang berupaya mengurangkan 3Cs.

Inisiatif POIS (Preventing and early detection of Outbreaks at Ignition Sites) adalah kerjasama pihak kerajaan, sektor swasta dan NGO yang menekankan pengesanan awal, peningkatan kesihatan umum dan pendidikan kesihatan majikan industri dan pekerja asing. 

Inisiatif POIS yang dibangunkan dengan konsultasi antara industri dan WHO boleh digunapakai di pelbagai tempat sebagai alat operasi kesihatan awam. Ia merangkumi pendekatan whole-of government dan whole-of-society.

Ketujuh, inisiatif sebegini juga perlu dilaksanakan di kawasan panas wabak Covid-19 yang lain, seperti di penjara dan pusat tahanan.

Kelapan, mempercepat proses pengawalseliaan imunisasi, sebaik sahaja dos pertama vaksin tiba di lapangan terbang. 

Makluman awal kepada rakyat berkaitan pencegahan Covid-19 dan membendung berita palsu mengenai vaksin akan memperkasakan rakyat dengan informasi dan persetujuan ketika Covid-19 vaksin tiba.

Selain keutamaan diberikan vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi, pertimbangan harus diberikan juga kepada golongan pekerja asing diindustri dan komuniti orang pelarian yang merupakan lubuk penyakit berjangkit. 

Kerajaan mesti menetapkan kos vaksin yang tidak melebihi RM100 bagi setiap dos bagi mereka yang mendapatkan suntikan di klinik swasta dan ujian RTK-Ag mesti tidak melebihi RM100 bagi setiap ujian untuk memastikan rakyat mampu menampung kos vaksin dan ujian dan negara mencecah liputan vaksin dan ujian yang tinggi yang bakal melindunginya daripada ancaman Covid-19 yang berterusan

Kesembilan, membentuk suatu pasukan petugas khas Covid-19 yang keahliannya terdiri daripada pakar perubatan, ekonomi dan pelbagai sektor yang berkaitan perlu dibentuk dengan kadar segera untuk menyediakan khidmat nasihat kepakaran dan menyelaraskan respons pelbagai kementerian dan agensi didalam kerajaan untuk membenteras pandemik Covid-19.

Pasukan petugas khas Covid-19 akan memacu negara keluar dari wabak ini dengan kerap mengemukakan cadangan dan odit kepada kabinet, dan menekankan unsur-unsur memelihara nyawa, kesihatan fizikal, emosi dan mental rakyat jelata dan juga memelihara kesihatan ekonomi negara.

Untuk memastikan kebebasan pasukan petugas khas Covid-19, pemilihan ahli perlulah dilakukan oleh, Persatuan Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia dan Persatuan Pakar Kesihatan Hospital Swasta Malaysia.

Kesepuluh, jangan mempolitikkan pendemik ini, sebaliknya mendapatkan konsensus bipartisan dan pendekatan untuk melandaikan lengkuk pandemik, mempercepatkan usaha untuk mencapai imuniti komuniti untuk membentuk perlindungan masyarakat didalam rangka untuk wujud bersama (co-exist) dengan koronavirus. 

Mengadakan PRU15 semasa peningkatan wabak yang tidak terkawal akan membawa bencana seperti apa yang telah terberlaku di PRN Sabah.

Ini adalah pengurusan kesihatan awam yang asas di mana kami percaya YAB Tan Sri akan mempertimbangkan segera dan memandang serius untuk mengurangkan akibat yang tidak diingini berikutan wabak itu, untuk melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat, dan memulihkan semula ekonomi Negara kita.

Surat terbuka ini disokong oleh individu berikut, mengikut urutan abjad:

Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman (Former Director- General of Health)

Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman (Secretary General, Federation of Islamic Medical Associations)

Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman (Professor of Medicine, Universiti Malaya)

Prof Dr Ahmad Hata Rasit (Deputy Vice Chancellor and Consultant Orthopaedic Surgeon, Universiti Malaysia Sarawak)

Dr Ahmad Munawar Helmi bin Salim (Immediate Past Chairman, Islamic Medical Association Response & Relief Team)

Dr Azhar Abdul Aziz (Consultant Emergency Physician)

Dato’ Dr Amar-Singh HSS (Consultant Paediatrician)

Prof Dato’ Dr Azizi Haji Omar (Past President Malaysian Paediatric Association)

Datuk Dr Christopher Lee (Former Deputy Director-General of Health (Research & Technical Support)

Dr Dhesi Baha Raja (Consultant Public Health Physician & Chief Medical & Innovation Officer of AinqaHealth)

Dr Gunasegaran PT Rajan (Past President, Obstetrical & Gynaecological Society of Malaysia)

Dr Hung Liang Choo (President, Malaysian PaediatricAssociation)

Dato’ Dr Jahizah Hassan (President, College of Anaesthesiologists)

Dr Jeffrey Abu Hassan (Immediate Past President, Islamic Medical Association Malaysia)

Dr Johari Bux (Past President, Obstetrical and Gynaecological Society of Malaysia)

Emeritus Prof Jomo Kwame Sundaram (Former United Nations Assistant Secretary General)

Dr Khor Swee Kheng (Independent Consultant, Health Systems and Policies, Consultant in Health Policies, and Malaysian Health Coalition)

Datuk Dr Kuljit (President, Association of Private Hospitals Malaysia)

Dr Lim Teck Onn (Former Director, Clinical Research Centre MOH)

Prof Datuk Dr Lokman Hakim bin Sulaiman (Pro-Vice Chancellor (Research) International Medical University and Former Deputy Director General of Health-Public Health)

Dr Mary Suma Cardosa (Past President, Malaysian Medical Association)

Dr Milton Lum (Past President, MMA and Federation of Private Medical Practitioners Association Malaysia)

Asst Prof Dr Mohammad Farhan bin Rusli (Consultant Public Health Physician, International Islamic UniversitiMalaysia)

Datuk Prof Dr Mohamed Hatta bin Shaharom(President, Malaysian Society of Psychospiritual Therapy)

Dr Mohammad Iqbal Sarwar (Consultant Paediatrician, KPJ Damansara Specialist Hospital)

Dr Mohamed Namazie Ibrahim (Past President, Malaysian Medical Association)

Dr Muhamad Yusri Musa (President, Islamic Medical Association Malaysia)

Dato’ Dr Musa Mohd Nordin (Chairman, Advisory Council, Federation of Islamic Medical Associations)

Dato’ Dr Narimah Awin (Former Director of Family Health Development)

Prof Dr Norlisah Mohd Ramli (President, College of Radiology of Malaysia)

Associate Prof Dr Pang Yong Kek (Respiratory Consultant, Universiti Malaya Medical Centre)

Prof Dr Roslina Abdul Manap (Scribe, Academy of Medicine of Malaysia)

Prof Dr Rosmawati Mohamed (Master, Academy of Medicine of Malaysia

 Dr Sevellaraja Supermaniam (Past President, Asia Pacific Association of Gynaecological Endoscopy and OGSM)

Puan Shariah Asiah (President, Malaysian Nursing Association)

Dato’ Dr Sivamohan Namasivayam (Board Member, Association of Private Hospitals Malaysia)

Dr Steven Chow (President, Federation of Private Medical Practitioners Association Malaysia)

Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy (President, Malaysian Medical Association)

Dr Tang Boon Nee (Past President, Obstetrical and Gynaecological Society Malaysia)

40. Dr Teoh Siang Chin (Past President, Malaysian Medical Association, Former Melaka State Health Director)

Prof Dr Wan Ariffin Abdullah (Past President, Malaysian Paediatric Association)

Dr Yap Wei Aun (Consultant Public Health Physician)

Dr Yolanda Augustin, Oncologist and Healthcare Activist, St George’s University of London

Dato’ Dr Zainal Ariffin bin Omar (President, The Malaysian Public Health Physicians’ Association)

Dato’ Dr Zainudin bi Md Zin (Chairman Lung Foundation of Malaysia, Past President of College of Physicians Malaysia)

Datuk Dr Zulkifli Ismail (Secretary General, Asia Pacific Pediatric Association)

PN bukan retak menanti belah tapi sudah terpecah-pecah

Nor Miswary Ramli

Kelmarin Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, dipecat serta-merta daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN selepas Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid membuat keputusan tersebut.

Tindakan berkenaan diambil selepas bekas timbalan perdana menteri itu mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua Umno bahagian.

Pertemuan tersebut dilaporkan bagi mendapatkan penjelasan berhubung usul Umno bahagian yang menolak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan didakwa oleh akar umni Umno seolah-olah sering membawa suara Bersatu dalam BN.

Lebih menarik, MCA – salah satu parti komponen BN – pun terkejut dengan pemecatan Annuar dan hanya mengetahui mengenai pemecatan tersebut melalui laporan media.

Adakah mereka telah dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp BN? Persoalan itu masih tidak dapat dipastikan.

Tidak cukup dengan membuatkan MCA keliru dan bertambah celaru, muncul pula laporan mendakwa 143 daripada 191 Umno bahagian di seluruh negara enggan bekerjasama dengan Bersatu.

Nampaknya bukan sahaja BN yang cuba diheret untuk dibuang ke gaung. Umno malah mahu meroboh Perikatan Nasional (PN) juga.

Usul tersebut seolah-olah memberi bayangan kepada ahli parlimen Umno supaya menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan PN yang dipimpin oleh ketua parti Bersatu yang pernah melakukan kerja khianat dari tangga hotel di Petaling Jaya.

Jika kita melihat Umno seolah-olah cukup dengan apa yang mereka lakukan, kita sebenarnya terpedaya. Umno sebenarnya masih jauh daripada berasa puas. Apa yang mereka teguk masih belum menghilangkan haus.

Kini tiba giliran PAS menerima kesan serupa. Selain Bersatu, Umno Terengganu juga sebulat suara meluluskan usul menolak kerjasama dengan PAS yang kemudiannya diikuti oleh Umno Kelantan.

Panjang kata, orang Umno di pantai Timur tahu PAS adalah rakan kongsi mereka dalam Muafakat Nasional (MN). Namun mereka juga tahu PAS tidak boleh dipercayai.

Umno menyangka mereka kini mempunyai kuasa tawar-menawa semasa berdepan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Berahi yang tak berkesudahan ini timbul semenjak Umno berjaya menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatannya sebagai menteri besar Perak.

Ahmad Faizal bukan orang biasa-biasa. Dia merupakan timbalan presiden Bersatu sekali gus orang nombor dua Muhyiddin Yassin.

Mesej yang dihantar oleh Umno Perak itu terus sampai ke depan pintu Putrajaya.

Malah dakwaan terdapatnya usaha Bersatu untuk membeli ahli-ahli Umno menambah garam halus ke luka bernanah Umno. Ahmad Zahid pula langsung tidak menolak dakwaan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang membuat dakwaan tersebut.

Semua malapetaka politik yang disenaraikan tadi adalah petanda kerajaan PN menghampiri tempoh tamatnya. Rasa meluat akar umbi Umno kini naik sampai ke kepala.

Menuntut PRU ke-15 dengan segera adalah petanda Umno semakin terdesak dan percaya dengan sifir mereka bahawa parti itu akan kembali berkuasa selepas itu.

Bersatu dan PAS hanya menjadi longgokan sampah atau bahan binaan yang menghalang laluan Umno. Biarpun Umno dilihat bersama dengan PAS dan Bersatu dalam kerajaan, sebenarnya mereka mahu bersendirian.

PN hari ini tidak selemah seperti mula-mula Muhyiddin mendakap Azmin Ali ketika dia baru menjadi perdana menteri. PN jauh lebih lemah pada hari ini berbanding hari tersebut.

PN bukan sahaja retak menanti belah, mereka sebenarnya sudah terbelah terpecah-pecah namun hanya berpura-rupa mengaku retak.

Nenek 74 tahun paut pokok manggis 18 jam dalam banjir

Bernama

Razmah Sarip (dua kanan) bersama keluarganya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Raub. (Gambar Bernama)

RAUB: “Wan tak fikir apa, kalau Wan mati hari ini, harap yang baiklah untuk Wan”.

Itu luahan Razmah Sarip yang terpaksa berpaut atas sebatang pokok manggis lebih 18 jam bersama anak perempuannya selepas rumah mereka berhampiran Sungai Kerak, Kuala Gali, dinaiki air banjir melepasi bumbung rumahnya.

Menceritakan detik cemas berkenaan, warga emas berusia 74 tahun itu yang mesra disapa “Wan” berkata banjir naik secara mendadak dan deras sehingga mengakibatkan beberapa struktur rumahnya runtuh.

“Air naik sekitar 1.30 tengah hari Ahad lepas. Kebiasaannya selepas beberapa jam ia akan surut, tetapi kali ini lain, makin lama makin tinggi. Hingga air sampai paras dada, anak bawa Wan keluar, kebetulan kami jumpa pelampung kecil yang hanyut di depan rumah…kami berpaut pelampung sebelum naik ke atas pokok manggis berhampiran. 

“Wan terpaksa menahan lapar dan sejuk sepanjang malam, nasib baik anggota keselamatan jumpa kami atas pokok kira-kira 5 pagi,” katanya sebak ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar.

Anaknya, Rosmawati Rasman, 44, berkata rumah yang mereka diami antara empat rumah yang terletak berdekatan Sungai Kerak dan semuanya ditenggelami air hingga ada antaranya musnah akibat banjir.

“Rumah kami musnah dan selepas ini perlu mulakan hidup baharu. Sudah tentu sukar kerana saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan suami bekerja sebagai penoreh getah.

“Sementara ini kami sekeluarga tinggal di PPS dan apabila keadaan semakin reda, kami mungkin dapatkan bantuan ahli keluarga lain atau mereka yang terbabit bagi mendapatkan rumah (membina kembali rumah) untuk berlindung,” katanya.

Selain Razmah dan anaknya, terdapat empat lagi mangsa banjir yang juga terpaksa berlindung di atas pokok sebelum pasukan keselamatan tiba memberi bantuan.

Turut berkongsi detik cemas dilanda banjir, Mohd Azlan Syah Jaamat, 47, dari Kampung Gali Tengah, yang bagi beliau banjir kali ini satu kejutan bagi penduduk di kampung itu.

Beliau yang kini berlindung di PPS Pusat Kegiatan Kemas Daerah Raub, berkata banjir di kawasan itu adalah yang terburuk sejak 20 tahun lepas.

Katanya, dalam hanya tempoh kurang 30 minit, air dari sungai berdekatan melimpah dan air naik sehingga paras pinggang.

“Tak sempat nak selamatkan apa-apa, sehelai sepinggang. Berpuluh tahun duduk sini, ini banjir terburuk…kawasan kami tak pernah naik air,” katanya.

Mangsa yang ditemui turut memuji tindakan pantas dan proaktif agensi terlibat dalam memastikan kebajikan dan kesihatan penghuni di PPS.

Setakat 2 petang tadi, Pahang mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 23,105 orang daripada 6,267 keluarga di 278 PPS.

‘Ada baik PM letak jawatan, serah negara kepada yang lebih mampu’

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Perdana Menteri dan pasukan Kabinetnya sudah habis tenaga untuk mengendalikan pandemik Covid-19. Idea pun sudah kering.

Menteri Kesihatan tidak kelihatan lagi. Kita pun tidak tahu dia dan dua timbalannya sedang buat apa dan berada di gua mana.

Kerajaan kita ibarat pesawat tanpa pemandu, hanya bergantung kepada pemanduan automatik. Berserah kepada nasib, sabut atau batu.

Orang ramai tidak tahu nak buat apa-apa kecuali pakai pelitup muka, picit pembasmi kuman, periksa suhu badan dan berjalan jauh-jauh.

Harga barang mencanak naik, peluang pekerjaan menguncup, sekolah dan universiti entah selamat atau tidak untuk beroperasi. Masjid masih kelam-kabut.

Saya rasa, atas rasa tanggungjawab kepada negara dan rakyat, tidak salah dan ada baiknya PM letak jawatan. Serahkan negara kepada juruterbang baru yang lebih berkemampuan.

Itu pun jika PM dan semua menteri yang ada sayangkan negara dan rakyat.

Jika tidak, kami rakyat jelata hanya mampu berkata, “Pergi mampuslah dengan pengkhianat!”

Umno lalui jalan mati, kata Jazlan

Malaysiakini 

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub menggambarkan Umno melalui jalan mati dan mendakwa parti itu seperti terikat dengan permainan pihak tertentu.

Menyorot semula kejatuhan Umno pada pilihan raya umum ke-14 ketika dijatuhkan Pakatan Harapan (PH) - sebelum ini terdiri daripada Bersatu, PKR dan DAP - dia menyarankan Umno menetapkan hala tujunya.

“Mengapa harus kita mengikat diri kita yang akan membunuh diri sendiri atau kita akan dibunuh?

“Adakah dengan keadaan sekarang Umno akan jadi lebih kuat?

“Jawabnya kita mesti buat pilihan jalan mana mesti dilalui demi meletakkan Umno kembali di atas walaupun terpaksa mengambil sedikit masa kerana jalan yang kita lalui sekarang adalah jalan mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 Januari, Ahmad Jazlan yang juga ahli parlimen Machang menggesa Perikatan Nasional (PN) membubarkan parlimen pada bulan ini atau dia akan melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Sehari selepas itu, dia meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ia dilihat sebagai langkah drastik memandangkan Jazlan pada mulanya memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada PN.

Pada masa sama, Ahmad Jazlan mengingatkan bahawa Umno tidak mampu untuk bersendirian tanpa mana-mana gabungan.

“Mengapa Umno perlu terlalu terikat? PRU lepas Umno ditolak oleh gabungan mana? Bukankah oleh gabungan Bersatu yang bersama dengan DAP dan PKR?

“Kita telah terjebak dengan mainan kononnya rakyat akan tolak kita kalau bersama orang itu dan ini.

“Habis Umno nak bersama siapa? Bersendirian kita tak mampu. Terus bersama Bersatu yang nak matikan kita? Adakah kita boleh jamin rakyat suka dengan kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Bersatu?” soalnya.

Dia turut berkata ketika parti itu mengambil keputusan untuk menyertai gabungan kerajaan, Umno telah memberikan pelbagai alasan seperti tiada sumber kewangan untuk bergerak selepas kalah dalam PRU14.

“Sekarang kita ada duitkah untuk bergerak? Duit Umno pun masih tak dilepaskan semuanya, sedangkan dah jelas duit itu adalah duit parti yang tiada kaitan dengan 1MDB,” katanya.

Selain itu dia juga berkata Umno tidak mendapat sebarang perubahan atau manfaat berbanding sebelum dan selepas menyertai kerajaan.

Antaranya seperti kesulitan mencari tempat untuk mesyuarat perwakilan sehingga ada yang perlu mengadakannya di bawah khemah dan tiada jabatan kerajaan yang memberikan mereka laluan untuk menganjurkan program.

Untuk rekod, Bersatu dan Umno kembali berdepan dengan pergolakan, antaranya dengan 189 daripada 191 bahagian Umno dilaporkan membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.

Namun, bekas setiausaha Umno, Annuar Musa semalam berkata dia dimaklumkan bahawa 99 bahagian secara rasminya membuat usul sedemikian untuk terus menolak Bersatu.

Mahkamah beri amaran keras pada Najib

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah hari ini memberi amaran keras kepada bekas perdana menteri Najib Razak agar tidak menyerang saksi pendakwaan dan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz di Facebook.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memberi amaran itu ketika perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB hari ini.

Pada 5 Jan, pihak pendakwaan meminta mahkamah mengeluarkan amaran itu susulan hantaran Facebook Najib terhadap Zeti berkenaan dakwaan berkaitan 1MDB.

Ia susulan hantaran Facebook bertarikh 29 Dis lalu yang mengandungi dakwaan terhadap Zeti dan keluarganya berkaitan dana syarikat itu.

Dua hari kemudian, Zeti mengeluarkan kenyataan media bagi menyangkal dakwaan itu.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata sebarang kenyataan Zeti sebelumnya tidak mengabsahkan Najib untuk memuat naik hantaran tersebut.

"Tertuduh tak boleh buat kenyataan seolah-olah membuat perbicaraan di ruang awam.

"Tiada kenyataan boleh dikeluarkan berkenaan perbicaraan. Kenyataan tertuduh bersamaan dengan serangan terhadap saksi pendakwaan.

"Maka, mahkamah mengeluarkan amaran keras kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu demi menjaga kewibawaan perbicaraan," kata Sequerah kepada Najib yang berada di kandang tertuduh.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Kartel daging seludup: SPRM tahan dua pegawai MAQIS Johor

Bernama

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah berhubung aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Menurut sumber, kedua suspek masing-masing berusia 27 dan 31 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor, kira-kira 11 malam tadi.

Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Beliau memaklumkan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini untuk permohonan reman.

Pas tersepit antara ‘isteri sah’ dan ‘perempuan simpanan’

JAMZURI ARDANI

Kemahuan akar umbi Umno jelas rasanya. Mereka tidak mahu bersama PPBM. Inilah naratif yang dijaja oleh team Zahid/ Najib.

Tetapi, mereka juga tidak mahu bersama Anwar dan DAP. Inilah pula naratif yang dijaja oleh team Anuar Musa dan Hishamuddin.

Mereka hanya mahu kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional. Pas secara umumnya dilihat tidak mengancam Umno dari sudut pembahagian kerusi, kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tetapi, ini tidak bermakna kerjasama dengan Pas adalah mudah terutama dalam soal agihan kerusi dan hubungan parti itu dalam PN.

PN adalah pertubuhan politik yang didaftarkan secara sah, manakala MN adalah pertubuhan yang tidak berdaftar.

Bagi Pas, PPBM ibarat isteri yang sah manakala Umno hanyalah ibarat perempuan simpanan sahaja.

Di Terengganu dan Kedah, adalah sukar untuk akar umbi Umno menyerahkan dominasi agihan kerusi kepada Pas.

Sekiranya Ummo dan PPBM benar-benar berkerat rotan, Pas terpaksa memilih satu antara dua. Situasi ini boleh membunuh Pas.

Pertama, naratif ‘kesatuan ummah’ yang dicanang oleh Pas tidak lagi relevan.

Kedua, pertembungan 3 penjuru di kawasan dominasi Melayu, terutama di pantai barat tidak akan memihak kepada Pas.

Ketiga, Pas akan sentiasa hidup di bawah bayangan Umno atau PPBM.

Sekiranya gagasan Gabungan Besar (Grand Coalition) berjaya direalisasikan di kalangan blok pembangkang dalam keadaan Umno, Pas, dan PPBM bertembung sesama sendiri, saya percaya mandat rakyat akan kekal bersama Pakatan Harapan dalam PRU15.

Gabungan besar ini mestilah didominasikan oleh Pakatan Harapan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.

Pas bayang iktiraf Mohamad Hassan pimpin Umno bukan Zahid

MALAYSIA DATELINE

Menjelang mesyuaratnya malam tadi, Umno diberitahu oleh Pas, pemimpin sebenar mereka yang diiktiraf oleh parti itu adalah Datuk Seri Mohamad Hassan, timbalan presiden Umno.

Twitter Takiyuddin jam 8.54 malam tadi.










Perkara ini dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melalui twitter beliau jam 8.54 malam tadi, menjelang Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertingginya.

Beliau membayangkan pengiktarafan yang diberikan oleh Pas kepada Umno adalah melalui hubungan baik antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu.

“Dua insan ini sebenarnya yang meneroka jalan ke arah Penyatuan Ummah mewakili parti masing-masing awal tahun 2019.

“Kemuncaknya adalah HPU914 pada 14 September 2019,” kata beliau.

Berikutan itu, katanya, Muafakat Nasional (MN) dimeterai dan sebuah gagasan inklusif ummah bangsa dan negara dibentuk.

“…teruskan pimpinanmu ke medan jaya,” tulis orang kepercayaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Mesyuarat MT Umno malam tadi memutuskan untuk membawa usul mengadakan kerjasama dengan Pas walaupun Umno Terengganu dan Kelantan dilihat sangat tidak senang dengan Pas.

Usul mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang akan dibawa ke mesyuarat agung Umno 31 Januari nanti, kata Ketua Penerangan Umno dalam kenyataannya selepas mesyuarat malam tadi.

Annuar dedah surat sokongan Zahid kepada Presiden PKR, jatuhkan PN

FAZLI RADZI

Selepas dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini tampil membuat pendedahan.

Ahli Parlimen Ketereh itu mendedahkan surat sokongan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi Umno kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Annuar, ini merupakan pertama kali surat bertarikh 11 Oktober itu didedahkan kerana beliau tidak bersetuju dengan pendirian menyokong Ketua Pembangkang tersebut.

Beliau juga berkata, antara isi kandungan surat sokongan yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong itu ialah untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tahu semua sekali dan surat ini saya sudah semak dengan banyak pihak dan surat ini adalah tulen.

“Dalam surat ini antara perkara-perkara yang disebut ialah menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar perdana menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar Ibrahim,” dedahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berikutan pengguguran jawatannya sebagai Setiausaha Agung BN.

Annuar Musa menolak pendirian Ahmad Zahid menyokong Anwar Ibrahim.

Menurutnya, tindakan diambil Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang dipanggil penjajaran baharu politik.

“Percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara Umno, Pas dan Bersatu yang merupakan parti teras yang telah mewujudkan perpaduan Melayu dan Islam di negara ini,” jelasnya lagi.

Sejak Oktober tahun lalu, tular sepucuk surat menggunakan kepala surat Umno yang didakwa ditulis oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong.

Zahid pula sedang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 membabitkan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kandungan surat bertarikh 11 Oktober lalu itu mendakwa Ahli Dewan Rakyat Umno memberikan sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Walau bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen Umno tampil menafikan sokongan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Mereka juga menolak sebarang penggabungan politik Umno dengan DAP. Antaranya, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Annuar sebelum ini menegaskan pendiriannya tidak berganjak daripada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bahawa ‘No DAP, No Anwar ‘.

Beliau menolak Umno untuk menyokong Anwar dan DAP kerana mahukan Umno memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah.

Pada 12 Disember lalu, Annuar memberitahu wujud usaha mendapatkan Akuan Bersumpah (SD) dengan pujuk rayu berterusan untuk menyokong Anwar.

Dalam masa sama, katanya, punca kemarahan kepada kerajaan cuba direka serta nama istana dan kerabat turut diguna dalam cubaan untuk membawa parti menyokong Anwar Ibrahim dan DAP.

Ketegangan hubungan Annuar dan kepimpinan tertinggi Umno dilihat berlaku sejak 12 Mac tahun lalu apabila Menteri Wilayah Persekutuan itu diganti dengan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung Umno.

Mokhtar Senik mengadu terperangkap, Ebit Lew redah banjir

FAZLI RADZI

Mokhtar Senik mengadu terperangkap, Ebit Lew redah banjir

Dua situasi berbeza bagi dua orang berwatak agama ketika Pahang dilanda musibah banjir besar.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik tengah malam tadi mengadu dirinya masih terperangkap dalam bah.

Bekas Ketua Ulama Pas Pahang itu berkata, dia berasa cemburu melihat rakan-rakannya membantu mangsa banjir.

Berbanding dirinya, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, mengambil peluang menulis sahaja lantaran tidak dapat ke mana-mana.

Dalam masa sama, Mokhtar yang juga pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu turut mendoakan agar semua mangsa banjir dan petugas dilindungi Allah.

“Cemburu juga tengok sahabat dan teman-teman turun ke kampung-kampung mangsa banjir membantu dan menolong mereka.

“Saya masih terperangkap di Bukit Keledang. Tak dapat nak ke mana-mana. Ambil peluang menulis sajalah,” tulisnya di Facebook dengan mengakhiri nama tempat Triang, Pahang dalam catatan ringkasnya itu.

Mokhtar berjubah hitam (tengah) ketika dikunjungi rakan-rakan Pas menjamu selera sup tulang lembu, kari ayam pencen dan kulat sisir goreng pada 28 November lalu.

Sementara itu, pendakwah disayangi ramai, Ustaz Ebit Lew dilihat sanggup meredah banjir di Kula Lipis sehingga ke paras pinggang.

Penceramah yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan itu semalam memberitahu sudah dua hari berada di situ bersama 10 buah kenderaan pacuan empat roda dan bot.

Ustaz Ebit turut meluahkan rasa sayu dan sedih melihat mangsa-mangsa banjir di Pahang dan bersyukur kerana Allah mempermudahkan perjalanan pasukannya.

“Ya Allah sayunya hati. Dah dua hari di Kuala Lipis bersama 10 biji 4×4 dan bot kami dari Kuala Lumpur. Sampai sini banyak jalan putus. Setiap kali sampai ada lori atau motor dah 24 jam tunggu sebab nak undur tak boleh ke depan tak boleh. Syukur Allah permudahkan perjalanan kami.

“Kami bawa 1,000 T-shirt. 1,000 telekung. Makanan dan setiap mangsa banjir saya beri sedikit duit belanja tunai. Paling sayu tengok sekolah, balai polis, surau, kuil, kereta, motor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rumah-rumah. Bila tengok semua tenggelam ada yang tinggal bumbung,” ujarnya.

Tambah Ebit lagi, kali ini ujian berat terpaksa ditanggung oleh rakyat di Pahang, jelasnya ada juga kawasan yang tidak pernah banjir berpuluh tahun namun kali ini banjir teruk.

“Tadi sempat juga lihat mangsa banjir ibu dan anak yang hilang. Tadi ibunya yang terkorban telah ditemui. Semoga Allah hadiahkan keampunan dan syurga Firdaus buatnya.

“Polis,Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bomba, Tentera semua bersama-sama menyelamatkan dan membantu mangsa banjir.

“Sedih tengok ada nenek tua dah terbaring sakit tua. Baring sahaja dah tak nampak. Tiada sesiapa dah dalam hidupnya. Orang kampung khidmat untuk nenek tadi. Syukur semuanya dari Allah. Ya Allah selamatkanlah Negeri Pahang,Johor, dan semua negeri yang banjir,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Umno membenci Bersatu, Pas tidur dengan ‘isteri’ orang

ARIF ATAN

Tiada apa yang dapat masyarakat Melayu Islam harapkan daripada tiga parti Melayu iaitu Umno, Bersatu dan Pas yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pertembungan Umno-Bersatu jelas daripada keputusan akar umbi Umno menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti diterajui Muhyiddin Yassin itu.

“Sebanyak 189 daripada 191 Umno bahagian membawa usul menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Umno sangat membenci Bersatu. Ini nilai yang konsisten dalam Umno dan diterjemah dalam mesyuarat Umno bahagian,” katanya dalam Bicara Bersama Dr Mujahid menerusi FB Live sebentar tadi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Parit Buntar itu berpendapat Umno juga tidak mempercayai Pas yang kini mempunyai 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan ‘katak lompat’ PN.

“Umno juga sangat berhati-hati hubungannya dengan Pas. Umno tidak berapa percaya dengan Pas.

“Kalau Melayu mahu berharap dengan Pas, dia (Pas) kahwin dengan MN (Muafakat Nasional) tetapi tidur dengan ‘isteri’ orang lain (Bersatu),” tempelaknya.

Sehubungan itu, Mujahid menyifatkan keadaan tersebut menggambarkan wujudnya perpecahan Melayu yang mesti ditolak oleh masyarakat Melayu sendiri.

“Umno dan Bersatu bergaduh. Ini adalah perpecahan Melayu yang mesti ditolak. Pas yang bawa Islam bersetuju kahwin dengan yang lain, tidur dengan orang lain.

“Apa yang boleh diharapkan? Ini realiti yang kita hadapi,” tegas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu lagi.

Apa juga keputusan pemimpin UMNO keluar kerajaan PN perlu dimuktamadkan MKT, kata Ahmad Maslan

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai Ahli Parlimen UMNO diarah melepaskan jawatan dalam kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) sebelum bulan depan akan dimuktamadkan Majlis Kerja Tertinggi parti itu terlebih dahulu, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

Beliau enggan mengesahkan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan arahan itu pada mesyuarat bersama ketua bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra yang berakhir sebentar tadi.

Beliau yang tidak menafikan laporan itu berkata, ia perkara yang perlu dimuktamadkan MKT UMNO.

“Itu hanya laporan (media). Apa-apa yang kita bincang tadi, kita akan bawa ke Majlis Kerja Tertinggi. Jadi, keputusan muktamad, apa juga akan dibincangkan MKT esok malam,” katanya.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu, ketua-ketua bahagian UMNO sekali lagi menolak kerjasama dengan DAP.

Ditanya sama ada kerjasama dengan PAS akan diperkukuhkan, Ahmad berkata, Zahid dan pimpinan tertinggi UMNO lain akan menemui Presiden PAS, Abdul Hadi Awang petang ini.

Panas!!!! Zahid arah MP BN keluar dari kerajaan PN sebelum Februari

FAZLI RADZI

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi difahamakan mengarahkan kesemua Ahli Parlimen BN untuk ‘angkat kaki’ dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilapor berkata demikian dalam pertemuan bersama Ketua-ketua Umno Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Zahid juga meminta semua Menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Umno melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari 2021, lapor portal mykmu sebentar tadi.

Annuar dipecat dari Setiausaha Agung BN

FAZLI RADZI

Selepas menegaskan sedia dipecat, Tan Sri Annuar Musa difahamkan dipecat oleh Barisan Nasional (BN) hari ini sebagai Setiausaha Agung.

Menurut sumber, pemecatan itu diputuskan selepas kepimpinan mendapati pandangan Menteri Wilayah Persekutuan itu tidak selari dengan parti gabungan parti itu, Umno.

Annuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dikatakan gagal mengetuai parti dalam hal berkaitan dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Ketereh berkenaan sebelum ini dikenali lantang mengkritik isu penyatuan Melayu dan Islam.

Annuar juga dianggap oleh akar umbi Umno menjadi tali barut dan jurucakap Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bahkan sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara terbuka menegur Annuar supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain.

Umno, PAS rebut kerusi Alor Setar pada PRU15 - Laporan

Malaysiakini 

Umno dan PAS bersaing untuk bertanding kerusi parlimen Alor Setar pada pilihan raya ke-15, kata laporan.

Menurut Utusan Malaysia, kerusi itu bakal menjadi rebutan Umno dan PAS yang saling menaruh keyakinan mempunyai peluang merampas kawasan tersebut daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 akan datang.

Menurut akhbar itu lagi, Umno bahagian sebelum ini telah membayangkan hasratnya merebut kerusi yang secara tradisinya ditandingi rakan komponen BN, MCA.

Sementara itu, Utusan juga melaporkan PAS menyuarakan niatnya bertanding di Alor Setar, memetik prestasinya pada PRU14.

Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahya dipetik Utusan mengesahkan hasrat parti itu yang mahu bertanding di kerusi itu.

Katanya, ini sekiranya diberi kepercayaan oleh pemimpin tertinggi MN dan PN.

“Umno tidak boleh mendakwa kerusi tersebut menjadi milik parti itu selepas kalah pada PRU14 (kepada PKR) dan begitu juga bagi pihak PAS, sebaliknya dimenangi oleh PH.

“Jadi kawasan berkenaan kini terbuka antara PAS dan Umno untuk bersaing menjadi calon dan terserah kepada pucuk pimpinan memilih parti yang terbaik,” katanya.

Calon PKR Chan Ming Kai menang kerusi Alor Setar dalam pertandingan tiga penjuru menentang PAS dan BN dengan 32,475 undi serta majoriti sebanyak 15,200 undi.

Calon PAS, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh mendapat 17,275 undi manakala Yoo Wei How daripada BN menduduki tempat ketiga dengan 14,181 undi.

‘Melayu elit tak peduli sejarah, Melayu totok tak tahu sejarah’

ARIF ATAN

Ramai generasi muda menganggap Sungai Pantai yang tebingnya sudah dikonkrit sebagai longkang besar walaupun lebih 50 tahun lalu sungai ini mempunyai pantai batu dan pasir yang mengalir jernih.

Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin menempelak sikap sebahagian masyarakat Melayu yang mengabaikan sejarah selepas meninjau keadaan Sungai Pantai tidak jauh dari Universiti Malaya (UM).

Beliau berpendapat mutu sungai itu yang jauh berbeza berbanding lebih 50 tahun lalu serta penukaran nama Kampung Kerinchi kepada Bangsar South berlaku kerana sikap Melayu segenap lapisan kelas yang mudah melupakan warisan sejarah.

“Nama Kampung Kerinchi pun tidak digunakan lagi. Sudah diganti dengan nama orang putih, Bangsar South. Demikianlah mudahnya Melayu lupa sejarah dan legasi.

“Dua kali lima. Melayu elit tak peduli sejarah. Melayu totok tak tahu sejarah,” katanya sebagai reaksi kepada komentar seorang pengguna Facebook.

Beliau turut memberitahu siapa syarikat pemaju yang menukarkan nama Kampung Abdullah Hukum kepada KL Eco City.

“Ini projek SP Setia. SP Setia ini milik PNB (Permodalan Nasional Bhd). PNB ini Melayu,” jelasnya.

SP Setia membangunkan KL Eco City di kawasan seluas 10 hektar di tapak bekas Kampung Haji Abdullah Hukum dengan nilai RM7 bilion.

Pembangunan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermula sejak tahun 2011 itu adalah satu daripada projek pembangunan bercampur bagi kediaman dan komersial bersepadu terbesar di negara ini.

Untuk rekod, PNB ditubuhkan pada 1978 sebagai instrumen Dasar Ekonomi Baru (DEB) negara yang kemudiannya berkembang menjadi syarikat pengurusan dana yang terbesar di Malaysia.

PNB juga merupakan pemilik penuh syarikat pengurusan unit amanah, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Mengulas lanjut, Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri berkata, air Sungai Pantai sejernih kristal pada tahun 1969.

Menurutnya, tebing sungai tersebut mempunyai pantai batu dan pasir dengan airnya menjadi tempat berenang ikan seluang.

“Di situlah tempat saya mandi setiap pagi ketika menumpang di sebuah rumah setinggan di Kampung Kerinchi.

“Dengan memakai sarong pulicat (pelikat), baju kemeja T, tuala di bahu dan sambil menggonggong berus gigi saya menyeberangi jalan raya Kuala Lumpur-Petaling Jaya ke sungai itu.

“Di sungai itulah penduduk setinggan Kampung Kerinchi mandi-manda dan mengangkut air. Di hilir Sungai Klang dan di hulu Universiti Malaya,” ceritanya.

Beliau yang meninjau sungai itu pagi semalam berkata, wajah Sungai Pantai tidak lagi serupa seperti yang pernah dikenalinya.

“Tebingnya sudah dibendung dan dasarnya dipasang konkrit. Namanya masih sungai tetapi penampilannya sebuah longkang besar.

“Tapi apa yang hendak dikata. Kuala Lumpur sudah menjadi bandar raya. Jalan dua lorong sudah lama dinaikkan taraf menjadi Lebuhraya Persekutuan,” keluhnya.

Sehubungan itu, Kadir menyifatkan satu demi satu nama Melayu digantikan dengan nama-nama asing atas alasan penjenamaan semula.

“Agaknya apakah nama baru Kampung Baru apabila dirobohkan dan dibangunkan semula?” soalnya dalam hantaran di Facebook beliau.

Tauke judi pernah datang jumpa Mujahid minta dilanjutkan tempoh lesen mereka

ARIF ATAN

Tampil membidas pihak tertentu yang galak menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu tidak membela Islam, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menceritakan pengalamannya didatangi tauke judi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata, sebuah syarikat perjudian terkenal pernah meminta supaya dilanjutkan tempoh lesen mereka.

Walau bagaimanapun, Mujahid memberitahu beliau menolak kerana berpendirian kerajaan PH ketika itu tidak mahu bergantung pendapatan dengan aktiviti perjudian.

Ketika menjadi Menteri Agama, saya pernah didatangi oleh operator judi terbesar di negara ini.

“Dia minta berjumpa dengan saya dalam pertemuan tidak rasmi untuk berbincang.

“Mereka minta supaya lesen mereka dilanjutkan tempoh daripada dua tahun kepada lima tahun.

“Saya kata minta maaf. Hari ini kerajaan (PH ketika itu) tidak mahu bergantung pendapatan pada judi.

“Malah, kami merasakan kerosakan judi dalam masyarakat lebih buruk berbanding hasil yang kita akan dapat,” dedahnya dalam Bicara Bersama Dr Mujahid menerusi FB Live malam tadi.

 Naib Presiden AMANAH itu berkata, operator judi tersebut malah menawarkan sumbangan dalam jumlah yang besar kepada kerajaan PH pada masa itu jika tempoh lesennya dilanjutkan.

“Kita mahu kurang, tapi dia mahu panjangkan tempoh lesen lagi untuk menjana untung lebih besar.

“Katanya, dia akan menyumbang kepada kerajaan. Tidak usah cakaplah berapa bilion. Kalau dia boleh untung, bayar cukai RM150 juta, kita boleh bayanglah untung dia berapa.

“Dia cuba meyakinkan saya boleh beri sumbangan untuk sukan dan sebagainya.

“Saya kata beginilah. Saya seorang Muslim. Apa saja yang saya kata kepada anda sudah tentu dipandu oleh kesedaran nurani dan tanggungjawab saya. 

“Dia tahu kalau Menteri Agama waktu itu kata ‘okey’, sudah tentu Kabinet tiada masalah untuk meluluskan permohonannya,” ceritanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut menyatakan pendiriannya yang menolak permintaan untuK lanjutan tempoh lesen operator judi itu dalam mesyuarat Kabinet.

“Ketika dibawa ke Kabinet, hal ini dibangkitkan. Kita tahu dia bukan sekadar jumpa saya sebagai Menteri Agama, mungkin dia jumpa banyak menteri lain.

“Saya tidak payah bersyarah panjang. Saya terus menyatakan adakah kita dengan memanjangkan tempoh perlesenan ini, kita dapat duit tetapi rosak masyarakat?

“Saya bertanya dengan jujur. Adakah kita mahu itu? Sedangkan PH mahu bina institusi keluarga dan masyarakat berteraskan nilai Rahmatan Lil Alamin,” jelasnya.

Dalam masa sama, Mujahid mengingatkan perlunya Malaysia mempunyai polisi pada masa depan yang semakin kurangkan pergantungan pendapatan kepada cukai dosa seperti judi, arak dan sebagainya.

“Jadi, kalau orang kata kita (PH) tidak bela Islam, padahal (kerajaan) hari ini sampai (tambah kekerapan cabutan khas judi) 22 kali setahun, saya tak tahulah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju masyarakat menerusi dasar-dasar pencukaian yang lebih bersifat Rahmatan Lil Alamin.

“Jangan kita sampai tahap tidak dapat membezakan antara mana yang baik dengan tidak baik dan menuduh kerajaan PH dulu tidak bela Islam atau Islam terancam kononnya.

“Sekarang dengan 22 kali cabutan, orang Islam antara yang pergi ke kedai judi ini.

“Siapa yang mengancam kesejahteraan umat Islam bahkan orang bukan Islam hari ini?” kata Mujahid lagi.

(Gambar) Rafizi sudah kurus, netizen pujuk kembali dalam politik

Rafizi sudah kurus, netizen pujuk kembali dalam politik

ARIF ATAN

Penampilan awal tahun baharu bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang lebih kurus dan ceria menarik perhatian orang ramai.

Rata-rata warganet memuji mantan Ahli Parlimen Pandan yang dilihat mengalami masalah berat badan ketika aktif dalam arena politik sebelum ini.

Tokoh pembongkar rasuah kepimpinan kerajaan BN itu berkongsikan gambar terkini beliau di Facebook rasmi beliau malam tadi dengan penampilan lebih sihat dan nampak lebih muda.

Menerusi foto itu, Rafizi dilihat mengenakan jam tangan pintar Garmin Venu yang memfokuskan gaya hidup cergas dan sihat dengan mampu mengira jumlah kalori terbakar selepas aktiviti senaman kardio dan senaman kekuatan.

Selain kagum dengan usahanya yang berhasil untuk kurus, ada juga komentar meminta Rafizi yang bakal berusia 44 tahun pada 14 September ini agar kembali dalam gelanggang politik.

‘Pujukan’ itu muncul ketika barisan pembangkang dilihat masih tercari-cari formula untuk bersepakat menentang Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam masa sama, ada juga yang ‘mengusik’ Rafizi sama ada akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandangkan baju merah yang dipakai dalam gambar itu.

Untuk rekod, Rafizi pada 10 Disember 2019 memberitahu tidak berniat kembali aktif dalam politik selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau berkata, mahu memberi tumpuan kepada kepintaran buatan (AI) dan teknologi Internet of Things (IoT) selain mahu terus menjadi ‘orang biasa’ serta menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga serta rakannya.

Walau bagaimanapun, Rafizi pada 12 Oktober tahun lalu memuat naik status ringkas di Facebook dan Twitter dengan menulis “Nantikan” berserta tagar (tanda pagar) #UntukSemua.

Status itu dimuatnaik muncul menjelang detik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah keesokan harinya.

Susulan itu, ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) menganggap Rafizi memberi isyarat akan kembali ke gelanggang politik.

Jazlan letak jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia

Malaysiakini 

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pengumuman itu sehari selepas dia memberi kata dua kepada kerajaan PN agar segera membubarkan Parlimen atau dia akan melepaskan jawatan dalam kerajaan, semalam.

"Pada hari ini, 4 Januari 2021 jam empat petang, saya telah menghantar surat perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi MPOH yang berkuatkuasa mulai 6 Januari 2021.

"Surat perletakan jawatan saya telah di serahkan kepada Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di pejabat nya sebentar tadi," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Ia dilihat sebagai langkah drastik memandangkan Jazlan pada mulanya memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada PN.

Bercakap selepas mesyuarat tahunan Umno bahagian Machang semalam, dia berkata suara akar umbi dan prinsipnya perlu ditegakkan selepas 12 bahagian Umno di Kelantan meluluskan usul untuk tidak meneruskan kerjasama dalam kerajaan PN.

"Kalau saya tarik diri saya akan sertakan sekali perletakan jawatan dalam kerajaan, kerana saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,"

Jazlan yang merupakan anggota Parlimen Machang menyuarakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya sepanjang menjadi pengerusi MPOB.

"Saya juga menghargai segala kerjasama yang telah diberikan oleh ahli lembaga, pegurusan dan seluruh warga MPOB di sepanjang perkhidmatan saya bersama agensi ini," katanya.

Dilantik pada April lalu, dia adalah antara lantikan Umno yang dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke dalam syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan dalam usaha meraih sokongan.

Peletakan jawatan ini di saat pergeseran antara Bersatu dan Umno kembali hangat, antaranya dengan 189 daripada 191 bahagian Umno dilaporkan membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, adalah seorang lagi yang dilantik. Dia menjadi pengerusi Prasarana Malaysia Berhad pada Mei lalu.

Sekumpulan 17 kontraktor dan firma perunding yang terlibat dalam projek LRT3 baru-baru ini mengadu yang Prasarana tidak membayar lebih RM700 juta untuk kerja yang dilakukan sejak Julai untuk projek LRT3.

Mereka juga menyuarakan kebimbangan yang jika ia berterusan, ia akan menyebabkan penangguhan dalam projek itu.

Sumber yang mahir mengenai perkara itu mendakwa Prasarana yang dipengerusikan Tajuddin Abdul Rahman berbuat demikian kerana dikatakan mahu terlibat dalam keputusan pelantikan subkontraktor untuk projek LRT3.

Hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke pejabat Prasarana berhubung perkara itu.

Hubungan UMNO-PPBM: Kerajaan retak menanti belah?

Robin Augustin

PETALING JAYA: UMNO tidak mempunyai banyak pilihan selain menarik diri daripada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) selepas majoriti bahagiannya menolak kerjasama dengan PPBM, satu tindakan yang hanya akan menjejaskan parti itu, kata penganalisis politik.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bersidang Rabu lalu bagi membincangkan isu hubungan dengan PPBM mesti mengikut suara akar umbi.

Katanya, hubungan dengan PPBM yang semakin buruk menunjukkan UMNO akan menarik diri daripada gabungan pemerintah, sekali gus memaksa berlaku pilihan raya awal kerana majoriti tipis Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

“Perang ini tidak dapat dielakkan, UMNO juga akan tewas kerana sebahagian pemimpin utamanya selesa bekerjasama dengan PPBM dan PAS, dan berkemungkinan mereka akan keluar atau dipecat kerana tidak selari dengan perjuangan parti,” katanya.

Kamarul yakin pemimpin PPBM tahu UMNO tidak lagi dapat dipujuk untuk terus kekal dalam kerajaan.

“Berdiam diri adalah yang terbaik yang dapat mereka lakukan bagi memastikan PAS sekurang-kurangnya tetap teguh dengan mereka, bukan memihak kepada UMNO.”

Katanya, pengunduran UMNO mungkin juga akan menejaskan kerajaan negeri pimpinan PN, termasuk yang diketuai oleh UMNO, sekali gus mencetuskan pilihan raya negeri.

Penganalisis Sosio-Politik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, UMNO harus mendengar tuntutan majoriti atau berdepan risiko pemberontakan dari dalam.

“Hanya sebilangan kecil dalam UMNO yang mesra PPBM dijangka terus bekerjasama dengan parti itu sehingga Parlimen dibubarkan.”

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, MKT UMNO mesti memberi isyarat jelas, jadi tiada keraguan mengenai arah yang diinginkan oleh akar umbi parti.

Katanya, bagaimanapun MKT boleh memutuskan untuk terus mendukung kerajaan sehingga pilihan raya supaya tidak disalahkan kerana memaksa pilihan raya diadakan ketika pandemik.

“Yang pasti politik terus mengancam kestabilan, dan keyakinan pelabur serta masyarakat ketika ekonomi negara berusaha pulih daripada Covid-19.”