Ng Xiang Yi dan Fion Yap
LAPORAN KHAS | Sepuluh tahun lalu, pada 16 Julai 2009, Teoh Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam yang ketika itu menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Kematian pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah itu menggemparkan negara. Teoh yang hanya berusia 30 tahun ketika itu, dibawa ke lokasi berkenaan untuk membantu siasatan berhubung peruntukan kawasan majikannya.
Selepas sedekad berlalu, sebab sebenar kematian Teoh masih terjawab.
Sepanjang sepuluh tahun itu juga, keluarga mendiang sudah menyaksikan beberapa proses perundangan berhubung kematian Teoh, termasuklah prosiding inkues, suruhanjaya siasatan diraja (RCI), dan penghakiman Mahkamah Rayuan yang menolak keputusan terbuka (open verdict) mahkamah koroner.
Namun, sehingga ke hari ini, meski selepas Malaysia menyaksikan peralihan kerajaan buat kali pertama, keluarga Teoh masih terus menuntut kebenaran di sebalik kematian mendiang.
Dengan Pakatan Harapan kini membuka semula kes siasatan, Malaysiakini menyorot semula lima perkara yang belum dirungkai dalam kes ini, berdasarkan laporan RCI dan tiga penghakiman bertulis oleh korum tiga hakim Mahkamah Rayuan.
Pertama, kesan luka pada leher
Setelah kematian Teoh, dua bedah siasat dijalankan oleh lima pakar forensik patologi. Bedah siasat kedua melibatkan pakar patologi forensik terkemuka Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.
Dr Pornthip merupakan yang pertama mendedahkan kesan luka pada leher Teoh.
Menurut laporan RCI, Dr Pornthip mendapati kecederaan pada leher Teoh selepas merujuk kepada gambar-gambar yang diambil oleh pakar patologi kerajaan Dr Prashant Naresh Samberkar.
Dr Pornthip berpendapat bahawa Teoh tidak membunuh diri, sebaliknya pernah dicekik di leher sebelum jatuh bangunan.
Bagaimanapun, pendedahan itu mencetuskan perbalahan pendapat antara pakar forensik tempatan dengan Dr Pornthip.
Walaupun Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant mempercayai kesan luka tersebut akibat pewarnaan bedah siasat (postmortem staining) yang pertama, Dr Pornthip tetap mempertahankan pendiriannya.
Pandangan Dr Pornthip turut dicabar dan dipersoalkan oleh ketua pendakwa SPRM Abdul Razak Musa.
Dalam prodising inkues kematian Teoh, apabila bertanya kepada Dr Pornthip sama ada Teoh mencekik diri sendiri, Abdul Razak membuat aksi mencekik diri sendiri yang mengundang ketawa bukan saja di dalam dan di luar mahkamah.
Abdul Razak membuat aksi mencekik diri
Meskipun perkembangan awal kes ini tidak memihak kepada Dr Pornthip, namun keterangannya menjadi bahan rujukan utama kepada penghakiman korum tiga hakim yang akhirnya menolak keputusan terbuka oleh mahkamah koroner.
Hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai berkata, “Pada saya, sesetengah orang mesti melakukan sesuatu terhadap Teoh Beng Hock yang mengakibatkan kesan lebam pada lehernya. Kesan lebam itu tidak akan muncul pada lehernya sendiri tanpa sebab luaran.”
Hakim Mah turut memetik laporan bedah siasat kedua, yang menyatakan bahawa kecederaan leher Teoh disebabkan daya dari luar, contohnya cekikan yang mengakibatkan kekurangan oksigen dalam otak, dan menyebabkan mangsa tak sedarkan diri.
Menurut Hakim Mah, prosiding inkuestelah mengemukakan bahan bukti yang secukupnya untuk mengesahkan Teoh mengalami kecederaan sebelum jatuh bangunan. Hakim Mah dalam penghakimannya turut berterima kasih atas pandangan Dr Pornthip yang mendedahkan luka pada leher mendiang.
“Saya berpandangan bahawa, Teoh masih hidup sewaktu jatuh dari tingkat 14 sama ada dalam keadaan taks edarkan diri atau sekurang-kurangnya separa sedar,” kata Hakim Mah.
Hakim Mohamad Ariff Md Yusof turut memetik keterangan Dr Pornthip secara meluas dalam penghakimannya, menyatakan bahawa laporan forensik jelas menerangkan kecederaan leher Teoh terjadi sebelum jatuh bangunan, maka andaian jatuh bangunan atas kecuaian adalah tidak sah.
Seandainya kecederaan itu disebabkan oleh daya dari luar seperti yang dikatakan Dr Porntip, maka persoalan di sini: Siapa yang menyebabkan luka pada leher Teoh?
Kedua, tempoh 7 jam yang tidak dijelaskan
Teoh diiringi ke pejabat SPRM Selangor pada 15 Julai 2009, jam 6 petang. Teoh berada di dalam pejabat selama 19 jam sebelum mayatnya ditemui. Tiada sesiapa yang menjelaskan keadaan Teoh dalam tempoh tujuh jam itu.
Inkues menyifatkan tempoh waktu ini sebagai “tempoh masa yang tidak dijelaskan” atau "unexplained gap". Setelah merujuk laporan RCI, Malaysiakini mendapati bahawa penceritaan peristiwa hari kejadian mula tidak jelas dan terputus-putus sejak pukul 3.30 pagi pada 16 Julai.
Apa yang telah berlaku sepanjang tempoh ini? Di mana Teoh selepas sesi soal siasat tamat? Pegawai SPRM yang terlibat tidak memberikan jawapan.
Waktu kematian Teoh dianggar antara pukul 7.15 pagi hingga 11.15 pagi. Namun, hanya selepas beberapa jam kematian, jasadnya ditemui pada jam 1.30 petang hari itu.
Hakim Mah berpandangan, Teoh mati di bawah tahanan SPRM, maka sama seperti kematian dalam tahanan.
“SPRM bertanggungjawab memastikan keselamatan Teoh pada setiap saat apabila berada di bawah tahanan mereka dan memastikan dia tidak mengalami kecederaan seperti dipukul atau diserang oleh sesiapa,” kata Hakim Mah.
Menurut laporan RCI, pegawai SPRM terakhir yang menyoal siasiat Teoh, Mohd Nadzri Ibrahim memberitahu Teoh bahawa beliau dibenarkan pulang ke rumah pada pukul 3 pagi.
Namun, Teoh dikatakan meminta kebenaran untuk terus berada di pejabat SPRM untuk berehat. Selepas itu, hanya tiga individu dikatakan pernah berjumpa dengan Teoh. Pegawai SPRM Raymond Nion adalah individu yang terakhir berjumpa mendiang, iaitu pada pukul 6 pagi.
Pegawai penyiasat Mohamad Anuar Ismail turut bermalam di pejabat SPRM pada malam itu. Apabila bangun pada pukul 8.30 pagi, dia mendapati beg milik Teoh masih berada di dalam pejabat tapi tidak nampak tuannya.
Mohamad Anuar dikatakan cuba mencari Teoh, namun gagal. Pada pukul 1.30 petang, Mohamad Anuar baru “perasan” Teoh jatuh bangunan.
Yang dapat dirumuskan di sini ialah, semua pegawai SPRM yang terlibat dalam soal siasat mampu menceritakan peristiwa yang berlaku dari pukul 6 petang hingga 3 pagi, namun tempoh masa selepas itu sehingga Teoh ditemui mati menjadi persoalan.
Mengambil kira keterangan ketiga-tiga saksi terakhir yang berjumpa Teoh, maka amat jelas bahawa selepas pukul 6 pagi pada 16 Julai, ada sesuatu yang amat serius berlaku terhadap Teoh.
Namun, panel RCI menolak menolak keterangan pegawai SPRM Raymond yang keluar masuk dalam pejabat pada waktu yang sama kerana mendapati bahawa ia tidak boleh dipercayai (not credible) dan tidak logik.
Ketiga, keterangan palsu?
Lima pegawai SPRM didakwa membuat keterangan palsu berdasarkan laporan RCI. Mereka ialah Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim, pegawai penyiasat Mohamad Anuar Ismail, Mohd Ashraf Mohd Yunus, Bulkini Paharuddin dan Raymond Nion.
Selaku ketua operasi siasatan terhadap Teoh, Hishammudin dilihat tidak aktif terlibat dalam proses penyiasatan. Namun, sebanyak tujuh muka surat laporan RCI menjelaskan ketidakhadiran beliau adalah disengajakan.
Panel RCI beranggapan Hishamuddin tidak mungkin tidak tahu sebarang butiran mengenai siasatan tersebut. Maka, keterangannya dianggap palsu dan tidak ikhlas maka tidak dapat diterima.
Laporan menyebut, “...walaupun tiada fakta secara langsung membuktikan Hishamuddin terlibat dalam kematian Teoh, tetapi sebagai pegawai tertinggi dalam operasi yang turut berada dalam pejabat secara fizikal ketika pegawai-pegawai lain menyoal siasat Teoh, dia (Hishammudin) sepatutnya memegang tanggungjawab atas tindakan-tindakan yang diambil olehnya dan pegawainya yang mendorong Teoh bunuh diri."
Selain itu, Anuar, Ashraf, Buklini dan Raymond turut didakwa membuat keterangan palsu. Ashraf mempunyai rekod lampau mendera tahanan lokap, Raymond pula didakwa diperalatkan oleh rakan sekerja bagi menetapkan “time-marker” (penanda masa) untuk gambaran Teoh masih hidup, dan mengelakkan tuduhan salah laku.
Pada Ogos 2011, Majlis Peguam menyifatkan kumpulan pegawai SPRM itu telah melakukan suatu pergerakan yang “teliti, besar-besaran, konsisten dan terancang” bagi menutup situasi sebenar kematian Teoh.
Majlis Peguam juga mendakwa pegawai-pegawai SPRM sudah tahu punca kematian Teoh sejak pagi 16 Julai 2009, tetapi mereka "mencipta, memusnah dan mengubah bahan bukti" supaya tidak dikenakan tindakan.
Selain lima individu berkenaan, Majlis Peguam turut menamakan lima pegawai SPRM yang lain iaitu Hairul Ilham Hamzah, Zulkefly Aziz, Effezul Azran Abdul Maulop, Arman Alies, Mohd Nadzri Ibrahim sebagai melanggar undang-undang tatatertib SPRM.
Namun, sehingga kini, tiada seorang pun pegawai SPRM itu dikenakan hukuman atau tindakan disiplin.
Keempat, "nota bunuh diri" dikemukakan selepas setahun
Setelah setahun kematian Teoh, ketika peringkat akhir prosiding inkues, Jabatan Peguam Negara secara mengejut mengemukakan nota yang didakwa "nota bunuh diri" Teoh sebagai "bukti".
Kelewatan ini telah menimbulkan keraguan dan kritikan daripada pelbagai pihak.
Walaupun nota itu tidak diterima oleh laporan RCI dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, pihak polis masih mengaitkan nota itu dengan kematian Teoh setelah diarah membuat siasatan semula.
Dalam inkues, pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal mendakwa dia terjumpa nota itu pada 17 Julai 2009 dalam beg sandang Teoh. Namun mendakwa disebabkan tidak terfikir mengenai kepentingannya, maka dia tidak menyenaraikan nota itu sebagai bahan bukti inkues.
Ahmad Nazri berkata pada Pada 7 Oktober 2009, dia membuat pemeriksaan kedua pada beg Teoh, dan seterusnya menghantar nota itu ke unit makmal untuk mengesahkan tulisan pada nota berkenaan.
Nota yang didakwa nota bunuh diri.
Laporan RCI berkata, disebabkan kelewatan penghantaran bahan bukti, kesahihan nota itu amat diragui. Sikap Ahmad Nazri yang tidak mengendahkan bahan bukti, disifatkan bukan semata-mata masalah kecuaian atau tidak sengaja.
Laporan menyebut, “Sebenarnya, ini telah menimbulkan ketidakpercayaan kami terhadap kesahihan dokumen ini, iaitu nota tersebut. Memandangkan keadaan dan kekurangan dalam pendapat (penganalisis dokumen) Encik Wong, nota ini tidak akan memberi sebarang pengaruh dalam perbincangan kami.”
Majlis Peguam turut mempertikaikan nota itu dan berpandangan bahawa ia adalah taktik SPRM bagi menyokong pendapat bahawa Teoh mati bunuh diri.
Manakala Hakim Mah berkata, tiada bukti yang cukup menyatakan Teoh bunuh diri kerana nota itu telah menunjukkan ketidakcekapan polis, sementara penganalisis turut tidak menolak kemungkinan nota itu direka cipta.
Namun, setelah Mahkamah Rayuan menolak keputusan terbuka dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara dan pihak polis menyiasat semula kes kematian Teoh, polis sekali lagi menumpukan perhatian terhadap nota itu.
Keluarga Teoh diambil keterangan untuk memberi lebih banyak maklumat mengenai tulisan Teoh. Hal ini telah membangkitkan kemarahan umum.
Penyiasatan semula itu tidak membawa perkembangan yang baru. Pada 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata pejabat Peguam Negara mendapati "tiada unsur jenayah" dalam kes kematian Teoh selepas menyemak laporan yang dikemukakan oleh pasukan petugas khas polis.
Persoalannya, jikalau tiada unsur jenayah yang didapati dalam kematian Teoh, mengapakah Mahkamah Rayuan menolak keputusan terbuka mahkamah koroner dan mengarahkan siasatan semula dijalankan?
Kelima, siapa perlu menanggung liabiliti jenayah?
Laporan RCI dan penghakiman Mahkamah Rayuan jelas menyatakan pegawai SPRM yang terlibat dalam kes kematian Teoh mempunyai salah laku dan melanggar undang-undang sewaktu proses soal siasat Teoh.
Namun, tiada seorang pegawai yang dikenakan hukuman atau tindakan disiplin sehingga hari ini, malah ada yang telah dinaikkan pangkat dan jawatan.
Menurut laporan RCI, walaupun tiada kekerasan dikenakan terhadap Teoh, namun dua pegawai SPRM Arman Alies dan Mohd Asraf berkemungkinan besar menyoal siasat Teoh dengan cara intimidasi yang kasar.
Di samping itu, tiga pegawai SPRM turut didapati menggunakan taktik soal siasat yang “agresif dan tidak wajar” iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.
Laporan turut menyifatkan Arman sebagai “pembuli”, Ashraf sebagai “pendera”, dan Hishammudin sebagai “pemimpin yang angkuh”.
Hakim Hamid Sultan Abu Backer berkata, Teoh dibawa ke pejabat SPRM Selangor dengan iringan pegawai, secara teknikal ia sudah menjadi satu penangkapan. Namun, memandangkan Teoh hanya seorang saksi yang membantu siasatan, ia menunjukkan SPRM menyalahgunakan kuasa sejak awal.
Hakim Mohamad Ariff Md Yusof pula mengulas, bahan bukti menunjukkan Teoh bukan bunuh diri, tetapi mengandungi unsur penderaan yang menjerumus kepada pembunuhan. Tambahan pula, katanya, kesan luka pada leher Teoh disahkan terjadi sebelum jatuh bangunan, maka alasan kemalangan telah ditolak.
“Ia hanya boleh dikatakan bunuh diri atau dibunuh, atau jikalau ia bunuh diri, ia akan memberi kepentingan awam untuk mengetahui apa dan siapa yang mendorong si mati bunuh diri, dan apa, atau siapa yang menyebabkan kecederaan sebelum jatuh bangunan,” katanya.
Pada pandangan Hakim Mah, Teoh yang hadir sebagai seorang saksi dilayan seperti suspek termasuk dilarang meninggalkan pejabat SPRM Selangor, dan dinafi hak berjumpa dengan peguam.
Kata Hakim Mah, hal ini menunjukkan kelakuan pegawai yang kurang kredibiliti, dan perkara itu perlu disiasat dengan teliti dan mengenakan tindakan disiplin dan hukuman terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Selain menuntut keadilan dari segi undang-undang jenayah, keluarga Teoh turut memfailkan saman sivil terhadap SPRM dan kerajaan pusat atas kecuaian dan penderaan terhadap Teoh. Kedua-dua pihak akhirnya mencapai persetujuan dan diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kerajaan (sebagai defendan) bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM600,000 kepada keluarga mendiang dan RM60,000 sebagai kos mahkamah. Namun, kerajaan hanya mengaku atas tuntutan kecuaian.
Bagaimanapun, saman sivil ini tidak dapat membawa kepada sebarang siasatan jenayah yang lanjut.
Kini, setelah peralihan kuasa kerajaan pusat, pihak polis membuka semula kes kematian Teoh bawah seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan secara salah.
Pengkategorian siasatan itu dilihat bercanggah dengan penghakiman dan arahan Mahkamah Rayuan, kerana ia dikatakan tidak melihat secara langsung terhadap salah laku yang pernah terjadi.
Kritikan sekali lagi dihalakan kepada kerajaan.
'Hala tuju kes sudah ditetapkan'
Mengapakah kebenaran di sebalik kematian Teoh masih menjadi satu persoalan sedangkan pelbagai bukti sudah dinyatakan dalam mahkamah?
Sukarelawan TBH Trust for Democracy Ng Yap Hwa berpandangan bahawa ia disebabkan pihak polis telah menetapkan hala tuju kes ini sejak 10 tahun lalu.
“Pada pendapat saya, polis tidak ingin mengenakan tindakan terhadap SPRM. Mereka melihat kes ini sebagai kes bunuh diri sejak awal lagi dan tidak pernah mempertimbangkan kemungkinan yang lain.
“Maka, tidak kira berapa kali kes ini dibuka dan siasat semula, seandainya hala tuju siasatan tidak berubah, maka tidak mungkin akan kita tahu sebab kematian Teoh yang sebenar,” ulasnya.
Ng berkata, tanggungjawab mencari kebenaran terletak pada Peguam Negara dan pihak polis. Peguam Negara pula mempunyai budi bicara untuk menentukan arah siasatan.
Kes Teoh “tiada masalah"
Bagi peguam keluarga Teoh yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, dia melihat kes ini sebagai satu kes yang “tiada masalah”.
Apa yang dimaksudkannya ialah, siasatan kes kematian Teoh sebenarnya tidak mempunyai kesulitan untuk mendapatkan jawapan.
Ramkarpal juga adalah peguam keluarga mendiang warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. Dia membandingkan kedua-dua kes ini dan menyatakan bahawa tahap kesukaran kes Teoh tidak sama seperti kes Altantuya kerana motif dan kejadian sebenar masih menjadi misteri sehingga kini.
Dalam kes Teoh pula, katanya, dari inkues kematian sehingga ke Mahkamah Rayuan, semuanya menyatakan bukti pembunuhan wujud dalam kes.
“...Ini adalah kes kematian dalam tahanan. Adakah mereka (pegawai SPRM) bertanggungjawab? Saya rasa soalan ini tidak susah dijawab,” ulasnya.
Ramkarpal turut mengkritik tindakan polis yang menyiasat kematian Teoh di bawah seksyen “pengurungan bersalah”.
Kata Ramkarpal, tindakan pihak polis yang bercanggah penghakiman Mahkamah Rayuan boleh dianggap menghina mahkamah.
“Jikalau masih bertumpu kepada soal bunuh diri, tidakkah ini satu penghinaan terhadap Mahkamah Rayuan?
“Bukannya tidak boleh siasat di bawah seksyen ini, anda boleh berbuat sedemikian, namun anda juga perlu berfikir lebih jauh lagi, iaitu menyiasat di bawah seksyen pembunuhan.
“Tidak menurut arahan Mahkamah Rayuan adalah satu tindakan yang amat bodoh,” katanya.