"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

Hidup dalam ketakutan diganggu api misteri

Keluarga ketakutan diganggu api misteri
Keluarga ketakutan diganggu api misteri
Keluarga ketakutan diganggu api misteri Sebahagian daripada barang elektrik dan pakaian yang terbakar secara tiba-tiba.
SELAMA - Sebuah keluarga di Kampung Sungai Kuning, Rantau Panjang, di sini, mendakwa hidup ketakutan kerana sering mengalami kejadian pelik selepas kematian ketua keluarga itu Mac lalu dan gangguan tersebut dikatakan semakin menjadi-jadi sejak dua minggu lalu.

Nor Hafizah Ahmad, 29, berkata, kebelakangan ini kehidupan mereka kerap terganggu dengan kehadiran api misteri yang tiba-tiba muncul dalam rumah mereka.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu berkata, pada mulanya ahli keluarganya termasuk ibunya sering kehilangan wang.

“Pada mulanya saya fikir, wang hilang berpunca daripada kecuaian saya sendiri, namun lama-kelamaan kerap pula duit hilang hinggakan kami sekeluarga berasa pelik," katanya ketika ditemui semalam.

Nor Hafizah berkata, untuk mengelak insiden sama berulang, ibunya berikhtiar dengan menaburkan lada hitam dan garam di sekeliling rumah mereka.

Katanya, selepas mencuba petua tersebut, kejadian pelik tidak lagi berlaku, namun ia hanya seketika apabila mereka kehilangan duit lagi pada hujung April lalu.

“Ibu cuba 'pagar rumah' semula guna kaedah sama tetapi kali ini ia tidak berhasil dan ‘makhluk’ yang mengganggu kami mula mengamuk,” katanya.

Barang mula terbakar

Nor Hafizah berkata, selepas percubaan terakhir ibunya itu, barang-barang dalam rumahnya termasuk buku, pakaian dan barang plastik terbakar secara tiba-tiba.

Katanya, insiden misteri itu sering terjadi pada waktu siang dan berlaku empat hingga lima kali sehari.

“Paling banyak adalah 11 kali dan sejak itu, rumah ini tidak boleh ditinggalkan kerana kami bimbang kebakaran lebih besar akan berlaku.

“Setakat ini kebakaran masih boleh dikawal tetapi kami sentiasa berjaga-jaga kerana khuatir sesuatu yang lebih buruk berlaku,” katanya.

Wanita itu berkata, dia kini tinggal bersama ibu, dua adik dan seorang anak saudara di rumah tersebut.

Katanya, alatan persekolahan anak saudaranya musnah terbakar dan mereka terpaksa membeli kelengkapan baharu untuk kanak-kanak itu.

“Selain kebakaran tercetus secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya, beberapa barangan di dalam rumah ini juga pernah disepahkan,” katanya.

Nor Hafizah berkata, sejak diganggu api misteri itu, dia dan ahli keluarganya berusaha mendapatkan bantuan daripada pakar perubatan Islam untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Walaupun kejadian itu kini berkurangan, namun ia masih berlaku. Kejadian terbaharu adalah semalam (kelmarin). tiga kebakaran berlaku dan sejak kejadian ini kami sekeluarga sentiasa berasa cemas dan fobia apabila terhidu bau hangit,” katanya.

Pontianak: Berhati-hati jika melalui jalan ini diwaktu malam (Gambar)

Pontianak Jalan Sungai Ular?
Pontianak Jalan Sungai Ular?
Lembaga putih yang dipercayai pontianak itu biasa dilihat di sini.
SUNGAI ULAR (KULIM): Gangguan makhluk halus atau mistik wujud dalam kalangan masyarakat kita hari ini bagaimanapun ada di antara mereka beranggapan ia satu kepercayaan tahyul.

Misteri gangguan lembaga menyerupai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular ke Simpang Tiga Terap bukanlah satu perkara baru, di mana ada dalam kalangan penduduk tidak berani menggunakan jalan itu waktu tengah malam.

Penduduk tempatan mendakwa turut berjumpa lembaga bertenggek di atas paip air di tepi jalan seawal jam 11 malam.

Gangguan makhluk halus itu juga dikatakan mengakibatkan ada dalam kalangan penunggang motosikal dan kenderaan lain terbabas.

Penulis sempat menemu bual mangsa yang pernah ternampak makhluk halus berkenaan.

Dia berkata, ia mempunyai ketinggian sekitar 5 kaki 11 inci hingga 6 kaki tinggi, berambut panjang sehingga ke paras siku dan menutup muka.

Menurutnya, lembaga dipercayai pontianak itu selalunya berdiri di tepi jalan atau dilihat berjalan di tepi jalan berseorangan dalam keadaan kepala tertunduk.

Pengamal perubatan tradisional, Rosli Ahmad yang tinggal di Taman Tunku Putra berkata, pontianak ini merupakan iblis dan jin yang mampu menyerupai pelbagai bentuk dan rupa.

“Gangguan iblis dan jin ini boleh mengakibatkan seseorang itu dirasuk. Semua ini berlaku apabila mangsa berada dalam keadaan lemah. Selain itu, pontianak ini sering berada di kawasan di mana kerap berlakunya kemalangan maut,” katanya.

Menurutnya, sekira iblis dan jin sudah berada di dalam badan terlalu lama, ia akan menjadi lebih selesa dan sukar untuk mereka meninggalkan jasad ditumpang.

Enjin motosikal tiba-tiba terhenti

Terkini, seorang kakitangan awam, Mohd Aziz Osman yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR150 dari arah Terap ke Kulim terkejut apabila enjin motosikal ditunggangnya tiba-tiba terhenti kira-kira 50 meter dari Jambatan Sungai Anak Kulim kira-kira jam 12.30 pagi.

Dalam keadaan gelap dia menolak motosikalnya ke tepi jalan. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin motosikalnya itu berjaya dihidupkan semula.

Dia kemudiannya menghidupkan lampu motosikal bagaimanapun ternampak lembaga putih berambut panjang berada di hadapannya.

“Saya beristighfar panjang apabila ternampak lembaga putih itu berada kira-kira 10 meter di hadapan motosikal saya.

"Saya membaca beberapa surah Yasin dan meminta dia jangan mengekori saya,” katanya.

Menurutnya, pengalaman tidak dilupakan apabila lembaga itu memusingkan kepalanya sehingga ke belakang tanpa memusingkan badan.

Aziz berkata, Jalan Sungai Ular ke Terap sering melibatkan kemalangan maut dan sehingga kini, lebih 10 kemalangan maut dilaporkan berlaku di mana ia melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Bonceng perempuan waktu malam

Sementara itu, penduduk tempatan, Safaruddin Ahmad berkata, kewujudan lembaga putih dipercayai pontianak di sekitar Jalan Sungai Ular menghala ke Terap bukanlah satu perkara baru, kerana ramai dalam kalangan penduduk di kawasan itu sudah mengalaminya.

Dia yang mempunyai kebun di Terap pernah ternampak lembaga itu bertenggek di atas paip air yang terletak di tepi jalan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika dalam perjalanan balik ke rumah.

"Saya ketika itu menunggang motosikal dan tidak dapat menunggang dengan laju kerana membawa muatan durian. Jalan dari Terap ke Kulim sememangnya gelap pada waktu malam, kerana ia merupakan kawasan hutan.

"Apabila tiba di tempat kejadian saya merasakan muatan yang saya bawa semakin berat. Beberapa minit kemudian badan saya berasa sejuk dan dalam masa sama, lampu motosikal saya menyuluh lembaga perempuan berdiri di kanan jalan,” katanya.

Sebelum ini, lima anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) mengejar seorang suspek yang melarikan diri dengan menunggang motosikal di jalan berkenaan.

Mereka terkejut kerana di belakang motosikal salah seorang anggota ditumpang oleh seorang perempuan.

Anggota PBT itu mengalami kerasukan bagaimanapun dipulihkan dengan bantuan penduduk tempatan sebaik sahaja sampai ke pondok rondaan.

Kejadian ini masih berlaku sehingga hari ini dan terus menjadi tanda tanya kepada penduduk tempatan.

Sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditangkap (Gambar)

Badung: Orang ramai di kawasan Badung, Bali gempar semalam selepas sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui dan ditangkap seorang penduduk Pantai Muaya, Jimbaran.

Menurut media ketika ini jenglot berkenaan disimpan di rumah Jero Mangku Karang.
Sejak berita itu tersebar, rumah Jero dikunjungi ramai orang - termasuk dari kawasan luar - untuk melihat sendiri makhluk berkenaan.

Saksi berkata, jenglot itu berupa seperti kelawar, bertaring dan berambut seperti manusia.
Foto
PASANGAN jenglot yang ditemui di Pantai Muaya
“Dimaklumkan jenglot itu ditemui dua penduduk tempatan, Ketut Tarin dan Akob, di kawasan pantai dan selepas ditangkap ia diserahkan kepada Jero,” katanya.

Penduduk setempat mengenali Jero sebagai seorang tokoh spiritual yang dihormati.

Sementara itu Ketut Tarin berkata, dia hairan apabila menemui objek ganjil ketika berjalan di kawasan pantai.

Melihat keadaan itu, katanya, dia mencampak objek itu ke laut tetapi ia kembali ke pantai dalam keadaan berpelukan.

“Seolah-olah mereka enggan dipisahkan,” katanya.

Disebabkan bimbang berdepan masalah, Ketut Tarin dan Akob berbincang dan bersetuju menyerahkan jenglot berkenaan kepada tokoh spiritual yang mereka kenali, Mangku Kayun.

Sementara itu Jero berkata, jenglot itu ditemui terbaring dalam jarak kira-kira satu meter antara satu sama lain di pantai ketika Ketut Tarin dan Akob berjoging.

Mereka kemudian membawa makhluk itu ke rumahnya.

“Pada awalnya ada kuasa memancar dari jenglot berkenaan tetapi saya neutralkan supaya ia tidak memudaratkan sesiapa,” katanya.

Kenyataan itu disokong Mangku Kayun.

“Kuasanya sangat kuat tetapi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ia berjaya kami kunci,” katanya.

Menurut Mangku Kayun jenglot juga boleh digelar sebagai toyol kerana makhluk berkenaan boleh menyerupai apa saja.

Katanya, rambut jenglot yang terurai itu mungkin berasal daripada rambut manusia atau bulu kemaluan lelaki atau wanita.

“Makanannya ialah darah manusia.

“Walaupun ia kelihatan kaku, auranya hidup dan sangat kuat dan boleh disuruh melakukan apa saja, termasuk membunuh,” katanya, semalam.

Jero berkata jenglot itu dimiliki pihak tertentu sebagai alat pelaris yang ditempatkan di kotak simpanan wang. 
-Agensi/hmetro-

Tiga tahun tak boleh tidur akibat di sihir anggota keluarga sendiri

Kota Bharu: Tiga tahun lamanya seorang wanita menderita sukar tidur malam kerana diganggu mimpi ngeri, malah sepanjang tempoh itu dia hanya boleh melelapkan mata apabila berbaring dalam posisi mengiring.

Semua itu dilaluinya angkara perbuatan sihir anggota keluarga sendiri yang tidak puas hati dengan pembahagian harta pusaka.

“Jika saya tidur telentang atau meniarap, badan terasa sakit seperti ditimpa besi atau menjadi panas seperti kena rebus,” kata ibu tunggal beranak satu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 37.

Menurutnya, akibat perbuatan sihir itu juga berat badannya yang sebelum ini 80 kilogram (kg) menyusut 20kg kepada 60kg.
Foto
MOHAMAD Faris merawat Nur.
Wanita berasal dari sebuah kampung di Gua Musang itu berkata, penderitaannya selama tiga tahun itu berakhir selepas dirawat seorang pengamal perubatan Islam.
-hmetro-

Misteri tapak kaki gergasi

MOHD AZLIM ZAINURY
Misteri tapak kaki gergasi
Misteri tapak kaki gergasi Perbezaan saiz antara kesan tapak kaki yang ditemui dengan kaki manusia.
MARANG - Penemuan kesan tapak kaki bersaiz besar dengan bentuk luar biasa dalam kebun kelapa sawit di kawasan hutan Bukit Mak Ra di Pengkalan Berangan, di sini, menggemparkan penduduk setempat, selain menimbulkan pelbagai andaian.

Wakil penduduk, Mat Adam Mat Amin, 60, mendakwa, beberapa kesan tapak kaki ganjil itu ditemui anak sepupunya di sekitar kawasan kebun kelapa sawit milik keluarga mereka di kawasan hutan berkenaan sejak seminggu lalu.

Katanya, selepas diberitahu mengenainya, dia bersama beberapa penduduk kampung terus ke kebun berkenaan lalu menemui beberapa kesan tapak kaki ganjil.

“Kesan tapak itu seperti tapak kaki manusia gergasi dan mempunyai dua saiz. Tapak kaki bersaiz besar kira-kira 40 sentimeter panjang dan 20 sentimeter lebar manakala yang bersaiz kecil 30 sentimeter panjang dan 15 sentimeter lebar,” katanya kepada Sinar Harian.

Mat Adam yang lebih dikenali sebagai Pak Rani berkata, mereka percaya dua saiz tapak kaki berbeza itu adalah milik makhluk hidup berkaki dua yang mempunyai ketinggian dan berat luar biasa berbanding manusia normal.

“Berdasarkan kedalaman tapak kaki berkenaan, makhluk hidup berkaki dua itu mungkin mempunyai berat melebihi 300 kilogram bagi tapak kaki besar, dan berat sekitar 200 kilogram bagi tapak kaki yang kecil,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian bersama Pak Rani dan beberapa penduduk di kawasan kebun kelapa sawit itu mendapati beberapa kesan tapak kaki masih jelas kelihatan walaupun sedikit berubah kerana faktor hujan dan sebagainya.

Bagaimanapun kata Pak Rani yang diberi tanggungjawab menjaga kebun berkenaan, sehingga kini belum ada penduduk terserempak dengan makhluk ganjil termasuk spesies binatang buas di kawasan hutan tersebut.

Penemuan bukan kali pertama

Sementara itu, rakannya, Daud Ali, 50, mendakwa, kesan tapak kaki bersaiz besar dengan bentuk seperti kaki manusia sudah ditemui sejak 17 tahun lalu iaitu pada 1996 di kawasan hutan Bukit Temiang dan pada 1997 di Bukit Jejulung.

“Malah ada juga pihak pernah melihat kelibat ‘makhluk gergasi’ yang dipercayai ada hubung kait dengan penemuan kesan tapak kaki tersebut di jambatan Kampung Bukit Jetit apabila makhluk setinggi tiang api (elektrik) itu melintas jalan,” katanya.

Bagi Daud, penemuan kesan tapak kaki tersebut mungkin ada persamaan dengan misteri kewujudan ‘big foot’ iaitu makhluk yang dikatakan mempunyai bulu di seluruh badannya.

“Namun, sehingga kini masih tiada penemuan sebenar tentang makhluk itu menyebabkan andaian mengenai tapak kaki tersebut adalah tapak kaki ‘big foot’ terus menjadi misteri,” katanya.

Difahamkan, pemburuan untuk membongkar misteri kewujudan ‘big foot’ juga dilakukan penduduk di kawasan berkenaan diketuai Pak Rani.

Bagi seorang pemuda, Mohd Zullaidi Wahab, 33, penemuan kesan tapak kaki itu menjadi bualan penduduk khususnya golongan muda, namun bagi sesetengah golongan berusia, ia dianggap perkara biasa.

“Ini kerana mereka sering menemui kesan tapak kaki tersebut, namun tidak menghebohkan perkara itu kerana bimbang akan menimbulkan ketakutan kepada penduduk setempat,” katanya.

Wanita misteri hilang di celah dinding

Sinar Harian
Wanita misteri hilang di celah dinding
SUNGAI NIBONG: Pengalaman terserempak dengan wanita berpakaian kilang dan kemudiannya menghilangkan diri di celah dinding mungkin tidak dapat dilupakan seorang lelaki.

Dia yang dikenali dengan nama Azim berkongsi kisah berkenaan kepada Sinar Harian.

Azim berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu di bawah jejantas Sungai Nibong kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, ketika itulah dia terpandang wanita berpakaian kilang duduk di atas batu dengan wajahnya yang begitu muram.

“Tanpa ragu-ragu saya pun terus ingin bertanya jika dia (wanita) perlukan bantuan, dan ketika saya baru hendak berjalan menuju ke arahnya serta merta dia masuk di celah dinding jejantas berkenaan.

“Pada mulanya saya terkejut kenapa dia lari dan bergegas saya mengejarnya kerana bimbang keadaan yang amat gelap di situ, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak ruang berkenaan begitu sempit iaitu sebesar ibu jari saya saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian itu terus membelenggu dalam ingatan Azim sehingga kini.

Sama seperti Azim, rakannya, Zul turut melalui pengalaman yang sama ketika jam 3 pagi apabila terserempak dengan wanita berpakaian kilang sama seperti yang dilihat Azim.

Zul berkata, dia terserempak dengan wanita itu setiap tiga malam berturut-turut dan pada masa yang hampir sama.

“Hari ketiga saya bertekad untuk memandang mukanya, apabila saya nampak mukanya, ada raut persis wanita Indonesia tapi dalam keadaan yang amat sugul dan menyedihkan, apa lagi, terus saya memandu laju,” katanya.

Ketika berkongsi kisah berkenaan dengan rakan-rakan yang lain, lokasi berkenaan dipercayai menjadi kawasan panas kemalangan jalan raya.

Ada yang beritahu ada kanak-kanak sekolah yang dilanggar beberapa kali di situ hingga menemui ajal.

Air mani gajah

Kisah Misteri
oleh Alang Buana
Ali tidak tahu apa khasiatnya air mani gajah apabila Cikgu Shah menghubunginya untuk mencari pembeli air mani gajah. Ali terus hubungi Sam, kawan berbangsa Cina di Kelang.

“Sam, ada buyer air mani gajah?” soal Ali.

“Ada. Berapa gram?” tanya Sam.

“30 gram. Berapa harga satu gram?” soal Ali.

“RM30,000 satu gram,” jawab Sam.

“Air mani gajah yang macam mana buyer nak?” soal Ali.

“Yang dua alam. Testnya ambil dua batang mancis. Salut kedua-duanya dengan air mani gajah. Satu batang mancis letak di atas air, satu lagi di udara dan gerakkan yang di udara dengan yang di bawah.

“Kalau batang mancis di bawah bergerak mengikut yang di udara, maka inilah yang buyer nak yang dikatakan dua alam,” terang Sam.

Ali mencongak dalam kepalanya 30 gram berharga RM900,000.

“Kita beritahu owner harga RM10,000 satu gram cukuplah. Baki RM20,000 satu gram kita punya,” kata Ali kepada Zaki. Zaki mengangguk senyum mendengar RM600,000 mereka punya. RM600,000 itu akan dibahagi sama rata dengan Ali, Zaki dan Cikgu Shah.

“Barang dari mana Cikgu?” tanya Zaki yang menghubungi Cikgu Shah dengan handphone.

“Dari Kedah. Esok petang kawan saya sampai,” kata Cikgu Shah.

Batu kristal

Menurut lagenda batu kristal Mani Gajah ini bermula di Wilayah Sumatra, Indonesia di mana tinggalnya Suku Anak Dalam (Suku Kubu) yang tinggal di satu wilayah dengan habitat gajah. Legenda bermula kononnya terdapat seekor gajah jantan besar yang menjadi raja kepada kumpulan gajah-gajah yang menghuni habitat gajah tersebut.

Raja Gajah itu dikenali sebagai Gajah Tunggal kerana suka menyendiri kecuali bila Raja Gajah berkehendakkan gajah betina untuk melepaskan berahi yang telah menjadi lumrah alam si jantan akan mencari si betina.

Bila tiba bulan purnama, maka Raja Gajah mencari kawanan gajah-gajah betina di habitat tersebut. Apabila melihat Raja Gajah datang, maka gajah-gajah betina ini membentuk bulatan dan Raja Gajah akan memilih seekor gajah betina untuk disetubuhinya.

Selesai bersetubuh, Raja Gajah akan menimbus sisa-sisa mani yang berciciran di tanah agar tidak kelihatan lagi. Mani gajah yang tertimbus itu akan bertukar menjadi batu kristal yang lembut dan akhirnya menjadi keras dan inilah yang dipanggil Batu Mani Gajah.

Puak Suku Anak Dalam mengintai ketika Raja Gajah sedang memuaskan nafsunya dengan gajah betina. Selepas Raja Gajah dan kawanan gajah betina beredar, maka suku itu berebut-rebutlah menggali kambusan tanah untuk mendapatkan air mani gajah yang telah bertukar menjadi kristal.

“Apa khasiat air mani gajah Cikgu?” soal Zaki yang amat buta tentang air mani gajah.

“Menurut orang Batak air mani gajah mampu mempengaruhi minda orang untuk menurut kata dan kehendak pengguna minyak ini . Ia lebih kuat dari minyak cenuai dan minyak pengasih,” terang Cikgu Shah.

Mati pucuk

“Jadi ia amat mujarab sebagai penunduk, pengerat kasih sayang suami isteri, pelaris perniagaan dan boleh mengubati penyakit mati pucuk,” sambung Cikgu Shah yang bukan pesara guru sekolah.

Sebaliknya dia adalah bekas pensyarah di Institut Penyelidikan Getah (RRI) tetapi beliau dipanggil pelajar-pelajar RRI sebagai Cikgu.

Esoknya, tepat jam 5 petang, Malik dan Sumi sampai di rumah Cikgu Shah di Subang Bestari.

“Biar kita test dahulu sama ada ia dua alam atau tidak,” kata Cikgu Shah.

“Tak payah testlah Cikgu. Kita dah lambat. Janji dengan Sam pukul 6 petang. Jalan ke Kelang jem ini Cikgu,” bantah Ali.

“Saya dah testnya Cikgu. Memang confirm dua alam,” sampuk Sumi tuan punya air mani gajah itu.

Cikgu Shah, Ali dan Zaki terus naik kereta Volvo Malik ke Kelang. Jalan ke Kelang memang jem gila. Tepat jam 7 baru mereka sampai di rumah Sam di Taman Andalas.

Barang mistik

Untuk berurusan dengan Sam, semua seller barang mistik dikenakan membayar RM300. Jika barang itu selepas test okay, Sam akan membayar sekali ganda RM600. Jika barang itu tidak okay, RM300 akan hangus.

Cikgu Shah dan Ali memang tiada duit untuk bayar RM300. Maka Zaki yang sukarela membayar RM300 kepada Sam kerana dia yakin mereka akan dapat RM600,000 hari itu.

“Mana air mani gajah?” tanya Sam yang meletakkan RM300 yang diterimanya dari Zaki di atas meja.

“Ini dia,” kata Sumi yang membuka balutan kainnya.

“Kita timbang dulu,” kata Sam sambil meletakkan air mani gajah itu dia atas alat imbang digital.

“Tak sampai pun tiga gram. Ali kata 30 gram,” kata Sam.

Terlopong Ali. Cikgu Shah pun terkejut kerana mereka diberi maklumat yang salah oleh Malik. Zaki yang lebih bengang kerana pelaburannya sebanyak RM300 hangus.

“Saya dah kata kalau kurang lima gram, buyer tak beli,” tegas Sam.

Dua alam

“Jadi nak test tak sama ada ia dua alam atau tidak?” tanya Sumi.

“Tak payah test pasal tak cukup lima gram,” jawab Sam yang tersenyum kerana duit RM300 di atas mejanya menjadi miliknya.

“Tadi saya nak test dulu di rumah saya, Ali kata tak payah,” marah Cikgu Shah dalam kereta.

“Lain kali Malik jangan dengar cakap orang. Awak tengok dulu dan pastikan ia lima gram ke atas baru datang ke Kuala Lumpur,” sampuk Ali.

“Awak datang dari jauh kan rugi duit minyak dan duit tol,” kata Cikgu Shah kepada Malik dan Sumi.
\
“Saya yang rugi kerana hangus RM300 sedangkan duit tu saya nak bayar sewa bilik bulan ini,” kata Zaki menyesal kerana tidak tengok air mani gajah itu terlebih dahulu sebelum pergi ke rumah Sam.

Cek bunian

Kisah misteri
oleh alang buana
Pada hari Sabtu lepas, seramai 3,210 orang sudah baca kisah yang saya tulis, Bomoh Ekor. Saya terkejut kerana ramai yang membaca kisah benar itu. Ada yang mengatakan ia adalah cerita karut tetapi ia adalah pengalaman benar Ali dan Zaki.

Minggu ini saya akan tulis pengalaman mereka tentang cek bunian. Biasanya kita tengok cek bank CIMB atau Maybank atau lain-lain bank komersial, tapi kali ini saya mahu ceritakan tentang cek bunian yang dikeluarkan oleh kerajaan bunian. Tentu pelik bagi kita mendengarnya.

Sebenarnya alam bunian memang wujud. Orang bunian dikatakan berasal dari jin Islam. Tetapi manusia tidak dapat melihatnya. Mereka dikatakan tinggal di hutan belantara.

Malah mereka suka kalau anak gadis mereka dinikahkan dengan manusia kerana mereka mahu zuriat daripada manusia.

Ali mengenali Haji Amin yang duduk di Senai, Johor. Haji Amin pernah disekat orang gila pada tahun 70an ketika mahu pergi ke masjid pada hari Jumaat. Orang gila itu berkata, tak payah pergi ke masjid, jom ikut saya.

“Nak ke mana?” tanya Haji Amin

“Ikut sajalah. Pegang bahu saya dan pejamkan mata,” kata orang gila itu.

Haji Amin pegang bahu orang gila itu dan pejamkan mata. 10 minit kemudian bila Haji Amin celikkan mata, dia terkejut dia berada di Mekah. Rupa-rupanya tadi bukan orang gila yang menyekatnya. Dia adalah wali Allah yang membawa Haji Amin ke Mekah.

“Kita solat di masjidil haram ini. Tunggu saya di pintu ini bila selesai solat nanti,” pesan wali itu.

Selesai solat Haji Amin tunggu wali di pintu yang dijanjikan. Maka mereka pulang semula ke tanah air sekelip mata. Haji Amin tidak cerita kepada kawan-kawannya tentang kejadian aneh ini. Sejak itu dia mempunyai kelebihan berubat orang sakit. Pelbagai penyakit yang boleh diubatinya termasuk penyakit gila.

Sekembalinya dari Mekah, Haji Amin diberi kelebihan untuk berinteraksi dengan orang bunian. Haji Amin sering kali masuk ke perkampungan bunian yang terdapat di sebuah gunung di Pulai.

“Zahid ini ada cek bunian, Zaki,” kata Ali kepada Zaki ketika mereka bertemu dengan Zahid di sebuah restoran mamak di Kepong.

“Berapa nilainya?” soal Zaki yang ingin tahu. Inilah kali pertama Zaki melihat cek bunian yang tiada tulisan. Tetapi bila kertas putih itu disuluh dengan lampu picit terdapat tulisan jawi yang menulis nilai wang itu.

“RM5 juta,” kata Zahid.

“Banyaknya,” kata Zaki terkejut.

“You ada orang yang boleh tukar cek ini?” tanya Zahid kepada Ali.

“Saya kenal Haji Amin di Senai. Dia selalu masuk ke alam bunian. Mungkin dia boleh tukarkan cek ini,” kata Ali.

“Bagus tu. Bila kita nak ke Senai?” tanya Zahid.

“Anytime boleh pergi. Tapi kami tiada duit,” kata Ali.

“Kita collect duit dari ahli jemaahlah,” kata Zahid.

“Berapa orang kita semua?” tanya Zaki.

“Saya ada lima orang. You punya berapa orang?” tanya Zahid.

“I berempat dengan Zaki,Hisham dan Cikgu Lazim,” jawab Ali.

Maka mereka pakat kumpul duit RM50 seorang untuk beli minyak kereta. Mereka sembilan orang pergi dengan dua kereta ke sana.

Sampai di rumah Haji Amin, Ali sampaikan hajat Zaki untuk menukar cek bunian.
“Mana kamu dapat cek ini?” tanya Haji Amin.

“Cek ini diberi kepada orang tua saya sebagai pemegang amanah. Orang tua sudah uzur, Umur hampir 90 tahun. Dia lumpuh di rumah. Jadi dia suruh saya tukarkan cek ini,” kata Zahid.

Haji Amin setuju untuk bawa cek ke perkampungan bunian. Zahid dan Ali ikut sama, Manakala Zaki dan lain lain menunggu mereka di rumah Haji Amin.

Pagi itu Haji Amin bertiga sudah pergi ke sebuah gunung di Pulai. Mereka masuk ke perkampungan alam bunian. Dari kampung itu ketua kampung Syed Alwi yang mengenali Haji Amin membawa mereka ke bandar bunian pula.

Zahid kagum dengan keindahan bandar bunian itu. Keadaan sama dengan bandar kita yang penuh dengan pembangunan. Malah kereta mewah seperti Mercedes Benz pun ada di bandar tersebut. Banyak bank yang terdapat di bandar itu. Maka Syed Alwi bawa Haji Amin, Zahid dan Ali menunggu di bilik pengurus bank di sebuah bank komersial di bandar bunian itu.

Cek sebanyak RM5 juta sudah ditunaikan. Zahid lega kerana sudah lama dia berhasrat menukarkan cek itu akhirnya menjadi kenyataan.

Sudah sampai mereka bertiga berpisah dengan Syed Alwi di sempadan kampung. Entah macam mana timbul perasaan tamak di hati Zahid. Daripada aku bahagi RM5 juta kepada 10 orang termasuk Haji Amin, lebih baik aku sapu sorang.

Sampai di sebuah stesen minyak di Senai, Zahid terus tinggalkan Haji Amin dengan Ali di situ. Zahid terus memandu keretanya ke Kuala Lumpur dengan wang tunai RM5 juta.

Haji Amin terpinga-pinga dengan ketamakan Zahid. Ali terlopong kerana dia sudah kehilangan RM500,000. Sudah tentu Zaki dan kawan-kawan lain yang menunggu di rumah Haji Amin akan terkejut juga mendengar berita ini.

“Orang tamak selalunya rugi. Zahid takkan selamat di dunia. Percayalah cakap saya Ali,” kata Haji Amin.

Mulut orang yang tidak tinggal solat tahajud memang masin. Dua jam kemudian mereka mendapat berita Zahid mati kemalangan berhampiran dengan persimpangan Tangkak. Kereta Proton Wiranya terbabas dan terbakar serta wang RM5 juta hangus dalam kemalangan tersebut.

Patung purba bergerak sendiri

Patung purba bergerak sendiriSatu patung purba dari Mesir yang dipamerkan di sebuah muzium menimbulkan kegemparan apabila ia bergerak dan dipercayai ada kaitan dengan kewujudan semangat dalam objek itu yang cuba keluar dari situ.
Patung batu berusia 4,000 tahun itu dilaporkan berpusing perlahan-lahan sehingga 360 darjah walaupun berada dalam kotak kaca yang dikunci rapi. Patung setinggi kira-kira 25.5 sentimeter itu mula dipamerkan kepada orang awam sejak 80 tahun lalu dan didakwa menjadi persembahan kepada dewa Osiris.

Masyarakat Mesir purba menganggap Osiris sebagai dewa kematian. Hanya beberapa kakitangan Muzium Manchester dibenarkan mengakses patung berkenaan. Seorang daripada mereka ialah kurator artifak Campbell Price, 29, yang menjadi individu pertama mengesan keanehan berkenaan. Kata Price, kebanyakan pakar Mesir purba tidak percaya kepada benda karut, tetapi dia masih tertanya-tanya bagaimana kedudukan patung itu boleh berubah sendiri. “Pada satu hari saya dapati patung ini menghadap ke arah lain dan sehari kemudian, ia beralih ke arah lain.

“Tiada objek lain yang dipamerkan di muzium ini beralih kedudukan dan ia sangat luar biasa,” katanya. Menurut Price, masyarakat Mesir purba percaya patung dewa seperti itu boleh menjadi tempat alternatif kepada roh seseorang selepas kematiannya. “Tetapi mereka pun akan terkejut jika patung seperti ini bergerak sendiri,” katanya.

Disebabkan kejadian aneh itu, kakitangan muzium kemudian memasang kamera untuk merakamkan keadaan patung berkenaan setiap saat selama seminggu.

Berdasarkan rakaman itu, mereka terkejut apabila mendapati patung berkenaan membuat pusingan 360 darjah. Antara penjelasan yang dapat difikirkan ialah, kesan gegaran daripada tapak kaki pengunjung muzium, atau akibat trafik di luar bangunan.

Bagaimanapun, ia masih gagal menjelaskan mengapa patung itu tidak pernah bergerak sendiri sebelum ini. Price berkata, selama beberapa dekad patung itu diletakkan dalam bekas kaca dan ia tidak pernah bergerak sendiri. Sesetengah pihak percaya patung itu membawa sumpahan firaun dan membawa kecelakaan kepada sesiapa yang mencurinya dari kubur zaman silam.
-Agensi-

Pontianak mengamuk kerana kain

SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI 
Pontianak mengamuk kerana kain
Kain batik (dalam bulatan) diletakkan di atas bumbung garaj. Pontianak mengamuk kerana kain
Pontianak mengamuk kerana kain
Aziz menunjukkan lokasi kain batik dijumpai.
KULIM: Misteri kedengaran suara seolah-olah wanita dikatakan mengilai-ngilai pada sebelah malam di sebuah rumah terjawab apabila penghuninya menemui seorang pengamal perubatan tradisional.

Kejadian berkenaan dikatakan berpunca apabila sehelai kain batik yang ditemui di perkarangan rumah sewa yang baru siap dibina pemiliknya di Kampung Batu 4 ½ itu dibakar.

Kakitangan awam, Aziz Othman berkata, selepas dia menemui pengamal perubatan tradisional berkenaan barulah dia dan isterinya dapat mengenalpasti punca sebenar kejadian lembaga bertenggek dan membuat bunyi seperti cakaran pada bumbung rumahnya.

Kata pengamal perubatan berkenaan, kemungkinan mereka ada mengganggu barangan milik 'penunggu' itu.

"Semua ini berpunca dari kesalahan kami. Ketika mula-mula masuk ke rumah, saya dan isteri mengambil keputusan untuk membersihkan rumah yang kami sewa itu terlebih dahulu kerana ia baru siap dibina.

"Ketika sedang membersihkan kawasan di persekitaran rumah, saya terjumpa kain batik hitam yang sudah lusuh di kaki lima rumah berhampiran pokok pisang dan membersihkan rumah dengan menggunakan kain itu," katanya.

Bakar kain buruk

Katanya, setelah selesai dia menyidai kain itu di ampaian.

"Apabila kain itu sudah kering, isteri saya mendapati kain itu sudah buruk lalu membakarnya.

"Sejak kain batik itu di bakar, suara mengilai dan jelmaan pontianak itu mula mengganggu kami serumah,” katanya.

Menurut Aziz, gangguan berkenaan kemungkinan makhluk halus yang digelar pontianak.

Difahamkan makhluk berkenaan mula mengganggu mereka selepas dua bulan mendiami rumah baru sewa itu, selepas rumah lama mereka musnah akibat ribut.

Pada masa-masa tertentu, ia akan menyerupai penduduk kampung dan berjalan bersendirian terutamanya sebelah malam.

Dua bulan pertama tinggal di rumah itu amatlah memeritkan Aziz kerana diganggu lembaga itu yang juga pernah menjelma seolah-olah perempuan berambut panjang dan matanya seperti bernyala kemerahan.

Lembaga berkenaan juga pernah dilihat berada pada bahagian atas bumbung rumah Aziz.

Katanya, selepas diberitahu punca sebenarnya kejadian oleh pengamal perubatan tradisional itu, mereka terus berikhtiar menyelesaikan masalah gangguan itu.

Cari alternatif

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, pengamal perubatan tradisional itu menyarankan mereka mencari kain batik yang seakan-akan sama pernah dibakar isterinya sebelum ini.

"Kami berjumpa semula pengamal perubatan tradisional itu dan dia mengarahkan kami mengelilingi rumah beberapa kali pada waktu sama.

"Keadaan menjadi agak kronik lembaga itu mengganggu saya semula minggu lalu sebelum dan meletakkan kain berkenaan di atas bumbung garaj kereta," katanya.

Sepanjang mendapatkan rawatan berkenaan, hanya kepada ALLAH kami berserah dan meminta menjauhkan segala perkara buruk dan gangguan syaitan terhadap rumah yang kami sewa ini.

"Alhamdulillah, kain itu kemudiannya saya letakkan di atas bumbung rumah dan membiarkan ia reput dan gangguan suara perempuan meminta tolong serta bunyi cakaran pontianak di atas bumbung rumah tidak lagi kedengaran,” katanya.

Menurut Aziz, lembaga itu masih berkeliaran di kawasan hutan berdekatan jalan besar Sungai Ular bagaimanapun tidak mengganggu penduduk kampung.

"Pernah dikatakan empat penduduk kampung terserempak lembaga itu berjalan sendirian di tepi jalan bagaimanapun terbang setelah ditegur penduduk kampung," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Aziz pernah terserempak lembaga berkenaan berada di atas bumbung rumahnya ketika menyimpan motosikal kuasa tingginya selepas curiga terdengar suara wanita mengilai kuat di hadapan rumah.

Imej lembaga lidah terjelir dirakam


Imej hantu
Musa (tengah) dan Abu Bakar(kiri) menunjukkan kedudukan imej lembaga hantu yang dirakam secara tidak sengaja. Gambar kecil: Imej lembaga didakwa hantu yang berjaya dirakam.
KERIAN: Imej lembaga putih dengan lidah terjelir dan bertanduk dipercayai hantu berjaya dirakam secara tidak sengaja oleh seorang pelanggan dengan menggunakan telefon pintar di sebuah gerai makan di pekan Bagan Tiang, di sini tiga minggu lalu.

Pekerja kontrak, Musa Ibrahim, 40, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, dia bersama tiga rakannya sedang melepak dan bersembang di dalam ruangan khas gerai itu.

Menurutnya, seorang rakan bernama Rizan Shahrin Abdul Rahman, 35, bertindak merakam gambar kepala salah seorang rakan dengan menggunakan telefon pintar dimilikinya secara suka-suka dengan niat bergurau senda.

“Setelah itu, kami terus meneliti kembali beberapa keping gambar yang dirakam.

“Bagaimanapun, kami terkejut melihat kelibat kepala lembaga putih dengan lidah terjelir dan bertanduk muncul di penjuru kanan salah satu gambar diambil walaupun pemilik telefon pintar ini benar-benar yakin tidak melihat apa-apa sebelum rakaman gambar dibuat,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di Pekan Bagan Tiang di sini semalam.

Musa berkata, gempar dengan penemuan itu, mereka bertindak menemui salah seorang individu yang arif dalam bidang paranormal untuk mengesahkan imej lembaga berkenaan.

“Setelah meneliti gambar terbabit, individu itu mengesahkan imej hantu yang berkemungkinan ‘melintasi’ lokasi kejadian pada ketika itu.

"Kami memutuskan mendedahkan perkara ini melalui media setelah mendapat maklumat terdapat siri gangguan makhluk halus dialami penduduk sejak kebelakangan ini dan menggesa ada pihak sudi tampil ke hadapan menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Misteri lembaga wanita dalam kereta Sinar

misteri lembaga
Kelihatan imej lembaga berkenaan yang tertera di cermin belakang kereta.
Imej lembaga wanita dari jarak dekat.
Imej lembaga wanita dari jarak dekat.
KULIM: “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.

Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.

Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.

Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.

Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.

Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.

Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.

“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.

“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.

"Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya.

Api misteri kembali mengganas

Zainab menunjukkan api misteri (dalam bulatan) yang membakar kain tudungnya di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU: Selepas lebih setahun tenang tanpa serangan api misteri, keluarga Zainab Sulaiman, 75, atau lebih dikenali sebagai Mok Nab kembali resah apabila serangan tersebut kembali berulang di kediamannya di sini kelmarin.

Terbaru, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini, apabila api misteri tersebut muncul secara tiba-tiba dan membakar sebuah almari yang sarat dengan pakaian.

Menurut Zainab, kejadian tersebut disedari oleh seorang cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 16, yang terbau hangit seperti benda terbakar sebelum mendapati sebuah almari yang terletak di dalam sebuah bilik terbakar.

Katanya, ketika disedari api yang muncul tersebut begitu marak dan membakar almari serta sebahagian dinding bilik tersebut menyebabkan beliau dan menantunya, Rafeah Zakaria, 38, serta dua lagi cucunya, Wan Nurfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, panik dan berada dalam ketakutan.

“Kami semua terpaksa mengambil semua pakaian yang disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin marak.

“Orang kampung juga datang menolong memadamkan kebakaran dan disebabkan api yang sangat marak, saya terpaksa meminta orang kampung menelefon pihak bomba kerana bimbang rumah saya hangus terbakar,” katanya ketika ditemui semalam.

Miliki kebolehan luar biasa selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya

Budak ajaib
BESUT: Pelik tetapi benar tetapi itulah realiti kebolehan luar biasa seorang pelajar tingkatan lima yang secara tiba-tiba boleh bertutur pelbagai bahasa selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada jam 2 petang, 13 Januari lalu.

Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Alor Lintang boleh bertutur bahasa Korea dan Mandarin dengan lancar walaupun sepanjang hayatnya tidak pernah ikuti kelas bahasa itu.

Menurutnya, kebolehan luar biasa itu berlaku selepas empat hari dia terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang dibonceng dirempuh oleh sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Alor Lintang ketika perjalanan pulang dari sekolah.

“Ketika kejadian saya membonceng motosikal yang ditunggang abang saya, Jefri, 18, yang tiba-tiba dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan saya terjatuh dan terhantuk kepala atas jalan. Mujur saya pakai topi keledar,” katanya.

Sementara itu menurut bapanya, Ismail Salleh, 46, kemalangan itu menyebabkan Noraini koma selama 11 jam dan sebaik sedar dia berada di Unit Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Kata Ismail, selepas doktor menjalankan imbasan kali pertama mendapati terdapat darah beku di bahagian belakang kepalanya.

Bagaimanapun katanya, ketika dilakukan imabasan kali kedua untuk melakukan pembedahan, doktor terperanjat kerana mendapati darah beku tidak ada lagi.

“Bagi mengesahkan perkara itu, doktor HUSM mengulangi ujianebanyak tiga kali namun ternyata darah beku dikesan peringkat awal memang tidak ada,” katanya.

Bercakap bahasa Korea selepas terjaga dari tidur

Ismail berkata, pada jam 5 petang pada hari keempat selepas dibenarkan pulang ke rumah, sebaik Noraini terjaga daripada tidur tiba-tiba dia bercakap bahasa Korea.

Katanya, anaknya itu meminta air daripada ibunya dalam bahasa Korea namun ketika itu ibunya tidak mengetahui bahasa apakah yang dituturkan Noraini.

“Kami sekeluarga tidak faham maksudnya dan langsung tidak tahu bahasa Korea kerana ia mirip bahasa Cina tetapi selepas dia menunjukkan isyarat ingin minum air baru ibunya beri air,” katanya.

Kata Ismail, selain Korea dia juga kadang-kadang bertutur dalam bahasa Mandarin dan paling aneh lagi ketika dia berbahasa tersebut dia langsung tidak akan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Pada mulanya, Ismail dan keluarga meragui maksud bahasa yang dituturkan itu betul atau tidak tetapi apabila Noraini menonton cerita Korea di televisyen, dia dapat menterjemahkan cerita tersebut dengan tepat seperti sarikata dipaparkan pada skrin televisyen yang ditutup dengan tangan oleh ahli keluarganya.

Menurut Noraini, seorang doktor pakar berbangsa Cina di HUSM yang menjalankan rawatan susulan ke atasnya baru-baru ini juga menganggap kejadian dia boleh bertutur bahasa Cina juga aneh malahan kejadian itu pertama kali ditemuinya semenjak 17 tahun bertugas sebagai doktor.

“Doktor itu minta saya membaca nombor dalam bahasa Cina dan apa yang saya sebut adalah benar,” katanya.

Tidak boleh bercakap loghat Kelantan

Satu lagi keanehan pada Noraini ialah dia kini bertutur bahasa baku sepenuhnya malahan dia langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan lagi seperti pertuturan hariannya sebelum ini.

Menurutnya ibunya, Masina Daud, 48, sejak kemalangan anak keenam daripada tujuh beradik itu hanya boleh bercakap bahasa Melayu standard (baku) seperti loghat Kuala Lumpur sahaja manakala bahasa Kelantan sekarang dia boleh menyebut beberapa perkataan, seperti ‘mok’ dan ‘ayah’.

“Sebelum ini dia nak sebut perkataan mok (emak) memang langsung tidak boleh tetapi kalau perkataan Mama lancar. Saya pun hairan bagaimanana pertuturan boleh berubah,” katanya.

Dalam pada itu Noraini berkata, sejak belakangan ini dia hanya bertutur dalam bahasa Cina atau Korea sekiranya dia tidur semula selepas menunaikan solat Subuh.

“Kalau saya tidur semula selepas solat Subuh pasti apabila bangun saya tidak boleh langsung bercakap bahasa Melayu sebaliknya hanya boleh bertutur dalam bahasa Korea yang berlarutan sehingga jam 11 pagi pada hari sama sebelum boleh bertutur semula bahasa Melayu.

“Kalau saya tidak tidur selepas solat Subuh saya tidak akan bercakap korea,” katanya yang juga hairan dengan perubahan yang dialami.

Katanya, dia memahami bahasa Korea atau Cina di kaca televisyen hanya ketika dia boleh bertutur bahasa tersebut tetapi apabila ketika boleh bercakap bahasa Melayu, dia langsung tidak faham makna bahasa berkenaan.

Jalani rawatan alternatif

Bapanya pula agak tertekan dengan masalah yang dihidapi anaknya dan sudah beberapa kali dia membawa anaknya menjalani rawatan alternatif namun setakat ini tidak berhasil.

Kata Ismail, lebih memeritkan keadaan kerana boleh dikatakan setiap hari sama ada sebelum atau selepas Maghrib, Noraini akan tiba-tiba diserang sakit kepala menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Besut untuk mendapat suntikan.

“Sekarang hampir setiap hari saya terpaksa membawa dia mendapat suntikan kerana Noraini tidak akan sedarkan diri jika lambat dibawa ke hospital,” katanya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini.

Ismail merayu orang ramai atau ahli perubatan alternatif untuk tampil membantu menyelesaikan masalah yang dihidapi anaknya kerana dia tidak berkemampuan untuk lebih kerap membawa anaknya mendapatkan rawatan.

Ismail menetap di alamat 2672, Kampung Baru Gong Medang dekat Tembila dekat Kampung Raja.