"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kredibiliti Umno rosak selepas Zahid gagal dapatkan pasport secara kekal’

Danial Azhar

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerima tamparan hebat serta mencemarkan kredibiliti parti selepas gagal dalam permohonannya mendapatkan semula pasportnya secara kekal yang dipegang mahkamah, menurut sumber Umno.

Ahli parti yang enggan dikenali itu berkata, Zahid sepatutnya membersihkan namanya daripada 47 pertuduhan jenayah terhadapnya dan bukannya fokus untuk terus berkuasa.

Beliau tidak sepatutnya dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan Anwar Ibrahim, kata sumber dalaman parti itu.

“Dengan 47 pertuduhan (rasuah) yang sedang dibicarakan di mahkamah, bagaimana beliau boleh berfungsi sebagai timbalan perdana menteri? Beliau harus sedar bahawa apa sahaja yang dilakukannya, walaupun sehingga ke tahap untuk menjadi timbalan perdana menteri dan presiden Umno, beliau masih mempunyai 47 pertuduhan di mahkamah,” kata sumber itu kepada FMT.

Beliau berkata orang ramai diberikan mesej yang salah dalam permohonan Zahid bagi mengembalikan pasportnya, yang ditahan atas perintah mahkamah selepas beliau didakwa atas tuduhan rasuah.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Zahid agar pasportnya dikembalikan secara kekal kerana pertuduhan kes rasuahnya masih berlangsung.

Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pelepasan sementara pasport Zahid supaya beliau boleh memohon pasport diplomatik.

Zahid dalam afidavitnya berkata, beliau memerlukan pasport untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan, termasuk melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Ditanya bagaimana perkara itu akan memberi kesan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sumber berkata, kes itu tidak mencerminkan Anwar tetapi perdana menteri berkemungkinan tidak mengendahkannya.

Pandangan penganalisis

Sementara itu, ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, penolakan mahkamah terhadap permohonan Zahid menunjukkan bahawa badan kehakiman masih kekal bebas.

“Ia mencadangkan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam kes Zahid atau sekurang-kurangnya dalam permohonan ini,” kata Wong yang juga profesor di Universiti Sunway.

“Ini memberi jaminan kepada mereka yang bimbang kerajaan telah dikompromi dengan pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri. Ia secara positif memberikan refleksi kepada Anwar, pengundi reformis boleh berasa lebih yakin berbanding sebelum penghakiman ini.”

Wong berkata keputusan mahkamah mengenai pasport itu memberi isyarat bahawa Zahid boleh disabitkan bersalah dan dihukum penjara ketika memegang jawatan.

Beliau juga berkata penghakiman mahkamah mengekalkan status quo di mana kredibiliti Umno dan Zahid menjadi kebimbangan.

“Umno masih memikul beban yang sama seperti presidennya yang didakwa atas 47 pertuduhan rasuah.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, keputusan mahkamah itu boleh membantu menghapuskan persepsi bahawa Anwar akan mencampuri urusan badan kehakiman dan memastikan Zahid mendapat layanan istimewa, sambil menambah ia sebenarnya akan meningkatkan keyakinan terhadap kerajaan.

Empat wanita antara lima ditahan berhubung kes bunuh, tanam mayat

Bernama

Polis menahan lima individu termasuk empat wanita kerana dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh seorang lelaki warga India yang mayatnya ditemukan ditanam di kawasan lereng bukit, di belakang sebuah banglo, di Subang Jaya, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun itu, terdiri daripada dua wanita warga tempatan, seorang wanita warga Indonesia dan India serta seorang lelaki warga India.

Katanya, mereka yang merupakan pekerja sebuah pusat jagaan orang tua, ditahan pada Khamis lepas dan semalam di sekitar kawasan Subang Jaya.

“Kes ini terbongkar selepas seorang lelaki warga India mengaku telah membunuh seorang lelaki rakan senegaranya Mei tahun lepas dan telah menanam mayat mangsa di belakang sebuah banglo yang dijadikan pusat jagaan orang tua di Subang Jaya. Pengakuan dibuat di Ampang Jaya.

“Ekoran pengakuan itu, polis dari IPD Ampang Jaya telah menahan suspek serta seorang wanita warga India yang merupakan isteri mangsa. Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek itu telah menunjukkan lokasi pembunuhan serta tempat mayat ditanam,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis telah menemukan satu bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut tubuh mangsa yang berusia 25 tahun yang dibunuh dengan cara dikelar lehernya.

Susulan penemuan mayat itu, katanya polis menahan tiga lagi wanita bagi membantu siasatan.

Wan Azlan berkata siasatan mendapati motif mangsa dibunuh disebabkan suspek lelaki itu mempunyai hubungan sulit dengan isteri mangsa.

“Mayat dihantar ke Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan polis masih meneruskan siasatan bagi mencari senjata yang digunakan dalam kes itu,” katanya.

Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta tampil memberikan maklumat melalui talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya).

- Bernama

Kejam! Kat Malaysia aduh: Sembelih suami kekasih, tanam mayat belakang banglo

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my
PASUKAN forensik membuat pemeriksaan, kelmarin, di lokasi lelaki warga India dipercayai ditanam kekasih isterinya di lereng bukit di belakang sebuah banglo di Subang Jaya sejak Mei tahun lalu. FOTO ihsan polis

PASUKAN forensik membuat pemeriksaan, kelmarin, di lokasi lelaki warga India dipercayai ditanam kekasih isterinya di lereng bukit di belakang sebuah banglo di Subang Jaya sejak Mei tahun lalu. FOTO ihsan polis
Subang Jaya: Selepas hampir setahun, tembelang seorang lelaki yang dipercayai membunuh dan menanam mayat suami kekasihnya terbongkar dalam kejadian di sebuah banglo di daerah ini pada Mei tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa jam 4.45 petang pada 2 Februari lalu.

Menurutnya, pengakuan berkenaan dibuat di kawasan Ampang Jaya sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan soal siasat lanjut terhadap suspek.

"Suspek kemudian menunjukkan lokasi kejadian mangsa berusia 25 tahun dibunuh pada Mei tahun lalu iaitu di lereng bukit di belakang sebuah banglo di Subang Jaya.

"Kejadian bunuh itu berlaku di banglo berkenaan yang dijadikan sebagai pusat jagaan orang tua dengan mangsa dipercayai dikelar di leher menggunakan pisau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihak forensik menemui bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut badan mangsa.

"Susulan itu, kami menahan isteri mangsa dan kekasihnya yang juga warga India serta dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 35 tahun yang bekerja di pusat jagaan orang tua berkenaan bagi membantu siasatan.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek warga India tidak mempunyai pasport dan kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, motif pembunuhan itu dipercayai disebabkan mangsa mengetahui hubungan sulit antara suspek dengan isterinya.

"Suruhanjaya Tinggi India ada membuat laporan polis mangsa hilang pada Mei 2022 selepas menerima aduan daripada ahli keluarganya di India yang memaklumkan lelaki itu tidak dapat dihubungi.

"Setakat ini, senjata pembunuhan dalam kejadian ini (pisau) masih belum ditemui dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut," katanya.

Akar umbi tak setuju jika Zahidi diterima masuk PKR

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR Perlis meminta parti itu meneliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menerima bekas Ahli Parlimen Padang Besar dari Umno, Zahidi Zainul Abidin sebagai ahli.

Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, akar umbi tidak senang jika parti terpaksa menerima kemasukan pemimpin lawan untuk menjadi ahli mereka.

“Sebagai sebuah parti membawa agenda reformasi, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja ingin menyertai PKR khususnya untuk menjayakan agenda Malaysia Madani namun, kita sudah ada pengalaman sebelum ini di mana adanya pemimpin yang tergolong dalam kategori ‘tong sampah’.

“Berapa ramai sudah pemimpin lawan kononnya tokoh dari parti tertentu masuk ke PKR dan diangkat sehingga mendapat jawatan namun akhirnya mereka khianat dengan menikam kita balik,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Zahidi yang juga bekas ketua Umno Padang Besar memberitahu beliau bersama 100 ahli lain akan menyerahkan borang keahlian PKR kepada ketua bahagian tersebut.

Zahidi dipecat dari Umno selepas bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi selepas tidak dicalonkan pada PRU15. Beliau digantikan Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan.

Beliau gagal mempertahankan Parlimen itu apabila sekadar meraih 1,939 undi sekali gus hilang deposit. Parlimen Padang Besar dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) Rushdan Rusmi.

Kata Asrul lagi, sekiranya parti tetap menerima Zahidi sebagai ahli PKR, beliau tidak menolak kemungkinan akar umbi berkecil hati.

“Zahidi merupakan bekas pemimpin Umno dan sekiranya beliau diterima, maka pastinya langkah itu akan menjejaskan hubungan dalam kerajaan perpaduan sehingga memberi kesan di peringkat nasional,” katanya yang juga bekas ADUN Sena.

Suami buat aduan polis isteri kahwin tiga

KOSMO!

JAKARTA – Seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an ditangkap polis selepas suaminya membuat aduan bahawa isterinya berkahwin buat kali ketiga, lapor portal berita TribunJatim semalam. 

Wanita itu menikah dengan lelaki-lelaki lain tanpa pengetahuan dan persetujuan si suami menyebabkan dia membuat laporan terhadap isterinya itu di sebuah balai polis di Tulangbawang Barat.

Menurut seorang pegawai polis, si suami sakit hati dan merasa dikhianati kerana isterinya berkahwin lagi dan dilakukan secara diam-diam tanpa persetujuannya.

Wanita itu didakwa berkahwin kali ketiga selepas menunjukkan dokumen perceraiannya dengan suaminya sedangkan mereka sudah berkahwin sejak tahun 2020 lagi.

Setelah pihak polis menjalankan siasatan, pihaknya mendapati si isteri disyaki melakukan perbuatan tersebut dan dia ditahan di pusat tahanan polis Tulangbawang Barat.

Wanita itu disyaki melanggar undang-undang Indonesia dan boleh dihukum penjara tujuh tahun, kata pegawai polis tersebut. – Agensi

Polis ‘tidak cergas’ tangkap lelaki bogel berlari di jalan raya

KOSMO!

Seorang lelaki berlari dalam keadaan bogel di sebuah kejiranan di Buenos Aires pada Rabu lalu. - La Nacion

BUENOS AIRES – Seorang lelaki yang didakwa di bawah pengaruh dadah berlari tanpa seurat benang di sebatang jalan raya di Argentina sehingga mengganggu lalu lintas, lapor portal berita MailOnline.

Klip video kejadian pada Rabu lepas itu dirakam oleh seorang pejalan kaki. Ia menunjukkan seorang lelaki dikenali sebagai Adrian dikejar anggota polis di sebuah kejiranan di Buenos Aires.

Menurut portal berita Contexto Tucuman, Adrian dilihat oleh jiran-jirannya berjalan keluar dari bangunan kediaman mereka dalam keadaan bogel. Mereka kemudian menghubungi talian kecemasan 911 untuk melaporkan perkara itu.

“Dia tidak melawan apabila ditahan,” kata seorang anggota penguatkuasa undang-undang kepada saluran berita TN, manakala Adrian memberitahu polis, dia mengambil dadah di sebuah parti.

Adrian telah dibawa ke Hospital Pirovano dan dimasukkan ke unit kesihatan mental untuk penilaian ke atas dirinya.

Ada pengguna media sosial yang bergurau dengan berkata, lelaki itu berlari dengan perlahan manakala yang lain menyatakan anggota polis kurang berminat untuk menangkapnya. – Agensi

Nepotisme: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul jawab cikgu bad

Ng Xiang Yi

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul menjelaskan tiada sebarang pelantikan jawatan kerajaan dibuat ke atas anaknya, Mohammed Iqbal, sekali gus menafikan dia mengamalkan nepotisme.

Bercakap kepada Malaysiakini, Johari berkata anak lelakinya yang dipertikaikan itu sudah bekerja untuk dia sejak 14 tahun lalu.

Katanya setakat ini tiada sebarang pelantikan secara rasmi dibuat untuk anaknya itu menjadi pegawai di pejabat Speaker Dewan Rakyat..

"Iqbal ini pegawai saya semasa saya jadi wakil selama 14 tahun lepas, justeru sekarang dia hanya meneruskan tugasnya yang itu saja.

"Gaji dia juga saya yang bayar, jadi apa masalahnya?" kata bekas ahli parlimen Sungai Petani itu.

Semalam Malaysiakini melaporkan dunia maya dikecohkan dengan dakwaan Johari melantik anak lelakinya menjadi salah seorang pegawai di pejabat parlimen.

Antara individu yang awal membuat dakwaan tersebut ialah ahli Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, melalui ciapan di Twitter pagi semalam, dan mempersoalkan tindakan Johari.

Badrul Hisham mendakwa nama penuh anak Johari, Mohammed Iqbal, telah dipinda dalam direktori kakitangan parlimen dengan nama bapanya dipadamkan.

“Awalnya dalam direktori staf ada tertera nama Mohammed Iqbal bin Johari sebagai PTTK (pegawai tugas khas).

“Namun lepas Nurul Izzah kantoi dilantik penasihat Anwar, direktori diedit bin Johari dipadam. Semua ada bin kecuali satu nama... kenapa?” soalnya.

Menurut Johari pembayaran gaji anaknya itu tidak membabitkan kantung kerajaan.

Setakat ini katanya Iqbal membantunya sebagai pegawai bekas ahli parlimen kerana ada beberapa urusan yang belum sempat diselesaikan.

"Ini bukan pelantikan, there’s nothing yet (tak ada apa-apa setakat ini)," katanya.

Ditanya mengenai nama Iqbal ada tertera pada laman sesawang rasmi parlimen dan menimbulkan anggapan dia sudah mendapat pelantikan rasmi, Johari berkata: "Itu biasalah... biasalah."

Bekas Adun Sanglang dipukul lelaki tak siuman

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
DATUK Saad@Md Zain Hamzah cedera di bahagian kepala selepas dipukul seorang lelaki tidak siuman di Masjid Alwi, Kangar. FOTO ihsan PEMBACA
DATUK Saad@Md Zain Hamzah cedera di bahagian kepala selepas dipukul seorang lelaki tidak siuman di Masjid Alwi, Kangar. FOTO ihsan PEMBACA
Kangar: Seorang lelaki tidak siuman ditahan selepas memukul bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang di Masjid Alwi di sini, hari ini.

Datuk Saad @ Md Zain Hamzah, 87, dari Bintong, Kangar dan pernah menjadi Adun Sanglang daripada 1978 dan 1986 cedera di kepala disyaki dipukul menggunakan kerusi oleh lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian berlaku jam 5.30 pagi ketika mangsa sedang bersiap-siap untuk memasuki masjid itu bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

"Mangsa sebelum itu tiba di perkarangan Masjid Alwi sekitar jam 5.15 pagi dan berada di dalam kenderaannya untuk mendengar tazkirah selama 15 minit.

"Selepas selesai tazkirah, mangsa berjalan ke arah hadapan masjid dan berhenti sebentar untuk menyumbang ke tabung anak yatim.

"Tiba-tiba, mangsa didatangi seorang lelaki yang mengamuk yang terus memukulnya menyebabkan mangsa terjatuh di lantai perkarangan masjid," katanya pada kenyataan.

Katanya, mangsa kemudiannya berlari ke satu sudut di masjid berkenaan dan meminta bantuan pengawal keselamatan masjid untuk menghubungi polis dan ambulans.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk rawatan.

"Suspek yang berusia 65 tahun kemudiannya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kangar untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kini dirawat di HTF.

"Suspek dipercayai mempunyai masalah mental namun motif serangan masih disiasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Prof Agus Yusoff dilantik ketuai J-Kom

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penganalisis politik Agus Yusoff yang menolak jawatan kerajaan pada Disember lalu, kini dilantik mengetuai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau memulakan tugas sebagai ketua pengarah J-Kom di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Katanya, peranan J-Kom ialah menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat dengan maklumat betul dan tepat, selain mendidik dan menyedarkan rakyat saling menghormati serta bersatu bagi mengelakkan sikap ekstremisme agama dan kaum.

Beliau berkata, PRU15 memisahkan masyarakat dan pengaruh media sosial membawa banyak kesan negatif terhadap hubungan antara kaum.

“Bagi memulihkan kembali keadaan ini, kami di J-Kom akan berusaha mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan tataetika betul supaya semangat patriotisme serta hubungan baik dan toleransi sesama rakyat akan kembali kuat dan subur.

“Bagi menggerakkan usaha ini, J-Kom akan berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan seluruh agensi kerajaan, swasta, NGO, belia dan pemimpin masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Disember lalu, Malaysiakini melaporkan Agus menolak tawaran daripada Anwar untuk menyumbang kepada kerajaan perpaduan.

Agus dilaporkan berkata, beliau menyokong kepimpinan Anwar kerana mahu beliau membawa perubahan kepada negara dan tidak lebih daripada itu.

Katanya, beliau bercadang kekal di Indonesia dan meneruskan kerjaya sebagai profesor politik di Universiti Negeri Gorontalo.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan mendakwa J-Kom pada dasarnya adalah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dijenamakan semula, yang pernah dianggap cabang propaganda Putrajaya.

Pada 2021, Ahli Parlimen Klang ketika itu, Charles Santiago menggesa kerajaan mengkaji semula keperluan mempunyai J-Kom, manakala Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, jabatan itu tidak penting.

Foto 2 suspek curi motosikal ditahan dalam reban ayam tular

Zuhainy Zulkiffli

bhnews@bh.com.my
Nur Dini Khairunisa menunjukkan foto motosikal milik bapanya yang hilang disyaki dicuri 2 lelaki sebelum kedua-dua suspek ditahan dan dimasukkan ke dalam reban ayam sementara menanti ketibaan polis. - Foto ihsan Nur Dini Khairunisa

Nur Dini Khairunisa menunjukkan foto motosikal milik bapanya yang hilang disyaki dicuri 2 lelaki sebelum kedua-dua suspek ditahan dan dimasukkan ke dalam reban ayam sementara menanti ketibaan polis. - Foto ihsan Nur Dini Khairunisa
BUKIT MERTAJAM: "Kes kecurian motosikal bapa saya dah diserah kepada polis, kami tak mahu ia dipanjangkan lagi, mohon semua supaya hantaran mengenainya di media sosial dipadamkan untuk jaga aib pihak sana (suspek)."

Begitu kata Nur Dini Khairunisa Kamal, 25, susulan kejadian kecurian motosikal milik bapanya di Kubang Ulu, di sini, pada Selasa lalu.

Nur Dini berkata, foto kejadian itu yang memaparkan dua lelaki dimasukkan ke dalam reban ayam kerana mencuri motosikal berkenaan, tular di media sosial sejak petang tadi.

"Saya tak tahu siapa tularkan kerana keluarga kami tak simpan foto berkenaan. Kami juga sudah buat laporan di Balai Polis Penanti dan serah kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian itu, Nur Dini berkata, motosikal Yamaha 125z milik bapanya disedari hilang kira-kira jam 6.30 pagi, tetapi berjaya ditemui jam 11.30 pagi hari sama sebelum mereka mengambil semula kenderaan itu di rumah suspek.

"Kami sendiri tak tahu bagaimana dan siapa tahan kedua-dua suspek ke dalam reban ayam berkenaan, saya juga tiada di tempat kejadian kerana berurusan di balai polis.

"Kami amat hargai usaha masyarakat di kejiranan yang menahan suspek tanpa mencederakan mereka, tapi tak perlu lagi foto berkenaan disebarkan untuk jaga aib mereka," katanya lagi.

Terdahulu, tular dua foto memaparkan dua lelaki ditahan kerana didakwa mencuri motosikal dan mereka dimasukkan ke dalam reban ayam sementara menunggu kedatangan polis.

Zakar ditemui di stesen minyak

KOSMO!

WASHINGTON – Penemuan zakar manusia di tempat letak kereta sebuah stesen minyak di negeri Alabama, Amerika Syarikat (AS) dikaitkan dengan kemalangan maut di mana seorang penunggang motosikal digilis beberapa kenderaan, lapor portal berita MailOnline semalam.

Pelanggan stesen minyak di lebuh raya rentas negeri Interstate 10 terkejut apabila menemui anggota badan manusia itu, demikian menurut akhbar Lagniappe.

Jabatan Polis Bergerak (MPD) memberitahu bahawa kes itu tidak disiasat sebagai pembunuhan atau serangan, tetapi dikaitkan dengan kemalangan yang menyaksikan Christopher Means, 29, kehilangan nyawanya.

Means disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan) Isnin lalu. 

“Mangsa tercampak dari motosikal dan digilis oleh beberapa kenderaan,” demikian menurut kenyataan polis.

Lebuhraya Interstate 10 ditutup berjam-jam selepas empat kemalangan berasingan pada pagi itu. Menurut MPD, mereka kini sedang mencari pemandu yang melanggar Means dan memandu pergi.

Salah seorang pengguna di media sosial yang didakwa rakan kepada mangsa berkata: “Zakar yang terputus ditemui di stesen minyak bandar ini semalam.

“Ia milik mangsa kemalangan motosikal di tempat kerja saya. Badan lelaki itu berkecai dan zakarnya terpelanting di hadapan sebuah trak,” katanya. 

Masih tidak jelas mengapa mangsa hilang kawalan ke atas motosikalnya, namun siasatan masih diteruskan. – Agensi

Fatwa Johor larang umat Islam sertai ‘ritual agama lain’

Bernama

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) mengeluarkan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam menghadiri upacara ritual perayaan agama lain di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memperkenan fatwa itu berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, ulama daripada empat mazhab, iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali sepakat hukum umat Islam menghadiri upacara perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

“Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahupun di tempat lain yang biasa dilaksanakan ritual tersebut.

“Bagaimanapun, menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan,” katanya di Pusat Islam Iskandar di sini.

Fared berkata, dengan fatwa ini, ia diharapkan dapat memberi kefahaman kepada umat Islam negeri itu yang segelintirnya sudah menjadi kebiasaan menyantuni kaum lain dalam usaha mengekalkan keharmonian antara kaum.

Dalam masa sama, beliau berkata, satu garis panduan dan kriteria juga dikeluarkan bagi menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri umat Islam.

“Antaranya, majlis tersebut tidak disertakan upacara yang bertentangan akidah Islam dan terdapat perbuatan seperti menyertakan simbol agama atau menyanyikan lagu bercirikan agama.”

Selain itu, katanya, majlis itu juga tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, seperti ucapan yang menghina dan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

Justeru, Fared menerusi MAINJ akan menemui ketua keagamaan serta pengurus rumah ibadah bukan Islam bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai garis panduan itu.

“Larangan ini tidak bermaksud untuk mengganggu keharmonian antara kaum, tapi sekadar memberi nasihat serta panduan agar pemimpin masyarakat berhati-hati dalam menyatakan kebersamaan dan tidak melanggar batas-batas tertentu.”

Menurutnya, individu yang melanggar garis panduan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Speaker Dewan Rakyat didakwa mengamalkan nepotisme

Malaysiakini

Beberapa hari selepas pendedahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa anaknya, Nurul Izzah, telah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, alam maya sekali lagi heboh hari ini mengenai insiden serupa yang didakwa melibatkan seorang lagi pemimpin PKR.

Kali ini, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul didakwa telah melantik anaknya sebagai pegawai tugas-tugas khas di pejabatnya.

Antara yang pertama membangkitkan isu itu ialah ahli Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, yang memuat naik ciapan di Twitter pagi ini dan mempersoalkan tindakan Johari mengenai pelantikan tersebut.

Badrul Hisham, atau dikenali sebagai Chegubard, juga mendakwa bahawa nama penuh anak Johari, Mohammed Iqbal telah dipinda dalam direktori kakitangan dalam talian Parlimen, dengan nama bapanya dipadamkan.

Ini kononnya untuk menutup kemungkinan hubungan keluarga Iqbal dengan speaker.

“Awalnya dalam direktori staff ada tertera nama Mohammed Iqbal bin Johari sebagai PTTK (pegawai tugas khas).

“Namun lepas Nurul Izzah kantoi dilantik penasihat Anwar, direktori diedit bin Johari dipadam. Semua ada bin kecuali satu nama... kenapa?” soalnya.

Badrul Hisham dalam ciapannya meminta penjelasan daripada Johari mengenai perkara itu.

“@JohariAbdul5 ada pejelasan? Anak sendiri?”

Dia juga melampirkan tangkapan skrin yang menunjukkan percanggahan antara direktori parlimen dan halaman daripada carian Google.

Hasil carian Google oleh Malaysiakini juga menunjukkan "Mohammed Iqbal bin Johari" tersenarai, tetapi apabila pautan itu diklik, ia dialihkan ke direktori kakitangan Parlimen, dengan hanya nama "Mohammed Iqbal" ditemui.

Malaysiakini masih dalam usaha untuk memastikan sama ada Iqbal yang disenaraikan sebagai pegawai Johari itu adalah anaknya.

Percubaan untuk mendapatkan komen daripada Johari tidak berjaya. Malaysiakini juga telah menghubungi ketua penerangan PKR Fahmi Fadzil untuk mendapatkan ulasannya.

Beberapa hari lalu, didedahkan Nurul Izzah telah dilantik sebagai penasihat kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Walaupun Anwar mempertahankan bahawa Nurul Izzah akan melakukan kerja tanpa sebarang gaji, namun pelantikannya mendapat kritikan daripada banyak pihak, termasuk pembangkang yang melabelnya sebagai nepotisme.

Negeri Sembilan cadang bubar DUN 1 Jun

Bernama

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mencadangkan DUN negeri itu dibubarkan pada 1 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dia yang juga naib presiden PKR bagaimanapun berkata cadangan itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Majlis Presiden PH.

“Kita belum bincang dengan Majlis Presiden, tapi cadangannya bubar pada 1 Jun, hanya cadangan, esok-esok (adakan) perbincangan mungkin akan berubah (tarikh bubar). Kita juga akan ada mesyuarat menteri besar hujung bulan dua ini, kita akan bincang secara tidak formal, insya-Allah.

“… Jun bubar, lepas itu terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nak buat PRN bila dalam tempoh 60 hari (lepas bubar DUN).. maknanya bersama (negeri lain), tak ada masalah,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Seremban, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan bahawa DUN Kedah akan dibubarkan selepas pertengahan Jun mengambil kira beberapa faktor termasuk bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh ibadah haji serta sambutan Aidiladha.

Selain Negeri Sembilan dan Kedah, empat lagi negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

-Bernama

Akhirnya Haji Hadi dapat jadi timbalan kepada Mahiaddin PM (SD) dalam kabinet bayangan

Muhyiddin perkenal Kabinet bayangan PN

Anne Muhammad

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin melancarkan Kabinet bayangan gabungan itu hari ini.

Dalam Kabinet bayangan itu Muhyiddin diumumkan sebagai ketua Ahli Parlimen PN manakala Presiden PAS Abdul Hadi Awang timbalannya.

Radzi Jidin diberikan tugas penting iaitu portfolio kewangan dan ekonomi.

“Kita setuju sekretariat PN akan keluarkan kenyataan polisi, tentang semua perkara, berkaitan ekonomi apa pendirian dasar, alam sekitar, antarabangsa, pertahanan atau keselamatan dalam negara.

“Kita akan bentang supaya rakyat tahu apa kita bentangkan dan kita bersedia memikul amanah besar kalau rakyat beri mandat tadbir negara,” katanya dalam sidang media selepas program pemukiman Ahli Parlimen PN di Tamu Hotel.

Mat Sabu: Tun, Tan Sri pun kalah pada orang biasa,

Malaysiakini 

Gelaran yang diterima bukanlah cerminan kemuliaan bagi seseorang individu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu yang menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri oleh Yang di-Pertuan Agong semalam menyifatkan ia sebagai satu penghormatan yang datang bersama amanah besar.

Katanya, dalam politik mereka yang memiliki gelaran dan pangkat tinggi juga ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya.

"Ada rakan pernah berkata pada saya, orang Melayu amat menghormati mereka yang bergelar dengan gelaran yang tinggi.

"Jawapan saya, dalam politik dan pilihanraya, ada yang bergelar Tun, Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk ditolak oleh rakyat dan kalah di tangan orang biasa.

"Oleh itu, soal gelaran bukanlah bermakna kedudukan seseorang itu dimuliakan atau direndahkan," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Mohamad mendahului senarai 164 penerima darjah kebesaran bagi tahun 2023.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 disempurnakan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dalam pada itu Mohamad berkata, kemegahan atau kehinaan seseorang itu bergantung kepada usaha-usaha murni yang dilakukan dengan konsisten pada setiap masa.

"Pada saya, kemegahan atau kehinaan, kejayaan atau kegagalan seseorang itu bukanlah bergantung kepada gelaran yang diterima itu. Ia bergantung kepada usaha-usaha murni yang dilakukan dengan konsisten pada setiap masa.

"Yang penting seseorang itu, samada bergelar atau tidak, mesti bekerja dan berbakti kepada masyarakat untuk menegakkan perkara makruf serta keadilan, menentang segala bentuk kezaliman, menonjolkan akhlak yang mulia yang dilihat orang ramai sebagai orang yang berbakti kepada masyarakat," katanya.

'Sedekah' PRU: SPRM kenal pasti 90 individu, rakam keterangan

Hariz Mohd

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada pilihan raya umum ke-15.

Menurut sumber daripada agensi itu, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada PAS bagi tujuan mengundi.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata setakat ini, SPRM telah berjaya menjejaki hampir separuh daripada 90 individu tersebut dan mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat.

“Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai).

"Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar," kata sumber itu.

Terima duit, angkat sumpah

Katanya, siasatan dijangka dapat diselesaikan dalam masa kira-kira dua minggu.

Tambahnya, SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

Selepas berakhirnya PRU 15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS telah memberi wang kepada pengundi.

Pengarah pilihan raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan perkara itu.

Sanusi berkata dakwaan itu merupakan helah daripada musuh politik untuk memburuk-burukkan PAS dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

Pada Januari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi.

Dia dilaporkan memberitahu media di Terengganu bahawa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada "bersedekah".

Kenapa wanita jelita ini dikatakan berhati iblis

Agensi
 SHAHRABAN (kiri) membunuh Khadidja (kanan). FOTO Agensi
SHAHRABAN (kiri) membunuh Khadidja (kanan). FOTO Agensi
Berlin: Seorang wanita di Jerman tergamak membunuh individu lain yang memiliki wajah serupa dengannya atas niat memalsukan kematiannya sendiri kerana ingin lari daripada masalah keluarga.

Suspek dikenali sebagai Shahraban K, didakwa menikam penulis blog kecantikan Khadidja O lebih 50 kali, sehingga mencacatkan wajah mangsa sepenuhnya, selepas memperdaya wanita itu untuk bertemu di bandar Ingolstadt, Bavaria, Ogos lalu.

Wanita berketurunan Jerman-Iraq berusia 24 tahun yang juga seorang blogger kecantikan itu didakwa cuba mewujudkan situasi seolah-olah dia dibunuh dengan meninggalkan mayat Khadidja di dalam kereta Mercedesnya dan meletakkan kenderaan itu berhampiran flat teman lelakinya, Sheqir K, yang bersubahat dengannya.

Laporan tempatan berkata, ibu bapa Shahraban turut tertipu selepas mengenal pasti mayat itu ialah anak mereka, namun bedah siasat sehari kemudian menimbulkan keraguan sebelum ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Khadidja.

Kes luar biasa yang digelar sebagai pembunuhan doppelganger oleh akhbar Jerman, akan dibicarakan, dengan Shahraban dan Sheqir didakwa atas tuduhan membunuh.

Pendakwa raya, Veronika Grieser percaya, Shahraban mahu lari daripada masalah di rumahnya.

"Selepas siasatan, boleh diandaikan dia mahu bersembunyi kerana masalah dalaman keluarga sebelum sanggup memalsukan kematiannya sendiri," katanya kepada akhbar Jerman, Bild.

Polis berkata, Shahraban yang tinggal di Munich, didakwa membuat akaun Instagram palsu dan cuba mengatur pertemuan dengan wanita yang kelihatan serupa dengannya.

Katanya, wanita itu akhirnya menemui Khadidja, seorang warga Albania berusia 23 tahun yang tinggal kira-kira 161 kilometer dari tempatnya.

Shahraban dan Sheqir yang berusia 24 tahun didakwa membuat tawaran kepada mangsa mengenai produk kecantikan sebelum menemuinya di Ingolstadt.

Mereka menjemputnya dan memandu ke hutan di luar bandar sebelum menikamnya lebih 50 kali.

Shahraban dilaporkan memberitahu keluarganya dia akan ke Ingolstadt untuk bertemu bekas suaminya.

Selepas dia tidak pulang, ibu bapanya pergi ke bandar untuk mencarinya sebelum menemui 'mayatnya' dalam Mercedesnya di Sungai Danube berhampiran flat dihuni Sheqir, 16 Ogos lalu.

Jurucakap polis, Andreas Aichele berkata, walaupun senjata itu pembunuhan itu belum ditemukan, namun bukti lain menunjukkan pasangan itu terbabit.

Menyamar pegawai polis samun dan cabul wanita

MOHD. RAFIE AZIMI
 
PENDANG: Seorang lelaki bertindak melampau apabila tidak hanya menyamar sebagai pegawai polis untuk menyamun seorang lelaki, malah turut mencabul isteri mangsanya itu, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitenden Arriz Sham Hamezah berkata, menerusi laporan dibuat mangsa, dia mendakwa suspek berusia 30 tahun mendekatinya ketika dia membantu membaiki kereta seorang rakan yang rosak di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Katanya, mangsa mendakwa suspek yang menunggang motosikal seorang diri memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dan meminta kad pengenalan lelaki tersebut serta rakannya untuk diperiksa.

“Namun selepas kononnya membuat ‘semakan’, suspek secara tiba-tiba merampas telefon bimbit mangsa. Sebelum beredar, dia sempat berpesan kepada mangsa agar hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang sekiranya mahu tuntut semula telefon itu,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, suspek kemudian bertindak menghubungi isteri mangsa dan memperdayakannya dengan mendakwa suami wanita itu ditahan polis.

“Suspek mendakwa dia boleh melepaskan mangsa namun mahu terlebih dulu perlu berbincang sebelum berbuat demikian. Untuk itu, suspek mengajak wanita berkenaan berbincang di sebuah kawasan perumahan.

“Wanita itu yang diselubungi perasaan bimbang kemudiannya bersetuju bertemu suspek. Sebaik tiba ke lokasi ditetapkan, suspek terus masuk ke dalam kereta wanita tersebut dan memujuknya untuk melakukan hubungan seks,” katanya.

Tambahnya, isteri mangsa menolak permintaan suspek menyebabkannya lelaki itu berang lalu mencabul wanita tersebut.

“Selepas kejadian itu, wanita tersebut pulang ke rumah dan bertemu suaminya yang sudah kembali ke kediaman mereka. Ketika itulah pasangan suami isteri terbabit sedar ditipu dan mengambil keputusan melaporkan perkara tersebut kepada polis,” katanya.

Susulan itu, polis berjaya menahan suspek di depan sebuah premis di Taman Sri Pendang, kira-kira pukul 3.30 petang hari sama dan merampas sebuah beg serta kotak hitam berisi syabu, kondom dan telefon bimbit.

Suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk disiasat mengikut Seksyen 354, Seksyen 170 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

MENGEJUTKAN!! Penempatan haram dilengkapi sekolah diserbu, 67 ditahan

Bernama
Warga Indonesia yang ditahan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam serbuan di sebuah penempatan haram di Nilai Springs awal pagi tadi. (Gambar JIM)
SEREMBAN: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 67 pendatang tanpa izin dari Indonesia di sebuah penempatan haram di Nilai Springs, dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, 31 lelaki dan 36 perempuan, termasuk 36 kanak-kanak serta bayi berusia dua bulan, ditahan dalam operasi 1.30 pagi itu.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati penempatan itu memiliki kemudahan sekolah menggunakan silibus pendidikan negara jiran, selain turut dilengkapi beberapa set generator bagi membekalkan elektrik.

“Anggota yang terlibat dalam operasi itu perlu berjalan kaki meredah kawasan hutan sejauh 1.2km untuk sampai ke kawasan penempatan tidak rata dan berpaya, serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar itu.

“Semasa serbuan, ada warga asing cuba melarikan diri serta bertindak agresif bagi mengelak ditangkap,” katanya dalam kenyataan.

Tan berkata, risikan awal mendapati warga asing itu menduduki penempatan berkenaan lebih dua tahun lepas, dan semasa serbuan, pihaknya turut menemui beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang.

“Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng bagi siasatan lanjut. Jabatan Imigresen sedang mengenal pasti sama ada penempatan di Nilai Springs itu dibina atas tanah persendirian atau kerajaan negeri yang diteroka secara haram,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan adalah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Lantikan Nurul Izzah dari lihat segi matlamat, bukan jadi polemik - Mufti Pulau Pinang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri harus dilihat menerusi matlamat yang ingin dicapai, bukan untuk dipolemikkan, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, keputusan Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah perlu dinilai berdasarkan matlamatnya, bukan kepada caranya.

“Dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan, sebahagian kita terkeliru antara matlamat dan cara untuk mencapai matlamat,” katanya dalam kenyataan.

“Banyak masa dihabiskan untuk berpolemik tentang cara untuk mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali.”

Beliau berkata, tidak salah bagi seseorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik ahli keluarga sendiri jika mereka berkelayakan dan berintegriti.

“Bagi saya, tidak salah seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihatnya dalam hal-hal kewangan, ekonomi dan sebagainya.

“Asalkan individu yang dilantik itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang dikehendaki di samping ada integriti diri, malah ini boleh memudahkan lagi urusan yang mahu dilaksanakan,” katanya.

Selain menyifatkan kesanggupan Nurul Izzah untuk berkhidmat tanpa mengharapkan ganjaran sebagai tindakan mulia dan terpuji, Wan Salim berkata, kepakaran dimilikinya dilihat dapat memudahkan urusan negara.

“Untuk mencapai matlamat ini, individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali urusan kerajaan, terutama dalam hal-hal yang membabitkan kewangan mestilah memiliki integriti diri.

“Ini supaya tidak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan dana awam yang merugikan negara,” katanya.

Pada Ahad, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri dan mula berkhidmat sejak 3 Jan.

Pelantikan itu menimbulkan pertikaian apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa Anwar tidak memegang janji dan mengkhianati semangat perjuangan reformasi dilaungkannya sejak 20 tahun lalu.

Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, seorang perdana menteri melantik anak sendiri sebagai penasihat.

Akaun Bersatu dibeku kerana ‘derma’ RM300 juta

Hariz Mohd

Sehari selepas mendedahkan akaunnya kepada umum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu akaun berkenaan sudah dibekukan agensi terbabit.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pembekuan tersebut.

Katanya akaun parti berkenaan dibekukan pihak berkuasa sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan yang dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Bagaimanapun, Azam enggan mengulas lebih lanjut.

Pada awalnya pembekuan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana dana rangsangan kerajaan - berjumlah RM92.5 bilion - semasa pandemik Covid-19 dan didakwa diselewengkan.

Bagaimanapun sumber SPRM yang enggan dikenali berkata, pembekuan dibuat bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Sumber itu berkata, jumlah sumbangan itu disyaki berjumlah lebih RM300 juta.

Tambah sumber berkenaan, baki dalam dua akaun bank Bersatu ketika ini adalah sekitar RM40 juta.

Pada awal Jan lalu SPRM menahan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta sebagai suspek dalam siasatannya.

Ketua pegawai eksekutif itu disyaki menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022.

Individu terbabit kemudian didapati seorang ketua bahagian Bersatu. Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu kemudian segera menjarakkan pemimpin tertinggi parti itu, Muhyiddin Yassin, daripada sebarang kesalahan atau penyelewengan.

Ada juga dakwaan bahawa sebanyak RM4.5 bilion daripada jumlah tersebut berakhir dalam dana Perikatan Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Dakwaan tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Muhyiddin.

Semalam Bersatu mendedahkan akaun terauditnya untuk mengukuhkan lagi penafian mereka daripada sebarang salah laku.

SPRM beku akaun Bersatu, kata sumber parti

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun-akaun Bersatu, menurut sumber parti.

Sumber yang enggan namanya didedahkan itu berkata, akaun-akaun terbabit dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Difahamkan bahawa pembekuan akaun Bersatu itu berkaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.

FMT sedang cuba menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen.

Projek tiang bendera RM30 juta, GPS, DAP bertikam lidah

Malaysiakini

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GPS bertikam lidah secara terbuka berhubung rancangan kearjaan negeri untuk mendirikan tiang bendera tertinggi di Malaysia.

Walaupun GPS dan DAP adalah sekutu di peringkat persekutuan, GPS menguasai kerajaan negeri manakala DAP di pihak pembangkang.

Projek tiang bendera setinggi 99 meter itu disifatkan kerajaan negeri sebagai sebahagian usaha berterusan untuk meningkatkan keindahan Tebingan Kuching.

Namun, memandangkan ia memakan belanja RM30 juta, DAP dan sejumlah pihak lain menyifatkan wang tersebut lebih baik dimanfaatkan untuk kemudahan awam.

Semalam, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah menuduh bantahan pembangkang bermotifkan politik.

Katanya, projek itu yang bersempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Sarawak, akan dibiayai sebuah syarikat swasta sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Abdul Karim berkata projek sebelum ini di Tebingan Kuching seperti Jambatan Darul Hana dan pancuran air berirama di situ juga menerima bantahan, namun kini tidak lagi.

"Kita mesti tahu menghargai, bukan semua duit (hasil negeri) digunakan untuk membuat sekolah, hospital dan jalan raya sahaja, kalau (kita) ada hasil lebih tidak salah digunakan bagi membangunkan prasarana lain bagi mencantikkan bandar raya Kuching.

"Sudah tentu, saya juga tidak akan bersetuju (infrastruktur lain dibangunkan) kalau Sarawak negeri miskin, kalau rakyat Sarawak masih dalam keadaan susah... memang keutamaan patut diberikan kepada isu ini," katanya seperti dipetik Utusan Borneo.

Menurut Borneo Post, tiang bendera itu akan didirikan berdekatan bangunan DUN Sarawak dengan ketinggian lebih empat meter berbanding tiang bendera tertinggi negara pada masa ini, yang terletak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan semalam, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata soalan yang wajar berkaitan perkara itu tidak boleh diketepikan sebagai "agenda pembangkang".

"Persoalan yang perlu ditanya adalah mengapa mereka rasa ini (tiang bendera) perlu didirikan, berbanding banyak lagi keperluan dan masalah lain di seluruh Sarawak, terutama yang memberi kesan langsung kepada penduduk.

"Bagi saya, ini jelas satu keutamaan yang salah dan 'obsesi imej berbanding pengisian'," katanya.

Kata Yii lagi, kerajaan Sarawak perlu menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban berhubung kos projek itu.

Dia membandingkannya dengan tiang bendera tertinggi di dunia yang terletak di Jeddah, Arab Saudi, yang berketinggian 171 meter dengan kos kira-kira RM21 juta.

"Amat penting untuk kerajaan bersikap telus dalam soal ini, termasuk menjustifikasikan kos projek, yang dikatakan berjumlah RM30 juta dengan ketinggian 99 meteri.

"Hakikatnya, kita tidak memerlukan tiang bendera untuk mengingatkan kita berkenaan pentingnya hak kita, untuk kita rasa bangga sebagai orang Sarawak," katanya lagi.

Seorang rentung, unit pangsapuri terbakar

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan kebakaran di pangsapuri Flora Damansara hari ini.
 
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan kebakaran di pangsapuri Flora Damansara hari ini.
Petaling Jaya: Seorang penghuni sebuah unit pangsapuri di Flora Damansara di sini, dilaporkan rentung selepas kediaman itu terbakar, malam tadi.

Pusat gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.13 malam.

Difahamkan, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Sungai Buloh, Kota Anggerik serta Puchong dikejarkan ke lokasi.

Jurucakap bomba berkata, kebakaran membabitkan sebuah unit di tingkat 21 Blok D pangsapuri berkenaan.

"Anggota bomba segera menjalankan operasi memadamkan kebakaran dan berjaya dikawal pada 10.20 malam.

"Rumah berkenaan musnah 90 peratus dan seorang mangsa ditemui rentung," katanya.

Beliau berkata, kerja mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan.

Kelantan: Tiga pelajar direman kerana pukul rakan sekelas

N Faizal Ghazali

Tiga pelajar sekolah menengah direman selama empat hari bermula hari ini selepas terlibat dalam pergaduhan dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian (3) Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Derah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu membabitkan seorang mangsa berusia 14 tahun mengadu dipukul oleh tiga rakan sekelas.

"Siasatan awal dapati punca pergaduhan berlaku kerana saling mengejek semasa berada di dalam kelas selepas laporan dikemukan ibu mangsa.

"Mangsa mengalami sakit pada bahagian badan telah mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Susulan itu Mohd Rosdi berkata, pihaknya membuat tangkap ketiga-tiga suspek berusia antara 14 hingga 15 tahun untuk siasatan lanjut.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Edar dadah di Penjara Sungai Buloh, warden ke tali gantung

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang warden dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana mengedar dadah di Penjara Sungai Buloh.

Mohd Elmy Arif Hamid, 40, menunduk selepas hukuman itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Nurulhuda Nur’aini Md Nor.

Menurut laporan Sinar Harian, Nurulhuda dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Elmy dihukum gantung bagi kesalahan mengedar 325.1g kanabis dan 84.97g methamphetamine di Penjara Sungai Buloh pada 11 malam 18 Jun 2019, mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 39A (1) ADB, lelaki itu dihukum penjara dua tahun dan tiga sebatan kerana memiliki 4.25g heroin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan hingga setahun bagi tiga lagi pertuduhan, iaitu memiliki 1g Monoacetylmorphines dan Etizolam (38.67g) serta Clozapine (50.8g) dalam kawalannya.

Tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 12(3) ADB, Seksyen 30 dan 9 Akta Racun 1952, diperintah menjalani hukuman penjara serentak mulai tarikh tangkapan pada 18 Jun 2019.

Pukul bapa guna kayu, lelaki dipenjara 6 tahun

 FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara enam tahun serta satu sebatan selepas mengaku bersalah memukul bapa kandungnya minggu lalu.

Harian Metro melaporkan Yaumiheris Nordin, 43, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Mohd Sabri Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan kayu, dengan memukul Nordin Dengker, 70, di muka serta badan di Kampung Paya Keladi, Tanjung Kling, Melaka, pada 7 malam 26 Jan lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324/326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Lelaki itu turut dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan parang yang menyaksikan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman penjara empat bulan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak mulai tarikh tertuduh ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, warga emas itu ke pondok dekat rumahnya selepas dimaklumkan isteri bahawa tertuduh mengambil parang berukuran 15 inci (38.1cm) yang disimpan dalam bilik mangsa.

Mangsa cuba memujuk tertuduh menyerahkan parang itu sebelum tertuduh akur, tetapi dia tiba-tiba mengamuk dan mengekori mangsa, sebelum memukulnya dengan kayu menyebabkan mangsa dirawat di Hospital Melaka.

PMX: Lantikan Nurul Izzah bukan nepotisme

'Ainin Wan Salleh

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanannya dengan mengatakan ia tidak melibatkan nepotisme.

“Nepotisme adalah di mana (ahli keluarga) diberi kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, mendapatkan kontrak dan mendapat bayaran yang besar.

“Ini tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Sukan Negara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Anwar: Orang beri kontrak pada anak, menantu kini cakap tentang ketelusan?

Ng Xiang Yi

Anwar Ibrahim berkata ketika dia terbuka mendengar kritikan pelbagai pihak terhadap pelantikan anak sulungnya sebagai penasihat, dia berasa tidak wajar pihak yang pernah "memberikan kontrak kepada anak menantu" turut menyatakan bangkangan mereka.

Kata perdana menteri, pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kewangan dan ekonomi tidak akan melibatkan salah guna kuasa, atau memperkaya mana-mana pegawai serta pemimpin kerajaan.

Menurut Anwar bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu hanya dilantik untuk membantu kerajaan termasuk memastikan segala proses pemberian kontrak dan tender dilakukan secara teratur.

Jika yang mengkritik pelantikan itu ikhlas, katanya, dia tidak ada masalah untuk mendengar kerana mereka mahu memastikan tiada amalan tidak sihat berlaku dalam kerajaan.

"Tapi orang yang kritik ini termasuk orang yang memberi kontrak kepada anak dia, tak apa pulak?

"Ada (pelantikan) yang ada gaji tapi tak ada kerja banyak seperti penasihat dan duta-duta (khas), macam-macam.... itu kita harus bezakan," katanya hari ini.

Menurut ahli parlimen Tambun itu, dia memberi jaminan pentadbiran sekarang akan tidak bertolak ansur dengan sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa.

"Tidak wajar bagi orang yang memberikan ratusan juta kontrak kepada anak dan menantu - ada yang mencecah billion ringgit semasa jadi PM (perdana menteri) dan sekarang cuba nak cakap tentang ketelusan," katanya.

Padah bina bangsal, parkir kenderaan di tengah jalan

NORAWAZNI YUSOF

Pegawai MBK membuat pemeriksaan mendapati sebuah van di parkir di dalam sebuah bangsal di tengah jalan di taman perumahan Seri Mahkota di sini. - Foto Ihsan MBK.
Pegawai MBK membuat pemeriksaan mendapati sebuah van di parkir di dalam sebuah bangsal di tengah jalan di taman perumahan Seri Mahkota di sini. - Foto Ihsan MBK.
KUANTAN - Tindakan seorang individu yang membina bangsal di tengah jalan di taman perumahan Seri Mahkota untuk dijadikan tempat letak kenderaan mengundang padah.

Perbuatan itu disedari Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu dan memuat naik beberapa foto yang memaparkan sebuah van di parkir di tengah jalan terbabit menerusi laman Facebook rasminya.

MBK menerusi hantaran itu menganggap perbuatan itu sebagai tindakan luar biasa.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal menjelaskan notis arahan pengalihan telah dikeluarkan selama tujuh hari ke atas pemilik kenderaan terbabit.

"Jika pihak pemilik kenderaan atau pihak berkaitan gagal mematuhi notis tersebut, tindakan sitaan bakal diambil.

"Kadar sitaan kita kenakan sebanyak RM100 sehari sehingga pemilik atau pihak berkaitan menebus kenderaan ini," kata ringkas ketika dihubungi pada Isnin.

Hantaran dan beberapa gambar yang dimuat naik oleh MBK mendapat lebih 500 komen dan 188 perkongsian daripada warga maya itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan berkenaan dan ada yang menganggapnya se

Parti Hijau pelawa KJ, saran dia bertanding di Kota Damansara

Malaysiakini 

Parti Hijau, sebuah badan politik baharu yang memberi tumpuan kepada isu alam sekitar, menjadi yang terbaru cuba memikat pemimpin Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin.

Dalam satu kenyataan, setiausahanya Abdul Razak Ismail mempelawa bekas ketua Pemuda Umno itu supaya menyertai Parti Hijau, dengan berkata sudah tiba masanya untuk Khairy meluaskan dimensi politiknya dengan memperjuangkan alam sekitar dan menyelamatkan hutan di negara ini.

Abdul Razak turut mengalu-alukan hasrat Khairy untuk bertanding pada pilihan raya negeri Selangor akan datang dan mencadangkannya untuk bertanding di kerusi DUN Kota Damansara.

Dia berkata Khairy mempunyai peluang yang baik untuk menang di Kota Damansara, yang adalah kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Sungai Buloh yang ditandingi oleh Khairy pada pilihan raya umum ke-15 tahun lalu tetapi tewas kepada R Ramanan dari PKR.

“Sejak 10-15 tahun kebelakangan ini rakyat sudah mula membuka mata keatas isu-isu alam sekitar lantaran berlakunya ‘Himpunan Hijau’ membantah pembukaan kilang Lynas di Gebeng, Pahang dan beberapa siri ‘blockade’ rantaian NGO dan masyarakat Orang Asli dalam isu bantahan pembalakan di sesebuah lokaliti hutan setempat.

“Parti Hijau mengalu-alu Khairy bertanding di Selangor dan kami mencadangkan beliau bertanding di DUN Kota Damansara kerana sebelum ini dia pernah turun berkempen semasa PRU 15 di Parlimen Sg Buloh dan masyarakat setempat telah membangkitkan isu sebahagian hutan simpan / rekreasi Kota Damansara telah cuba ‘dibangunkan’ oleh sebuah GLC kerajaan negeri untuk projek pembangunan perumahan dan kondomium.

“Bagus juga idea KJ ingin bertanding di Selangor yang sarat dengan isi ‘pembantaian dan pengondolan’ hutan simpan seperti Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan, Hutan simpan Bukit Cherakah dan hutan simpan Bukit Lagong dan beberapa lagi hutan simpan kekal dalam ‘keadaan bahaya’ di Selangor untuk dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya lagi.

Menurut Abdul Razak, rekod Jabatan Perhutanan Selangor menunjukkan terdapat 76 lokasi lain di negeri itu yang mempunyai hutan simpan dengan keluasan tanah seluas 250,000 hektar.

Ini, katanya, memerlukan satu badan bertindak sebagai ombudsman untuk memantau aktiviti kerajaan negeri apabila melibatkan hutan simpan, dan Parti Hijau bersedia memainkan peranan itu.

Pencinta alam sekitar itu juga mendakwa ramai wakil rakyat Pakatan Harapan di sidang DUN sekarang umpama ‘tikus’ untuk bangkit isu-isu pengondolan hutan-hutan simpan di negeri Selangor.

“Parti Hijau berpandangan Khairy akan diterima baik oleh pengundi di Dun Kota Damansara kerana PRU 15 yang lepas, beliau tewas dengan majoriti tipis 2,693 undi dan kami berpandangan dia mempunyai ramai penyokong yang akan menyokong beliau dan ‘boleh menang’ sekiranya beliau fokus dan aktif dalam isu penjagaan alam sekitar ini,” kata Abdul Razak.

Tambahnya, Khairy masih boleh memperjuangkan isu-isu lain, seperti ekonomi, kebajikan golongan B40, dan miskin bandar di negeri ini.

Jumaat lalu, majlis tertinggi Umno memutuskan untuk memecat Khairy kerana didakwa mensabotaj Umno semasa PRU15.

Sejak dipecat, beberapa parti politik menyatakan kesediaan untuk menerima bekas menteri kesihatan itu.

Penganggur curi bas sekolah nak balik kampung

Nuraliawati Sabri

am@hmetro.com.my

KEADAAN bas sekolah yang dicuri suspek (gambar kecil) selepas terbabas berhampiran Taman Malinja. FOTO Nuraliawati Sabri
KEADAAN bas sekolah yang dicuri suspek (gambar kecil) selepas terbabas berhampiran Taman Malinja. FOTO Nuraliawati Sabri
Melaka: Tindakan seorang penganggur yang melarikan sebuah bas sekolah untuk pulang ke kampung mengundang padah apabila dia ditahan polis, petang semalam.

Dia ditahan sekitar 5.45 petang di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) selepas bas yang dipandunya itu terbabas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sehari sebelum kejadian bas sekolah terbabit diletakkan di sebuah stesen minyak di Kampung Musai oleh pemiliknya berusia 68 tahun.

Beliau berkata, bagaimanapun sekitar 5.30 petang semalam, warga emas berkenaan melihat basnya bergerak keluar tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka adiknya yang memandu.

"Tidak lama selepas itu, dia dihubungi oleh anaknya yang memaklumkan ada orang mencuri bas miliknya itu dan melarikan diri ke arah Lebuh AMJ Melaka Sentral.

"Dia kemudian bergegas keluar dan mengikut dari arah belakang sebelum bas terbabit tiba-tiba terbabas ke bahu jalan berhampiran Taman Malinja sebelum menahan lelaki itu dengan bantuan orang awam," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Christopher berkata, siasatan awal mendapati, suspek mendakwa dia hendak balik ke kampung di Kapar, Selangor dengan memandu bas sekolah itu.

"Semakan lanjut mendapati suspek sebelum ini turut mempunyai satu rekod lampau membabitkan kes cubaan melarikan kenderaan pada 2013," katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

KJ pertimbang gandingan 'Khairy-Rafizi-Nurul Izzah'

Ahmad Suhael Adnan

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin mengaku sudah dihubungi Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) berhubung kemungkinan untuk beliau menyertai parti berkenaan selepas dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pemuda UMNO itu enggan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya mahu mengambil masa selama beberapa minggu atau hingga dua tiga bulan sebelum menentukan sama ada memasuki parti sedia ada, menubuhkan parti baharu atau berehat daripada politik untuk seketika.

Antara pertimbangan bekas Ahli Parlimen Rembau itu ialah meneliti aspirasi dan hala tuju beberapa parti yang menjadi musuh politiknya selama ini, selain meneliti kemungkinan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Buat masa ini, pelbagai pihak telah menghubungi saya, daripada kedua-dua belah pihak. Saya mengambil sikap berjumpa dan mendengar semua pihak.

"Saya pun 23 tahun dalam UMNO. UMNO lah yang saya kenal, saya tidak kenal parti lain. Jadi, saya pun nak memahami dengan lebih mendalam apa aspirasi parti masing-masing.

"Setelah saya mendengar semua pandangan, barulah membuat keputusan sama ada saya masuk parti sedia ada atau membuat parti baharu atau saya berehat untuk seketika. Saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.

"Mengenai PRN, saya rasa ia pun akan mengambil masa antara dua hingga empat bulan lagi. Kalau itu garis masanya, tidak perlu saya membuat keputusan hari ini atau minggu depan," katanya dalam satu temu bual di pejabat beliau, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mempertimbangkan kemungkinan untuk membuat kemunculan sebagai calon Bebas atau mewakili mana-mana parti dalam PRN yang bakal diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Ditanya sama ada turut mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan dua rakan baiknya, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar dalam PKR pula, Khairy mengaku ada memikirkan perkara itu, namun ia bukan satu-satunya pilihan beliau ketika ini.

Beliau berkata, faktor persahabatan itu antara yang turut dipertimbangkan dalam memilih langkah seterusnya, namun Khairy memaklumkan turut memiliki sahabat baik dalam beberapa parti lain.

"Ya, saya tidak menolak pilihan ini. Namun, itu bukan satu-satunya pilihan yang ada, ada pilihan lain juga. Yang penting, apabila kita berjuang dalam politik, ia lebih daripada talian persahabatan.

"Talian persahabatan itu mungkin akan menjadi perkiraan saya tetapi perkiraan lebih besar ialah soal hala tuju parti berkenaan, dan sama ada saya percaya hala tuju itu sama dengan hala tuju saya sebagai orang politik," katanya yang juga tidak menolak kemungkinan untuk berehat seketika daripada politik kerana turut mendapat pelbagai tawaran daripada dunia sukan, korporat dan akademik.

Ditanya sama ada beliau pasti akan membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak, Khairy berkata: "Too soon to say (masih terlalu awal untuk diperkatakan)."

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid, memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, atas dakwaan 'pelanggaran disiplin parti'.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff, masing-masing selama enam tahun.

Antara alasan pemecatan Khairy ialah ucapan beliau dalam kempen PRU15, yang menyatakan 'parti itu sudah sesat dan mahu membersihkannya', yang didakwa menjadi pencetus meragut kestabilan politik UMNO.

Dalam temu bual bersama beberapa media selepas dipecat, Khairy mendakwa ia tidak mengikut prosedur apabila beliau terus dikenakan tindakan itu tanpa sebarang peluang untuk memberi penjelasan dan mempertahankan diri.

PH sukar pertahan Selangor, ahli parti beri amaran

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berdepan tugas berliku mengekalkan Selangor pada PRN, terutama apabila pengundi Melayu cenderung terhadap Perikatan Nasional (PN), kata seorang bekas wakil rakyat.

Ahli politik yang enggan dinamakan itu berkata, PKR dan Amanah khususnya akan bergelut mempertahankan kerusi mereka dalam DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi.

“Jumlah pemilih Melayu mengundi PH berkurangan pada PRU November (lepas). Pengundi Melayu dilihat cenderung ke arah PN pada masa ini,” kata pemimpin PH itu kepada FMT.

Pada PRU15, PN menang 74 kerusi, 72 daripadanya membabitkan kawasan dengan ramai pengundi Melayu. PAS sahaja menguasai 49 kerusi.

Lebih merumitkan keadaan bagi PH, kata pemimpin berkenaan, berlaku peralihan undi masyarakat berbangsa India kepada PN, yang terserlah pada pilihan raya Padang Serai, Kedah, pada 7 Dis tahun lepas.

“Jika anda lihat pilihan raya Padang Serai, undi masyarakat India beralih daripada PH kepada PN,” katanya.

“Antara faktornya adalah masyarakat India tidak senang dengan PH, terutama selepas pengumuman pembentukan Jemaah Menteri dengan hanya seorang menteri berbangsa India.”

Pada pilihan raya Padang Serai, calon PN, Azman Azman Nasrudin merampas kerusi itu daripada PH dengan majoriti 16,260 undi. PH menyandang kerusi itu, yang mempunyai 20% pengundi berbangsa India, selama tiga penggal.

Pilihan raya di Padang Serai ditangguhkan susulan kematian bekas penyandangnya daripada PKR, M Karupaiya pada 16 Nov, tiga hari sebelum pengundian berlangsung. Mendiang sepatutnya bertanding untuk mempertahankan kerusi itu.

Mengulas berhubung PRN Selangor, bekas ADUN itu berkata, PH hanya boleh mengharapkan kerusi dikuasai DAP, yang banyak antaranya mempunyai majoriti pengundi Cina, sebagai selamat.

“Pengundi Cina menjauhi PN kerana pengaruh PAS, jadi mereka setia bersama PH. Bagaimanapun, tidak semestinya keadaan sama berlaku membabitkan pengundi Melayu dan India,” katanya sambil menambah, ini membahayakan PKR dan Amanah.

Selain itu, faktor Azmin Ali berupaya memberi cabaran kepada PH memandangkan bekas menteri besar Selangor itu masih mempunyai pengaruh yang kuat di negeri berkenaan.

“Azmin mungkin kalah di Parlimen Gombak, tetapi PRN adalah berbeza. Pada November, rakyat mahu melihat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
“Kini, beliau sudah menjadi perdana menteri, jadi pengundi Selangor mungkin mempunyai keutamaan lain,” katanya.

Pemimpin PH itu berkata, Azmin Ali juga akan menggunakan rekod prestasinya ketika mentadbir Selangor ketika masih bersama PH.

Bagaimanapun, pandangan pemimpin PH terbabit dicabar ADUN Taman Templer Sany Hamzan, yang berkata bahawa bersama Barisan Nasional (BN), PH mampu mempertahankan Selangor.

“Menteri besar kita (Amirudin Shari) sudah melakukan banyak untuk rakyat Selangor, jadi saya yakin pengundi akan menggunakan kebijaksanaan mereka ketika mengundi,” kata ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah itu.

“Kami ambil maklum mengenai ‘gelombang hijau’ (peningkatan sokongan kepada PAS), namun kami juga sudah kenal pasti kesilapan pada PRU15 dan akan menangani perkara itu pada PRN.”

Sany berkata, PH perlu turun ke lapangan dan menangkis tuduhan PAS bahawa orang Melayu dan Islam akan dipinggirkan jika Anwar berkuasa.

Beliau berkata, tempoh Anwar memegang jawatan setakat ini menunjukkan dakwaan itu adalah palsu. Oleh itu, tambahnya, PAS mungkin tidak dapat menembusi dengan kuat pada PRN Selangor.

KJ: 'Sekiranya saya Presiden UMNO…'

Ahmad Suhael Adnan

ahmad.suhael@bh.com.my
 
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu memutuskan untuk memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, atas dakwaan melanggar disiplin parti.

Ucapan bekas Ketua Pemuda UMNO itu ketika berkempen sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dikatakan menjadi asas kepada pemecatan berkenaan.

Dalam kempen pilihan raya itu, Khairy antara lain menyatakan 'UMNO sudah sesat dan mahu membersihkannya', yang didakwa menjadi pencetus meragut kestabilan politik parti berkenaan.

Bagaimanapun, Khairy tidak melihat kritikan keras secara terbuka terhadap UMNO dan pucuk pimpinan parti itu sebagai pelanggaran disiplin yang besar sehingga boleh dipecat.

Ditanya kemungkinan beliau akan turut mengambil tindakan sama memecat jika menjadi Presiden UMNO dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau mana-mana pemimpin parti itu melemparkan kritikan keras terhadapnya, Khairy menegaskan akan memilih 'laluan' berbeza.

Beliau berkata, jika menjadi Presiden UMNO dan berada di tempat Ahmad Zahid, tindakan utamanya ialah memastikan jawatan Presiden serta Timbalan Presiden terbuka untuk dipertandingkan, dan perwakilan atau mana-mana pimpinan boleh mengkritik kepemimpinannya secara terbuka.

"Saya tidak akan menutup pemilihan parti untuk jawatan nombor satu dan dua. Saya akan buka. Saya akan cakap, ini adalah medan terbaik untuk kita bahas dan mendapat mandat daripada perwakilan.

"Saya tidak akan menutup ruang demokrasi. Saya buka kepada sesiapa yang hendak melawan saya atau mahu bahas, hendak cakap kepimpinan saya itu tidak betul... dan kita serah kepada perwakilan.

"Itu cara yang lebih baik untuk kita menyelesaikan apa saja perselisihan pendapat dalam parti. Ini tidak, (dakwa) terus dipecat tanpa mengikut proses perlembagaan sedia ada," katanya dalam satu temu bual di pejabat beliau, di sini, semalam.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid, memutuskan untuk memecat Khairy dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, atas dakwaan 'pelanggaran disiplin parti'.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff, masing-masing selama enam tahun.

Antara alasan pemecatan Khairy ialah ucapan beliau dalam kempen PRU15, yang menyatakan 'parti itu sudah sesat dan mahu membersihkannya', yang didakwa menjadi pencetus meragut kestabilan politik UMNO.

Dalam temu bual bersama beberapa media selepas dipecat, Khairy mendakwa ia tidak mengikut prosedur apabila beliau terus dikenakan tindakan itu tanpa sebarang peluang untuk memberi penjelasan dan mempertahankan diri.

Seterusnya ditanya mengenai keputusan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang bersetuju dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pula, Khairy mendakwa keputusan berkenaan tidak mewakili suara majoriti akar umbi UMNO.

"Yang memilih Presiden, yang memilih MKT sekarang adalah perwakilan di bahagian. Sekarang, apa yang kita lihat ialah perwakilan pada peringkat PAU telah menutup hak perwakilan di bahagian untuk menentukan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya.

Khairy turut mengulangi dakwaan bahawa keputusan undian suara terhadap usul tambahan menyekat pertandingan dua jawatan tertinggi parti itu sudah dirancang pihak tertentu.

"Saya mendapat rakaman video menunjukkan individu yang saya tidak pasti mereka ahli UMNO atau tidak, diarah masuk ke Dewan Merdeka untuk mereka sorak dan sambut usul itu dengan jeritan serta tepukan, yang menyebabkan orang lain mengikut saja.

"Kalau kita tengok hari pertama, apabila jurucakap Negeri Sembilan mencadangkan penambahan usul itu (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan), beliau diboo oleh perwakilan, tetapi biasalah... Dewan Merdeka adalah dewan yang dikawal oleh urus setia atau ibu pejabat UMNO.

"Saya sudah lama menjadi Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, saya tahu macam mana nak susun tempat duduk, siapa nak letak di sini, siapa nak letak di sana, sorakan itu datang dari mana dan sebagainya. Dan akhirnya dalam keadaan undi suara, bukan undi rahsia, perkara itu memang dapat dibawa (menyebelahi) ke satu pihak," dakwanya.

Muhyiddin, Dr M diheret ke mahkamah isu pembatalan projek HSR

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin diheret ke mahkamah berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura.

Warganegara Malaysia Mohd Hatta Sanuri memfailkan writ saman menyasarkan dua bekas perdana menteri itu dan tiga yang lain, bagi memulihkan projek itu serta menuntut mereka membayar pampasan RM1 juta kepada setiap warganegara Malaysia.

Menurut salinan kertas kausa yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 30 Dis tahun lepas, plaintif menamakan bukan sahaja Mahathir dan Muhyiddin sebagai defendan pertama dan kedua, tetapi turut menyenaraikan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap ekonomi Mustapha Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima.

Hatta menjadi tumpuan sebelum ini berhubung tindakan undang-undang terhadap kerajaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan kedaulatan Singapura ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh). TIndakan undang-undang itu gagal. Bagaimanapun, lelaki berusia 46 tahun itu membuat rayuan berhubung perkara ini di Mahkamah Rayuan.

Menurut kenyataan tuntutan tindakan terbaru yang dilihat Malaysiakini, Hatta mendakwa Mahathir cuai dan melakukan kesalahan penyelewengan dalam jawatan awam apabila perdana menteri ketika itu membuat keputusan untuk menangguhkan projek HSR pada 5 Sept 2018, yang didakwa mengakibatkan Malaysia membayar pampasan RM46 juta kepada Singapura pada 31 Jan, 2019.

Plaintif mendakwa bahawa Muhyiddin, juga melakukan kecuaian dan penyelewengan dalam jawatan awam, sebagai perdana menteri ketika itu, dengan menamatkan projek HSR pada 31 Dis 2020, dan ini menurutnya menyebabkan Malaysia membayar lebih RM320 juta sebagai pampasan kepada Singapura pada 2021 untuk pembatalan perjanjian dua hala antara kedua-dua negara.

Sebelum ini pada 1 Jan 2021, media melaporkan kenyataan media bersama oleh perdana menteri ketika itu Muhyiddin dan Perdana Menteri Singapura Lee Shien Loong berhubung pembatalan projek HSR.

Hatta mendakwa Mustapha juga cuai dan melakukan penyelewengan dalam jawatan awam berhubung penangguhan projek itu dan Wee juga didakwa sama cuai dan melakukan penyelewengan dalam jawatan awam berhubung pengurusan projek itu.

Plaintif mendakwa bahawa antara kerugian yang dialami oleh semua rakyat Malaysia berikutan penamatan projek HSR, adalah hilangnya keyakinan pelabur asing terhadap negara; kehilangan 70,000 pekerjaan berpotensi bergaji tinggi daripada projek itu; kehilangan peluang untuk memperoleh keuntungan RM70 bilion daripada pembinaan, operasi HSR serta lebih RM366 juta kerugian akibat Malaysia membayar pampasan kepada Singapura.

“Berdasarkan fakta di atas, defendan perlu membayar ganti rugi teruk dan teladan kepada setiap rakyat Malaysia, termasuk plaintif, untuk tindakan yang tidak mengikut perlembagaan, kejam dan untuk manfaat tidak jujur mereka sendiri yang membelakangkan kepentingan rakyat Malaysia, ” dakwa Hatta.

Melalui tindakan undang-undang sekarang, plaintif memohon beberapa relif, antaranya pengisytiharan untuk menarik balik pembatalan projek HSR.

Hatta memohon pengisytiharan untuk memaksa defendan membayar RM1 juta sebagai ganti rugi dan pampasan kepada setiap warganegara Malaysia.

Plaintif juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa lima defendan memberi penjelasan bertulis berhubung sebab penangguhan dan pembatalan projek.

Menurut salinan memorandum kehadiran yang difailkan di mahkamah pada 20 Jan, Jabatan Peguam Negara telah hadir bagi pihak defendan terhadap tindakan undang-undang itu.

Hatta diwakili peguam dari firma guaman Mohaji, Hazury & Ismail.

Menurut senarai kausa dalam talian, tuntutan mahkamah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 2 Feb di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Pada 22 Ogos tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob menyatakan minat untuk mempercepatkan pemulihan projek HSR dengan Singapura secepat mungkin.

Ini berlaku selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan sejawatannya dari Singapura Lee pada 29 Nov 2021, yang berkata dia terbuka kepada idea cadangan projek baru.

Kedua-dua negara pertama kali menandatangani perjanjian dua hala mengenai HSR pada 13 Dis 2016, semasa pentadbiran Najib Razak.

Projek bernilai RM110 bilion yang melibatkan pembangunan sepanjang 350km itu bertujuan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.

Pada 13 Dis tahun lepas, Bernama melaporkan kerajaan negeri Johor menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan berhubung kemungkinan pemulihan projek itu.

Hati Keras!! Bina Bangsal Tengah Jalan Untuk Parkir Van

KIM SYAZIE

Salah seorang penduduk rumah teres di Seri Mahkota, Pahang menerima notis amaran dari Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) susulan tindakan membina bangsal berbumbung di tengah-tengah jalan.

Bangsal atau garaj kecil yang boleh memuatkan sebuah van itu dikatakan dibina di tengah jalan berhadapan dengan perumahan penduduk.

Menerusi perkongsian MBK di Facebook rasmi miliknya, perbuatan pemilik bangsal itu disedari MBK ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.

MBK lantas memuat naik beberapa keping gambar dengan antaranya memperlihatkan sebuah van di parkir di dalam bangsal berkenaan.

“Bangsal di tengah jalan. Pelik tapi benar.

“Lagi kes luar biasa. Bangsal diletakkan di tengah jalan bagi tujuan parkir. Kejadian berlaku di Seri Mahkota.

“Notis arahan pengalihan telah dikeluarkan. Atas kegagalan mematuhi notis , tindakan penguatkuasaan akan diambil,” kata MBK.

Perkongsian itu kemudian mendapat lebih 500 komen dan 201 perkongsian daripada warga maya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berpendapat bahawa seharusnya bangsal itu dirobohkan terus kerana ia terang-terangan mengganggu laluan kenderaan lain.

Mereka juga menyarankan pihak berkuasa tempatan lebih tegas dengan merobohkan binaan yang mengganggu orang awam supaya tidak berlaku lagi hal seperti ini

“Tak perlu saman terus tunda dan robohkan saja bangsal tu. Bagi amaran keras pada orang lain yang buat atau berniat sama,” kata Kamarul Azrin.

“Ini jenis pentingkan diri, bahayakan pengguna jalan raya. Tak pasal-pasal kena lalu jalan sebelah. Tahniah MBK, baru dia tahu negara ini ada undang-undang,” komen Hatmi Abu Bakar.