"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose masih di kaki lima

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose, 49, menafikan yang dia ‘hilang’ selepas berita tentangnya yang terpaksa hidup sebagai gelandangan sementara menunggu pembedahan jantung dilaporkan media baru-baru ini.

Katanya, beliau tidak bersembunyi daripada sesiapa sebaliknya menjalani rawatan jantung di Melaka.

“Selain Institut Jantung Negara (IJN), saya juga sering ke beberapa negeri termasuk Melaka untuk mendapatkan rawatan jantung secara tradisional di pusat perubatan Cina di Taman Cheng, bukan sengaja menghilangkan diri.

“Tiga hari saya berada di negeri itu, saya tidak pernah melarikan diri daripada sesiapa malah berita berkaitan kehidupan sementara saya di kaki lima itu tersebar ketika saya di sana,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Pada 2 Disember lalu, bekas pemain posisi pertahanan itu mencuri perhatian apabila berita tentangnya terpaksa tidur di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu pembedahan memasukkan perentak jantung tahun ini dilaporkan oleh media.

Terpaksa berhenti kerja sebagai buruh

Sejak lapan bulan lalu, beliau terpaksa tidur di kaki lima setiap kali ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di IJN kerana tidak mampu menyewa hotel.

Salahuddin disahkan menghidap penyakit jantung pada 2009 tetapi penyakitnya bertambah teruk sejak tiga tahun lalu sehingga memaksanya berhenti kerja setelah setahun bekerja sebagai buruh.

Beliau kembali ditemui di kaki lima itu lewat malam tadi oleh wartawan Utusan Malaysia.

Tambah Salahuddin, beliau berterima kasih atas laporan media tentangnya yang telah menarik perhatian banyak pihak untuk menghulurkan bantuan, termasuklah persatuan-persatuan bekas pemain bola sepak dari seluruh negara.

“Sejak laporan itu diterbitkan Ahad lalu, saya akui keluarga, rakan-rakan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak putus-putus cuba menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan,” ujarnya lagi.

Keguguran: Setiap wanita perlu tahu info ini

FMT Reporters
Pasti ramai yang teruja bila mendapat berita kehamilan, maklum sahaja ia bakal membuka lembaran baru sebagai ibu dan ayah. Namun tidak semua bernasib baik dan dapat melihat zuriat lahir akibat masalah keguguran. Mungkin belum rezeki.
FMT Ohsem kongsikan dengan anda fakta dan info mengenai keguguran yang anda perlu tahu.

Menurut portal MyHealth, keguguran adalah keadaan di mana ibu yang hamil turun darah sebelum minggu ke-20 kandungan. Semasa keguguran, janin atau kandungan di dalam rahim gagal untuk terus hidup. Keguguran berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% berlaku pada ibu yang kurang dari 20 minggu mengandung.

Faktor penyebab
Masalah genetik: 30% keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah genetik. Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin. Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran.
Masalah penyakit si ibu: masalah kesihatan seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim (septum) atau fibroid
Faktor-faktor yang meningkatkan risiko keguguran
Usia ibu: ibu yang berumur (lebih tua) berisiko tinggi berbanding yang lebih muda
Pernah keguguran: jika keguguran sekali, risko untuk gugur lagi adalah 20%, dan jika pernah 2 kali gugur, risiko adalah 30%. Risiko meningkat kepada 43% kalau pernah 3 kali gugur atau lebih.
Merokok: Merokok lebih dari 10 batang sehari (atau perokok pasif) boleh meningkatkan risiko
Alkohol: Pengambilan alkohol semasa mengandung walaupun sedikit boleh menyebabkan keguguran.
Demam panas: Suhu demam ibu mengandung yang tinggi (37.80 darjah Celcius atau lebih) boleh menyebabkan keguguran
Trauma: trauma (kemalangan) dibahagian rahim semasa mengandung boleh meningkatkan risiko. Ini termasuk juga rawatan amniocentesis dan chronic villous sampling
Kafeine: pengambilan kopi atau bahan berkafein seperti cola dan sebagainya berlebihan boleh meningkatkan risiko. Tidak digalakkan mengambil lebih dari 300mg sehari.
Sebab-sebab lain: risiko meningkat kalau si ibu tercemar dengan bahan seperti: jangkitan, ubat-ubatan yang tidak sesuai, stress fizikal yang berlebihan, radiasi dan bahan-bahan kimia.
Jenis keguguran
Keguguran terancam (Threatened miscarriage) – ibu akan mengalami turun darah dan sakit di bahagian bawah perut. Pangkal rahim (servik) masih tertutup, dan saiz rahim sama dengan minggu mengandung. Di kebanyakkan kes, pendarahan akan berhenti sendiri dan kandungan boleh selamat dilahirkan cukup bulan. Ada juga kes dimana pendarahan menjadi lebih banyak (tumpah darah) dan akhirnya gugur.
Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage) – keguguran tidak dapat dielakkan. Pangkal rahim terbuka, tumpah darah bertambah banyak dan sakit perut bertambah kuat.
Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage) – bermakna janin telah gugur keluar tetap masih ada yang tertinggal lagi dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh tumpah darah yang banyak.
Keguguran lengkap (complete miscarriage) – janin telah keluar sepenuhnya. Keguguran berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang tanpa rawatan. Semasa pemeriksaan dilakukan (oleh doktor), pintu pangkal rahim sudah tertutup dan simptom-simptom mengandung sudah hilang. Ultra bunyi menunjukkan rahim tidak tertinggal janin.
Keguguran septik (septic miscarriage) – ibu yang keguguran dijangkiti kuman yang menjangkiti rahim. Simptom termasuk demam panas, mengigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendiran dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning)

Umur Umno 72, PAS 70: Nak 'nikah' macam mana?

N Faizal Ghazali

Hubungan di antara PAS dan Umno tidak perlu begitu akrab sehingga ke 'jenjang pelamin', sebaliknya cukup sekadar 'berbesan', kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Menurut Annuar sejak dilantik memegang jawatan setiausaha agung parti beliau selalu ditanya, bila PAS dan Umno mahu 'bernikah'.

"Ada orang kata pada ambo (saya), eh, Umno dengan PAS nak menikah dah ke?

"Saya kata, mu peduli apa kita nak nikah?

"Tapi nak menikah apanya umur Umno dah 72 (tahun), PAS dekat 70 tahun.

"Orang tua kita tak kisah hal menikah, tapi kalau berbesan ada berkira," katanya sambil disambut sorakan kira-kira 500 orang pada ceramah Grand Finale Himpunan Bantah Icerd peringkat Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama antaranya Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dr Nik Zawawi Salleh.

Tak pernah runsing

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, 'berbesan' yang dimaksudkan itu ialah PAS dan Umno boleh bekerjasama dengan cara masing-masing.

"Biar fahamlah berpolitik. PAS dan Umno tak payah menikah.

"PAS duduk dengan (cara) dia, Umno duduk dengan cara Umno. Tetapi kita kira cara nak berbesan.


"Anak ada 14 orang, ambil seorang buat menantu. Kalau (PAS) nak dua ambil dua, nak tiga ambil tiga. Nak Kelantan ambillah, nak Terengganu satu lagi boleh ambil.

"Kita rela PAS pegang (negeri) berbanding dapat pada DAP atau parti yang bersekongkol dengan DAP.

"Kita bahagilah, tapi bab pilihan raya tak perlu risau, sebab lambat lagi nak pilihan raya," katanya.

Tambah beliau, apa yang penting sama ada PAS atau Umno masing-masing mempunyai dasar.

"Sebab itu ambo tak pernah runsing PAS bergaduh dengan Umno, sebab kita ada dasar yang tak berubah dan akhirnya akan bertemu di stesen. Malam ini stesen yang pertama," jelasnya ketika menyentuh soal kerjasama kedua-dua parti itu.

MB Johor perlu jelaskan isu Pulau Kukup atau letak jawatan - Kadir

Tokoh wartawan A Kadir Jasin menggesa Menteri Besar Johor Osman Sapian menjelaskan kontroversi mengenai status Pulau Kukup sebagai taman negara atau meletakkan jawatan jika gagal berbuat demikian.

"Saya ingin bertanya kepada Osman jika dia bercakap benar apabila dia memberitahu saya sebelum bermula mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Bersatu pada 28 Nov, bahawa istana (Johor) tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri itu.

"Saya bertanya kepadanya mengenai kebenaran khabar angin bahawa Istana mengambil tanah negeri - walaupun ia berukuran kurang daripada setengah ekar.

"Dia kata tidak, tetapi dia kata dia tidak tahu sama ada perkara itu berlaku semasa kerajaan negeri di bawah BN," tulis Kadir di blognya.

Kadir berkata beliau kemudian mengingatkan Osman bahawa menteri besar itu berada bersama kerajaan BN selama tiga penggal dari tahun 1999 hingga 2013, sebelum bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) 9 Mei.

"Saya ingin bertanya kepada Osman dan rakan-rakannya dalam PH jika ini benar dan sahih.

"Sekiranya kerajaan negeri PH di bawah Osman meluluskan perjanjian ini, maka ia tidak lebih macam kerajaan BN.

"Jika Osman tidak dapat memberikan penjelasan untuk memuaskan hati rakyat yang mengundi dia dan PH tujuh bulan yang lalu, maka dia harus mengundurkan diri," kata Kadir.

Terdahulu hari ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan usul bagi menggesa kerajaan negeri mengkaji semula status Pulau Kukup sebagai taman negara.

Sementara itu, Putera Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik mereka yang mempolitikkan isu itu kerana hal-ehwal mengenai tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kerajaan Johor telah membatalkan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi.

Pulau Kukup yang terletak di Pontian sudah menjadi taman negara sejak 1997.

Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat exco pada 24 September lalu dan warta pembatalan itu dikeluarkan pada 25 Oktober.

'Pelakon, Farid Kamil tampar pipi, tendang kemaluan saya'


PETALING JAYA - Saksi pertama kes jenayah membabitkan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa tertuduh telah menamparnya sekali dan menendangnya sebanyak dua kali, termasuk di kemaluannya.

Bekas eksekutif akaun syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, berkata, dalam kejadian pada 11 Januari lalu, dia yang sedang memandu kereta Perodua Myvi terlihat pelakon itu di tepi Jalan Tropicana, di sini, berjalan sendirian dengan tidak memakai baju dan seolah-olah meminta bantuan kerana disamun.

"Ketika itu, kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, hujan renyai-renyai dan selepas melihat beberapa kereta tidak membantu, saya membuat pusingan untuk mendekati lelaki berkenaan sebelum menyedari lelaki itu adalah Farid Kamil.

"Farid meminta saya menghantarnya ke balai polis kerana mendakwa dirinya kemalangan dan kemudian saya membawanya ke Balai Polis Trafik Kota Damansara," katanya.

Ashraf berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran pada hari pertama perbicaraan kes empat pertuduhan jenayah pelakon itu di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham di sini.

Menurutnya, dia hanya mula menyedari Farid berkelakuan pelik dalam perjalanan ke balai polis, apabila tertuduh bertindak menarik stereng kereta berkali-kali sehingga dia terpaksa menegur perbuatan pelakon itu selain meminta baju-T yang sedang dipakainya.

"Apabila sampai di balai polis, kami terus ke bahagian kaunter dan Farid terus menunjukkan kepada salah seorang anggota di situ mengenai satu artikel '300 artis hutang ah long' di dalam telefon bimbitnya sebelum dimaklumkan untuk ke Balai Polis Sunway Giza bagi kes jenayah.

"Selepas itu, Farid mula bertindak agresif apabila dia secara tiba-tiba menjerit ke arah saya dan polis itu dengan mengatakan 'kau kenal siapa aku?' sebelum menampar saya di pipi kiri sehingga saya pening dan telinga berdesing," katanya.

Mengulas lanjut kejadian itu, Ashraf berkata, selain dirinya, Farid turut menampar pipi kiri anggota polis berkenaan sambil memaki hamun polis sebelum dia ditenangkan oleh dua orang awam lain.

"Anggota polis menyuruh Farid yang ketika itu dalam keadaan bergari supaya duduk di lantai, namun dia sempat menendang saya di bahagian perut sehingga senak dan Farid kemudian berlari ke dalam tandas.

"Selepas Farid bertindak agresif, beberapa anggota dari Balai Polis Mutiara Damansara datang untuk memberi bantuan dan dalam pada itu, Farid sempat menendang saya di bahagian kemaluan saya," katanya.

Ketika disoal oleh Alia jika dia ada mendapatkan rawatan ekoran perbuatan pelakon itu, dia memaklumkan ada pergi ke Hospital Sungai Buloh pada malam hari kejadian untuk membuat pemeriksaan dan doktor telah mengesahkan tiada kecederaan serius berlaku.

Farid diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom.

Pada 16 Januari lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham akan bersambung pada 12 Disember ini. - Bernama

Tabung Haji perlu rombakan menyeluruh

MUHAMAD FADZIL AHAMAD

Beberapa perkembangan berkaitan Tabung Haji (TH) beberapa hari ini amatlah menggusarkan. Bukan sahaja TH telah didakwa memalsukan akaun tahun lalu untuk membolehkan dividen lumayan dibayar sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu, malah tindak tanduk pengurusan tertinggi terdahulu yang didakwa menyalahguna wang melalui Yayasan Tabung Haji untuk kepentingan politik begitu menjijikkan.

Reputasi TH sebagai pemegang amanah dana rakyat untuk tujuan ibadah terbesar umat Islam negara ini juga tercemar. Maka secara umumnya integriti TH sudah terjejas dan beberapa langkah drastik diperlukan.

TH ditubuhkan dengan wawasan besar untuk memudahkan umat Islam di Malaysia untuk menunaikan ibadat haji. Hasrat ini ditunaikan melalui beberapa strategi terutamanya menolong bakal jemaah untuk menabung, menjana pulangan lumayan untuk tabungan mereka serta seterusnya menguruskan setiap aspek urusan haji agar ia mudah, licin, cekap, selesa dan selamat.

Sejak penubuhannya, TH telah berjaya menghantar jutaan rakyat Malaysia ke tanah suci dan menjana berbilion ringgit pulangan yang telah membolehkan ramai penabung yang berpendapatan rendah untuk mencapai sasaran tabungan seterusnya dapat menunaikan haji dengan lebih cepat.

Selain dari itu, TH juga telah membantu pembangunan dan pemerkasaan ekonomi umat Islam. Wang tabungan telah menjayakan banyak usaha seperti penubuhan Bank Islam, bank pertama yang beroperasi berlandaskan prinsip-prinsip Syariah, serta mempelopori pembangunan industri kewangan Islam. Banyak ladang kelapa sawit juga dimiliki oleh TH yang menjana peluang pekerjaan dan pendapatan untuk ramai umat Islam. Jasa TH amatlah besar dan tidak dapat diceritakan di sini.

Lari dari sasaran

Sejak dasawarsa lalu, beberapa skandal yang berkaitan TH dilaporkan oleh beberapa ‘whistleblower’ yang berani, kebanyakannya melibatkan pelaburan-pelaburan yang dibuat tanpa mengikut prosedur yang betul dan kemudiannya menyebabkan kerugian yang besar. Secara mudahnya, ia disebabkan oleh beberapa punca seperti berikut:

Majoriti deposit yang dipegang oleh TH adalah bukanlah milik bakal Jemaah haji, tapi kepunyaan rakyat Malaysia beragama Islam yang inginkan pulangan lumayan tanpa berusaha keras, yakni mendapatkan pendapatan pasif dengan risiko sifar melalui pelaburan.

Hal ini kemudiannya memberikan tekanan kepada para pengurus dana (fund manager) di TH yang terpaksa bekerja keras untuk mencari peluang pelaburan yang boleh menjana pulangan yang lebih tinggi. Ini kerana kerajaan terdahulu ingin menjaga hati para penabung yang majoritinya Melayu-Islam, yakni pengundi tradisi parti pemerintah.

Namun begitu, peluang pelaburan yang baik juga mempunyai risiko kerugian yang tinggi (high risk, high return). Ini adalah tidak baik untuk pendeposit seluruhnya kerana amalan ini tidak lestari yakni tidak dapat ditampung selama-lamanya.

Kerajaan tidak membina sistem tatakelola yang baik untuk memastikan wang pendeposit diuruskan dengan baik dan cekap. Hal ini memudahkan campur tangan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab seperti pelantikan ahli politik Umno Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai pengerusi.

Ini kemudiannya menyebabkan TH membuat beberapa keputusan yang merugikan seperti pembelian Ramunia Holdings Berhad (dinamakan semula sebagai TH Heavy Engineering), Reach Energy Berhad dan sebidang tanah di TRX. Ada juga banyak ketirisan lain yang tidak perlu disebut di sini.

Semua sebab di atas menjadi berulang-ulang dalam sebuah kitaran kerosakan (cycle of destruction) sehingga jumlah aset akhirnya lebih rendah dari jumlah deposit. Dengan kata lain, Tabung Haji telah rugi wang pendeposit! Ini menyebabkan Bank Negara Malaysia terpaksa mengeluarkan teguran tegas dan mengemukakan syor-syor tertentu pada awal 2016 kepada TH.

Hilang fokus

Demi terus mendapat sokongan mereka untuk parti pemerintah, kerajaan terdahulu terus memberikan tekanan kepada TH untuk membayar dividen yang tinggi kepada pendeposit. Polisi ini tidak lestari kerana ada ketikanya pasaran saham merudum, maka nilai pelaburan TH turut merosot.

Dalam keadaan ini, TH sepatutnya tidak membayar apa-apa dividen. Namun begitu, akibat tekanan politik, Tabung Haji kadangkala terpaksa menggunakan rizab untuk membayar dividen setiap tahun sehingga Bank Negara Malaysia terpaksa memberikan amaran keras seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Sebenarnya, tekanan untuk terus membayar dividen ini adalah palsu (artificial) kerana majoriti pendeposit mempunyai jumlah tabungan yang kurang dari RM10,000. Sejumlah besar daripada lebih RM70 bilion deposit yang diuruskan oleh TH adalah milik golongan kaya yang sebenarnya tidak memerlukan khidmat TH.

Dengan kata lain, golongan ini – ada yang dikatakan mempunyai deposit berjumlah jutaan ringgit – telah menyalah gunakan TH sebagai ‘safe deposit’ yang memberikan pulangan berisiko sifar (zero risk) yang lumayan. Ini adalah amalan keji ‘rent-seeking’ seperti yang diberikan amaran oleh pemenang Anugerah Nobel ekonomi Joseph Stiglitz yang baru sahaja berkunjung ke Malaysia beberapa bukan lepas.

Ada dua masalah utama yang timbul akibat amalan ini. Pertama, banyak pelaburan berisiko tinggi yang telah dibuat akhirnya merugikan TH dan pendeposit itu sendiri. Keduanya, timbunan wang ini menarik perhatian ahli-ahli politik yang korup seperti lalat yang menghurung tahi. Kedua-dua faktor ini, apabila digabungkan dengan faktor-faktor lainnya, menyebabkan fokus TH telah lari dari tujuan asalnya.

Mungkin akibat banyak ketirisan juga, jemaah haji Malaysia akhirnya terpaksa membayar harga yang jauh lebih tinggi untuk khidmat yang sama jika dilanggan dari negara lain seperti di Eropah. Tempat penginapan yang semakin jauh dari lokasi ibadat serta mutu makanan dan tempat penginapan yang merosot juga antara isu yang semakin diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Tugas asalnya untuk membantu golongan miskin telah banyak terabai kerana tekanan tinggi untuk menjana pendapatan pasif untuk deposit-deposit besar golongan kaya. Ini tentulah amat tidak adil.

Integriti institusi haji dan Islam

Atas keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan, Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan agar setiap syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) menubuhkan unit integriti dan tatakelola (IGU) yang akan turut dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tentu sekali ini adalah langkah yang sangat baik.

Namun begitu, langkah-langkah ini hanya akan berkesan jika sebab-sebab yang lebih sistemik turut ditangani dan risiko yang berkaitan dikurangkan atau dibuang daripada sistem. Untuk tujuan ini, TH perlu berani untuk berkata benar kepada penguasa (speak truth to power) dan mengambil langkah-langkah pembaharuan yang berani.

Pertama: TH perlu meletakkan had deposit, contohnya maksimum RM200,000 untuk setiap pendeposit seperti yang diamalkan oleh Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ini akan mengurangkan jumlah deposit dengan serta-merta dan membolehkan para pengurus dana TH untuk menjana pulangan lebih tinggi melalui pelaburan yang lebih strategik dan tersasar.

Kedua: Tabung Haji juga perlu mengurangkan jumlah dividen ke atas deposit dengan serta-merta dan sebaliknya menaikkan jumlah hibah haji iaitu ‘dividen tambahan’ untuk deposit bakal jemaah haji sahaja – polisi yang dinamakan struktur ‘tiered-dividend’ atau ‘waterfall’. Ini bertujuan untuk membantu bakal jemaah haji untuk mencapai sasaran untuk menunaikan haji dengan lebih cepat dan mengelakkan dari memberi subsidi kepada golongan kaya.

Rasionalisasi subsidi haji juga, jika diteruskan, perlu dijadikan lebih telus agar ketirisan akibat sikap rakus kontraktor yang tidak bertanggungjawab boleh dikenalpasti dan diambil tindakan.

Wajib sekali seumur Hidup

Ini adalah ajaran Islam dan wajib dilaksanakan serta-merta agar mereka yang miskin atau lanjut usia juga berpeluang menunaikan haji. Amatlah memalukan apabila seorang pendeposit terpaksa menunggu sehingga 70 tahun untuk tiba giliran haji mereka walhal eksekutif-eksekutif TH, KWSP, KWAP dan pegawai-pegawai kanan kerajaan boleh menunaikan haji berkali-kali.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan dan GLC, termasuklah para doktor, yang menunaikan haji berkali-kali juga patut didedahkan nama mereka secara telus agar rakyat tahu siapa yang ‘memotong barisan’ mereka.

Kepungan risiko (‘Ringfencing’)

Pentadbiran urusan haji, penjagaan deposit dan pengurusan pelaburan perlulah dipisahkan dan diberikan mandat yang jelas dan ketat dengan serta-merta. Unit TH yang menguruskan deposit dan pelaburan perlulah diletakkan dalam kepungan atau ‘ringfence’ yang kukuh dan dilindungi sewajarnya, termasuklah dengan skim jaminan deposit yang sesuai seperti yang akan disebutkan di bawah.

Unit ini juga perlu dikawal dan diselia (regulated) oleh badan-badan berkaitan seperti BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menggunakan piawai tatakelola dan perakaunan yang sama ketatnya dengan bank, pengurus aset dan institusi kewangan komersil lainnya. Langkah ini juga akan banyak mengurangkan risiko perbankan bayangan (shadow banking) yang sebenarnya boleh mengancam kestabilan sistem kewangan negara.

Sementara itu, unit pentadbiran urusan haji perlu memberikan tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada urusan haji dan tidak diganggu oleh isu-isu tidak berkenaan seperti kerugian akibat salah pelaburan atau kemarahan orang ramai akibat bayaran dividen yang rendah.

Lindungi deposit

Akibat wang simpanan umat Islam di TH adalah dijamin kerajaan, risiko jaminan itu sebenarnya ditanggung oleh rakyat seluruhnya kerana sebarang kerugian akhirnya terpaksa ditanggung oleh seluruh pembayar cukai rakyat Malaysia. Lebih besar saiz deposit TH, maka lebih tinggi risiko kepada Perbendaharaan Malaysia.

Ia juga menyebabkan risiko kredit kerajaan meningkat dan menyebabkan pembiayaan hutang negara menjadi lebih mahal – semua ini perlu dibayar oleh rakyat melalui cukai!

Melaksanakan had maksimum jumlah simpanan akan mengurangkan saiz deposit TH dan seterusnya mengurangkan risiko yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Kerajaan juga boleh mewajibkan agar sebahagian daripada deposit dijamin di bawah skim oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) seperti yang diamalkan untuk deposit bank.

Perkasa panel pelaburan, Lembaga Pengarah

Lembaga pengarah dan panel pelaburan TH juga perlulah dianggotai oleh mereka yang berkelayakan atau ‘fit and proper’ sahaja. Mereka perlu mempunyai pengalaman dan kelayakan serta melalui pembangunan profesional berterusan (continuing professional development) yang menurut piawaian antarabangsa.

Pengurus-pengurus dana di TH dan syarikat-syarikat pelaburan berkenaan kerajaan lain juga perlu dipantau dan mendapat lesen-lesen dan kelulusan-kelulusan yang setara dengan pengamal-pengamal komersil.

Gaji mereka juga perlu dilaporkan selari dengan amalan-amalan terbaik (best practices) yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersenarai di pasaran modal negara-negara maju. Ini termasuklah untuk merampas kembali bonus mereka (clawback) jika pelaburan yang dibuat oleh mereka mengalami kerugian agar permasalahan principal-ejen (principal-agent problem) dapat dihapuskan.

Sebarang kerugian (impairment) juga perlu dilaporkan dengan terperinci agar pihak yang menyebabkan kerugian tersebut menjawab kepada pemegang taruh, dan jika perlu, mendapat hukuman yang sewajarnya.

Polisi dividen lebih lestari

Apabila maklumat kewangan sudah telus, kerajaan juga perlu memberi amaran bahawa dividen hanyalah tertakluk kepada pulangan pelaburan tahunan, bukannya jaminan serta janji politik parti pemerintah. Hibah haji juga perlulah diutamakan lebih daripada dividen.

Selain itu, rizab TH juga perlu dinaikkan agar boleh menampung bayaran dividen setahun ke hadapan agar deposit bakal jemaah haji tetap terpelihara.

Taring Unit Integriti Dan Tatakelola (IGU)

Selain daripada memberikan kebebasan dan kekebalan kepada pejabat pendakwa raya dan SPRM agar mereka boleh bertindak dengan cepat, cekap dan bebas, IGU juga perlu mempunyai sumber dan kepakaran yang secukupnya.

Untuk tujuan ini, bilangan ahli lembaga pengarah yang bukan eksekutif dan bebas (independent, non-executive director) boleh ditingkatkan seperti yang diwajibkan oleh BNM ke atas semua bank.

Selain itu, unit audit dalaman (internal audit) juga boleh diperkasa dan berikan peranan penting di bawah IGU agar ia sentiasa mendapat maklumat dan nasihat yang berkualiti secara bebas.

Pendidikan awam

Semua syor di atas sebenarnya tidak bermakna jika rakyat tidak dapat menjadi ‘watchdog’ atau pengawas yang berkesan untuk memantau tindak-tanduk kerajaan dan pihak pengurusan TH serta GLC-GLC lainnya.

Untuk tujuan itu, kerajaan dan masyarakat sivil perlu meningkatkan pendidikan kewangan dan kesedaran politik agar rakyat boleh melaksanakan tanggungjawab sivil mereka dengan berkesan.

Semua ini akan memastikan polisi pelaburan dan tatakelola yang lebih berhemah dan lestari agar rakyat juga dapat belajar daripadanya dan memantau pengurusan TH dan juga kerajaan selurunya dengan lebih berkesan.

Walaupun ini semuanya adalah penting, pembaharuan adalah lebih utama dan perlu disegerakan untuk Tabung Haji dan institusi-institusi agama lainnya agar integriti mereka dapat dipulihkan dengan segera.

Malaysia sering dipandang tinggi oleh umat Islam di seluruh dunia, dan TH juga dijadikan contoh teladan oleh negara-negara Islam. Kita perlu melaksanakan perubahan yang menyeluruh secepat mungkin agar imej Islam terus terpelihara dan nasib umatnya terus terbela.

Rujukan:

[1] Laporan: Tabung haji didakwa palsukan buku akaun https://www.malaysiakini.com/news/454411

[2] Tabung Haji’s predicament – Business News | The Star Online http://po.st/xt1vTR

[3] Bank Negara issues warning to Tabung Haji – The Edge Markets http://www.theedgemarkets.com/article/bank-negara-issues-warning-tabung-haji

[4] Persediaan makanan jemaah haji ikut piawaian kesihatan antarabangsa http://www.astroawani.com/berita-malaysia/persediaan-makanan-jemaah-haji-ikut-piawaian-kesihatan-antarabangsa-108762

[5] Government Guarantee on Tabung Haji Deposits https://www.tabunghaji.gov.my/en/savings/general-info/savings

[6] Perbadanan Insurans Deposit Malaysia sahkan jaminan deposit http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/pidm-sahkan-jaminan-pendeposit-1.96907

[7] Tabung Haji reserves in the red https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/shortfall-at-haj-fund-the-latest-headache-for-klm.

[8] Government assures depositors money is safe https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/malaysias-haj-fund-says-deposits-are-safe-amid-police-reports-on-misuse-by-ex-top

Penulis merupakan Exco Pemuda AMANAH Nasional.

Mokhtar Senik dilarang ceramah di masjid Pokok Sena

N Faizal Ghazali
Disifatkan sebagai seorang yang sering menimbulkan kontroversi, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mohktar Senik dihalang daripada menyampaikan ceramah di sebuah majlis dalam daerah Pokok Sena, Kedah.

Pegawai Agama Daerah Pokok Sena, Syeikh Ahmad Shukri Mohamed ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pihaknya mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pihak pengurusan Masjid Sungai Durian, Mukim Bandar Pokok Sena berhubung larangan tersebut.

Menurutnya, ceramah oleh Mokhtar dijadualkan berlangsung esok selepas solat Jumaat, namun pihak pengurusan tidak memohon kebenaran daripada Pejabat Agama Daerah Pokok Sena.

"Memandangkan wujud kontroversi terhadap penceramah tersebut yang berlegar di media sosial, program tersebut dilarang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, notis larang tersebut tular di media sosial sejak semalam.

Syeikh Ahmad berkata, pihaknya juga kesal susulan pihak pengurusan tidak berbincangan dan memaklumkan terlebih dahulu mengenai program itu.

"Kita ada prosedur biasa, setiap program perlu buat permohonan dengan mengisi borang yang disediakan.

"Penceramah yang dijemput pula seorang yang didapati mempunyai kontroversi dan saya sebagai penjawat awam hanya menjalankan tugas sewajarnya, " jelasnya.

Tambah beliau, notis itu dibuat mengikut Kaedah Bagi Mengawal Perjumpaan Agama (masjid dan sekolah agama) 1981 Kedah Darul Aman.

Justeru katanya, Mokhtar yang juga anggota jawatankusa PAS Pusat dilarang dan ditegah daripada berceramah di masjid tersebut atau mana-mana masjid, surau dan sekolah agama di daerah Pokok Sena.

Lembu mati kena langgar pun salahkan menteri PH?

JANATUL FIRDAUS YAACOB
 
KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen PH mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu yang mengugut mengancam nyawa Menteri Pertaniandan Industri Asas Tani , Datuk Salahuddin Ayub.

Ugutan itu muncul apabila individu timbul hanya kerana anak lembu miliknya mati akibat dilanggar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, Menteri Pertanian yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram, Muar menerima bangkai anak lembu memakai baju PKR dengan satu nota ugutan bunuh yang bertulis "kepada YB Sallahuddin, lembu aku mati kena langgar, engkau aku bunuh, engkau tak ada otak".

"Hari ini kami ahli-ahli Parlimen berkumpul untuk mengecam tindakan sesetengah pihak atau kumpulan yang ugut nyawa seorang menteri Kabinet.

"Kes ini serius sebab mengancam keselamatan seorang menteri, jika pihak tidak bertanggungjawab ingin guna ugutan nyawa untuk menakut-nakutkan pegawai, mereka silap besar.

"Kami ahli Parlimen dan kerajaan PH ingin hantar satu mesej jelas kepada rakyat bahawa kita tak rasa gentar pun dengan taktik jenayah dan kami akan terus menjalankan tugas secara jujur dan profesional," katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau menegaskan, wakil rakyat dan kerajaan PH tidak akan sesekali tunduk terhadap sebarang ugutan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak sepatutnya wujud ugut ancaman sedemikian kerana pentadbiran baharu PH sangat terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak untuk berbincang.

"Kalau tak puas hati pentadbiran atau tugas oleh kami semua datang berjumpa, tapi jika lembu mati kemalangan nak disalahkan Menteri Pertanian, ia sesuatu yang tidak wajarlah.

"Kalau lihat macam ini, lembu mati kemalangan, takkanlah lembu mati kemalangan dia nak marah Menteri Pertanian, serah kepada polis untuk ambil tindakan," ujarnya.

Semalam, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai meletakkan bangkai seekor lembu bersama nota ugutan bunuh terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di depan Pusat Khidmat Dun Simpang Jeram, Muar, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, lelaki itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Kamaluddin berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila permohonannya untuk meminta bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ditolak.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kes itu termasuk identiti dan usia suspek kerana siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, pegawai Salahuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku ketika Salahuddin tiada di pejabatnya di Muar.

Salahuddin juga adalah Ahli Parlimen Pulai yang terletak di daerah Johor Bahru dan juga Adun Simpang Jeram di Muar.

Kerajaan Kelantan tidak matang

Syed Badli Shah Syed Osman

Kerajaan Kelantan tidak sepatutnya mengheret rakyat untuk menyertai himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Tindakan kerajaan negeri yang mengumumkan cuti peristiwa semata-mata untuk menggalakkan rakyat menyertai himpunan tersebut bukan sahaja tidak masuk akal, malah boleh menjejaskan produktiviti kerajaan negeri.

Sebuah kerajaan tidak seharusnya dilibatkan untuk sesuatu himpunan berunsur politik.

Umum mengetahui himpunan tersebut menarik penyertaan beberapa parti politik pembangkang, justeru mengheret rakyat demi kepentingan politik mereka adalah sesuatu yang dangkal.

Tambahan lagi kerajaan Pakatan Harapan sudah menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia tidak akan meratifikasi Icerd.

Sehubungan itu segala bentuk himpunan bagi membantah Icerd hanyalah kerja sia-sia dan tidak terlebih daripada menyusahkan rakyat disamping membina persepsi negatif terhadap terhadap kerajaan.

Saya menyeru Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob untuk menarik balik cuti tersebut dan berhenti mempergunakan rakyat Kelantan untuk tujuan berpolitik.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah naib ketua Pemuda PKR.

Husam: Saya sanggup bayar, Mohd Amar patut tunda ke Makkah

N Faizal Ghazali
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa menggesa agar Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah supaya menangguhkan seketika perjalanan mengerjakan umrah dan menghadirkan diri ke Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Husam berkata, beliau sanggup membayar denda pertukaran tarikh penerbangan sekiranya timbalan menteri besar Kelantan itu menunda seketika perjalanan ke Tanah Suci itu.

"Saya berharap beliau dapat tangguhkan penerbangan, saya sanggup bayar kos denda pertukaran tarikh penerbangan untuk dua hari yang diperlukan.

"Kita tak mahu beliau dilihat sebagai mengundurkan diri dan pastinya akan mengecewakan penyokong-penyokong PAS yang bersemangat untuk hadiri perhimpunan tersebut.

"Dia dah kerah orang beramai-ramai supaya hadir, tetapi dia sendiri tak hadir. Orang akan nampak dia seperti nak lari. Sepatutnya dia jaga nama baiklah," katanya.

Terdahulu, Mohd Amar menyatakan beliau tidak dapat turut serta menjayakan himpunan tersebut kerana sudah dijadualkan ke Makkah, Jumaat ini bagi menunaikan ibadah umrah.

"Saya akan menunaikan umrah pada 7 Disember," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini, ketika ditanya berhubung perkara itu.

Kerajaan negeri Kelantan hari ini mengumumkan cuti peristiwa pada 9 Disember bersempena perhimpunan yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu.

Untuk rekod, penganjur himpunan iaitu Gerakan Pembela Ummah sebelum ini memberi gambaran bahawa himpunan itu yang mendapat sokongan Umno dan PAS akan diteruskan meskipun kerajaan sudah mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd.

Penganjur berkata, penerusan himpunan itu bagi meraikan dan menzahirkan rasa syukur susulan keputusan kerajaan dan akan menjangkakan kehadiran tidak kurang setengah juta orang.

Sementara itu susulan jempuran penganjur juga mengalu-alukan kehadiran perdana menteri dan barisan menteri kabinet, Husam berkata, kepimpinan kerajaan persekutuan wajar dijemput dan diberi peluang untuk turut sama berucap pada program itu.

"Ini kerana yang patutnya menzahirkan rasa syukur adalah pihak kerajaan selepas membuat keputusan untuk tidak meratifikasikan Icerd.

"Jadi saya berharap pengajur boleh jemput menteri-menteri dan dibenarkan untuk turut berucap," katanya.

Salahudin dapat ugutan bunuh, bangkai lembu dan nota ugutan

BORHAN AHMAD
"Pada awalnya saya lihat ia perkara kecil sahaja tetapi nampaknya polis memandang serius perkara ini kerana ia ugutan ke atas eeorang menteri," kata Salahudin kepada Malaysia Dateline.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahudin Ayub mendapat ugutan bunuh dua hari lepas dengan cara meletakkan bangkai lembu dan nota ugutan bunuh di hadapan rumahnya.

Berikutan itu seorang saspek telah ditahan polis dan hari ini mahkamah telah membenarkan beliau disambung tahanan remannya.

Salahudin ketika dihubungi mengesahkan perkara ini dan ia sedang disiasat oleh pihak polis.

“Saya diberitahu dua hari lepas tentang seekor bangkai lembu telah diletakkan di depan rumah saya di DUN Simpang Jeram, Johor.

“Padanya terdapat sekeping kertas mengugut bunuh saya dan laporan polis telah dibuat.

“Pada awalnya saya lihat ia perkara kecil sahaja tetapi nampaknya polis memandang serius perkara ini kerana ia ugutan ke atas eeorang menteri,” kata Salahudin kepada Malaysia Dateline.

Menurut Salahudin, hari ini ada lagi pegawai polis datang ke pejabat beliau di Kementerian Pertanian, Putrajaya untuk mengambil kenyataan.

“Sehingga ini saya tidak tahu lagi apa motifnya.

“Kita serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan,” kata beliau lagi.

'Usaha kucar-kacirkan Maahad Darul Anuar berniat jahat' - Ustaz Nik Omar

Pengetua Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyifatkan usaha pihak tertentu untuk mengucar-kacirkan sekolah tersebut sebagai berniat jahat.

Katanya, ketika segala persiapan untuk menghadapi sesi persekolahan 2019 berjalan, tidak dinafikan wujudnya pihak yang berniat jahat dan mengganggu urusan pentadbiran.

"Alhamduulillah segala persiapan untuk sesi 2019 sudah dirancang dan berjalan seperti biasa sebagaimana tahun-tahun yang lepas.

"Kita tak nafikan usaha sesetengah pihak untuk mengkucar-kacirkan Maahad Darul Anuar yang berniat jahat sedikit sebanyak akan mngganggu urusan pentadbiran dan pengambilan pelajar, " katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Yayasan Islam Kelantan (YIK) sudah mempunyai calon untuk dilantik menjadi mudir Maahad Darul Anuar yang terletak di Pulau Melaka bagi menggantikan Nik Omar selaku penyandangnya.

Perkara itu disahkan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan.

"Ya, dah ada cadangan (mudir baru) daripada YIK," katanya ketika ditanya mengenai proses pengambilalihan sekolah berkenaan.

Maahad Darul Anuar ialah sekolah agama diasaskan oleh bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1963.

Ia dilihat sebagai salah satu legasi penting Nik Abdul Aziz.

Terletak kira-kira 9km dari pusat bandar Kota Bharu Maahad Darul Anuar menjadi perhatian baru-baru ini apabila ada usaha meletakkan sekolah tersebut di bawah kendalian YIK.

Sebelum ini maahad terbabit dikendalikan secara persendirian.

Khabar itu berlaku selepas Nik Omar bertindak meninggalkan PAS dan menjadi calon Amanah semasa PRU ke-14 lalu.

YIK pula bersetuju mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar selepas menerima permohonan organisasi keluarga Nik Abdul Aziz, Keluarga Besar Nikmatillah, yang mendakwa menjadi pemegang amanah.

Nik Omar bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan menyerahkan mandat sebagai pemegang amanah Maahad Darul Anuar kepada mana-mana pihak.

Sementara itu, Nik Omar berkata pihaknya yakin perkara itu dapat diatasi dengan baik.

"Dan kita tetap dengan fokus kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar Maahad Darul Anuar serta yakin dengan pertolongan Allah," jelasnya.

Penganalisis jangka PBB sertai PH melalui PPBM

Robin Augustin
PETALING JAYA: Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff membuat spekulasi bahawa kehadiran PPBM di Sarawak mungkin menarik beberapa pemimpin parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke dalam Pakatan Harapan (PH).

Mengulas berhubung pelancaran PPBM Sarawak Ahad lalu, beliau berkata PBB sudah lama menunjukkan minat terhadap PH.

Sekarang PPBM telah masuk ke negeri itu, katanya, beberapa pemimpin PPB “dan pihak lain yang berminat” boleh menyertai PH melalui parti berasaskan Melayu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menambah ini boleh menyebabkan beberapa ketegangan PH Sarawak yang dikuasai DAP dan PKR, di mana kebanyakan pemimpinnya enggan bekerjasama dengan PBB.

Beliau juga berkata hubungan rapat Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Yang Dipertua Negeri, Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud boleh menimbulkan perasaan tidak senang pemimpin PH Sarawak. “Mereka benci bekas ketua menteri itu,” katanya.

Taib kelihatan masih berpegang teguh dengan PBB, parti penting pemerintahan kerajaan negeri dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kamarul berkata ia akan mengambil kesanggupan PKR dan DAP untuk membenarkan PPBM memainkan peranan yang besar di negeri ini bagi memastikan kelancaran pentadbiran PH Sarawak.

Seorang lagi penganalisis, Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak, menyuarakan keraguan bahawa PPBM akan mempunyai kesan seperti Umno di Sabah, seperti yang diramalkan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Sim Kui Hian.

“Ia tidak seperti DAP dan PKR akan memberi laluan kepada PPBM di Sarawak,” katanya, merujuk kepada pengagihan kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum lalu. “Walaupun mereka memberi laluan kepada PPBM, ia akan menjadi kerusi yang tidak akan dimenangi di kubu kuat PBB.”

Bagaimanapun, beliau berkata PPBM masih boleh menukar strategi jika ia boleh menukar keputusan pilihan raya untuk kerusi tertentu.

Jeniri bercakap mengenai sentimen yang memihak kepada hak negeri dan berkata ini kekal kukuh di kalangan pengundi. Untuk memenanginya, beliau menambah, PH mesti “berbelanja besar” untuk menyelesaikan masalah infrastruktur di negeri itu sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg baru-baru ini mengumumkan bajet negeri hampir RM12 bilion, bajet tahunan terbesar dalam sejarah Sarawak.

Tony Paridi Bagang dari Universti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata kemasukan PPBM menjadi cabaran kepada GPS.

“GPS mesti bekerja keras dan menjadi kerajaan yang berkesan,” katanya. “Ia mesti terus berjuang untuk hak dan kepentingan Sarawak.”

Remaja maut terkena renjatan telefon bimbit

SYAMILAH ZULKIFLI

Laporan bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Tuanku Jaafar Seremban hari ini mengesahkan mangsa meninggal akibat renjatan elektrik.
REMBAU - Seorang remaja lelaki meninggal dunia ketika sedang tidur akibat terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas di rumahnya di Kampung Gaing Baru Pedas di sini, semalam.

Mohd Aidi Azzhar Zahrin, 16, disedari meninggal dunia oleh ibunya jam 12.45 tengah hari selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, ibu mangsa yang telah pulang ke rumah untuk makan tengah hari bersama anaknya berasa tidak sedap hati apabila mendapati mangsa tidak bangun dari pagi.

"Sebelum keluar jam 7.45 pagi untuk pergi kerja, wanita berkenaan yang berusia 51 tahun melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di lantai bilik tidur dan menyangkanya masih tidur.

"Tapi, apabila pulang ke rumah untuk makan tengahari, mangsa dilihat masih berada dalam posisi sama,"katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, wanita itu cuba mengejutkan mangsa, tetapi tidak menunjukkan sebarang tindak balas selain mendapati badannya sejuk.

Beliau berkata, pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Pemeriksaan pada fizikal mangsa tiada kesan lebam atau luka kecederaan melainkan di telinga sebelah kirinya ada kesan darah.

"Ketika itu mangsa sedang memakai 'earphone' dan telefon bimbitnya yang berada bersebelahan telinganya sedang dicas,"katanya.

Anuar Bakri berkata, abang mangsa yang cuba mematikan suis turut mendapati terdapat kesan renjatan elektrik pada wayar itu.

Katanya, laporan bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Tuanku Jaafar Seremban hari ini mengesahkan mangsa meninggal akibat renjatan elektrik.

[Video] Gempar !!! Ustaz ini mendakwa perkataan melayu diambil dari Al Quran


Ustaz Husam yang gempar sebelum ini kerana dilarang berceramah di salah sebuah Masjid di Kedah tampil dengan satu video yang tular di media sosial menyeru orang melayu bersepakat. Beliau turut mendakwa perkataan melayu dipetik dari perkataan mala’ul a’la (yang sebenarnya merujuk kepada perkataan “malaikat” dalam Al Quran).

Raja Bahrin Shah basuh PAS

'Balas dendam apa PAS?'
Raja Bahrin Shah
Ketua Penerangan Pusat PAS Nasrudin Hassan menyatakan harapan beliau supaya pendedahan skandal dana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak menjadi "satu lagi siri balas dendam" kerajaan terhadap BN.

Inilah sikap keprihatinan beliau terhadap Umno yang memerintah lebih 60 tahun dan meninggalkan hutang lebih RM1 trilion untuk ditanggung rakyat Malaysia.

Perlu diingat mereka yang membuat laporan polis adalah pegawai-pegawai baru yang mengambil alih pengurusan Tabung Haji.

Jika tiada laporan dibuat, merekalah yang akan dipersalahkan atas apa jua salah tadbir atau salah guna kuasa kemudian hari.

Untuk melindungi diri daripada tuduhan salah laku, selepas mengaudit kewangan Tabung Haji mengikut peraturan mereka mestilah membuat laporan apa jua kesalahan yang dikesan.

Ini juga prosedur yang diperlukan untuk laporan kepada SPRM jika diperlukan.

Ia adalah prosedur biasa, dan tidak timbul langsung isu balas dendam seperti yang dicadangkan oleh Nasrudin Hassan. Malah tidak timbul isu teori konspirasi yang dramatik.

Bermacam alasan ada

Mengimbas kembali skandal yang melanda negara kebelakangan ini, satu pola sikap sangat konsisten nampaknya telah wujud.

Apabila skandal 1MDB hangat dibahas sebelum PRU ke-14, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa Najib Razak dibenarkan menghabiskan penggal penuhnya sebagai perdana menteri.

Abdul Hadi juga menyatakan dalam skandal antarabangsa 1MDB yang luas - dan termasuk wujud elemen siber - wajib ada empat orang saksi.

Pelbagai alasan di beri untuk membela Najib.

Selepas tamat tempoh Najib memerintah, hutang 1MDB sebesar bukit jadi menggunung besarnya dan bertukar sebagai skandal mega bertaraf dunia.

Timbalan presiden PAS dan beberapa anggota jawatankuasa parti itu pula - setelah diberi taklimat oleh ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu - menyatakan mereka "berpuas hati" dengan penjelasan Arul Kanda Kandasamy.

Keadaan itu berlaku ketika tidak ada seorang pun daripada mereka merupakan pakar kewangan atau akauntan.

Sekali lagi pelbagai alasan diberi untuk membela Najib.

Jelas kelihatan bahawa sekarang agenda membela Najib dan Umno menjadi keutamaan PAS.

Lebih banyak membisu

Hari ini Najib dan beberapa orang lain berdepan puluhan - atau mungkin ratusan - tuduhan serius di Malaysia serta di seluruh dunia.

Selepas pimpinan atasan PAS menggesa Najib diberi peluang menghabiskan penggal sebagai perdana menteri, dan PAS juga berpuas hati tidak ada salah laku dengan penjelasan 1MDB, syarikat itu akhirnya mencatat skandal kewangan terbesar dunia!

Anggota kabinet Najib juga terlibat dengan bermacam tuduhan di mahkamah, malah ia melibatkan dakwaan salah laku pengurusan di agensi yang dekat dengan orang Melayu, seperti Felda, Mara dan Tabung Haji.

Boleh dikatakan semuanya melibatkan hampir 100 peratus kepentingan orang Islam dan Melayu yang diikrar PAS dan Umno kononnya untuk dibela mereka.

PAS - parti Nasruddin - banyak membisu dan lebih banyak memberi alasan lemah untuk tidak menekan isu 1MDB, selain pendedahan berkaitan Tabung Haji di parlimen sejak sebelum PRU ke-13 lagi.

Dakwaan balas dendam dalam isu Tabung Haji tidak timbul langsung kerana skandal itu bukan perkara yang baru ditimbulkan.

Rafizi Ramli telah menimbulkan isu salah guna kuasa dalam Tabung Haji beberapa tahun lalu malah beliau dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan.

Sebenarnya Nasrudin dan rakan-rakannya gagal menjalankan tanggungjawab mereka semasa di parlimen kerana mereka terlebih dulu berpeluang membela nasib pendeposit Tabung Haji, iaitu masyarakat Islam dan Melayu.

Justeru sekarang janganlah pula cuba mengelirukan dan mengganggu siasatan kes Tabung Haji seperti mereka cuba mengelirukan dan membela Najib dalam skandal 1MDB.

Ingatlah sebahagian besar penyimpan dan pelabur Tabung Haji bukan sahaja orang Islam dan Melayu. Sebahagian besar mereka ialah petani, nelayan dan orang kampung yang kurang kemampuan.

Mereka marhaen yang terlebih terdahulu perlu dibela PAS berbanding Najib dan rakan-rakan Umno mereka.

Pembelaan itu mesti dibuay walaupun mungkin PAS terhutang budi dan terhutang derma daripada orang Umno.

Bekas pemain bola negara tidur di kaki lima tunggu rawatan jantung

Malaysiakini
Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90an terpaksa hidup sebagai gelandangan di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu tarikh pembedahan memasukkan perentak jantung tahun ini.

Mingguan Malaysia melaporkan, beliau yang berusia lewat 40-an akan terpaksa tidur di kaki lima setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Simpanan semakin berkurangan, sebab itu lebih lapan bulan saya menjalani hidup sebegini setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), saya tidak mampu untuk menyewa hotel maka terpaksa tidur di kaki lima ini.

"Saya bukanlah penghuni tetap di kaki lima memandangkan saya cuma berehat dan tidur dalam tempoh tertentu sahaja (beberapa minggu dalam sebulan).

"Sejurus selesai sesi rawatan, saya akan pulang ke kampung, apapun inilah nasib saya sekarang," katanya dipetik sebagai berkata.

Bekas pemain posisi pertahanan yang pernah mewakili beberapa pasukan negeri itu berkata kesukaran hidupnya bermula apabila disahkan menghidap penyakit jantung sekitar 2009.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu kemudian dimaklumkan penyakitnya bertambah kronik sejak tiga tahun lalu.

Lebih malang, beliau yang pernah bekerja sebagai buruh selama setahun tidak mampu meneruskan pekerjaan itu disebabkan penyakitnya.

Menurutnya, meskipun menjadi gelandangan sementara, dia masih mampu menguruskan diri dengan baik dengan memanfaatkan kemudahan awam seperti surau dan masjid untuk membersihkan diri dan bersolat.

Lebih hiba, ketika ditanya soal keluarga, lelaki itu mengakui sudah bercerai dan memiliki tiga anak yang sedang belajar, terma­suk seorang daripadanya sedang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA)

Mengakui sudah bercerai dan mempunyai tiga anak yang sedang belajar termasuk seorang daripadanya sedang menuntut di universiti, lelaki itu menjelaskan dia tinggal di rumah kakaknya sekiranya berada di kampung.

"Ketiga-tiga anak saya tidak tahu saya hidup begini, saya tidak mahu mereka tahu kesusahan saya, takut mereka susah hati pula, jelasnya sebak," katanya.

Isteri orang dicekup dengan duda

RUBIAH OMAR

Wanita itu bersama pasangan 'terlarang'nya turut dikenakan denda RM2,400 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU - Hubungan sulit seorang pembantu kedai makan yang juga berstatus isteri orang dengan seorang duda bukan sahaja terbongkar selepas mereka dicekup berkhalwat di sebuah bilik hotel bajet di bandaraya ini.

Malah, wanita itu bersama pasangan 'terlarang'nya turut dikenakan denda RM2,400 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini atau diarahkan menjalani tiga minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Keputusan dibuat selepas wanita berusia 38 tahun bersama pasangannya, 34, yang bekerja sebagai jurujual mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, pasangan yang berasal dari Kelantan dicekup selepas bilik di sebuah hotel bajet di sewa mereka diserbu dalam satu serbuan berwaran, kira-kira jam 10.40 malam, pada 14 Disember tahun lalu.

Semasa serbuan dilakukan, didapati pintu utama bilik tertutup rapat dan berkunci sebelum diketuk beberapa kali sambil memberi salam.

Tiga minit kemudian, pintu dibuka seorang perempuan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di dalam bilik dan menemui seorang lelaki yang hanya bertuala bersembunyi di dalam bilik air.

Pemeriksaan seterusnya mendapati hanya mereka berdua di dalam bilik hotel itu dan hasil soal siasat mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar di hadapan Hakim Syarie.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang remaja yang juga berstatus isteri orang diarahkan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, selama tiga bulan.

Keputusan dibuat selepas gadis berusia 18 tahun itu mengaku berkhalwat bersama dua rakan lelakinya, 38 dan 19 tahun, yang mana salah seorang daripadanya berstatus suami orang di sebuah rumah tumpangan di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Dia yang tidak bekerja itu mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral berkenaan selepas rumah tumpangan disewa mereka diserbu, kira-kira jam 1.11 pagi, pada 5 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Hafiz Razali.

Bekas naib presiden Gerakan sertai Amanah

Bernama

TAWAU: Bekas Naib Presiden Gerakan, Tan Sri Liew Yun Fah bersama lebih 1,000 orang dari Parlimen Tawau dan Kalabakan menyertai Amanah hari ini.

Borang keahlian mereka diserahkan kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam satu majlis parti itu.

Mohamad ketika ditemui pemberita berkata penyertaan beramai-ramai itu sebagai satu permulaan gelombang baru dan sekali gus membuktikan Amanah mulai diterima dan semakin berkembang di Sabah.

“Bilangan ahli di Sabah lebih sekitar 5,000 orang dan semakin bertambah selepas pilihan raya umum lalu.

“Amanah mula mendapat tempat di Sandakan dan kini semakin berkembang dan saya yakin dengan kemasukan ahli baharu di Sabah ini, Amanah mampu menjadi parti berperanan penting di Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Mohamad berkata masyarakat sebenarnya menerima Amanah sebagai parti multi-racial namun tiada publisiti mengenai perkara tersebut.

“Masyarakat Sabah ini bersikap lebih terbuka dan masyarakatnya tidak kuat berasaskan perkauman atau fahaman aliran agama tertentu, ekoran itu Amanah memiliki potensi di Sabah,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk penyertaan orang bukan Islam kerana Amanah merupakan sebuah parti multi-racial.

“Dalam jawatankuasa tertinggi Amanah sendiri terdapat 2 orang bukan Islam cuma perkara ini tiada publisiti,” katanya.

Mohamad dalam pada itu tidak menafikan bahawa terdapat cakap-cakap berkaitan ahli pembangkang di Sabah mahu menyertai Amanah namun belum dapat dipastikan kebenarannya.

“Namun, sekiranya ada ahli pembangkang yang mahu menyertai Amanah perkara ini akan dibincang ke peringkat tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Liew yang juga komander Rejimen 516 Askar Wataniah berkata kemasukannya didorong oleh keprihatinan Mohamad terhadap Sabah.

“Beliau sejak memegang portfolio menteri pertahanan sendiri bermalam di laut (Zon Selamat Timur Sabah) untuk melihat sendiri keselamatan di Sabah, dan pemimpin sebegini perlu untuk negeri ini,” katanya lagi.

Padah bersuamikan lelaki bawah umur

MUMBAI - INDIA . Polis di bandar Mumbai telah menahan seorang wanita berusia 20 tahun kerana dia berkahwin dengan remaja tiga tahun lebih muda daripadanya, di bawah kes yang jarang berlaku di negara itu.

Wanita itu dan anak perempuannya berusia lima bulan telah ditahan di penjara selama dua minggu selepas ibu suaminya membuat laporan polis.

Dia telah didakwa di bawah Akta Penderaan Seksual ke atas Kanak-kanak dan Akta Larangan Perkahwinan Kanak-kanak.

Wanita itu bagaimanapun menyatakan hubungan mereka adalah secara rela dan turut menafikan suaminya adalah di bawah umur seperti didakwa ibu remaja terbabit.

Difahamkan, umur yang dibenarkan untuk hubungan seks dengan persetujuan di India adalah 18 tahun manakala usia untuk berkahwin sah di sisi undang-undang adalah 18 tahun bagi wanita manakala 21 tahun untuk lelaki.

Dalam laporan yang dibuat ibu lelaki berusia 17 tahun itu, dia mendakwa anaknya telah menghubungi wanita terbabit selama dua tahun dan pernah mengugut untuk membunuh diri jika remaja tersebut enggan bertemu dengannya. - BBC