"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKSIM guna duit zakat untuk lawan Pakatan Harapan?

IKSIM dapat duit zakat untuk lawan Pakatan Harapan, akui Ustaz Engku Ahmad Fadzil
KU FARIS ISMAIL

10 OGOS 2018 - Polemik gelapkan perbelanjaan RM 7.4 Juta, Ustaz Engku Ahmad Fadzil terpaksa akui bahawa IKSIM mendapat dana dari zakat dalam melakukan agenda melawan Pakatan Harapan dalam PRU baru-baru ini.
"Jawatankuasa Baitulmal MAIWP telah meluluskan dana untuk IKSIM sebagai asnaf fi sabililLaah", Tulis beliau yang juga Fello IKSIM.

IKSIM adalah satu badan yang ditubuhkan oleh Najib Tun Razak untuk melawan Pakatan Harapan dalam PRU dalam membangkitkan isu-isu perkauman dan agama.

Disamping mewujudkan prejudis sesama rakyat Malaysia atas alasan agama dan kaum, antara modus operandi mereka dengan melakukan fitnah terhadap beberapa tokoh pemimpin Pakatan Harapan.

Ustaz Engku Ahmad Fadzil antara individu terkehadapan memfitnah golongan muslim yang berbeza pendapat dengan mereka sebagai wahabi, Liberal dan Plural. Malahan, beliau juga tokoh kehadapan menuduh sebilangan Non Muslim di Malaysia sebagai Kafir Harbi.

"Dengan dana yang diluluskan dan disalurkan oleh MAIWP itulah IKSIM menanggung kos2 operasi (bayar gaji, sewa dsb) dan kos2 program", jelas Ustaz Engku Ahmad Fadzil yang pernah menuduh Dr Mujahid Yusuf Rawa sebagai tokoh liberal.

Rentetan gelapkan wang RM 7.4 juta, dikhabarkan Tun Mahathir akan memastikan siasatan terhadap Muhamad Naser Desa akan dilakukan untuk memastikan pengesahan dakwaan ramai bahawa beliau pecah amanah.

Mahathir disambut Mat Sabu lawat Equanimity

MALAYSIA DATELINE

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Terminal Boustead Cruise Center untuk melawat kapal layar mewah Equenimity yang dikaitkan dimiliki taikun Jho Taek Low atau Jho Low.

Dr Mahathir, yang tiba pada jam 11.30 pagi, disambut oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Dr Mahathir dijangka menghabiskan satu jam di kapal sebelum memberikan sidang akhbar selepas lawatan itu.

Kapal layar kapal berharga AS$250juta (RM1.02 bilion) kini berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center selepas tiba dari Indonesia pada hari Selasa lalu.

PRK Balakong: MCA guna logo sendiri

MALAYSIADATELINE
MCA akan menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 September nanti.

Presiden parti itu, Liow Tiong Lai berkata ia merupakan keputusan sebulat suara MCA yang akan disampaikan kepada BN kemudian.

Ditanya sama ada MCA akan keluar BN, Liow menjawab dengan peribahasa Cina.

“Biar saya ulang sekali lagi, BN sudah ming cun shi wang (BN hanya wujud pada nama, tapi realitinya sudah mati).

“Kita perlu tumpukan pada pembaharuan setiap parti. Kita masih percaya pada masa depan (MCA).

“Kita memasuki babak baru,” kata Liow pada sidang media di ibu pejabat MCA hari ini di petik Malaysiakini.

Kerusi majoriti pengundi Cina di bawah Parlimen Bangi itu kosong selepas Adunnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Pada PRU14 lalu, calon MCA, Lim Chin Wah hanya mendapat 10.9% atau 5,874 undi, manakala calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali meraih 11.6% undi. Mereka kalah kepada Ng yang mendapat 41,768 undi.

MCA hanya memenangi sebuah kerusi Parlimen pada PRU14 melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam, Johor.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun diumumkan sebagai pengarah PRK Balakong.

Hari penamaan calon PRK Balakong ditetapkan pada 18 Ogos ini dan hari mengundi pada 8 September nanti.

Kamera rahsia pada botol syampu: Lelaki kantoi curi rakam 34 wanita mandi

Sinar Harian
WELLINGTON: Seorang lelaki di New Zealand, semalam mengaku bersalah atas perbuatan 'curi rakam' 34 wanita di rumah tamunya dengan menggunakan kamera rahsia pada botol syampu.

Tertuduh yang identitinya tidak didedahkan dari Hawke's Bay, North Island didakwa membuat 219 rakaman tidak senonoh itu dari Disember 2017 hingga Februari 2018.

Dia juga mengaku memuat naik video itu ke laman porno.

Difahamkan kebanyakan mangsanya berusia di bawah 30 tahun dan kamera tersebut akan merakamkan antara bahu dan lutut malah wajah mereka juga dapat dilihat.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada botol syampu itu adalah peranti buatan sendiri atau dibeli secara dalam talian.

Ketika dia ditahan pada Februari lalu, lelaki tersebut memberitahu polis dia melakukan perbuatan itu kerana 'seronok dengan risiko untuk ditangkap'.

Menurut Mahkamah Daerah Hastings, tertuduh akan mengaktifkan kamera tersebut menerusi alat kawalan jauh sejurus mangsa mandi.

Dia kemudiannya akan mengeluarkan botol syampu tersebut dan memuat naik video tersebut pada laman porno di mana individu diminta meninggalkan komen positif untuk menggalakkannya membuat lebih banyak rakaman. - BBC

IRI: Parti Lebai kantoi (Gambar)



Ahmad Dhuha Sobri

Pas antara yang mendapat nikmat besar daripada International Republican Institute (IRI). Ada pimpinan mereka telah ditaja mengadakan program di Bangkok selama tiga hari dua malam. Tiket kapal terbang, penginapan hotel 5 bintang dan lain-lain telah ditaja sepenuhnya oleh IRI kepada pimpinan Pas untuk mengadakan program bersama mereka....

Isu LGBT: Bahasa Siti Kasim tak matang, kata mufti

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mengajak peguam kontroversi, Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Dulu Puan Siti Kassim telah kita jemput untuk satu majlis dialog terbuka tentang isu Islam di Malaysia. Beliau enggan datang dengan alasan-alasan beliau.

“Padahal, ia satu dialog yang adil selaras dengan semangat Malaysia baharu yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar di Facebook.

Menurut beliau, Siti Kasim sekali lagi bising kali ini berkaitan LGBT dan bahasa yang digunakan Siti Kasim sangat tidak matang.

“Hari ini beliau bising lagi pasal LBGT, seakan akan undi beliau dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini memerintah.

“Sangat tidak matang cara bahasa dan gaya yang dipertontonkan. Apatahlagi jika mahu diukur dari nilai budaya timur dan nusantara kita yang santun dan berbudi bahasa. Sangat janggal. Bimbang jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak kita yang masih mentah.” katanya.

Mohd Asri berkata, dialog adalah sesuatu yang adil dilakukan dan selaras dengan semangat Malaysia baru yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat.

Mengulas lanjut, mufti itu berharap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog beliau bersama Siti Kassim.

Beliau juga percaya terdapat ramai tokoh ataupun aktivis masyarakat yang boleh dipilih untuk mewakili suara majoriti rakyat yang tidak menerima LGBT.

“Mungkin Ustaz Salman Ali juga masih bersedia untuk dialog tersebut.

“Jika tiada penganjur, kita di Perlis akan menjemput beliau untuk dialog tersebut secara terbuka dan adil,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, selaras dengan tindakan Stiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus yang mengarahkan George Town Festival menurunkan gambar yang menampilkan dua orang aktivis LGBT - Nisha Ayub dan Pang Khee Teik - Siti Kassim juga meminta potretnya diturunkan.

Beliau turut membidas kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya sebagai tidak ada beza dengan kerajaan BN sebelum ini. Malah katanya, rakyat telah mengundi “closet Islamofascists”.

Sambil menyelar mereka yang mengarahkan supaya gambar aktivis LGBT itu diturunkan, peguam itu berkata, pemimpin tidak seharusnya tunduk kepada mereka yang taksub dan fasis.
-malaysiakini

Singapura jadikan Johor ‘tong sampah’ buang sisa arsenik, dakwa Adun Senggarang

Malaysia Dateline
AMNI JAGAT

Khairuddin A Rahim (kiri) sedang menunjukkan kawasan di mana sisa arsenik di lupuskan.

Negeri Johor bernasib malang apabila negeri yang berdekatan dengan negara Singapura ini dakwaan menjadi tempat pembuangan sisa arsenik dari negara tersebut.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Ahli Dewan Negeri (Adun) Senggarang, Khairuddin A Rahim yang menjelaskan terdapatnya kegiatan pembuangan sisa arsenik di Sungai Tiram Johor.

Khairuddin yang merupakan Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor mendakwa kegiatan itu datang dari negara jiran Singapura.

“Sebanyak 2000 tan metrik sisa berjadual itu dibawa masuk dan dibuang ke Johor setiap bulan. Ini mendatangkan mudarat kepada rakyat di negeri ini yang terpaksa berhadapan dengan perkara itu.

“Keistimewaan apakah yang dimilki dari negara jiran tersebut yang menjadikan Johor sebagai tong sampah dan tempat pembuangan sisa dari mereka?

“Ini sangat serius dan perkara ini telah berlarutan lama dari pemerintahan sebelum ini. Ia perlu dibendung segera agar perkara sebegini dapat dihentikan,” ujar Khairuddin ketika dihubungi.

Khairuddin A Rahim (kiri) menunjukkan tempat pelupusan yang tidak boleh dimasuki.

Sehubungan dengan itu, Khairuddin akan membawa perkara tersebut ke pihak berwajib untuk menyiasat akan perkara tersebut.

“Kami akan membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan kerana pihak kami mendapat laporan terdapatnya kegiatan rasuah yang berlaku.

“Selain itu, dalam sidang Dewan Negeri Johor yang bakal berlangsung pada 9 Ogos 2018 akan datang, perkara ini akan dibangkitkan agar pihak kerajaan mengambil maklum akan perkara ini,” katanya.

Beliau juga akan membawa perkara tersebut ke peringkat nasional sekiranya perkara yang berlaku ini membabitkan keharmonian di antara kedua buah negara, Malaysia dan Singapura.

Ini isi surat Musa kepada Speaker Dun Sabah

KOTA KINABALU - Tan Sri Musa Aman malam ini mengumumkan kandungan suratnya bertarikh 30 Julai yang dialamatkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah susulan laporan berita dalam media portal arus perdana mengenai tempoh akhir untuk beliau dan anaknya, Yamani Hafez mengangkat sumpah jawatan, masing-masing sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Sabah dan Ahli Parlimen Persekutuan.

Tengku Fuad Tengku Ahmad yang juga Peguam Utama Musa berkata anak guamnya dalam surat itu memberitahu Speaker bahawa beliau sedang menjalani siri rawatan perubatan dan ujian dan telah dimasukkan ke hospital dan oleh itu, adalah tidak selamat dan boleh menjejaskan kesihatannya jika beliau melakukan perjalanan.

Menurut Tengku Fuad, dalam surat tersebut, Musa juga memaklumkan kepada bahawa beliau sedang menunggu keputusan pelbagai ujian perubatan, diagnosis, serta prognosis masa depannya berkaitan keadaannya untuk menentukan terlebih dahulu, keperluan perubatannya dan yang kedua bila yang ia mungkin selamat untuk beliau melakukan perjalanan yang mengambil masa lama untuk kembali ke Sabah.

“Secara khusus, doktor Tan Sri harus menentukan cara terbaik untuk merancang rawatannya pada masa depan selain membuat perancangan untuk penjagaan kesihatan apabila beliau kembali ke Sabah.

“Dokumen yang menyokong keadaan perubatan serius Tan Sri telah dikemukakan kepada Speaker untuk pertimbangannya.

“Pada masa ini, Tan Sri Musa, atas nasihat doktor perubatannya, telah membayangkan bahawa beliau tidak dapat dari segi fizikal untuk melakukan perjalanan dan bahawa sebarang perjalanan boleh memudaratkan kesihatannya. Oleh itu, Tan Sri Musa telah menyatakan rasa kesal yang mendalam bahawa beliau mungkin tidak dapat secara fizikal berada di Sabah untuk upacara mengangkat sumpah jawatan di Dewan Undangan Negeri,” kata Tengku Fuad dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Tengku Fuad berkata anak guamnya dalam surat itu telah memohon daripada Speaker keizinan khas dan lanjutan masa untuk mengangkat sumpah jawatan atas sebab-sebab perubatan dengan budi bicara mutlak untuk memberikannya terletak pada Speaker.

Tengku Fuad berkata dalam surat tersebut, Speaker telah dimaklumkan sepenuhnya tentang keadaan perubatan serius Tan Sri Musa.

Seterusnya, kata Tengku Fuad, Tan Sri Musa telah memberi jaminan untuk memaklumkan kepada Speaker mengenai perkembangan kesihatannya dan juga telah menawarkan untuk memberikan laporan perubatan lengkap kepada Speaker sekiranya ia memerlukan.

“Tan Sri Musa mengambil kesemapatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah mendoakan supaya beliau segera sembuh. Tan Sri Musa juga memberi jaminan kepada semua bahawa beliau akan kembali tidak lama lagi dan bahawa beliau akan dan layak menduduki jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah secara sah di sisi undang-undang,” kata Tengku Fuad. 
-Bernama

Marina tergamam baca surat terbuka Dr. Nur IIyani

Kehadapan Cik Puan Marina bt Mahathir
1) Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

2) Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

3) Sehingga kini, walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka. Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?

4) Adakah Cik bersetuju jika ada darah yang didermakan oleh golongan LGBT didermakan kepada salah seorang ahli keluarga Cik? (Buat masa sekarang pengamal LGBT tidak dibenarkan mendermakan darah disebabkan gaya hidup yang berisiko tinggi). Adakah itu kesamarataan yang Cik mahukan?

5) Jika kalian melaungkan hak, maka kami juga mahu melaungkan hak untuk hidup aman damai serta bebas dari gaya hidup songsang dan segala penyakit bawaannya.

6) Akan tetapi, jika kalian mula mempromosi gaya hidup sebegini di media, kalian sudah mula mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman kehidupan kami untuk mendapat akses yang murni di media-media.

7) Kami juga punya hak untuk memastikan pemikiran anak-anak kami dan sanak saudara kami agar terselamat daripada terjerumus ke dalam pemikiran dan perbuatan songsang ini. Na'uzubillah.

8 ) Akhirnya, jika kalian rasa itu bukan satu dosa dan itu adalah hak peribadi, maka buatlah tapi pastikan kalian bukan berada di bumi Tuhan!
Nur Ilyani Mohamed Nawawi
Pasir Mas
6/8/2018-

Jadi siapa punya duit RM3.5 juta di PMO?

Hariz Mohd
Tidak ada mana-mana pihak tampil membuat tuntutan terhadap wang tunai RM3.5 juta yang didakwa dicuri daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) oleh seramai 17 pengawal keselamatan pada malam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Sumber memberitahu Malaysiakini, sehingga kini tiada laporan dibuat kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kehilangan wang tunai berkenaan.

Perkara itu turut disahkan oleh polis Putrajaya dan SPRM ketika dihubungi hari ini.

"Tiada laporan mengenai wang yang dicuri itu atau apa-apa pun. Pihak berkuasa hanya mula menyiasat pengawal keselamatan berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kemewahan mereka," kata seorang sumber.

Satu lagi sumber mengatakan maklumat itu merupakan sebab mengapa SPRM mengambil alih kes itu dan bukannya polis seperti kebiasan dalam mana-mana kes kecurian atau pecah masuk.

"Itulah sebabnya apabila kes itu dibuka, pihak berkuasa melihatnya sebagai kes rasuah," kata sumber itu.

Seramai 17 petugas keselamatan sebelum ini ditahan reman oleh SPRM kerana didakwa mengambil wang tunai berjumlah RM3.5 juta.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mengambil wang itu - yang dikatakan SPRM merupakan sebahagian dana pilihan raya Umno- selepas mengetahui "kekalahan BN dalam PRU"

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan memberitahu Malaysiakini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kecurian atau rompakan wang RM3.5 juta daripada PMO.

"Setakat yang saya tahu, tidak ada laporan yang dibuat dengan kami (polis). Mungkin mereka (pemilik wang tunai) melaporkannya kepada SPRM kerana suruhanjaya itu menjalankan siasatan. Cuba semak dengan mereka," katanya.

Kereta, motosikal disita

Malaysiakini kemudian menghubungi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mengatakan tiada siapa datang ke agensi itu untuk menuntut wang tunai berkenaan.

Ketika ditanya, beliau juga mengesahkan SPRM memulakan siasatan berdasarkan maklumat mengenai pengawal-pengawal keselamatan berkenaan yang dikatakan mempamerkan kemewahan secara tiba-tiba.

Azam, bagaimanapu enggan mendedahkan butiran lanjut dan mengatakan kes itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, SPRM telah merampas banyak barangan berharga dan aset daripada 17 suspek, termasuk kenderaan mewah.

Menurut sumber, SPRM merampas antara lain kereta Volkswagen GTI, tiga kereta Honda, Perodua Alza dan dua motosikal.

SPRM juga setakat ini telah menyita lima kereta dan 11 motosikal.

Mereka juga merampas sejumlah besar barang kemas, 11 telefon bimbit, dan pelbagai peralatan elektrik.

Azam berkata suruhanjaya itu masih mengira nilai semua barangan dan sedang mengumpulkan bukti.
-malaysiakini

Kes kontrak 60,000 periuk nasi berlogo Umno dan BN: Shahidan, dua yang lain diarah hadir ke mahkamah

Hafiz Yatim 
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan dua lagi pemimpin Umno Perlis diarahkan hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Ogos untuk menjawab saman pelanggaran kontrak berhubung pembelian 60,000 periuk nasi.

Jika gagal, keputusan akan dibuat terhadap mereka.

Perintah itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas peguam mewakili Shahidan dan dua yang lain memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mendapat arahan daripada anak guam mereka.

Peguam berkenaan juga memberitahu akan menarik diri jika gagal mendapat sebarang arahan daripada anak guam mereka pada minggu ini.

Ini menyebabkan Wan Ahmad Farid mengarahkan Shahidan bersama Anggota Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang juga setiausaha Umno Perlis dan bendahari Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman hadir di mahkamah pada 17 Ogos.

Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili pembekal periuk nasi, Florence Lee Jye Wen ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan perkara itu. Perbicaraan akan diteruskan pada bulan ini.

Terdahulu dilaporkan Lee menamakan Shahidan, bersama-sama Zahidi dan Rozabil selaku defendan dalam samannya di mana beliau mendakwa Umno Perlis memesan 60,000 periuk nasi bersaiz 1.8 liter yang berlogo Umno dan BN dengan singkatan DSSK yang merujuk kepada Shahidan.

Dalam kenyataan tuntutannya yang difailkan pada April tahun lalu, Lee mendakwa beliau pada mulanya didatangi wakil jualan yang mengatakan Umno Perlis berminat membeli periuk nasi dengan logo berkenaan.

Lee mereka bentuk logo berkenaan dan dilaporkan menunjukkan kepada setiausaha Shahidan pada Mei 2015.

Dr Mujahid, jadilah ‘gay’

Hasmi Hashim
Seorang anak buah saya, warga Amerika, umurnya 12 tahun. Dia bercuti sebulan setengah, pulang ke Malaysia.

Dia pulang ke Malaysia ketika ada cerita panas tentang LBGT. Dia tak tahu itu. Dia tidak membaca berita tentang negara ini. Baginya, bagi abang dan kakaknya yang berbeza empat dan tiga tahun lebih tua, “family first”: keluargalah yang perlu diutamakan.

Selepas keluarga, barulah negara mereka: Amerika Syarikat. “Family first” adalah “nilai Amerika” yang ketiga-tiganya belajar di sekolah. Dan memang sistem pendidikan AS—bagi sesetengah orang mengecamnya sebagai ‘sistem Barat’ atau ‘kafir’ itu—mengajarkan bahawa keluarga adalah perkara utama waima dalam hidup bernegara.

Dalam kata lain, negara pun tidak boleh menandingi keluarga. Apatah lagi hal-hal lain. Begitulah asas patriotisme Amerika dibentuk. Seolah-olah keluarga adalah negara, negara adalah keluarga.

Umurnya 12 tahun seperti yang saya tuliskan tadi. Sehinggalah dalam satu perbualan kami, dia memberi komen tentang maksud “gay”. Katanya, gay mempunyai dua makna dalam perbendaharaan kata bahasa Inggeris.

Makna pertama adalah makna yang dikecam ramai orang. Gay, jelasnya, bermaksud seseorang lelaki yang suka kepada pasangan sejenis. Sementara maksud kedua, jelasnya lagi, “gembira” (“happy”).

Maksud kedua itu adalah pengertian yang lebih lama dipakai bagi tamadun manusia. Bukan pengertian pertama. Dan dia pun memberikan contoh ayat, “Hey Uncle Hasmi, I am so gay for you!”

Terjemahan dalam bahasa Melayu, “Hei Pakcik Hasmi, saya gembira untuk anda!”

Di waktu lain, anak buah saya itu ngobrol dengan kakaknya. Dia merasa aneh dengan lelaki yang menyukai kaum sejenis. Jawab sang kakak, “jangan tindas dan bersikap berat sebelah terhadap mereka.”

Jawab sang adik, “ya, tetapi tetap aneh!”

Di dalam masyarakat yang terbuka seperti Amerika Syarikat itu pun, menyukai kaum sejenis tetap dilihat aneh.

Aneh bukan kerana sesiapa yang menyebut atau mengajarkannya sebagai aneh, tetapi daripada rasa awalnya sendiri sudah pun begitu. Perasaan awal itulah barangkali yang disebut dalam Islam sebagai “fitrah”.

Tetapi Amerika tidak memakai hujah agama bagi berhadapan dengan individu LBGT. Terutama begitu rencam dan banyaknya agama di sana.

LBGT pun ‘mati’

Kalau dipakai hujah Islam, maka tidak sampai ke hati penganut agama lain. Begitulah kalau diguna pun hujah dari Kristian, misalnya, juga terhad kepada penganut Kristian sahaja.

Oleh itu, bagi pemerintah Amerika Syarikat, apa yang mustahak perlu diajarkan di sekolah ialah keluargalah yang pertama: family first. Mencintai keluarga dan darah daging sendiri. Sementara mana-mana kelompok LBGT, mustahil mereka dapat melahirkan zuriat sebagai unit asas yang membentuk sistem kekeluargaan.

LBGT pun ‘mati’. Mati tanpa dibunuh.

Anak-anak saudara saya itu, dalam hatinya pun tahu, tanpa keluarga, ibu-ayah atau datuk-neneknya, maka mereka takkan lahir di dunia ini. Bagaimanakah sistem ibu-ayah, datuk-nenek, lelaki-perempuan boleh menjadi pilihan kedua atau serata dengan sistem sejenis manusia?

Tanpa ‘dihasut’ atau didakwah lebih lanjut pun, mereka yang sedang menjalani proses remaja tidak akan sanggup menjadi mana-mana kelompok dalam kategori LBGT. Namun, sekali lagi tidak pula sampai mahu memalukan, menindas atau memukul golongan itu.

Di sini, kita harus bergembira atau dalam bahasa Inggerisnya, “gay” terhadap menteri agama, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang hampir jelas jalan pemikirannya dengan anak-anak saudara saya. Maksud saya, dengan sistem pendidikan di Amerika yang maju, yang perlu kembali mengajarkan anak-anak kita bahawa keluarga adalah yang terpentingnya dalam sistem sosial.

Sejauh mana pun atuk-nenek mereka, dan walaupun berbeza warganegara, mereka pasti akan pulang. Menjejak manusia yang kerananya mereka ada di muka dunia.

Menafikan kenyataan ini adalah kebiadapan. Bukan kepada negara—Malaysia atau Amerika—tetapi kepada diri mereka sendiri.

Selepas habis berbual, kami perlu berlalu. Dia membuka pintu kereta kepada saya. Sambil menghulur tangan dan meminta saya masuk dahulu, sambil katanya, “Uncle Hasmi, ladies first!”

Begitulah dia berjenaka. Terbahak saya ketawa.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
-malaysiakini

RM18b wang GST 'dirompak': Khairy akan buat laporan polis, SPRM

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan BN telah 'merompak' bayaran balik GST.

Beliau berkata siasatan dalaman - seperti yang dicadangkan Lim - tidak memadai untuk dakwaan serius seumpama itu.

"Memandangkan Lim tidak menaruh minat terhadap apa-apa (siasatan) pada masa ini melainkan inkuiri dalaman, saya mahu membawa perkara ini bagi kepentingan awam.

"Hari ini dan esok, saya akan membuat laporan polis dan SPRM terhadap bekas pegawai tinggi Kementerian Kewangan ketika dakwaan itu berlaku. Ia bagi membolehkan siasatan terbuka dibuat untuk memastikan kebenaran pendedahan Lim," katanya di Twitter, hari ini.

Dua hari lalu, Lim ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat mendakwa kerajaan BN 'merompak' bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Beliau sekali lagi membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat semalam dengan berkata audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati sejumlah RM18 bilion hilang dalam tabung bayaran balik GST.

Ketika menjawab balasan seorang pengguna Twitter, Khairy berkata laporan itu juga akan dibuat terhadap menteri kewangan ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan kemudian, beliau berkata akan membuat laporan pada pukul dua petang ini di ibu pejabat polis daerah Sentul.
-malaysiakini

YAPEIM dalam radar siasatan JPM - Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana agensi di bawah jabatan itu jika dikesan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran.

Beliau berkata ini termasuklah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang menguruskan puluhan cawangan ar-Rahnu yang menawarkan skim pajakan emas secara Islam di seluruh negara.

"Sekarang semua ada dalam fail untuk kita tengok di mana masalah-masalah yang timbul dan saya bagi jaminan segala perkara yang kita dapati ada penyelewengan sudah tentu kita tidak akan biarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama masyarakat anjuran Pertubuhan Prihatin Rakyat Kelantan (PRiKEL) di Kota Bharu malam tadi.

Pada 2015, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendakwa berlaku penyalahgunaan dan penyelewengan dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) serta pembaziran yang berlaku dalam YaPEIM.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata jawatankuasa yang ditubuhkan antara pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu dan kerajaan negeri dalam membincangkan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) kini tidak lagi berfungsi.

"Dasar kerajaan baharu melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka yang lebih holisitik. Ia lebih melihat kepada intipati dari segi hakim, penguatkuasaan, infrastruktur dan lain-lain.

"Perkara-perkara itu adalah keutamaan kita, maka sekadar RUU355 itu belum menentukan bahawa mahkamah boleh diperkasakan," katanya.

Mengulas tentang Guru Takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mujahid berkata pihaknya sedang merangka metode penilaian bagi menilai kembali kualiti tugas-tugas guru dalam bidang berkenaan.

"Sistem itu (metode penilaian) kita sedang buat dan bukan mudah kerana ada lebih 30,000 Guru Takmir dan KAFA, dan ada peperiksaan KAFA yang standard daripada kurikulum kita.

"Itupun kita perlu baiki juga bagi memastikan kualiti anak-anak kita yang belajar di (kelas) KAFA itu betul-betul sampai di tahap yang kita hajatkan," katanya.
-Bernama

Beri peluang PH laksana agenda Islam - Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR 

SHAH ALAM - Masyarakat Islam di negara ini perlu memberi peluang kepada kerajaan PH untuk melaksanakan agenda Islam, kata Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Menurut anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, beliau yakin kerajaan PH sememangnya komited memelihara Islam di samping memberi kebebasan kepada agama lain untuk diamalkan.

“Kalau kita tengok ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjumpaan dengan ulama dan cendekiawan Islam baru-baru ini, beliau berulang kali sebut mahukan kerajaan Malaysia ini bersandarkan al-Quran dan hadis sahih. Beliau bukan sekadar minta pandangan dan idea ulama, tetapi juga sumbangan tenaga untuk pastikan Malaysia berada di landasan tepat.

“Itu sebenarnya pendekatan yang baik agar umat Islam di Malaysia khususnya mendapat kefahaman jelas tentang Islam sebagai sistem kehidupan kita. Dalam masa sama, orang bukan Islam berasa selesa berada dalam pemerintahan negara yang meletakkan Islam sebagai landasan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai kenyataan ‘menjaga agama lain’ atau hifzuddin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengundang kontroversi, Nik Omar berkata, kenyataan itu perlu dilihat dalam konteks sebenar.

“Beliau berucap selama satu jam tetapi hanya seminit daripada ucapannya mengundang pertikaian. Masyarakat perlu ambil sumber sahih setiap kenyataan dibuat menteri agar kita dapat hadam sebaiknya.

“Kalau kita tidak setuju, kita boleh nyatakan pandangan tapi tak boleh hukum ucapan itu. Kita kena yakin tidaklah seorang menteri agama itu bertujuan melalui ucapannya untuk menolak agama atau memberi tafsiran yang menggambarkan pandangan bertentangan dengan agama,” katanya.

Menurut beliau, kekeliruan yang timbul tidak perlu dipanjangkan sebaliknya boleh diselesaikan secara dialog dan perbincangan.

“Ada yang kata Hifzuddin khusus kepada Islam, tetapi ada juga ulama dan cendekiawan Islam berpandangan kita turut jaga agama-agama lain. Namun, jaga bukan bererti kita beri sokongan untuk agama lain disebarkan.

“Tetapi dalam kerangka Perlembagaan kita beri ruang kepada penganut agama lain untuk laksanakan ibadah cara mereka. Itu yang dimaksudkan menteri agama kita,” katanya.

17 pegawai keselamatan disyaki curi RM3.5 juta dari pejabat Najib

Pegawai-pegawai keselamatan di Jabatan Perdana Menteri yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM3.5 juta daripada pejabat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Sumber memberitahu Malaysiakini seramai 17 anggota keselamatan mengambil wang itu - yang dikatakan SPRM sebahagian dana pilihan raya Umno- apabila mengetahui "BN tewas pilihan raya."

"Para anggota keselamatan adalah sebahagian daripada pasukan bertugas malam itu untuk menyediakan kawalan keselamatan di jabatan berkenaan.

"Mereka yang ditangkap adalah orang yang pada masa itu ditugaskan untuk menjaga bangunan utama di mana terletaknya pejabat perdana menteri.

"Dipercayai apabila mereka mengetahui BN akan kalah pilihan raya, mereka memutuskan untuk mengambil sesuatu untuk diri mereka sendiri dan masuk ke pejabat bekas perdana menteri," kata seorang sumber.

Wang itu, tambah sumber berkenaan, tidak disimpan dalam peti keselamatan.

Pihak berkuasa mengesyaki kumpulan berkenaan telah menyapu bersih semua wang tunai yang didapati di pejabat berkenaan.

Sumber lain berkata pihak berkuasa mula curiga terhadap penglibatan suspek apabila mereka dilihat menayangkan kemewahan mereka secara mendadak, termasuk membeli motosikal baru.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan anggota keselamatan berkenaan sedang disiasat, namun enggan mengulas lanjut.

Terdahulu hari ini, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama lima hari terhadap suspek, berusia antara 31 dan 51 tahun di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Dilaporkan SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM840,700 daripada suspek, bersama sembilan motosikal bernilai RM90,000.
-malaysiakini

Lahanat betul puak-puak ni: 'Audit dedah salah guna RM18 bilion tabung bayar balik GST'

PARLIMEN | Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan kekurangan RM18 bilion dalam tabung bayaran balik GST dan mendakwa pentadbiran terdahulu menyalahgunakan wang tersebut.

Pendedahan itu berikutan tuduhan pentadbiran terdahulu telah 'merompak' dana bayaran balik GST itu.

Ketika membentangkan RUU Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Mansuh) 2018 petang tadi, Lim berkata jumlah keseluruhan bayaran balik GST adlaah sebanyak RM19.4 bilion semenjak pelaksanaan cukai itu sehingga ke 31 Mei 2018.

"Jumlah wang baki yang sedia ada dalam tabung bayaran balik (GST) RM 1,486 juta, saya nak tegaskan ini jumlah wang yang disahkan selepas pemeriksaan dan audit dalaman oleh jabatan kastam, menandakan bahawa kekurangan kira-kira RM 18 bilion," jelas beliau.

Lim berkata ini berdasarkan audt dalaman dan pemeriksaan jabatan kastam.

"Tunggakan sebesar ini... berlaku bukan saja kerana garis panduan tidak dipatuhi, tetapi ia dianggap... kerajaan dulu untuk menyelewengkan jumlah wang baki yang sedia ada," tambahnya.

Dakwaan BN palsukan akaun

Menurut perangkaan jabatan kastam, jumlah bayaran balik GST untuk 2017 adalah sebanyak RM9.18 bilion, pada 2016 (RM6.78 bilion) dan pada 2015 (RM610 juta).

"Tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai kerajaan persekutuan akibat kekurangan disiplin fiskal, pembaziran berleluasa dan pertambahan hutang yang besar," maklum Lim.

Beliau mendakwa pentadbiran terdahulu memalsukan akaun dan menyalahgunakan dana dalam akaun bayaran balik GST untuk menutup defisit dasar kewangan kerajaan.

"Apa yg dilakukan oleh pentadbiran terdahulu merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik cukai (GST) untuk kegunaan lain atau menutup defisit supaya menunjukkan keadaan akaun baki semasa kelebihan.

"Kami kesal bahawa tunggakan ini berlaku kerajaan lama masukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah yang dikhaskan untuk melunaskan tuntutan cukai.

"Kerajaan BN telah merompak akaun amanah tersebut," dakwa Lim.
-malaysiakini

Najib hadapi tuduhan baru ubah wang haram - 7 kes setakat ini

Datuk Seri Najib Razak berhadapan tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001 dengan empat pertuduhan terdahulu dipinda.

Bekas perdana menteri itu tiba di kompleks mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pagi ini memakai kot biru dan tali leher kelabu.

Dia dibawa terus ke Mahkamah Sesyen di hadapan hakim Azura Alwi, yang mana tuduhan baru dibacakan.

Ketika itu, jurubahasa mahkamah tersasul dalam menyebut beberapa angka kewangan dalam kertas pertuduhan dan Najib membetulkan angka berkenaan sebanyak dua kali.

Ini mengundang tawa kecil di galeri awam.

Najib didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung tiga deposit ke akaun AmIslamic Banknya antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Jumlah deposit masing-masing adalah RM27 juta, RM5 juta dan RM 10 juta.

Bekas perdana menteri mohon bicara

Bekas perdana menteri itu didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001

Di bawah pertuduhan tersebut, Najib berhadapan hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda jumlah wang yang diubah, jika sabit kesalahan.

Walaupun pertuduhan baru itu tidak menyebut dari mana asal wang berkenaan, semalam sumber-sumber memaklumkan ia berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib kemudiannya dibawa ke Mahkamah Tinggu pula yang mana pertuduhan tersebut dibacakan sekali lagi dan bekas perdana menteri itu memohon untuk dibicarakan.

Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah akan mendengar kes ini.
-malaysiakini

Kenapa Anwar perlu segera masuk kabinet

Mohd Nasaie Ismail

ULASAN | Hasrat menulis isu ini sudah beberapa minggu tertangguh dan kebetulan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai calon Presiden PKR.

Sama ada beliau presiden atau tidak, Anwar perlu berada di dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad atas beberapa sebab.

Ketiadaan Anwar dalam kabinet dalam keadaan beliau bebas di luar memimpin PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuka ruang kepada adu domba yang berterusan.

Suka atau tidak, beliau adalah tokoh utama HARAPAN sebaris dengan Mahathir selaku perdana menteri.

Malah namanya disebut sebagai calon perdana menteri selepas Mahathir.

Usaha ataupun sekadar rumus yang didendangkan bahawa Datuk Seri Azmin Ali yang akan menggantikan Mahathir merupakan satu isyarat yang tidak baik yang akan menggangu kestabilan kerajaan baru.

Tambahan, Azmin yang diberikan jawatan menteri kanan dengan pelbagai agensi penting diletakkan dibawah kementerian beliau yang sebelumnya di bawah Kementerian Kewangan ataupun Jabatan Perdana Menteri seolah-olah menghantar isyarat bahawa rumus itu adalah betul.

Walaupun hakikatnya tidak betul.

Dalam masa yang sama, Anwar juga dikatakan sedang mengusahakan pakatan baru dengan Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan baru yang akan beliau ketuainya.

Penulis meyakini ia dongeng semata-mata, namun membiarkan Anwar di luar kabinet akan membentuk persepsi ia adalah betul.

Masuknya Anwar ke dalam kabinet akan memadam segala tohmahan yang berlaku.

Perbezaan yang boleh jadi wujud diantara Mahathir dengan Anwar akan selesai di meja mesyuarat mingguan kabinet.

Tidak wujud lagi perbezaan yang dihebahkan kepada media di luar sehingga menampakkan kerajaan baru ini tidak stabil.

Rakyat di luar yang mengundi menolak BN tidak mahu dengar politik dalaman sesama pemimpin negara, tetapi mereka dahagakan perubahan.

Jangan sangka BN yang tewas memberi makna bahawa HARAPAN tidak boleh dikalahkan.

Jika Umno tidak pernah sangka Mahathir boleh bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya yang lalu sehingga buat kali pertamanya BN tumbang, HARAPAN juga tidak boleh menyangka langsung tidak ada gerakan yang sama atau gerakan yang lain yang boleh menumbangkan atau setidaknya menggugat kerajaan mereka.

Jangan pandang enteng kepada pengundi HARAPAN sendiri yang ramainya merupakan golongan yang kritikal dengan kerajaan HARAPAN.

Mereka bukan beku dengan pegangan politik, tetapi cair dan boleh berubah bila-bila masa sahaja. Oleh itu hiruk-pikuk dalaman HARAPAN bukanlah sesuatu yang mereka hendak dengar.

Anwar sebagai menteri pembangunan luar bandar

Maka Anwar perlu masuk ke dalam dan sama-sama memimpin dengan Mahathir.

Di antara kelompok yang tidak sabar-sabar menanti perubahan yang akan dilakukan oleh kerajaan baru ini ialah masyarakat desa.

Mereka terdiri daripada warga Felda, peserta Felcra, pekebun kecil Risda, Lembaga Kemajuan Tengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), masyarakat kampung di Sabah dan Sarawak yang kebanyakannya terkesan dengan kos hidup dan jatuhnya harga komuditi seperti sawit dan getah perlu diberi perhatian sewajarnya.

Pengundi Felda yang berjumlah 1.6 juta orang telah membuat anjakan perubahan dalam pilihan raya yang lalu sehingga BN kehilangan majoriti di 39 daripada 54 parlimen Felda, dengan HARAPAN sahaja menang di 19 parlimen, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dua parlimen, PAS di empat parlimen dan BN menang minoriti di 13 parlimen yang bertembung tiga penjuru.

21 kerusi HARAPAN dan WARISAN yang dimenangi di kawasan Felda itu membentuk kemenangan HARAPAN di peringkat pusat.

Mereka tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana sifat pengundinya yang cair kepartian.

Begitu juga dengan masyarakat desa yang lain yang ramai di kalangan mereka hidup di bawah paras kemiskinan.

Maka, Anwar perlu memainkan peranan dalam kabinet bagi menumpukan kepada perubahan dan pembangunan masyarakat desa tersebut.

Ia akan melengkapi tugas perdana menteri yang bergelut untuk memulihkan ekonomi negara yang sangat mencabar ketika ini.

Maka, jika Anwar menyertai kabinet dan menjadi timbalan perdana menteri sewajarnya beliau memegang juga kementerian yang berkaitan sama ada Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau mewujudkan kementerian lain yang akan meletakkan agensi seperti Felda, Felcra, Risda, KESEDAR, KETENGAH, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan agensi pembangunan rakyat desa di Sabah dan Sarawak di bawahnya.

Manakala Yang Berhormat (YB) Rina Harun boleh memegang jawatan di Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat bersesuaian dengan kedudukan beliau.

Begitu juga beliau boleh mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan pembangunan masyarakat desa ini yang melibatkan beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan lain-lain kementerian yang akan memberi fokus mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat bawahan dalam jangka masa pendek dan panjang.

Mungkin ini dilihat kerja yang tidak popular berbanding kementerian lain yang lebih kanan.

Namun kita boleh merujuk sejarah Tun Razak Hussein dan Tun Ghafar Baba yang memberi fokus khas kepada hal-hal tersebut sehingga ia memberi kesan.

Dalam tempoh hanya beberapa tahun menjadi perdana menteri, Tun Razak telah mengasaskan beberapa institusi penting membangunkan masyarakat desa seperti Felda dan Pertubuhan Peladang.

Anwar lama bermain dengan masyarakat desa semenjak di bangku Universiti Malaya (UM) lagi. Beliau lama dalam kerajaan dan lama juga menjadi pembangkang serta lama dalam penjara.

Moga ia satu ramuan yang baik untuk peka terhadap kehendak masyarakat desa.

Jadikan Morsi sebagai tauladan

Pembangkang ketika ini memainkan isu bangsa, raja dan agama yang tidak dapat tidak, sebilangannya berpunca daripada tindakan tidak cermat seorang dua dalam HARAPAN sendiri.

Kita memahami ia sekadar senjata yang lebih banyak persepsinya daripada kebenaran, namun dibiarkan terus tanpa satu kunci yang kuat akan menatijahkan suasana yang tidak harmoni.

Mungkin ada yang berbeza dengan mengatakan di bawah Malaysia Baru kita tidak boleh melayan lagi isu-isu sebegini.

Tetapi harus diingat perubahan besar yang hendak dilakukan akan tergendala apabila suasana tidak harmoni dibiarkan melanda negara.

Pedoman pemerintahan setahun Presiden Morsi di Mesir patut dijadikan tauladan.

Dikala beliau mengusahakan perubahan, di dalam jentera pentadbiran kerajaan masih dipenuhi penyokong-penyokong kerajaan lama yang melakukan sabotaj secara langsung atau tidak langsung.

Media yang dibiarkan bebas dalam keadaan minda rakyat belum terdidik juga menyumbang kepada suasana yang tidak stabil.

Kerajaan boleh menjawab kerosakan 61 tahun tidak boleh dibaiki dalam masa setahun, tetapi api kemarahan rakyat dibakar oleh media-media yang dibiarkan bebas itu atas nama demokrasi.

Maka di sinilah peranan boleh dimainkan Anwar setidaknya meletakkan seorang tokoh yang dilihat cakna kepada agama dan raja-raja disebelah perdana menteri bagi membuang ketakutan dan kegusaran golongan berkenaan.

Kesimpulannya, kehadiran Anwar dalam kabinet adalah perlu bagi mewujudkan kestabilan kerajaan baru agar perubahan dapat dilakukan tanpa gangguan yang banyak.

Ia tidak harus dilihat atau diusahakan agar kemasukan Anwar ini petanda beliau hendak menggantikan Mahathir dengan segera, tetapi pelengkap kepada kepimpinan sedia ada dan penutup kepada segala adu domba.

MOHD NASAIE ISMAIL merupakan Timbalan Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) serta aktivis Felda dan Felcra.
-malaysiakini

'Kita londeh Iksim, takkan dia nak kata saya betul'

Shakira Buang
Datuk Mujahid Yusof Rawa menafikan beliau memfitnah Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) susulan dakwaan peruntukan RM7.6 juta kepada badan itu tidak dapat dikesan perbelanjaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu berkata, beliau tidak akan memberitahu sesuatu jika tidak mempunyai bukti.

"Pastinya bila kita londeh seluar dia, takkan dia nak kata betul saya yang buat," katanya di lobi parlimen hari ini.

Baca: Iksim: Mujahid fitnah dengan 'audit separuh masak'

Mujahid diminta mengulas kenyataan Iksim yang yang menafikan dakwaannya serta mempertikaikan audit dalaman Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sementara itu, Mujahid juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu itu.

"Biar pihak berkuasa yang lakukan siasatan, mereka ada jalan yang baik untuk buat selesaikan masalah ini.

"Tetapi saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan," katanya lagi.

Iksim ditubuhkan hasil kesepakatan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), MAIWP dan Majlis agama Islam negeri-negeri, serta perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Penubuhan IKSIM, yang diperbadankan secara rasmi pada 9 Disember 2014, adalah cetusan idea bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia ditubuhkan untuk menjadi institut pemikiran yang bebas khususnya untuk memelihara kedaulatan raja-raja Melayu serta kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan.

Menurut Mujahid, MAIWP antara pihak yang membiayai institut itu.

LINTAS LANGSUNG: Najib mengaku tak bersalah tuduhan terima RM42j wang haram

Sekali lagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di kompleks mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, kira-kira 10 minit sebelum jam 9 pagi.

Kali ini Najib berdepan tiga tuduhan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001.

Mengikut kertas pertuduhan, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta pada 26 Dis 2014 di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur, dan ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Wang itu diterima melalui sistem Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS).

Bagi tuduhan kedua pula bekas perdana menteri terbabit didakwa menerima wang berjumlah RM5 juta pada tarikh dan tempat serta kaedah sama.

Tuduhan ketiga pula membabitkan wang berjumlah RM10 juta dan ia berlaku di tempat sama, namun pada tarikh berlainan iaitu 10 Feb 2015.

Bagi ketiga-tiga tuduhan berkenaan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Sek 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001

Jika sabit kesalahan Najib boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun, denda lima kali ganda daripada jumlah atau hasil aktiviti haram berkenaan, atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Najib ialah anak bekas perdana menteri kedua Malaysia. Beliau sebelum ini sudah didakwa atas tiga tuduhan jenayah membabitkan pecah amanah dan satu salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Malaysiakini membawa laporan secara langsung mengenai prosiding hari ini.

LIPUTAN LANGSUNG

11.45am - Shafee meminta dokumen yang belum diperoleh.

Shafee juga meminta supaya permohonan larangan media daripada mengulas isu itu didengar mahkamah pada Jumaat ini.

Untuk perbicaraan, Shafee juga berkata tarikh paling awal beliau dapat hadir pada Februari ini.

DPP Manoj pula berkata beliau tidak bersetuju dan mahu ia diadakan pada November.

11.40am - DPP Manoj minta supaya tempoh jaminan diperpanjang.

Beliau meminta kesemua dokumen berkaitan diserahkan kepada pihak pembelaan.

11.33am - Shafee mengingatkan bahawa badan kehakiman harus kekal bebas.

Hakim Nazlan berkata beliau telah menerima dan membacanya.

DPP Manoj berkata pemindahan hakim itu adalah perkara biasa. Beliau bertanya kenapa Shafee membangkitkan perkara itu sedangkan beliau tiada bantahan.

Shafee dan Manoj bertelagah.

DPP memohon kes perbicaraan dipercepat.

11.25am - Shafee membantah dan menunjukkan surat Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Katanya, surat itu adalah pemerhatian terhadap pentadbiran keadilan di negara ini berkaitan kes itu.

Shafee juga merujuk kepada pemindahan hakim Sophian. Katanya, beliau tidak memperkecilkan kelayakan hakim Nazlan.

Shafee berkata, anak guamnya mengadu berkaitan pentadbiran keadilan dan menegaskan kes itu sebagai kes yang sagat sensitif.

“Bila pemindahan (hakim) berlalu, Majlis Peguam senyap,” katanya.

11.18am – DPP Manoj berkata mereka telah meminda pertuduhan pada 4 Julai lalu.

Pertuduhan baru itu menyebut:

Najib memperoleh RM42 juta di Jabatan Perdana Menteri dan meluluskan dana KWAP sebanyak RM4 bilion.
Najib di Amisamic Bank sebagai penjawat awam yang diamanahkan dengan SRC International telah memperoleh RM27 bilion.
Najib di Amislamic Bank sebagai penasihat emeritus SRC menerima RM5 juta.
Najib di Amislamic Bank menerima RM10 juta dari SRC.
Manoj meminta kes-kes itu disatukan.

11.15am - Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata tuduhan baru ke atas Najib sudah disebut di Mahkamah Tinggi 1.

Beliau kemudian meminta tuduhan itu dibacakan sekali lagi dan kenyataan Najib diambil.

Tuduhan tersebut kemudian dibacakan bersama hukuman yang boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan. Najib dilihat kemudian mengangguk sebagai tanda memahaminya.

Najib kemudian mengaku tidak bersalah dan meminta kesnya dibicarakan.

11.03am: Najib memasuki mahkamah dan duduk di kandang tertuduh, manakala anak-anaknya mengambil tempat di kerusi baris kedua galeri awam.

Turut kelihatan ialah pembantu sekali gus setiausaha akhbar Najib Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Kes ini didengar hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menggantikan hakim sebelum ini Datuk Sophian Abdul Razak.

10.36am: Hanafiah meminta supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 dan urusan ikat jamin, katanya, wajar dilakukan di situ.

Peguam bela Najib Muhammad Shafee Abdullah turut bersetuju dengan permohonan berkenaan.

Hakim kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3 hari ini selepas kedua-dua pihak bersetuju mengenainya.

Dijangkakan tiga tuduhan hari ini akan didengar serentak dengan empat tuduhan lain yang sudah dikenakan ke atas Najib sebelum ini.

10.30am: Mahkamah bersidang di depan hakim Datuk Azman Abdullah dengan dimulai pengenalan diri oleh ketua pihak pendakwa Mohd Hanafiah Zakaria, serta peguam bela dan peguam pemerhati bagi pihak Rosmah Mansor.

Hanafiah berkata kes itu dibicarakan di situ selepas dipindahkan dari mahkamah sesyen.

10am: Tiga pertuduhan dibacakan kepada Najib membabitkan penerimaan wang haram berjumlah RM42 juta dalam akaunnya empat tahun lalu.

Wang itu ialah milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Najib, 65, selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Azura Alwi.
-malaysiakini