"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis gesa Anwar jelas dakwaan Hadi ‘kena’ sokong Dr M

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik menggesa Anwar Ibrahim menjelaskan dakwaan seorang ahli veteran Umno mendakwa presiden PKR itu memberitahunya Presiden PAS, Abdul Hadi Awang “kena” menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia tertanya adakah Anwar benar-benar berkata demikian kepada Zaharin Mohd Yasin, yang membuat dakwaan itu di Facebook malam tadi.

Zaharin dalam satu program bual bicara yang disiarkan di laman sosial itu mendakwa Anwar dalam satu pertemuan baru-baru ini memberitahunya Hadi “kena” menyokong Mahathir kerana “takut beberapa kes yang berlaku”.

“Pasti ramai yang mahu tahu apakah kes-kes yang didakwa mengikat PAS ini?” kata Kamarul di Facebook hari ini.

PAS mengisytiharkan sokongan padu kepada Mahathir sebagai perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan, berikrar akan menyokongnya kekal di jawatan itu sepenuh penggal, menghadapi suatu persefahaman di mana Anwar akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara sebelum pilihan raya umum akan datang.

Perkembangan itu meskipun PAS sekian lama menjadi mangsa kepada dasar-dasar Mahathir di awal-awal pemerintahannya.

“Zaharin juga menjangkakan bahawa ‘kemungkinan Muafakat Nasional akan terkubur kerana tindakan Hadi membawa 18 Ahli Parlimennya menyokong Mahathir’,” kata Kamarul.

Susulan dakwaan Zaharin itu, Kamarul tertanya mengenai gerakan menyokong Anwar dalam Umno.

Penganalisis politik itu menarik perhatian kepada gesaan Zaharin kepada pemimpin Umno untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Walaupun Zaharin tiada jawatan tinggi dalam Umno, tetapi beliau tidak boleh diperkecilkan kerana pengalaman luas beliau dalam dunia politik serta hubungan rapat beliau dengan sesetengah pemimpin,” tambahnya.

Bersurai atau berdepan tindakan, Anwar beritahu penyokong pro, anti-Zuraida

FMT



Kumpulan pro dan anti-Zuraida Kamaruddin berkumpul di luar ibu pejabat PKR ketika naib presiden itu bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang diterimanya.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim menggesa kumpulan pro dan anti-Zuraida Kamaruddin yang berhimpun di luar ibu pejabat PKR supaya bersurai atau akan berisiko dikenakan tindakan disiplin.
Himpunan itu diadakan kerana Zuraida dijangka menjawab surat tunjuk sebab atas kenyataannya terhadap pemimpin parti dalam satu ucapan pada bulan lalu.
“Tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekali tidak akan mempengaruhi Lembaga Disiplin yang harus membuat keputusan secara bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Walaupun hujan lebat, kumpulan pro dan anti-Zuraida itu masih berhimpun dan terus melaungkan slogan seperti “Reformasi” untuk mengatasi pihak lawan.

Jemputan media yang dihantar lewat petang semalam menyatakan Zuraida akan menyerahkan surat penjelasan di ibu pejabat PKR pada 12.30 tengah hari ini.





Setiausaha politik Zuraida Kamaruddin, Nor Hizwan Ahmad tiba di ibu pejabat PKR untuk menyerahkan jawapan bagi surat tunjuk sebab yang diterimanya.

Perhimpunan solidariti untuk menyokong Zuraida akan diadakan serentak di 10 negeri pada waktu sama beliau menyerahkan surat itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 17 Jan lalu dan memberi 14 hari kepada Zuraida Kamaruddin untuk membuat penjelasan dipercayai berhubung ucapannya menyasarkan pemimpin parti di sebuah hotel pada awal bulan lalu.
Katanya, Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.
Sementara itu, Setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad tiba di ibu pejabat PKR pada 12.45 tengah hari untuk menyerahkan jawapan kepada surat tunjuk sebab itu kerana beliau sedang menghadiri mesyuarat Kabinet di Putrajaya.
“Hari ini tepat 14 hari untuk beliau menjawab,” kata Hizwan sambil menambah beliau tidak tahu bila Lembaga Disiplin akan mengumumkan keputusannya.
“Saya beritahu ahli Lembaga Disiplin yang dakwaan itu cacat kerana mereka merujuk satu transkrip (ucapannya).”
Beliau berkata, Zuraida menjawab setiap soalan yang dibangkitkan kerana menghormati Lembaga Disiplin, tetapi “kami mempunyai sedikit keraguan berhubung transkrip yang dirujuk dalam surat tunjuk sebab itu”.
Katanya, Zuraida akan meneruskan tugasnya sebagai naib presiden PKR serta menteri.
“Beliau akan tunggu maklum balas daripada Lembaga Disiplin.”
Diminta memberi butiran mengenai isu itu, katanya: “Ia ada dalam ucapannya. Saya cuma mahu kata kebenaran menyakitkan.”
Hizwan berkata, Zuraida belum menerima notis tuntutan daripada Saifuddin yang kecewa dengan bekas ketua Wanita PKR itu mendakwanya menerima “berjuta ringgit” daripada PAS dan sebuah tabung amanah untuk orang miskin di Kelantan.
Hizwan mengadakan sidang media ketika kumpulan pro dan anti-Zuraida saling melaungkan slogan di ibu pejabat PKR.

Mendepani penularan virus takfiri

Zolkharnain Abidin

Virus takfiri ini mula ditemui di negara ini sekitar 1981 di daerah Peradong, Terengganu. Ucapan daripada seorang pemimpin sebuah parti politik disahkan sebagai punca utama kepada penularan virus ini.

Ucapan pemimpin berkenaan melabel parti politik yang dilawannya mengamalkan perlembagaan penjajah, dan melawan parti politik musuh itu dianggap jihad.

Sekiranya mati, ia akan dianggap syahid. Mesej itu kemudian diangkat menjadi amanat pengucapnya.

Selepas itu amanat berkenaan dicetak dalam bentuk poster pelbagai saiz yang disebarkan melalui jualan atau diberi secara percuma.

Virus itu kemudian terus disebar daripada seorang kepada seorang yang lain atas nama menjelaskan batas-batas iman dan kufur.

Namun, penjelasan batas-batas iman dan kufur itu perlahan-lahan bertukar menjadi alasan mengkafirkan orang lain yang tidak sama jemaah atau tidak sealiran cara fikir.

Bahkan pembawa virus itu menganggap orang yang keluar dari kumpulan mereka sebagai merungkai ikatan Islam dari tengkuk.

Pembawa virus dengan amat yakin menganggap diri mereka bakal menghuni syurga. Lalu dengan giat mereka mengembangkannya melalui udara (ucapan).

Biar hayat virus panjang

Justeru mudah sekali virus berkenaan tersebar khususnya dalam kalangan orang agama kerana virus itu pembawa asalnya adalah orang agama juga.

Simptom lain mereka yang dijangkiti virus ini ialah memboikot kenduri-kendara, memboikot solat berjamaah, membatalkan perkahwinan dan menceraikan isteri.

Pendek kata, pembawa virus akan melihat orang yang belum terjangkit virus ini sebagai kotor, tidak memiliki akidah yang betul. Lalu kalau mati dalam keadaan tidak terjangkit mereka akan berdepan dengan azab neraka.

Simptom lain ialah gemar menghafal nombor keahlian parti, menunjukkan jari tengah semasa waima semasa memberi tazkiran di dalam masjid, berasa diri sendiri begitu suci, halaluna haramukum dan akhir-akhir ini selesa menampilkan gaya hidup mewah.

Simptom itu boleh bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.

Pembawa virus juga pandai mencari dalil untuk menghalalkan tindakan mereka. Jika tindakan itu dibuat oleh bukan pembawa virus, ia boleh dianggap haram. Sebaliknya jika sesuatu tindakan itu lahir daripada pembawa virus - walaupun sifatnya sama saja - akan dianggap halal.

Mereka juga bijak mengawal keselamatan virus yang mereka bawa supaya jangka hayat virus itu panjang dan terus segar untuk tersebar. Pembawanya kadang-kadang didapati menggunakan kenderaan mahal seperti Mercedes Benz.

Walaupun sudah hampir 40 tahun virus itu wujud, sukar sekali ia dapat dibanteras. Antara puncanya ialah, pembawa virus itu tidak sedar atau tidak mengaku mereka adalah vektor (pembawa) virus.

Punca lain ialah, mereka pandai menyalut virus itu dengan salutan agama supaya dilihat tidak berbahaya.

Bersarang di otak

Selepas PRU 14, pembawa virus ini menampilkan simptom baru yang berupaya menyumbang kepada suasana tidak tenteram dalam negara iaitu menyebar berita palsu.

Mereka berbuat begitu kerana perasaan tidak puas hati dengan kekalahan mereka dalam PRU yang lalu.

Paling menyakitkan hati mereka ialah, ramai individu yang selamat daripada terjangkit virus ini mendapat kedudukan penting dalam kerajaan. Gagasan Rahmatan lil Alamin yang diperkenalkan untuk mengekang penebaran virus ini mereka ubah menjadi rahmatan lil kafirin.

Pembawa virus ini menganggap dirinya sentiasa lebih pandai daripada orang lain. Dalam hal agama, mereka berasa lebih Islamik berbanding pihak lain.

Justeru, kalau membaca artikel atau berita, mereka hanya membaca tajuknya sahaja. Tajuk sensasi itu mereka jadikan bahan untuk menyalahkan pihak yang tidak sealiran dengan mereka.

Terbaru, virus itu dikesan menjangkiti seorang agamawan. Ketika negara sedang sibuk mendepani koronavirus, seorang agamawan dikesan menulis: "Menteri agama, berjiwa kafir."

Khabarnya, ambulans sudah dipanggil dan dia dijangka akan berdepan tindakan kuarantin dalam tempoh terdekat.

Virus ini memang sukar dikekang. Sarangnya ialah otak. Salutannya pula ialah agama. Masjid dan surau tertentu menjadi tempat utama virus ini tersebar.

Kini media sosial turut diguna di samping medium ceramah dan kuliah sebagai medium paling berkesan semenjak dahulu.

Masyarakat perlu peka dan mengambil vaksin kefahaman Islam yang sebenar, berpemikiran sederhana, mengelakkan fanatik kaum dan agama serta melihat Islam sebagai rahmat untuk semua bagi mengelak terjangkit virus ini.

ZOLKHARNAIN ABIDIN ialah timbalan yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadin) dan Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah.

Selepas lari dari hospital, warga China cuba panjat dinding cermin di lapangan terbang













Selepas lari dari hospital, warga China cuba panjat dinding cermin di lapangan terbang
Tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki bertutur hanya dalam bahasa Cina cuba memanjat dinding cermin pengasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru hari ini.
Video berdurasi 25 saat itu dimuat naik di akaun Twitter @CVO_II. Lelaki warga China itu mulanya mengetuk cermin itu agak kuat beberapa kali serta menunjukkan sekeping kertas kepada para petugas lapangan terbang.
Walau bagaimanapun, cubaannya memanjat dinding cermin itu ditegah petugas di lokasi itu.
“Dia (Lelaki warga China) kata dia nak cakap dengan orang. Dia ada benda nak cakap.
“Cari orang yang boleh cakap Cina. Dia nak cakap dengan orang tu,” kata seorang individu tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penterjemah.
Identiti lelaki berbaju putih itu kemudiannya disahkan adalah lelaki yang sama ditahan pihak polis pada malam 25 Januari lalu.
Hal tersebut disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai, Deputi Superintendan Yusof Othman, lapor Astro AWANI.
“Itu lelaki yang ditahan pada 9.20 malam Sabtu, anggota polis diketuai Ketua Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dihantar ke lokasi kejadian.
“Lelaki itu tidak berpuas hati, apabila beliau dan anaknya tidak dibenarkan menaiki kapal terbang untuk berlepas ke China,” katanya.
Lelaki tersebut dan anaknya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dikuarantin dan diberikan rawatan.
Terdahulu, lelaki itu dikatakan membawa lari anaknya daripada dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru seujurs pihak perubatan mendapati anaknya mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk.
Ekoran itu, seorang doktor di hospital tersebut membuat laporan polis sebelum tangkapan dilakukan.
Setakat ini, terdapat dua kes pesakit di bawah siasatan jangkitan (PUI) novel koronavirus (2019-nCoV) melibatkan rakyat tempatan.
Dua lagi kes PUI melibatkan warganegara China. Keempat-empat pesakit terbabit diasing di beberapa buah hospital dan keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat.
Empat kes terbabit antara 23 kes jumlah keseluruhan PUI virus itu di Malaysia sejak 10 Januari lalu hingga jam 12 tengah hari ini.
Daripada jumlah itu, 14 adalah warga negara Malaysia, China (8) dan seorang dari Jordan.