"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Muhyiddin diberi peluang kecewakan rakyat lagi’, kata warganet

FMT Reporters

PETALING JAYA: Warganet memberi pelbagai reaksi terhadap pelantikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri.

Segelintir pengguna media sosial memberikan maklum balas bahawa perlantikan itu sebagai petanda Muhyiddin kembali dalam urusan kerajaan.

Malah, ada yang beranggapan ia seolah-olah memberi bayangan negara akan kembali gagal susulan beliau disifatkan sebagai pemimpin yang tidak berjaya mengawal situasi pandemik Covid-19.

Pengguna Twitter, @ooijohn menyifatkan Muhyiddin telah menggagalkan negara namun diberi satu lagi peluang untuk mengecewakan rakyat sekali lagi.

“Kami tidak dapat melalui mimpi buruk yang sama,” katanya.

Seorang lagi pengguna @sabrectw pula menganggap pelantikan itu satu penyalahgunaan kuasa yang tidak masuk akal. 

“Menteri lain? Ini adalah penyalahgunaan kuasa yang tidak masuk akal,” katanya di Twitter.

Sementara itu, pengguna Twitter bernama Syamim Ms pula mempersoalkan mengapa Muhyiddin diminta meletak jawatan sebagai perdana menteri jika masih ada keyakinan bahawa beliau mampu meneraju strategi pemulihan negara.

“Kalau yakin dia boleh terajui strategi pemulihan negara, kenapa turunkan dia daripada jawatan perdana menteri.”

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan Muhyiddin dilantik pengerusi MPN bertaraf menteri.

MPN ditubuhkan Julai lalu bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.

Ia dianggotai wakil sektor swasta, pakar industri, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman serta nasihat dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar daripada pandemik secara sistematik dan selamat.

Alhamdulillah Genting Highland dah boleh dibuka, kata Menteri Pelancongan

MALAYSIA DATELINE

Menteri Pelancongan Datuk Seri Nancy Shukri menyambut baik keputusan Genting Malaysia Berhad untuk membuka operasinya sebagai usaha memulihkan sektor pelancongan.

Nancy yang diberi taklimat oleh Head of Business Operations and Strategies, Genting Malaysia Berhad GENM, Lee Thiam Kit bahawa Genting World Resort (RWG) akan mencapai 99 peratus vaksinasi dalam kalangan pekerjanya pada 12 September ini.

” Alhamdulillah, saya menyambut baik keputusan mereka dan menyatakan pertimbangan mengenainya adalah tertakluk kepada kesediaan pihak industri yang memenuhi kriteria-kriteria tertentu seperti pekerja sektor ini yang telah mendapat vaksinasi lengkap serta kemudahan pusat kuarantin yang terdapat di situ,” kata Nancy menerusi Facebooknya.

Katanya, pihak RWG juga melaksanakan pematuhan SOP yang ketat dan bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.

Sehubungan itu Nancy mengingatkan pihak RWG bahawa tiga SOP untuk penggiat industri pelancongan di pusat peranginan Genting Highland yang dikemukakan MOTAC kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah pun mendapat kelulusan.

“SOP tersebut melibatkan sektor perhotelan, agen pelancongan dan acara perniagaan (Business Events),” kata beliau lagi.

Mengenai permintaan untuk membuka aktiviti taman tema, kata Nancy MOTAC telah mencadangkan untuk kebenaran aktiviti tersebut pada Fasa Ke-2 namun pada masa ini, aktiviti tersebut hanya dibenarkan pada Fasa ke-4.

“Kita memahami keperluan untuk semua membenarkan aktiviti-aktiviti pelancongan dan kebudayaan di negara ini demi menyokong dan memulihkan semula pelancongan domestik di Genting yang melibatkan lebih 11,000 pekerja yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam eko-sistem di pusat peranginan berkenaan,” kata beliau.

Kes rogol, liwat, bunuh kerani: Suspek disambung reman 6 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perintah reman ke atas seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes rogol, liwat dan bunuh seorang kerani di Taman Seruling Emas dekat Nibong Tebal pada Sabtu lalu, dilanjutkan enam hari lagi.

Perintah bermula hari ini sehingga Khamis depan terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap warna ungu tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada jam 9.45 pagi sambil diiringi beberapa anggota polis, menurut laporan Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penemuan mayat seorang wanita berusia 40 tahun ditemui di bawah katil dalam bilik rumah dua tingkat dalam keadaan tidak berbaju, dalam kejadian Sabtu lalu.

Insiden terbongkar selepas kenalan mangsa yang ingin berjumpa mangsa terserempak dengan seorang lelaki tidak dikenali keluar dari rumah mangsa lalu menelefon kakak mangsa memaklumkan perkara berkenaan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis menjumpai mangsa di bilik bahagian tingkat bawah dalam keadaan terbaring.

Polis kemudiannya berjaya menjejaki suspek yang bersembunyi tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum dia ditahan kira-kira jam 10 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Malukah apabila bahasa Inggeris kita kurang baik

AZIZI AHMAD

Baru-baru ini, tersiar satu video tular yang dikongsikan mengenai seorang ‘menteri’ memberi ucapan langsung dalam Bahasa Inggeris yang kelihatan mengecewakan memandangkan penyampaian dan pertuturan yang disampaikan tidak memenuhi ‘piawai’ seorang bekas pendidik yang juga peguam lepasan luar negara.

Ada yang ‘menganjing’ dan memberi kenyataan yang agak menjatuhkan aib penyampai tersebut. Bagaimana seorang bertaraf tinggi , berpendidikan di negara penjajah , pernah menjadi atau bertaraf peguam tidak mampu menyampai petikan ucapan ‘forum antarabangsa’.

Gagalkah sistem pendidikan bahasa kita? Adakah pelatih guru Bahasa Inggeris atau pun yang sudah bergelar guru Bahasa Inggeris mempunyai status kedudukan yang sama?

Mereka yang percaya bahawa penutur bukan bahasa Inggeris harus malu adalah mereka yang semestinya malu terhadap diri mereka sendiri.

Ketidakupayaan untuk bertutur dalam bahasa yang asing bagi sesuatu kaum atau bangsa adalah sesuatu yang dikongsi oleh masyarakat di seluruh dunia.

Sebilangan orang boleh bertutur dalam bahasa Sepanyol. Sebilangan orang boleh bertutur dalam bahasa Perancis. Ada yang boleh bertutur dalam bahasa Thailand, Vietnam, Mandarin, Jerman, atau bahasa lain di dunia. Sebilangannya hanya dapat bertutur dalam bahasa ibunda mereka, dan itu betul-betul dikira baik.

Hanya kerana seseorang tidak boleh berbahasa Inggeris tidak bermaksud seseorang itu harus malu pada diri sendiri. Banyak penutur asli Inggeris sendiri bergelut dengan tatabahasa atau ejaan bahasa Inggeris.

Mengkritik penutur bahasa Inggeris yang tidak fasih adalah tindakan rasis yang agak etnosentrik dan jahil.

Walaupun bahasa Mandarin adalah bahasa yang paling banyak dituturkan di dunia, anda tidak melihat orang Cina metertawakan seluruh dunia.

Penutur bahasa Inggeris harus mempunyai budi bahasa yang sama (walaupun mereka tidak selalu melakukannya!). Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang paling banyak digunakan di dunia dan merupakan bahasa kedua bagi kebanyakan penuturnya.

Bahasa Inggeris boleh menjadi kemahiran. Walaupun seseorang tidak memiliki kemahiran itu, seseorang mungkin memiliki kemahiran dan bakat lain.

————-

Azizi Ahmad adalah pembaca yang gembira dengan Bahasa ibunda sendiri.

Gadis hilang tangan akibat disamun, polis edar fotofit buru suspek

FMT Reporters

Lakaran wajah seorang daripada tiga suspek yang mula diedarkan polis hari ini.

PETALING JAYA: Polis mula mengedarkan lakaran wajah suspek yang dipercayai terbabit dalam kes menyamun seorang gadis sehingga menyebabkan tangan kanannya terpaksa dipotong akhir bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya giat mengesan dan mengenal pasti suspek dalam kes samun yang membabitkan Siti Nur Azizah Syafriadi,17, serta teman lelakinya.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek menunggang motosikal jenis Honda RS150 berwarna kelabu dan Yamaha LC yang warnanya tidak dapat dikenal pasti.

Pada 28 Ogos lalu, FMT melaporkan tangan kanan Nur Azizah terpaksa dipotong sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru.

Dalam kejadian 26 Ogos lalu, Nur Aziah dan teman lelakinya yang menaiki motosikal Y15ZR disamun tiga lelaki ketika dalam perjalanan pulang, selepas menghantar makanan kepada pelanggan kira-kira 12.10 tengah malam.

Suspek difahamkan menendang motosikal dinaiki mangsa sehingga menyebabkan mereka hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan di Jalan Kuching menghala pusat bandar itu.

Tangan kanan Siti Nur Azizah Syafriadi terpaksa dipotong sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru selepas disamun tiga suspek bulan lalu.

Nur Azizah cedera di bahu kanan, manakala teman lelakinya cedera di muka dan badan dipercayai dipukul suspek.

Gadis itu yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Menurut abang saudara mangsa, selepas bapanya meninggal dunia, Nur Azizah yang tinggal di PPR Beringin Jinjang membantu menambah pendapatan keluarga dengan menjual dan membuat perkhidmatan menghantar makanan.

Siasatan awal mendapati suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan yang turut melarikan motosikal mangsa bernombor pendaftaran VFU 814.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

Undi 18: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching beri impak besar PRU15 nanti

MALAYSIA DATELINE

Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini berkenaan #Undi18.

Susulan keputusan ini, Naib Pengerusi 2 Kanun Fadhli Umar Aminolhuda meminta supaya pihak kerajaan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching ini dan seterusnya tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan ini. 

Semakan Kehakiman yang difailkan oleh 5 orang anak muda dari Sarawak telah didengar di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai hari ini.

Mahkamah Tinggi antara lain memutuskan menolak rancangan kerajaan sebelum ini untuk hanya mengimplementasi #Undi18 pada September 2022 dan menyatakan bahawa rancangan ini adalah tidak relevan dan tidak sah dari segi undang-undang.

Mahkamah juga mengarahkan supaya #Undi18 diimplementasi selewatnya pada Disember tahun ini.

Sebaliknya, kata beliau kerajaan perlu bertindak segera merealisasikan dan mengimplementasi #Undi18 secepat mungkin sebagai sebahagian dari agenda reformasi yang dipersetujui secara bersama antara kerajaan dan pembangkang.

KANUN juga mengambil maklum bahawa satu semakan kehakiman juga berkenaan implementasi #Undi18 akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 22 Oktober ini dan berharap supaya Mahkamah akan membuat keputusan yang sama agar #Undi18 ini dapat diimplementasikan sesegera mungkin seterusnya undang-undang menjadi seragam dan harmoni di seluruh negara menjelang Pilihanraya Umum 15 akan datang.

Sehubungan itu, KANUN mengucapkan tahniah kepada anak-anak muda ini atas keberanian mereka untuk melawan tindakan bobrok Kerajaan menafikan #Undi18 yang telah berjaya dipinda di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya, keputusan ini sekaligus bakal memberikan impak yang besar dalam Pilihanraya Negeri Sarawak dan Pilihanraya Umum 15 tidak lama lagi.

Isteri ‘serang’ suami dan kekasih gelap di sekatan jalan raya

KOSMO!

Wanita tersebut memarahi suaminya dan tidak menghiraukan anggota polis yang berada di situ. - Instagram @andreli48

JAKARTA – Seorang isteri yang mendapat tahu mengenai kecurangan suaminya bertindak mengamuk di tepi jalan, di sebuah lokasi sekatan jalan raya di wilayah Jawa Timur, Indonesia, lapor portal berita Dream.co kelmarin.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, wanita tersebut sedang memarahi suaminya dan kekasih gelapnya secara serentak, serta tidak menghiraukan anggota polis yang berada di situ.

“Dipintas isteri ketika melalui sekatan jalan raya sekatan aktiviti masyarakat (PPKM),” tulis keterangan pada video tersebut.

Wanita berbaju biru itu kelihatan amat marah, namun tindakannya itu tidak dibalas oleh suaminya atau teman wanitanya.

Beberapa anggota polis yang berada di situ turut membantu menenangkan wanita tersebut dan meleraikan kekecohan itu.

“Dia mempunyai isteri. Adakah kamu faham?

“Bagaimana lagi saya perlu bersabar dengan kamu?” katanya kepada suaminya dan teman wanitanya.

Video itu kemudiannya dimuat naik dan menerima pelbagai komen daripada netizen.

“Kisah kecurangan sudah dapat dihidu,” tulis seorang pengguna.

“Tinggalkan sahaja lelaki begitu,” komen seorang lagi. – Agensi 

Duta khas bertaraf menteri satu pembaziran cukai rakyat

Malaysiakini 

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkritik pelantikan semula beberapa duta khas Perdana Menteri bertaraf menteri yang disifatkan sebagai satu pembaziran wang negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Sharan Raj, berkata pelantikan itu adalah pembaziran dana awam ketika negara berdepan krisis ekonomi.

"Sebagai respon kepada pelantikan semula duta khas perdana menteri Malaysia. Duta khas untuk PM adalah pembaziran dana awam.

"Duta khas untuk PM itu bertindih kepada diplomat di Wisma Putra dan kedutaan asing Malaysia.

"Adalah hipokrit bagi kerja ahli politik untuk mensia-siakan cukai awam ketika orang ramai menderita dalam kemelesetan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan Malaysia bersetuju mengekalkan tiga pemimpin parti politik negara sebagai duta khas perdana menteri seperti yang ditetapkan perdana menteri terdahulu, Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata persetujuan tersebut dicapai melalui mesyuarat pertama kabinet pada 1 Sept.

Tiga pemimpin parti politik terbabit ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tiong King Sing dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Richard Riot Jaem.

Abdul Hadi merupakan ahli parlimen Marang yang diberikan kedudukan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, manakala Tiong (Bintulu) ke China, manakala Riot (Serian) ke Asia Timur.

Pelantikan ketiga-tiga ahli parlimen terbabit dibuat selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan Malaysia pada tahun lalu.

Sharan berkata, duta khas kepada perdana menteri diperkenalkan bekas perdana menteri, Najib Razak yang ketika itu bagi meyakinkan Samy Vellu untuk meletak jawatan sebagai presiden MIC.

"Samy Vellu meletak jawatan sebagai presiden MIC pada 6 Disember 2010 sebelum dilantik sebagai duta khas pertama untuk PM mulai 1 Januari 2011.

"Duta khas untuk PM menerima gaji RM 27,000 sebulan. Sejak 2011, 8 individu telah mengumpulkan gaji 330 bulanan berjumlah hampir RM9 juta," katannya.

'Kingmaker'?: Kini masa terbaik hentikan judi di Genting Highland, desak Pas Pahang

MALAYSIA DATELINE

Pas Pahang menyifatkan kini adalah masa terbaik untuk kerajaan yang ada membuang terus aktiviti arak dan judi di negara ini bermula dari Genting Highland yang terletak di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Pahang, Haji Md Jusoh Darus (gambar)  dalam tulisannya di Harakahdaily, lidah rasmi Pas berkata, Genting Highlands yang masyhur terkenal sebagai Pusat Peranginan dan Perjudian seumpama Macau dan Las Vegas sebenarnya ‘cancer’ buat negara ini.

“Dari puncak tertinggi yang amat nyaman lagi indah ini hakikatnya turun laju ke lembah luas segala lahar teramat panas rantaian maksiat dan jenayah,” tulis beliau.

“Kini adalah masa terbaik untuk kerajaan melakukan ‘reset’ kehidupan rakyat dan menagih keredhaan Allah S.W.T buat negara ini dengan menghenti dan membuang terus aktiviti arak dan judi.

“Ia mesti bermula dari Genting Highlands kerana selama ini menjadi simbol kemegahan dan sarang pusat kepada maksiat,” kata beliau dalam tulisan itu.

Bagi beliau, kerajaan persekutuan yang disertai Pas mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara itu.

“Membanteras dari titik penyakitnya adalah dorongan dan political will untuk kerajaan melangkah bagi menghapuskan industri noda dosa ini dari terus beroperasi di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan masing-masing mempunyai punca kuasa sendiri,” kata beliau.

Bagi belaiu, dengan peruntukan perundangan yang ada, kerajaan negeri dapat menyekat dengan tidak lagi mengeluarkan lesen premis.

“Manakala kekuatan kuasa Kerajaan Pusat adalah tidak melanjutkan permit operasi. Dengan itu, menutup kegiatan arak dan judi di Genting Highlands bukan ‘misi mustahil’,” katanya.

Ya benar, mungkin selama ini dari industri tersebut menjadi sebahagian pendapatan ke akaun kerajaan. Mungkin rambang mata dapat ‘mengutip’ wang tunai dalam jumlah yang banyak dengan sebegitu kerap. Tetapi mengakulah, poket negara ini bocor membiayai akibat buruk dari arak dan judi.

Tidak mungkin dengan kewarasan dikurniakan Allah ini dibiarkan lagi segala kebejatan dan kesengsaraan terus saling bergelumang mengganggu kebahagian hidup yang dicari di dunia ini. Kemusnahan diakibatkan oleh judi dan arak sudah menjadi bicara yang lumat tidak perlu diwacana forumkan lagi.

Bagi mengajak kerajaan dan penyokong PAS, bersihkan dan manfaatkan Genting Highlands dengan memasyhurkannya menjadi pusat peranginan dan pelancongan tempatan seperti Cameron Highlands dan global yang mesra untuk semua.

“Mari jana pendapatan yang terjamin halal dan lebih banyak melimpah ruah dari hasil kotor dan haram selama ini,” tulis beliau.

Pas yang mempunyai 18 ahli parlimen adalah kerajaan bersama dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad adalah menteri agama manakala timbalannya Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menteri alam sekitar manakala setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah menteri tenaga dan sumber asli.

Apabila nilai-nilai tinggi mula pudar dan hilang

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Demokrasi bukanlah sebuah sistem yang sempurna.Ya, benar ia mempunyai kelemahan- kelemahan tertentu. Bagaimanapun, ia boleh dianggap sebagai opsyen yang paling munasabah untuk menyusun atur para aktor politik.

Asas keseluruhan demokrasi boleh dikatakan berkisar kepada mantra ini -menghormati suara massa atau suara rakyat. Di situlah letaknya kekuatannya yang agung.

Bercakap dari sudut sejarah, terma demokrasi itu selalunya dikatakan berasal dari dua terminologi Greek ini iaitu “demos”( rakyat ) dan ” kratos” ( memerintah ). Dua perkataan ini kemudiannya digabungkan bagi mewujudkan kosa kata yang baru iaitu” demokratia”.

Memandangkan demokrasi itu berkait rapat dengan suara rakyat, rakyat telah juga dibawa bersama berpartisipasi dalam proses pemerintahan iaitu secara khususnya dalam proses memilih Kerajaan yang akan kemudiannya mewakili mereka.

Bagaimanapun, perjalanan menuju ke demokrasi itu sendiri tidaklah suatu yang sentiasa lurus dan selamat. Ia agak kerap dicemari oleh terlalu banyak tragedi malahan pertumpahan darah.

Meskipun demokrasi amat menghormati “Vox Populi” atau suara rakyat sehinggalah ia kadangkala hampir disamakan dengan ” Vox Dei” atau suara tuhan, pada peringkat awal perkembangannya , bagaimanapun, tidak semua lapisan rakyat di dalam masyarakat dibenarkan untuk berpartisipasi di dalam pentas demokrasi.

Kaum wanita, misalnya, harus berjuang keras bagi membolehkan mereka dibenarkan berpartisipasi di dalam proses demokrasi.

Di Amerika sendiri -bangsa yang sering dianggap juara dalam membela hak asasi dan demokrasi- hak wanita bagi mendapat kelayakan untuk mengundi hanya berjaya diperolehi dan diiktiraf pada tahun 1920 apabila Kongres akhirnya meratifikasi pindaan ke- 19 Perlembagaan Amerika.

Rakyat Malaysia mula, buat kali pertama merasai buah demokrasi pada tahun 1955 apabila Pilihan Raya Umum yang pertama diadakan. Parti Perikatan telah berjaya memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi yang berbaki dimenangi oleh PAS.

Sejak dari itu,pilihanraya umum telah diadakan secara terus menerus sehingga tarikh 9 Mei 2018 iaitu Pilihan Raya Umum yang ke 14.

Kebenaran yang harus dikatakan adalah pilihanraya umum di negara ini malangnya tidak sunyi juga daripada amalan yang tidak adil dan tidak demokratik.

Meskipun demikian, para aktor politik di negara ini kelihatannya masih mampu mempamerkan semangat kesukanan yang agak hebat pada masa lampau. Tiada percubaan serius untuk mencuri mandat rakyat meskipun di sini sana masih boleh kedengaran suara lantang yang memprotes kerana tidak puas hati dengan proses penjalanan proses Pilihan Raya.

9 Mei 2018 telah mencipta sebuah sejarah baru dalam susur galur perkembangan demokrasi di negara ini.Tarikh keramamat itu memeranjatkan banyak negara dan bangsa di dunia ini.Banyak negara maju yang agak terkejut. Mereka tidak pernah terfikir negara seperti Malaysia boleh berjaya melakukan pertukaran rejim melalui sebuah proses yang aman damai iaitu melalui pilihan raya @ saluran demokrasi.

Malangnya kejayaan demokrasi itu hanya mampu bertahan sekejap sahaja.Ia hanya mampu bertahan sekadar 22 bulan sahaja.

Peristiwa ” Langkah Sheraton ” membuka pintu laluan kepada pembentukan sebuah Kerajaan tanpa mandat rakyat buat kali pertama di negara ini. Ia bakal menjadi warisan sejarah yang amat buruk bagi negara ini.

Secara tiba tiba, kita juga dapat melihat kebanjiran

kononnya para pakar perlembagaan yang agak ke depan dalam menafsirkan perlembagaan secara harfiah seolah-olah mereka sedang menafsirkan sebuah warkah wasiat.

Mereka ini nampak agak kelihatan seronok dan gembira melontarkan ke tepi begitu sahaja beberapa prinsip prinsip yang bersalut nilai-nilai yang agung dan tinggi yang terkandung dalam perlembagaan itu sendiri.

Nilai-nilai agung dan tinggi yang tercakup dalam doktrin constitutionalism nampaknya cuba dilupakan begitu sahaja. Kesannya, doktrin ketinggian Perlembagaan tidak lagi dihormati dan ingin dipertahankan.

Dengan penuh hormat, saya mengatakan bahawa perlembagaan persekutuan tidak sama sekali mengiktiraf kewujudan Kerajaan yang tidak ada mandat rakyat.Jika tidak, di mana keperluan adanya beberapa peruntukan di dalamnya berkaitan pilihan raya. Ia akan menjadi tidak berguna,tidak penting dan hanya khayalan semata mata.

Pilihan Raya yang merupakan simbol dan tanda aras penting demokrasi memberi erti kewujudan nilai-nilai agung dan tinggi dalam Perlembagaan.

Secara tersirat, ia juga membawa mesej kepada perlunya kewujudan kerajaan bermandat yang wajib bertanggungjawab sepenuhnya kepada

“vox populi” atau suara rakyat.

Dengan penuh rasa dukacita, saya perlu katakan ini. Sebahagian dari aktor politik dan juga ahli parlimen di negara ini malangnya seolah- olah lupa tugas dan tanggungjawab hakiki mereka.

Mereka kadangkala cenderung merasakan bahawa tugas mereka adalah menjadi pegawai kebajikan semata mata. Sedangkan itu hanya sebahagian daripada tugas mereka itu.

Daripada sibuk dan aktif melakukan tugas hakiki mereka di arena penggubalan polisi, mereka cenderung mensia-siakan kepakaran yang mereka adadalam perkara- perkara lain.

Sebahagian daripada mereka juga lupa dan gagal menyedari bahawa mereka juga bertanggungjawab menyebar luaskan nilai-nilai tinggi di arena politik dan pemerintahan. Itulah, bagi saya “raison d’etre” penglibatan seseorang dalam politik.

Justeru, langkah pertama bagi melakukan hal tersebut adalah dengan tidak mengkrompomi prinsip prinsip politik yang tidak wajar dikompromikan.

Asyraf Wajdi pernah beri amaran minta sokong Zahid - Papagomo

MALAYSIA DATELINE

Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris mendakwa, ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pernah memberi amaran tindakan keras akan dikenakan jika masih mengkritik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dikenali sebagai Papagomo, dia berkata, sukar untuknya menyokong Presiden Umno berkenaan yang dianggap ‘bermasalah’ dan membelakangkan parti.

“Dr Asyraf minta saya sokong presiden parti. Saya cakap, macam mana saya nak sokong kalau presiden ada buat sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membelakangkan parti?

“Kalau presiden tak jujur pada parti, macam mana saya ni nak sokong presiden. Dr Asyraf tekan untuk minta sokong Zahid Hamidi. Katanya, Datuk Zahid berjiwa besar.

“Saya cakap, kalau Datuk Zahid berjiwa besar, dia perlu berundur. Sebab ini soal imej parti, bukan soal individu,” lapor Malaysiakini.

Semalam, surat ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Papagomo digantung keahlian parti itu selama enam tahun selepas didapati melanggar perlembagaan Umno.

Tindakan yang berkuatkuasa dari 27 Ogos atau dua penggal pemilihan parti itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada tarikh sama.

Mengulas lanjut, Papagomo berkata, dia tidak akan menyokong perkara yang salah memandangkan tindakannya berasaskan seruan yang dibuat Asyraf sebelum ini.

Menurut bekas anggota polis yang pernah diperintah pada 2014 untuk membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 kepada Anwar Ibrahim itu, Asyraf sebelum ini menuntut sayap Pemuda menjadi ‘parti dalam parti’.

“Dr Asyraf cakap Pemuda kena jadi parti dalam parti, kemudian kena berani kritik pemimpin, yang mana kes skandal ini kena berundur.

“Jadi, saya peganglah kenyataan Dr Asyraf sewaktu perhimpunan Agung Umno 2018 lalu Itu kenyataan yang dia buat sendiri dalam AGM Umno,” kata Papagomo lagi.

Sudahlah kempunan seks, RM13,300 pula lesap diperdaya sindiket perkhidmatan seks ‘online’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Terpengaruh dengan tawaran perkhidmatan seks yang ditawarkan secara dalam talian oleh seorang wanita, seorang pekerja swasta di Butterworth kerugian lebih RM13,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan perkhidmatan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian semalam mangsa lelaki berusia 30-an itu dikatakan terjerat dalam penipuan tersebut selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial, Line.

Noorzainy berkata, mangsa yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan seks ditawarkan wanita itu kemudiannya dihubungi individu lain sebagai ejen melalui aplikasi WeChat.

“Mangsa telah diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit virtual, Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan untuk mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda, Butterworth.

“Lelaki itu turut telah membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek melalui WeChat,” katanya kepada pemberita memetik laporan Kosmo.

Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dia ditipu selepas suspek gagal dihubungi sejurus dia membuat pembayaran tersebut dan tampil membuat laporan polis semalam.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Hadi, dua lagi duta khas kekal

FAZLI RADZI

Pelantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Tengah bertaraf menteri terus disambung.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Jawatan Datuk Seri Tiong King Seng sebagai Duta Khas ke China juga kekal, kata Pejabat Perdana Menteri.

“Datuk Seri Richard Riot juga kekal sebagai Duta Khas ke Asia Timur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi, 74, yang juga Presiden Pas dilantik memegang jawatan itu semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2 April tahun lalu.

King Sing pula memegang jawatan tersebut bertaraf menteri sejak dilantik 20 April tahun lalu.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu berperanan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Ahli Parlimen Bintulu itu pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur pada tahun 2014 hingga 2018.

Sementara itu, Richard Riot yang merupakan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dilantik jawatan tersebut pada 16 Mei 2020.

Kejahilan Malaysia dipertonton kepada dunia

ARNAZ M. KHAIRUL

Saya mengambil sedikit masa untuk merenung apalah nasib dan masa depan sukan negara, setelah membaca beberapa kali artikel berhubung reaksi Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu atau dikenali Peja.

Sebelum saya jelaskan, saya ingin menyeru agar Peja sendiri membuat sedikit soul searching untuk memastikan apakah portfolio sukan ini benar-benar sesuai dengan karakter dan keperibadiannya sendiri.

Kenyataan Peja yang menyeru agar Jawatankuasa Penganjur khususnya Olahraga Para Dunia (WPA) dan Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) Mempertimbangkan agar keputusan pelucutan atlet lontar peluru para F20 Ziyad Zolkefli dari senarai peserta kerana kelewatan pendaftaran di bilik menunggu (call room) yang diwajibkan bagi semua peserta, pada pendapat saya, memesongkan semangat dan etika kesukanan.

“Apatah lagi atlet-atlet itu sudah bersedia menunggu selama lima tahun tetapi harapan dan semangat Paralimpik mereka dimusnahkan kerana kelewatan tidak sampai pun lima minit sahaja,” kata Peja kepada Berita Harian.

Tambahnya beliau amat berdukacita dengan tindakan IPC dan WPA ini.

Seterusnya, Peja menyeru agar pihak IPC dan WPA mengkaji semula peraturan,”termasuk peraturan yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskannya”.

Tiada alasan

Pertama sekali, pegawai-pegawai MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang bertanggungjawab ke atas Ziyad (athlet kategori F20 i.e. Intellectual impairment) adalah ditanggung oleh pembayar cukai negara dan mereka dibayar untuk mewakili dan membawa imej negara di mata dunia.

Memang benar atlet-atlet ini telah bersedia menunggu selama lima tahun untuk beraksi di Paralimpik Tokyo. Jadi, tiada alasan yang patut diterima untuk lewat walau seminit pun untuk kejohanan paling penting dalam karier Ziyad ini.

Apakah ada perkara lebih penting kepada mereka pada ketika itu yang menyebabkan mereka gagal menguruskan masa sampai terlewat tiga minit?

Apakah ini tidak merosakkan imej negara apabila pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan menguruskan atlet yang merupakan pemegang rekod dunia, juara dunia dan juara bertahan Paralimpik gagal perkara paling asas, iaitu menepati masa?

Dan memburukkan lagi keadaan, bukan sahaja ketua kontinjen negara dan beberapa media cuba menutup kesalahan mereka sendiri dengan menuding jari bukan sahaja kepada pihak penganjur, tetapi atlet negara lain.

Disokong kerajaan

Paling buruk apabila tingkah laku yang membawa kegagalan dan masalah disiplin asas ini disokong penuh dan dipertahankan oleh tidak lain dan tidak bukan Menteri Belia dan Sukan negara ini.

Malah, menteri tersebut turut menyeru agar IPC dan WPA mengubah pengurusan peraturan untuk membenarkan pelanggaran ini!

Tuan-tuan pembaca dan Peja. Sila terangkan kepada saya, apakah ini imej yang kita mahu paparkan kepada dunia? Kegagalan disiplin dan profesionalisme yang disokong penuh oleh kerajaan?

Jika jawapannya tidak, maka akauntabiliti harus ditegakkan dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap kegagalan ini harus diambil tindakan sewajarnya.

Peja juga kononnya mengarahkan MPM dan MSN menjalankan siasatan terperinci. Apakah MPM dan MSN tidak terlibat dalam perkara ini? Maka, mereka siasat kesalahan mereka sendiri?

Peja harus peka dengan masih relevannya Akta Pembangunan Sukan 1997 yang menjadi tunjang keberadaannya di jawatan itu. Maka tindakan perlu diambil berlandaskan undang-undang sukan negara, tanpa kompromi.

Tindakan yang lebih arif adalah memanggil Panel Penasihat Sukan untuk melakukan siasatan dan menasihati menteri untuk tindakan susulan, seperti yang diperuntukkan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Langkah-langkah ini harus dimulakan dengan berlapang dada dan menerima hakikat bahawa kegagalan ini adalah berpunca dari kecuaian kita sendiri dan bukan salah orang lain.

Ini sukan, bukan politik.

Dalam sukan tiada keperluan untuk menafikan realiti atau menutup kegagalan.

Kerana kegagalan itu perlu disedari untuk diperbaiki jika kita mahu maju. Dan perlu kematangan untuk menerima hakikat ini.

Jadi berhentilah berdalih.


*ARNAZ M. KHAIRUL merupakan bekas wakil Asia Tenggara, Persatuan Wartawan Berbasikal Antarabangsa (AIJC).

Syarikat modal RM1 dapat hak bangunkan hutan simpan Kuala Langat

Annabelle Lee

Pada Isnin lalu, orang ramai dikejutkan dengan pendedahan bahawa kerajaan Selangor telah memindahkan separuh daripada Hutan Simpan Kuala Langat Utara kepada sebuah syarikat swasta.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan hal itu pada 5 Mei, tetapi hanya didedahkan tiga bulan kemudian semasa sidang DUN Selangor.

Sidang DUN diberitahu yang Gabungan Indah Sdn Bhd - sebuah syarikat yang kurang dikenali - diberikan hak untuk membangunkan sebahagian kawasan hutan paya gambut itu bagi tujuan projek pembangunan bercampur.

Namun apa yang diketahui adalah Gabungan Indah bukanlah syarikat yang mula-mula dahulu dicadangkan untuk membangunkan tanah itu.

Pemaju bertukar

MMKN pertama kali mencadangkan penyahwartaan hutan berkenaan pada 19 Oktober 2019.

Pada Februari 2020, Jabatan Perhutanan Selangor menyiarkan notis pemberitahuan berkenaan rancangan penyahwartaan itu di media.

Dua syarikat - Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated (MBI) - kemudiannya didedahkan sebagai pemaju yang dicadangkan.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah merupakan antara pengarah Titian Jutaria manakala MBI adalah syarikat milik kerajaan negeri dan dipengerusikan Menteri Besar Amirudin Shari.

Pada Mac 2020, Amirudin memberitahu sidang DUN bahawa Titian Jutaria dan MBI perlu membayar premium sekitar RM323,774,578 untuk hak ke atas tanah tersebut.

Pada September 2020, exco kerajaan negeri Hee Loy Sian berkata MBI kekal sebagai pemaju tunggal untuk membangunkan tanah berkenaan.

Kini, kedua-dua syarikat itu nampaknya sudah tiada lagi dalam projek berkenaan.

Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa Titian Jutaria yang ditubuhkan pada Disember 2018, telah dibubarkan.

Semasa sidang DUN pada Isnin lalu, Hee tidak menjelaskan bila atau mengapa perubahan pemaju itu dibuat.

Dia juga tidak menjelaskan berapa banyak premium tanah yang harus dibayar pemaju yang baru.

Hubungan politik, pembalakan

Gabungan Indah agak baru ditubuhkan - pada 2 November 2020 - dengan modal berbayar RM1.

Satu-satunya pengarah syarikat itu ialah Mohd Fadil Muskon, ketua pemuda Umno Johor pada 2009 hingga 2012. Tidak banyak yang diketahui mengenai aktiviti politik terbarunya.

Jenis perniagaannya yang tertera ialah sebagai syarikat pemegangan (holding company) untuk eksport dan import barangan tidak khusus dan juga untuk urusan hartanah kediaman.

Gabungan Indah dimiliki Vibrantscape Sdn Bhd - juga agak baru ditubuhkan (12 Disember 2020) dengan modal berbayar RM1.

Vibrantscape dimiliki sepenuhnya oleh Perdana Parkcity Sdn Bhd.

Ketiga-tiga syarikat berkongsi alamat berdaftar yang sama sementara CEO Perdana ParkCity Joseph Lau, juga merupakan pengarah tunggal Vibrantscape.

Perdana Parkcity merupakan pemaju hartanah prolifik yang pernah memenangi anugerah, terkenal dengan perbandaran Desa ParkCity yang luas dan mewah di Kepong, Kuala Lumpur.

Ia merupakan cabang pembangunan hartanah untuk Samling Group, sebuah konglomerat yang beribu pejabat di Miri, Sarawak, dengan kepentingan meluas dalam perladangan dan pembalakan.

Pemaju mesti penuhi kriteria

Keseluruhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada asalnya berkeluasan 991.9 hektar.

Kerajaan negeri telah mengeluarkan 536.8 hektar (54 peratus) - bersamaan dengan luas 865 padang bola.

Daripada keluasan itu, Gabungan Indah diberikan 494.7 hektar.

Rancangan asal kerajaan negeri adalah untuk mengeluarkan 930 hektar (97 peratus) daripada status hutan simpan.

Semalam, peta kawasan yang telah dinyahwartakan yang disiarkan Jabatan Perhutanan Selangor menunjukkan separuh Hutan Simpan Kuala Langat Utara (bahagian utara) diuntukkan untuk pembangunan.

Jabatan itu turut mengumumkan beberapa kriteria yang dikenakan ke atas Gabungan Indah.

Ini termasuklah mengekalkan 20 peratus daripada kawasan yang telah dinyahwartakan sebagai “kawasan hijau”.

“Antaranya (syarat-syarat) adalah keperluan kajian impak alam sekitar (EIA), kajian impak sosial (SIA), dan lain-lain syarat yang berkaitan …

“... [Ini] termasuklah pengekalan sebanyak 20 peratus daripada kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau serta keperluan translokasi spesis-spesis flora dan fauna yang berkepentingan,” kata jabatan itu dalam kenyataan semalam.

Jabatan itu menjelaskan bahawa ia meluluskan penyahwartaan itu kerana kawasan hutan berkenaan berisiko tinggi untuk terbakar dan mengalami kemerosotan mutu akibat beberapa kali terbakar pada 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.

“Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan hutan yang terpisah daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti Lebuhraya Elite, Bandar Saujana Putra dan Gamuda Cove,” tambahnya.

Ketika pendengaran awam yang diadakan pada September 2020, pemegang taruh mempertikaikan penegasan kerajaan negeri bahawa kawasan hutan simpan itu telah mengalami kemerosotan dan mudah terbakar.

Seorang pegawai daripada Seksyen Pengurusan Hutan Lembap Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia memaklumkan bahawa sebanyak kira-kira RM2.2 juta dana awam telah dilaburkan untuk pemuliharan, termasuk membangunkan kemudahan pencegahan kebakaran di hutan simpan itu.

NGO alam sekitar pula berhujah bahawa hutan itu merupakan habitat paya gambut berharga buat beruang matahari Malaya, tupai terbang pigmi Selangor, ikan laga merah Langat dan pokok meranti.

Perkampungan Orang Asli di sekitar juga turut membantah penyahwartawaan itu.

Pada November 2020, semua Adun Selangor telah mengundi sebulat suara menyokong usul melindungi semua hutan simpan di negeri itu.

Rundingan terbuka tak diperlukan

Bercakap kepada Malaysiakini, Adun Banting Lau Weng San berkata kerajaan negeri tidak perlu memulakan proses tender sebelum memindahkan tanah kerajaan negeri kepada pemaju.

Lazimnya, pemaju swasta akan membuat cadangan untuk mengambil alih tanah kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan membuat pertimbangan.

Dengan itu, Lau menggesa kerajaan negeri untuk mendedahkan perincian syarikat di sebalik projek berkenaan dan sama ada ia mampu untuk membayar premium yang besar jumlahnya.

“Saya turut mencadangkan satu misi mencari fakta.

“Penggubal undang-undang dan exco negeri boleh melawat kawasan itu (hutan simpan) dan lihat sendiri apa yang dipertaruhkan,” katanya.

Ahli parlimen DAP itu antara sejumlah yang membantah penyahwartaaan berkenaan semasa sidang DUN pada 30 Ogos.

Sejak itu semakin ramai Adun PH menggesa agar Selangor menarik balik penyahwartaan berkenaan.

PKR - parti yang dianggotai Amirudin dan Hee - turut memanggil mereka untuk memberikan penjelasan.

Amirudin dikatakan memberi jaminan untuk menangguhkan proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sehingga isu berbangkit dapat dipertimbangkan dan dijelaskan.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabatnya untuk mendapatkan pengesahan berkenaan perkara itu.

Sementara itu, Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menyuarakan kebimbangan berhubung kurangnya ketelusan dalam urusan penyahwartaan itu.

Pengarah eksekutifnya Cynthia Gabriel mempersoalkan kenapa pembangunan kawasan itu membabitkan shell company (syarikat tanpa aktiviti atau aset tertentu) dengan modal berbayar hanya RM1.

“Entiti swasta yang akan mendapat manfaat daripada penyahwartawaan ini mestilah dipilih berdasarkan merit dalam cara yang telus tanpa pengaruh tidak wajar dalam prosedur kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Cynthia menggesa kerajaan negeri untuk menyiarkan laporan teknikal ke atas hutan simpan itu secara terbuka dan menarik balik keputusannya.

“Jelaskan bagaimana keputusannya dibuat, cara mencurigakan ia dilakukan, dan alasan kenapa isu itu dirahsiakan selama tiga bulan.

“Adakah ada tangan-tangan berkuasa (higher hands) yang terlibat, dan siapa sebenarnya yang terlibat?” soalnya. 

Speaker tolak 15 usul untuk dia kosongkan jawatan?

Malaysiakini 

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menafikan menolak usul supaya dia mengosongkan jawatannya.

Sebaliknya, dia tidak akan membuat sebarang keputusan berkaitan usul itu kerana mempunyai percanggahan kepentingan.

Katanya, apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut akan diserahkan kepada timbalanya Mohd Rashid Hasnon.

Sistem ‘pilih parti, bukan calon’ terbaik, kata bekas pengerusi SPR

Samuel Chua

PETALING JAYA: Perlu ada perubahan dalam sistem pilihan raya dengan mengadakan undian awam untuk parti politik, bukan calon individu, kata seorang bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, ini dapat menghalang mana-mana wakil rakyat melompat parti kerana jika berbuat demikian, mereka akan secara automatik kehilangan kerusi.

“Sistem ini lebih adil kerana parti masih mengekalkan kerusi dan dapat melantik orang lain untuk mewakili kawasan berkenaan,” katanya kepada FMT.

Walaupun menyokong pilihan raya semula, pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) itu berkata, proses ini bukanlah pilihan terbaik kerana akan memakan masa dan kos lebih tinggi.

“Pilihan raya semula bagus dari segi demokrasi kerana rakyat terlibat sepenuhnya. Rakyat diberi peluang untuk mengundi sama ada wakil rakyat tertentu akan digugurkan kelayakan, dan jika bersetuju, ini akan membuka jalan kepada pilihan raya kecil (PRK).

“Bagaimanapun, proses ini akan menjadi sangat panjang dan memakan kos lebih tinggi kerana kempen harus dijalankan seperti pilihan raya biasa, dan kosnya tinggi,” katanya.

Semalam, bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said berkata, beliau akan mengemukakan satu usul kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bagi Rang Undang- Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, Akta Pemecatan Ahli Parlimen adalah langkah terbaik untuk mencegah wakil rakyat melompat parti dengan memberi peluang kepada pengundi menarik balik mandat yang mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka melalui pilihan raya semula.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, cadangan Rashid untuk mengubah sistem pilihan raya dari sistem First-Past-The-Post (FPTP) menjadi sistem Closed List Proportional Representation (CLPR) akan melibatkan pindaan besar terhadap Perlembagaan Persekutuan tetapi, yang paling penting, memerlukan sokongan secara meluas daripada semua pemegang taruh.

Malaysia kini mengamalkan sistem FPTP di mana calon yang memperoleh majoriti ringkas memenangi kerusi, walaupun calon-calon lain memperoleh gabungan lebih banyak undi.

“New Zealand ambil masa lebih 10 tahun sebelum beralih daripada FPTP kepada sistem sekarang yang menerapkan CLPR,” kata Fann.

“Pilihan raya semula akan lebih mudah dilaksanakan dan masih dapat menyokong sebarang perubahan dalam sistem pilihan raya yang dapat mempertahankan beberapa kerusi FPTP.”

Beliau juga berkata, pilihan raya semula akan menjadi mekanisme yang lebih baik berbanding undang-undang anti lompat parti yang hanya akan menafikan hak pengundi untuk mengesahkan atau menolak keputusan wakil mereka.

Fann berkata, undang-undang anti lompat parti juga akan berdepan rintangan perlembagaan dalam Perkara 10 yang menjamin kebebasan berpersatuan.

“Bersih menyokong pilihan raya semula sejurus selepas Langkah Sheraton sebagai penyelesaian bagi mencegah lompat parti kerana ia memperkasakan pengundi,” katanya.

“Ini juga mengurangkan kuasa pemimpin parti untuk mengancam Ahli Parlimen yang mungkin, pada hati nuraninya, tidak setuju dengan dasar buruk parti mereka atau terpaksa menyokong pemimpin yang korup.

“Bawah undang-undang anti lompat parti, seorang pemimpin dapat memecat Ahli Parlimen yang kemudian terpaksa meletak jawatan. PRK akan diadakan dan Ahli Parlimen berkenaan tidak akan dapat bertanding selama lima tahun,” katanya.

Katanya, pilihan raya semula mungkin tidak sepenuhnya menghalang lompat parti, tetapi ia akan menyebabkan wakil rakyat berfikir dua kali sebelum bertindak sedemikian.

Sementara itu, Transparency International Malaysia (TI-M) juga menyokong Azalina atas usul rang undang-undangnya, dengan berkata, ia penting bagi meletakkan semula kuasa dalam tangan masyarakat umum apabila mereka dapat menarik balik sokongan kepada wakil rakyat yang beralih kesetiaan.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata, ini adalah petanda baik untuk memastikan pembaharuan yang dijanjikan dilaksanakan, dan keadilan serta pentadbiran awam yang berfungsi akan menjadi standard.

“Ahli Parlimen dan wakil rakyat bertanggungjawab atas pengundi masing-masing menurut mandat dan tugas yang diberikan kepada mereka, bukan pemimpin parti, klik dan janji-janji jawatan dan kepuasan,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.

Penyanyi Janji Manismu, Aishah kategori 4 positif Covid-19, mohon doa peminat

 MALAYSIA DATELINE

Penyanyi Janji Manismu Aishah difahamkan kini berada pada tahap 4 positif Covid-19 setelah dimasukkan ke Hospital Ampang sejak dua malam lepas.

Paras oksigen penyanyi nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin itu agak kurang stabil dan memerlukan beliau untuk terus menerima bantuan oksigen.

Ketua Wanita Amanah Nasional Aiman Athirah berkongsi maklumat itu di Facebooknya selepas menghubungi Aishah yang sedang menerima rawatan di wad.

“Usai berbual pendek dengan Wan Aishah Wan Ariffin, ini mungkin kali kedua bicara dengannya sejak beliau dimasukkan ke hospital sejak 2 malam yang lepas.

“Aishah sekarang difahamkan berada pada kategori 4.

“Sama-sama kita terus berdoa memohon kesembuhan buat Aishah dan seluruh warga kita yang diuji pandemik Covid-19,” kata beliau.

Terdahulu Aishah melalui Instagramnya memaklumkan dirinya dijangkiti virus Covid-19 selepas ujian calitan dilakukan terhadap dirinya.

Beliau berdepan detik cemas apabila tahap oksigen dalam badan turun mendadak selepas tiub pernafasan dibuka seketika, hari ini.

Selepas beliau ke tandas dan kembali ke katil, oksigennya turun dengan mengejut.

Bekas juara Gegar Vaganza musim keempat yang berusia 56 tahun itu turut berasa bimbang tatkala melihat ada pesakit lain dibawa ke wad khas untuk ditidurkan.

“Ya ALLAH mental tidak kuat hari ini, bila melihat pesakit depan saya dibawa naik untuk di intubate (ditidurkan). Pagi tadi tahap oksigen saya 98, mereka cuba nak buka oksigen.

“Tapi bila ke tandas dan balik ke katil, paras oksigen terus turun mendadak ke 88, terpaksa pakai oksigen semula baru naik semula ke 95. Ya ALLAH teman-teman semua tolong doakan saya tidak sampai ke situ (ditidurkan),”tulis beliau.

“Saya sangat mengharapkan doa kawan-kawan, ampunkan dosa-dosa saya sekiranya pernah terkasar kata dan sebagainya,” luah Aishah.

Aishah dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta kemudia dikejarkan ke Hospital Ampang berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus pada Isnin lalu.

Royalti lumayan tapi tak upaya tadbir Terengganu dengan baik

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Kita baru sahaja merayakan hari kemerdekaan ke-64 yang menandakan kebebasan kita dari tunduk pada mana-mana pihak penjajah luar.

Walau bagaimanapun, penjajahan tidak semestinya berlaku dari luar oleh pihak asing secara ketenteraan, tetapi boleh juga berlaku ke atas minda rakyat secara politik dan kewangan secara dalaman.

Negeri Terengganu yang kaya dengan hasil minyak, dahulu berjuang untuk bebas “merdeka” mendapat bayaran royaliti minyak secara terus dari PETRONAS dan kerajaan pusat yang hari ini telah pun laksanakan sepenuhnya. Dengan itu Terengganu bebas mengurus wang royalti mengikut kehendak negeri untuk segala kemudahan rakyatnya termasuk untuk bekalan air.

Malangnya pendapatan lumayan wang royalti lebih satu billion ringgit setahun secara terus tanpa gangguan kerajaan pusat masih tidak membolehkan kerajaan Negeri Terengganu yang ditadbir Pas untuk mengurus kemudahan asas negeri seperti sumber air dengan baik.

Selepas banyak aduan dari penduduk tempatan tentang kerja menyedut pasir di sungai yang menyebabkan hakisan di darat dan juga dasar sungai tidak diendahkan kerajaan negeri, kesannya, penduduk disekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu berdepan masalah terputus bekalan air.

Lebih 150,000 penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, yang merupakan lebih dari 10 % penduduk seluruh Negeri Terengganu, tiada bekalan air berminggu lamanya. Bermula awal Ogos sehingga 14 Ogos dan setelah pulih sekitar seminggu, sekali lagi mengalami masalah serupa bermula 23 Ogos.

Sikap kurang cakna dan ambil berat kerajaan negeri ditambah dengan kelemahan akibat kurang pengalaman pentadbiran, adalah sebab utama masalah ini timbul dan berulang.

Ini telah mendorong ketua Perhubungan Umno negeri, Dato Ahmah Said menjemput Perdana Menteri datang ke Terengganu untuk melihat sendiri situasi di Terengganu.

Kerajaan Pusat juga telah menyalurkan bantuan khas 66,000 karton air kepada penduduk yang terjejas kerana respon kerajaan negeri yang tidak memuaskan.

Ini jelas menunjukkan kelemahan pentadbiran menangani masalah membabitkan keperluan asas rakyat walaupun wang royaiti yang lumayan telah diperoleh secara terus oleh Terengganu.

Ketua perhubungan Umno Negeri juga sebelum ini ada menyarankan kerajaan Terengganu mendapatkan dahulu vaksin untuk keselamatan serta mempercepatkan proses dapat vaksin rakyat Terengganu tapi malangnya cadangan tersebut telah disambut dengan komen sinis Timbalan Menteri MOSTI dari Pas.

Timbalan Menteri Pas, Dato Amzad, telah menyindir insiden semasa banjir besar 2014 dengan menyatakan ia tidak semudah mengambil bekalan roti Gardenia dari lori yang diusahakan oleh Dato Ahmad Said yang juga merupakan Menteri Besar ketika itu, untuk membantu rakyat yang putus bekalan makanan.

Sikap meremehkan usaha orang lain membantu rakyat dalam waktu bencana dan susah adalah sikap tidak sihat apakan lagi apabila ditujukan kepada “rakan” dalam kerajaan Terengganu.

Rakyat menyoal kewibawaan kerajaan Pas Terengganu yang juga sebahagian dari kerajaan pusat yang mempunyai wang royalti lumayan sendiri tetapi masih tidak berupaya mentadbir dengan baik.

Rakyat dan pegawai kerajaan merasa seolah Terengganu tidak mempunyai Menteri Besar kerana beliau banyak di Kuala Lumpur dan hanya menjenguk ke tapak putus bekalan air hari ke enam selepas putus bekalan air kali pertama.

Penarik beca di Pasar Payang, ikon pelancongan Terengganu belum pernah bersua muka dengan Menteri Besar serta elaun bulanan yang dijanjikan kerajaan kepada mereka sejak Hari Raya masih belum diterima.

Untuk siapakah kekayaan hasil bumi dan laut Terengganu kalau wang hasil minyak masih belum mencukupi dan Perdana Menteri Malaysia perlu turun atas jemputan oleh Umno untuk cuba menyelesaikan bekalan air yang berulang kali putus.

Walaupun Terengganu kononnya ingin bebas “MERDEKA” dari gangguan pengurusan wang royalti minyak dari kerajaan pusat, tetapi nampak gayanya masih perlu BERGANTUNG kepada Perdana Menteri kerajaan pusat yang mesti dijemput untuk melihat dan membantu masalah keperluan asas air di sini.

Nampaknya lagi mudah mendapatkan bekalan minyak dari dasar laut terbuka dari mendapat bekalan air bersih dari sungai di pinggir Ibu Negeri – Kuala Terengganu yang sering terputus.

Untuk siapakah kekayaan negeri dicurahkan kalau tidak kepada rakyat?

Warisan Muhyiddin yang 'tak masuk akal'

Lim Teck Ghee

Kawan-kawan, seluruh warga Malaysia yang dikasihi.

Pinjamkanlah aku duitmu...

Kejahatan seorang manusia terus hidup selepas kematiannya, kebaikannya pula bersemadi bersama tulang-belulangnya.

- Adaptasi mutiara kata petikan karya drama Julius Caesar, nukilan William Shakespeare.

ULASAN | Jadi apakah renungan pemerhati di keliling gelanggang bantahan kempen #Lawan selepas peristiwa besar yang berlaku sejak Muhyiddin Yassin mengalami 'pukulan TKO' dan undur sebagai perdana menteri?

Walaupun kita mempunyai perdana menteri baru, jelas pusat kuasa masih dalam genggaman kem Perikatan Nasional/ Umno/ Bersatu.

Pengikut pertarungan besar yang prihatin mengenai kesan perseteruan antara kaum dalam pertempuran yang melukakan itu dapat ditenteramkan atau kecewa dengan kenyataan bahawa dominasi orang Melayu terhadap sistem politik Malaysia tetap berterusan. Di sebalik semua yang digembar-gemburkan, dominasi ini tidak pernah dicabar.

Itu juga bukan hasilnya, dan sebenarnya mungkin diperkuat oleh pertarungan tersebut dan juga dalam sengketa yang akan datang.

Selepas bantahan #Lawan - sebagaimana bahan tontonan lain yang paling banyak disiarkan - pemenang telah bersikap ramah mesra dan memberikan jaminan yang menenangkan terhadap hasil pertarungan kuasa itu. 

Seperti kata-kata juara baru, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan pertamanya pada 22 Ogos:

"Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

"Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

"Seluruh keluarga Malaysia yang dikasihi, kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.

"Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.”

Penonton pertarungan dan orang ramai sedar bahawa, seperti semua pidato sang juara, janji yang dibuat dengan cepat hilang dalam penterjemahan pelaksanaan dan maklum balas lanjut.

Rakyat Malaysia kenal betul bagaimana perdana menteri baru mengubah keadaan (game-changing). Dia yang bangkit dari kedudukannya dahulu dan dikatakan handal dalam jurus 'pukul curi'.

Ramai yang ingat kehandalannya dalam memenangkan pertarungan yang 'mengubah keadaan' di wilayah kejiranan mesra keluarga Malaysia seperti Plaza Low Yat dan dalam usahanya untuk menjadikan tingkah laku pengguna bersikap perkauman.

Mereka juga mengetahui kualiti pengendali ‘satu keluarga’ dan ‘ketuanan’ yang telah melatihnya. Dan rombongannya pasti akan berkongsi kegemilangan dan terutama 'ghanimah' hasil kemenangan.

Warisan bekas PM

Pun begitu, buat masa ini, janganlah kita lupa kepada yang kalah.

Tidak menghairankan, sesiapapun juara yang tewas akan dikritik dan dicela.

Kegagalan Muhyiddin paling baik dirakam melalui imej kibaran bendera putih untuk mendapatkan pertolongan semasa pandemik dan bendera hitam tanda bantahan terhadap kabinet besar dan tidak berkesan, toleransi berterusan terhadap salah guna kuasa dan pergantungan terhadap pendirian dolak-dalik 'ketuanan' untuk mengalihkan sebarang reformasi politik.

Tetapi kita tidak boleh melupakan tindakan positif yang mungkin dibawa Muhyiddin ke arena politik nasional.

Peminat pertarungan politik Malaysia mungkin mahu penonton gelanggang pertarungan kuasa mempertimbangkan tiga kemungkinan sumbangan Muhyiddin.

Pertama, dia bertanggungjawab memastikan bahawa salah satu rancangan dasar nasional yang paling penting akan diselesaikan: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menteri-menteri pendidikan terdahulu telah menggunakan portfolio utama dan kementerian itu untuk memajukan agenda politik oportunis yang merosotkan dasar sehingga kita sekarang berada jauh di belakang negara jiran serantau dalam standard pendidikan dan penilaian antarabangsa.

Pemerhati berpendapat dasar pendidikan Muhyiddin, walaupun masih tidak cukup, sekurang-kurangnya memberikan kemungkinan beberapa pembaharuan.ee

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dirancang dan selesai ketika Munhyiddin menjadi timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan.

Pelan itu hasil daripada banyak analisis, wawancara, tinjauan dan penelitian yang dilakukan pakar negara dan antarabangsa, para pegawai, guru serta ibu bapa.

Bolehkah pelan pembangunan ini menjadi landasan bagi pembaharuan pendidikan dan juga keluarga Malaysia yang inklusif bermula dengan golongan muda?

Pihak yang selamanya optimis akan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia menyedari peri pentingnya memartabatkan dan menyokong sekolah vernakular yang menjadi sasaran lobi golongan ultra-nasionalis yang tidak berpandangan jauh itu.

Rancangan pendidikan juga membuat komitmen berikut: Kementerian akan mengembangkan dan melaksanakan prinsip-prinsip yang telus dan adil untuk peruntukan bantuan kewangan dan sokongan lain kepada semua jenis sekolah. Prinsip-prinsip ini selaras aspirasi sistem pendidikan untuk menyediakan akses kepada semua, kualiti, keadilan, penyatuan dan kecekapan.

Kedua, pemerhati juga menyatakan Muhyiddin setakat ini menolak campur tangan politik terhadap kehakiman atau kelompok lain yang mungkin melanggar atau menggugat kedaulatan undang-undang atau kebebasan kehakiman.

Muhyiddin pada 12 Januari tahun lalu berkata: “Badan kehakiman akan terus menjadi mercu keadilan di negara kita dan saya tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah. Ini ikrar saya,” katanya.

Pendirian berprinsip ini mungkin menjadi punca kejatuhannya.

Walaupun dia mungkin belum lagi mengulang langkah "Sheraton", paling tidak untuk saat ini, hal tersebut berfungsi sebagai peringatan kepada para pesaing dalam gelanggang politik kita tentang pentingnya mematuhi peraturan standard pertarungan - walaupun mereka berisiko kehilangan undi dan kalah perebutan kuasa.

Juga, sebagai peringatan kepada para pemenang bahawa kamu akan selalu dipantau untuk memastikan sistem kehakiman dan perundangan kami tidak dibeli, terjejas atau mendapat nama buruk.

Ketiga, tawaran reformasi Muhyiddin untuk menamatkan kemelut politik dan kebuntuan mungkin telah gagal. Ia dikritik sebagai terlambat dan cuma sekadar helah politik, namun tawaran sedemikian belum pernah terjadi sebelum ini.

Bahkan mungkin terbukti tawaran itu sesuatu yang bersejarah dalam usaha mencapai kata sepakat antara parti-parti yang boleh menyebabkan terbentuknya kerajaan perpaduan demi kemaslahatan negara menjadi lebih baik dan selamat ketika waktu pandemik yang mencabar ini.

Barangkali penganalisis veteran pertarungan kuasa akan memiliki pendapat yang sangat berbeza mengenai kemungkinan ini.

Masih terlalu awal untuk menilai kejatuhan Muhyiddin.

Tetapi walaupun dia tidak bertahan atau memutuskan meninggalkan politik dengan kehendaknya sendiri, sejarawan mungkin menilai dia lebih baik berbanding para perdana menteri kita sebelum ini atas warisan tidak masuk akal dan tidak munasabah yang telah ditinggalkan kepada negara, perdana menteri baru dan pemimpin politik lain untuk dikembang dan diteruskan.

LIM TECK GHEE ialah ahli sejarah, bekas penasihat serantau PBB, World Bank dan penulis buku Challenging Malaysia’s Status Quo.

Umno gantung keahlian Papagomo selama enam tahun

Malaysiakini 

Umno menggantung keahlian exco pemudanya Wan Muhammad Azri Wan Deris selama enam tahun selepas didapati melanggar perlembagaan parti.

Azri, dikenali sebagai Papagomo akan digantung keahliannya bermula 27 Ogos lalu.

Perkara ini dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh hari ini (1 September) dan ditandatangani Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

"Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yangbersidang pada 27 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa saudara digangtung hak-hak keahlian dalam parti [...] selama tempoh enam tahun berkuatkuasa dari 27 Ogos 2021 atau dua penggal pemilihan Umno," kata surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Ahmad berkata MT Umno telah mendapati Azri melanggar banyak fasal dalam perlembagaan parti.

Ini termasuk fasal mengenai tata etika ahli supaya mematuhi arahan parti, melaksanakan dasar parti, mematuhi dan menghormati keputusan parti dan memelihara nama baik parti.

Azri dalam maklum balas segera berkata dia yakin dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam mencadangkan Umno menjalin hubungan kerja dengan Bersatu.

"Saya takkan merayu lah sebab tidak ada apa salah yang saya buat.

"Kalau nak kata saya ajak Umno untuk menyokong Bersatu tidak menghormati keputusan PAU saya berasa kerajaan hari ini pun hasil kerjasama antara Umno dan Bersatu.

"Jadi saya pun tak tahu dekat mana yang salah," katanya.

Pun begitu, Azri berterima kasih kepada Umno dan berharap parti itu akan diselamatkan oleh pihak yang mahu menjadikan Umno sebagai "tebusan."

"Apapun tak apalah. Sebenarnya membuka mata ahli Umno, rakyat khususnya orang mudalah.

"Umno ini perlu diselamatkan. Umno ini tak salah tapi individu yang berada dalam Umno ini yang jadikan Umno sebagai tebusan. Ini yang perlu diselamatkan

"Saya yakin kebangkitan Umno terutama orang muda di luar parti ini yang mendesak agar Umno ini diselamatkan daripada terus dijadikan tebusan.

"Apapun terima kasih Datuk Seri Zahid Hamidi, kita tengoklah whats next (apa selepas ini)" katanya lagi.

Betulkah kerajaan PN bukan kerajaan gagal?

ZULHAZMI SHARIF

Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa bahawa tindakan majoriti rakyat Malaysia melabel Kerajaan pimpinan Mahiaddin Mohd Yasin selama 17 bulan sebagai Kerajaan Gagal adalah tidak benar.

Hujah beliau adalah bersandarkan tindakan Ismail Sabri mengekalkan 95% muka lama di dalam pentadbiran Mahiaddin di dalam barisan Jemaah Menteri yang baru.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 manakala barisan Jemaah Menteri mengangkat sumpah jawatan pada 30 Ogos 2021.

Kata Ahli MPT PPBM tersebut juga, selain pengekalan 95% muka lama, tindakan Yang di-Pertuan Agong memperkenan perlantikan tersebut juga adalah sebagai pengiktirafan bahawa Kerajaan pimpinan Mahiaddin, anggota Jemaah Menteri pimpinan Mahiaddin tidak gagal.

Adakah benar hujah Ahli MPT PPBM ini?

Kita semua tahu bahawa Mahiaddin adalah seorang Perdana Menteri khianat yang gagal. Seluruh anggota Jemaah Menteri beliau juga gagal kerana mereka bertindak secara kolektif. Kegagalan Mahiaddin menyebabkan Mahiaddin terpaksa berundur meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Jika Mahiaddin tidak gagal, mustahil ahli Dewan Rakyat Umno menarik sokongan sehingga beliau terpaksa menawarkan rasuah terbuka dan akhirnya meletakkan jawatan.

Selama 17 bulan Mahiaddin menerajui negara, negara tidak bertambah baik sebaliknya kadar angka positif dan kematian akibat pandemik Covid-19 meningkat dari hari ke hari.

Sekarang, Ismail Sabri mewarisi Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Mahiaddin pada Mac 2020 dan kemudian menikam Mahiaddin pada Ogos 2021.

Apa yang Ismail Sabri ada? Hanya 114 Ahli Dewan yang sama semasa Mahiaddin menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Untuk memilih anggota Jemaah Menteri baru di kalangan 114 yang ada, maka itu sahaja yang ada. Dikitar semula apa yang ada dengan harapan ianya akan menjadi sesuatu yang lebih baik sedangkan semua tahu yang dikitar semula tidak akan menjadi lebih baik daripada yang asal.

Kertas, plastik, tin kosong yang asal apabila dikitar semula menjadi produk baru tetapi tidaklah lebih baik dari yang asal kerana ianya kitar semula sahaja.

Sejak 21 Ogos 2021 mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan sejak 30 Ogos 2021 mempunyai anggota Jemaah Menteri, sudah hampir tiga (3) minggu menerajui Malaysia, apa yang baru yang telah diperkenalkan oleh Ismail Sabri?

SOP berkaitan pandemik masih diteruskan yang lama. Pelan Pemulihan Negara secara berfasa masih lagi yang sama. Angka positif masih lagi sama secara purata harian. Angka kematian masih lagi tiga angka.

Hari ini dilaporkan 18,762 angka positif. Setakat tulisan ini dimuatnaik, angka kematian belum dikeluarkan.

Apa yang berjayanya Ismail yang mewarisi kegagalan Mahiaddin?

Diperkenan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong bukan pengiktirafan TIDAK GAGAL tetapi itu hanya kehendak Perlembagaan.

Apa yang Tuanku boleh lakukan jika itu sahaja yang ada di hadapan Tuanku.

Janganlah gunakan Tuanku untuk menutup kegagalan.

Sebuah lagi parti politik berteras Islam ditubuhkan

ARIF ATAN

Sebuah parti politik yang mendakwa membawa dasar Islam, Parti Bahtera Sejahtera (Bahtera) ditubuhkan sempena tarikh ulang tahun kemerdekaan negara.

Presiden Penaja Bahtera, Zulkifli Ahmad berkata, parti tersebut berteraskan kepada kepimpinan dan ahli yang berwibawa di atas landasan yang membina dan mengutamakan kesejahteraan.

“Parti ini (Bahtera) percaya bahawa Malaysia memerlukan daya politik yang baharu dan segar untuk memacu negara ke tahap yang unggul.

“Bersempena tarikh keramat 31 Ogos, jawatankuasa penaja Bahtera dengan sukacita mengumumkan bahawa proses pendaftaran parti sedang berjalan dan dokumen-dokumen lengkap telah diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Parti yang membawa gagasan wibawa, membina dan sejahtera itu berlogokan bulan sabit berwarna kuning dan kapal berjalur tiga dengan dua layar berwarna perang kemerahan.

Menerusi Facebook rasmi pertubuhan tersebut, Bahtera disebut sebagai sebuah “parti politik yang membawa dasar Islam berlandaskan Ahli Sunnah wal Jamaah”.

Selain memuat naik kenyataan media berkaitan pendaftaran parti itu, Bahtera juga menyiarkan poster salam takziah atas pemergian bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil pada jam 6.32 petang semalam.

Siapa melutut kepada Umno, terkam dedak ditabur BN sudah terjawab

FAZLI RADZI

Kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad empat tahun lalu berhubung dakwaan yang mengatakan parti itu berpihak kepada Umno-BN kini dilihat sudah menjadi kenyataan.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu sekarang pun sudah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam barisan Kabinet diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Umno.

Pada 29 Mei 2017, Idris menyeru kepada penyokong Pas agar tidak perlu melayan segala tohmahan dan dakwaan yang dilemparkan oleh pihak yang dianggapnya musuh parti.

“Pesan saya kepada pengikut Pas sabar sahajalah. Kita tengok siapa yang akan seberang masuk BN dan melutut kepada Umno selepas kalah PRU-14.

“Kita kenal siapa mereka. Apabila BN tabur dedak tahulah kita siapa yang akan terkam ke sana,” katanya dalam satu kenyataan ketika Pas bergelar pembangkang.

Idris yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sejak 16 Jun 2020 itu juga berkata, semua tanggapan terhadap Pas adalah silap kerana sudah 66 tahun parti tersebut melawan BN.

“Mereka silap, Pas sudah 66 tahun melawan Umno, Perikatan, kemudian BN. 13 kali PRU di negara ini, cuma sekali sahaja Pas tidak lawan Umno, iaitu pada 1974.

“Sekarang pemimpin Pakatan (Harapan) menuduh Pas hendak bersama BN di dalam PRU-14.

“Inilah modal lapuk. Apabila mereka berceramah sahaja. Selepas Assalamualaikum, “Pas hendak masuk Umno”… inilah tagline yang paling popular,” katanya lagi pada empat tahun lalu.

Idris antara tiga menteri dan lima timbalan menteri daripada Pas yang mendapat laba dalam jemaah menteri diterajui Ismail Sabri.

Pas pada masa ini menyumbang 18 kerusi Dewan Rakyat untuk kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dijenamakan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno itu.

Hanya berbaki 20 bulan sebelum terbubarnya Parlimen, Presiden Pas juga dilihat sudah mempunyai strategi untuk lonjakan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kedudukan Pas dalam Kabinet XXL pula dianggap ulamanya sebagai perlu kerana ramai orang gila di negara ini.

Sepanjang tempoh 17 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Mahiaddin Yassin, Pas dilihat mesra Bersatu walaupun telah membentuk Muafakat Nasional (MN) dengan Umno melalui pemeteraian pada 14 September 2019.

Namun, menjelang penamaan Perdana Menteri baharu dengan ura-ura Ismail Sabri sebagai pengganti Mahiaddin, pemimpin Pas kembali menyeru kembali gabungan politik dengan Umno.

Sikap Pas yang berada dalam dua gabungan parti politik iaitu MN dan PN itu mengundang tanggapan bahawa Pas bermain dua ‘kolam’ serta cuba mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum PRU ke-15 (PRU-15).

Pas bagaimanapun menganggap partinya sebagai penyatu yang memperkasa MN dan mempertahankan PN.

Pendekatan berbaik dengan Mahiaddin dan PN tahun lalu membolehkan Pas kembali menganggotai barisan jemaah menteri Kabinet selepas 43 tahun bergelar pembangkang.

Pas kali terakhir berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan campuran Perikatan dari 1973 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1977.

Dalam kerajaan PN yang bertahan sehingga 16 Ogos lalu, seramai lapan daripada 18 Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Siddiq Fadzil meninggal dunia

Malaysiakini 

image placeholder

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Siddiq Fadzil meninggal dunia kira-kira jam 6.32 petang tadi selepas beberapa minggu bertarung dengan Covid-19.

"Ustaz Dato Dr Siddiq Fadhil (USF) telah kembali menemui Penciptanya pada jam 6:32 petang Selasa 31 Ogos 2021.

"Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan di maklumkan kelak. Al-Fatihah," kata pimpinan Wadah, Abim & PKPIM mewakili keluarga Allahyarham dalam satu kenyataan.

Allahyarham pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada sekitar tahun 1970an, presiden ketiga Abim dan juga bekas Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah).

Anwar minta Amirudin jelaskan isu nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat pada parti

SITI NUR ZAWANI MISCON

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk memberi penjelasan terperinci berhubung aduan bahawa kerajaan negeri telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Anwar berkata, Amirudin telah diminta untuk beri penjelasan perkara tersebut dalam pertemuan bersama pimpinan parti esok.

“Saya meneliti laporan dan aduan berkenaan tindakan Kerajaan Selangor yang telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei yang lalu.

“Saya juga turut mengambil maklum bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor telah menolak cadangan tersebut.

“Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kepimpinan PKR sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara tersebut.

Pada semalam, Exco Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan bahawa kerajaan Selangor bersetuju menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat untuk dibangunkan

Menurutnya, jumlah keluasan yang dipersetujui adalah 54 peratus daripada 931.16ha yang dicadangkan lebih awal, selepas mengambil kira beberapa bantahan yang berbangkit.

Pengumuman itu telah menimbulkan ketegangan dengan beberapa pihak mempersoal keawajaran menyahwartakan tanah hutan simpan tersebut.

Lelaki gilis teman wanita ditah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 32 tahun didakwa mencuri 11 kereta buatan tempatan bernilai RM130,000 yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara 2019 hingga 2021.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusoff berkata, polis menahan suspek hasil maklumat yang diterima di Cyberjaya, Selangor.

“Susulan tangkapan tersebut, suspek telah membawa pihak polis Kuala Lumpur ke beberapa lokasi dan telah berjaya menjumpai sebanyak 11 buah kereta buatan tempatan yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara 2019 hingga 2021.

“Nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM130,000,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang 26 Ogos lalu, anggotanya menghampiri sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Saiful berkata, ketika itu seorang perempuan berada di belakang kenderaan berkenaan mengambil barang di bahagian but.

Suspek lelaki yang menyedari kehadiran polis terus mengundurkan kenderaan, melanggar serta menggilis teman wanitanya.

“Perempuan berusia lebih kurang 20 tahun yang juga teman wanita suspek hanya cedera ringan dan telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis telah memberi amaran supaya berhenti tetapi suspek lelaki berkenaan terus memecut membuatkan polis terpaksa melepaskan tembakan. Suspek bagaimanapun tetap berjaya melarikan diri.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah mencuri kereta untuk menjual alat ganti tersebut di media sosial.

“Semakan mendapati suspek mempunyai sebanyak 17 rekod jenayah manakala teman wanitanya pula mempunyai tiga rekod jenayah. Kedua-dua tangkapan mempunyai rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah.”

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menyalurkannya kepada pihak Polis dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Gambar memberi seribu makna

MALAYSIA DATELINE

Gambar yang dimuat naik oleh ahli parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menaikkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang sempena Hari Merdeka hari ini menarik perhatian ramai.

Bukan bendera itu yang menarik tetapi latar belakang gambar beliau itu iaitu gambar Karpal Singh, bekas ahli parlimen Jelutong dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Mursyidul Am Pas yang paling popular.

Bagaimanapun, ramai tidak melihat perkara itu tetapi lebih melihat siapa yang membawa bendera itu.

“Kadangkala manusia itu masih belum boleh bersedia menerima mesej yang disampaikan tetapi amat tertarik dengan pembawa mesej !!!” kata ahli parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin ketika mengulas gambar itu.

Rayer terkenal dengan tingkah lakunya di Dewan Rakyat yang sentiasa mengacau pemimpin kerajaan.

Beliau dikenali penyokong kerajaan sebagai pengacau di Dewan Rakyat.

Menteri Belia dan Sukan mengaku yang dia kurang cerdik

'Kurang cerdiknya saya buat kenyataan itu' - Ahmad Faizal mohon maaf isu Liga Super

Bernama

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas kenyataannya dalam satu video yang tular semalam untuk menambahkan pasukan bertanding di Liga Super pada musim depan.

Ahmad Faizal yang memulakan tugasnya secara rasmi hari ini, turut memohon maaf kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam kerana menyebut nama mereka dalam video itu, yang mencetuskan kekecohan di media sosial semalam.

"Ia merupakan satu kekhilafan atau sesuatu yang kurang cerdiknya saya mengeluarkan kenyataan itu...Jadi saya nak mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia juga di atas kesilapan itu. Alhamdulillah saya belajar daripada kesilapan itu, yang dilakukan sebelum saya masuk pejabat.

"Hari ini hadir sebagai menteri, saya perlu tahu apa yang patut dan tak patut katakan. Insya-Allah lepas ini, saya berjanji dengan semua rakyat Malaysia dan peminat sukan, akan bekerja kuat dengan timbalan menteri, Ti Lian Ker dan rakan-rakan di kementerian untuk meningkatkan mutu sukan, bukannya berpolitik dan bercakap perkara yang tak mendatangkan faedah, " katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media selepas dia dan Ti melapor diri bertugas secara rasmi di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, tular satu video di mana Ahmad Faizal dilihat berkata Perak FC yang berdepan risiko penyingkiran dari Liga Super musim ini, berpeluang kekal untuk musim depan jika jumlah pasukan bertanding ditambah kepada 16 berbanding 12 pasukan.

Bagaimanapun, Stuart yang bakal memulakan tugas selaku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan bahawa pernah berbincang mengenai perkara itu, manakala Presiden MFL Ab Ghani Hassan berkata format kenaikan dan penyingkiran Liga Malaysia kekal seperti sedia ada.

FAM boleh digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya wujud campur tangan kerajaan dalam pentadbirannya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berjanji dia akan bekerjasama dengan semua pihak untuk meningkatkan mutu bola sepak negara, termasuk mengukuhkan peringat akar umbi.

-Bernama

Penyanyi ‘Bahtera Merdeka’ positif Covid-19

MALAYSIA DATELINE

Penyanyi yang popular menerusi lagu Bahtera Merdeka, Aishah mengesahkan dirinya dijangkitif Covid-19, petang semalam.

Beliau memberitahu keputusan diperoleh selepas menjalani ujian Kit Ujian Pantas (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta.

“Doktor menyarankan saya segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus, petang ini (semalam),” lapor BH Online.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 56, berkata, keadaan kesihatannya beransur stabil selepas dikejarkan ke Hospital Ampang dengan menaiki ambulans, maghrib semalam.

Menurut penyanyi Janji Manismu dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu itu, beliau berasa semakin baik selepas mendapat bantuan pernafasan.

ROS buat pusingan-U, keputusan Umno tangguh pemilihan kini sah

Malaysiakini 

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah membatalkan keputusannya yang menyatakan keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti tidak sah.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan menerima surat daripada Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim yang memaklumkan kepadanya mengenai keputusan baru itu petang tadi.

Ahmad mengatakan perkembangan itu hadir setelah dia dan peguam Umno menyerahkan dokumen dan pernyataan tambahan kepada ROS pada 9, 11 dan 18 Ogos serta penjelasan yang dibuat oleh sebilangan ahli majlis tertinggi Umno pada 24 Ogos.

"Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam Umno berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan Umno untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur," katanya. 

Oleh itu, katanya pemilihan untuk semua jawatan dalam majlis tertinggi, bahagian dan cabang Umno akan ditunda sehingga tarikh yang akan diumumkan.

Pemilihan parti itu mesti diadakan sebelum 29 Disember 2022.

Bagaimanapun, katanya, perhimpunan agung tahunan di semua peringkat masih boleh berlangsung tahun ini.

"Tarikh akan diumumkan kemudian," katanya.

Ahmad Maslan mengucapkan terima kasih kepada pihak ROS atas kerjasama yang diberikan.

ROS pada 6 Ogos menyatakan bahawa keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan partinya selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ini dengan alasan bahawa majlis tertinggi parti membuat keputusan untuk menangguhkan hanya setelah masa penggalnya telah berakhir.

Bagaimanapun, Ahmad menjelaskan bahawa keputusan itu diambil sebelum berakhirnya penggal perkhidmatan mereka.

100 hari Ismail Sabri sengaja ‘bunuh diri’?

SHAHBUDIN HUSIN

Sebelum mengumumkan senarai kabinetnya pada Jumaat, 27 Ogos lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mahu setiap menterinya membuktikan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama menjalankan tugas.

Untuk itu, katanya, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Meski menekankan budaya kerja berprestasi tinggi, Ismail Sabri seterusnya berharap susunan kabinet yang dibuatnya mampu bangkit untuk memberi keyakinan membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, sebaik saja kemudiannya beliau menyebut nama-nama menteri dan timbalan menteri yang dilantiknya, tempoh 100 hari yang ditetapkannya itu mula menjadi persoalan.

Hampir tidak ada yang menaruh keyakinan pasukannya itu mampu membuahkan apa-apa kejayaan kerana mereka adalah terdiri daripada pemain-pemain yang telah terbukti gagal selama 17 bulan di bawah kendalian Mahiaddin Md Yasin.

Maka, untuk apa sebenarnya beliau menetapkan 100 hari pertama bagi menilai prestasi menteri-menterinya sedangkan mereka adalah ambilan daripada pasukan kerajaan gagal PN sebelum ini?

Apa yang beliau mahu harapkan daripada mereka yang gagal itu? Tidak cukup dengan itu, Ismail Sabri sendiri adalah sebahagian daripada pasukan kerajaan gagal tersebut.

Oleh itu, bagaimana mahu diharapkan sebuah pasukan yang gagal yang hanya bertukar ketua pasukannya untuk menghasilkan keputusan yang berbeza, apa lagi berjaya?

Dalam hal ini, dengan memberi tempoh 100 hari untuk pemain-pemain yang telah terbukti gagal itu membuktikan prestasi baik mereka sebelum ini, ia tidak lebih umpama Ismail Sabri sengaja menempah untuk “bunuh diri”.

Beliau dan menteri-menterinya akan sentiasa diperhati dalam setiap aspek kedudukan serta keistimewaan sebagai anggota kabinet.

Bahkan belum pun beliau membentuk kabinetnya, tindakannya membawa kawan-kawannya menaiki jet eksekutif milik kerajaan dan untuk kegunaan Perdana Menteri ke Kedah melawat mangsa banjir telah pun menimbulkan kegemparan yang tidak menyenangkan rakyat mendengarnya.

Bayangkan berapa banyak lagi kegemparan bakal berlaku menjelang 100 hari akan datang?

Selain itu, apa jadi jika selepas 100 hari nanti tiada apa-apa prestasi baik atau kejayaan ditunjukkan oleh menteri-menterinya?

Apakah beliau sedia mengganti dan memecat mereka? Atau Ismail Sabri sendiri secara rela hati akan mengundurkan diri dan meletakkan jawatannya?

Tetapi, jika terus kekal dengan jawatannya pula – yang pasti – kecaman rakyat dan serangan netizen tentu saja lebih bertali arus serta berkali ganda daripada apa yang diterima Mahiaddin sebelum ini.

Secara mudahnya, tidakkah meletakkan tempoh 100 hari itu suatu beban buat Ismail Sabri sendiri?

Pembangkang desak Exco Kesihatan letak jawatan, minta maaf

SAIFULLAH AHMAD

IPOH - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendesak Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin meletakkan jawatan.

ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata, gesaan itu dibuat susulan kegagalan Exco kerajaan negeri itu menjawab persoalan mengenai pengurusan Covid-19 di Perak.

Menurutnya, Mohd Akmal dilihat tidak turun padang membantu Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menangani Covid-19 sekali gus memperlihatkan Exco kerajaan negeri itu tidak memainkan peranan sepatutnya.

"Tugas menangani Covid-19 memang di bawah menteri besar tetapi peranan besar Exco seperti melihat keperluan hospital kerajaan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan mengambil tahu kebajikan petugas barisan hadapan.

"Saya tidak nampak beliau turun, kita nampak beliau gagal melaksanakan tugas. Kalau tak berani nak jalankan tanggungjawab elokkah letak jawatan dan kita menggesa supaya jawatan itu diberikan kepada orang lain," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Sidang DUN Perak ke-14 pada Isnin.

Sementara itu, ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How turut meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi Mohd Akmal sehingga mendatangkan kemarahan dalam kalangan wakil rakyat pembangkang pada Sidang DUN kali ini.

Menurutnya, kegagalan Exco berkenaan menjawab soalan berkaitan kesihatan membuktikan kegagalan beliau menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Jelasnya, tindakan Mohd Akmal meletakkan tanggungjawab menguruskan Covid-19 sepenuhnya kepada Menteri Besar Perak sesuatu yang tidak wajar.

"Saya rasa eloklah Exco memohon maaf, mengakui kegagalan dan kami sendiri boleh bersama-sama membantu sebab kami sedia bersama dalam jawatankuasa berkaitan kesihatan rentas parti.

"Begitu juga soal turun padang, beliau tidak sepatutnya menunggu jemputan menteri besar baru nak turun. Jadi kita desak agar beliau letak jawatan segera dan beri kepada mereka yang nak bekerja," katanya.

sinarharian.com.

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf