"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Abang Jo mahu Anwar kekal PM

FMT Reporters
Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata Anwar Ibrahim perlu kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh penggal Parlimen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg mahu Anwar Ibrahim dikekalkan sebagai perdana menteri hingga tamat tempoh penggal Parlimen.

Premier Sarawak itu berkata, mengikut sistem demokrasi, ketentuan siapa menerajui kerajaan haruslah melalui pilihan raya.

Beliau berkata sokongan kepada Anwar juga penting agar wujud kestabilan bagi membolehkan kerajaan persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.

“Jika perdana menteri sudah ada di sana, biarkanlah sampai habis kerana ketentuan kerajaan mengikut demokrasi adalah apabila pilihan raya diadakan maka keputusannya itu kekal sampai habis…kalau (kita tukar perdana menteri) tengah jalan, akan jadi satu situasi yang tidak menentu dan yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya menurut Bernama pada sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak, di Kuching.

Abang Johari juga menyeru semua ahli politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan sendiri.

“Kami di Sarawak berkehendakkan negara Malaysia yang kuat… kita lihat jiran kita sudah ke depan… Indonesia sudah membangun tetapi pemimpin kita masih main politik. Bagi Sarawak, kita sokong kestabilan politik,” katanya.

GPS menyumbang 22 kerusi Parlimen dalam pembentukan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, dan beberapa parti kecil lain.

Pada 5 Jan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya sedia menunggu perubahan kerajaan melalui “proses demokrasi dan raja berperlembagaan”.

Mengulas “Langkah Dubai” dalam kolum Harakah Daily, Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua parti politik mahu menjadi kerajaan, bukannya pembangkang sepanjang masa.

Spekulasi “Langkah Dubai” timbul susulan perbincangan didakwa antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu ketika lawatan mereka ke Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan mereka kepada pembangkang dan membentuk kerajaan baharu.

Pemimpin kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof menolak “Langkah Dubai” dengan berkata usaha menggulingkan kerajaan perpaduan membuang masa.

Pekerja kantoi lenyek kentang guna kaki,

Malaysia Dateline

MAISARAH AISYA

Isu kebersihan amatlah penting terutamanya ketika berniaga, kerana faktor itu mampu menyebabkan pelanggan jatuh sakit.

Seharusnya soal kebersihan ini dititikberatkan oleh peniaga dan pemilik restoran namun masih ada yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

Menurut Ary News, tular satu video di media sosial India mengenai seorang pekerja restoran terkenal yang melenyek kentang menggunakan kaki.

Kejadian yang berlaku di negeri Madhya Pradesh menyita perhatian ramai pihak terutamanya pelanggan yang loya teka.

Kentang tersebut dipercayai untuk dijadikan pes dan diisi di dalam kuih samosa.

Selepas tular, ramai netizen memilih untuk mengkritik pemilik restoran yang dilihat sengaja mengabaikan faktor kesihatan.

Bagaimanapun pemilik restoran itu enggan memberikan penjelasan mengenai pelanggaran peraturan kesihatan dan kebersihan di premisnya.

Disebabkan itu, Jabatan Keselamatan Makanan Negeri Madhya Pradesh melawat restoran tersebut untuk mengumpulkan sampel makanan.

Pihak berkuasa tempatan juga memusnahkan semua barangan disediakan oleh restoran tersebut terutamanya yang mengandungi kentang.

Shahbudin Husin: Dua pilihan tersedia jika ada MP Umno masih ghairah hendak jatuhkan kerajaan

Shahbudin Husin

Walaupun telah disahkan tiada apa-apa gerakan, mahu pun pertemuan di Dubai untuk menjatuhkan kerajaan sebagaimana dikecoh-kecohkan, sekaligus menolak dakwaan yang dibuat J-Kom, tetapi nampaknya usaha untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim daripada kerusi Perdana Menteri tidak pernah terhenti.

Dikhabarkan masih ada bermacam gerakan lain sedang dan akan muncul yang diusahakan untuk menukar kerajaan semasa.

Di waktu yang sama, usaha mengumpul SD atau Akuan Bersumpah menjadi percakapan yang makin meluas kononnya ia telah diusahakan sejak akhir tahun lalu lagi.

Dikatakan usaha tersebut tiada kaitan dengan Langkah Dubai yang semata-mata khayalan itu kerana untuk menjatuhkan kerajaan, apa saja langkah atau gerakan boleh dilakukan, tidak kira di dalam negara atau di luar negara, yang penting ada cukup angka.

Dipercayai kerana berterusannya perkhabaran itulah yang membuatkan Anwar sendiri terpaksa bersuara agar mereka yang ingin menjatuhkannya melakukan perkara itu melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.

Katanya, sudah setahun beliau menunggu blok pembangkang melakukannya, tetapi mereka tetap tiada keberanian.

Barangkali berkongsi kebimbangan dengan Anwar, UMNO semalam memberi amaran kepada Ahli-Ahli Parlimennya bahawa adalah suatu kesalahan jika ada di kalangan mereka yang ingin mengambil pendirian berbeza daripada ketetapan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bersekali dengan berkuatkuasanya akta lompat parti, Ahli Parlimen UMNO juga dilarang daripada menongkah arus.

“Ramai yang mungkin tidak menyedari – termasuk penganalisis politik, ahli akademik dan pembangkang – bahawa Perlembagaan UMNO telah pun dipinda dalam Perhimpunan Agung Khas pada 13 Jan 2023 yang menghalang Ahli-Ahli Parlimennya bertindak membelakangi apa jua keputusan parti dan menyertai sebarang pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

“Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO memperuntukkan keahlian seseorang akan tergugur secara automatik sekiranya ahli yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.

“Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dengan mudah difahami kenyataan Dr Asyraf Wajdi itu adalah ditujukan khas kepada segelintir Ahli Parlimen UMNO yang tidak pro kepada Zahid Hamidi yang dikatakan bila-bila masa boleh bersama dengan suatu pakatan lain untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Ada yang menyebut, jumlah Ahli Parlimen UMNO yang pro kepada blok pembangkang itu berjumlah antara 10 hingga 12 orang.

Maka sekarang, berdasarkan kenyataan Dr Aysraf Wajdi itu, langkah Ahli-Ahli Parlimen UMNO berkenaan telah tersekat dengan sendirinya dan inilah yang membezakannya dengan Bersatu kerana parti itu tiada peruntukan sedemikian dalam perlembagaannya.

Sebab itu, Bersatu tidak boleh bertindak terhadap lima Ahli Parlimennya yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Jika mereka bertindak juga menyokong usaha menjatuhkan kerajaan, UMNO boleh bertindak mengisytiharkan mereka telah melanggar perlembagaan parti serta terlucut kedudukan sebagai Ahli Parlimen.

Jadi, apa yang harus dilakukan jika di dalam hati mereka masih bergelodak keghairahan mahu menukar kerajaan?

Secara umumnya ada dua langkah yang boleh mereka lakukan:

Pertama, mereka sendiri secara terbuka mengumumkan sokongan kepada perubahan kerajaan, bail melalui kenyataan media atau SD dan dengan demikian kedudukan sebagai Ahli Parlimen terlucut dengan sendirinya.

Selepas itu, mereka bertandinglah semula atas tiket dan dengan sokongan PN di kawasan yang sama.

Berdasarkan kekuatan sentimen Melayu/Islam dan mereka bertanding semula itu pula untuk tujuan menukar kerajaan, kalau benar rakyat menyokong gerakan berkenaan, mustahil tak boleh menang?

Kedua, bertindak mengambil tindakan mahkamah terhadap UMNO, sama ada berkaitan pemecatan/penggantungan terhadap beberapa pemimpin sebelum ini atau kerana membantah tindakan tersebut.

Apabila seseorang membawa kes ke mahkamah, keahlian mereka secara automatik tergugur, tetapi kedudukan sebagai Ahli Parlimen tidak terjejas.

Mereka seterusnya akan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang membolehkan mereka bebas bersama pakatan yang diingini untuk menjatuhkan kerajaan.

Apa macam, mana satu jadi pilihan?

Isu paling besar cuma satu – cukup beranikah Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang tidak pro Zahid Hamidi itu untuk mengambil salah satu tindakan tersebut?

Terengganu: Lelaki dikesan disyaki sewa 40 motosikal kepada warga asing

TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Zukarnain (dua dari kanan) sedang memeriksa sebahagian 79 motosikal dan kereta yang disyaki digunakan tanpa lesen memandu dan cukai jalan sah oleh warga asing di pejabat JPJ Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki disyaki berjaya meraih untung atas angin dengan menawarkan perkhidmatan sewaan motosikal kepada warga asing di negeri ini.

Perbuatan yang dipercayai didalangi lelaki berusia 50-an berasal dari Marang itu dibongkar, selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan operasi membanteras penggunaan kenderaan tanpa lesen dan cukai jalan dalam kalangan warga asing di negeri ini, bermula semalam.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, pemeriksaan mendapati sekurang-kurangnya 40 motosikal diguna warga asing yang disita dalam Ops Pewa terbabit disyaki didaftarkan atas nama lelaki berkenaan.

“Siasatan awal mendapati motosikal tersebut disewa pada kadar RM350 sehingga RM500 sebulan oleh warga asing terlibat. Ia merupakan kesalahan serius dan JPJ sedang menjejaki dalang kes tersebut,” katanya, di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai JPJ negeri menjalan Ops Pewa dengan kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Zukarnain berkata, operasi itu dilakukan di beberapa lokasi tumpuan warga asing di seluruh negeri ini dan berjaya menahan 138 warga asing yang disyaki menggunakan kenderaan tanpa lesen memandu dan cukai jalan sah. – KOSMO! ONLINE

50 rumah musnah terbakar, 300 pekerja pembinaan hilang tempat tinggal

FMT Reporters
Asap berkepul daripada api yang menjilat lima blok rumah pekerja pembinaan di Jalan Penampang, Bandar Baru Penampang petang tadi.
PETALING JAYA: Lima blok rumah terbakar di Bandar Baru Penampang terbakar petang tadi, menyebabkan kira-kira 300 pekerja pembinaan tinggal sehelai sepinggang.

Kesemua blok masing-masing yang mempunyai 10 pintu musnah sepenuhnya dalam kejadian kira-kira 4.30 petang tadi, lapor Sinar Harian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.52 petang.

Seramai 14 anggota BBP Penampang bersama sembilan anggota BBP Kota Kinabalu kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian di Jalan Penampang, 4km dari BBP Penampang.

“Kejadian melibatkan lima blok rumah pekerja jenis tidak kekal dengan setiap blok terdapat 10 pintu terbakar 100%.

“Kesemua rumah tersebut dihuni kira-kira 300 pekerja pembinaan di kawasan tersebut,” kata Zeno.

Kebakaran berjaya dikawal pada 5.50 petang dan tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Kelantan: Pengawal keselamatan didakwa rogol kekasih bawah umur

ADILA SHARINNI WAHID
Tertuduh (tengah) dikawal ketat polis menuju ke lokap mahkamah pada Khamis.
Tertuduh (tengah) dikawal ketat polis menuju ke lokap mahkamah pada Khamis.
KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan merogol kekasih bawah umur, tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 23 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan hakim, Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol gadis berusia 14 tahun tiga bulan berkenaan di alamat Kampung Banggol Lepah, Ketereh di sini, pada jam 5 petang, pertengahan Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.

Tertuduh (tengah) hadir ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh (tengah) hadir ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan terhadapnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, tertuduh merayu dibenarkan jaminan kerana menjadi penanggung kehidupan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sejumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

Ajal ditimpa pokok yang ditebang

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Baling: Seorang lelaki maut selepas ditimpa sebatang pokok yang ditebangnya, di kawasan hutan di Kampung Teluk Temelah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Mohd Hamidi Usop, 42, dari Kampung Bukit Kuala Kuang, Kupang, di sini meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Baling (HB) pada jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya, Mohamad Yusrizam Mohd Yusof, 26, sedang menebang di kawasan hutan.

"Rakannya, Mohamad Yusrizam cuba memanggil mangsa tetapi panggilannya tidak bersahut namun hanya terdengar bunyi enjin gergaji berbunyi.

"Dia kemudian bergegas ke tempat mangsa menebang pokok dan ternampak rakannya terbaring ditimpa pokok.

"Ketika itu mangsa masih lagi bernyawa dan mereka kemudian menghantarnya ke hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsudin berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata, punca kematiannya disebabkan oleh trauma daya tumpul pada tulang belakang.

Katanya, siasatan polis di tempat kejadian dan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kereta terbang China curi tumpuan di CES

Utusanonline 

KERETA terbang buatan syarikat Xpeng AeroHT. - AGENSI 

LAS VEGAS: Kereta terbang yang dihasilkan oleh syarikat pembuat kereta terbang elektrik China, Xpeng AeroHT paling mencuri tumpuan ramai di Pameran Elektronik Pengguna (CES) di sini baru-baru ini.

Lapor UPI News, syarikat China itu secara `senyap-senyap’ menyediakan kenderaan baharu  untuk dipamerkan di CES ketika melakukan ujian keselamatan dan peraturan pada tahun ini.

Kelmarin, syarikat pembuat kereta terbang elektrik terbesar di Asia itu menarik perhatian orang ramai dengan menunjukkan demo peralihan kenderaan terbabit antara mod di darat dan penerbangan, yang dilihat pertama seumpamanya di luar China.

Ketika berada di mod darat, kereta terbang eVTOL itu melipat komponen `penerbangan’ ke dalam, sekali gus memberikan penampilan lebih anggun.

“Namun, selepas melakukan beberapa pelarasan, kenderaan itu boleh membuka balik `sayapnya’ dan berlepas secara menegak,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.   

Pada tahun 2022, syarikat Xpeng AeroHT berjaya melaksanakan ujian penerbangan prototaip kereta terbang seberat kira-kira dua tan.

Orang ramai yang hadir pada acara CES juga berpeluang melihat kenderaan pengangkut pesawat darat keluaran syarikat berkenaan yang membuat penampilan sulung pada akhir tahun lalu.

Sementara itu, pengeluar dan pembekal kenderaan di seluruh dunia, Continental Automotive Group memperkenalkan beberapa teknologi baharu termasuk kerjasama dengan Swarovski Mobility.

Kerana roti, banduan warga Indonesia hilang nyawa

Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my

Melaka: Selepas seminggu bertarung nyawa dipercayai dipukul rakan sebiliknya, banduan warga Indonesia disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka, petang semalam.

Lelaki berusia 47 tahun terbabit disyaki terbabit pergaduhan dengan rakan sebiliknya berusia 33 tahun selepas dia dikatakan mengambil roti milik suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku di Penjara Sungai Udang kira-kira jam 2 petang pada 17 Februari lalu, dan disedari oleh wardar ketika melakukan kawalan penjara, kira-kira 15 minit kemudian.

"Daripada siasatan dijalankan, kejadian didakwa berpunca apabila suspek yang baru selesai sembahyang didatangi mangsa dan dia kemudian bertanya adakah lelaki itu mengambil bahagian roti miliknya sebelum bertindak memukul mangsa kerana tidak berpuas hati warga asing terbabit meninggikan suara menafikan hal itu.

"Punca kejadian dipercayai kerana mangsa dikatakan mengambil makanan yang dibekalkan oleh pihak penjara kepada suspek, menyebabkan dia tidak dapat makan.

"Suspek didakwa turut bertindak memijak bahagia peha mangsa beberapa kali selepas dia terjatuh selain menendang ke arah dada dan menghumban ke kawasan bilik air," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, pintu bilik berada dalam keadaan terbuka dan ketika itu hanya terdapat mangsa serta suspek saja kerana banduan yang lain sedang menjalani aktiviti riadah bebas.

"Mangsa dan suspek adalah rakan sebilik. Mangsa sedang menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen manakala suspek pula menjalani hukuman selama 13 tahun di bawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan," katanya.

Christopher berkata, mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke klinik penjara (RSD) sebelum dihantar ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut.

"Doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, benjol di kiri kepala, luka mata dan telinga kiri.

"Dia kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.28 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Anwar nampak ‘relaks’ sahaja, kalau nak jatuh dah lama huru-hara

SITI NUR ZAWANI

Kesahihan Langkah Dubai bagi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi tanda tanya selepas pemimpin pembangkang tidak mengaku terlibat dalam rancangan tersebut.

Bagaimanapun seperti kata pepatah, jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Khabar mendakwa wakil-wakil rakyat kerajaan sedang dibeli juga kuat tersebar.

Bagi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, selagi tiada pihak yang mengumumkan menarik sokongan dari Anwar, maka kerajaan masih lagi kukuh.

Senator Dewan Negara itu yakin kerajaan baik-baik sahaja, melihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu tenang dan tidak terjejas dengan gerakan mahu menggulingkannya.

“Kalau saya berpandukan pada kertas, kita ada 157 (sokongan ahli Parlimen). itu sudah sangat kuat. Itu sudah melebihi dua per tiga majoriti.

“Datuk Seri Anwar sendiri nampak relax (tenang) je. Kalau betul dia nak jatuh, huru-hara lah kan,” katanya kepada Harapan Daily dalam satu temubual baru-baru ini.

Disember lalu, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman mengulangi bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berminat menyertai usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada. 

Tegas Fazzrudin, seperti yang dikatakan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, GPS akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

Mengulas mengenai tentera-tentera siber pro-pembangkang yang terus menyebarkan dakwaan peralihan kerajaan dalam masa terdekat, Mujahid berkata ia hanya akan menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu kepada pelabur-pelabur luar.

Selain itu beliau menyatakan rasa khuatir terhadap penjawat awam yang akan kehilangan motivasi untuk meneruskan perancangan kerajaan disebabkan anggapan kerajaan tidak bertahan lama.

Tambah beliau, khabar tentang kejatuhan kerajaan tidak membawa kebaikan kepada negara sebaliknya menambah kekacauan dan memberi gambaran kerajaan tidak stabil.

“Jangan lupa isu ini akan jejaskan penjawat awam. Apabila berlaku isu-isu seperti kerajaan akan jatuh, bayangkan bagaimana motivasi penjawat-penjawat awam. Mereka terpaksa berfikir. ‘Aku bersungguh pun kerajaan ini nak jatuh’

“Jadi kesannya mereka tidak lagi memberikan khidmat yang baik kepada rakyat kerana memikirkan tentang kelangsungan kerajaan.

“Kemudian pelabur. Bayangkan pelabur nak datang, dengan Datuk Seri Anwar pun secara agresif minta supaya pelabur-pelabur asing datang…tapi bila jadi begini, mereka akan ragu-ragu.

“Ini bermakna anda telah menghalau pelabur-pelabur dan anda menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu kepada pelabur menyebabkan mereka mungkin akan tarik balik perlaburan mereka,” katanya lagi.

Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan pada tahun 2023, pencapaian tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata, pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad itu menyaksikan sejumlah 89,495 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Rekod pelaburan diluluskan tertinggi ini adalah lonjakan sebanyak 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu atau terbaik berbanding purata sembilan bulan berjumlah RM222.6 bilion dalam 10 tahun,” ujarnya.

Hari bahagia bertukar tragedi

Agensi
KEADAAN muka pengantin wanita selepas terkena penyembur gas FOTO thepaper.cn
KEADAAN muka pengantin wanita selepas terkena penyembur gas FOTO thepaper.cn
Beijing: Kegembiraan pengantin wanita meraikan hari bersejarahnya bertukar tragedi tidak dapat dilupakan seumur hidup apabila melecur teruk sehingga mencacatkan wajahnya.

Pada 23 Disember lalu dia sempat berkongsi beberapa gambar dirinya gembira di samping suaminya serta menerima ucapan daripada pengikutnya.

Namun, empat hari kemudian penderitaan wanita muda itu, dari Taizhou di wilayah Zhejiang, tenggara China tular dalam video yang dikongsinya di media sosial.

Wajahnya dilihat berbalut dengan kesan hitam ketara pada kening dan pipinya.

Pengantin perempuan itu mengesahkan, wajahnya melecur akibat penyembur bergas semasa hari perkahwinannya.

Satu video hari bersejarah itu menunjukkan dia keluar dari kereta perkahwinan dengan memakai gaun pengantin tradisional Cina merah dan tersenyum pada mulanya sehingga disembur dengan penyembur gas itu.

Dalam keadaan tidak selesa dia cuba menekup wajahnya dan melindungi dirinya dalam pelukan pengantin lelaki dengan asap kelihatan berkepul-kepul dari rambutnya.

Kemudian, semasa berjalan di lorong, ekspresi wajahnya kelihatan dia sedang kesakitan.

"Pada mulanya, ia hanya terasa panas di muka saya, tetapi pada keesokan harinya, muka saya dipenuhi lepuh," kata pengantin perempuan itu.

Aktiviti menyembur menjadi adat perkahwinan popular di Taizhou sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana selain mewujudkan suasana majlis meriah, ia tidak mahal, mudah dibersihkan dan tidak melekat pada pakaian.

Bagaimanapun, ia berpotensi berbahaya kerana mengandungi sebatian resin yang terlarut dalam pelarut organik mudah terbakar seperti etanol atau metana.

Setelah disembur, ia menghasilkan aerosol yang boleh menyala dengan cepat apabila terkena api.

Bila PM menganjing…

Hishamuddin Aun

Dikata pendendam, tidak kompeten, dan tiada hala tuju selepas setahun kepimpinannya, Anwar Ibrahim masih mampu tersenyum. Cuma, senyuman perdana menteri bukan biasa-biasa tapi seperti menyindir. Tentunya Anwar tidak mengharapkan puji-pujian daripada anggota pembangkang, tambahan pula mereka bercita-cita untuk mengambil alih kuasa.

Harus Anwar sudah penat melayan kerenah pembangkang yang tidak henti-henti mempersoalkan keabsahan majoriti lebih 2/3 dimilikinya di Dewan Rakyat, meskipun beliau sentiasa bersikap terbuka untuk mereka mengujinya dengan usul undi tidak percaya. Tapi rupa-rupanya pembangkang hanya bercakap tanpa bersungguh-sungguh mengambil tindakan sedemikian. Harus benar juga andaian tindakan itu dibimbangi akan mendedahkan sokongan kepada Perikatan Nasional semakin merosot.

“Dah setahun… Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya). Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada,” kata Anwar ketika mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri kelmarin. Tidak tahulah bagaimana pembangkang mentafsir kenyataan berkenaan tapi ramai yang akan bersetuju ia sebenarnya ‘menganjing’ mereka.

Selepas mempopularkan istilah seperti ‘purbasangka’, ‘hubaya’, ‘membobrok’, dan ‘kesenjangan’ ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Februari tahun lalu, istilah ‘menganjing’ bagaimanapun tiada dalam kosa kata Anwar. Kebetulan slanga atau kata yang tidak tergolong dalam bahasa baku bukan kecenderungan perdana menteri dalam urusan harian.

‘Menganjing’ atau memerli mungkin tidak pun terlintas di fikiran perdana menteri tapi itulah slanga yang tepat menggambarkan reaksinya terhadap pembangkang yang terus-terusan mahu mencabar keabsahan yang dimilikinya untuk kekal mentadbir negara sehingga tamat penggal lima tahun pada penghujung 2027.

Dari mula mengambil alih tampuk kuasa selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, Anwar yang menawarkan agar usul undi percaya dibawa dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan berikutnya. Selepas dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan kemudian dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen pada 19 Dis 2022, usul undi percaya itu diluluskan dengan undian suara. Reda seketika isu keabsahannya selepas itu.

Berselang kurang lima bulan pada 5 Mei 2003, perdana menteri mengulangi gesaan supaya pembangkang membuktikan jumlah sokongan yang didakwa diperoleh mereka bagi menubuhkan kerajaan baharu pada sesi Parlimen berikutnya. Ini berikutan spekulasi konon wujud komplot menjatuhkan Anwar selepas dilaporkan bahawa 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selepas PRU15 merancang memaksa pilihan raya kecil diadakan. Mereka dikatakan merancang keluar parti, sekali gus menyebabkan kerusi dikosongkan mengikut undang-undang anti-lompat parti.

“Kalau dia (PN) ada (cukup sokongan) tunggu masa Parlimen nanti, bawalah SD (akuan berkanun). Usulkan di Parlimen tiada masalah. Ini tiap-tiap minggu mengigau,” kata Anwar mengulas dakwaan pembangkang konon mereka mempunyai 126 sokongan Ahli Parlimen ketika itu.

“Kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal lima tahun. Saya sangat yakin,” katanya lagi. Umum pun tahu langkah itu tidak berlaku dan tinggal hanya gembar-gembur. Episod yang sama berulang lagi. Pada 30 Julai 2023, Anwar berkata beliau tidak akan menghalang sebarang bentuk undi tidak percaya daripada pihak pembangkang dan sanggup memendekkan tempoh pembentangan usul di Dewan Rakyat daripada dua minggu kepada tiga hari.

“PAS, Bersatu, kalau ada undi (tidak percaya), bentangkan usul. Saya tidak akan halang (daripada dibentangkan). Saya bukan seperti Muhyiddin. Apabila ada yang mahu membentangkan usul (undi) tidak percaya, dia sebaliknya isytihar darurat. Kalau nak cabar, sila buat. Saya akan beritahu speaker Dewan Rakyat, kalau dua minggu terlalu lama (untuk serahkan notis), buat tiga hari,” katanya pada ceramah Arus Merah Kuning di Subang Bestari. Seperti gembar-gembur terdahulu, ini juga tidak berlaku.

Jadi, benarlah seperti kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, sudah dua kali Anwar buka ruang kepada undi tidak percaya terhadapnya – berlawanan dengan dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari konon beberapa usul difailkan oleh pembangkang sebelum ini ditolak mentah-mentah oleh speaker. Jelaslah ia cuma alasan pembangkang sebagai menutup kelemahan mereka sendiri.

Juga entah dari mana datangnya cerita konon Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri yang beria-ia mencadangkan jalan untuk menukar Anwar sebagai perdana menteri seperti didakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan. Dengan memesongkan nasihat Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim supaya pembangkang memfailkan segera usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum Dewan Rakyat mula bersidang bulan depan, itu tidak boleh dijadikan dalil konon ada wakil rakyat PKR tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar. Ia sekadar mendedahkan pembangkang sudah kehabisan modal dan muflis idea.

Tepat sekali jika Anwar sekali lagi ‘menganjing’ pembangkang bahawa mereka sebenarnya tidak memiliki kekuatan atau cukup ‘jumloh’ untuk menukar kerajaan ketika ini. Dicabar untuk bawa usul undi tidak percaya pun, pembangkang terus bertelagah sesama mereka hingga mengada-adakan alasan yang bercanggah sebagai menunjukkan tiadanya kesepakatan antara mereka. Baik Langkah Dubai yang diuar-uarkan atau Langkah Chow Kit seperti dikata oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor, semuanya hanya propaganda.

Pada masa sama, Anwar juga tidak boleh dipersalahkan jika terus dibuai keyakinan untuk kerajaan perpaduan pimpinannya terus kekal atas perkenan diraja. Ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Selasa lalu, Anwar dimaklumkan Istana Negara tidak akan terbabit dalam percaturan politik, malah mahu kerajaan meneruskan kerja mengurus negara.

Lebih elok pembangkang menuruti nasihat perdana menteri supaya bekerja untuk rakyat dan biarkan pengundi buat pilihan apabila tiba masanya. Patut mereka imbau ucapan Anwar pada 3 Okt lalu yang berbunyi:

“Jika anda mahu bertentangan dengan kami, tunggu empat tahun lagi. Anda boleh membuat bising sebanyak mana yang anda mahu sekarang tetapi kerajaan perpaduan akan kekal. Tidak kira berapa banyak Perikatan Nasional telah merosakkan dan mengejek, saya masih tetap PMX.”

Jika itu bukan ‘menganjing’ pembangkang namanya, tak tahulah apa yang boleh disebut lagi.

Dua beradik curi lambang kereta Hakim Mahkamah Persekutuan untuk hadiah abang

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
LAMBANG Hakim yang dicuri dua beradik. FOTO Aizuddin Saad
LAMBANG Hakim yang dicuri dua beradik. FOTO Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: Curi lambang kereta hakim untuk dihadiahkan kepada abang sempena hari lahirnya.

Itu tindakan dua beradik berusia 15 tahun yang menggores kenderaan rasmi milik Hakim Mahkamah Persekutuan.

Malah, nombor pendaftaran serta lambang 'Hakim' turut dicabut dalam kejadian di Taman Koperasi Polis Fasa Dua, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.50 malam selepas selesai menunaikan solat di masjid.

"Susulan itu, sepasukan polis daripada Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul membuat serbuan di sebuah rumah di Batu Caves berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

"Hasil serbuan menahan dua remaja lelaki warga tempatan yang juga adik-beradik. Kedua-dua tangkapan berusia 15 tahun dan pelajar sekolah tingkatan tiga," katanya pada sidang media, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan mendapati remaja itu mencuri lambang berkenaan kerana menyerupai nama abangnya dan dihadiahkan sempena hari lahir.

"Siasatan mendapati adiknya ingin memberi hadiah hari lahir abangnya pada Mac ini kerana lambang berkenaan menyerupai nama abangnya.

"Kedua-dua suspek yang ditangkap tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mayat berulat ditemui dalam kereta

NOOR AINON MOHAMED
Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbau busuk dan berulat dalam sebuah kereta di Ipoh pada Jumaat.
Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbau busuk dan berulat dalam sebuah kereta di Ipoh pada Jumaat.
IPOH - Mayat seorang lelaki ditemui berbau busuk dan berulat dalam kereta jenis Proton Wira di sebuah premis di Jalan Pasir Puteh di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat penemuan mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu diterima pada jam 11.51 pagi.

"Siasatan mendapati mangsa ditemui terbaring di tempat duduk belakang dalam keadaan pintu berkunci dari dalam.

"Mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian, namun pemeriksaan pada badan lelaki itu tidak dapat dilakukan kerana keadaannya telah hitam dan berulat," katanya di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan cap jari.

"Bedah siasat akan dijalankan pada Isnin. Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Shamsul Iskandar tuntut RM5 juta dari Badrul Hisham ekoran fitnah Facebook

Harapandaily

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menuntut ganti rugi atau pampasan RM5 juta daripada ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin berhubung hantaran di Facebook yang didakwa berunsur fitnah.

Notis tuntutan telah diserahkan kepada Badrul di luar Balai Polis Setapak pada pukul 4.30 petang tadi.

Perkara ini telah disahkan oleh peguam Shamsul, Sankara Nair dari SN Nair & Co menerusi satu kenyataan media.

“Hantaran Facebook yang menjadi punca pertikaian mengandungi kenyataan palsu tidak berasas dan berbaur fitnah terhadap anak guam kami dengan pengataan yang mengaitkan Shamsul dengan amalan korupsi,” kata Sankara dalam kenyataan tersebut.

Secara ringkasnya, Badrul Hisham membuat tohmahan bahawa Shamsul mengagihkan dana bantuan NGO kepada rakan-rakannya yang boleh menunggang akaun NGO atau mempunyai NGO.

Badrul turut mendakwa bahawa program bantuan NGO ini ditunggang oleh PKR.

Ekoran itu Shamsul telah membuat laporan polis ke atas Badrul pada 6 Januari.

Menurut Sankara, hantaran Badrul memberi gambaran bahawa Shamsul, antara lain, menyalahgunakan kedudukan dan kuasa, melakukan penyelewengan dana awam dan tidak boleh dipercayai.

Shamsul menuntut perkara berikut dari Badrul:-

penarikan balik hantaran Facebook yang memfitnah secara umum, serta-merta.

permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh peguam dan disiarkan di media pilihan Shamsul.

aku janji bertulis untuk tidak mengulangi penyataan tersebut.

Sekiranya Badrul gagal menjawab notis tuntutan dalam tempoh lima hari, peguam Shamsul akan memfailkan writ saman.

Sankara yang turut mewakili sukarelawan Muhammad Hafiz Rayyan juga akan memulakan tindakan perundangan ke atas Badrul ekoran kenyataan fitnah yang dimuatnaik menerusi saluran Telegram.

Pegawai Imigresen cedera dilanggar warga asing cuba larikan diri

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Selera di empat lokasi di Seremban, semalam. FOTO Ihsan JIM.
ANTARA warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar dan Ops Selera di empat lokasi di Seremban, semalam. FOTO Ihsan JIM.
Seremban: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) wanita cedera selepas dilanggar warga asing yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan di sebuah medan selera dekat Rasah, di sini, semalam.

Ia menyebabkan pegawai wanita berusia 30-an itu terjatuh dan luka pada lutut selain seluar uniform dipakai terkoyak pada bahagian itu.

Lelaki warga Myanmar itu cuba melarikan diri, namun berjaya dicekup kira-kira 100 meter dari lokasi.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, kejadian berlaku dalam Ops Selera dan Ops Gegar yang dijalankan di empat lokasi di Seremban bermula 9 pagi hingga 7 petang semalam.

"Seramai 19 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Sembilan dan diketuai saya sendiri terbabit dalam operasi.

"Ketika operasi di salah sebuah lokasi serbuan, seorang pegawai wanita cedera ringan selepas dirempuh lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.

"Pasukan kami berjaya menangkap lelaki itu di dalam kawasan semak kira- kira 100 meter dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pegawai wanita itu bernasib baik hanya cedera ringan.

Katanya, seramai 65 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 43 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia antara 17 tahun hingga 47 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka terdiri daripada 34 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar serta dua wanita warga Thailand.

"Mereka dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima Borang Saman Kepada Saksi untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu dalam operasi itu bagi membantu siasatan.

Bunuh bayi: 2 sahabat dipenjara 35 tahun

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua sahabat dihukum penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki berusia 23 bulan, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas ibu bayi itu, Nor Aisyah Mohd Yunus ,40, dan rakan serumahnya, Noor Aisyah Ibrahim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Selepas mahkamah meneliti keterangan semua saksi, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh gagal memberikan penjelasan bagaimana mangsa mendapat kecederaan sedangkan tertuduh mengakui sendiri mangsa berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian," kata hakim itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan setiap tertuduh dipenjara 35 tahun dari tarikh tangkap pada 4 November 2019.

Mengikut pertuduhan, dua penjawat awam itu didakwa bersama-sama membunuh bayi itu di sebuah rumah di Presint 5, Putrajaya, di antara pertengahan September 2019 hingga 4 November 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim, Mohd Isa Mohamed dan Noor Dayana Mohamad manakala peguam Najib Zakaria dan peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Seramai 19 saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada November 2021.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, bayi lelaki itu didera dan terdapat kesan luka pada bahagian dagu dan atas kening sebelah kanan mangsa, bengkak dan luka pada kemaluan serta ada kesan lebam pada bahagian badan dan kesan parut pada kedua tangan dan kaki.

Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul dan keras.

Terdapat 89 kesan lebam, lecur, calar baru dan lama di seluruh anggota badan mangsa.

Pembelahan bulan & penyaksian Raja Cheraman

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

PERISTIWA pembelahan bulan yang berlaku sepatutnya menjadikan manusia lebih dekat kepada Allah SWT.
ANTARA peristiwa yang masyhur dalam kitab sirah berkaitan Baginda Nabi SAW adalah bagaimana berlakunya proses pembelahan bulan. Peristiwa yang merupakan salah satu daripada mukjizat Baginda Nabi SAW ini juga salah satu tanda kiamat yang sudah berlaku. Allah SWT merakamkan dalam surah Al-Qamar ayat pertama yang bermaksud: "Telah hampir saat (kedatangan Hari Kiamat) dan terbelahlah bulan.

Ibn Masud berkata: "Lima petanda (Hari Kiamat) yang telah berlalu iaitu runtuhnya Kaisar Rom, tragedi penyiksaan, (terbelahnya) bulan dan (munculnya) asap." (Tafsir Ibn Kathir-4/262)

Maka, sebab nuzul ayat pertama surah al-Qamar tersebut adalah ketika kaum kafir Makkah meminta kepada Rasulullah SAW memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT dengan meminta baginda membelah bulan.

Maka Allah SWT mengabulkan doa baginda hingga pada malam tersebut jelas bulan terbelah menjadi dua bahagian iaitu satu bahagian di Gunung Abu Qubais dan sebahagian yang kedua di as-Suwaida.

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, ia berkata: "Aku melihat bulan terbelah menjadi dua bahagian sebanyak dua kali. Peristiwa ini terjadi di Makkah sebelum hijrahnya Nabi SAW. Satu potongan di atas Gunung Abu Qubais dan potongan lainnya di atas as-Suwaida. Mereka berkata: "Bulan telah disihir". Turunlah firman-Nya: "Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan."  (Hadis Riwayat al-Hakim)

Ketika musafir tiba, mereka turut menyaksikan hal yang serupa. Tetapi kaum kafir Makkah tetap mengingkari mukjizat tersebut dan berkata: "…(Ini adalah) sihir yang terus menerus."

Keegoan pihak kafir Quraisy yang enggan menerima hakikat bahawa pembelahan bulan itu adalah mukjizat Baginda Nabi SAW telah membawa kelebihan kepada dakwah Baginda. Perkara ini bukan setakat dapat dilihat di kawasan Makkah, bahkan seluruh dunia dapat melihat perkara yang sama.

Kisah yang dicatatkan oleh Umar Suhrawardi menerusi kitab Rehlah Al-Muluk menjelaskan bagaimana seorang raja India yang bernama Raja Cheraman melihat peristiwa tersebut dan akhirnya membawa kepada pengislaman Baginda Raja Cheraman.

Dalam sebuah manuskrip hindu kuno yang tersimpan dalam Pejabat Perpustakaan  India di London menceritakan bagaimana seorang raja dari Malabar India yang dikatakan hidup sezaman dengan Baginda Nabi SAW telah menyaksikan peristiwa pembelahan bulan ketika mana Baginda Nabi SAW membelah bulan di hadapan golongan Quraisy sebagai mukjizat yang membuktikan kerasulan Baginda.

Raja Cheraman menjadi bingung dengan fenomena yang berlaku dan cuba mencari solusi dengan apa yang baru disaksikan baginda. Dr Ahmad Muhammad Al-Mubayyad menjelaskan dalam kitab Mausuah fi Al-Fitah wan Al-Malahim wa Asrat al-Saah, ketika Raja dalam mencari jawapan berkaitan pembelahan bulan ini, telah datang pedagang Muslim dari Arab yang dalam perjalanan ke China.

Sebelum Raja Cheraman bertanyakan kepada pedagang yang baru tiba tentang peristiwa yang berlaku. Penduduk India yang sebelum ini pernah berjumpa dengan pedagang dari Arab bertanya kepada mereka, bagaimana Islam boleh mengubah bangsa Arab yang kasar menjadi lembut? Berkemungkinan besar, ketika zaman sebelum kedatangan Islam, pedagang-pedagang Arab menunjukkan akhlak dan tingkahlaku yang kasar. Oleh itu, apabila pedagang yang datang sebagai seorang Islam, maka soalan pertama adalah berkaitan kelakuan yang menggambarkan akhlak seorang Islam. Para pedagang menjelaskan bahawa kebaikan dan akhlak mulia sebagai Islam telah ditunjukkan oleh Baginda Nabi SAW iaitu nabi akhir zaman.

Raja Cheraman kemudian bertanya, adakah terdapat sebarang bukti yang menjelaskan tentang Baginda Nabi SAW adalah seorang nabi utusan Allah. Maka pedagang Arab tersebut menceritakan peristiwa terbelahnya bulan sebagai satu mukjizat yang sangat hebat.

Ditakdirkan, Raja Cheraman yang turut mencari-cari jawapan kepada peristiwa terbelahnya bulan, maka jawapan tersebut menyebabkan diri Baginda bertambah minat untuk mencari dan mendalami agama yang sebenarnya.

Peristiwa terbelahnya bulan sebagaimana yang telah disebut oleh Baginda Nabi SAW adalah suatu perkara yang perlu dipegang oleh seluruh umat Islam sebagai satu mukjizat yang besar dan salah satu tanda daripada tanda-tanda kiamat.

Walaupun peristiwa terbelahnya bulan telah berlaku sejak 1400 tahun yang lalu, namun sehingga hari ini, bulan menjadi panduan utama umat Islam khususnya melibatkan hal ehwal ibadah seperti penetapan masuknya 1 Ramadan, 1 Syawal dan Aidiladha.

Allah SWT berfirman dalam surah Yassin yang bermaksud: "Dan Bulan pula kami takdirkan Dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredaranya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbetuk melengkung) seperti tandan (yang kering)." (Surah Yassin ayat 39)

Ayat ini menjelaskan kepada kita, bulan yang sama terbelah pada zaman Baginda Nabi SAW adalah datang dalam pelbagai bentuk bertujuan untuk manusia melihat kebesaran Allah SWT dalam mencipta dan mengubah sesuatu yang besar dan jauh di mata manusia.

Allah SWT berfirman dalam surah Fussilat yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari maupun bulan, tapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika ia yang kamu hendak sembah." (Surah Fussilat ayat 37)

Maka, situasi yang berlaku kepada bulan sama ada bulan purnama, bulan sabit, anak bulan atau gerhana bulan sekalipun, janganlah menjadikan peristiwa tersebut bersangkut paut dengan kebetulan kemalangan atau kejadian apa-apa yang membolehkan tergelincirnya akidah umat Islam.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambal berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka yang memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Surah Ali Imran ayat 190-191)

Oleh itu, daripada peristiwa pembelahan bulan yang berlaku, pembuktian ini sepatutnya menjadikan manusia lebih dekat kepada Allah SWT dan bukan pula menjadikan bulan itu sembahan disebabkan perubahan demi perubahan yang berlaku. Riwayat Raja Cheraman yang memeluk Islam boleh dijadikan simbol bahawa mukjizat dan pembuktian adalah kekuatan kepada perkembangan Islam di India dan dunia.

Penulis Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Tular tampar orang awam, pegawai polis disiasat

Amirul Aiman
PETALING JAYA: Polis akan melakukan siasatan ke atas seorang individu dipercayai pegawainya yang dirakam melakukan kekerasan terhadap orang awam yang dituduh memecah masuk sebuah kedai makan.

Video kejadian yang tular di media sosial itu menunjukkan lelaki terbabit menampar orang awam  yang berada di hadapannya  beberapa kali.

Stay up-to-date by following FMT's Telegram channel
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat memberitahu FMT bahawa video itu dirakam pada hari sama suspek ditahan pada 15 April 2023.

Dia berkata bahawa pegawai itu akan ditukar “segera”.

“Tindakan pegawai polis ini tidak boleh diterima,” katanya kepada FMT.

“Saya akan memulakan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (secara sukarela menyebabkan kecederaan) dan siasatan tatatertib,” katanya kepada FMT.

Serangan molotov cocktail: Suspek ditahan di Shah Alam

Harapandaily

Seorang lelaki dalam lingkungan usia 30 an telah ditahan polis pada jam 4 pagi tadi di Shah Alam, Selangor susulan serangan molotov cocktail yang dibuat di kediaman Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas).

“Suspek berumur dalam lingkungan 30-an dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini,” kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan.

Individu tersebut ditahan selama lima hari untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan dengan itu, kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sehingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda,” kata Hassan.

Dua buah telefon bimbit turut dirampas.

Dalam kejadian pada 10 Januari, anjung rumah dan tiga kereta Ngeh terbakar.

Ngeh percaya bahawa kejadian khianat api ini berlaku ekoran kenyataannya berhubung Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah (JKMBTMS).

Puad Zarkashi: Sanusi tak perlu berkaraoke untuk jadi popular

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi menasihatkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak berkaraoke untuk menjadi popular.

Sanusi sebaliknya wajar menumpukan perhatian terhadap pembangunan Kedah memandangkan usaha penukaran kerajaan pusat gagal menerusi Langkah Dubai.

“Sanusi tidak perlu berseronok macam itu kerana kerajaan tebuk atap 18 Disember tidak berlaku. Sanusi ditipu oleh scammer politik,” kata Puad dalam satu hantaran Facebook.

“Sanusi tidak perlu hore hore. Elok berhentilah berkaraoke. Tidak perlu jadi populis dengan cara itu. Fokus bangunkan Kedah kerana pertukaraan kerajaan pusat gagal.”

Baru-baru ini Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Pas menjadi sebutan ramai ekoran tindakan berkaraoke sehingga 3 pagi di platform video ringkas, TikTok.

Meskipun banyak pihak telah mengkritik Sanusi ketua Dewan Ulama Pas telah Ahmad Yahya telah mempertahankan Sanusi dengan alasan bahawa Sanusi berdakwah di pentas media sosial.

Puad bagaimanapun mentafsirkan hujah Ahmad sebagai Sanusi ketagih berkaraoke.

“Rupanya Sanusi ketagih berkaraoke secara dalam talian sehingga lewat pagi. Ini didedahkan oleh Ahmad Yahya.

“Sanusi kata ia tidak salah dari segi agama dan undang undang. Tetapi bayangkan kalau Ustaz Hadi buat perangai itu. Tidak manis,” kata Puad.

Bicara genosid Israel di ICJ beri ‘harapan’ kepada Palestin

Bernama

ISTANBUL: Amnesty International pada Khamis menegaskan bahawa prosiding semasa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel mempunyai potensi untuk melindungi rakyat Palestin, “menamatkan bencana kemanusiaan” di Gaza dan memberikan sinar harapan untuk keadilan antarabangsa.

“Di saat Amerika Syarikat terus menggunakan kuasa veto menyekat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada menyeru gencatan senjata, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan terus berleluasa, manakala risiko pembunuhan beramai-ramai adalah jelas.

“Negara-negara mempunyai kewajipan mencegah dan menghukum tindakan genosid dan jenayah kekejaman lain,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Setiausaha Agung Amnesty International Agnes Callamard dalam kenyataan.

Katanya lagi, siasatan ICJ terhadap tindakan Israel ialah langkah penting untuk melindungi nyawa rakyat Palestin, mengembalikan kepercayaan dan kredibiliti undang-undang antarabangsa dan membuka jalan untuk keadilan dan pampasan kepada mangsa.

Tahap kemusnahan dan kehancuran di Gaza sejak tiga bulan lepas terus meluas, memaksa sekurang-kurangnya 85% daripada penduduknya berpindah, katanya.

Callamard berkata, ramai rakyat Palestin dan pakar hak asasi manusia menganggap tindakan menjadikan Gaza sebagai wilayah yang “tidak boleh didiami” sebagai taktik Israel.

“Sementara menunggu keputusan muktamad ICJ sama ada jenayah pembunuhan beramai-ramai dan jenayah lain bawah undang-undang antarabangsa telah dilakukan, arahan untuk melaksanakan langkah-langkah sementara adalah penting bagi membantu mencegah kematian, kemusnahan dan penderitaan awam daripada berterusan,” katanya.

Perbicaraan pada Khamis akan disusuli dengan hujah pembelaan Israel pada Jumaat.

Dusuki masih ‘hilangkan diri’, tak bayar lagi hutang RM23,000

SITI NUR ZAWANI

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani seolah menghilangkan diri apabila masih belum melangsaikan hutangnya sebanyak RM23,000 kepada Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa biarpun sudah empat bulan dituntut berbuat demikian.

Hutang RM23,000 itu adalah kos keseluruhan yang perlu dibayar Ahmad Dusuki selepas kalah dalam saman fitnah berhubung isu Tabung Haji. 

Bayaran itu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan

Mujahid yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, disebabkan penceramah itu gagal membayar hutang selepas surat amaran diserahkan, peguamnya telah memfailkan Saman Penghutang Penghakiman di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam – bagi maksud membolehkan aset Dusuki disita.

Bagaimanapun dakwanya, surat tuntutan pemiutang itu gagal diserahkan kepada Ahmad Dusuki selepas dia beberapa kali memungkiri janji untuk bertemu dengan pihak peguam – sedangkan tarikh pertemuan sudah dipersetujui lebih awal.

“Sampai saat ini, saya punya peguam tak dapat bagi dekat dia secara serahan tangan. Dah berapa kali buat temujanji, (Dusuki kata) dia akan ada untuk terima. Tapi bila pergi ke lokasi dijanjikan, dia tiada.

“Bila dia tak terima, nak sita barang dia pun tak boleh. Sebab dia kena terima melalui serahan tangan.

“Tak banyak pun RM23,000 itu. Tapi nak ajar dia tu. Dia duk mengajar orang hutang ini akan tergantung kalau mati. Jadi saya nak ajar dia lah, kau tu hutang aku. Hutang tu bukan aku minta, mahkmah yang suruh bayar,” katanya ketika ditemubual Harapan Daily semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan saman fitnah antara beliau dengan Ahmad Dusuki.

Ahmad Dusuki sebelum ini memfailkan saman ekoran ciapan Mujahid pada 22 November 2020 berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Pada 14 September 2020, Mahkamah Sesyen menolak saman fitnah difailkan Ahmad Dusuki dengan kos RM11,000, selepas mendapati ciapan X Mujahid tidak berbentuk fitnah kerana semasa perbicaraan, terbukti bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Ahmad Dusuki kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Tinggi juga menolak rayuannya untuk mencabar keputusan Mahkamah Sesyen. Beliau diperintah membayar kos RM7,000.

Pada 29 Ogos tahun lalu, Ahmad Dusuki menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi. Beliau diarah membayar kos sebanyak RM5,000.

Dusuki
Kes antara Ahmad Dusuki dengan Mujahid sudah selesai sejak 29 Ogos lalu, namun penceramah Pas itu dilihat terus-terusan menambah ketegangan apabila menjaja fitnah berkaitan Tabung Haji.

Mujahid sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan agar Ahmad Dusuki berhenti menjaja fitnah dan menghormati keputusan mahkamah bahawa aset TH tidak pernah dijual kepada orang bukan Islam.

Kedegilan ahli Pas itu yang berterusan memfitnah bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu menyebabkan saman RM1 juta kemudian difailkan terhadap Ahmad Dusuki.

Pemerhatian Harapan Daily bagaimanapun mendapati penceramah itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan memfitnah selepas Mujahid menghantar surat LOD kepadanya.

Tindakan paling memalukan terhadap Dusuki
Sementara itu Mujahid berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah yang bakal memalukan Ahmad Dusuki iaitu dengan mendapatkan perintah dari Hakim untuk memanggil Ahmad Dusuki ke mahkamah – supaya melangsaikan hutang berjumlah RM23,000.

Kata beliau, Hakim telah pun memanggil Ahmad Dusuki untuk hadir ke mahkamah pada 10 Januari (kelmarin), namun peguam Ahmad Dusuki pula tidak hadir.

“Langkah terakhir ini paling malulah. Kamu dah ada surat suruh bayar tapi kamu tak bayar. Kamu dipanggil Hakim untuk itu sahaja. Bukan dipanggil untuk tengok kes itu balik. Hakim panggil ini untuk tanya kenapa tak bayar. Hakim akan tetapkan tempoh terakhir untuk dia bayar.

“Semalam sepatutnya dia hadir ke mahkamah, tapi kali ini bukan dia tak hadir. Kali ini peguam dia pula tak hadir, bagi surat dekat Hakim kena pergi hospital.

“Kemudian Hakim tetapkan 9 Februari, panggil dan minta selesaikan hutang itu di hadapan Hakim. Hakim akan beri masa. Kalau tak bayar juga, dia mengingkari perintah mahkamah,” katanya lagi.

Pekerja ladang penggal kepala rakan untuk ritual nombor ekor terlepas tali gantung

BERNAMA

Putrajaya: Hukuman mati ke atas seorang bekas pekerja ladang kelapa sawit yang memenggal kepala rakan sekerjanya bagi mendapatkan tengkorak lelaki itu sebagai satu bahan ritual untuk mendapatkan kemenangan loteri, diringankan kepada penjara selama 35 tahun.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan A. Francis di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan).

Tengku Maimun mengarahkan lelaki berusia 52 tahun itu menjalani hukuman penjara itu dari 26 Ogos 1994, tarikh dia ditangkap. Francis sudah berada di dalam penjara selama 30 tahun.

Dua lagi anggota panel hakim itu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Nordin Hassan.

Peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Francis memohon mahkamah supaya meringankan hukuman mati Francis kepada pemenjaraan sepanjang hayat kerana kes itu bukanlah satu kes yang luar biasa memandangkan pembunuhan itu bukannya suatu tindakan keganasan dan hanya melibatkan seorang mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) How May Ling yang dibantu TPR Ng Siew Wee membantah permohonan itu dan menggesa mahkamah untuk mengekalkan hukuman mati kerana kesalahan itu dilakukan secara ganas, kejam dan mengerikan.

"Kesalahan itu terlebih dahulu dirancang dan dilakukan dengan motif untuk mengorbankan nyawa seorang yang tidak bersalah bagi mendapatkan tengkorak untuk tujuan mendapatkan nombor ekor," kata How.

Francis didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 21 Oktober 1996 kerana membunuh warga Bangladesh Ali Ahammed Mohammed Ullah di ladang kelapa sawit Kim Swee Leong, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan-Mentakab, Daerah Temerloh, Pahang antara jam 9 hingga 11.30 malam, 19 Ogos, 1994.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing ditolak pada 18 September 2002 dan 21 Mac 2005.

Menurut fakta kes Francis melakukan kesalahan itu atas nasihat seorang bomoh sebagai satu daripada ritual yang diperlukan.

Dia menggunakan batang rotan untuk memukul kepala Ali Ahammed sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum memenggal kepalanya. Francis kemudian menanam kepada Ali Ahammed di ladang kelapa sawit itu.

Francis merupakan seorang daripada 17 banduan berusia antara 45 hingga 63 tahun yang hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat diringankan kepada hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun.

Dua belas daripada mereka termasuk tiga warga Indonesia - Fernandez, Mohd Nor Fauzi dan Buhanuddin Bardan - Moh Chuan Pin, Mohamad Deraman, Ong Lock Soon, Johan Yeob Idris, M.Poobalan, K. Nanda Kumar, S. Satiaselan, Wan Bakri Wan Ahmad dan Ranjit Singh Jit Singh, memohon kepada mahkamah supaya hukuman mati ke atas mereka diringankan kepada hukuman tahanan.

Empat lagi banduan - Nor Jumalis Abdullah@Khamis, Ku Izham Ku Adnan, Suhirman Maksom (warga Indonesia) dan A. Gunabalan memfailkan permohonan semakan bagi meringankan hukuman penjara seumur hidup terhadap mereka.

Poobalan, Nanda Kumar, Fernandez, Burhanuddin masing-masing telah menerima hukuman 12 kali sebatan.

Tujuh belas banduan itu itu telah disabitkan oleh mahkamah antaranya atas kesalahan membunuh, mengedar dadah dan menggunakan senjata api dalam rompakan.

Polis iring penunggang motosikal dikejar ah long

KOSMO
Polis mengiringi perjalanan mangsa meskipun selepas pengutip hutang melarikan diri. – Instagram
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang penunggang motosikal terpaksa meminta bantuan polis trafik untuk mengiringinya gara-gara dikejar pengutip hutang, lapor portal berita Okezone semalam.

Dalam video yang dikongsi di laman Instagram, seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke Jakarta dari Depok memberitahu bahawa dia dikejar pengutip hutang walaupun kenderaannya  dibeli secara tunai.

Disebabkan berasa terancam, dia menunggang motosikalnya ke arah balai polis Jalan Margonda Raya bagi meminta bantuan pihak berkuasa.

“Beli motosikal Honda PCX 160 secara tunai, namun tiga pengutip hutang mahu menarik kenderaan itu kerana mendakwa pembayarannya belum dibuat.

“Mangsa meminta bantuan polis untuk mengiringi perjalanannya, manakala suspek  melarikan diri selepas dihampiri polis,” kata keterangan video tersebut.

Sementara itu, pegawai polis yang mengiringi mangsa, Kristianto berkata, ketika melalui Jalan Juanda, motosikal ditunggang mangsa dihentikan secara paksaan  oleh beberapa individu yang mengaku mereka pengutip hutang.

“Meskipun suspek telah melarikan diri, polis berusaha memberikan rasa selamat kepada pelapor dengan menawarkan perlindungan,” ujarnya. – AGENSI 

Bekas pekerja kilang dipenjara 10 tahun atas kematian rakan serumah

BERNAMA

Putrajaya: Seorang bekas pekerja kilang terlepas tali gantung selepas pertuduhan membunuh rakan serumahnya dipinda kepada homisid salah tak terjumlah membunuh.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail di sini hari ini menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap Somchit Charen, 37, kerana membunuh Suriati Mat Saad, 29, yang juga rakan sekerjanya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah antara tengah hari dan jam 5.30 petang pada 19 Sept 2011.

Menurut peguam bela Somchit, K. Simon Murali, pihak pendakwaan telah bersetuju untuk pertuduhan membunuh terhadap anak guamnya dipinda kepada homisid salah tak terjumlah membunuh.

Katanya, anak guamnya bersetuju dengan pindaan itu dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu.

Katanya, panel hakim, termasuk Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy kemudian membatalkan sabitan kesalahan membunuh dan hukuman gantung dan mensabitkan wanita itu atas tuduhan pindaan.

Murali berkata Somchit, warga Malaysia berasal dari Thailand, diperintahkan menjalani hukuman penjara itu mulai 23 Oktober 2018.

Somchit didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 14 Julai 2021 atas kesalahan membunuh.

Dalam memohon hukuman penjara yang ringan, Murali memberitahu mahkamah bahawa kematian Suriati berpunca daripada pergaduhan secara mengejut antara mereka.

Beliau berkata mangsa dan anak guamnya menjalinkan hubungan cinta tetapi hubungan itu menjadi keruh apabila Suriati memutuskan untuk berkahwin.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Somchit trauma dengan kejadian itu dan sehingga hari ini masih bersedih dengan pemergian rakannya.

Beliau berkata dalam pergaduhan itu, kedua-dua Somchit dan Suriati mengalami kecederaan parah.

Murali memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya telah ditangkap dan ditahan reman di hospital selama 14 hari dan dibebaskan tanpa syarat, sambil menambah tujuh tahun kemudian pada 2018 dia dikehendaki oleh polis.

Somchit menyerah diri dan kemudian didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh pada 23 Oktober 2018.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha mengenal pasti kedua-duanya sebagai "pasangan cinta sejenis''.

Hakim juga berkata keterangan daripada saksi pendakwaan menunjukkan bahawa pergaduhan antara Somchit dan si mati berkemungkinan disebabkan rasa cemburu apabila Somchit mendapat tahu Suriati bakal bertunang untuk berkahwin dengan seorang lelaki.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, P. Sarulatha.

Langkah Dubai, Polis KL terima 13 laporan hari ini

BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini menerima 13 laporan berhubung gerakan 'Langkah Dubai' yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Bernama malam ini berkata kesemua laporan polis yang diterima itu akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata polis akan memanggil tiga pempengaruh media sosial iaitu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali di media sosial sebagai Che'Gu Bard, Wan Muhammad Azri (papagomo) dan Salim Iskandar untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Beliau berkata kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Katanya, sehingga Selasa lalu, pihaknya menerima 43 laporan polis daripada wakil pelbagai parti politik berhubung gerakan Langkah Dubai, di seluruh negara.

PAS akui ahli parti tak selesa Sanusi layak karaoke sampai pagi

Malaysiakini 

PAS mengakui ada sesetengah ahli parti itu tidak senang dengan kegiatan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, aktif melayan sesi karaoke secara dalam talian sehingga ke lewat pagi.

Menurut Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahya, parti itu ada menerima pelbagai teguran malah sesetengah ahli menganggap Sanusi sebagai melakukan dosa besar.

Kata Ahmad, PAS menyambut baik sikap ditunjukkan ahli terbabit kerana ia melambangkan mereka sayang kepada parti dan berani menegur pemimpin.

"Saya sendiri menerima pelbagai pandangan dan saya pun baca komen-komen dalam media sosial.

"Ada komen mungkin bersifat teguran, ada komen yang mungkin marah, sampai ke peringkat menganggap ia sebagai dosa besar," katanya semasa menyampaikan ucapan dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Kedah, baru-baru ini.

Klip ucapan Ahmad itu bagaimanapun hanya tular hari ini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ahli parti terasa tidak wajar Sanusi melayan anak muda menyanyi sedangkan mereka sendiri diminta bermunajat, qiamullail, berzikir dan seumpamanya.

"Sedangkan (ada) pemimpin berkaraoke," tambahnya.

Pun begitu Ahmad berkata Sanusi merupakan seorang pemimpin PAS yang "hebat".

Dekati orang tak datang kuliah

Katanya setiap kali Sanusi berkaraoke, isteri Pengarah Pilihan Raya PN itu, Jusmalailani Jusoh, menemani di tempat sama walaupun tidak kelihatan oleh orang lain.

Malah Ahmad sendiri mengesahkan keberadaan Jusmalailani itu.

"Ada satu perkara yang hebat (tentang) menteri besar kita ini.

"Setiap kali dia live (bersiaran langsung), ada karaoke, ada menyanyi atau apa, akan bersama dengan dia adalah Toh Puan, isteri menteri dia ada di sebelah.

"Itu kebiasaan, ini saya dapat sahkanlah ada bersama," katanya lagi.

Sebelum in Sanusi mengundang kecaman orang ramai selepas didapati ‘ralit’ berkaraoke dengan perempuan lain melalui platform TikTok sehingga jam 2 pagi.

Bagaimanapun Sanusi telah mempertahankan tindakannya berkenaan dengan berhujah, ia tidak melanggar sebarang undang-undang mahupun arahan agama.

Kata Sanusi ia menjadi isu kerana musuh politik mengambil kesempatan dengan menyunting bahagian tertentu video tersebut dan disertai dengan kapsyen 'panas'.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata PAS menerima segala teguran ahli terhadap tindakan Sanusi itu dan akan menelitinya.

"Mungkin apa yang dilakukan oleh datuk seri menteri besar (Sanusi) pada satu sudut kita rasa kurang selesa, masing-masing rasa mungkin tak boleh buat begitu... sampai tengah malam.

"Mungkin ada yang anggap (tindakan) begitu, tak sesuai. Jadi, saya kira seperti yang disebut yang berhormat bahawa parti akan urus macam mana tetapi pandangan datuk menteri besar tadi juga perlu untuk ada pertimbangan di pihak kita," katanya.

Ahmad juga menekankan langkah diambil Sanusi berkesan untuk menarik golongan tertentu untuk mendekati PAS.

Sebelum ini, kata Ahmad, kumpulan yang mengikut tokoh agama tertentu sudah dapat ditarik kepada parti bagi menambah kekuatan sedia ada.

"Tetapi di sana ada lagi sasaran dakwah yang perlu untuk kita terus dekati mereka, dan mereka ini tidak hadir kuliah-kuliah ilmu.

"Mereka ini takkan hadir majlis-majlis selawat tapi mungkin mereka akan berada di padang-padang bola, berada di stadium dan mereka berada di ruang-ruang media sosial yang begitu besar dan luas," katanya.

Dua anggota polis ditahan disyaki samun, rogol penuntut asing

Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Dua anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam kenderaan peronda polis (MPV) di Bukit Ampang di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, polis mengesahkan menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut kolej swasta.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 10.09 malam kelmarin, ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan oleh dua orang suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Menurutnya, kedua-dua suspek bertindak membawa mangsa dan rakannya ke tempat yang berasingan.

"Dalam kejadian itu, seorang suspek merogol mangsa manakala rakan lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap kedua-dua suspek petang semalam dan direman selama tujuh hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan kejadian ini, boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya ditalian 03-42897222 bagi membantu siasatan.

"Pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam mana-mana kes jenayah ataupun mana-mana salah laku dan siasatan akan dijalankan secara telus," katanya.

Terowong rahsia di rumah ibadat Yahudi cetus kekecohan

Agensi

KEKECOHAN tercetus di rumah ibadat Yahudi di New York. FOTO Agensi
New York: Sembilan penganut Yahudi mahzab Hasidik di New York ditahan atas dakwaan membina terowong haram yang menghubungkan rumah ibadat Yahudi di bandar raya ini, Isnin lalu.

Mereka melawan polis selepas pegawai bandar dan pemimpin ibu pejabat Chabad-Lubavitch datang untuk menutup terowong itu.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan jenayah termasuk membahayakan secara melulu dan menghalang tugas pentadbiran kerajaan.

Kekecohan tercetus selepas polis mendapati sekumpulan lelaki muda menghalang usaha untuk melakukan pemeriksaan, dan menutup terowong itu dengan simen.

Beberapa orang lelaki kemudiannya menerobos dinding ruang untuk upacara keagamaan.

Individu lain dilihat menarik panel kayu dari dinding tempat perlindungan dan menggunakan bangku untuk menghalang polis.

Salah satu video yang disemak oleh BBC menunjukkan seorang pegawai polis cuba meleraikan kekecohan itu

Susulan kejadian, Pengerusi Chabad itu, Yehuda Krinsky, berterima kasih kepada polis atas tindakan pantas mereka.

Beliau menzahirkan rasa sedih dengan vandalisme dilakukan kumpulan itu.

Tidak jelas siapa yang membina terowong itu, bagaimana mereka melakukannya dan apakah motivasi mereka. Terowong itu dikatakan bersambung ke sekurang-kurangnya satu bangunan lain di jalan di Brooklyn.

Jurucakap Chabad itu menyifatkan individu terbabit dalam kekecohan itu adalah kumpulan pelajar yang ekstremis.

Seorang penduduk tempatan memberitahu New York Times, lelaki terbabit berusaha membina terowong untuk mempercepatkan pembesaran rumah ibadat.

Terowong itu dibina di bawah jalan yang di Brooklyn terletaknya ibu pejabat Chabad-Lubavitch.

Bangunan itu adalah salah satu kawasan Yahudi paling penting di bandar ini.

Terowong haram itu dibimbangi boleh menyebabkan kerosakan pada hartanah terkenal itu.

Bangunan itu yang menyaksikan ribuan pengunjung setiap tahun dahulunya rumah ketua pergerakan Yahudi Ortodoks, Menachem Mendel Schneerson.

Ia kini ditutup sementara pemeriksaan terhadap terowong itu selesai.

Kelantan: Warga emas usia 70 tahun ditahan bersama pistol, dadah

HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Seorang warga emas ditahan bersama sepucuk pistol serta 80 biji pil yaba di sebuah rumah di Kampung Gual Arang, Rantau Panjang pada Rabu.

Bertindak atas maklumat, lelaki berusia 70 tahun itu ditahan pada jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan di dalam bilik bahagian tengah telah menjumpai sepucuk pistol jenis Kuzey GN19 berserta kelopak dan 10 biji peluru bernilai RM5,800.

"Kami turut merampas 80 biji pil yaba bernilai RM880," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Menurut beliau, serbuan susulan di sebuah rumah di Kampung Gual Machang, Rantau Panjang berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang merupakan anak kepada warga emas tersebut.

Hasil pemeriksaan di dalam bilik bahagian tengah telah menjumpai sepucuk pistol jenis Kuzey GN19 beserta kelopak dan 10 biji peluru bernilai RM5,800.

Hasil pemeriksaan di dalam bilik bahagian tengah telah menjumpai sepucuk pistol jenis Kuzey GN19 beserta kelopak dan 10 biji peluru bernilai RM5,800.

Ujarnya, lelaki terbabit merupakan penghuni kepada bilik tempat barangan kes ditemui.

Muhamad Zaki memberitahu, warga emas yang merupakan seorang penganggur itu tidak mempunyai rekod lampau.

"Namun anak lelakinya mempunyai satu rekod lampau.

"Mereka akan direman bermula hari ini (Khamis) selama seminggu," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971, dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Klinik bersalin terbakar, empat bayi baru lahir maut

AFP
PASUKAN penyelamat memindahkan bayi yang berada dalam inkubator.
PASUKAN penyelamat memindahkan bayi yang berada dalam inkubator.
Baku: Menyedihkan apabila empat bayi yang baru lahir maut susulan kebakaran pada lewat malam di sebuah klinik bersalin dekat Azerbaijan.

Berita duka mengenai kejadian disahkan seorang jurucakap, pada Selasa, ketika pemimpin negara Caucasus itu, Ilham Aliyev berikrar untuk menyelia secara peribadi berhubung siasatan ke atas kebakaran itu.

Ketika kejadian, penyelamat bertugas dilihat membawa keluar bayi dalam inkubator dari klinik di sini dan memindahkan mereka ke ambulans, menurut imej yang dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan.

"Empat bayi yang baru lahir meninggal dunia di Pusat Perinatal Republikan di Baku, dan tiga orang 'diracuni' asap," kata kementerian kecemasan dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pendakwa Raya Kamran Aliyev, yang dipetik oleh media tempatan berkata, kebakaran itu berlaku pada 11.05 malam, dan api dipadamkan dengan cepat.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan menentukan sama ada empat kanak-kanak yang dirawat di unit rawatan rapi itu terbunuh, sama ada kesan langsung akibat kebakaran atau kerana terhidu asap.

"Kami memerlukan masa untuk siasatan menyeluruh terhadap apa yang berlaku," katanya yang dipetik agensi akhbar kerajaan, APA.

Pendakwa raya sudah membuka kertas siasatan terhadap pelanggaran peraturan keselamatan kebakaran dan kecuaian, dan berkata, Presiden Ilham Aliyev akan menyelia siasatan itu secara peribadi.

Penumpang jatuh selepas buka pintu pesawat

Agensi

Ottawa: Seorang penumpang Air Canada cedera selepas terjatuh kira-kira enam meter apabila dia membuka pintu pesawat, Isnin lalu, lapor Global News.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan memberitahu Business Insider, kejadian itu berlaku dalam sebuah Boeing 777 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson Toronto.

"Penumpang masuk ke dalam pesawat seperti biasa tetapi kemudian membuka pintu kabin dan bukannya pergi ke tempat duduknya.

"Individu itu cedera akibat terjatuh dan perkhidmatan kecemasan dipanggil bagi merawatnya," katanya.

Katanya, pihaknya akan menyiasat kejadian itu berikutan semua prosedur operasi dipatuhi.

Sementara itu, data dari Flightradar24 menunjukkan, penerbangan pada Isnin dari Toronto ke Dubai itu berlepas selepas hampir enam jam ditangguhkan.

Kira-kira 319 penumpang dianggarkan menaiki pesawat itu.

Kejadian terbaharu ini kali kedua dalam tempoh kurang seminggu membabitkan tingkah laku luar biasa penumpang sehingga menangguhkan salah satu penerbangan syarikat penerbangan itu.

Pada 3 Januari lalu, satu pesawat Air Canada terpaksa dilencongkan selepas seorang penumpang berusia 16 tahun menyerang ahli keluarga.

Polis berkata, penumpang dan anak kapal lain dalam penerbangan dari Toronto ke Calgary, Alberta, menahan remaja itu sebelum dibawa ke hospital.

Pesawat itu terpaksa mendarat di Winnipeg, Manitoba, dan selepas suspek ditahan, ia meneruskan penerbangan dan mendarat di destinasi asalnya iaitu, Calgary. Kejadian itu menyebabkan kelewatan tiga jam.

Sanusi ‘menghadap’ SPRM berkait isu rasuah RM6 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Besar Sanusi Nor hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, untuk memberi penjelasan lanjut berhubung isu rasuah lebih RM6 juta membabitkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Sanusi yang juga presiden KFA tiba kira-kira 8.30 pagi dan sehingga kini, proses mengambil keterangannya masih berjalan, lapor Utusan Malaysia.

Pada 9 Jan lalu, media melaporkan menteri besar sebuah negeri di utara akan dipanggil SPRM berkait isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan persatuan bola sepak.

Sumber berkata, siasatan kes rasuah itu dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak tersebut.

“Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di kerajaan negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

“Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit,” katanya.

Sumber berkata, kontraktor yang merasakan ditipu membuat laporan kepada SPRM atas penawaran projek dijanjikan kepada mereka oleh individu berkenaan.

Pada 5 Jan lalu, ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah persatuan bola sepak negeri di utara antara empat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah RM6 juta pada 2020.

Keesokannya Naib Presiden KFA, Radhi Mat Din, mengesahkan CEO persatuan itu, Zulkifli Che Haron direman badan antirasuah tersebut.

Sanusi pada 8 Jan lalu berkata, beliau sasaran “sebenar” siasatan SPRM ke atas kes rasuah membabitkan KFA.

Beliau mendakwa, individu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah RM6 juta pada 2020 itu sekadar “aksesori” kerana dirinya sasaran sebenar “mereka” mahu kaitkan.

Namun, beliau tidak menjelaskan “mereka” yang dimaksudkannya.

'Mereka mahu pastikan kami betul-betul mati!'

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KEADAAN sebuah kediaman yang musnah bersama mayat mangsa dibom tentera Israel.
KEADAAN sebuah kediaman yang musnah bersama mayat mangsa dibom tentera Israel.
Kuala Lumpur: "Saya tidak pasti sama perlu menangis sedih atau ketawa. Kediaman saya yang sedia ranap dibom pesawat Israel sebelum ini, sekali lagi dihujani bom semalam," ujar Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar.

Dia sebelum ini terselamat walaupun cedera parah dalam serangan bom yang menyasarkan rumahnya di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.

Beliau yang cedera di kepala dan tubuh bagaimanapun berjaya dibawa keluar dari celah runtuhan konkrit sebelum dihantar ke hospital.

Abu Ayesh berkata, dalam serangan terbaru semalam, tiga roket ditujukan ke arah runtuhan kediamannya yang sememangnya musnah.

"Letupan kuat berlaku hingga meranapkan sekali lagi binaan konkrit rumah saya. Mereka (Israel) seolah-olah mahu memastikan saya dan keluarga benar-benar sudah mati.

"Saya bersyukur masih hidup sehingga kini untuk berkongsi penderitaan dan kekejaman tentera Israel. Perang genosid bagi membunuh dan menghapuskan penduduk Palestin masih terus berlaku setiap hari," katanya.

Menurutnya, beratus warga Palestin terutama bayi dan kanak-kanak terkorban setiap hari dan angka kematian di Gaza melepasi 23,084 orang setakat kelmarin.

"Bilangan mangsa yang cedera turut terus meningkat kepada 58,926 mangsa manakala lebih 7,000 lagi hilang akibat ditimpa runtuhan kediaman," katanya.

Menurutnya, kekejaman Israel berterusan apabila lima rakyat Palestin yang berlindung di dalam Sekolah Aldurra maut akibat dibunuh.

"Beberapa lagi mangsa cedera. Mereka antara ratusan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di dalam sekolah.

"Mayat semua mereka masih berada di dalam sekolah berkenaan berikutan kesukaran untuk membawa mangsa keluar.

"Penembak hendap tentera Israel turut berkeliaran di Gaza dan menunggu peluang untuk melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk di sini," katanya.

Selain itu menurutnya, sekurang-kurangnya lapan penduduk Palestin terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman di barat bandar Deir al-Balah di Semenanjung Gaza.

"Sebanyak lapan mayat dibawa ke Hospital Shuhada Al-Aqsa susulan serangan udara itu, termasuk berpuluh-puluh wanita dan kanak-kanak yang turut cedera.

"Sementara itu, sebuah pesawat tentera Israel dirakam melepaskan tembakan secara rambang di pekarangan Hospital Eropah di Gaza.
MANGSA kanak-kanak yang maut akibat dibom tentera Israel.
MANGSA kanak-kanak yang maut akibat dibom tentera Israel.
"Pesawat berkenaan turut menyerang bangunan di Kolej Sains dan Teknologi yang terletak di selatan Khan Yunis, selain mengebom kem pelarian Al-Maghazi di tengah Semenanjung Gaza," katanya.

Beliau berkata, tentera Israel turut menyasarkan masjid Al-Sunna yang terletak hanya 25 meter dari kediamannya.

"Masjid itu musnah sama sekali akibat dibom bertalu-talu. Sehingga kini 240 masjid di Gaza [lenyap' angkara keganasan tentera Israel," katanya.

Beliau turut berkongsi gambar kanak-kanak dan bayi di Gaza yang maut akibat operasi pengeboman berterusan tentera Gaza memasuki hari ke 95 semalam.

"Saya mengharapkan doa semua umat Islam yang masih bersimpati terhadap kami di Gaza. Jangan berhenti berdoa dan mengingati kami. Moga Allah SWT mendengar doa kita," katanya.