"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Konsul Malaysia dibunuh kerana serpihan MH370

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemburu bangkai MH370 mendakwa konsul kehormat Malaysia ke Republik Madagascar yang bertanggungjawab menyerahkan serpihan pesawat Malaysia Airlines itu kepada pihak berkuasa Malaysia, maut akibat dibunuh.

Akhbar Australia, Perth Now memetik Blaine Gibson yang berasal dari Amerika Syarikat sebagai berkata, serpihan baru yang ditemui itu sepatutnya diserahkan kepada Houssenaly Zahid Raza, sebelum dihantar melalui kourier swasta ke Malaysia.

Bagaimanapun, laporan itu mendakwa Houssenaly dibunuh pada 24 Ogos lalu, sebelum beliau sempat menjalankan tugasnya.

“Demi melindungi mereka yang terbabit, kami memutuskan tidak mendedahkan laporan ini sehingga serpihan itu dihantar ke Malaysia dengan selamatnya,” katanya.

Kementerian Luar tahu mengenai kematian Houssenaly. Namun, tiada butiran diberikan mengenai punca kematiannya.
Wisma Putra dalam satu kenyataan Selasa lalu menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Houssenaly yang dilantik sebagai konsul kehormat Malaysia ke Madagascar pada Disember 2013 selama 3 tahun.

“Berdasarkan prestasi cemerlang beliau dalam menjaga dan mempromosikan kepentingan Malaysia di negara berkenaan, kerajaan Malaysia memperbaharui kontraknya untuk jawatan sama untuk tempoh 3 tahun lagi sehingga Disember 2019,” kata kementerian itu.

Perth Now melaporkan seorang wakil Independent Group – sebuah pasukan pakar penerbangan dan matematik yang mengikuti perkembangan kehilangan MH370 berkata, masa kematian Houssenaly “mencurigakan” kerana belaiu dijangka pergi ke Kementerian Pengangkutan Madagascar untuk mendapatkan dan menghantar serpihan itu ke Malaysia.

Wakil itu mendakwa pihak berkuasa Malaysia dan Perancis bagaimanapun mendiamkan diri berhubung pembunuhan Houssenaly.

Gibson berkata, serpihan itu masih dalam tangan pihak berkuasa Madagascar, tetapi perancangan baru perlu dibuat untuk menghantar serpihan berkenaan ke Malaysia.

Kenali Sariah Ali, konstabel polis wanita pertama negara (Gambar)

BERNAMA
Sariah Ali
Kesusahan hidup semasa zaman pemerintahan Jepun serta semangat mahu berkhidmat untuk negara tercinta mendorong Sariah Ali menyertai perkhidmatan pasukan polis wanita 61 tahun lalu.

Berasal dari Parit Kadzi, Muar, Johor, beliau yang berusia 22 tahun ketika itu adalah seorang daripada 54 orang yang lulus untuk pengambilan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita yang dibuat setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.

"Sebenarnya mak cik hanya mencuba nasib mengikuti seorang kawan sekampung yang dapat surat tawaran menghadiri temu duga mata-mata (polis) di Mantin (Negeri Sembilan).

"Masa temuduga itu, ada lima orang termasuk mak cik tetapi di akhir temuduga itu empat lagi termasuk kawan sekampung mak cik tidak berjaya.

"Mak cik berjaya kerana kesihatan baik, mata tak juling dan ada kemahiran bercakap," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Cecily di sini baru-baru ini.

Meskipun sudah mencapai umur 85 tahun, warga emas ini masih berada dalam keadaan sihat dengan penglihatan yang masih jelas tanpa perlu memakai cermin mata.

Menurut Sariah, anak bongsu daripada enam beradik ini, ibunya, Kalsom Jusoh, seorang peniaga kopi turut menemaninya ke Mantin dengan menaiki kereta api.

Ayah Sariah yang dikenali dengan nama 'Ali Gagah' meninggal dunia sewaktu beliau berumur lapan bulan.

"Bila nak balik saya beritahu emak saya lulus. Tercengang emak kerana saya tak ada surat temu duga dan hanya tumpang kawan tapi akhirnya saya yang dapat kerja mata-mata tu," katanya yang bersekolah hingga tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Parit Kadzi, Muar, Johor.

LEMBARAN BARU

Selang seminggu selepas sesi temuduga, Sariah menerima surat tawaran rasmi untuk jawatan konstabel polis.

Tanggal 1 Ogos 1956 membuka lembaran baru dalam kehidupan anak kelahiran Johor ini apabila meninggalkan kampung halaman untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Wanita di High Street (kini Jalan Tun H S Lee) Kuala Lumpur.

Berdasarkan sejarah awal penubuhan pasukan polis wanita, usaha mengambil polis wanita bermula pada zaman darurat 1948. Pada tahun 1955, ada pengambilan tujuh orang polis wanita untuk pangkat inspektor dan kemudian pada 1956, pengambilan pertama seramai 54 orang anggota polis wanita berpangkat konstabel dibuat.

"Untuk 54 orang perintis Pasukan Polis Konstabel Wanita, rata-rata usia pelatih kami dalam lingkungan antara 18 hingga 23 tahun.

"Kami dipecahkan kepada tiga lokasi latihan, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak. Setiap lokasi ditempatkan 18 orang," tambah Sariah.

Menurut beliau, majlis pentauliahan anggota konstabel wanita itu disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman pada sekitar Mac 1957.

BANYAK KENANGAN

Selama enam bulan tempoh latihan, pelbagai pengalaman yang dilalui. Sariah masih ingat nama seorang pegawai polis wanita berbangsa Inggeris, Miss B.D.B. Wentworth yang dipinjamkan kepada pasukan polis untuk membantu melatih golongan perintis konstabel polis wanita.

Pengambilan Mata-Mata Khas Wanita atau WPC mendapat sambutan yang begitu baik kemudiannya, terutama di kalangan mereka yang tinggal di luar bandar.

Sebelum penubuhan polis wanita, tugas ini sebelumnya digalas isteri polis serta oang awam yang dilantik sebagai pegawai pemeriksa wanita.

Sariah turut berkongsi kenangan memulakan tugas di bahagian cawangan trafik dengan gaji bulanan RM99.90 ketika itu selain tugas menjaga lalu lintas.

Beliau berkata keadaan jalan raya pada waktu itu sangat menyenangkan kerana tidak banyak kenderaan berbanding zaman sekarang.

Warga emas itu turut bertemu jodoh di tempat kerjanya dengan suaminya, Kamaruddin Mohd Nordin, juga seorang anggota polis trafik yang bersara pada usia 54 tahun dengan pangkat akhir Sarjan Gelap (kini bahagian jabatan siasatan jenayah).

Suami Sariah meninggal dunia di Makkah pada tahun 1983 pada usia 55 tahun.

Sariah yang turut bersama suaminya untuk menunaikan ibadah haji itu berkata arwah suaminya yang bersara pada umur 54 tahun pernah berseloroh akan meninggal dunia di Makkah.

UNION JACK DITURUNKAN

Banyak kenangan manis Sariah sewaktu berkhidmat selama kira-kira 25 tahun sebagai anggota polis.

Dalam tempoh perkhidmatan itu, selain bertugas sebagai polis trafik dan di balai polis, beliau turut bertindak sebagai menjaga pesalah dan pengiring polis.

Bagaimana ada satu pengalaman yang masih segar dalam ingatan beliau iaitu bertugas pada malam ambang kemerdekaan di Padang Kelab Selangor (kini dikenali Dataran Merdeka).

Menurut Sariah, malam bersejarah itu tidak mungkin dapat dilupakan kerana dapat menyaksikan sendiri upacara menurunkan bendera Union Jack, menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat.

Pada malam itu beliau ditugaskan mengawal trafik di Padang Kelab Selangor.

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 tepat pukul 12 tengah malam di Padang Kelab Selangor diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack dan digantikan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

"Mak cik berasa seronok sangat. Orang sana sini laung 'merdeka, merdeka, merdeka'. Mak cik turut berpeluang bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman," tambah Sariah yang mempunyai lapan orang anak.

Setelah mencurahkan bakti bertugas di Kuala Lumpur selama sembilan tahun, Sariah kemudiannya ditukarkan ke Melaka dan meneruskan perkhidmatan selama lapan tahun.

Dari Melaka beliau berpindah ke Teluk Intan sehingga bersara awal pada 1982.

Sariah yang kini menetap di Taman Cecily, Teluk Intan dan mempunyai 23 cucu dan 8 cicit berkata beliau teringin untuk bertemu rakan-rakan seperjuangan perintis polis wanita seandainya masih mempunyai kesihatan yang baik.

"Sudah ramai rakan mak cik yang telah menghadapi illahi tapi masih ada dua tiga lagi yang dikhabarkan masih hidup yang saya tahu iaitu Mariam Mustafa dan Che Amah Mahmod," katanya.

Rafizi dedah kepincangan dalam PKR selepas Anwar dipenjara

FMT Reporters

PETALING JAYA: Rafizi Ramli hari ini mendedahkan kepincangan di kalangan pucuk pimpinan parti itu, dengan berkata pemimpin atasan yang menganggotai Biro Politik yang berkuasa menentukan hala tuju parti sering tidak sealiran, malah keputusan yang dicapai juga tidak dihormati.

Menurut naib presiden PKR itu, suasana itu berlaku sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada Februari 2015 dulu.

“Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali,” kata Rafizi, mejelaskan punca beliau tidak hadir mesyuarat badan tertinggi yang menentukan hala tuju parti itu.

Rafizi turut memberikan 2 contoh bagaimana pimpinan kanan PKR membelakangi keputusan Biro Politik, iaitu ketika pilihan raya Sarawak pada Mei tahun lalu, di mana keputusan mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi di kalangan anggota PH yang ditandatangani Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali sendiri diabaikan.

Rafizi berkata penyertaan PH dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu untuk membantu calon Amanah turut dilengah-lengahkan, memaksanya mengeluarkan arahan selaku setiausaha agung ketika itu supaya jentera parti turun membantu Amanah “tanpa menunggu keputusan Biro Politik yang tidak kunjung tiba”.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin menyelar Rafizi kerana mempersoalkan keputusan parti untuk mengadakan rundingan dengan PAS, dengan berkata beliau sudah lama tidak hadir dalam mesyuarat Biro Politik.

Rafizi berkata beliau bertindak demikian kerana mahu mengelakkan sebarang perbezaan pendapat “beerpanjangan” yang menurutnya “membantutkan persediaan parti menjelang PRU14”.

Baru-baru ini, Rafizi menyifatkan pimpinan atasan PKR berpecah 2 dalam isu sama ada parti itu perlu berunding dengan PAS, walaupun parti Islam itu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan dan sudah pun memutuskan sebarang kerjasama dengan parti.

Rafizi turut menamakan pemimpin yang pro dan kontra dalam soal menjalinkan kerjasama dengan PAS, dan berkata kekeliruan itu hanya boleh diselesaikan sekiranya isu itu diserahkan kepada akar umbi parti dalam kongres khas.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak pemimpin PKR yang dilihat tidak sehaluan dengan Rafizi, termasuk Azmin, yang sebelum ini mempertahankan usahanya berunding dengan PAS.

Tak pasti kekal politik

Rafizi hari ini berkata beliau kerap memberikan laporan tugasnya dalam parti termasuk Invoke Malaysia, pusat kajian diketuainya untuk membantu mengumpul data sentimen pengundi bagi pihak PKR.

Menurutnya, ketika Azmin dibenarkan berunding dengan PAS untuk mencari jalan mengelak pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang, beliau pula membina kempen melibatkan kerusi marginal melalui Invoke.

“Sementara saya mungkin tidak ke Biro Politik, itu tidak bermakna saya tidak tahu perkembangan parti kerana saya bermesyuarat dengan presiden, setiausaha agung… setiap minggu,” kata Rafizi yang meletak jawatan sebagai setiausaha agung pada November lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Azmin sebagai antara orang yang kerap berbincang dengannya.

Rafizi berkata perbezaan pendapat yang masih berlaku di dalam PKR ketika pilihan raya semakin dekat meyakinkannya hanya sebuah kongres khas dapat “mendamaikan semua pihak mengenai kerjasama dengan PAS”.

Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut pelbagai kritikan oleh pemimpin PKR terhadapnya, dan sekadar berkata masa depan politik beliau kini tidak tentu disebabkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya mengetepikan sabitannya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan laporan audit 1MDB, dan menetapkan hukuman 18 bulan.

Beliau juga berdepan tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan butiran kenyataan kewangan akaun milik National Feedlot Corp (NFC).

“Saya tahu ramai yang sering merasakan saya mengancam kedudukan politik mereka,” kata Rafizi.
“Saya tidak pasti sama ada saya akan kekal di dalam politik selepas saya menjalani hukuman (jika rayuan ditolak) kerana saya tidak boleh membaca masa depan.

“Oleh itu, saya tidak sewajarnya dilihat sebagai satu ancaman politik kepada rakan-rakan; sekadar seorang yang sudah terbiasa bersuara apabila saya berbeza pendapat.”

Hujan aneh hanya turun pada sebuah rumah di Jakarta

Bernama
hujan-1-place
JAKARTA: Kejadian hujan turun hanya pada sebuah rumah berlaku Sabtu lepas dan satu fenomena alam jarang berlaku di dunia.

Media atas talian hari ini memetik Ketua Pusat Informasi Meteorologi Publik Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BKMG) Mulyono Prabowo berkata, fenomena alam itu sememangnya susah berlaku.

Fenomena yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Tebet Barat Dalam 1, Jakarta Selatan itu sesuatu yang agak ganjil kerana hujan kira-kira 6 jam hanya turun pada sebuah rumah berukuran 5×5 meter.

Rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial di Indonesia kerana kejadian berlaku ketika cuaca di kawasan tersebut panas dan kering malah rumah di sekelilingnya tidak ditimpa walau setitik hujan pun.

Mulyono berkata, ketinggian awan pada musim kemarau menjadikan hujan seperti di Tebet itu sangat sukar berlaku dan hasil kajian pihaknya mendapati ketinggian awan ketika itu sekitar 700 meter hingga 1 kilometer.

Hujan ‘eksklusif’ itu menarik perhatian penduduk kawasan berkenaan sehingga ada yang bermandi air hujan itu dan menadah dengan bekas untuk menyimpannya.

Pemilik rumah itu yang dikenali sebagai Muzakir berkata, ketika kejadian berlaku semasa dia bermain catur dengan seorang jiran pada 6.30 petang.

Mereka pada mulanya menyangka hujan turun di seluruh kawasan itu.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila terlihat kanak-kanak bermain hujan dan menjerit kegembiraan kerana hujan hanya berlaku di rumahnya.

Setelah melihat sekeliling, dia mendapati sememangnya hujan hanya turun di rumahnya dan berterusan hingga tengah malam.

Muzakir berkata, beliau bagaimanapun tidak membuat sebarang tafsiran mengenai fenomena itu dan membiarkan semua penduduk di situ datang menyaksikan dan merakam kejadian aneh tersebut.

'Saya tak terkejut ada pakatan Najib-Hadi'

WARTAWAN SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Dakwaan wujud pakatan antara Umno dan Pas untuk menjatuhkan Kerajaan Selangor dan mempertahankan Kelantan, bukan sesuatu yang mengejutkan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, dalam perkembangan politik semasa, hubungan antara Umno dan Pas dilihat begitu akrab, dan perkara tersebut diketahui umum.

“Kalau kita lihat serangan antara kedua-dua parti, sebagai contoh dalam ceramah Pas hari ini, tidak lagi cenderung mengkritik atau menentang keras Umno. Begitu juga dengan Umno, mereka dilihat selesa dengan Pas.

“Begitu juga dengan media arus perdana, ketika saya dalam Pas sebelum ini, hampir setiap hari kenyataan pemimpin Pas diputar-belit dan kalau ada gambar yang keluar pun, gambar tersebut gambar paling buruk, tetapi sekarang semua itu terbalik.

"Pemimpin Pas diberikan ruang yang luas, diagung-agungkan dan gambar disiarkan adalah gambar terbaik,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, Pas yang dahulu didakwa sebagai pelampau agama kini telah berubah statusnya.

“Banyak perkara telah berubah kini dan itu adalah realitinya. Keakraban mereka (Pas dan Umno) bukan lagi rahsia,” katanya

PKR kena pilih berada dalam 2 kolam atau… Rafizi cadang kongres khas tentukan kerjasama PKR-Pas

Rafizi Ramli
Persoalan mengenai bentuk kerjasama di antara PKR dengan PAS berpanjangan kerana ia 1 keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya PKR semata-mata.

Keputusan sama ada PKR menumpukan kepada persediaan pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH) sepenuhnya, termasuk bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru dengan PAS atau “berada di dalam 2 kolam” bersama PH tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:

i. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi PKR di seluruh negara mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan PKR

ii. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan 3 penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno seperti yang dihujahkan beberapa pihak?

iii. Soal tanggungjawab moral – bahawa PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak demi membela rakyat. Keutamaan membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari pertama saya mengenalinya

Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada ketiga-tiga perkara banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah.

Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada laporan-laporan kaji selidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan kaji selidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat berbeza.

Perbezaan pendapat yang berpanjangan

Sebab itu, kepimpinan kanan PKR baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun PH ditubuhkan.

Malah semasa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan PH dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan PH telah mengumpul 1 petisyen untuk memecat saya dari jawatan setiausaha agung pada ketika itu.

Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara 2 pemikiran berbeza dalam PKR.

Di 1 pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik PKR mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan PKR sebagai tonggak kerajaan Selangor.

Hasil dari pendapat ini adalah mudah: PKR tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor. Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan 3 penjuru dalam pilihan raya.

Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan dalam PKR dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan R Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di 1 pihak lagi merasakan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan 1 gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Relevannya PKR dalam politik tanah air adalah kerana PKR adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata. Kemenangan yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan PKR dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti-parti lain.

Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan PKR yang berpendapat begini adalah saya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (setiausaha agung), Datuk Johari Abdul (ketua whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (bendahari agung), Syed Ibrahim Syed Noh (ketua penerangan) dan William Leong sendiri.

PKR terbahagi 2

Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara 2 pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.

Maka, tugas Dr Wan Azizah sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi PKR tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya. Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin PKR membidani lahirnya PH di celah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk dari aktivis-aktivis masyarakat sivil.

Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya PKR membina PH dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan dalam PH dapat diredakan.

Matlamat utama ialah untuk membina 1 barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan 1 lawan 1 di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada dalam PH atau tidak).

Walau bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada Amanah dan PPBM, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.

Pertembungan di antara 2 pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kaji selidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, laporan-laporan kaji selidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.

Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan-dapatan dari Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (dari kaji selidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan 3 penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.

Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk terus berunding dengan PAS walaupun PH telah jauh berlari ke depan adalah bersandarkan pembentangan terkini Profesor Datuk Dr Redzuan Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari Unisel).

Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi PKR/PH walaupun PKR dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama dengan PAS. Oleh itu, demi mencapai pertandingan 1 lawan 1, rundingan mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada PKR.

Saya tidak pernah melihat data yang terperinci dari Merdeka Center atau Institut Darul Ehsan. Kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kaji Selidik Invoke yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini.

Sudah tentu dapatan kaji selidik Invoke sangat berbeza malah bertentangan dengan dapatan Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan itu. Seawal Januari 2017, dalam kaji selidik yang terbesar pernah dibuat di negara ini mengenai kecenderongan mengundi, kami dapati undi Umno sudah pun jatuh ke tahap 40%. Itu memungkinkan senario pertandingan 3 penjuru yang berpihak kepada PH jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan PH berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu. Setakat kaji selidik terkini iaitu Julai 2017, kaji selidik Invoke menyimpulkan undi Melayu PH adalah hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.

Pertembungan 2 set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat 1 pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan tersebut.

Invoke ditubuhkan oleh saya. Maka dapatannya dituduh berat sebelah hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan. Kaedah dan sistem yang digunakan oleh Invoke menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.

Institut Darul Ehsan adalah milik Kerajaan Selangor dan bergantung belanjawannya kepada ihsan Menteri Besar Selangor. Malah, kaji selidik IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kaji selidik.

Bagi Merdeka Center pula, saya tidak pernah melihat laporan kecenderongan pengundi seluruh negara yang terkini. Merdeka Center juga tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab, bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan pelbagai soalan lain. Saya juga tahu pengurusan Merdeka Center juga diberi tanggungjawab menguruskan 1 projek bernama #teamSelangor di bawah Kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.

Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari Institut Darul Ehsan dan Merdeka Center, kaji selidik mereka yang dikemukakan untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran Azmin.

Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari kaji selidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Redzuan dan Mohd Noor mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama PKR-PAS.

Usaha mustahil membuahkan hasil

Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang perkara ini akan terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia mengheret sama PH dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara PKR-PAS yang tidak melibatkan PH adalah 1 usaha yang mustahil membuahkan hasil.

Saya menyebut begitu kerana PKR tidak boleh merundingkan bagi pihak Amanah dan PPBM dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu melibatkan Amanah, PPBM (dan juga DAP). PAS berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna Amanah dan PPBM tidak ada kerusi untuk bertanding. Saya tidak yakin PKR dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada Amanah dan PPBM semata-mata untuk memenuhi tuntutan PAS.

Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana PKR tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke atas PH, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat PH yang sedang berjalan.

Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan dari PKR yang mahu berkawan tetapi menghina PKR dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan hati rakan dari PH hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon PKR termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu.

Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, PKR akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri. Apabila rundingan itu gagal akhirnya (kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), PKR bukan sahaja tidak mendapat undi dari penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar PH yang marah dengan tindakan membelakangkan PH itu.

Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi di kalangan pimpinan PKR di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat mengenai isu ini. Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa PKR dan rakyat keseluruhannya ke dalam kancah ini.

Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada 2 kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat. Oleh kerana ada di kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat PH, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.

Di satu pihak, yang bersetuju dengan Azmin untuk terus berunding dengan PAS termasuklah naib-naib presiden Tian Chua, Shamdul Iskandar, Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin. Pimpinan lain yang dikenali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah (yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan), Datuk Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan N Surendren. Ahli MPP pula termasuklah Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr Mohamad Nur Manuty, Latheefa, Afif Baharuddin dan Haniza Talha.

Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada PH, selain saya sendiri, termasuklah Saifuddin, Nik Nazmi, Tan Yew Kew, Syed Ibrahim, Johari, Sim Tze Tzin (pengarah strategi), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), William Leong, Jeneral (B) Datuk Hadi (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah). Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, Manivanan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.

Oleh yang demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut Perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.

Saya mengesyorkan supaya 1 kongres khas kebangsaan dipanggil dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti. Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing, saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota PKR dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada 1 pihak lagi.

Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah kongres khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan PH dan diri kita sendiri.

Rafizi Ramli adalah naib presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan

Azmin Ali dan PKR pandang lekeh pada PH? (Mempelajari sihir Azmin Ali - MSO)

Azmin Ali kata rundingan PKR dengan Pas tidak membabitkan Pakatan Harapan. Dia juga kata rundingan itu bukan atas inisiatif dia secara peribadi, tetapi atas arahan parti. Beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Biro Politik sebagai "belakang" untuk dipanjatnya.

Jawaban itu mempamerkan timbalan presiden Keadilan itu sudah semacam terdesak atau tidak tahan dengan bingkitan apabila berbagai bicara berhubung tindakannya bertemu dengan Abdul Hadi Awang baru-baru ini. Jelas pertemuan beliau dengan Abdul Hadi menimbulkan keraguan dan kemarahan sesetengah pihak.

Dua perkara dapat difikir dan dinilai sendiri dengan jawaban terbaru Azmin itu. Pertama, kalau pertemuan (rundingan itu) bukan ada kaitan dengan Pakatan Harapan macam mana pula hubungan Keadilan dengan Pakatan Harapan? Apakah Keadilan bercadang atau ada niat hendak meninggalkan Pakatan Harapan untuk bersama Pas? Apakah memang ada rancangan sulit di sebalik pertemuan itu? Hidde projek.

Ada beberapa indikator menggambarkan Keadilan sedang bergerak atau berfikir ke arah itu. Salah satu ialah apabila Azmin gagal mengambil tindakan atau keputusan berhubung kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor, tiga Exconya dan juga ribuan lantikan politik. Kegagalan menimbulkan masalah di Selangor, menjadikan hubungan politik Keadilan, DAP dan Amanah tidak lendik.

Keduanya, sekiranya pertemuan itu bukan atas inisiatifnya tetapi arahan parti, apakah ia menunjukkan Keadilan tidak tahu menghormati Pakatan Harapan -- DAP, Amanah dan PBBM. Sekiranya Keadilan menghormati PH, Azmin tidak mengadakan pertemuan itu walaupun ia sangat tidak rasmi? Bukankah peristiwa seperti boleh menimbulkan fitnah dan salah anggap.

Paling penting untuk diketahui apakah kerja Azmin itu atas arahan orang lain. Maksudnya ada dalang atau tukang merestuinya. Apakah ia disetujui sendiri oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail atau melibatkan secara licit dan halus Ketua Umum Keadilan, Anwar Ibrahim?

Penjelasan Azmin itu tidak menyelesaikan masalah. Pakatan Harapan pula mendesak supaya Azmin tidak meneruskan rundingan itu kerana ia bersalahan dengan semangat Pakatan Harapan. Sekiranya rundingan itu direstui Anwar ia memang sukar untuk tidak dipatuhi Azmin apa lagi beliau sendiri bersetuju kalau Pas terus bersama Keadilan demi survival politiknya.

Permainan itu sama sepeeti main Haji berada dilubang "sokse", ia tidak akan kesudahan sampai ke senja.

Kegeruman Azmin dalam Piraum akan datang sangat nyata apabila kerusi disandangnya kini khasnya Parlimen Gombak sangat getir. Dalam pilihan raya lalu kerusi parlimen Gombak adalah kerusi yang dimenangi dengan majoriti terendah di Selangor, hanya 4,734. Angka inilah menganggui tidur Azmin dan menyebabkan beliau kurang senang dengan pilihan raya tanpa sokongan Pas.

Menyelami penjelasan Azmin itu ia memberi gambaran bahawa pertemuan dengan Abdul Hadi itu semacam ada sangkut paut dengan naluri Anwar Ibrahim juga. Dengan beranggapan Anwar masih ada autoriti kemungkinan ia ada kena mengena dengan Anwar. Arahan penuh licit dan lincah.

Memahami games ini timbul persoalan apakah Anwar sendiri masih geli geleman dengan Dr Mahathir Mohamad, dan sikap itu menunjukkan ketidakpercayaan penuh kepada Dr Mahathir. Justeru sihir-sihir yang memeningkan kepala dilakukan Azmin itu adalah untuk mengseimbangkan veto Dr Mahathir dengan veto Anwar.

Sekiranya andaian-andaian ini benar, ertinya Pakatan Harapan belum berada dalam suasana bersiap sedia dan landasan yang betul.

Di Selangor, orang ramai sedang menanti bila Azmin akan membentuk struktur kepimpinan PH di negeri itu. Selagi Azmin masih berdolak dalik dan bermain mata dengan Pas, struktur itu tidak akan mudah diwujudkan. Selagi struktur PH belum ditubuhkan maka selama itu Selangor akan dilihat bermasalah. Pemimpin apa Azmin kalau gagal mengurangkan masalah tetapi pandai menambah masalah.

Dan sesungguhnya struktur PH di Selangor tidak akan ditubuhkan selagi masalah dan kata putus dengan Pas belum ada.

Perang dingin dan permainan silap mata dan kuntau dalam Keadilan meninggalkan kesan buruk bukan sahaja kepada parti itu tetapi rakan PH juga. Perletakan jawatan ahli parlimen Selayang, William Leong Kee sebagai ahli Biro Politik adalah pembukaan kepada lubang kecil yang boleh melompong empangan Keadilan.

Sebaiknya Azmin selesai masalah William ini terlebih dahulu sebelum datang bersembah kepada Abdul Hadi Awang. Sihir-sihir dan silap mata juga hendaklah dihentikan segera. [wm.kl.8:57 am 27/08/17]

Berjayakah pakatan Umno, PAS tawan Selangor?

Masih dikekang faktor tertentu, ada penganalisis politik melihat kemungkinan untuk kerjasama di antara PAS dan Umno boleh terjadi di Selangor.

Spekulasi itu menjadi panas selepas akhbar Singapura, Straits Times, pada Jumaat lalu melaporkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang saling berhubungan hampir setiap hari sejak dua minggu lalu.

Najib dan Abdul Hadi masing-masing adalah presiden Umno dan PAS.

Menurut Straits Times kedua-dua mereka sedang berusaha merampas Selangor yang kini ditadbir oleh musuh politik mereka di peringkat pusat.

Dr Ahmad Atory Hussain menyatakan isu kerjasama di antara dua parti itu sudah lama diperkatakan ketika tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin hampir.

Walaupun Abdul Hadi dilihat lebih cenderung kepada pakatan sebegitu, keadaan sama dijangka tidak berlaku pada timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun kata Ahmad Atory laporan Straits Times pada 25 Ogos itu menunjukkan sekurang-kurangnya ada rancangan untuk menguasai Selangor.

"Di atas kertas Umno boleh menang jika dibantu PAS. Tapi saya tida fikir ia mudah pada waktu sekarang dengan adanya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),” katanya kepada Malaysiakini.

Di sebalik keadaan itu banyak pihak mengakui permusuhan sengit yang pernah terjadi antara kedua-dua parti itu tidak mustahil dipadamkan demi Selangor.

"Sebab itu Azmin - dan dulu Muhyiddin - sedaya-upaya cuba memujuk PAS, sebab mereka tahu kalau PAS tak mahu membantu dengan sendirinya akan berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya meruju kepada Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmi Ali dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majoriti ikut presiden

Pada masa sama Atory yakin jika kerjasama Umno - PAS itu berlaku, ia tetap menguntungkan PAS.

Ia memang berbeza daripada pandangan pihak lain yang meramalkan PAS akan kehilangan sokongan jika bekerjasama dengan Umno.

"Peratusan (hilang sokongan) tak banyak. Majoriti anggota PAS akan mengikut presiden, sebab kita kena ingat Abdul Hadi menang besar dalam pertandingan jawatan dulu," katanya mengenai pemilihan pada 2015.

Pada pemilihan itu Abdul Hadi ditentang bekas pegawai kanan Pusat Islam, Ahmad Awang. Pertandingan itu bukan saja menyaksikan Ahmad gagal malah hampir semua pemimpin aliran sederhana dalam PAS diketepikan perwakilan.

Mereka kemudian menubuhkan AMANAH.

Kata Atory atas perkiraan itu beliau menjangkakan PAS masih akan disokong anggotanya walaupun jika kerjasama dengan Umno berlaku.

"Kalau ada pun yang tak suka, mereka tak ramai," katanya.

Malah kata bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, lebih cepat PAS membuat keputusan menyokong BN, akan lebih mudah untuk Najib membuat sebarang pengumuman berkaitan PRU.

"BN akan lebih yakin untuk menang sebab jika PAS menang pun, parti itu akan menyokong BN membentuk kerajaann," katanya.

Khoo Kay Peng juga percaya kerjasama itu akan berlaku jika PAS tidak bersama Pakatan Harapan sehingga PRU ke-14 berlangsung.

"Kerjasama itu akan memberi manfaat kepada PAS, jika PAS dan Umno boleh merundingkan satu perjanjian pilihan raya dan mengelakkan pergaduhan tiga penjuru," katanya.

Bagaimana pula dengan tahap sokongan bagi kedua-dua parti sekiranya mereka memutuskan untuk bekerjasama?

Kata penganalisis politik itu, Umno dan PAS akan mendapat faedah bersama jika pemimpin berjaya memujuk penyokong masing-masing.

"Tidak semua dapat diyakinkan tapi ada masa untuk melakukannya," kata Khoo.
-malaysiakini