"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawi siasat video wanita hina Islam

Mahaizura Abd Malik

mahaizura@hmetro.com.my

TANGKAP layar rakaman video tular di media sosial

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang menyiasat video tular seorang wanita dipercayai menghina kesucian agama Islam yang berlaku di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan memandang serius isu terbabit.

"Siasatan awal dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jawi dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam dengan denda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Jawi sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab di TTDI, di sini.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, jika benar wanita berkenaan beragama Islam, perbuatannya bukan sahaja menghina agama dan umat Islam lain, malah menghina dirinya sendiri.

"Barangkali dia mungkin hendak menghina umat Islam lain, tetapi dia tidak sedar perbuatan itu sebenarnya menghina dirinya sendiri.

"Orang macam ini dia munafik, sama sama hukumnya macam orang yang melakukan dosa besar dan perlu bertaubat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pendapat sama turut disuarakan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

"Setelah Islam memuliakan dirinya dengan berpakaian sopan dan menutup aurat, dia menghina dirinya dengan menanggalkan di khalayak ramai.

"Jika benar dia 'claim' (dakwa) sudah menghafal 15 juzuk al-Quran dan melakukan perbuatan seperti itu, dia menghina dirinya kerana Allah memuliakan orang yang menghafal al-Quran, memahami dan mengamalkannya tetapi mungkin dia hanya hafal tanpa pemahaman dan pengamalan.

"Islam datang memuliakan kita. Barangsiapa mencari kemuliaan di luar Islam, maka kita akan dihina sekali lagi," katanya.

Fuad Zarkashi: Apa Duta Khas Timur Tengah buat dalam kes terkandas ke Mekah

ARIF ATAN

Peranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah dipersoal susulan hampir 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali gus gagal berlepas ke Jeddah, Arab Saudi kelmarin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dalam masa sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sepatutnya turun padang menemui mereka yang terkandas itu.

“Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Dato Idris Ahmad hanya mengambil maklum isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.

“Takkan setakat ambil maklum. Sepatutnya Idris lebih proaktif, turun padang jumpa mereka dan gunakan hubungan dua hala untuk selesaikan masalah mangsa terbabit.

“Bukankah Ustaz Hadi adalah wakil khas PM ke Timur Tengah bertaraf Menteri? Apa dia buat? Amat malang dalam tempoh empat hari terkandas, Menteri tidak tunjuk muka.

“Menteri macam tidak prihatin dan tidak ada idea bagaimana mahu selesai masalah. Idris juga gagal melobi kuota haji tambahan. Tahun hadapan berilah mangsa mangsa ini keutamaan,” kata Puad.

Kelmarin, jemaah haji yang terkandas di KLIA itu dilapor berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.

Mangsa terbabit turut memberitahu pasport mereka masih lagi dipegang oleh syarikat agensi pelancongan terbabit.

Sniper jelita ini maut dalam serangan Russia di Kharkiv

THALITA do Valle. FOTO Agensi

THALITA do Valle. FOTO Agensi

Kyiv: Bekas model Brazil yang juga penembak tepat terbunuh dalam serangan udara Rusia di Ukraine.

Thalita do Valle, 39, maut dalam pertempuran di bandar Kharkiv pada 30 Jun lalu.

Thalita menyertai angkatan tentera Ukraine, bersama-sama bekas tentera Brazil, Douglas Burigo.

Douglas, 40, bagaimanapun maut dalam pertempuran udara minggu lalu ketika dia ke kubu (bunker) untuk mencari Thalita.

Pasangan itu sebelum ini dilaporkan terbang dari Brazil bagi menyertai tentera Ukraine dalam mengekang pencerobohan Rusia.

Ini bukan kali pertama Thalita menyertai operasi ketenteraan kerana berpengalaman menyertai perang di Iraq.

Wanita itu turut menerima latihan khas penembak tepat di Peshmergas, angkatan bersenjata di wilayah Kurdish, Iraq.

Dia kemudiannya menggunakan kepakaran yang dimiliki di Ukraine dan bertanggungjawab menyekat kemaraan tentera Rusia.

Sepanjang operasi ketenteraan, Thalita sempat memuat naik pengalaman bertempur di dalam saluran YouTube dan menjadi penulis buku mengenai kisah hidupnya.

Haram nikah beza agama

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menolak permohonan membenarkan pernikahan berbeza agama melibatkan seorang pasangan di negara ini. 

CNN Indonesia melaporkan penolakan itu disuarakan oleh Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H. Laoly dan Menteri Agama, Cholil Yaqut Qoumas semasa perbicaraan di Mahkamah perlembagaan 

Sebelum ini, seorang penduduk, E. Ramos Petege meminta Mahkamah Perlembagaan menerusi Perkara 2 Perenggan 1 Undang-Undang Perkahwinan supaya tidak menetapkan syarat perkahwinan antara agama sahaja. 

“Pihak pemerintah mengatakan mahkamah sudah sepatutnya menolak permohonan pemohon.

“Kedua-dua menteri bertindak bagi pihak Presiden Joko Widodo. Mereka mempersoalkan kedudukan sah Ramos sebagai pemohon. 

“Menurut mereka, Ramos tidak mengalami sebarang kerugian di sisi Perlembagaan,” kata jurucakap kementerian, Kamaruddin Amin. 

Yasonna dan Yaqut menjelaskan setiap agama dan kepercayaan yang dianuti oleh masyarakat mempunyai undang-undang perkahwinan. 

Jelas mereka, ini termasuk syarat dan kaedah perkahwinan.

Bagaimanapun, pihak kerajaan berkata, Ramos merayu untuk mempunyai kehendak bebas dan menyimpang daripada peraturan perkahwinan kerana keinginan untuk mempunyai agama berbeza. 

“Permintaan itu juga dilihat sebagai usaha Ramos mencari jalan pintas menyeleweng daripada syariat. Ini yang menjadi tidak jelas daripada petisyen pempetisyen,” jelasnya.

Pihak kerajaan turut mengemukakan beberapa hujah dalam hukum syarak termasuk fatwa Majelis Ulama Indonesia yang mengharamkan perkahwinan berbeza agama.

Kerajaan malah menegaskan perkahwinan dan kepercayaan antara agama tidak boleh dilakukan atas dasar hak asasi manusia serta kebebasan. 

“Dalam melaksanakan dua perkara ini, kerajaan sudah menetapkan sekatan tertentu. 

“Bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak dan kebebasan orang lain serta memenuhi tuntutan yang adil selaras pertimbangan akhlak, nilai agama, keselamatan serta ketenteraman awam dalam masyarakat demokrasi,” katanya. 

Berdasarkan semua hujah dan bantahan yang jelas, Yasonna dan Yaqut meminta pihak mahkamah mengisytiharkan pemohon tidak mempunyai kedudukan undang-undang. 

Mahkamah juga diminta menolak petisyen pemeriksaaan pemohon. 

Tonton Mat Kilau waktu Maghrib?

FAZLI RADZI

Filem pecah panggung, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof memuatkan banyak ungkapan kalimah Allah serta seruan berjuang demi Islam.

Bagaimana perasaan penonton Muslim terutamanya yang menyaksikan filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd itu pada waktu solat Maghrib?

Hal ini memandangkan, filem yang mengangkat nama tokoh pahlawan Pahang menentang penjajah British itu menelan durasi 1 jam 57 minit manakala waktu solat Maghrib pula adalah singkat.

Semakan di tiga panggung wayang di Lembah Klang di bawah sebuah syarikat pawagam mendapati banyak tempahan kerusi bagi filem itu yang bermula pukul 6.45 petang dan 7 malam tadi.

Setakat jam 5.30 petang sahaja, pawagam di Alamanda, Putrajaya mencatatkan tempahan kira-kira 50 kerusi bagi tayangan yang dijadualkan bermula jam 6.45 petang.

Dalam tempoh sama juga, di Mid Valley Megamall dekat Lingkaran Syed Putra pula, hampir 30 tempahan telah dibuat bagi tayangan Mat Kilau mulai jam 7 malam.

Sementara itu, di Setapak Central di Taman Danau Kota terdapat 12 kerusi dilihat sudah ditempah bagi waktu tayangan sama.

PAS mahu guna logo baru dalam PRU

Malaysiakini 

PAS mempertimbangkan untuk menggunakan logo baru dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata ketetapan tersebut masih dalam perbincangan.

"Kita bincang nak ubah simbol dan kita bincang dalam parti nak buat simbol yang baru yang sesuai. 

“Kita tak akan guna logo PN (Perikatan Nasional) dan juga bukan bendera PN atau pun PAS,” katanya kepada pemberita di Marang, Terengganu, hari ini.

Setakat semalam, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata parti itu belum memutuskan sama ada akan menggunakan logo sendiri atau PN.

Beberapa hari lalu terdapat laporan bahawa PAS membayangkan menggunakan logo sendiri di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai mereka, di sampung logo PN di negeri lain.

Dua minggu lepas, Hadi dan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menunjukkan kecenderungan berbeza apabila Hadi mahukan logo PN manakala Hashim mahukan “bulan”.

Suami isteri maut dibunuh, polis buru adik lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis memburu suspek yang merupakan adik kepada lelaki ditemui maut bersama isteri dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh, Perak.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata abang mangsa lelaki hadir di Balai Polis Bercham pada 8.50 pagi tadi memaklumkan penemuan mayat kedua-dua mangsa.

Mangsa, Ng Chun Hon, 64 dan isterinya Ooi Tin Lu, 59, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

“Setibanya pasukan polis bersama paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati dua mangsa lelaki dan wanita tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

“Kedua-dua mangsa ditemukan berdekatan ruang tamu dengan lelaki dalam keadaan tertiarap manakala wanita tersandar pada dinding yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa maut akibat parah pada bahagian kepala kerana senjata tajam dan objek tumpul.

“Polis masih menjalankan siasatan punca kematian, kita mempercayai mangsa meninggal dunia malam tadi. Sehingga kini kita masih belum menemui senjata  digunakan suspek.

“Kes disiasat sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mandatori,” katanya memaklumkan mangsa lelaki seorang mekanik dan isterinya suri rumah.

Sehubungan itu, suspek, Ng Chun Ming, 61 yang kini sedang diburu dilaporkan menghilangkan diri bersama kenderaan jenis Proton Saga milik mangsa wanita.

“Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek berhubung terus dengan balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak bekerja mempunyai rekod jenayah lampau bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera parah.

Menurutnya, ibu mangsa lelaki berusia 90 tahun yang uzur dan berkerusi roda yang tinggal bersama turut berada di rumah ketika pembunuhan itu berlaku.

“Siasatan mendapati ada terdengar bunyi pergaduhan tetapi setakat ini tidak ada sesiapa melaporkan berkenaan perkara terbabit kepada polis. Bedah siasat akan dijalankan dan kita masih lagi menyiasat motif kes pembunuhan ini,” katanya.

Suami isteri ditemui maut disyaki dibunuh

FMT Reporters

Polis forensik dilaporkan berada di rumah terbabit untuk siasatan lanjut dan beberapa ahli keluarga sudah diambil keterangan di lokasi kejadian. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Bercham, Ipoh, Perak.

Mayat kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an itu ditemui di ruang tamu rumah terbabit.

Setakat 11.45 pagi, pasukan polis masih berada di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut, menurut Bernama.

Turut berada di lokasi kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Anuar Othman dan Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan. 

FMT telah menghubungi pihak polis untuk mendapat pengesahan dan setakat ini dimaklumkan kes masih dalam siasatan awal.

Sumber PMO: PRU pada November ini jika tiada banjir besar

Malaysiakini 

Pilihan raya umum ke-15 mungkin diadakan pada November tahun ini.

Bagaimanapun, jika terdapat banjir besar, seperti kebiasaan di Pantai Timur sebelum-sebelum ini, Mac tahun depan menjadi pilihan kedua.

Perkara itu didedahkan oleh dua sumber daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) kepada Malaysiakini semalam.

"Buat masa ini, perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) telah memilih dua waktu sebagai tarikh sesuai untuk PRU. Bulan November atau Mac pada 2023.

"Bulan November dipilih selepas mengambil kira pembentangan belanjawan tahun 2023. 

"Namun, ia tertakluk kepada keadaan cuaca khususnya negeri-negeri pantai timur yang sering dilanda banjir pada penghujung tahun. 

“Sekiranya, bencananya teruk, maka November tak jadi," kata sumber.

Ismail sebelum ini memberi bayangan PRU15 mungkin lebih awal, setelah dia mendapat desakan berbuat demikian daripada pemimpion Umno, khususnya Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail yang juga naib presiden Umno sebelum ini berkata pilihan raya paling lewat boleh diadakan pada Julai (2023), apabila tamat tempoh (penggal) bagi pilihan raya umum yang lalu.

Sementara itu, satu lagi sumber berkata bahawa bulan Mac tahun depan mungkin dipilih kerana ia satu-satunya slot yang ada pada suku pertama tahun depan.

Katanya, pertimbangan akan mengambil kira perayaan Tahun Baru Cina dan bulan puasa. 

"Jadi, hanya Mac slot yang tinggal untuk PRU," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua sumber tidak menolak kemungkinan tarikh ini mungkin berubah mengikut keadaan politik semasa.

"Betul, mungkin juga akan ada tarikh lain. 

“Perlu lihat scenario politik ketika itu," katanya.

Selain Zahid, bekas perdana menteri Najib Abdul Razak juga terus memberikan tekanan supaya pilihan raya diadakan segera.

Desakan itu bergema setelah kemenangan demi kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil sebelum ini, yang memberikan keyakinan kepada mereka untuk kembali menebus kekalahan dalam pilihan raya umum lalu.

Umno sebelum ini meluluskan pindaan perlembagaan untuk menangguhkan pilihan raya sehingga enam bulan selepas pilihan raya.

YouTuber kurang ajar tarik tudung muslimah demi konten

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

TANGKAP layar video tular menarik tudung wanita daripada belakang. FOTO tular

TANGKAP layar video tular menarik tudung wanita daripada belakang. FOTO tular

Kuala Lumpur: YouTuber yang mencetuskan kontroversi selepas berkongsi kandungan media sosial dengan menarik tudung wanita Islam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 24 tahun itu sebelum ini ditahan pada 7.30 malam kelmarin, susulan laporan diterima pihaknya.

Katanya, laporan berkait klip video daripada YouTube yang tular, menunjukkan tudung dua wanita Islam ditarik, hingga menimbulkan rasa kurang senang warganet.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

"Namun suspek dituduh mengikut Seksyen 14 Akta 336 di Mahkamah Majistret semalam dan dihukum denda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang rakaman dan penyebaran video yang mengandungi isi kandungan yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat serta menyentuh sensitiviti di masa akan datang.

Terdahulu, pemuda yang juga YouTuber dikenali Nick memohon maaf atas keterlanjurannya memuat naik video 'prank' tarik tudung dua wanita di saluran YouTubenya.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi video terbaru yang dimuat naik di salurannya, tidak lama selepas kontroversi itu kelmarin.

Sekalipun sudah menjelaskan perkara sebenar, rata-rata netizen terus melemparkan kecaman terhadap Nick dan menganggapnya biadap kerana tidak menghormati wanita Muslimah.

Buang gaya hidup, bersedia ekonomi menjunam teruk, wartawan veteran ini saran simpan RM400 mulai sekarang

FAZLI RADZI

Orang ramai diingatkan agar membuang gaya hidup dengan meningkatkan simpanan mulai sekarang sebagai persediaan berdepan dengan kemungkinan situasi ekonomi menjunam teruk tahun hadapan.

Seorang wartawan berpengalaman selama 25 tahun mulai 1994, Zainal Rashid Ahmad menyeru agar semua orang berjimat cermat dan berhati-hati susulan kenyataan bahawa lebih 60 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) menjangkakan ekonomi dunia menjunam tahun depan.

“Simpan RM400 mulai sekarang. Kalau hilang RM400 sewaktu ekonomi menjunam nanti, maka boleh simpan RM400 sekarang dengan membuang gaya hidup sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung.

“Fikirkan bahawa gaya hidup tidak akan memberi kita makan apabila tiba waktu susah untuk mendapat makanan nanti,” katanya menerusi saluran ZRA Strim di YouTube baru-baru ini.

Peniaga makanan paling terjejas ekoran kenaikan menggila harga barang mentah.

Beliau yang juga penerima tujuh Hadiah Kewartawanan dan 42 anugerah sastera itu berpendapat, gaya hidup mungkin hanya akan membuatkan orang lain memberi rasa hormat.

“Namun, gaya hidup akan menjadikan saudara-saudara sangat-sangat stres apabila ekonomi menjunam.

“Saudara baru sedar bahawa saudara pernah membazirkan makanan kerana membayar gaya hidup,” katanya menerusi penstriman langsung itu.

Untuk rekod, China Global Television Network (CGTN) bulan lalu melaporkan lebih 60 peratus CEO di seluruh dunia meramalkan kemelesetan ekonomi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Sebahagian daripada CEO terbabit berpendapat wilayah di mana syarikat mereka beroperasi telah pun mengalami kemelesetan ekonomi.

Dalam masa sama, ahli perniagaan terkemuka termasuk CEO JPMorgan, Jamie Dimon dan pengasas Tesla (TSLA) Elon Musk turut menyatakan kebimbangan serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi krisis ekonomi dunia atau apa yang disebutkan mereka sebagai masa yang mencabar.

Musk dengan kekayaannya jatuh bawah AS$200 bilion(RM878.41 billion) pada Mei lalu pernah berkata pada 7 Jun bahawa dia mempunyai ‘rasa tidak sedap hati’ mengenai situasi ekonomi terkini.

Reaksi pengasas bersama syarikat pembuat kereta elektrik itu muncul pada minggu yang sama apabila Dimon meminta peserta persidangan perniagaan untuk bersiap sedia dengan ‘taufan ekonomi’.

Mimpi yang lunak

Mengulas lanjut, Zainal berkata, ramai tanpa sedar telah membelanjakan 60 peratus untuk gaya hidup iaitu bermula dari mana barang atau produk itu berasal dan bagaimana benda itu sampai ke tangan.

“Kalau bertahun hidup dengan berbelanja makanan beli di tempat yang 30 peratus harga lebih mahal, bayar pula 30 peratus untuk kos e-hailing, sehari saudara telah memperuntukkan 60 peratus perbelanjaan untuk gaya hidup.

“Jadi, jimatkan perkara ini supaya 60 peratus yang saudara peruntukkan untuk gaya hidup yang mungkin hari ini, boleh tunjuk pada orang, tapi akhirnya 60 peratus itu nanti apabila ekonomi merudum, itulah beras, susu, kos perubatan anak ketika kita mengalami kemerosotan ekonomi nanti,” jelasnya.

Dalam masa sama, mantan Naib Presiden Kanan Jualan Media di TV AlHijrah itu menasihatkan kepada golongan yang terlibat dalam membuat unjuran perniagaan agar tidak membuat unjuran berasaskan “mimpi”.

“Buat unjuran semula. Tiada mimpi yang lunak untuk tahun 2023,” tegasnya lagi.

Malaysia juga, katanya, dibimbangi amat terpukul dengan krisis ekonomi yang dijangka melanda dunia tahun hadapan memandangkan negara banyak mengimport bahan makanan.

“Kita masih mengimport 30 peratus beras dari luar negara. Kita masih pengimport gandum. Kita masih mengimport begitu banyak ikan. Kita masih pengimport daging.

“Malaysia mengimport 75 peratus daging. Kita juga mengimport 89 peratus daging kambing.

“Kebanyakan nelayan kita adalah nelayan pinggiran laut. Kita tidak ramai nelayan laut dalam. Import ikan mencapai RM10 bilion setahun kerana zaman Tun Daim tahun 1998 saja dulu RM2 bilion,” tambah Zainal lagi.

Ibu maut ditikam anak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas dipercayai maut selepas ditikam anaknya menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Melaka.

Dalam kejadian kira-kira 2.50 petang tadi, mangsa berusia 60-an dipercayai dibunuh oleh anak sulungnya berusia 38 tahun.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada polis, lapor Utusan Malaysia.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata ketika ditahan suspek  mengaku menikam leher kiri dan kanan ibunya menggunakan pisau berukuran 26sm.

Katanya, suspek juga disahkan pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka.

“Atas sebab itu, suspek dikatakan masuk ke bilik ibunya yang baru selesai mandi sebelum menikam leher kiri dan kanan mangsa menggunakan pisau memotong sayur.

“Suspek kemudian menyerahkan pisau itu kepada ibunya, sebelum mangsa bertindak membuangnya melalui tingkap di biliknya,” katanya.

Katanya, suspek mendakwa dia berbuat demikian setelah mendengar bisikan ibunya menyembah berhala.

'Semakin saya cuba jauhkan diri, semakin dekat Islam dengan saya'

Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

NUR Elisha Zulaikha dan suaminya, Iskandar Zulkarnain. FOTO ihsan Nur Elisha Zulaikha Impang

NUR Elisha Zulaikha dan suaminya, Iskandar Zulkarnain. FOTO ihsan Nur Elisha Zulaikha Impang

Hulu Selangor: "Saya memeluk Islam kerana Allah," kata mualaf, Nur Elisha Zulaikha Impang.

Nur Elisha Zulaikha, 25, yang menetap di Batang Kali, di sini menarik perhatian di TikTok baru-baru ini kerana berkongsi kisah penghijrahannya dan hubungan baik dengan ibunya, Dapun Anak Sanum, 64, selepas memeluk Islam.

Menceritakan kisahnya, bekas pramugari berasal dari Serian, Kuching, Sarawak itu berkata, keinginan memeluk Islam sudah lama dipendam namun impian itu hanya termakbul pada 30 Disember 2020.

Katanya, hidayah datang kepadanya dalam pelbagai bentuk malah hatinya pernah terjentik mendalami Islam ketika terpilih menjadi salah seorang anak kapal yang bertugas bagi penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi empat tahun lalu cuma belum bersungguh pada waktu itu.

"Niat untuk memeluk Islam sudah lama ada, cuma hati kata tak mungkin kerana saya anak tunggal dalam keluarga.

"Jadi, keinginan itu terbantut dulu kerana memikirkan bagaimana dengan orang tua dan siapa akan menjaga mereka jika masuk Islam.

"Lagipun, mummy (gelaran untuk emak) dan daddy (Impang Anak Tinggie, 55) pernah melarang saya memeluk Islam kerana mahu saya mewarisi agama terdahulu ,"katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Elisha Zulaikha, semakin dia menjauhkan diri daripada Islam, lebih dekat ia dengannya.

Buktinya, dia bukan hanya dapat ramai rakan Muslim malah ditakdirkan berkenalan dan bertemu jodoh dengan suaminya, Iskandar Zulkarnain Shafin, 29.

"Saya bertemu dengan suami di sebuah pusat karaoke dan tidak tahu dia penyanyi sehingga diberitahu rakan.

"Sejak itu, kami mula berkawan dan pada satu hari, dia luahkan hasratnya untuk menghalalkan saya dengan ikatan perkahwinan.

"Suami nampak bersungguh kerana tidak lama selepas berkenalan, dia bawa saya ke rumah keluarganya dan Alhamdulillah, mentua menerima saya.

"Penerimaan baik itu membuatkan saya nekad berterus terang dengan keluarga mengenai hasrat memeluk Islam dengan alasan berkahwin walaupun niat sebenarnya adalah kerana Allah serta ingin berubah ke arah lebih baik," katanya.

Nur Elisha Zulaikha bersyukur kerana dapat yakinkan ibu bapanya hingga mereka menerima keputusannya untuk memeluk Islam.

"Saya beritahu mummy walaupun sudah memeluk Islam, saya tetap anaknya dan tiada beza melainkan anutan agama.

"Saya cakap elok-elok juga dengan daddy dan Alhamdulillah, mereka berdua jadi lembut hati.

"Cuma, mummy dan daddy tidak dapat temankan saya ke Pejabat Agama Islam Hulu Selangor untuk memeluk Islam kerana berada di Sarawak berikutan sekatan pergerakan susulan pandemik Covid-19," katanya yang menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari tahun lalu.

Detik paling membuatkannya tersentuh adalah ketika bapanya mengingatkan untuk terus mencari ilmu agama sebelum masuk ke bilik pejabat agama dan selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

"Selesai mengucap dua kalimah, saya menangis teresak-esak namun dalaman sangat tenang seperti orang baru lahir ke dunia.

"Apabila keluar daripada pejabat agama, saya disambut rakan dan gembira sangat apabila menerima senaskhah al-Quran ibarat dapat anugerah cemerlang.

"Syukur kepada Allah kerana memberikan hidayah-Nya kepada saya pada usia muda dan mempermudahkan urusan. Ini kerana saya tidak dapat bayangkan bagaimana jika pergi dijemput Ilahi sebelum sempat memeluk Islam," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nur Elisha Zulaikha tidak menyangka videonya meraih tontonan ramai dan berterima kasih kepada semua yang mendoakannya.

"Diharap saya terus istiqamah dan semoga kisah penghijrahan saya kongsikan bermanfaat termasuk untuk mualaf baru di luar sana yang sedang berjuang melembutkan hati keluarga.

"Semoga Allah mudahkan semuanya dan selain suami, keluarga serta rakan, saya juga mengikuti kelas bimbingan mualaf bagi menambah ilmu pengetahuan," katanya.

Baling dilanda banjir, air Sungai Kupang melimpah, batang kayu 'singgah' depan rumah

Adie Sufian Zulkefli

Baling dilanda banjir, air Sungai Kupang melimpah, batang kayu 'singgah' depan rumah

Baling dilanda banjir, air Sungai Kupang melimpah, batang kayu 'singgah' depan rumah

Hujan lebat hampir tiga jam di daerah Baling menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki penempatan penduduk Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas. - Gambar APM

BALING: Hujan lebat hampir tiga jam di daerah Baling menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki penempatan penduduk yang berdekatan.

Air sungai yang mengalir deras turut membawa batang pokok dan sampah sarap sehingga memenuhi jalan dan kediaman penduduk.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling yang juga Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA), Rasidah Kassim berkata, setakat pukul 6 petang, limpahan air memasuki rumah penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas.

“Namun, setakat ini jumlah rumah atau mangsa yang terbabit dalam bencana itu masih belum diperoleh.

"APM telah menghantar sepasukan anggota bagi melakukan tinjauan dan memindahkan mang yang terjejas," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Rasidah memaklumkan, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan perkembangan lanjurkan akan dikongsi dari semasa ke semasa.

JHEAT siasat video pelanggan peluk wanita

Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my

Aksi dua lelaki yang juga pelanggan berkelakuan tidak senonoh apabila memeluk bahu dan pinggang seorang pekerja wanita yang menimbulkan kecaman daripada masyarakat. FOTO FACEBOOK

Aksi dua lelaki yang juga pelanggan berkelakuan tidak senonoh apabila memeluk bahu dan pinggang seorang pekerja wanita yang menimbulkan kecaman daripada masyarakat. FOTO FACEBOOK

Aksi dua lelaki yang juga pelanggan berkelakuan tidak senonoh apabila memeluk bahu dan pinggang seorang pekerja wanita yang menimbulkan kecaman daripada masyarakat. FOTO FACEBOOK

Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menjalankan siasatan berhubung video tular menunjukkan dua pelanggan lelaki memeluk bahu dan pinggang seorang wanita di sebuah kedai makan di Setiu.

Pesuruhjaya JHEAT M Rozi Bidin berkata, pihaknya akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

"Premis (kedai makan) ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi dan dakwaan mengatakan JHEAT tak beri perhatian… itu tak betul sebab premis ini sedang dalam pemantauan.

"Kita tak akan biarkan benda-benda atau perkara yang tidak baik, perlakuan tak senonoh dan kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada.

"Tiada kompromi dalam hal sebegini kerana ia bukan hanya mencemarkan agama Islam itu sendiri tetapi bertujuan membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 34 saat yang memperlihatkan dua pelanggan tanpa segan silu bergambar dengan pekerja wanita di kedai berkenaan, semalam.

Video berkenaan menimbulkan kecaman warganet sambil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Lelaki Singapura selamba buang air besar di pusat beli belah

SINGAPURA: Seorang lelaki tanpa sekelumit rasa malu menanggalkan seluarnya sebelum mencangkung ketika membuang air besar di ruangan terbuka di Pusat Beli-Belah Vivocity di negara ini.

Lelaki itu ‘melepaskan hajatnya’ di dalam sebuah beg plastik berwarna oren.

Aksi lelaki itu membuang air besar berjaya dirakamkan oleh pengunjung yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Pengunjung itu berkata, aksi menjijikkan itu berlaku di luar sebuah restoran Jepun di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan.

“Selepas selesai, dia meninggalkan najisnya di dalam beg plastik di atas lantai begitu sahaja.

“Lelaki itu kemudian berlalu pergi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.-AGENSI

- utusan 

Benarkah generasi muda tak gemar rasa durian

AYHAN FERHAT

Tidak dinafikan harga durian mahal apabila dijual timbang kilo menyebabkan ramai tidak mampu beli, ini sekali gus memberi kesan terhadap generasi muda yang tidak gemar rasa durian.

Akhirnya durian tidak laku kerana generasi muda tidak didedahkan lebih awal rasa durian itu.

Pemuda Ahmad Sahir Jais mengatakan generasi muda tidak gemar kerana 10 tahun yang lepas durian dijual dengan menggunakan timbangan Kilogram.

Tidak kira durian kampung, durian kahwin atau durian baka baharu.

Kesan dari ini katanya, harga purata bagi sebiji durian naik mendadak.

Harga mahal tak mampu beli kesannya generasi muda tak gemar rasa durian akhirnya tak laku

Mahal, keluarga tak mampu beli kesannya orang muda tidak gemar rasa durian

Kesan dari ini juga bagi beliau menjadikan durian semakin mahal bergantung pada varieti.

“Keupayaan untuk membeli berkurangan, dan durian bukan lagi keutamaan dalam pembelian dalam sesebuah keluarga. durian menjadi makanan kategori mewah, bukan lagi dianggap marhaen.

“Ketua keluarga tidak lagi membeli, menyebabkan generasi muda dalam keluarga semakin tidak menggemari rasa durian,” katanya.

Untuk 10 tahun kemudian selepas bersembang dengan penjual durian semalam mengakui generasimuda sudah tidak minat makan durian walaupun beliau menjual dengan harga murah.

“Durian banyak bang.. harga dah semakin murah.. tapi tak ada pembeli.. saya buka satu kepala RM 20 – makan sampai puas pun, tak berapa ramai yang nak datang makan.

“Saya jual saiz satu guni baja dengan harga RM 50 pun, tak berapa memberansangkan jualannya kerana yang datang makan dan beli pun banyak yang dah berusia dah tua, yang muda-muda ini dah tak minat makan durian, tak macam zaman kita dulu-dulu, ” ujar penjual durian.

“Dengan membuatkan harga durian lebih mahal dengan unit timbangan yang tidak masuk akal kita telah membuatkan satu generasi tidak minat untuk menggemari durian.

“Jika di ulang kitaran ini.. apa yang akan terjadi pada masa depan?” soalnya.

Bila dimarah rakyat, kenapa nak sandarkan kepada raja?

MOHAMAMED HANIPA MAIDIN 

Sebentar tadi saya terbaca laporan media mengenai kenyataan YAB Perdana Menteri berkaitan isu pelantikan YB Umno dari Pasir Salak sebagai bapak duta Malaysia ke Indonesia.

Antara lain, dilaporkan bahawa YAB PM berkata tindakan pihak-pihak yang mendesak agar pelantikan YB Umno itu ditarik balik dikira seolah-olah mempersoalkan kuasa YDPA.

YAB PM juga dilaporkan berkata pelantikan YB Umno itu telah diluluskan oleh kabinet dan juga telah diperkenankan oleh YDPA.

Oleh itu, beliau berlogika dengan logika mudah bahawa sekiranya ada desakan meminta pelantikan itu ditarik balik, ia dikira seolah -olah cuba mendesak YDPA.

Dengan hormat, logika mudah seperti yang dituturkan oleh YAB PM itu agak biasa kita dengar dan ianya bukan sangat logika yang baru. Ia ibarat membaca skrip lama. Skrip tetap sama cuma penuturnya sahaja yang berbeza.

Bila dimarah rakyat, kenapa nak sandarkan kepada raja?

Dengan penuh hormat, saya berpendapat alasan atau logika itu bukan sahaja amat lemah tetapi juga sebenarnya tanpa disedari amat tidak sesuai dengan konsep pemerintahan yang baik atau “a good governance” atau reformasi yang kebelakangan ini sering diucapkan oleh pihak pemerintah.

Saya kira sekiranya logika itu dikeluarkan oleh orang kampung mungkin kita masih boleh maafkan . Sebaliknya sekiranya ia datang dari seorang ketua sebuah negara ianya amat malang sekali.

Memandangkan terlalu banyak pelantikan jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan awam yang melibatkan pembiayaan dana awam perlu mendapat perkenan YDPA , adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak apalagi seorang PM untuk memusing atau spin sesuatu bantahan apalagi jika ia adalah bantahan bermerit ke atas isu pelantikan yang melibatkan isu perkenan YDPA sebagai tindakan seolah-olah ingin menidakkan kuasa perkenan YDPA. Tidak timbul isu itu sebenarnya.

Bagi saya, jika ada pihak yang membuat spin seperti itu -seperti yang berlaku sekarang ini- ia hanya memburukkan lagi imej negara ini dari imejnya yang telah sedia buruk khususnya dalam isu pelantikan YB Umno ini.

Dengan hormat, dalam isu seperti ini yang melibatkan isu nama baik dan integriti sesebuah Kerajaan,YAB PM sewajarnya perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi menyokong pelantikan yang penuh dengan kontroversi itu.

YAB PM, dengan penuh hormat, tidak sewajarnya dilihat seolah-olah sedang berpolitik dengan standard politik yang dilihat amat murah.

Semua tahu dan sedar bahawa bantahan ke atas pelantikan YB Umno itu amat bermerit dan disuarakan bukan atas dasar emosi semata-mata. Masyarakat madani hatta beberapa orang mantan duta sendiri turut membantah pelantikan itu . Oleh itu bantahan bermerit itu sewajarnya diambil berat oleh pihak Kerajaan.

Malahan, sebelum ini sendiri Kerajaan sendiri merasakan perlu menamatkan jawatan YB Umno yang sama dalam jawatan utama di sebuah GLC yang agak utama dalam negara ini ekoran kemarahan masyarakat terhadap kenyataan YB Umno itu atas sebuah tragedi berdarah di negara ini.

Malahan yang terbaru parti Umno sendiri dilihat tidak selesa untuk memastikan YB itu untuk terus berada dalam kepimpinan tertingi parti Umno.

Berdasarkan semua alasan di atas , saya yakin isunya di sini bukan melibatkan isu mempertikaikan kuasa perkenan YDPA.

Sebaliknya ,isu bagaimanakah YAB PM dan kabinet dia boleh lari dari tindakan yang dilihat tidak begitu peka mengenai betapa perlunya mereka menjaga dan memelihara nama baik dan integriti YDPA.

Mengapa harus mengheret nama baik institusi YDPA akibat kelemahan dan ketidakmampuan anda semua ?

Lelaki perkosa dua lelaki didakwa

Agensi

LUIZ Da Silva Neto. FOTO Thames Valley Police

LUIZ Da Silva Neto. FOTO Thames Valley Police

London: Seorang lelaki didakwa di mahkamah apabila memperkosa dua lelaki dan memberikan mereka dengan dadah afrodisiak bertujuan melemahkan mangsa.

Luiz Da Silva Neto, 35, memperkosa seorang lelaki dan melakukan serangan seksual terhadap mangsa lain di sebuah kotej di Middle Barton, Oxfordshire, selepas mereka bertemu di kelab malam Raffles di tengah London.

Metro UK melaporkan kedua-dua mangsa bangun dalam keadaan berbogel dan tidak menyedari apa yang berlaku ketika serangan berasingan pada November dan Disember tahun lalu.

Da Silva Neto menyasarkan lelaki heteroseksual kerana dia percaya mereka tidak akan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa, kata polis.

Lelaki itu didakwa mencampurkan minuman mangsa dengan bahan yang tidak diketahui berkemungkinan dadah GHB atau GBL yang mempunyai kesan khayal atau boleh menyebabkan halusinasi.

Mangsa pertama memberitahu, dia tertidur dengan berpakaian lengkap, tetapi apabila tersedar dia mendapati dirinya berbogel dan merasakan dirinya seolah-olah lumpuh.

Keesokan harinya dia melihat picagari kosong dan menjadi semakin yakin bahawa dia sudah diberi dadah.

"Ini pengalaman terburuk yang pernah saya alami. Saya heteroseksual, saya Katolik, dan ia adalah sesuatu yang perlu saya terima," katanya.

Mangsa terbabit melabelkan Da Silva Neto sebagai individu 'berbahaya kepada masyarakat' dan perlu dimasukkan di dalam penjara.

Da Silva Neto mendakwa semua hubungan seksual dengan lelaki itu adalah atas sukarela dan menafikan memberi mangsa dengan dadah.

Juri di Mahkamah Oxford Crown mendapati dia bersalah merogol, dua pertuduhan mencampur bahan dengan niat dan dua pertuduhan menyebabkan seseorang melakukan aktiviti seksual tanpa kebenaran.

Mahkamah akan menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu, Khamis depan.

-hmetro 

Ismail Sabri: Kenaikan harga barang: Kerajaan difitnah pembangkang

Haspaizi Zain

Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan menjadi mangsa fitnah pembangkang apabila didakwa tidak mengambil peduli soal kenaikan harga barangan yang membelenggu orang ramai ketika ini.

Mengulas mengenai demonstrasi yang diadakan Amanah di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur, Jumaat lalu perdana menteri berkata, bantahan tersebut sebenarnya gagal kerana ia tidak mendapat sambutan.

Ismail Sabri berkata, isu kenaikan harga barangan adalah fenomena yang melanda seluruh dunia dan kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan bagi memastikan harga barangan tidak melambung tinggi.

"Isu yang terbesar hari ini adalah isu kos sara hidup. Minggu lepas di Masjid Jamek Kampung Baru, satu parti pembangkang buat demonstrasi di dalam kawasan masjid, itu pun ada 40 orang saja yang sertai.

"Kalau buat kat luar tak ada orang yang nak sertai. Mereka buat pelbagai tuduhan," katanya di Kampung Gajah, Pasir Salak di Perak hari ini.

Menurut Ismail Sabri kerajaan sedar ada banyak barang yang mengalami peningkatan harga, malah dia sendiri membuat tinjauan rambang di premis perniagaan.

Katanya kemelut berkenaan tidak dapat dielakkan kerana isu kenaikan harga pelbagai barang keperluan bukan saja melanda Malaysia sebaliknya di peringkat global.

"Kita subsidikan makanan ayam (ternakan), subsidikan harga ayam RM700 juta untuk pastikan harga ayam kekal dengan harga siling. Begitu juga dengan harga barangan asas lain, turut disubsidikan dan kerajaan belanja sebaanyak RM70 bilion," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan akan menghapuskan subsidi pada 1 Jul.

Katanya, tiada pembatalan subsidi bagi barangan keperluan asas kecuali subsidi minyak masak botol - yang diperkenalkan kerajaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) - kini ditamatkan.

"Subsidi apa dibatalkan? Kita belanja RM4bilion untuk kekalkan RM2.50 sekilogram (harga minyak masak paket). Kalau tak subsidi RM9.50 sekampit satu kilogram.

"Jadi mereka terus berbohong seolah-olah tak ada Tuhan, kononnya 1 Jul semua subsidi ditarik balik," katanya.