"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas layak digelar Maharaja Lawak

ROSLINDA HASHIM
ALOR SETAR - Pas layak dianugerahkan Maharaja Lawak 2018 susulan kenyataan parti itu yang tidak senada berhubung kerjasama bersama Umno.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian Pas sebelum PRU14 ternyata berbeza selepas berakhirnya pilihan raya umum itu.

Menurutnya, kenyataan Pas menjengkelkan apabila mengakui kerjasama dengan Umno merupakan sebahagian pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dipraktikkan Pas.

“Saya anggap Pas sebagai joker! Sebelum ini Pas menafikan semahu-mahunya mereka tiada kerjasama dengan Umno, kononnya penyertaan mereka dalam PRU14 sebagai bersendirian, tidak akan bersama PH mahupun BN, selain tegaskan akan lawan BN,” katanya, selepas melawat Galeri Warisan, Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Kampung.

Mahfuz berkata, ini membuktikan Pas melakukan penipuan terhadap pengundi yang memberi undi kepada Pas termasuk ahlinya.

“Sebelum itu, Pas dakwa daripada bekerjasama dengan BN, lebih baik mereka bubar parti, macam-macam lagi. Hari ini, ternyata kenyataan itu memakan diri Pas sendiri,” katanya.

Menurutnya, daripada maklum balas diterima, akar umbi Pas kecewa dengan kerjasama terbabit, namun Pas bijak mengatur strategi apabila hanya mengumumkan pendirian itu selepas PRU14 berakhir.

“Sebelum PRU14, Pas tak berani isytihar akan jalin kerjasama dengan Umno, mungkin sebab bimbang ahli tinggalkan parti itu. Berbanding PRK, kesannya kurang, jika Pas menang ia bonus, jika kalah pun tak beri kesan besar,” katanya.

Mahfuz berkata, apa yang berlaku seolah telah dirancang lebih awal secara senyap.

“Saya harap apa yang berlaku akan menyedarkan ahli Pas supaya tidak lagi bersama parti itu. Amanah bersedia buka peluang kepada ahli Pas untuk bersama kami dan kerajaan PH,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya pendirian terbaharu Pas itu betul-betul menggambarkan hasrat hati Pas sebelum PRU14 lagi.

“Sebelum PRU14, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama dengan Umno ibarat memikul biawak hidup, hari ini mereka dukung biawak hidup pula. Terbukti, pada dua PRK kali ini, Pas-Umno saling mengurat, bercinta, nikah dan beroleh anak baharu,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama bersama Umno merupakan sebahagian pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, di mana konsep itu semakin diterima baik ahlinya.

Hampir RM50 juta wang kerajaan diseleweng perisik MEIO, TKP dan enam pegawai PTD

MALAYSIA DATELINE
Sejumlah AS$12 juta (kira-kira RM49 juta) wang Kerajaan Malaysia disyaki diseleweng susulan tangkapan pegawai di Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, setakat ini, SPRM merampas wang berjumlah $AS 6.3 juta (kira-kira RM25 juta).

“Ia susulan tangkapan sembilan suspek termasuk pegawai di MEIO dan kita sedang kumpul maklumat kesan baki wang,” katanya kepada NSTP.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SPRM menahan seorang ahli perniagaan berusia 47 di Kelantan, 11 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

NSTP sebelum ini melaporkan bekas Ketua Pengarah (KP) di bahagian penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bergelar Datuk ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Suspek wanita berusia 61 tahun itu ditahan SPRM jam 4.15 petang kelmarin, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Suspek direman mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kelmarin, tujuh pegawai daripada bahagian penyelidikan yang sama turut ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan kes yang sama.

Antara yang ditahan termasuk seorang timbalan ketua pengarah bergelar Datuk selain enam Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang menjawat gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B.

Kesemua tujuh suspek berusia antara 34 hingga 49 tahun itu ditahan masing-masing di Kompleks B, JPM dan Ibu Pejabat SPRM.

Bekas perisik mungkin dapat dana AS$12j melalui Timur Tengah

Bekas pegawai-pegawai kanan perisikan yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai menerima dana sebanyak AS$12 juta daripada sumber asing namun disalurkan melalui Timur Tengah.

Seorang penyiasat kanan yang enggan namanya didedahkan berkata, wang itu dibawa ke Malaysia menjelang pilihan raya umum yang dilangsungkan pada 9 Mei lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut berkaitan sumber dana-dana itu.

“Apa yang kami ketahui setakat ini, suspek-suspek terbabit menggunakan kuasa mereka untuk mendapatkan akses khas di lapangan terbang (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata SPRM sedang menyiasat sama ada wang tunai itu digunakan untuk tujuan pilihan raya.

“Persoalannya sekarang berkaitan pelanggaran keselamatan negara.

“Pertama, terdapat isu bagaimana wang itu dibawa masuk ke negara kita tanpa dikesan.

"Kami percaya mereka mengisytihar wang tunai itu sebagai benda lain untuk melepasi sistem keselamatan lapangan terbang.

“Ini melanggar prosedur keselamatan di pintu masuk negara kita.

“Kedua, apa urusan jabatan kerajaan untuk menerima dana daripada sumber asing, dan untuk tujuan apa? Jadi ada kebimbangan terhadap kemungkinan aspek keselamatan negara diceroboh,” katanya.

Pegawai itu bagaimanapun enggan menamakan lapangan terbang terbabit.
Undang-undang negara mensyaratkan wang bersamaan atau melebihi AS$10,000 yang dibawa masuk ke negara ini diisytiharkan.

Terdahulu, dalam sidang media khas SPRM hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata keseluruhan AS$6.3 juta telah dirampas dan AS$5 juta lagi masih dicari.

SPRM telah menangkap tujuh bekas pegawai risikan kerajaan dan mantan ketua mereka Datuk Hasanah Abdul Hamid.
-malaysiakini

SPRM akan pamer hampir RM50j rampasan dari ejen perisik MEIO

Haris Mohd 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai bernilai berjuta-juta dolar AS hasil tangkapan beberapa pegawai risikan kerajaan, termasuk bekas ketua mereka Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Sumber memberitahu Malaysiakini, penyiasat SPRM memperoleh maklumat mengenai wang tersebut serta lokasi ia disembunyikan selepas menyoal siasat sejumlah individu yang ditahan.

Difahamkan SPRM akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai wang tersebut melalui sidang media di ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya hari ini.

Semalam, Hasanah - yang diketepikan daripada jawatannya selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan - direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dana tersebut.

Dia - bersama pegawai lain yang masih berkhidmat dengan agensi perisikan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu - disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 atas tuduhan menyalahgunakan kuasa atau kedudukan.

Menurut laporan berita, SPRM sedang meneliti kemungkinan wujud kaitan antara dana berjumlah AS$12 juta itu dengan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Dana AS$12 juta (RM49.5 juta pada kadar semasa) asalnya didakwa dikhaskan untuk perbelanjaan pilihan raya umum (PRU).

New Straits Times melaporkan dana itu dibawa masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pertengahan April lalu sebagai peruntukan bagi kerajaan BN ketika itu menghadapi PRU ke-14.

Nama Hasanah menjadi perhatian pada Julai lalu selepas sepucuk surat yang ditulisnya kepada pegawai kanan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dibocorkan.

Surat itu dihantar Hasanah - ketika itu menjadi pengarah Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia Malaysian (MEIO) - bagi mendapatkan sokongan AS jika BN menang tipis PRU berkenaan.

Saya ingatkan Dr M tentang panas baran bekas KPN, kata Wan Azizah6

FMT Reporters
GEORGE TOWN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyuarakan keraguannya berhubung keputusan kerajaan memilih bekas pegawai tertinggi polis yang memukul suaminya pada 1998 sebagai fasilitator baru rundingan damai di selatan Thailand.

Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang memegang jawatan sebagai ketua polis negara dari 1994 hingga 1999, menumbuk mata Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga lebam pada 20 September 1998.

Wan Azizah berkata beliau “sangat tidak selesa” dengan pelantikan Rahim yang memainkan peranan dalam usaha rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai, iaitu keputusan prerogatif Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temu bual dengan stesen radio BFM, katanya, beliau bertemu dengan Dr Mahathir baru-baru ini untuk menyuarakan pendapatnya.

“Dr Mahathir beritahu saya Rahim mempunyai pengalaman semasa pemberontakan dan aktiviti pengganas.

“Tetapi saya menjelaskan kepadanya kenapa anak perempuan saya ragu-ragu dengan keputusan itu akibat peristiwa lalu. Ia tidak mudah untuk kami menerimanya,” katanya.

“Dia (Dr Mahathir) berkata Rahim mempunyai pengalaman. Saya kata baiklah, dia ada sedikit panas baran.”

Beliau berkata adalah penting bagi Malaysia memberi tumpuan kepada perkara yang dihadapi supaya masalah itu dapat diselesaikan dan calon yang dipilih dapat menyampaikannya.

Apabila ditanya sama ada beliau sukar memaafkan Rahim berbanding Dr Mahathir, Wan Azizah berkata beliau akan “memaafkan semua”.

“Jika ada rasa dendam di hati saya, ia akan berbeza. Saya benar-benar berfikir, semoga saya berhati mulia, kami melakukannya dengan baik, banyak perkara yang kami bersyukur dan saya bertuah kerana mendapat rahmat dari Allah.

“Saya rasa saya boleh laluinya, tetapi kita adalah manusia dan kadang-kadang mengalami perasaan turun naik,” katanya.

Rahim, yang meletak jawatan pada 1999 kerana menyerang Anwar, dipenjarakan selama 2 bulan pada tahun berikutnya.

Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai.

Pelantikannya menerima kecaman daripada beberapa pihak, termasuk anak perempuan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan veteran DAP Dr Boo Cheng Hau.

SPRM siasat kaitan Hasanah, 1MDB, wang tunai AS$12 juta

Para penyiasat SPRM yang mengendalikan kes bekas pengarah perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid dilaporkan sedang meneliti kaitan wang AS$12 juta yang diselewengkan daripada dana pilihan raya dan 1MDB.

Menurut New Straits Times, wang AS$12 juta itu dibawa masuk dalam bentuk tunai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pertengahan April, 2018 didakwa bagi kegunaan pilihan raya umum ke-14.

Laporan itu menjelaskan para penyiasat masih menjejaki aliran wang itu tetapi mempunyai asas untuk yakin wang itu berkait dengan 1MDB.

Hasanah, yang juga bekas pengarah Malaysian External Intelligence Organisation (MEIO) ditangkap pada petang Selasa lalu selepas SPRM menahan reman bekas timbalannya dan enam kakitangan pentadbiran dan pegawai tadbir diplomatik (PTD) mengenai kehilangan dana pilihan raya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pengawal keselmatan di Jabatan Perdana Menteri didakwa mengambil RM3.5 juta wang tunai pada malam 9 Mei apabila mereka mendapat tahu BN kalah pilihan raya.

Wang itu dikatakan sebahagian daripada dana pilihan raya Umno.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas perkaitan antara dua kes ini.

Pada ketika itu, SPRM menahan 17 anggota keselamatan berhubung kes itu dan seterusnya membuat lebih banyak tangkapan.

Menjelang PRU14, Hasanah juga telah menulis kepada Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) yang menggesa Amerika Syarikat untuk menyokong pentadbiran perdana menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan BN hanya mendapat kemenangan tipis dalam pilihan raya umum.

Kemudian, Hasanah memberitahu pemberita surat tersebut tiada kena-mengena dengan Najib.
-malaysiakini

101 ahli Umno-Pas masuk AMANAH di Dun Bintong

MALAYSIA DATELINE
Ir Shaharuddin Ismail (tiga dari kanan) dan Wan Kharizal Wan Khazim (empat dari kanan) selepas mengumumkan keluar parti sertai AMANAH.- Foto BH online.

Seramai 101 ahli Umno dan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bintong mengumumkan keluar parti masing-masing hari ini dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Ir Shaharudin Ismail yang mewakili 30 bekas ahli Umno menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi AMANAH Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim, di Pusat Aktiviti Wang Ulu, semalam, lapor bharian online.

Turut sama menyerahkan borang keahlian adalah bekas Ahli Jawatankuasa Pas Cawangan Kampung Telok Kacang yang mendakwa mewakili 71 ahli Pas kawasan berkenaan.

Shaharudin berkata, keputusan beliau bersama ahli Umno lain menyertai AMANAH adalah kecewa dengan pucuk pimpinan Umno yang tidak berubah.

“Pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian masih berlaku politik wang, di peringkat pusat ketika pemilihan pula orang yang sama juga dikekalkan.

“Kita sangkakan orang lain akan terpilih tetapi orang lama kekal bermakna cara masih lama dan tiada perubahan,” katanya.

Ditanya kenapa memilih AMANAH berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kangar penggal lalu, berkata AMANAH dilihat lebih sederhana berbanding dua parti Pakatan Harapan (PH) itu.

“Bersatu dan PKR mendapat perhatian yang cukup meluas. AMANAH parti yang bersederhana dan ia sesuai dengan kami.

“Saya dan rakan lain menganggap AMANAH adalah parti masa hadapan yang sesuai dengan perjuangan kami,” katanya.

LGBT: Lepas Wan Asshima, Harakah pula minta maaf

MALAYSIA DATELINE
Sidang Pengarang Harakah hari ini menyatakan permohonan maaf ke atas sebuah tajuk artikel yang disiarkan akhbar parti itu bertajuk ‘PRK Seri Setia: Pas lawan Darul LGBT’ di ruangan kolumnis akhbar itu.

“Sidang Pengarang Harakah mengambil maklum atas tajuk artikel yang ditulis oleh Tuan Haji Subky Latif dalam keluaran Harakah 2376 bertajuk ‘PRK Seri Setia: Pas lawan Darul LGBT’.

“Tajuk berkenaan tidak ditujukan kepada rakyat negeri Selangor mahupun institusi beraja atau sebagainya.

“Namun dalam masa yang sama, Harakah mengambil maklum salah tafsiran yang berlaku, dan dengan itu pihak Sidang Pengarang memohon maaf atas penerbitan bahan tersebut yang mengundang persepsi pelbagai,” ujar kenyataan itu yang dipetik daripada portal Harakah.net hari ini.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad ingin meneruskan samannya terhadap seorang aktivis NGO Islam yang menuduh beliau meluluskan pesta gay di ibu negara.

Menurut Khalid Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) Wan Asshima Kamaruddin tidak memohon maaf kerana didakwa memfitnah beliau sebaliknya hanya memohon maaf kerana memalukannya.

Khalid berkata beliau akan menyaman Wan Asshima kerana dilaporkan menuduh beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa, di dalam video pada 17 Ogos lalu yang didakwa meluluskan pesta gay, kononnya menunjukkan bahawa dia tidak menyokong tuntutannya.

Wan Asshima didakwa menuduh Khalid membenarkan penganjuran pesta gay besar-besaran melalui video di Facebooknya baru-baru ini tetapi video itu telah dipadam.

Tu Dia!! Pemimpin Umno tinggal harta pusaka RM2 billion

Harta RM2 bilion: Ibu Jamaluddin Jarjis tuntut pusaka
Hafiz Yatim

Ibu kepada bekas menteri, allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis menuntut mendapatkan bahagian yang sah atau faraid daripada peninggalan harta pusaka anak lelakinya yang dikatakan bernilai RM2.1 bilion.

Bagi permohonan berkenaan, Aminah Abdullah, 83 tahun yang kini menetap di Setiawangsa mahu Mahkamah Syariah mengeluarkan sijil faraid terhadap bahagiannya.

Atas sebab ini juga, Aminah telah mengemukakan satu senarai hartanah termasuk rumah di Kuala Lumpur, di Arab Saudi dan di Amerika Syarikat serta senarai aset, termasuk saham yang dimiliki oleh menteri itu dan yang dikatakan telah diwariskan kepada cucu-cucunya sebagai pusaka.

Di bawah undang-undang Islam, ibu yang masih hidup berhak mendapat satu perenam peninggalan harta pusaka, sementara balu yang masih hidup mendapat satu perlapan daripada bahagian itu dan anak-anak menerima jumlah baki harta pusaka berkenaan.

Hal ini rekodkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur di mana Aminah diwakili peguam kanan, Kamar Ainiah Kamaruzzaman.

Aminah berkahwin dengan ayah Jamaluddin yang pernah menjadi ketua polis Pahang, sebelum bercerai pada tahun 1954.

Harta di Amerika, Makkah antara yang dituntut ibu JJ
Kondominium RM10 juta di Amerika Syarikat dan pangsapuri studio di Makkah bernilai RM4 juta antara yang dituntut ibu bekas menteri Umno allahyarham Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dalam permohonan faraidnya.

Dalam permohonan di Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan pada 19 Mac lalu itu, Aminah Abdullah, 83, menuntut sepenuhnya kondominium di Boston.

Bagi hartanah di Farimont Makkah Tower, warga emas itu menuntut separuh bahagian daripada harta itu.

Dua kediaman itu antara 22 hartanah dikatakan bernilai lebih RM20 juta, termasuk di Pahang, Kuala Lumpur, Perak dan Selangor, dan Putrajaya.

Kebanyakan hartanah yang dituntut itu terletak di Pahang.

Sembilan daripada hartanah itu terletak di Pekan, kawasan yang disandang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak; empat di Rompin, parlimen lama Jamaluddin; dan dua lagi di Kuantan.

Hartanah lain terletak di Presint 10, Putrajaya; Setapak, Kuala Lumpur; Gombak, Selangor; Johor Bahru, Johor; serta Kinta, Perak.

Aminah,yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, menuntut faraid dari serendah satu perlima sehingga keseluruhan harta.

Bagaimanapun, kebanyakan kekayaan arwah, daripada senarai dikemukakan di mahkamah itu, berada dalam bidang saham.

Untuk saham sahaja, ia bernilai lebih RM2 bilion.

Selain itu, simpanan dituntut pula sebanyak RM15 juta di pelbagai cawangan bank di Maybank, CIMB, Citibank dan UOB.

Simpanan di Bank of America dan CIMB cawangan London turut berada dalam senarai itu.

Bawah sistem faraid, ibu yang masih hidup berhak mendapat satu perenam peninggalan harta pusaka, sementara balu yang masih hidup mendapat satu perlapan daripada bahagian itu dan anak-anak menerima jumlah baki harta pusaka berkenaan.


Permohonan Aminah, yang kini menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur diwakili peguam kanan, Kamar Ainiah Kamaruzzaman.

Aminah berkahwin dengan ayah Jamaluddin yang pernah menjadi ketua polis Pahang, sebelum bercerai pada tahun 1954.

Jamaluddin meninggal dunia akibat kemalangan helikopter pada April 2015 di Semenyih, Selangor.

TERKINI: FOREST CITY DAN SULTAN JOHOR DALAM PERANG MAHATHIR-CHINA

Abdul Muein Abadi 
Foto Abdul Muein Abadi.
1. Kontroversi hubungan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dengan China kini terus panas apabila beliau hari ini mengisytiharkan bahawa warga asing tidak akan dibenarkan untuk membeli dan tinggal di kediaman Forest City, Johor. Tindakan ini bakal memberi kesan kepada ribuan pembeli warga China. Malah, projek yang bernilai kira-kira RM400 bilion itu turut melibatkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail.

2. Pemilikan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail dalam projek Forest City dilaporkan wartawan MalaysiaKini, Nigel Aw dalam laporan bertarikh 14 Julai 2014 yang bertajuk ‘The Case of Forest City and the Johor Sultan’ (https://www.malaysiakini.com/news/268649) manakala dalam edisi Bahasa Melayu bertajuk ‘Alkisah Forest City dan Sultan Johor’ (https://www.malaysiakini.com/news/268658).

3. Forest City diusahakan oleh kerjasama China-Johor melalui Country Garden Pacific View (CGPV). Sebanyak 66 peratus pegangan CGPV dikuasai oleh tiga syarikat gergasi China iaitu Country Garden Waterfront Sdn Bhd, Country Garden Danga Bay Sdn Bhd, dan Country Garden Real Estate Sdn Bhd.

4. Baki 34 peratus pegangan CGPV dimiliki Kerajaan negeri Johor iaitu Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

5. Baginda Sultan Ibrahim merupakan pemilik saham terbesar Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, dengan kawalan pegangan 64.4 peratus syarikat berkenaan. Kerajaan negeri Johor melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) pula hanya menguasai sekitar 20 peratus saham dalam syarikat tersebut.

6. Projek raksasa yang dibangunkan Country Garden Holdings Co. tersebut menyediakan kira-kira 700,000 unit kediaman di mana antara pembeli majoritinya (70%) adalah dari China menerusi skim ‘Malaysia My Second Home’ MM2H.

7. Malah, Tun Mahathir turut menegaskan bahawa tiada sebarang visa akan diberikan kepada warga asing untuk datang dan tinggal di sini. Hal ini bermakna bahawa ribuan pembeli dari China tidak akan dibenarkan untuk mendiami kediaman yang telah mereka beli di Johor.

8. Tindakan agresif Tun Mahathir ini dikaitkan dengan lawatan beliau ke China baru-baru ini di mana beliau telah mengumumkan hasrat untuk membatalkan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip trans-Sabah (TSGP) di Beijing. Kemudiannya Tun Mahathir mengatakan bahawa keputusan akhir pembatalan ECRL tertakluk pada jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada China pula.

9. Adakah langkah ini merupakan tindak balas Tun Mahathir kepada China yang dikatakan enggan mengalah kepada tuntutan beliau ketika lawatan ke sana minggu lalu? Perlu diketahui bahawa ketika lawatan Tun Mahathir ke China, China turut telah menghantar kapal ‘Coast Guard’ mereka ke Zon Ekonomi Eksklusif milik Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengirim dua kapal Kelas Kedah iaitu KD Selangor dan KD Kelantan sebagai reaksi balas.

10. Malah, Tun Mahathir sebelum ini turut mengisytiharkan bahawa ‘Tembok Besar China di Kuantan’ perlu dirobohkan – merujuk pada struktur projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).

11. Apa yang pasti, tindakan ini bakal memberi impak besar ke atas projek Forest City, imej negara, hubungan Malaysia-China, dan secara khususnya, ke atas hubungan Tun Mahathir dan DYMM Sultan Johor.

12. ‘Pertembungan’ antara Tun Mahathir dengan Sultan Ibrahim pada hakikatnya telah berlangsung secara terbuka sejak awal tahun 2017 lagi apabila kedua-duanya saling berbalas kenyataan. Rujuk Sinar Harian ‘Sultan Ibrahim bidas Tun M’ (http://www.sinarharian.com.my/…/sultan-ibrahim-bidas-tun-m-…) dan ‘Tun M jawab Sultan Johor isu Forest City’ (http://www.sinarharian.com.my/…/tun-m-jawab-sultan-johor-is…).

13. DYMM Sultan Ibrahim mempertahankan projek Forest City sebagai peluang untuk membangunkan hartanah Johor di samping mengatakan bahawa projek berskala 2000 hektar terbabit adalah lot antarabangsa yang terbuka untuk dibeli oleh sesiapa sahaja warga asing – bukannya dari China sahaja – malah tiada beza dengan projek perumahan mewah di Selangor dan Pulau Pinang yang turut dijual kepada warga asing.

14. Tun Mahathir pula mengkritik projek Forest City sebagai menggadai kedaulatan negara dengan anggaran 700,000 warga asing yang membeloi kediaman di sana akan memperoleh kewarganegaraan, sedangkan warga tempatan tidak berkemampuan sama sekali untuk memiliki kediaman tersebut.

15. Selain daripada kebimbangan demografi dengan kemungkinan kemasukan 700,000 warga asing (khususnya China di bawah skim Malaysia My Second Home MM2H), terdapat juga kebimbangan akan impak projek Forest City ke atas alam sekitar dan juga Pelabuhan Tanjung Pelepas.

16. Dari sudut pandang geopolitik, langkah pelaburan infrastruktur dan hartanah besar-besaran di luar negara oleh China ini adalah sebagai pelengkap kepada strategi agung (grand strategy) mereka iaitu Inisiatif OBOR (kini dikenali sebagai BRI): “Kebanyakan projek pelabuhan akan digabungkan dengan penciptaan bandar-bandar satelit gergasi di Johor dan Melaka, seperti Iskandar Malaysia di Johor dan Melaka Gateway yang turut disertakan dengan pelabuhan yang baru dibina. Di Melaka, akan ada empat buah pulau buatan daripada tanah yang ditambak, yang dibahagikan kepada (1) pulau pelancongan, hiburan, dan pembangunan hartanah, (2) pulau zon ekonomi perdagangan bebas, (3) Pulau pelabuhan Melaka Gateway, dan (4) taman perindustrian maritim” (Evers 2017).

17. Hakikatnya, projek Forest City sudah menjadi persoalan sejak tahun lalu apabila kerajaan China mengetatkan pengaliran modal keluar dari negara China – sekali gus memberi impak negatif ke atas pembelian kediaman Forest City dalam kalangan warga China. Ditambah dengan langkah terbaru oleh Tun Mahathir ini, dijangka lebih banyak isu dan permasalahan yang akan timbul.

18. Bagaimana dengan pemilikan kediaman warga asing di Selangor dan Pulau Pinang? Apakah masa depan projek Melaka Gateway? Adakah imej kita akan merosot di mata dunia korporat kerana ‘mengganggu’ persetujuan pembelian warga China di Forest City? Ataukah imej kita akan melonjak dengan laungan ketegasan mempertahankan kedaulatan tanah air?

19. Dari sudut politik dan geopolitik pula, apa akan jadi pada hubungan Malaysia-China selepas ini? Adakah China akan menghentikan projek mereka seperti projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP)? Adakah China akan menghukum kita dengan pampasan yang tinggi dalam kes pembatalan ECRL? Bagaimana pula dengan hubungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Perdana Menteri Tun Mahathir susulan kes terbaru ini?

Semoga Allah peliharakan negara kita menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-61 ini.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Syiah: Dr Rozaimi Ramle jawab Hanipa Maidin

Dr. Ustaz Rozaimi Ramle
Foto Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith.
Saya membaca kenyataan YB Hanipa Maidin terhadap saya. Nasihat yang beliau tulis kepada saya membuatkan saya tersenyum sendirian. Katanya hentikan main isu mazhab. Dan katanya saya tidak menguasai isu antarabangsa.

Ingin saya katakan kepada YB, jika YB biasa membaca buku syiah mungkin kitab dalam keratan gambar ini YB pernah baca. Lihat betapa Khumaini yang menjadi tokoh syiah memberi komentar terhadap kedudukan Aisyah, Talhah dan al-Zubair yang merupakan sahabat Nabi sallallah alaih wasallam dikaitkan dengan lebih jijik dari anjing dan babi dalam kitabnya.

YB mengatakan YB tidak menjadi syiah dengan membaca kitab syiah. Saya memasang anggapan bahawa sebab penghinaan terhadap sahabat seperti inilah menjadikan YB tidak menjadi syiah.

Namun saya mengharapkan juga agar YB tidak menganggap mereka pejuang Islam sejati dengan hanya melawan golongan kuffar.

Jika YB tidak mahir bahasa Arab untuk membaca kitab ini, elok belajar bahasa arab dulu sebelum baca kitab syiah. Saya boleh ajar YB bahasa Arab asas seperti anta antuma antum.

Biarlah saya bodoh politik antarabangsa, tapi saya tidak rela menjadi tidak cerdik terhadap isu akidah.

Seingat saya YB pernah menulis bahawa YB suka membela ornag yang ditindas. Nah, ibu kita Aisyah ditindas dan dihina, jom kita sama-sama bela!

Dr Rozaimi Ramle

Adakah mereka ini menolak menolak fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa Syiah itu sesat

Hentilah mainkan isu mazhab, Hanipa tegur Rozaimi
Jarang-jarang berlaku, tetapi sesekali Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 'membela' parti yang selalu menjadi kecamannya, iaitu PAS.

Kali ini Hanipa Maidin mempertahankan tindakan pemimpin PAS berbaik-baik dengan Iran tetapi dikritik seorang pendakwah terkenal di negara ini Dr Rozaimi Ramle.

Kata Hanipa penglibatan PAS dengan Iran bukan sesuatu yang baru, malah pemimpin parti terbabit yang sangat dihormati ramai, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah ke Iran.

Malah kata Hanipa bekas mursyidul am PAS berkenaan menyertai program dianjurkan oleh penganut Syiah.

"Tapi itu bukan bermakna mereka Syiah. Kita perlu adil walaupun terhadap orang yang kita tak suka," katanya.

Hanipa berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini mengenai teguran Rozaimi terhadap penyokong PAS.

Kata Rozaimi, penyokong PAS dilihat bersikap taasub kerana mengecam seorang menteri negara ini yang mengadakan program di kawasan petempatan negara jiran yang didiami penganut Syiah tetapi mempertahankan kunjungan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Iran pada penghujung 2016.

"Apabila melihat berita ini, dengan hormat, saya ingin kata mungkin orang parti tu pun boleh kata pada Dr (Rozaimi): enta pun dua kali lima juga... taasub dari segi lain," kata Hanipa.

Justeru Hanipa yang juga anggota parlimen Sepang menyarankan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris itu tidak berhujah menggunakan isu perbezaan mazhab.

"Jadi berhentilah mainkan isu mazhab ni Dr. Ia hanya membuat imej dan reputasi anda merosot," katanya.

Menurut Hanipa beliau sendiri banyak membaca kitab-kitab ulama Syiah semasa masih bersekolah.

Bagaimanapun kata Hanipa tindakan itu tidak menyebabkan beliau bertukar menjadi penganut fahaman Syiah.

"Saya tetap kekal dalam mazhab Sunni walaupun banyak kali difitnah dan dituduh bermazhab Syiah. Tak ada masalah, isu kecil," katanya.

Rogol bayi: Reman warga emas disambung

Baharuddin Mat Taib
SHAH ALAM - Reman ke atas seorang warga emas yang disyaki merogol bayi berusia 11 bulan yang diasuh menantunya disambung seminggu lagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, permohonan sambung reman diluluskan mahkamah selepas reman terdahulu selama tujuh hari berakhir hari ini.

Beliau berkata, reman terbaharu dilanjutkan bermula esok sehingga 5 September depan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Lanjutan reman dipohon kerana masih terdapat beberapa maklumat yang belum lengkap.

"Kita akan cuba selesaikan siasatan secepat mungkin... Kita tidak semestinya tunggu sampai proses reman habis, jika semua maklumat dah ada, kita akan terus hantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Selain itu katanya, pihaknya juga sudah merakamkan keterangan anak serta menantu suspek bagi membantu siasatan.

Polis menahan suspek lelaki berusia 68 tahun pada 22 Ogos lalu, selepas disyaki merogol mangsa di sebuah pangsapuri di Seksyen 24, di sini.

Terdahulu, perbuatan terkutuk suspek terbongkar selepas kejadian disedari ibu mangsa yang mengambil anak bongsunya pada jam 6.15 petang 20 Ogos lalu.

Mangsa dikatakan mengalami berak berdarah sebelum ibunya berusia 26 tahun terus menghubungi suaminya memaklumkan kejadian dan membawa anak mereka ke hospital.

Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian, pengasuh berusia 25 tahun keluar sebentar dan suspek tinggal di rumah tersebut bersama anak-anaknya berusia 30 dan 17 tahun serta mangsa.

Hasil soal siasat awal, suspek turut mengaku memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Difahamkan, mangsa dijaga pengasuh berkenaan sejak tujuh bulan lalu.

Rafizi atau Azmin jadi pengganti Anwar?

Zin Mahmud
Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dipastikan menjadi presiden PKR apabila menang bertanding untuk jawatan itu 5 Ogos lalu. Hanya menunggu pengesahan selepas pemilihan parti pada 13 Oktober ini.

Pada tarikh itu bagaimanapun, akan ditentukan siapa timbalan presiden PKR dan pengganti Anwar, iaitu sama ada Datuk Seri Azmin Ali atau Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) sudah menentukan siapa pengganti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Anwar. Perkara ini sudah dipersetujui Majlis Presiden PH, walaupun ada penyokong Dr Mahathir tidak mahu Anwar menjadi penggantinya.

Malah, cakap-cakap politik menyebut ada pihak yang mahu menghalang Anwar menjadi perdana menteri dan digantikan dengan Azmin.

Tetapi, Dr Mahathir menegaskan beliau berpegang pada persetujuan parti-parti PH sebelum pilihan raya lalu. Sokongan DAP dan Amanah kepada Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir adalah padu.

Walaupun secara rasmi kedudukan keempat-empat parti – PKR, PPBM, DAP dan Amanah adalah setaraf dan keputusan Majlis Presiden berbentuk konsensus, tetapi pemahamannya adalah pada asasnya PH merupakan kerjasama antara PKR dan PPBM dengan dokongan penting DAP dan Amanah, sebab itu pembahagian kawasan pilihan raya lalu didominasi PKR dan PPBM.

Walaupun PKR memenangi kerusi paling banyak di Dewan Rakyat dalam kalangan parti-parti PH, tetapi Dr Mahathir dipilih sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, PH tidak pernah berbincang siapakah yang bakal menjadi timbalan perdana menteri apabila Anwar menggantikan Dr Mahathir kelak.

Apa yang difahami ialah kerjasama PKR dan PPBM sebagai asas PH akan berterusan. Jika itu berlaku, apabila Anwar menjadi perdana menteri, seharusnya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi timbalannya perdana menteri.

Maka, struktur penggantian pemimpin dalam PH akan berterusan seperti penggiliran antara PKR dan PPBM.

Selepas Anwar, maka Muhyiddin akan menggantikannya dengan timbalannya daripada PKR yang dijangka Azmin, jika beliau ketika itu sudah menjadi presiden partinya. Kemudian, jika Azmin menjadi perdana menteri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menjadi timbalannya.

Tetapi, proses perjalanan politik tidak seperti itu. Apa yang dirancang atau dibayangkan ahli politik dan para pengikutnya tidak semestinya akan berlaku. Sejarah politik Malaysia penuh dengan ahli-ahli politik yang gagal menjadi pemimpin negara.

Datuk Onn Jaafar, pengasas Umno yang berpandangan jauh mahukan parti itu menjadi pertubuhan siasah
Malayan ditolak para perwakilannya. Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pimpinannya juga ditolak para pengundi.

Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri pertama negara dan timbalannya juga berjaya menjadi perdana menteri, tetapi harapan Tun Abdul Razak Hussein menjadikan Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebagai penggantinya tidak pula tercapai, sebaliknya Tun Hussein Onn yang menjadi perdana menteri.

Ramai dalam kalangan Umno ketika itu membayangkan Tengku Razaleigh Hamzah akan menjadi timbalannya, tetapi Hussein memilih Dr Mahathir.

Apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau tidak memilih Tengku Razaleigh. Beliau mengambil Tun Musa Hitam, tetapi Musa tidak menjadi perdana menteri, begitu juga Tun Ghafar Baba yang menggantikannya.

Malah, Anwar yang tidak dihalang Dr Mahathir daripada melawan Ghafar juga tidak dapat menjadi perdana menteri, sebaliknya Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pernah disingkirkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Timbalan Abdullah ialah Datuk Seri Najib Razak yang mendapat sokongan Dr Mahathir ketika itu menjadi pemimpin utama negara.

Muhyiddin yang sepatutnya menjadi perdana menteri menggantikan Najib, jika Umno terus berkuasa akhirnya hanya menjadi timbalan presiden parti itu.

Tanpa Muhyiddin, banyak pihak tentu beranggapan pemimpin yang akan menggantikan Najib kelak sama ada Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selama 61 tahun, mereka yang berpeluang menjadi perdana menteri adalah orang Melayu dari Umno, itupun hanya apabila Umno berkembang ke Sabah, baru ada peluang Bumiputera negeri itu menjadi perdana menteri.

Datuk Seri Shafie Apdal pun dapat peluang menjadi naib presiden Umno setaraf dengan Zahid dan Hishammuddin.

Tetapi, pilihan raya umum ke-14 hari itu melenyapkan sebarang impian orang Umni untuk melihat Zahid atau Hishammuddin menjadi perdana menteri dalam waktu terdekat ini.

Dengan terputusnya pemerintahan Umno yang berterusan ini, kepimpinan tertinggi negara tidak lagi ditentukan para perwakilan Umno.

Jawatan perdana menteri berkemungkinan boleh dipegang ahli politik, sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau PH. Kalau BN boleh kembali berkuasa pada pilihan raya umum, maka berpeluanglah Zahid menjadi perdana menteri.

Namun begitu, walaupun PH kini berpeluang menampilkan pemimpinnya sebagai calon perdana menteri, tokoh yang berkaliber itu masih asalnya dari Umno. Dr Mahathir, Anwar, Muhyiddin dan Azmin asalnya ialah orang Umno.

Buat masa ini, ahli politik DAP dan Amanah tidak akan berpeluang menjadi perdana menteri, walaupun ada antara mereka dikatakanlah mempunyai kemampuan.

Ini kerana kedudukan politik mereka yang rendah dalam PH, walaupun ahli politik DAP dan Amanah terdiri daripada mereka yang seumur hidup aktif menentang BN.

Dari segi peraturan demokrasi, sesiapa pun dalam PH berpeluang menjadi perdana menteri jika mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Tetapi realitinya, Amanah akan terus hanya menjadi parti pendokong, walaupun kehadiran mereka penting. Para pemimpinnya boleh dilantik sebagai anggota Kabinet, tetapi bukannya perdana menteri atau timbalannya.

Bagaimanapun, keadaannya berbeza jika Amanah bergabung dengan PPBM. Kedua-keduanya boleh menjadi lebih besar bila bersatu dan orang Amanah berpeluang menjadi perdana menteri.

Bagi DAP, keadaannya lebih sukar. Sebagai parti bukan Melayu, para pemimpinnya tidak berpeluang menjadi perdana menteri. Ini keadaannya walaupun DAP mempunyai ahli politik Melayu, tetapi bilangannya terlalu kecil.

Namun, keadaan boleh berubah jika politik Malaysia tidak mengambil kira soal kaum pemimpin. Suatu perkara yang sebenarnya tidak mustahil.

Dalam keadaan itu, orang bukan Melayu bukan saja boleh menjadi timbalan perdana menteri, malah perdana menteri. Itupun mungkin perdana menteri bukan Melayu yang pertama bukannya datang dari DAP, tetapi PKR.

Bagaimanapun, dari segi parti, pada masa akan datang juga boleh berubah. Dari segi fahaman politik, PKR dan DAP mempunyai banyak persamaan. Atau semua parti dalam PH boleh meleburkan identiti masing-masing untuk menjadi satu parti, iaitu bukan setakat menggunakan lambang yang sama.

Bagi pilihan raya umum akan datang, landskap politik juga boleh berubah di luar jangkaan. Dengan BN yang tinggal 3 parti dan boleh bekerjasama dengan PAS pula, keadaan boleh berubah.

Lima tahun akan datang, usia semua ahli politik akan meningkat 5 tahun. Mungkin dalam sejarah Malaysia, hanya Dr Mahathir yang boleh kembali menjadi perdana menteri pada usia 93 tahun.

Ahli-ahli politik lain adalah manusia kebanyakan yang kemampuan mereka hanya sekitar 70 atau 80 tahun, tidak boleh sampai 90 tahun.

Buat masa ini, tumpuan pemerhati politik adalah pada pemilihan PKR. Apakah akan terjadi jika Rafizi dapat mengalahkan Azmin? Adakah PKR akan berpecah dan penyusunan politik kepartian akan berlaku?

Atau sebaliknya yang berlaku, tidak kiralah sama ada Azmin atau Rafizi yang menjadi timbalan presiden PKR, parti itu akan menegaskan dominannya dalam PH dengan tidak memerlukan dokongan PPBM, DAP dan Amanah.

Ada ahli dan penyokong Umno mengharapkan parti mereka akan kembali dominan seperti dahulu. Di dunia, banyak parti lama yang kehilangan kuasa, berjaya kembali memerintah negara.

Akhirnya, pilihan pemimpin negara terserah kepada pengundi. Ramai kalangan rakyat mahu maju ke depan dan tinggalkan politik lama. Itulah yang dimaksudkan Malaysia Baru.

Sebab itu sambutan Hari Kebangsaan ke-61 tahun ini amat bermakna bagi pendokong Malaysia Baru. Mereka pasti mengharapkan Dr Mahathir dan Anwar tidak mengecewakan mereka, dan tidak mengembalikan Malaysia ke zaman seperti pemerintahan parti lama mereka.

Zin Mahmud merupakan bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Penyokong PAS taasub, kata Rozaimi

Penyokong PAS boleh dianggap beramal dengan sifat taasub apabila tidak bersikap tekal semasa berdepan dengan isu berkaitan Syiah.

Menurut pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Rozaimi Ramle, pihak terbabit dilihat mengecam hebat musuh politik mereka kerana dipercayai membuat program di kawasan yang ada kaitan dengan penganut Syiah.

Pada masa sama, kata Rozaimi penyokong PAS mempertahankan pemimpin mereka apabila ketika tokoh terbabit melawat Iran ketika negara itu berperanan dalam perang di Syria.

"Sewaktu pimpinan mereka bersentuhan dengan pimpinan Iran pada waktu Iran mempunyai peranan di perang Syria dulu, ketika (itu) pimpinan mereka mengatakan Syiah hanyalah mazhab dan hanya berkhilaf secara ilmu, (lalu) mereka pertahankan pimpinan tersebut," katanya malam tadi.

Rozaimi berkata demikian sebagai reaksi kepada kritikan penyokong PAS kepada seorang menteri kerana mengadakan korban di selatan Thailand baru-baru ini.

Ia menjadi isu kerana petempatan tersebut didakwa didiami penganut Syiah. Malah gambar menteri terbabit bersama tokoh tempatan serta kitab-kitab ajaran Syiah turut memanaskan keadaan.

Kritik kedua-duanya

Rozaimi sendiri memberikan pandangannya terhadap gambar tular itu.

“Saya diberikan dengan gambar ini. Saya tidak tahu adakah ia gambar tulen atau gambar edit.

"Cuma saya ingin ingatkan kitab belakang itu adalah kitab yang dikaitkan dengan Syiah.

“Jika gambar ini tulen, mohon menteri berhati-hati," katanya.

Untuk rekod pada Disember 2016 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik kerana membuat kunjungan ke Tehran bagi menghadiri satu persidangan antara mazhab di ibu negara Iran berkenaan.

Antara yang mengecam Abdul Hadi ialah Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Dr Yusuf al-Qaradawi.

Kata Yusuf, penyertaan Abdul Hadi tidak dapat diterima kerana ketika itu Iran melaksanakan kekejaman ke atas rakyat Syria.

"Ketika ini KUIS menunggu Syeikh Abdul Hadi untuk menarik diri daripada kunjungan yang tidak pernah dipersetujui ini, tidak kena pada masanya dan tidak juga pada tempatnya!" kata kenyataan berbahasa Arab berkenaan.

Abdul Hadi ialah naib ketua KUIS.

Menurut Rozaimi sikap yang ditunjuk oleh penyokong PAS itu dikenali sebagai taasub.

"(Dianggap) salah apabila pihak lain buat, dibela apabila tokoh sendiri lakukan.

"Adapun saya, saya mengkritik tindakan kedua-duanya," kata Rozaimi.

Terdahulu Rozaimi menyatakan seseorang penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ikhlas pada agamanya tidak akan sesekali meredai ajaran yang mempertikaikan kredibiliti sahabat Nabi Muhammad SAW serta isteri-isteri baginda seperti dilakukan oleh sebahagian orang Syiah.

"Oleh itu, kita sangat sensitif terhadap isu ini.

"Justeru, saya menunggu penjelasan berkaitan pemimpin negara yang dikaitkan dengan majlis bersama syiah.

"Jika tidak ada penjelasan rasional diberikan maka saya kira rakyat berhak menolak ahli politik seperti ini dalam PRU akan datang.

"Jangan biarkan isu ini diambil sambil lewa. Berpolitik jangan sampai menggadaikan prinsip agama!" katanya.
-malaysiakini