"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bangla dibelasah gara-gara intai anak dara (Gambar)


Chukai – Gara-gara mengintai anak dara, seorang warga Bangladesh menerima padah ditangkap dan dibelasah penduduk kampung hingga lembik sebelum diserahkan kepada polis.

Dalam kejadian jam 8 malam di Kampung Mak Chili, Chukai, Rabu lalu, seorang penduduk kampung melihat suspek sedang mengintai anak dara di sebuah rumah sambil memegang kemaluannya.

Penduduk terbabit kemudian memaklumkannya kepada beberapa penduduk lain yang kemudian mengepung suspek, menangkap dan memukulnya.

Sumber berkata, gerak-geri lelaki itu diperhatikan penduduk sejak beberapa hari lalu dan menimbulkan kebimbangan kepada mereka.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, suspek yang ditangkap penduduk kampung diserahkan kepada polis.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. 
BH Online

Dari politik ke ladang tomato: Mengesan 4 bekas pemimpin pembangkang

Aedi Asri

PETALING JAYA: Menceburi bidang politik tiada had umur. Ada yang bermula bila mencecah usia 40-an, tetapi meninggalkan kesan mendalam walaupun cuma beberapa tahun di pesada politik.

Ia juga tidak ada umur persaraan. Kadang-kadang, secara rasminya bersara atau dipaksa bersara, namun nama mereka sentiasa muncul dan dikaitkan dalam pelbagai permainan politik. Contoh terbaik ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara pada 2003, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekali lagi dipenjarakan menyebabkan kehilangan jawatan ketua pembangkang.

Tetapi ada juga yang muncul buat seketika, menunggangi gelombang politik, hanya untuk tercicir sehingga tidak kedengaran lagi.

Di mana mereka sekarang? FMT cuba mengesan beberapa watak politik yang sebelum ini memenuhi ruang media, tetapi kini seakan hilang terus.

Gobalakrishnan dan ladang tomato

Sekiranya ada ensiklopedia mengenai era reformasi pada 1990-an dulu, nama N. Gobalakrishnan pasti mendapat catatan. Bekas ahli politik MIC ini muncul lewat 1998, dan bergerak aktif dalam PKR sebelum memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU 2008.

Pernah menjadi naib presiden PKR, Gobala membuat pengumuman keluar parti pada 29 Januari 2011 atas alasan “bosan” dengan Anwar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali yang didakwanya mengawal 100% parti itu.

Ketika dihubungi FMT, Gobalakrishnan memaklumkan yang beliau kini terlibat dalam bidang pertanian, dan memiliki 6 ekar ladang tomato di Cameron Highlands yang hasilnya turut dipasarkan ke Singapura.

“Ini adalah perniagaan yang mendatangkan pulangan yang baik. Di sini ada 50 ekar tanah yang boleh diusahakan, tetapi masih belum ada pelabur yang dapat membantu saya,” katanya yang berulang-alik setiap minggu dari tempat tinggalnya di Kulim, Kedah.

Bagi beliau, pembangkang berpecah kerana tidak ikhlas dalam perjuangan.

“Keadaan akan jadi lebih baik jika Anwar di luar (penjara). Beliau dan Najib patut bekerjasama, negara perlukan mereka,” katanya, yang masih menaruh harapan kepada Anwar.

Menurut Gobala, Anwar mampu menangani ancaman IS kerana pengaruhnya di kalangan pemimpin Islam dunia yang lain.

Hasan Ali bersama tabligh

Penceramah agama dan motivasi sepanjang era 90-an ini mula lebih terkenal selepas menyertai PAS pada zaman reformasi 1998.

Kini, Datuk Hasan Mohamed Ali kembali menumpukan perhatian kepada perniagaan, empat tahun selepas beliau dipecat oleh PAS kerana tidak mematuhi dasar parti.

Jawatan politik terakhir beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, dan disebut-sebut menjadi menteri besar Selangor sekiranya Pakatan Rakyat merampas negeri itu daripada BN pada pilihan raya 2008. Bagaimanapun, ia tidak menjadi, dan Hasan dilantik exco agama sehinggalah pemecatan beliau.

Beliau juga kini giat dengan kumpulan dakwah Jemaah Tabligh, yang menurutnya ditinggalkan sementara ketika terlibat aktif dalam politik.

“Ia sesuatu yang saya lakukan 25 tahun lalu. Ia terhenti sekejap kerana sibuk dengan politik, maka sekarang saya perbaharui semula.

“Saya tidak rindukan politik, dan tidak fikir akan kembali (bergiat aktif),” katanya kepada FMT.

Zulkifli Noordin

Siapa yang dapat melupakan gambar Datuk Zulkifli Noordin dicium seorang pemuda India berbaju Barisan Nasional ketika hari pencalonan PRU 2013.

Zulkifli ketika itu dilantik Najib bagi melawan “musuhnya” Khalid Samad, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam.

Tidak lama sebelum itu, beliau mengundang kontroversi apabila rakaman ceramahnya menghina agama Hindu tersebar secara meluas.

Peguam syariah ini pernah menyertai panel peguambela Anwar ketika dipecat dahulu.

Beliau juga aktif terlibat dalam melawan kes murtad, dan ketika masih berada dalam PKR mengundang kontroversi kerana pendiriannya yang tidak selari dengan polisi parti pelbagai kaum itu.

Pada 2010, Zulkifli dipecat selepas pertelingkahan terbuka dengan Khalid dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Namun, beliau masih cuba menampilkan dirinya dalam politik semasa dengan komen menyindir pembangkang dan memuji pentadbiran Najib.

Ezam Mohd Nor

Beliau barangkali antara ahli politik paling menonjol ketika zaman reformasi.

Ezam, salah seorang pengasas PKR, ibarat bintang yang kehabisan sinar sebelum waktunya.

Beliau dan Azmin merupakan tokoh paling rapat dengan Anwar, malah Ezam menggalas jolokan “klon Anwar” dengan bangga.

Ada banyak cakap-cakap di sebalik keluarnya Ezam daripada lingkungan pembangkang, namun sebab rasmi yang direkodkan adalah perjuangannya tidak lagi sehaluan dengan Anwar dan Azmin. Beliau dilantik senator sejurus selepas kembali kepada Umno.

“Ezam Kotak”, begitulah jolokan terhadap beliau kerana mendakwa memiliki 6 kotak menyimpan dokumen salah laku pemimpin negara. Beliau kemudian menafikan perkara itu dan berkata ia berada dalam simpanan Anwar.

April lalu, Ezam menafikan khabar angin yang beliau akan menyertai semula PKR. Kini menetap di Indonesia untuk menumpukan perhatiannya dengan NGO Hisbah Centre for Reform.

Beliau juga masih mengulas isu politik. Antaranya, beliau mengkritik penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menutup laporan akhir siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.
-freemalaysiatoday

Majlis Dakwah Negara ingatkan PDRM jangan kaitkan Ibn Taimiyyah dengan IS

KUALA LUMPUR, Khamis – Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, pihak berkuasa perlu berhati-hati sebelum mengaitkan mana-mana aliran dengan aktiviti keganasan IS.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan polis merampas beberapa risalah militan yang memuatkan penulisan pemikir Islam termasyhur, Ibn Taimiyyah baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan bahawa IS telah menggunakan pandangan ekstrem Ibn Taimiyyah, yang didakwanya melabel pengikut Sunnah Wal Jamaah sebagai sesat, syirik, murtad dan ahli neraka.

Mengulas perkara itu Prof Zuhdi berkata, rampasan buku oleh polis menunjukkan ramai cuba menghalalkan perbuatan keganasan dengan merujuk kepada pandangan Ibnu Taimiyyah.

“Elok kita tidak kaitkan IS dengan pandangan Ibnu Taimiyyah. Lebih baik kita katakan IS ini mempunyai doktrin yang asing dengan doktrin kita amalkan di Malaysia,” katanya yang dipetik daripada portal liberal hari ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pandangan dan buku Ibnu Taimiyyah diguna pakai universiti di seluruh dunia termasuk Universiti Al-Azhar.

“Ibnu Taimiyyah bukanlah ulama yang ekstrem, bukunya dibaca penganut agama Islam tidak mengira mazhab,” katanya.

Sebaliknya, Mahfodz berkata, IS didalangi orang yang tidak faham Islam. “Tetapi Ibnu Taimiyyah sudah ada terlebih dahulu.”

Ibn Taimiyyah (1263-1328), ulama kelahiran Syria yang merupakan ilmuwan Islam paling terkenal dari aliran Hanbali, diberi gelaran Sheikhul Islam disebabkan penulisan dan pengaruh besarnya ke atas perkembangan ilmu Islam.

Bagaimanapun, ajarannya kerap dikatakan menjadi ikutan aliran yang dianggap pelampau seperti Wahabi, walaupun kehebatan ilmu beliau diiktiraf umat Islam semua aliran.
-ismaweb

Erdogan beri kata dua kepada Amerika


ANKARA, Khamis: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi kata dua kepada Amerika Syarikat untuk mengekstradisi Fethullah Gulen yang menjadi dalang dalam cubaan rampasan kuasa bulan lalu.

Erdogan berkata, Washington perlu membuat pilihan samada memilih Turki atau Gulen.

“Lambat laun, Amerika Syarikat akan membuat pilihan. Samada Turki, sebuah negara demokrasi atau Gulen. Mereka perlu membuat pilihan,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Turki telah menghantar lapan puluh lima kotak fail ke Washington untuk membuktikan peranan Gulen dalam cubaan rampasan kuasa itu.

Setakat ini, Washington enggan mengembalikan Gulen ke Turki dengan alasan bahawa ia memerlukan bukti penglibatan Gulen dalam pemberontakan tentera berkenaan.

Gulen telah berulang kali menafikan apa-apa penglibatannya dalam cubaan rampasan kuasa dan memberi amaran bahawa tindakan menyalahkannya itu boleh menjadi satu muslihat oleh Parti Keadilan dan Pembangunan untuk mengukuhkan cengkaman ke atas kuasa di Turki.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 246 orang terbunuh dan lebih 2,100 lagi cedera apabila tentera menggunakan helikopter dirampas dan kereta kebal dalam pertempuran dengan tentera kerajaan dan rakyat di sekitar Ankara dan bandar Istanbul pada 15 Julai lalu.

Turki telah melancarkan operasi pembersihan besar-besaran terhadap pihak yang terbabit dalam komplot rampasan kuasa itu.

Lebih 60,000 orang telah dipecat daripada pekerjaan mereka dan disiasat kerana disyaki mempunyai kaitan dengan komplot serta pergerakan Gulen itu. – Agensi
-ismaweb

Intai jururawat di tandas, tukang cuci dipenjara 5 bulan

Gara-gara mengintai seorang jururawat di dalam tandas sebuah klinik kesihatan, seorang pencuci tandas warga Indonesia dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Ricky Jandriadi, 20, selepas tertuduh mengaku bersalah mengintai jururawat berusia 24 tahun itu dengan niat mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan mangsa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Julai lepas.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tandas wanita di sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di sini, pada 7.40 pagi, 22 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga dihukum penjara dua bulan atas pertuduhan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia di perkarangan Klinik Kesihatan Cheras, pada 8.30 malam 22 Julai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Julai dan berjalan serentak dengan pertuduhan pertama.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah terserempak dengan tertuduh ketika dia sedang mencuci tandas wanita.

Wanita itu meminta kebenaran untuk masuk ke tandas dan ketika beliau masuk ke tandas telah ternampak kelibat dan kepala seseorang dari atas tandas bersebelahan.

Mangsa kemudian menjerit dan mendengar seseorang melarikan diri. Hasil siasatan mendapati terdapat peralatan alat tukang cuci ditinggalkan tertuduh dan kesan tapak kasut di bahagian pengepam tandas bersebelahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.
- Bernama

Ini Caranya Dapatkan Kembali Akaun Facebook Yang Digodam

Hairi Ariff
Seringkali kita mendapat berita tentang akaun Facebook seseorang digodam. Ironinya, akaun individu yang kerap digodam merupakan akaun yang kerap mengeluarkan kata-kata kesat atau berjanji untuk mengaibkan diri diatas sesuatu pertaruhan. Pertambahan laman web ‘phishing’ di Facebook juga merupakan kemungkinan seseorang digodam.

Facebook ternyata mengambil serius akan masalah akaun yang digodam seterusnya mengeluarkan altenatif terbaik untuk mendapatkan kembali akaun Facebook iaitu Facebook Hacked.

Sekiranya akaun Facebook anda digodam, jangan panik kerana Facebook Hacked bakal membantu anda mendapatkan akaun Facebook anda semula. Apa yang perlu anda lakukan adalah layari Facebook Hacked.

facebook-messenger-apple-ios-macbook-iphone-4-5-6-app

Di laman ini, anda akan diminta untuk memasukkan kata laluan dan seterusnya melalui beberapa soalan sekuriti dalam mendapatkan kembali akaun Facebook peribadi anda. Kaedah yang sama sepertimana anda lupa kata kunci email atau akaun anda. Sangat mudah bukan?

Kami harap dengan adanya fungsi ini anda akan lebih peka dengan soalan sekuriti yang disediakan Facebook yang sering dipandang enteng kepentingannya. Adalah dinasihatkan juga untuk menukar kata laluan Facebook beserta email anda jika sudah lama digunakan bagi mengelakkan daripada sebarang kes melibatkan akaun anda digodam.
-detikdaily.net

MESTI BACA!!! Durian dan Nangka Menjadi Pembunuh

Tranungkite
Dr Mohd Syamirullah
Sejak seminggu dua ini, di hospital tempat saya bertugas, kami mendapati peningkatan kes-kes jantung (serangan jantung dan tekanan darah tidak terkawal), kencing manis (diabetis ketoacidosis dan paras gula tidak terkawal) yang sangat ketara. Saya sendiri selaku pegawai perubatan nefrologi (buah pinggang) menerima beberapa kes pesakit buah pinggang yang berkomplikasi sehingga ada yang terpaksa dihantar ke hospital besar, bahkan ada yang meninggal dunia.

"Makcik nak makan durian..dah sembilan tahun sejak dia disahkan menghidapi penyakit buah pinggang, dia tak pernah sentuh durian. Jadi semalam dia minta kat anak dia..makan seulas sahaja.. sedar-sedar pagi ini dah keletihan, sesak nafas, sakit dada." ujar seorang gadis muda, sambil mengurut-urut dada ibunya yang laju.

Pesakit ini datang ke jabatan kecemasan dengan bacaan serum potassium setinggi 7.3. Rentak jantungnya (ECG) menunjukkan sinus arrest, dengan kadar denyutan jantung hanya 32 per minit. Hemodialisis kecemasan dilakukan, hanya menurunkan bacaan serum potassium untuk sementara sahaja sebelum kembali meningkat.

Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung (cardiogenic shock).

POTASSIUM

Ada banyak jenis mineral dan garam galian yang diperlukan oleh badan manusia. Kalsium, fosfat, magnesium, potassium, sodium adalah diantaranya. Kesemua galian dan garam mineral ini, dikawal kandungan dan kuantitinya oleh buah pinggang kita. Tidak boleh terlalu kurang, dan tidak boleh terlalu lebih.

Potassium, adalah sejenis bahan galian dan unsur elemen yang penting bagi tubuh manusia. Ia bertanggungjawab ke atas fungsi otot untuk mengecut (contraction). Kekurangan potassium, dipanggil hypokalemia, contohnya disebabkan muntah atau cirit birit yang berterusan boleh menyebabkan seseorang menjadi lemah, sengal dan lenguh seluruh badan, cramping dan muscle ache (myalgia).

Terlebih potassium pula, dipanggil hyperkalemia, boleh membahayakan nyawa kerana ia mengganggu fungsi contraction otot jantung. Hyperkalemia, adalah sebuah medical emergency yang perlu dirawat SEGERA, kerana ia boleh menyebabkan cardiac arrhythmia bahkan asystole.

Bagi orang yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, khususnya end stage yang bergantung kepada dialisis, mereka ini tidak lagi boleh menghasilkan air kencing. Tubuh badan mereka tidak lagi boleh mengeluarkan bahan-bahan kumuh yang antaranya terdiri daripada garam mineral dan zat yang berlebihan ini. Dalam kes ini, potassium.

Umum mengetahui, bahawa antara makanan yang paling banyak mengandungi potassium, adalah pisang. 100 gram pisang, mengandungi 358 mg potassium. Yang keduanya, adalah sayur bayam (spinach). 100 gram bayam mengandungi 558 mg potassium.

Namun tak ramai yang mengetahui, dua jenis buah-buahan tempatan kita sebenarnya mempunyai kandungan potassium yang tinggi. 100 gram durian mengandungi 436 mg potassium, iaitu lebih tinggi dari pisang. Begitu juga dengan nangka, 100 gram nangka mengandungi 448 mg potassium, lebih tinggi dari keduanya.

Atas sebab itulah, saya menggesa kepada anda yang mengenali sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga, jiran mahupun rakan yang menghidapi penyakit kerosakan fungsi buah pinggang, khususnya yang bergantung kepada diaisis, agar BERPANTANG buah-buahan ini. Ia boleh meragut nyawa mereka.

BERPANTANG dalam erti kata mengurangkan atau kalau boleh, berhenti terus pun tak apa. Mungkin sekali sekala hanya dalam kuantiti yang sedikit, bukannya sekaligus. Secara kasarnya, pesakit buah pinggang tetap memerlukan dietary potassium yang mencukupi, iaitu sekitar 1500 ke 2000 mg sehari. Pendek kata jika pesakit mahu makan durian, maka kurangkan makanan high potassium lain seperti yang dinyatakan di atas.

Jangan pula tengahari sudah makan gulai nangka, malamnya hendak menjamah durian pula!

Saya kongsikan di sini, sebuah case study yang berlaku di sebuah hospital di tanah air : http://e-mjm.org/2011/v66n1/Hyperkalaemia.pdf

Bahkan sebenarnya, KURMA yang kita selalu makan, mengandungi kandungan potassium yang jauh lebih tinggi. 100 gram kurma mengandungi 656 mg potassium, hampir dua kali ganda pisang.

Cumanya, kita lazimnya jarang mengambil kurma dalam kuantiti yang banyak mencecah 100 gram. Kita biasa makan ketika berbuka puasa dalam jumlah kiraan ganjil sahaja, kerana itu ia jarang memberi kesan kepada kita.

Namun awas, kerana mutakhir ini ada banyak produk yang memproses kurma. Ada yang dijadikan jus yang sudah tentu memekatkan konsentrasi potassium yang ada didalamnya. Ada yang menjadikannya cokelat, ada yang diproses dalam minuman seperti kopi dan sebagainya.

Tapi, kurma kan makanan Nabi? Makanan "sunnah"? Mustahil lah ia boleh bawa keburukan.

"Itula dengar sangat cakap doktor ni, doktor ni semua kan belajar ilmu dari yahudi, sampai tak reti nak bezakan mana sunnah. "

Dalam bidang toksikologi, kita ada sebuah prinsip asas yang dipanggil sola dosis facit venenum, bermaksud "the dose makes the poison."

Kita juga ada dalam bidang farmakologi, sebuah subbidang khas dipanggil farmakokinetik yang mengkaji tentang bagaimana tubuh badan manusia memproses setiap bahan khususnya ubat-ubatan.

Setiap tubuh badan manusia secara individu, mempunyai kapabiliti tersendiri memproses setiap bahan yang ada.

Bagi manusia yang sihat seperti kita, habiskan sebijik durian pun tak apa. Kerana buah pinggang kita sihat, ia boleh mengkumuhkan dan membuang potassium berlebihan.

Tetapi bagi pesakit ESRD, ini tidak boleh bagi mereka. Mereka tidak boleh mengkumuhkan potassium, sebab itulah hatta seulas durian pun boleh membahayakan nyawa mereka.

Begitu juga dengan pesakit ESRD dan kegagalan fungsi jantung. Mereka ini, PANTANG air berlebihan.

Air, benda yang bagus bagi manusia. Bahkan kita digalakkan meminum sehingga 4 litre air sehari.


Tetapi ini, tidak benar bagi pesakit ESRD dan CCF. Mereka ini, hanya dibenarkan meminum sekitar 500ml air sahaja. Sekiranya lebih, air ini tidak dapat dikumuh keluar dan akan berkumpul di kaki sembab, bahkan sehingga ke paru-paru menyebabkan sesak nafas.

Begitu juga contoh seterusnya, nasi untuk pesakit kencing manis. Benar, nasi tu makanan berkhasiat dan berzat. Namun sudah tentulah pesakit kencing manis, tidak boleh mentekedarah nasi seperti orang sihat.

Atas sebab itulah, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada kita semua, agar BERHATI-HATI dengan sesetengah pihak yang bermotifkan keuntungan menjual "bahan-bahan beracun."

Mereka ini mengambil kesempatan atas keterdesakan dan atas nama "ikhtiar" seorang pesakit, serta memanipulasi dan memomokkan dengan ketakutan ke atas "bahan kimia".

Bahkan ada yang sanggup menggunapakai nama agama. Arwah seorang ahli keluarga saya sendiri, antara yang terpedaya, mengamalkan "kopi habbatussauda" kerana terpengaruh dengan dakwaan penjualnya bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi yang dihidapinya. Beliau dihasut dengan dakwaan ubat hospital tidak boleh menyembuhkan, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dsb, dan disuruh mengamalkan 'perubatan sunnah' iaitu habbatussauda. Kesudahannya, kombinasi darah tinggi yang tidak terkawal dan faktor pengambilan kaffein yang berterusan, beliau meninggal dunia akibat strok (angin ahmar).

Berhati-hatilah dengan apa sahaja yang dipanggil "natural" kerana apa yang "natural" bagi seorang, mungkin menjadi "pathological" bagi seorang yang lain.

Dapatkan nasihat doktor YANG MERAWAT ANDA, bukannya orang sebarangan, hatta saya sekalipun sering ditanya di FB "bolehkah saya ambil supplemen ini", saya tidak akan menjawabnya kerana saya tidak mempunyai maklumat mengenai kesihatan orang yang bertanya. Saya tidak tahu fungsi buah pinggang anda normal atau tidak, fungsi hati anda ok atau tidak, apa masalah kesihatan yang anda ada.

Akhir kata, orang yang bertanggungjawab atas kesihatan anda, first and foremost adalah diri anda sendiri. Justeru buatlah pilihan yang selamat dan letakkanlah kepercayaan kepada orang yang betul. Kerana in the end, yang akan menanggung kesannya, adalah anda sendiri.

Jual pontianak di Facebook (Gambar)


Jakarta: Seorang pengguna Facebook di Indonesia menggemparkan komuniti laman sosial di negara itu apabila dia mengiklankan pontianak untuk dijual.

Achyar Yuliantoro memuat naik iklan berkenaan di satu laman kumpulan di Facebook pada Rabu lalu dan terus viral dalam tempoh beberapa jam.

Tidak cukup dengan itu, dia turut memuat naik gambar seorang lelaki bersama wanita berwajah hodoh dan menakutkan dipercayai pontianak.

“Pontianak asli untuk dijual. Khasiat rambutnya mempunyai pelbagai fungsi.

“Ilmu pengasih peringkat tinggi dan paling ampuh serta teman ghaib. Sehelai rambut dijual pada harga Rp700,000 (RM217),” katanya.

Iklan itu mendapat sambutan luar biasa daripada pengguna laman sosial di Indonesia dan dikongsi lebih 3,000 kali.

Bagaimanapun, beberapa pengguna laman sosial menganggap iklan berkenaan hanya gurauan, tetapi ramai juga yang mempercayainya.

“Sekiranya asli saya mahu, saya mahu jadikannya isteri saya,” kata seorang pengguna Facebook, Diajeng.

“Walaupun saya yakin pontianak itu hanya lakonan, tetapi ia masih membuatkan saya takut,” kata seorang lagi pengguna Facebook.
-kualalumpurpost 

Kanak-kanak putus kepala di taman tema (Gambar)


Caleb Thomas Schwab (kiri) dan taman air Schlitterbahn di Kansas, Amerika Syarikat. - Foto Metro.uk
KANSAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut selepas menaiki gelongsor air tertinggi di dunia di taman air Schlitterbahn, Ahad lepas.

Laporan Metro UK mengatakan saksi, Kelsey Friedrichsen ternampak Caleb Thomas Schwab tercampak dari gelongsor berkenaan dan jatuh pada ketinggian 50 kaki.

Gelongsor tersebut yang dinamakan Verruckt mempunyai ketinggian 168 kaki dengan 264 anak tangga.

Seorang lagi saksi, Kobey Lyons mengatakan permainan tersebut tidak berfungsi dengan betul pada hari kejadian.

Kejadian berkenaan memaksa operasi taman air tersebut dihentikan sehingga siasatan polis selesai.

Senarai pemimpin parti BERSATU


PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru sahaja didaftarkan pada petang tadi. Sementara itu,

Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin pula dinamakan sebagai presiden parti.

Berikut adalah senarai nama pemimpin tertinggi parti baru itu:

Pengerusi: Tun Dr Mahathir Mohamad

Presiden: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

Naib Presiden: Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Setiausaha: Kamarulazman bin Habibur Rahman

Bendahari: Ainina binti Saadudin

Jawatankuasa: 1) Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi

2) Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman

Pada awalnya BERSATU dicanang sebagai parti untuk kaum Melayu namun Muhyiddin mengumumkan ia terbuka juga kepada bukan Melayu namun hanya sebagai ahli bersekutu.

Pasangan ini diarah turun pesawat kerana sebut ALLAH

OHIO - AMERIKA SYARIKAT. Sepasang suami isteri Muslim diarahkan turun dan meninggalkan pesawat hanya kerana menyebut perkataan ALLAH.

Nazia Ali dan suaminya, Faisal menaiki pesawat Delta Airline dalam perjalanan pulang ke Ohio dari lawatan ke London dan Paris selepas menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 10.

Memetik Washington Post, salah seorang krew penerbangan memberitahu juruterbang, pasangan Muslim berkenaan yang duduk di kelas ekonomi telah menimbulkan perasaan kurang senang.

Krew penerbangan tersebut mendakwa Nazia menggunakan telefon bimbit dan memakai tudung manakala suaminya sedang berpeluh-peluh.

Menurutnya lagi, dia turut mendengar pasangan itu menyebut perkataan ALLAH.

Susulan dakwaan itu, juruterbang memutuskan untuk tidak berlepas sehinggalah pasangan tersebut dikeluarkan daripada pesawat.

"Kami berada di tempat duduk kami selama 45 minit sebelum pegawai lapangan terbang meminta kami turun bersama untuk bertanya beberapa soalan.

"Adakah anda mahu kami membawa barangan kami dan pegawai berkenaan menjawab 'ya, anda tidak akan menaiki pesawat ini," kata Nazia.

Tambah Nazia lagi, ia sdalah satu penghinaan

"Kami dilayan seperti penjenayah.

"Kami adalah rakyat Amerika. Anda tidak boleh melakukan ini kepada kami, " katanya yang berasal dari Pakistan dan merupakan rakyat AS selama 16 tahun.

Berikutan insiden ini, kumpulan memperjuangkan hak Muslim menyifatkan tindakan menghalang pasangan itu menaiki pesawat pada 26 Julai dari Paris ke ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cincinnati Northern Kentucky adalah sebagai 'pemprofilan agama'

Wakil Majlis Perhubungan Amerika-Islam Cincinnati, Sana Hassan mengesa kerajaan AS mengambil tindakan dan mengumumkan rancangan untuk menfailkan aduan terhadap Delta Airline kepada Jabatan Pengangkutan AS.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada The Washington Post, syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya mengutuk diskriminasi berkaitan hal umur, bangsa, kewarganegaraan, agama, orientasi seksual atau jantina.

"Sebagai syarikat penerbangan global yang membawa beratus-ratus ribu penumpang setiap hari, Delta sangat komited untuk memberikan khidmat dengan rasa hormat kepada semua pelanggan kami.

"Delta akan menyiasat perkara ini dan akan memberi bayaran balik kepada pelanggan," petik kenyataan.

Memetik AP, pasangan itu mendapat bayaran pampasan untuk bilik hotel dan terbang semula pada hari berikutnya.

Cucu penggal, kerat tangan nenek berusia 76 tahun (Gambar)

Bernama 

KOTA TINGGI: Seorang warga emas maut dipenggal cucunya yang dipercayai mengalami gangguan mental dalam kejadian di Felda Penggeli Timur di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata dalam kejadian 6.30 petang itu, Maimon Abdul Samad, 76, bukan sahaja dipenggal, malah tangan dan kedua-dua kakinya dikerat suspek lelaki yang berusia 19 tahun itu.

Beliau berkata kepala mangsa yang dipenggal itu diletakkan di hadapan pintu masuk rumah, manakala tubuh mangsa dijumpai di bawah singki.

“Kedua-dua kaki mangsa dikerat di bahagian paha tetapi tidak putus, manakala kedua-dua tangan dipotong dan hanya tangan kiri yang kelihatan di sisi mangsa,” katanya malam semalam.

Rahmat berkata hasil siasatan mendapati suspek menggunakan sebilah pisau berukuran antara empat hingga tujuh inci panjang, yang ditemui di dalam pasu bunga di luar rumah mangsa.

Beliau berkata selepas kejadian, suspek cuba melarikan diri memasuki kawasan ladang sawit berhampiran, bagaimanapun berjaya ditangkap polis dengan bantuan penduduk kampung pada 8.30 malam.

“Suspek dipercayai mengalami gangguan mental akibat tidak makan ubat sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Rahmat berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Telefon Pintar Android Bernilai RM15 (Gambar)

Hairi Ariff

Berdasarkan tajuk sahaja kami yakin anda mungkin tidak percaya bagaimana sebuah telefon pintar dapat dijual dengan harga yang sebegitu rendah. Dengan harga RM15, Freedom 251 berjaya menawarkan sebuah telefon pintar Android dengan skrin 4-inci serta cip pemprosesan quad-core.

Syarikat Ringing Bells yang berpangkalan di India ini mulanya menerima pelbagai persepsi negatif serta dikatakan scam berikutan pengumuman harga yang tidak masuk akal. Nampaknya Ringing Bells berjaya membuktikan kepada syarikat-syarikat lain bahawa mereka benar-benar serious dengan harga yang ditawarkan.
Sebanyak 5000 unit daripada 75 juta yang diterima telah dihantar kepada mereka yang membuat pra-tempahan. Bagaimana mereka ingin memenuhi permintaan orang ramai masih menjadi tanda tanya namun CEO kepada Ringging Bells, Mohit Goel tetap positif dengan perkembangan syarikat ini.

Jika harga yang dijual RM15, berapa pula harga kos Freedom 251? Nampaknya syarikat ini mengambil pendekatan yang berbeza dengan menyerap kos kerugian setiap penjualan telefon.
Mohit Goel berkata harga pembuatan sebuah Freedom 251 adalah sekitar RM83 manakala setiap penjualan sebuah Freedom 251 syarikat mereka akan rugi sekitar RM15 selepas ditolak beberapa kos.

Dana daripada beberapa pihak serta kerajaan India membuatkan Mohit Goel kekal positif dengan keuntungan penjualan Freedom 251 pada jangka masa yang panjang.

Dalam pada itu, syarikat ini bakal mengeluarkan LED TV termurah dunia setelah berjaya mengeluarkan telefon pintar termurah dunia. Beberapa pihak masih ‘skeptical’ dengan operasi bisnes syarikat ini yang berkemungkinan merupakan menjadi salah satu skim Ponzi.
-detikdaily.net

5 Sebab Anda Kerap Keluarkan Kentut Berbau Busuk

Diyana AR

Agak kelakar apabila mengenangkan semula saat pertama kali terbang 13 jam ke United Kingdom. Boleh waktu itu saya terfikir, bagaimana kalau saya atau orang lain terkentut dalam flight? Oh my! Kalau senyap-senyap OK lagi tapi bayangkan jika ‘boom!’.

Tapi saya teringat kata seseorang. Dia cakap kentut ini normal. Semua orang kentut, jadi kenapa perlu malu. Cuma kalau kentut, biarlah kentut beradab katanya lagi. Haha. OK. OK. I got the point.
Kalau anda nak tahu, secara purata kita menghasilkan setengah liter gas kentut setiap hari. Jangan tanya saya berapa kali pula kentut dilepaskan sehari. Kalau nak tahu juga, cuba anda kaji berapa kali anda kentut.

Kentut menurut takrifan Kamus Dewan Edisi Ke-4 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ialah angin yang keluar menerusi pelepasan (jubur). Ia boleh berlaku dengan secara sengaja dan tidak sengaja atau dengan kata lain tiba-tiba saja kentut.

Maka, kentut boleh jadi kelakar, disgusting atau pura-pura bukan kita yang kentut. Itu antara reaksi kita apabila berhadapan dengan situasi kentut.

Bagaimana jika kita kentut luar biasa? Maksud saya banyak kali kentut dalam sehari dan kadang-kala bunyinya begitu menarik perhatian orang lain.

Menurut Dr Patricia Raymond yang merupakan doktor dan ahli American College of Gastroenterology telah menerangkan kepada Refinery29/MSN tentang mengapa ada hari tertentu kuantiti kentut kita banyak dari biasa.

1. Terlalu banyak udara dalam badan

Terdapat dua sumber utama angin kentut kita, iaitu angin yang dihasilkan oleh usus besar kita dan angin yang kita telan yang akan melalui saluran penghadaman.

Angin udara yang kita telan itu akan menghasilkan kentut yang tiada bau. Ia boleh masuk ke dalam badan kita apabila makan terlalu cepat, mengunyah chewing gum atau minum banyak air karbonat bergas.

2. Pemakanan sihat

Bagus amalkan pemakanan sihat. Insha Allah ia menjamin kelangsungan hidup dan kesihatan yang baik. Tapi ada sedikit kontra yang perlu kita hadapi apabila makan cara begini.

Kita akan kentut busuk. Ya, kentut busuk sebab buah-buahan, sayur-sayuran, whole-grains dan legumes akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan hidung. Ini juga termasuk bawang, brokoli, kobis, dan lain-lain.

3. Penyerapan

Ini pula berkaitan dengan kentut yang tiada bunyi tapi ‘membunuh’ deria hidung kita. Kentut yang berbau sangat busuk ini terjadi apabila badan kita mempunyai masalah untuk menyerap nutrien tertentu, terutama gula dari karbohidrat dan diikuti oleh lactose.

4. Dalam penerbangan

Kajian menunjukkan semakin tinggi altitude, semakin menyebabkan gas dalam badan kita mengembang. Keadaan itu akan menyebabkan badan kita alami kembung dan akhirnya kembung perut.

5. Serius kentut banyak dan busuk

Walaupun kuantiti dan ‘kualiti’ kentut kita berbeza setiap hari, Dr Raymond menyatakan pendapatnya, jika berlaku kekerapan kentut dan kembung yang disusuli rasa sakit atau ada simptom lain seperti cirit-birit atau sembelit, kita wajar bertemu dengan doktor.

Ini kerana ada simptom penyakit yang dikaitkan dengan pengeluaran angin kentut berlebihan dan berbau busuk seperti IBS dan celiac disease.
-detikdaily.net

Video rakaman rogol laris dijual

PETALING JAYA: Rakaman video insiden rogol dijual secara berleluasa di Uttar Pradesh, sebuah negeri di utara India, menjadikannya paling tidak selamat untuk wanita.

Video serangan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, berdurasi 30 saat hingga 5 minit, dijual melalui media sosial antara RM3 dan RM9 setiap satu.

Times of India melaporkan pelaku seks merakam perbuatan itu untuk memeras ugut mangsa dan keluarganya dengan menyebarkannya dalam Internet jika melapor kejadian itu kepada polis.

Bagaimanapun, rakaman itu kemudiannya dikesan dijual dalam pasaran gelap.

Timbalan Ketua Polis bandar Agra, Ajay Sharma, memberitahu Reuters, pihaknya sedar kewujudan jualan rakaman dan dalam usaha mengambil tindakan sewajarnya, tetapi berkata ia bukan semudah yang disangka.

“Kami mengambil tindakan yang sewajarnya tetapi ia agak sukar, kerana jualan yang berlaku dalam pasaran gelap,” kata Ajay.

Negeri Uttar Pradesh merekod kes rogol paling banyak dan dikenali antara lokasi paling tidak selamat untuk wanita.

Sebelum ini seorang wanita dan anak perempuannya berusia 14 tahun diseret dari kenderaan mereka di sebuah lebuh raya utama, sebelum dirogol beramai-ramai selama berjam-jam.

Media tempatan melaporkan, polis tidak bertindak balas terhadap panggilan bantuan.

Minggu lalu, akhbar Indian Express melaporkan seorang lagi wanita dirogol di Uttar Pradesh dan kejadian itu dirakam dalam telefon pelaku.

Ketua Menteri Uttar Pradesh, Akhilesh Yadav dikritik atas jenayah kekerasan terhadap wanita yang semakin berleluasa di negeri itu, diikuti hashtag #LawlessUP di Twitter.

Pada 2014, sebanyak 337,922 laporan keganasan terhadap wanita termasuk rogol, pencabulan dan penculikan dilaporkan, meningkat 9 % daripada tahun sebelumnya.
-fmt

Bela ayam unik, petani ditawar beribu ringgit seekor (Gambar)

BAGAN SERAI: Jika bercakap mengenai hobi, ada yang sanggup berhabis duit dan tenaga asalkan apa yang diminati dapat dimiliki.

Namun bukan semua hobi sekadar mengumpul untuk dijadikan koleksi atau pameran kerana terdapat orang yang menjadikan hobi sebagai sumber menambah pendapatan.

Itu yang dilakukan seorang petani dari Selinsing, Perak, Rosmah Mohd Yusof, 44, yang bermula dari minat membela binatang ternakan kini bertukar menjadi satu daripada sumber pendapatannya apabila membela dan menjual pelbagai spesies ayam yang sukar dan jarang ditemui.

Ibu kepada lima orang anak ini berkata antara spesies ayam yang ada dalam peliharaannya ialah ayam Serama, ayam Bahamas, ayam Mutiara, ayam Batam, ayam Sabung, ayam Gajah, ayam Kampung (baka asli) dan yang paling sukar ditemui ialah ayam Poland Jambul serta ayam Selasih.

“Minat membela ayam ni bermula apabila saya ke rumah sahabat saya dan melihat beliau membela ayam yang pelik rupanya berbanding ayam lain. Jadi dari situ minat tu datang dan saya beli ayam itu daripadanya.

“Bermula dengan sepasang kini dah beratus ekor saya kumpul dan bela dan jenis ayam yang saya bela semua yang jarang dan sukar ditemui kerana saya suka spesies yang pelik-pelik,” katanya kepada Bernama ketika melawat haiwan peliharaannya di sini, baru-baru ini.

Pernah ditawar RM20,000 seekor

Rosmah berkata seawal memulakan hobinya itu ia sekadar minat biasa namun beliau tidak menyangka ia mampu menjana pendapatan tambahan kerana seekor ayam yang dibelanya mampu mencecah sehingga RM20,000 bagi seekor ayam.

“Ayam Poland Jambul selalunya dibeli oleh mereka yang gemarkan ayam hiasan bukan untuk lawan atau makan sebab ia cantik, seekor ayam itu jika sudah besar saya jual paling kurang RM2,000.

“Selain itu, ayam Selasih yang saya bela ini memang baka asli dan seekor ayam ini pernah ditawarkan harga RM20,000. Namun saya tak akan jual sebab ia memang sangat susah nak jumpa, sangat unik dan malah ada khasiat yang sangat bagus berbanding ayam lain,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bukan hasratnya untuk menjadi kaya dengan membela ayam-ayam itu. Secara kebetulan hobinya mengumpul ayam daripada spesies unik dan mendapat perhatian ramai. Malahan tiada sebarang promosi atau iklan dilakukannya untuk menjual ayam itu.

Tidak semua pembeli datang terus ke rumahnya dan beliau juga tidak menjualnya di pasar atau dalam talian.

Bela ternakan lain

“Selain ayam untuk perhiasan saya juga ada bela haiwan ternakan lain seperti ayam kampung biasa, itik daging, itik serati, dan kambing, orang sekitar sini memang selalu datang untuk beli dan mungkin ada dalam kalangan mereka menyebarkan maklumat mengenai ayam peliharaan saya kepada orang lain,” katanya.

Rosmah berkata pada mulanya agak sukar untuk membela haiwan-haiwan tersebut namun setelah lama-kelamaan pengalaman dan tunjuk ajar daripada beberapa pihak membolehkan beliau kini membela lebih 300 ekor haiwan ternakan.

Untuk masa hadapan beliau memohon agar pihak berwajib dapat membantu usaha beliau membesarkan reban ayam dan menambah bilangan haiwan ternakannya.

“Impian saya sekarang ini mahu membesarkan lagi reban dan kandang haiwan ternakan ini dan untuk itu saya perlukan lebih banyak modal kerana sebelum ini semua yang ada adalah hasil titik peluh sendiri.

“Saya juga memohon agar ada jabatan berkaitan dapat membantu memberi tunjuk ajar agar saya dapat membela haiwan ini dengan sistematik dan betul-betul jadikan ia sebagai sumber pendapatan utama saya,” katanya. 
-Bernama